20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
dikemaskini Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan membenarkan
penderitaan dan kezaliman mencengkam rakyat jika Pakatan Rakyat
menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.
"Saya
berbicara dengan hati dan keyakinan, jika kita buat sesuatu dengan
tidak mempertahankan kezaliman... Kita pergi ke Putrajaya, (kita) jangan
izin rakyat menderita dan dizalimi.
"... kita akan turunkan harga minyak, harga kereta, beri pendidikan percuma dan kaji AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik).

"(Indeks)
rasuah meningkat, barang naik... itu racun daripada BN," kata Anwar
yang juga ketua umum PKR di hadapan kira-kira 30,000 hadirin di Himpunan
Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya malam tadi.
Ia
merupakan kesimpulan isi ceramahnya yang mengulas isu-isu semasa
antaranya kenaikan harga minyak dan risiko pelaksanaan cukai barangan
dan perkhidmatan (GST) yang dianggapnnya membebankan rakyat yang
berpendapatan rendah.
Sekaligus, beliau yang juga ketua
pembangkang turut mengulangi jaminan dan janji Pakatan mengenai
pemberian pendidikan percuma dengan membatalkan Pinjaman Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga kereta.
"Jika
kita menang, Insya-Allah kita juga akan tingkatkan mutu pendidikan
negara... Kita tidak akan terlibat dengan diskriminasi... Tak payah main
isu bangsa. Kita akan lawan, insya-Allah kita akan menang," katanya
sewaktu mengulas isu PTPTN.
Selain itu, Anwar membidas pengamalan
rasuah tetapi didakwanya didiamkan oleh pihak berkuasa dan keresahan
anak muda yang tidak pekerjaan sedangkan ada individu yang didakwanya
mengautkan keuntungan berbilion ringgit selepas membeli syarikat arak.
Turut
hadir dalam himpunan tersebut barisan kepimpinan Pakatan Rakyat
antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP
Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Presiden
PKR, Azmin Ali dan kepimpinan Pakatan semua peringkat.

Sebelum
itu, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang dalam ucapannya
menempelak pemimpin dalam kerajaan yang menurutnya menganggap diri
mereka "maha suci" daripada kekurangan.
"Tidak ada silap... Harta
negara (jadi macam) harta pemimpin. Ini bukan satu amanah. Ini bukan
ajaran Islam... Kekayaan negara berpusing-pusing di antara pemimpin dan
'Qarun' yang bersangkutan dengan pemimpin," kata beliau bagi
menghuraikan sepotong ayat al-Quran yang dibacanya sebelum itu.
Sambil
menyatakan haram menyokong kerajaan yang zalim, Abdul Hadi menegaskan
rakyat boleh menghukum kerajaan itu dengan menggunakan platform
demokrasi, bahkan Pakatan melaksanakannya dengan menghantar wakil rakyat
di Parlimen untuk menghantar mesej tersebut.
"(Tetapi) BN tidak
bersedia untuk untuk membuat perubahan. Kita wajib ubah kerajaan. Tukar
pemimpin (berlaku) di negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan
Britain.
"Parti buat silap, rakyat hukum... Tapi ia tidak jadi di
Malaysia. Mahu jadi kerajaan selama-lamanya. Kesalahan ditutup dengan
akta OSA, ISA untuk menyekat kebebasan rakyat," katanya.
Sementara
itu, Lim Kit Siang pula menolak dakwaan bahawa DAP akan menghapuskan
kuasa Raja-raja, menjadikan negara ini sebagai negara Kristian dan
menghapuskan hak orang Melayu jika menang dalam pilihan raya umum ke-13.

"Itu
semua bohong, dusta dan fitnah... Pakatan Rakyat, kita ada mesej yang
sama tidak seperti BN. Kita mahu selamatkan demokrasi, selamatkan
Malaysia dan kembalikan keadilan, kebebasan dan hak asasi dimajukan,"
katanya.
Ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan itu kemudiannya
melancarkan satu gimik sebagai tanda pelancaran Himpunan Kebangkitan
Rakyat, yang diiringi dengan tembakan bunga api berwarna-warni.