26 August 2012

Assange: UK tarik balik ancam serbu kedutaan Ecuador

7 Syawal 1433H. [MOD] -

ECUADOR: United Kingdom telah menarik balik ancaman menyerbu masuk kedutaan Ecuador di London untuk menahan pengasas Wikileaks, Julian Assange yang sedang berlindung di situ, ujar Presiden Ecuador.

Rafael Correa berkata demikian semasa sidang mingguan media Sabtu lalu.

(Assange bercakap kepada media di kedutaan Ecuador)


"Kami menganggap kejadian yang mendukacitakan ini telah berakhir, selepas kesilapan diplomatik yang teruk daripada kerajaan British yang mahu menyerbu masuk kedutaan kami," kata Correa.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Ecuador berkata mereka telah menerima "satu mesej dari Pejabat Luar Negara British yang mengatakan bahawa tidak ada ancaman untuk menyerbu masuk kedutaan Ecuador".

Ecuador berang selepas kerajaan British memberi amaran bahawa mereka mungkin akan cuba untuk menahan Assange, yang telah berkurung di dalam bangunan kedutaan itu lebih daripada dua bulan kerana cuba untuk mengelakkan dari diserah balik ke Sweden, di mana beliau dikehendaki untuk disoal siasat atas tuduhan rogol dan serangan seksual.

Ecuador, yang telah memberi suaka politik kepada Assange, sebelum ini menuntut bahawa ancaman daripada Britain itu ditarik balik.

Langkah terbaru itu sepatutnya mampu memperbaiki hubungan antara Quito dan London dan membenarkan lebih banyak perbincangan mengenai nasib Assange dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, buat masa ini, Assange masih terperangkap di kedutaan Ecuador dengan pihak polis British menunggu di luarnya.

Britain berkata mereka tekad untuk memenuhi tuntutan undang-undang untuk menghantar Asange ke Sweden.

Ancaman Britain dikritik

Pertubuhan negara-negara Amerika (Organisation of American States), sebuah kumpulan yang berpusat di Washington, sebelum ini telah mengutuk ancaman UK, dan Menteri Luar Amerika Selatan menyokong penuh pandangan Correa bahawa amaran dari UK itu tidak masuk akal.

Correa berkata beliau berkongsi kebimbangan Assange bahawa jika Asange diserahkan ke Sweden, maka Asange boleh diserahkan ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan ke atas penerbitan Wikileaks tahun 2010 berkenaan rahsia diplomatik AS.

Bagaimanapun, sumber-sumber kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah mengatakan Amerika Syarikat tidak mengeluarkan sebarang tuduhan jenayah terhadap pengasas Wikileaks itu dan tidak melancarkan sebarang cubaan untuk membuatkan beliau diserah balik ke AS.

Kerajaan Ecuador berkata mereka tidak pernah berniat untuk menghalang Assange daripada dibawa ke mahkamah di Sweden.

Ecuador berkata jika Asange menerima jaminan bertulis daripada Britain dan Sweden bahawa Asange tidak akan diserah ke mana-mana negara ketiga maka Assange akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Sweden.

harkahdily/

Pegawai perlu sokong dasar kerajaan yang ada

7 Syawal 1433H. [MOD] -

(TMB Kelantan memberikan ucapan perasmian)

KOTA BHARU: Kakitangan awam diingat menyokong dasar kerajaan negeri yang ada sekarang khususnya berhubung Dasar Membangun Bersama Islam yang diwujudkan sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata adalah menjadi tanggungjawab kakitangan kerajaan negeri berbuat demikian bersesuaian tanggungjawab yang dipikul di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kursus Motivasi dan Integriti pada penolong pegawai tanah dan pelukis plan negeri Kelantan.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob.

Lebih 100 orang kakitangan pejabat tanah seluruh jajahan hadir pada majlis yang julungkali diadakan itu.

“Kerajaan negeri ada dasarnya, dasar Membangun Bersama Islam, Dasar Pelancongan Dasar Wanita dan berbagai lagi yang perlu disokong bersama,”ujarnya.

Sebagai pegawai kerajaan, mereka perlu menyokong dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang ada.

Pada masa yang sama beliau berkata kakitangan kerajaan negeri perlu mengikut lima kategori kerjaya, antaranya jauhi dasar pilih kasih dalam kerja, amanah, selain mematuhi dasar kerajaan negeri.

Tegasnya, elak kepentingan diri disamping bertekad untuk mencapai cita-cita kerajaan.

Sementara itu, Ahmad ketika merasmikan majlis itu berharap kakitangan awam khususnya yang bertugas di pejabat tanah membantu kerajaan negeri menyelesaikan masaalah pencerobohan tanah kerajaan.

Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan negeri masih tidak selesai hingga ke hari ini dan sukar dikawal.

“Tentunya memerlukan pengorbanan kakitangan untuk menyelesaikan tanah kerajaan termasuk tanah rezab di kawasan bandar.

“Kita memang mudah terdedah dengan pelbagai kesempatan untuk memenuhi kepentingan diri, kita mudah diheret untuk bersekongkol dengan pihak penceroboh,”ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya dengan keimanan yang tinggi disamping integriti kerja ianya dapat diatasi dengan baik.

Sambungnya, budaya kerja ubudiah, masuliah dan itqan perlu ditekankan untuk megelakkan perkara tidak diingini berlaku dalam menjaga amanah rakyat dan harta kerajaan

harakahdaily/-

Samun 9 dulang barang kemas

7 Syawal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN: Dua perompak bersenjatakan sepucuk pistol automatik melarikan sembilan dulang barang kemas dalam tempoh kurang lima minit di sebuah kedai emas dalam kejadian samun di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang selepas dua suspek memakai topi keledar menyerbu masuk ke kedai emas itu ketika pekerjanya berkemas untuk menutup operasi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Lim Kim Fook berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 30-an datang ke kedai terbabit dengan sebuah motosikal dan berhenti di depan premis.

Beliau berkata, sebaik masuk ke kedai, kedua-dua lelaki itu meminta tiga pekerja di kaunter memasukkan barang kemas pelbagai jenis ke dalam beg dibawa sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.

“Ketika kejadian, ada lima orang di dalam kedai, termasuk seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata selain tiga pekerja di kaunter kedai jam yang terletak bersebelahan.

“Ketika itu, pemilik kedai berada di bahagian belakang dan semua yang berada di dalam premis terpaksa menurut permintaan penjenayah terbabit demi keselamatan.

“Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama sembilan dulang barang kemas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Lim berkata, tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian dan pemilik sibuk berkemas untuk menutup kedai.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan kerugian belum ditaksirkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan setakat ini suspek belum dikenal pasti.

“Ini antara kejadian samun terbesar setakat ini membabitkan kedai barangan kemas,” katanya.

metro/

Mahathir rampas kuasa Najib?

7 Syawal 1433H. [MOD] -

Sementara Ha Najib Razak terus menelan panadol kerana skait kepala disebabkan beberapa perkembangan terakhir di dalam negara dan juga suasan dalam BN tidak menentu terutamanya di Sabah dan Sarawak, maka tugas untuk melutu Anwar Ibrahim diambil alih sepenuhnya oleh Mahathir Mohamad. Ternyata Najib bukan saingan hebat untuk berdekat dengan Anwar. Keengganan untuk berdebat atas apa jua isu meletakan Najib berada di hujung kaki Anwar.

Mahathir Mohamad
Walaupun Najib muncul sebagai Santa Claus yang membahagi-bahagikan air skrim dan gula-gula untuk rakyat tetapi aksi dan kebaikan itu tidak berjaya melonjakkan markah untuk dirinya. Sokongan dan minat orang ramai kepada BN tetap merudum. Jadi menyedari kelemahan Najib itu maka Mahathir terpaksa 'kudeta' kuasa Najib untuk terus menyerang Anwar.
Mahathir pun sudah terkial-kial, habis giar untuk memancu kelajuannya dalam mengekori Anwar apa lagi hendak memintas. Anwar terlalu laju dan jauh ke depan tanpa mempedulikannya membebel di belakang. Penampilan dengan berbagai idea yang ideal untuk rakyat Malaysia meletakkan Anwar menjadi harapan rakyat. Di Sabah dan Sarawak rakyat ngeri itu sudah mulai merasa Anwar akan menjadi pahlawan membela mereka.

Bidalan baru Mahathir kononya mengambil perpatah Inggeris bebunyi; lebih baik syiatan yang dikenali daripada malaikat yang tidak kenal, menggambarkan kesesatan dan kesongsangan falsafah agama politik Mahathir. Pemikiran Mahathir jelas gelap dan terhijap kelam dari ilmu Islam sehingga dia mengambil bidalan itu untuk menggayungkan yang BN lebih baik dari Pakatan Rakyat atau Anwar.

Apakah Mahathir memahami erti syaitan dan malaikat? Apakah dia membaca sejarah dan biografi kedua mahkluk Allah itu. Syaitan dan malaikat jauh bezanya umpama langit dengan bumi. Syaitan telah terang-terang memperakui akan melakukan tipu daya ke atas manusia bahkan dia berjanji untuk menggoda manusia dari syurga hingga ke atas muka bumi sampai kiamat. Berapa kali di dalam Quran menyebut Allah s.w.t. mengutuk dan mengecam syaitan (sama ada dikenali atau tidak) berbanding dengan malaikat. Inilah kesongsangan dan kejahilan Mahathir dalam agama yang cukup bahaya kalau tidak ditegur.

Berlainan dengan malaikat, tugasnya ialah membawa rahmat, menjaga manusia zahir dan batin. Dalam konteks fungsi dan peranan kedua makhluk ini lebih baik mendekati malaikat yang tidak kenal sebab fungsi dan tugasnya membawa rahmat dan tidak akan mempedayakan manusia. Malaikat sama ada kenal atau tidak dia tetap akan membawa rahmat.

Syaitan walaupun baik dengan berbagai bentuk penyamaran ia tetap jahat dan kerja-kerjanya membimbing manusia ke arah jahat. Apakah selama ini Mahathir mengambil syaitan yang dikenali untuk menjadi kawannya menyebabkan hidup dan karektor politiknya rencam dan songsang seprerti hari ini? Menghentam Pas, menghentam Anwar tanpa ada henti-henti. Menghentam juga Abdullah Badawi yang cuba membawa malaikat ke dalam raga Umno? Begitukah. Begitulah agaknya.

Perumpamaan dan bidalan Mahathir itu tidak kena. Rakyat yang ada latar belakang agama dan pengetahuan serta tahu mengenai rukun-rukun imam tidak akan mudah terpengaruh dengan gesaan Mahathir itu. Melainkan mereka yang jahil mengenai rukun imam akan menerimanya, akan merasa senang hati dan menganggap syaitan itu sebagai sahabat manakala malaikat yang baik itu musuh yang perlu ditinggalkan jauh.

Mahathir juga perlu meralatkan kata-kata berbunyi; "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat bannyak perkara salah," katanya seperti dilapor.

MasyaAllah tergamak Mahathir bermadah demikian mengatakan malaikat juga melakukan kehilafan? Di sini Mahathir menafikan akan penjelasan dan pengakuan bahawa malaikat itu adalah makhluk suci yang tidak ada nafsu amarah. Kata-kata Mahathir itu boleh dianggap dia menyamakan malaikat dengan syaitan. Sebenarnya kata-kata jahil murakab begitu tidak menghairankan kerana sebelum ini Mahathir banyak kali mempersendakan agama dan batang tubuh Nabi kita Muhammad s.a.w. dengan kata-kata yang sikir telinga untuk mendengarnya. Bahkan hudud juga menjadi bola mainan di mulut rapuh Mahathir.

Satu masa beliau pernah mempersendakan orang yang simpan janggut dan memakai jubah. Apabila orang yang cuba meniru sunnah Nabi itu dengan menyimpan janggut, beliau memberi helah kononya Rasulullah menyimpan janggut bukan ada apa-apa keberkatan dan hikmah di sebaliknya, tetapi kerana waktu itu tidak ada gillate (pisau cukur) untuk Nabi mencukur janggutnya.

Begitu sekali tohor dan jahilnya Mahathir dalam memahami sunnah dan perbuatan Rasulullah. Mempersendakan amalan Rasulullah begitu ia boleh meletakkan akidah Mahathir dalam keadaan sengget kalaupun tidak jatuh dan tercelup lumur hanyir.

Mengenai Mahathir ini banyak yang menghirankan kita dan sama sekali tidak sangka orang dianggap bijak, membangun Malaysia, bapa pembangunan moden Malaysia atau Kamal Altartuk Malaysia masih bermain dengan politik ala-ala budak. Misalnya beliau terus mempertikaikan dan memperkecilkan janji-janji atau agenda politik Anwar. Beliau membuat jahil mengenai janji politik.

Katanya politik Anwar macam Barak Obama di mana banyak berjanji tetapi tidak ada jaminan untuk melaksanakannya. Apakah Mahathir masih bangun awal dari tidur dan membuka internet membaca blog-blog pro pembangkang? Kalau Mahathir bangun lewat dan hanya membaca Utusan, Berita Harian, tonton tv RTM dan TV3 serta hanya membaca blog-blog pembodek dan pentaksubnya beliau tidak akan menemui jaminan dimaksudkan itu.

Tidak payah pergi jauh Mahathir cuba baca kenyataan-kenyataan dikeluarkan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli. Di situ sahaja kalau Mahathir ikhlas beliau dapat jaminan terhadap janji yang dibuat oleh Anwar itu. Tetapi kalau beliau ralik dan asyik baca media PB beliau akan menemui bidasan mengatakan semua agenda yang diperkenalkan Anwar dan PKR hanya akan membankrupkan negara? Tidak sepatutnya orang sebijak Mahathir terus membaca pendapat dan pandangan orang yang berfikiran sempit penuh emosional yang disiarkan media PB itu.

Duhai Mahathir belajar bangun pagi dan buka internet selepas Subuh. Jangan hanya menulis blog tetapi diisi oleh orang lain kita sendiri buta dan tutup mata, telinga dan hidung kepada syarahan orang lain dalam internet. Ambillah sdedikit keadilan untuk mengseimbangkan diri.

Kalaupun hendak ambil tugas Najib dalam menyerang Anwar ambillah secara baik dan lakukan kerja yang diamanahkan Najib itu dengan baik. Jangan pula kita menjadi tikus yang cuba membaiki labu. Kalau diperhatikan banyak pandangan Mahathir dalam hendak membela Umno terjadi sebaliknya, bela membawa celaka. Sikap Mahathir menegur Najib daripada mengumumkan (bentuk) suruhanjaya bebas RIC di Sabah telah mencalarkan imej Najib sebagai seorang perdana menteri. Sebagai bekas PM Mahathir tidak sepatutnya menghalang Najib dan berikan peluang kepadanya.

Tindakan atau sikap merasakan diri sendiri pandai dan bijak seperti mana dilakukan ke atas Abdullah Badawi dulu tampaknya dihala pula kepada Najib. Apakah Mahathir mahukan Udin anak Yassin mengambil alih kepimpinan Umno dan tidak yakin pilihan raya ke-13 Umno akan menang dua pertiga kalau ia dinokhodai Najib. Nampak-nampkanya begitulah?

harakahdaily/-