23 July 2012

JI: Hisham perlu arah Sofian tarik balik demi PDRM

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein seharusnya mengarah Cawangan Khas PDRM untuk menjadi satu agensi yang bebas daripada politik perpartian dan menarik balik tuduhan yang tidak berasas kepada Pakatan Rakyat demi nama baik PDRM.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (gambar) berkata, kenyataan Hishammudin selaku pemimpin Umno dan Menteri Kerajaan BN bahawa komunis dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) telah meresapi ke dalam parti Pakatan Rakyat menunjukkan BN telah ketandusan modal politik dan terpaksa menggunakan pegawai PDRM untuk menyebarkan pembohongan.

Kenyataan itu dibuat selepas Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin, Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman mengatakan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis meresapi parti politik pembangkang dan cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurut Teresa, kenyataan Mohd Sofian yang dibuat secara umum tanpa merujuk kepada bukti yang kukuh adalah amat tidak adil dan tidak benar kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, ia lebih merupakan satu kenyataan politik yang berpihak kepada BN daripada kenyataan yang berlandaskan fakta yang bebas daripada pendirian parti politik.

“Saya menyeru Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menumpukan usaha untuk memerangi jenayah dan menjaga keselamatan, dan bukan membazirkan masa dalam topik dan isu lama seperti ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor berkata, sebagai pemimpin negara, mereka sepatutnya mengelak mengeluarkan kenyataan yang jauh daripada kebenaran sebaliknya mengelirukan rakyat.

harakahdaily/-

Ponteng Puasa: Ladang getah, kelapa sawit 'port' paling popular

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BERA – Kebun sawit atau getah dikatakan menjadi lokasi pilihan pertama bagi mereka yang ponteng puasa sepanjang bulan Ramadan.

Dengan lokasi yang agak tersorok dan jauh dari orang ramai, golongan yang gemar ponteng puasa ini akan menjadikan ia sebagai port bukan sahaja untuk makan dan minum tetapi juga tempat mereka berjudi.

Seorang peneroka, Mokhtar Mohd, 63, dari Felda Rentam berkata, sememangnya kawasan itu masih menjadi kegemaran mereka yang ponteng puasa sehingga sekarang walaupun minggu ini baru merupakan minggu pertama berpuasa.

Menurutnya, ada juga pihak yang sanggup bersubahat apabila mereka menjual makanan, minuman termasuk sebatang rokok dengan harga RM10.

“Selalunya, mereka yang ponteng puasa adalah di kalangan peneroka dan golongan generasi kedua yang bekerja di kebun, dan mengambil kesempatan di tempat kerja untuk menyembunyikan perbuatan mereka.

“Namun, kegiatan mereka itu sering dihidu pihak tertentu seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan Rela yang sering membuat pemantauan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mokhtar, lokasi itu sering bertukar kerana bimbang mereka ditangkap semasa makan atau minum, apatah lagi berjudi di bulan Ramadan.

Katanya, asalkan kawasan itu tersorok dan jauh dari orang ramai, ia akan menjadi lokasi seterusnya bagi mereka.

“Jika pada hari biasa, tiada siapa pula mahu bekalkan pakej makanan dan minuman termasuk rokok kepada pekerja buruh di kebun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda (MBFM) Felda Bukit Puchong, Azli Ismail berkata, buat masa ini, tiada lagi kegiatan ponteng puasa yang berlaku di perkampungan itu namun berdasarkan kes-kes sebelum ini, lokasi utama adalah di dalam kawasan kebun sawit.

Katanya, mereka yang bekerja sebagai buruh di kebun menggunakan kesempatan itu untuk tidak berpuasa.

Menurutnya, jika diperhatikan ada di kalangan mereka yang sanggup membawa botol air dari rumah.

“Memang dari awalnya mereka berniat untuk tidak berpuasa.

“Jadi, apabila ramai di kalangan mereka yang berbuat demikian, tidak mustahil wujud puak yang menjual makanan yang lebih sedap semasa berada di
dalam kebun,” katanya.

Azli berkata, dalam hal ini, MBFM bersama JKKK dan Rela saling bekerjasama bagi memastikan perkara seumpama itu dapat dibanteras bagi menghormati bulan Ramadan.

sinar harian/-

Budak makan bilik tidur

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

RACHEL dan anaknya, Zach. Keadaan plaster bilik yang dimakan Zach (gambar kecil).
SALFORD: Ibu kanak-kanak yang menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak boleh menolak untuk makan apa saja yang berada di bilik tidurnya, merayu bantuan untuk membiayai sebuah bilik yang ‘boleh dimakan’ oleh kanak-kanak itu.

Zach Tahir yang menghidap Kecelaruan Selera Makan, memakan apa saja yang terdapat di bilik tidurnya, termasuk permaidani dan plaster. Ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu, Rachel, yang tinggal di Salford, melancarkan kempen untuk membina sebuah bilik selamat untuknya selepas semakin bimbang mengenai keadaan anaknya.

Matlamat kempen mengutip derma ‘Beri Zach Masa Depan Yang Selamat’ ialah untuk membantu membina sebuah bilik khas berharga �15,000 (RM75,000) di kediaman keluarga itu di The Mead, Weaste.

Bilik itu akan dilengkapi dengan tilam dan bilik air khas untuk Zach yang juga autistik dan tidak boleh bercakap.

Kempen itu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan disokong oleh beberapa bintang televisyen seperti Kum Marsh dan Ryan Thomas, pelakon siri Coronation Street dan aktor siri Torchwood, Paul Copley.

Rachel, 32, yang juga mempunyai anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia terharu dengan sokongan itu.

‘Kempen itu kini mendapat sambutan. Sokongan daripada bintang Coronation Street banyak membantu kempen itu,” kata Rachel.

Selain membina bilik baru di rumah mereka, Rachel juga berharap dapat memasang kamera untuk membolehkannya mengawasi anaknya ketika malam, ketika tabiatnya itu berada di peringkat paling buruk.

Setakat ini, �3,400 (RM17,000) sudahpun berjaya dikumpul, termasuk menerusi tajaan jalan kaki dan jualan murah.

Satu lagi tajaan acara jalan kaki sejauh lapan kilometer dari Selfridges di Trafford Centre ke Exchange Square di bandar Manchester akan diadakan Ahad ini. - DM

Gempa sederhana landa Irian Jaya

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Irian Jaya, Indonesia pada pukul 8.22 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pusat gegaran ialah kira-kira 487km tenggara Sorong, Indonesia dan 2,015km tenggara Semporna, Sabah.

Gempa tidak mendatangkan ancaman tsunami.

- Bernama

Gulai kawah Baling laris di bulan puasa

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Gulai kawah campuran rias batang pisang dengan daging atau tulang lembu sudah tidak asing lagi kepada masyarakat di Baling.

Peniaga gulai kawah, Malik Mat Khir, 45, berkata dia terpaksa mendapatkan rias batang pisang setiap hari daripada sekurang-kurangnya 10 batang pokok untuk dimasak bersama daging cincang atau tulang lembu.

Malik yang berpengalaman memasak gulai kawah hasil belajar daripada tukang masak kenduri kahwin di Baling memberitahu bukan semua gulai kawah mampu menarik minat dan selera pembeli.

Katanya warna kuahnya yang kekuningan dan cair mampu menarik minat dan selera pembeli.

Malik berkata ramuan rempah untuk membuat gulai kawah adalah daripada jenis serbuk kari yang sesuai yang tidak terlalu pedas dan tidak berkuah pekat.

Malik berkata sejak dua hari berniaga di pasar Ramadan pekan Baling, setiap petang lebih 300 bungkus gulai kawah dijual kepada pelanggan.

"Rias batang pisang adalah daripada batang pisang jenis kebatu atau pisang awak.

"Rias pisang kebatu dan pisang awak sesuai dicampur dengan daging untuk gulai kawah kerana tidak mudah lembik dan rasanya juga sedap dan manis," katanya.

Sejak 3 petang, Malik akan mula menumis bahan gulai kawah di kawasan dia berniaga dan mula menjualnya seawal 5 petang dengan harga serendah RM3 sebungkus.

-Bernama

Teman lelaki hentak kepala

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

AMPANG: Seorang gadis bukan saja dihentak dengan topi keledar, malah turut dimalukan kekasih yang mengoyak pakaiannya di depan orang ramai gara-gara perselisihan faham berkaitan telefon bimbit.

Menurut sumber, kejadian berlaku di Pandan Indah jam 10.30 malam Jumaat lalu ketika mangsa yang berusia 19 tahun menunggu burger dipesannya siap.

Kekasihnya mahu menggunakan telefon bimbit milik mangsa, namun mangsa tidak memberi kebenaran dengan alasan tiada kredit.

