19 February 2013

Penduduk Gaza belajar kuasai bahasa musuh

8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Gaza
Pelajar Palestin jurusan kajian bahasa Ibrani di Universiti Islam di Gaza mengikuti kelas bahasa itu bagi memahami budaya dan pemikiran 'musuh mereka'.
Gaza
Kanak-kanak belajar menulis dan membaca bahasa Ibrani di Sekolah Persediaan Hasan Salama, Gaza.
Gaza
Kanak-kanak belajar menulis dan membaca bahasa Ibrani di Sekolah Persediaan Hasan Salama, Gaza.
Selepas lebih 15 tahun pengajaran bahasa Ibrani dihentikan di sekolah-sekolah Palestin, Kementerian Pendidikan kendalian Hamas di Gaza memutuskan memperkenalkan semula kursus bahasa itu di sekolah kerajaan dari gred tujuh hingga sembilan.

Bahasa Ibrani adalah salah satu bahasa rasmi selepas Arab dituturkan lebih tujuh juta orang di Israel.

Menurut pegawai Kementerian Pelajaran, Sumayya al-Nakhala, penting bagi suatu bangsa mahir menguasai bahasa negara yang mereka duduki kerana Palestin masih berada di bawah pendudukan Israel.

Sungguhpun, tentera mereka telah keluar dari Gaza pada 2005, namun wilayah itu masih bergantung kepada ekonomi Israel dalam pembangunan setempat.

“Pembelajaran Ibrani membuat kan kehidupan pelajar lebih mudah. Mereka dapat memahami media Israel dan dapat berurusan dengan mereka jika perlu berbuat demikian,“ katanya.

Pada ketika ini, ramai penduduk Gaza mampu berkomunikasi dalam bahasa Ibrani, terutama mereka yang bekerja di Israel sebelum pengambilan buruh dari Gaza dihentikan sejak tujuh tahun lalu.

Kini, bilangan terhad penduduk Gaza dibenarkan ke Israel, iaitu pesakit kritikal, ahli perniagaan dan pekerja organisasi antarabangsa.

Pada tahun pertama projek itu dilaksanakan, berpuluh sekolah asas di Gaza mula mempelajari bahasa Ibrani sebagai kelas elektif dalam gred sembilan.

Di Sekolah Persediaan Hasan Salama, di bandar Gaza, pelajar dilatih menulis Ibrani dan pada semester pertama mereka diajar membaca dalam bahasa itu.

Seorang pelajar, Nadine Al-Ashi, 15, berkata, beliau mendapati pembelajaran itu berguna dan menarik untuk dikuasai.

“Ia bahasa musuh kami. Penguasaan ini membantu memahami cara mereka berfikir," katanya.

Guru dari Sekolah Persediaan Nadine, Maysam Al-Khateeb, 45, berkata, walaupun berpuas hati dengan pencapaian pelajarnya, tetapi perkara itu banyak cabarannya.

“Selain perlu mengajar di Gaza dan Israel, medium pembelajaran terpaksa mengambil masa lama untuk disediakan,” katanya.

Menurutnya, bahasa Ibrani tidak lagi diajar di semua sekolah persediaan di Gaza kerana kekurangan guru.

“Kami ingin guru berkelayakan dan dapat mengambil tanggungjawab mengajar bahasa ini secara berterusan,” katanya.

Dalam usaha mendapatkan lebih ramai guru bahasa Ibrani, Universiti Islam Gaza baru-baru ini memperkenalkan program diploma dalam melahirkan lebih ramai tenaga pengajar.

Dekan di Universiti Islam di Gaza, Khaled Al-Kahlout mengatakan, tujuan  program bahasa ini adalah untuk meningkatkan pemahaman budaya lain.

“Ia sangat berfaedah terutama dalam memahami masyarakat Israel yang menjadi jiran penempatan mereka,” katanya.

Seorang pekerja bank, Mohammad, 54, berkata, beliau menyertai program ini selepas melihat iklan kelas tuisyen bahasa Ibrani di bandar Gaza.

“Saya berminat mempelajari banyak bahasa dan bahasa ini adalah penting untuk memahami apa yang berlaku di Israel sebagai sebuah kuasa penjajah,” katanya.

Pensyarah bahasa Inggeris dan Ibrani di Universiti Tel Aviv, Subhi Bahlol berkata, bahasa Ibrani akan digunakan di semua sekolah dan universiti di Gaza kelak.

“Bahasa Ibrani adalah kunci segalanya,” katanya.

Profesor kesusasteraan Ibrani berbangsa Amerika Syarikat, Gilead Morahg memberitahu, pengenalan bahasa Ibrani ke dalam kurikulum di sekolah adalah anjakan pembelajaran yang bagus.

Beliau yang lebih 35 tahun menguasai bahasa itu berpendapat, penduduk Gaza perlu menguasai bahasa tersebut supaya boleh memahami budaya masyarakat yang dianggap musuh untuk sekian lama.

“Mengetahui bahasa dan mengkaji budaya “musuh” mampu mengurangkan satu musuh,” katanya.

Tetapi wajarkan Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat membenarkan kurikulum ini disebarkan terhadap penduduk Palestin, sekali gus menyaksikan penjajahan ‘secara halus’ terus berlaku di Palestin.

sinar/-

No comments: