08 June 2012

Isu "Haram Jadah": Najib Bakal Disaman Malu Oleh ANAK

18 Rejab 1433H. [MOD] -

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menghantar notis menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan terbuka berhubung ucapannya yang menyebut 'haram jadah' kepada peneroka, 8 Mei lalu.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata notis itu akan dihantar ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya pada 15 Jun, selepas solat Jumaat.

"Peguam Anak telah meneliti beberapa kali ucapan Najib dan ternyata ia mengandungi kenyataan berniat jahat, jijik dan dan tidak sepatutnya.

"Kita akan serah notis dan kalau notis ini juga tidak dilayan, kita akan teruskan hasrat saman malu terhadap Najib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, Anak akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (Berhad), dijangka pada bulan ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 orang di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu.

Katanya, perhimpunan itu merupakan kemuncak kepada usaha Anak selepas usaha dilakukan selepas segala pendekatan diplomasi mereka tidak diendahkan.

"Sebelum ini Anak sudah guna semua saluran undang-undang. Memorandum pernah dihantar kepada perdana menteri, kita pergi ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pergi ke Suruhanjaya Sekuriti, tapi mereka tidak mahu dengar pandangan kami," kata beliau.

Mazlan yang juga penyelaras Gerakan Selamat Felda (GSF) berkata, pihaknya mengisytihar perang terhadap Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Isa Samad, Ahmad Maslan dan pihak yang menyokong penyenaraian FGVH yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.

"Oleh kerana pandangan kita tidak diendah, Anak umumkan isytihar perang ke atas mereka dan akan akan adakan kempen radikal selama tiga minggu ini," katanya.

Mazlan juga yakin himpunan itu akan mendapat sambutan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang tidak berpuas hati dengan penyenaraian FGVH.

"Saya yakin Anak mampu himpunkan jumlah yang besar kerana sebelum ini ramai yang dah hubungi saya tanya samaada Anak merancang himpunan atau tidak dan saya rasa inilah masanya," katanya sambil manambah lokasi dan tarikh perhimpunan tersebut akan diumumkan minggu hadapan. -HD

Hukuman berat ke atas pedagang haiwan eksotik

18 Rejab 1433H. [MOD] -

TEMERLOH — Hukuman berat termasuk penjara menanti mereka yang menangkap, membekal dan memperdagangkan haiwan eksotik.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Pahang (Perhilitan), Khairiah Mohd Sharif berkata, haiwan eksotik seperti kera dan tenggiling adalah dilindungi dan menjadi satu kesalahan mereka yang menangkap dan memperdagangkan haiwan tersebut.

"Sesipa yang didapati terlibat boleh dikenakan hukuman berat termasuk dipenjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kegiatan segelintir penduduk tempatan termasuk masyarakat Orang Asli di negeri ini yang dikatakan terpengaruh dengan janji-janji sindiket memperdagangkan haiwan berkenaan melalui internet.

Khairiah kesal dengan sikap sesetengah pihak yang diperalat untuk menjual haiwan berkenaan kerana dilihat mengambil jalan mudah mencari wang dengan menangkap serta menjual haiwan dilindungi itu.

“Banyak cara lain boleh dilakukan bagi mendapatkan wang, bukan dengan cara menangkap atau menjual haiwan dilindungi, kerana ia boleh menjadikan haiwan berkenaan pupus,” katanya. — BERNAMA

Guru hilang ditemui di ladang

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.
Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.

"Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.

"Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma," katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.

metro/-

Pemuda PAS gesa Malaysia tutup kedutaan Syiria

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hampir 100 orang menyertai demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Syiria hari ini bagi membantah tindakan kejam regim Bashar Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyatnya.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan kedutaan itu di Jalan U-Tant.

Mereka melaungkan slogan 'Hancur Bashar', 'Selamatkan Syiria', 'tutup Kedutaan Syiria'.

Mereka turut membawa poster dan kain rentang bertulis 'Stop children killer now' dan 'Assad=hitler' serta mengibarkan bendera Syiria.
Minggu lalu, di Houla menyaksikan pembunuhan beramai-ramai membabitkan kematian lebih 100 penduduk, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Biarpun pembunuhan itu dinafiakan Bashar Assad, namun Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pembangkang negara itu mempunyai sangkaan kuat bahawa pembunuhan itu dilakukan tentera pro kerajaan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan pada himpunan itu hari ini mendesak agar Kerajaan Malaysia menutup dengan segera Kedutaan Syiria dan menghalau mereka dari bumi Malaysia.

"Kita berkumpul ini adalah tanda sokongan kita sebagai umat Islam yang menentang kekejaman Bashar, yang mana telah memalukan umat Islam di seluruh dunia.

"Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dalam hal ini, sepatutnya kerajaan jangan lepas tangan dan mesti menutup kedutaan dengan segera," jelasnya.

Tambahnya lagi, tindakan penutupan kedutaan ini adalah sebagai tanda bahawa kita menentang kekejaman yang dilakukan oleh Bashar.

Menurutnya lagi, demo bantahan ini akan terus dilakukan jika suara rakyat Malaysia dan umat Islam tidak didengari oleh kerajaan.

"Ini merupakan perhimpunan kali kelima dilakukan terhadap bantahan kekejaman tersebut dan jika kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan kita akan meneruskan perhimpunan ini pada masa akan datang.

Pada perhimpunan kali ini tiada memorandum diserahkan kepada pihak kedutaan, kerana sehingga sekarang tidak ada jawapan langsung diperoleh terhadap memorandum yang diserahkan sebelum ini.

Himpunan aman yang turut disertai rakyat Syiria itu berakhir kira-kira jam 3 petang.

Turut menyertai perhimpunan tersebut adalah Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dan juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad.

Harakah Daily

Belasah nenek hingga patah tangan

18 Rejab 1433H. [MOD] -

SERIAN: Seorang nenek menerima penghinaan dan penganiayaan yang tidak pernah terfikirnya apabila disepak dan dipijak cucu sendiri hingga patah tangan kanan dalam kejadian di Balai Ringin, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi 1 Jun lalu, warga emas berusia 87 tahun itu diserang cucu lelakinya yang berusia awal 20-an ketika dia memberi makan ayam peliharaan di halaman rumahnya.

Cucu mangsa bagaikan dirasuk apabila menyepak neneknya hingga tersungkur.
Mangsa cuba bangun semula, tetapi belum sempat berbuat demikian, cucunya memijaknya beberapa kali.

Lelaki itu hanya menghentikan perbuatan zalimnya itu selepas mangsa menjerit kesakitan dan merayu tidak disakiti sebelum dia diselamatkan seorang ahli keluarga lain yang menyaksikan kejadian.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Serian pada hari kejadian dan mengesahkan mangsa patah tangan kanan selain cedera di lutut akibat terjatuh, disepak dan dipijak.

Harian Metro

Kanak-kanak tanpa mata gemar cahaya

18 Rejab 1433H. [MOD] -

MARWANIJUN mengacukan lampu picit ke arah mukanya sambil diperhatikan Salamu.

DOKTOR mendakwa mata kiri Marwanijun tidak mempunyai kanta.
URUMQI (Xinjiang): Marwanijun dilahirkan tanpa mata, tetapi kelihatan gembira apabila lampu picit diacukan ke mukanya.

Sejak berusia lapan bulan, lampu picit sering diacukan ke arah rongga Marwanijun di mana mata kirinya sepatut berada.

Kini doktor di China mendapati dia mempunyai mata di bawah lapisan kulit itu, tetapi ia terlalu sensitif untuk didedahkan. Ibu bapa kanak-kanak terbabit kecewa apabila anak lelaki mereka dilahirkan hanya dengan lapisan kulit yang licin menutupi rongga mata.

Namun apabila bapa, Madamihan dan ibunya, Salamu, masing-masing berusia 26 tahun membawa anak mereka dari desa terpencil ke sebuah hospital di Urumqi yang juga ibu negeri Xinjiang, mereka diberikan sinar harapan. Doktor memberitahu anak mereka sukakan lampu picit kerana dia sebenarnya mempunyai mata kiri, tetapi ia dilitupi lapisan kulit.

“Dia teruja untuk melihat cahaya dan kami berdoa setiap hari supaya dia dapat melihat cahaya,” kata Madamihan.

Malangnya pakar di Hospital Tentera 474 berkata, kanak-kanak itu tidak sesuai untuk menjalani pembedahan kerana matanya tidak mempunyai kanta.

Walaupun jika pembedahan dapat mendedahkan bola mata kirinya, dia mungkin tidak dapat melihat apa-apa. Doktor mencadangkan kanak-kanak itu mungkin sesuai untuk diberikan mata palsu apabila dia mencecah usia 16 tahun.

Terdapat pelbagai sebab mengapa kanak-kanak dilahirkan tanpa mata. - DM

Sekat PTPTN, Mahasiswa mahu undi BN lagi?

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Biarpun pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) ditarik balik, namun anak muda kini kenal siapa itu BN, kata Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, tindakan PTPTN yang direstui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya mendedahkan perangai kebudak-budakan kerajaan.

Pembekuan itu juga katanya menjelaskan bahawa slogan transformasi politik dan rakyat diutamakan, hanyalah kata-kata kosong yang tidak mempunyai nilai selain dendam politik murahan.

"Dengan bertindak seperti itu, generasi muda pasti akan mengenal dasar hipokrit BN.

"Apabila Menteri KPT mengarahkan supaya PTPTN dibekukan untuk pelajar yang akan mendaftar di Unisel, bermakna kerajaan pusat telah melaksanakan dasar penindasan bersifat apartheid kepada pelajar dan ibubapa di negeri Selangor," katanya.

Menurut Azmi, menteri KPT ternyata tidak dapat membezakan antara dasar memberi pendidikan percuma diperingkat persekutuan dengan hak mendapat pembiayaan diperingkat negeri.

Menghentikan pinjaman PTPTN dengan cara selektif dan diskriminatif begini ujarnya lagi, membuktikan slogan 1 Malaysia bukan kesaksamaan untuk semua tetapi keistimewaan untuk rakyat dan negeri yang pro BN dan menafikan hak negeri Pakatan Rakyat.

Ini juga bererti konsep persekutuan (federalisme) sudah dibatal oleh BN sendiri, katanya lagi.

"Tindakan membeku pinjaman kepada anak warga rakyat sendiri untuk melanjutkan pelajaran atas sebab politik adalah tindakan tidak bertamadun.

"Negara fahaman komunis sendiri tidak mengambil tindakan seperti itu," tegasnya lagi.

Tindakan sebegitu ujar Azmi, bukan baru dilakukan Umno BN.

Isu menafikan hak royalti minyak untuk Trengganu bila PAS memerintah, menghentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat dan mewujudkan agensi khas iaitu JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) bagi Negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang adalah antara angkara 'gila kuasa' yang tersemat dalam sanubari pemimpin negara kini.

"Rakyat harus terima hakikat bahawa yang dipentingkan (BN) bukan lagi kebajikan rakyat tetapi kuasa yang ingin dipertahankan termasuk menafikan hak rakyat.

"Tindakan itu bukan sahaja menyalahguna kuasa malah ia juga adalah pemangsaan masa depan anak bangsa sendiri. Generasi muda yang menjadi mangsa harus tahu bersikap terhadap kerajaan ini," katanya.

Harakah Daily

Demo anti PTPTN: UiTM gantung Khalid 3 semester

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath digantung pengajian selama setahun setengah selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan anti-PTPTN.

Hukuman yang disampaikan oleh panel disiplin UiTM itu berkuat kuasa September depan sehingga suku pertama 2014.

Khalid dibicara pagi tadi oleh lembaga tatatertib UiTM atas tiga pertuduhan ke atasnya iaitu kesalahan ponteng kelas dan peperiksaan, tulisannya di facebook ke atas pasukan polis dan juga penglibatan dalam perhimpunan anti PTPTN di Dataran Merdeka April lalu.

Beliau tidak ditemani peguam kerana kerana perbicaraan tersebut hanya perbicaraan khas bagi pelajar.

Kira-kira 30 aktivis mahasiswa hadir memberikan sokongan kepada beliau walaupun dihalang masuk ke kawasan UiTM Shah Alam.

Harakah Daily

Mansuh pamer bantah elak calon BN disabotaj?

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.

Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya.

Harakah Daily

Misi kayuh bot selama tiga bulan

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KAKI Bovard mengayuh pedal botnya. - Agensi

STOCKHOLM - Seorang warga Perancis, Didier Bovard akan melakukan misi mengayuh sebuah bot dalam tempoh tiga bulan.

Bovard, 49, akan memulakan misinya sejauh 6,000 kilometer dari Greenland ke Deauville di Perancis.

Ketika ini, bot tersebut yang bernama My Way berada di Tasik Geneva, Switzerland.

Bot itu mengandungi panel solar yang akan membolehkan lampu dan Sistem Penentu Kedudukan Global berfungsi.

Tujuan misi itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa tentang isu pemanasan global. - Agensi

Bertam Nite: PKR pandang berat, tarian tidak sesuai

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pihak penaja 'Bertam Nite' harus bertanggungjawab di atas tindakan membenarkan persembahan tarian ala K-Pop pada majlis makan malam tersebut, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Saifuddin bagaimanapun berkata, penganjur iaitu Cabang Kepala Batas juga melakukan kesilapan apabila mempercayai sepenuhnya pihak penaja tanpa melakukan raptai.

"Pihak penaja harus bertangungjawab dalam perkara ini walaupun sudah memohon maaf dan penganjur juga harus berhati-hati selepas ini.

"Difahamkan, acara malam itu sepatutnya persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum tapi keluar-keluar tarian yang tidak sopan, ini akibat tiada rehearsal dan serah bulat-bulat kepada penaja," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Saifuddin juga berkata, PKR tetap berpendirian bahawa tarian seperti itu tidak sesuai diadakan pada majlis makan malam anjuran parti kerana mengabaikan nilai kesopanan.

"PKR memberi teguran kepada penganjur bahawa kita menghormati kebudayaan pelbagai kaum tapi harus berlandaskan nilai-nilai kesopanan.

"PKR memandang berat perkara ini dan memberi teguran keras kepada anggota parti yang terbabit," tegasnya.

Sementara itu, pihak yang menaja program ini menghantar surat kepada PKR memohon maaf di atas kesilapan ini.

Surat itu ditujukan kepada Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Johari Kassim.

Dalam sidang medianya, Johari memohon maaf di atas peristiwa itu dan memberitahu ia bukan dari pihaknya.

Harakah Daily

Keputusan kes Mahfuz, Salahudin 3 September

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) Kuala Lumpur semalam menetapkan tarikh 3 September ini bagi keputusan kes dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub menyaman kerajaan.

Keputusan itu dibuat hakim Prasad Sandosham Abraham selepas mendengar keterangan lima saksi bagi pihak defenden semalam.

Mereka adalah Inspektor Mohd Zaidi Mad Zizat, Supritenden Aida Abdul Hamid, ASP R.Muthusamy, ASP Zulkifli Osman dan Jurugambar Polis Ganeson.

Sementara itu, ketika memberi keterangan semalam, Zaidi mengaku telah menangkap dua pemimpin PAS pada hari perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Beliau juga mengaku kedua-duanya bukan ditangkap ketika menyertai perhimpunan itu.

Pengakuan itu direkodkan ketika menjawab pertanyaan peguam plaintif, Abdul Aziz Hamzah.

Pada 8 Ogos tahun lalu kedua-dua mereka memfailkan saman malu terhadap empat pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Zaidi.

Ianya ekoran dakwaan penangkapan salah terhadap mereka di KL Sentral pada 9 Julai lalu sempena himpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Saman tersebut difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Harakah Daily

MB S’gor kunjungi Nik Aziz sempena lawatan rasmi

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bertemu Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena lawatan rasminya ke negeri itu hari ini.

Pertemuan itu diadakan tertutup di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, selepas tuan guru selesai mengadakan kuliah dataran dataran ilmu sebentar tadi.

Selain melakukan lawatan ke beberapa cabang dan ranting petang ini, Khalid akan menyampaikan ceramah Malam Merdeka Rakyat peringkat negeri Kelantan.

Ceramah berkenaan akan di adakan di padang Majlis perbandaran ketereh bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dijangka menyampaikan ceramah yang akan bermula 9 malam ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan peguam scorpine Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu turut hadir mengiringi Khalid, Timbalan PKR Negeri Abdul Aziz Kader dan Setiusaha Mohd Hisomuddin Bakar.

Harakah Daily

Fatah, Hamas setuju tubuh kerajaan baru

18 Rejab 1433H. [MOD] -

Dua buah pertubuhan pejuang Palestin mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan baru dalam satu pertemuan di sini, langkah utama bagi mencapai keamanan dan mengadakan pilihan raya umum yang sudah lama tertangguh.

Fatah dan Hamas mencapai satu perjanjian damai pada tahun lepas tetapi gagal melaksanakannya.

Anggota delegasi Fatah, Sakher Beseiso berkata, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang memimpin pergerakan Fatah dan ketua Hamas, Khaled Mashaal akan bertemu di Kaherah pada 20 Jun ini untuk meluluskan Kabinet baru itu.

''Barisan Kabinet baru itu kemudian akan diumumkan di Ramallah, Tebing Barat,'' katanya.

Fatah yang menguasai Pihak Berkuasa Palestin mentadbir Tebing Barat manakala Hamas pula menguasai Genting Gaza.

Wakil daripada kedua-dua pihak bertemu di sini, semalam bagi membincangkan mengenai pelaksanaan rundingan damai berkenaan.

Perpecahan antara Fatah dan Hamas telah menyukarkan usaha perdamaian di Asia Barat.

Kedua-dua pergerakan tersebut berbeza pendapat bagaimana untuk menghadapi Israel di mana Fatah ingin mencapai perdamaian melalui rundingan, manakala Hamas tidak mengiktiraf rejim Zionis itu. - AGENSI

9 juta ambil ujian masuk universiti

18 Rejab 1433H. [MOD] -

Pelajar berebut tempat lanjut pelajaran ke menara gading di seluruh China

BEIJING: Lebih sembilan juta pelajar di China menduduki peperiksaan kemasukan universiti disifatkan paling sukar di negara itu semalam hingga ramai ibu bapa sanggup menyewa bilik hotel dan menyediakan pengasuh untuk memastikan kejayaan anak mereka.

Dengan hanya 6.85 juta tempat yang ditawarkan di universiti di seluruh China tahun ini, persaingan memasuki menara gading utama semakin meningkat dan cubaan menipu juga tidak terkecuali apabila lebih 1,500 ditahan kerana disyaki menjual alat pendengaran yang sukar dikesan.

Tahun ini, ada ibu bapa dan pelajar menggunakan pelbagai kaedah pelik tetapi sah di sisi undang-undang untuk memastikan mereka tidak membuat kesilapan dalam peperiksaan dua hari itu.

Malah, ada pelajar diberikan suntikan dan titisan intravena sebelum masuk bilik peperiksaan, bagi meningkatkan tahap tenaga sementara pelajar perempuan pula diberi suntikan hormon dan pil pencegah hamil untuk melewatkan haid.

“Ada pelajar perempuan mengambil pil untuk melewatkan haid sehingga selepas peperiksaan,” kata seorang pakar sakit puan di Hospital Chaoyang, Beijing.

Selain itu, pasangan kaya menyewa rumah untuk anak mereka yang berhampiran dengan 7,300 pusat peperiksaan di seluruh negara manakala bilik didakwa untuk ‘pelajar pandai’ juga ditawarkan di bandar pelabuhan Tianjin, lapor akhbar China Daily. – AFP

Suami Arroyo didakwa lagi

18 Rejab 1433H. [MOD] -

MANILA - Jose Miguel, suami kepada bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo berhadapan lagi dengan tuduhan rasuah berhubung penjualan helikopter terpakai dengan harga lebih tinggi kepada pasukan polis negara itu.

Bagaimanapun, Miguel, kelmarin menafikan dia terlibat dengan penipuan tersebut dan tidak pernah memiliki helikopter itu seperti didakwa kumpulan penyiasat sebelum ini.

Mac lalu, di bawah kempen antirasuah Presiden Filipina, Benigno Aquino, dia juga didakwa menerima suapan AS$330 juta (RM1 bilion) menerusi kontrak perjanjian rangkaian jalur lebar di seluruh negara dengan syarikat telekomunikasi China pada 2007 iaitu semasa isterinya memegang jawatan sebagai presiden.

sinar harian/-

Kesihatan Hosni Mubarak semakin buruk di penjara

18 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan Hosni berada di dalam kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah pada 2 Jun lalu.

KAHERAH - Tahap kesihatan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) semakin merosot sejak dia dipindahkan ke sebuah penjara, lapor sebuah agensi berita semalam.

Keadaan itu berlaku selepas dia dipindahkan ke penjara itu pada Sabtu lalu bagi menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh sejumlah penunjuk perasaan.

Menurut agensi berita MENA, Hosni mengalami kemurungan yang teruk selain tekanan darah tinggi sejak dia tiba di penjara Tora, selatan Kaherah.

Hosni yang berusia 84 tahun dijatuhkan hukuman seumur hidup kerana memerangi satu pemberontakan yang menentang pemerintahannya pada awal tahun 2011.

Dalam pemberontakan itu, hampir 850 orang terbunuh.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly turut menerima hukuman penjara seumur hidup.

Namun, enam lagi bekas pegawai keselamatan semasa zaman pemerintahan Hosni telah dibebaskan daripada tuduhan membunuh penunjuk perasaan itu.

Sebelum dipindahkan ke penjara itu, Hosni dirawat di sebuah hospital tentera. - Agensi

Unisel: Politik dendam sebelum Umno BN dikuburkan

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pendekatan politik dendam yang terus 'diperkukuhkan' oleh Umno dan BN pada hari ini menggambarkan Umno semakin terdesak untuk mempertahankan pemerintahan parti tersebut menjelang PRU13 yang akan datang.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas tindakan politik dendam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pusat terhadap para pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel).

Katanya, tindakan dendam PTPTN yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno terhadap Selangor sungguh memalukan dan memualkan seluruh rakyat Malaysia.

Sebenarnya, ujar beliau politik dendam Umno bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia dan ianya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Rakyat Malaysia amat mengetahui perkara ini dan insya Allah rakyat Malaysia akan menguburkan politik dendam Umno BN dalam PRU yang akan datang.

"Kita juga turut meminta agar para ulamak yang sebelum ini mengeluarkan hukum tentang haramnya Bersih turut menyuarakan pandangan berkenaan tindakan zalim ini," tegas beliau lagi.

Tambahnya, Dewan Ulamak PAS juga berharap mereka bersifat adil dalam mengeluarkan hukum hakam Islam dan jangan hanya mengeluarkan hukum apabila berkaitan dengan kepentingan kerajaan tetapi mereka juga hendaklah turut prihatin dalam mengeluarkan hukum apabila mana-mana rakyat Malaysia dizalimi.

Harakah Daily

Beku PTPTN: Umno BN amal politik ‘zaman batu’

18 Rejab 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan zalim, angkuh dan biadap kerajaan Pusat terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya kerana disebabkan oleh perbezaan ideologi politik di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Hanya disebabkan ‘dendam politik’ maka Umno dan Barisan Nasional bertindak membekukan pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap ‘keseronokan’ Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin di atas arahan untuk ‘membekukan’ pinjaman tersebut dan kenyataan dangkal Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menyatakan bahawa pinjaman tersebut akan hanya disambung sekiranya PKR mengaku salah secara jelas menunjukkan bahawa Umno dan Barisan Nasional mempraktikkan budaya politik ‘zaman batu’ yang cukup jijik.

Hanya kerana dendam kesumat disebabkan perbezaan pandangan politik menyebabkan Umno dan Barisan Nasional hilang pertimbangan kewarasan selaku pemerintah sehingga sanggup untuk menzalimi rakyat sendiri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengingatkan Umno dan Barisan Nasional bahawa sejarah telah menunjukkan para penzalim akan dibiarkan berleluasa dan berseronok dengan kezaliman yang mereka lakukan sebelum daripada mereka ‘dijatuhkan’ dengan secara hina oleh Allah Taala tanpa mereka sedari.

Dan insyaAllah hasil daripada kezaliman Umno dan Barisan Nasional ini, seluruh rakyat dan para mahasiswa pasti akan bangkit untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di atas kenyataan beliau yang menyatakan bahawa pihak Unisel akan menggunakan aset mereka untuk membantu menangani kesusahan yang menimpa pelajar-pelajar tersebut sebagai langkah jangka masa pendek.

Proses perbincangan dengan pihak kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah ini masih terus dijalankan.

Semoga keprihatinan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan dapat meringankan beban pelajar-pelajar Unisel yang dizalimi oleh Umno dan Barisan Nasional.

Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluiddin yang turut tidak bersetuju dengan pembekuan pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan Umno dan Barisan Nasional supaya berubah kepada politik yang lebih matang dan berhemah serta meninggalkan budaya politik dendam dan fitnah kerana ianya tidak membawa kebaikan kepada pembangunan masyarakat yang bertamadun.

Sudah tiba masanya untuk rakyat ‘menurunkan’ Umno dan barisan nasional daripada tampuk kekuasaan negara kerana mereka kini semakin dikuasai oleh nafsu serakah untuk terus memerintah kerana hendak menjaga kepentingan diri dan kroni semata-mata dan bukan lagi memberikan khidmat untuk keselesaan rakyat seluruhnya.

Rakyat perlu memberikan sokongan dan undian kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional selaku pemerintah negara bagi merealisasikan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat sepertimana yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Hasbullah ialah ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Harakah Daily

Penunggang sengaja cari nahas

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS - Kesedaran mengenai kepentingan memakai topi keledar dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal masih rendah walaupun mereka melalui jalan raya yang agak sibuk.

Seorang pengguna jalan, Mohd Faizal Mohamad, 34, berkata, ramai penunggang dan pembonceng di Jalan Lipis-Jerantut tidak memakai topi keledar dan keadaan itu menggambarkan mereka memandang remeh soal keselamatan diri.

Menurutnya, lebih dikesalkan apabila ada ibu bapa yang menunggang motosikal sambil membonceng anak kecil.

“Mungkin mereka beranggapan si anak selamat duduk di belakang kerana memeluk erat pinggang si ibu atau ayah walaupun tidak memakai topi keledar.

“Namun mereka tidak sedar, itu satu kesalahan besar,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohd Faizal berkata, jika berlaku kemalangan terutama melibatkan nyawa, sudah tentu ibu bapa tadi akan kesal sepanjang hayat kerana kesilapan mereka sendiri.

“Anak-anak sudah dididik sejak kecil sikap sambal lewa dan tidak cakna dengan keselamatan diri semasa di jalan raya.

“Perkara ini wujud kerana tiada kesedaran dan pendidikan dalam kalangan ibu bapa atau penduduk betapa pentingnya memahami peraturan jalan raya,” katanya.

Mohd Faizal berkata, walaupun kempen dan pelaksanaan peraturan dibuat, namun jika tiada inisiatif mengubah sikap, ia ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.

“Kerajaan Negeri menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memperuntukkan banyak wang bagi melaksanakan kempen advokasi keselamatan jalan raya termasuk menyumbang topi keledar percuma dan pelekat keselamatan, tetapi kesedaran masih di takuk lama.

“Senario ini antara sikap manusia yang sengaja mengabaikan keselamatan sendiri dan kadang-kadang mengancam orang lain,” katanya.

Sinar Harian

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.

"Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.

"Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pukul 11.30 pagi semalam," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. -- Bernama

Sinar Harian

Pemilik bengkel rugi RM100,000

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KEPONG - Pemilik bengkel kereta kerugian lebih RM100,000 selepas kedainya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, di rumah kedai di Taman Intan Baiduri di sini, semalam

Pemilik bengkel, Alan Wong berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta Wira milik pelanggannya.

Menurutnya, kereta tersebut secara tiba-ba menghasilkan percikan api yang kemudiannya mula merebak ke seluruh bengkel berkenaan.

“Api merebak dengan pantas bagaimanapun saya sempat menyelamatkan kesemua kereta pelanggannya kecuali kereta Wira yang menyebabkan berlaku kebakaran.

“Sepanjang 10 tahun berniaga di sini, ini adalah kejadian pertama hingga menyebabkan hampir 90 peratus peralatan membaiki kenderaan musnah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.49 pagi dengan satu jentera bombadaripada lima balai berasingan yang berdekatan bersama 38 anggota.

“Pada jam 12.04 tengah hari jentera dari Balai Bomba Jinjang tiba ke lokasi mengambil masa 10 minit mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di tingkat atas bangunan.

“Mangsa yang terperangkap terdiri dua dewasa dan seorang kanakkanak berusia antara 7 hingga 55 tahun,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Sinar Harian

Pembantu kedai curi beg tangan menantu Presiden Pas dipenjara

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai dipenjara seminggu dan didenda RM2,500, gara-gara mencuri beg tangan menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tertuduh, Ahmad Muhaimin Mustafa, 20, yang berasal dari Kampung Seberang Baruh Kiri, di sini, juga berdepan hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda, setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 21 Mei lalu, kirakira jam 9.10 malam bertempat di dalam Kedai Nasi Arab Al-Fateh, Jalan Sultan Mahmud, telah mencuri beg tangan milik Farhaana Husainy Hasbullah, 32.

Beg tangan tersebut mengandungi barang bernilai kira-kira RM500, dan tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Tertuduh yang berpakaian lokap kemudiannya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala pendakwaan dijalankan Inspektor Arrasyiddin Atcha.

Berdasarkan fakta kes, anak kepada Presiden Pas iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi, 35, yang juga seorang pensyarah berada di dalam Kedai Nasi Arab Al-Fateh, Jalan Sultan Mahmud pada 21 Mei lalu.

Kira-kira jam 9.10 malam, tiba-tiba datang seorang lelaki, yang kemudiannya terus mengambil beg tangan isterinya iaitu Farhaana yang diletakkan di atas meja makan.

Muhammad Khalil kemudiannya terus memegang baju lelaki tersebut dan berlaku pergelutan antara dia dan lelaki berkenaan.

Lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai. Orang awam kemudiannya telah menghubungi pihak polis dan Muhammad Khalil telah menyerahkan lelaki tersebut kepada polis.

Sinar Harian

Enam sekeluarga terlibat nahas

18 Rejab 1433H. [MOD] -

JASIN – Enam keluarga terlibat dalam kemalangan di Kilometer 187 Lebuh Raya Utara - Selatan, di sini, awal pagi semalam, mengakibatkan seorang daripada mereka maut.

Manakala, dua daripada cedera parah dan dirawat di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Roza Isa, 32, isteri kepada pemandu kereta jenis Proton Wira berkenaan, Ermy Jeffri, 34.

Sementara, dua daripada empat anak pasangan itu berusia tujuh dan enam tahun cedera parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar, sebaik tiba melanggar pengadang jalan.

Pelanggaran itu mengakibatkan Roza tercampak keluar dari kenderaan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kereta mereka masuk ke dalam longkang dan melanggar tebing cerun sebelum berpusing serta masuk semula ke lebuh raya dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Ermy dan anak lelaki berusia tujuh tahun parah di perut, manakala seorang anak perempuan berusia enam tahun patah kaki.

"Dua lagi anak mangsa berusia dua dan 10 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Shahidi berkata, kesemua mangsa bernasib baik kerana sempat dibantu keluar oleh pengguna lebuh raya berkenaan sebelum kereta berkenaan terbakar.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, sementara semua yang cedera dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Diperdaya ‘Pak Ungku’

18 Rejab 1433H. [MOD] -

PERAI – Wakil waris kerabat diraja Perak kesal tindakan dua individu yang didakwa menjual watikah dan logo kereta palsu dengan jumlah antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada orang awam.

Difahamkan, sindiket mengaburi mangsa dengan mengatakan pemiliknya akan memiliki keistimewaan dan tidak akan dikenakan tindakan jika ditahan pihak berkuasa serta mendapat diskaun jika mahu menginap di hotel.

Raja Mudzafar Shah Raja Mokhtar berkata, aktiviti sindiket itu terbongkar apabila pihaknya menerima aduan daripada dua lelaki yang menjadi mangsa individu yang menggelar dirinya sebagai Pak Ungku.

Menurutnya, sindiket yang menjual watikah dan logo kereta palsu Ahli Kerabat Diraja Perak itu dipercayai memperdaya ratusan orang awam di sekitar Bukit Mertajam dan Kulim di Kedah serta bergiat aktif sejak setahun lalu.

“Pihak Istana Seri Tambun tidak pernah menjual watikah mahupun logo kereta ini secara komersial. Kita tidak menawarkannya secara terus, sebaliknya ia dianugerahkan kepada individu terpilih melalui sokongan daripada kerabat. Pemilik watikah juga tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan.

“Justeru, pihak istana dukacita dengan watikah ciplak yang sama sekali tidak pernah dikeluarkan dalam bentuk imbasan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Raja Mudzafar Shah menjelaskan, watikah yang mempunyai tandatangan ayahanda saudaranya, Raja Kecil Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Izzudin Iskandar Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah itu dipalsukan dengan menggunakan teknik imbasan.

Selain itu ujar beliau, logo kereta yang dipalsukan juga tidak mempunyai nombor siri, sedangkan setiap logo asli akan direkodkan nombor sirinya.

Tambah beliau, mengikut rekod hanya 22 individu sahaja di kawasan Utara yang dianugerahkan dengan watikah dan logo kereta ahli kerabat diraja Perak sejak 2009 lalu.

Sementara itu, mangsa sindiket, Ang Hiang Soon, 42, berkata, dia ditawarkan untuk menjadi kerabat ketika bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tengku Ismail atau Pak Ungku.

Sedar selepas disaman polis

Menurut nya, dalam pertemuan disebuah hotel dekat Bukit Mertajam itu, dia diminta membayar RM2,000 kepada individu berkenaan dan dijanjikan tidak akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun polis.

“Saya sedar ditipu lelaki itu selepas disaman polis dalam satu sekatan jalan raya, dua bulan lalu. Setakat ini, saya sudah ada tiga saman, dua melibatkan kesalahan trafik dan satu JPJ kerana cermin kereta gelap,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Hiang Soon berkata, laporan polis kemudiannya dibuat pada 31 Mei lalu dan merujuk perkara itu kepada Raja Mudzafar Shah bagi mengesahkan kesahihan watikah yang dimilikinya dan ternyata ia adalah dokumen palsu.

Seorang lagi mangsa, Lim Teng Oon, 46, berkata, dia mengenali individu itu melalui rakannya, Hiang Soon.

Katanya, keistimewaan yang ditawarkan membuatkan dia tertarik dan percaya untuk membeli watikah tersebut.

“Individu itu membawa saya ke kedai untuk memasang tinted pada cermin kereta. Tetapi selepas itu, saya disaman polis.

“Saya pernah memarahi polis kerana mahu menegaskan bahawa saya ahli kerabat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah memberitahu ada menerima laporan daripada dua mangsa penipuan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat pihaknya, namun sudah mengenal pasti individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Sinar Harian

Euro 2012: Kumpulan A: Rusia dan Poland pilihan ke pusingan dua

18 Rejab 1433H. [MOD] -

POLAND
Saingan kumpulan A nampak begitu seimbang. Poland sebagai tuan rumah pastinya akan menggunakan kesempatan dengan sebaik mungkin.

Meskipun enam kali beraksi pada Piala Dunia, namun mereka hanya layak sekali sahaja ke pusingan akhir Kejohana Eropah pada empat tahun lepas.

EURO 2008 mereka tewas kepada Jerman dan Croatia serta seri dengan Austria yang merupakan pengganjur bersama Switzerland pada tahun tersebut.

Sebagai tuan rumah, mereka pasti menggunakan kesempatan ini sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan.

Bintang tumpuan: Wojciech Szczesny, Robert Lewandowski dan Jakub Blaszczykowski.


GREECE
Greece melakukan kejutan paling besar dalam sejarah kejohanan. Siapa sangka pasukan yang lansung tidak di beri perhatian tiba-tiba menjuarai Euro 2004.

Mereka menewaskan tuan rumah ketika itu, Portugal yang boleh dianggap gergasi bola sepak pada ketika itu.

Namun bagi kejohanan lepas, anak buah Otto Rehhagel hanya menjaringkan satu gol pada kejohanan lepas.

Merka tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan yang diletakkan bersama Sweden, Rusia dan Sepanyol.

Bintang tumpuan: Georgios Samaras dan Sotiris Ninis.


RUSIA
Mereka pernah sekali bergelar juara, kejohanan pertama dianjurkan pada tahun 1960.

Kejohanan kali ini mereka dilihat tidak mempunyai banyak masalah melapasi saingan peringkat kumpulan. Dengan gabungan pemain lama dan baru yang seimbang. Tidak mustahil skuad kali ini mampu menghadirkan sesuatu kepada lawan mereka.

Benteng akhir yang di ketuai Igor Akinfeev pastinya merumitkan kerja penyerang pasukan lawan. Di tambah lagi kreativiti Andrey Arshavin yang memudahkan kerja rangkaian penyerang mereka.

Jika dilihat pada kejohanan lepas, di bawah bimbingan Guus Hiddink mereka mara ke separuh akhir sebelum diketepikan oleh juara kejohanan, Sepanyol.

Bintang tumpuan: Andrey Arshavin, Igor Akinfeev dan Roman Pavlyuchenko.


REPUBLIK CZECH
Republik Czech yang layak pada setiap edisi kejohanan Eropah bermula Euro 1996. Meskipun mereka pernah mengejutkan Itali, Portugal dan Perancis dalam kemaraan ke final di mana mereka tewas pada masa tambahan menentang Jerman di Wembley. Ketika itu mereka mempunyai general tengah yang cukup berpengaruh, Pavel Nedved.

Skuad kali ini dilihat nampak sedikit pincang, pada perlawanan persahabatan Jumaat lepas mereka tewas 1-2 kepada pasukan Hungary yang tidak mempunyai latar belakang bola sepak sehebat Republik Czech.

Mereka memerlukan elemen keajaiban untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini.

Bintang tumpuan: Petr Cech dan Tomas Rosicky.

Sinar Harian

Pekerja ladang maut ditetak

18 Rejab 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Nasib seorang pekerja ladang yang baru bekerja 10 hari bertukar malang apabila lelaki itu mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang buah tembikai di Felcra Changkat Sulaiman, di sini.

Lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga warga Myanmar itu ditemui dalam keadaan terbaring tanpa berpakaian lengkap dengan hanya mengenakan kain pelekat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku, Ahad lalu apabila pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.45 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota forensik dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyiasat penemuan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mendapati, ada kesan tetakan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

“Lelaki itu mempunyai kecederaan parah di tengkuk, bahu dan lengan kiri yang dipercayai ditetak. Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan ketiadaan pengenalan diri dijumpai, bagaimanapun berdasarkan siasatan yang dibuat, mangsa berkemungkinan berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini. Kok Liang berkata, pihaknya turut menjumpai sepasang selipar berwarna hitam di kanan dan kiri mangsa selain sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah.

"Kesemua penemuan tersebut dibawa ke makmal bagi mengesan bukti.

Sementara itu, berdasarkan hasil maklumat soal siasat pemilik ladang tembikai menyatakan mangsa baru bekerja dengannya 10 hari lalu.

"Majikan ini menyatakan dia mempunyai tujuh pekerja namun, kejadian bunuh itu menyebabkan kesemuanya menghilangkan diri tanpa sebab.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya dan motif pembunuhan masih disiasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Lima tukang urut ditahan

18 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Lima warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urutan tradisional sekitar bandar raya ini ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P, kelmarin.

Serbuan sekitar jam 3.25 petang dan berakhir 4.15 petang itu disertai oleh 12 anggota dan pegawai yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar.

Khairulanuar berkata, kelima-lima pekerja asing itu adalah warga Indonesia yang berumur antara 34 hingga 43 tahun dan ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hasil dari maklumat aduan awam, kami melakukan serbuan dan menahan lima tukang urut warga Indonesia. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika operasi dilakukan.

“Ketika kami hadir, kesemua pekerja asing sedang mengurut pelanggan. Hasil dari kenyataan mereka, kami diberitahu segala urusan pasport dan permit diuruskan oleh majikan.

“Bagaimanapun, majikan gagal mengemukakan pasport dan dokumen perjalanan lima pekerja ini selain mendakwa berurusan dengan ejen menerusi pembayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi urusan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang daripada pekerja asing itu ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala selebihnya Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Khairulanuar berkata, majikan kesemua tukang urut terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 51 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 berikutan mengajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.

Selain itu, katanya, operasi berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dan semua majikan dinasihatkan supaya tidak membenarkan imigran larangan bekerja di premis masing- masing atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.

“Majikan boleh berurusan terus ke pejabat Imigresen bagi mengelak dari ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga boleh menimbulkan masalah kepada mereka,” katanya.

Sinar Harian

Menteri UK pulau Euro 2012

18 Rejab 1433H. [MOD] -

LONDON - Anggota Kabinet United Kingdom (UK) memutuskan untuk memulau perlawanan-perlawanan kumpulan membabitkan England di Euro 2012 yang bermula hari ini.

Sebanyak 16 pasukan menyertai edisi empat tahun sekali ini. Kesemua 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan.

England diletakkan bersama Perancis, Sweden dan Ukraine.

Langkah itu diambil ekoran "keadilan selektif" ke atas pemimpin pembangkang Ukraine yang sedang dipenjarakan, Yulia Tymoshenko.

Laporan BBC menyebut, selain UK, beberapa negara Eropah lain iaitu Jerman, Belanda dan Austria juga mengugut akan memulau kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Ukraine dan Poland.

Duta Ukraine ke UK menekankan bahawa sukan dan politik tidak harus dicampuradukkan dan apa juga pendirian seharusnya dibangkitkan melalui ruang lain.

Minggu lalu, Tymoshenko mengakhir mogok lapar 20 hari selepas dipindahkan ke sebuah hospital di Kharkiv, di mana beliau dirawat oleh seorang doktor Jerman.

Pejabat Luar UK berkata, tiada pegawai akan menghadiri tiga perlawanan kumpulan dan kemungkinan akan menghadiri perlawanan-perlawanan seterusnya dengan mengambil kira jadual anggota Kabinet.

Ditanya mengenai tindakan memulau itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, Ukraine berhadapan dengan masalah serius dan kerajaan UK tidak mahu kehadiran anggota Kabinetnya menyokong pasukan England dilihat sebagai memberi sokongan politik kepada Ukraine.

Sinar Harian

Euro 2012: Bilek harap kejutan pemain

18 Rejab 1433H. [MOD] -

DIKRITIK hebat media mengenai prestasi pasukannya layak ke Euro 2012, Republik Czech enggan menoleh ke belakang lagi bagi membuktikan kehadiran mereka untuk memberi tentangan dan bukan sekadar pelengkap perlawanan.

Membawa misi sukar dalam pertemuan pertama menentang Rusia hari ini, jurulatih Michal Bilek berharap anak buahnya mampu melakar kejutan untuk menewaskan anak didik Dick Advocaat itu.

"Walaupun lawan kami pasukan yang sukar, tetapi kami perlu menang kerana perlawanan pertama penting untuk pasukan bagi membuktikan konsisten cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya percaya dengan kemampuan pemain dan mereka boleh berjaya dalam perlawanan (hari ini)," katanya yang turut rasa dihargai apabila dipertanggungjawabkan selaku jurulatih skuad kebangsaan. Beliau yang pernah menganggotai skuad sama 23 tahun lalu berkata, pasukannya kini sudah bersiap sedia dengan tiada sebarang kecederaan melanda pemain menghadapi kejuaraan berprestij di Eropah itu.

"Kami telah banyak berubah setelah dua tahun setengah lalu dan pasukan juga semakin menunjukkan kesefahaman dan kekuatan masing-masing," katanya.

Untuk rekod, Czech sudah lima kali layak ke pusingan Euro dan kali terakhir mereka menjuarai Euro pada 1976 menewaskan Jerman Barat menerusi penentuan penalti.

Sinar Harian

Maut bertembung Perodua Myvi

18 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH, Melaka - Seorang remaja maut serta-merta selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Kelemak, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Farid Maamor, 19, dari Kampung Sungai Petai dari arah Sungai Petai menuju ke pekan Alor Gajah bertembung dengan Perodua Myvi dari arah Masjid Tanah menuju ke Pengkalan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang peniaga buah-buahan dalam perjalanan pulang ke kedainya di Pasar Menggong bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu Mohd Nasaruddin Anuar, 22, beralamat di Durian Tunggal.

Rakan mangsa, Muhammad Farizuan Sarif, 19, berkata, kira-kira jam 10.30 malam, dia sempat menikmati makan malam bersama rakannya itu sebelum mangsa menghantarnya pulang semula ke kedainya.

Menurutnya, sepanjang makan malam, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan mereka berbincang mengenai perancangan hari esok untuk mendapatkan bekalan buah-buahan.

“Selesai makan, arwah menghantar saya pulang ke tempat kerja dan dia terus menghala ke pekan Alor Gajah.

“Kebiasaannya arwah memberitahu ke mana dia pergi, tetapi malam itu tidak,” katanya.

Muhammad Farizuan yang terkejut menerima panggilan daripada seorang rakannya berhubung kemalangan yang menimpa Farid, bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai saya mendapati mangsa sudah tercampak ke selekoh laluan menghala ke arah Pengkalan.

“Arwah yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu seorang yang rajin dan sering membantu kedua ibu bapanya menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka.

Sementara itu, pemandu Perodua Myvi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kereta yang dipandu mengalami kerosakan teruk di bahagian tepi sebelah kiri akibat rempuhan kuat. Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Kelemak berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah itu.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk menjalani bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Les Blues mampu lepasi ranjau berliku

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KERAJAAN Perancis pada awalnya berura-ura menarik diri daripada menyertai kempen Euro 2012 berikutan bantahan cara pihak berkuasa Ukraine menahan bekas Perdana Menterinya, Yulia Tymoshenko.

Tymoshenko dihukum penjara selama tujuh tahun kerana didakwa melakukan penyalahgunaan jabatan ketika menyetujui kerjasama gas dengan Rusia pada 2011. Tetapi, pasukan bola sepak Les Bleus mengesahkan kehadiran mereka di bumi Ukraine dengan membawa sejumlah besar pemain bintang beraksi dalam saingan liga elit seluruh dunia.

Nama seperti Hugo Lloris, Patrice Evra, Laurent Koscielny, Franck Ribéry, Samir Nasri dan Karim Benzema antara watak penting yang bakal memacu kejayaan Perancis kali ini. Pernah bergelar juara dua kali (1984 dan 2000) meletakkan Perancis satu pasukan wajar dihormati oleh lawan.

Selasa ini, skuad pimpinan Laurent Blanc memulakan kempen saingan Euro 2012 dengan menentang pasukan popular, England di Donbass Arena sebelum menentang Sweden pada 16 Jun dan tuan rumah, Ukraine (20 Jun).

Ramalan meja sukan Sinar Harian, Perancis mampu melepasi halangan peringkat kumpulan dan layak tersenarai lapan pasukan terbaik.

Sinar Harian

Euro 2012: Medan Rusia tebus maruah

18 Rejab 1433H. [MOD] -

PASUKAN Rusia mahu memastikan misi menebus maruah dapat dilangsaikan dalam Kejohanan Euro 2012 selepas tumpas saingan separuh akhir Euro 2008 terutama selepas dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan A.

Optimis kemampuan pasukannya, pemain tengah Igor Shemshov menyifatkan pengalaman lalu banyak mengajar mereka bahkan barisan pemain sedia ada kalangan yang berpengalaman. "Dengan siri latihan dan aksi persahabatan yang dilakukan, corak permainan kami semakin baik dan jurulatih juga tahu apa yang perlu diperbaiki untuk pasukan.

"Sembilan puluh peratus daripada pemain adalah yang sama, jadi saya yakin kami lebih kuat berbanding 2008 kerana dalam kejuaraan lalu, kami bermain dengan sederhana, tetapi kini corak permainan kami sudah jauh berbeza," katanya yang menyifatkan Greece dan Republik Czech antara pasukan perlu diberi perhatian.

Bukan mahu mendabik dada, Shemshov mengakui pasukannya antara yang digeruni lawan selepas berjaya mempamerkan aksi konsisten di peringkat kelayakan dan Kejuaraan Eropah lalu. "Kami pasukan yang sepatutnya ditakuti lawan kerana hadir dengan keputusan cemerlang dan mempunyai peluang cerah untuk menang," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Republik Czech hari ini bagi membuktikan ia menjadi titik tolak kemampuan pasukan untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan ini.

Sinar Harian

Poland, Greece pembuka tirai, buru kemenangan pertama

18 Rejab 1433H. [MOD] -

MENJELANG tengah malam ini, kancah kejohanan Euro 2012 akan bermula dengan pasukan tuan rumah, Poland membuka tirai perlawanan menentang juara 2004, Greece di Stadium City, Wroclaw.

Selepas berakhir musim persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Euro kembali menerjah jutaan peminat bola sepak sama ada tempatan atau luar negara untuk menyaksikan pasukan mana yang akan dinobatkan juara untuk edisi kali ini.

Dalam perlawanan pembukaan tirai awal malam ini, turun selaku tuan rumah bersama Ukraine, Poland memasang impian untuk muncul juara di halaman sendiri dan berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.

Selain membuktikan kehebatannya selaku penganjur Euro 2012, Poland turut berazam untuk menghiburkan kira-kira 55,000 penyokong yang hadir di Stadium Nasional, Warsaw nanti.

Walau bagaimanapun, beraksi di halaman sendiri, Poland perlu berhati-hati kerana pasukan Greece bukan sebuah pasukan yang harus dipandang ringan.

Dengan memiliki rekod yang baik serta pernah membuat kejutan ketika menewaskan Portugal 2-1, dan melakar sejarah apabila dinobatkan juara 2004 tidak mustahil pasukan yang digelar Gala Nolefki itu mampu melakukan kejutan sekali lagi pada tahun ini.

Jadi, turun dengan memburu kemenangan pertama amat ditagih bagi anak kendalian Franciszek Smuda untuk mengelakkan berada dalam kedudukan tercorot di Kumpulan A.

"Kami sangat memerlukan keputusan yang positif pada perlawanan pertama kerana ia akan meletakkan kami di landasan yang tepat dan memberikan keyakinan yang tinggi untuk meneruskan persaingan kedua nanti.

"Apa pun, kami tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan lawan kerana bagi saya mereka adalah sebuah pasukan yang hebat.

"Peluang untuk perlawanan esok (hari ini) antara kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Oleh itu, saya menggesa pemain-pemain saya akan beraksi dengan cemerlang untuk membuktikan kita mampu bergelar juara," kata Smuda.

Impian Poland untuk melepasi saingan di peringkat kumpulan A yang diundi bersama Rusia, dan Republik Czech kini diletakkan sandaran kepada trio mereka, Robert Lewandowski, Jakub Blaszczykowski dan Lukasz Piszczek untuk melakar kemenangan nanti.

"kehebatan pemain-pemain ini amat ditagih oleh saya. Mereka harus membuktikan kemampuan sekali gus membantu kami memburu slot ke peringkat seterusnya," tambah Smuda.

Turun dengan misi membalas dendam ekoran kegagalan menjulang juara empat tahun lepas disamping menceriakan moral rakyat negara itu yang terjejas teruk apabila dilaporkan muflis dan berhadapan ketidakstabilan politik, juara 2004, Greece mahu memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti.

"Kami akan melakukan yang terbaik esok (awal malam ini). Dengan keadaan negara yang tidak stabil, agak mengusarkan kami untuk mencipta kemenangan.

"Namun, diharapkan, kami dapat mengulangi kecemerlangan lapan tahun lepas pada kejohanan kali ini," kata Fernando Santos.

Lapan tahun lalu, pasukan yang digelar Galanolefki itu mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia apabila menjadi juara.

Ketika itu, Greece turut berdepan tuan rumah, Portugal dalam aksi pembukaan dan berjaya melakar kemenangan 2-1.

Sedikit terjejas berikutan negara itu berada dalam keadaan muflis selain berhadapan ketidakstabilan politik serta sosial, Santos berkata, Keadaan itu menimbulkan sedikit kebimbangan kepada mereka namun beliau tetap optimis anak buahnya mampu menghadapi situasi itu dengan tenang.

"Semua fokus kami hanya kepada perlawanan menentang Poland, tiada lain.

"Jika keajaiban 2004 boleh dilakukan, tiada yang mustahil untuk dilakukan hari ini.

"Kami menyedari mesej yang disampaikan oleh penyokong di tanah air, ia memberi motivasi kepada kami untuk berjuang," tegas Santos.

Sinar Harian

Orang Islam New Jersey saman NYPD

18 Rejab 1433H. [MOD] -

WASHINGTON - Tindakan Jabatan Polis New York (NYPD) mengintip aktiviti orang Islam di beberapa kawasan kejiranan di Amerika Syarikat sebelum ini telah mencetuskan kemarahan.

Bagi mengelakkan pencabulan hak asasi secara berterusan ke atas orang Islam, seramai lapan wakil dari New Jersey, kelmarin telah memfailkan saman. Mereka menggesa NYPD menghentikan semua kegiatan pengintipan yang telah dilakukan sejak tragedi 11 September 2001.

Ia adalah tuntutan pertama mahkamah mencabar program pengintipan pihak berkuasa yang didakwa turut dibiayai oleh Rumah Putih dengan menyasarkan kawasan kejiranan Islam termasuk ke- giatan keagamaan di masjid.

Kegiatan pengintipan NYPD itu terbongkar, Februari lalu selepas aktiviti penyamaran pihak berkuasa dalam kalangan pelajar Islam berjaya dihidu pihak kolej.

Sinar Harian

JPJ diberi 48 jam perjelas isu WWW 15

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – DAP Cawangan Taman Segambut mendesak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan memberikan maklum balas berhubung nombor pendaftaran WWW 15 milik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Leow Tiong Lai yang didakwa diberikan secara percuma.

Pengerusi Cawanganya, Hoo Keh Yew berkata, menteri itu melalui kenyataan di sebuah akhbar pernah mendakwa bahawa nombor pendaftaran itu diberikan secara percuma kepadanya. “Banyak kekeliruan timbul, tapi bila kami datang sendiri ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan hari ini (semalam), jelas pada papan tanda besar itu terdapat nama menteri itu bersama nilai deposit tender yang dibayar,” katanya pada sidang media semalam.

Menurut Keh Yew, menteri itu sebelum dilihat memberi kenyataan tidak konsisten di media berhubung pembelian nombor pendaftaran WWW 15 bernilai RM24,200 untuk kenderaan rasminya. “Jika benar nombor itu percuma, siapa yang mohon harga tender RM24,200 itu dikecualikan dan sekiranya dibayar siapakah yang telah membayar deposit,” katanya.

Katanya lagi, satu surat rasmi diberikan kepada JPJ Wilayah Persekutuan semalam dan diberi tempoh selama 48 jam untuk menjawab soalan yang dikemukakan dan jika gagal laporan akan dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sinar Harian

Altantuya: Najib dicabar saman Phnom Penh Post

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa Datuk Seri Najib Razak menyaman akhbar The Phnom Penh Post yang berpengkalan di Kemboja kerana melaporkan perdana menteri itu pernah dipertemukan dengan Altantuya di Paris.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, perdana menteri juga patut menyaman wartawannya bagi membersihkan namanya dan juga nama negara.

"SAMM mendesak Najib Razak di atas kapasiti Perdana Menteri, menyaman akhbar The Phnom Penh Post serta penulis artikel di ruangan Regional Insider yang bernama Roger Mitton.

"Pendedahan beliau bukan sahaja memalukan negara... malah mengundang persepsi sangat buruk terhadap kredebiliti seorang Perdana Menteri beragama Islam yang sebelum ini pernah bersumpah kononnya tidak mengenali penterjemah yang dibunuh tanpa motif iaitu Altantuya Shaaribu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Badrul, pendedahan akhbar itu antara lain mengatakan Najib Razak telah dipertemukan dengan Altantuya Shaaribu oleh Razak Baginda di Paris.

Turut didedahkan ialah pembahagian skandal rasuah sebanyak USD160 juta antara Najib, Razak dan beberapa pemimpin Umno.

Beliau turut memetik laporan akhbar itu yang antaranya menyatakan seperti berikut:

"Soon after meeting her in Hong Kong, Razak took her off to tour Europe in his red Ferrari, wining and dining at all the best spots and finally ending up in Paris where they met Najib....It is alleged that the $160 million was split between Razak, Najib and other figures in the United Malays National Organisation, the dominant party in Malaysia’s ruling National Front coalition".

Sehubungan itu tegas Badrul, Najib sebagai seorang ketua negara tidak harus berdiam diri kerana laporan oleh wartawan The Phnom Penh Post itu adalah sangat serius dan telah dilulus-terbit untuk tatapan seluruh dunia.

"Yang akhirnya mengundang persepsi - Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang terpalit jenayah rasuah, termasuklah jenayah pembunuhan.

"Yang memalukan negara bukan demonstrasi rakyat tetapi imej negara akan terjejas kerana beberapa pemimpin negara yang terpalit skandal jenayah terus menerajui negara tanpa ada keberanian membersihkan imejnya," tegasnya.

Harakah Daily

Lebih 100 rumah, kedai akan dibina di Gua Musang

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Bandar Gua Musang bakal berubah wajah apabila beberapa buah projek yang membabitkan pembangunan bercampur bakal dibangunkan bermula tahun ini.

Projek yang mengandungi dua fasa itu dimajukan sebuah syarikat swasta True Impression Sdn Bhd dengan Majlis Daerah Gua Musang yang membabitkan tanah seluas 16.7 ekar di Bandar Lama Gua Musang.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sebuah hotel, di sini semalam.

Majlis Daerah Gua Musang diwakili Yang Dipertuanya, Mohd Yusof Hussin dan Ketua Whip MDGM, Hussin Embong.

Manakala syarikat berkenaan diwakili dua orang Pengarah Urusannya, Rusnifa Wahid an Tan May Wee.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 33 buah unit rumah, 18 unit rumah kedai akan dibangunkan untuk fasa pertama ini.

Tambahnya, manakala fasa kedua pula akan dibina 73 unit rumah teres disamping beberapa lagi pembangunan lain bagi menampung keperluan masyarakat di situ.

“Gua Musang sebagai sebuah jajahan pintu masuk ke negeri ini perlu disediakan pembangunan yang teratur memandangkan ianya menjadi tarikan pelancong,”ujarnya.

Harakah Daily

Beku PTPTN: Politik ugut ketinggalan zaman

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Politik ugut seperti ini sebenarnya sudah ketinggalan zaman, kerana rakyat sudah semakin cerdik politik dan memilih parti politik yang mampu memberikan tawaran dan kebajikan terbaik kepada mereka,” kata Riduan Mohd Nor (gambar).

Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana membekukan mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) daripada mendapat pinjaman PTPTN.

Ketua Penerangan DPPM itu berpandangan kerajaan tidak wajar menafikan hak mahasiswa Unisel dalam mendapatkan pinjaman bagi membiayai pendidikan mereka kerana tindakan ini dikhuatiri akan menjejaskan masa depan mahasiswa tersebut.

“DPPM merasakan tindakan kerajaan ini sebagai usaha membalas dendam terhadap Pakatan Rakyat yang berjuang memansuhkan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma kepada rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, PTPTN dijadikan perkakas baru untuk diperalatkan bagi melunaskan perasaan benci meluap-luap terhadap PR yang berjuang untuk kesejahteraan rakyat.

“Tindakan ini dibuat dengan harapan supaya rakyat akan mempersalahkan pula PR sehingga mereka gagal mendapat kemudahan PTPTN,” ujarnya.

Riduan menambah, ia juga sebagai ugutan terhadap rakyat negeri Selangor supaya tidak memberikan undi kepada PR atau mereka akan hilang kemudahan PTPTN.

“DPPM merasakan tindakan ini mungkin dibuat kerana kerajaan BN sudah ketandusan idea untuk menangkis tawaran PR yang disambut hebat oleh rakyat serta hilang hujah untuk menafikan pendidikan percuma yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika kerajaan BN merasa tergugat dengan tawaran PR, sebaiknya kerajaan memikirkan formula lain yang lebih menarik bagi menambat hati rakyat, bukan mengugut mereka seperti ini.

DPPM menegaskan, janji dan komitmen PR untuk menghapuskan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma adalah jelas dan pelaksanaannya akan dibuat jika PR memerintah kelak.

“Semua pelajar akan nikmati kemudahan ini tanpa mengira latar belakang, fahaman politik, warna kulit dan keturunan,” ujarnya.

Malah, tambah Riduan setiap pelajar akan dibantu bagi memastikan mereka berjaya dalam pendidikan kerana agenda PR adalah memberi kebajikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan percuma, bukan memperniagakannya seperti yang berlaku selama ini.

Harakah Daily

Khalid dedah agen BN beli MP Pakatan

18 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) hari ini mendedahkan video 4 minit berhubung perbincangan agen Barisan Nasional (BN) yang dipercayai anggota NGO bersama wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya PKR.

Menurut Khalid, kandungan video penuh selama 3 jam itu akan didedahkan pada Selasa depan bagi menunjukkan kepada rakyat Umno BN mengamalkan politik wang dan rasuah.

"Kita akan mendedahkan video penuh ini pada Selasa depan, jika sebelum ini Umno-BN menafikan penglibatan mereka dalam usaha pembelian MP, maka selepas ini mereka tidak dapat menafikannya.

"Pendedahan dilakukan sekarang adalah bersesuai dengan pilihanraya yang semakin hampir bagi memberi maklumat kepada rakyat untuk menilai tentang aktiviti Umno BN dalam kerja kotor mereka," jelasnya.

Menurutnya rakaman itu dilakukan beberapa tahun lepas tetapi sebelum itu telah ada MP dari PKR melompat iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

"Dalam video ini melibatkan dua orang wakil yang bertindak mewakili seorang MP PKR dan juga dua agen dari BN manakala seorang lagi merupakan pemandu kepada agen tersebut.

"Setelah mengetahui aktiviti tersebut kita telah membuat perancangan untuk merakam rundingan tersebut tanpa pengetahuan dari mereka," jelasnya.

Ahli Parlimen PKR yang diwakili oleh oleh dua individu untuk berunding sehingga sekarang masih berada di dalam PKR.

Harakah Daily