“Teman lelaki mangsa yang berusia 26 tahun enggan mempercayainya dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek menghentak kepala mangsa beberapa kali dengan topi keledar,” katanya.

metro/-

KGT: Utusan berdepan tindakan undang-undang

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi bakal berhadapan tindakan undang-undang berikutan laporan ‘fitnah’ terhadap pengurusan Kelantan Golden Trade (KGT).

Turut bakal dikenakan tindakan yang sama, bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad, yang didakwa turut memfitnah berhubung KGT.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, pada sidang medianya memberitahu tindakan berkenaan diambil bagi membersihkan nama baik KGT yang sering dijadikan sasaran fitnah oleh dua pihak tersebut di samping pihak lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat khas di pejabat PMBK Sawit, di sini petang tadi.

KGT telah menghantar surat kepada dua pihak berkenaan bagi memaklumkan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak terbabit pada 10 Julai lalu.

“Kita mendapat maklum balas dari akhbar Utusan yang minta tangguh selama dua minggu dan ianya dijangka berakhir dua hari lagi, bagaimanapun Nik Mahadi tiada maklum balas,” ujarnya.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan berikutan beberapa siri siaran dalam akhbar terabit yang berunsur fitnah terhadap KGT yang dianggap tidak berasas.

Tegasnya, jika diteliti dalam laporan akhbar berkenaan beliau memberitahu seolah-olah ianya (KGT) penuh dengan debu, langsung tidak selamat.

Tambahnya, pihak polis langsung tidak melakukan sebarang siasatan ke atas KGT.

“Seharusnya pihak media mengambil keterangan dari pihak yang dituduh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang berita di akhbar.

“Sebaliknya apa yang berlaku itu diselidiki dahulu dan bukannya terus menyiarkan berita berunsur fitnah, apa lagi di muka hadapan,” ujarnya.

Husam seterusnya menyeru golongan media mengambil roh Ramadan yang mulia itu untuk melakukan kerja yang lebih bertanggungjawab tanpa ada unsur fitnah.

Tegasnya, dalam Islam fitnah lebih buruk daripada membunuh.

harakahdaily/-

Empat termasuk tiga pelajar maut nahas di Pahang

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Tiga pelajar lelaki dan seorang warga emas lelaki maut dalam tiga kemalangan berasingan di Pahang, semalam.

Dalam kejadian di Km5 jalan lama Bentong-Gombak dekat Bentong, penunggang motosikal, Muhammad Iwan Radzuan, 16, dan pemboncengnya, Muhammad Iqbal Ahmad Fahairol, 13, maut selepas motosikal mereka terbabit nahas dengan sebuah lori.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam kejadian 3.30 pagi itu pelajar tingkatan empat dan satu itu dipercayai terbabas di satu selekoh dan memasuki laluan bertentangan.

"Akibat itu, mereka bertembung dengan lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Bentong, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan mati di tempat kejadian.

"Mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian lain, seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Nur Nikmat Mohd Soffian Solian, 18, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Km148 Jalan Kuantan - Segamat dekat Rompin.

"Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang ke Melaka melalui Jalan Segamat.

"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai terlanggar lopak air di sisi jalan sebelah kiri lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik," katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, seorang warga emas, Tew Chai, 72, dari Jalan Bahagia, Taman Angkasa di sini, maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Air Putih, dekat sini.

"Dalam kejadian 11.50 pagi itu, mangsa dari arah Semambu menuju ke Air Putih telah membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta berkenaan secara bertentangan," katanya.

Mangsa disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama

Pakatan berhimpun sokong ambil alih SYABAS

3 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Sekumpulan 100 orang penyokong kerajaan negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Shah Alam hari ini sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei dan MP Shah Alam Khalid Samad memimpin perhimpunan yang bermula jam 12 tengahari itu.

Selain pemimpin parti Pakatan Rakyat, turut hadir dalam perhimpunan itu adalah wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan pemimpin Gabungan NGO Selangor.

Kumpulan berkenaan membawa kain rentang dengan slogan "Kembalikan air kepada rakyat", "Hentikan catuan air", dan "Pecat Tan Sri Rozali Ismail".

Satu memorandum turut diserahkan kepada wakil SYABAS dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Memorandum tersebut, yang diterima oleh pengarah eksekutifnya Ismail Hashim, menggaris tujuh perkara yang antara lainnya membantah cadangan SYABAS untuk mencatu bekalan air.

Memorandum itu juga menuntut supaya SYABAS berhenti daripada mensabotaj kerajaan negeri Selangor dalam isu bekalan air.

Memo berkenaan juga menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2.

malaysiakini/-