09 June 2012

Terselamat bom tak letup

19 Rejab 1433H. [MOD] -

TUMPAT - Seorang petani terselamat apabila bom dipercayai dari zaman Perang Dunia Kedua dijumpai dalam kawasan kebunnya, tidak meletup walaupun berada timbunan semak yang dibakar.

Mat Isa Hussin, 52, berkata, ketika kejadian dia bertindak menguis abu hasil dari semak yang dibakar menggunakan parang sebelum mendapati ia adalah besi buruk.

“Saya terus menyapu debu yang melekat di besi buruk itu dan terkejut mendapati ia sebutir bom,” katanya.

Susulan daripada itu katanya, dia terus bertindak segera keluar dari kawasan terbabit dan memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai penemuan bom tersebut.

Mat Isa berkata, ia merupakan pengalaman besar baginya kerana pertama kali berjumpa bom setelah setahun mengusahakan tanah terbabit.

“Saya juga tidak tahu adakah kawasan ini menjadi medan perang semasa pendudukan Jepun dulu, namun ia merupakan pengalaman yang baik untuk saya dan bersyukur dan bernasib baik bom itu tidak meletup ketika ia turut terbakar bersama semak samun yang dibersihkannya sejak kelmarin,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom jenis mortar yang masih aktif di lokasi tersebut.

"Bom mortar bersaiz 81 milimeter (mm) itu dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) kira-kira 11.45 pagi semalam di lokasi bom itu ditemui," katanya.

sinar harian/-

Buruh maut dihempap kren

19 Rejab 1433H. [MOD] -

SETAR - Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut akibat dihempap kren pembancuh simen di Taman Seri Indah, Jalan Putra, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa Delowar Hossain Nurul Islam, 27, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan badan.

Saksi kejadian, Razak Othman, 50, berkata, selepas terdengar bunyi seperti benda berat jatuh, dia seakan-akan terdengar bunyi jeritan dan kemudiannya melihat kren berkenaan
bergoyang-goyang.

“Rumah saya terletak tidak jauh dari sini, kira-kira 500 meter dan saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Bila saya tiba di sini, saya lihat rakan-rakan mangsa sudah mengangkat mangsa ke tepi sementara menanti bantuan perubatan, namun tidak lama selepas itu, mangsa menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Rakan sekampung mangsa, Akhbar Ali, 39, berkata, mereka datang bersama dari Bangladesh untuk mencari pekerjaan di Malaysia.

“Kami mendapat kerja di sini tetapi saya bekerja di tempat berlainan tidak jauh dari kawasan ini, mangsa sudah berkahwin kira-kira empat tahun lalu dan isterinya kini berada di kampung.

“Saya terkejut bila ada rakan menelefon dan memberitahu kemalangan yang menimpa mangsa, saya terus bergegas ke sini dan lihat dia sudah meninggal,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

sinar harian/-

Telan ikan hidup untuk ubati asma

19 Rejab 1433H. [MOD] -

SEORANG ahli keluarga Bathini Goud, Harinath Goud memasukkan ikan hidup ke dalam mulut pesakit asma di Hyderabad semalam.

HYDERABAD - Puluhan ribu penghidap asma menyerbu sebuah stadium di sini, selatan India semalam untuk menelan ikan sardin hidup yang dilumur ubat herba bagi mengubati masalah pernafasan mereka.

Laman berita Newser melaporkan, kaedah perubatan ganjil itu yang diasaskan oleh keluarga Bathini Goud, dikritik oleh kalangan doktor perubatan moden.

Namun, kritikan mereka gagal menghalang orang ramai daripada mengunjungi keluarga berkenaan pada setiap tahun selepas ramai pesakit mendakwa sembuh selepas mendapat rawatan tersebut.

Keluarga Goud mendakwa mereka menerima resipi ubat asma tersebut daripada seorang pendita Hindu sekitar 170 tahun dahulu.

Mereka memberikan ubat unik tersebut kepada pesakit secara percuma pada setiap tahun tetapi enggan mendedahkan ramuannya.

Menurut seorang ahli keluarga Goud, pendita tersebut memberi amaran bahawa ubat itu tidak berkesan jika dikomersialkan. - Agensi

Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula

19 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan meminta pihak pengurusan semua sekolah di seluruh negara supaya memastikan kawasan persekitarannya bersih dan bebas daripada pembiakan Aedes sebelum sesi persekolahan bermula setelah bercuti dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan mangkuk tandas dipam, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) dalam kolah atau takungan besar serta menyembur Aerosol ke dalam kelas-kelas yang tertutup sepanjang cuti persekolahan sejak 25 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar sekolah yang didapati membiarkan sekolah menjadi tempat pembiakan aedes.

"Pemeriksaan kementerian terhadap 10,591 sekolah dari Januari sehingga 25 Mei lepas mendapati 723 sekolah mempunyai kawasan pembiakan aedes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya sebanyak 554 kompaun telah dikeluarkan kementerian dengan nilai kompaun RM277,000.

Dr Hasan turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran kediaman bukan hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebaliknya menjadi agenda masyarakat setempat.

"Jawatankuasa Penduduk perlu mengatur program gotong-royong apabila mendapati kawasan persekitaran tidak bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Menurutnya kes denggi mulai Januari hingga 2 Jun tahun ini telah meningkat sebanyak 19 peratus kepada 10,352 berbanding 8,720 kes bagi tempoh sama tahun lepas di seluruh negara.

Malah, kematian akibat denggi juga meningkat kepada 20 bagi tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun lepas, sebanyak 349 kes dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Negeri berkenaan ialah Sarawak dengan tujuh kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Perlis (tiga), Terengganu (tiga) dan Negeri Sembilan (satu kes).

Selain itu, sebanyak 69 lokaliti dikenal pasti mengalami wabak denggi yang melibatkan 17 daerah tetapi tiada lokaliti 'hot spot' dilaporkan.

Kementerian Kesihatan turut mendapati 1,026 premis menjadi kawasan pembiakan aedes daripada 66,907 premis yang diperiksa pada minggu lepas, kata Dr Hasan. - Bernama

Doktor di Mexico berjaya melakukan pembedahan pemindahan dua tangan

19 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDAR RAYA, Mexico – Selepas berulang kali melakukan prosedur berkenaan ke atas mayat, sepasukan doktor di Mexico berjaya melakukan pembedahan pemindahan dua tangan sekali gus yang merupakan implan pertama seumpamanya di rantau Amerika Latin.

Ketua Pakar Bedah Institut Kebangsaan Sains Perubatan dan Pemakanan Salvador Zubiran, Dr. Martin Iglesias berkata, pembedahan itu dilakukan bagi menyambung dua lengan seorang lelaki tempatan Gabriel Granados.

Kedua-dua lengan Granados terpaksa dipotong selepas terbakar akibat terkena renjatan elektrik pada 2011.

Menurutnya, pesakit itu menerima sepasang lengan baharu daripada seorang mangsa tembakan berusia 34 tahun.

“Ini merupakan detik terindah, setelah beberapa lama hidup tanpa tangan, saya kini dapat melihat sepasang tangan baharu,” kata Granados yang bekerja di unit kewangan pejabat pendakwa raya di sini.

Dia menjalani pembedahan tersebut awal Mei lalu.
Namun, Granados, 52, hanya dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas dia disahkan pulih.

“Ini adalah detik bersejarah untuk Mexico daripada sudut saintifik,” kata pengarah institut berkenaan, Dr. Fernando Gabilondo.

Pembedahan sukar lagi rumit itu dilakukan di institut berkenaan di sini. – Agensi

Gempa cetus tanda tanya

19 Rejab 1433H. [MOD] -

Punca gegaran belum dikenal pasti, Stesen Meteorologi tak terima laporan

IPOH: Gegaran yang berlaku selama beberapa minit yang menimbulkan panik kepada penduduk sekitar bandar raya ini dan Gunung Rapat pagi kelmarin terus menjadi tanda tanya kerana sehingga kini punca kejadian sebenar masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kejadian itu dan masih belum dapat mengenal pasti puncanya.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan termasuk dakwaan beberapa penduduk sekitar Jalan Kampar kemungkinan berpunca daripada penggunaan bahan letupan oleh sebuah syarikat ketika melakukan kerja pembinaan sebuah bangunan di situ.

“Polis masih menyiasat dakwaan penduduk di Jalan Kampar terbabit yang mendakwa rumah mereka turut mengalami kesan keretakan dan gegaran akibat kesan letupan itu.

“Setakat ini, tiada pihak yang tampil mengesahkan punca gegaran itu dan kuari paling hampir ialah di Simpang Pulai tetapi siasatan mendapati tiada aktiviti menggunakan bahan letupan dilakukan pada masa kejadian.

“Polis menerima beberapa laporan termasuk aduan penduduk menerusi telefon mengenai gegaran itu dan saya sudah mengarahkan pegawai dan anggota menyiasat lebih lanjut puncanya,” katanya, di sini, semalam.

Kelmarin, beberapa penduduk di sekitar bandar raya ini dan kawasan Gunung Rapat termasuk di Politeknik Ungku Omar (PUO) panik apabila merasa gegaran luar biasa sehingga mengakibatkan premis masing-masing seakan bergoyang beberapa minit pagi kelmarin.

Dalam kejadian bermula jam 11.15 pagi itu, penduduk termasuk kakitangan dan pelajar PUO merasai gegaran sehingga menyebabkan tingkap pejabat serta perabot dalam premis pejabat bergetar hampir lima minit.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah, ketika ditemui pemberita kelmarin memberitahu beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama sembilan kakitangannya apabila secara tiba-tiba terasa bangunan seperti bergegar menyebabkan tingkap dan meja turut bergetar.

Stesen Meteorologi Ipoh yang dihubungi memaklumkan tidak menerima sebarang laporan membabitkan gempa bumi manakala jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak pula berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kejadian itu tetapi tidak dapat mengenal pasti punca kejadian.

beritA HARIAN/-

PTPTN: Jangan jadikan mahasiswa bahan eksperimen

19 Rejab 1433H. [MOD] -

Pertama sekali penulis ingin mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana isu pembekuan pinjaman PTPTN kepada mahasiswa tahun pertama Universiti Industri Selangor (Unisel) dapat diselesaikan dengan cara baik yang mana pembekuan itu telah ditarik balik oleh pihak PTPTN setelah perbincangan dilakukan antara Naib Canselor Unisel bersama Ketua Eksekutif PTPTN Agus Cholan. Malah, mahasiswa Unisel juga telah dibenarkan untuk mengemukakan permohonan pinjaman mereka secara online di laman web PTPTN.

Daripada kemelut yang menjadi isu besar di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini dapat penulis rangkumkan bahawa kemelut ini lebih bermotifkan kepada nilai status politik dan juga serangan psikologi menjelang PRU 13. Mengapa? Pelbagai persoalan yang boleh kita bangkitkan dalam isu ini.

Pertamanya, boleh dikatakan bahawa Umno/Barisan Nasional boleh dikatakan terkesan dengan cadangan Pakatan Rakyat (PR) dalam menawarkan pendidikan tinggi percuma di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan juga pemberian elaun RM5000 ringgit kepada setiap mahasiswa universiti. Hal ini dikuatkan lagi dengan perdebatan isu PTPTN yang diadakan baru-baru ini, melibatkan oleh saudara Rafizi Ramli Pengarah Strategi PKR dan juga Saudara Khairi Jamaluddin Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Kedua, Umno/Barisan Nasional cuba (dengan izin di dalam bahasa Inggeris) mengadakan ‘Test Market’ atau menguji kemampuan kerajaan negeri di bawah pemerintahan PR, supaya memberikan pendidikan percuma yang war-warkan sebelum ini. Hal ini disebabkan, bagi pandangan mereka(Umno/BN) pendidikan tinggi percuma perlulah dilaksanakan terlebih dahulu institusi-institusi pendidikan tinggi di bawah naungan kerajaan PR sebelum PR bercita-cita menawan kerajaan pusat di Putrajaya.

Ketiga, kemungkinan besar imej Umno/Barisan Nasional pada waktu ini semakin merudum terutama dalam kalangan anak muda disebabkan isu tarian K-Pop yang diadakan di Himpuan Sejuta Belia di Putrajaya, dan juga kejayaan PR khususnya PAS dalam mengadakan Himpunan Hujau di Stadium Darul Aman baru-baru ini, terutama kejayaan PAS dalam menarik golongan anak muda.

Persoalan - persoalan ini bolehlah disandarkan kepada rentetan mengapakah berlakunya isu pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa Unisel baru-baru ini. Seperti penulis tekankan sebelum ini ia lebih bermotifkan kepada nilai status politik dan juga serangan psikologi. Ditambahkan lagi, penulis juga amat tidak bersetuju sekiranya kemudahan pinjaman ini disekat kepada mana - mana pelajar, terutama mahasiswa Unisel dek kerana IPTS berkenaan di bawah kawal seli kerajaan negeri Selangor, dalam erti kata mudahnya wujud sentimen perbezaan politik dalam hal ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat mahupun PTPTN dalam memberikan kemudahan pinjaman, biasiswa, atau dalam apa bentuk bantuan cara sekali pun kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA/S seluruh Malaysia, dengan syarat selagi kerajaan persekutuan yang masih ada sekarang tidak berubah tampuk pemerintahan.

Sekiranya berlaku perubahan tampuk pemerintahan kelak, menjadi tanggungjawab kerajaan yang baru dalam melaksanakan polisi bantuan kewangan kepada pelajar, adakah ingin memberi pendidikan tinggi secara percuma atau pun mengekalkan kemudahan pinjaman seperti yang sedia ada.

Selain itu, tindakan yang diambil (pembekuan pinjaman) ini boleh dikatakan sebagai tiadakan ke anak - anakan. Penulis boleh membayangkan bahawa tiadakan PTPTN ini tidak sepatutnya berlaku, walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah sebagai alternatif dan memberi peluang kepada kerajaan yang diperintah oleh PR untuk melaksanakan polisi pendidikan tinggi percuma yang di nyatakan selama ini.

Jika benar PTPTN ingin memberi peluang kepada kerajaan PR untuk melaksanakan polisi ini sekali pun, mengapa tidak dibincangkan terlebih dahulu, dan mengapa perlu mengambil pendekatan secara drastik sehinggakan masyarakat mahupun mahasiswa terpinga - pinga dengan isu pembekuan pinjaman ini.

Oleh itu, penulis ingin tegaskan kepada pihak yang berkenaan jangan jadikan mahasiswa sebagai bahan eksperimen dalam meraih sokongan. Jika ilmu, pendidikan, modal insan dijadikan bahan perjudian, maka tindakan ini lama kelamaan memberi kesan buruk kepada masa hadapan negara. Malah, matlamat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, berkualiti tidak akan tercapai dan menjadi sia-sia belaka.

harakahdaily/

Politik Mesir semakin tidak menentu

19 Rejab 1433H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan bertengkar sesama sendiri mengenai calon presiden Mohammed Morsi dan Ahmad Shafiq di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.

Gabungan masalah politik, undang-undang diramal cetus ketegangan baru

KAHERAH: Enam belas bulan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat, masa depan politik Mesir masih bergelut dengan kes mahkamah dan perbalahan terbuka antara calon.

Keadaan itu mungkin menyebabkan Parlimen Mesir yang baru dilantik dibubarkan, pilihan raya presiden tidak akan diteruskan manakala Perlembagaan baru negara itu tidak dapat dirangka.

Cara masalah ini diatasi akan menentukan sama ada pemerintahan tentera akan berakhir 1 Julai depan atau Mesir kembali kepada keadaan asal dengan ketegangan dan pertumpahan darah baru.

“Keputusan mahkamah akan meningkatkan sejuta persoalan. Apa yang kita lihat sekarang ialah kekalutan politik,” kata Ahli Perundangan Ikhwanul Muslimin, Sobhi Saleh, pergerakan yang berdepan kehilangan besar jika Parlimen dibubarkan.

Gabungan antara masalah politik dan undang-undang berlaku tidak sampai dua minggu menjelang pilihan raya pusingan kedua antara Ahmad Shafiq dan calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, pada 16 dan 17 Jun ini. Pemenang akan diisytiharkan pada 21 Jun.

Morsi dan Shafiq adalah dua calon yang menduduki dua tempat teratas daripada 13 calon dalam pilihan raya pusingan pertama bulan lalu. Rakyat Mesir yang tinggal di luar negara sudah mula mengundi dalam pusingan kedua ini.

Bagaimanapun, bilangan aktivis yang semakin ramai mendesak pilihan raya dibatalkan keseluruhannya, merosakkan prospek sama ada calon Ikhwanul Muslimin atau penyokong setia rejim lama untuk mentadbir Mesir. Bekas ketua agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei, yang juga pemimpin pembaharuan negara itu salah seorang daripadanya.

“Rakyat Mesir tidak bersedia untuk pilihan raya dan mereka akan berpecah-belah. Pilihan raya perlu menjadi pentas akhir demokrasi, yang belum kita miliki,” katanya kepada wartawan Selasa lalu.

Dua hari sebelum pilihan raya, Mahkamah Agung Perlembagaan, akan mempertimbangkan dua kes yang berpotensi menjadikan semuanya kucar-kacir sekali lagi.

Dalam satu kes, ia menilai semula keputusan mahkamah rendah mengenai undang-undang menganjurkan pilihan raya Parlimen lewat tahun lalu tidak mematuhi Perlembagaan. Jika mahkamah bersetuju, perundangan sedia ada yang menyaksikan Ikhwanul Muslimin menguasai hampir separuh kerusi akan dibubarkan dan rakyat Mesir perlu kembali mengundi untuk memilih Parlimen baru.

Kes lain ialah sama ada Shafiq boleh terus bertanding atau tidak. Mahkamah akan mengeluarkan keputusan mengenai kesahihan undang-undang pengecualian politik yang diluluskan Parlimen melarang ramai tokoh rejim lama daripada bertanding dalam pilihan raya. Jika ia menyokong undang-undang itu, Shafiq terpaksa menarik diri dan pilihan raya presiden terpaksa dimulakan sekali lagi.

Beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir minggu ini menuntut undang-undang itu digubal untuk menyingkirkan Shafiq.

Peralihan untuk pemerintahan demokratik di Mesir memang bergelora sejak jeneral tentera, diketuai Menteri Pertahanan Mesir zaman Mubarak selama 20 tahun, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada presiden yang disingkirkan itu Februari tahun lalu. – AP

Belas ihsan anjing, lindungi bayi

19 Rejab 1433H. [MOD] -

BOLGATANGA - Pihak berkuasa baru-baru ini melaporkan seekor anjing di Ghana digelar sebagai wira kerana melindungi bayi baru dilahirkan yang dibuang di bawah jambatan di Winkongo berhampiran ladang tuannya untuk sepanjang malam.

Tujuan asal pemilik anjing itu untuk mencari haiwan peliharaannya membawa kepada penemuan bayi tersebut.

Penduduk kampung terkejut melihat anjing itu memeluk bayi yang masih bertali pusat tersebut seperti anaknya sendiri.

Pengarah Kesihatan Daerah Talensi- Nabdam, Rosemary Azure berkata, bayi malang itu semakin pulih daripada jangkitan dan dia kini ditempatkan di pusat jagaan kesihatan.

Difahamkan, pihak berkuasa masih menyiasat untuk mengesan identiti ibu bapa bayi tersebut yang dipercayai adalah pasangan remaja di kawasan itu.

SINAR HARIAN/-

Euro 2012: Rusia tumpaskan Republik Czech 4-1

19 Rejab 1433H. [MOD] -

Wroclaw 9 Jun - Rusia membuktikan betapa mereka perlu diberi perhatian sebagai salah satu pasukan yang mampu melakukan kejutan pada saingan Euro 2012 setelah menang besar, 4-1 ke atas Republik Czech pagi ini.

Penyerang CSKA Moscow, Alan Dzagoev membuka jaringan pada minit ke-15 sebelum meledak rembatan padu pada minit ke-79 untuk menewaskan penjaga gol Czech, Petr Cech buat kali kedua.

Sementara dua lagi gol disumbangkan pemain tengah, Roman Shirokov pada minit ke-24 dan pemain gantian, Roman Pavlyuchenko kira-kira lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Gol sagu hati Czech pula dijaringkan pemain tengah, Vaclav Pilar pada minit ke-52.

Selain aksi pantas dan taktikal tepat, kemenangan besar anak-anak buah Dick Advocaat turut dibantu kerapuhan benteng pertahanan lawan yang sering membenarkan penyerang Rusia bebas mencari ruang untuk melancarkan serangan. - AGENSI

PTPTN: Jangan banding epal dengan ikan yu

19 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dalam isu pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN terhadap Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyindir 'kebijaksaan' Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam menimbulkan kontroversi ini.

Mohamad berkata sepatutnya Khaled membuat perbandingan epal dengan epal dalam isu ini.

“Jgn bandingkan kerajaan PR selangor dgn kerajaan pusat. Banding mesti epal dgn epal. Bkn epal dgn ikan yu,” tulis beliau di laman Facebook beliau.

Mohamad menegaskan bahawa PR berjanji akan memberikan pendidikan percuma apabila ia diberi mandat untuk memerintah kerajaan pusat pada PRU13 bukan memerintah di peringkat negeri.

“Kenapa Menteri Pengajian Tinggi begitu tidak cerdik?” soal beliau.

Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan Timblan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak membekukan pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.

Khaled berkata pembekuan tersebut sekadar ingin menguji sama ada negeri Pakatan Rakyat Selangor adalah serius dalam menyediakan pendidikan percuma.

“Sekarang mereka telah mengakui kepentingan PTPTN, jelas sekali mereka tidak dapat mencapai matlamat memberikan pendidikan percuma,” kata beliau.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik semalam selepas mendapat pelbagai kritikan, dari dalam dan luar Umno yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.

Ramai penganalisa politik melihat kontroversi PTPTN kali ini adalah pertembungan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Umno, di mana kedua-duanya mempunyai keperluan berbeza untuk kekal hidup di dunia politik.

Sekiranya Najib berjaya memenangi dua pertiga semula, Muhyiddin dijangka akan menghadapi kesukaran mempertahankan kedudukannya pada pemilihan Umno yang bakal berlangsung tahun ini dan digantikan dengan sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno.

Untuk menyelamatkan dirinya dan memberikannya peluang untuk mengguling Najib, Muhyiddin perlu memastikan Najib gagal mendapat 2/3 majoriti malah keputusannya merosot berbanding Tun Abdullah Badawi di 2008, tapi BN masih kekal menang di PRU-13.

Sekiranya terlebih melakukannya, BN bakal tertewas dan Muhyiddin juga bakal hilang segala-galanya.

Disebabkan itu, rakyat akan dapat melihat pertembungan puak pemikiran lama dengan puak transformasi sebegini dengan lebih kerap menjelang PRU-13.

harakahdaily/-

Ganjaran RM49,000 tunjuk muka terhodoh

19 Rejab 1433H. [MOD] -

SICHUAN - Tang Shuquan menawarkan ganjaran 10,000 pound (RM49,000) kepada sesiapa yang boleh membuat memek wajah pelik seperti dilakukan olehnya.

Pemegang Rekod Dunia Guinness dari China untuk kategori muka terhodoh berumur 43 tahun itu kini mencabar pesaingnya yang mempunyai kelebihan serupa.

Shuquan menyatakan dia mengambil masa tujuh tahun untuk berlatih sebelum merealisasikan bakat unik tersebut di peringkat antarabangsa kira-kira 10 tahun lalu.

Mac lalu, dia mengambil bahagian dalam rancangan televisyen, Rekod Dunia Guinness di Itali dan dianugerahkan AS$10,000 (RM32,000) serta pingat atas bakat luar biasanya.

sinar harian/-

Bayi melecur kena seterika

19 Rejab 1433H. [MOD] -

MELAKA: Ayah dan ibu bergaduh, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang menjadi mangsa apabila terkena seterika panas dibaling ayah ke arah ibunya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Seri Kemendor, Jasin, dekat sini.

Kejadian jam 4.30 petang, Rabu lalu itu menyebabkan bayi terbabit meraung kesakitan apabila bahagian kiri badannya melecur selain mukanya bengkak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, insiden itu turut membongkar status ibu bapa mangsa yang tidak berkahwin, tapi bersekedudukan hingga memperoleh tiga anak.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa tidur di ruang tamu, manakala ibunya berusia 26 tahun yang juga pengawal keselamatan menggosok baju.

“Berlaku pertengkaran antara ibu dan bapa mangsa sebelum keadaan bertukar tegang. Bapa mangsa berusia 35 tahun yang juga penoreh getah merentap seterika digunakan pasangannya dan membaling ke arah wanita itu.

metro/-

'Haram jadah': 5 peneroka lapor polis

19 Rejab 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: Seramai lima orang peneroka sekitar Jengka semalam bertindak membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 15 Adnan Darus serta dua akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Menurut salah daripada mereka Abdul Rahim Abdul Rahman, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Temerloh itu terpaksa diambil berikutan peneroka-peneroka terbabit merasa maruah mereka diaibkan secara terbuka seolah-olah mereka orang yang bersalah.

Katanya, pada 8 Mei lalu Najib ketika mengisytiharkan ‘durian runtuh’ di Felda Jengka 8 telah menghina peneroka dengan perkataan haram jadah yang ditujukan kepada 8 peneroka yang memfailkan saman injunksi bagi menghalang pelupusan ekuiti saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebelum ini.

“Kenyataan yang diungkapkan Najib di hadapan 40 ribu warga Felda dan disiarkan secara langsung oleh televisyen itu telah mengakibat kami dipandang hina oleh masyarakat.

“Selepas kenyataan tersebut diungkap PM pihak media turut menjadikan kami sebagai sasaran cemuhan sepanjang agihan durian runtuh kepada peneroka sehingga menyuburkan perasaan buruk sangka dan permusuhan sesama warga Felda.

“Dengan kenyataan biadab itu juga terbit bentuk ugutan dan tekanan kepada kepada peneroka supaya tidak membawa sebarang kes bersangkutan Felda ke mahkamah, ia tentu tidak adil kerana menyekat hak peneroka untuk memilih mahkamah sebagai salah satu jalan penyelesaian,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Abdul Rahim berkata, bagi akhbar Utusan Malaysia, pada 18 Mei lalu telah menyiarkan satu berita di muka depan bertajuk ‘Peneroka Fail Injunksi Ambil Cek Durian Runtuh’ dengan memaparkan gambar dua orang peneroka yang sedang menerima cek.

Tambahnya, akhbar berkenaan sengaja membuat dakwaan kedua-dua peneroka tersebut kononnya memfailkan injunksi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) walhal mereka memfailkan injunksi menghalang pelupusan aset KPF kepada FGVH.

“Akhbar berkenaan juga mendakwa peneroka-peneroka yang menjadi tumpuan ramai sengaja menebalkan muka dan menelan segala tohmahan yang dilontarkan apabila tampil mengambil cek dutrian runtuh.

“Akhbar tersebut juga mengada-adakan cerita kononnya kami berlima mengambil cek dalam keadaan tergesa-gesa dengan memberi alasan mempunyai urusan lain bagi menggambarkan kami malu,” ujarnya.

Jelasnya, berita yang sengaja direka-reka itu mengakibatkan timbulkan keadaan tidak baik, syak wasangka dan boleh menimbulkan permusuhan sesama warga Felda.

Tambahnya, akhbar Harian Metro pula menyiarkan berita menggambarkan ‘peneroka lima sekawan’ berkenaan tidak mempunyai prinsip kerana termakan hasutan pembangkang sehingga malu untuk berhadapan dengan peneroka lain walaupun membantah dan membawa kes ke mahkamah.

Menurutnya lagi, akhbar berkenaan hanya memetik kenyataan bohong dan fitnah daripada Pengerusi JKKR Jengka 15.

“Hasil daripada kenyataan yang disiarkan itu membuatkan mesyarakat memandang serong dan timbul prasangka buruk kepada kami,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah yang turut hadir, selepas ini pihaknya akan bertindak lanjut dengan memfailkan saman terhadap empat pihak di atas kerana terdapat locus standi.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan kira-kira 30 orang peneroka.

harakahdaily/-