06 June 2012

PKR gesa Najib jelas dakwaan dokumen rahsia tentera 'dijual'

16 Rejab 1433H. [MOD] -

PKR menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menjelaskan bagaimana satu syarikat yang dikait rapat dengan dirinya didapati menjual dokumen rahsia tentera laut kepada pihak ketiga oleh pendakwa Perancis.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata Najib merupakan menteri pertahanan pada waktu dokumen berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene didakwa dijual.

Oleh itu, Najib tidak harus membenarkan pasukan bersenjata dipersalahkan dalam hal ini, katanya.

"Kita desak perdana menteri supaya tak ambil mudah skandal ini... Harus tampil jelas macam mana rahsia boleh dijual oleh penasihat sendiri," katanya yang berharap pegawai berkenaan tidak dijadikan kambing hitam dalam kes tersebut.

Beliau turut menggesa supaya pasukan tentera menjalankan siasatan dalaman dan membuat laporan polis sekiranya ia mendapati pegawai pasukan tidak terlibat dalam kes itu.

malaysiakini/-

Janji PKR: RM5,000 setahun untuk siswa

16 Rejab 1433H. [MOD] -

Rancangan PKR untuk membiaya pendidikan tinggi percuma melibatkan dana berjumlah RM2.5 bilion setahun bagi menyediakan elaun RM5,000 kepada setiap 500,000 penuntut universiti setiap tahun.

Pengarah strategi parti itu Rafizi Ramli berkata jumlah tersebut akan dapat menampung perbelanjaann asas pelajar, manakala yuran pengajian pula akan diberikan percuma.

Katanya, elaun sebanyak RM5,000 itu boleh digunakan untuk mengimbangi yuran pengajian.

Rafizi berkongsi tawaran Pakatan Rakyat kepada sekumpulan siswa di Shah Alam.

Katanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang menyediakan pinjaman murah kepada siswa tidak dapat dilestarikan.

Katanya, hutang siswa sebanyak RM24 bilion kepada PTPTN itu akhirnya perlu ditampung oleh kerajaan.

Rafizi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran rancangan berkenaan.

malaysiakini/-

Blogger ‘antiIslam’ Maldives parah ditikam

16 Rejab 1433H. [MOD] -

TRIPOLI - Pihak berkuasa Libya berjaya merampas semula Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dari tangan bekas pemberontak yang menduduki kawasan landasan sebagai respons terhadap dakwaan penahanan komander mereka, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Omar Al-Khadrawi berkata, rampasan semula selama sehari itu berlaku selepas kuasa-kuasa kerajaan peralihan melakukan serangan susulan kegagalan rundingan bersama pejuang berhaluan kiri.

Katanya, operasi penerbangan dijangka tertunda sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam disebabkan oleh kerosakan infrastruktur lapangan terbang berkenaan.

Menurut pegawai kerajaan, kumpulan yang digelar Brigade al-Awfea dari bandar Tarhouna, Libya, didakwa mendesak pembebasan Kolonel Abu Ajila Al-Habshi yang hilang dua hari lalu dan tindakan menawan perkhidmatan penerbangan adalah gesaan terhadap kerajaan bagi mengetahui kedudukan lelaki itu.

Insiden rampasan itu, seorang petugas lapangan terbang cedera selepas terkena tembakan udara oleh pemberontak dan menimbulkan panik kepada pengunjung.

sinar harian/-

Ribuan hadiri pengebumian wira rakyat

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH orang memberi penghormatan terakhir terhadap Bin di Rumah Pengebumian Hangzhou di Hangzhou semalam.

BEIJING - Ribuan penduduk di bandar Hangzhou, China semalam memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah seorang wira rakyat, Wu Bin yang telah menyelamatkan nyawa 24 penumpang bas.

Mereka memberi penghormatan terakhir itu di Rumah Pengebumian Hangzhou.

