29 January 2013

Pengundi luar: Pakatan mahu SPR gugur syarat 30 hari

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Anthony Loke
Anthony Loke
 
SHAH ALAM - Syarat tidak kurang 30 hari tinggal di Malaysia yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas pengundi tinggal di luar negara perlu digugurkan atas alasan ia tidak dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya.

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, SPR perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh PSC dan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, syarat tinggal tidak kurang 30 hari akan menyukarkan proses pilihan raya.

"Syarat tambahan baru (tinggal tidak kurang 30 hari) itu, perlu digugurkan.

"... lagipun syarat itu tak pernah dibincangkan sebelum ini pada mesyuarat PSC, memanglah SPR ada kuasa, tapi mereka perlu hormat keputusan PSC.

"Syarat baru ini juga akan menyukarkan proses mengundi (membabitkan) pengundi luar tersebut," katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, media melaporkan syarat kelayakan pengundi luar negara yang ditetapkan SPR, antaranya mesti pernah kembali ke tanah air dalam tempoh lima tahun terakhir dan tinggal tidak kurang 30 hari, adalah munasabah.

SPR berkata, syarat itu cukup ringan dan sesuai kerana negara-negara Komanwel seperti Australia dan Kanada turut menetapkan syarat sama manakala di Singapura menetapkan syarat tiga bulan.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah dan bekas anggota PSC berkata, syarat pulang sekali dalam tempoh lima tahun yang ditetapkan SPR itu adalah munasabah.

Namun beliau berkata, semua syarat baru yang ditambah perlu dibincangkan kepada PSC walaupun SPR mempunyai hak untuk menentukan syarat pilihan raya.

"PSC adalah suara ramai wakil Ahli Parlimen, suara rakyat, jadi sebarang keputusan atau syarat baru perlu dibincangkan dengan PSC.

"Pulang sekali dalam tempoh lima tahun, saya setuju tetapi tidak perlu letak syarat 30 hari itu," katanya yang sebelum ini pernah menggesa SPR mengkaji semula syarat itu.

sinar/-

No comments: