28 August 2012

Muka selamba buat maksiat

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Mereka seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan terkutuk itu hinggakan berani keluar-masuk ke hotel bajet dengan muka tidak bersalah,” kata Mamat Ibrahim, 60, pemandu teksi di Jalan Pasar, di sini.

Katanya, lebih memalukan, kebanyakan pelanggan yang mendaftar masuk ke hotel berdekatan kawasan itu adalah golongan remaja Islam.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka orang sini atau orang luar. Tapi kebiasaannya jika ada sambutan atau program besar di sini, biasanya orang luar yang ramai datang menginap di hotel bajet ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada di antara mereka yang tinggal di Kuantan, tetapi sanggup mengeluarkan duit untuk bermalam dengan kekasih masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Mamat berkata, kebiasaannya mereka akan mula mendaftar masuk sekitar jam 6.30 petang sehingga lewat malam.

“Mereka daftar masuk tak tentu masa. Kadangkala saya sendiri tak sedar bila mereka masuk, tahu-tahu sahaja sudah keluar keesokan harinya.

“Yang peliknya, mereka sedikit pun tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat, sebaliknya bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bag imereka, orang ramai tidak berhak untuk menegur perbuatan mereka. Sebab itulah mereka berani buat apa sahaja,” katanya.

Tambahnya, selepas menunaikan ‘hajat’ masing-masing, ada di antara remaja terbabit menaiki teksinya untuk pulang ke rumah.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman Kuantan. Bila ditanya, mereka jawab terpaksa bermalam di hotel murah kerana hari sudah lewat malam serta tiada kenderaan,” katanya.

Dia yang lebih 20 tahun memandu teksi berkata, kawasan itu bukan hanya menjadi tumpuan remaja ketika sambutan hari kemerdekaan atau Tahun Baru, tetapi menjadi tempat persinggahan setiap malam minggu.

“Faham-faham sahajalah, jika tiada acara besar di sini pun sudah ramai yang datang, bila tiba hari kemerdekaan, lagilah berebut bilik. Pendek kata, siapa yang lambat mendaftar masuk, tiadalah peluang untuk melampiaskan nafsu.

“Tauke hotel bertambah kaya, mereka pula tambah dosa,” katanya.

Manakala, bagi peniaga tudung dan pakaian muslimah, Zainon Mamat, 28, kadangkala golongan ini mendaftar masuk sekitar jam 9 pagi.

“Mereka memang bijak, seolah-olah sudah tahu waktu operasi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) hinggakan ada yang terlepas daripada ditahan pihak berkuasa.

“Saya memang tidak berani tegur jika nampak ada pasangan yang mencurigakan masuk ke dalam hotel kawasan ini. Saya bimbang, jika ditegur mereka akan buat perkara yang tidak diingini.

“Golongan seperti ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat melepaskan diri. Justeru, jika saya nampak sesuatu yang mencurigakan, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, perbuatan ini memang sukar dibendung jika ada pihak yang tidak memberikan kerjasama terutama pemilik hotel murah.

“Jika mereka tegas serta tidak berkompromi, kemungkinan aktiviti maksiat ini dapat dikurangkan. Namun, pemilik hotel murah lebih kepada mengejar keuntungan, mereka tidak peduli sama ada pelanggan itu muhrim atau tidak,” katanya.

Ambil tindakan tegas

Sementara itu, bagi Madri Mohd, 61, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

“Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa kerana semakin hari saya lihat aktiviti ini semakin rancak seolah-olah mereka tidak takut dengan pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin kerana mereka sudah dapat membaca pergerakan pihak berkuasa, sebab itulah masing-masing berani mengusung teman wanita naik ke bilik,” katanya.

Lebih menyedihkan, dia pernah melihat teman wanita yang mendaftar masuk manakala yang lelaki menunggu di bawah.

“Saya faham, pihak berkuasa tidak mampu untuk menempatkan pegawai mereka 24 jam di hotel-hotel murah, namun saya harap mereka dapat mempertingkatkan operasi bagi mengurangkan
aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya bimbang, jika ia tidak dibendung, masalah pembuangan bayi akan meningkat serta merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Kita memerlukan generasi muda untuk membangunkan negara, jika mereka sudah rosak, bagaimana pembangunan negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini Jaip memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.

Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

kosmo/-

Kambing panjat pokok di Maghribi

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BEBERAPA ekor kambing memanjat pokok argan untuk memakan buahnya di sebuah gurun dekat Essaouira, Maghribi semalam.

RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.

Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.

Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.

Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter. - AFP

Dua ah long ditangkap

10 Syawal 1433H. [MOD] -

HOCK SENG (kiri) menunjukkan sebahagian poster kumpulan ah long yang dirampas di Melaka semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 5.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui kira-kira 3,000 keping poster pinjaman wang haram ah long yang disimpan di dalam stor rumah berkenaan

"Selain itu, kami turut merampas dua komputer riba, buku catatan pinjaman, sembilan telefon bimbit dan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM28,000.

"Cek-cek ini merupakan cagaran yang perlu diberi peminjam wang kepada ah long sebelum pinjaman mereka diluluskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini semalam.

kosmo/-

Air DiSwasta Kroni Kaya Raya, Rakyat Derita

10 Syawal 1433H. [MOD] -

20 April 1999, detik permulaan kenaikan tarif air di Johor secara berjadual. Syarikat Air Johor Sdn Bhd(SAJ) yg mendapat konsesi penswastaan air selama 30 tahun, diberikan hak sebanyak 7 kali membuat semakan tarif air.

Saham SAJ dimiliki oleh Lambang Optima Sdn Bhd sebanyak 80%; walhal pemegang utama atau 99.9% saham syarikat ini adalah Dato' Hamdan Mohamad, Presiden Ranhill Utilities Bhd. Orang Johor tau keakraban beliau dengan pimpinan Kjaan Negeri. Dulu hidupnya macamana dan bila dapat kuasai Air, kaya rayanya beliau.

Hampir semua projek SAJ spt pembinaan loji pengeluaran air, pembinaan empangan, mengganti paip lama dengan yg baru dan peningkatan loji air sedia ada diberi kpd Ranhill yg nilainya ratusan juta setahun.

Dalam jangkamasa penubuhan Ranhill Utilities pada 30 ogos 2000, sesingkat pada 27 Jun 2002 sahaja sudah disenaraikan di BSKL!
Untung berlipat ganda kerana berniaga AIR....

Unjuran tahun 2000, 34% daripada 654,393 pengguna air domestik menggunakan air antara 16-30 meter padu. Jika 25 meter padu pada tahun 2000 tarifnya RM11.50 sebulan, semakan kali ke 7 pada tahun 2026, tarif air ialah RM53.41 sebulan. Namun, realitinya baru tahun 2012; bil air begitu tinggi dan melampau. Saya pasti jika BN terus berkuasa di Johor pada tahun 2026, tarif air akan melambung ratusan ringgit pada kadar meter padu di atas.

Pemimpin BN selalu mendakwa penswastaan bekalan air memberi manfaat kepada rakyat kerana kualiti perkhidmatan jauh lebih baik. Mereka tuding Kelantan dan hentam macam2. Kononnya air kotor, bekalan air selalu terputus dll. Kualiti perkhidmatan air di Johor hebat sangatkah?
Sejujurnya orang Johor lebih maklum termasuk kawasan yg seringkali terputus bekalan air.

Kalau begitu mana lebih baik, tarif air paling tinggi di Johor; berbanding 20 meter padu air percuma di Selangor?

Pastinya, beban rakyat bertambah; hidup derita...kroni kaya raya!

selatan online/-

22 rumah rosak dipukul hujan ribut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Sebanyak 22 buah rumah di dua taman perumahan yang berkembar di Jalan Kuala Kedah dekat sini rosak akibat dilanda hujan ribut awal hari ini.

Hujan yang disertai angin kencang bermula kira-kira pukul 2.30 pagi dan berhenti hampir waktu Subuh, merosakkan 14 buah rumah di Taman Pelangi dan lapan buah di Taman Mega.

Seorang pemilik rumah di Taman Pelangi, Ahmed Bahrom, 61, berkata, dia dan anggota keluarga seramai lima orang terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi 'prak... prak...'

"Masa saya bangun pukul 2.45 pagi. Hujan sedang lebat dan angin kencang. Masa itu saya lihat siling plaster di ruang tamu mulai runtuh sedikit-sedikit sehingga habis semuanya manakala bumbung rumah diterbangkan angin," kata pesara tentera itu yang kerugian hampir RM10,000.

Seorang lagi mangsa, Sufiah Ahmad, 58, dari Taman Mega kerugian lebih RM5,000 akibat bumbung rumahnya terbongkah diterbangkan ribut kencang dalam kejadian itu. - BERNAMA

Najib, bila nak buat empangan di Pahang

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Sebelum ni "tukanglawan" pernah dedahkan satu artikel berkenaan bekalan air tak ade di pahang, ye la dok sibuk pasal air di selangor sampaikan BN terlupa pasal masalah air di pahang,, jom baca kat sini.

Rupa-rupanya tempat najib pun tak ade air jugak, la, ingatkan "tukanglawan" tempat perdana menteri dah cukup maju.. rupanya takde air. kah..kah..kah...
Ni bawah ni artikel yang didedahkan harakahdaily

Di Pahang pada hari raya ke-2 hingga raya ke-3 juga tiada bekalan air di Felda Cini 1 & Felda Cini 3. Felda ini merupakan kawasan undi Najib tapi malangnya Najib tak mampu nak jaga. Jangan cerita nak jaga Malaysia, tempat sendiri pun kantoi.

Menyambut hari raya di sana terpaksa bawak anak-anak mandi di anak sungai dalam ladang sawit, seksanya.

harakahdaily/-


Tiada Istilah Malaikat Lebih Buruk Berbanding Syaitan Dalam Al-Quran

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 OGOS : Tiada istilah atau ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan malaikat itu lebih buruk berbanding syaitan, begitu kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya www.chedet.cc pada 22 Ogos lalu yang berharap rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam pilihan raya akan datang.

Dr Mahathir menulis “Better the devil you know than the angel you don’t” yang membawa maksud “Lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali”.

Dr Haron seterusnya berkata, kenyataan dibuat Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri dan Umno-BN kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk Allah yang paling kejam dan derhaka.

Sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dan pernah mengetuai Umno-BN untuk tempoh yang lama, tambahnya, adalah amat tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Di dalam Al Quran juga tidak terdapat ayat yang mengatakan malaikat sama ada dikenali atau tidak dikenali sebagai makhluk Allah yang lebih buruk atau derhaka kepada perintah Allah. Malaikat dijadikan Allah sebagai makhluk yang patuh dan tidak derhaka akan perintah-NYA. Mereka akan kekal begitu sejak dari awal hingga ke akhirnya.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah Allah,” katanya.

selatan online/-

Kebakaran Loji Minyak Venezuela Merebak

10 Syawal 1433H. [MOD] -

CARACAS: Kebakaran di loji utama penapisan minyak Venezuela yang sudah mengorbankan 48 nyawa, kini dilaporkan merebak ke tangki simpanan ketiga, sekali gus menyukarkan lagi operasi anggota bomba.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez yang mengisytiharkan tiga hari berkabung berikutan tragedi itu, memberi jaminan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas loji penapis Amuay yang dipercayai akibat kebocoran gas.

Gebenor Negeri Falcon, Stella Lugo, pula memberitahu stesen radio tempatan bahawa angka kematian kini meningkat daripada 41 kepada 48 orang.

“Kami mesti memberitahu bahawa tangki ketiga kini terbakar," kata Menteri Tenaga dan Minyak Venezuela, Rafael Ramirez, yang juga Pengerusi firma minyak negara, Petroleos de Venezuela (PDVSA) yang mengendalikan loji berkenaan di Semenanjung Paraguana.

Ramirez berkata, pasukan bomba kini berusaha untuk mengawal dan mengepung api daripada terus merebak ke tangki simpanan lain. AFP

Taufan terkuat landa Okinawa

10 Syawal 1433H. [MOD] -

TOKYO - Jepun meminta 75,000 keluarga terus berkurung di rumah berikutan kehadiran taufan Bolaven, terkuat dalam tempoh beberapa tahun yang bakal melanda Okinawadi, selatan Jepun.

Pegawai Metodologi Jepun berkata, angin kuat itu boleh menterbalikkan kereta serta menyebabkan ombak setinggi lebih 12 meter.

“Bolaven yang berpusat kira-kira 150 kilometer ke tenggara Okinawa dijangka melepasi pulau itu sekali gus membawa hujan sehingga 500 milimeter dalam tempoh lebih 24 jam,” katanya.

Menurutnya, kelajuan angin hampir kepada taufan iaitu 180 kilometer sejam dengan angin kencang mencecah sehingga 252 kilometer sejam.

Sementara itu, agensi berita tempatan melaporkan, angin kencang turut menumbangkan talian telefon dan mencederakan dua orang termasuk seorang lelaki berusia 78 tahun.

Tiada laporan mengenai kerosakan besar setakat ini, tetapi kira-kira 27,000 keluarga di pulau Amami, utara Okinawa, terputus bekalan elektrik, manakala 3,100 keluarga di Okinawa juga mengalami perkara dengan kira-kira 300 orang mendapat perlindungan di bangunan awam.

Semua penerbangan tempatan dan antarabangsa masuk dan keluar di Lapangan Terbang Naha dibatalkan serta merta.

sinar harian/-

Dua cedera ambulans terbalik

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUCHING – Seorang pemandu ambulans dan seorang jururawat nyaris cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki itu terbabas lalu terbalik di atas pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Wan Alwi di sini semalam.

Kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Hospital Pakar Kuching, Tabuan Stutong di sini ke Tabuan Dayak untuk mengambil pesakit. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila pemandu ambulans tersebut hilang kawalan ekoran jalan licin ketika hujan lebat di sepanjang perjalanan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Polis percaya kejadian itu disebabkan jalan licin ekoran hujan lebat. Pemandu ambulans dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terhumban melepasi penghadang ke jalan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer ekoran pemandu bertindak memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat kemalangan tersebut.

Sukan Olimpik London 2012; Pencapaian Baru Atlet Muslim

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SERAMAI 65 orang ahli sukan muslim memenangi pingat dalam sukan olimpik 2012 di London berbanding 44 orang pada temasya sukan yang sama di Beijing pada tahun 2008 dimana pingat emas pertama dimenangi oleh Mo Farah, pelari jarak jauh kelahiran Somalia yang mewakili Britain.

Mo (Mohamad) Farah juga turut memenangi acara lari 5,000 meter selain 10,000 meter.

Sukan Olimpik London 2012 juga mencatatkan sejarah apabila 18 pingat dimenangi oleh atlet wanita muslim, lebih sekali ganda berbanding 8 pingat yang dimenangi pada sukan di Beijing empat tahun lalu.

[Gambar; atas - pelari pecut wanita Arab Saudi Sarah Attar menjadi tumpuan kerana memakai pakaian menutup aurat. Kanan - Mo farah dengan dua pingat emas yang dimenanginya. bawah; Ahli Judo wanita Saudi turut menempa nama]

Sekitar 400 atlet wanita muslim dari negara-negara Islam mengambil bahagian dalam sukan Olimpik London 2012 dan negara Benin adalah satu-satunya negara Islam yang gagal untuk menghantar atlet wanita.

Untuk kali pertamanya, Britain mempunyai lima atlet muslim pada 2012 berbanding tiada penyertaan atlet muslim sebelumnya. Selain daripada dua pigat emas yang di menangi Mo Farah, gangsa turut dimenangi dalam atlet Taekwondo muslim Lutalo Muhammad dan Mohamaed Sbihi yang mewakili acara mendayung.

Manakala atlet muslim kelahiran Algeria, Mahiedine Mekhissi-Benabbad adalah satu-satunya pemenang pingat bagi acara trek bagi negara Perancis, memenangi pingat perak dalam acara lari berhalangan 30,000 meter.

Walaupun diadakan sepanjang bulan Ramadan, sejumlah lebih daripada 1,200 atlet beragama Islam mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik London 2012.

Daripada jumlah sebanyak 65 pingat yang dimenangi oleh atlet muslim, 13 darinya adalah dari negara Rusia, termasuk 8 pingat yang dimenangi oleh atlet wanita Islam.

Atlet gimnas wanita Islam Rusia, Alias Mustafina merupakan atlet olimpik 2012 yang paling menyerlah dan berjaya dengan mendapa empat pingat.

Para atlet muslim dari Timur Tengah membawa pulang 24 pingat, dengan Iran mengungguli kedudukan bagi rantau itu dengan jumlah 12 pingat, pencapaian terbaik yang dicapai dengan 4 emas, 5 perak dan 3 gangsa.

Pasukan Turki mempunyai 50 atlet wanita, bilangan tertinggi berbanding mana-mana negara Islam dan bagi negara Kazakhstan serta Turki, atlet wanita memenangi lebih banyak pingat daripada rakan-rakan lelaki mereka!

Kehadiran begitu ramai atlet wanita Islam di Olimpik London yang memilih untuk bersaing dalam acara dipertandingkan dengan menutup ‘aurat’ telah mencalarkan imej FIFA.

Pasukan bola sepak wanita Iran, telah dihukum oleh FIFA pada tahun lalu kerana memakai tudung dalam permainan pusingan kelayakan – Muslim News

14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik

10 Syawal 1433H. [MOD] -

FOTO menunjukkan mayat-mayat terbaring di atas simen semalam di bandar Daraya dekat ibu kota Damsyik.

BEIRUT - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di bandar Daraya dekat Damsyik selepas aktivis melaporkan satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan berlaku di situ dalam serangan lima hari oleh tentera rejim Syria, kata pemerhati semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia sebelum ini melaporkan penemuan 320 mayat di Daraya selepas satu serangan yang disifatkan sebagai sangat kejam, pembunuhan tanpa perbicaraan dan serbuan rumah ke rumah oleh tentera kerajaan.

Pemerhati berkata, sehingga kini ia telah mengenal pasti seramai 220 mangsa yang dibunuh.

Jawatankuasa Penyelaras Tempatan sebuah rangkaian aktivis menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.

Kumpulan pemerhati Britain menjelaskan sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh di negara bersengketa itu kelmarin. Mereka terdiri daripada 105 orang awam, 26 pejuang pemberontak dan 18 tentera.

Kelmarin, tentera rejim mengebom bandar Basra al-Sham dalam wilayah Daraa dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang awam.

Serangan terbaru yang berlaku semalam pula membunuh tiga orang lelaki, kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna dalam wilayah Damsyik.

Menurut angka pemerhati, kira-kira 25,000 mangsa yang kebanyakannya orang awam telah terbunuh di Syria sejak tercetusnya kebangkitan rakyat pada Mac tahun lalu. - AFP

Jenayah ragut jadi budaya hidup di negara ini

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Saya telah diminta oleh seorang pengunjung blog saya melalui e-mailnya meminta saya memberikan komen tentang jenayah ragut yang agak berluas-luasa di negara ini. Insan yang menghantar email itu menyatakan yang beliau mahukan saya menulis tentang jenayah ragut yang telah berlaku kepada isterinya beberapa tahun dahulu yang menyebabkan isterinya tercedera dan telah menghadapi rasa fobia apabila berjalan di bandar untuk membeli belah atau ke pasar.

Pengadu ini mempersoalkan sama ada apa yang di bangga-banggakan negara ini sebagai negara yang aman dan selamat itu adalah benar atau sebaliknya. Sesungguhnya jenayah ragut memang banyak berlaku dan saya sendiri pernah menyaksikan peristiwa ragut belaku di hadapan mata saya sendiri. Dua orang yang menaiki motosikal telah lalu di sebelah wanita yang membimbing bag tangan dan terus sahaja meragut wanita itu dan mereka (peragut) terus memecut laju meninggalkan wanita tadi terbaring di tebi jalan dan mengalami sedikit kecederaan di tangannya.

Peristiwa seperti ini selalu berlaku dan sekali gus ia menafikan yang negara kita adalah sebuah negara yang aman damai seperti yang di antara kita bangga-banggakan. Ini tidak termasuk kes rogol, bunuh dan pecah rumah yang menjadi bahan berita yang lumrah melalui saluran-saluran TV kita serta media cetak. Ada sahaja yang cedera dan mati akibat jenayah ini.

Banyak pihak bertanya kenapa perkara ini selalu sangat berlaku di negara kita? Ada yang bertanya bagaimanakah keadaaan sebuah negara yang aman itu? Pihak penguasa polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain boleh kita lihat di mana-mana terutamanya di kotaraya-kotaraya dalam negara kita tetapi jenayah tetap berkembang dengan cepat dan deras. Malahan ramai di antara bekas anggota dan pegawai tertinggi polis menulis dan membuat kenyataan yang mengakui jenayah di negara kita meningkat dengan begitu ketara.

Selalunya apabila se sebuah negara yang sering berlaku samun dan rompak serta jenayah ragut ini berlaku dengan pesatnya ia merupakan petanda dan dalil yang rakyat miskin adalah ramai dan mengambil tindakan mencuri dan merompak harta benda orang lain untuk hidup.

Di negara-negara Scandinavia misalnya tidak ada kes-kes rompak dan samun yang ketara seperti yang berlaku di negara kita. Negara-negara dalam gugusan Scandinavia ini merupakan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi malah ia melebihi pendapatan per kapita negara-negara G8. Kalau kita melawat negara-negara ini kita tidak akan nampak anggota polis berkeliaran seperti di negara kita. Di negara-negara yang saya sebutkan ini keamanan dan keselamatan diri individu rakyat seperti terjamin. Inilah contoh-contoh sebuah negara yang aman.

Sebaliknya di negara kita, kita melihat anggota polis dan penguatkuasa yang lain berkeliaran tetapi insiden seperti yang di tulis oleh pengadu kepada saya itu berlaku dengan meluas. Ragut di sana dan ragut di sini dan dengan jelas kes ragut harta orang lain ini sememangnya menjadi perkara yang lumrah di negara kita ini.

Pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai kuasa di tangan mereka pun melakukan ragut-meragut harta orang lain seperti harta rakyat seperti yang kita selalu dengar melalui pendedahan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Jumlah harta dan wang ringgit rakyat yang diragut oleh pemimpin-pemimpin kita melibatkan jumlah yang puluhan billion ringgit. Rakyat sentiasa diragut wang ringgit mereka oleh mereka dan pemimpin yang mereka (rakyat) amanahkan untuk menjaganya.

Jenayah ragut ini sememangnya sudah tidak dapat dihentikan lagi selagi mereka ini masih berkuasa. Jumlah yang terilbat dalam ragut oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah kecil. Yang penting rakyat fahami dan cuba untuk menghentikannya ialah kes-kes ragut yang berbillion ringgit yang dilakukan oleh pimpinan yang sedang berkuasa. Jenayah ragut yang mereka lakukan itu melibatkan harta wang ringgit seluruh rakyat yang mengisi kantung perbendaharaan negara kita melalui berbagai bentuk cukai yang mereka bayar setiap hari.

Penjenayah ragut yang dilakukan oleh penunggang motosikal itu mudah untuk diselesaikan kerana sudah ramai yang tertangkap dan dipenjarakan. Tetapi masalah yang terbesar sekarang ini ialah untuk menyelesaikan kes ragut kolar putih yang sedang dilakukan oleh pimpinan besar kita serta penjawat-penjawat awam negara yang melibatkan ratusan berbillion ringgit itu.

Peragut-peragut jenis inilah yang amat susah untuk diselesaikan. Malahan yang mendedahkan kes ragut itu pula yang kena tuduh di mahkamah kerana ada undang-undang yang melindungi penjenayah ragut yang berkolar putih ini. Rafizi Ramli telah dituduh di mahkamah kerana mendedahkan kes ragut wang rakyat yang berbillion ringgit oleh keluarga yang mempunyai pengaruh dalam kabinet negara yang di dalamnya mempunyai penjenayah ragut yang besar-besar.

Sekarang rakyat yang sedar dan insaf telah mendapat formula yang jelas untuk menyelesaikan kes-kes ragut yang besar-besar ini. Caranya ialah dengan mengenepikan mereka dari kuasa yang ada pada mereka.

Waktu untuk mengenepikan mereka akan sampai tidak lama lagi. Masanya itu ditentukan oleh Najib, Perdana Menteri kita. Rakyat sekarang sedang memberikan tumpuan untuk menolak mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ragut meragut ini. Rakyat sudah kerugian begitu banyak oleh kegiatan ragut yang dilakukan oleh mereka yang sedang berkuasa itu.

Jika semua rakyat bekerjasama dalam PRU ini, isu penjenayah ragut ini akan dapat diselesaikan dengan cepat. Maka harta benda rakyat akan dapat diselamatkan dari diragut oleh pihak yang sudah sebati dengan kes ragut meragut ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

harakahdaily/-

17 dipancung kepala ketika berpesta

10 Syawal 1433H. [MOD] -

ANGGOTA kumpulan Taliban dipercayai mendalangi pembunuhan kejam di Musa Qala, Helmand, Afghanistan semalam.

KANDAHAR - Sebuah pesta larut malam di wilayah Helmand, selatan Afghanistan bertukar menjadi tragedi ngeri apabila seramai 15 lelaki dan dua wanita ditemui dalam keadaan kepala mereka dipenggal semalam, kata beberapa pegawai.

Semua mangsa dipercayai dibunuh hanya kerana mereka mengadakan sebuah parti melibatkan pergaulan antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta tarian.

Seorang gabenor daerah, Nimatullah ketika mengesahkan pembunuhan kejam itu berkata, semua mayat ditemui di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.

"Mereka mengadakan sebuah parti malam kelmarin berserta iringan muzik dan acara tarian apabila diserang oleh kumpulan Taliban," kata Nimatullah.

Menurutnya, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan kekejaman tersebut.

kosmo/-

Sin Chew putar belit kenyataan saya - Mohamad Sabu

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kesal dengan sikap tidak beretika wartawan Sin Chew Daily yang memuatkan berita kononnya PAS akan membentangkan cadangan atau usul di Parlimen bagi meminda Perlembagaan untuk dilaksanakan hudud.

Tegas Mohamad, beliau ditanya mengenai hudud oleh wartawan berkenaan, tetapi beliau enggan mengulas panjang mengenai hudud.

"Saya katakan kepada wartawan tersebut, jangan sentuh soal hudud berulangkali. Saya tegaskan kepada beliau, pada saya sebarang perubahan yang hendak dilakukan dalam negara, mestilah melalui Parlimen, dibuat secara demokrasi dan dengan mengikut permuafakatan dalam Pakatan Rakyat," tegasnya kepada Harakahdaily.

Star Online hari ini melaporkan:

Mat Sabu: PAS will seek to use hudud law if Pakatan wins

KUALA LUMPUR: PAS will propose Constitutional amendments in Parliament to implement hudud law if it forms the government, said its deputy president Mohamad Sabu.

This was PAS’ stand and MPs from DAP or other parties, and non-Muslim MPs, could then raise their objections in Parliament, he said.

Better known as Mat Sabu, he said in an interview with Sin Chew Daily that the party had not discussed the matter as action would only be taken only after Pakatan Rakyat had formed the federal government. The daily ran the front page story on its evening edition yesterday.

Mat Sabu was commenting on PAS president Datuk Seri Abdul Hadi Awang’s statement that the party would seek to implement hudud law through democratic means.

"Wartawan tersebut menelefon saya, pertuturan bahasa Malaysia beliau pun tidak berapa elok, sebab itu saya cakap lain, dia tulis lain.

"Malangnya kesilapan Sin Chew Daily tersebut dipetik Star Online," ujar beliau.

harakahdaily/-

Tak pernah dengar nak sambut merdeka kena minta permit...

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Aduhai letih la layan kepala otak UMNO nie.. hidup sudah merdeka 54 tahun tak pernah lagi nak pie lepak kat Dataran Merdeka untuk sambut MERDEKA kena buat permohonan permit....

Tetapi mai merdeka ke 55 nie puak yang dok jaga Dataran Merdeka nie dah buat macam harta mak bapak mereka dah...

takan nak pergi ramai-ramai pakai baju kuning salah pada malam tersebut....adakah kerana jika ada yg pakai baju kuning... terus hangpa nak cop geng "JANJI BERSIH".... entah-entah mereka geng penyokong Safee Sali pakai baju Kuning Malaysia....besa laa tuuu...

Janji Bersih: DBKL belum terima permohonan

Jamilah Hamzah

27 Ogos 2012

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur Himpunan Janji Bersih untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Khamis ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, jika permohonan dikemukakan, pihaknya perlu meneliti mengikut peraturan yang ada.

"Kami masih belum terima apa-apa surat daripada mereka (penganjur Gabungan Janji Bersih) untuk dibuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak.

"Bagaimanapun jika permohonan dibuat, kita akan kaji dan teliti terlebih dahulu," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.

Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu tidak mendapat kebenaran DBKL untuk diadakan di Dataran Merdeka.

Penganjur Gabungan Janji Bersih kini bercadang mengadakan sambutan Ambang Merdeka selama dua jam mulai 10 malam, Khamis ini.

harakahdaily/-

Mat Sabu: PAS Cari Jalan Laksana Hudud Jika Pembangkang Menang

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan digubal bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang berjaya membentuk kerajaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya itu adalah pendirian PAS dan Ahli Parlimen daripada DAP atau parti lain serta Ahli Parlimen bukan Islam boleh mengemukakan bantahan mereka menerusi perbahasan Dewan Rakyat.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika diwawancara akhbar Sin Chew Daily bagaimanapun berkata parti itu tidak mengadakan perbincangan terpeinci mengenainya kerana tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas pembangkang mentadbir Kerajaan Pusat.

Kenyataan itu dipetik menerusi laporan muka depan akhbar berkenaan bagi edisi petang Isnin.

Mat Sabu berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung PAS akan mencari jalan menerusi kaedah demokrasi bagi melaksanakan hudud.

Tegasnya hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Jika Ahli Parlimen DAP atau yang bukan Islam tidak bersetuju dengan hudud, ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian," katanya.

Menurutnya berdasarkan prinsip Islam jelas menyatakan bahawa tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk mempercayai amalan dan hukum yang terkandung di dalamnya.

Katanya lagi PAS perlu menghormati pandangan sekiranya majoriti Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Mat Sabu kemudiannya menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

mstar/-

Lagi kawasan Felda di Pahang tiada air di hari raya

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Saya pulang berhari raya di daerah Bera baru baru ini iaitu di kawasan Felda Bukit Mendi dan Felda Bukit Puchong juga tiada air paip pada sehari sebelum hari raya hingga hari raya pertama dan kedua.

Hasrat untuk bercuti selama 5 hari di Felda Bukit Mendi terpaksa dipendekkan kepada 3 hari sahaja berikutan tiada air paip.

Masalah ini sudah lama berlaku sejak saya berkahwin pada 1990 masalah ini tidak diatasi oleh kerajaan. 2 hari tidak dapat mandi, membasuh dan sebagainya.

harakahdaily/-

Falcao ledak hatrik, bantu Atletico Madrid raih kemenangan

10 Syawal 1433H. [MOD] -

RADAMEL Falcao tampil memukau dengan meledak hatrik ketika membantu kelabnya membelasah Athletic Bilbao 4-0 dalam persaingan La Liga Sepanyol di Stadium Estadio Vicente Calderoan, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dengan keputusan tersebut, Atlético Madrid berjaya meraih tiga mata setelah seri dengan Levante 1-1 pada aksi sulung La Lioga pada 20 Ogos.

Aksi cemerlang Falcoa yang menjaringkan hatrik pada minit ke-20, ke-42 dan ke-59 terus menjadi pembakar semangat anak buah Diego Pablo Simeone untuk mencari gol sebanyak mungkin.

Akhirnya, Tiago memastikan kemenangan besar pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-84 sekali gus menggembirakan peminat yang membanjiri stadium.

Sementara itu, dalam aksi berasingan, Real Valladolid berjaya membenam Levante 2-0 di hadapan penyokong sendiri.

Victor Perez menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-38 dan ke-48 untuk memastikan kemenangan milik pasukan tuan rumah.

Sinar Harian

Bakal pengantin nyaris maut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan terpaksa menerima tujuh jahitan di mulut setelah terbabit kemalangan di KM25.5 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran simpang masuk Jalan Suara, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kereta jenis Proton Saga yang dipandu, Mohamad Fariz Mohamad Idris, 25, dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Klang dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mahu mengelak anjing sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Inspektor Roslan Ismail ketika ditemui berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Rantau Panjang, Klang itu dilaporkan turut mengalami kecederaan pada pergelangan kaki.

"Akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu mangsa kemudiannya terbalik di bahu jalan dan menyebabkan lalu lintas perlahan dan keadaan jalan ketika itu lici dan hujan renyai-renyai," katanya.

Difahamkan, sebuah kemalangan lagi dilaporkan berlaku kurang seminit selepas kemalangan pertama apabila seorang pemandu di laluan sama gagal membrek sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan di hadapannya.

Roslan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian dan mangsa sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Roslan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati lebih-lebih lagi di musim perayaan ini dan jangan memandu laju serta ingatlah orang yang tersayang yang menanti kepulangan anda dengan selamat," katanya

Sinar Harian

Rokok bernilai RM1.4j dirampas

10 Syawal 1433H. [MOD] -

MUAR – Pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya merampas sejumlah 15,500 unit rokok bernilai RM1.4 juta termasuk cukai, dalam operasi bersepadu di Bypass Simpang Empat Jalan Bakri arah Melaka, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kesemua rokok putih itu dipaketkan ke dalam kotak besar dalam sebuah lori seberat tiga tan.

Menurutnya, penahanan pada jam 2 pagi itu turut menahan seorang pemandu lori berkenaan yang berusia 30 tahun.

“Suspek berasal dari Alor Setar, Kedah dan difahamkan baru sahaja terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Rokok ini diambil dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Melaka,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, malangnya usaha lelaki berkenaan tidak berjaya apabila dia ditahan kerana membawa lori dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik ditahan, polis membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap lori ini dan menjumpai 15,500 unit rokok.

“Hasil soal siasat mendapati, lelaki ini ditawarkan upah sebanyak RM200 sebagai penghantar rokok selepas berjumpa dengan seorang rakan di Singapura yang menawarkan pekerjaan itu,” katanya.

Katanya lagi, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Muar dan ditahan reman sehingga 29 Ogos depan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1.55 juta (10 kali nilai rokok dirampas),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kempen Rumah Selamat sempena Aidilfitri, Sahadan berkata, secara keseluruhannya kempen itu berjaya apabila sebanyak 70 buah rumah yang mendaftar dalam program itu didapati selamat daripada sebarang kegiatan jenayah.

“Anggota kami kerap membuat rondaan di setiap rumah yang mendaftar untuk tujuan pengawasan sepanjang pemilik rumah pulang bercuti ke kampung halaman.

“Kita mendapat respons positif dari pemilik rumah memaklumkan rumah mereka selamat selepas kembali pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sinar Harian

Modric sertai Real Madrid

10 Syawal 1433H. [MOD] -

REAL Madrid akhirnya menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan pemain Tottenham Hotspur, Luka Modric dengan bayaran sekitar £30 juta (RM100 juta), musim ini.

Dalam satu kenyataan di BBC, kelab gergasi Sepanyol dan Tottenham telah mencapai persetujuan untuk melakukan perpindahan Modric ke Madird.

Pengerusi Tottenham, Daniel Levy yang mengesahkan perpindahan Modric berkata, perpindahan itu kini hanya menunggu pemeriksaan perubatan dan sekiranya berjalan dengan lancar, urusan akan dipercepatkan.

"Kedua-dua kelab telah mencapai persetujuan mengenai perkara ini.

"Meskipun Modric merupakan pemain hebat buat kami tapi kami merelakan dia menyertai Real Madrid di mana kelab yang kami melihat satu kerjasama jangka panjang,'' kata Levy yang turut menjelaskan bahawa perjanjian itu juga melibatkan kerjasama dalam soal kejurulatihan, latihan dan hubungan komersial.

Sebelum ini, usaha Real untuk membeli pemain dari Crotia itu tergendala seketika selepas pengerusi Spurs, Daniel Levy menuntut yuran perpindahan bernilai £40 juta (RM200 juta).

Sementara itu, Presiden Real Madrid, Florentino Perez dalam kenyataannya di laman web kelab mengalu-alukan perjanjian tersebut.

"Kami bangga menerima Modric dan berminat untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Tottenham.

"Jadi, dengan membeli seorang pemain yang berbakat, saya berharap Modric dapat memainkan peranan dan membantu rakan sepasukan untuk mencari kemenangan.

Manakalah bagi pemain berusia 26 tahun itu berkata: "Saya sangat berbesar hati dan berbangga apabila dipilih untuk beraksi bersama kelab terbaik di dunia ini.

"Saya betul-betul teruja," kata Modric.

Luka telah membuat 160 penampilan bersama Tottenham dan menjaringkan 17 gol selepas meninggalkan Dinamo Zagreb pada 2008.

Sinar Harian

Wanita maut nahas babit 3 kenderaan

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BERA – Seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 49, Jalan Temerloh - Kemasul – Bukit Mendi kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Mangsa, Sariah Tajul Mulop, 47, yang juga penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kembara yang terbabas berikutan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang gagal untuk memotong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian itu, Proton Waja terbabit dipercayai cuba memotong dua kereta di hadapannya iaitu Proton Persona dan Kembara, namun terlalu cepat memasuki laluan kiri sehingga bergesel dengan bahagian depan Kembara.

Menurutnya, kereta Kembara dipandu suami mangsa, Shabudin Ibrahim, 65, hilang kawalan lalu terbabas ke tebing sebelah kiri jalan dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum terbalik.

“Rempuhan kuat di bahagian kiri kereta itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki serta tangan kanan.

“Mangsa menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian, manakala suaminya pula mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Haji Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.

Katanya, mangsa turut dibawa ke Hoshas untuk dibedah siasat.

Zakaria berkata, ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai dari arah Felda Kemasul menghala ke Triang.

Menurutnya, kereta Waja itu cuba memotong kereta jenis Proton Persona dan Perodua Kembara, namun dipercayai tersilap pengiraan untuk memasuki semula laluan kiri hingga terlanggar bahagian depan Kembara terbabit.

“Kereta Waja itu turut terlajak ke hadapan dan terbabas, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga pemandu kereta Persona.

“Jalan di lokasi kejadian adalah lurus dan mempunyai garisan putus yang membolehkan pengguna memotong. Namun pemandu Waja dipercayai tidak lepas untuk memotong dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, siasat lanjut berhubung kes itu masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sinar Harian

Rakyat asing Pakistan, Lubnan ditahan menipu pengurup wang

10 Syawal 1433H. [MOD] -

IPOH – Kegiatan licik dua warga asing dalam sindiket wang palsu tumpas selepas ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sekitar Ipoh, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penangkapan warga Pakistan dan Lubnan tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pengurup wang lelaki tempatan yang serta merta mengesyaki wang yang ditukar adalah palsu.

Beliau berkata, polis kemudiannya menuju ke premis dan menahan dua suspek dan hasil pemeriksaan menjumpai 402 keping wang dominasi 1, 000 India Rupee pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam.

“Modus operandi mereka adalah pergi ke premis tukaran wang berlesen dan akan menukar wang palsu mata wang India kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Wang palsu India yang digunakan suspek adalah berkualiti tinggi sehingga mangsa tidak dapat mengecam wang kertas itu adalah palsu kecuali mangsa mempunyai kemahiran mengenal wang palsu,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, semalam.

Mohd Shukri berkata, setelah soal siasat ke atas dua suspek terbabit membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek di Kuala Lumpur.

“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan salah seorang suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah serta berumur antara 22 hingga 42 tahun.

“Mereka masih direman dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun,” katanya.

Sinar Harian

Ambil dadah: ‘Beri saya peluang baiki hidup’

10 Syawal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - “Berilah saya peluang untuk perbaiki hidup dan memulakan hidup baru Yang Arif,” demikian rayu seorang warga emas berusia 57 tahun.

Tertuduh, Sharifuddin Baharuddin kelihatan tenang merayu di dalam kandang tertuduh Mahkamah Majistret, semalam, selepas didapati bersalah mengambil dadah.

Menurutnya, yang berasal dari Kampung Pondok Hutan Pasir, peluang itu perlu diberikan memandangkan masih berada dalam bulan mulia dan juga waktu perayaan.

“Bagilah saya peluang itu dan kalau boleh saya hendak mengubah hidup saya kepada yang lebih baik Yang Arif.

“Saya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan, saya amat berharap supaya hukuman ini adalah wajar,” katanya.

Tertuduh didapati bersalah mengambil dadah jenis morfin kira-kira jam 6.52 petang pada 12 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh.

“Tertuduh juga akan dikenakan dua tahun tempoh pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Sebelum itu, tertuduh dan sahabatnya juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas kesalahan mengambil dadah jenis heroin.

Dia dan Lau Chua Eng melakukan kesalahan itu di sebuah bangunan kosong sekitar Jalan Pahang kira-kira jam 3.45 petang, 12 Julai lalu.

Mengikut fakta pertuduhan, kedua-duanya didapati melakukan kesalahan itu ketika berada di tingkat satu bangunan yang terbengkalai itu.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat dua paket dadah iaitu serbuk heroin dan juga beberapa kertas timah di atas lantai.

Kedua-duanya yang tenang dalam kandang tertuduh hanya mengangguk tanda mengaku salah dengan perbuatan berkenaan.

Noor Aini kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.

Sinar Harian

Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KULIM - Polis sedang memburu murid tahun empat dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 12.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam pagar rumah remaja lelaki itu untuk mengambil motosikal.

“Dia yang menyedari kejadian itu bagaimanapun gagal menahan suspek kerana sukar membuka pintu gerigi rumahnya.

“Setelah berjaya membuka pintu, dia cuba mengejar suspek bagaimanapun gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki terbabit kemudiannya berjumpa anggota trafik yang sedang menjalankan tugas rondaan dan meminta bantuan.

“Kira-kira jam 12.45 petang, kakitangan pos laju menemui motosikal curi itu disorok belakang pokok dalam taman permainan berhampiran sekolah agama.

“Daripada pemeriksaan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tengah malam, semalam.

“Suspek mungkin menunggang motosikal itu untuk pergi ke sekolah tetapi meletakkannya di taman permainan untuk mengelak daripada diketahui orang lain,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini kes curi motosikal merupakan antara jenayah yang kerap berlaku di Kulim.

“Sebelum ini, polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kuala Ketil kerana mencuri motosikal di surau.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek di Taman Cengal ketika cuba melarikan motosikal itu ke Gurun untuk dijual,” katanya.

Sinar Harian

Didenda RM3,000 curi telefon

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang lelaki yang menceroboh masuk rumah jirannya dengan niat untuk mencuri tidak kesampaian apabila kehadirannya disedari pemilik rumah tersebut.

Lebih malang, dia yang hanya sempat merembat sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson milik jirannya itu dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Narizi Nawi, 26, dari Kampung Losong Hj Mat Shafie, di sini, selepas dia mengaku mencuri sebuah telefon bimbit bernilai lebih kurang RM300 milik jirannya, Nasiruddin Ramli, 23.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan di kediaman mangsa di Jalan Siakap, Kampung Losong Hj Mat Shafie, di sini, pada 8 Ogos lalu kira-kira jam 4.15 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 4.15 pagi hari kejadian, ayah mangsa telah keluar bekerja dan menutup semua pintu rumah dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, selepas 10 minit berlalu, ibu mangsa ternampak kelibat seorang lelaki (tertuduh) di dalam rumah itu dan terus melarikan diri sebaik menyedari kehadirannya diperhatikan.

Selepas itu, ibu mangsa terus memaklumkan kepada mangsa berhubung kejadian itu lalu tanpa berlengah mangsa membuat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada beberapa barang
hilang termasuk dua telefon bimbit jenis CSL dan Sony Ericson serta beg duit miliknya.

Namun, setelah membuat pemeriksaan, sebuah telefon bimbit CSL dan beg duit miliknya berjaya ditemui di hadapan rumah dipercayai tercicir ketika tertuduh cuba melarikan diri sebelum itu.

Tanpa berlengah mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, pada hari sama kejadian.

Sinar Harian

Van terjunam dalam gaung

10 Syawal 1433H. [MOD] -

REMBAU – Hanya kerana terkejut melihat kemalangan dan cuba mengelak daripada melanggar kereta yang terlibat dalam kejadian itu, seorang lelaki berhadapan detik mencemaskan apabila van yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Bukit Miku-Kampung Batu, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, mangsa, Mohamad Ali Abdullah, 51, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Linggi selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri rakannya di Bahau, Jempol.

Ali berkata, setibanya di tempat kejadian, dia ternampak dua kereta iaitu Proton Wira dan Perodua Alza terbabit dalam kemalangan sebelum cuba mengelak daripada melanggar kenderaan berkenaan.

“Namun, saya tidak menyangka tindakan saya itu menyebabkan van yang dipandu masuk ke dalam gaung sedalam 10 meter dan bernasib baik apabila orang ramai membantu mengeluarkan saya.

“Mujur saya tidak cedera dan ini merupakan kejadian pertama kali saya terbabit dalam kemalangan selama memandu sejak 30 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, petang kelmarin.

Sinar Harian

1,292 pil kuda dirampas, 2 beradik antara yang ditahan

10 Syawal 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH – Dua beradik antara yang ditahan ketika pemeriksaan jalan Ops Bersepadu yang berjaya merampas 1,292 pil kuda dalam dua tangkapan berasingan dekat Jalan Taman Hiburan, awal pagi semalam.

Dalam tangkapan jam 2.50 dan 5.15 pagi itu, polis berjaya mematahkan sindiket penjualan dadah sekitar daerah Tanah Merah, Jeli serta Kuala Lipis dengan nilai keseluruhan dadah dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM33,000.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bagi kes pertama bermula polis menahan sebuah kereta Satria yang dinaiki tiga lelaki.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan salah seorang suspek, polis menemui dua biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dalam poket yang diletakkan dalam kotak rokok.

“Dalam kenderaan tersebut juga, polis turut menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakan dalam ‘dashboard’ depan penumpang hadapan.

“Ia membawa kepada penemuan enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil kuda serta satu plastik lutsinar berisi daun kering yang disyaki dadah jenis ganja dan wang tunai RM4,450,” katanya kepada pemberita dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek yang berumur 23, 31 dan 32 tahun yang beralamat di Tanah Merah itu, ditahan reman tujuh hari bermula semalam, di mana kes disiasat di bawah Sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952 di mana anggaran nilai rampasan RM24,750.

Bagi kes kedua, dua beradik yang berasal dari Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang berjaya ditahan dil okasi yang sama ekoran memandu Proton Putra dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, 300 pil kuda yang disorok dalam beg silang di bawah tempat duduk pemandu berjaya dijumpai.

“Turut ditemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.

“Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun itu, kini ditahan dan siasat di bawah 39A (2) ADB 1952 di mana nilai rampasan berjumlah RM8,300,” katanya.

Abdul Aziz berkata, polis turut menyita dua kereta tersebut, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) ADB 1988 A.

Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek kes pertama kesemuanya positif Methamphetamine dan suspek kes kedua juga positif dadah jenis sama dan Opiate.

“Urusan pembelian dadah tersebut dilakukan dekat Bandar Pasir Mas dipercayai dalang utamanya adalah lelaki tempatan.

“Hasil siasatan awal ke atas dua beradik itu, mendapati mereka sudah tiga kali membeli barangan terlarang itu di negeri ini dan tiada rekod polis sebelum ini, namun bagi ketiga-ketiga suspek kes pertama pernah ditahan atas kesalahan dadah hujung 2011 yang lalu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan teruskan operasi sekatan jalan Ops Bersepadu untuk membanteras kesalah trafik, dadah walaupun kadar jenayah terkawal.

Sinar Harian

Menangis dituduh edar dadah

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah metamphetamine di hadapan bangunan Umno, Jalan Sultanah Zainab di sini, 14 Ogos lalu.

Azizie Mohd Yatim, 21; Wan Rosli Abdul Manaf; Wan Muhammad Khairi Wan Kasim dan Wan Ahmad Farees Wan Abdul Wahib masing-masing 23 tahun dituduh mengedar 60 gram dadah di lokasi berkenaan pada jam 2.45 pagi.

Keempat-empatnya dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman di hadapan Majistret Muhamad Safuan Azhar. Selesai tuduhan semalam, kesemuanya bagaimanapun menangis ketika diiringi polis keluar dari mahkamah.

Pada prosiding semalam, tiada pengakuan direkodkan. Kes bersambung 25 November depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan dalam Ops Khas Cegah Jenayah sempena Aidilfitri di sini, 14 Ogos lalu. Mereka ditahan bersama 600 pil kuda yang ditemui dalam beg di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam yang dinaiki.

Sinar Harian

Risalah ah long dirampas

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BUKIT BERUANG – Sebanyak 3,000 risalah iklan pinjaman tidak berlesen, bernilai hampir RM30,000 dirampas polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, rampasan berkenaan hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bachang Baru pada Jumaat lalu, jam 5.30 petang.

Menurutnya, dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun, masing-masing berasal dari Batu Gajah, Perak dan Muar ketika itu sedang bersiap untuk melakukan kutipan wang ditahan sebaik sahaja memasuki kediaman yang dikawal rapi oleh pengawal keselamatan.

“Kita berjaya merampas komputer, buku catatan pinjaman dan cek bernilai RM28,000 berserta telefon bimbit.

“Kita percaya rumah ini dijadikan stor untuk menyimpan poster ah long dan akan ditampal pada tengah malam," katanya.

Hock Sing berkata, tangkapan itu sekali gus menyelesaikan satu kumpulan kecil ah long yang giat melakukan aktiviti di Melaka.

"Usaha membasmi kegiatan pinjaman tidak berlesen ini akan diteruskan bagi memastikan ia tidak berleluasa," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM20,000.

Sebelum ini, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang bermula RM1,000 sehingga RM10,000.

JSJK turut merekodkan sebanyak 47 serbuan dan 11 tangkapan melibatkan usia antara 20 hingga 40 tahun bermula Januari hingga Ogos lalu berkaitan kegiatan berkenaan.

Sinar Harian

Ugut bunuh isteri: Dipenjara 3 bulan

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Tindakan luar batasan seorang penghantar surat yang membelasah isterinya termasuk mencekik dan mengugut untuk membunuh wanita itu dengan pisau, 23 Ogos lalu, mendapat balasan apabila dia dihukum tiga bulan penjara.

Dalam keputusan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, Mohd Fadzli Ibrahim, 24, turut didenda RM1,000 atau akan dihukum tiga bulan penjara lagi sekiranya dia gagal jelas denda itu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada jam 8 pagi di rumah mereka di Jalan Sultanah Zainab, di sini.

Kejadian bermula jam 3 pagi, tarikh berkenaan apabila mangsa, Wan Nor Aishah Wan Hassaan, 24, ditendang dan ditarik rambut oleh tertuduh dengan alasan dia menuduh isterinya itu keluar dengan lelaki lain.

Pergaduhan suami isteri itu berlarutan hingga jam 8 pagi dan kemuncaknya berlaku apabila tertuduh mengacu pisau dan mengugut untuk mencederakan mangsa. Pada masa sama, leher mangsa dipulas dan dicekik pengadu.

Pengadu yang ketakutan bertindak membuat laporan yang membawa kepada penahanan tertuduh hari sama.

Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Safuan Azhar mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Ikan eksotik dirampas

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BACHOK - Sejumlah 17 jenis ikan hiasan eksotik termasuk spesies Phirana dirampas dalam serbuan Pasukan Gerak Am (PGA) di sebuah rumah di Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang, jam 7 malam, Sabtu lalu.

Hasil rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Negeri Perikanan Kelantan, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, berdasarkan intipan yang dilakukan pihak PGA mendapati penyeludup membawa masuk ikan hiasan itu dari selatan Thailand melalui pengkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang.

Ikan tersebut kemudiannya disimpan di sebuah rumah sebelum menunggu pengangkutan yang akan membawanya kepada pembeli atau pengedar.

“Kebanyakan spesies ikan ini adalah dari spesies eksotik yang jarang ditemui seperti barb, silver shark, betta, pacu, clarias, keli albino dan ikan larangan seperti Phirana yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12,000.

“Kes ini diserahkan kepada kami di bawah Seksyen 61, Akta Perikanan 1985, mengikut Peraturan Perikanan (Larangan Import Eksport 1990), kerana membawa masuk ikan tanpa permit dan ikan larangan import eksport, “ katanya semalam dalam sidang media di Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan, Tawang, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut sebuah lori yang disyaki sebagai pengangkutan untuk memuatkan ikan tersebut turut dirampas.

“Ikan ini akan dilupuskan terutamanya Phirana yang menjadi ancaman dan perosak ekosistem perikanan memandangkan ia adalah spesies pemakan daging.

“Beberapa ikan yang bersesuaian akan digunakan untuk penyelidikan di Pusat Pengembangan Komuniti dan Akuakultur di Machang,” katanya.

Mohamad berkata, kes penyeludupan ikan hiasan eksotik ini sering berlaku berikutan permintaan dari pembekal dan peminat ikan hiasan.

“Semua ikan ini tidak diperolehi di Malaysia dan mempunyai nilai tinggi di pasaran. Kami tidak menolak kemungkinan laluan negeri ini adalah transit sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya.

Sinar Harian

Isu Rohingya: OIC lawat Myanmar minggu depan

10 Syawal 1433H. [MOD] -

DUBAI - Susulan sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengeluarkan kenyataan 14 perkara di Makkah dua minggu lalu, satu delegasi tertinggi akan mengunjungi Myanmar minggu depan.

Kenyataan 14 perkara itu bertujuan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Myanmar bagi menghentikan diskriminasi yang berterusan dan hostiliti pentadbiran yang terpaksa dilalui Muslim Rohingya di wilayah Arakan.

Dipetik portal The Gulf Today hari ini, Ketua Pengarah Kesatuan Rohingya Arakan (ARU), Profesor Wakar Uddin berkata, delegasi OIC akan melawat Myanmar minggu depan.

"Dua minggu lalu, OIC telah menghantar delegasi pertama bersama Palang Merah dan yang lain-lain ke Myanmar, yang telah melawat kem-kem yang menempatkan Muslim Rohingya selepas mereka dipaksa meninggalkan rumah mereka dan tinggal di kem-kem pelarian dalam keadaan yang amat menyedihkan," katanya.

"Delegasi kedua akan bertolak ke Myanmar minggu depan dan ia akan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC (Dr Ekmeleddin Ihsanoglu), satu lawatan penerokaan untuk mendapatkan fakta mengenai penindasan dilakukan oleh polis Myanmar dan kumpulan-kumpulan lain ke atas Muslim Rohingya," kata beliau lagi.

ARU dibentuk atas arahan Ekmeleddin yang menggesa agar komuniti Islam Myanmar di seluruh dunia menubuhkan kesatuan itu. Ia ditubuhkan pada Mei 2011.

"Pada awalnya kami ada 25 organisasi Muslim Myanmar, yang beroperasi di seluruh dunia dan yang lain-lain akan menyertai kami sebagai satu platform tunggal untuk mewakili Muslim Rohingya," katanya lagi.

Menurut Wakar, Myanmar mempunyai tiga juta kaum Muslim dan separuh daripadanya adalah Rohingya, yang tinggal di negeri Arakan.

Katanya, minggu lalu sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia bercadang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar.

"Ini satu perkembangan besar untuk membantu Muslim Rohingya," katanya.

Katanya, Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) akan menganjurkan satu konvensyen di Washington DC mulai 31 Ogos hingga 2 September ini, yang akan memfokus Muslim Rohingya.

Sinar Harian

Juruwang maut ditembak penyamun

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang juruwang maut terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki yang menyamun sebuah kedai Internet di Taman Jinjang Baru, Sentul, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Mohd Rahmat Jul, 34, berada di kaunter, sebelum premis terbabit tiba-tiba dimasuki dua lelaki berusia 40-an yang bersenjatakan parang serta pistol.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Dhari, 38, ketika kejadian dia bersama lapan pelanggan berada dalam premis terbabit.

Katanya, dua suspek terbabit meluru masuk, terus menuju ke kaunter premis sambil mengacukan pistol dan parang ke arah mangsa.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu mengugut mangsa untuk menyerahkan semua wang tunai yang ada.

"Mangsa terpaksa menyerahkan kira-kira RM2,000 sebelum kedua-dua penyamun itu beredar.

"Mangsa, bagaimanapun, sempat mencapai sebatang kayu dan memukul tangan penyamun yang bersenjatakan pistol, tetapi penyamun itu sempat lari keluar dari premis," katanya, semalam.

Saksi itu berkata, mangsa tidak berputus asa dan terus mengejar penyamun berkenaan, sebelum dia terdengar bunyi tembakan.

"Apabila saya keluar, mangsa sudah cedera parah ditembak. Saya kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan teksi," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, penyamun melepaskan tiga das tembakan dan mengenai perut serta paha mangsa.

"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang.

"Dua penyamun itu bersenjatakan sepucuk pistol serta sebilah parang. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Chin Wah berkata, usaha memburu kedua-dua penjenayah itu sedang giat dijalankan.

Isteri mangsa, Siti Samiah Gapal, 34, yang bekerja di kilang plastik berkata, suaminya ada menghubungi pada jam 3 pagi memaklumkan akan pulang lewat.

"Suami bekerja sambilan di situ dan saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan oleh ibu," katanya.

Sinar Harian

Ditembak selepas ngaku Pok Mat

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit maut selepas terkena dua das tembakan pada jarak dekat di rusuk kanan belakang dan rusuk kiri depan oleh tiga lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Marang, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, sedang bermain dam berhampiran kedainya bersama seorang rakan, Allias Lemas, 51, sebelum didatangi sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, Perodua Viva berwarna putih itu berhenti antara jarak lima meter sahaja dari tempat mangsa bermain dam sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu ingin mencari ‘Pok Mat’.

“Salah seorang suspek bertanyakan kepada mangsa adakah dia ‘Pok Mat’ dan mangsa yang sememangnya dikenal dengan nama itu dalam kalangan rakan serta orang kampung mengiakan sahaja.

“Bagaimanapun, hanya beberapa saat selepas mangsa mengaku yang dia adalah 'Pok Mat', dua das tembakan dilepaskan oleh salah seorang suspek menyebabkan mangsa terus rebah sebelum mereka memecut kereta meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Manoharan berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian rusuk dihantar penduduk kampung ke Hospital Kuala Berang untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bagaimanapun, bapa lima anak itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan.

Katanya, suspek berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun dipercayai lelaki Melayu.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Gurau menda ni.."

"Gurau menda ni..." itulah kata-kata terakhir Allahyarham Mat Keya sebelum rebah selepas terkena dua das tembakan di hadapan kedai makan miliknya di Kampung Bukit Chempedak, Pengkalan Berangan, malam kelmarin.

Rakan Allahyarham, Allias berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa ditembak dari jarak dekat ketika sedang bermain dam.

“Sebelum kejadian, kami melihat kereta berhenti di sebuah rumah berdekatan kedai ini tetapi kereta itu hanya berhenti sekejap sahaja di situ sebelum bergerak semula dan berhenti di hadapan kedai ini.

“Sebaik kereta itu berhenti di hadapan kedai, betul-betul di hadapan kami, seorang individu tidak dikenali bertanya adakah kami mengenali ‘Pok Mat’ lalu mangsa mengakui dia adalah ‘Pok Mat’ yang dicari,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penjenayah itu kemudiannya mengundurkan kenderaan sebelum melepaskan dua das tembakan.

Menurutnya, sejurus selepas bunyi tembakan itu dia melihat mangsa bangun dan memarahi individu berkenaan kerana menganggap ia gurauan melampau.

“Bagaimanapun, Pok Mat kemudiannya rebah dan ketika memegang mangsa saya melihat ada kesan darah di bahagian rusuk lalu memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya,” katanya.


Sangka bunyi mercun

Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata, dia juga tidak menyangka bunyi letupan sebanyak dua kali itu adalah bunyi tembakan yang meragut nyawa suaminya.

"Ketika kejadian, saya berada di dapur dan sangka bunyi letupan itu bunyi budak nakal bermain mercun,” katanya yang mempunyai lima anak.

Pemergian ketua keluarga itu bukan sahaja ditangisi Sepiah, tetapi turut dirasai anak-anak mangsa malah salah seorang anak mangsa, Mohd Hafizudin, 17, tidak hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan ini sepatutnya menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu, namun tidak dapat hadir kerana bersedih atas kejadian menimpa ayahnya.

Sinar Harian

Lori dirempuh 3 kali, guru antara maut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Sebuah lori tiga tan yang merintangi lebuh raya dirempuh tiga kali, mengakibatkan dua maut dalam kemalangan Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi membabitkan lima kenderaan itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor, sementara Mohammad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, seorang jurutera, maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Muhammad Farid memandu kereta jenis Perodua MyVi dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu.

Mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan yang sebelum itu telah merempuh bahagian belakang sebuah treler.

Sumber berkata, kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa terhumban ke tebing lebuh raya, sementara lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan tengah sehingga merentangi jalan.

"Pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, tersepit di tempat duduk selepas merempuh treler dan kemudian dirempuh pula oleh mangsa di bahagian belakang.

"Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Dengar jeritan pemandu lori

Menurutnya, selang 30 minit kemudian, Mohammad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal Kawasaki Versys turut merempuh lori terbabit menyebabkan mangsa tercampak ke tebing lebuh raya.

"Beberapa saat kemudian, sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza Irdawati, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1, merempuh bahagian tepi lori terbabit," katanya.

Saksi kejadian, Mohd Farhan Mohd Asri, 23, berkata, dia cuba membantu pemandu kereta Perodua MyVi tetapi gagal berikutan pintu kereta mangsa tidak dapat dibuka.

"Pada masa sama, saya mendengar jeritan pemandu lori yang meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu kerana lorinya berada di tengah jalan dan terpaksa menunggu anggota peronda lebuh raya tiba.

"Sementara itu, saya lihat empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Saga berjaya menyelamatkan diri ke tepi lebuh raya," katanya yang mengakui panik dengan kejadian itu dan pantas menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba Alor Gajah tiba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Operasi JPAM, Mohd Rizuan Rahmat berkata, tiga anggotanya bersama sepasukan anggota Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kedudukan mangsa yang tersepit rapat di bahagian tempat duduk penumpang menyukarkan operasi. Kami berjaya mengeluarkannya selepas 30 minit," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian tersebut.

"Pemandu lori mengalami kecederaan parah di kaki akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, sementara empat sekeluarga menaiki kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Isteri pantang anak pertama

Isteri Allahyarham Muhammad Farid, Nurul Ain Suhari, 20-an, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mikhail Zain Muhammad Farid, berusia 20 hari reda dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Mohammad Fakhrulrazi, Ily Zafirah Shahrinan, 27, berkata, dia tidak menyangka permintaan agar kedua ibu bapanya tingal di rumahnya lebih lama adalah petanda dia mahu meluangkan masa bersama mereka.

“Bapa, Shahrinan Ibrahim, 53, dan ibu saya, Zan Abd Ghani, 53, pelik dengan permintaan suami yang seolah-olah menghalang mereka pulang namun hanya menurutkan sahaja permintaannya supaya pulang ke rumah malam ini (semalam),” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan kerana hasrat arwah suaminya untuk membeli sebuah rumah baru buat mereka sekeluarga tidak kesampaian.

"Lebih seminggu arwah bercuti sempena Hari Raya dan tiada reaksi pelik ditunjukkannya cuma arwah enggan membeli apa-apa barangan raya untuk dirinya tetapi melebihkan saya serta anak, Mohamad Adeeb Zuhayr berusia 20 bulan," katanya.

Sinar Harian

Piala Malaysia: Selangor tidak mudah serah kalah

10 Syawal 1433H. [MOD] -

PASUKAN Gergasi Merah Kuning enggan menyerah kalah begitu sahaja pada pertembungan getir berdepan T-Team menjelang perlawanan ketiga Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Biarpun Selangor berada dalam keadaan kritikal setelah gagal mengutip kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini, jurulatihnya Irfan Bakti berkata, masih terlalu awal untuk ‘mengibar bendera putih’ kerana aksi peringkat kumpulan baru sahaja memasuki perlawanan kedua.

Jelasnya, beliau masih belum mahu menekan butang panik biarpun ‘Misi 33’ tampak semakin samar selepas seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.

“Keputusan ketika pertemuan dengan Pahang baru-baru ini memang mengecewakan, tetapi tiada apa yang perlu digusarkan kerana masih ada empat baki perlawanan.

"Lagipun, masih terlalu awal untuk mengaku kalah, saya percaya pemain akan bangkit dalam baki perlawanan selepas ini," kata Irfan sambil menambah, "pertemuan dengan T-Team malam esok (ini) amat penting untuk kami melakar kemenangan pertama."

"Apa yang penting, pemain jangan mengulangi kesilapan mudah seperti mana dilakukan sebelum ini.

"Kalau tidak, lupakan sahaja ‘Misi 33’ yang dicanangkan sekiranya tewas pada pertemuan berkenaan," jelasnya lagi.

Berdasarkan kedudukan selepas dua perlawanan sebelum ini, Selangor kini berada ditangga ketiga dengan mengutip satu mata dibelakang Pahang dan Sarawak yang berkongsi empat mata.

Sinar Harian

Susulan isu letak jawatan penulis Guardian, PKR mahu penjelasan PM

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – PKR mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap terbuka menyatakan pendirian pentadbirannya dalam isu penggunaan konsultan asing dalam membina imej di sebalik isu peletakan jawatan oleh penulis akhbar The Guardian, Joshua Trevino.

Trevino sebelum ini didakwa mengamalkan taktik kewartawanan kotor setelah beliau didedahkan menjadi konsultan FBC Media, yang menulis artikel-artikel memuji imej pemimpin tertentu termasuk Najib.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu yang penuh kontroversi itu didakwa menimbulkan semula isu obsesi pentadbiran Barisan Nasional (BN) bagi membayar konsultan bagi membina imej parti itu di luar negara.

“Tahun lalu Najib mengaku di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 dan 2010.

“Meskipun Najib cuba menjauhkan dirinya daripada taktik kewartawanan kotor FBC yang ‘mengatur berita’ selepas menerima upah daripada Kerajaan Malaysia, dilihat masih gagal.

“Sedangkan, dua rangkaian media antarabangsa Perbadanan Penyiaran British (BBC) serta Saluran Niaga dan Berita Pengguna (CNBC) menamatkan kontrak mereka dengan FBC Media memandangkan pelanggaran etika kewartawanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Najib juga wajar berterus-terang kepada rakyat Malaysia tentang peranan pentadbirannya di dalam skandal mengatur berita yang telah memburukkan imej negara.

“Skandal ini membuktikan pentadbiran hari ini hanya menumpukan perhatian untuk mendapat pengiktirafan tidak bermakna dari luar bagi menutup kegagalan mereka menyelesaikan masalah di dalam negara.

“Jelas sekali pentadbiran Najib tidak mempunyai keutamaan yang sewajarnya dan hanya mampu menumpukan masa mereka terhadap fitnah dan penipuan, bukannya perubahan dasar,” jelas beliau lagi.

Sinar Harian

Selesaikan segera isu kutipan sampah di Perlis

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KANGAR: PAS Perlis meminta Kerajaan Negeri Perlis menyelesaikan segera masalah pungutan sampah di negeri ekoran kemelut yang melanda antara Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Kemelut melanda apabila MPK pada 23 Ogos lalu mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan E-Idaman yang didakwa gagal memenuhi tahap pencapaian dan melanggar perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Bagaimanapun E-Idaman meneruskan kerja kutipan sampah pada 24 Ogos walaupun lori-lori sampah mereka dihalang untuk memasuki tempat pelupusan sampah di Padang Siding, Arau.

Pengurusan syarikat itu memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan mereka berikutan pembuangan sampah dan sisa pepejal yang meningkat secara mendadak pada musim perayaan.

Sementara itu, MPK memaklumkan bahawa buat sementara waktu ini, kerja-kerja pengutipan sampah akan diserahkan kepada sebuah syarikat swasta yang mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja pembersihan.

Mengulas isu ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan (gambar atas) berkata tindakan MPK itu tidak wajar kerana mereka belum melantik sebuah syarikat yang akan menggantikan E-Idaman.

Menurutnya, maklumat yang beliau perolehi, syarikat yang akan mengutip sampah buat sementara waktu ini adalah sebuah syarikat sub-kontraktor yang bekerja dengan E-Idaman juga.

"Hari tu saya hairan kenapa MPK buat keputusan tidak membenarkan lori sampah E-Idaman buang samaph di Padang Siding? Kalau tak pergi buang di situ ke mana mereka nak buang sampah tu?

"Dengan melantik kontaktor semnetara ini, saya ingat jangan sampai jadi macam orang-orang dulu sebut 'ibarat buang kentut ambil tahi'. Pergi ambil yang baru nak bagi busuk lagi keadaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat.

Tegasnya lagi, PAS Perlis memandang serius isu ini kerana melibatkan kepentingan rakyat Perlis serta kesihatan mereka.

"Kenapa ditamatkan kontralk E-Idaman secara mengejut. Jangan sampai nak jaga kepentingan syarikat tertentu sampai kita menyusahkan rakyat.

"Kita harap agar isu ini diselesaikan segera secara dan baik. Jangan biar rakyat yang menjadi mangsanya nanti,"ujarnya lagi.

Harakah Daily

Jenayah ragut jadi budaya hidup di negara ini

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Saya telah diminta oleh seorang pengunjung blog saya melalui e-mailnya meminta saya memberikan komen tentang jenayah ragut yang agak berluas-luasa di negara ini. Insan yang menghantar email itu menyatakan yang beliau mahukan saya menulis tentang jenayah ragut yang telah berlaku kepada isterinya beberapa tahun dahulu yang menyebabkan isterinya tercedera dan telah menghadapi rasa fobia apabila berjalan di bandar untuk membeli belah atau ke pasar.

Pengadu ini mempersoalkan sama ada apa yang di bangga-banggakan negara ini sebagai negara yang aman dan selamat itu adalah benar atau sebaliknya. Sesungguhnya jenayah ragut memang banyak berlaku dan saya sendiri pernah menyaksikan peristiwa ragut belaku di hadapan mata saya sendiri. Dua orang yang menaiki motosikal telah lalu di sebelah wanita yang membimbing bag tangan dan terus sahaja meragut wanita itu dan mereka (peragut) terus memecut laju meninggalkan wanita tadi terbaring di tebi jalan dan mengalami sedikit kecederaan di tangannya.

Peristiwa seperti ini selalu berlaku dan sekali gus ia menafikan yang negara kita adalah sebuah negara yang aman damai seperti yang di antara kita bangga-banggakan. Ini tidak termasuk kes rogol, bunuh dan pecah rumah yang menjadi bahan berita yang lumrah melalui saluran-saluran TV kita serta media cetak. Ada sahaja yang cedera dan mati akibat jenayah ini.

Banyak pihak bertanya kenapa perkara ini selalu sangat berlaku di negara kita? Ada yang bertanya bagaimanakah keadaaan sebuah negara yang aman itu? Pihak penguasa polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain boleh kita lihat di mana-mana terutamanya di kotaraya-kotaraya dalam negara kita tetapi jenayah tetap berkembang dengan cepat dan deras. Malahan ramai di antara bekas anggota dan pegawai tertinggi polis menulis dan membuat kenyataan yang mengakui jenayah di negara kita meningkat dengan begitu ketara.

Selalunya apabila se sebuah negara yang sering berlaku samun dan rompak serta jenayah ragut ini berlaku dengan pesatnya ia merupakan petanda dan dalil yang rakyat miskin adalah ramai dan mengambil tindakan mencuri dan merompak harta benda orang lain untuk hidup.

Di negara-negara Scandinavia misalnya tidak ada kes-kes rompak dan samun yang ketara seperti yang berlaku di negara kita. Negara-negara dalam gugusan Scandinavia ini merupakan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi malah ia melebihi pendapatan per kapita negara-negara G8. Kalau kita melawat negara-negara ini kita tidak akan nampak anggota polis berkeliaran seperti di negara kita. Di negara-negara yang saya sebutkan ini keamanan dan keselamatan diri individu rakyat seperti terjamin. Inilah contoh-contoh sebuah negara yang aman.

Sebaliknya di negara kita, kita melihat anggota polis dan penguatkuasa yang lain berkeliaran tetapi insiden seperti yang di tulis oleh pengadu kepada saya itu berlaku dengan meluas. Ragut di sana dan ragut di sini dan dengan jelas kes ragut harta orang lain ini sememangnya menjadi perkara yang lumrah di negara kita ini.

Pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai kuasa di tangan mereka pun melakukan ragut-meragut harta orang lain seperti harta rakyat seperti yang kita selalu dengar melalui pendedahan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Jumlah harta dan wang ringgit rakyat yang diragut oleh pemimpin-pemimpin kita melibatkan jumlah yang puluhan billion ringgit. Rakyat sentiasa diragut wang ringgit mereka oleh mereka dan pemimpin yang mereka (rakyat) amanahkan untuk menjaganya.

Jenayah ragut ini sememangnya sudah tidak dapat dihentikan lagi selagi mereka ini masih berkuasa. Jumlah yang terilbat dalam ragut oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah kecil. Yang penting rakyat fahami dan cuba untuk menghentikannya ialah kes-kes ragut yang berbillion ringgit yang dilakukan oleh pimpinan yang sedang berkuasa. Jenayah ragut yang mereka lakukan itu melibatkan harta wang ringgit seluruh rakyat yang mengisi kantung perbendaharaan negara kita melalui berbagai bentuk cukai yang mereka bayar setiap hari.

Penjenayah ragut yang dilakukan oleh penunggang motosikal itu mudah untuk diselesaikan kerana sudah ramai yang tertangkap dan dipenjarakan. Tetapi masalah yang terbesar sekarang ini ialah untuk menyelesaikan kes ragut kolar putih yang sedang dilakukan oleh pimpinan besar kita serta penjawat-penjawat awam negara yang melibatkan ratusan berbillion ringgit itu.

Peragut-peragut jenis inilah yang amat susah untuk diselesaikan. Malahan yang mendedahkan kes ragut itu pula yang kena tuduh di mahkamah kerana ada undang-undang yang melindungi penjenayah ragut yang berkolar putih ini. Rafizi Ramli telah dituduh di mahkamah kerana mendedahkan kes ragut wang rakyat yang berbillion ringgit oleh keluarga yang mempunyai pengaruh dalam kabinet negara yang di dalamnya mempunyai penjenayah ragut yang besar-besar.

Sekarang rakyat yang sedar dan insaf telah mendapat formula yang jelas untuk menyelesaikan kes-kes ragut yang besar-besar ini. Caranya ialah dengan mengenepikan mereka dari kuasa yang ada pada mereka.

Waktu untuk mengenepikan mereka akan sampai tidak lama lagi. Masanya itu ditentukan oleh Najib, Perdana Menteri kita. Rakyat sekarang sedang memberikan tumpuan untuk menolak mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ragut meragut ini. Rakyat sudah kerugian begitu banyak oleh kegiatan ragut yang dilakukan oleh mereka yang sedang berkuasa itu.

Jika semua rakyat bekerjasama dalam PRU ini, isu penjenayah ragut ini akan dapat diselesaikan dengan cepat. Maka harta benda rakyat akan dapat diselamatkan dari diragut oleh pihak yang sudah sebati dengan kes ragut meragut ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Harakah Daily