29 August 2012

Selangor anjur Malam Kemerdekaan ke-55 esok

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Sambutan Malam Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia peringkat negeri pada malam esok, 30 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula pada jam 8.30 malam.

“Saya bagi pihak barisan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55, dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-49 kepada seluruh bangsa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, pelbagai acara disediakan kepada orang ramai antaranya perbarisan dan perarakan 56 kontinjen yang terdiri daripada pasukan tentera, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kita juga menyediakan persembahan kebudayaan dan keseniaan serta persembahan istimewa iaitu kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan menyampaikan ucapan sempena sambutan kali ini.

Tambahnya, tema bagi sambutan tahun ini sama dengan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

Justeru, ujarnya orang ramai khususnya rakyat Selangor dijemput datang bagi memeriahkan sambutan itu.

harakahdaily/-

Patutlah Mahathir begitu mudah tolak hudud!!

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Kalaulah Mahathir senang-senang mengeluarkan kenyataan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan yang menyalahi syariat Islam seperti kata Datuk Haron Din, maka senang-senanglah juga Mahathir menolak hudud dulu dan kini. Mahathir tak ambil kira sangat sangat apa yang nak ditulis dan dikatanya.

Terkini Mahathir berkata dia tolak hudud PAS dan bukannya hudud Islam. Hanya kata-kata seorang yang tidak sukakan hudud dan tak mahu hukum Islam ditegakkan. Kalau dia cintakan hudud pasti lain yang dia ungkapkan.

Malaikat dan syaitan, ikuti penjelasan Dr Haron Din;

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang merosakkan akidah dirinya dan umat yang percaya kepada kata-katanya.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, tulisan Dr Mahathir dalam blognya berbunyi Better the devil you know than the angel you don’t yang membawa maksud lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak dikenali’ adalah pegangan yang silap.

Menurutnya, tiada istilah atau ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan.

“Malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan. Kenyataan (Dr Mahathir) itu seolah-olah ada malaikat yang lebih teruk daripada syaitan.

“Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk ALLAH yang paling kejam dan derhaka.

Selain itu, sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dalam tempoh yang lama, adalah tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah ALLAH,” katanya. -SinarHarian


Malang harimau bintang

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KAKI harimau ini tertusuk besi pagar menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri.
DOKTOR memberikan rawatan segera ketika harimau berkenaan masih pengsan akibat ubat pelali.
DOKTOR memberikan rawatan segera ketika harimau berkenaan masih pengsan akibat ubat pelali.

NEW DELHI: Seekor harimau bintang meraung kesakitan apabila satu daripada kakinya tercucuk besi ketika cuba melompat pagar sebuah kilang di Mysore, lapor media semalam.

Menurut saksi, harimau kumbang itu dipercayai memanjat pagar besi setinggi kira-kira tiga meter.

Bagaimanapun, ia tergelincir dan kaki belakangnya tertusuk besi pagar itu, menyebabkan dia terperangkap dan tidak boleh ke mana-mana.

Harimau bintang berusia empat tahun itu dilihat orang ramai yang melalui kawasan berkenaan pagi semalam.


Tindakan menyelamat segera dibuat sebaik saja pihak berkuasa dimaklumkan mengenai insiden itu.

Disebabkan liar, pihak berkuasa terpaksa menembak bius ke badan harimau bintang itu bagi melemahkannya dan membolehkan operasi menyelamat dijalankan.

Kakitangan veterinar terpaksa menggunakan jaring besar sepanjang operasi menyelamat itu.

Ketika masih pengsan, harimau bintang itu dibawa ke hospital berhampiran dan doktor segera menjahit lukanya.

Kejadian semalam adalah insiden ketiga membabitkan harimau bintang dilaporkan di kilang berkenaan.

Menurut pegawai perhutanan setempat, mana-mana haiwan yang cedera akan dirawat sebelum dibebaskan semula ke hutan.

Sementara itu, akhbar tempatan melaporkan, doktor veterinar mendapati luka di kaki harimau bintang itu hampir terkena perutnya.

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak membimbangkan.

Haiwan itu dijangka pulih sepenuhnya tidak lama lagi. - DM

D.Dinesh Tak bersenjata, Tapi Polis Tembak Berkali-kali – Saksi

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Petaling Jaya: Saksi tembakan rambang polis ke atas ahli perniagaan, D Dinesh, 26, memberitahu, mangsa tidak memiliki senjata ketika dikepung, juga tidak menyerang polis sebelum dia ditembak mati.

Mosas Kanesan, 23, yang berada beberapa meter di belakang Dinesh mendedahkan, ketika mangsa dikepung, polis preman melepaskan beberapa tembakan hingga terkena leher mengsa.

Menurutnya, pada kejadian 21 Ogos lalu itu, Dinesh yang merupakan anak bongsu ditembak sekumpulan anggota polis terbabit ketika dalam perjalanan untuk makan malam bersama enam lagi rakannya.

Beliau berkata, dua buah kereta Proton Wira dan Waja mengekori mangsa sebelum menyekatnya di hadapan lampu isyarat berhampiran Ampang Waterfront.

“Saya berada selang satu kereta di belakang mangsa. Ketika itu lampu merah. Tiba-tiba kereta Dinesh disekat. Ada seorang keluar dari salah satu kenderaan.

“Dinesh kemudian keluar dari keretanya dan ketika tembakan dilepaskan, mangsa berlari semula ke kereta. Lelaki itu terus melepaskan tembakan rambang.

“Saya terus memecut tetapi satu peluru terkena kereta saya. Cara dia menembak, kelihatan seperti mahu membunuh seseorang.

Jika saya tahu mereka adalah polis, saya tidak akan lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; Ahli Parlimen Subang R Sivasara; Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan beberapa anggota keluarga Dinesh.

Versi polis

Polis bagaimanapun mendakwa dalam kejadian jam 2.00 pagi itu, mangsa dan beberapa rakan lain cuba meyerang polis menggunakan parang dan besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi mendakwa, mangsa adalah anggota kumpulan Geng Viva Nanda 36 diburu polis berikutan terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan kumpulan lain di kawasan Flat 700, Pandan Indah.

Nazri mendakwa, pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek terbabit susulan laporan mengenai pergaduhan bersenjatakan parang di flat berkenaan hingga mencederakan tiga individu.

Dakwa Nazri lagi, dua kereta terbabit berjaya dihalang dan dikepung namun sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan itu dan cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan parang, besi dan buluh.

Akibat tembakan itu, Dinesh dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum meninggal dunia dua hari kemudian selepas mengalami pendarahan otak. Dalam kejadian itu polis menahan empat lelaki.

Dinesh tak pernah terlibat jenayah

Seorang lagi saksi, Y Ilavarasen, 24, yang berada dalam kereta berlainan, menolak dakwaan kononnya Dinesh adalah kumpulan Geng Viva Nanda 36, sebaliknya menegaskan mangsa merupakan remaja yang baik dan tidak pernah terlibat jenayah.

Ilavarasen berkata, pada malam kejadian, mereka merancang untuk makan malam di sekitar Ampang selepas mendapat panggilan daripada Dinesh.

“Kami belum memutuskan untuk makan di mana. Mungkin di Restoran Steven Corner. Kami hanya mengekori kereta Dinesh untuk ke sana,” katanya.

Bapa mahu pembunuh dihukum setimpal

Sementara itu, bapa Dinesh, W Darmasena menggesa polis melakukan siasatan kematian anaknya dan mahu pembunuh tersebut diheret ke muka pengadilan.

“Saya mahukan keadilan untuk anak saya! Saya mahu mereka yang menembak anak saya dikenakan hukuman setimpal,” katanya. -KD

Mati tertimbus dalam liang lahad

10 Syawal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Seorang penggali kubur menemui ajalnya selepas tertimbus selama kira-kira lima minit di dalam liang lahad yang digalinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak dekat Mentakab di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, Zailan Hamid, 40, sedang menggali tiang lahad untuk mengebumikan seorang penduduk kampung, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira empat jam sebelum itu.

Rakan sekampung mangsa, Nizri Bakar, 57, berkata, sebelum kejadian, Zailan yang sudah 10 tahun berpengalaman menggali kubur bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nasir Musa, 44, berada di dalam kubur tersebut bagi menyudahkan liang lahad yang akan menempatkan jenazah Minah.

"Dalam keadaan berdiri, Zailan dan Nasir melakukan kerja-kerja terakhir membaiki liang lahad namun tanpa diketahui puncanya kubur tersebut tiba-tiba tertimbus dengan tanah yang berada di tebing kubur hingga menutupi badan Zailan," kata pemuda itu.

Bagaimanapun, Nasir bernasib baik kerana runtuhan tanah tersebut tidak menimpa badannya.

Nizri memberitahu, Zailan terkambus sedalam kira-kira setengah meter dan semasa itu hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar dari timbunan tanah.

"Melihat kejadian tersebut, saya menjerit meminta tolong kawan-kawan yang sedang berehat di kawasan kubur," kata Nizri.

Tambah Nizri, mereka kemudian beramai-ramai menggali kubur itu semula menggunakan tangan tanpa cangkul kerana takut akan mencederakan kepala dan badan mangsa yang tertimbus.

kosmo/-

Samad: Saya pernah undi, akan undi PRU13

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mengaku beliau pernah mengundi dalam pilihan raya umum dan akan berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sasterawan Negara ini berkata, sebelum ini ramai yang mempersoalkan statusnya sama ada pernah mendaftar sebagai pengundi ataupun sebaliknya, tetapi tidak memberi sebarang ulasan bagi memberi ruang kepada pihak terlibat memeriksa statusnya.

“Ya, saya sudah daftar sebagai pengundi. Sebelum ini saya sengaja tak jawab kerana mahu pihak yang meragui itu buat semakan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkatam beliau akan menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU13.

"Sudah tentu saya akan turut serta mengundi seperti yang saya perjuangkan dalam Bersih. Tidak ada sebab saya tidak turun mengundi,” katanya yang dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0 selepas perhimpunan tahun lalu.

Samad menjadi sasaran beberapa pihak tentang statusnya sejak menyertai perhimpunan Bersih Julai 2011 dan menjadi 'ikon politik' generasi muda.

Bersih 2.0 menuntut sistem pilihan raya bebas dan adil, antara lain berkenaan dengan daftar pemilih dan pendaftaran pengundi termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

sinar harian/-

'Saya hanya tukar parti bukannya tukar agama', kata Tamrin

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – “Saya hanya tukar parti bukan tukar agama” tegas bekas pemimpin Umno, Datuk Tamrin Ghafar yang menyertai Pas 11 Ogos, lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba yang kesal terhadap keputusannya keluar dari Umno dan menyertai Pas.

Katanya, terdapat pemimpin Umno lain bertindak keluar parti ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Antaranya, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Malah, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn juga keluar Umno dan meninggal.

“Dan, arwah abah (Tun Ghafar Baba) hampir keluar Umno dan tubuhkan parti baru,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, ahli keluarga Tun Ghafar melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan yang diambil Tamrin.

Adik Tamrin, Datin Zainon Ghafar, berkata, beliau tidak nampak alasan terbaik buat abangnya untuk keluar dari Umno.

Menurutnya, Tamrin sepatutnya lebih matang dalam membuat keputusan kerana Umno telah banyak berjasa kepadanya hingga beliau menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek.

sinar harian/-

FGV: Dari haramjadah ke makhluk perosak

10 Syawal 1433H. [MOD] -

PM Najib buat hal lagi. Mahu menipu peneroka. Tapi mungkin jugak pemimpin UMNO bersangkaan peneroka amat mudah ditipu. Maklum sahajalah- peneroka. Habis kuat ada sijil SRP- Sijil Rendah Peneroka. Terror sikit ada STPM= Sijil Tinggi Peneroka Malaysia. Inilah peneroka yang dimuliakan. Barisan depan transformasi ekonomi Najib.

Kali ini dia kata Felda akan membiayai keseluruhan pembelian saham oleh peneroka. Apa pasal sekarang baru hendak umumkan? Mengapa tidak ketika saham belum disenaraikan? Apa sebab borang pinjaman bank ketika itu diedarkan ke seluruh kawasan Felda?

Sebab baru sekarang dia sedar peneroka bersungut. 810 unit saham rupa2 nya kena beli oleh mereka.

Borang pinjaman bank dalam Bahasa Inggeris diedarkan sebelum FGVH disenaraikan. Yuran pinjaman RM200. Setiap keluarga yang beli 810 unit kena bayar RM4.55 x 810= 3685.50. takpe, sebab bank pinjam penuh 100%. Lagi pun setelah 6 bulan dijual, peneroka tak rugi apa apa.

Harga hari ini ialah RM5.02. tak sampai 6 bulan pun. Najib dah panik. Hendak menyampai 6 bulan, takut saham turun rendah dari harga senarai RM4.55 seunit.

Rupa2 nya peneroka dok pakat ramai2 jual saham. Mereka pun pandai dan bijak rupa nya. Baik jual sebelum harga jatuh. Nanti kena bayar RM50 sebulan tak pasal pasal.

Pada harga RM5.02 bermakna premium sebanyak RM0.47. atau 47 sen. Banyak tu. Dengan 810 unit saham yang dia ada, peneroka dapat RM380.70 sen. Tolak RM200, dapat untung bersih sebanyak RM180.70. Ya Rabbi. Ya Ampuun. Syukur kepada UMNO BN. Hidup Najib yang telah memberi kami RM180.70 kerana kami peneroka. Mana ada pemimpin murah hati macam ini dalam dunia. Malaysia boleh.

Gostan kata Najib. Mampuih aku macam ini. kalau peneroka hanya untung RM180, mereka akan bunuh kita. Sembunyikan C4 semua!

Elokah kita menipu mereka sekali lagi ya PM kata Isa Samad. Macam mana? Kita biayai pembelian saham tersebut. Kita suruh dia orang bayar RM50 je sebulan. Setahun baru RM600. Cara demikian, peneroka yang bodoh tu sangka, mereka dapat durian runtuh. Kita akan kata mereka dapat saham 810 percuma. Situ dah ada nilai RM3,645.50. campur untung hari ini sebanyak RM380.70, untung besar sebanyak RM4,026.

Kita buat gitu je. Peneroka bukan cerdik sangat. Dapat RM4,000 tentu mereka suka. Jilat bontot den pun dia oghang mau punya.

Jadi apa yang sudah Najib lakukan? Pertama rasuah pendahuluan sebanyak RM15,000 setiap keluarga. Ertinya, kerajaan berbelanja sebanyak RM15,000 x 112, 635= RM1.6895 billion. Kerajaan tidak cop duit. Mereka kena pinjam dari bank. Mungkin ini yang meyebabkan kerajaan menanggung hutang yang sudah mencecah 55% dari KNK. Ini tahap yang dibenarkan oleh parlimen.

Kemudian, kerajaan Najib beri bonus raya sebanyak lebih kurang RM383 setiap keluarga peneroka. Ini bermakna kerajaan belanja lagi sebanyak RM380 x 112,635= 43 juta.

Nah sekarang Pak Najib mahu biayai semua pembelian saham tersebut. Jumlah saham yang dikeluarkan untuk peneroka ialah 91.2 juta unit saham. Jika seunit harganya RM4.55, kerajaan terpaksa belanja 91.200,000 x 4.55= 414.960 juta. Wah banyak tu.

Jadi kita ulang sekali lagi. Najib terpaksa berbelanja sebanyak:-

· RM1,680 juta( rasuah pendahuluan).

· Bonus raya = 43 juta.

· Pembiayaan penuh RM415 juta.

Haramjadah punya peneroka. Aku terpaksa belanja RM2.138 billion semua nya. Kalau tak dapat undi jugak, terpaksalah kita berhimpunan agong di Sungai Buloh nampaknya tahun hadapan.

Apa yang nak dirisaukan? Bukan kah Felda mendapat pulangan sebanyak RM5.99 billion dari penjualan saham FGV?

Hmm.cuba lihat. Kalau tolak RM2.14 billion dari hasil ini, Felda tinggal baki sebanyak RM3.85 billion. Bayar hutang EPF sebanyak RM3 billion, baki nya 850 juta. Mampuih Felda. Kos menampung Felda setiap tahun ialah RM3 billion.

Sewa tanah 360,000 hektar kat FGV selama 99 tahun ialah RM698/hektar. Situ dah ada 251.2 juta. Ok lah tu. Kongsian tetap dari hasil perniagaan FGV. Juta juta. Biliun biliun, pasti cukup punya.

Celaka betul. Mengapa RM698/hektar? Boustead sewa ladang pada harga RM3500/hektar.

harakahdaily/-

30 buah rumah di Mak Mandin rosak dipukul ribut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Tiga puluh buah rumah di perumahan Mak Mandin Hijau di sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian hujan lebat semalam.

Dalam kejadian pada 9.30 malam itu, lapan buah rumah daripada keseluruhan kediaman yang terlibat rosak teruk kerana bumbung rumah mereka turut diterbangkan angin kencang.

Seorang mangsa, Zainab Md Zain, 57, berkata semasa kejadian dia berada di dalam rumah apabila tiba-tiba berlaku hujan lebat serta ribut sehingga bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin dan bahagian dalam rumah pula dimasuki air hujan.

Katanya dalam keadaan takut, dia bersama empat anak memunggah barangan ke bahagian ruang dapur bagi mengelak daripada basah dan rosak.

"Apa yang boleh saya kata ribut kali ini antara yang teruk berbanding sebelumnya dan bahagian atas rumah yang dijadikan ruang tamu dan bilik tidur tidak lagi boleh digunakan," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, K.Valli, 70, berkata ketika kejadian dia bersama anak, menantu dan seorang cucu perempuannya sedang berehat di bilik masing-masing selepas menonton televisyen.

Katanya kira-kira pukul 9.30 semalam, dia terdengar deruman angin kencang diikuti kerangka bumbung tiba-tiba bergoyang dan pada masa sama kepingan bumbung di ruang tamu mula tercabut satu persatu, menyebabkan mereka segera keluar menyelamatkan diri.

Bagi M.Thivuselvi, 20, kejadian ribut itu hampir mencederakan dia dan anggota keluarganya yang lain.

"Saya bersiap untuk tidur selepas berbual dengan emak di ruang tamu apabila tiba-tiba bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin.

"Kami kemudian bergegas mencari plastik untuk menutup peralatan eletrik daripada ditimpa air hujan namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana bumbung telah jatuh ke dalam rumah kami sebelum bergegas keluar selepas mendapati kepingan asbestos semakin banyak pecah dan jatuh," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku kira-kira 30 minit itu mendapat perhatian segera Penyelaras Parlimen Bagan David Chua Teik Siang yang melakukan lawatan dan menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban penduduk.

Ketika ditemui, Chua berkata pihaknya turut memaklumkan kejadian itu kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara Abdul Rahim Mohd untuk mengambil tindakan segera membantu penduduk yang terlibat.

Dalam masa sama, beliau turut menghantar permohonan kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan bagi memohon bantuan di bawah kategori bencana dan sementara menantikan permohonan itu diluluskan, beliau mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membantu mangsa terlibat.

"Saya harap penduduk bersabar kerana kita turut mengusahakan pelbagai bantuan lain untuk membantu meringankan beban mereka," katanya. - Bernama

TGNA Kepada Fathul Bari: Mari Bersemuka Dengan Saya, Tak Perlu Bersurat-surat!

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Tidak payah guna surat untuk mengajak saya berbincang isu hudud ini. Siapa dia, saya tidak kenal dia, dia pun tidak kenal saya. Demikian luahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung surat rasmi dihantar Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya kepadanya bagi membincangkan isu hudud.

Nik Aziz mempertikaikan tindakan Fathul Bari yang disifatkan lebih gemar membuat bising di akhbar mengenai surat rasmi tersebut.

Beliau berkata, sewajarnya Fathul Bari perlu bersemuka secara terus dengannya sekiranya ikhlas untuk membincangkan isu hudud secara terperinci dan bukannya membuat kecoh dalam media arus perdana itu.

“Kalau dia (Fathul Bari) hendak jumpa saya, dia patut jumpa saya secara seorang tidak payah buat bising dalam surat khabar,” katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Selain itu, Nik Aziz berkata, sehingga kini beliau sendiri belum menerima dan membaca lagi isi kandungan surat rasmi itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Ilmu telah menghantar surat rasmi untuk bertemu Nik Aziz bagi tujuan membincangkan isu hudud secara serius dan profesional, bukannya bertikam lidah.

Dalam laporan itu, Pengerusinya, Fathul Bari berkata bagaimanapun pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada Nik Aziz. -SH

Bot terbakar, rugi RM170,000

10 Syawal 1433H. [MOD] -

PERLIS – Hasrat seorang nelayan untuk ke laut tidak kesampaian apabila bot miliknya terlibat dalam satu kebakaran di Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.

Kebakaran terbabit yang berlaku kira-kira jam 5.33 pagi berhampiran sebuah Restoran Ikan Bakar di situ melibatkan tiga buah bot.

Pemilik, Shahbani Desa, 42, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang dikejutkan dengan panggilan seorang rakan yang memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.50 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka bot miliknya akan terlibat dalam kebakaran memandangkan sebelum ini kejadian sebegitu tidak pernah berlaku sejak dia meletakkan botnya di Kuala Sungai Baru empat tahun lalu.

“Semasa rakan saya menelefon saya, ketika itu saya sudah berada di Alor Setar. Saya terus bergegas ke sini, namun bot saya sudah musnah terbakar.

“Cadangnya esok saya akan ke laut, memandangkan saya bercuti sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Nampaknya buat masa ini saya terpaksa berhenti seketika ke laut untuk membaiki semula bot saya yang pastinya memerlukan sejumlah kos yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Kuala Perlis, Mohamad Abu berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, operasi itu melibatkan satu jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba Perlis dan api dapat dipadamkan kira-kira jam 6.25 pagi.

Mohamad berkata, anggaran kemusnahan ialah sebanyak 50 peratus dan bagi pemilik bot Shahbani Desa, anggaran kerugian bagi kedua-dua buah bot bersaiz besar RM130,000 manakala anggaran jumlah harta pemilik bot sebanyak RM170,000.

Di fahamkan, pemilik bot kecil masih belum dikenal pasti dan kebakaran dapat dikawal sebelum ia merebak ke kawasan lain.

Rumah terbakar ketika beraya

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Sebuah keluarga di Kampung Paya Bungor di sini bernasib baik apabila terselamat daripada rentung dijilat api setelah rumah yang didiami terbakar, kelmarin.

Mohd. Rael Mahidin, 47, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah kerana pergi beraya di rumah saudaranya dan terkejut apabila melihat api sedang marak sejurus selepas balik ke rumah.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang pada Ahad lalu apabila mereka terkejut melihat sebahagian ruang rumah mereka sudah terbakar.

“Kami bernasib baik apabila tangki air yang berada di atas siling pecah dan membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

“Bagaimanapun, banyak barang yang sudah musnah dijilat api,” katanya.

Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang menghulurkan bantuan kepada mereka di sini.

Keluarga mangsa terbabit menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Abdul Manan dan barang keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Abdul Manan ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban yang ditanggung meskipun mereka masih berasa trauma akibat kejadian tersebut.

"Saya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Namun saya berharap penduduk harus lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama dalam keadaan cuaca yang panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kebakaran mudah berlaku.

“Malang tidak berbau, oleh itu, sebelum kita keluar rumah, pastikan terlebih dahulu peralatan elektrik telah dipadamkan dan juga segala kemungkinan lain yang boleh menyebabkan musibah seumpama ini berlaku,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh.

Mohd Shohaimi berkata, dia simpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini pada saat semua orang Islam sedang bergembira menyambut kemeriahan Syawal.

"Saya harap selepas ini ada lagi pihak yang datang untuk menyumbangkan keperluan kepada mereka bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas dengan kejadian tersebut.

“Kita akan membantu meringankan beban mereka dan semoga mereka boleh teruskan kehidupan mendatang dengan lebih baik lagi dan menjadikan kejadian ini sebagai iktibar,” katanya.

sinar harian/-

Roket Palestin mengenai selatan Israel

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS - Sebuah roket yang ditembak oleh kumpulan militan Gaza mengenai selatan Israel pada petang kelmarin, kata seorang jurucakap tentera Israel.

Roket terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat yang disasarkan ke negara Yahudi itu.

Menurut jurucakap itu, roket tersebut meletup di sebuah kawasan lapang di Eshkol, tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan.

Terdahulu, tiga buah roket yang disasarkan ke Israel merosakkan dua buah kilang di bandar Sderot tanpa sebarang kecederaan berlaku, kata tentera Israel.

Kumpulan Salafi dari Gaza, Majlis Syura Mujahedeen pada petang kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya melancarkan tiga serangan pertama roket tersebut. - AFP

35 atap rumah terbang sekelip mata

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Kejadian itu berlaku sekelip mata, tidak sampai lima minit, 35 atap rumah kami diterbangkan angin ribut,” kata mangsa ribut, Azlina Wahab, 31.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama ibunya, Hendon Che Salleh, 58, baru sahaja mengambil pakaian yang disidai di bahagian garaj kereta sebelum angin kuat menerbangkan atap rumahnya.

“Saya dan ibu mengambil pakaian yang disidai selepas mendengar bunyi kilat yang agak kuat, namun tidak terlintas di fikiran saya dentuman kilat itu memberi petanda rumah kami akan dilanda ribut.

“Selepas beberapa minit masuk ke rumah, bahagian bumbung rumah saya tercabut dan saya melihat atap rumah diterbangkan angin satu persatu,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, selepas melihat atap rumahnya terbang, dia yang sedang sarat mengandung lapan bulan mendukung anak keduanya, sementara ibunya pula mendukung anak kakaknya keluar menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan takut dan kelam-kabut, kami keluar rumah menyelamatkan diri kerana bimbang ada yang cedera dihempap atap.

“Ketika kami keluar, kelihatan beberapa kepingan atap sudah bertaburan di depan kawasan rumah, malah ada beberapa keping yang mengenai kenderaan jiran,” katanya.

Azlina berkata, sejak 26 tahun menetap di situ, ini merupakan kejadian pertama yang menimpa keluarganya serta bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

“Kejadian ribut itu menyebabkan kami sekeluarga kerugian mencecah RM 1,000. Pun begitu, kami bersyukur atas keprihatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dapat meringankan beban kami.

“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian ribut itu, pegawai JKM menghulurkan bantuan awal seperti tilam, tikar, selimut, kain pelikat, kain batik serta barangan makanan,” katanya.

Azlina sekeluarga turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM 1100 sumbangan daripada JKM, MCA Bahagian Kuantan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Akar/Semambu.

Sementara itu, Hendon berkata, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudaranya di Beserah kelmarin berikutan keadaan rumah yang rosak teruk selain terputus bekalan elektrik.

“Saya tidak pasti malam ini (semalam) terpaksa bermalam di rumah mereka lagi ataupun tidak kerana kerja-kerja membaiki atap masih lagi belum siap. Selain itu, kami juga perlu memastikan bekalan elektrik selamat untuk digunakan kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku.

“Pun begitu, saya harap semuanya akan pulih secepat mungkin kerana tidak mahu sesi persekolahan cucu terganggu,” katanya.

Turut hadir melawat mangsa ribut semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayat Ahmad serta Pengerusi JKKK Alor Akar/Semambu, Ramli M. Taib.

sinar harian/-

Rakyat, pelancong bimbang laporan jenayah di Perak

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Perak amat bimbang dengan laporan media yang memuatkan berita daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dengan kes-kes kemalangan, kematian dan juga kecurian kecil ataupun besar yang sering berlaku di negeri itu.

“Perkembangan ini amat mencemaskan bukan hanya rakyat, tetapi juga pelancong luar yang datang melawat negeri Perak sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 pada kali ini,” kata Ketua Penerangannya, Ahmad Nuri al-Amin.

Sebagai contoh, ujarnya satu akhbar hari ini telah memuatkan satu muka surat berita laporan polis tentang kes-kes yang berlaku di Perak sudah tentu akan memberikan persepsi tidak sihat dalam isu berkaitan keselamatan.

Katanya, rakyat negeri itu khasnya dan pelancong luar yang berkunjung ke Perak sudah tentu mengikuti perkembangan itu dan tidak merasa selesa dan selamat untuk berada di negeri itu.

Menurutnya, insiden yang berlaku di musim perayaan ini akan memberi gambaran yang tidak elok terhadap suasana sambutan hari-hari kebesaran yang dibimbangi akan menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya, sama ada dari pihak media atau polis.

“Justeru, kami mengharapkan agar pengamal media dapat membantu pihak polis dalam usaha untuk mencegah kejadian jenayah yang sering berlaku agar proses pencegahan awal dapat mendidik rakyat khasnya,“ ujarnya.

Beliau berkata, usaha bagi memberikan teguran awal melalui media dapat memberikan didikan kepada semua lapisan masyarakat bagi menangani isu ini secara berkesan.

“Kami akan sentiasa menyokong usaha bagi memberikan informasi pendidikan kepada masyarakat agar isu keselamatan dapat dibendung lebih awal lagi,” katanya.

Pihak polis juga, tambah beliau disarankan agar memberikan tumpuan yang serius terhadap isu jenayah yang semakin meruncing di Perak demi untuk menyumbang ke arah negeri yang lebih selamat kepada semua.

harakahdaily/-

Air: Kegagalan Pahang dikesali

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar Pahang (LPPAS) melahirkan kekecewaan di atas kegagalan Kerajaan Negeri Pahang termasuklah Perdana Menteri dalam menangani krisis air yang tidak henti-henti di negeri ini.

Ia menghantui penduduk di negeri yang diketahui umum mempunyai sumber air yang banyak khususnya ketika umat Islam berpuasa termasuklah ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Dengan ketiadaan sumber air ketika bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri khususnya di Jengka, Kuantan malah di Parlimen Pekan baru-baru ini, jelas membuktikan Kerajaan Negeri Pahang malah Perdana Menteri selepas 55 tahun merdeka, masih gagal menyelesaikan masalah air di negeri itu.

"Agak memalukan bila Umno yang dilihat cuba memutarbelitkan isu air di Selangor dan Kelantan, rupa-rupanya tidak berupaya menguruskan keperluan asas utama itu di negeri yang diperintah mereka.

"Dengan kekuatan sumber kewangan yang mereka miliki diperingkat pusat, Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang berasal dari Pekan Pahang itu seharusnya akur bahawa isu seperti ini cukup memalukan buat beliau yang sentiasa ke hulu ke hilir menjaja program transformasi beliau," kata Andansura Rabu (gambar atas) Pengerusi LPPAS PAS Pahang.

Katanya, LPPAS Pahang juga kecewa dengan kualiti air bersih yang dibekalkan kerana terlalu keruh seperti kelodak lumpur.

“Adakah ini yang program transformasi yang dijaja Perdana Menteri kita itu? Iaitu transformasi air jernih ke air yang keruh?

"Kalau inilah program transformasi beliau, maka sudah tiba masanya rakyat Pahang melaksanakan program transformasi menukar kerajaan negeri yang sedia ada.

"Kain mereka yang terlondeh pun mereka tidak nampak tetapi sibuk dengan kain orang lain. Inilah hipokritnya mereka," ujar Andansura yang komited untuk memantau isu air ini.

Antaranya beliau komited untuk mendesak kerajaan negeri dan anak syarikat mereka iaitu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk memperbaiki kemudahan keperluan asas ini serta perkhidmatan mereka kepada rakyat dengan seberapa segera.

harakahdaily/-

Hormati dunia mahasiswa

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebook, twitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1. Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2. Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3. Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

Penulis ialah Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Haron Din: 'Tun Mahathir harus bertaubat'

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang merosakkan akidah dirinya dan umat yang percaya kepada kata-katanya.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, tulisan Dr Mahathir dalam blognya berbunyi Better the devil you know than the angel you don’t yang membawa maksud lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak dikenali’ adalah pegangan yang silap.

Menurutnya, tiada istilah atau ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan.

“Malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan. Kenyataan (Dr Mahathir) itu seolah-olah ada malaikat yang lebih teruk daripada syaitan.

“Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk ALLAH yang paling kejam dan derhaka.

Selain itu, sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dalam tempoh yang lama, adalah tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah ALLAH,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, dalam entri blog Dr Mahathir di chedet.cc/blog/ bertajuk ‘Change’ atau ‘berubah’ ada menyebut ‘lebih baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali’ yang menggesa pembaca supaya tidak menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sama dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Pada sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, syaitan yang dimaksudkannya dalam blog itu merujuk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

sinar harian/-

Selangor Cemerlang Di Bawah Pakatan Rakyat Berbanding BN

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Semasa mentadbir Selangor, BN tidak memberikan air percuma, tidak ada skim khairat kematian RM2,500, tidak ada hadiah RM1,000 masuk universiti, tidak ada skim anak kelahiran Selangor, tidak ada bantuan tadika, tidak ada skim taska, tidak ada pemeriksaan kesihatan percuma, tidak ada skim pembiayaan perniagaan Mimbar, tidak ada kebajikan kepada rakyat. Pendek kata tak de apa-apalah...rakyat dapat habuk jer....

Tetapi mengapa rizab Selangor sewaktu BN memerintah hanya berjumlah sekitar RM300 juta sedangkan apabila Pakatan Rakyat berikan berbagai kebajikan kepada rakyat Selangor termasuk air percuma, tiba-tiba rizab kewangan meningkat mencecah melebihi RM2 bilion...

kelab grennbox/-











Dunia Askar Amerika bakar al-Quran dihukum

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Anggota kencing mayat militan Taliban turut didenda

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengenakan tindakan disiplin terhadap enam askarnya yang merakam video memaparkan aksi anggota Marin kencing mayat militan Taliban dan membakar al-Quran, dua kejadian yang mencetuskan kemarahan di Afghanistan awal tahun ini.
Hukuman itu mungkin termasuk notis membidas mereka atas kesalahan itu, diturunkan pangkat atau gaji dirampas. Namun, tidak dapat dipastikan adakah ia memenuhi tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan.

100 al-Quran dibakar

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, sebelum ini menganggap tindakan anggota Marin dalam video itu tidak berperikemanusiaan dan menggesa diadakan perbicaraan umum ke atas tentera yang membakar al-Quran.

Siasatan terperinci tentera menunjukkan 100 al-Quran dan teks agama daripada perpustakaan di pusat tahanan dibakar pada 20 Februari.

Siasatan juga mendapati amaran daripada penduduk Afghanistan, termasuk seorang tentera Afghanistan, tidak dilayan dan kejadian disifatkan sebahagian punca askar Afghanistan dan Amerika saling tidak mempercayai.
“Namun, saya menolak kenyataan mereka yang terbabit tidak menghormati al-Quran atau memfitnah Islam,” kata pegawai penyiasat, Brigadier Jeneral Bryan Watson.

Persoalan mengenai rasa tidak percaya antara tentera Amerika dan Afghanistan semakin menjadi tumpuan disebabkan serangan membabitkan orang dalam, apabila askar tempatan dipercayai menyerang sekutu antarabangsa mereka.

Tak yakin pada AS

Keadaan itu mengurangkan keyakinan terhadap strategi Amerika bergantung kepada usaha melatih tentera Afghanistan untuk mengambil alih tugas menjaga keamanan, ada kalanya membabitkan hanya beberapa askar yang keluar bersama tentera Afghanistan meronda lokasi terpencil.

Kebanyakan tentera Amerika dijangka meninggalkan Afghanistan menjelang 2014.
Kejadian membakar al-Quran menyebabkan rusuhan beberapa hari dan askar Amerika diserang selepas pekerja tempatan menemui helaian kitab suci yang terbakar dalam sampah di pangkalan Bagram, utara Kabul.

Sekurang-kurangnya 30 maut dalam keganasan di seluruh Afghanistan selepas kejadian itu manakala dua pegawai tentera Amerika ditembak mati. - Reuters

Kecewa Dzulkifli disingkir sebagai Pengarah Besar Felda

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Kecewa sekali perasaan saya apa bila membaca berita penyingkiran Dato’ Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengaraha Besar Felda. Takziah Dato' dan bersabarlah; sesungguhnya kecemerlangan khidmat Dato' sebagai Pengarah Besar FELDA telahpun diiktiraf massa, dan paling penting, Dato' telah berjaya dalam berjihad menentang kemungkaran golongan berkepentingan. Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan dan rahmat-Nya kepada Dato' sekeluarga khasnya sekaligus membuktikan lagi hipokrasi mereka terhadap matlamat dan prinsip perjuangan sendiri.

Jelas sekali peristiwa ini merupakan satu lagi sejarah hitam negara, khasnya FELDA. Sudahlah sebelum ini, pada November tahun lalu, Perdana Menteri telah sewenang-wenangnya meminta Dato' Zulkifli bercuti sambil berkursus, kononnya untuk transformasi FELDA.

Kini, terbukti sekali lagi bahawa apa yang mereka war-warkan kepada kita bahawa merekalah pejuang tulennya hanya sandiwara murahan. Penyenaraian FGVH ke bursa saham hanya untuk menghimpun sebanyak mungkin harta peribadi. Tindakan menggantikan seorang pakar pengurusan yang berilmu, beriltizam lagi berpengalaman dengan seorang yang "rasuah" yang hanya disokong para politikus yang "rasuah" juga, satu lagi petanda keruntuhan akhlak dan syakhsiah politik regim pemerintah sekarang. Tetapi, adakah mereka mahu mengakui ini semua?

Justeru, ayuh kita bersama-sama memerdekakan negara Islam Malaysia tercinta ini daripada kemerosotan prestasi sebegini akibat keangkuhan para pemegang amanah yang kita pilih selama ini.

Sekadar perbandingan, zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) berbanding Dato' Sri Najib - setidak-tidaknya, terdapat sedikit sebanyak transformasi yang agak berjaya dilakukan di era Pak Lah, seterusnya membuka ruang ke arah perubahan lanskap politik dengan kemenangan pembangkang yang agak ketara pada pilihan raya lalu, walaupun menyebabkan Tun Mahathir berang dan merestui rampasan kuasa terbesar di dalam Umno setahun kemudian.

Oleh itu, marilah kita menyambut kemerdekaan yang menjelang tiba ini dengan keazaman untuk berhijrah daripada jahil kepada berilmu dan matang, insya-Allah.

harakahdaily/-

Rafizi lancar pusat pendedah maklumat esok

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Rafizi Ramli, yang sedang berdepan dengan tindakan mahkamah atas peranannya sebagai pendedah maklumat berhubung dakwaan skandal terhadap National Feedlot Corporation, akan melancarkan penubuhan pusat pendedah maklumat, esok.

Ia akan dikenali sebagai Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (Now).
Rafizi (kiri dalam gambar), yang merupakan pengarah eksekutif pusat tersebut, akan berucap di majlis pelancaran tersebut bersama dengan Bendahari Majlis Peguam, Steven Thiru dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Maszlee Malik.

Ketika dihubungi, Rafizi berkata, beliau akan menjelaskan berhubung rancangan masa depan mereka.

Membuat pendedahan, kata Rafizi, hanyalah sebahagian kecil daripada tugas pusat tersebut, manakala fokus yang lebih besar ialah terhadap pembaharuan perundangan dan pengawasan yang berkaitan dengan pendedahan maklumat.

Thiru pula dijangka bercakap mengenai aspek perundangan manakala Maszlee akan bercakap mengenai pendedahan maklumat dari perspektif Islam.

malaysiakini/-

Lepas rindu 59 tahun

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BERSATU...Normah (duduk dua dari kiri) ditemani anaknya, Nuraida Mohd Ali (kiri) bersama adik-beradik dan saudara-maranya yang terpisah 59 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Selepas 59 tahun terpisah, empat beradik berlainan agama akhirnya bertemu semula dalam suasana penuh emosi, semalam.

Pertemuan Normah Hashim, 59, dengan tiga adik-beradiknya, diatur Biro Pengaduan Awam MCA.

“Saya terpisah daripada keluarga kandung selepas diserahkan kepada suami isteri berbangsa Melayu ketika berusia tiga bulan berikutan kesempitan hidup.

“Arwah ibu bapa angkat memberitahu saya mempunyai kembar dan keluarga kandung berniaga air di tepi jalan di Pekan Kulim, Kedah,” kata Normah.

Beliau berkata, dia cuba mengesan keluarga kandungnya itu sejak 23 tahun lalu sebaik diberitahu arwah bapanya, namun menemui jalan buntu.

Menurutnya, dia gembira usahanya itu menjadi realiti dengan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA.

“Saya bertambah gembira dan terkejut apabila diberitahu yang saya sebenarnya ada seorang adik lelaki kembar,” katanya.

Kakak kedua Normah, Teo Hooi Nai, 63, turut berterima kasih kepada biro berkenaan yang dipengerusikan Datuk Seri Micheal Chong kerana mempertemukan dia dan Normah yang terpisah selama 59 tahun itu.

Katanya, dia dan adik-beradik lain juga pernah cuba mengesan Normah atau nama keluarganya, Teow Hooi Sang menerusi siaran televisyen, namun tiada sebarang khabar diterima.

“Kini, kami sekeluarga telah disatukan dan perasaan kami amat gembira walaupun Normah beragama lain daripada kami.

“Selepas 59 tahun tidak pernah bersua muka, pasti banyak perkara ingin diceritakan antara kami,” kata Hooi Nai.

metro/-

Tentera Bashar bedil timur Damsyik

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SEORANG anggota pemberontak mengibarkan bendera Islam semasa
pertempuran dengan tentera Syria di pinggir bandar Damsyik kelmarin.

DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.

Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.

Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.

Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.

Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan kematian.

Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan pemberontak.

Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.

Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.

Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) semalam menyatakan, bilangan pelarian Syria yang tiba di utara Jordan meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu.

Menurut UNHCR, seramai 10,200 pelarian Syria tiba ke kem Za'atri di Jordan sepanjang tempoh tersebut.

"Kami percaya ini merupakan permulaan kebanjiran pelarian Syria secara besar-besaran di Jordan," kata ketua jurucakap UNHCR, Melissa Fleming pada satu sidang media di Geneva.

Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 70,000 pelarian Syria yang didaftarkan di Jordan dengan ribuan lagi tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan UNHCR. - Agensi