31 October 2012

Khalid & Azmin Dalam Sidang Media Bersama Isu Air - RM500 juta Duit Rakyat Diselamatkan

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Tarif air: Selangor selamatkan RM500 juta duit rakyat Meskipun baru empat tahun Pakatan Rakyat (Pakatan) mentadbir Selangor, negeri itu berjaya menyelamatkan RM500 juta wang rakyat daripada ‘diratah’ Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat dalam pengurusan industri air.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil daripada tindakan kerajaan negeri menyekat perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Pusat dengan Syabas.

“Kita lakukan penyusunan semula (industri air) ini untuk (kenaikan) tarif air yang akan dikenakan oleh Syabas. Hingga empat tahun ini, menerusi penyusunan semula tersebut, sekurang-kurangnya rakyat Selangor sudah tidak perlu bayar hampir RM500 juta.

“Kalau ikut kenaikan tarif, kami telah selamatkan RM500 juta duit rakyat di tiga kawasan iaitu Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bertegas untuk membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan jumlah penghasilan air di loji rawatan walaupun Kerajaan Pusat berdegil mahu meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan (NRW).

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan loji Langat 2. Memandangkan kos teknologi membran lagi murah iaitu RM800 juta dan kos Langat 2 adalah RM300,000 juta,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang turut sama dalam sidang media itu berkata, kerajaan Umno zalim dalam perjanjian air bersama Syabas yang hanya ‘membunuh’ rakyat.

“Saya nak rujuk data rasmi yang terkandung dalam perjanjian konsesi sedia ada di mana Syabas ada kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk naikkan tarif air kepada 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012,” kata Pengerusi KEADILAN Selangor itu.

“Kalau Kerajaan Pakatan tidak menyekat kenaikan ini, bermakna pada 2012, ada pertambahan sebanyak 25 peratus menjadikan harga air di Selangor, sebanyak RM2.8 per meter padu.

“Kemudian dalam perjanjian sama, kenaikan tambahan daripada 20 peratus pada 2015, dan 10 peratus pada 2018, dan bermakna pada 2018, rakyat Selangor perlu bayar RM3.15 per meter padu dan harga ini akan melonjak naik kepada RM3.83 pada 2030,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu.

GRENNBOC/-

Serangan Umno BN Tak Gugat S’ngor, Audit Iktiraf Negeri Terbaik

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Serangan Umno BN terhadap kerajaan Selangor hanya omong kosong dan gagal menafikan penarafan Laporan Audit 2011 ke atas negeri itu, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

“Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan Selangor merupakan negeri terbaik di bawah kelolaan Tan Sri Khalid Ibrahim jelas menafikan segala tohmahan terhadap pemerintahan kerajaan negeri,” katanya depan 5,000 rakyat pada Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Bandar Baru Batang Kali, kelmarin.

Pengerusi KEADILAN Negeri itu berkata, anggota parti bersama pimpinan Pakatan Rakyat harus mempertahankan segala usaha Menteri Besar selama ini.

“Kenapa kita mesti pertahankan Tan Sri Khalid? Ini kerana beliau telah berusaha sepenuh hati merakyatkan ekonomi negeri.

“Kekayaan negeri telah beliau agihkan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat negeri, sekaligus memberi kesenangan dan menyenangkan rakyat yang selama ini terpaksa hidup dalam tekanan sepanjang pemerintahan kerajaan korup Umno BN,” katanya disambut sorakan hadirin.

Ahli Parlimen Gombak itu turut menyelar dakwaan tidak berasas Umno BN bahawa pemberian air percuma mengakibatkan Selangor kehabisan air.

“Masalah kita bukan tidak ada air, air sentiasa ada. Masalah kita adalah ketiadaan air untuk dirawat.

“Itupun bukan salah kerajaan negeri, tapi salah Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor). Syabas di bawah arahan Umno BN telah sabotaj kita (kerajaan negeri) supaya air yang sedia ada tidak dapat dirawat dan ia menyebabkan kita gagal membekalkan air yang berkualiti untuk rakyat,” kata Azmin.

Beliau turut menempelak kenyataan beberapa pimpinan tertinggi BN yang mendakwa negara akan hancur jika dipimpin Pakatan Rakyat.

“Mereka kata kita tidak ada pengalaman, saya nak beritahu mereka, ya memang kita tidak ada pengalaman. Tapi pengalaman apa? Kita tidak ada pengalaman menyumbat lembu ke dalam poket sendiri.

“Kita juga tidak punya pengalaman dalam aktiviti membekalkan projek-projek untuk anak beranak serta kroni, mengkayakan sesama sendiri dengan menyeleweng wang rakyat.Ya, kita tidak pernah ada pengalaman itu,” sinis Azmin lagi.


AES di kawasan kampung tak relevan

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

AES di kawasan kampung tak relevan
Abdul Yunus(tengah) mengetuai lebih 50 penduduk Tanjung Piandang mengadakan demonstrasi membantah pemasangan kamera AES di Jalan Pantai, Tanjung Piandang, petang kelmarin.
 
KERIAN - Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Jalan Pantai, Tanjung Piandang tanpa dinyatakan had kelajuan disifatkan tidak relevan kerana dipasang di kawasan kampung yang bukan menjadi laluan utama kenderaan.

Pemasangannya seolah-olah menjadi perangkap automatik di mana alat itu tetap berfungsi seperti biasa walaupun keadaan trafik tidak terlalu sibuk.

Berdasarkan rancangan asal pemasangannya di sekitar jalan itu, alat tersebut berada di antara persimpangan pekan Tanjung Piandang hingga ke Sungai Baru, Kuala Sungai Burung.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati tidak terdapat papan tanda had laju diletakkan  untuk memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari berkata, pemasangan AES pada kawasan itu perlu dikaji kerana akan mendatangkan kesusahan kepada masyarakat.
Menurutnya, pemasangan di kawasan jalan kampung tidak tepat kerana rakam kesalahan dalam masa 24 jam sedangkan kawasan itu hanya menjadi tumpuan penduduk pada waktu tertentu sahaja.

“Penduduk bukan menentang, sebaliknya mendesak kerajaan mengkaji semula kewajaran perlaksanaannya kerana melibatkan pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lebih 50 penduduk Tanjung Piandang mengadakan demonstrasi membantah pemasangan kamera AES di Jalan Pantai, di sini kelmarin.

Kata Abdul Yunus, jalan kampung tidak sesuai diletakkan kamera AES memandangkan taraf hidup penduduk di Tanjung Piandang rata-ratanya terdiri nelayan dan petani.

Katanya, pelaksanaan sistem itu sebenarnya boleh membebankan rakyat kerana di tempat yang mempunyai kelajuan rendah juga diletakkan kamera.

“Sistem ini tidak seharusnya dipasang di tempat had laju di bawah 90 km/j untuk jalan-jalan Persekutuan dan 110 km/j di lebuh raya.

“Tindakan memasang AES di tempat yang ditetapkan kelajuan 30km/j dan 60 km/j adalah tidak munasabah,” katanya.

SINAR/-

Pusat khidmat MP Serdang dipecah masuk

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


BALAKONG: Pusat Khidmat Balakong Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Taman Dutamas di sini dipecah masuk hari ini.

Menurut Nei Ching, insiden itu hanya disedari seorang kakitangannya yang datang ke pejabat awal pagi ini.

"Apabila Miss Loh, kakitangan saya datang ke pejabat kira-kira 10:45 pagi ini, dia menyedari bahawa pejabat telah dipecahkan, kedua-dua komputer dan pencetak telah diambil," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media hari ini.

Pejabat tersebut turut dikongsi dengan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Bryan Lai.

Katanya, kemungkinan kejadian berlaku antara malam tadi sehingga pagi tadi dan laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu.
"Bagaimanapun pencuri tersebut tidak mengambil wang tunai lebih RM400 yang disimpan dalam laci meja komputer.

Ianya merupakan insiden kedua menimpa beliau dalam masa empat bulan selepas keretanya turut dicuri di Kajang pada April lalu.

HARAKAH/-

Siling Kompleks Klinik Pakar HRPB runtuh

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
IPOH — Hampir 20 keping papan siling di bahagian hadapan Klinik Dermatologi di Kompleks Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini runtuh hari ini.

Kejadian di tingkat satu kompleks itu disedari oleh pegawal keselamatan bertugas pada kira-kira pukul 6 pagi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilapor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kejadian berpunca apabila siling tidak mampu menampung beban sejumlah saluran paip PVC yang mengandungi kabel telefon dan ICT.

"Pihak hospital telah meminta siling itu dibaiki dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap petang ini. Kos akan ditanggung oleh pihak hospital. Pihak hospital juga akan memeriksa di bahagian lain bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan kejadian. — BERNAMA

Tuntutan pemandu: Teksi serah memo kepada menteri

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Memorandum yang diserahkan di parlimen itu turut dihadiri Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersama 15 orang wakil dari NGO Teksi.

Pengerusi Teksi, Mohammad Ridzwan Mohamad Daud ketika bertemu Mohamed Nazri menjelaskan, pihaknya mewakili semua pemandu teksi di Malaysia yang meminta Kerajaan Malaysia agar memandang serius segala permasalahan yang dihadapi mereka.

"Kita menuntut agar permit individu diberikan kepada semua pemandu teksi tanpa syarat, malah juga menuntut kadar cukai kenderaan untuk pembelian kenderaan teksi bagi kenderaan nasional dimansuhkan.

"Dalam pada itu kita turut menuntut kebenaran diberikan bagi penggunaan teksi selain dari Proton untuk teksi bandar kerana kos pembaikian dan ketahanan kurang memuaskan," jelasnya.

Beliau yang memberi penerangan tentang kandungan memorandum kepada Mohamed Nazri juga meminta kadar harga teksi dikaji semula termasuk juga kemudahan bas GO KL harus ditelitikan terutama memberi perkhidmatan percuma kepada pelancong atau pun bukan warganegara.

Menurutnya lagi, tuntutan juga ditekankan kepada tidak menghadkan keluasan membawa atau mengambil penumpang seperti di lapangan terbang atau lain-lain tempat.

"Kita juga turut meminta kaunter teksi berkupon yang diletakkan di semua tempat yang telah membebankan penumpang dengan bayaran tambahan.

"Penubuhan satu badan di bawah kerajaan juga perlu bagi menjaga hak dan kebajikan pemandu teksi serta bertindakan tegas terhadap ulat-ulat dan bukan warganegara yang memandu teksi secara bebas," sambung beliau lagi.

Antara tuntutan lain adalah menyeragamkan semula penggunaan pakaian kemeja untuk semua pemandu teksi dan juga perlu memberi penerangan kepada pengguna dan hak-hak pengguna mengenai pengangkutan terutamanya teksi melalui media cetak dan elektronik.

Zuraida yang mengulas turut menekankan agar kerajaan mengambil pandangan yang serius dengan apa yang dituntut ini bagi memastikan hak dan kebajikan pemandu teksi terus terjamin dan terbela.

Mohamed Nazri yang memberi maklum balas berhubung kenderaan Proton sebagai teksi adalah satu perkara yang perlu ditelitikan semula kerana ia tidak bersesuaian dengan keselesaan penumpang.

Memorandum tersebut turut diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad.

HARAKAH/-

Isu RM40 juta: Tembelang Nazri Pertahankan Chia Terbongkar!

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz telah menafikan menerima apa-apa wang dari jutawan kayu Michael Chia lebih skandal berupa RM40 juta yang melibatkan Umno Sabah.

Beliau mengulas komen blogger Malaysia Today yang kini dalam buangan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin (juga dikenali sebagai RPK) yang mendakwa bahawa Nazri dan anaknya Mohamad Nedim masing-masing menerima RM3 juta dan sebuah kereta sport dari Chia.

"Oh tidak, ia tidak benar, ia tidak benar.Chia ialah rakan. Saya tidak tahu jika dia dipinjamkan kereta untuk anak saya. Anda perlu bertanya kepada anak saya, "katanya di pejabatnya petang ini.

Walaupun dia tidak langsung mengkritik Raja Petra atas dakwaan terbaru itu, Nazri berkata bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan perkara ini.

"RPK adalah seorang yang sosial. Beliau menggabungkan banyak dengan orang, jadi dia mungkin mendapat maklumat daripada mereka. Kemudian (Petra) menulis ini, ia memberikan saya peluang untuk menjelaskan cerita saya, "katanya.

Nazri juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan kehakiman, sambil menambah bahawa jika dia terpaksa, kes Chia akan telah digugurkan.

Dalam laporan Malaysia Today, Raja Petra mendakwa bahawa Chia sendiri datang ke Parlimen untuk menyerahkan RM3 juta kepada Nazri, selepas didakwa Nazri sendiri bahawa perkara berkaitan skandal RM40 juta telah diselesaikan.

Beliau juga mendakwa bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Peguam Negara Abdul Gani Patail juga terlibat sama. -Jalan Pulang

PKR umum calon PRU13 berperingkat

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM – PKR akan mengumumkan calon-calon yang bakal bertandingpada PilihanRaya Umum ke-13 (PRU13) secara berperingkat-peringkat.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengumuman tersebut hanya membabitkan calon-calon yang dilihat mampu memberi impak positif terhadap kempen parti itu.

“Pengumuman itu akan dibuat bergantung kepada kesesuaian keadaan ataupun waktu yang orang tidak akan sangka. Mungkin sewaktu siri Jelajah Merdeka, mungkin selepas majlis mesyuarat tertinggi ataupun ketika dalam siri ceramah parti.

“Senarai penuh pula akan diumumkan sebaik Parlimen dibubarkan dan sehingga waktu itu, saya percaya PKR sudah mengumukan hampir semua calon yang bakal bertanding,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Timbalan Presiden, Azmin Ali berkata, walaupun parti itu belum memutuskan masa yang sesuai untuk mengumumkan calon tetapi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada membuat beberapa pengumuman tentang beberapa calon parti itu.

Ahad lalu, kata Azmin, Anwar turut mencadangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Sebelum ini, Rafizi diumumkan sebagai bakal calon parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan untuk bertanding di Parlimen Pandan, Rafizi mengakui sudah membuat persiapan sejak setahun lalu dan beliau akan membawakan dua isu utama dalam kempen pilihan rayanya itu.

Jelas beliau, isu utama yang bakal digunakan untuk berkempen adalah mengenai perubahan politik nasional yang perlu dilakukan pengundi iaitu untuk mengubah kerajaan dan isu prestasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam membekalkan air berkualiti di negeri Selangor.

“Isu-isu perbandaran seperti kemiskinan bandar dan hal-hal lain sudah dibawa oleh Kerajaan Negeri Selangor selama ini, cuma fokus saya adalah dua perkara itu.

“Saya juga yakin dan bersedia terutamanya jentera, bahan kempen dan gerak kerja parti telah bersiap sedia 80 peratus untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Mengakui kekuatan lawannya iaitu, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang dilihat ‘kuat’ di kawasan parlimen itu, Rafizi berkata, beliau berpandangan bahawa parti merasakan beliau merupakan salah seorang calon Melayu yang dikenali pengundi Cina.

Katanya, sejak setahun lalu, beliau terus mendapat liputan meluas media termasuk media berbahasa Cina dalam membongkar beberapa isu yang menggemparkan negara.

“Mungkin sebab itu agaknya saya dipilih untuk bersaing dengan ‘otai’ Barisan Nasional (BN) itu,” katanya lagi.

SINAR/-

Isu Datuk Bandar PJ: Ahli majlis mahu saman KSN

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang menyaman Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa berikutan arahan pertukaran serta merta Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman baru-baru ini.

Salah seorang wakil mereka, Derek Fernandez, berkata pihaknya akan merujuk kepada Unit Perundangan MBPJ bagi mendapatkan khidmat guaman profesional untuk memfailkan saman tersebut.

“Kita akan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara ini. Segala prosedur kita serahkan kepada pihak peguam,” katanya dipetik Selangorku.

Mohamad Roslan sebelum ini menerima arahan pertukaran daripada JPA sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan mengekalkan Mohamad Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Kerajaan negeri juga sebelum ini melahirkan rasa terkejut dengan arah itu kerana exco dan Menteri Besar sendiri tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Derek Fernandez, pertukaran serta-merta yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah tidak sah, dan boleh menimbulkan tanggapan buruk terhadap Mohamad Roslan.

Beliau berkata, arahan itu juga bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan.

“Datuk Bandar diberi arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam melalui surat daripada JPA bertarikh 27 September lepas tanpa mengemukakan sebarang sebab dan alasan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau (Mohamad Roslan) membuat satu kesilapan besar atau tidak membuat kerja,” katanya dalam satu Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

HARAKAH/-

Samy Vellu luluskan projek kondo Batu Caves – Anwar

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LANGAT: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu individu yang bertanggungjawab meluluskan Kondominium Batu Caves sekaligus menepis kontroversi Umno BN mengatakan kononnya pembinaan projek itu diluluskan Kerajaan Selangor sekarang.

Mendedahkannya pada ceramah Merdeka Rakyat di sini malam tadi, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran Kuil Sri Subramaniar Swamy itu mendapat kelulusan MIC dan Umno pada 2007.

Beliau menempelak pemimpin MIC kerana menipu rakyat India, malah meletak kesalahan ke atas Kerajaan Selangor.

Ia ekoran tindakan Samy berdemonstrasi bersama masyarakat India pada 26 Oktober lalu kononnya membantah pembinaan kondominium tersebut.

“Samy Vellu buat tunjuk perasaan, padahal dia yang luluskan projek pada 2007, ingat Tuhan dia tidak tahu? Sudahlah tipu rakyat, Tuhan pun dia nak tipu,” kata Ketua Pembangkang.

“Lepas itu mereka cabar Menteri Besar hentikan pembinaan, saya beritahu Khalid (Ibrahim), kita jangan ikut kata mereka dulu, kita siasat, cari siapa yang luluskan dan kita dakwa orang yang bertanggungjawab,” tegasnya disambut tepukan gemuruh lebih 5,000 penduduk Kuala Langat.

Sebelum ini, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menjelaskan, kelulusan pembinaan kondominium itu dikeluarkan oleh pihak majlis pada 31 Mei 2008 manakala ahli majlis baru di bawah Pakatan mengangkat sumpah pada 5 Julai 2008.

“MIC dah dapat duit hasil penjualan tanah kuil dan luluskan projek yang menyalahi peraturan alam sekitar dengan ketinggian 29 tingkat, sekarang nak lepaskan diri tuduh kita pula, nak suruh kita bayar. Kepada rakyat India, usahlah sokong lagi pemimpin penipu seperti ini,” kata Anwar.

Semalam di Parlimen, Khalid mengumumkan penubuhan pasukan petugas bebas untuk menyiasat isu berkaitan pembinaan kondominium tersebut.

“Kami mahu tunjukkan kepada rakyat bahawa kami telus membuat keputusan, jadi kami akan menubuhkan jawatankuasa bertindak khas yang akan diketuai seorang bekas hakim,” katanya.

HARAKAH/-

Angkasawan lihat Sandy dari angkasa lepas

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas. 

Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.

Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam.

Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.

Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.

Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam.
Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio.

Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.

Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.

"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi

Sambung perjuangan Islam bila saya tiada - TG Nik Aziz

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU: "Apabila ketiadaan saya nanti, pemimpin lain hendaklah sambung dan teruskan perjuangan memarbatkan Islam. 

Saya berharap generasi pelapis hari ini meneruskan perjuangan Islam," pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pesanan ini dibuat beliau melalui wartawan Harakah, Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir ketika kedua-duanya menemubual beliau baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana di Kelantan dan di negeri-negeri lain golongan profesional semakin ramai menyertai PAS termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Ramai yang meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

"Rakyat boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Kelantan, di mana pemimpinnya tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak rasuah.

"Ini menjadi model kepada masyarakat untuk lebih mempercayai perjuangan PAS," kata beliau.

HARAKAHDAILY/-

PAS N9 siap sedia terima peserta Himpunan Rakyat

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan mengalu-alukan kedatangan semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke negeri ini sempena program Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata dua lokasi berkumpul telah disediakan iaitu di Markaz MTD DUN Chembong, Kampung Mulia dan Markaz PR DUN Seri Menanti, Terachi yang akan dibuka bermula jam 3 petang.

"Bagi memudahkan perjalanan, semua ahli dan penyokong PAS digalakkan hadir secara berkonvoi.

"Berkenaan dengan kemudahan lokasi, boleh menggunakan lebuhraya PLUS susur keluar (exit) Senawang manakala stesyen komuter yang terdekat ialah Stesyen Komuter Sungai Gadut yang jaraknya ke lokasi program 1.5 kilometer," katanya.

Himpunan yang akan di adakan di Taman Seremban Jaya, Seremban itu akan bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam.

Program tersebut akan dihadiri oleh semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat antaranya termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dijangka lebih 50,000 ahli, penyokong dan rakyat tempatan hadir ke program itu nanti.

Sementara itu juga, PAS Negeri Sembilan akan mengadakan ceramah mobilasi di beberapa kawasan sebagai persediaan menjelang himpunan itu nanti.

Kawasan ceramah tersebut seperti berikut:

1) 31 Oktober 2012 - 9 Malam - Pasti Al-Hasanah, Bandar Seremban Selatan (YB Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard Samm, Fareedah Samad, Tuan Speaker)

2) 31 Oktober 2012 - 9 malam - Pasti al-Mawaddah Warisan Puteri, Seremban ( YB Wilfried Bumbering (MP Tuaran) , YB Ahmad Kasim (MP Kuala Kedah) YB John Fernandaz (MP Seremban) YB Loke (MP Rasah) YB Aminuddin (ADUN Sikamat)

3) 1 November 2012 - 9 Malam - Kampung Gedok, Gemencheh, Tampin (Yb Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard, Bob Lokman, Yb Veerapan (ADUN Repah)

4) 1 November 2012 - 9 Malam - Markaz MTD Labu, Sepang Road, Jalan Salak, Nilai (Ybhg Tuan Haji Mohamad Sabu, Ustaz Mohd Khairil Wafa, Nazree Yunus, YB Cha Kee Cin (ADUN Kepayang)

5) 1 November 2012 - 9 Malam - Muassasah Darus Syarif, Jalan Batui Kikir-Bahau, Jempol (YB Siti Zailah (MP Rantau Panjang) Aishah (artis) Aiman Athirah , Kumuta , Fareedah Samad)

HARAKAHDAILY/-

Akhirnya Pemuda UMNO Ikut Langkah Pakatan, Mahu AES Ditangguhkan

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Shah Alam – Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.

"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.

"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.

Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu. -SH

Arpan bangga ada 25 jari

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KEADAAN jari tangan Arpan (gambar atas) dan kakinya.
KEADAAN jari tangan Arpan (gambar atas) dan kakinya.
BHOPAL: Seorang budak lelaki berusia empat tahun menarik perhatian ramai apabila dia memiliki 25 jari, lapor media semalam.

Arpan Saxena, dari Bhopal, mengalami dua kecacatan genetik yang jarang berlaku.

Satu daripadanya dikenali sebagai Polydactyl yang menyebabkan jari tangan dan kakinya mempunyai jari tambahan. Arpan juga mengalami Syndactyly yang menyebabkan jari tangan dan kakinya bercantum.
Dengan 13 jari tangan dan 12 jari kaki, Arpan seolah-olah selebriti di Bhopal apabila gambarnya terpampang di merata-rata tempat di bandar itu. Kata Arpan, dia seronok apabila ramai orang melihat dan mengambil gambarnya.

“Cuma, saya tak seronok kerana tidak boleh banyak berjalan disebabkan keadaan kaki ini menghalang saya berkasut,” katanya. Bapanya, Anil Saxena, 35, seorang penarik beca.

Kata Anil, ketika lahir, Arpan ada 26 jari dan semua orang terkejut dengan keadaan itu. “Saya tak pernah dengar ada orang dilahirkan dengan jari sebegitu banyak,” katanya.

Ekoran satu kemalangan ketika Arpan berusia dua tahun, satu daripada jarinya ‘putus.’ Kata Anil, Arpan sedang bermain apabila jarinya tercedera sebelum ia seolah-olah tertanggal.

Isteri Anil, Tanu, 30, berkata dia enggan membenarkan anaknya menjalani pembedahan bagi membuang lebihan jari itu walaupun banyak pihak menawarkan bantuan. “Semua ibu bapa mahu dikenali kerana anak mereka.

“Arpan kini terkenal di seluruh Bhopal dan kami mahu ia kekal begitu,” katanya.

Menurut Tanu, dia juga bimbang pembedahan akan memberi kesan kepada anaknya. Namun, kelebihan itu tidak membawa Arpan mencatat nama dalam rekod dunia. Pemegang rekod dunia bagi jari terbanyak ialah seorang lagi budak India, Akshat Saxena, yang memiliki 34 jari. - TS

86 rumah rosak dilanda ribut di Melaka

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
MELAKA — Sebanyak 86 buah rumah di Taman Ayer Keroh Heights di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Lokman Hakim Sulaiman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada kira-kira 2.59 petang bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

Beliau berkata bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan bumbung dan pecah cermin nako akibat angin kuat sebelum hujan lebat.

"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di sini. 

Seorang penduduk taman tersebut, Salbiah Sariat, 56, berkata dia yang sedang mengambil baju di ampaian melihat atap rumahnya berterbangan.

"Pada masa itu hujan belum lebat namun angin kencang yang berlaku sekelip mata itu mangakibatkan 13 keping atap rumah saya tercabut,” katanya.

Salbiah bagaimanapun bersyukur kejadian tersebut tidak menyebabkan kecederaan kepada tiga anaknya yang berada di dalam rumah.
— BERNAMA

Soi Lek: Pemuda PAS rancang mengadap Agong

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan, sudah sampai masanya untuk Yang di-Pertuan Agong mengetahui tindakan MCA yang berulang kali telah menghina Islam selaku agama rasmi di dalam Perlembagaan Malaysia.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata isu penghinaan berulang kali yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam serta perundangannya bukan satu perkara baru.

Ekoran itu, katanya pada 24 Oktober lalu, DPPM telah menyerahkan satu memorandum kepada Chua Soi Lek yang memintanya untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang menghina hudud.

Namun, ujarnya DPPM merasakan memorandum yang dihantar seakan-akan ‘dibakulsampahkan’ oleh Chua dan pimpinan MCA.

Di dalam memorandum tersebut, jelasnya DPPM telah memberikan tempoh kepada Chua selama seminggu untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang menghina hudud.

“Dengan ini Dewan Pemuda PAS Malaysia memaklumkan bahawa tempoh yang diberikan telah tamat.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia kini sedang mengatur satu gerakkan himpunan besar-besaran ke Istana Negara dan berusaha untuk menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya DPPM merancang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan aduan itu dalam masa yang terdekat sejurus selepas baginda berangkat pulang daripada menunaikan fardu haji.

harakah/-

Lembah Sireh: Ombak hanya setaraf dengan Najib

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Saya menyifatkan tindakan sebuah Pertubuhan badan bukan kerajaan pro UMNO, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) yang menggesa Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, 
 
Datuk Ahmad Yakub melepaskan jawatan beliau berhubung isu Lembah Sireh hanyalah merupakan satu retorik dan bertujuan untuk mengalihkan isu terhadap kegagalan UMNO mengurus tadbir beberapa projek di negeri Kelantan.

Sekalipun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan oleh pihak kerajaan negeri, Ombak kelihatan masih berdegil untuk meraih publisiti dengan mengadakan perhimpunan haram di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Isnin lepas bersama-sama Pemuda Umno Kelantan yang jelas menjadi tulang belakang kepada pergerakan Ombak.

Pada saya, Ombak hanyalah merupakan pertubuhan bukan kerajaan alat Umno yang hanya berani mengadakan perhimpunan tetapi menghilangkan diri apabila dipelawa untuk berdebat dan berhujah.
Buktinya pada 16 Mei 2011, Ombak pernah berdemonstrasi di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim bagi berhubung dakwaan penyelewengan projek Ladang Rakyat, namun apabila dipelawa untuk berdebat, langsung tiada wakil daripada Ombak mahupun Pemuda Umno yang sanggup tampil ke hadapan.

Barangkali Ombak dan Pemuda Umno hanya mencontohi sikap Presiden Umno yang sampai sekarang enggan tampil untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang.

Saya mencabar Ombak untuk turut berdemonstrasi dalam isu projek Pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu, Kelantan yang masih belum siap sekalipun telah dimulakan pembinaan lima tahun yang lampau.

Kegagalan menyiapkan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan ini telah menyebabkan kenaikan kos projek kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.

Tidakkah projek ini juga ditegur oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011?

Di mana OMBAK apabila Jambatan Manek Urai yang telah dijanjikan oleh Umno dan Barisan Nasional semenjak tahun 2009 sehingga ke hari ini masih belum siap?

Di mana Ombak apabila Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa jumlah wang ehsan yang diterima ialah sebanyak RM61.8 juta berbeza dengan angka yang diumumkan oleh Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang menyatakan bahawa sebanyak RM24 juta setahun telah diterima dan ini bermakna berjumlah RM72 juta sejak 2010.

Kenapa kedua-dua angka ini berbeza? Jika angka Awang Adek benar, ke mana perginya sejumlah lebih RM10 juta lagi? Saya mendesak Ombak maupun Pemuda Umno Kelantan mengeluarkan kenyataan dalam isu ini.

Demikian juga dengan isu pendedahan 2 keping cek yang berjumlah RM 80,000 secara keseluruhannya atas nama Datuk Dr Awang Adek Hussein dan didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Kenapa terdapat transaksi wang yang sebegitu besar oleh sebuah syarikat yang berkepentingan ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Malaysia?

Isu ini didedahkan pada Ogos lepas dan sehingga ke hari ini masih belum terdapat sebarang penjelasan daripada Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ini. Di manakah Ombak dalam isu ini?

Juteru pada saya, Ombak hanyalah kuda tunggangan Umno dan Barisan Nasional untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu penyelewengan yang lebih besar membabitkan pemimpin mereka.

Dalam isu Lembah Sireh, saya yakin, penjelasan daripada kerajaan negeri tidak akan diberikan liputan oleh media massa milik mereka kerana motif sebenar Ombak mahupun Umno hanyalah untuk menutup mata rakyat daripada melihat hakikat yang sebenar.

Sekian.

Salam hormat,
ABDUL LATIFF BIN ABD RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Lelaki janji tunang 5 wanita

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

BUKTI…Nina dan Wani yang menjadi mangsa lelaki kasanova menunjukkan laporan polis mereka.

SEGAMAT: Kelicikan seorang lelaki yang memperdaya puluhan wanita dikenalinya melalui laman mencari jodoh sehingga dapat mengikis wang lebih RM100,000 terbongkar apabila seorang daripada mangsa curiga dengan kegagalannya hadir untuk majlis pertunangan mereka.

Hasil ‘siasatan’ mangsa itu yang mahu dikenali sebagai Wani, 28, amat mengejutkan apabila kekasihnya itu bukan saja berjanji untuk bertunang dengannya pada 26 Ogos lalu, tapi turut membuat janji serupa dengan empat lagi wanita lain.

Wani yang bekerja sebagai guru sekolah rendah berkata, dia menghubungi empat wanita itu yang mengaku senasib dengannya apabila wang mereka turut dikikis lelaki sama.
“Saya percaya dia ada tidak kurang 20 teman wanita yang semuanya dikenali menerusi laman web mencari jodoh sama. Setakat ini, saya dapat hubungi 10 daripada mereka dan empat dijanji untuk bertunang pada tarikh sama dengan tarikh pertunangan saya,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Wani, ketika berkenalan dengannya September tahun lalu, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Marzuki, 37, berasal dari Terengganu dan bekerja sebagai kontraktor.

Harian Metro

Taufan Sandy badai New York, musnahkan kota ikon AS

15 Zulhijjah 1433H
 
NEW YORK - Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kota raya New York dan menjadikan Sandy sebagai taufan paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga bandar raya yang menjadi ikon Amerika Syarikat itu terputus bekalan elektrik.

Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang kelmarin akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.

"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam kelmarin.

Dia yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu berkata, air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumah.
Dia yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya.

kosmo/-

Treler masuk rumah

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

REMUK...kepala treler muatan besi remuk teruk selepas merempuh  rumah, semalam.
REMUK...kepala treler muatan besi remuk teruk selepas merempuh rumah, semalam. 
 
PAPAR: Dua beradik yang tidur di ruang tamu rumah datuk mereka nyaris maut apabila sebuah treler membawa muatan besi merempuh kediaman itu di Kampung Kawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kedua-dua beradik berkenaan dikenali sebagai Gabriel Goldi, 4, dan adik perempuannya, Adigel Goldi, setahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut datuk mereka, James Majanau, 59, ketika kejadian dia berada di pekan Donggongon membeli kelengkapan rumah manakala dua cucunya berada di rumah bersama seorang pembantu.

“Saya dihubungi menantu mengatakan rumah dirempuh treler. Sebaik mendengar berita itu, saya bergegas pulang ke rumah.

“Sebaik tiba saya melihat sebuah lori treler muatan besi terperosok dalam rumah. Sejurus masuk ke dalam rumah, saya lega melihat cucu saya selamat bersama pembantu rumah.

metro/-

Stok makanan bertahan lima hari

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR - Taufan Sandy bukan sahaja memberi impak kepada warga Amerika Syarikat di New York tetapi juga menguji ketabahan kira-kira 2,700 rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di dalam kegelapan di rumah berikutan bekalan elektrik terputus sejak kelmarin manakala jalan raya pula digenangi air.

Daripada 2,700 rakyat Malaysia yang menetap di New York, seramai 1,200 orang adalah pelajar.
Antaranya ialah Nabilah Fahana Yahya, 21, pelajar Sistem Informasi di Institut Teknologi Stevens yang menetap di sebuah pangsapuri bersama tiga lagi rakannya, Nur Amirah Rahim, Suraida Alias dan Farah Nadia Muhammad Sabri.

Mereka kini bimbang mengenai bekalan air bersih serta stok makanan yang cuma bertahan lima hari.
"Kami tidak sempat untuk menyimpan stok air bersih yang secukupnya kerana terputus bekalan elektrik dan tidak menyangka taufan menjadi seteruk ini," kata Nabilah yang juga anak kelahiran Selangor menerusi e-mel kepada Kosmo! semalam.

Untuk hidangan semalam, dia hanya sempat memasak nasi dengan berlaukkan telur goreng.
Seorang lagi pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknologi Stevens, Muhammad Hazim Ab. Fatah pula menceritakan, dia serta rakannya yang lain menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kenalan di New York serta keluarga di Malaysia.

Katanya, ia disebabkan bekalan elektrik di kediaman mereka di New Jersey telah terputus sejak pukul 10 malam kelmarin.

kosmo/-

Iran dakwa peroleh gambar pangkalan Israel

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


TEHRAN, Iran (AP): Seorang ahli parlimen terkemuka Iran mengatakan Tehran mempunyai gambar-gambar pangkalan tentera Israel. Gambar tersebut diambil oleh pesawat tanpa pemandu (gambar) Hezbollah yang salah satunya dijatuhkan oleh Israel awal bulan ini.

Ismaeil Kowsari juga mengatakan Hizbullah yang disokong Iran mempunyai pesawat tanpa pemandu buatan Iran yang lebih canggih daripada pesawat yang telah  dijatuhkan Israel, iaitu pesawat tanpa pemandu yang boleh membawa senjata.

Komen Kowsari adalah dakwaan pertama oleh Iran bahawa negara tersebut mempunyai imej pangkalan tentera Israel dari pesawat tanpa pemandu, melalui transmisi secara langsung semasa misi penerbangan ke ruang udara Israel.

Komen beliau telah disiarkan Isnin lalu oleh agensi berita separa rasmi, Mehr.

Iran mendakwa bahawa pesawat tanpa pemandu pengawasan buatan Iran telah membuat puluhan penerbangan yang  tidak dapat dikesan ke ruang udara Israel dari Lebanon sejak beberapa tahun lepas.

Seorang pegawai Israel menolak dakwaaan Kowsari.  Beliau bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tentera Israel masih menyiasat kes tersebut.

harakah/-

Pelajar USM cedera jatuh dari tingkat tujuh asrama

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

PELAJAR diserang histeria cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok asrama di USM, George Town semalam.

PELAJAR diserang histeria cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok asrama di USM, George Town semalam.
GEORGE TOWN – Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat tujuh sebuah bangunan asrama universiti itu semalam.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan ditemui rakan sebiliknya di atas bumbung tempat letak kereta di blok asrama terbabit dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pukul 11.30 pagi.

Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama itu dikatakan sering dilihat mengasingkan diri dan murung. Mangsa juga didakwa kerap mandi dan berbogel ketika berada di dalam bilik.

Kejadian menimpa pelajar itu disedari rakan sebiliknya yang ketika itu berada di luar dan terkejut apabila dia tiba-tiba terdengar satu objek terjatuh dari arah tingkap biliknya.

Tingkap bilik tersebut semasa kejadian terbuka luas.
Difahamkan pelajar jurusan pengurusan itu terlibat dalam sebuah kumpulan ajaran yang belum diketahui statusnya.

Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu dipercayai mengalami histeria semasa kejadian.

Menurut beliau, dia sebelum ini pernah direhatkan selama beberapa bulan daripada pengajian di universiti itu berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

Mangsa didakwa hanya menyambung semula sesi pengajiannya pada minggu lalu.

“Pelajar terbabit masih dalam keadaan kritikal dan tidak boleh bercakap. Polis masih menunggu laporan kesihatannya bagi melengkapkan siasatan,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Kosmo


TGNA antara pemimpin yang paling sihat

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



Tok Guru Nik Aziz (TGNA) berkata di Kelantan semalam yang beliau tidak akan meletakkan jawatan dan berundur kerana desakan dari pihak-pihak yang tidak kena mengena dengan PAS. Beliau akan berundur jika desakan itu datangnya dari PAS.

TGNA mengulas desakan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, yang meminta TGNA berundur kerana kesihatan beliau tidak membolehkan beliau mentadbir negeri Kelantan.

TGNA berkata beliau akan hanya mempertimbangkan untuk berundur jika PAS mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dan jawapan TGNA ini kepada saya adalah jawapan yang tepat dan benar.

Di Kelantan yang menentukan siapa yang menjadi MB itu adalah PAS kerana rakyat Kelantan telah memandatkan PAS untuk mentadbir negeri Kelantan sejak tahun 1990 dahulu dan parti-parti serta pihak-pihak yang lain tidak ada hak untuk menuntut beliau meletakkan jawatan itu.

TGNA adalah seorang MB dan Ketua yang diberikan tugas untuk memantau kerja-kerja dan tanggungjawab pelaksana, iaitu pegawai-pegawai kerajaan negeri dilaksanakan dengan baik dan telus. Bagi saya TGNA adalah benar-benar seorang MB yang difahami dalam erti kata yang sebenarnya.

Beliau tidak masuk campur di dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan tetapi ‘accountable’ terhadap apa yang dilakukan oleh pihak pelaksana iaitu pegawai-pegawai dan penjawat awam di negeri itu.

Beliau tidak bersekongkol dengan pelaksana yang rasuah seperti yang dilakukan oleh MB-MB di negeri-negeri tadbiran UMNO. Banyak negeri-negeri tadbiran UMNO pelaksana dan penggubal dasar termasuk Menteri-Menteri Besar nya mengarah dan masuk campur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan ia telah membawa kepada kegiatan korupsi yang meluas.

Jika penggubal dasar terutamanya MB hanya mengambil tugas sebagai pemantau kepada perlaksanaan dasar-dasar yang telah di gubal dengan baik,  maka budaya rasuah tidak akan berlaku dengan mudah.
 
Jika menteri-menteri melaksanakan tugas yang sepatutnya dilakukan tidak mungkin rasuah berlaku dalam kadar yang sangat membimbangkan sehinggakan rakyat sudah hilang  kepercayaan mereka kepada penggubal dasar yang diberi mandat oleh mereka.

Bagi TGNA beliau telah memberikan jawapan dengan betul. Yang penting ialah kesihatan pemikiran bukan setakat sihat tubuh badan. Jika pemikiran seorang MB seperti TGNA itu masih sihat,  tidak ada apa masalah untuk terus menjadi MB dan pihak UMNO, Perkasa  atau pihak-pihak lain tidak berhak untuk membuat tuntutan untuk beliau berundur.

Ramai pemimpin di dalam UMNO itu masih sihat tubuh badan mereka tetapi pemikiran mereka telah uzur. Jika mereka masih mempunyai pemikiran yang tidak uzur, segala rasuah dan salah guna kuasa tidak akan berlaku. Pemimpin yang rasuah itu melambangkan pemikiran yang tidak sihat.

Jika pemikiran mereka sihat mereka akan tahu yang rasuah itu salah dan pemikiran yang sihat akan memberitahu mereka yang rasuah itu amat bersalahan dengan syariat agama dan satu dosa yang amat besar di sisi Tuhan.  Itu sebabnya saya berulangkali mengingatkan semua yang pemakan rasuah itu sama lah seperti orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Bagi saya TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat kerana beliau masih mempunyai pemikiran yang kuat untuk memberitahu beliau dan kepimpinan beliau itu yang rasuah itu adalah kesalahan besar. 
Sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNO lah yang sudah uzur kerana tidak dapat menahan dari melakukan rasuah besar-besaran.

Pemikiran TGNA masih terlalu sihat kerana beliau tidak mahu tunduk kepada desakan untuk membuat kekayaan dan duduk di rumah-rumah yang besar dan berglamor. TGNA masih sihat pemikiran beliau kerana beliau tidak membelikan isteri beliau cincin yang puluhan juta harganya.

TGNA tidak menggunakan wang rakyat untuk membayar bil kenduri perkahwinan anak beliau dan tidak berbelanjakan wang rakyat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi beliau. TGNA tidak terlibat dalam isu ber‘dating’ dengan teman wanita dengan membayar wang sejumlah ratusan ribu ringgit setiap kali ber’dating’ seperti yang dilakukan oleh seorang Menteri Persekutuan. Setakat yang kita semua tahu TGNA tidak ada teman wanita di luar rumah.

Pemikiran TGNA masih sihat kerana beliau tidak pergi berpeleseran di pusat-pusat karaoke dan membayar GRO-GRO dengan menggunakan wang rakyat dan beliau tidak pernah pun pergi bersukaria di pusat-pusat hiburan tempatan atau antarabangsa.

TGNA tidak seperti seorang MB yang kurang sihat pemikirannya yang terlibat dengan jenayah menghantar wang sebanyak RM10 juta ke-London melalui sebuah pengurup wang yang begitu ‘dubious’ kedudukannya.

Jika kita timbang-timbang dengan secebis tulisan saya ini kita boleh membuat andaian yang ‘conclusive’ yang TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat dan belum uzur lagi. Disebaliknya pimpinan BN dan UMNO lah kumpulan pemimpin yang telah uzur kerana mereka tidak dapat menggunakan pemikiran mereka untuk menentukan yang mana satu yang tidak baik dan yang mana satu yang baik untuk dilakukan atau untuk tidak dilakukan.

Oleh kerana keuzuran pemikiran pimpinan BN dan UMNO inilah yang menyebabkan kerajaan pada hari ini menjadi persoalan besar oleh rakyat jelata.

Bagi saya, secara peribadi TGNA perlu terus bertanding dalam PRU ini kerana tidak ramai lagi pemimpin yang masih sihat seperti TGNA dan Tok Guru Hadi Awang dan beberapa orang pimpinan besar dalam DAP dan parti-parti yang lain. Mereka ini masih sihat kerana tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Pendeknya kalau kita hendak tahu mana satu pemimpin yang masih sihat ialah mereka yang belum terlibat dengan banyak dosa dan noda yang memercukan syariat agama dengan sesungguhnya.

Sesiapa yang tidak memercukan syariat yang diperintah Tuhan itu adalah mereka yang tidak sihat dan perlu direhatkan untuk membina kembali kesihatan mereka mengikut sudut agama dan syariat agama yang kita anuti.

Salah satu dari sebab PAS mendapat sokongan ramai hari ini ialah kerana kesihatan kepimpinan dan pemikiran pemimpin mereka. Kerana kesihatan pemikiran mereka itulah rakyat sedang berlumba-lumba untuk menyokong pemimpin-pemimpin yang sihat sekarang ini.

harakahdaily/-

Marilah kita hukum MCA dan Umno pada PRU13

15 Zulhijjah 1433H. [MOD]



PAS Selangor melihat MCA sebagai sebuah parti politik yang sedang diancam kepupusan. Oleh itu mereka sedang bekerja keras untuk membuktikan relevensi mereka kepada masyarakat, khususnya masyarakat keturunan Tiong Hua, melalui isu sensasi dan kontroversi.

Di antara isu sensasi adalah persoalan hutang Talam yang telah berjaya dipungut balik oleh kerajaan PR Selangor tetapi diputar belit sebaliknya sebagai usaha ‘bail-out’ untuk syarikat kroni PR. Sedangkan semua tahu, dari sudut kronisma, Talam telah dibenarkan berhutang sebanyak RM372 juta pada zaman pemerintahan BN kerana mereka merupakan syarikat kroni BN.

Rakyat Selangor telah mendapat manfaat dari pengambil balik hutang dari Talam melalui pinjaman mikro-kredit SkimSel dan MIMBAR yang dibiayai oleh sebahagian dari duit yang diperolehi dari Talam.

PAS Selangor juga hairan mengapa isu ini tidak dibawa oleh ADUN BN, 18 dari mereka dari UMNO, di dalam DUN. Sebaliknya ia dibawa oleh wakil MCA yang bukan ADUN tetapi Ahli Parlimen sambil yang di DUN diam seribu bahasa. Pada masa yang sama ianya juga tidak merupakan isu yang dibahas semasa AGM MCA dan ini membuktikan ianya hanya sandiwara untuk tatapan awam.

