30 January 2013

Umno Titiwangsa sahkan salah guna dewan orang ramai

18 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Saya membaca respons Datuk Johari Abdul Ghani, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa di dalam akhbar Sinar Harian kelmarin apabila kenyataan saya mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai di Parlimen Titiwangsa oleh UMNO bahagian disiarkan. Kenyataan Datuk Johari menyebut bahawa dewan-dewan itu hanya digunakan untuk Majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya di Zon Kampung Bharu, Zon Datuk Keramat, dan Zon Kampung Pandan dan bukannya bilik gerakan.

Kenyataan Datuk Johari telah mengesahkan bahawa UMNO sememangnya telah menggunakan dewan-dewan tersebut untuk kegiatan parti mereka. Jika dewan tersebut digunakan hanya untuk majlis perasmian Gerak Kerja Pilihanraya, sudah tentu perasmian tersebut hanya memakan masa beberapa jam atau paling lewat sehari sahaja. Tetapi mengapa sehingga sekarang bendera UMNO-BN masih terpasang sekitar dewan-dewan manakala banner tertulis perasmian Bilik Gerakan masih digantung di depan dewan? Dalam erti kata lain, mengapa sehingga sekarang UMNO masih tidak kosongkan kesemua dewan-dewan orang ramai yang digunakan mereka?

Tambahan pula, jika mereka menggunakan premis awam ini untuk majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya sahaja, mengapa pula dewan ini telah digunakan sejak bertahun dahulu?

Isu penggunaan dewan oleh UMNO bukan sehari dua ini muncul, tetapi telah berbangkit sejak sekian lama. Malah Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Datuk Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa pernah membangkitkan perkara ini tetapi tiada reaksi apa-apa dari UMNO Bahagian. Saya mengambil inisiatif mendedahkan perkara ini kerana terlalu banyak rungutan daripada penduduk mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai oleh UMNO Bahagian. Apakah Datuk Johari tidak menyedari perkara ini dan apakah beliau tidak merasa malu dengan tindakannya?

Jika UMNO Titiwangsa dikatakan banyak membantu membiayai kos penyelenggaraan dewan-dewan orang ramai, sepatutnya mereka menjadikan dewan tersebut benar-benar diduduki oleh orang ramai untuk kepentingan rakyat, bukannya untuk UMNO. Banner, bendera serta dan sepanduk  yang terpacak di depan dewan-dewan ini menjadikan orang ramai semakin takut untuk menghampirinya. Ini bukannya untuk membantu rakyat, tetapi lebih menyusahkan rakyat. Rakyat pasti merasa kesal kerana dewan komuniti yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti masyarakat seperti kenduri kendara tidak dapat digunakan kerana diambil alih oleh UMNO.

Saya ingin mengingatkan UMNO Titiwangsa bahawa penyalahgunaan mana-mana premis awam untuk kepentingan parti politik dalam pilihanraya adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Mengikut tafsiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyalahgunaan premis awam untuk kepentingan parti politik dianggap sebagai salahguna kuasa dan boleh diambil tindakan.

Justeru, saya sekali lagi mencabar Datuk Johari dan UMNO Titiwangsa supaya segera mengosongkan dewan komuniti atau dewan orang ramai untuk kegunaan orang ramai. Carilah mana-mana premis eksklusif dengan biaya parti sendiri sebagaimana PAS lakukan. Mari kita bertanding di pentas politik pilihanraya  di atas padang yang sama rata, baru kenal langit itu tinggi atau rendah.

Penulis ialah Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa.

1 comment:

Anonymous said...

nak tambah sikit, pasal dewan ini(balai raya) seluruh negeri terengganu diguna pakai oleh UMNO macam Titiwangsa juga, Kalau kawasan kemaman, semua balai raya dipasang bendera umno, dan juga digunakan oleh JKKK untuk kerja kepartian.