17 July 2012

Pendek kaki tetapi panjang akalnya

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

(Adun Semerak, isteri dengan Rohani serta keluarganya)

KOTA BHARU: Dia seorang wanita yang bijak, seorang isteri dan ibu yang mampu menguruskan keperluan kepada seorang suami dan anak walaupun dia adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kerana keistimewaannya, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, menjadikan insan istimewa ini sebagai anak angkatnya.

Rohani Hassan, 31, yang cacat anggota kakinya iaitu antara paras lutut ke bawah, menjadi perhatian masyarakat kerana keistimewaannya itu.

Walaupun bersekolah hanya sampai darjah 6, namun kemampuannya bercakap seumpama ‘pakar motivasi’, lantang bersuara, penuh dengan fakta seumpama orang yang terpelajar.

Wan Hassan ketika ditemui memberitahu beliau bercadang untuk mengambil anak angkatnya itu sebagai penceramah untuk memberikan motivasi kepada rakan-rakan yang senasib dengannya agar mereka sentiasa tabah menghadapi ujian hidup.

Jelasnya, sepanjang lima tahun beliau mengenali Rohani sehingga akhirnya gadis itu berkahwin, Wan Hassan menilai gadis itu mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Tambahan pula dia gemar membaca, khususnya buku motivasi khususnya bagaimana untuk menjadi insane yang berani, rajin dan sebagainya,”ujar Wan Hassan lagi.

Rohani (gambar) yang menetap di Kampung Pachakan Dalam Rhu, bersama bapanya dilahirkan cacat, di mana betisnya bukan sahaja agak pendek, sebaliknya mempunyai tapak kaki yang tidak normal.

Keadaan itu membuatkan beliau tidak mampu berjalan secara normal sehingga beliau sering dibantu oleh allahyarham ibu dan ayahnya untuk bergerak.

Kerana tidak mahu menyusahkan ayahnya yang terpaksa menghantar dan menjemputnya pulang dari sekolah, beliau mengambil keputusan untuk tidak mahu belajar lagi.

Namun kuasa Allah tiada siapa yang tahu, ketika meningkat remaja, Rohani tiba-tiba mampu berjalan dan akhirnya mampu menguruskan dirinya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Tentu ramai yang tidak mengetahui kisah hidupnya yang menarik ini, di mana beliau telah dilamar oleh seorang jejaka dari Sabah yang dikenalinya hanya melalui telefon.

Setelah berkenalan lebih empat tahun dengan jejaka berkenaan yang kebetulan juga sahabat abang kandungnya, akhirnya beliau mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup mereka, dikurniakan seorang cahayamata.

“Saya bersyukur walaupun saya cacat, saya tidak bersekolah, saya mampu melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu juga sebagai seorang anak kepada ibubapa saya,”ujarnya.

harakahdaily/-

Transformasi Najib hanya tukar jenama saja

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Politik (PTP) yang dibanggakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah program tukar jenama sahaja, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Ia tak ubah seperti wain yang lama juga tetapi di dalam botol yang baru," kata beliau ketika menyokong pandangan yang menyifatkan Akta Keharmonian Nasional sebenarnya adalah akta yang mempunyai nama yang salah.

Pandangan tersebut menyifatkan akta tersebut tidak memupuk keharmonian sebaliknya akan menyebabkan suasana tidak harmoni.

Lantaran itulah, menurut pandangan tersebut, nama Akta Keharmonian Nasional tidak sesuai dengan akta yang menggantikan Akta Hasutan 1948 itu.

"Tujuannya masih sama. Malah ia memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan untuk menindas hak rakyat untuk bersuara.

"Semua program transformasi Najib tak ubah seperti orang yang tukar kopi tongkat ali kepada kopi tunjuk langit. Tujuannya sama, nak 'power' yang lebih dari yang sepatutnya," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan sifat atau ciri utama Akta Keharmonian Nasional itu masih sama dengan Akta Hasutan 1948 iaitu menafikan keadilan untuk rakyat.

"Begitulah juga program transformasi Najib yang lain, ia sama ada tidak adil atau menafikan keadilan untuk rakyat.

"Semua itu tidak bertujuan untuk memberikan keadilan kepada rakyat tetapi semata-mata untuk mengukuhkan kuasa Najib atau untuk publisiti murahan kepadanya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Najib, kata Mahfuz, sepatutnya merasa malu kerana semua program transformasinya tidak diterima oleh mereka yang boleh berfikir dengan baik.

"Bukan sahaja tidak diterima, malah Najib dianggap sebagai demokrat palsu (false democrat) oleh akhbar luar negara," katanya.

Baru-baru ini, akhbar Kanada, menyifatkan Najib sebagai 'false democrat'.

Najib diletakkan pada kategori pertama sebaris dengan Najib Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Palestin Mahmoud Abbas; Presiden Algerian, Abdelaziz Bouteflika; Perdana Menteri Ethiopiam, Meles Zenawi dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Antara yang sebelum ini digelar 'false democrat' ialah Presiden Yogoslavia, Slobodan Milosevic dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

harakahdaily/-

Rais bidas Umno tidak ketepi fahaman politik?

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Datuk Seri Dr Rais Yatim seolah-olah membidas Umno BN sendiri apabila menyeru semua pihak mengenepikan fahaman politik dalam sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Yusapiza Ya'cob (gambar) walaupun sudah 55 tahun Malaysia merdeka dengan pelbagai tema dibuat untuk menyambut hari bersejarah itu namun, kerajaan tidak pernah sekali pun menjemput pimpinan pembangkang menghadiri upacara hari tersebut.

"Pada tahun ini juga, tidak ada seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan hari kemerdekaan ini.

"Apakah Pakatan Rakyat yang tidak patriotik ataupun Umno BN yang masih degil dan tidak mahu mengenepikan fahaman politiknya dalam menyambut ulang tahun hari yang bersejarah ini?"soalnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Umno BN masih lagi mengalami sindrom 'Malaysia ini aku yang punya' tanpa mempedulikan pihak-pihak yang lain yang turut sama memperjuangkan kemerdekaan.

DPPWP juga melihat kerajaan Umno BN tidak jujur dalam menyambut Hari Kemerdekaan 2012 ini apabila menggunakan tema '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati'.

Tema itu, katanya secara terang-terangan menunjukkan bahawa adanya agenda tersembunyi Umno BN untuk menghadapi PRU ke-13.

Jelas Yusapiza, tema ini sahaja sudah menunjukkan bahawa Umno BN tidak mampu mengetepikan fahaman politiknya sendiri.

"Malahan ia jelas menunjukkan keegoan dan keangkuhan mereka terhadap rakyat Malaysia. Namun rakyat semakin cerdik untuk mengetahui janji siapakah yang ditepati," katanya.

Katanya, Umno BN juga dilihat semakin terdesak dalam meraih undi sehingga sanggup menjadikan sambutan hari kemerdekaan sebagai platform untuk berkempen.

"Umno BN dilihat cuba mencari lubang-lubang tikus yang ada untuk memenangi hati rakyat. Semua saluran kerajaan akan dikerah demi memastikan Umno BN bernafas lagi selepas PRU 13," katanya.

Justeru, DPPWP yakin semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat merupakan rakyat yang patriotik meraikan sumbangan semua pihak yang berusaha memerdekaan negara kita.

"Hari kemerdekaan disambut dengan ikhlas tanpa perlu ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya," tambahnya.

harakahdaily/-

Telefon ke sekolah: NUTP tunggu maklum balas

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: NUTP menunggu maklum balas daripada ahli-ahlinya berhubung cadangan kerajaan membenarkan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar sekolah.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan Malaysia (NUTP) akan menyatakan pendirian rasmi selepas memperoleh maklum balas daripada ahlinya.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi secara tidak rasmi, ada di kalangan guru-guru yang bersetuju, tidak kurang juga yang berfikir lebih banyak keburukan berhubung cadangan tersebut," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima nanti, NUTP akan berbincang mengenainya sebelum mengemukakan sebarang tindakan kepada kerajaan.

Semalam, Kementerian Pelajaran dilaporkan dalam usaha merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

Beliau juga dilaporkan berkata para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.

harakahdaily/-

Umno serang isu air untuk rampas Selangor dari Pakatan

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali membidas tindakan terdesak Kerajaan Pusat menggunakan isu air untuk memburuk-buruk pentadbiran Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor.

Beliau berkata, isu ini dijadikan alat politik murahan Umno BN untuk menekan rakyat dengan harapan dapat mengambil alih semula pentadbiran negeri itu.

Menurutnya, krisis air juga berlaku di negeri-negeri lain, tetapi tidak diberi perhatian kerajaan.

“Mengapa hanya menumpukan masalah ini di Selangor? Masalah air di Johor juga berpanjangan. Di Muar dan Batu Pahat boleh dikatakan sepanjang tahun ada tong-tong air untuk mengatasi masalah ini.

“Mengapa ia tidak diambil perhatian oleh kerajaan? Ini jelas membuktikan Kerajaan Pusat mahu menggunakan masalah air sebagai alat politik murahan,” kata Syed Husin pada sidang media di lobi Dewan Negara hari ini.

Hadir sama, Senator KEADILAN, Syed Shahir Syed Mohamud dan DAP diwakili Dr Ariffin Omar. Muhamad Yusuf pula mewakili PAS.

Masalah kekurangan air di Selangor mula ditimbulkan Umno BN sejak Pakatan mengambil alih pada 2008.

Kemuncak isu ini apabila syarikat pemegang konsesi air negeri – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang disokong Umno BN menakut-nakutkan rakyat untuk mencatu air kononnya bekalan air di negeri itu semakin berkurangan.

Syed Husin mempertikai kebangkitan isu ini walaupun Umno BN sudah berpuluh tahun memerintah Selangor.

“Lebih 50 tahun BN perintah, tidak berlaku kekurangan air, tapi tak sampai lima tahun Pakatan perintah, air boleh habis?” sindirnya.

Beliau turut menyokong keputusan Selangor mengambil alih operasi Syabas kerana syarikat itu gagal melaksanakan tanggungjawab menyediakan air terawat.

“Kalau benar pun berlaku krisis air terawat seperti didakwa, Syabas perlu dipersalahkan kerana tanggungjawab menyediakan air terawat terletak pada Syabas.

“Kenapa syarikat ini tidak boleh menghasilkan air bersih sedangkan kapasiti empangan di Selangor berlebihan?” soal Syed Husin.

harakahdaily/-

Dacing serupa ini dah tak dipakai orang lagi

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

Petang tadi saya ke PJ Old Town menghantar seorang rakan membeli sesuatu di sana. Saya berjalan di kaki lima kedai-kedai di sebelah belakang bandar itu dan saya telah terjumpa satu kedai yang masih menggunakan dacing lama yang masih menggunakan sukatan kati dan tahil. Dacing yang saya maksudkan itu ialah dacing yang menjadi simbol Barisan Nasional (BN).

