24 June 2012

Komunis: Mohamad maafkan Visvanathan, bukan Utusan

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedia memaafkan saksi pertama kes isu komunis Bukit Kepong, Visvanathan a/l Muthu, 75, yang terlibat dengan perbicaraan isu berkenaan di Mahkamah Seksyen Butterworth pada 11 Jun lalu.

Mohamad sebaliknya terus bertekad menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana mengeluarkan berita dengan niat jahat.

Jelasnya, Visva Nathan telahpun mengaku dan memohon maaf kepadanya di hadapan Hakim Ikmal Hisyam Ahmad Tajudin ketika diasak peguam Mohamed Hanipa Maidin pada perbicaraan berkenaan.

Ujar beliau, kemaafan dibuat berdasarkan kepada keinsafan Visva Nathan yang beberapa kali memandangnya dengan tangan dirapatkan seolah-olah sedar bahawa beliau bersalah kerana melemparkan fitnah dengan membuat satu laporan polis pada 27 Ogos lalu berpandukan laporan Utusan Malaysia.

"Tak apalah saya maafkan Visva Nathan kerana beliau jadi boneka dan hanya berpandukan kepada Utusan Malaysia yang melaporkan kononnya saya menghina pasukan polis dan Yang di-Pertuan Agong kerana menyanjung Mat Indera yang disifatkan oleh penjajah sebagai pengkhianat. Saya hanya maafkan dia bukan Utusan Malaysia," katanya ketika ditanya sejurus berucap di Perhimpunan Hijau Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Acheh, Nibung Tebal petang semalam.

Bukan sahaja Visva Nathan memohon maaf bahkan turut mencadangkan kepada pihak polis agar tidak mengambil tindakan kepada Mohamad.

Mungkin kata Mohamad, setelah peguam Hanipa Maidin memberikannya keratan akhbar Utusan Malaysia dan teks ucapan pada majlis di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora yang jelas tidak langsung menyebut perkataan 'komunis'.

"Lepas ni kayalah saya dapat duit saman Utusan Malaysia. Rugilah kalau tuan- tuan dan puan-puan tidak berkawan dengan saya," katanya secara berjenaka.

Turun berucap di majlis bertemakan 'Perhimpunan Hijau Tawan Dun Sungai Acheh' ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Fauzi Yusuf dan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan.

HARAKAHDAILY/-

Syria tembak pesawat F-4 Turki

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

ISTANBUL - Syria menembak jatuh pesawat pejuang Turki di Laut Mediterranean dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas berhubung insiden itu, yang mungkin membuka dimensi baru dalam penentangan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Syria mendakwa pesawat F-4 itu sedang terbang rendah dan berada dalam kawasan perairannya apabila ditembak, awal pagi waktu Malaysia.

Tentera laut kedua-dua negara sedang terlibat dalam operasi mencari kedua-dua juruterbang jet itu.

Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan berkata, pihak tentera Turki dan Syria akan bekerjasama bagi mencari kedua-dua juruterbang pesawat F-4 yang hilang itu.

"Turki akan menyatakan pendirian selepas insiden itu disiasat dan tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Sementara itu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon berkata, beliau mengikuti keadaan itu dengan teliti.

"Saya berharap insiden yang serius ini dipandang serius oleh kedua-dua pihak melalui saluran diplomatik," katanya.

SINAR HARIAN/-

Debat Bukan Budaya Kita, Tapi Baling Batu, Telor, Tarian Pungkoq & Kata Haramjadah

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kalau takut debat, jangan kata bukan budaya'

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menolak perdebatan atas alasan bukan budaya politik di negara ini.

"Kalau takut berdebat dengan pemimpin pembangkang, janganlah kata ini bukan budaya (kita) sebab ada di kalangan pemimpin Umno yang sedia berdebat.

"Jadi yang budaya kita itu apa?" kata Mustafa (kanan) dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana menteri semalam terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran debat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia bergantung kepada keadaan dan bukan "budaya politik secara menyeluruh dalam sistem kita."

Ditanya sama ada beliau menolak berdebat dengan Anwar, Najib tidak menjawab secara langsung tetapi berkata, yang penting rakyat ada maklumat cukup membuat keputusan sama ada BN lebih baik atau pembangkang.

