03 July 2012

Aktivis Royalti terus kempen walau dibelasah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Biarpun berdepan tentangan dari pihak tertentu sehingga beberapa aktivis Royalti cedera dipukul minggu lalu, Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) tetap meneruskan desakan dan kempen mereka.

Pada 7 Julai ini, satu lagi program yang dinamakan 'Berjalan untuk Royalti' akan diadakan pihak mereka.

Menurut setiausahanya Hisyamuddin Ghazali, program itu akan diadakan di sekitar Stesen Bas Bandar Kota Bharu termasuk Pasaraya Giant dan Pasar Siti Khadijah bermula jam 2 hingga 4 petang.

"Tujuan program ini dibuat kerana mahu mengumpulkan aktivis royalti dan menyebarkan maklumat kepada rakyat di negeri ini.

"Setakat ini kita tidak mendapat liputan yang baik dari media cetak mahupun media elektronik, dan kami terpaksa bertemu sendiri dengan masyarakat," katanya kepada harakahdaily.

Pada himpunan di hadapan pejabat SUK 26 Jun lalu, enam aktivis royalti cedera didakwa dipukul oleh pihak tertentu ketika bertembung dengan kumpulan NGO pro Umno Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Himpunan Royalti yang memakai logo 'R' untuk royalti, bertujuan menjunjung titah baginda Sultan Kelantan yang menyokong pendaratan minyak dan gas ke negeri itu.

Mengulas lanjut himpunan Sabtu ini, Hisyamuddin berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis untuk tujuan keselamatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hisyamuddin memberitahu pihak Royalti akan mendedahkan hasil kajian impak ekonomi Pendaratan Gas di Songkla, Thailand yang dijalankan mereka baru-baru ini.

Seramai 28 orang deligasi aktivis Royalti telah pergi ke negara Gajah Putih itu minggu lalu bagi melihat kesan sosio ekonomi kawasan yang terlibat dengan pendaratan petroleum itu.

"Di sana kita telah membuat kajian lapangan, kita bertemu masyarakat setempat, beberapa agensi kerajaan yang berkaitan serta pihak universiti di sana.

"Banyak penemuan-penemuan penting yang kita perolehi dan kita akan dedahkan dalam masa terdekat," katanya.

Harakah Daily

Blogger pro-Umno terus serang NST

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas menyerang Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Jalil Hamid ekoran berita dalam Berita Harian yang menyiarkan berita simpati kepada bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, blogger pro Umno tidak berpuas hati nampaknya.

(Gambar yang disiarkan blog pro-Umno ketika menyerang NST)

Hari ini, blog Unspinner itu menyerang Jalil lagi dengan berkata, serangan mereka kepadanya adalah serius, bukan main-main.

"Ia bukan sebarangan dan hanya teguran saja seperti di lembutkan Rocky Bru," tulis posting Unspinner hari ini.

Semalam, blogger ini menyiarkan berita yang menyerang Jalil ekoran laporan Berita Hairan yang menyiarkan kenyataan Tan Sri Abu Bakar Abdullah yang mendakwa beliau dipecat.

Jalil dituduh mensabotaj Perdana Menteri, Datuk Seri Najib apabila menyiarkan berita itu.

Serangan blogger Umno hari ini bukan terhenti terhadap Jalil sahaja bahkan ia dikaitkan dengan beberapa editor kanan dan wartawan NST yang dianggap mereka tidak wajar dikekalkan.

Antara sebab lama adalah sama seperti bekas Ketua Kumpulan Pengarang Datuk Zainul Ariffin masih mengekalkan orang-orang Kalimullah dan seolah-olah mengekalkan pemikiran Neo-Liberal atau Melayu Liberal dalam NST dan BH, tulis Unspinner.

Menurut sumber NST, serangan terhadap Lee Siew Lan yang merupakan isteri kepada Leslie Lau, salah seorang penggerak utama The Malaysian Insiders (TMI), adalah wartawan Business Desk di NST tidak berapa kena.

Ini kerana, Lee Siew Lan yang didakwa pembocor rahsia tegar NST ke TMI itu sudah tidak ada lagi di NST.

Turut diserang adalah Zubaidah Abu Bakar yang dianggap "Wartawan yang jelas-jelas pro PAS dan pembangkang."

"Syed Nazri pula apa perlu dikekalkan lagi? Dia hanya mengambil gaji buta dan tidak buat apa-apa? Bukankah lagi elok diangkat dan dinaikkan pangkat wartawan dari dalam.

"Dia pun adalah pembodek Kalimullah dahulu," tulis blogger itu yang turut menjadikan Syed Nazri sebagai sasaran.

Bertambah teruk lagi, kata blog itu, adalah Jalil Hamid membawa balik seorang kuat Kalimullah yang telah berhijrah ke Astro awani sebagai Editor-in-chief, Azizi Othman untuk jawatan Executive Editor Special Project.

"Special project apa itu? Project sabo PM ke?" soal blogger itu.

Menurut blog itu juga, Datuk Jamaludin Jarjis (JJ) yang kini dikatakan pengarah 'War Room' Najib, juga marah kepada Jalil Hamid.

"Satu lagi sebab ada berkaitan dengan kisah pembocoran kononnya pertemuan Datuk Dr Jamaluddin Jarjis dengan pasukan NST bahawa seolah-olah 5 perkara utama BN adalah Felda, NFC, AirAsia-MAS, gaji kakitangan kerajaan dan NFC.

"Difahamkan Jalil Hamid adalah orang yang membocor dan membuat cerita sedemikian hingga JJ menjadi marah," tulis blog itu lagi.

Itu sebab NST kini tidak membantu langsung peranan penerangan kerajaan dan komukasi politik Umno dan BN.

"Mereka hanya pelapor saja dan tidak dipercayai untuk menjalankan apa saja gerak gempur," tulis blog itu.

Harakah Daily

SBPA: Kenapa kambing hitamkan Abu Bakar?

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak seharusnya mengkambinghitamkan Tan Sri Abu Bakar Abdullah (gambar) ekoran kegagalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS.

Mahfuz berkata, adalah tidak adil untuk Perdana Menteri bertindak sedemikian memandangkan Abu Bakar hanya meneruskan pelaksanaan skim itu sebagaimana dipersetujui sebelum ini oleh kabinet.

"Kalau tindakan ke atas Abu Bakar ini kerana kegagalan SPBA yang menimbulkan krisis dan kontroversi, saya katakan ia satu tindakan yang tidak adil sama sekali," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Abu Bakar telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) lebih awal sebelum sampai tempoh umur 60 tahun selepas perlantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru.

Abu Bakar sebelum ini disebut-sebut bakal dilantik sebagai KSN kerana beliau adalah pegawai kerajaan paling kanan selepas KSN.

Mahfuz percaya jika ini boleh berlaku kepada seorang ketua pengarah apalah pula kepada 1.4 juta kakitangan awam yang menjadi mangsa politik kerajaan yang dalam keadaan tertentu akan berlepas tangan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, menuntut Perdana Menteri menjelaskan kewajaran pemecatan Abu Bakar yang seolah-olah dirahsiakan kerana beliau tidak mahu pentadbiran kerajaan memiliki pegawai tinggi yang bersikap 'yes man'.

Sehubungan itu, Mahfuz tidak menolak kerajaan menggunakan Perkara 49 Peraturan Pegawai awam dan Tatatertib (kelakuan dan tatatertib) untuk menamatkan perkhidmatan Abu Bakar.

"Saya ingin dapatkan penjelasan daripada kerajaan adakah benar berita tersebut, iaitu penamatan (tugas Abu Bakar) dibuat dengan menggunakan perkara 49," katanya.

Menurut Mahfuz, selepas dirujuk beberapa pihak, peraturan tersebut digunakan "atas keselamatan negara" di mana anggota perkhidmatan awam didakwa melakukan kegiatan yang dianggap "merugikan negara, subversif atau mengancam keselamatan negara".

"Kalau benar, kerajaan diminta memperjelaskan kepada 1.4 juta penjawat awam, apakah kegiatan jenayah yang dilakukan oleh Abu Bakar sehingga kerajaan menggunakan perkara 49 itu," kata Mahfuz.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa tidak menyatakan sebab-sebab perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan.

Berikutan kekosongan tersebut, Dr Ali berkata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd Ali akan menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuatkuasa semalam.

Spekulasi yang timbul di blog sebelum ini mengatakan bahawa Abu Bakar ditamatan perkhidmatan ekoran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Harakah Daily

FGV - Untungnya secupak, ruginya segantang

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Saham FGV (Felda Global Ventures) ditutup dengan harga RM5.39 semalam. Ini bermakna FGV telah mendapat kenaikan harga sebanyak 84 sen. Tahniah kepada sesiapa yang mendapat tawaran dengan jumlah yang besar yang telah dibahagi-bahagikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa baru-baru ini.

Jika Isa Samad misalnya mendapat 5 juta saham semasa penyenaraiannya maka Isa telah mendapat keuntungan sebanyak RM4 juta jika beliau menjualnya kepada pasaran hari semalam.

Tetapi yang saya hendak bertanya agaknya berapalah peneroka-penoroka dapat hasil dari penjualan 810 unit saham yang diheboh-hebohkan oleh pihak kerajaan itu? Jika mereka menjual saham-saham yang mereka beli melalui pinjaman bank itu, boleh ke tidak peneroka dapat membeli setidak-tidaknya sebuah kereta kancil ‘second hand’?

Seperti mana yang kita semua ketahui peneroka telah diperuntukkan sebanyak 810 unit saham sahaja bagi satu keluarga. Kalau dipatah-patahkan jari untuk membuat perkiraan ia bermakna peneroka hanya mendapat RM680 sahaja. Pendeknya peneroka tidaklah mendapat sebanyak mana. Kalau kita dengar publisitinya dahulu seolah peneroka akan menjadi kaya raya setidak-tidaknya dapatlah setengah juta seorang, kerana peneroka telah memerah keringat mereka selama lima dekad lamanya.

Setelah ditolak kos ‘processing’ sebanyak RM200 maka sekeluarga peneroka akan hanya mendapat sebanyak RM480 sahaja. Itu untuk satu keluarga. Kalaulah keluarga peneroka ada seramai 6 orang maka, seorang ahli keluarga mendapat RM48 seorang. RM48 itu jika dibelikan rokok Lucky Strike yang saya hisap itu maka setiap ahli keluarga peneroka dapatlah sebanyak 4 kotak sahaja.

Jika harganya naik sampai RM10 sekali pun sebuah keluarga peneroka hanya mendapat RM8,100 sahaja dan itu belum ditolak kos ‘pemprosesan’ yang dikenakan oleh CIMB misalnya. Dalam isu ini kita nampak peneroka hanya mendapat air tangan sahaja. Yang mendapat keuntungan besar ialah orang-orang kaya dan besar-besar yang tidak pernah menjejak kaki ke tanah rancangan Felda itu.

Setelah bertungkus lumus selama 50 tahun peneroka hanya boleh diibaratkan seperti kerbau yang membajak sawah pagi ke petang, tetapi tikus yang gemuk-gemuk memakan dengan enaknya di kepuk padi. Bagi saya peneroka-peneroka telah dipergunakan oleh pihak yang melakukan penyenaraian itu.

Tetapi apakan daya peneroka begitu terloncat-loncat kegembiraan kerana percaya kepada tindakan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO Baru itu. Dalam isu ini peneroka-peneroka tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana segala usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk membatalkan penyenaraian itu tidak mendapat kerjasama dari peneroka.

Sekarang ada peneroka yang sudah mula merasakan mereka telah dipergunakan oleh pimpinan kita untuk kepentingan saku mereka (pimpinan) sahaja. Bagi kami yang tidak boleh berbuat apa-apa kami hanya boleh berkata di dalam hati kami “padan muka!” sahaja.

Tidak tahu lah berapa lama peneroka sekeluarga boleh bertahan dengan seribu dua hasil dari penyenaraian itu. Mereka sahajalah yang akan merasakannya. Tetapi apa yang mereka akan dapat tahu tidak lama lagi ialah mereka sebenarnya tidak lagi ada kena mengena dengan FGV. KPF tidak mempunya apa-apa saham dalam FGV. KPF hanya mempunya saham dalam ‘special purpose vehicle’ (SPV), Felda Asset Holdings yang mempunyai saham besar di dalam FGV. Dividen dan sebagainya akan diterima oleh Felda Asset Holding sahaja. Lain-lain perkataan peneroka memang sudah terpisah dengan FGV bermula dari sekarang.

In the first place, apa perlunya Felda disenaraikan kalau tidak kerana kepentingan setengah pihak yang berwajib? Selalunya syarikat akan disenaraikan di pasaran saham hanya kerana satu dua sebab sahaja dan Felda tidak mempunyai alasan untuk disenaraikan.

Pertamanya jika seseorang itu telah berjaya membina syarikat peribadi mereka dengan jayanya dan ingin untuk berehat kerana elemen umur dan sebagainya mereka akan senaraikan di pasaran jika telah melepaskan syarat-syarat yang ditetapkan. Empunya syarikat akan menjual setengah dari saham mereka kepada ‘public’ dan mereka akan memberikan pemegang saham yang baru untuk menguruskan syarikat yang telah disenaraikan itu.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang baru disenaraikan itu dengan persetujuan mesyuarat agung syarikat untuk melantik ahli-ahli lembaga pengarah serta pengurus-pengurus yang berkelayakan untuk meneruskan perniagaan syarikat tersebut.

Sebab keduanya ialah jika syarikat yang ingin mengembangkan perniagaannya, mengapungkan sahamnya dipasaran merupakan cara yang paling lazim kerana dengan cara itu syarikat akan memperolehi dana awam untuk kegunaan memperkembangkan perniagaan syarikat.

Tetapi dalam kes Felda ini apa perlunya ia disenaraikan kerana Felda yang dikatakan sangat berjaya itu memperolehi perolehan sebanyak RM4 sehingga RM5 billion setahun? Felda tidak perlu mendapatkan dana dari terbitan awam tetapi kenapa ia disenaraikan juga?

Pendeknya penyenaraian Felda ini sebenarnya hanyalah untuk kepentingan pihak lain, bukannya untuk kepentingan peneroka kita…...kadang-kadang sedih juga melihat bagaimana peneroka yang telah berhempas pulas untuk meneroka tanah itu selama lima puluh tahun akhirnya setelah begitu berjaya datanglah pihak lain untuk meraih keuntungan dari penat dan jerih peneroka-peneroka selama lima dekad itu.

Peneroka hanya disogok sebanyak RM15 ribu untuk memudahkan peneroka bersetuju untuk melakukan kerja yang amat menyayat hati kepada siapa yang nampak tujuan tidak molek setengah pihak untuk menyenaraikan saham-saham Felda kepada awam.

Tapi nak kata apa? Pemimpin utama kita lupa pada dasar asal Felda itu ditubuhkan. Nampaknya peneroka sekarang ini dapat untung secupak ruginya segantang.

Harakah Daily

Mangsa mogok kena Hepatitis B, diugut pecat

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang tahanan ISA terpaksa menghentikan mogok lapar mereka apabila masuk hari ke 13 hari ini apabila diserang Hepatitis B.

Mata Razali Kassan membengkak dan kekuningan kerana terkena jangkitan itu, kata Syed Ibrahim Syed Noh Pengerusi, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Syukri Razab, Penyelaras Suaram, Sekretariat GMI dalam kenyataan bersama mereka.

Razali Kassan juga merupakan tahanan yang dilaporkan telah dipukul dan diludah oleh pegawai KemTa semasa menyertai mogok lapar.
Hepatitis B merupakan penyakit berjangkit yang boleh merebak melalui darah dan cecair badan yang tercemar.

Sekiranya tidak dirawat, hepatitis B boleh menyebabkan penyakit kronik seperti radang hati.

GMI juga mendapat maklumat Fadzullah Razak yang telah memulakan mogok lapar masih nekad dan akan terus mogok sehingga semua tahanan dibebaskan.

"Berdasakan maklumat yang diperolehi, walaupun telah diasingkan daripada tahanan lain dan dipaksa untuk berhenti, Fadzullah tetap meneruskan mogok lapar," kata kenyataan itu.



Berpuasa setiap hari

Begitu juga seorang tahanan daripada Sabah yang bernama Bakar bin Baba yang dilaporkan sebagai berpuasa setiap hari.

Bakar yang merupakan seorang guru juga dilaporkan telah menerima surat buang kerja daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas alasan melanggar tatatertib ekoran penahanannya di bawah ISA.

Walau bagaimanapun, surat itu sampai ke rumah Bakar yang berada di Tawau dan surat itu telah dipanjangkan oleh keluarganya kepada pihak KemTa.

Namun sehingga ke hari ini belum ada sebarang maklum balas mengenai surat itu daripada Bakar.

Ini kerana, jika surat itu tidak dijawab dalam masa 14 hari, Bakar akan dibuang kerja.

GMI juga mendapat maklum Bakar didenda untuk tidak boleh menggunakan telefon dan berhubung dengan surat ekoran beliau menyertai mogok lapar.

Sekiranya Bakar dibuang kerja, keadaan ini sudah pasti lebih menyukarkan keluarganya yang bergantung penuh pada pendapatannya sebagai guru, kata kenyataan itu.

Sementara itu, GMI membuat tiga tuntutan iaitu:


1. Pihak KemTa perlu membenarkan peguam yang akan melawat KemTa untuk hadir bersama doktor bagi membolehkan keadaan pesakit diperiksa oleh doktor selain daripada pegawai perubatan yang disediakan oleh pihak KemTa.


2. GMI juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa semua tahanan akan dibenarkan menggunakan akses telefon dan surat menyurat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar seperti mana yang sedang dihadapi oleh Bakar bin Baba


3. GMI mendesak Menteri Dalam Negeri untuk memastikan tidak ada hukuman atau denda yang dikenakan ke atas tahanan yang bermogok lapar termasuk tidak menghadkan tempoh pertemuan keluarga seperti mana yang telah berlaku terhadap tahanan Mustawan, Razali dan Fadzullah.


GMI juga berpendirian:


GMI tetap dengan pendirian bahawa semua isu yang berlaku akan selesai sekiranya Menteri Dalam Negeri bersedia untuk membebaskan kesemua tahanan ISA. Keegoan Menteri mempertahankan tindakan hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih keruh.

GMI juga berpendirian tindakan pihak KemTa yang mendenda tahanan yang menyalurkan maklumat keluar daripada KemTa juga merupakam tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Apakah tindakan untuk memaklumkan kepada keluarga mengenai salah laku pegawai KemTa dan penderaan yang dialami tahanan merupakan satu kesalahan?

"Sifat pihak KemTa ini dilihat amat tidak professional dan lebih dilihat sebagai cuba melindungi sesuatu daripada diketahui umum," kata kenyataan itu lagi.

Harakah Daily

Arahan Presiden PAS: Anggap polis sebagai rakan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, pasukan keselamatan adalah rakan PAS dan bukannya musuh.

Oleh itu, beliau meminta semua ahli PAS memahami perkara ini kerana mereka adalah kakitangan kerajaan yang melaksanakan arahan daripada kerajaan.

“Kita jangan bermusuh dengan polis, askar dan kakitangan kerajaan kita hanya lawan BN sahaja,” katanya dihadapan 20,000 penyokong PAS pada Himpunan Hijau ke Putrajaya Pahang baru-baru ini.

Perhimpunan itu diadakan di Dataran Hikmah, Kerdau.

Ustaz Abdul Hadi turut memberi jaminan pemimpin Umno tidak perlu bimbang dengan PAS kerana PAS tidak akan membalas dendam sekiranya berkuasa.

Malah beliau turut memberi jaminan pemimpin Pakatan Rakyat lain juga akan melakukan perkara sama iaitu tidak akan membalas dendam sekiranya berkuasa.

Menurut beliau, yang baru pulaang dari negara-negara Arab, beliau dimaklumkan ramai rakyat Malaysia bekerja di sana tidak dapat mengundi dalam pilihan raya kerana Malaysia tidak mengizinkan rakyatnya di luar negara mengundi tidak seperti negara lain.

“Mereka itu tidak boleh mengundi pos,” katanya.

Abdul Hadi turut mengingat ahli PAS dan Pakatan Rakyat supaya bersiap sedia untuk mengambil alih Putrajaya jika diizinkan Allah.

Katanya perubahan akan berlaku dan semua petugas perlu bekerja dengan ikhlas.

Harakah Daily

Polis khasnya SB perlu fokus banteras jenayah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini mencadangkan agar kerajaan memberi kebebasan kepada pihak polis untuk memerangi jenayah bukannya memerangi rakyat yang berbeza fahaman politik.

Berkata kepada media di Ibu Pejabat PKR, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ali memberitahu mencegah jenayah adalah menjadi satu agenda nasional dan perlu diatasi segera.

Namun, katanya, dari menangani isu jenayah, kerajaan memilih untuk membebankan polis dengan kerja yang tidak masuk akal.

Dalam masa yang sama, kata beliau, kerajaan masih berkeras mengatakan kadar jenayah telah menurun walaupun hakikatnya adalah bertentangan.

"PKR percaya langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini adalah mengakui peningkatan jenayah adalah benar.

"Langkah kedua adalah memastikan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membaik pulih sistem dan prosedur umum dalam tugasan mereka," jelasnya.

Dr Wan Azizah juga mencadangkan agar menghentikan menggunakan polis sebagai instrumen 'Police State'.

"Kami meminta kerajaan untuk menghentikan kerja polis Cawangan Khas (SB) mengintip rakyat.

"Kerajaan sepatutnya mengarah SB untuk memfokus pada kerja mengintip jenayah," katanya.

Menurut beliau, pada tahun 2010 SB telah menghasilkan 382 ribu laporan mengenai kegiatan politik rakyat.

Malah menurutnya lagi, SB juga telah menjalankan 351 ribu pemeriksaan keselamatan ke atas rakyatnya, pada keseluruhan SB telah menghasilkan 733 ribu laporan dan berjaya mengintip kira-kiran 4.3 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia.

"Sebagai bandingan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) cuma membuka 212 ribu fail jenayah iaitu kurang daripada 30 peratus daripada jumlah aktiviti mengintip SB.

"Oleh itu, kami mencabar kerajaan untuk mengarahkan 90 peratus aktiviti SB ke arah membanteras jenayah," tambahnya lagi.

Jelas Dr Wan Azizah lagi, jika kerajaan tidak boleh melakukan ini, maka rakyat mesti bangkit demi negara Malaysia yang lebih selamat dan mengakhirkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum itu, beliau turut mengulas tentang penjenayah yang kini lebih terdesak dan berani bertindak pada siang hari dengan menggunakan senapang dan senjata.

Kejadian jenayah yang semakin berleluasa ini menyebabkan rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan.

Harakah Daily

Hasil ragut dibuang beg dalam semak

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

MASJID TANAH - Penemuan beg serta barangan dipercayai hasil ragut, menggemparkan penduduk Kampung Londang, di sini, kelmarin.

Barangan tersebut ditemui di kawasan kebun milik penduduk di Jalan Laksamana Dua dipercayai lokasi persinggahan sementara peragut untuk menggeledah hasil kerja jenayah mereka.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, seorang penduduk, Rasul Ahmad, 46, terjumpa dengan beg tangan wanita semasa menebas semak samun di kebun getah miliknya.

“Semasa sedang menebas, mata saya terpandang satu objek pelik yang sebahagiannya tertanam. Pada mulanya, saya tidak hiraukannya, sebaliknya beredar ke kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian tidak sedap hati, lalu berpatah semula dan membelek objek berkenaan sebaik saja selesai kerja menebas.

“Saya mengambil sebatang kayu dan mencungkilnya beberapa kali sebelum berjaya dikeluarkan.

“Terkejut saya apabila mendapati barangan itu adalah beg tangan kulit dan di dalamnya terdapat kad pengenalan seorang wanita berbangsa Cina berusia 33 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Rasul bagaimanapun percaya wanita terbabit adalah mangsa ragut sebelum begnya dilemparkan di kawasan semak itu.

Dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Masjid Tanah berikutan penemuan itu.

“Sementara menunggu polis tiba, saya sempat membelek beg tangan berkenaan yang hampir dipenuhi dengan tanah dan akar kayu. Ia dipercayai dibuang di situ sejak sekian lama,” katanya.

Difahamkan, pemeriksaan polis turut menemui MyKad, lesen memandu, kad kredit dan kad ATM dan dokumen peribadi.

Sinar Harian

Euro 2012: Saat magis La Roja

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

JENERAL padang Sepanyol, Andres Iniesta percaya kejayaan mereka mencipta hatrik merangkul kejohanan besar utama dunia pasti tidak mampu disamai pasukan lain selepas ini.

Malah, pemain Barcelona itu turut melayangkan pujian bermakna dengan menyifatkan kemenangan di pentas final Euro 2012 mengatasi Itali pada awal pagi semalam sebagai magis dan unik.

"Bola sepak Sepanyol kini meniti satu tahun yang penuh ajaib. Kami hadir dengan pakej lengkap sebagai satu pasukan dan wajar berbangga dengan pencapaian ini.

"Biarlah kami menikmati kegembiraan ini yang barangkali sukar untuk diulangi lagi pada masa depan," katanya.

Sinar Harian

Nik Aziz lancar buku 'Bertemu Janji Allah'

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sempena Pesta Buku Selangor 2012, Kemilau Publika akan melancarkan buku karya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjudul 'Bertemu Janji Allah'.

Majlis akan diadakan pada 8 Julai 2012 (Ahad), jam 11.00 pagi bertempat di Pusat Konvensyen SACC Shah Alam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga akan menyertai majlis itu bagi memeriahkan majlis tersebut. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dijangka akan turut serta di majlis ini.

Buku ini adalah kompilasi daripada kuliah Tok Guru Nik Aziz yang boleh dianggap segar sepanjang zaman.

Buku Bertemu Janji Allah ini mengajak pembaca menyelusuri jalan-jalan di mahsyar yang menyayat hati.

"Dengan mengikuti huraian tentang hari kiamat dan alam akhirat, Tok Guru cuba mendorong kita menjadi mukmin yang cintakan akhirat kerana di sanalah kesenangan abadi," kata penerbitnya, Masri Abu Soed.

Buku 'Bertemu Janji Allah' boleh didapati dengan harga RM39.00 dan diskaun hebat disediakan.

Buku ini adalah edisi kulit keras (hard cover) dan sudah berada di semua kedai-kedai buku utama seluruh negara termasuk MPH & Popular Bookstores.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai dan masuk adalah percuma.

Harakah Daily

Bukit Botak: Umno cuba beri tawaran palsu

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAJANG: Gara-gara dengki dengan kejayaan Pakatan Rakyat Selangor menyelesaikan masalah Projek Perumahan Bukit Botak, pemimpin Umno Selangor sekali cuba merampas kejayaan tersebut dengan menawarkan harga yang tidak munasabah kepada peserta skim itu.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad (gambar), Adun dari Umno Selangor sekarang berlumba-lumba untuk menonjolkan diri sebagai wira bagi menyelesaikan apa yang mereka sendiri gagal selesaikan selama lebih 20 tahun.

“Apa yang saya tahu, ada Adun Umno tawarkan harga antara RM60 ribu hingga RM70 ribu. Lepas tu ada lagi seorang lagi Adun Umno menawarkan RM42 ribu.

“Saya bimbang nanti ada pula YB Umno yang tawarkan harga RM10 ribu pula, jadi macam sarkis.

“Ini bukannya jual beli ikan, tetapi melibatkan berjuta-juta ringgit, lagipun harga yang kita tawarkan jauh lebih rendah dari harga sebenar,” kata Iskandar ketika ditemui selepas Majlis Dialog Bersama Penduduk Pangsapuri Anggerik di sini baru-baru ini.

Masalah Projek Perumahan Bukit Botak yang lebih 20 tahun terbengkalai dan gagal diselesaikan oleh pentadbiran Umno-BN yang lama akhirnya berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang lima tahun setelah Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

Kerajaan Selangor menawarkan harga RM99,000 kepada peneroka asal kawasan ini dan jauh lebih rendah berbanding harga sebenar yang mencecah lebih RM160,000.

Pengurangan harga dibayar subsidi sebanyak RM79.6 juta oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Iskandar turut mengingatkan pembeli unit kediaman Projek Perumahan Bukit Botak agar tidak termakan dengan tawaran palsu Umno.

“Saya harap penduduk tak percaya sebab dah lebih 20 puluh tahun, mereka tak buat apa, tak diselesaikan.

“Bila kita berjaya selesaikan dalam masa tak sampai lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, mereka tawarkan macam-macam pula,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Petani mohon baja dipaksa pasang bendera BN

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Isu diskriminasi baja cap dacing yang berlarutan sejak 20 tahun lalu, dikejutkan pula apabila ada petani dipaksa memasang bendera Barisan Nasional (BN) sebelum borang bantuan ditandatangani.

Borang tersebut perlu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebagai syarat bagi mendapatkan baja subsidi.

Isu terbaru itu didedahkan Hassan Mohamood (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Katanya, isu berkenaan berlaku di Kampung Takel di mana petani yang datang untuk menandatangani borang permohonan baja subsidi cap dacing diarah JKKKP memasang bendera BN dipagar rumah mereka.

“Ramai petani mengadu kepada saya masalah itu. Saya kata kepada mereka mengapa tidak ambil. Lalu mereka jawab geli hendak pegang bendera Umno atau dacing.

“Petani memberitahu mereka dipaksa memasang tiga bendera BN di pagar rumah selepas borang permohonan baja ditandatangani JKKKP

“Semalam kita bentuk satu jawatankuasa bersama penduduk bagi menangani masalah tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan.

Isu baja cap dacing digegerkan di Kelantan sejak 1990 apabila petani yang tidak menyokong BN sukar untuk mendapatkan baja subsidi.

Ada kes di mana petani perlu bersumpah tidak lagi mahu mengundi PAS bagi membolehkan mereka mendapatkan baja.

Malah isu berkenaan sering kali dibangkitkan pada persidangan Dun, namun ia belum selesai sehingga sekarang biar pun Ketua Pembangkang penggal lalu, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan akan menyelesaikannya.

Berikutan masalah tersebut kerajaan negeri mengeluarkan sendiri baja padi yang diurus Kumpulan Pertanian Kelantan Sdn Bhd. Setiap tahun kira-kira RM2 juta diperuntukan bagi tujuan tersebut.

Sebelum itu ketika menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat) Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kawasan pertanian terbiar seluas 2,677 hektar berjaya dipulih sejak 2006 hingga tahun ini.

Katanya, purata kawasan yang dipulih setiap tahun seluas 200 hektar.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkan kawasan yang lebih tiga tahun terbiar termasuk mewujudkan sistem pengairan, bantuan input pertanian dan kefahaman lebih menyeluruh melalui konsep Bertani Satu Ibadah,” ujarnya.

Persidangan Dun Kelantan berakhir tengah hari tadi.

Harakah Daily

Senyumlah: Tuan Ibrahim bongkar rahsia 'air liur'

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

BEDAH BUKU: Ramai antara kita yang tidak faham mengapa senyum adalah sedekah. Ramai juga yang tidak faham mengapa digalakkan berdoa, berzikir, istighfar dan jangan ditinggalkan sembahyang.

Segalanya ini dibongkar jelas oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam buku sulungnya ‘Senyumlah’ yang dilancarkan dengan jayanya 1 Julai 2012 lepas.

Pelancaran dilakukan oleh Tuan Guru Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya, Peringkat Pahang di Dataran Hikmah, Kerdau.

Segala ciptaan Allah adalah sempurna. Begitulah juga dengan sistem badan manusia.

Namun demikian, ramai manusia yang tidak faham bagaimana sistem badannya berfungsi dan apakah kaitan ajaran Islam kepada sistem badan manusia.

Sebenarnya semua berkait, secara jelas tapi terlindung.

Di sebalik buku motivasi yang mudah dibaca dan bersifat santai ini, Ustaz Tuan Ibrahim menyelit keajaiban peranan air liur yang bakal membuka dimensi baru dalam pemahaman agama Islam.

Sedarkah kita, selain bernafas, apakah yang dilakukan manusia setiap minit tanpa sedar?

Iaitu menelan air liur.

Ketika kita melihat benda lazat, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.

Ketika kita membaca, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.

Begitu juga ketika sembahyang, ketika berzikir, beristighfar dan juga mengumpat!

Mudahnya air liur sebenarnya elemen terpenting sistem badan manusia yang menjaga tubuh badan – segalanya bermula daripada mulut – dan elemen menjaganya adalah air liur.

Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, air liur terbahagi kepada dua, air liur baik dan air liur beracun.

Yang baik, semakin banyak ditelan, semakin hati terasa tenang dan semakin susah minda bermain ilusi di depan mata.

Yang beracun, semakin banyak ditelan, semakin banyak dendam kesumat, semakin banyak keresahan dan minda diselubungi ilusi-ilusi yang negatif sehingga emosi terganggu.

Daripada teori air liur yang dikemukakan Ustaz Tuan Ibrahim, jawapan barangkali mengapa Allah mewajibkan dan menyarankan banyak perkara pada umatnya untuk dilaksanakan setiap hari kini sudah terbongkar.

Dan mengapa saranan untuk menjaga makanan, kata-kata dan menghindarkan diri daripada mengumpat juga terbongkar.

Yang ajaibnya, semua ini boleh diterangkan menggunakan teori air liur yang ditulis Ustaz Tuan Ibrahim di dalam bukunya.

Tulis beliau:

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari aleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain.

Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya.”

Selain teori air liur, Ustaz Tuan Ibrahim juga memperincikan bagaimana minda sering diancam permainan bisikan syaitan yang mencetuskan pelbagai imej di depan mata yang mengganggu kehidupan manusia.

Seperti kata di belakang buku, buku Senyumlah tulisan Ustaz Tuan Ibrahim ini telah membuka dimensi baru dalam konteks pemahaman agama Islam.

Sukar dijumpai sebuah tulisan yang menonjolkan tahap pemahaman agama dan kehidupan yang begitu tinggi.

Banyak nasihat di dalamnya tidak ternilai harganya dan perlu dibaca oleh seramai mungkin untuk sama-sama “Senyum” tatkala mengharungi ujian Allah di dunia sementara ini.

Kini Ustaz Tuan Ibrahim telah berkongsi rahsia beliau – diharap semua, terutamanya pemuda-pemudi yang sedang mengharungi kehidupan dapat membacanya sebagai penyuluh lampu kehidupan.

Untuk pembelian buku, sila ke alamat www.facebook.com/ustaztitm atau email viventure2012@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Harga Buku: RM 17 Semenanjung, RM20 Sabah dan Sarawak.

Harakah Daily

‘Road Gang’ inovasi jimatkan penyelenggaraan jalan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA: Konsep pembaikan kerosakan jalan oleh pasukan khas pihak berkuasa tempatan yang dinamakan 'Road Gang' telah berjaya menjimatkan kira-kira tiga kali ganda wang kerajaan berbanding jika ianya diserahkan kepada kontraktor.

Misalnya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ (penurapan kerosakan jalan) melalui Road Gang hanya menelan belanja RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka jalan yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan, lapor media kerajaan Selangor, Selangorku.com.

Road Gang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hail kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Perkara ini diceritakan oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam satu taklimat beliau kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Abdul Khalid, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan,

Shukri membentangkan perkara ini dalam Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara in house’.

Penubuhan Road Gang itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bagi menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ia diwujudkan kerana penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini banyak memakan wang kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Harakah Daily

‘Terbayang bagaimana jika saya dibunuh’

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

GOMBAK: “Saya hanya terfikir mati dan mengucap tiga kali. Dalam fikiran hanya terbayang bagaimana jika saya dibunuh dan perasaan keluarga jika menerima berita kematian saya.

(TRAUMA...Jamal menunjukkan katil besi yang digunakan suspek untuk menghempapnya)

“Malah ketika itu, kedua-dua tangan dan kaki saya diikat dengan tali, manakala mulut disumbat kain menyebabkan saya sukar bernafas. Saya merayu mereka membuka ikatan, tetapi dipukul dengan besi katil selain menolak saya hingga tersungkur ke lantai,” kata lelaki yang mahu dikenali Jamal, 33, menceritakan detik cemas disamun dan dikurung dua lelaki bersenjatakan pisau dan sabit.

Jamal yang masih trauma dengan insiden berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebaik kedua-dua lelaki itu meninggalkannya bersendirian dalam keadaan badan dihempap dengan katil besi dan berikat di sebuah rumah dalam pembinaan di Batu 10 Jalan Gombak sebelum meminta pertolongan penduduk berhampiran.

Malah, dia bukan saja disamun dan dikurung, tetapi rumah disewa bersama anak saudaranya di Taman Koperasi Polis, di sini, turut dipecah masuk lelaki terbabit menyebabkan kerugian hampir RM20,000 selepas kereta Proton Iswaranya dilarikan.

Menceritakan kejadian itu, Jamal berkata, dia baru selesai minum bersama rakannya di sebuah gerai di Taman Greenwood, jam 4 pagi awal pagi Sabtu lalu, sebelum berjalan ke kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Saya menyedari seperti diekori dua lelaki, tetapi tidak mempedulikannya sebelum lelaki itu mengacukan pisau di leher sebaik saya mahu membuka pintu kereta.

“Manakala seorang lagi masuk ke bahagian penumpang depan dan meletakkan sabit di perut saya. Mereka mengarahkan saya tidak melawan dan memandu ke kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak,” katanya.

Sebaik tiba di kawasan tapak pembinaan berhampiran Batu 10, dia diarahkan keluar daripada kereta dan masuk ke sebuah rumah sebelum kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Katanya, lelaki terbabit mengambil telefon bimbit dan dompetnya selain mengarahkan memberikan kata laluan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya.

“Saya yang ketakutan mengikut arahan dan merayu minta dilepaskan. Mereka berterusan memukul dan menolak saya hingga tersungkur ke lantai selain dihempap katil besi.

“Mereka meninggalkan saya sendirian. Saya berusaha melepaskan ikatan, tetapi gagal. Saya terpaksa melompat keluar dari rumah itu dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah bangunan pejabat tidak jauh dari tempat saya dikurung,” katanya.

Jamal berkata, pengawal itu membuka ikatan sebelum seorang lelaki yang melalui jalan berkenaan menghantarnya ke Balai Polis Gombak membuat laporan.

Sebaik pulang ke rumah, dia mendapati rumahnya berselerak dan sebaik diperiksa, didapati dua komputer riba, dua telefon bimbit dan wang tunai RM500 hilang.

Bagaimanapun, anak saudara perempuannya yang berusia 22 tahun dan suaminya yang tinggal bersama tidak cedera kerana tidur dalam sebuah bilik serta tidak menyedari kejadian itu kerana lelaki terbabit membuka pintu rumah menggunakan kunci miliknya yang disamun sebelum itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Agency

TSG intai pelumba Eropah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

TERENGGANU Cycling Team (TSG) kini mengintai kelibat bakat-bakat baharu dari Eropah untuk menghadapi kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan.

Malah, pelumba daripada beberapa negara yang berpotensi seperti Perancis, Austria dan Crotia berada dalam senarai teratas TSG untuk memperkuatkan pasukan itu.

"Biarpun begitu, kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat pemilihan. Kami sudah mempunyai tiga pelumba import iaitu dua dari Jepun dan seorang dari Korea Selatan.

Malah, pelumba tempatan, Mohd. Harris Salleh (gambar) juga bertaraf Asia.

"Cuma sekarang, kita lihat ada keperluan untuk mempunyai seorang lagi pelumba import yang berkualiti," kata Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Hadi Hassan.

Tambahnya, TSG memutuskan untuk melakukan pencarian pelumba import tersebut untuk menambahkan kekuatan pasukan bagi menyertai kejohanan pada tahun hadapan.

"Tidak dinafikan, pencarian lebih terarah kepada nama-nama besar dalam arena berbasikal di Eropah sendiri. Lebih mengejutkan, sehingga kini, ada kalangan pelumba yang memohon sendiri untuk menyertai TSG," katanya yang tetap melakukan pemilihan tersebut dengan berhati-hati.

"Kami tidak mahu tersalah pilih gara-gara melakukan pemilihan secara tergesa-gesa. Kami mahu hasil yang baik dan memberi manfaat kepada pasukan dalam jangka masa pendek dan panjang," tegasnya.

Bukan sekadar melakukan pencarian di Eropah, Hadi turut mengintai bakat pelumba menerusi Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang nanti.

"TSG memerlukan sekurang-kurangnya empat pelumba muda yang mampu membuktikan kewibawaan dalam temasya itu sebelum ditawarkan kontrak.

"Kontrak baru juga akan ditawarkan kepada pelumba-pelumba sedia ada pada Oktober ini sebagai persiapan menghadapi musim baru perlumbaan tahun depan.

Agency

Tiada yang mustahil

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

IBARAT aksi final, jika tewas terpaksa ucap selamat tinggal.
Itu mesej Ong Kim Swee terhadap pemain Harimau Muda menjelang pertemuan ‘hidup dan mati’ berdepan tuan rumah, Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan G kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) di Stadium Thuwunna, Yangon malam ini.

Atas kertas, Harimau Muda dilihat masih selesa apabila menduduki tempat ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan setakat ini berbanding India (Kumpulan A - tujuh mata), Kyrgyzstan (Kumpulan B - empat mata), Qatar (Kumpulan C - enam mata), Yaman (Kumpulan D - tujuh mata) dan Laos (Kumpulan F - enam mata) sementara aksi Kumpulan E yang membabitkan Jepun, Australia, Indonesia, Singapura, Macau dan Timor Leste pula masih belum bermula.

Namun, Kim Swee enggan memperjudikan nasib pasukannya serta berazam mahu melakar kemenangan sekali gus menyambar slot automatik ke pusingan akhir tahun depan.

“Aksi menentang Myanmar diibaratkan seolah-olah perlawanan akhir yang sebenar, jadi saya enggan memikirkan pilihan untuk layak berdasarkan kedudukan ketiga terbaik.

“Kami wajib menang memandangkan keputusan seri atau tewas berkemungkinan menyebabkan kami tersingkir.

“Meskipun sukar berdepan Myanmar di depan penyokong sendiri, bagi saya tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya semasa dihubungi Kosmo! di Myanmar.

Skuad muda negara kini menghuni tempat ketiga Kumpulan G dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan sekali tewas sebelum ini, ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dan juga Korea Selatan.

Selepas tewas 2-3 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan, Harimau Muda kembali bangkit membelasah Filipina (7-0), Taiwan (4-2) sebelum menewaskan Vietnam 3-0 Sabtu lepas.

Sebanyak 16 pasukan yang merangkumi dua pasukan terbaik dari tujuh kumpulan akan layak ke pusingan akhir tahun depan bersama tuan rumah dan satu lagi pasukan yang muncul pasukan ketiga terbaik peringkat kelayakan.

Dalam pada itu, Kim Swee turut mempertahankan kredibiliti ‘arkitek’ negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sekadar diturunkan sebagai pemain gantian ketika berdepan Filipina dan Taiwan, selain dia juga langsung tidak diturunkan ketika menentang Vietnam tempoh hari.

Sebagai rekod, Nazmi Faiz yang akan mula beraksi bersama kelab Portugal, SC Beira Mar selepas aksi kelayakan itu tamat hanya beraksi dalam kesebelasan utama ketika menentang Korea Selatan sebelum mula kehilangan tempat ekoran kecemerlangan Gary Steven Robbat.

“Tidak diturunkan dalam kesebelasan utama bukan bermakna Nazmi Faiz tidak bagus, saya perlu menurunkan pemain yang sesuai menjelang mana-mana perlawanan tertentu.

“Malah, tidak mustahil saya merehatkan Mohd. Rozaimi Abdul Rahman yang telah meledak sembilan gol setakat ini ketika menentang Myanmar (malam ini),” katanya berteka-teki.

Ketiadaan Shahrul Saad yang digantung perlawanan akibat layangan kad kuning juga mungkin memaksa Kim Swee meletakkan semula Mohamad Fandi Othman di bahagian pertahanan tengah bersama Mohd. Fadhli Mohd. Shas malam ini.

Posisi asal Mohamad Fandi di bek kiri pula dijangka diisi oleh ‘wira tak didendang’, Nazirul Naim Che Hashim yang dilihat cukup cemerlang ketika menentang Vietnam.

Agency

Kelantan tempang hadapi NS

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KELANTAN tidak akan memberikan laluan mudah buat Negeri Sembilan meskipun turun tanpa beberapa tonggak utamanya yang mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan malam ini.

Bagaimanapun, pengendalinya, Bojan Hodak tetap optimis pasukannya mampu meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut dalam usaha menjarakkan kedudukan mata dengan pesaing terdekat, Lions XII yang kini hanya dibezakan dengan satu mata.

Oleh itu, Hodak menuntut barisan pemainnya memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.

“Kita pergi ke Paroi dengan separuh kekuatan kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan serta penggantungan perlawanan akibat kad kuning.

“Namun ia tidak mengusarkan kita kerana saya mempunyai perancangan untuk meraih tiga mata penuh lagi pun perlawanan ini cukup penting buat Kelantan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Antara pemain The Red Warriors yang mengalami kecederaan ialah penyerang prolifiknya Norshahrul Idlan Talaha, Zairul Fitree Ishak, S. Chanturu, manakala Nwaneri Obinna dan Nurul Azuan Roya digantung perlawanan akibat menerima tiga kad kuning.

“Begitu juga dengan Mohammad Ghaddar dan Mohd. Badri Radzhi. Kedua-dua pemain ini mengalami kecederaan dan peluang untuk diturunkan masih belum pasti, bagaimanapun kita tetap membawa mereka ke Paroi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hodak memberitahu bahawa dia tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun pasukan lawan bakal beraksi tanpa beberapa tonggak seperti Emannual Effa Owanan, Rashid Mahmud dan Aliff Shamsuddin.

“Namun mereka masih mempunyai pemain yang bagus seperti Shakir Ali. Saya telah mengarahkan barisan pertahanan untuk merantai pergerakan pemain ini yang cukup bahaya apabila berada di depan pintu gol,” jelasnya.

Agency

Hamilton ada sebab takluk GP Britain

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

LONDON - Pelumba McLaren, Lewis Hamilton mempunyai dorongan yang kuat untuk menakluki perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone hujung minggu ini.

Selain mahu menang di negara sendiri, Hamilton juga berhajat menjadikan kejayaan itu lebih bermakna sebelum menjadi pembawa obor Sukan Olimpik sehari selepas itu.

Sekiranya dapat dilakukannya, ia akan menjadi satu detik dan kenangan paling manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila dalam kariernya.

"Saya tidak pernah terbayang untuk mendapat peluang seperti ini, berlumba dan kemudiannya berlari membawa obor Olimpik.

"Saya amat bangga jika dapat menyinar dalam kedua-dua acara penting itu. Muncul juara GP Britain dan meraikannya bersama obor Sukan Olimpik," katanya.

Juara dunia 2008 itu dijadual membawa lari obor di kampung kelahirannya di Stevenage yang terletak 50 kilometer di utara London

Bagaimanapun, setakat ini beliau belum dimaklumkan tentang laluan sebenar dan jarak larian yang bakal dilaluinya nanti.

Sehubungan itu, pelumba berusia 27 tahun ini berazam untuk memastikan GP British berakhir dengan bergaya dan memihak kepadanya terutama di depan penyokong sendiri.

Hanya kemenangan mampu mengurangkan jurang perbezaan mata dengan pelumba Ferrari, Fernando Alonso yang kini berada 23 mata di depannya untuk muncul pendahulu keseluruhan.

Agency

Del Bosque merendah diri

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KIEV, Ukraine - Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau telah mengubah corak permainan bola sepak dunia.

Spekulasi itu tercetus selepas skuad La Roja membelasah Itali 4-0 pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi semalam meskipun tanpa kelibat penyerang utama.

Pemain tengah, Cesc Fabregas sekali lagi menjadi watak penting di sebalik kemenangan itu, sama seperti yang dilakukan pada perlawanan terdahulu menentang Itali dan Perancis.

Pada perlawanan itu, Sepanyol mendahului seawal minit ke-14 apabila hantaran lintang Fabregas berjaya ditanduk masuk David Silva untuk menewaskan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon.

Jordi Alba berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-41.

Penyerang Chelsea, Fernando Torres yang masuk menggantikan tempat Fabregas meledakkan gol ketiga pada minit ke-84 sebelum dia membantu Juan Mata menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.

"Terdapat banyak cara lain dalam bola sepak.

"Perkara yang paling penting adalah menjaringkan gol.

"Para pemain kami sangat pintar dan kami mempunyai sebuah pasukan yang seimbang, saya sentiasa menaruh kepercayaan kepada pemain kami.

"Kami mempunyai penyerang tetapi kami mengambil keputusan untuk menurunkan pemain yang paling sesuai dengan corak permainan kami," kata del Bosque, 61, yang menjadi jurulatih pertama memenangi gelaran pada Kejohanan Bola Sepak Eropah dan Piala Dunia.

Selepas membelasah Republik Ireland 4-0 pada peringkat kumpulan, empat gol yang diperoleh Sepanyol awal pagi semalam turut menafikan spekulasi yang menuduh pasukan itu kekurangan bakat dan bercita-cita tinggi.

"Itali adalah lawan yang sukar tetapi mereka tidak bernasib baik," kata del Bosque merujuk kepada kecederaan yang dialami Thiago Motta pada minit ke-62 yang memaksa skuad The Azzurri beraksi dengan 10 pemain.

"Sebab itu, kami sangat yakin untuk memenangi perlawanan ini. Kami hanya bermain mengikut corak permainan kami dan kami menaruh keyakinan dengan apa yang telah kami lakukan sejak beberapa tahun lalu." - Reuters

'Empat tahun yang terindah'

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KIEV, Ukraine - Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas menegaskan bahawa tempoh empat tahun terakhir ini merupakan detik yang paling indah dalam kehidupannya.

Casillas menyuarakan pendapat itu selepas mencipta sejarah menjadi kapten pertama yang memenangi tiga final berturut-turut iaitu Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi semalam, pemain berusia 31 tahun itu berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya Itali.

Kehebatan Casillas membantu skuad La Roja menjadi negara pertama yang menjulang trofi Eropah buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Itali 4-0.

Empat tahun lalu, Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 untuk menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun.

"Ia merupakan saat yang paling indah. Gol kedua daripada Jordi (Alba) menambah keyakinan kami.

"Empat tahun yang hebat (muncul juara Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012). Anda mungkin berfikir ia mudah kerana kami menewaskan Itali 4-0 tetapi untuk melakukannya kami perlu membuat persediaan yang lama," katanya.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Sepanyol dan jurulatihnya, Vicente del Bosque dikritik hebat kerana beraksi pada kejohanan ini tanpa penyerang utama.

Bagaimanapun, Fernandos Torres yang masuk menggantikan Cesc Fabregas berjaya menyumbang gol ketiga pasukan dan melakukan hantaran menarik untuk disempurnakan Juan Mata.

"Pasti ada kritikan sama ada kami berada di atas seperti hari ini atau prestasi pasukan jatuh.

"Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan pemain-pemain terbaik dan menggunakan kelebihan mereka sebaik mungkin. Mereka (skuad Itali) semakin keletihan.

"Kami boleh berehat dan meraikan kejayaan ini bersama-sama," katanya. - AFP

Rekod unik dicipta di Los Angeles

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

LOS ANGELES - Seorang pelagak ngeri Hollywood, Greg Tracy dan pelumba kereta rally, Tanner Foust mencipta rekod dunia di sini pada Sabtu lalu.

Kedua-dua mereka mencipta rekod Guinness World Records apabila memandu kereta melalui gelung mainan setinggi 18.28 meter. - Agensi

Ibu kota pentadbiran baharu Korea Selatan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

BANDAR SEJONG - Majlis pelancaran ibu kota pentadbiran baharu yang akan menempatkan sebahagian besar pentadbiran negara Korea Selatan diadakan di sini semalam.

Pembukaan majlis itu menamatkan perbalahan selama sedekad berhubung projek berkenaan yang dianggap sebahagian pengkritik sebagai bermotifkan politik.

Sekitar 2,000 penduduk dan orang kenamaan dari sini menghadiri majlis pelancaran pusat pentadbiran baharu itu yang menelan belanja AS$19.4 bilion (RM61.6 bilion) apabila ia siap sepenuhnya.

Tujuan bandar raya pentadbiran tersebut dibina antara lain adalah untuk mengurangkan kesesakan di ibu kota Korea Selatan, Seoul.

"Bandar raya ini akan membuka era baharu dalam sejarah pembangunan seimbang Korea Selatan," kata Perdana Menteri, Kim Hwang-Sik.

Bandar Raya Sejong yang terletak 120 kilometer ke selatan Seoul akan menempatkan 16 kementerian atau agensi dan 30 bangunan pusat pentabdiran yang buat masa ini terletak di ibu negara Korea Selatan.

Lebih 10,000 kakitangan awam akan bekerja di pusat pentadbiran baharu tersebut. - AFP

Roket dari Lebanon serang pos imigresen di Syria

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

BEIRUT - Satu serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon menyebabkan dua anggota polis sempadan Syria cedera semalam.

"Menjelang subuh, beberapa lelaki bersenjata melancarkan serangan roket dari Buqaya di wilayah Lebanon ke arah Syria dan mengenai sebuah pos imigresen Syria serta mencederakan dua anggota polis pengawal sempadan," menurut satu kenyataan daripada agensi Keselamatan Awam Lebanon.

Ia merupakan laporan pertama yang pernah diketahui tentang serangan roket dari negara tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, ketika anggota-anggota polis sempadan Syria mengejar lelaki bersenjata tersebut, satu serangan roket itu dilancarkan.

Lelaki-lelaki bersenjata yang melancarkan serangan tersebut berjaya melarikan diri.

Sementara itu, kerajaan Arab Saudi meminta rakyatnya tidak berkunjung ke Lebanon ekoran kebimbangan berhubung keadaan keselamatan di negara berkenaan disebabkan pergolakan antara negara tersebut dengan Syria.

Arab Saudi menyertai beberapa negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dalam menasihati rakyat mereka supaya menjauhi Lebanon.

Negara berkenaan menyaksikan beberapa kejadian pertempuran jalanan yang berlaku pada awal tahun ini yang didorong oleh kebangkitan rakyat di Syria.

"Ekoran situasi tidak menentu di Lebanon sekarang ini, Kementerian Luar memberi amaran kepada rakyat Arab Saudi agar tidak berkunjung ke Lebanon demi keselamatan mereka," kata seorang pegawai kementerian berkenaan yang dipetik agensi berita rasmi SPA.

Negara Teluk Arab terutamanya Arab Saudi dan Qatar dilihat menyokong kebangkitan antipemerintah di Syria dengan membayar gaji askar pemberontak di negara itu dan menggesa supaya pihak penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dilengkapi senjata.

Sebelum ini, ramai pelancong rantau Teluk Arab melawat Lebanon terutamanya pada musim panas sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat pergolakan di Syria.

Kumpulan penyokong dan penentang Bashar sebelum ini bertempur di bandar pelabuhan Tripoli dengan kawasan sempadan Lebanon turut digunakan oleh pemberontak untuk menyeludup senjata ke Syria.

Arab Saudi turut meminta masyarakat antarabangsa supaya mengambil "tindakan tegas" bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria.

"Arab Saudi meminta masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai (penduduk Syria), kata kerajaan seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi SPA.

Kenyataan tersebut disiarkan selepas satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.

Gesaan tersebut dibuat ketika beberapa helikopter tempur Syria mengebom beberapa kawasan di pinggir ibu kota Syria, Damsyik semalam.

Pada masa yang sama, Turki menyatakan pihaknya mengerahkan beberapa jet pejuang ke kawasan sempadan di utara negara itu.

Tindakan tersebut dibuat ketika konflik selama 16 bulan di Syria menjadi semakin ganas dengan usaha diplomasi dilihat menemui kegagalan.

Pertempuran kini sampai ke pinggir bandar raya Damsyik sejak beberapa minggu lalu dan turut sengit di seluruh Syria ekoran perjuangan untuk menjatuhkan Bashar kini memasuki fasa perang saudara. - Agensi

Taktik baharu penyeludup

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Bagi mengelak tindakan penguatkuasaan yang ketat menjelang bulan Ramadan, para penyeludup di kawasan sempadan dikesan giat melakukan aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api lebih awal berbanding biasa.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim berkata, penyeludup dikesan telah membawa masuk barangan larangan tersebut untuk dipasarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri, Ogos nanti.

Menurut beliau, UPP awal pagi semalam berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kebun getah di Kampung Bendang Ikan, Baruh Pial, Rantau Panjang.

Katanya, rumah berkenaan dipercayai menjadi pusat transit dan tempat pengumpulan barangan seludup.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, kita menemui dalam sebuah stor 120 buah kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu dipercayai untuk pasaran Lembah Klang menjelang musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam.

Agency

Samun mesin ATM: Lelaki Mesir ditahan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Mesir bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pasar raya besar Carrefour di Wangsa Maju di sini kelmarin.

Lelaki warga asing berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di kawasan Wangsa Maju tidak jauh dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan tangkapan terhadap lelaki itu.

"Setakat ini hanya seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan penyiasatan lanjut berhubung kejadian kehilangan wang di mesin ATM tersebut masih diteruskan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti suspek itu termasuk kemungkinan ada rampasan wang.

Akhbar semalam melaporkan sebanyak empat buah mesin ATM yang terletak di aras satu Carrefour di Wangsa Maju disamun sekumpulan penjenayah profesional menyebabkan kerugian sebanyak RM1.17 juta.

Dalam kejadian pada pukul 3.06 pagi itu, kumpulan suspek dipercayai lebih daripada dua orang menebuk pintu kayu yang terletak di belakang premis pasar raya itu sebelum memecah mesin ATM dengan alat pemotong besi menggunakan gas Oxy-Acetylene.

Agency

Mayat lelaki tua dalam perigi

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Kegagalan seorang lelaki warga emas menjawab panggilan telefon daripada ahli keluarganya sejak Sabtu lalu terungkai apabila dia ditemui mati dibunuh dengan mayatnya dicampak ke dalam perigi di rumahnya di Bukit Sebang, Tampin dekat sini kelmarin.

Mayat Yau Fook San, 68, yang masih bujang ditemui di dalam perigi sedalam lapan meter oleh ahli keluarganya yang datang ke rumah mangsa pada pukul 4.20 petang untuk mencarinya selepas lelaki itu gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, ahli keluarga mangsa mengetahui mayat Fook San berada di dalam perigi selepas melihat kesan tompokan darah pada peti sejuk yang terletak berhampiran perigi tersebut.

"Ekoran itu, keluarga mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai mayat Fook San yang ditutup dengan enam buah kusyen.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa cedera di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, disebabkan perigi itu cetek, pihaknya meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat untuk menambah air bagi menaikkan aras air perigi supaya memudahkan pihaknya menaikkan mayat Fook San.

Agency

Kelantan, QPR tampil barisan terkuat

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Juara Piala FA musim ini, Kelantan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) berjanji akan menampilkan barisan terkuat apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam pada 20 Julai ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan kendalian Bojan Hodak itu tidak akan menggunakan mana-mana pemain jemputan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada barisan pemain yang dimiliki sekarang.

“Inilah cabaran besar yang perlu ditangani pemain The Red Warriors. Ia bukan sekadar perlawanan persahabatan untuk suka-suka sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu titik permulaan untuk kedua-dua pihak menjalinkan hubungan lebih erat selepas ini.

“Peluang beraksi dengan pasukan ternama yang sudah pasti berada jauh lebih baik daripada kita merupakan satu pendedahan yang sangat berguna kepada semua pemain. Baik Kelantan atau QPR, masing-masing tidak mahu kalah dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media mengenai pengumuman perlawanan tersebut, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis, Ketua Pegawai Eksekutif Red Warriors, Kevin Ramalingam dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Malah Annuar secara berseloroh turut menjelaskan ada ganjaran istimewa menanti barisan pemainnya sekiranya mampu menewaskan skuad bimbingan Mark Hughes dalam pertemuan tersebut.

Kelab yang berpengkalan di London dan dimiliki Pengerusi Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes itu akan mengadakan Jelajah Asia dengan bertemu Sabah pada 17 Julai, Kelantan (20 Julai) diikuti Persebaya Surabaya (Indonesia) tiga hari kemudian.

Sementara itu, Inglis turut membayangkan tidak ada laluan mudah bagi Kelantan untuk menewaskan pasukannya memandangkan mereka juga akan menurunkan barisan terkuat dalam pertemuan itu nanti. “Ini merupakan sebahagian daripada persiapan pra-musim kami.

Saya sempat menyaksikan rakaman melibatkan pasukan Kelantan beberapa lalu.

Mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami tidak memandang rendah walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya. Antara beberapa pemain QPR yang mengesahkan akan turun beraksi ialah Robert Green, Dijbril Cisse, Shaun Wrigh-Phillips, Anton Ferdinand dan Bobby Zamora.

Sementara itu harga tiket bagi menyaksikan perlawanan ini ditetapkan RM33, RM53 dan RM 73. Tiket perlawanan boleh dibeli di Stadium Sultan Muhammad IV dan pejabat Kafa mulai Khamis ini.

Sinar

Parah ditendang pelesit rempit

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KLUANG – Sekumpulan enam pelesit rempit yang berang apabila kegiatan haram mereka cuba diganggu bertindak ala samseng apabila menendang motosikal dinaiki seorang anggota polis hingga menyebabkan mangsa cedera parah dalam kejadian di Machap dekat sini semalam.

Kejadian pukul 2.45 pagi itu menyebabkan Konstabel Zuherry Zulkifli, 22, patah tangan kiri selain terpaksa menerima sembilan jahitan di tapak tangan kanan dan cedera di dagu.

Mengimbau semula kejadian itu, Zuherry memberitahu, dia yang sedang melakukan rondaan bersendirian dengan memakai seragam polis telah terserempak dengan sekumpulan pelesit rempit menunggang lima buah motosikal dalam keadaan laju dan bahaya di Kampung Batu 6, Jalan Machap-Ayer Hitam.

Katanya, dia cuba mengejar kumpulan tersebut tetapi gagal sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Balai Polis Simpang Renggam.

“Tanpa disangka, pelesit rempit itu mengejar saya pula. Sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z kemudian menghimpit saya sebelum pemboncengnya mengugut untuk menendang saya jika enggan berhenti.

“Saya terus beredar kerana bimbang mengenai keselamatan diri. Bagaimanapun, selepas bergerak kira-kira 200 meter, pembonceng motosikal Yamaha 125Z itu terus menendang motosikal saya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Kluang di sini semalam.

Kosmo

Penemuan planet yang lebih panas daripada matahari

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ahli astronomi yang terlibat dalam projek Super Wide Angle Search for Planets (SuperWASP) telah berjaya menemui planet terpanas yang dikenali sebagai WASP-33 b. Suhu planet tersebut mencapai 3,200 darjah Celcius, lebih panas daripada suhu beberapa bintang.

Salah satu sebab yang menyebabkan panasnya suhu planet itu adalah suhu bintang induknya yang juga panas. Ahli astronomi mengatakan, suhu bintang induk planet itu adalah setinggi 7,160 darjah Celsius, lebih tinggi daripada suhu matahari yang “hanya” 5,600 darjah Celsius. Jarak antara planet ini dengan bintangnya juga hanya 7 peratus jarak planet Mercury ke Matahari.

Kewujudan planet itu telah diketahui sejak tahun 2006 yang lalu namun baru dapat dipastikan pada tahun 2010. Dikatakan, planet tersebut tergolong dalam sejenis planet gas dengan kapasiti kurang dari 4.1 kali kapasiti Jupiter.

Kajian tentang planet ini diketuai oleh Alexis Smith dari Universiti Keele di Stafordshire, England. Berdasarkan kajian, ahli astronomi juga mengetahui bahawa waktu peredaran planet ini sangat singkat, iaitu hanya 29.5 jam.

Drake Demming dari Goddard Space Flight Center NASA di Greenbelt, Maryland yang tidak terlibat dalam penyelidikan ini mengatakan, “WASP-33 b boleh membantu ahli astronomi mengkaji planet panas yang ciri-cirinya masih lagi misteri.”

Hal yang boleh dipelajari misalnya ada planet yang berorbit dekat dengan bintangnya yang memiliki lapisan atmosfera luar lebih sejuk dari lapisan dalamnya. Ini mengejutkan kerana planet tersebut seperti “dipanaskan” dari luar.

Deming mengatakan, fakta itu ada kaitan dengan wujudnya keadaan asas karbon yang mengubah cara atmosfera memberi respons kepada radiasi. Keadaan kimia tertentu boleh terbentuk akibat sinar ultraviolet dari bintangnya.

“Ini pasti akan menjadi planet yang ingin anda lihat. Ini adalah peluang yang sangat baik untuk kita mengkaji planet yang mengorbit pada bintang yang terlalu panas,” ucap Deming dalam sebuah sesi wawancara dengan majalah New Scientist.

Agency

Bujang Sebelak masuk perangkap

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

SARATOK – Buaya ganas yang dalam buruan sejak 14 hari lalu, Bujang Sebelak akhirnya ditangkap dan dibunuh selepas ia kembali menggemparkan pekan Roban di sini dengan membaham isteri ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, pada 19 Jun lalu.

Buaya jantan seberat 200 kilogram dan panjang 3.65 meter itu ditangkap oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49.

Bangkai itu disahkan sebagai Bujang Sebelak berdasarkan mata kirinya yang buta selain dua kesan tembakan pada bahagian bawah rahang kirinya. Tembakan senapang itu dilepaskan oleh penduduk pada hari buaya itu membaham Siah.

Indet memberitahu, Bujang Sebelak telah memakan umpan daging anjing putih yang dipasang di Sungai Nyiar, kira-kira tiga kilometer dari Rumah Panjang Nanga Sungai Anak petang kelmarin.

Dia kemudian menaiki perahu bersama adiknya, Tinggi Sanabong, 45, serta dua lagi pembantu untuk melihat umpan sebelum menyedari boya yang dipasang telah beralih tempat, iaitu satu petanda umpannya telah mengena.

Mereka mengambil masa sejam untuk bertarung menaikkan Bujang Sebelak.

Kosmo

11 cedera, bas ekspres terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Sebelas penumpang cedera, dua daripadanya parah, selepas bas ekspres yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah di Kilometer 457.5 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bas itu, yang membawa 28 penumpang dari terminal Pudu Sentral di sini, terbabit dalam kemalangan itu ketika hujan lebat kira-kira 3 petang.

Beliau berkata pemandu bas itu mendakwa kemalangan berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah lori yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

“Ketika mengelak, pemandu bas ekspres itu gagal mengawal bas menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan kanan lalu melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya sebelum terbalik di laluan paling kiri,” katanya ketika dihubungi.

Arjunaidi berkata bagaimanapun, beberapa penumpang bas itu menyatakan pemandu berkenaan memandu dengan laju sebelum kemalangan berlaku.

Beliau berkata semua penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala pemandu bas berusia 30 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan, termasuk menjalani ujian air kencing dan darah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kecederaan. – Bernama

Agency

George Kent gagal nilai bidaan, bahaya nyawa orang ramai

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Penilaian bidaan untuk kerja-kerja tambahan LRT Ampang dibuat oleh sebuah syarikat perunding kejuruteraan bernama HSS Integrated Sdn Bhd. Syarikat ini adalah syarikat bersekutu yang menggunapakai kepakaran Halcrow, salah sebuah perunding kejuruteraan terkemuka di dunia.

Keseluruhan penilaian teknikal projek LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion ini dibuat oleh Halcrow. Keputusan penilaian telah dimaklumkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad dalam sebuah laporan bertarikh September 2011 yang disertakan bersama.

Berdasarkan keputusan penilaian yang dibuat oleh Halcrow, Datuk Shahril Mokhtar (Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana) telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan bertarikh 12 Disember 2011 untuk memaklumkan hasil penilaian bidaan kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Mukasurat 7 dan 8 dari surat itu yang menyenaraikan keputusan penilaian bidaan ada disertakan bersama. Ia secara jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja George Kent (pembida 3) gagal dari aspek kewangan (dikira tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk mengendalikan projek ini), konsortium itu juga adalah antara pembida yang mendapat penilaian teknikal yang terendah pada mata 38.62 sahaja (diragui kemampuan teknikal dan tidak berpengalaman mengendalikan projek seperti ini).

Saya ingin memetik beberapa perkara penting hasil dari keputusan penilaian bidaan yang wajib diberikan perhatian serius oleh rakyat Malaysia, seperti yang termaktub di dalam laporan penilaian:

1. Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti ini;

2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit projek yang memuaskan;

3. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1 bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion;

4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT;

5. Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan pembida-pembida; dan

6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh mengendalikan projek itu dengan jayanya.

Berdasarkan dokumen-dokumen ini, terbuktilah bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini, kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lebih mengecewakan, keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan membatalkan keputusan jawatankuasa penilai memberi gambaran seolah-olah beliau tidak menghiraukan bahaya dan risiko keselamatan awam apabila projek sistem LRT diserahkan kepada syarikat yang langsung tidak tahu mengenai LRT.

Jika niat Datuk Seri Najib Tun Razak ini diteruskan, bermakna ratusan ribu rakyat yang menaiki LRT Ampang saban hari kini berada di dalam keadaan bahaya.

Saya menyeru supaya Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan apakah pertimbangan beliau yang mendorong beliau membahayakan keselamatan rakyat dengan menganugerahkan kerja-kerja ini kepada George Kent yang ternyata tidak layak.

Penulis ialah Pengarah Strategi PKR.

Harakah Daily

Tiada Guna Heret Anwar, Azmin Ke Mahkamah...

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Hari ini untuk kesekian kali ketua pembangkang dan perdana menteri dalam pembinaan Anwar Ibrahim diheret ke mahkamah dalam usaha untuk menghalang bekas TPM itu melangkah ke Putrajaya selepas PRU 13 nanti. Anwar hari ini bersama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali diheret ke mahkamah atas tuduhan bersubahat cuba memecahkan sekatan polis ketika himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

(Anwar Ibrahim tidak gentar dengan mahkamah)

Pendakwaan ke atas Anwar dan Azmin itu dilihat sebagai usaha berterusan untuk menggunakan mahkamah bagi mengaib, memburuk dan menghalang Anwar dari terus bergerak untuk meruntuh UBN dengan pelbagai tuduhan yang aneh, ganjil dan gila.

Pada 22 Mei lalu mereka telah dituduh mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan melanggar perintah mahkamah yang menghalang perhimpunan tersebut.

Pertuduhan ke atas Anwar dan Azmin itu jelas bermotif politik. Kenapa hanya mereka sahaja yang dituduh mengikut akta itu tetapi yang lain dibiarkan. Walhal bukan saja Anwar dan Azmin yang merupakan pemimpin politik hadir ke himpunan itu tetapi mereka lain juga kenapa tidak didakwa sama?

Untuk pengetahuan pihak polis, presiden Pas, Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu, dan naib-naib presidennya Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Husam Musa juga hadir tetapi kenapa mereka tidak diseret sama. Apakah tujuan mengheret mereka itu bagi memberi gambaran keburuk dan kejahatan Azmin dan Anwar kemudian mereka diharap akan dibenci rakyat?

Pendakwaan Anwar dan Azmin itu menjadikan mereka sebagai mangsa pertama akta berkenaan yang dilulus secara tergesa-gesa dan dalam keadaan ahli parlimen tidak berpuas hati. Dengan tindakan tidak adil itu maka benarlah tanggapan dan kebimbangan akta itu lebih kurang sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sahaja.

Sementara itu Anwar menyifatkan pertuduhan ke atasnya dan Azmin hari ini sebagai satu penganiayaan politik bukan atas asas-asas keadilan. Melihat kepada bentuk hukuman itu ada maksud ia dibuat untuk menafikan Anwar dan Azmin sebagai wakil rakyat dan hilang hak untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang kerana kalau mereka dihukum atas pertuduhan itu dengan kadar tertentu kedudukan mereka sebagai ahli parlimen ternafi dan menyebabkan mereka tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Pun begitu tuduhan itu tidak akan mengubah keadaan semasa dan tuntutan rakyat waktu ini. Kalau pertuduhan itu dibuat yang kononnya bersandarkan undang-undang tetapi motifnya hendak mengekang Anwar dari menyerang UBN dan Ha Najib Razak ia adalah perbuatan dan tindakan sia-sia sahaja. Apa yang berlaku ke atas Anwar hari ini berdasarkan sambutan dan sokongan tidak akan dapat dihalang dengan apa-apa tindakan 'sadisme' lagi termasuk juga membawa Anwar ke penjara.

Sepatutnya UBN sedar fenomena berlaku hari ini bukan lagi kerana Anwar, maksudnya orang mahukan kepada Anwar menjadi pemimpin... tetapi tuntutan dan desakan hari ini ialah supaya UBN tumbang sebagai kerajaan. Justeru kalau pun Anwar 'dirukup' dalam penjara UBN tetap juga akan berdepan dengan serangan rakyat, bahkan tindakan 'merukup' Anwar dipenjara itu menyemarakkan lagi keadaan.

Yakinlah semua halangan akan dilangkau oleh Anwar begitu saja. Semua lapisan masyarakat kecuali bangsa Umno saja yang tetap menentang Anwar untuk mengepalai negeri ini kerana mereka ada kepentingan terutamanya untuk melindungi diri sendiri. Jika diperhatikan mereka yang bermati-matian untuk menghancurkan Anwar itu semuanya bermasalah dan setengahnya ada kes jenayah. Adapun kenapa mereka berusaha sehingga ke titisan darah terakhir mempertahankan UBN bukan mempertahankan hak rakyat tetapi mempertahankan dosa-dosa mereka. [wm.kl.7:01 pm 02/07/12]

Harakah Daily

Skandal ubat: GlaxoSmithKline didenda RM9 bilion

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

NEW YORK - GlaxoSmithKline didenda kira-kira RM9 bilion (AS$3 bilion) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam kerana gagal melaporkan maklumat keselamatan tiga jenis ubat yang sangat popular keluaran syarikat itu.

Daripada AS$3 bilion itu, AS$1 bilion adalah bagi penyelesaian kesalahan jenayah manakala AS$2 bilion lagi sebagai liabiliti sivil - jumlah terbesar dibayar oleh mana-mana syarikat pengeluar ubat di AS.

Laporan media menyebut GlaxoSmithKline akan membuat pengakuan bersalah atas tuduhan memperkenalkan ubat yang tersilap jenama iaitu Paxil, Wellbutrin dan Avandia dalam pasaran antara negeri di AS.

Menurut pihak berkuasa, ubat-ubat itu dipasarkan sebagai bahan rawatan bagi keadaan yang tidak mendapat kelulusan kerajaan.

Timbalan Penguam Negara AS, James Cole dipetik berkata penyelesaian itu sesuatu yang luar biasa “dari segi skop dan saiz.”

Pengeluar ubat-ubatan terbesar itu mengaku mempromosikan Paxil dan Wellbutrin bagi kegunaan-kegunaan yang tidak diluluskan termasuk bagi rawatan ke atas kanak-kanak dan orang dewasa.

Selain itu, syarikat tersebut juga mengaku bersalah berhubung tuduhan menyembunyikan butiran data keselamatan dan membuat dakwaan-dakwaan tidak berasas berkenaan ubat diabetes Avandia.

Malah, syarikat itu juga didakwa membuat bayaran kepada doctor untuk mempromosi dan menggunakan ketiga-tiga ubat berkenaan.

Sinar Harian

Kebuk sampah kena pecah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

BUKIT TERATAI - Usaha menyelesaikan isu sampah haram di Taman Bukit Teratai terbantut apabila disabotaj oleh individu yang tidak berpuas hati dengan pembinaan kebuk sampah di kawasan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 23, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohammad Firdaus Babh berkata, kebuk sampah yang hampir siap hasil usaha sama JKP Zon 23, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Bukit Teratai dan MPAJ untuk mengatasi masalah haram sejak 15 tahun lalu dipecahkan oleh segelintir penduduk.

Menurutnya, mengikut perancangan, 62 kebuk sampah yang dibina bagi menyelesaikan masalah sampah haram di taman itu sepatutnya dilancarkan pada 1 Julai 2012 tetapi ada pihak yang bertindak memecahkannya.

“Individu yang memecahkan kebuk sampah tersebut telah dikenal pasti. Sikap pihak berkenaan merencatkan usaha JKP dan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah sampah haram yang berlarutan berbelas tahun lamanya.

“Kejadian ini dicetuskan oleh pihak terbabit dikatakan merasakan pembinaan kebuk sampah tersebut mengganggu keselesaan penduduk sedangkan pembinaan kebuk sampah berkenaan adalah mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam kejadian baru-baru ini, lapan kebuk sampah telah dipecahkan dan dianggarkan kerugian mencecah RM6,200 daripada keseluruhan kos projek iaitu RM48,000 bagi kegunaan kira-kira 369 unit kediaman rumah kedai di sini.

Firdaus berkata, berikutan daripada vandalisme dan sabotaj tersebut, pihak JKP dan JMB taman itu terpaksa menangguhkan rancangan menutup tiga lokasi pembuangan sampah dalam kawasan itu .

Menurutnya, mengikut jadual, kontraktor sampah akan mula mengambil sampah-sampah penduduk dari kebuk yang disediakan sebaik sahaja tiga tong sampah besar di lokasi itu ditutup seterusnya mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Syarikat Zulkernain iaitu kontraktor pembinaan kebuk sampah itu kesal dengan kejadian tersebut.

Pengurusnya, Zulkernain Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan syarikatnya rugi besar dan penggunaan kebuk terpaksa ditangguhkan seterusnya melambatkan usaha mengatasi sampah haram sejak 15 tahun lalu.

Sinar Harian

Anak Michael Jordan digari cetus pergaduhan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

NEBRASKA - Anak pemain legenda bola keranjang, Micheal Jordan ditahan awal pagi kelmarin, selepas mencetuskan ketegangan di luar sebuah hotel di Omaha, Nebraksa, Amerika Syarikat.

Marcus Jordan yang juga pelajar kolej bola keranjang dipercayai bertengkar dengan dua wanita di hadapan hotel berkenaan.

Media melaporkan, pihak hotel terpaksa menghubungi polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana dia dipercayai mabuk ketika itu.

Beliau juga terpaksa digari selepas enggan bekerjasama dengan polis ketika disoal siasat dan dibebaskan sehari selepas itu.

Sinar Harian

30 ditahan kes pembunuhan etnik

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

YANGON - Seramai 30 suspek ditangkap pihak berkuasa Myanmar berkaitan pembunuhan 10 orang Bengali- Islam di barat Rakhine, ketika rusuhan etnik dan agama di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Brigadier-Jeneral Kyaw Zan Myint, kesemua suspek dikenakan tindakan undang-undang negara itu.

"Sepuluh orang dibunuh ketika menaiki bas, manakala 19 daripada 24 suspek dikaitkan dalam rusuhan di Balai Polis Sittway bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, seorang wanita berusia 27 tahun dari etnik Rakhine dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki dari etnik Bengali-Islam di kampung Kyauknimaw, Yanbye pada 28 Mei lalu.

"Kesemua mereka ditangkap keesokan harinya, namun salah seorang daripada mereka membunuh diri di penjara Kyaukpyu, manakala dua lagi dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah daerah Kyaukpyu.

Angka rasmi menunjukkan, kematian rusuhan di Rakhine meningkat kepada 78 kes, manakala 3,158 dibakar dan 97 serangan puak berlaku.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu melaporkan, situasi di Rakhine kembali stabil, walaupun perintah darurat masih dikuatkuasakan di enam bandar di negeri itu.

Sinar Harian

Najib takut bubar, strategi tidak menjadi

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

Strategi Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak menjadi untuk membolehkan beliau membubar Parlimen. Keresahan jelas terukir di wajah beliau yang akan memimpin pilihan raya pada kali ini.

Tekanan daripada dalam Umno juga begitu kuat, jika Umno kalah bererti beliau akan dihambat oleh Umno daripada kerusi Presiden.

Walaupun sepatutnya pilihan raya diadakan pada tahun lepas, sehingga persidangan Umno ditangguhkan bagi menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya.

Bajet yang dibentangkan ialah bajet pilihan raya. Berbagai-bagai pemberian diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, bantuan kepada pelajar sekolah RM100 dan bantuan pelajar universiti RM200 dan banyak lagi skim untuk pancing undi.

Umno di bawah kepimpinan Najib cuba menggunakan taktik supaya negeri Pakatan Rakyat digambarkan oleh media Umno sebagai tidak mampu. Isu ini dijawab dengan amalan bukan dengan percakapan.

Kerajaan Pakatan Rakyat mampu mentadbir dengan baik dengan penuh ketelusan. Banyak manfaat yang diperolehi oleh rakyat, kerana 51 tahun Umno memerintah rakyat tidak merasai lebihan kekayaan negeri, terutama di Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat tidaklah mendabik dada ia kerajaan yang terbaik, namun rekod hampir lima tahun memeritah ia lebih baik daripada Umno memerintah 51 tahun di negeri tersebut.

Ketika negeri-negeri di bawah pemerintahan BN yang sedang menggigit jari, rakyat di negeri Pakatan Rakyat mendapat berbagai nikmat dan peningkatan kualiti hidup.

Taktik fitnah kepada kerajaan Pulau Pinang melalui media Umno kononnya anti Melayu telah terjawab, apabila sudah dua kali Utusan Malaysia didapati bersalah oleh mahkamah. Tujuanya supaya orang Melayu jangan dekat dengan Pakatan Rakyat.

Atas faktor inilah Najib belum berani mengadakan pilihan raya, kerana takut kalah. Suasana politik tidak menyebelahi BN, beliau cuba untuk menunggu peluang terbaik.

Namun masa terus berjalan, iddah pemerintahan Najib hanya sembilan bulan lagi, inilah menjadi kerunsingan kepada beliau. Semua taktik tidak menjadi, pakar-pakar strategi sudah habis digunakan namun nasib tidak menyebelahi Najib.

Harakah Daily