18 July 2012

Hampir maut dipatuk ular kapak

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG - Ibarat 'nyawa di hujung tanduk'. Demikian nasib dialami seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di daerah ini apabila dia hampir maut selepas dipatuk ular dipercayai spesies ular kapak hijau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi di Kampung Landas itu, mangsa Husin Ali, 43, terpaksa menggagahkan diri memandu kereta kirakira setengah jam ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) dalam keadaan sakit menahan bisa ular sebelum dia pengsan di HHT.

Menimbau peristiwa itu, Husin berkata, dia dan isterinya, Asmuni Awang, 43, baru tiba di kebun mereka di kampung berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan kawasan dan hanya sempat berjalan beberapa langkah dari kereta sebelum dia dipatuk.

“Sebaik berjalan meninggalkan kereta, tiba-tiba betis kanan saya terasa begitu sakit. “Selepas diperiksa saya dapati betis saya terdapat kesan dipatuk ular yang panjangnya kira-kira satu meter,” katanya .

Husin berkata, dalam keadaan panik, isterinya memberanikan diri memukul reptilia itu dengan sebatang kayu sehingga mati.

“Biarpun kesakitannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, namun saya gagahkan diri memandu ke HHT sambil ditemani isteri. “Setibanya di hospital, saya pengsan kira-kira setengah jam selepas diberikan empat suntikan melawan bisa ular dan saya bersyukur kerana masih selamat,” katanya kelmarin yang turut menerima kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai.

Sementara itu, Asmuni berkata, sebaik dia melihat suaminya menahan kesakitan akibat dipatuk ular, dia mencapai kayu berhampirannya dan nekad untuk memukul ular berkenaan biarpun dalam keadaan panik.

“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami dan walaupun cemas, saya beranikan diri untuk memukul haiwan berkenaan selepas berjaya mencapai kayu yang terdapat di kawasan itu. Syukurlah semuanya selamat,” katanya.

sinar harian/-

Mas Azzam kunjungi Tuan Guru Nik Aziz

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

(Mas Azzam bersolat bersama Tuan Guru Nik Aziz di JKR 10)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menerima kunjungan artis Indonesia 'Mas Azzam' pelakun filem 'Bila cinta bertasbih' dan Yatt Hamzah di JKR 10 sebentar tadi.

Mereka hadir untuk memenuhi undangan kerajaan negeri Kelantan untuk program Bicara Selebriti pada malam ini di Balai Islam, Lundang.

Di samping bertemu, mereka sempat solat Zohor dengan berimamkan Tuan Guru Nik Aziz di JKR 10.

Empat artis termasuk Mas Azam atau nama sebenarnya Khairul Azzam akan menyertai program Bicara Selebriti malam ini di Dewan Balai Islam, Lundang.

Selain Mas Azzam dan Yatt, turut serta malam ini adalah Ana Rafalli dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
Program ini akan dipengerusikan oleh Amin Idris, pengacara TV Al Hijrah

harakahdaily/-

Umum awal tarikh PRU: PKR dan DAP sokong

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PKR dan DAP turut menyokong kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Pakatan Rakyat akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke-14 jika menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, mengumumkan tarikh PRU awal tanpa ada teka-teki menunjukkan kerajaan benar-benar bersedia dalam apa jua keadaan menghadapi pilihan raya yang adil dan telus.

Katanya, mengumumkan tarikh pilihan raya awal merupakan perkara biasa yang diamalkan sebuah negara demokrasi, mantap, telus dan terbuka.

Tegasnya, Malaysia mesti menuju ke arah politik yang matang dengan mengumumkan tarikh PRU lebih awal tanpa perlu menjadi teka teki seperti yang menjadi amalan kerajaan Umno BN mana hari ini.

"Negara-negara yang mengamalkan demokrasi sudah lama melakukan perkara ini, selalunya pemerintah memberi hak kepada rakyat secara terbuka untuk menentukan tarikh pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Iaitu, katanya tarikh pilihan raya tidak menjadi teka-teki pemerintah semata-mata untuk menjadi strategi kerajaan bagi mendapatkan kelebihan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw menyifatkan tempoh mandat genap lima tahun sebagaimana diperuntukan dalam perlembagaan adalah satu cara untuk selesaikan masalah menentukan tarikh PRU.

Namun yang terpenting, katanya proses dan prosedur PRU mesti adil dan saksama sama ada Pakatan Rakyat mengumumkan tarikh cepat atau lewat.

"Umum tarikh PRU, lain kira. Apa yang kita buat PRU nanti mesti adil dan saksama. Tidak kira bila, semua mesti berjalan dengan betul," katanya dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak membantah sebaliknya menyerahkan kepada rakyat sekiranya mereka mahukan tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal.

Terdahulu, Takiyuddin Hassan berkata, jika PR mengambil alih kerajaan pusat antara perkara yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

“Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya," katanya.

Takiyuddin berkata, Pakatan Rakyat boleh memberi tempoh sama ada sekurang-kurangnya akhir lima tahun atau empat tahun setengah.

Misalnya, PRU mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

Step in: Semua kakitangan Syabas kekal

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan, semua kakitangan Syabas dikekalkan kecuali pengurusan kanan Syabas apabila proses ‘Step-In’ (campur tangan) kerajaan negeri Selangor ke dalamnya.

Exco kerajaan negeri, Dr Xevier Jayakumar membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagi pihak kerajaan negeri Selangor berikutan pengumuman sebelum ini oleh Menteri Besar.

Ia lanjutan kepada pengumuman Menteri Besar Selangor yang menggunakan kuasa di bawah klausa 32 perjanjian konsesi air untuk ‘step in’ dalam memantau perkhidmatan operasi Syabas baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri Selangor akan 'step in' ke dalam Syabas berikutan pengumuman Syabas mahu mencatu air di negeri itu.

Ini kerana, langkah itu tidak wajar berikutan semua empangan air yang ada di negeri itu penuh.

"Semua kakitangan Syabas dibawah kategori teknikal dan kakitangan serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan manakala pegawai-pegawai di peringkat pengurusan kanan akan dirombak semula.

"Jadi kita harap kakitangan Syabas yang banyak pengalaman serta berdedikasi kepada syarikat agar tidak berasa cemas terhadap masa depan mereka dalam proses ‘step-in’ Kerajaan Negeri tidak berapa lama lagi," kata Xevier dalam kenyataannya.

Kerajaan Negeri, kata Xevier membidas saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana agar Kerajaan Negeri Selangor perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) seperti yang disiarkan oleh beberapa media perdana pada hari ini.

Kerajaan negeri, katanya, curiga dengan tindakan beliau sebagai orang nombor dua negara dan juga seorang penjawat awam yang bercakap menyebelahi Syabas sebuah syarikat yang berpaksikan keuntungan komersial, mendahului kepentingan syarikat dan pemegang-pemegang sahamnya sahaja.

Dalam kata lain Muhyuddin lebih mengutamakan keuntungan sebuah syarikat melebihi kepentingan lebih 5.7 juta orang rakyat Selangor yang menggunakan air untuk keperluan harian mereka, dakwa Xevier.

Sepatutnya, dakwa beliau, Muhyiddin menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor dan bukannya kepentingan sebuah syarikat semata-mata.

"Kita juga ingin menegaskan disini bahawa Syabas tidak mempunyai sebarang kuasa (authority) untuk mencadang atau mengumumkan sebarang bentuk program catuan air (water ration) kerana Syabas tidak diperuntukan kuasa tersebut di dalam perjanjian konsesi air tersebut mahupun dari segi obligasi moral kepada rakyat Selangor.

"Hanya Kerajaan Negeri diberikan kuasa mengumumkan catuan air, itupun hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan darurat setelah dibawa dalam mesyuarat Majlis Gerakan Negeri (Mageran)," tegasnya.

Beliau juga menyarankan Syabas agar berhenti membuat kenyataan mengenai apa-apa catuan air kerana Syabas dilihat berlagak umpama sebuah parti politik.

harakahdaily/-

Selangor hantar kumpulan profesional awasi Syabas

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pengawai Eksekutif KDEB), Ir Abas Abdullah (Pengarah ABASS), Karim Endut, (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kevin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

Demikian umum Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Pengumuman ini berikutan kenyataan beliau semalam, kerajaan negeri akan 'step in' dalam pengurusan Syabas.

Ia dibuat berikutan kenyataan Syabas akan membuat catuan air di Selangor.

Bagi kerajaan negeri, kenyataan ini satu kenyataan politik yang mahu menyusahkan kerajaan dan rakyat negeri Selangor.

Ini kerana, bagi mereka, catuan air tidak perlu kerana kesemua empangan air yang ada penuh dan tidak masalah.

"Kumpulan profesional ini dihantar kerana Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga sudah menyediakan surat untuk memaklumkan hasrat kerajaan Selangor untuk ‘step in’ dalam pengurusan Syabas kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Ahli EXCO Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi untuk menghantar surat ini ke Putrajaya pada petang ini secara peribadi kepada KETTHA kerana Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu ini penting diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sedang hadapi puasa

"Kita berharap Syabas dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini," kata Khalid.

Kerajaan Selangor, tambah beliau, konsisten dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

BERITA BERKAITAN

Step in: Semua kakitangan Syabas keka

harakahdaily/-

Siling runtuh: 13 murid dan seorang guru nyaris kena hempap

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

LANCHANG - Seramai 13 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lanchang yang sedang belajar mata pelajaran Kemahiran Hidup terselamat apabila siling sekolah berkenaan yang berusia lebih separuh abad runtuh.

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari kelmarin, ketika seorang guru yang berada dalam kelas terbabit mendengar bunyi seperti rekahan kayu beberapa minit sebelum tamat waktu persekolahan.

Siling bahagian hadapan kelas runtuh dahulu sebelum murid dan guru berlari ke bahagian belakang untuk keluar menyelamatkan diri masing-masing. Dalam keadaan sedikit kelam kabut itu, empat murid mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan runtuhan ketika keluar menyelamatkan diri.

Pihak sekolah kemudian mengarahkan semua empat bilik darjah yang menempatkan kelas Tahun Satu hingga Empat sebaris dengan kelas yang rosak itu dikosongkan.

Serentak itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang melawat mangsa dan sekolah terbabit semalam menggesa Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Pelajaran Daerah melakukan siasatan terperinci.

Menurutnya, siasatan awal mendapati runtuhan berpunca daripada kayu di kelas terbabit dimakan anai-anai hingga reput dan menyembah bumi. “Kita bernasib baik tidak ada yang cedera teruk dalam kejadian ini walaupun jika dilihat di tempat kejadian, keadaan runtuhan begitu teruk sekali,” katanya sewaktu melawat sekolah berkenaan, semalam.

Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang turut mengarahkan JPNP melakukan audit dan menghantar laporan bagi mengenal pasti bangunan sekolah di kawasan lain yang perlu dibaiki segera untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Memandangkan di Temerloh ada beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang sudah berusia lebih puluhan tahun dan uzur, maka laporan keadaan semasa bangunan sekolah itu perlu dinilai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sharkar berkata, bangunan baru SJKC Lanchang yang dibina tiga bulan lalu hampir siap dan sepatutnya boleh digunakan awal tahun depan. “Kita lihat bangunan baru sekolah ini hampir siap dan jika mampu disiapkan awal, maka murid-murid ini akan dipindahkan ke bangunan baru itu secepat mungkin.

“Buat sementara waktu, empat bilik darjah yang menempatkan murid Tahun Satu hingga Empat ditutup dan murid akan belajar sementara di kantin dan luar kelas. “Bangunan lama ini akan dibiarkan kosong kerana tidak selamat digunakan,” katanya.

Mohd Sharkar juga menasihatkan ibu bapa murid SJKC supaya tidak bimbang kerana pihak pengurusan menempatkan murid-murid di tempat selamat buat sementara waktu.

sinar harian/-

Papagomo Semakin Kecut, Melalut & Mengugut Bila Nurul Izzah Minta Polis Bertindak

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Peguam tak mahu layan, Papagomo beri Izzah amaran

SHAH ALAM - Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihaknya tidak mahu layan laporan terbaru blog Papagomo kelmarin sementara pemblog itu memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar agar menanti "tamparan maut" dalam waktu terdekat.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online, Sankara Nair berkata, "kami tidak mahu mengulas laporan-laporan Papagomo yang tidak boleh dipercayai."

"Kami tahu laporan itu tidak benar, ini yang boleh kami katakan buat masa sekarang," kata beliau yang bertindak sebagai salah seorang peguam utama Anwar sejak lebih sedekad lalu.

Anwar dijangka mengeluarkan reaksi berkenaan laporan itu, hari ini.

Beliau akan muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini sebagai saksi pertama dalam kes saman fitnah.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim akan muncul sebagai saksi pertama kes saman fitnah beliau terhadap Utusan Malaysia berkaitan isu memutar isi kenyataan beliau dalam wawancara BBC," kata kenyataan Biro Komunukasi PKR.

Semalam, pihak polis memberitahu Sinar Harian bahawa pihaknya tidak menerima apa-apa aduan berkenaan dakwaan meliwat melibatkan Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu diperoleh ekoran laporan blog itu bahawa seorang mahasiswa di utara Semenanjung membuat laporan polis terhadap Anwar kelmarin.

Ekoran kenyataan polis itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditemui wartawan di Pulau Pinang berkata, beliau hairan mengapa pemblog-pemblog seperti Papagomo yang memfitnah pemimpin-pemimpin PR tidak dikenakan sebarang tindakan.

Mengulas kenyataan itu, menerusi entri terbarunya, Papagomo berkata, "sungguh lantang suara Izzah dalam gelagatnya cuba menghilangkan kebimbangan hati beliau tentang perangai bapanya Anwar Ibrahim."

"Wahai Nurul Izzah janganlah bersikap hipokrit dalam memperjuangan keadilan dalam arena politik Malaysia.

"Jika anda menuntut tindakan diambil ke atas Papagomo mengapa anda tidak pula mendesak bapa anda Dato Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan saman ke atas (ahli perniagaan yang bertindak sebagai Datuk K) Datuk Eskay, Papagomo dan rangkaian blogger yang lain?" katanya sambil menyoal mengapa hanya mendesak satu pihak dan kemudiannya menyalahkan pihak kerajaan terutamanya Umno apabila sesuatu isu timbul berkaitan Anwar.

"Gomo malas nak ulas panjang berkenaan pekara ini, namun amaran buat Nurul Izzah kerana dalam minggu ini Gomo akan berikan satu tampatan maut untuk Nurul Izzah agar bersedia dengan tanggungjawab sebagai seorang anak yang menasihati bapanya," katanya lagi. -SH

Himpunan Hijau Jadikan Harapan Tawan Putrajaya Semakin Menjadi Kenyataan

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Berdasarkan bilangan manusia yang membanjiri Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor hujung minggu lalu seolah-olah pusat pentadbiran negara sudah ditawan Pakatan Rakyat.

Penyertaan lebih 20,000 penyokong dan ahli PAS bersama para pemimpin Pakatan bagaikan cerminan peristiwa Dataran Tahrir di mana ratusan anak muda dan rakyat Mesir keluar untuk menggulingkan rejim zalim Presiden Hosni Mubarak.

Kalau di negeri-negeri lain hanya penyokong dan pemimpin PAS sahaja yang hadir tetapi berbeza dengan lanskap penyertaan rakyat yang mewarnai Stadium Kuala Selangor ini.

Kehadiran para pemimpin selain dari PAS seperti Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Seputeh DAP Teresa Kok dan bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadhil memberi satu identiti nasional kepada suatu perjuangan melibatkan rakyat dari semua peringkat umur dan warna kulit.

Para pemimpin PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli.

Dan tidak ketinggalan turut hadir ialah Sheikh Ismail Abdul Hamid dari Ikwanul Muslimin yang mewakili Presiden Mesir Dr Mohamad Morsi.

Sambutan yang diberikan terhadap perhimpunan ini seolah-olah menggambarkan Putrajaya sudah ditawan atau sekurang-kurangnya memberi harapan dan keyakinan bahawa perjalanan ke Putrajaya sudah semakin dekat dan hampir pasti menjadi kenyataan.

Keghairahan penyokong dan pemimpin yang hadir dapat disimpulkan daripada kata-kata Mohamad Sabu di akhir ucapannya.

Beliau berkata jika pilihan raya umum kali ini tidak dijalankan secara bersih dan adil maka “kita akan bawa Dataran Tahrir ke Malaysia,” sambil mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin.

Kadir yang sudah bergelumang dalam parti Umno selama 56 tahun mengungkapkan kata-kata yang tidak diduga, “saya bangga dapat kibarkan bendera yang mulia ini” sambil mengibarkan bendera PAS di atas pentas utama.

Sheikh Ismail ketika berucap berkata, sekiranya beliau adalah rakyat Malaysia sudah pasti beliau akan menjadi ahli PAS, sambil menyifatkan kehadiran malam tadi sebagai sesuatu yang beliau tidak duga.

Melayu yang jahat

Terdahulu, Mohamad Sabu hadir pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Presiden PAS bersama ahli Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) di Dewa MBSA, Paya Jaras Kawasan Subang.

Dalam ucapannya beliau berkata, Rasulullah saw melarang para pengikutnya (umat Islam) bercakap atau berjuang atas dasar perkauman atau asobiyyah.

“Melayu yang jahat kita mesti lawan. Umno yang menyokong puak-puaknya yang zalim dan melakukan rasuah serta kejahatan, kita mesti lawan.

“Apabila rumah (Pengerusi Bersama Bersih) Dato’ S Ambiga kena ‘serang’ dengan mendirikan gerai daging burger dan senaman punggung, orang-orang PASlah yang mengawal rumah dan menjaga keselamatannya,” ujar beliau, sambil disorak oleh para hadirin.

Pada akhir majlis, Mat Sabu menyampaikan bantuan berupa barangan makanan keperluan harian kepada golongan miskin daripada masyarakat India dan Cina yang bermastautin di sekitar Paya Jaras. -FMT

173 biri-biri mati disambar petir

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

ULAN BATOR - Sebanyak 173 biri-biri ditemui mati, semalam akibat disambar petir di kawasan pergunungan daerah Hoboksar, Mongolia.

Menurut Alten Bagen, 18, kejadian yang mengorbankan ternakan keluarganya itu seperti satu mimpi buruk.

"Ia bermula dengan hujan lebat pada tengah malam. Saya amat takut dan terpaksa melindungi diri dalam bangsal berdekatan. Apabila kilat menyambar kawasan ini, saya terdengar kawanan biri-biri itu mengembek dengan kuat," kata anak penggembala kambing Alten Bagen.

Semasa kejadian, kumpulan biri-biri yang banyak itu berlindung di bawah pokok pain.

Kata Bagen, 30 biri-biri lain turut hanyut dibawa arus deras banjir.

Bapa Bagen yang juga seorang penggembala berpengalaman tidak berada di kawasan kejadian kerana terpaksa menjaga kuda mereka di kawasan pergunungan.

"Bau daging bakar memenuhi ruang udara selepas insiden tersebut.

Haiwan-haiwan ini adalah satu-satunya sumber pendapatan kami sekeluarga," kata lelaki berumur 42 tahun itu lagi.

Dalam pada itu, menurut juruteknik tempatan, Jangeq Chafu ternakan mati akibat panahan kilat pada musim panas adalah perkara biasa.

"Padang ragut di sini merupakan sebuah kawasan pergunungan. Penduduk tempatan menjadikannya sebagai lokasi untuk kambing biri-biri meragut rumput pada pada musim panas,"

Ternakan sememangnya terdedah dengan pelbagai risiko termasuk disambar kilat," kata Chafu.

sinar harian/-

Kemarau terburuk di AS

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEEKOR lembu meragut rumput di kawasan yang kering di Hays, Kansas pada 6 Julai lalu.- Agensi

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 56 tahun, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) kelmarin.

Menurut agensi itu, kira-kira 55 peratus wilayah di AS mengalami kemarau pada bulan lalu.

Pada tahun 1956, kemarau melanda 58 peratus daripada wilayah AS.

Cuaca panas dan kering akan berterusan dalam tempoh dua minggu lagi.

Ia akan menyebabkan tanaman jagung dan kacang soya di tengah AS terjejas.

Seorang ahli meteorologi untuk agensi cuaca MDA EarthSat, Don Keeney berkata, cuaca kering akan berterusan di Illinois, Iowa, Kansas, Nebraska, Minnesota, Dakota dan selatan Wisconsin. - Agensi

Buka Hijab Melihat Jin (Makhluk Halus)

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kita boleh melihat jin jika ia menukarkan bentuknya tetapi tidak boleh melihat bentuknya yang asal sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud :

“Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al-A’raf Ayat: 27)

Al Hafiz Ibnu Hajar mengatakan, “kadang-kadang syaitan itu membentukkan dirinya dalam pelbagai bentuk, maka kita kadang-kadang dapat melihatnya. Ayat ini menyatakan kita tidak dapat melihatnya di dalam bentuknya yang asal.”

Al Imam Asy Syafie r.a mengatakan sebagaimana yang didengar oleh Ar Rabi’ yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi r.a di dalam Kitab Manaqib Asy Syafie,“ Barangsiapa yang mengaku dia melihat jin kita tolak pengakuannya kecuali ia seorang Nabi.”

Walaubagaimanapun dapat kita buat satu kesimpulan bahawa seseorang itu dapat melihat jin dalam bentuk yang lain tetapi tidak dalam bentuknya yang asli.

Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan baginda ternampak Ifrit melintas baginda sewaktu baginda sedang sembahyang, sebagaimana sabdanya yang bermaksud :

“Ifrit melintas di hadapan aku semalam untuk mengganggu sembahyangku, Allah s.w.t membenarkan aku sehingga aku ingin mengikatnya di pagar masjid sehingga subuh dan kamu boleh melihatnya tetapi aku teringatkan perkataan / doa saudara ku Sulaiman, “ Ya Tuhanku, kurniakanlah kepoadaku kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh orang selepas aku.”

Di dalam hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan :

1. Keupayaan manusia melihat jin adalah sesuatu yang mustahil. Firman Allah s.w.t yang disebutkan itu adalah secara umum tetapi para Nabi dikecualikan. Mereka ada kebolehan yang diberikan Allah untuk melihat bahkan boleh menguasai mereka sebagaimana Nabi Sulaiman boleh menaguasai jin.

2. Menunjukkan jin itu tidaklah kekal dalam bentuk asal mereka (api).

3. Melihat Ifrit oleh Baginda Rasulullah s.a.w adalah sesuatu yang khusus untuknya sebagaimana Baginda boleh juga melihat malaikat dalam bentuknya yang asli sehingga dapat melihat Malaikat Jibril yang mempunyai 600 kepak.

Manusia-manusia yang lain tidak mempunyai kelebihan sebagaimana yang Allah anugerahkan kepada Nabi-nabi berkenaan. Walaubagaimanapun setengah-setengah binatang juga dapat melihat jin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila kamu mendengar kokok ayam, mintalah kurnia dari Allah kerana ia melihat malaikat dan apabila engkau mendengar suara himar berlindunglah kepada Allah daripada gangguan syaitan kerana yang dilihatnya ialah syaitan.” (Al Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Kelebihan binatang-binatang ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana ulama telah mentahkikkan (memperakukan) kelebihan binatang yang boleh melihat sesuatu yang kita tidak dapat melihatnya.

Lebah boleh melihat cahaya, mereka boleh melihat matahari di waktu awam gelap. Burung hantu dapat melihat tikus di waktu malam yang gelap gelita.

Sumber: Perubatan Islam Darussalam Malaysia

173 biri-biri mati disambar petir

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa akan membawa kes samannya terhadap blogger Mohd Faisal Rohban Ahmad ke Mahkamah Rayuan.

Peguamnya, Hisham Fauzi berkata, beliau sudah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan kes tersebut di Mahkamah Rayuan.

“Datuk Husam sekarang berada di luar negara, pengurusan kes tersebut di mahkamah lebih tinggi akan dibuat sekembalinya dari luar negara nanti,” katanya di sini.

Semalam Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah difailkan Husam terhadap blogger terbabit yang dikaitkan dengan blog ruangbicarafaisal (rbf).

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak dengan kos kerana plaintif gagal membuktikan Mohd Faisal merupakan pemilik blog ruangbicarafaisal.blogspot.com. Peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal.

Blog ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana yang didakwa berunsur fitnah terhadap Husam bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi sebanyak RM500,000.

harakahdaily/-

Jika menang, Pakatan umum segera tarikh PRU14

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Pakatan Rakyat (PR) Insya Allah akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke 14 jika menang dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, walau pun pimpinan belum lagi membuat keputusan muktamad, namun jika PR menjadi kerajaan (mentadbir negara Malaysia), antara benda yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

“Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya.

“Kerajaan PR gentleman dan kita menjadi satu kerajaan yang berperlembagaan, constitutional government," kata Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa dalam tempoh pemerintahan PR nanti, insya Allah, akan diisytiharkan tempoh tarikh pilihan raya umum seterusnya.

“Maknanya, dalam tempoh itu sama ada akhir lima tahun atau empat tahun atau empat tahun setengah sekurang-kurangnya, kita boleh beri tempoh.

“Misalnya, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

“Bagaimana pun tarikh pilihan raya itu sendiri mesti diisytiharkan awal.

“Ini penting kerana ia memberi keselesaan kepada pelanggan (parti) politik, pengamal demokrasi serta pegawai kerajaan sendiri boleh mengurus dengan selesa kerja-kerja pilihan raya," jelasnya.

Takiyuddin melahirkan rasa cukup anih, cukup pelik bagi Malaysia sebagai sebuah negara, yang sentiasa merahsiakan tarikh pilihan raya umum.

“Keadaan ini tidak seperti diamalkan negara lain termasuk Indonesia, Thailand atau negara Barat.

"Di negara itu, selepas saja-satu pilihan raya umum, next election mereka sudah pun tahu.

“Inilah yang menjadi satu bantahan PR terhadap sikap pihak berkenaan,” ujarnya.

harakahdaily/-

Umno-BN Tipu Rakyat Seperti Tipu Budak Darjah Tiga, Kata Cikgu Lau

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Setiu – Bekas Setiausaha Parti Gerakan Negeri Kelantan, Cikgu Lau Chin Chua dukacita apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) kini, menggunakan fitnah, tipu muslihat dan memperbodoh kan rakyat demi mahu mengekalkan kuasa.

Katanya, kerana takut kalah dalam pilihanraya umum akan datang Umno-BN telah menipu rakyat dengan mengatakan DAP akan menguasai negara sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

“dia (Umno-BN) guna tipu muslihat dan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia, dia kata orang Melayu akan teraniya dengan pemerintahan Pakatan Rakyat,

“dia kata apabila Pakatan rakyat menang, Perdana Menterinya (orang) Cina daripada DAP, (Umno-BN) tipu kita (rakyat) serupa tipu budak darjah tiga,”katanya.

Namun sebaliknya, rakyat sudah cerdik dan tidak mudah ditipu oleh Umno-BN kerana katanya, rakyat sudah ada banyak sumber berita media baru yang tidak terikat dengan media arus perdana.

Bekas guru besar yang juga bekas Pengerusi BN Bahagian Bachok itu berkata demikian ketka beliau berucap dalam majlis Ceramah Menuju Ke Putrajaya yang diadakan di Kampung Renek, Jabi dekat sini, pada Isnin 16 Julai.

Sebelum itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya keluar dari parti Gerakan pada 3 Januari lalu mendakwa Umno-BN sudah terpesong dari landasan perjuangan apabila pemimpinnya hanya mementingkan projek apabila memegang jawatan.

Katanya, jawatan menjadi ‘passport’ kepada pemimpin Umno-BN untuk menjadi jutawan segera dan hidup dengan kaya raya.

“Puak-puak ni sudah ‘gelecoh rel’ (keluar dari landasan) kerana orang Umno (BN) terlalu mementingkan projek, dia pegang jawatan dia nak projek, jawatan adalah sebagai ‘passport’ untuk menjadikan orag yang kaya raya,

“menyebabkan ambo (saya) tak boleh terima perjuangan puak-puak ni (Umno-BN) jadi ambo mari duduk dengan parti yang masih betul, sebab itu ambo mari tolong parti PAS,”jelasnya.

Beliau berkata, mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Umno-BN untuk memerintah negara selama 55 tahun, sudah tidak dianggap satu amanah dan tanggungjawab.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Exco kerajaan negeri Kelanta Dato’ Ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu merangkap Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim -BO




TV Hijrah didakwa pecahbelahkan Islam

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kepada:
Ketua Pegawai Eksekutif
Al Hijrah Media Corporation
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

Assalamualaikum wr wb


Tuan,


Menyemai Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam

Saluran Televisyen Al Hijrah merupakan salah satu saluran yang mempunyai ramai bilangan penontonnya. Sikap, pemahaman, pandangan dan tindakan mereka yang menonton rancangan televisyen itu akan dipengaruhi apa yang mereka tonton. Oleh sebab itu, sebagai pengendali saluran Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan penelitian yang rapi dalam penyampaian mesej melalui saluran televisyen kepada penonton agar ia tidak melanggar ajaran al Quran yang menuntut kebaikan dan melarang kemungkaran.

Al Hijrah, dalam kenyataan misi dan visinya, telah berjanji untuk menjadi stesen penyiar dengan misi untuk mendidik, menghibur dan menyatukan umah melalui siaran yang berkualiti dan kreatif berdasarkan ajaran Islam yang sesuai dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Memandangkan misi yang suci ini, kami amat terkejut apabila mendapati bahawa TV Al Hijrah menyiarkan suatu diskusi panel di mana ahli panel yang dianggap sebagai sarjana Islam membuat tuduhan tidak berasas terhadap Syiah yang hanya akan menimbulkan perpecahan dan kebencian dalam kalangan umat Islam.

Mereka menuduh Syiah berkomplot bersama Yahudi, menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan, dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam Sunni terhadap saudara Syiah mereka. Kenyataan provokasi seperti itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu... [Surah Al Imran 3:103].

Siaran TV yang mengutuk Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran.

Pada Julai 2005, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulamak kanan (termasuklah Sheikh Al Azhar, Ayatollah Sistani dan Sheikh Qaradawi), Raja Abdullah II dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah mengeluarkan fatwa berikut:

• Sesiapa sahaja yang patuh kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi), Usuluddin Islam mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak dibenarkan.

• Terdapat lebih banyak persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin Islam ini bersepakat dalam perkara prinsip asas Islam.

• Semua percayakan Allah (Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al Quran itu suci dan wahyu yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang perubahan dan pindaan; dan Muhammad s.a.w adalah Rasul dan Nabi untuk semua manusia.

• Semua bersetuju mengenai lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al Quran, Rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

• Ketidaksepakatan antara ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu) dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang cabang agama (furu) adalah satu rahmat. Lama dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu rahmat.

Fatwa itu diterima dengan sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada Disember 2005 dan oleh enam perhimpunan ulama Islam antarabangsa lain, kemuncaknya dengan Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah pada Julai 2006. Jumlahnya, lebih 500 ulama Islam terkemuka dari seluruh dunia menerima dengan sebulat suara fatwa dan Mesej Amman. [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].

Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin Islam, menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan dan campurtangan luar.

Ia menasihatkan pengajaran fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti. Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi perpecahan ummah.

Resolusi 152 juga menekankan jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana tindakan yang salah daripada pelampau seperti membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka. Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri.

Elemen seperti ini perlu didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat Islam dan memperburukkan lagi Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah dibincangkan dalam suasana persaudaraan.

Imam Khomeinie berpesan kepada golongan Syiah yang mengerjakan Haji agar tidak mengasingkan diri mereka daripada orang Islam yang lain.

Beliau menasihati jemaah Haji: “Rakyat Iran dan golongan Syiah dari negara lain dikehendaki untuk mengelakkan semua tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama umat Islam. Mereka juga perlu menyertai perhimpunan Sunni dan mengelakkan menghadiri atau membentuk solat di rumah atau memasang pembesar suara untuk menentang mereka. Mereka mestilah mengelakkan daripada melutut di makam suci atau melakukan apa sahaja yang tidak selaras dengan undang-undang yang mulia.”

Kita perlu menyedari bahawa konflik mazhab sebenarnya digalakkan oleh kuasa Barat yang mahu mengenakan hegemoni mereka ke atas umat Islam dan mengawal sumber di negara Islam. Pecah dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Mereka menipu pemerintah Arab supaya menyokong perang mereka terhadap Khilafah Usmaniyah dengan menjanjikan kemerdekaan bagi tanah Arab, tetapi selepas mengalahkan Turki, Britain dan Perancis membahagikan wilayah antara mereka dan menubuhkan Israel dan Arab Saudi.

Kita dapat melihat ulangan dasar yang sama di Iraq, Lebanon dan Pakistan. Kuasa penjajah berusaha untuk memecahkan negara ini melalui mazhab dan suku kaum; menghasut negara Arab ‘Sederhana’ menyertai Amerika Syarikat dan Israel bagi memusnahkan Hisbullah di Lebanon, Hamas di Palestin dan melakukan pertukaran rejim di Iran.

Amat dikesalkan sekali, beberapa ulama membenarkan diri mereka digunakan sebagai alat oleh penjajah dan pemerintah-pemerintah bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Kita perlu memberi perhatian kepada amaran yang diberikan oleh Imam Khomeini lebih 25 tahun yang lalu: “Tangan kotor yang memburukkan perbezaan antara Syiah dan Sunni bukanlah terdiri daripada golongan Syiah dan Sunni.

Ia merupakan tangan penjajah yang merancang untuk membawa keluar negara Islam daripada tangan kita. Kuasa penjajah yang mahu merampas kekayaan kita melalui pelbagai skim dan konspirasi adalah mereka yang melahirkan rancangan untuk mewujudkan perpecahan di antara fahaman Syiah dan Sunni.”

Kami merayu kepada anda agar memainkan peranan proaktif dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan memberikan publisiti yang meluas kepada Mesej Amman dan Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa.

Anda juga perlu menghasilkan program berhubung sejarah asal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terutama sekali Balkanisasi dan penjajahan Barat di Semenanjung Arab selepas Perang Dunia Pertama. Kami juga menyarankan supaya penerbit rancangan anda mengkaji The Unmaking of the Middle East oleh Jeremy Salt dan The Ethnic Cleasing of Palestine oleh Ilan Pappe dan menghasilkan rancangan berdasarkan karya itu.

Bersama ini saya sertakan dokumen untuk maklumat anda dan menyebarkannya kepada penerbit rancangan TV Al Hijrah:

1. The Amman Message

2. Resolution 152 of the International Islamic Fiqh Academy

3. Ahmed Deedat on Iran: A nation Reborn

4. Qaradawi and Shia-Sunni dialogue

Kami percaya bahawa anda akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap ulasan dan saranan dengan niat untuk menjadikan Al Hijrah sebagai saluran TV yang benar-benar Islam.

Jawapan awal daripada pihak tuan amat dialu-alukan.

Terima kasih.

Yang benar,
S.M Mohamed Idris
Pengerusi, Citizens International

Khutbah Jumaat di dua negeri

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

DUA Jumaat lalu berturut saya mengembara. Maka saya solat Jumaat di negeri yang saya kunjungi itu.

Di Jumaat yang pertama sebagai biasa saya mengangkat tangan mengaminkan doa khutbah terhadap Raja negeri itu. Saya dapati orang di kiri kanan dan di depan tidak mengangkat tangan seperti saya.

Apabila khatib membaca doa untuk perkara lain baru mereka menadah tangan serentak suara amin dari semua.

Minggu kedua saya mengembara pula di sebuah negeri lain. Saya dapati sekalian jemaah mengaminkan doa khatib terhadap Raja, bahkan didoakan juga terhadap waris takhta dan pasangannya serta putera puteri Sultan serta cucu-cucu baginda.

Sebelum itu saya pernah mendengar ada pengembara yang singgah Jumaat di negeri yang pertama itu menyebut dia saja yang menadah tangan mengaminkan doa khatib terhadap Raja. Apabila lihat orang lain tidak mengangkat tangan, dia pun perlahan-lahan menjatuhkan tangannya.

Saya tanyakan hal itu dari orang negeri itu, jawabnya masjid jemaah tidak menadah tangan. Berani dia menyebutkan sebab orang berbuat demikian. Saya berhajat mendengarnya lebih lanjut.

Mendoakan ulil amri dalam khutbah adalah sunat. Tetapi telah menjadi ibadat semua penganut mazhab Syafie menngaminkan doa khatib teradap Raja, malah dianggap beradab kiranya khatib tidak mendoakan Raja atas apa sebab sekali pun.

Telah berlaku satu kejadian imam utama di masjid tempat saya selalu solat Jumaat diadukan tidak mendoakan Raja dalam khutbahnya.

Saya tidak sedar kejadian itu. Setahu saya imam itu adalah seorang rakyat yang setia kepada Raja dan kerajaan. Tidak pernah dia tidak mendoakan Raja.

Ada orang menegurnya selepas solat bahawa dia tidak mendoakan Raja. Jawabnya atas teguran itu ialah, ‘Tak mengapa tertinggal doakan raja, ia sunat saja.’

Yang menegur itu tidak memaafkannya, sekalipun sunat tetapi ia tidak boleh ditinggalkan. Lalu dia melaporkan kepada Majlis Agama. Kemudiannya imam itu meletak jawatan.

Pada saya pelik juga kejadian makmum secara sepakat tidak mengaminkan doa terhadap Raja sedang baginda adalah ketua agama negeri. Setahu saya sekalian rakyat di mana-mana saja di Malaysia tidak membantah mendoakan Raja. Hanya di negeri itu saja ada makmum tidak mengaminkan doa itu.

Jika betul hal serupa berlaku di lain-lain masjid, saya kira ia satu unjuk rasa. Tentu ada sebabnya. Apa sebabnya?

Apa pun kejadian itu tidak menjadi isu. Tidak ada yang peduli. Tetapi saya kira ia tidak elok dan tidak harmoni. Sekali pun ia sunat, tetapi ia ibadat juga. Ada pahala jika ibadat itu diterima.

Adapun jika pemerintah itu seperti Hosni Mubarak dan Bashar Assad di Syria, memang patut makmum tidak menadah tangan dan tidak mengaminkannya. Mereka tidak menguntungkan agama, rakyat dan negara.

Mengapa tiada yang menyelidik mengapa kejadian itu berlaku? Supaya keganjilan itu dapat dibetulkan? Makmum rasanya adalah jelas. Mereka tidak membantah doa itu ada dalam khutbah. Cuma mereka tidak mengaminkan saja. Dan mereka tentulah tidak terus begitu kiranya ia boleh dibetulkan.

Raja patut mengambil tahu dan mengambil langkah supaya bantahan dalam diam itu tidak diteruskan, sebaliknya harmoni tambah makmur.

Ada pun di negeri yang satu lagi tadi keadaan di sebaliknya pula. Makmum bukan sekadar mengaminkan dia itu secara nyaring, malah mereka istiqamah mengaminkan keharmonin untuk sekalian kerabat istana yang disebut oleh khatib.

Harmoni mereka itu tidak sekadar pada khutbah itu saja. Doa itu diulang semula oleh imam selepas solat dan makmum terus mengaminkan.

harakahdaily/-

Kad ucapan: Kempen untuk bebas 45 tahanan ISA

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI ) akan terus konsisten memperjuangkan pembebasan kesemua tahanan ISA yang masih dikurung di Kem Tahanan Kamunting. Biarpun masih belum ada sebarang perkembangan positif daripada pihak Kerajaan, GMI optimis dengan desakan berterusan daripada rakyat Malaysia semua tahanan akan dibebaskan. Setelah 3 kali protes dilancarkan di hadapan Kemta, Menteri Dalam Negeri masih enggan mengambil peranan serius dalam menjawab tuntutan tahanan ISA yang menuntut untuk dibebaskan segera.

Sifat Kerajaaan Malaysia ini cukup mempamerkan betapa slogan janji ditepati boleh diragui oleh rakyat Malaysia. Sikap bermanis muka di corong-corong media dan dalam masa yang sama berkeras terhadap minoriti kecil yang ditahan tanpa bicara adalah satu penipuan terhadap rakyat. Jika benar kerajaan telus dalam menunaikan janji, maka 45 orang baki tahanan ISA perlu dibebaskan. GMI yakin, sekiranya semua tahanan dibebaskan, lebih banyak cerita di sebalik tembok ISA akan terdedah kepada rakyat. Mungkin inilah kerisauan yang membelengu Kerajaan Malaysia sehingga enggan membebaskan tahanan.

Protes ketiga yang dijalankan pada 15 Julai lepas mempamerkan peningkatan dalam jumlah yang hadir. Ini menunjukkan rakyat sudah semakin terdedah mengenai isu yang sedang berlaku. Untuk meneruskan momentum kesedaran ini, GMI akan melancarkan satu lagi kempen yang dinamakan sebagai Kad Ucapan Untuk Tahanan ISA yang akan bermula pada 19 Julai ini dan tamat pada 25 Ogos 2012.

Kempen yang dijalankan bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini akan memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan kepada tahanan melalui kiriman kad ucapan. Rakyat Malaysia boleh mengirimkan kad ucapan kepada pihak GMI dan semua kad yang diterima akan dihantar terus ke Kemta. Kempen ini juga bertindak sebagai referendum yang bakal menunjukkan solidariti rakyat dalam menuntut keadilan ke atas semua tahanan ISA. Pihak GMI juga akan mengeluarkan Kad Ucapan yang akan diedarkan di program-program anjuran GMI dan juga program jemputan. GMI mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 50,000 kad yang akan diserahkan terus kepada pihak Kemta.

Kempen ini akan dilancarkan pada 19 Julai 2012 bersempena dengan penganjuran forum ISA: Penyeksaan Yang Sempurna yang akan diadakan di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Forum akan bermula pada jam 8.30 malam dan akan membicarakan mengenai trauma rakyat akibat akta zalim ISA dan isu penyeksaan terkini yang masih berlaku terhadap tahanan. Antara panelis yang bakal membincangkan topik ini ialah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Blogger Tukar Tiub Hishamuddin Rais, Isteri bekas tahanan, Norlaila Othman dan Blogger, Wan Ji Wan Hussin. Forum itu juga bakal menampilkan keluarga tahananan ISA yang akan memberikan perkongsian khas kepada hadirin yang hadir.

GMI mengharapkan dengan kempen yang berterusan akan terus memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia khususnya Menteri Dalam Negeri agar segera membebaskan tahanan. Segala isu yang berlaku akan selesai sekiranya kerajaan Malaysia bersikap terbuka dan bersedia untuk menunaikan tuntutan rakyat. GMI tidak menolak kemungkinan gelombang rakyat akan kembali berlaku seperti gelombang pertama pada 1 Ogos 2009 sewaktu rakyat berhimpun menuntut pemansuhan ISA. Namun segalanya bergantung kepada kesediaan pihak kerajaan untuk membuka jalan penyelesaian yang tuntas bersesuaian dengan tuntutan rakyat.

Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi GMI

Syukri Razab
Penyelaras SUARAM
Sekretariat GMI