02 August 2012

Ikan Paus Ditemui Mati Di Kolam Lautan

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Seekor ikan paus ditemui mati di kolam lautan di Sydney pada Rabu, mengejutkan para perenang dan menimbulkan kerumitan kepada pihak berkuasa untuk memindahkan bangkainya.

Ikan paus sepanjang 11.6 meter itu ditemui mati, dipercayai sejak beberapa hati terdampar kolam mandian di pantai timur Australia, Newport.

Kolam lautan itu adalah buatan manusia dengan strukturnya di pantai yang dipenuhi dengan air laut.

“Ikan itu mempunyai beberapa kecederaan luar tetapi tiada cara untuk mengetahui sama ada untuk melakukan bedah siasat,” kata Wendy McFarlane dari Organisasi untuk Mencari dan Menyelamat bagi Cetacean di Australia (ORRCA).

McFarlane berkata, satu penjelasan mengenai ikan yang sihat dengan beratnya kira-kira antara 25 sehingga 30 tan, mati di laut mungkin disebabkan oleh dilanggar oleh sebuah kapal.

Ikan paus begitu menarik perhatian masyarakat di Australia dan beratus-ratus orang datang ke pantai untuk melihat ia terampung di kolam. - AFP

4 negeri Pakatan guna tema 'Sebangsa Sejiwa Senegara'

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Buat pertama kali dalam sejarah, tema sambutan Hari Kemerdekaan yang berbeza bakal digunakan - di kedua-dua peringkat negeri dan pusat ekoran rasa tidak puas hati dengan tema dipilih oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pihaknya akan memilih tema untuk digunakan di peringkat negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, lapor laman Kedah Lanie.

Kata Mahfuz, PR khususnya PAS kesal sambutan kemerdekaan ke-55 tahun ini, dicemari unsur politik BN sama ada dalam tema, logo mahupun lagu temanya.

Mahfuz berkata, PR menolak ketiga-tiga unsur terbabit dan memilih tema sendiri bagi menggantikan ‘55 Tahun Janji Ditepati’ oleh Kerajaan Pusat.

“Kita terima 250 hingga 300 tema, yang dicadangkan oleh orang ramai. Jawatankuasa dipengerusikan Sasterawan Negara, (Datuk) A Samad Said telah memilih tema 'Sebangsa Sejiwa Senegara'.

“Sudah pasti tema kemerdekaan kita berbeza dengan Pusat. Memandangkan memorandum diserahkan tidak mendapat respons Pusat, kita putuskan pilih tema sendiri,” katanya.

Mahfuz turut mempertikai tindakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menarik balik logo hari kemerdekaan, yang diumumkan Ahad lalu.

“Setelah dikritik banyak pihak, akhirnya logo diubah. Ini menunjukkan sejak awal lagi wujud kesilapan dalam pemilihan logo mahupun tema,” katanya.

Menurutnya, lagu tema kemerdekaan yang dimuat naik di Youtube, turut menerima kritikan pedas termasuk mereka yang memilih dislike.

Awal semalam, Rais menerusi satu mesej Twitter telah meminta pengikutnya memberi pandangan tentang lagu tema Hari Kemerdekaan yang boleh diperoleh menerusi YouTube.

harakahdaily/-

Bas jadi ‘bilik bersalin’

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SELAMAT...bayi perempuan diberi nama Dyana sempena nama bas eskpres dinaiki ibunya.
CIPTA SEJARAH...bas ekspres Dyana tempat bayi perempuan Norlyn dilahirkan.

KOTA KINABALU: Seorang ibu muda sarat mengandung yang menempuh perjalanan lebih 400 kilometer untuk berbuka puasa bersama suaminya di bandar raya ini, terpaksa menjadikan bas ekspres dinaikinya ‘bilik bersalin’ apabila sakit perut sebaik tiba di Terminal Bas Inanam, dekat sini, kelmarin.

Norlyn Ajimula, 28, yang bertolak dari Lahad Datu, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.7 kilogram (kg), kira-kira jam 5.30 petang dan bayi itu dinamakan Dyana Adi, sempena nama bas ekspres dinaiki ibunya, Dyana Express.

Ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Norlyn berkata, dia menaiki bas kira-kira jam 9 pagi untuk bertemu suaminya, Adi Mahari, 40, yang bekerja di bandar raya ini.

“Saya tidak mengalami sebarang masalah sehinggalah perut mula berasa sakit ketika bas ini menghampiri pekan Ranau, tetapi sakit berkenaan hilang secara tiba-tiba.

“Saya tidak terfikir untuk bersalin kerana masih terlalu awal selain lama-kelamaan sakit beransur hilang,” katanya.

metro/-

Saham FGVH jatuh kepada RM5 seunit hari ini

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Harga Saham Felda Global Vanture Holding (FGVH) yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu, hari ini terus mencatat penurunan kepada harga RM5 seunit.

Semalam saham FGVH berharga RM5.12 seunit. Saham FGVH mula disenaraikan pada harga RM4.55 seunit, dan pernah mencecah kepada RM5.39 pada hari-hari awal disenaraikan.

FGVH merupakan IPO terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia, selepas Facebook.

Syarikat gergasi minyak sawit Malaysia itu mendakwa telah menarik senarai pelabur terkemuka, termasuk pelaburan global Qatar Investment Authority dan syarikat insurans Hong Kong, AIA Group Ltd

Sebelum ini, Amanah Saham Johor mengambil masa lebih tiga bulan sebelum jatuh, namun untuk FGVH ianya dilihat satu sejarah apabila jatuh dalam masa yang begitu singkat.

harakahdaily/-

Rafizi tubuh NOW bela pemberi maklumat

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas didakwa di bawah Akta Bafia bersama seorang pemberi maklumat, Rafizi Ramli menubuhkan NGO pemantau pemberi maklumat (National Oversight and Whistleblowers Centre) atau NOW.

NGO ini bertujuan untuk menjaga kepentingan pemberi maklumat selepas akta yang ditubuhkan kerajaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowers Protection Act) yang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat.

