21 October 2012

Piala Malaysia: Presiden PAS ucap tahniah

5  Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan di atas kejayaan menjadi juara Piala Malaysia malam tadi.


“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin ke arah meningkatkan prestasi bola sepak negara ke peringkat antabangsa di masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang menjadi naib johan dan diharapkan prestasi akan terus meningkat di masa hadapan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan The Red Warriors yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia buat kali kedua kepada negeri itu.

Katanya, rakyat Kelantan berbangga dengan kemenangan ini dan meminta para penyokong meraikan kemenangan ini dengan seadanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada penyokong bola sepak Kelantan agar berhati-hati di jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Untuk pasukan ATM, tahniah kerana berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir," katanya di laman facebooknya sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan malam tadi,

Hari ini, Kelantan mengumumkan cuti peristiwa dan ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu.

Kelantan akhirnya membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan 'treble' musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Pada Piala Malaysia 2010, Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bukit Jalil.

Kelantan julang Piala M'sia, lengkapkan trebel

5  Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Kelantan melakar kejayaan cemerlang apabila menjulang Piala Malaysia 2012 setelah menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira pasukan 'The Red Warriors' apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa 90 minit.

Kemenangan bersejarah itu sekali gus melengkapkan kejuaraan trebel buat pasukan Kelantan selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini, iaitu sesuatu yang kali terakhir dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali.

Barisan pemain ATM, yang digelar skuad 'The Gladiators' ternyata gagal menyekat kemaraan pasukan Kelantan sekali gus melepaskan peluang menebus kehampaan mereka di pentas final sulung 46 tahun lepas apabila tumpas 0-1 kepada Selangor.

- Bernama

Musa nafi panggil sidang media kes Altantuya di Bangkok

5  Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Malaysiakini/-

Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan menafikan dakwaan bahawa beliau akan mengadakan sidang akhbar di Bangkok pada hari Isini, seperti yang dimuatkan di laman Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT).

Menurut FCCT, Musa kononnnya akan mendedahkan butiran baru mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Saya tida tahu apa-apa mengenai perkara ini. Saya tidak membuat apa-apa rancangan seperti itu," kata Musa ketikha dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini dimaklumkan mengenai satu notis yang dimuatkan oleh FCCT kepada anggotanya, bahawa sidang media Musa akan diadakan di ibu pejabat kelab tersebut.

Notis itu menyebut, sidang media berkenaan akan diadakan pada tengahari waktu Malaysia pada 22 Oktober.

Jemputan itu bertajuk "Pendedahan baru dalam kes pembunuhan Altantuya" dan mengandungi notis bahawa acara berkenaan tidak ditaja oleh FCCT.