06 March 2013

BL1M: Satu lagi projek kayakan kroni Umno

23 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

changPada 31hb Januari 2013, BL1M (Bantuan Lesen 1 Malaysia) yang dianjurkan oleh Pemuda Umno telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Program ini dikatakan akan mengurangkan beban golongan belia yang ingin memiliki lesen motosikal (kelas B2), dengan pengurangan yuran ujian dari RM261 kepada RM199. MYEG Services Berhad telah dilantik untuk mentadbir dan melaksanakan program tersebut.

Namun, setelah meneliti dokumen-dokumen dan maklumat berkenaan, pihak kami mendapati bahawa BL1M merupakan satu penipuan! Ia adalah satu program yang bertujuan untuk mengaut keuntungan dan memperkayakan kroni Umno. Kerajaan atau pihak Pemuda Umno langsung tidak mengeluarkan sebarang dana untuk membantu anak muda mendapat lesen. Pengurangan sebanyak RM62 (dari RM261 kepada RM199) itu terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha institut memandu.

IM tanggung kerugian, MYEG mengaut keuntungan
Apa yang lebih memeranjatkan adalah yuran RM199 yang dibayar kepada MYEG Services Berhad tidak diberikan sepenuhnya kepada pengusaha institut memandu. Menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), MYEG hanya menawarkan harga yang amat rendah iaitu RM100 setiap orang calon kepada pengusaha institut memandu. Ini bermakna para pengusaha institut memandu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM161 (dari RM261 kepada RM100) untuk menyediakan lesen untuk peserta BL1M ini.

Walaupun MYEG mengambil RM99 dari setiap peserta BL1M, kami difahamkan bahawa MYEG hanya menyediakan ujian undang-undang berkomputer untuk para peserta BL1M, di mana harga ujian tersebut hanya RM17. Sekiranya peserta berjaya lulus ujian dalam cubaan pertama, MYEG akan mendapat keuntungan bersih sebanyak RM82. Jika sasaran Pemuda Umno tercapai, iaitu seramai 500 ribu anak muda menyertai program ini, MYEG akan mendapat keuntungan puluhan juta dengan kadar sekelip mata.
MyEG-picked-bl1m-b12Setelah carian syarikat dilakukan, kami dapati bahawa salah seorang pemegang saham utama MYEG Services Berhad adalah Datuk Raja Munir Shah bin Raja Mustapha. Dato’ Raja Munir Shah merupakan seorang pemimpin aktif Umno Pulau Pinang. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong, Ketua Penerangan Pemuda Umno Pulau Pinang, ahli majlis MPPP dan sebagainya. Beliau merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong sehingga kini.
Keselamatan jalanraya dikompromikan

Selain daripada penyelewengan yang melibatkan kroni Umno, program ini juga akan membawa natijah yang negatif kepada keselamatan jalanraya. Oleh sebab pengusaha-pengusaha institut memandu terpaksa menerima yuran yang tidak mencukupi, kualiti pengajaran dijangka akan menurun. Sebelum kualiti pengajaran menurun, kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal sudah mencapai 70%. Sekiranya BL1M ini dilaksanakan, pastinya peratusan kemalangan motosikal akan naik mendadak.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan begitu prihatin kepada keselamatan jalanraya, sehingga AES yang mendapat bantahan hebat tetap dilaksanakan. Kenapa tidak ada sebarang respon daripada Menteri dalam hal ini?
Integriti ala Najib

Kami mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan program BL1M yang mempunyai unsur penipuan. Kami juga berasa kecewa dengan Pemuda Umno yang sanggup menggadaikan keselamatan anak-anak muda di jalanraya semata-mata hendak mengaut keuntungan. Justeru itu, kami mendesak Menteri Pengangkutan agar jangan menjadi boneka kepada Pemuda Umno dan memberhentikan program ini dengan kadar segera.
Penyelewengan ini telah memberi satu tamparan besar kepada Najib yang baru menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya melalui Transparency International Malaysia. Program yang seharusnya membantu rakyat akhirnya dijadikan program yang memperkayakan kroni, apakah ini yang dimaksudkan oleh Najib sebagai integriti?

Sekiranya Najib ikhlas dalam membanteras rasuah dan mempertingkatkan integriti, beliau wajib mengambil tindakan tegas terhadap orang yang bertanggungjawab atas program ini.

Chang Lih Kang
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
ADUN Teja

No comments: