14 August 2012

Ramai rasai Umno meniti di benteng akhir

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KETEREH: Peristiwa yang berlaku sekarang di mana semakin ramai menyertai PAS dan Pakatan Rakyat sebenarnya pernah terjadi ketika Nabi Muhammad saw berjaya membuka kota Mekah.

Ketika itu berbondong-bondong orang Musyrikin Mekah memeluk Islam kerana mereka melihat Islam sudah berada di ambang kemenangan dan dapat memerintah negeri.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud (gambar) berkata, begitu juga dengan suasana yang berlaku sekarang, di mana ramai melihat PAS dan Pakatan Rakyat sudah berada di ambang kemenangan pada pilihan raya ke-13.

“Sekarang semua golongan menyertai PAS termasuk mantan pegawai tertinggi polis, tentera, pegawai tadbir, ahli korporat, artis bahkan menteri kabinet,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mukarabbin, Kampung Bechah Kura, Peringat kelmarin.

Nassurudin yang juga Adun Meranti berkata, Umno sekarang terpaksa mencipta helah dengan memberi gambaran buruk terhadap PAS, PKR dan DAP.

Katanya terbaru mereka mengatakan mengundi DAP haram kerana DAP menentang pelaksanaan hudud.

“Kalau DAP menentang hudud munasabah kerana mereka bukan Islam, tapi bagaimana dengan Umno yang menentang hudud sedangkan mereka orang Islam.

“Hukum hudud diwajibkan ke atas orang Islam sahaja sementara bukan Islam tidak tertakluk kepada hukum tersebut,” katanya.

Sementara itu pegawai penyelidik bidang politik di Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, sudah tidak ada lagi parti yang menang sejak zaman kemerdekaan terus kekal berkuasa di dunia sekarang kecuali Umno.

Katanya, Umno terpaksa melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa, biar pun nasibnya sudah tidak menyebelahi mereka sekarang.

"Masa untuk Umno sudah luput, jadi mereka terpaksa mencuba pelbagai ramuan awek muda kononnya untuk menyambung jangka hayat. Ramuan itu antaranya wang ringgit dan undi pos," ujarnya.

harakahdaily/-

Jelajah Ramadhan temui golongan kurang mampu

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Zailah bergambar selepas mengunjungi mereka yang diraikan)

KUALA LUMPUR: Berbaki beberapa hari menjelang Syawal, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf terus setia menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Menjelajah seluruh negara dalam program 'Jelajah Ramadhan', Siti Zailah bergerak ke parlimen Pasir Salak, Perak, baru-baru ini.

Di Pasir Salak, beliau sempat menziarahi ke semua Unit Peti Undi (UPU) di parlimen tersebut bagi menemui golongan dhaif, selain orang kekurangan upaya (OKU), serta anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bagi menyampaikan sumbangan Ramadhan.

Ketiga-tiga UPU itu ialah Pasir Garam, Sungai Manik dam Teluk Sareh, yang berada di dalam Dun Kampung Gajah.

Siti Zailah juga berkesempatan menyediakan bubur lambuk bersama penduduk kampung sebelum diagihkan kepada para penduduk.

Malah, beliau juga sempat merasmikan sebuah surau di Pasir Garam yang sebelum ini dibaikpulih secara bergotong-royong oleh penduduk setempat pada program jelajah tersebut.

Selain menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan duit raya, ahli parlimen Rantau Panjang itu turut berkesempatan menyampaikan tazkirah ramadan kepada penduduk kampung.

"Alhamdulillah, sambutan amat baik diterima pihak kami. Kita bertemu dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada golongan memerlukan. Ia merupakan program tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat. Tahun ini, kita fokus parlimen Pasir Salak," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut Siti Zailah, kini beliau berada di Kelantan dan akan menghabiskan program jelajahnya di sekitar Kelantan, khususnya di Rantau Panjang.

harakahdaily/-

Berita bergambar: Biarlah anda sendiri bercerita!!!

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Sembang sembang dengan Rakan Rakan Pkr Jimmy Puah dan Danny Tan..di Permas semalam apa yang menarik baju yang di pakai oleh Danny Tan..beliau sebut saya tak takut Hudud,habis siapa sebenarnya yang takut dengan Hudud ?

Nukilan Abu Luqman

Morsi ‘makin kuat’ selepas rombakan tentera

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Presiden Mesir Mohamed Morsi makin berkuasa selepas keputusan "revolusioner" menawarkan persaraan kepada Menteri Pertahanan yang berpengaruh dan mengawal kuasa tentera, lapor media negara itu.

(Morsi bersama Tantawi dan Sami)

Dalam langkah mengejut pada Ahad lalu, Morsi menawarkan persaraan kepada Menteri Pertahanan, Marsyal Tantawi, 76, dan Ketua Staf Angkatan Tentera Sami Anan, dan membatalkan dokumen perlembagaan yang memberikan kuasa perundangan dan lain-lain kuasa kepada pihak tentera.

Suratkhabar Al-Akhbar yang dimiliki pihak kerajaan melaporkan penawaran persaraan Tantawi, yang mengetuai Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (Supreme Council of the Armed Forces) untuk tempoh setahun lebih selepas demonstrasi jalanan besar-besaran yang memaksa Mubarak untuk meletak jawatan, sebagai satu "keputusan revolusioner".

"Ikhwan secara rasminya berkuasa," lapor suratkhabar bebas Al-Watan, merujuk kepada Ikhwanul Muslimin, kumpulan Islamis yang menyokong dan disokong Morsi.

Walau bagaimanapun, tidak semua media menyambut baik langkah itu, di Kaherah, akhbar bebas Al-Shorouk melahirkan kebimbangan terhadap tindakan itu, berkata ini bermakna Morsi telah mengumpul ‘kuasa individu’ yang lebih besar daripada apa yang dilakukan Mubarak".

Penjelasan Presiden

Beribu-ribu penyokong Ikhwan membanjiri Dataran Tahrir, Kaherah – tempat bermulanya revolusi yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak tahun lepas - untuk menyambut keputusan itu Ahad lalu.

"Rakyat menyokong keputusan presiden," laung orang ramai.

Namun ada pihak yang menyelar pemecatan Tantawi, yang dilaporkan secara rasmi sebagai persaraan. "Tantawi, bercakap benarlah, adakah Morsi memecat anda?" kata mereka.

Dalam ucapan lewat malam Ahad lalu, Morsi menafikan cuba meminggirkan tentera, tetapi bertindak demi kepentingan negara.

"Saya tidak pernah bermaksud, melalui keputusan saya, meminggirkan atau berlaku tidak adil terhadap sesiapa sahaja, tetapi saya bertindak demikian supaya kita maju ke arah masa depan yang lebih baik, dengan generasi baru, semangat baru yang sudah lama ditunggu-tunggu," katanya.

"Saya tidak berniat untuk memalukan institusi," katanya kerana beliau lebih memikirkan kepentingan negara.

Morsi juga meminda perlembagaan interim untuk menafikan tentera apa-apa peranan dalam proses membuat dasar awam, belanjawan dan undang-undang, dan hak untuk memilih Dewan Undangan bagi merangka perlembagaan yang kekal untuk era Mesir selepas Mubarak.

"Presiden telah memutuskan untuk membatalkan perisytiharan perlembagaan yang diterima pakai pada Jun 17 oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” jurucakap Morsi, Youssef Ali berkata.

Mustafa al-Najar, bekas ahli parlimen Mesir yang dibubarkan, berkata langkah Morsi adalah satu langkah besar dalam peralihan ke arah demokrasi.

"Tiada risiko sama ada rampasan kuasa dari pihak tentera sekarang, atau masa hadapan terhadap Presiden Mesir, seperti yang dipercayai sesetengah pihak,” al-Najar berkata.

"Keadaan itu telah diselesaikan dengan memperkenalkan satu keputusan yang memuaskan banyak pihak.

"Kita telah menyempurnakan sebahagian besar tempoh peralihan yang akan disempurnakan dengan merangka perlembagaan."

harakahdaily/-

Bertadaruslah dengan ikhlas, bukannya meniru-niru

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),

maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Baqarah ayat 185).

Syukur dan tahniah kepada sebuah parti kebangsaan-sekular yang tersohor di negara ini kerana sudah meniru program-program yang kebiasaannya dibuat oleh Gerakan Islam.

Kenyataan ini saya kemukakan apabila meneliti sebuah akhbar harian, hari ini (23 Ramadhan1433/12 Ogos 2012) pada laman 10 yang kononnya ada sebuah parti itu menganjurkan tadarus al-Quran yang disertai 1,000 anak muda.

Sekadar ingatan, pihak Kerajaan Negeri Kelantan setakat ini telah mengadakan 20 siri tadarus al-Quran pada setiap Ramadan. Ini bermakna selama 22 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan telah 20 tahun berturut-turut (sejak tahun 1992) program tadarus menjadi amalan di semua jajahan dan mukim. Tadarus Kerajaan Negeri ini telah disertai ratusan ribu orang pada setiap tahun (sebulan Ramadan). Misalnya pada tahun lalu sahaja untuk tempoh satu petang diadakan Tadarus Anak Muda melibatkan 10,000 anak muda berhimpun di Padang Perdana, Kota Bharu. Ini sebagai cara Kerajaan Negeri membudayakan tadarus sebagai amalan yang disunnah oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, cara Gerakan Islam akan tetap menghidupkan amalan tadarus sebagai satu tarikan yang pastinya dicukai oleh Allah dan rasul-Nya. Maka bagi Kerajaan Kelantan melaksanakannya atas niat untuk menyuburkan budaya al-Quran dalam kehidupan seharian. Sesuai dengan kesedaran baru anak muda sekarang yang mahukan penghayatan al-Quran.

Sesungguhnya program ke arah penghayatan al-Quran hanya ada dalam parti yang berjuang atas nama Gerakan Islam. Sekiranya ada parti kebangsaan-sekular yang meniru-niru cara Gerakan Islam, maka boleh jadi ia hanya sebagai kempen mendapat tarikan anak muda. Ini kerana cara kempen sebenar bagi parti seperti itu ialah kebendaan – fokusnya material, harta, dan keduniaan.

Ingatlah, sebagaimana bapa munafik Abdullah Bin Ubai yang sanggup membina masjid dirar atas semata-mata ingin menyaingi masjid nabi yang begitu makmur. Kononnya dengan cara itu, orang ramai akan beralih kepadanya. Ternyata cara kempen Abdullah Bin Ubai itu ditolak oleh Nabi dan umat Islam. Justeru cara kempen seumpama itu adalah bahaya kepada masyarakat.

Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah sebagai firman-Nya:

“…Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas)…” (Surah Al-Muzammil ayat 20).

Natijahnya, al-Quran adalah kalam Allah yang wajib dibaca dan diamal, bukan semata-mata diprogramkan untuk berkempen. Amatlah bahaya apabila ada yang bertadarus (membaca) al-Quran bertujuan meniru-niru.

harakahdaily/-

Seorang lagi tokoh Umno Sabah akan keluar parti

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang lagi tokoh Umno Sabah sedang berkira-kira untuk meninggalkan parti berkenaan dan mengumumkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Menurut penulis blog politik, Mohd Sayuti Omar, tokoh itu yang merupakan anak negarawan Sabah bercadang untuk mengumumkan tindakan keluar parti semasa kunjungan Anwar Ibrahim kelmarin tetapi tidak jadi kenyataan kerana sebab-sebab tertentu.
Berikut ialah tulisan beliau di dalam blog http://www.msomelayu.blogspot.com/
Seorang lagi tokoh Umno Sabah sedang berkira untuk meninggalkan parti berkenaan dan mengumumkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Tokoh itu yang merupakan anak negarawan Sabah katanya bercadang untuk mengumumkan tindakan keluar parti semasa kunjungan Anwar Ibrahim semalam tetapi tidak jadi kenyataan kerana sebab-sebab tertentu.

Mungkin ia ada kena mengena dengan kunjungan pintas Najib Razak kelmarin. Namun begitu tidak ada maklumat mengesahkan apakah tokoh berkenaan ada bertemua dengan Najib.

Tindakan tokoh Umno ini akan menambahkan lagi goncangan politik di Sabah. Beliau yang merupakan tokoh boleh menarik sokongan Melayu akan memberi kesan besar kepada Umno. Penghijrahan beliau kelak akan menjadikan Umno Sabah ketiadaan tokoh veteran yang menjadi perintis asal Umno di negeri berkenaan.

Tokoh-tokoh Umno Sabah kini seperti Musa Aman, Shafei Apdal adalah tokoh baru yang muncul selepas Umno menang di Sabah.

Mengenai tokoh Umno itu mungkin beliau akan mengistyharkan lepas raya kelak sempena dengan himpunan besar-besaran Pakatan Rakyat yang akan dirangkakan selepas raya.

harakahdaily/-

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS- HUDUD : DAP MENENTANG, UMNO MENOLAKNYA

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.

Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran,

tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram. Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120 :

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum.

Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti.

Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO. Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?

Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.

Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !

Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

Contoh kebodohan blogger mesra Umno menyebarkan fitnah

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Blog mesra UMNO sedang menyebar cerita kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput oleh paderi gay ke majlis resepsinya baru-baru ini. Untuk menguatkan dakwaan itu, mereka menyiarkan gambar kad jemputan kononnya milik pasangan gay itu yang tertera nama DSAI.

Melalui kad itu, mereka cuba menggambarkan bahawa paderi gay itu menjemput DSAI atas dasar kononnya DSAI menyokong amalan lesbian dan homoseksual di negara ini. Mungkin juga untuk menguatkan dakwaan fitnah kes liwat sebelum ini dan sudah tentu untuk meracun orang Melayu agar tidak menyokong Pakatan Rakyat.
Macam lahanat.

Blog yang mana? Cuba baca di sini.
Cerita majlis resepsi paderi gay itu di sini.
Logiknya, kalau kad itu untuk DSAI, bagaimana kad itu ada pada mereka? Sudah tentulah kad itu ada pada DSAI.

harakahdaily/-

Etnik Rohingya di Arakan makin kritikal

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.

Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid pada semua waktu terutama di bandar.

“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.

“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.

Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.

Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana ketiadaan makanan sama sekali.

Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang musim hujan.

Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga dua kali ganda.


“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.

Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan saudara Islam di Arakan.

“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,” ujarnya.

Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah siap dihantar.

Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.

harakahdaily/-

Sudahkah kita merebut peluang ini?

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Kita selalu diberitahu oleh tok-tok guru tentang tawaran khusus pada bulan Ramadan berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a:
عَنْ أبي هريرة، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ، وَوَسَطُهُ مَغْفِرَةٌ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ " ابن عساكر

Maksudnya: Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Awal bulan Ramadan rahmah, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.” Riwayat Ibnu Asakir)

Persoalannya, siapa yang sudah mendapat rahmat Allah pada fasa pertama Ramadan? Rahmat Allah ialah kasih sayang Allah, tentu semua orang memperolehnya. Buktinya, kita boleh mengecap nikmat Allah dengan mudah. Kita masih bertenaga untuk beribadah. Kalau kita masih berdosa dengan Allah, masih dilihat oleh Allah. Tetapi siapa yang mensyukurinya?

Apabila masuk fasa kedua, Allah sediakan peluang keampunan. Tetapi adakah kita mengambil peluang untuk meminta ampun atas dosa-dosa kita? Kebanyakan manusia membiarkan masa itu tanpa meminta ampun, malah terus melakukan dosa. Mereka seharusnya bertaubat dalam tempoh itu kerana Allah bersedia menerima taubat hambanya. Alangkah ruginya manusia ini.

Dalam hal ini bukan sahaja orang politik tidak berhenti buat dosa; mengumpat, menyebar fitnah, orang ramai juga turut diheret ke kancah itu tanpa sedar. Apakah mereka mengharapkan Allah ampun dosa mereka sedangkan mereka tidak pernah memohon ampun dan bertaubat?

Sebenarnya kalau mereka sedar bahawa mereka berdosa, pasti mereka berhenti daripada tabiat itu, sebaliknya mereka sentiasa ingat Allah, ingat hukuman Allah, ingat kebaikan Allah sudah cukup untuk Allah memaafkan mereka. Demikian itu disokong oleh hadis berikut.

Umar r.a. meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW bahawa dalam bulan Ramadan sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan.

Kini sudah masuk fasa ketiga, pembebasan daripada api neraka. Maknanya Allah tawarkan peluang dibebaskan daripada api neraka. Siapa yang mengambil peluang ini? Ramai yang sudah mengosongkan surau dan masjid, ramai yang masih lalai daripada melakukan ibadah. Bolehkah dalam keadaan itu mereka beroleh pembebasan api neraka.
Sebenarnya dalam fasa ini, kita perlu banyak berdoa agar kita dibebaskan daripada api neraka. Tapi tahukah anda ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka berdasarkan hadis berikut.

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW telah bersabda. "Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa seorang yang dizalimi. Allah SWT akan mengangkatnya ke atas awan dan dibuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah SWT akan berfirman, "Demi kemuliaan-Ku, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika (demi sesuatu muslihat)."

Menyentuh bulan puasa, sepatutnya kita berdoa pada siang hari sewaktu berpuasa. Sepatutnya kita kurang bercakap sia-sia sebaliknya peluang itu dipenuhi dengan berdoa. Kalau mereka tidak mahu berdoa bermakna mereka tidak minat pengampunan Allah dan tidak minat diselamatkan daripada neraka. Nauzubillah.

Oleh yang demikian beberapa hari yang berbaki ini marilah kita banyak berdoa agar kita selamat daripada api neraka. Dan kesempatan ini juga saya mengucapkan selamat menyambut hari raya Idulfitri, maaf zahir dan batin, Kullu amin wa antum bikhair.

Ahmad Baei Jaafar