11 July 2012

Keadaan di Mesir tidak seteruk yang dilaporkan

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Kemenangan pergerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir memberi inspirasi bukan sahaja kepada PAS, malah seluruh parti Islam di seluruh dunia.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan ini juga penting kepada politik Islam memandangkan Mesir merupakan sebuah negara yang terlibat dalam percaturan kuasa-kuasa besar politik dunia.

"Kedatangan ini satu penghargaan kepada gerakan Islam di Mesir khususnya Ikhwan atas kemenangan yang dicapai.

“Kemenangan ini tidak sama dengan kemenangan gerakan Islam di tempat lain kerana faktor georafinya, politiknya, jumlah kependudukannya yang ramai dan kebergantungan kuasa barat terhadapnya,” katanya.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif di kediamannya di sini semalam.

Selain menyampaikan penghargaan dari PAS, pertemuan itu juga bagi mendapat gambaran sebenar perkembangan di Mesir khususnya terhadap laporan media yang menggambarkan sedang berlaku pertembungan antara Mohamed Mursi dengan tentera.

Turut serta dalam pertemuan itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat serta wakil rombongan Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Speaker Dun Kelantan Datuk Nassruddin Daud.

Dalam pada itu, Mehdi Akif berpendapat, kemenangan gerakan Islam di Mesir termasuk Presiden Dr Mohamed Mursi merupakan perancangan dan kekuasaan Allah SWT.

Katanya, jika dilihat dari segi logik, memang sangat sukar untuk gerakan Islam Mesir termasuk Mohamed Mursi untuk menang dalam keadaan tekanan dan perancangan jahat dari pihak musuh.

“Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah yang melangkau semua perancangan pihak-pihak yang tidak mahu gerakan Islam menang di Mesir.

“Tiga bulan sebelum pilihan raya presiden, media masa serang Ikhwan sama ada dalam mesir dan luar. Maknanya kalau melihat kepada keadaan, dari segi logiknya memang sukar untuk Ikhwan dan parti Islam menang pilihan raya,” katanya.

Mengulas laporan media tentang perkembangan semasa Mesir, Medi Akif berkata keadaan sebenar yang berlaku tidak seteruk apa yang dilaporkan.

Sebaliknya, pentadbiran Mohamed Mursi sangat menghormati institusi di bawah kerajaan termasuk tentera, kehakiman dan perlembagaan negara.

Sementara itu, pertemuan hari ini adalah bersempena lawatan rasmi Presiden PAS ke sini selepas Ikhwan berjaya mencapai kemenangan dalam pilihan raya lalu.

Selain bertemu pimpinan Hamas dan Ihkwan, Tuan Guru Abdul Hadi malam tadi turut dijemput ke program dialog bersama mahasiswa Malaysia di sini.
Hampir 3,000 mahasiswa dari seluruh Mesir hadir dalam pertemuan itu yang disifatkan jarang-jarang berlaku.

Malah himpunan mereka semalam juga berjaya mengutip sumbangan lebih RM8,000 yang diserahkan kepada Presiden PAS untuk membantu dana pilihan raya.

Harakah Daily

Kalau jadi PM, janganlah jadi kontraktor pula

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

Isu kontrak LRT Ampang sekarang menjadi isu besar terakhir apabila Najib sekali lagi dikaitkan dengan George Kent Lion Pacific JV yang mendapatkan kontrak itu walaupun pada asalnya syarikat sahabat golf Najib ini tidak layak untuk mendapatkannya. Syarikat Balfour Beatty-Invensys Consortium yang sepatutnya mendapatkan kerja ini dengan harga RM1.1 billion telah dinafikan peluang untuk melaksanakan projek itu walaupun pada Januari lepas syarikat ini dikatakan telah memenangi tender untuk perlaksanaan projek infrastruktur raksasa ini.

Tetapi pada 1hb Jun yang lepas syarikat George Kent telah diberikan kerja untuk projek ini dan harganya telah melambung menjadi RM1.8 billion setelah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengubah keputusan pihak berwajib dan memberikan kontrak itu kepada George Kent, syarikat yang katanya dipunyai oleh rakan golf Perdana Menteri.

Di manakah letaknya apa yang dikatakan oleh PM untuk mentadbir secara transperan seperti yang dikatakan beliau untuk melakukan transformasi dalam semua bidang kenegaraan?

Jika ini caranya Perdana Menteri membuat keputusan, ini adalah sangat menjijikkan dan mengaibkan nama negara di peringkat antarabangsa kerana isu ini menjadi perhatian khusus dari masyarakat antarabangsa.

Kita hairan kenapalah PM bersifat begini kerana kalau kita dengar retorik ucapan beliau, Najib sedang cuba menunjukkan kepada rakyat yang beliau adalah Perdana Menteri yang bersih dan cekap dan mempunyai nilai kepimpinan yang begitu tinggi.

Pendedahan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli itu amat mengejutkan banyak pihak dan laporan polis telah dilakukan terhadap Najib. Tetapi nampaknya pihak polis mengambil tindakan untuk menyiasat bagaimana perkara yang ‘classified’ itu boleh terbongkar dan tidak pula berani menyiasat tindakan Najib masuk campur dalam keputusan pemberian tender itu.

Ini merupakan salah satu dari ratusan isu besar dalam pemberian konrak terhadap kroni-kroni pemimpin BN khususnya UMNO dan nampaknya penyakit rasuah dan menyalahgunakan kuasa ini memang sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana ia sudah menjadi budaya dalam kepimpinan negara kita.

Saya juga ingin tahu, agaknya berapa orang Perdana Menteri di dunia ini yang selain menjadi Perdana Menteri, mereka juga adalah kontraktor-kontraktor besar seperti PM Najib ini.

Bagaimana hendak memperbaiki pimpinan jika dalam isu pemberian kontrak besar ini melibatkan kehendak ahli politik dan dalam isu ini adalah pemimpin politik tertinggi negara yang juga seorang Perdana Menteri.

Bagi saya Najib sepatutnya hanya menjadi Perdana Menteri dan tidak merangkapkan diri beliau sebagai seorang kontraktor besar. Jika PM sendiri mempunyai kepentingan peribadi dalam pemberian kerja kontrak seperti ini, bagaimanalah kerajaan hendak membina masyarakat perniagaan yang mantap untuk negara.

Najib, saya ulangi, sepatutnya hanya menjadi PM dan cuba elak dari menjadi kontraktor. Jika beliau lebih berminat menjadi kontraktor, beliau patut bersara sebagai Perdana Menteri dan tubuhkan sebuah syarikat pembinaan kelas A dan mempunyai lesen PKK yang sah.

Tidak boleh begini. Perdana Menteri buat tugas Perdana Menteri kerana terlalu banyak isu terhadap pimpinan hari ini. Jangan pula hendak menjadi kontraktor sekali.

Harakah Daily

SAMM seru anak muda sertai Himpunan Oren

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai ini sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih.

Katanya, SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.

Bagi SAMM, ujarnya penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara.

Menurutnya, menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.

“Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.

SAMM juga, ujarnya turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180 ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja.

Ini, ujarnya satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.

“Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH,” ujarnya.

Harakah Daily

Umno terdesak upah bloggers burukkan PAS

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyifatkan Umno terlalu terdesak sehingga sanggup mengupah bloggers menyebarkan fitnah terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui gambar super impose.

Selain itu Umno juga menggunakan sepenuhnya ruang melalui akhbar harian yang dimiliki untuk memaparkan setiap berita negatif mengenai Kelantan, biar pun dalam banyak keadaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, Umno kini menggunakan sepenuhnya ruang media baru bagi memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat tanpa menghiraukan soal moral dan maruah.

“Kami amat kesal terhadap tindakan bloggers Umno yang semakin ganas sehingga cuba memaparkan gambar Menteri Besar di luar normal akar yang waras.

“Ini secara jelas menggambarkan mereka tidak menghiraukan langsung soal dosa dan pahala. Mereka mahu mempersendakan seorang ulama yang diiktiraf di peringkat dunia,” katanya di sini.

Kebelakangan ini kerap dipaparkan melalui blog yang dimiliki penyokong Umno bagi memburukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan melakukan super impose.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai seorang Islam mereka seharusnya sedar fitnah tersebut akan menjadi senjata makan diri sendiri.

“Setiap wartawan perlu ingat apa pun berita atau penulisan dibuat akan dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.

Sementara itu beliau juga menafikan kononnya artis yang menyertai program anjuran PAS menuntut bayaran.

“PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Artis yang menyertai PAS tentunya faham kedudukan tersebut. Mereka datang dengan kehendak sendiri selepas memahami perjuangan Islam ada kelebihannya,” ujar beliau.

Harakah Daily

JHEAIPP adakan operasi sepanjang Ramadhan

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri melalui Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan meneruskan usaha dan melipatganda operasi untuk mencegah orang ramai melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan sama ada pada waktu siang mahupun malam hari.

“Sepanjang Ramadan pada tahun ini, JHEAIPP akan menjalankan 3 operasi yang dinamakan Ops Jejak yang menumpukan kesalahan tidak hormati Ramadan, Ops Judi bagi kesalahan berjudi dan Ops Noda bagi kesalahan khalwat, maksiat dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim.

(Gambar: Abdul Malik bersama Pegawai Jaipp melihat banner iklan program sepanjang Ramadan 1433 sejurus selepas sidang akhbar di pejabatnya.)

Katanya, Ops Jejak akan menumpukan di gerai-gerai makanan, restoran, pusat membeli belah, dan tempat-tempat awam bagi memastikan orang Islam tidak makan minum atau seumpamanya yang boleh mencemarkan kesucian bulan yang penuh keberkatan ini.

Tambahnya, operasi juga akan dijalankan pada waktu malam di persisiran pantai, hotel, premis hiburan, rumah urut dan seumpamanya.

Umat Islam yang didapati tidak menghormati Ramadhan akan didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang Tahun 1996, memperuntukan kesalahan di bawah seksyen 15 yang menyebut:

Seksyen 15. Mana-mana orang, yang pada waktu berpuasa, dalam bulan Ramadan –

a) Menjual kepada mana-mana orang-orang Islam, apa-apa makanan, minuman atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta dalam waktu itu:

b) Secara terbuka, atau di tempat awam didapati, minum atau menghisap rokok, atau benda lan yang seumpamanya,

Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Kerajaan negeri juga menyediakan 2 talian Hotline untuk mana-mana pihak melaporkan kesalahan jenayah Syariah kepada bahagian penguatkuasa Bahagian Pulau (019 - 425 6917) Bahagian Seberang Perai (013 - 441 9300)

Aduan juga boleh dibuat melalui e-AduanMaksiat:
http://penguatkuasajaipp.blogspot.com/p/aduan-online_01.html

Harakah Daily

Sukma: Jackie baharui rekod baling tukul besi

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KECEDERAAN pada bahagian bahu dan belakang, ia tidak mematahkan semangat Jackie Wong Siew Cheer memperbaharui rekod dalam acara baling tukul besi kategori lelaki di Stadium Darul Makmur, semalam.

Jackie Wong, 21, yang terpaksa menahan sakit sepanjang pertandingan berlangsung, berjaya melakukan balingan sejauh 55.25m sekali gus memecah rekodnya sendiri (55.14m) yang dilakukan pada temasya di Melaka dua tahun lalu.

Pingat perak bagi acara itu menjadi milik rakan sepasukannya, Michael Sia Sung Dak (47.58m), manakala pingat gangsa pula dimenangi atlet Perak, Ng Chee Chew (45.39m).

Jackie yang juga pemegang pingat gangsa Sukan Sea Indonesia, mengakui beliau agak tertekan dan gugup ketika membuat balingan kali pertama kerana risau gagal mempertahankan rekod Sukma yang diciptanya sebelum ini.

“Ini adalah Sukma terakhir sejak mula menyertainya pada edisi Terengganu 2008. Namun saya berjaya mengawal keadaan untuk lontaran berikutnya,” katanya yang bercadang untuk berehat bagi memulihkan kecederaannya selepas ini. - Bernama.

Sinar Harian

Gesa tukar 'Pakcik' warden suka menghendap

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA NERANG - Susulan laporan mengenai dakwaan penghuni sebuah asrama anak-anak yatim dan miskin dicabul oleh warden, timbul desakan agar pihak pengurusan asrama segera menggantikan kakitangan itu dengan orang lain.

Salah seorang penghuni asrama berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Liya (bukan nama sebenar, ketika ditemui Sinar Harian semalam, berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi
penghuni di asrama berkenaan.

Menurutnya, warden berkenaan mula bertugas di situ menggantikan warden sebelumnya, sekitar tahun 2007. Sikap warden yang hanya digelar ‘pakcik’ itu sudah mula menimbulkan rasa kurang
selesa di kalangan penghuni asrama berkenaan.

“Mana tidaknya, pakcik dan keluarganya tinggal berhampiran asrama kami namun tugas pakcik lebih kepada menjaga penghuni puteri manakala tugas isterinya, makcik pula menjaga penghuni lelaki.

“Saya sendiri pelik kenapa tidak makcik sahaja yang menjaga penghuni puteri, sudah tentu kami lebih berasa selesa.

Namun tiada tempat untuk kami mengadu mengenai perkara itu, apatah lagi apabila pihak pengurusan dilihat asyik menyokong pakcik,” katanya.

Liya berkata, berikutan keadaan tidak selesa yang mulai membelenggu mereka, masing-masing berbincang sesama sendiri dari saling mengingatkan agar tidak pergi ke mana-mana, khususnya pada waktu malam secara bersendirian.

“Sebelum timbul kes cabul ini lagi, banyak perkara yang kurang menyenangkan berlaku antaranya tindakan pakcik masuk ke bilik air puteri dengan membawa rotan ketika kami sedang mandi pada waktu siang.

“Sebab itu, saya dan penghuni lain di asrama itu berharap sangat agar warden dapat ditukar. Kami selesa dan gembira tinggal di situ, malah dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran namun kehadiran warden ini memang membuatkan kami berasa tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Liya turut mendakwa menyaksikan kelakuan pakcik yang bertindak memeluk dan mencium salah seorang penghuni puteri di asrama itu.

Selain pengakuan daripada Liya, seorang lagi penghuni rumah berkenaan, berusia lingkungan 16 tahun, turut tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang mengenai satu lagi kes cabul.

Mengikut laporan polis yang dibuat kira-kira jam 12.25 tengah hari, 2 Julai lalu, penghuni terbabit mengaku pernah dicabul ketika berusia 11 tahun.

“Saya dipeluk tanpa kerelaan. Kawan-kawan saya juga ada yang kena. Malah kami pernah dimarahinya (warden) dengan kata-kata lucah apabila mengadu kepada orang kampung bahawa dia suka menghendap dan mencabul penghuni puteri.

“Laporan ini saya buat agar polis dapat mengambil tindakan tegas terhadapnya,” katanya.

Sinar Harian

Kutip derma haram, dua lelaki dicekup

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA DUNGUN – Tindakan dua lelaki warganegara Thailand mengutip derma daripada orang ramai tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa dekat sini membawa padah apabila kedua-duanya dicekup anggota pegawai penguat kuasa syariah.

Ketika ditahan kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua lelaki berumur 33 dan 44 itu dikatakan sedang mengutip derma daripada orang ramai di Pasar Besar Dungun.

Kehadiran dua lelaki berkopiah itu bagaimanapun mendatangkan rasa curiga penghuni di pasar sebelum menghubungi pihak PPS Dungun untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati mereka mengutip derma untuk tujuan membina sebuah tadika Islam di sebuah pondok agama dekat Narathiwat, selatan Thailand.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengakui tidak mengetahui mengutip derma tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di negara ini selain merayu agar tidak dikenakan tindakan.

Salah seorang suspek yang berumur 44 tahun dan difahamkan lulusan Ijazah Usuluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dikatakan memulakan aktiviti mereka sejak dua minggu
lalu dan berjaya memungut antara RM200 hingga RM300 sehari.

Mereka datang ke negeri ini dengan menaiki sebuah kereta selain menjadikan tempat tumpuan awam seperti pasar dan pasar raya sebagai lokasi sasaran untuk mendapatkan simpati orang ramai.

“Saya ingat kutip derma untuk tujuan kebajikan tidak salah, sebab itu saya datang ke sini.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran berharga buat saya dan tidak akan mengulanginya lagi,” kata lelaki berasal dari Narathiwat itu.

Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan selepas diberi amaran keras.

Mereka yang didapati memungut derma tanpa kebenaran boleh didakwa mengikut Seksyen 90, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Nenek terjatuh jambatan

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Belum sempat dihalang cucunya, seorang warga emas patah kaki kirinya patah selepas terjatuh dari jambatan pejalan kaki di Jalan Kepong, Jinjang Selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, warga emas berusia dalam lingkungan 80-an itu dikatakan menaiki basikal menuju ke jambatan tersebut sementara cucunya mengejar di belakang.

Dipercayai berpunca daripada perselisihan faham keluarga, warga emas tersebut terjatuh dari jambatan akibat tekanan perasaan. Beberapa ahli keluarga warga emas tersebut turut berada di lokasi kejadian, namun enggan memberi sebarang kenyataan.

Ketua Operasi Balai Bomba Jinjang, Muhammad Yazi Taib berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kekecohanitu pada jam 1.31 dan tiba dua minit kemudian bersama enam anggota.

Menurutnya, bagaimanapun, ketika tiba, warga emas tersebut sudah pun berada di siar kaki jalan setelah terjatuh dari jambatan tersebut.

“Kakinya patah dan mengalami luka akibat tulang yang terkeluar, dia sedar namun hanya merintih kesakitan. Difahamkan berlaku perselisihan faham dalam keluarga mendorong warga emas bertindak demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Sinar Harian

Lesap sekelip mata

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH - Hanya dalam tempoh 30 saat, dua lelaki bersenjatakan parang berjaya melarikan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dalam kejadian samun di sebuah kilang pemasangan kasut di Regrouping Area, Menglembu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, seramai tujuh pekerja dan pemilik kilang masih menjalankan tugas sebelum ia tersebut ditutup pada jam 7 malam.

Pemilik kilang, Wong Soon Choy, 53, berkata, sewaktu kejadian dia sibuk membantu pekerjanya menyiapkan tempahan kasut sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal di hadapan premisnya.

Menurutnya, salah seorang daripada lelaki terbabit membawa parang dengan mengacu dan mengugut pekerjanya supaya menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu dicederakan.

Tambahnya, seorang lagi rakannya yang memakai topeng muka merampas dompet dua pekerjanya dan mengambil wang tunai berjumlah RM600 serta lesen memandu mereka.

“Mereka turut mengambil telefon pintar i-Phone yang terletak di atas meja berhampiran dan tidak sampai satu mi-nit mereka segera melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di luar.

“Bagaimanapun, kami semua bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya ketika ditemui di kilangnya, semalam.

Soon Choy mendakwa, kira-kira sebulan lalu, dua lelaki yang sama pernah datang ke premisnya kononnya mahu menempah kasut. Bagaimanapun katanya, kejadian samun itu adalah yang pertama berlaku sepanjang tiga tahun premis tersebut beroperasi.

Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Menglembu. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri, DatukLee Kon Yin berkata, menggesa supaya peniaga khususnya berhati-hati dengan kumpulan penjenayah dipercayai anggota kongsi gelap yang semakin berleluasa di sekitar bandar raya ini.

Katanya, antara tempat yang menjadi tumpuan termasuklah di Taman Desa Pakatan, Taman Pinji Mewah, Menglembu dan Buntong.

Menurutnya, sejak dua minggu lalu, pihaknya menerima 30 aduan berhubung beberapa kumpulan kongsi gelap yang mengutip wang perlindungan daripada peniaga dengan kadar serendah RM2,000 hingga mencecah lebih RM5,000 mengikut skala perniagaan yang dijalankan.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh seorang peniaga di Taman Desa Pakatan berhubung perkara tersebut.

“Selain itu, terdapat juga aduan sesetengah ahli kumpulan kongsi gelap ukan sahaja meminta wang perlindungan malah bertindak makan dan minum secara percuma di restoran yang dikunjungi,”
katanya.

Sehubungan itu, Kon Yin menyeru kepada penduduk dan peniaga untuk menubuhkan pasukan keselamatan bagi membanteras gejala tersebut dari terus berleluasa.

Sinar Harian

Kesal bank potong gaji

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Kelantan (NUBE) Cawangan Kelantan / Terengganu melahirkan rasa kesal apabila sebuah bank tempatan sanggup memotong gaji pekerja yang menunaikan solat pada waktu kerja lebih masa.

Pengerusinya, Mohd Azhar Yusof berkata, tindakan bank tersebut bersikap mendiskriminasikan pekerja-pekerja yang beragama Islam dengan mengeluarkan arahan berbau ugutan serta galakan agar pekerja tersebut meninggalkan solat demi kepentingan wang dilihat tidak wajar.

“Antara arahan yang dikeluarkan ialah, masa yang diambil untuk makan tengah hari atau malam, solat dan sebagainya pada waktu kerja lebih masa hendaklah ditolak daripada jumlah jam bekerja.

“Bagi kami tindakan tersebut adalah zalim dan tidak menghormati agama Islam kerana perkara yang berkaitan dengan solat tidak boleh dimain-mainkan kerana ia adalah wajib dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini, selepas membuat aduan kepada JHEAIK di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Timbalan Pengerusi NUBE, Wan Mohd Afendi Hussein.

Menurutnya, demi kesucian agama Islam pihaknya memohon agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) membuat siasatan dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum amalan yang dilakukan oleh bank tersebut menjadi turutan oleh bank-bank lain.

Beliau berkata, diharap perkara tersebut tidak berlaku pada organisasi lain yang mempunyai pekerja Islam kerana ia seharusnya tidak berlaku.

Sinar Harian

Taktik menyamar tak menjadi

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

SENAI – Taktik seorang warga Indonesia menyamar sebagai warga tempatan dengan mengemukakan sijil kelahiran palsu tidak berhasil apabila dia ditahan bersama sembilan lagi warga asing dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor di sini, semalam.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohamad Nasir Abas bersama 12 anggota penguatkuasa dimulakan dari jam 10 pagi hingga 3.45 petang, semalam.

Operasi dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu kilang membuat perabot di Taman Indah Jaya, medan selera di Saleng dan kedai runcit Bakar Batu.

Mohamad Nasir berkata, seramai 83 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan sepuluh dari mereka yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Serbuan dijalankan hasil dari maklumat disampaikan orang awam, di mana sepuluh warga asing ditahan membabitkan enam warga Indonesia dan empat warga Myammar.

“Enam dari mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas dan permit sah.

“Manakala empat lagi didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa pas dan permit,” katanya.

Selain itu katanya, kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Pekan Nenas dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Atipsom 2007 dan Akta Pasport 1960.

Katanya, seorang majikan berusia 30 tahun turut diarah hadir ke pejabat Kementerian Dalam Negeri untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian

Bekas PM Israel didapati bersalah

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah Israel membebaskan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert daripada dua tuduhan rasuah semalam tetapi mendapatinya bersalah berhubung satu tuduhan yang lebih ringan dalam keputusan yang beliau sifatkan sebagai adil.

Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis membebaskan Olmert daripada tuduhan menerima beberapa sampul surat berisi wang dan mengemukakan caj palsu beberapa kali semasa melakukan lawatan ke luar negara.

Namun, Olmert didapati bersalah kerana memberi kemudahan kepada seorang bekas rakan sekerjanya ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri.

Olmert masih berdepan satu perbicaraan lain berhubung tuduhan beliau menerima rasuah semasa memegang jawatan Datuk Bandar Baitulmuqaddis dalam projek pembinaan sebuah kompleks perumahan di sini.

Namun, keputusan untuk membebaskan beliau daripada dua tuduhan paling serius pada perbicaraan itu termasuk dakwaan yang memaksanya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2008 dilihat sebagai satu kemenangan peribadi buat Olmert.

Namun, beliau didapati bersalah kerana bersikap pilih kasih dengan meluluskan permohonan kontrak rakannya, Uri Messer semasa Olmert berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Beliau didapati bersalah kerana membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan negara.

Kesalahan itu boleh menyebabkan beliau dihukum maksimum penjara tiga tahun.

Bagaimanapun, hujah tentang hukuman yang perlu dijatuhkan ke atas Olmert akan bermula pada September depan. - Agensi

Jongkong emas RM2j

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

JONGKONG emas bernilai RM2 juta. Itu ganjaran yang bakal menanti barisan pemain badminton negara sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat emas daripada temasya Sukan Olimpik 2012 di London yang akan bermula 27 Julai ini.

Ganjaran tersebut adalah sumbangan Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Pengerusi KLRC, Datuk Seri Andrew Kam berkata, insentif jongkong emas itu adalah sebagai tanda sokongan daripada pihaknya terhadap barisan pemain badminton negara yang bakal menggalas cabaran di bumi London nanti.

Katanya, ganjaran tersebut adalah khusus buat barisan pemain badminton negara sahaja.

“Saya cabar pemain-pemain negara yang beraksi pada Sukan Olimpik 2012 nanti untuk berusaha mendapatkan pingat emas.

“Jika berjaya, KLRC menerusi skim hadiah kemenangan kami akan memberikan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain yang meraih pingat emas.

“Ini semua adalah sokongan KLRC terhadap pemain negara dalam usaha memastikan Malaysia berjaya merealisasikan impian untuk memenangi pingat emas buat kali pertama pada Sukan Olimpik,” kata Andrew.

Andrew berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan ganjaran tersebut di Hotel Hilton, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi dan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar.

Ditanya mengapa ganjaran tersebut hanya untuk barisan pemain badminton negara dan tidak kepada atlet-atlet yang turut beraksi pada Sukan Olimpik 2012, Andrew berkata: “Saya sangat cintakan sukan badminton.

“Sebab itu, ganjaran ini hanya untuk pemain badminton negara sahaja.”

Bagaimanapun, Andrew menjelaskan bahawa jika terdapat lebih daripada seorang pemain badminton negara yang meraih pingat emas, jongkong emas seberat 12.5 kilogram itu akan dibahagikan sama rata.

Enam pemain negara yang bakal beraksi di London diketuai oleh jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, beregu utama lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.

Sementara itu, Chong Wei menganggap ganjaran tersebut bakal menjadi motivasi kepada barisan pemain negara untuk berusaha menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia.

“Saya harap ganjaran ini akan menaikkan lagi semangat bukan sahaja buat diri saya sendiri tetapi kepada lima lagi pemain yang turut beraksi pada Sukan Olimpik 2012 nanti.

“Jika ada yang mengatakan ia hanya memberi tekanan kepada pemain tetapi bagi saya tidak. Jika kita kekal fokus, kita boleh melakar kejayaan,” jelas Chong Wei yang turut hadir pada majlis tersebut bersama lima lagi pemain negara semalam.

Dengan habuan yang diumumkan oleh KLRC itu, barisan pemain badminton negara berpeluang untuk membawa pulang RM4 juta andai berjaya menjelmakan kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya berprestij dunia itu.

Sebelum ini, Kementeria Belia dan Sukan (KBS) menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) menawarkan RM1 juta kepada setiap pemenang pingat emas Sukan Olimpik.

Jumlah tersebut bertambah apabila sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn. Bhd., turut menawarkan ganjaran bernilai RM1 juta kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas.

kosmo/-

Hasil tangkapan luar biasa

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Nelayan di Pantai Kempadang, di sini, memperoleh hasil tangkapan luar biasa sejak dua hari lalu apabila mendapat kira-kira 300 kilogram (kg) ikan kembung selepas setengah jam menurunkan pukat di laut.

Situasi itu didakwa luar biasa kerana pada kebiasaannya mereka hanya memperoleh antara 40 hingga 50 kg ikan kembung sehari. Walaupun terkejut namun nelayan terbabit bersyukur atas rezeki tidak dijangka itu, malah ada menjualnya secara lelong.

Lelong RM5 sekilo

Bagi nelayan, Omar Baru, 54, dia yang baru lima tahun menjadi nelayan tidak menyangka apabila mendapat hasil tangkapan dua tong seberat 120 kg dalam tempoh singkat.

“Tidak sampai satu jam, pukat saya dipenuhi ikan kembung. Saya anggap ia sebagai rezeki dan tidak memikirkan perkara lain,” katanya ketika ditemui di Pantai Kempadang.

Dia turut melelong ikan itu kepada orang ramai pada harga RM5 sekilo.

Ahmad Khir Johari Talib, 42, pula berkata, hasil tangkapan luar biasa diperoleh nelayan di situ bermusim kerana tahun lalu juga terjadi situasi sama.

Namun, tangkapan kali ini lebih banyak sehingga mencecah 300 kg iaitu tiga tong. “Biasanya susah hendak dapat tangkapan sebanyak itu. Kami juga pulang awal kerana bot penuh,” katanya.

Faktor arus dan plankton Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Adnan Hussain berkata, fenomena itu adalah biasa disebabkan faktor arus dan plankton.

Menurutnya, ikan kembung terdiri daripada jenis ‘telagik’ iaitu ikan berada di permukaan air dan biasanya bergerak dalam kumpulan.

“Justeru, nelayan terbabit mungkin terserempak dengan kumpulan ikan itu menyebabkan mereka memperoleh tangkapan dalam kuantiti yang banyak.

“Ikan itu juga bergerak mengikuti arus membawa kumpulan ikan ke pantai.

Selain itu, kumpulan ini mungkin mengejar sekumpulan ‘plankton’ sebelum memasuki pukat nelayan,” katanya.

sinar harian/-

Adun Umno-BN Tidak Ikut Tatacara DUN, Panggil Exco “You”.

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 10 JULAI : Dua Adun Umno-BN ditegur dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini berhubung tindakan mereka yang tidak mengikut tatacara DNS.

Di awal perbahasan, Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) di tegur Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana tidak meminta izinnya untuk bertanya soalan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Dr. Halimah Ali.

Malah, Sulaiman turut tidak memanggil Teng dengan panggilan ‘Tuan Speaker’ apabila bercakap dengannya di dalam DNS itu.

Teng berkata perbuatan Sulaiman itu seolah-olah membelakangkan peranan Speaker sebagai Ketua Dewan.

“Adun sepatutnya meminta izin (laluan) daripada saya sebelum ingin mencelah atau mengemukakan soalan kepada pembahas. Dalam mana-mana mesyuarat seorang ahli perlu meminta izin pengerusi sebelum bertanyakan soalan.

“Ini tidak, dengan saya pun Yang Berhormat tidak panggil saya ‘Tuan Speaker’, sedangkan bercakap terus kepada saya,” katanya.

Sementara itu, selang beberapa minit kemudian, Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali-BN) turut diberikan teguran yang sama oleh Timbalan Speaker, Haniza Mohamad Talha.

Beliau ditegur kerana bercakap menggunakan panggilan ‘You’ kepada Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika mengajukan soalan.

Bagaimanapun, beliau memberi alasan terpaksa menggunakan panggilan itu kerana Timbalan Speaker lambat bertindak.

“Panggilan yang sepatutnya ialah Yang Berhormat (YB) atau Ahli Dewan bukan ‘You’,” tegur Haniza.

selangorku/-

Kerajaan Umno-BN Yang Keluarkan Lesen Rumah Urut

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 11 JULAI : Semua lesen bagi rumah urut dan pusat hiburan di Selangor dikeluarkan semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini bukan dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew. berkata demikian ketika menjawab soalan Warno Dogol (Sabak Bernam-BN) dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri Pakatan tidak mengeluarkan lesen bagi kedua-dua premis itu sejak tahun 2006 dan dasar itu diteruskan sehingga kini.

“Walaubagaimanapun kelulusan dan kawalan bagi sesuatu rumah urut dikeluarkan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 yang terdapat di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kelulusan juga diberi kepaaa sesebuah premis selepas semua urusan diterima dari agensi luar seperti Bomba, polis dan Jabatan Kesihatan Daerah,” katanya.

Ronnie menambah, setakat ini sebanyak 571 premis rumah urut dan 775 pusat hiburan yang berlesen di negeri itu.

Pecahan mengikut PBT ialah ; Majlis Bandaraya Shah Alam, rumah urut (32), pusat hiburan (39) ; Majlis Bandaraya Petaling Jaya, rumah urut (77), pusat hiburan (218); Majlis Perbandaran Klang, rumah urut (83), pusat hiburan (89) ; Majlis Perbandaran Ampang, rumah urut ( 54), pusat hiburan (96 ).

Manakala Majlis Bandaraya Subang Jaya, rumah urut (69), pusat hiburan (154) ;Majlis Perbandaran Selayang, rumah urut (80), pusat hiburan (61) ; Majlis Perbandaran Kajang, rumah urut (118), pusat hiburan (35) ; Majlis Daerah Kuala Langat, rumah urut (13), pusat hiburan (23) ; Majlis Daerah Kuala Selangor, rumah urut ( 8), pusat hiburan (13).

Selain itu bagi Majlis Daerah Hulu Selangor, rumah urut (12), pusat hiburan (11) dan Majlis Daerah Sabak Bernam, rumah urut (11), pusat hiburan (21).

“Bagaimanapun, PBT tidak mempunyai rekod premis tidak sah kerana pemantauan sentiasa dijalankan, banyak lesen sudah ditarik balik,” katanya.

Jelasnya, semua Exco bersedia untuk menyertai operasi bersepadu bersama agensi kerajaan antaranya Imigresen dan Polis.

“Saya minta Umno-BN jangan sesekali menggunakan isu rumah urut, kalau berani nak buat dedahkan rumah urut dan pusat hiburan di negeri yang di tadbir Umno-BN, jangan salahkan Selangor sahaja.

“Juga jangan salahkan hotel bajet sebagai tempat maksiat kerana kita mesti memikirkan hotel bajet sebagai tempat perlancongan dan tidak semua orang kaya untuk tinggal di hotel mewah,” jelasnya.

selangorku/-

Finaz Yunus akhirnya mohon maaf kepada Abby Abadi

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

Finaz yunus yang mana namanya terkenal satu malam gara2 membuat posting menfitnah abby abadi, rujuk sini akhirnya tunduk dengan tekanan apabila membuat permohonan maaf secara terbuka di facebook. Mungkin kerana nama station tv Alhijrah turut terheret dalam kontroversi ini agaknya.

Apa pun samada dia ikhlas ataupun tidak usahlah kita pertikaikan lagi. Apa yang penting selepas neh dia akan lebih berhati2 sebelum mengeluarkan sebarang status di fanpage nya kelak.

Sejurus selepas finaz yunus membuat permohonan maaf secara terbuka, fanpage yang dibuka untuk mendesak finaz membuat permohonan maaf telah pun ditutup. Jadi sekarang dah takde isu.

Dalam pada itu ada terbaca di blog rujuk sini, mengenai pandangan ustaz saiful islam terhadap isu finaz - abby abadi. Taktau kat mana dorang petik kenyataan tersebut. Mungkin di wall ustaz. Dah google tak jumpa pula. Harap2 betul lah. Kalau tak betul mohon betulkan ye.

Lihat bawah neh ;

Ini pandangan Ustaz Saiful Islam (Hasrizal Abdul Jamil)

Isu celaan Finaz Yunus terhadap Abby Abadi amat menyedihkan. Saya hanya melihat dari jauh dan tidak berhajat untuk membuat sebarang komen kerana asalnya seperti tiada keperluan. Tetapi saya kaget melihat reaksi melampau mereka yang tidak berpuas hati dengan Finaz Yunus menjalankan kempen memboikot TV Al-Hijrah.

Finaz Yunus terikat dengan TV Al-Hijrah dengan satu ikatan kerja antara majikan dengan pekerja. Tetapi TV Al-Hijrah lebih besar dan penting berbanding mulut Finaz Yunus. Malah maruah Abby Abadi pun boleh tercalar, dan tidak terkejut kalau disimpulkan oleh pihak ramai bahawa ia adalah ketaksuban orang PAS apabila Abby Abadi dihina.

1. Finaz Yunus patut meminta maaf secara terbuka seperti celaan terbukanya terhadap Abby Abadi.

2. TV Al-Hijrah mesti melindungi pekerjanya, tetapi melindungi Islam dan kepentingan ramai mesti lebih diutamakan.

3. Abby Abadi teruskan perjuangan dan kuatkan semangat. Jangan pedulikan Finaz Yunus.

4. Kita-kita semua ini, bertaqwalah kepada Allah

Sabda Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

-ehgosip

Tidak tahan bau busuk

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

FELDA SUNGAI KOYAN - Penduduk di sini resah berikutan terpaksa menghadapi masalah longgokan sampah di laluan utama Felda Sungai Koyan Satu yang berlarutan sejak hampir sebulan lalu.

Penduduk, Mat Bazar Mohamad, 70, berkata, masalah lambakan sampah berhampiran Bazar Mara itu sememangnya mencemarkan pemandangan, apatah lagi lokasi tersebut merupakan kawasan yang padat dengan penempatan penduduk.

Menurutnya, masalah itu berlaku berikutan sikap tidak prihatin sesetengah penduduk yang menjadikan kawasan tepi jalan terbabit sebagai tempat membuang sampah.

“Longgokan sampah tersebut menghasilkan bau busuk hingga mengganggu keselesaan pengunjung Bazar Mara dan kedai makan berhampiran.

“Saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuang sampah di kawasan terbabit,” katanya, di sini, semalam.

Seorang pengguna jalan raya, Abdul Kadir Hamid, 56, berkata, dia kecewa dengan sikap sesetengah penduduk yang membuang sampah di tepi jalan.

Menurutnya, masalah itu secara tidak langsung memberi imej negatif kepada pekan Sungai Koyan yang juga merupakan laluan utama pelancong untuk ke Cameron Highlands.

“Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penduduk menyebabkan pekan Sungai Koyan tercemar dengan masalah sampah dilonggokkan di merata-rata tempat.

“Saya berharap penduduk dapat menjaga kebersihan kerana kawasan ini merupakan antara lokasi transit pelancong sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands. Jika kawasan sekitar bersih, maka kita akan lebih sihat,” katanya.

sinar harian/-

Dua kali permohonan ditolak

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KG BARU PANGSENAM (Temerloh) - Seorang anak berharap permohonan ibu dan adik lelakinya untuk mendapatkan bantuan di bawah program e-Kasih mendapat perhatian pihak berkaitan.

Abdul Sulan Mohamad Nor, 60, berkata, mereka sudah mengemukakan permohonan sebanyak dua kali untuk mengganti dan membaiki atap serta dinding rumah yang kian mereput itu.

Menurutnya, permohonan pertama dibuat atas nama ibunya, Ropiah Mat Aali, 74, dan permohonan kedua pula atas nama adik lelakinya, namun kedua-duanya ditolak.

"Rumah usang itu didiami adik saya yang tidak bekerja kerana sakit. Ibu pula kian uzur dan kini dijaga seorang lagi adik yang tinggal bersebelahan rumah terbabit.

“Penglihatan ibu semakin kurang menyebabkan kami terpaksa membawanya ke rumah adik. Namun, dia tidak mahu dan ingin tinggal di rumahnya sendiri sedangkan kami bimbang jika berlaku sesuatu padanya,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Sulan berharap permohonan ibu dan adiknya mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan.

“Keadaan rumah ini sangat daif menyebabkan kami tidak mahu ibu tinggal di situ. Oleh itu, kalau dapat bantuan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), itu lebih baik,” katanya.

sinar harian/-

Gesa tukar 'Pakcik' warden suka menghendap

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA NERANG - Susulan laporan mengenai dakwaan penghuni sebuah asrama anak-anak yatim dan miskin dicabul oleh warden, timbul desakan agar pihak pengurusan asrama segera menggantikan kakitangan itu dengan orang lain.

Salah seorang penghuni asrama berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Liya (bukan nama sebenar, ketika ditemui Sinar Harian semalam, berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi
penghuni di asrama berkenaan.

Menurutnya, warden berkenaan mula bertugas di situ menggantikan warden sebelumnya, sekitar tahun 2007. Sikap warden yang hanya digelar ‘pakcik’ itu sudah mula menimbulkan rasa kurang
selesa di kalangan penghuni asrama berkenaan.

“Mana tidaknya, pakcik dan keluarganya tinggal berhampiran asrama kami namun tugas pakcik lebih kepada menjaga penghuni puteri manakala tugas isterinya, makcik pula menjaga penghuni lelaki.

“Saya sendiri pelik kenapa tidak makcik sahaja yang menjaga penghuni puteri, sudah tentu kami lebih berasa selesa.

Namun tiada tempat untuk kami mengadu mengenai perkara itu, apatah lagi apabila pihak pengurusan dilihat asyik menyokong pakcik,” katanya.

Liya berkata, berikutan keadaan tidak selesa yang mulai membelenggu mereka, masing-masing berbincang sesama sendiri dari saling mengingatkan agar tidak pergi ke mana-mana, khususnya pada waktu malam secara bersendirian.

“Sebelum timbul kes cabul ini lagi, banyak perkara yang kurang menyenangkan berlaku antaranya tindakan pakcik masuk ke bilik air puteri dengan membawa rotan ketika kami sedang mandi pada waktu siang.

“Sebab itu, saya dan penghuni lain di asrama itu berharap sangat agar warden dapat ditukar. Kami selesa dan gembira tinggal di situ, malah dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran namun kehadiran warden ini memang membuatkan kami berasa tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Liya turut mendakwa menyaksikan kelakuan pakcik yang bertindak memeluk dan mencium salah seorang penghuni puteri di asrama itu.

Selain pengakuan daripada Liya, seorang lagi penghuni rumah berkenaan, berusia lingkungan 16 tahun, turut tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang mengenai satu lagi kes cabul.

Mengikut laporan polis yang dibuat kira-kira jam 12.25 tengah hari, 2 Julai lalu, penghuni terbabit mengaku pernah dicabul ketika berusia 11 tahun.

“Saya dipeluk tanpa kerelaan. Kawan-kawan saya juga ada yang kena. Malah kami pernah dimarahinya (warden) dengan kata-kata lucah apabila mengadu kepada orang kampung bahawa dia suka menghendap dan mencabul penghuni puteri.

“Laporan ini saya buat agar polis dapat mengambil tindakan tegas terhadapnya,” katanya.

sinar harian/-

PAS Wilayah ajak rakyat ke Himpunan Hijau 14 Julai

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyeru rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat supaya hadir ke Himpunan Hijau pada 14 Julai ini.

Setiausahanya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, Himpunan Hijau itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Munajat Perdana Umat Islam Kuala Lumpur diiringi dengan pidato pembakar semangat oleh pimpinan PAS Pusat serta tokoh-tokoh yang dijemput hadir.

Katanya, PAS WP ingin mengingatkan peserta-peserta agar memakai baju Hijau sebagai warna konsep program di samping membawa sejadah masing-masing serta berwuduk bagi menyertai Munajat selepas Maghrib nanti.

Beliau berkata, PAS WP akan membariskan pemimpin tertinggi antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan Mazlan Aliman ( AJK PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia) serta Vincent Lee selaku Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selain itu, PAS WP juga menjemput tokoh-tokoh yang telah menyertai PAS seperti Datuk Adnan Ibrahim, bekas Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Ramli Buyung (Naib Presiden Kanan Felcra Bhd), Abdullah Ali (lagenda bolasepak negara), Kamal Bachaa (bekas Ahli MKT PPP) serta Cikgu Nazri Nordin (bekas AJK Umno Bahagian Gopeng).

Beliau menambah, bagi warga Kuala Lumpur khususnya ahli dan penyokong-penyokong PAS, Himpunan Hijau sebagai penyuntik semangat bagi menghadapi PRU13.

Menurutnya, tiga buah parlimen yang diamanahkan untuk PAS bertanding, iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan menjadi asas kekuatan PAS di Kuala Lumpur ini.

Katanya, Putrajaya bukan lagi sebuah kawasan selamat bagi Umno kerana ia boleh runtuh bila-bila masa ditawan PAS manakala Labuan pula akan mencatat sejarah menjadi pertarungan paling sengit dalam PRU13 kelak manakala Titiwangsa, satu-satunya Parlimen yang dimenangi oleh PAS, menjadi benteng penting untuk dipertahankan kemenangannya.

“Himpunan Hijau PAS WP kali ini diadakan di ambang Ramadhan bagi memperkukuh tarbiyah dan keimanan umat Islam menghadapi bulan penuh rahmat ini,” ujarnya.

Di samping itu, tambah beliau momentum himpunan itu menjadi azimat dan bekal semangat buat semua rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan nanti bagi membuat perubahan dalam PRU13.

Ujarnya, warga Kuala Lumpur adalah ejen perubahan paling penting bagi melatari landskap politik negara ini.

“Perubahan penting pasca PRU13 nanti dimulai dengan ‘tsunami politik’ warga Kuala Lumpur nanti, dan akan diikuti oleh negeri-negeri lain seluruhnya, Insya Allah,” katanya.

harakahdaily/-

Kereta hampir putus

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR: Mengerikan apabila kereta Perodua Kancil dinaiki dua guru remuk teruk, malah hampir putus dua apabila kenderaan itu bertembung sebuah kereta di Jalan Ipoh-Gerik, berhampiran Kuari Pecah Batu, di sini, menyebabkan seorang daripada guru terbabit maut manakala rakannya parah, kelmarin.

Kejadian berlaku apabila kereta di naiki guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJC) Kota Tampan itu gagal mengelak sebuah kereta Nissan Cefiro yang memasuki laluannya menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.

Dalam kejadian pada jam 9.15 itu, mangsa dikenali sebagai Bang Kah Hin, 30, dari Kulim, Kedah maut akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala rakannya, Chua Hui Thean, 29, parah.

Sementara itu, pemandu sebuah kereta satu lagi yang berusia 44 tahun parah dan dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK).

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, siasatan mendapati dua guru berkenaan dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi pasar malam di Highland Park, di sini.

“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

metro/-

Benarkah Najib Demokrat Palsu?

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

Setelah disenaraikan dalam kelompok “aukokrat baru” dalam sebuah makalah berjodol “A 21st-century checklist of the new autocrats”, penulisan Mark Mackinnon (terbitan: Jun, Globe and Mail) itu juga mengkategorikan Perdana Mentrei Najib Razak dalam ketegori “Democrat Palsu” atau “False Democrat”.

Tersenarai juga ialah Presiden Russia Vladimir Putin, Palestinian President Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika, Perdana Menteri Ethiopian Meles Zenawi, PM Cambodia Hun Send dan tidak ketinggalan PM Malaysia Najib Razak. Bekas ahli kelab dikatakan terdiri dari Slobodan Milosevic dan Hosni Mubarak.

Ciri utama kelayakan dalam kelab ini ialah: Pimpinan ini menganjurkan pilihanraya tetapi tidak bersedia untuk melepaskan kuasa sementara menahan serta memenjarakan seteru politik dari pembangkang.

Meskipun pun demokrasi yang mereka amalkan itu palsu dan tempang, tetap pimpinan demokrat palsu ini boleh diturunkan rakyat dalam ruang media dan demokrasi yang sempit itu.

Di ambang pilihanraya ke-13 yang sangat mencabar buat Najib dan Barisan Nasional, telahan dan “title” barunya tentunya tidak membantu. Sejarah rampasan kuasa di DUN Perak masih segar dalam ingatan umum. Najib wajar mengeluarkan kenyataan bagi membuktkan kesediaan beliau bertarung secara “gentleman” dan seandainya kecundang akan berani berundur secara terhormat sebagai seorang “negarawan” yang disanjung.

Komitmen beliau ke arah ini belum tampak lagi. Sebaliknya segala perhitungan menundakan pembubaran parlimen ditanggapi rakyat sebagai perhitungan licik untuk mengekalkan kuasa. Lebih ngeri lagi apabila rakyat diingatkan dengan retoriknya dengan “biar berkecai tulang dan badan, bercerai jasad dan nyawa Putarjaya tetap akan kita pertahankan”.Komitmen beliau memberikan suara ‘semak-imbang’ dan ‘pertentangan legitimate’ dari pihak pembangkang dan pihak sivil-NGO adalah kunci kepada kayu ukor seorang democrat tulen. Beliau gagal dalam menangani tuntutan dan desakan contohnya BERSIH, Anti-Lynas dan GMI. Kesemua adalah tuntutan yang ‘legitimate’. Beliau tidak perlu teralu gusar bahkan wajar mengurus desakan ini secara ‘engagement’ yang konstruktif bahkan boleh bersekali dalam menganjurkan ‘reformasi’ yang dipinta rakyat.

Paling jelas kes GMI – Gerakan Mansuhkan ISA. Bertahun-tahun mereka berjuang. Setelah komitmen awal Najib menamatkan undang-undang drakonian, akhirnya ISA dimansuhkan. GMI dan rakyat bersyukur dan berterima kasih. Belum sempat rakyat dan khasnya mangsa memaafkan kesilapan regim yang menganiaya mereka, pentadbiran Najib merangka Akta Kesalahan Keselamatan 2012 yang lebih zalim dan drakonian.

Terkini, setelah didesak untuk 45 tahanan ISA dibebas atau dihadapkan ke mahkamah, Najib membuktikan bahawa beliau tidak sebenar melalui ‘reformasi minda’ sebenar. Beliau masih buat-buat pekak terhadap 9 orang tehanan yang telah mogok lapar selama berbalas hari. GMI kembali kecewa dan rakyat terus bingung dengan sikap Najib. Lebih mengejutkan bahawa beliau mengaku ISA dimansuh kerana tidak lagi memberi pulangan politik kepadanya, sebaliknya kepada tahanan. Apakah jiwa demokrat palsu terselak dan terdedah?

Bagitu juga halnya dalam ‘transformasi ekonomi dan pentadbiran’. Najib memaparkan dirinya sangat mahukan matlamat GTP atau ‘Program Transformasi Kerajaan’ tercapai, tetapi melakukan segala yang sebaliknya contohnya dalam komitmen kepada ‘tender terbuka’ sebagai lambang kepada ‘ketelusan dan kebertanggungjawaban’ sebuah kerajaan.

Terkini ialah pemberian kontrak dalam LRT-Ampang mengulangi keburukan amalan kronisme dalam pemberian kontrak LRT Kelana Jaya dua tahun lalu.

Kalau dulu Ingress-Balfour Betty tidak diberikan walaupun telah ditetap oleh Prasarana (SPNB) sebagai yang termurah (RM610 juta) dan punya pengalaman teknikal yang baik. Berulang lagi pemberian kontrak (RM960 juta) yang dikatakan akan diberikan juga kepada Konsortium George Kent yang jelasnya memperolehi markah terendah dalam penilaian teknikal dan gagal di dalam penilaian kewangan. Berbanding 7 pembida, George Kent jauh terkebelakang bukan sahaja di segi berpengalaman teknikal tetapi juga keupayaan kewangan kerana yang lain, ada telah siapkan projek menjangkaui RM5 bilion. Sangat malang.

Najib menangguhkan pembubaran parlimen tentunya untuk memberikan ruang kepada pentadbiranya untuk membaikki imej dan ‘approval rating’nya di kacamata rakyat dan pengundi. Berapa banyak lagi program ‘bela rakyat’ yang terpaksa dilakukan sebelum beliau berani bubar parlimen?

Demokrat tulen punya batasan dalam memberi ‘hadiah’ yang tidak menjejaskan ‘reformasi ekonomi jangka jauh’ yang diperlukan negara. Pemberian runcit-runcit tidak mengizinkan rakyat hidup bermaruah bahkan sebaliknya terus meminta-minta dan menanti-nanti. Apakah ini yang mahu dibina oleh seorang pemimpin demokrat dan negarawan tulen?

Sebaliknya semakin lewat beliau tangguh PRU ke-13 semakin ketara bahawa beliau tidak punya komitmen untuk membawa reformasi dan transformasi negara ini ke arah satu prestasi daya-saing yang tinggi dan mengangkat pendapatan rakyat dengan lebih mapan. Tegasnya beliau hanya mahu terus kekal berkuasa.

Kalau begitu, sukar hendak ditolak dakwaan bahawa Najib adalah seorang Demokrat Palsu!

harakahdaily/-

Indonesia beri IMF pinjaman RM3.2 bilion

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Indonesia mengesahkan akan memberi pinjaman AS$1 bilion (RM3.2 bilion) kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas kata sepakat dicapai dalam perbincangan antara Pengerusi IMF, Christine Lagarde dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, semalam.

Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa mengesahkan, pinjaman dalam bentuk bon itu dibuat daripada dana Bank Indonesia dan bukannya dari peruntukan negara.

"Kami mengenakan syarat, bahawa IMF perlu menyalurkan bantuan ini dengan tidak mengehadkan kepada zon Eropah sahaja, bantuan perlu disalurkan juga kepada negara Asia dan Afrika," katanya.

Manakala, Gabenor Bank Indonesia, Darmin Nasution yang turut terlibat dalam perbincangan terbabit mengesahkan bank pusat akan membeli bon IMF yang dilihat sebagai deposit kukuh dan kekal sebagai rizab negara.

Beliau berkata, IMF kini mempunyai dana AS$436 bilion (RM1.4 trilion) dan bantuan dana dari Indonesia itu hanya akan digunakan sekiranya jumlah dana IMF berkurang kepada AS$100 bilion (RM318 bilion).

"Kebarangkalian dana IMF menyusut amat tipis, kami yakin pinjaman yang diberikan oleh negara ini mungkin tidak akan digunakan," katanya.

Sementara itu, Lagarde berkata, 188 negara anggota IMF kini diambang krisis ekonomi yang serius dan memberi kesan teruk kepada negara berpendapatan rendah.

sinar harian/-

Calon PAS bertanding di Mukah?

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS berkemungkinan besar akan meletakkan calonnya di P.213 Parlimen Mukah, Sarawak pada pilihan raya umum ke-13.

Untuk tujuan itu, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPPP) menghantar tiga wakil kawasan pembantu bagi memperkemas jentera di kawasan tersebut bermula 2 hingga 6 Julai lalu.

Mereka terdiri daripada Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad (gambar bawah), timbalan Pesuruhjaya Melaka, Bahiki Islamil dan timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Rosidi Husain.

Menurut Mohamad Nor, dua orang dilantik sebagai pengarah pilihan raya di Dun Balingian dan Dun Dalat.

"PAS sudah bertemu dengan pimpinan DAP Mukah tapi belum berkesempatan bertemu pimpinan PKR. Tapi akan ada lawatan susulan selepas ini dan kita akan bertemu dengan kedua-dua pemimpin parti ini," kata beliau kepada harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, PAS Mukah juga sudah mula mengadakan program kemasyarakatan melibatkan semua kaum.

70 peratus penduduk Parlimen Mukah terdiri daripada Melayu, 20 peratus Cina dan 10 peratus kaum-kaum lain.

"Berdasarkan tinjauan, PAS mendapat sambutan memberangsangkan di sana dan berpeluang mendapat sokongan yang kuat dariapda mereka pada pilihan raya akan datang," katanya.

Menyentuh soal calon pula, Mohamad Nor berkata, PAS Sarawak sudah menghantar beberapa nama ke pusat berdasarkan kesesuaian dengan kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS mempunyai peluang besar untuk menang jika meletakkan calon yang berwibawa dan dikenali.

Ini kerana katanya, Ahli Parlimen BN Mukah, Datuk Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad dikatakan mempunyai sedikit masalah dengan penduduk beragama Kristian.

"Kalau BN kekalkan calon, kita ada harapan untuk menang dengan syarat PAS meletakkan calon yang berwibawa," katanya.

harakahdaily/-

Bashar rancang tamatkan konflik

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

IMEJ yang dimuat naik dari laman YouTube pada 9 Julai lalu menunjukkan asap akibat pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak kelihatan di wilayah Daraa.Bashar(gambar kecil)

GENEVA - Presiden Syria, Bashar Al-Assad bercadang untuk menamatkan konflik di Syria secara berperingkat bermula dengan beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk, kata Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab ke Syria, Kofi Annan pada satu sidang media di Teheran, Iran semalam.

"Beliau membuat cadangan melalui pendekatan bermula di beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk dengan mengekang keganasan di semua lokasi tersebut dan menamatkan keganasan di seluruh negara," kata Annan, menurut teks PBB.

Bekas Setiausaha Agung PBB itu enggan memberikan butiran lanjut tetapi memberitahu, pelan Bashar perlu dibincangkan bersama pihak pemberontak Syria.

Pada sidang media yang sama, Annan mengulangi pandangannya bahawa Iran boleh memainkan peranan positif dalam mencari penyelesaian politik di Syria.

Satu pertemuan antara kuasa besar dunia di Geneva pada 30 Jun lalu menegaskan bahawa elemen ketenteraan dalam konflik tersebut tidak akan diteruskan.

"Ia bermakna kita perlu mencari satu penyelesaian damai dan tidak lagi membekalkan senjata kepada pihak-pihak terlibat dalam konflik di Syria," jelas Annan.

Annan kemudian tiba di Iraq semalam dalam misi kunjungan ke negara-negara sekutu Syria di Asia Barat.

Jurucakap pemerintah Iraq, Ali Al-Dabbagh berkata, Annan akan menemui Perdana Menteri, Nouri Al-Maliki bagi membincangkan kaedah sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.

Ali memberitahu, Baghdad merancang untuk menawarkan beberapa jalan penyelesaian bagi menamatkan pergolakan di negara itu yang berlanjutan sejak 16 bulan lalu.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut.

Annan cuba mendapatkan sokongan sekutu-sekutu Damsyik untuk menyelamatkan pelan damainya yang kini menemui kebuntuan bagi menamatkan keganasan di Syria.

Beberapa aktivis memberitahu, pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahanya di Syria telah meragut nyawa lebih 17,000 orang setakat ini. - Agensi

Perlabuhan Tok Bali hasil inisiatif Sultan - Husam

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

(Mohamad Sabu lancar kutipan dana Lebuhraya Rakyat di Taman Melewar)

KUALA LUMPUR: Dengan inisiatif Tuanku Sultan Kelantan, Kelantan kini mempunyai sebuah perlabuhan yang baik iaitu Perlabuhan Tok Bali.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dalam ucapannya dekat sini berkata, kini Kelantan mengeksport 40,000 ton besi seminggu ke China melalui perlabuhan ini.

"Insya Alllah sebulan lagi, kadar ini akan meningkat kepada 100,000 ton seminggu," kata Husam yang juga Naib Presiden PAS.

Husam berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran kutipan dana Lebuhraya Rakyat di Dewan KUIZM, Taman Melewar baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dengan disertai oleh para seniman dan artis yang bersama PAS.

Antara yang ada di majlis itu adalah Datuk A Samad Said, Dinsman, Hairie Hashim dan lain-lain.

Dinsman dan Hairie (gambar) telah turun dari pentas dan membawa uncang wang untuk memungut sumbangan dari orang ramai.

3 projek mega

Menurut Husam, kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyenaraikan tiga projek besar untuk dilaksanakan di negeri itu namun ditolak oleh Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

Projek itu adalah menaikkan taraf lapangan terbang yang ada ke taraf antarabangsa, membuat spine road atau jalan tulang belakang di Kelantan dan perlabuhan.

"Ketiga-tiganya ditolak oleh Tun Dr Mahathir. Tetapi atas inisiatif Tuanku Sultan Kelantan, Perlabuhan Tok Bali berjaya dibina," kata Husam.

(Tuanku Sultan Kelantan [pemandu jentera] ketika majlis pecah tanah Perlabuhan Tok Bali 29 Mac lalu)

Menurut Husam, Kelantan negeri kecil sahaja untuk membebaskan dirinya sendiri tetapi ia cukup besar untuk membebaskan ummah dari kongkongan.

Lebuhraya Rakyat, menurut Husam akan mempunyai dana yang cukup untuk pembinaannya kalau kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk membinanya.

Husam juga berkata, dia ditanya bagaimana Kelantan mahu menyelenggarakan lebuhraya ini setelah siap nanti kerana belanjanya juga tentu besar.

Husam menjelaskan, antaranya dengan mengenakan caj tertentu kepada lori-lori besi yang hendak ke Tok Bali yang akan melalui lebuhraya rakyat ini.

"Insya Allah penyelenggaraan kita selesai dengan caj ini. Dengan itu, rakyat yang marhain bolehlah melaluinya dengan percuma," kata Husam.

Husam juga berkata, kenapa kutip derma untuk pembinaan lebuhraya ini?

"Kenapa wakaf dikutip kalau dah ada cara-cara pembiayaannya?

"Kita kutip wakaf kerana nakkan lebuhraya ini tidak sama dengan lebuhraya Plus.

"Kita nak sambungkan lebuhraya ini ke akhirat juga," jelas Husam.

harakahdaily/-

Seksaan jam 2 pagi

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga yatim piatu didakwa diperlakukan seperti ‘hamba abdi’ oleh ibu dan bapa saudaranya sejak sebulan lalu.

Kanak-kanak itu mendakwa dia bukan saja dipaksa bangun tidur seawal jam 2 pagi untuk melakukan pelbagai kerja rumah seperti mengemas dan mencuci pakaian serta tandas, malah jika enggan atau lewat berbuat demikian dia ditampar, diterajang serta dipukul dengan penyangkut baju serta rotan.

Bagaimanapun, penderitaan kanak-kanak berkenaan yang didera pasangan suami isteri berusia 30-an itu berakhir jam 1.30 tengah hari kelmarin apabila diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mangsa menceritakan kejadian dia didera kepada guru di sekolahnya.

Sebaik menceritakan kejadian itu kepada gurunya yang kemudian memaklumkan kepada JKM, sepasukan anggota polis bergegas ke rumah pasangan terbabit di Bandar Mahkota, di sini, sebelum menahan kedua-dua mereka untuk siasatan lanjut.

Sumber polis berkata, rahsia penderitaan mangsa terbongkar selepas kanak-kanak itu mengadu kepada guru sekolahnya mengenai kekejaman ibu dan bapa saudaranya.

metro/-

Petani Pekan minta Najib dengar masalah mereka

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

PEKAN: “Tidak ada istimewanya berada di kawasan Perdana Menteri (PM) kerana nasib kami penanam padi tidak pernah dibela,” uah seorang penduduk Pahang Tua.

Md. Fadzir Bidin, 44, merupakan salah seorang daripada lebih 500 penanam padi di kampung Pahang Tua, Langgar dan Lamir di daerah ini yang pernah diisytiharkan sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang dahulu.

Projek seluas 1,226 ekar itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Pahang, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Menurut Fadzir yang juga ketua blog Melur, para petani di tiga kampung berkenaan banyak kali terpaksa menanggung kerugian akibat hasil rosak, kerana masalah mesin jentuai (jentera penuai padi), yang tidak dihantar tepat pada masanya.

Katanya, urusan jentuai di bawah kendalian Pasfa namun sering kali menimbulkan masalah mengakibatkan hasil pendapatan petani merosot sehingga 50 peratus.

“Umpamanya pada musim lalu petani di Pahang Tua sahaja telah kerugian tidak kurang daripada RM84,000. Biasanya dalam satu ekar mereka dapat dua tan kalau jadi seperti ini hasil pendapatan merosot sehingga 50 peratus.

“Masalah seperti ini bukannya baru tetapi sudah berlarutan sejak 10 tahun, kenapa jadi begini sehingga tidak membuat perkiraan awal membawa masuk mesin-mesin ini oleh Pasfa.

“Selain mesin sistem perairan juga menimbulkan banyak masalahtan juga banyak masalah, pembajakan tanah paya pula tidak sempurna di samping kelewatan barang subsidi seperti baja dan racun,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurut Fadzir, selain sering membuat laporan kepada agensi berkenaan perkara tersebut juga sudah banyak kali diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Peramujaya namun tiada tindakan diambil. Mereka juga sudah menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Pekan namun masih tiada tindakan penyelesaian.

“Harapan kami kalau boleh Najib turun-turunlah dengar masalah petani di sini. Ini semua saudara mara waris dia belaka. Walaupun kami pengundi dia tapi nak mengadu secara langsung tak pernah dapat kerana banyak sangat birokrasi. Ketua kampung dan wakil rakyat juga tidak menyampaikan masalah kami dengan jujur.

“Masalah dibiar berlarutan seperti inilah yang membuatkan Najib hampir kalah dalam PRU 1999. Jadi eloklah Najib datang lunaskan slogan pemerintahannya iaitu Rakyat didahulukan, Janji ditepati dan YB turun padang,” tegasnya.

Seorang petani lagi, Wan Zulbazlan Wan Nasir, 38, berkata sudah tiga orang Menteri Pertanian yang datang ke kampung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Effandi Norwawi dan Datuk Seri Noh Omar lalu mengumumkan kawasan tersebut sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang oleh Kementerian Pertanian dan kerajaan negeri Pahang sebagai Jelapang Padi negeri.

Katanya, kerajaan juga sudah mengumumkan suntikan sebanyak RM30 juta tetapi sehingga kini tidak nampak menguntungkan petani dan nasib mereka tidak berubah.

“Satu lot paya petani bersamaan dua ekar. Kos RM700 seekar jadi RM1,400. Harga padi RM1,150 setan. Pada masa ini petani sudah boleh mengusahakan padi dua kali setahun, jadi sepatutnya sudah boleh menjadi sumber pendapatan utama,” katanya.

Isrulnizam Yusof, 30, pula berkata mereka mengadu ialah untuk menjaga undi Najib juga sebab itu harap Najib selepas berlegar menabur janji seluruh negara, sesekali turunlah ke kampung asalnya menjenguk masalah penanam padi di sini biar jabatan kerajaan memberi perkhidmatan lebih baik.

harakahdaily/-

Fokus Parlimen Jerantut: PR sedia tawan Jerantut

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

JERANTUT - Pakatan Rakyat (PR) Jerantut meletakkan keyakinan tinggi untuk memberi sangat sengit pada PRU 13 kelak, ditambah hasrat pengunduran Tengku Azlan antara yang memberi laluan dan harapan cerah parti lawan untuk menang.

Pengerusi PR Jerantut, Dr Hamzah Jaaffar berkata, bagi kesemua kerusi Dun dan Parlimen Jerantut, muka-muka baru akan diletakkan sebagai calon bertanding kelak, yang terdiri daripada kepimpinan muda.

Menurutnya, pemilihan kepimpinan muda dilakukan berikutan sokongan pengundi muda khususnya saluran 3 dan 4 memberangsangkan, dan membuktikan keyakinan mereka kepada PR dan Pas Kawasan Jerantut.

“PR melihat PRU 13 mempunyai peluang cerah untuk menawan kerusi Parlimen Jerantut, kerana gelombang perubahan pemikiran rakyat yang mahukan pembaharuan sedang giat berlaku.

“Senario politik kini memperlihatkan gelombang perubahan ini dizahirkan di seluruh kerusi parlimen dalam negara ini, khususnya kalangan pengundi muda yang menuntut pelbagai perubahan dan pembaharuan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, sekiranya Parlimen Jerantut juga meletakkan calon muda mewakili BN kelak, ia tetap tidak menggugat Pas dan PR, berikutan rakyat sememangnya sudah bosan dengan BN.

Menurutnya, PR Jerantut sendiri antara yang bakal memberikan saingan sengit mendepani PRU 13 kelak, serta memastikan beroleh kemenangan walau tidak pada keseluruhan Parlimen, tetapi pada kerusi Dun yang disasarkan.

“Senario perubahan pucuk pimpinan dalam Umno Jerantut juga memberi kelebihan kepada kita, justeru komponen PR di sini tidak akan membiarkan BN menang selesa di Parlimen Jerantut. Kita juga sudah menghantar senarai pencalonan kepada pusat untuk dipertimbangkan, dan pastinya bagi berdepan cabaran BN, kita juga menggunakan sifir yang sama iaitu meletakkan kepimpinan muda sejajar dengan perubahan dimahukan akar umbi,” katanya.

Dr. Hamzah berkata, kerusi Dun Damak dan Dun Tahan antara yang memberi harapan cerah untuk PR tawan.

Menurutnya, PR Jerantut menyerahkan kepada pusat untuk menentu dan menyaring calon bagi diletakkan untuk bertanding di kerusi Dun Damak, namun yang pasti bagi PRU 13 kali ini percaturannya adalah menentang secara dua penjuru.

“Arus perubahan dan selera pengundi antara yang semakin ketara memberikan gambaran awal PR boleh menang besar.

"Walau kita berdepan halangan penyampaian maklumat penyelewengan Umno kepada pengundi saluran satu dan dua, namun PR berpuas hati kerana penyampaian maklumat dan kesedaran dapat diberikan kepada saluran muda yang celik IT, serta berpihak kepada PR,” katanya.

Dr. Hamzah berkata, PR Jerantut optimis bakal memenangi salah satu kerusi pada PRU 13 kali ini, ditambah peneroka di tanah rancangan Felda sendiri bukan lagi kubu kuat BN berikutan pelbagai isu berbangkit tidak selesai yang memberikan tamparan kepada peneroka.

“Kita gembira kerana sokongan kaum Cina kepada PR semakin meningkat menerusi pertambahan cawangan Dap , selain Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) turut dapat menarik lebih ramai kaum India bersama PR.

“Begitu juga bagi masyarakat Melayu dan orang asli yang turut menolak BN serta berpihak kepada PR,” katanya.

Dr Hamzah juga turut mengesahkan bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Jerantut kelak menentang BN, manakala Pengarah Operasi Bagi Dun Pulau Tawar, Yohanis Ahmad dan Alif Faizal dari ANAK, dicalonkan untuk kerusi Dun Pulau Tawar.

Bagi kerusi Dun Tahan, PR Jerantut menyenaraikan dua pencalonan iaitu Pengarah Operasi Dun Tahan, Zakuan Ahmad Badarudin dan beliau sendiri, untuk bertanding mewakili Pas di kawasan berkenaan.

sinar harian/-

Kalau pejabat PM tak selamat, tempat lain...

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat kejadian amuk yang berlaku di depan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam sebagai satu manifestasi ketidakamanan yang berlaku di negara kita ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang penganggur lelaki telah mati ditembak anggota polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.

“Tragedi amuk di depan JPM ini dilihat benar-benar mencalar kredibiliti Najib kerana ianya berlaku di kawasan pejabat beliau sendiri,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad.

Ini, ujarnya ditambah dengan pengumuman "3K Berkembar" iaitu Keamanan dan Keselamatan, Kestabilan dan Keharmonian serta Kemakmuran dan Kemajuan oleh Najib di Bandar Baru Bangi sehari sebelum tragedi itu.

“Dengan kejadian amuk ini, maka timbul persoalan di benak fikiran rakyat Malaysia, di manakah keamanan, keselamatan dan kestabilan yang dimomokkan oleh Najib?” ujarnya.

Ini, kerana katanya Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

Di sana juga, ujar Kamaruzaman terletaknya penginapan bagi para penjawat awam yang bekerja di Putrajaya.

“Sekiranya Jabatan Perdana Menteri yang terkenal dengan sistem keselamatan yang ketat pun tidak selamat, bagaimana pula dengan jaminan keselamatan di tempat-tempat lain?” tanya beliau lagi.

Justeru, kata beliau jaminan keselamatan dan keamanan dilihat hanyalah ungkapan kosong semata-mata.

Tambahnya, DPPWP juga melihat status keselamatan negara yang kian samar apabila polis yang dilihat sebagai penjaga keamanan turut dijadikan sebagai tebusan oleh lelaki tersebut yang hanya bersenjatakan pedang samurai sahaja.

Ini, ujarnya sekaligus menunjukkan bahawa betapa lemahnya kaedah sistem keselamatan yang terdapat di Jabatan Perdana Menteri tersebut.

Justeru, katanya DPPWP menyifatkan pengumuman 3K Berkembar Najib tidak lain hanyalah omongan kosong demi menutup kelemahan kerajaan Umno BN dan ianya dilihat sebagai strategi kuno Umno BN untuk memancing undi semata-mata.

“Namun begitu, syabas diucapkan kepada pihak polis yang masih mampu menangani tragedi amuk ini walaupun terpaksa melepaskan beberapa das tembakan,” katanya.

harakahdaily/-

Presiden PAS ke Mesir raikan kejayaan Ikhwan

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

(Ustaz Hadi dan rombongan berbincang dengan Dr Musa di pejabatnya dekat Kaherah)

KAHERAH: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta rombongan tiba di Mesir hari ini dalam rangka lawatan rasmi beliau selepas perubahan tampuk kepimpinan baru di bawah Presiden, Mohammed Mursi.

Beliau tiba di sini kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dan bakal melalui jadual yang sangat padat sepanjang dua hari berada di sini.

Turut mengiringi beliau adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Lawatan beliau yang pernah belajar di Mesir sehingga ke peringkat master sebelum ini antara lain bagi meninjau perkembangan yang sedang berlaku di sini.

Rombongan presiden juga dijangka bertemu pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang beliau sertai serta pimpinan parti politik Freedom and Justice Party (FJP) yang menguasai kerusi parlimen Mesir selepas pilihan raya lalu.

Dalam program pertamanya hari ini, Tuan Guru Abdul Hadi turut diraikan dalam satu pertemuan dengan Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Hamas di pejabat pergerakan itu yang terletak di pinggir bandar Kaherah di sini.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Fraksi Parlimen Hamas di Gaza Dr. Khalil Al Heyya.

(Berbincang dengan Dr Musa, Hamas)

Selain bertukar-tukar pandangan, pertemuan hampir sejam itu antara lain turut membincangkan soal perkembangan semasa yang sedang berlaku di Timur Tengah serta perkembang di bumi Palestin.

Dalam program lain hari ini, Tuan Guru juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif petang ini waktu tempatan.

Presiden juga dijadual menghadiri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini malam ini.

harakahdaily/-

Jiran terkejut tindakan Khalil Afandi

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – “Sebulan yang lalu arwah Khalil ada datang ke rumah bersama isteri dan anaknya bertanya khabar kami sekeluarga, dia salam banyak kali dengan saya, percakapannya agak laju dan sukar difahami,” kata jiran arwah Khalil, Sahak Mat Dan, 60.

Menurutnya, Khalil tidak bercakap apa-apa mengenai aktivitinya.

“Dia lahir dan membesar di Kampung Lindungan sebelum berpindah ke sini (Taman Lindungan Jaya) sejak berkahwin dia tinggal di Puchong dan sejak itu kami jarang bertemu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita dia ditembak mati polis kerana mengamuk di Putrajaya sedangkan di sini dia terkenal dengan sifat lemah lembut dan menghormati orang tua,”katanya ketika ditemui di Taman Lindungan Jaya, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi jirannya Hashim Abdullah, 64, berkata, sejak ibunya meninggal dunia pada tahun 2008 rumah itu dihuni oleh salah seorang adik lelakinya.

Menurut Hashim, arwah Khalil juga sempat bertemunya ketika datang ke situ sebulan yang lalu.

“Dia tidak cakap apa-apa cuma tanya sihat ke tidak, itu sahaja dan dia kelihatan ceria,” katanya.

Difahamkan arwah Khalil merupakan anak ketiga dari enam beradik seorang berperwatakan periang dan mudah digauli.

Adik lelaki arwah ketika ditemui di rumahnya pula enggan mengulas lanjut apa yang berlaku.

Dalam kejadian 2.30 petang kelmarin, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan polis di tangan dan bahagian ari-ari manakala rakannya Muhdalina Adam, 28, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa

Malaysia, terkena tembakan di paha kanan selepas mengamuk di kompleks Pejabat Perdana Menteri.

sinar harian/-

Fail rayuan kes Anwar sudah dijangka

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat sudah dijangka.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin, tindakan rayuan itu sekali gus disifatkan sebagai rayuan terpilih.

Beliau juga percaya, kerajaan akan berterusan mengasak Anwar untuk memastikan Ketua Pembangkang itu tidak berada di pentas politik.

"Mereka akan asak Anwar dan mereka sanggup membuat rayuan walaupun Mahkamah Tinggi mendapati tidak ada bukti kukuh di mana ia tidak perlu lagi dilanjutkan kes itu," katanya kepada Harakahdaily.

Januari lalu, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Semalam, Ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Kamaluddin Md Said mengesahkan petisyen rayuan telah difailkan kelmarin.

Pihak Pendakwaan mempunyai sehingga hari ini untuk memfailkan rayuan selepas semua pihak telah memperolehi penghakiman bertulis oleh hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah.

Zabidin mengeluarkan penghakiman bertulis Isnin lalu dan pendakwaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan rayuan.

harakahdaily/-

Lelaki mengamuk di JPM rupanya pemuja Tun Mahathir

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KELMARIN seorang lelaki yang dikatakan kurang siuman bersenjatakan pedang samurai menyerang Jabatan Perdana Menteri, JPM bersama seorang wanita yang dipercayai isterinya.

Blogger Umno sehabis boleh cuba mengaitkan kejadian itu dengan Pakatan Rakyat terutama Parti Islam, PAS. Tambah lucu ada blogger Umno yang mendakwa memiliki bukti kukuh MiLo SuaM telah mengupah pejuang berani mati itu kah kah kah.

Namun hasil tinjauan di blog milik lelaki tersebut, mendapati dia merupakan seorang pemuja Tun Mahathir. Tulisan terakhir di blognya dilihat memberikan pujian melambung kepada Dr Mahathir sebaliknya mengutuk Tuan Guru Nik Aziz.

Dia memuji Tun Mahathir sebagai satu-satunya manusia berjiwa besar yang pernah ditemui sepanjang hidupnya. Malah setuju jika Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia [Jayanegara].

Dia nak puja Tun Mahathir, nak kutuk TG Nik Aziz bukanlah persoalan di sini, namun ia membuktikan bahawa lelaki ini bukan penyokong Pakatan Rakyat. Jika dia penyokong Pakatan Rakyat masakan mengutuk TG Nik Aziz dan memuja Tun Mahathir.

Jelas sekali blogger Umno terkantoi di situ, propaganda bodoh mereka akhirnya memakan diri. Kita tunggu apa pula respon mereka selepas ini.

harakahdaily/-