Isu terbaru adalah kenyataan provokasi terhadap PAS dan ajaran agama Islam. Walaupun cuba diselindungi dengan mengatakan kritikan ditujukan kepada PAS dan bukan terhadap Islam itu sendiri, hakikatnya aspek yang dipertikaikan adalah berhubung ajaran Islam khususnya perlaksanaan undang-undang hudud. Ianya ditokok-tambah pula dengan fitnah melampau berhubung kebenaran merogol wanita bukan Islam dan kebenaran berkongsi isteri.

PAS Selangor menyedari ini adalah usaha terdesak pihak MCA untuk melonjakkan imejnya di kalangan masyarakat Tiong Hua dengan kononnya ‘bertindak berani’ menegur PAS.

PAS sedar pandangan MCA tidak mewakili pandangan masyarakat Tiong Hua dan yakin taktik murahan MCA tidak akan mencapai hasrat seperti yang diinginkan mereka. Sebaliknya ianya merupakan jenis politik murahan yang akan ditolak oleh masyarakat Tiong Hua yang secara umumnya menghormati agama Islam dan tidak ingin campur tangan dalam soal ajaran-ajarannya.

Pada masa yang sama, ianya merupakan ‘red herring’ atau sesuatu yang menarik perhatian masyarakat sehingga lupa akan isu sebenar yang berada di hadapan mereka. Persoalan yang berada di hadapan masyarakat ialah persoalan pemilihan kepimpinan yang baru yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan kronisma.

Pendedahan demi pendedahan berhubung persoalan rasuah dan kronisma tidak mampu ditangani mereka maka taktik ‘red herring’ ingin mereka gunakan dan diharap dapat membantu mereka.

Melalui isu dan tuduhan provokasi, MCA juga mengharapkan PAS akan bertindak dan menjadikan isu hudud dan Negara Islam isu utama pilihan raya sehingga meminggirkan kehendak dan aspirasi masyarakat bukan Islam yang buat masa ini hanya ingin melihat kepimpinan yang bersih dan amanah. Ia dianggap berpotensi untuk menjadikan hubungan di antara parti-parti PR tegang dan menyulitkan kerjasama.

PAS Selangor juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO jugalah yang merupakan dalang di sebalik kenyataan MCA kebelakangan ini. Melalui kenyataan tersebut maka diharapkan ketegangan akan terhasil melalui mana UMNO dan BN boleh mendakwa ianya adalah kerana sikap dan pandangan PAS yang kononnya ekstrem. Dengan itu mereka boleh memujuk masyarakat Tiong Hua untuk kembali memberi undi kepada BN.

Oleh itu, PAS Selangor menyeru semua pihak, khususnya ummat Islam, untuk bertenang dan tidak bertindak melalui reaksi yang keterlaluan. Sebaliknya, marilah kita sama sama menghukum MCA dan UMNO dalam PRU ke-13 yang akan datang.

Apabila masyarakat Malaysia dibebaskan dari dikongkong pemimpin BN yang sering mengadu-domba rakyat, maka akan terhasil sebuah Negara yang benar-benar bersatu atas dasar saling hormat-menghormati dan pengiktirafan hak asasi setiap kaum dan bangsa. Ketika itu barulah keunggulan Islam mampu diserlahkan oleh ummat Islam.

harakahdaily/-
WaLlahu 'Alam









Lamunan nak kahwin

Lamunan nak kahwin15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Cinta mendalam, apatah lagi selepas dijanji untuk dijadikan isteri menyebabkan seorang wanita kerugian RM40,000 selepas diperdaya teman lelaki yang baru dikenalinya dalam tempoh sebulan.

Mangsa yang berusia 29 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada penghujung Julai lalu dan bermula Ogos hingga September lalu, dia memohon lima pinjaman peribadi daripada bank serta syarikat wang berlesen untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada teman lelakinya.

Sumber polis berkata, selain wang tunai, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut menyerahkan beberapa barangan berharga termasuk sebuah motosikal kepada lelaki berusia 30-an itu.

“Selepas menerima wang dan pelbagai barangan yang keseluruhannya bernilai RM40,000, suspek menghilangkan diri. Menyedari dia ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya, Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat mangsa memberitahu suspek berjanji untuk mengahwininya menyebabkan dia percaya lelaki terbabit menyintainya.

metro/-

Gadis nakal dicucuk garpu panas

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

JEMPOL: Marah terhadap adik iparnya berusia 16 tahun yang dikatakan nakal dan gemar bersosial, 

seorang lelaki ‘mengajar’ gadis itu dengan cara kejam apabila menyimbah remaja berkenaan dengan air panas, mencucuk dengan garpu panas serta melibas dengan rantai anjing di rumah mereka di Pekan Jelai, di sini. Ketua Polis Daerah Jempol, 

Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa yang sudah tidak bersekolah tinggal dengan kakaknya dan suspek berusia 40-an selepas kematian bapa manakala ibu mereka yang dikatakan pemabuk, sudah lama menghilangkan diri. Menurutnya, akibat berang dengan sikap mangsa yang dikatakan gemar bersosial serta sering pulang lewat ke rumah, suspek mencurah air panas ke paha mangsa sehingga melecur teruk,

 Sabtu lalu. “Mangsa yang kini masih dirawat di Hospital Jempol mendakwa dia juga dicucuk dengan garpu yang dipanaskan dan sebelum ini abang iparnya itu juga pernah memukulnya dengan rantai anjing. 

“Bagaimanapun, pihak hospital belum memberi laporan penuh kecederaan mangsa yang belum dapat memberi keterangan terperinci berikutan masih trauma,” katanya. Hamzah berkata, polis menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 10 malam kelmarin, iaitu kira-kira setengah jam selepas polis menerima laporan kes berkenaan daripada Ketua Kampung Pekan Jelai yang prihatin nasib mangsa. 

Menurutnya, suspek direman tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan dan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Sementara itu, dalam kes berasingan seorang penganggur lelaki berusia 44 tahun ditahan reman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes mencabul kanak-kanak berusia empat tahun, Sabtu lalu. 

Menurutnya, dalam kejadian di Felda Palong 1, dekat sini, bapa mangsa membuat laporan polis selepas mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan ketika mereka mahu pulang ke Seremban selepas menyambut Aidiladha di kampung itu. 

 “Kanak-kanak itu yang juga anak kedua daripada tiga beradik kemudiannya dirujuk ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan dan suspek yang juga jiran nenek mangsa, ditahan kira-kira jam 8 pagi (kelmarin) di rumahnya,” katanya. Hamzah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. 

Harian Metro