Menurutnya tindakan Najib itu juga mungkin berlaku kerana beliau takut "gilirannya akan tiba" memandangkan pemimpin Umno lain seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah sudah pun berdebat dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Barang kali yang ada dalam kepala Najib, lain kali kalau ada debat lagi mestilah tak boleh 'turun ke bawah' dan akan 'naik ke atas'.

"Naik ke atas (giliran) dialah. Kalau ketakutan, jawab sahajalah 'saya takut'," kata Mustafa sambil ketawa kecil secara sinis.

Menurutnya lagi, dakwaan Najib itu juga tidak tepat kerana agama Islam sendiri menganjurkan perdebatan sebagai perkara yang boleh dilakukan

"Ada ayat menyatakan kalau kamu berdebat, berdebatlah dengan cara yang paling baik," katanya. -mk

Guan Eng menang satu lagi saman ke atas Utusan

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memenangi satu lagi saman fitnah ke atas Utusan Malaysia hari ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Saman itu berhubung satu laporan pada 15 Mac 2008 yang disiarkan akhbar milik Umno tersebut, mengenai dakwaan untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru.

Ini merupakan kemenangan kedua Lim di mahkamah ke atas Utusan.

Milik Siapa Syarikat Minyak Yang Baru Ini?

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

Semenjak saham Exxon/Mobil dibeli oleh syarikat pembuat arak terbesar di Asia Tenggara, San Miguel Corporation, semua stesen minyak Esso dan Mobil diseluruh negara akan berubah wajah..pakai jenama Petron..San Miguel Corporation bukankah anak Tun Mahathir Mohamad, Mirzan Mahathir ada kepentingan?.. -FB

Jambatan sementara mendap

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Jambatan sementara berdekatan Balai Polis Pulau Sebang, dekat sini, yang menjadi laluan penduduk dari Pulau Sebang ke Kemuning, terpaksa ditutup bermula petang kelmarin kerana berlaku mendapan.

Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 4 petang sebelum disedari Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Sebang, Zakaria Abdullah.

Zakaria berkata, menjadi rutin hariannya selepas hujan untuk meninjau keadaan jambatan itu bagi memastikannya selamat digunakan penduduk.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan jambatan itu, beliau mendapati air sungai melimpah ke arah Alor Gajah.

"Selepas itu, saya lihat batu konkrit di kawasan jambatan sudah beralih kedudukan," katanya.

Zakaria berkata, selepas itu, beliau memaklumkan perkara berkenaan kepada Sidang Kampung, Abdul Malik Sulaiman sebelum merujuk kepada pihak polis dan pihak berkaitan.

“Tanpa membuang masa saya segera menghubungi sidang dan kontraktor untuk menutup jalan dan selepas itu, pihak polis tiba.

“Mujur ketika jambatan itu mendap tiada kenderaan yang melaluinya walaupun kebiasaannya jalan di kawasan ini sering sesak," katanya.

Katanya, diharap pihak kontraktor dapat menyegerakan kerja-kerja baik pulih jambatan sementara itu kerana ia adalah jalan utama penduduk Kemuning, Solok Menggong, Bukit Bulat, Hutan Percha untuk ke Alor Gajah.

Sementara itu, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Kapt (B) Abd Karim Sulaiman berkata, beliau dimaklumkan perkara itu dan sudah merujuk kepada jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita memang tidak menyangka keadaan ini akan berlaku di mana aliran hakisan sungai deras melalui bahagian bawah konkrit menyebabkan struktur jambatan mendap dan mengalami keretakan,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak JKR dapat mengkaji semula penstrukturan jambatan berkenaan berikutan laluan alternatif yang ada sekarang turut mendatangkan kesukaran kepada pengguna jalan raya.

“Saya akan bawa perkara ini dalam perbincangan dengan pihak JKR supaya dapat menggesa pihak kontraktor menyegerakan kerja-kerja baik pulih secepat mungkin,” katanya.

sinar harian/-

PRU musim haji: Najib 'khianat' Islam

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap pengkhianat terhadap agama Islam sekiranya beliau memutuskan untuk memanggil pilihan raya umum ketika musim haji.

Ia kerana tindakan itu dilihat sebagai menafikan hak orang Islam untuk mengundi, sedangkan begitu banyak tarikh yang lebih sesuai untuk diadakan pilihan raya umum.

Demikian dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Menurutnya, jika pilihan raya dilaksanakan pada ketika itu, ia akan menafikan hak lebih 30,000 umat Islam yang dijangka mengerjakan haji untuk mengundi.

"Sebab dengan pilihan raya ini, sesuatu Dun itu boleh kalah dengan majoriti kurang dari 50, 60 begitu. Manakala, kalau di peringkat parlimen pula mungkin dalam majoriti 100 hingga 200 undi. 300 orangs etip kawasan boleh memberikan 'warna' yang berlainan," tegas beliau.

Justeru, Mustafa berkata, sebagai seorang Perdana Menteri yang beragama Islam, Najib perlu faham dengan sensitiviti berkaitan agama Islam.

Beliau bagaimanapun, mendesak Najib memberi jaminan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim haji bagi menghentikan polemik berkaitan isu tersebut.

"Polemik mengenai isu pilihan raya ketika musim haji ini boleh dihentikan dengan cara mudah iaitu Najib tidak mengadakan pilihan raya pada musim haji.

Kalau dia putuskan tidak buat waktu itu, selesai polemik kerana bagi kita menunaikan haji itu wajib, dalam masa sama mengundi juga wajib," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Mustafa berkata polemik mengenai isu itu menunjukkan perlunya tarikh pilihan raya ditentukan lebih awal agar rakyat tidak tertanya-tanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mufti-mufti yang ebrda di dalam Umno agar menasihati Perdana Menteri itu agar tidak membuat pilihan raya pada musim haji seperti yang pernah diadakan sebelum ini.

Semalam, Najib mengatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum akan berlangsung pada musim haji kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

harakahdaily/-

Tempuh derita berganda

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Begitu keadaan menggambarkan nasib bekas operator kilang, Rahmat Abdul Rahman, 27, yang menanggung penderitaan berganda selepas pemergian arwah ayah tahun lalu dan kini terlantar selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada November lalu.

Anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada April lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dia terlantar
berikutan sebelah kiri badannya lemah.

Abangnya, Rusdi, 31, berkata, ketumbuhan itu juga menyebabkan saraf mata adiknya rosak hingga buta kedua-dua mata.

Menurutnya, episod duka bermula selepas Rahmat diserang sawan pada September lalu dan sejak itu, kesihatan adiknya kian terjejas sehingga terpaksa berhenti kerja.

“Sebelum ini adik ceria, peramah dan disenangi semua orang. Dia tidak pernah mengadu sakit ataupun mempunyai sebarang penyakit kronik, malah pada mulanya kami menganggap ia penyakit biasa dan tidak seteruk ini.

“Selepas itu, kami membuat pemeriksaan di hospital dan adik disahkan menghidap penyakit ini pada November lalu. Doktor menyatakan dia hanya mempunyai peluang 50-50 untuk sembuh kembali,” katanya.

Ditanya harapan adiknya, Rahmat selalu meluahkan impiannya untuk kembali pulih.

“Sekarang kami adik-beradik menampung kos rawatannya. Kami ada merujuk masalah adik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) beberapa minggu lalu dan kini sedang menunggu maklum balas,” katanya.

Dia ditemui bersama adiknya ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada ahli Badan Kebajikan Kemanusiaan Mukim Sungai Karang/Beserah (Bakkis) diketuai Yang Dipertuannya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di Lorong Balok Permai 6, di sini, semalam.

Kunjungan itu turut disertai polis dan ahli Pertubuhan Kerabat Merong Wangsa Malaysia (Merong) Cawangan Pahang sempena program Ziarah Jariah dianjurkan Bakkis.

Sementara itu, Wan Azlan menggesa semua pihak turun padang dan menghulurkan bantuan sewajarnya untuk membantu golongan memerlukan seperti keluarga Rahmat.

“Rahmat perlu dibantu segera. Kita simpati dengan keadaannya. Kunjungan Bakkis hari ini (semalam) adalah antara aktiviti dalam program Ziarah Jariah sedang giat dijalankan,” katanya.

sinar harian/-