Sudah begitu lama saya tidak menengok dacing lama ini dan saya bertanya kepada kedai itu bagaimana dia membuat perkiraan harga barang kerana sukatannya sudah tidak dipakai lagi sekarang. Sekarang semua orang menggunakan sukatan kilogram dan gram, bukan lagi tahil dan kati. Saya pun tidak pasti samada anak-anak muda di bawah tiga puluhan tahu apa dia tahil dan kati itu kerana sukatan itu sudah lama kita tinggalkan.

Dacing itu tidak dipakai oleh sesiapa lagi termasuklah pekedai-pekedai runcit di mana-mana. Dacing ini hanya masih dipakai oleh BN untuk dijadikan simbol parti itu. Agaknya itulah yang menyebabkan BN tidak begitu mendapat perhatian rakyat kerana baik dari simbol dan cara mereka berfikir sudah begitu ketinggalan zaman.

Agaknya itulah sebabnya kenapa BN sudah tidak begitu mendapat sokongan kerana dacing itu sudah tidak lagi dipakai oleh orang ramai. Mungkin BN terpaksa menggantikan simbol baru kerana simbol dacing sekarang ini adalah satu simbol yang tidak lagi dipakai oleh masyarakat.

Mungkin itulah juga sebabnya kenapa pihak BN bercakap, berfikir dan bertindak berlainan yang tidak ‘compatible’ dengan masyarakat sekarang ini. Orang sudah bercakap pasal kilogram dan gram, mereka (BN) masih bercakap tentang kati dan tahil.

Sudah jarang-jarang sangat orang menggunakan dacing itu. Jika ada yang hendak menjual dacing itu, mungkin saya beli untuk dijadikan hiasan ruang tamu di rumah sahaja.

Maksud saya dacing itu hanya boleh dijadikan sebagai salah satu dari barang perhiasan di rumah sahaja.

harakahdaily/-

Enakmen hiburan: Amaran Kelantan susulan persembahan Siti Nurhaliza

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau penganjur yang melanggarEnakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yangdikuatkuasakan di negeri itu.

Kenyataan tegas itu disuarakan berikutan kehadiran penyanyi terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika mengadakan persembahan terbuka di Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 peringkat Kota Bharu, Sabtu lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mengikut undang-undang di bawah yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Bagi kes tersebut kita memberi amaran, namun selepas ini kita tidak akan berkompromi lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 di sini, hari ini.

Takiyuddin mengingatkan penganjur atau individu termasuk ahli politik yang ingin membawa penyanyi-penyanyi atau selebriti di Kelantan perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Sebelum ini kita terima maklumat daripada penganjur program itu mengatakan majlis itu merupakan program motivasi, namun di sebalik majlis itu mereka membawa penyanyi wanita tersohor menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyian secara terbuka.

“Ini memang satu tindakan yang menyalahi undang-undang di negeri ini, namun kita harap selepas ini perkara seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1,000 di bawahEnakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Baru-baru ini majlis sambutan hari guru yang diadakan di kompleks sekolah-sekolah Jalan Wakaf Mek Zainab mendapat sambutan lebih 10,000 masyarakat sekitar dan guru-guru sekitar Kota Bharu.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Husin Awang ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kenyataan exco isu tersebut.

KAWALAN PERSEMBAHAN HIBURAN

3.1. Hiburan Yang Dilarang
Nama, Jenis dan kelas hiburan yang dilarang ialah Mak Yong, Menora, Wayang Kulit (tradisional), Main Puteri, Tinju Siam (Tomoi) dan Pelaga Binatang. Larangan ini meliputi semua peringkat tersebut.

3.2. Hiburan DiKawal Selia
Semua jenis dan kelas hiburan lain sama ada berbentuk atau dipersembahkan secara tradisional atau moden perlu dikawal selia tertakluk kepada ciri-ciri dan syarat-syarat berikut :

(i) Tidak melibatkan perempuan (cukup umur), lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya.
(ii) Tidak dipertunjukkan oleh lelaki bersama perempuan yang bercampur aduk tanpa batas syarie atau dipertunjukkan oleh perempuan yang mendedah aurat.
(iii) Tidak mengandungi kepercayaan, ucapan, bacaan dan perbuatan yang berunsur syirik, kufur, keji, lucah, mencela, memaki, fitnah, maksiat, dan sebagainya yang bercanggah dengan akidah syariah dan tatasusila Islam.
(iv) Tidak mengandungi unsur-unsur kafir seperti pemujaan roh, semangat, hantu syaitan, jin dan tempat yang dianggap keramat seperti kubur dan sebagainya.
(v) Tidak mengandungi unsur-unsur penghinaan, celaan, cacian, perkelahian, pergaduhan dan memecah belah perpaduan ummah.
(vi) Tidak merosak nyawa, akal, keturunan, kemudaratan tubuh badan dan harta benda individu dan awam.
(vii) Tidak mengandungi unsur-unsur perjudian atau pertaruhan yang melibatkan untung rugi.
(viii) Tidak mengganggu ketenteraman rumah ibadah Islam dan masyarakat awam.
(ix) Tidak mengandungi unsur-unsur penyeksaan kepada binatang-binatang atau memusnahkan tumbuh-tumbuhan kecuali yang dihalalkan oleh syariah Islam.
(x) Tidak mendorong kepada perbuatan syirik, kufur, mungkar, maksiat, pergaduhan dan memusnahkan harta benda serta kemudahan awam.
(xi) Tidak melalaikan daripada melaksanakan tanggungjawab atau kewajipan terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umum.
(xii) Tidak mengandungi unsur-unsur sihir dan penipuan. - SH

Bukan SK Seksyen 19 Shah Alam sahaja miskin

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

Najib ni macam nak jatuh sangat. Sebelum jatuh lebih baik habiskan betul-betul wang negara. Antaranya bagi duit pancing undi. Buat projek, bagi komisen kroni dan macam-macam lagi.

Tiba-tiba jabatan kerjaan dah tak ada duit nak beli alat tulis. Bukan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 19 Shah Alam saja. Tapi jabatan-jabatan lain pun sama. Yang paling ketara ialah keperluan alat tulis.

Kalau di hospital kerajaan ubat pun dah berkurangan. Doktor tulis 3 bulan, dibekalkan 1 bulan sahaja. Kadang-kadang ubat putus bekalan. Yang kena marah orang yang duduk di kaunter hadapan.

Rakyat jangan lagi jadi khayal dengan gula-gula BN. Keperluan asasi jabatan kerajaan pun dah tak ada atau berkurangan. Tak pecaya, tanyalah rakan-rakan yang kerja dengan jabatan kerajaan.

harakahdaily/-

‘Mengapa tiada tindakan ke atas Papagomo’

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

BALIK PULAU - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melahirkan kebimbangan kerana tiada tindakan diambil terhadap pengendali blogger pro-Umno termasuk Papagomo yang menurutnya menyebarkan fitnah terhadap pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selama ini.

Beliau berkata ini bukanlah kali pertama penyebaran fitnah dilakukan, namun masih dibiarkan tanpa apa-apa tindakan.

“Tambahan pula Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada laporan yang diterima setakat ini," katanya kepada media selepas menghadairi jamuan teh di sini petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai diminta mengulas laporan blog yang menyebut kononnya seorang lagi siswa membuat laporan polis di kawasan utara kerana diliwat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Nurul Izzah berkata, sampai bila pimpinan PR termasuk bapanya, Anwar dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan terus dituduh dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas.

“Awak tahu siapa dia, sampai terpaksa dijemput oleh Kementerian Pertahanan untuk membuat lawatan dan masuk ke dalam kapal selam.

“Kerajaan wajib melakukan sesuatu secepat mungin dan tidak membiarkan perkara seperti itu berlarutan. Jika tidak nampak sangat blogger seperti ini digunakan oleh pihak tertentu untuk menyerang pimpinan pembangkang," katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), beliau menganggap dirinya sebagai askar dan akan patuh kepada arahan parti.

“Jika mereka arah saya bertanding, saya akan bertanding. Jika tidak, saya akan patuh apa sahaja keputusannya," katanya.

Ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai atau beralih kepada Dewan Undangan negeri (Dun), beliau berkata, tunggulah keputusannya nanti.

“Tak payah tanya banyak-banyaklah. Mari kita makan durian," katanya.

sinar harian/-

Syabas gagal, Selangor ambil alih tepat pada masa

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Senator Pakatan Rakyat menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Senator Syed Hussein Ali daripada PKR berkata, keputusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tepat pada masanya kerana Syabas gagal menguruskan air di negeri itu.

"Apa yang dikatakan krisis air di Selangor boleh dipertikai kerana bekalan air di kawasan simpanan air masih mencukupi.

"Kerajaan Pusat sengaja menjadikan isu air ini sebagai alat politik untuk merampas Selangor," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Pusat untuk meneruskan pembinaan Langat 2 yang menyediakan air mentah daripada Pahang.

Ini kerana katanya, kos pembinaan loji tersebut akan menggunakan wang rakyat.

"Walaupun kerajaan kata mereka akan biayai kosnya, tapi kerajaan negeri juga terpaksa membayar RM60 juta 'royalti air' setiap tahun kepada Pahang bagi air mentah tersebut. Ini melibatkan wang rakyat.

"Bagaimana kerajaa negeri mahu beri air percuma jika terpaksa tanggung kos ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi senator daripada PKR, Syed Shahrir menegaskan, masalah sebenar bukan kekurangan air mentah sebaliknya Syabas gagal merawat air mentah menyebabkan air bersih tidak dapat dibekalkan kepada penduduk negeri itu.

"Syabas yang bertanggungjawab kerana bersikap acuh tak acuh dalam operasi merawat air. Air mentah ada tapi tak diselenggara.

Menurutnya juga, Syabas didapati menanggung hutang sebanyak RM2.8 bilion.

Angka ini merupakan jumlah yang harus dibayar kepada kepada operator rawatan air.

Syabas sebelum ini bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang.

Namun perkara itu belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

harakahdaily/-

Ada pejawat awam rugi akibat gaji SSM 2012

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

Salam, Admin tertarik dengan luahan seorang kawan yang merupakan penjawat awam baru-baru ini tentang Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tahun 2012, yang menyatakan ada pihak dari kakitangan awam yang rugi dari kenaikan tersebut.

Oleh sebab itu Admin membuat keputusan untuk menulis tentang perkara ini bagi mendapatkan penjelasan yang tepat tentang perkara ini (daripada sesiapa sahaja, termasuk anda sebagai pembaca).

Rugi yang dimaksudkan di sini ialah, terdapat perbezaan kenaikan gaji bagi senior dan junior di dalam skim SSM yang menyebabkan ada kakitangan mendapat jumlah gaji lebih sedikit, walaupun hakikatnya beliau lebih kanan dan lebih tinggi senioritinya.

Contohnya adalah seperti dalam jadual di bawah (Ali intake Okt 2008 dan Ahmad intake Mac 2009):

Klik pada jadual untuk paparan lebih besar

* Kalau dilihat daripada segi perkiraan gaji, seolah-olah Ahmad adalah lebih kanan berbanding Ali walaupun secara dasarnya Ali adalah kanan daripada Ahmad.

* Perbezaan senioriti gaji Ali berbanding Ahmad hanya 3 bulan, iaitu pada bulan Oktober, November & Disember berbanding Ahmad yang melebihi gaji sepanjang Januari – September iaitu sebanyak 9 bulan.

* Kalau dilihat Gross income antara Ali & Ahmad setahun, ternyata Ahmad melebihi daripada Ali.

* Impak gaji senioriti akan terlibat bagi KGT pada bulan 7 & 10.

* Impak ini juga akan terlibat secara menyeluruh ke semua penjawat bagi semua skim.

harakahdaily/-

Cipta peralatan kecergasan dengan kayu

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

TITOV melihat anaknya menguji salah satu peralatan kecergasaan yang diciptanya di pekarangan rumah mereka di Novopyatnitskoye kelmarin.

MOSCOW - Seorang ahli psikologi lulusan Universiti Negeri Leningrad, Valery Titov mencipta lebih 20 peralatan kecergasan dengan menggunakan kayu.

Peralatan itu dihasilkan dengan menggunakan kayu pain Angara dan cedar tanpa sebarang komponen logam.

Titov yang berusia 63 tahun yang merupakan seorang penternak lebah tinggal di Novopyatnitskoye, 120 kilometer ke timur bandar Krasnoyarsk, Rusia.

Menurutnya, buat masa ini, tiada pelabur dan ahli perniagaan yang berminat dengan ciptaannya itu. - Reuters

Flashmob mahasiswa bebas 45 tahanan ISA esok

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan satu siri 'Fllashmob' di ibu negara berhubung isu ISA yang tidak lagi selesai sehingga hari ini walaupun PM telah mengumumkan pemansuhan akta yang lebih bersifat 'zalim' itu sejak September tahun lalu lagi.

Pengerusinya, Safwan Anang (gambar) berkata, mahasiswa tetap dengan pendirian bahawa selagi Kem Tahanan Kamunting masih dibuka selagi itu kerajaan hanya retorik dengan janji manis.

Tegasnya, SMM berpendirian bahawa rakyat harus terus bangkit menolak penggunaan akta 'menahan orang tanpa bicara' ini. Ini adalah disebabkan kerajaan sehingga sekarang hanya mampu bermain dengan janji-janji manis dengan kononnya ingin menghapuskan undang-undang yang bersifat kuno walaupun dengan menggantikannya pula dengan undang-undang yang lebih ketat antaranya seperti akta himpunan aman.

“Mahasiswa merasakan perkara ini harus diceritakan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang apakah perkara sebenar yang sedang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat perlu tahu bahawa sehingga sekarang masih ada lagi dari kalangan rakyat Malaysia sendiri yang ditahan di bawah ISA.

SMM juga, ujarnya berpendirian tegas dalam isu pemansuhan ISA terutama apabila respons menteri yang bertanggungjawab penuh dalam mempertahan akta zalim ini hanyalah dilihat sebagai sindiran kepada tahanan dan mereka yang turut membantah akta ISA.

“Menteri seperti ini lebih baik meletakkan jawatan daripada terus menzalimi rakyat sendiri,” katanya.

Justeru, tambah beliau SMM menyeru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia yang cakna dengan isu itu untuk sama-sama turun ke Flashmob Mahasiswa Bebaskan 45 Tahanan ISA esok, 17 Julai jam 12 tengah hari di Kuala Lumpur Sentral.

“Kami juga menjemput seluruh rakan-rakan media untuk turut bersama esok. Kita sampaikan mesej penting ini kepada seluruh rakyat Malaysia!” katanya.

harakahdaily/-

Tiada air percuma jika laksana Langat 2

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Exco kerajaan negeri Selangor mendakwa, rakyat Selangor bakal hilang hak air percuma sekiranya projek Langat 2 diteruskan.

Ini kerana kos pembinaannya terlalu tinggi dan bakal dibebankan kepada pengguna selepas ini, kata Dr Dr. Xavier Jayakumar (gambar) dalam kenyataannya.

Dr. Xavier memberikan tujuh sebab penting mengenai projek Langat 2 iaitu:-

1) Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Pembinaan Loji Langat 2 adalah bernilai RM8.65 Bilion.

2) Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi dari pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (J.I.C.A) dari Negara Jepun.

3) Bagi membayar bagi kos projek, kerajaan Pusat (melalui pembekal dan pengedar air tunggalnya, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tiada pilihan lagi melainkan mengenakan kadar tariff (harga air) yang tinggi kepada pengguna iaitu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
(Kita menjangkakan bahawa harga akan akan meningkat sehingga 70% selepas Loji Langat 2 siap sepenuhnya dijangka pada tahun 2014)

4) Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku dimana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu Air Percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain.

5) Harus juga diingat bahawa Syabas adalah sebuah syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ (Profit making company) dan kita tidak nampak Syabas mampu mengorbankan keuntungannya bagi tujuan tersebut.

6) Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air dan dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini maka adalah sukar untuk Syabas memberikan Air Percuma.

7) Harus diingat bahawa rekod kami menunjukkan bahawa kerajaan Negeri membelanjakan RM144 juta setahun bagi pemberian 20 meter padu Air Percuma kepada Rakyat Selangor .

Beliau mengulas kenyataan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Selangor yang mengatakan bahawa rakyat Selangor akan terus diberikan air percuma sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dalam PRU 13 yang akan datang.

"Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Noh Omar itu tidak berasas dan merupakan retorik politik," katanya.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, katanya, jelaslah Noh Omar hanya bercakap kosong, sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor.

harakahdaily/-

Lelaki Israel bakar diri

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEL AVIV – Seorang penunjuk perasaan Israel membakar dirinya dalam satu perhimpunan dan detik mencemaskan itu juga sempat dirakamkan oleh jurugambar serta kamera stesen televisyen yang membuat liputan protes tersebut.

Lelaki berumur 40-an itu dipercayai mencurahkan cecair mudah terbakar ke atas badannya sebelum membakar diri di hadapan orang ramai yang terkejut dengan tindakannya.

Penunjuk perasaan lain yang berada berdekatan lelaki tersebut cuba memadamkan api tersebut menggunakan air dan baju mereka.

Perhimpunan pada malam Sabtu lalu, di ibu negara, Tel Aviv, diadakan sebagai menandakan ulang tahun pertama demonstrasi besar-besaran di Israel bagi menentang kos hidup yang tinggi di negara rejim Zionis itu, tahun lalu.

Lelaki itu meninggalkan sepucuk surat mempersalahkan kerajaan Israel di atas masalah kewangan yang dihadapinya.

Dia kini sedang dirawat di hospital selepas melecur teruk.

sinar harian/-

Wanita PR lancar Agenda Wanita Malaysia

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat hari ini melancarkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) merangkumi dasar bersama mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup yang berkualiti, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial dan agenda wanita muda.

AWM menekankan tiga elemen utama iaitu pemberdayaan, pengiktirafan dan pelaksanaan.

Bagi mencapai matlamat ini, AWM berhasrat menubuhkan Pusat Sokongan Wanita Bersepadu (PADU) di peringkat nasional bagi merealisasikan keberkesanan undang-undang yang merangkumi penubuhan baru dan pemberdayaan pusat krisis sedia ada, penambahan pusat kaunseling dan pemberdayaan NGO yang mendokong usaha ini.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng, mereka berkata, penubuhan Pusat Wanita Berdaya ( PWB ) sangat penting bagi melahirkan golongan wanita yang berkemahiran, berilmu dan berdaya saing dalam masyarakat.

Wanita Pakatan Rakyat juga berhasrat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional sebanyak RM50 sebulan daripada Pakatan Rakyat khusus sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita di dalam masyarakat.

"Kita mempercayai bahawa bantuan jika diberi tidak boleh berbentuk sekali sekala tetapi bantuan perlu bersifat membina dan berterusan," kata kenyataan itu.

Selain itu, caruman sebanyak RM10 sehingga RM100 digalakkan diberi oleh para suami kepada isteri setiap bulan sebagai tabung simpanan hari tua, skim perubatan wanita dan tabung bantuan musibah apabila berlaku bencana, kemalangan atau kematian.

"Sesungguhnya, AWM yang kita lampirkan ini adalah cerminan harapan dan pelan bertindak Wanita Pakatan Rakyat melihat perlu dilaksanakan kelak diperingkat persekutuan.

"Kelak agenda yang kita mahu warwarkan bukan setakat pelan dan dasar yang menggubal tetapi kita mahu agenda yang menerapkan falsafah dan membudayakan agenda wanita di peringkat nasional dengan jelas," kata kenyataan itu.

harakahdaily/-

PAS dakwa PM tandatangan surat pecat KP JPA

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

PAS mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menandatangani surat penamatan perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau kini sudah membaca dan mempunyai salinan surat itu bagi membuktikan dakwaannya.

"Ada salinan surat itu kepada saya. Saya tidak boleh tunjuk... Kalau beliau nak nafi, nafilah.

"Siapa tandatangan, dia kena jawablah," dakwa anggota Parlimen Pokok Sena itu dalam sidang media di lobi Parlimen di ibu negara hari ini.

Ditanya Malaysiakini selepas itu, Mahfuz menjelaskan, kandungan surat Najib itu antaranya menyatakan penamatan tugas Abu Bakar dibuat berdasar Perkara 49 Peraturan Pegawai awam dan Tatatertib (kelakuan dan tatatertib).

Apakah kepentingan awam yang dimaksudkan?

Tiada penjelasan lanjut berhubung perenggan yang dirujuk itu, tambah Mahfuz lagi.

Tandatanya penamatan tugas itu bermula apabila Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ali Hamsa sebelum ini dilapor berkata bukan beliau menandatangani surat penamatan tugas Abu Bakar.

Bercakap dalam sidang media di lobi parlimen di ibu negara hari ini, Mahfuz juga memberitahu beliau telah menyerahkan surat menuntut penjelasan Najib berhubung isu tersebut melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Surat itu antaranya membangkitkan penamatan Abu Bakar berdasarkan Peraturan 49 yang melibatkan isu "atas kepentingan awam serta gagal tapisan keselamatan".

"Persoalan yang timbul apakah maksud kepentingan awam serta keselamatan negara yang membolehkan peraturan tersebut digunakan dalam penamatan perkhidmatan Abu Bakar sebagai ketua pengarah perkhidmatan awam?" soalnya.

Surat itu juga mendesak Najib menjelaskan jenis kesalahan jenayah keselamatan yang dilakukan oleh Abu Bakar.

malaysiakini/-

Mubarak diarah kembali ke penjara

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kaherah: Ketua pendakwa Mesir semalam mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak yang disabitkan bersalah kembali ke penjara selepas hampir sebulan selepas dipindahkan ke hospital tentera selepas dilaporkan diserang angin ahmar.

Abdel Meguid Mahmud mengeluarkan arahan untuk memindahkan Mubarak dari Hospital Tentera Maadi ke hospital penjara Tora selepas kesihatannya semakin pulih, kata pejabat pendakwa dalam satu kenyataan. Pada 4 Julai lalu, Mahmud mengarahkan pembentukan jawatankuasa pakar perubatan meneliti kesihatan Mubarak, 84, dan memastikan sama ada beliau boleh dipindahkan semula ke penjara, kata timbalan ketua pendakwa, Adel al-Saeed.

Doktor bersetuju kesihatan Mubarak kini stabil dengan ubat dan dianggap baik untuk seseorang pada usianya, kata Saeed.

Jawatankuasa berkenaan mendapati tiada alasan untuk Mubarak kekal di Hospital Tentera di Maadi atau hospital lain dengan kemudahan khas, tambahnya.

Kesihatan Mubarak tidak menentu berikutan pemindahannya ke hospital pada 19 Jun lalu. –AFP

Apa punca Muhyiddin sampai takut Gelang Patah pun jatuh ke tangan PR?

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

Malaysiakini melaporkan:
Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu BN Gelang Patah berusaha habis-habisan dalam mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menurutnya akan berlangsung "tidak lama lagi."

Timbalan perdana menteri merangkap timbalan pengerusi BN berkata kerusi Parlimen Gelang Patah perlu dipertahankan kerana ia menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor iaitu Nusajaya.

"Saya meminta setiap anggota Umno bahagian Gelang Patah dan anggota komponen BN mempertahankan habis-habisan Parlimen Gelang Patah. Tidak ada masa untuk istirahat lagi, kita kena kerja keras 24 jam sehari untuk memastikan kemenangan (BN)," katanya hari ini. - Mkini.

Kalau tengok ke jumlah majoriti yang calon BN menang masa PRU12 dulu tak berapa sesuai Muhyiddin sampai kena kata dia mau BN Gelang Patah berusaha habis-habisan mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah. Majoriti 8.851 undi bukannya sikit. Kalau di bawah 1,000 undi patut la kut Muhyiddin kata macam tu.

Tapi itulah sebenarnya realiti di Johor sekarang ni. Kalau majoriti bawah 10,000 pun Muhyiddin dah tak sedap hati maknanya memang tak mustahil macam kata sebilangan penganalisa politik yang Johor akan dilanda tsunami politik masa PRU13 nanti.

Kalau tengok keputusan pilihanraya kat bawah ni mungkin hangpa akan manpak sesuatu.

[Sumber: Hrkh Cetak]
Dari majoriti 31,666 undi masa PRU11 boleh berkurang kepada cuma 8,851 udi masa PRU12. Itu dalam keadaan pengundi cina masih ramai mengundi calon BN, tak macam di Selangor dan Perak masa PRU12.

Kalau betul pengundi cina akan undi calon PR sehingga ke 90%, memang kompom Gelang Patah pun akan jatuh ke tangan PR pada PRU13 nanti. Dengan peratus pengundi cina lebih 50% memang patut sangat Muhyiddin susah hati dengan Parlimen Gelang Patah.

Lagi satu, yang mungkin jadi penyebab Muhyiddin Yasin tak sedap duduk dengan Gelang patah ni pasai ada jugak khabar angin yang kata ada kemungkinan Salahuddin Ayub akan bertanding di Parlimen Gelang Patah. Walaupun masa PRU12 dulu kerusi ni calon dari PKR yang bertanding tak mustahil PAS dan PKR akan bertukar kerusi.

Selain dari tu ada jugak khabar angin yang kata Salahuddin Ayub akan bertanding di Dun Nusajaya. Kalau Salahuddin bertanding di Dun Nusajaya tentu punya akan bagi kesan kepada Parlimen Gelang Patah pasai Dun Nusajaya di bawah Parlimen Gelang Patah.

Walaupun penchachai Umno dok kata Salahuddin Ayub di halau dari Kelantan dan akan 'terbunuh' di johor tapi tu tak lebih dari sekadar usaha depa nak spin. Yang sebenarnya Umno Johoe memang cukup rasa tergugat dengan keputusan Salahuddin Ayub balik bertanding di negeri kelahiran dia tu.

Sebenarnya bukan takat Gelang Patah saja yang Muhyiddin tak senang duduk tapi ada 8 lagi kerusi parlimen yang pengundi melayu bawah 50% yang berpotensi untuh calon BN kalah.

Itu tak termasuk lagi 8 kerusi ang pengundi melayu di bawah 55% yang jugak berpotensi untuk Pakatan Rakyat menang. Nak tau detail pasai kerusi-kerusi tu siap dengan analisa politik Johor dari kacamata PAS hangpa boleh baca dalam Harakah cetak edisi terbaru (16-19 Julai)

harakahdaily/-

3 pelajar Malaysia selamat dalam kebakaran

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

PASUKAN bomba Ames bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di South Meadow Apartments, semalam. - AGENSI
NEW YORK 16 Julai - Tiga pelajar Malaysia berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di bandar raya Ames, Iowa, kira-kira 1,900 km dari sini, awal pagi semalam.

Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd Aminuddin Hamid dan Mohd Khairi Ismail yang kesemuanya berusia 21 tahun adalah pelajar tahun dua kursus kejuruteraan di Iowa State University.

Mohamad Khairi ketika dihubungi Bernama di sini berkata, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu.

"Ketika kejadian kami sedang tidur apabila dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu rumah yang disertai arahan selamatkan diri menyebabkan kami bergegas bangun dan keluar dari unit kediaman itu," katanya.

Katanya, sebelum kejadian mereka bertiga mengadakan sesi mentelaah bersama.

Katanya, beliau tinggal di situ bersama Mohd Aminuddin dan Hazwan Izzudin yang pulang bercuti di tanah air, sementara Mohd Khairi pula tinggal di tempat lain, namun datang menginap di rumahnya sejak beberapa hari lepas.

Terdapat 17 pelajar Malaysia tinggal di kompleks perumahan itu, tetapi kebanyakan mereka sedang bercuti di tanah air atau melancong di sekitar Amerika Syarikat, katanya.

Menurut Mohamad Khairi, kediaman mereka rosak paling teruk berbanding unit lain.

Sementara itu, portal berita Iowa State Daily.com melaporkan kira-kira 100 orang tinggal di pangsapuri 56 unit berkenaan, namun tiada kecederaan dilapor dalam kejadian tersebut.

Laporan itu juga menyebut kebakaran dipercayai bermula dari garaj di bahagian bawah apartmen.

Laporan itu juga memetik pegawai perhubungan awam untuk bandar raya Ames, Susan Gwiasda sebagai berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 pagi, namun bomba berada di lokasi kejadian sepanjang hari bagi memantau situasi. — BERNAMA

Patutlah 30,000 hadir dalam 1M4U.. ada kerahan tenaga rupanya.. lihat buktinya..

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

semua sedia maklum bahawa kerahan tenaga adalah satu perkara yang diamalkan dan diwajibkan ke atas semua kaum lelaki yang merupakan warganegara Singapura.

Di negara tersebut setiap lelaki warganegara mereka yang mencecah usia 18 tahun akan dikerah menjalani khidmat sepenuh masa dalam Perkhidmatan Negara (National Service) selama dua tahun.

Ianya penting untuk keselamatan negara mereka disebabkan faktor jumlah penduduk yang kecil jika dibandingkan dengan negara-negara jiran mereka.

Tahukah anda bahawa ‘Kerahan Tenaga’ ini juga terpaksa diwujudkan di Malaysia di bawah pentadbiran Najib?

Menariknya di negara kita ini bukan belia yang berusia 18 tahun ke atas yang dikerah tetapi Kakitangan Kerajaan, Pelajar-pelajar dan juga sesiapa sahaja yang perlu akan dikerah.

Malangnya ianya tidak langsung membawa sebarang faedah kepada negara, faedahnya hanya untuk pemimpin-pemimpin terbabit sahaja.

Selain Najib yang sering menggunakan kaedah ini untuk menampakkan kepada umum bahawa majlis yang dihadirinya mendapat sambutan meriah, Mukhriz dan Muhyiddin juga mempraktikkan kaedah yang sama.

Dimana Muhyiddin suatu masa dulu telah mengerahkan setiap Syarikat menghantar sekurang-kurangnya 200 orang kemajlisnya – sila baca di ( SINI )

Manakala Mukhriz pula yang dikatakan terdesak untuk menjadi MB Kedah telah mengerahkan seluruh pelajar UiTM Pulau Pinang yang dilahirkan di Kedah untuk hadir ke majlisnya – sila lihat di ( SINI )

Meskipun kerahan tenaga yang dilakukan oleh Najib pada perasmian Hari Kooperasi Negara di Bukit Jalil telah memalukannya dimana para pelajar yang dikerah telah membuat bising ketika beliau berucap dan orang ramai yang dikerah hadir keluar ketika Najib berucap – sila lihat video di ( SINI )

Najib tidak berputus asa.. lagi satu kerahan tenaga dilakukan olehnya..

Media-media yang dikuasai Kerajaan UMNO/BN melaporkan..

Program 1Malaysia 4Youth telah berjaya dilangsungkan semalam dengan kehadiran lebih kurang 30,000 belia yang hadirnya daripada pelbagai sektor seperti RELA, JPAM, sekolah-sekolah, persatuan belia, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain malah ada juga yang hadir secara individu.

Sesuai dengan gelaran ‘Bapa Pengumuman Negara’ yang diberikan kepadanya, Najib telah mengumumkan sebanyak RM100 Juta akan disalurkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan-pertubuhan belia..

Yang pasti.. Kroni akan gembira.. belia tetap ternganga..

Untuk mendapatkan jumlah kehadiran seramai 30,000 orang seperti yang dilaporkan oleh media dikawal Kerajaan UMNO/BN itu, Najib terpaksa menjalankan kerahan tenaga sekali lagi.

Najib terpaksa menyediakan ‘T’ Shirt, makan minum dan pengangkutan secara percuma (ditanggung oleh rakyat jelata) untuk merialisasikannya.

Dokumen yang didedahkan menunjukkan Kolej Komuniti sahaja telah dipaksa mengerahkan sekurang-kurangnya 1,000 pelajar untuk menyertai program Najib 1M4U itu.

Itu kerahan untuk Kolej Komuniti.. sudah tentu kerahan tenaga ini juga telah dipraktikkan terhadap sektor RELA, JPAM, sekolah-sekolah, persatuan belia, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

harakahdaily/-