23 July 2013

Mahkamah Kekalkan Kemenangan BN Di Parlimen Balik Pulau & DUN Teluk Bahang

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Mahkamah Pilihan Raya di sini, Selasa mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Balik Pulau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang selepas menolak dua petisyen yang difailkan calon PKR.
Hakim Hadhariah Syed Ismail menolak petisyen itu atas alasan kedua-dua pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 15 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Beliau menolak kesemua petisyen itu dengan kos.
Bagi kawasan Parlimen Balik Pulau, Hadhariah mengarahkan pempetisyen yang difailkan Muhammad Bakhtiar Wan Chik membayar kos RM40,000 kepada responden pertama iaitu anggota Parlimennya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, responden kedua pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Balik Pulau dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi DUN Teluk Bahang, mahkamah mengarahkan pempetisyen yang difailkan Datuk Abdul Halim Hussain membayar kos RM10,000 kepada responden pertama anggota DU NTeluk Bahang Datuk Shah Haedan Ayoob Hussain Shah, respoden kedua pegawai pengurus bahagian Pilihan Raya DUN Teluk Bahang dan SPR. Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan menewaskan calon PKR, Muhammad Bakhtiar dengan majoriti 1,539 undi bagi kerusi Parlimen Balik Pulau, manakala Shah Haedan memenangi kerusi DU NTeluk Bahang selepas menewaskan calon PKR, Abdul Halim dengan majoriti 801 undi.
BN pada prosiding petisyen itu diketuai peguam Abu Bakar As-Sidek, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Syed Faisal Syed Abdullah.
Responden kedua dan ketiga pula diketuai peguam L.Chandra Devi. - BERNAMA

No comments: