23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Pilihan
raya Presiden Amerika 2012 menyaksikan pertembungan sengit antara
penyandangnya Barrack Obama dari Parti Demokrat dengan pencabarnya dari
parti Republikan, Mitt Romney.
Dunia memberikan tumpuan khusus bagaimana perjalanan pemilihan
Amerika Syarikat dan menonton penuh minat proses berkempen dan pemilihan
Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung secara penuh demokratik.
Keputusan terkini menunjukkan Barrack Obama mengekalkan kedudukannya
sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal kedua berturut-turut.
Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat memang terkenal sebagai
negara yang mengamalkan dasar luar yang keras terhadap negara-negara
lain.
Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjatuh dan
menaikkan pemimpin negara-negara tertentu. Mereka jugalah yang
menentukan dasar negara-negara sasarannya supaya negara-negara tersebut
ikut telunjuknya.
Namun sikap angkuh Amerika Syarikat di negara luar tidak pula
diterjemahkan dalam negaranya. Rakyat di negara tersebut masih
menikmati kebebasan berpolitik dan demokrasi yang sebenarnya.
Buktinya, dalam pilihan raya Presiden semalam rakyat AS berpeluang
menggunakan kuasa mereka menentukan pemimpin nombor satu negara
tersebut dengan penuh demokratik.
Sebagai seteru politik, meskipun Obama adalah Presiden Amerika, dalam
menghadapi pemilihan presiden, kedua-dua pihak diberikan peluang dan
ruang yang sama.
Obama tidak menggunakan jawatannya untuk berkempen dengan menafikan
hak kepada lawan politiknya. Pentas di mana beliau berucap di situ juga
Mitt Romney berpeluang berucap.
Mitt Romney bebas mengkritik dasarnya, berdialog malah berdebat dalam
ruang terbuka. Seluruh rakyat menjadi penonton melihat kehebatan
kedua-dua tokoh mengemukakan hujah balas.
Media pula tanpa berpihak memberikan liputan sama adil kepada semua
penyokong. Tidak kelihatan media menjalankan propaganda memburukkan
mana-mana pihak.
Untungnya Mitt Romney kerana sedikitpun beliau tidak difitnah oleh media dengan pelbagai propaganda yang direka-reka.
Malah, tidak kedengaran juga suruhanjaya pilihanraya AS dicemuh atau
dicurigai rakyatnya kerana menimbulkan penipuan dalam senarai daftar
pemilih, atau menjalankan sistem pilihan raya yang pincang.
Dalam mendepani pilihan raya umum ke-13 ini, sebaiknya PM belajar
daripada proses pilihanraya Amerika Syarikat. Bermuhasabahlah dan
bandingkan tahap demokrasi negara ini dengan Amerika Syarikat. Terlalu
banyak jurang perbezaannya, sejauh langit dengan bumi dan PM boleh
melihatnya sendiri.
Isunya, jika mahu menuruti proses pilihanraya seumpama AS, sanggupkah
PM meletakkan jawatannya dan menyerahkan kuasanya kepada kerajaan
sementara bagi mengendalikan kerajaan tatkala PRU berlangsung.
Mampukah PM turun berkempen atas nama ketua parti tanpa menggunakan
kedudukannya dalam kerajaan dengan menabur janji, projek, habuan,
imbuhan mahupun ugutan seperti yang berlaku selama ini?
Sanggupkah PM menggunakan jentera parti sendiri tanpa mengerahkan
jabatan kerajaan turun berkempen bagi pihaknya? Adakah PM bersedia
memastikan SPR tidak dikongkong atau dipengaruhi sehingga mebimbulkan
kecurigaan rakyat bahawa ada tangan-tangan hitam yang mengganggu badan
tersebut?
Kuatkah iltizam PM untuk membersihkan daftar pemilih, membuang undi
pos, menghalang rakyat asing menjadi penguundi bagi memberi ruang
pilihan raya yang benar-benar berwibawa?
Beranikah PM membenarkan media membuat liputan yang adil dan saksama
kepada semua parti dan pemimpin tanpa berat sebelah atau fitnah?
Selain itu, tergamakkah PM turun berdebat dengan Ketua Pembangkang di
pentas terbuka disaksikan oleh jutaan rakyat dan disiarkan di media
utama sebagaimana Obama dan Romney lakukan.
Paling utama, bersediakah PM menerima apa juga keputusan rakyat dalam
PRU13 dengan hati terbuka tanpa tindakan kotor meskipun beliau dan
partinya akan kalah kepada PR?
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.