Rafizi dalam kenyataannya berkata, NGO ini mempunyai lima tujuan iaitu:

1. Berfungsi sebagai badan pemantau yang menilai secara berkala prestasi urustadbir, tata kelola (governance) dan ketelusan kerajaan dan agensinya (termasuk syarikat berkaitan kerajaan);

2. Berfungsi untuk mendedahkan skandal-skandal besar yang cuba dilindungi oleh mana-mana badan yang berkepentingan awam;

3. Melindungi dan menjaga kebajikan pemberi maklumat melalui Dana Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Fund) yang menanggung kos guaman, kos hilang sara diri dan lain-lain;

4. Menjalankan program kesedaran untuk menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil ke hadapan; dan

5. Melatih lebih ramai aktivis yang berkemahiran menganalisa skandal dan melakukan pendedahan.

Menurut beliau, negara telah menyaksikan beberapa perkembangan sihat dalam tempoh setahun yang lalu apabila ramai rakyat Malaysia tampil untuk memberi maklumat mengenai salahguna kuasa dan perlakuan rasuah yang berlaku.

Individu-individu yang tampil ini berhadapan dengan risiko yang besar, termasuklah risiko kewangan, pekerjaan dan keselamatan.

"Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Saudara Johari Mohamad yang hilang mata pencarian, diugut, disiasat dan akhirnya didakwa.

"Kos jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah dan kos guaman sudah tentu diluar kemampuan beliau," katanya merujuk kepada Johari yang turut didakwa bersama beliau ekoran pendedahan skandal NFC.

Kata Rafizi, sepanjang mengendalikan beberapa kes berkepentingan awam setakat ini, beliau berurusan dengan ramai rakyat Malaysia yang berani seperti Johari Mohamad.

"Mereka sepatutnya dilindungi oleh kerajaan. Sebaliknya mereka diburu, diugut dan didakwa oleh kerajaan. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowers Protection Act) yang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat.

"Saya percaya selepas ini, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus memburu pemberi maklumat untuk menutup mulut mereka," katanya.

(Rafizi dan Johari digari ke mahkamah sebelum di dakwa)

Pemburuan ini juga, katanya, bertujuan untuk mematikan bercambahnya budaya baru dalam masyarakat kita yang menggalakkan pemberi maklumat tampil ke hadapan.

Atas dasar itulah, beliau mengambil inisiatif untuk menubuhkan badan ini.

Badan ini telah didaftarkan dan akan beroperasi dari pusatnya di Sungai Besi.
Kelengkapan di pusat ini termasuklah kemudahan dewan latihan untuk menjalankan program latihan dan wacana yang berterusan.

NOW akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 2012, sehari sebelum Hari Kebangsaan untuk melambangkan kebebasan baru rakyat Malaysia.

Kejayaan NOW dalam melindungi pemberi maklumat akan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menampung Dana Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan untuk mengisi tabung ini," kata Rafizi.

Maklumat akaun bank NOW adalah seperti berikut:

Akaun Maybank bernombor 562441603039 (Oversight & Whistleblowers Sdn Bhd)

Sebarang sumbangan akan membantu menyegarkan lagi proses mematangkan masyarakat dan membina kebertanggungjawaban awam di negara ini, jelas Rafizi lagi.

harakahdaily/-

Tak putus harap

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KASIH IBU...Maziah menjaga anaknya, Siti Suzaini yang terlantar koma sejak 13 tahun lalu.

BACHOK: “Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along,” rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.

Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.

Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.

Maziah berkata, Along hanya menggerakkan mata memerhatikan ahli keluarganya dan setiap kali tiba 1 Syawal sejak 13 tahun lalu, dia sebak melihat nasib anak sulungnya itu.

Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.

metro/-

Anwar bayangkan lagi 'berita baik' dari Sabah

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Seperti menjelang episode 16 September, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan lebih banyak "berita baik" akan datang daripada Sabah.

"Saya akan kembali ke Sabah pada 12 Ogos, dengan kemungkinan lebih berita baik... Kita kena bersedia," katanya kepada pemberita dengan ringkas.

Dua anggota Parlimen BN Wilfred Bumburing (Tuaran) dan Lajim Ukin (Beaufort) minggu lalu meletakkan jawatan dalam parti.

malaysiakini/-

Bas terbalik, sembilan nyaris maut

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Sembilan termasuk seorang pemandu nyaris maut apabila bas ekspres dinaiki terbalik di Jalan Pegoh-Jelatang, berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, bas dipandu Mohd Zabri Ali, 44, dari arah Simpang Ampat menuju ke Melaka Sentral hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Mohd Zabri berkata, dia gagal mengawal stereng selepas lampu isyarat bertukar merah.

"Saya cuba tekan brek bila lihat lampu isyarat merah tetapi brek gagal berfungsi dan saya terpaksa memaut stereng ke susur kiri untuk mengelak merempuh kenderaan yang sudah bergerak dari arah pekan Alor Gajah menuju ke Jelatang.

“Keadaan bas terhuyung- hayang dan terus terbalik ke kanan menghalang laluan jalan raya. Saya dan semua penumpang segera selamatkan diri kerana bimbang bas terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Robert Edmund, 49, berkata, dia terkejut apabila menyedari pemandu bas menekan brek mengejut ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat sebelum stereng dipaut ke kiri dan bas kemudiannya terbalik ke kanan.

“Ketika bas menghala laju ke susur kiri, saya dapat agak bas akan terbalik berdasarkan pengalaman bekerja sebagai pemandu bas kilang,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan cermin hadapan bas yang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bas ekspres terbabit dari Terminal Seremban menuju ke Melaka pada jam 6.30 petang tetapi hilang kawalan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat. “Tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah sebagai pesakit luar,” katanya

sianr harian/-

Najib terdesak, lakukan kesilapan demi kesilapan

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus melakukan kesilapan demi kesilapan dalam keadaan beliau yang cukup terdesak.

Kenyataan tersebut diutarakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) ketika mengulas tentang pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli semalam.

"Kami dalam Pakatan Rakyat terus memerhati kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Perdana Menteri.

"Tindakan pendakwaan ini merupakan satu kesilapan besar dilakukan oleh Najib dalam masa beliau menjanjikan perubahan tranformasi di negara ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, bermula dari kesilapan tindakan yang dikenakan terhadap Rafizi dan Najib semakin tertekan apabila pendedahan yang dibuat oleh George Kent sebelum ini yang mengatakan menerima kontrak pembinaan LRT Ampang.

"Saya perhatikan bahawa apakah ini sikap Najib dalam terus melakukan kesilapan di dalam bulan yang mulia ini.

"Namun kita melihat kenapa tindakan seperti ini diambil dan seolah-olah ada perkara yang ingin beliau alihkan pandangan rakyat," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Dr Dzulkefly berpendirian apa yang berlaku terhadap Rafizi adalah berkaitan dengan penerimaan kontrak oleh George Kent.

"Segala apa yang dikatakan oleh Najib mengenai reformasi politik meyakinkan itu sememangnya hanyalah cakap kosong.

"Walaupun kita ada akta pemberi maklumat tetapi ia tidak bermakna jika perkara ini berlaku," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menyatakan apa yang dilakukan oleh Najib ini, rakyat akan lebih celik dan mengetahui hakikat sebenarnya bahawa segala reformasi politik dan undang-undang adalah lebih teruk daripada sebelum ini.

harakahdaily/-

15 minit mangsa rayu bantuan

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GEMENCHEH, Gemas – Seorang lelaki merayu hampir 15 minit meminta tolong membawa anak dan isteri yang parah ke klinik kesihatan selepas terbabit kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kereta dipandu Mohd Maslani Mahat, 40, berpusing tiga kali kerana mahu mengelak lembu yang terbaring di tengah jalan di Kilometer 5, Jalan Gemencheh-Bukit Rokan, di sini, malam kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan anak bongsunya, Asrul Hakimi, 5, yang duduk di tempat duduk belakang tercampak ke hadapan kereta.

Asrul Hakimi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Gemencheh akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Dalam pada itu, Mohd Maslani berkata, dia terkilan kerana tiada sesiapa yang sudi membantu membawa anak dan isterinya ke klinik berhampiran.

"Ketika itu, orang ramai sudah mula berhentikan kenderaan mahu melihat kemalangan dan hampir 15 minit saya merayu minta tolong, tetapi tiada siapa mahu membantu.

"Mujur ada seorang pakcik yang simpati dengan kami. Pada mulanya dia menaiki motosikal tetapi sanggup pulang ke rumah mengambil kereta untuk menghantar anak dan isteri saya yang parah mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Hospital Tampin, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Nazira Abu Bakar, 37, dan empat anaknya dalam perjalanan dari Felda Jelai menuju ke pekan Gemencheh.

"Anak bongsu beria-ia mahu makan sate. Kami sudah pun berbuka puasa di rumah, tetapi tetap mahu menunaikan keinginan arwah untuk makan sate.

“Namun ketika tiba di lokasi kejadian, saya tidak sempat mengelak lembu yang rebah di tengah jalan selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil," katanya.

Mohd Maslani berkata, dia merempuh lembu berkenaan dan menyebabkan keretanya berpusing.

"Sehingga kini, saya masih belum beritahu isteri mengenai kematian anak bongsu.

"Keadaannya belum stabil kerana cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Gemencheh, sementara isteri mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, Nazira mengalami kecederaan parah di kepala dan muka.

"Pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Sa’ari Idris, 51, tidak mengalami kecederaan dan anaknya, Nor Syafinas Sa’ari, 24, patah tangan kanan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tampin.

“Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit tidak memakai tali pinggang keledar di kerusi belakang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan pemakaian tali pinggang keledar di kerusi belakang bagi mengelak risiko kecederaan parah ketika berlaku kemalangan.

sinar harian/-

6 juta tunai ibadah umrah

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pihak berkuasa lanjutkan khidmat agensi untuk jemaah

Jeddah: Kira-kira enam juta umat Islam dengan 4.8 juta daripada mereka jemaah warga asing menunaikan ibadat umrah tahun ini, menurut Menteri Haji Bandar Hajar. Beliau membuat kenyataan itu selepas memeriksa perkhidmatan yang dilanjutkan kepada jemaah oleh pelbagai agensi kerajaan di Makkah.
Sejak awal 2012, lebih 2.57 juta jemaah asing tiba di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz (KAIA), kata satu laporan statistik.

“Sekurang-kurangnya, 2,573,627 jemaah tiba dalam 16,419 penerbangan sejak bermula Rabiulawal 1433 hijrah,” kata laporan, menambah bahawa 2,572,175 jemaah meninggalkan negara itu.

Jumlah penerbangan

Pada Isnin saja, 22,059 jemaah tiba di lapangan terbang dengan menaiki 125 penerbangan, kata laporan.
Pada hari sama, 16,276 jemaah meninggalkan negara itu untuk pulang ke negara masing-masing.

Khaled Al-Khaibary, jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata KAIA membuat urusan diperlukan untuk menerima dan menghantar pulang jemaah yang semakin meningkat.

Ibadat umrah boleh dilakukan umat Islam sepanjang tahun. Dalam bahasa Arab, umrah bermaksud “melawat tempat yang berpenghuni.”

Dari segi syariah, umrah bermaksud melakukan tawaf di sekitar Kaabah dan saie antara Safa dan Marwah selain berpakaian ihram dari Miqat seperti Zu ‘l-Hulafa, Juhfa, Qarnu 'l-Manzil, Yalamlam, Zat-i-'Irq, Ibrahim Mursia, atau tempat di atas bukit.

Ia kadang kala digelar “ibadat haji kecil” oleh kerana ibadat Haji adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan.

Waktu puncak mengerjakan umrah adalah beberapa hari sebelum, ketika dan selepas musim Haji pada Aidiladha di samping 10 hari terakhir Ramadan. - Agensi

“BERSAHABAT DENGAN AL-QURAN”

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِمِثْلِ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍۢ ظَهِيرًۭا ﴿٨٨﴾

Katakanlah: (Wahai Muhammad) Sesungguhnya, jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri (surah al-Isra’ ayat 88)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan, dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan sebenar-benar takwa, kerana sesungguhnya hanya orang yang bertaqwa sahajalah yang akan diwariskan dunia ini untuknya. Mudah-mudahan taqwa kita semakin hari semakin bertambah, dengan melakukan amal kebajikan, dan menjauhi perkara-perkara maksiat, yang mengundang kemurkaan Allah Taala.

Muslimin Mukmin yang bertaqwa sekalian,
Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah Taala kepada umat terakhir sebelum datangnya hari kiamat. Al-Quran merupakan Kalam Allah yang diturunkan kepada umat Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril. Ianya mengandungi 114 surah, 6,236 ayat, 77,437 kalimah, dan 335,989 huruf. Membacanya adalah ibadat, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas.
Al-Quran telah dijamin keasliannya di bawah pemeliharaan Allah Taala kerana ianya diriwayatkan secara mutawatir dari satu generasi ke satu generasi. Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui perantaraan Jibril AS, seterusnya Nabi Muhammad SAW membacanya dan menyampaikan kepada para sahabat baginda, seterusnya melalui para tabien sehinggalah kepada kita hari ini. Tidak terdapat sebarang pindaan walaupun satu titik dan huruf dalam al-Quran.
Kita akan dapati di dalam kitab suci al-Quran, tidak terdapat sebarang percanggahan dan perselisihan antara ayat-ayatnya, kerana setiap ayat berkehendakkan kepada ayat yang lain untuk menerangkan maksud dan kehendak yang pelbagai, di samping penjelasan oleh Rasulullah sendiri terhadap sebahagian ayat al-Quran.
Al-Quran telah diturunkan oleh Allah Taala pada bulan Ramadhan. Nabi Muhammad telah menerima wahyu yang pertama pada bulan Ramadhan. Wahyu yang pertama iaitu ayat 1 hingga ayat 5 dalam surah al-‘Alaq yang berbunyi :
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾
Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku, bacalah dan tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia dengan pena (tulisan), Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.

Wahyu yang pertama ini, merupakan detik permulaan tugas baginda sebagai rasul pesuruh Allah, yang memberi khabar gembira dengan nikmat syurga kepada manusia, yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan pemberi ancaman dengan azab dan seksa neraka, kepada manusia yang menyembah berhala dunia, termasuklah bertuhankan hawa nafsu.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah.
Sesungguhnya setiap orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang beriman kepada kitab-Nya, mempunyai kewajipan dan tanggungjawab terhadap al-Quran. Al-Quran hendaklah dijadikan sebagai sahabat dan teman rapat, yang sentiasa mengiringi dan berdampingan dengan kita, di mana sahaja kita berada. Antara ciri-ciri kita bersahabat dengan al-Quran adalah seperti berikut:
1. Menyibukkan diri dengan membaca al-Quran.
Kita hendaklah memusatkan perhatian dan berazam bersungguh-sungguh untuk membaca al-Quran sehingga khatam. Bacalah al-Quran dengan roh kita, dan jangan kita membaca al-Quran dengan jasad kita, kerana jasad kita mudah letih dan bosan. Sungguh beruntung dan bertuah, kalau sekiranya dalam setahun kita dapat khatam 30 juzuk al-Quran. Untuk permulaan, cuba kita biasakan membaca dua atau tiga ayat setiap kali selepas solat.

Setelah kita terbiasa dan menjadi kebiasaan, membaca dua atau tiga ayat setiap kali selepas solat, tambahkan lagi bilangan ayat sehingga empat halaman muka surat setiap selepas solat. Ini bermakna dalam sehari, kita telah berjaya membaca sejuzuk al-Quran, dan dalam tempoh sebulan, kita berjaya mengkhatam al-Quran 30 juzuk!!! Dapatkan naskhah al-Quran bersaiz kecil, untuk kita mudah membawa ke mana-mana sahaja.

Jika sekiranya, kita tidak mampu, beli CD al-Quran untuk mendengar bacaan Qari atau Imam.

2. Membaca dengan perlahan dan tadabbur maknanya.
Al-Quran perlu dibaca dengan perlahan-lahan untuk memudahkan kita menghayati dan tadabbur makna ayat-ayatnya. Hindarkan perbuatan berlumba-lumba untuk cepat khatam al-Quran, dengan meninggalkan hukum-hukum tajwidnya. Setiap huruf mempunyai hak-haknya yang perlu diberikan oleh pembacanya meliputi makhraj huruf, sifat huruf, hukum mad, hukum ghunnah, hukum tebal dan nipis dan sebagainya. Elakkan membaca al-Quran dalam keadaan tergopoh-gapah dan tergesa-gesa kerana ia boleh memesongkan kita memahami makna-maknanya. Eloklah kita memiliki terjemahan al-Quran peribadi, kerana ia memudahkan kita untuk memahami makna ayat-ayat al-Quran.




3. Bertindak balas dengan ayat yang dibaca.
Ayat-ayat al-Quran terdiri daripada ayat nikmat syurga, ayat ancaman seksa dan azab neraka, ayat teguran, ayat sindiran, ayat kiasan, ayat doa, ayat memohon perlindungan daripada azab seksa neraka, ayat kisah-kisah umat terdahulu dan sebagainya. Setiap ayat memerlukan tindak balas yang berbeza mengikut kehendak ayat. Ayat-ayat berbentuk doa dan nikmat syurga hendaklah dilafazkan dengan penuh pengharapan rahmat Allah, ayat-ayat azab hendaklah dipohon agar terselamat daripada azab tersebut dan sebagainya.
Demikianlah kita dituntut untuk bertindak balas kepada setiap ayat yang kita baca. Mudah-mudahan al-Quran akan memilih kita sebagai teman dan sahabatnya di hari yang tiada pertolongan dan syafaat selain syafaat Rasulullah SAW, syafaat al-Quran dan syafaat puasa.

4. Mengamalkan kehendak setiap ayat al-Quran.
Al-Quran diturunkan kepada manusia yang mempunyai akal fikiran yang jernih, yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah Taala. Ayat al-Quran didatangka,n berbentuk perintah dan larangan. Ada perintah yang berbentuk wajib, harus dan sunat. Begitu juga larangan, ada yang berbentuk haram dan ada yang berbentuk makruh.
Al-Quran ditujukan secara langsung kepada manusia dan jin. Setiap manusia dan jin tidak terlepas daripada kewajipan dan tanggungjawab setiap ayat al-Quran. Ketika datang perintah dan ketetapan daripada al-Quran, manusia tidak perlu berlengah-lengah, bertangguh, malas, tunggu dulu atau membuat pilihan untuk melakukan ketetapan tersebut atau pun tidak.
Umat Islam yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah akan terus melaksanakan ketetapan tersebut walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri. Ketika kita sedang berada di padang mahsyar, setiap manusia akan ditanya adakah kamu beriman kepada ayat-ayat-Ku yakni al-Quran??? Adakah kamu melakukan apa yang Aku perintahkan kepada kamu??? Adakah kamu meninggalkan apa yang Aku tegahkan kepada kamu???.


Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang Islam, yang beriman kepada Allah dan Kitab-Nya, marilah kita tanamkan azam dan tekad untuk menjadikan al-Quran sebagai pendamping kita yang setia, sahabat rapat yang seringkali kita berbual-bual dengannya, penyembuh segala duka dan sengsara, pengubat jiwa kita yang gersang, yang mengharapkan limpah rahmat Allah Taala, penyejuk mata setiap kali kita memandang ayat-ayat al-Quran yang mempersonakan, penyedap telinga setiap kali kita mendengar kalimah-kalimah-Nya, perangsang kepada kita dalam melakukan amal kebajikan sebagai bekalan hari akhirat, memberi semangat dan nasihat untuk kita bersabar menghadapi ujian dan musibah untuk meningkatkan iman dan taqwa kita.
Ketahuilah, tiada yang selayak-layaknya yang boleh akrab dan rapat dengan kita selain al-Quran. Jadikanlah al-Quran sebagai sahabat kita di dunia, nescaya al-Quran akan menjadikan kita sebagai sahabatnya di akhirat kelak. Tinggalkan masa lalu yang tidak diisi dengan al-Quran untuk berdamping erat dengan al-Quran, penuhkanlah masa lapangmu untuk mengucapkan kata-kata Tuhanmu, isilah masa malammu untuk memerhati keindahan kalam tuhanmu, lunakkanlah suara-suaramu menyebut ayat-ayat al-Quran, amalkan perintah tuhanmu, kelak kamu akan bahagia dunia akhirat, tinggalkan tegahan tuhanmu kelak kamu akan menjadi orang beruntung dunia akhirat.























خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العاَلَمِين
أَشْهَدُ أَن لاَ ِإلــهَ إلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وأَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
فيا عبادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
طه ﴿١﴾ مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ ﴿٢﴾ إِلَّا تَذْكِرَةًۭ لِّمَن يَخْشَىٰ ﴿٣﴾ تَنزِيلًۭا مِّمَّنْ خَلَقَ ٱلْأَرْضَ وَٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ ٱلْعُلَى ﴿٤﴾ ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ ﴿٥﴾
Thaa Haa, Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya engkau menanggung kesusahan, hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, diturunkan dari tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, iaitu Allah al-Rahman yang bersemayam di atas ‘Arasy (Surah Thaahaa ayat 1-5)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saidina Umar bin al-Khattab sebelum keislamannya, merupakan orang yang keras menentang, orang yang paling lantang menghina dan mengejek agama yang dibawa oleh Muhammad SAW. Setelah mendengar ayat-ayat permulaan surah Thaahaa ini, hatinya terus rebah tersunggur mengakui kehebatan Allah, telinganya ditusuk kata-kata yang indah yang datangnya dari tuhan yang menciptakan manusia dan seluruh alam, yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Secara terus, peribadi yang buruk Saidina Umar al-Khattab bertukar menjadi sahabat yang paling berani mempertahankan agama Muhammad SAW, paling bertaqwa dan takut kepada Allah dan paling sensitif membezakan perkara yang haq dan perkara yang batil. Setiap perkara akan diletakkan pada hak dan kedudukan yang sepatutnya.
Begitu juga sahabat-sahabat Rasulullah yang lain, mereka terpesona dan terpaut dengan ayat-ayat al-Quran. Hati dan jiwa para sahabat sentiasa berdampingan dan berpaut dengan al-Quran setiap waktu dan saat. Tiada hari-hari mereka diluangkan begitu sahaja, selain membaca dan tadabbur ayat-ayat al-Quran. Al-Quran sentiasa terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari mereka. Merekalah sebaik-baik generasi al-Quran, yang pernah dilahirkan di atas muka bumi ini. Setiap perkara kebaikan walaupun sebesar biji sawi, mereka akan tetap lakukan apabila telah diperintahkan oleh al-Quran. Manakala setiap perkara keburukan walaupun sebesar biji sawi, apabila telah mendapat ketetapan daripada al-Quran mereka akan jauhi dan elakkan.
Marilah kita jadikan sahabat-sahabat Rasulullah sebagai contoh dan tauladan, untuk kita ikuti amalan-amalan mereka, supaya kita juga akan menjadi sebaik-baik umat manusia dan menjadi sebaik-baik pendamping dan sahabat rapat dengan al-Quran. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam khutbah pertama antara ciri-ciri sahabat al-Quran adalah:
1. Menyibukkan diri dengan membaca al-Quran.
2. Membaca dengan perlahan dan tadabbur maknanya.
3. Bertindak balas dengan ayat yang dibaca.
4. Mengamalkan kehendak setiap ayat al-Quran.

Rasulullah saw bersabda dalam hadis riwayat Abu Umamah al-Bahili yang berkata :
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran pada hari Kiamat akan datang sebagai syafaat kepada sahabatnya”.

Mudah-mudahan Allah Taala melapang dada kita untuk menerima nur al-Quran, melunakkan lidah kita untuk menyebut kalimah-kalimah al-Quran, meringankan anggota badan kita untuk menyelak lambaran-lambaran naskhah al-Quran, mengasyikkan kita mendengar ayat-ayat al-Quran, menerangkan mata kita untuk membaca ayat-ayatnya, memudahkan kita mengamalkan isi kandungan ayat-ayat al-Quran.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،
وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

Ya Allah kurniakanlah sepenuhnya taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.
رَبَّنَا آتنِاَ فِيْ الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِيْ اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ

Bahagian Pengurusan Masjid,

Jabatan Agama Islam Perak

Mengapa kita masih buat dosa dalam bulam Ramadan

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

kalau syaitan sudah dibelenggu pada bulan Ramadan dan pintu Neraka ditutup mengapa masih ramai umat Islam yang tergoda untuk melakukan dosa dan maksiat? Ini persoalan yang boleh kita perpanjangkan dalam perbahasan kali ini.
Memang ada hadis Rasulullah dengan jelas menyebut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ " .(مسلم)

Maksudnya: Daripada Abu Harairah r.a bahawa Rasulullah bersabada: “Apabila dating Ramadan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan.” (Riwayat Muslim)

Cuma persoalan, sepanjang bulan Ramadan tabiat buruk umat Islam masih berjalan lancar. Cerita umpat, hina dan buat fitnah terus berlaku dalam kalangan umat Islam baik orang awam mahupun orang politik. Siapa yang mempengaruhi mereka supaya melakukan itu semua? Bukankah syaitan sudah tiada.

Jawapan mudahnya ialah nafsu yang masih bersarang dengan sifat mazmumah. Nafsu itu telah dilatih oleh syaitan sekian lama, maka memori godaan itu masih menjadi ingatannya. Dengan sebab itu dosa dan maksiat itu masih boleh dilakukan dengan senang hati.

Syaitan yang dirantai mungkin tidak boleh bergerak kepada manusia tetapi mungkin dia boleh gunakan kawalan jauh untuk mempengaruhi nafsu. Oleh sebab itu, walaupun neraka ditutup pintunya, orang ramai tidak nampak syurga. Dia tidak nampak peluang untuk masuk ke syurga. Mungkin pintu neraka di hiasi cantik mengalahkan syurga.

Apapun kemungkinan, saya merasai umat yang berpuasa masih ada masa untuk bertaubat dan kembali melihat syurga. Hentikan tabiaat buruk yang bukan sahaja boleh mengurangkan palaha puasa tetapi menambahkan dosa dan mendekatkan ke neraka. Insafilah Ramadan yang menjanjikan banyak kebaikan dan pahala kepada umat Islam.
Perhatikan tawaran ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ : " قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ النَّارِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ خَيْرًا كَثِيرًا " .(احمد)

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW memberikan berita gembira kepada sahabatnya: “Telah dating Ramadan Bukan barakat, Allah fardukan kepada kamu puasanya, dibukan pada pintu syurga dan dikunci padanya pintu neraka, dibelenggu syaitan, dan padanya ada satu malam yang lebih daripada 1000 bulan maka siapa yang bertemu kebaikannya dia sesungguhnya berboleh kebaikan dengan banyaknya. (Riwayat Ahmad)

Jadi, jadilah orang mukmin yang bertakwa.

Ahmad Baei Jaafar

Pas: Nasib BN PRU13 ibarat ‘tongkat retak’

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Nasib Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diibaratkan ‘tongkat retak’ menunggu masa untuk patah.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku berikutan pengunduran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dari BN di saat-saat akhir menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, peletakan jawatan dua orang kuat BN di Sabah itu menggambarkan kepada rakyat bahawa parti berkenaan menghadapi krisis dalaman.

“Jelas menunjukkan BN ada masalah dalaman sesama pemimpin mereka sebab orang kuat parti ini pun boleh keluar parti. Situasi ini memberikan petanda yang kuat dapat meruntuhkan BN, seperti ‘tongkat yang retak’ dan akan patah sekali gus BN akan terhumban jauh,” katanya semalam.

Sabtu lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan mengisytiharkan gerakan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Peletakan jawatan itu turut diikuti oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Bumburing.

Dalam pada itu, Mohd Fadhli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi berkata, isu tersebut mampu meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak terhadap Pakatan Rakyat (PR).

“Sekarang ini pun kita melihat rakyat sudah memberi sokongan dan keyakinan terhadap PR dan begitu juga rata-rata rakyat di Sabah dan Sarawak turut berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fadhli menyifatkan tuduhan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zakarshi yang mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan wang kepada Lajim sebagai satu penghinaan.

Beliau berkata, dakwaan itu merendahkan martabat Lajim dan sebagai orang kenamaan yang berpengaruh, kewangan bukan pengukuran untuk Lajim mengambil keputusan keluar parti.

“Lajim bukan orang biasa sebab dia pegang jawatan besar yang mana kewangan bukan perkiraan untuk dia (Lajim) letak jawatan. Dakwaan itu sangat tidak patut dan boleh disifatkan satu penghinaan yang melampau kepada Lajim,” katanya.

sinar harian/-

'Dakwa Rafizi bukti politik dendam Najib'

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan mahkamah ke atas Rafizi Ramli, yang dikenakan pertubuhan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) hari ini, sambil menyifatkannya sebagai "berunsurkan politk semata-mata" dan "politik dendam."

Ketua Pembangkang berkata, motif penangkapan dan pertuduhan yang dikenakan bertujuan untuk memastikan Rafizi, Pengarah Strategi PKR, untuk berdiam daripada terus mendedahkan pelbagai lagi dokumen-dokumen yang melibatkan pimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Saya yakin bahawa penangkapan Rafizi adalah berkaitan dengan isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan juga George Kent yang baharu sahaja diberikan kontrak jutaan ringgit," kata beliau.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya penangkapan Rafizi," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sejak pendedahan NFC akhir tahun lalu sehinggalah kini, dan beberapa lagi skandal penyelewengan, beliau telah mendapat ramai seteru yang berkuasa dan akan menggunakan apa saja cara untuk mendiamkannya.

"Ini menggambarkan politik dendam yang ditunjangi Perdana Menteri Najib Razak dan menggunakan agensi-agensi kerajaan yang dikawal penuh," kata beliau lagi.

Pagi tadi, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan mendedahkan penyata akaun projek NFCorp yang menimbulkan kontroversi kepada dua pengamal
media.

Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac
lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Anwar berkata, Rafizi telah dituduh di bawah Bafia dan ini hanyalah satu cara bagi mereka untuk terus menakutkan rakyat yang mahu mencari kebenaran di sebalik kontrak dan kronisme yang berkaitan dengan pimpinan Umno-BN.

"Saya dengan ini memberi sokongan penuh terhadap Rafizi atas semangat dan keberanian beliau dan berharap keluarga beliau akan dapat melalui dugaan ini dan yakin bahawa keadilan akan berpihak kepada yang benar dan berani," katanya lagi.

sinar harian/-

Pelajar UPM cipta vitamin untuk kanak-kanak Kenya

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SERDANG - Sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan produk dari kulit buah mangga yang diberi nama Vit-A-Go yang kaya dengan vitamin A.

Ia bagi mengatasi masalah kekurangan vitamin di kalangan kanak-kanak Kenya. Ciptaan itu memenangi hadiah pertama dari penyertaan 29 negara lain di pertandingan Membangunan Penyelesaian bagi Negara Membangun anjuran Institute of Food Technologists Student Association (IFTSA) di Pusat Konvensyen Las Vegas, Amerika Syarikat dari 25 hingga 28 Jun lalu.

Menurut salah seorang pelajar itu, Sew Chang Chew, 26, produk tersebut dihasil dari mangga yang ranum yang kemudiannya melalui pelbagai proses mudah. Ia turut dicampur asid sitrik.

"Kenya mempunyai banyak buah mangga. Apabila musim ia berbuah, kanak-kanaknya mudah memakan mangga yang segar. Namun apabila habis musim, banyak yang terbuang. Jadi buah yang terbuang ini boleh digunakan untuk dijadikan vitamin bagi digunakan sepanjang tahun," katanya kepada pemberita.

Anggota lain kumpulan pelajar itu terdiri daripada Mohd Asraf Mohd Zainudin, 26, Najla Gooda Sahib, 27, Tan Tai Boon, 25, Kuan Chee Hao, 25 dan Lasekan Adeseye O, 29.

Mereka membuat kajian selama lapan bulan sebelum dapat menghasilkan Vit-A-Go ini.

Sew berkata kos pengeluarannya adalah sangat murah iaitu US$0.09 bagi 25 gram kulit mangga.

Beliau berkata vitamin itu boleh digunakan sesiapa sahaja sebagai snek harian yang kaya dengan fiber dan tidak mengandungi sebarang bahan perwarna.

Pihaknya mahu bekerjasama dengan pihak yang sanggup mengkomersialkan produk itu, katanya. - Bernama

Terkejut nasi kandar RM18.50

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang pemandu bas pekerja industri terkejut apabila dikenakan bayaran RM18.50 bagi sebungkus nasi yang dibelinya dari restoran nasi kandar di sini.

Mohamad Yusri Hanafiah, 32, berkata, dia hanya membeli nasi bersama ayam goreng, dua kacang bendi dan dua ekor sotong berukuran kirakira tiga sentimeter.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan harga dikenakan telah meminta pekerja di restoran itu mengira nasi bungkus serta lauk yang dibelinya beberapa kali.

“Nak buat macam mana. Saya nak bersahur terpaksa juga membayarnya. Saya kemudian mengadu kepada seorang rakan yang menjual nasi di pasar Ramadan dan dia beritahu penjual nasi restoran sedemikian tidak menjalankan perniagaan mereka waktu siang dan ini mengakibatkan pemilik premis mengalami kerugian.

"Untuk memastikan mereka dapat semula modal telah dikeluarkan, pemaju restoran akan naikkan harga makanan mereka berlipat kali ganda terutama waktu sahur,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, pihak berkenaan seharusnya membuat pemantauan permasalahan itu dan ia harus ditangani segera.

Menurutnya, pengusaha restoran tidak seharusnya menaikkan harga makanan dengan sewenangnya semata-mata untuk kepentingan dan keuntungan mereka.

"Penguna yang terlibat seharusnya boleh membuat aduan kepada persatuan pengguna untuk memastikan mereka tidak ditipu.

“Apabila restoran mengenakan harga yang terlampau, pengguna harus bersikap terbuka dan meminta resit pembayaran. Mereka kemudian boleh pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan dan menyerahkan laporan dibuat kepada persatuan pengguna," katanya.

Menurutnya, dengan cara itu pihak persatuan boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik premis terlibat.

sinar harian/-

2 bom kecil gegar pasar di timur Pakistan

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

LAHORE (Pakistan): Letupan dua bom kecil menggegarkan sebuah pasar di Lahore, timur Pakistan hari ini, mengakibatkan 19 orang awam cedera.

Pegawai polis berkata, bom dengan kekuatan rendah itu mensasarkan pasar buah-buahan di kawasan sesak di bandar berkenaan yang mana orang ramai berkumpul untuk membeli buah-buahan sebagai juadah berbuka di bulan Ramadan.

“Satu peranti yang diletakkan di tempat letak kereta dan satu lagi di bawah pedati (kenderaan mengangkut barang) itu meletup apabila orang ramai sedang membeli buah-buahan selepas waktu berbuka pada sebelah petang,” kata pegawai pentadbiran, Noorul Amin Mengal.
"Kira-kira 19 orang cedera dalam letupan itu," katanya.

Pegawai penyelamat berkata, semua yang tercedera adalah lelaki dan mangsa sudah dikejarkan ke hospital. - AFP

Olimpik: Impian raih pingat di pusat akuatik lebur

21 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Suasana suram menyelubungi kontinjen Malaysia pada hari kelima Sukan Olimpik 2012 apabila gandingan penerjun Bryan Nickson Lomas dan Huang Qiang berundur dengan penuh hampa dalam acara 3m papan anjal seirama di Pusat Akuatik di London semalam.

Gandingan harapan negara yang disandarkan prospek mengutip sebutir pingat pertama negara gagal menampilkan persembahan seperti diharapkan apabila kecewa dengan tangga tercorot dalam kalangan lapan negara peserta.

Bryan dan Huang sekadar mengumpul 405.09 mata.

Penerjun China, Qin Lai dan Luo Yutong merangkul emas dengan 477.00 mata diikuti pingat perak oleh gandingan Russia, Ilya Zakharoz dan Evgeny Kuznetsov dengan 459.63 mata.

Manakala Amerika Syarikat menggondol pingat gangsa dengan 446.76 mata menerusi gandingan Kristian Ipsen dan Troy Dumais.

Bryan dan Huang, bagaimanapun, mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan apabila bersaing dalam acara 10m platform yang akan bermula pada 10 Ogos ini.

Meskipun begitu, kontinjen negara diceriakan oleh jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei yang kembali semula dengan persembahan mantap untuk melangkah ke suku akhir.

Chong Wei, yang diharapkan menggondol emas pertama negara dalam Sukan Olimpik, menjinakkan pemain Indonesia Simon Santoso pada pusingan kedua sebelum berjumpa dengan pemain India, Kashyap Parupali, pada perlawanan suku akhir.

Esok, tumpuan Malaysia akan terarah ke Arena Wembley apabila Chong Wei bertemu Kashyap dan beregu negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong membuka saingan suku akhir menentang beregu Thailand, Isara Bodin/Jongit Maneepong.

Di Pusat Akuatik pula, perenang Khoo Cai Lin akan mencuba nasib dalam acara saringan 800m gaya bebas wanita.

- Bernama

Umno BN cuma akan menang 2 kerusi parlimen di Perak PRU13?

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Sungguh! Aku pun tak percaya ramalan tu yang aku jumpa di MediaPerak.com.

Takkan kut cuma 2 kerusi Umno BN boleh menang kerusi parlimen di Perak. Dari 24 Kerusi takkan Umno BN boleh menang 2 kerusi ja.

Kalau tanya pendapat Prof UUM yang buat 'kajian ilmiah' pasai PRU13 hari tu pasai ramalan ni, tentu bersemangat depa belasah.

Kalau tengok keputusan PRU12 dulu memang Umno BN cuma menang 13 kerusi, dan banyak kerusi yang Umno BN menang dengan majoriti agak tipis.
Tapi takkan dari 13 kerusi akan tinggal cuma 2 kerusi, memang la tak mustahil tapi nampak macam tak berapa nak logik.

Apa sebab dan faktor kiraan ramalan tu hangpa boleh baca sendiri di MediaPerak.com yang kopipes tulisan blogger Sakmongkol. Cumanya Sakmongkol tulis dalam English dan aku malas nak tolong translate pasai English aku pun cuma n'cukup makan' ja.

Umno BN cuma diramalkan menang di parlimen Grik dan Lenggong sahaja. Tapi kalau betul ramalan Sakmongkol ni, memang sah Umno BN akan berkubur selepas PRU13.


PARLIAMENTARY SEAT 2008 SUPPORT FOR PAKATAN(%) GE13 PROJECTED SUPPORT FOR PAKATAN (%) EXPECTED WINNER
1 GERIK 34 41 BN
2 LENGGONG 35 42 BN
3 LARUT 46 53 PR
4 PARIT BUNTAR 60 67 PR
5 BAGAN SERAI 53 60 PR
6 BUKIT GANTANG 50 56 PR
7 TAIPING 60 65 PR
8 PADANG RENGAS 44 52 PR
9 SUNGAI SIPUT 50 55 PR
10 TAMBUN 44 52 PR
11 IPOH TIMUR 69 75 PR
12 IPOH BARAT 65 72 PR
13 BATU GAJAH 71 75 PR
14 KUALA KANGSAR 45 51 PR
15 BERUAS 52 59 PR
16 PARIT 42 49 PR
17 KAMPAR 45 52 PR
18 GOPENG 56 62 PR
19 TAPAH 42 49 PR
20 PASIR SALAK 44 51 PR
21 LUMUT 45 53 PR
22 BAGAN DATOK 43 51 PR
23 TELOK INTAN 50 55 PR
24 TANJUNG MALIM 41 48 PR

harakahdaily/-

Lagi Rompakan Mikrocip Di P.Pinang

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Perompak mikrocip telah merompak salah sebuah syarikat multinasional di Seberang Prai Tengah dan membawa lari papan mikrocip bernilai RM2.6 juta.

Rompakan ini mengimbas kejadian salah satu rompakan mikrocip terbesar dan paling berani di negara ini bernilai RM47 juta pada tahun 2006.

Dalam kejadian terbaru ini, sembilan orang berusia lingkungan 30-an dan 40-an telah ditahan di beberapa tempat di Bukit Mertajam sejak Julai 15.

Polis berkata, tiga daripada mereka dijangka akan didakwa minggu ini di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri manakala yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan awal menunjukkan terdapat kemungkinan rompakan ini membabitkan 'orang dalam' syarikat memandangkan beberapa suspek adalah kakitangan syarikat multinasional ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka menemui dua palet papan mikrocip bernilai RM160,000 daripada seorang suspek.

Beliau berkata kos setiap palet ialah RM80,000, sambil menambah bahawa mereka tidak menolak kemungkinan ia diseludup keluar dari negara ini.

"Syarikat ini bukan sahaja mengalami kerugian yang besar tetapi rompakan juga menimbulkan ancaman kepada pelabur. Namun begitu, kami cuba yang terbaik untuk mendapatkan semula barang rampasan," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis kontigen negeri, Rabu.

Beliau berkata polis menerima dua laporan pada 27 April dan Jun 6 berhubung kes itu.

Suatu penyiasatan segera dilancarkan sebelum polis menahan suspek.

"Papan mikrocip bertujuan untuk dijual di sini. Mereka yang mempunyai maklumat mengenainya, sila datang ke balai polis terdekat dan membantu kami," katanya.

Pada tahun 2006, lebih daripada 20 perompak menyerbu Kompleks Kargo Udara Kedua di Batu Maung dengan dua treler dan membawa lari 585 karton dan 18 palet mikrocip.

Kes itu dianggap selesai tetapi barang-barang masih belum dapat dipastikan.

Lebih 30 suspek telah ditangkap tetapi tiada seorang pun dikenakan tindakan kerana kekurangan bukti.

mstar/-

PI Bala: Mereka cuba rasuah saya... lagi

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

EKSKLUSIF Penyiasat persendirian P Balasubramaniam muncul daripada persembunyian dan membuat satu lagi pendedahan yang menggemparkan - bahawa terdapat percubaan kedua untuk merasuahnya ketika dia berada di India, kali ini untuk memburuk-burukkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEBercakap kepada Malaysiakini dalam satu temubual di Kuala Lumpur bulan lepas, Balasubramaniam mendakwa dia didatangi kira-kira seminggu sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada April tahun lepas.

"Anda tahu semua ini, mereka sudah mendapat 'berita baik' dari
Perth dan mereka memerlukan lagi 'berita baik' dari India," kata Balasubramaniam, tetapi enggan mengulas lanjut.

Pada masa itu, jentera kempen kedua-dua belah parti politik mencapai kemuncaknya dan apa sahaja digunakan untuk menarik pengundi dalam pilihan raya negeri yang penting itu.

Ia juga sekitar masa temubual Raja Petra Kamaruddin dengan TV3, yang dibuat semasa lawatan kontroversi penulis blog itu ke Australia, disiarkan.

Dalam temubual itu yang turut disiarkan oleh stesen TV arus perdana, Raja Petra menafikan akuan bersumpah (SD) yang menghubungkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra, yang hidup dalam buangan di United Kingdom, menyebut bahawa SD itu adalah berdasarkan maklumat 'disemai' oleh pemimpin PKR yang terdesak untuk menghalang Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

malaysiakini/-

Kedah terus hargai guru Quran, bidan kampung

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BALING - Seramai 115 Guru Al-Quran dan 191 Bidan Kampung dalam Daerah Baling menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri sempena majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar di Masjid Kampung Makbud, Charok Bemban, Kupang, di sini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang dicurahkan oleh Guru-Guru Al-Quran dan Bidan-Bidan Kampung di negeri ini.

“Sumbangan yang diberikan ini diharap dapat memberi semangat kepada mereka untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada Guru-Guru Al-Quran dan Bidan-Bidan Kampung oleh Kerajaan Negeri dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).


Menurutnya, penghormatan yang tinggi perlu diberikan kepada guru-guru agama kerana mereka banyak membantu dalam meningkatkan ilmu agama di negeri ini.

“Peranan guru-guru agama amat penting dalam mendidik masyarakat agar celik Al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Baling, Abdul Shukor Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, program ini merupakan program kali keempat yang diadakan di Daerah Baling sejak tahun 2009.

“Pada tahun 2009, program penyampaian sumbangan kepada Guru-Guru Al-Quran dan Bidan-Bidan Kampung diadakan di Dewan Tun Abdul Razak,” katanya.

Abdul Shukor menjelaskan, program itu diteruskan pada tahun 2010 di Masjid Kampung Panda, Mukim Bayu.

“Pada tahun 2011, program penyampaian sumbangan kepada Guru-Guru Al-Quran dan Bidan-Bidan Kampung diadakan di Kampung Gas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil,” ujarnya.

Tambahnya, Daerah Baling adalah Daerah yang paling ramai menerima sumbangan pada tahun ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB. Encik Johari Abdullah; ADUN Kuala Ketil, YB. Tuan Haji Md. Zuki Yusof dan Pengurus Besar YINK, Tuan Haji Abdul Rahman Ismail

harakahdaily/-