12 July 2012

Anwar minta Najib jangan takut sekat Mahathir

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta tidak takut untuk menyekat kesalahan yang dibuat oleh bekas Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed demi kepentingan negara.

Lebih-lebih lagi apabila Mahathir terlibat memberikan kontrak membekalkan minyak kepada MAS kepada syarikat yang dikuasai anaknya, Petron Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar atas) membuat permintaan itu kepada Najib ketika memberikan ceramahnya dekat sini baru-baru ini.

Menurut Anwar, pertembungan beliau dengan Mahathir berlaku sejak dalam Umno lagi apabila Mahathir mengarahkan beliau selaku Menteri Kewangan membantu anaknya, Mirzan yang sedang kesempitan dalam perniagaannya ketika itu.

"Apabila saya menolaknya, dia gunakan RM2,000 juta wang Petronas untuk membantu syarikat perkapalan Mirzan iaitu MISC," kata Anwar.

Menurut Anwar, 10 tahun kemudian, sekali lagi terbukti sikap Mahathir apabila beliau membela tindakan anaknya Mirzan yang membeli penguasaan dalam syarikat pembuat arak dari Filipina, San Maguel dengan harga RM2,900 juta secara tunai.

"Bila kita buat semua tak boleh. tunjuk perasaan haram, tetapi dia semua boleh, beli syarikat arak pun boleh," tempelak Anwar.

Yang terbaru, kata Anwar, San Maguel telah membeli syarikat Esso Mobil Malaysia dan dinamakan Petron.

Lalu, semua kapal terbang MAS telah dipaksa untuk membeli minyaknya dari Petron ini dan tidak boleh membeli minyak dari Petronas.

"Ini pun Najib takut nak bantah. Kat Mahathir takut, Obama takut, Syed Mokhtar takut...balik rumah pun takut...Apa nak jadi dengan Perdana Menteri kita ni," kata Anwar diikuti sorakan dari ribuan hadirin yang hadir malam itu.

Anwar mengajak semua rakyat negara ini agar bersama-sama membina negara ini dengan ilmu.

"Setiap sesuatu kita perlu mulakan dengan ilmu...Min huna naklam...permulaan tindakan kita dengan ilmu," kata beliau bagi memastikan semuanya dibuat dengan betul bukan kerana takut atau emosi.

Anwar memberikan contoh apa yang berlaku di Kelantan sekarang.

"Memang Kelantan secara relatifnya agak miskin tetapi Kelantan berkat," kata beliau.

Harakah Daily

Lagi usaha mekap Najib nak bagi Umno BN nampak baik?

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

mStar melaporkan:
Akta Keharmonian Nasional Ganti Akta Hasutan 1948 - PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Rabu mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamim kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

"Dengan adanya akta baru ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini. - mStar.

Nampaknya Najib masih tak berani nak bubar parlimen dan adakan pilihanraya. Nak buat macamana, persepsi Umno BN sekarang ni cukup teruk.

Pasai tu secara tiba-tiba boleh keluar pulak cadangan ni. Pada aku cadangan ni tak lebih dari sekadar usaha Najib untuk pakai mekap bagi tebal nak tutup semua kedut-kedut dan parut di muka umno BN. Nak bagi nampak lebih muda dan menawan.

Tengok ke nama pun dah tau dah.

Realitinya, ISA yang katanya dah dimansuhkan pun sebenarnya masih belum di mansuhkan. kalau tak silap aku masih ada 45 di tahan di pusat tahanan di bawah ISA. Mansuh apa kejadahnya macam tu.

Pasai tu lah pada aku undang-undang baru ni pun tak lebih sekadar makep untuk Umno BN. Kalau betul Najib nak buat perubahan, nak buat transformasi melalui undang-undang, 45 orang yang masih di tahan di bawah ISA tu mesti dibebaskan segera ataupun didakwa di mahkamah kalau betul ada kes.

Sama jugak macam akta Himpunan Aman 2012 yang diluluskan awal tahun ni. Kalau diteliti undang-undang tu tak ada bezanya pun ada atau takdaknya. Akhirnya pihak polis masih jugak ada kuasa untuk tak benarkan himpunan diadakan. Kalau PM bagi arahan suruh halang sesuatu himpunan takkannya berani PDRM nak derhaka. Pandai la depa cari alasan, bagi alasan untuk tak benarkan.

Harakah Daily

Occupy: Mengapa ditahan, mereka mahu jumpa MB

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pahang mengecam tindakan pihak polis yang bertindak menahan sekumpulan 31 orang peserta 'Occupy Pejabat MB', 10 Julai lalu.

Pengerusinya, N. Balasubramaniam, berkata kesemua mereka yang ditahan itu sewajarnya didengari masalah, bukan bertindak menahan mereka.

"Mereka merupakan penduduk kampung yang masalah mereka sudah sekian lama tertangguh untuk diselesaikan. Lagipun, mereka bukan membuat kekecohan, cuma ingin menemui menteri besar sahaja," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, tindakan pihak polis yang menahan mereka termasuk kanak-kanak, menunjukkan sikap polis yang 'double standard'.

Katanya, dalam banyak kejadian jenayah, pihak polis tidak bertindak sepantas itu untuk mengambil langkah pencegahan.

"Apa yang lebih penting, tindakan yang boleh diambil ialah mendengar apa yang mereka mahukan. Kalau menteri besar tiada, berilah satu tarikh lain untuk temujanji semula, bukan bertindak menahan mereka," tegas beliau dalam nada kesal.

Pada program 'Occupy Pejabat MB' itu, 33 penduduk Cameron Highland berhimpun secara aman di depan pejabat MB Pahang bagi menuntut janjinya yang mahu menyelesaikan masalah tanah dan kediaman mereka yang terancam.

Mereka cuba berunding dengan polis untuk membolehkan mereka menunggu MB yang telah berjanji kepada mereka sebelum ini namun tidak berjaya.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan mereka tamat.

Seseorang itu hanya boleh ditahan tidak lebih dari 24 jam.

Harakah Daily

Hapus ISA: Transformasi Najib tipu rakyat

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa amat kesal kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu zalim masih terus digunapakai oleh kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tanpa berlaku istilah ‘transformasi’ atau ianya dihapuskan sehingga kini.

“Dan kami menyatakan sokongan agar mendesak kesemua baki 45 tahanan dibebaskan dengan segera,” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss (gambar).

Malah, katanya DPPM ingin bersama turut berhimpun membantah kezaliman ISA yang telah dirancang pada 15 Julai ini di hadapan Kem Tahanan Kamunting, Taiping jam 11.00 pagi.

Menurutnya, DPPM yakin rakyat yang menentang kezaliman ISA akan turun bersama bagi menyuarakan bantahan dan kekejaman bukan sahaja kepada mangsa tetapi kepada seluruh ahli keluarga mangsa sehingga kini.

Justeru, katanya DPPM mengharapkan rakyat dan terutamanya anak muda bangkit menzahirkan bantahan bersama kelak.

“Marilah sama-sama kita tunjukkan simpati terhadap semua mangsa dan ahli keluarga serta sokongan agar mereka semua dibebaskan dengan segera,” ujarnya.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, sudah tentu juga masyarakat antarabangsa tertipu dengan istilah ‘transformasi’ yang dijanjikan Najib terhadap akta lapuk lagi zalim itu perlu didedahkan.

Katanya, pendedahan baki tahanan ini bukti bahawa kezaliman ISA masih menjadi akta yang paling zalim yang masih dikekalkan sebenarnya.

Menurutnya lagi, rakyat umpama tertipu tentang penghapusan akta ini selama ini jika pendedahan mogok lapar yang dilancarkan oleh 45 orang tahanan yang masih berada di dalam kem tahanan tersebut diketahui umum juga akhirnya.

Beliau berkata, DPPM merancang untuk menjelajah seluruh negara untuk mendedahkan kezaliman ISA yang sebenarnya masih ‘kuat’ bertahan di dalam pemerintahan Najib selama ini.

“Kami akan mendedahkan kezaliman ISA ini oleh kerana kepimpinan Najib tidak menepati janji untuk menghapuskan akta zalim ini.

“Semua ini adalah pembohongan semata-mata bagi menutup suara rakyat!” tegasnya.

Harakah Daily

Akta Keharmonian bukti Najib demokrat palsu

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi disajikan ‘transformasi’ layu lagi lesu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kali ini berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948 hanya untuk digantikan dengan satu akta baru yang bakal diberi nama Akta Keharmonian Nasional.

“Walaupun pemansuhan Akta Hasutan ini apabila dipandang dengan mata kasar kelihatan positif, namun rekod prestasi pentadbiran Najib jelas membuktikan bahawa usaha-usaha ‘transformasi’ beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah helah politik yang tiada daya politik untuk melaksanakan Reformasi Politik yang telus, menyeluruh, dan dituntut segenap rakyat Malaysia,” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, rekod prestasi pentadbiran Najib dengan terang menunjukkan beliau adalah seorang demokrat palsu apabila diingatkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dimansuhkan dan kemudian diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang sama zalim seperti ISA.

Di samping itu, ujarnya penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan mengekang hak rakyat Malaysia berhimpun secara aman, terutamanya apabila Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin dituduh bersalah di bawah akta itu berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Selain itu, ujarnya Akta Keterangan (Pindaan) 2012 yang berusaha mengekang hak rakyat Malaysia bersuara, terutamanya di media atas talian seperti blog, Facebook dan Twitter, dan menggunapakai prinsip ‘bersalah hingga dibukti tidak bersalah’ (guilty until proven innocent).

Justeru, tegasnya PKR menggesa Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa menggantikannya dengan sebarang akta yang mempunyai kuasa-kuasa drakonian yang sama ibarat menggantikan tubuh badan anti-demokrasi dengan baju baru drakonian yang sama lusuh; demi membuktikan bahawa beliau adalah seorang demokrat sejati dan bukannya seorang demokrat palsu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga menggesa Najib mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) yang bersifat bi-partisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional yang beliau cadangkan, di mana JKP itu harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum.

Harakah Daily

Majlis media sosial jangan bersifat politik

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Idea penubuhan majlis media sosial disambut baik PAS, bagaimanapun ia perlu menjadi satu platform yang benar-benar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Ia juga perlu dilihat bukan hanya untuk memantau media sosial membabitkan pembangkang kerajaan, tetapi turut memantau media sosial yang bercanggah dengan norma-norma murni.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dengan pemantauan menyeluruh tanpa bersifat terpilih, idea ini perlu dilaksanakan secara serius.

"Mungkin ia idea politik, tapi kalau ia dijadikan platform yang betul-betul adil dan tidak berpihak, ia tiada masalah. Majlis sebegini pun wujud di negara-negara lain seperti Amerika.

Kita tidak mahu majlis ini hanya memantau tindakan pembangkang semata-mata, tapi dalam masa sama membiarkan sahaja 'pihak-pihak lain' berbuat apa sahaja," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim untuk menubuhkan sebuah majlis media sosial di negara ini bagi membincangkan pelbagai isu dan aspek, termasuk berkaitan undang-undang serta penggunaan media berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mencadangkan keahlian majlis itu perlu diwakili semua pihak, sama ada daripada kalangan kerajaan dan juga Pakatan Rakyat, selain NGO-NGO dan pihak-pihak berkaitan.

"Keahlian yang terbuka sebegini memberi ruang untuk semua pihak melontarkan pandangan bagi memastikan majlis itu satu platform yang serius dan tidak bersifat politik semata-mata, dan mampu memberikan manfaat bersama," tegas beliau lagi.

Rais dalam kenyataannya semalam, berkata majlis berkenaan juga boleh memainkan peranan dalam mempastikan kandungan media sosial di negara ini mencerminkan industri kandungan tempatan dan bukan semata-mata bergantung kepada negara lain.

Dengan adanya majlis itu juga, masyarakat akan mengetahui betapa pentingnya memahami apa yang menjadi salah di sisi undang-undang dalam dunia biasa adalah juga salah di sisi dunia siber.

Harakah Daily

Presiden PAS bertemu pimpinan tertinggi Ikhwan

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Rombongan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut diraikan dalam satu pertemuan bersama pimpinan Ikhwan Muslimin di ibu pejabat baru pergerakan itu di Jabal Muqattam di sini.

Rombongan yang juga turut disertai wakil kerajaan Negeri Kelantan itu turut dibawa bertemu dengan seluruh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Ikhwan Muslimin (Maktab Irsyad) yang mengadakan mesyuarat mingguan mereka semalam.

Antara pimpinan tertinggi Ikhwan yang ditemui termasuklah mantan Mursyidul Am Dr Mehdi Akif, Mursyidul Am Dr. Muhammad Badi'e, Dr. Mohd Ezzat serta Dr. Khairat Shater, bekas calon Presiden Ikhwan yang dibatalkan pencalonannya.

Di kesempatan itu, presiden sekali lagi menyampaikan ucapan tahniah daripada PAS di atas kejayaan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam pilihan raya lalu dan kemenangan Dr Mohamad Mursi sebagai presiden negara itu.

Tuan Guru Abdul Hadi kemudian turut diberi penghormatan oleh pemimpin ikhwan mengimami solat Zohor di bangunan itu yang dibuka sejurus kejatuhan bekas presiden Hosni Mubarak ketika revolusi rakyat tahun lalu. (Gambar atas)

Selepas itu, Tuan Guru turut dibawa bertemu dengan Saiful Islam iaitu anak kepada pengasas Ikhwan Muslimin, As-Syahid Imam Hassan al-Banna di kediaman beliau di Dokki di sini.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Saiful Islam turut melahirkan harapan agar 'tsunami' politik yang berlaku di Mesir turut sampai ke Malaysia khususnya pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Di akhir pertemuan, beliau menghadiahkan gambar asal Imam Hassan al-Banna kepada Tuan Guru.

Pada sebelah malamnya, presiden memenuhi jemputan bertemu dengan anak Kelantan di Wisma Kelantan di Seksyen 7 di sini.

Wisma Kelantan atau nama sebenarnya Wisma Sultan Muhammad V merupakan bangunan baru untuk penempatan anak-anak Kelantan di Mesir yang dibina dengan kos lebih RM17 juta oleh kerajaan negeri.

Bangunan itu dijadual dirasmikan oleh Sultan Kelantan dalam masa terdekat.

Hari ini pula, Tuan Guru Abdul Hadi akan ke Tunisia bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Parti An-Nahdah, Rashid Ghanoushi.

Harakah Daily

Banyak pengiktirafan Unisel di bawah Pakatan

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Semenjak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor pada 2008, Universiti Industri Selangor (Unisel) menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Demikian dinyatakan oleh pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) berhubung kejayaan Unisel yang boleh dibanggakan.

Jelasnya lagi, kedudukan Unisel adalah setaraf dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) apabila menerima pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2009.

Beliau memberitahu, Unisel juga dikenali Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berbanding dengan universiti di bawah pentadbiran Umno BN.

“Suka saya khabarkan dalam sidang Dun yang mulia ini, bahawa di akhbar-akhbar pro kerajaan menceritakan tentang pencapaian Unisel di bawah pengurusan Pakatan Rakyat antaranya menjadi juara mencipta model satelit nano dan pertukaran pelajar ke Jepun.

Selain itu, ada juga akhbar melaporkan tentang kejayaan Unisel melahirkan pelajar terbaik dalam bidang kejuruteraan yang mendapat pengiktirafan Institut Kejuruteraan Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Tambah beliau lagi, jumlah kemasukan pelajar pada tahun ini juga meningkat sebanyak 13,528 sehingga Jun lalu, berbanding ketika Umno BN mentadbir Selangor.

Harakah Daily

RM11.87 juta rebet air pangsapuri di Selangor

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sejak program rebet air percuma diperkenalkan pada bulan Jun 2010, lebih kurang RM11.87 juta nilai rebet air percuma telah diberi kepada 250 kawasan pemajuan pangsapuri yang terdiri daripada 77,378 unit kediaman.

“Bagi kawasan di bawah MPAJ, sebanyak 43 kawasan pemajuan pangsapuri terdiri daripada 15,634 unit kediaman telah membuat tuntutan rebet air percuma,” ujar Iskandar Abdul Samad (gambar).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selamngor itu berkata, pelaksanaan program pemberian rebet air percuma pada peringkat awalnya dilaksanakan melalui kupon.

Walau bagaimanapun, jelasnya terdapat kelemahan dalam melaksanakan kaedah itu berikutan kekurangan tenaga kerja daripada pihak pengurusan bangunan.

Ini, katanya sama ada pihak pemaju, Badan Pengurusan Bersama [Joint Management Body (JMB)] atau Perbadanan Pengurusan [Management Corporation (MC)] yang menyebabkan berlakunya kelewatan dalam tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Selain dari itu, katanya kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi kerja-kerja percetakan kupon.

Justeru itu, jelas beliau lagi pada tahun 2011, penggunaan kupon telah dimansuhkan dan diganti dengan kaedah pengebilan amaun rebet air percuma secara automatik pada bil air unit kediaman setiap pembeli.

“Kaedah terbaru ini adalah lebih telus, mudah dan sukar untuk disalah guna oleh pemaju, JMB atau MC,” ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Beliau menjelaskan, selanjutnya pada tahun 2012, kaedah pemberian rebet air percuma dipermudahkan melalui konsep “Lapor dan Dapat” dengan format tuntutan kepada Syabas yang lebih ringkas supaya pengagihan rebet air percuma dapat dibuat secara berkesan dan meluas kepada semua pangsapuri kos rendah di Selangor.

Harakah Daily

RHB tidak denda pekerja penuhi tuntutan agama

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “RHB tidak pernah dan tidak akan mendiskriminasikan mana-mana pekerja kami,” kata Pengarah Urusan RHB Bank, Johari Abdul Muid.

Justeru, beliau menjelaskan pihak RHB tidak pernah mengugut, menyalahkan atau mendenda mana-mana pekerja kerana memenuhi tuntutan agama di dalam atau di luar waktu bekerja seperti mana yang dipaparkan dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2012.

“Kami juga tidak akan menghalang mana-mana perkerja kami daripada memenuhi tuntutan agama,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, adalah polisi RHB bahawa jumlah masa yang munasabah yang diambil untuk makan atau mengerjakan solat di luar waktu bekerja adalah termasuk dalam waktu kerja lebih masa.

Katanya, pemotongan hanya berlaku jika terdapat penggunaan masa yang tidak munasabah (excessive time taken).

“Walaupun polisi tersebut telah digunapakai selama beberapa tahun, hingga ke hari ini, pihak RHB tidah pernah menyalahkan atau mendenda mana-mana pekerja yang telah mengambil jangka masa yang tidak munasabah untuk makan atau mengerjakan solat atau menyalahgunakan kemudahan elaun kerja masa tambahan,” ujarnya.

Harakah Daily

Cara tahan 31 penduduk Cameron dikesali

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan kekesalan mereka terhadap sikap pihak berkuasa yang menahan 31 penduduk Cameron Highland yang berhimpun dengan aman di depan Pejabat MB Pahang kelmarin.

(Penduduk Cameron membuat khemah di depan pejabat MB Pahang sebelum mereka ditahan polis - gambar Pahang Daily)

Bagi Suaram, tindakan polis membebaskan mereka di saat-saat akhir menjelang tempoh tahanan reman tamat tidak wajar.

"Seolah-olah pihak berkuasa menunggu arahan dan tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan," kata jurucakap Suaram dalam satu kenyataan mereka hari ini.

Selasa 10 Julai baru-baru ini, 33 penduduk Cameron Highland berhimpun secara aman di depan pejabat MB Pahang bagi menuntut janjinya yang mahu menyelesaikan masalah tanah dan kediaman mereka yang terancam.

Mereka cuba berunding dengan polis untuk membolehkan mereka menunggu MB yang telah berjanji kepada mereka sebelum ini namun tidak berjaya.

31 dari mereka ditahan manakala dua yang dibebaskan adalah seorang Orang Asli dan seorang lagi lelaki tua.

"Seluruh episod ini membayangkan tangkapan ke atas penduduk ini dibuat berdasarkan arahan dan polis menunggu arahan apa dakwaan yang mahu dibuat ke atas mereka.

"Jadi kenapa mereka ditangkap? Ia jelas menunjukkan orang awam ditangkap dahulu sebelum pihak atasan membuat keputusan dan arahan apa yang hendak dibuat," kata R. Thevarajan, Koorditor Hak Keadilan Suaram.

Suaram difahamkan, 25 dari mereka ditahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2011 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa perhimpunan mereka.

Tahanan lelaki telah diugut untuk dibuat ujian air kencing di bawah Akta Dadah Merbahaya. Selepas itu mereka di dakwa dibawah Seksyen 90 Akta Polis 1971 kerana membuat kecoh di balai polis.

Namun akhirnya mereka dibebaskan dengan jaminan polis tanpa sebarang dakwaan.

"Suaram beranggapan polis keliru samada untuk mendakwa mereka atau tidak kerana mereka adalah penduduk miskin yang menghadapi masalah isu tanah, paksaan pindah dan perobohan rumah.

"Ketua Polis Negara perlu memberikan penjelasan bagaimana mereka dikendalikan termasuk oleh pegawai yang menguruskan kes di Balai Polis Kuantan bernama Mohd Jasmani," desak Suaram dalam kenyataannya.

Harakah Daily

Sekatan haram Israel jejas ekonomi Gaza

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GENTING GAZA - Sekatan haram Israel dikenakan ke atas Gaza sejak lima tahun lalu kononnya atas alasan keselamatan tetapi sebenarnya memberi kesan terhadap ekonomi di Gaza.

Sebanyak 30 peratus perniagaan terpaksa ditutup dan 80 peratus penduduk bergantung dengan bantuan kemanusiaan.

Badan kebajikan Oxfam dan Badan Pembangunan Eksport Palestin (Paltrade) melaporkan tiada sebab Gaza masih perlu bergantung kepada bantuan kemanusiaan
kerana sebelum sekatan haram itu, Gaza adalah sebuah bandar industri yang agak pesat membangun.

Secara purata, 1,034 lori membawa barangan termasuk tanaman kontan meninggalkan Gaza untuk dipasarkan.

Sekatan ke atas ekonomi di Gaza telah memberi kekecewaan besar kepada penduduk Palestin kerana ramai yang terpaksa menganggur dan bergantung kepada
bantuan kerajaan.

Oxfam dan PalTrade menggesa sekatan ke atas Gaza ditarik balik sebagai langkah pertama memulihkan ekonomi dan membina kehidupan lebih baik.

Sinar Harian

Pemain bola Palestin dibebaskan

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GENTING GAZA - Pemain bola sepak Palestin, Mahmoud Sarsak yang nekad mogok lapar tiga bulan di penjara Israel, dibebaskan kelmarin menerusi satu perjanjian yang dipersetujui pihak berkuasa Israel.

Sarsak, 25, berkata, dia tidak melupakan nasib saudaranya yang masih meringkuk di dalam penjara Israel.

“Ini adalah kemenangan untuk kami dan saya ucapkan terima kasih kepada Palestin dan badan antarabangsa yang menyokong saya,” katanya.

Sarsak melancarkan mogok lapar sebagai membantah tindakan rejim Zionis yang mengenakan hukuman tahanan pentadbiran ke atasnya selepas ditahan pada Julai 2009.

Tindakan beliau sehingga menjejaskan kesihatannya itu, menarik perhatian antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sinar Harian

Sukma: Skuad bola sepak Terengganu pulang tanpa pingat

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Air mata Hasrol Syawal Hamid, sudah cukup menggambarkan betapa dia menjadi orang yang paling kecewa selepas Terengganu gagal meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir bola sepak Sukma, kelmarin.

Ini kerana, dia gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir ketika mereka berdepan situasi hidup mati selepas terikat 2-2 dengan Kuala Lumpur dalam masa tambahan.

Namun, Hasrol Syawal tidak harus terus-terusan menyalahkan diri sendiri. Mungkin bukan rezeki Terengganu untuk pertahankan pingat emas buat tahun keempat kali ini, apatah lagi, adik-adik skuad Penyu Muda dilihat bermain dengan baik sekali, termasuk Syawal sendiri.

Bagaimanapun, perjuangan dan tentangan habis-habisan hingga akhirnya skuad Penyu Muda dinafikan hak ke separuh akhir menerusi penentuan penalti, seharusnya diambil sebagai pengalaman dan pengajaran bermakna buat mereka.

Meskipun terpaksa pulang hampa tanpa meraih sebarang pingat selepas ditewaskan 4-5 oleh Wilayah Persekutuan dalam penentuan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan, kebangkitan Terengganu setelah ketinggalan 0-2 harus dipuji.

Biarpun sekadar mara ke peringkat suku akhir, pengurus pasukannya, Marzuki Sulong nyata berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya sehingga membawa ke perlawanan masa tambahan.

Justeru, beliau menerima kekalahan itu sebagai cabaran baru dalam memperkuatkan lagi pasukannya pada masa depan.

“Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan anak buah saya, mereka sudah mencuba yang terbaik dan kita boleh lihat kesungguhan mereka setelah ketinggalan, 0-2 pada separuh masa yang pertama.

“Namun, mereka berjaya bangkit, sehingga kita dapat menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua walaupun terpaksa berjuang dengan 10 pemain apabila salah seorang pemain dikenakan kad merah dan berjaya mengikat kedudukan sehinggalah berakhir masa tambahan,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir, petang kelmarin.

Marzuki turut melahirkan kesedihan di atas kekalahan itu dan memohon maaf kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepada atlet bola sepak Terengganu.

Ketika ditanya perancangan masa depan pasukan, Marzuki yakin pasukannya mampu memberi saingan sengit pada kejohanan akan datang berdasarkan usia pemain yang ratarata masih muda (19 tahun) dan masih mempunyai dua tahun untuk digilap penuhnya.

“Selepas ini kita akan terus meneruskan program pembangunan sukan bola sepak dengan mencari bakat baru sebagai skuad pelapis,” katanya. Sementara itu, pengendali skuad Wilayah Persekutuan, Mohamed Razip Ismail mengakui Terengganu sukar untuk ditumpaskan, namun dengan semangat tinggi dan fokus dalam mencapai kemenangan, akhirnya berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir.

“Biarpun mendahului 2-0 pada babak pertama, nyata Terengganu bangkit mengikat kedudukan sehingga mengheret ke masa tambahan dan penentuan penalti, ini pernah terjadi dua tahun lalu, namun kali ini berpihak kepada kami,” katanya.

Sinar Harian

Gabungan Patogen punca penyakit misteri di Kemboja

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

PHNOM PENH - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Kemboja mengenal pasti punca penyakit misteri meragut 60 kanak-kanak di Kemboja adalah disebabkan kewujudan tiga virus di dalam tubuh kanak-kanak tersebut.

Gabungan virus itu dikenali sebagai Patogen terdiri daripada Enterovirus 71, Streptokokus dan denggi, manakala pengambilan steroid yang tidak bersesuaian berupaya mengaktifkan virus tersebut sekali gus melemahkan sistem imunisasi badan.

Sementara itu, Doktor Pediatrik Hospital Kantha Bopha, Dr Beat Richner berkata, setakat ini tiada kes kematian baru dicatatkan.

Sinar Harian

Karya disekat, mahu diberi anugerah pula - Zunar

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkefli Anuar Ulhaq menolak anugerah dan tropi bernilai RM10,000 dari Perdana Menteri berdasarkan prinsip.

(Zunar dengan karya-karyanya)

"Bagaimana mungkin saya menerima anugerah dari Perdana Menteri sedangkan di bawah pemerintahan beliau hak dan kebebasan saya sebagai kartunis dinafikan," kata Zunar dalam kenyataannya.
Beliau mengulas kenyataan beberapa rakan kartunis yang mengkritiuk beliau kerana menolak anugerah itu.

Sinar Harian dan Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai yang menyiarkan artikel bertajuk "Kartunis Zunar didakwa Keliru" serta "Kartun bukan Platform Kutuk Pemimpin".

Dalam laporan tersebut, kartunis-kartunis tempatan mengkritik beliau, antara lain kerana menolak anugerah yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri serta pendirian politik dalam karya beliau.

Sejak mula berkarya, kata Zunar, beliau tidak pernah berhasrat untuk mengkritik karya atau pendirian sesama kartunis kerana itu bagi beliau tidak wajar.

"Namun kerana ia dibangkitkan, saya perlu memberi penjelasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Jun lepas, Kelab Putra Malaysia bersama beberapa pertubuhan menganjurkan program "Anda, PM & Kartunis" di Pasar Seni.

Bebarapa kartunis tempatan, termasuk Zunar ditawarkan anugerah berupa trofi dan wang tunai RM10,000.

Anugerah ini bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

"Memang saya menolak anugerah ini, tetapi saya tidak keliru malah penolakan ini atas soal prinsip berdasarkan fakta-fakta," kata Zunar.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap beberapa jam sebelum pelancaran buku "Cartoon-O-Phobia".

Beliau disiasat di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabit kesalahan.

Pejabat beliau di Brickfields telah dua kali diserbu, manakala lebih 500 buah bukunya dirampas ketika serbuan tersebut.

Selain itu, enam buah buku-buku kartun beliau diharamkan sejak 2009, iaitu Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun edisi 1, 2 dan 3 serta 1Funny Malaysia.

"Tidak cukup dengan itu, kilang-kilang pencetak yang mencetak buku saya diugut penarikan lesen, begitu juga kedai-kedai yang menjual buku saya di seluruh Malaysia," cerita Zunar.

Beliau mahu kerajaan mengembalikan hak-haknya sebagai kartunis.

"Tanpa mengembalikan hak-hak saya, anugerah dan wang tunai tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai, malah tidak keterlaluan kalau saya anggap itu sebagai 'gula-gula pelembut sahaja," katanya.

Zunar juga didakwa berat sebelah dan sepatutnya berkecuali dalam berkarya.

"Ingin saya jelaskan pendirian bahawa apabila kezaliman berlaku, kita wajar memihak dan membela pihak yang dizalimi. Berkecuali bererti menyokong pihak yang zalim," katanya.

Beliau juga berkata, konflik yang berlaku bukan soal pertembungan politik antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, tetapi jauh lebih besar.

"Iaitu antara rakyat menentang pemerintah yang zalim. Dalam konteks saya, kartunis menentang pemerintah zalim," tegasnya.

Zunar adalah salah seorang kartunis politik di Malaysia.

Tahun lepas beliau dianugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.

Beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Harakah Daily

Nik Aziz lancar buku 'Bertemu Janji Allah'

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Buku kompilasi kuliah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘Bertemu janji Allah’ selamat dilancarkan oleh beliau sendiri baru-baru ini.

Buku yang dianggap segar sepanjang zaman ini adalah himpunan kuliah-kuliah Tuan Guru Nik Aziz dilancarkan sempena Pesta Buku Selangor yang berlangsung di SACC Mall 8 Julai lepas.

Turut hadir pada majlis tersebut, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam.

Buku ini terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd dan boleh didapati disemua kedai buku seluruh negara.

Ia boleh juga dipesan secara online melalui www.kemilau.net.my.

Buku berkulit keras ini adalah buku pertama terbitan syarikat ini yang dicetak di Indonesia. Ia dijual dengan harga RM39.00.

Harakah Daily

Pemuda PAS tuntut Awang Adik jelas cek RM80,000

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS meminta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husein agar menjelaskan dari mana sumber dua cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan dalam akaun beliau.

Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun beliau ketika menjadi Pengerusi Skim Jejakjaya Bumiputra pada tahun 2010.

Pemuda PAS juga meminta Awang Adik menjelaskan, kenapa cek-cek itu dimasukkan ke dalam akaun beliau.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail memberikan tempoh 21 hari kepada Awang Adek untuk menjelaskan hubungan beliau dengan seorang Cina bernama Hong Cheong.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa juga memberi masa 21 kerapa Awang Adek untuk berforum dengan beliau ekoran dakwaan penyelewengan dalam Kelantan Gold Trade (KGT).

Harakah Daily

Mangsa simbah asid: 'Kami sedia maafkan dia'

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

BERSERI – “Kami sedia maafkan individu yang terlibat dalam kes simbah asid ke atas anak lelaki bongsu kami dengan syarat individu terbabit tampil berjumpa saya, isteri dan Hanif," luahan bapa kepada mangsa simbah asid, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 26 tahun.

Sunaid@Shuib Mat, 65, berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan sudi memaafkan individu yang bertindak menyimbah asid ke muka anaknya.

Menurutnya, jika individu terbabit tampil berjumpa dengan mereka sekeluarga, dia sanggup menutup kes terbabit dengan izin mangsa.

“Hanif sendiri pernah memaklumkan saya bahawa dia reda dengan apa yang berlaku, dia juga akan memaafkan individu terbabit asalkan datang berjumpa.

“Lagipun dia sudah mendaftarkan diri untuk menunaikan ibadah haji bersama saya dan isteri. Jadi dengan memaafkan individu terbabit, dia (Hanif) lebih lega dan selesa.

Malah kami juga sanggup menutup kes terbabit, kerana perkara sudah berlaku,” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Sunaid berkata, kini Hanif sudah dapat menerima takdir bahawa dia tidak dapat melihat seperti insan normal lain setelah tragedi hitam yang berlaku pada 13 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai bapa, dia sebak melihat anak yang dahulunya lahir normal, kini hilang keupayaan melihat.

Namun, sebagai bapa Sunaid tertanya-tanya perkembangan kes anaknya itu yang kini menyepi se-telah setahun berlalu tanpa sebarang maklum balas dari pihak yang bertanggungjawab.

Terdahulu, seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid@ Shuib melecur 50 peratus pada muka dan sebahagian pinggang apabila didakwa disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali kira-kira jam 1 pagi 13 Mei 2011 di rumahnya Kampung Sentang, Utan Aji.

Dalam kejadian itu, Muhamad Hanif baru pulang dari bekerja sebelum didatangi lelaki tidak dikenali yang memberi salam sambil mengetuk pintu.

Setelah pintu dibuka, individu terbabit didakwa menyembah asid kepada mangsa.

Sinar Harian

Peragut berjaya diberkas

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH – Polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas sejam meragut seorang wanita ketika menunggang motosikal di Bercham di sini, petang kelmarin.

Suspek berusia 25 tahun itu dikehendaki polis apabila terlibat dalam 30 kes samun dan ragut sekitar bandar raya itu sejak awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan aktiviti itu di Taman Canning, Taman Ipoh dan Sungai Senam.

Menurutnya, suspek juga didapati positif dadah menjadikan kerjaya ragut dan samun sebagai sumber pendapatannya mensasarkan pelajar kolej dan wanita.

“Kita merampas pelbagai beg tangan, dompet, empat telefon bimbit, 11 kad pengenalan, 10 lesen memandu, 22 kad bank, enam kad pelajar dan sebuah buku bank simpanan di rumah sewanya di Bercham.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita dapat selesaikan 30 kes ragut dan samun yang aktif kebelakangan ini,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Ahmad Termizi berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau iaitu cuba mendatangkan kecederaan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian

Penganggur tuduh ugut ibu dengan pisau

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengugut ibunya menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Kampung Surau Bator, Bachok, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Ayub Mat Jusoh, 31, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik semalam.

Mohd Ayub didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Rahmah Botok, 64, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu kayu di sebuah rumah di Kampung Surau Bator pada jam 2 pagi, 13 Jun lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintendan Mohd Yazid Yahya manakala tertuduh yang merupakan seorang penganggur tidak diwakili peguam.

Mohd Yazid menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 tetapi tidak ada sebarang rayuan dikemukakan olehnya dan Mohd Asri mengekalkan jaminan RM4,000 terhadap Mohd Ayub serta menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes.

Sinar Harian

Rusa jangan leka

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Jangan leka dan jangan pandang rendah kemampuan Sabah. Begitulah nasihat jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah kepada pemain skuad Rusa menjelang pertemuan kedua-dua pasukan Sabtu ini.

Azraai berkata, meskipun Sabah berada dalam kedudukan kedua terbawah Liga Super, skuad Badak itu tetap perlu dihormati.

Menurutnya, kemampuan Sabah terbukti dalam pertemuan menentang Selangor di Stadium Shah Alam kelmarin (Selasa).

“Meskipun mereka ketinggalan 0-3 kepada Selangor, mereka berjaya mengejar dan hanya kalah tipis 2-3. Ini sudah cukup membuktikan Sabah bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah.

“Mereka ada kekuatan mereka sendiri, lebih-lebih lagi perlawanan Negeri Sembilan menentang mereka adalah di Stadium Likas,” katanya.

Di atas kertas, skuad Rusa pada kedudukan keenam liga nyata bukan tandingan buat Sabah yang setakat ini hanya mampu mencatat enam kemenangan daripada 25 perlawanan.

Bagaimanapun, Azraai enggan membiarkan statistik itu melekakan anak buahnya, lebih-lebih lagi selepas persembahan mengecewakan Negeri Sembilan yang sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur, kelmarin.

Sambil menganggap persembahan menentang Kuala Lumpur sebagai mengecewakan, Azraai mahu pemain skuad Rusa memberikan tumpuan penuh pada perlawanan terakhir menentang Sabah nanti.

“Walaupun ini perlawanan terakhir, saya mahu semua pemain memberikan sepenuh tumpuan kerana saya mahu pulang dari Sabah dengan tiga mata penuh.

“Ini bukan mudah, sebab itu saya mahu mereka berikan tumpuan penuh atas padang dan jangan leka,” katanya.

Sinar Harian

Kemalangan: Penunggang remaja maut

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang bapa tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak lelakinya terbaring kaku di atas jalan setelah terlibat kemalangan di jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu, di sini, semalam.

Lelaki terbabit, cuba ditenangkan ahli keluarganya yang turut berada di tempat kejadian namun masih menangis tersedu-sedu mengenangkan nasib anaknya itu.

Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamad Firdaus Ismail, 21, yang menunggang motosikal gagal mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dari arah jalan bertentangan dan bertembung antara satu sama lain.

Ibu mangsa, Yam Salleh, 60, berkata, anak bongsu dari tujuh beradik itu dalam perjalanan mengambilnya, selepas dia selesai kerja di Sekolah Menengah (SM) Teknik, Pengkalan Chepa jam 4 petang.

“Firdaus menghantar makcik ke tempat kerja setiap hari dengan menaiki motosikal. “Pagi tadi (semalam) dia sempat menghantar makcik ke sekolah kira-kira jam 6.30 pagi dan berjanji akan mengambil makcik selepas selesai waktu kerja, namun makcik dikejutkan dengan berita kematiannya selepas terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima berita kematian Firdaus dari salah seorang anaknya, dia terus ke tempat kejadian dengan majikan. “Allah lebih sayangkan nyawanya, dan makcik terima kematiannya dengan redha.

Sebelum ini, dia berperangai pelik kerana beria-ia meminta makcik merisik teman wanitanya yang tinggal berhampiran rumah," katanya.

Ibunya berkata, dia berhasrat untuk berbincang dengan kakak dan abang Firdaus tentang urusan itu bagi menyatakan hajat anaknya itu namun tidak kesampaian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sinar Harian

Jurutera rugi RM12,000 disamun lelaki berparang

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seorang jurutera syarikat penerbangan mengalami kerugian dianggarkan RM12,000 selepas rumahnya di Taman Bukit Kristal di sini, dimasuki kumpulan penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian Isnin lalu.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50-an yang baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah terkejut diserbu tiga lelaki yang kemudiannya mengacukan parang ke arahnya.

Sumber polis berkata, seorang daripada suspek terbabit menunggu di luar rumah, sementara tiga rakannya yang lain memasuki kediaman berkenaan.

“Empat lelaki yang menaiki dua motosikal berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum tiga daripadanya masuk ke dalam rumah mangsa sambil mengugutnya dengan mengacukan parang.

“Mereka melarikan beg sandang berjenama LV milik mengandungi wang tunai RM8,000 dan rantai leher milik anak mangsa, telefon bimbit serta beberapa barangan berjenama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang memakai topi keledar tidak mencederakan mangsa dan melarikan diri selepas mendapat hasil samun.

"Siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah mangsa melalui pintu pagar dan pintu rumah yang tidak berkunci," katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau hubungi talian 06-6033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Sinar Harian

Carroll jadi rebutan West Ham

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

PEMILIK bersama West Ham United, David Gold dilaporkan bakal melakukan satu perpindahan sensasi bagi mendapatkan khidmat penyerang Liverpool, Andy Carroll, musim depan.

West Ham menyuarakan keinginan tersebut selepas pengurus skuad The Reds, Brendan Rodgers mendedahkan bahawa beliau bersedia untuk meminjamkan Carroll kepada mana-mana pasukan yang berminat.

Gold dipetik BBC berkata, "buat masa ini tiada rundingan yang berlaku antara kami dengan Liverpool."

"Namun, itu tidak bermakna kami tidak akan mendapatkan Carroll. Apa-apa pun kami tengah berusaha," katanya.

Carroll meninggalkan Newcastle apabila memilih untuk bersama Liverpool pada Januari 2011 dengan bayaran £35 juta (RM173 juta) dan telah menjaringkan 11 gol dalam 56 penampilannya.

Bagi mendapatkan Carroll, West Ham United dilihat bersedia untuk membayar gaji yang lumayan kepada Carroll iaitu berjumlah £80,000 (RM396,028) bagi tempoh pinjaman selama satu musim.

Bagaimanapun, penyerang England itu berazam untuk terus kekal bersama Liverpool meskipun perlu bersaing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Liverpool.

Spekulasi itu bertambah hangat apabila sumber rapat Carroll mendedahkan: "Tiada peluang untuk Carroll meninggalkan Liverpool. Dia akan kekal di Anfield. AC Milan boleh melupakan hasrat mereka untuk mendapatkan Carroll."

"Carroll juga tidak akan menyertai Newcastle dan West Ham secara pinjaman atau sebaliknya." jelasnya lagi.

Sinar Harian

Kes ragut: Keluarga mangsa mahu peragut dihukum

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN – “Kami mahu polis segera tangkap dua peragut jahat itu dan hukum mereka dengan hukuman setimpal atas apa yang mereka lakukan keatas mak saudara kami.”

Itu gesaan ahli keluarga Tan Kim Chuan, 60, yang maut selepas diragut dua lelaki bermotosikal dalam satu kejadian di kawasan tempat letak motosikal di perumahan flat Padang Tembak di sini awal pagi kelmarin.

Khoo Khim Khim berkata, ibu saudaranya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum hari kejadian.

Beliau berkata, makciknya yang juga seorang ibu tunggal memang akan bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap ke tempat kerja di kedai kopi di Lebuh Carnavon.

Menurutnya, makciknya yang tidak mempunyai anak itu akan berjalan seorangdiri ke tempat kerja dengan menaiki bas.

“Sebelum ini, dia ke kedai bersama suaminya. Namun selepas suaminya meninggal beberapa tahun lalu dia pergi ke tempat kerja berseorangan.

“Saya tidak sangka pertemuan dengannya beberapa hari lalu di kedai adalah pertemuan yang terakhir. Saya amat sedih dan marah atas kejadian yang menimpanya ," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Difahamkan mayat Kim Chuan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung kira-kira jam 2 petang ini.

Sinar Harian

EPL: Van Persie jadi idaman Fergie

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson semalam dilaporkan berkunjung ke London dalam usaha memburu khidmat penyerang Arsenal, Robin van Persie.

Satu sumber menyebut, Fergie cuba mendapatkan pemain antarabangsa Belanda itu selepas Van Persie enggan menyambung kontrak baharu bersama The Gunners. Jiran terdekat, Manchester City khabarnya sanggup membayar RM148 juta untuk pemain yang sudah menjangkau usia 29 tahun, namun tidak bagi United yang melihat faktor usia sebagai satu isu.

Namun begitu, Robin difahamkan khuatir mengenai polisi penggiliran pemain seperti yang diterapkan pengurus City, Roberto Mancini.

Berita ini nyata menggembirakan hati Fergie apabila dia mahu menggandingkan dengan penggempur England, Wayne Rooney di bahagian serangan apabila berada di Old Trafford.

Bagaimanapun, Fergie harus menunggu keputusan akhir untuk mendapatkannya kerana dia terlibat siri perlawanan Jelajah Asia menentang Pilihan Malaysia pada 24 Julai depan.

Sinar Harian

Brendan Rodgers lega Suarez pamer petanda positif lanjut kontrak

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

PENGURUS Liverpool, Brendan Rodgers melahirkan perasaan lega selepas Luis Suarez menunjukkan petanda positif ingin kekal di Anfield dalam tempoh jangka masa panjang. Suarez memberikan impak besar kepada The Reds musim lalu, walaupun dirinya dipalit kontroversi apabila didapati bersalah melakukan rasis terhadap pertahan kiri Manchester United, Patrice Evra.

“Saya harap Luis kekal. Lagipun, dia berminat meneruskan aksi musim 2012/2013 bersama pasukan Liverpool,” katanya. Mengikut perjanjian terkini, kontrak penggempur berbisa Uruguay itu hanya tamat pada musim panas 2016.

Namun, Liverpool mahu mengikat Suarez dengan meningkatkan bidaan gaji agar dapat memberikan lebih komitmen di bawah kendalian Rodgers kelak.

Sementara itu, Rodgers hampir pasti mendapatkan bintang Roma, Fabio Borini sekali gus menyukarkan laluan buat Andy Carroll merebut tempat di posisi penyerang.

Kelab West Ham United kini berminat memancing Carroll dan pengurus Kop bersedia untuk melepaskan pemain antarabangsa England itu.

Sinar Harian

Penuntut nyaris maut kereta terbabas, terbakar

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEPANG - Seorang penuntut bersama rakannya nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) Dengkil Puchong berhadapan sebuah institut pengajian tinggi swasta, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi, mangsa, Mohamed Hamzi Hamzah, 20, memandu Proton Satria Neo dari Puchong ke Putrajaya Sentral.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, kereta yang dipandu penuntut sebuah pengajian tinggi tempatan itu dipercayai hilang kawalan kemudian terbabas lalu merempuh penghadang lebuh raya sehingga mengakibatkan kenderaan itu terbakar.

"Kemalangan itu berikutan hujan lebat sejak awal pagi. Anggota Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ke lokasi kejadian dan memadam kebakaran.

“Pemandunya pula dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, Mohamed Hamzi mengalami cedera ringan, manakala rakanya seorang wanita berusia lingkungan 20-an tidak cedera.

Sinar Harian

Sukma: Chwan wira Nanquan

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

CHAI Chwan Hau dari Melaka membuka tirai acara wushu dengan pungutan emas menerusi acara Nanquan lelaki, di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, semalam. Beliau memperoleh 9.57 mata, mengatasi pencabar terdekat, Andy Chan dari Sarawak dengan beza 0.01 mata, manakala gangsa milik Liew Lik Kee dari Sarawak dengan 9.53 mata.

Chwan Hau, 19, bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasinya dan merasakan mampu melakukan persembahan yang lebih baik.

“Memang saya mensasarkan emas untuk acara ini, namun saya rasa boleh buat lebih bagus lagi. Andy juga melakukan persembahan yang baik cuma mungkin nasib saya lebih baik.

“Saya menghormati beliau sebagai pencabar dan kami selalu bersaing dalam kejohanan- kejohanan kebangsaan,” katanya. Sepupu kepada juara Asia Chai Fong Ying ini turut mengintai peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan selain berhasrat mewakili negara ke Sukan Sea.

“Buat masa kini saya belum berpeluang (menyertai skuad kebangsaan) kerana sudah ada dua orang atlet Nanquan dalam skuad kebangsaan,” katanya yang meraih perak pada Kejohanan Wushu Remaja Asia di Beijing, China tahun lalu.

Sementara itu, Negeri Sembilan menguasai acara Nanquan wanita apabila Tan Cheau Xuen dan Wong Yik Yan masing-masing merangkul emas dan perak. Sementara Saw Chai Hui dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa dengan .35 mata.

Sinar Harian

Liga Super: Sazali belum mampu tarik nafas lega

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

PERSAINGAN merebut slot automatik untuk beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan terus menjadi sasaran tiga pasukan iaitu Johor FC, Felda United dan Sarawak.

Bakal mengakhiri saingan Sabtu ini, peluang ketiga-tiga pasukan tersebut dilihat seimbang apabila masing-masing akan beraksi ditempat sendiri pada pertemuan itu nanti.

Bagi Johor FC, kemenangan 2-0 ke atas Terengganu semalam, tidak bermakna pasukan bimbingan Sazali Saidon mampu untuk menarik nafas lega, sebaliknya harus berhati-hati setelah pesaing mereka, Felda United turut mencipta kejutan menewaskan Kelantan 1-0.

Mengulas mengenai peluang pasukan Johor FC, Sazali menjelaskan kedudukan pasukan mereka kini bergantung kepada perlawanan terakhir menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

"Buat masa ini, saya masih belum mampu untuk menarik nafas lega kerana pasukan lain turut impikan slot tersebut.

"Jadi, pada perlawanan itu nanti saya telah mengingatkan kepada semua pemain agar sentiasa fokus dan terus berjuang sehinggalah wisel penamat.

"Ini kerana kami memerlukan kutipan tiga mata penuh agar hasrat untuk melayakkan secara automatik tidak terbantut," kata Sazali ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, kedudukan Johor FC sekarang dalam keadaan bahaya dan berisiko terjerumus ke saingan Liga Perdana musin depan.

Ini berikutan kedudukan mata antara Johor FC dan Felda United kini terikat dengan 32 mata manakala Sarawak terus mengekori di belakang dengan mengutip 30 mata.

"Jadi, amat penting untuk kami mencatat kemenangan ke atas Lions XII sambil berharap Sarawak tidak akan berjaya untuk mencipta kejutan ke atas Kelantan nanti," jelas beliau.

Sinar Harian

Kecewa Azizah terubat, raih dua emas

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

ATLET angkat berat negara, Azizah Fadzil yang mewakili Pulau Pinang berjaya menebus kekecewaan selepas gagal layak ke Olimpik dengan meraih dua pingat emas acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 53kg wanita, semalam.

Azizah unggul dalam saingan itu setelah melakukan angkatan seberat 64kg kategori snatch dan 80kg bagi clean & jerk pada acara yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah.

Atlet tuan rumah, Nurul Qistina Mohd Kenali meraih perak dengan angkatan 60kg (snatch) dan 74kg (clean & jerk) manakala Nur Fariesha Irwana Mohd Supian dari Kelantan di tempat ketiga dengan angkatan 59kg (snatch) dan 73kg (clean & jerk).

Namun, Azizah sedikit kecewa apabila gagal dalam percubaan mengangkat bebanan 77kg (snatch) dan 91kg (clean & jerk) untuk memecahkan rekod kejohanan.

“Memang sangat puas hati dapat sumbang pingat emas kepada Pulau Pinang. Tetapi saya kecewa sebab tidak dapat pecah rekod Sukma bagi kedua-dua kategori itu," katanya.

Sementara itu, Pahang meraih dua pingat emas dan dua perak bagi acara snatch dan clean & jerk kategori 48kg wanita, masingmasing menerusi Rosmah Abdullah dan Siti Zaleha Yusop.

Terengganu meraih dua pingat gangsa menerusi Syamimi Saleh. Rosmah melakar kejayaan bagi kedua-dua acara itu dengan angkatan 60kg (snatch) dan 68kg (clean & jerk) manakala Siti Zaleha di tempat kedua dengan angkatan 52kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk).

Syamimi yang melakukan angkatan 51kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Sinar Harian

'Olimpik pertama' Pandelela

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

MEMIKUL tanggungjawab besar dalam Olimpik London 2012 yang akan berlangsung 27 Julai nanti, atlet terjun negara, Pandelela Rinong mengakui berdepan dengan tekanan apabila tersenarai sebagai sandaran bagi mengakhiri penantian pingat emas untuk Malaysia.

Terpilih menjadi atlet wanita pertama negara yang diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian Olimpik 2012 nanti, Pandelela menyifatkan kejohanan berprestij kali ini berbeza dengan penyertaan pertamanya di Olimpik Beijing 2008.

"Jika empat tahun dahulu saya hanya turun sebagai atlet muda untuk menimba pengalaman dengan membawa pulang pingat perak, namun kali ini bagaikan Olimpik pertama saya kerana matlamatnya berbeza.

"Diberi kepercayaan untuk beraksi dalam tiga acara termasuk penghormatan membawa Jalur Gemilang, saya berharap untuk mencipta kejutan sekali gus melakar sejarah peribadi dengan memenangi pingat emas.

"Meskipun berdepan dengan tugas sukar, namun jurulatih (Yang Zhuliang) sentiasa memberi semangat mahu saya menjadikan bebanan itu sebagai satu cabaran buat diri," katanya ketika ditemui semalam.

Turut berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi kepercayaan dan peluang keemasan kepadanya untuk mengetuai perarakan kontinjen Malaysia di London nanti, penerjun berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak itu melihat pemilihannya sebagai satu penghormatan buat rakyat Bumi Kenyalang.

Dalam perkembangan lain, kembali menjalani latihan bersama skuad terjun negara Olimpik 2012 di Guangzhou, China hari ini, Pandelela yang mengambil bahagian dalam acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee serta acara 3 meter papan anjal seirama, bersama Cheong Jun Hoong akan berangkat ke London bersama kontinjen negara pada 23 Julai nanti.

Sinar Harian

Ribuan penyokong Mursi berhimpun

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Ribuan penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi berhimpun di Dataran Tahrir, kelmarin selepas Mahkamah Agung Perlembagaan membekukan perintah beliau bagi mengarahkan Parlimen bersidang semula pada Ahad lalu.

Hakim Maher el-Beheiry berkata, mahkamah memutuskan untuk menyekat keputusan Presiden yang mahu Parlimen bersidang semula selepas ia dibubarkan kerana tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Keputusan itu diumumkan susulan daripada tindakan 508 Ahli Parlimen yang mengikut arahan Mursi untuk bersidang semula, walaupun menerima bantahan pemerintah tentera dan badan kehakiman negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, Speaker Parlimen, Saad al-Katatni berkata, tujuan mereka bersidang adalah untuk menilai semula keputusan Mahkamah Agung Perlembagaan yang mengarahkan Parlimen dibubarkan pada bulan lalu.

“Kami tidak berniat untuk mempertikaikan keputusan mahkamah dan sidang Parlimen ini tidak mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beberapa pihak mula mempertikaikan keputusan mahkamah yang dilihat akan menjerumuskan Mesir ke dalam pergelutan kuasa jika jalan penyelesaian gagal dicapai dalam masa terdekat.

Sinar Harian

Prestasi merosot: Pafa beri amaran

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GAGAL mempertahankan kedudukan ketiga Liga Super 2012, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memberi amaran keras kepada pemain Seladang supaya menebus rentetan tiga kekalahan berturut-turut dengan wajib menang ke atas Kuala Lumpur pada 14 Julai ini, seandainya enggan digugurkan dalam senarai pemain dalam saingan Piala Malaysia.

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perlawanan penutup tirai itu tidak seharusnya menjadi igauan buruk yang sama untuk pemain dan penyokong kerana pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggantikan pemain sedia ada dengan pemain daripada Piala Presiden.

"Jika kekalahan masih membelenggu skuad Seladang, saya akan mengarahkan pengurusan supaya mengambil pemain Piala Presiden yang muda dan lebih bersemangat juang berbanding mereka.

"Saya amat kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan kerana apa yang telah kami disumbangkan selama ini amat tidak berbaloi kepada pihak pengurusan Pafa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Malah katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut meluahkan rasa sama mengenai kejatuhan skuad Perak secara mendadak meskipun sebelumnya berjaya memenangi empat perlawanan berturut-turut.

"Saya tidak tahu mengapa mereka begitu mudah hilang momentum dalam sekelip mata atau sememangnya mereka sudah hilang selera untuk menang terutama selepas dibelasah Kelantan, 6-0 pada Sabtu lalu.

"Pemain mudah leka terutama di minit terakhir separuh masa pertama dan sebelum tamat perlawanan yang akhirnya memberi peluang kepada lawan untuk membolosi pertahanan dengan mudah," katanya.

Kelmarin, Perak diaibkan di laman sendiri, 1-2 apabila Kedah memastikan tiga mata dibawa pulang menerusi menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-44 dan Khyril Muhymeen pada minit ke-90 perlawanan.

Manakala gol tuan rumah dijaringkan pemain import, Albert Bodjongo pada minit ke-37.

Sinar Harian

Johor FC menyengat tanpa kelibat Arthuro

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KETUA jurulatih Johor FC, Sazali Saidon memuji barisan pemainnya selepas kejayaan menewaskan Terengganu 2-0, dalam saingan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang, kelmarin.

Bermain tanpa penyerang import yang juga ayam tambatan pasukan, Arthur Henrique (Arthuro) yang pulang ke Brazil atas urusan peribadi, nyata bukan penghalang untuk pasukannya mencapai kejayaan.

“Komitmen yang ditunjukkan pemain semakin meningkat walaupun tanpa Arthuro dan pemain lain yang cedera, namun barisan yang diturunkan beraksi menunjukkan persembahan mengkagumkan.

“Dua gol jaringan dihasilkan separuh masa pertama adalah bukti kesungguhan pemain mengutip tiga mata penuh dan mereka berjaya mengekang asakan lawan sehingga wisel penamat dibunyikan,” katanya.

Skuad Lebah kini berada di tangga ke sembilan liga, berkongsi 32 mata dengan PKNS dan Felda United selepas mengharungi 25 perlawanan.

Johor FC akan menamatkan saingan liga dengan pertemuan menentang Lions XII Sabtu ini, digelanggang lawan dan mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk layak secara automatik kekal dalam Liga Super sambil mengharapkan tiada kejutan di gelanggang lain.

Sinar Harian

Suami isteri ditipu tiket judi palsu

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Ghairah memiliki wang bernilai lebih RM100,000, sepasang suami isteri rugi RM14,000 selepas terpengaruh dengan tiket nombor ekor palsu.

Kejadian berlaku 4 Julai lalu, apabila pasangan dari Masjid Tanah, di sini, dihampiri seorang wanita dari negara jiran yang mendakwa dirinya dalam kesusahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasangan dikenali sebagai Sudin, 74, dan Azimah, 66, didatangi wanita berusia pertengahan 30-an ketika selepas membeli barang di sebuah pasar raya di pekan ini.

Sudin berkata, wanita terbabit tiba-tiba datang dan menyapanya serta mendakwa sedang buntu memikirkan cara mendapatkan wang kerana tidak memiliki pengenalan diri.

“Wanita berkenaan mendakwa kakak iparnya yang mengandung tumpah darah selepas tergelincir di bilik air dan memerlukan rawatan segera di hospital swasta. Dia tak berani bawa ke hospital kerajaan kerana bukan warganegara.

“Selepas berbual seketika, dia menunjukkan sekeping tiket nombor ekor yang dimenanginya dengan hadiah RM130,000 tetapi tidak menuntutnya kerana mendakwa tiada MyKad,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mahu meminjam wang berjumlah RM30,000 dengan mencagarkan tiket nombor ekor itu.

"Tanpa berfikir panjang, kami segera pulang ke rumah untuk mengambil buku bank dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Wish dipandu rakan wanita terbabit.

"Kami keluarkan wang RM9,000 dan RM5,000 dari dua bank berbeza sebelum serahkan kepada wanita berkenaan," katanya.

Sudin berkata, wanita itu berjanji seseorang akan menghubunginya keesokan hari untuk memulangkan semula wang dipinjam.

"Namun, tiada seorang pun menghubungi saya menyebabkan saya menyedari menjadi mangsa tipu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sinar Harian

2 warga Bangladesh main judi sanggup ‘redah’ kolam najis elak ditahan

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SUNGAI BULOH – Dua orang lelaki warga Bangladesh sanggup berenang dalam kolam najis bagi mengelak ditahan polis kerana bermain judi bola golek di kawasan semak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Damansara Spring.

Terdahulu kehadiran anggota Cawangan kongsi gelap, perjudian dan maksiat (D7) di kawasan berkenaan malam kelmarin tidak disedari oleh puluhan warga asing yang leka bermain judi berkenaan yang mengenakan pertaruhan serendah RM 10 hingga RM 30.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, hasil serbuan di dua lokasi pihaknya menahan lima lelaki Cina tempatan berusia 17 dan 46 tahun dan merampas wang tunai RM 808.

“Lokasi pertama kita serbu di Jalan Persiaran Bistara, Kampung Baru manakala yang kedua di PJU 10/17 di Damansara Spring,” katanya.

Katanya, polis turut merampas barang-barang serta peralatan yang digunakan untuk permainan judi bola golek itu.

Sinar Harian

Warga emas maut diragut

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang pembantu kedai kopi maut selepas diragut dua lelaki dalam satu kejadian di tempat letak motosikal flat Padang Tembak di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Tan Kim Chuan, 60, dikatakan baru keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja di Lebuh Carnavon sebelum beg tangannya diragut dari arah belakang oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Akibat kejadian itu, mangsa terseret beberapa meter dan ditemui terbaring di atas jalan raya oleh orang ramai.

Difahamkan, ketika kejadian sekitar kawasan berkenaan masih lagi sunyi dan ia berlaku tanpa disedari penduduk lain.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan berjaya direkodkan kamera litar tertutup yang dipasang di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Hasil penelitian CCTV mendapati mangsa yang terbaring tidak dihiraukan penduduk yang lalu lalang di sekitar kawasan kejadian selepas beberapa minit.

Hanya lapan minit kemudian dua lelaki menghampiri dan cuba memberikan bantuan kepada mangsa.

Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian difahamkan mangsa meninggal dunia sembilan jam kemudian selepas menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di bahagian otak.

Sementara itu,Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Assiten Komisioner Mohd Nasir Salleh ketika ditemui berkata polis sedang meneliti rakaman CCTV berkenaan dan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kedua-dua suspek.

“Kita akan menhantar rakaman CCTV ini ke Jabatan Forensik Bukit Aman untuk mendapatkan imej yang lebih jelas suspek terbabir.

“Polis melancarkan satu operasi bagi mengenal pasti bekas penjenayah kes ragut untuk proses dokumentasi bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Menurutnya, kes akan disasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

Setelah selesai Himpunan Hijau

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dengan berlansungnya Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya peringkat Wilayah Persekutuan pada Sabtu, 14 Julai ini, sementara peringkat Selangor dan Negeri Sembilan esoknya, Ahad 15 Julai berakhirlah Himpunan Hijau seluruh Semenajung setakat ini.

Jika dijumlahkan semua peserta di Himpunan yang bermula di Alor Setar itu hampir mencecah setengah juta orang, suatu jumlah yang menggerunkan musuh politik PAS/Pakatan Rakyat.

Namun gelombang hijau yang dicetuskannya diharapkan akan berterusan dengan tsunami politik dalam PRU Ke-13 nanti. Ini harapan kebanyakan rakyat Malaysia yang menunggu tarikh pilihan raya umum dari sehari ke sehari, malah dari bulan ke bulan tidak juga tiba.

Ini bermakna pemimpin Umno/BN sedang menghadapi dilema yang sangat besar untuk berdepan dengan para pengundi dengan pelbagai masalah mereka yang tidak mampu diselesaikan.

Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya di Wilayah Persekutuan pada petang Sabtu, 14 Julai di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ini akan menyaksikan pelbagai acara di sebelah petang dan mendengar ucapan pimpinan pusat di sebelah malam.

Sementara di Negeri Sembilan pada petang Ahad, 15 Julai ini bermula dengan berkumpul di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi dan kemudian berarak menuju ke Dataran Al-Ikhwan, Johol.

Di Selangor, Himpunan Hijau akan diadakan di Stadium Kuala Selangor, waktu dan tarikh yang sama dengan pelbagai acara dari petang hingga ke malam dengan munajat dan ucapan pemimpin. Himpunan di Selangor itu ditambah dengan tema ‘Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya – Pertahan Selangor’.

Dengan Himpunan yang telah dan sedang berlansung itu, rakyat dapat menyaksikan hasrat kebanyakan rakyat mahukan perubahan dalam PRU akan datang dengan harapan akan muncul kerajaan baru yang adil, bersih dari penyelewengan, rasuah dan segalanya.

Pada pendapat saya, kekuatan PAS berdasarkan dari jumlah yang hadir di Himpunan Hijau di seluruh negara ini sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang bersepadu dari semua sektor parti.
Sudah sangat jelas bahawa pendukung PAS semua peringkat telah bersuasah payah - dengan penat lelah dan wang ringgit sendiri -menyertai Himpunan tersebut, memancarkan komitmen mereka terhadap perjuangan parti.

Oleh itu tidak sukar untuk menggembleng segala kekuatan yang ada pada mereka dalam gerak kerja memenangkan PAS/Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Selama ini mereka telah memperlihatkan semangat perjuangan dan pengorbanan yang sangat tinggi, mematuhi arahan pemimpin dalam apa keadaanpun. Oleh itu momentum semangat perjuangan mereka ini perlu dikekalkan.

Adapun pilihan raya ke-13 nanti adalah pilihan raya yang sangat sukar, sengit hingga dikatakan ‘ibu dari segala pilihan raya’, justeru ia diselubungi senarai pengundi yang masih tidak bersih dan berdepan dengan segala penyelewengan.

Pilihan raya kali ini dalam suasana di mana Lapan Tuntudan Bersih 2.0 dan 3.0 belum ditunaikan, kecuali penggunaan dakwat kekal di jari telunjuk. Tuntutan yang lain masih jauh, lebih-lebih lagi tuntutan supaya senarai pengundi dibersihkan, yang menjadi tuntutan teras Bersih 2.0 dan 3.0.

Bulan lalu dan beberapa minggu terakhir ini, saya berkesempatan meninjau banyak kawasan di Selangor dan Ahad lalu saya ke Negeri Sembilan mengadakan dialog penerangan di sana atas undangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakop.

Beberapa bulan lalu saya ke Johor Bahru, Pontian dan Kluang, meninjau sendiri suasana di negeri yang selama ini kononnya menjadi kubu kuat Umno. Ternyata, Johor sudah sangat berubah dari masa lalu dan peluang PAS/Pakatan Rakyat di sana untuk menang sangat besar.

Himpunan Hijau di Johor yang menyaksikan puluhan ribu rakyat menghadirinya dan sambutan rakyat Johor yang sangat luar biasa terhadap ceramah Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz di negeri itu bulan lalu menggambarkan keinginan yang sangat besar dari rakyat di Johor untuk melakukan perubahan dalam PRU akan datang.

Semua ini menunjukkan bahawa tembok kekuatan Umno di negeri itu mulai runtuh dan sukar dipertahankan, justeru pelbagai isu menyentuh kehidupan rakyat di sana telah timbul seperti isu tanah, harga barang yang mahal, isu perumahan, pendapatan nelayan yang merosot dan pelbagai lagi.

Sementara itu, kepulangan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang akan bertanding di Johor mencerahkan lagi peluang PAS untuk meraih kemenangan di sana. Beliau menemui pelbagai lapisan rakyat di Johor dengan begitu santun dengan style orang Johor yang sangat memikat. Inilah antara kelebihan Salahudin.

Di Melaka, walaupun dalam sejarahnya belum ada satupun calon PAS yang menang di sana, tetapi dengan perkembangan baru di negeri itu, ada tanda-tanda jelas kemungkinan ada calon PAS yang akan menang di negeri Hang Tuah itu.

Pesuruhjayanya, Haji Adly Zahari, timbalannya Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Mohd Noor Omar dan Sofi Wahab bekerja keras dengan dibantu oleh pasukannya, Ketua Dewan Ulama' - Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Pemuda - Haji Yuhaizad Abdullah, Ketua Dewan Muslimat - Hajjah Kintan Man, Setiausahanya - Asri Shaik Abdul Aziz, Bendahari - Husni Balis Ali, Ketua Penerangan - Ustaz Ashraf Mukhlis Minghat dan Pengarah Pilihanraya - Bahiki Ismail.

Menurut pemerhati, ada tanda-tanda jelas, calon-calon PAS akan mencapai kemenangan, kalaupun tidak semua, berdasarkan sambutan rakyat pada PAS di negeri ini jauh berbeza dari masa lalu.

Saya meninjau suasana ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Merlimau Melaka tidak lama dulu, menunjukkan sambutan luar biasa rakyat Melaka terhadap ceramah pembangkang. Menurut seorang penduduk di situ, kebanyakan yang hadir adalah orang tempatan, bukan orang luar.

Di Negeri Sembilan, saya bertemu dengan jentera penerangan PAS di sana yang jelas memperlihatkan kesungguhan mereka bekerja untuk mencapai kemenangan. Ada persepsi bahawa Negeri Johor dan Negeri Sembilan mempunyai harapan tinggi akan berlaku perubahan.

Maknanya, tsunami politik akan bermula dari selatan, mudah-mudahan
begitulah hendaknya.

Di Selangor, negari yang menjadi sasaran utama Umno/BN dalam PRU akan datang, menyaksikan persiapan PAS untuk mempertahankan negeri itu begitu bersungguh-sungguh.

Saya mengkagumi gerakan kerja jentera pilihan raya PAS Selangor di bawah pimpinan Cikgu Jaafar Shamsudin yang siang malam bekerja dengan begitu bersungguh-sungguh dan berstrategi.

Khabarnya, ada petugas dari luar Selangor belajar dari Chikgu Jaafar mengenai gerak kerja pilihan raya Selangor dan memang terserlah kecekapan beliau mengendalikannya.

Pada petang 15 Julai ini ita akan menyaksikan puluhan ribu orang yang akan menyertai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya – Pertahan Selangor di Kuala Selangor yang akan dipenuhi pelbagai acara sejak petang hingga malam.

Selepas ini, pendukung PAS bersama umat Islam yang lain akan menyambut Ramadhan, namun kiranya, gerak kerja pilihan raya akan diteruskan.

Harakah Daily

Tidak semua rakyat terima transformasi 1Malaysia

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin BN yang lain mendakwa rakyat telah kembali menyokong BN. Mungkin berdasarkan dengan wang yang telah dihamburkan. Tetapi PM dan pimpinannya tidak sedar bukan semua rakyat mendapat wang yang dihamburkan itu. Tidak semua rakyat menerima transformasi 1Malaysia. Ada pesara kakitangan sokongan yang kecewa dengan kerajaan pimpinan BN akan pasti tidak mahu menyokong.

Seorang kawan pesara kumpulan sokongan berpendapat transformasi 1Malaysia agenda PM Najib tidak memberi erti baginya. Agenda itu hanya legasi wawasan 2020 agenda bekas PM Mahathir.

Sementara agenda bekas PM Abdullah tidak jelas. Beliau kecewa kerajaan di bawah pimpinan BN tidak pernah memberi peluang kepadanya sebagai penjawat yang berpengalaman dan telah berusaha memperbaiki pendidikan untuk menjawat jawatan yang lebih baik. Beliau berada dalam kumpulan sokongan selama lebih tiga puluh tahun sehingga bersara. Berusaha setapak demi setapak sehingga mendapat ijazah sarjana. Akhirnya mengambil keputusan bersara sebelum tarikh umur persaraan yang ditandatanganinya atas tiga faktor utama.

Pertama, ingin memberi masa untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Pada peringkat ini beliau tidak boleh lagi terkejar-kejar seharian bekerja dan masa yang selebihnya sebagai penuntut. Ia perlu bersara kerana andaian tinggi dia tidak akan mendapat cuti belajar. Mana mungkin ketua akan membenarkannya kerana dia hanya pekerja sokongan. Kedua kerana ingin mendapat graduiti untuk membiayai pengajian. Ketiga sudah bosan di bawah arahan pegawai-pegawai muda yang tidak mempunyai adap seperti orang-orang terdahulu.


Apabila PTPTN menjadi berita sensasi beliau jelak mendengarnya. Kerana beliau sendiri membiayai pengajian sendiri di setiap peringkat. Masa dibahagikan antara belajar dan bekerja.

Tahun 2012 seluruh pesara termasuk pesara kumpulan sokongan, telah mendapat kad ucapan Selamat Tahun Baru 2012 dari Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, yang ditandatangani oleh presidennya Tan Sri Aseh Che Mat. Apa tujuan dan maksud kad Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan itu tidak diketahui. Untuk menelaahnya sangat sukar. Untuk menekanya sangat mudah.

Harakah Daily

RM35 juta: Rangkum aspek pendidikan agama

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Senator Khairiah Mohamed mensyorkan agar peruntukan sebanyak RM35 juta untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara perlu meragkumi aspek pendidikan agama dan kerohanian.

Katanya, dasar pendidikan negara yang sedia ada kurang memberi penekanan keagamaan kepada pelajar, akibatnya banyak berlaku gejala yang tidak sihat.

"Kalau kita lihat dari segi rukun negara sendiri di mana pertamanya menekankan kepercayaan kepada Allah begitu juga dalam perlembagaan negara, jadi tidak salah kerajaan memberi penekanan keagamaan dalam dasar pendidikan negara," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dengan itu, katanya kajian yang hendak dilakukan tidak terlepas daripada mengambil kira sudut agama dan moral.

Beliau berharap kerajaan mengambil serius usaha ini kerana anak muda hari ini jauh tergelincir dari landasan agama akibat kurangnya didikan agama.

"Jadi kita sangat-sangat menyarankan kerajaan kaji semula dasar pendidikan negara yang lebih menekankan aspek kerohanian. Cumanya kita minta kajian ini turut melibatkan tokoh-tokoh agama biar mereka membuat perbandingan antara sistem pendidikan yang ada sekarang dengan pendidikan yang lebih kepada agama," katanya.

Tambahnya, mungkin dengan usaha ini kerajaan boleh membuat pengubahsuaian dan penambahbaikan kerana ia melibatkan modal insan negara untuk 10 atau 20 tahun akan datang.

Harakah Daily

Dipukul polis walaupun ikut arahan - saksi

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Seorang lagi saksi memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa beliau dipukul lapan hingga sepuluh orang polis dalam perjalanan pulang selepas menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Arsyad Abas, 32 berkata, walaupun beliau menurut arahan polis supaya menukar baju T Bersih kepada baju T biasa, beliau tetap dipukul di kawasan Masjid India sebelum diheret ke Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka.

"Saya sudah bagitahu saya dalam perjalanan pulang, tapi mereka terus memukul saya. Saya dalam keadaan duduk dan nak tukar t-shirt kuning saya kepada t-shirt biasa, jadi saya tak nampak muka polis yang memukul tapi saya tahu minimum lapan orang polis," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam.

Menurut Arsyad lagi, polis turut menyelongkar begnya dan mengambil barang-barang peribadinya berupa Samsung Tab 7.0, jam tangan, pemacu kilat USB (pendrive), dan baju T yang belum sempat ditukar.

"Barang-barang saya pun turut dikebas polis tapi beg masih ada dengan saya," katanya sambil menambah beliau tidak mendapat kembali barang-barangnya itu sehingga.

Sewaktu diheret ke Dataran Merdeka, polis katanya turut menggelarkan beliau dan yang lain sebagai 'barua Anwar'.

Terima lima jahitan

Sebelum dimasukkan ke dalam lori polis, Arsyad memberitahu, beliau ditumbuk di muka menyebabkan kening kanannya pecah dan terpaksa menerima lima jahitan.

Gambar mukanya yang berlumuran darah dan baju T yang bertompok darah juga ditunjukkan sewaktu pendengaran.

Dakwa Arsyad, polis seperti melepaskan geram kepadanya selepas mendengar khabar angin kononnya salah seorang daripada anggotanya meninggal dunia ketika bertugas di perhimpunan Bersih.

"Saya pun terkejut bila polis beritahu saya, mereka bertindak demikian sebab salah seorang anggotanya meninggal dunia," katanya.

Beliau bersama yang lain dibawa ke Pulapol dan pihak sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawa semua mangsa yang cedera ke hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hari ini merupakan hari kedua pendengaran awam di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Harakah Daily

Bayangkan tragedi amuk Putrajaya tanpa media baru?

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain tidak dapat membayangkan apa fitnah yang akan terkena PAS jika amukan di Putrajaya berlaku di zaman tanpa media baru.

Bagi beliau, kemunculan media baru di zaman ini telah banyak menguntungkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita berjaya menggagalkan propaganda Umno BN melalui radio dan televisyen selama ini melalui media baru," kata Ustaz Abu Bakar.

Beliau menyatakan pada satu ketika dahulu propaganda jahat pemimpin umno dalam peristiwa Memali yang membabitkan pembunuhan As Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 18 yang lain telah menyebabkan PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU) ketika itu.

Hal ini disebabkan Umno menggunakan seluruh media penerangan untuk menyerang PAS ketika itu.

“Contohnya hari ini bila berlaku kes amuk di Putrajaya. Jika Umno buat modus operandi seperti mereka propagandakan tragedi Memali.

Katanya, PAS tahu apa strategi jahat pimpinan Umno dengan perguna RTM untuk beritahu kepada rakyat bahawa segala keganasan yang berlaku di Malaysia mesti ada kaitan dengan PAS.

"Umno guna RTM tiap-tiap malam untuk memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Namun kini, beliau yakin rakyat tidak mudah ditipu oleh Umno lagi, meskipun Umno gunakan media televisyen dan radio untuk malksanakan propaganda jahatnya kerana rakyat telah mendapat berita awal berkenaan pembohongan mereka di media baru, kata Ustaz Abu Bakar.

Katanya, facebook, twitter, blog, website dan segala jenis media baru telah banyak menyedarkan rakyat tentang pembohongan yang sering dilakukan Umno selama ini.

“InsyaAllah jika segala propaganda umno di media berjaya kita tangkis dari awal, saya yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan memperolehi kemenangan yang besar dalam PRU – 13 ini,” tegas beliau.

Harakah Daily

Bajet SPR RM405 juta tidak masuk akal

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pertambahan bajet sebanyak RM360 juta untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam peruntukan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) disifatkan tidak masuk akal, tegas Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, kos tambahan untuk pilihan raya hampir setengah billion yang diluluskan merupakan kos yang paling tinggi setakat ini.

Katanya, bajet awal yang dikemukakan sebelum ini adalah RM45 juta kemudian ditambah sebanyak RM360 juta bagi persediaan dan pengendalian pilihan raya umum nanti.

"Jadi peruntukan ini sebanyak RM405 juta.Tidak masuk akal! Jumlah yang besar tetapi belum tentu memberi jaminan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Katanya, persediaan yang baik salah satu perkara utama untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan licin dan diterima rakyat khususnya daftar pemilih.

"Banyak persoalan yang telah ditimbulkan dalam soal ini dan saya rasa kita tidak boleh mengenepikannya umpamanya sindrom menafikan.

"Kita mahu bila berlaku pilihan raya, rakyat betul-betul percaya akhirnya dunia menghormati keputusan itu, " katanya yang turut membangkitkan perkara ini dalam perbahasan Perbekalan Tambahan.


Tarikh PRU


Sementara itu, Senator Muhamad Yusof Husin menegaskan satu peraturan dibuat agar tarikh pilihan raya hendaklah diadakan setelah genap lima tahun dan tarikhnya diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13.

"Pengumuman itu agar semua rakyat Malaysia tahu bila tarikh pilihan raya umum berikutnya diadakan di samping memudahkan rakyat mengatur program mereka supaya tidak bertindih dengan tarikh berkenaan," katanya.

Beliau berpendapat mandat lengkap lima tahun parlimen adalah idea yang baik cuma tarikh PRU diadakan perlu disesuaikan juga supaya tidak jatuh pada bulan Ramadan atau musim haji.

Beliau juga mempersoalkan jika ada negeri-negeri yang mengambil sikap untuk mengadakan pilihan raya umum pada waktu berasingan, tidakkah SPR terpaksa berbelanja lebih besar?

Yusof yang juga membangkitkan perkara ini di dalam ucapan penangguhan semalam meminta kerajaan memberikan perhatian serius dalam perkara ini kerana amalan merahsiakan tarikh PRU tidak berlaku di lain-lain negara kecuali Malaysia.

Turut bersama dalam sidang media itu, Senator Khairiah Mohamed, Senator Dr Ariffin Omar, dan Senator Syed Shahir Syed Mohamud.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, perbelanjaan sebanyak RM360 juta yang diperuntukkan kepada SPR adalah bagi menampung keperluan persediaan serta pengendalian Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Harakah Daily