Bin, 48, digelar sebagai wira selepas dia bertindak membrek, menukar gear dan memberitahu penumpang supaya tidak merayau-rayau di lebuh raya.

Dia melakukan perbuatan itu walaupun dadanya ditusuk dengan serpihan logam tajam yang menembusi cermin basnya semasa dia memandu pada 29 Mei lalu.

Bin meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dia mengalami kecederaan akibat ditusuk logam itu.

Pemerintah China memberikan anugerah Pekerja Contoh Wilayah bagi mengiktiraf keberanian Bin. - Agensi

Tetamu Allah berebut saf hadapan

16 Rejab 1433H. [MOD] -

JALAN raya dua lorong dari Al-Haram Tower menuju Masjidil Haram di kota Mekah penuh sesak dengan manusia dan kenderaan.

Bagaimanapun, pemandu-pemandu di sini jarang merungut dengan suasana manusia berpakaian ihram yang memutih di atas jalan raya yang mengganggu laluan mereka.

Meskipun di luar musim haji, tanah suci ini sentiasa menerima kehadiran ratusan ribu jemaah umrah. Bunyi hon dan suara pemandu yang hilang sabar hanya kedengaran jika ada orang yang meletakkan kereta sesuka hati di bahu jalan.

Kebanyakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi itu sibuk mengambil atau menurunkan penumpang di sepanjang laluan sejauh 500 meter di daerah Ajyad itu, yang menempatkan kira-kira 10 buah hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang.

Sementara jemaah umrah terus berjalan masuk dan hilang ke dalam Masjidil Haram, sebahagian besar kenderaan membuat pusingan U di depan salah satu pekarangan Masjidil Haram. Kedudukannya juga tidak jauh daripada Pintu 1 atau Pintu Raja Malik Abdul Aziz iaitu salah satu pintu utama masjid yang dibina mengelilingi Kaabah itu. Masjidil Haram mempunyai empat pintu utama dan 129 pintu kecil, yang kesemuanya memiliki nama dan nombor masing-masing.

Rukun umrah

Di tengah-tengah lautan lelaki dan wanita berpakaian ihram itu ialah 40 jemaah dari Malaysia yang menunaikan umrah baru-baru ini. Kumpulan yang mengikuti pakej umrah anjuran syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. itu baru tiba dari Kuala Lumpur setelah transit di Bangkok, Thailand dan Kaherah, Mesir. Selepas mendarat di Jeddah, Arab Saudi, mereka terus menaiki bas ke Mekah.

“Para jemaah, kita hanya ada masa satu jam setengah sebelum masuk waktu Maghrib. Kita perlu selesaikan segera rukun umrah ini supaya kita tidak terlalu lama berihram, takut-takut terlanggar pantang.

TONG-TONG berisi air zamzam disediakan untuk kemudahan jemaah menghilangkan dahaga.
“Beg-beg besar ini kita uruskan kemudian,” kata mutawif umrah, Ady Erwan Serigar, 24. Ady Erwan merupakan pelajar tahun tiga jurusan Dirosatul Islamiah, Madrasah Saulatiya, Mekah. Pelajar yang berasal dari Medan, Indonesia itu sudah dua tahun menjadi mutawif umrah syarikat tersebut.

Pada masa itu, jam menunjukkan hampir pukul 5.30 petang. Kesemua jemaah sudah berpakaian ihram sejak di Kaherah lagi iaitu kira-kira lapan jam sebelum itu.
Dari hotel tempat menginap, mereka berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram dengan setiap langkah diiringi talbiah yang memuji keagungan Maha Pencipta. Walaupun keletihan terpancar pada wajah masing-masing, mereka seperti tidak sabar pula untuk melihat Kaabah yang merupakan Rumah Allah.

Magis Kaabah

“Sukar saya gambarkan perasaan pertama kali melihat Kaabah. Saya memang terasa cukup sayu dan syukur kerana dengan izin Allah saya sampai ke sini. Rasa seperti tidak percaya pun ada,” luah seorang suri rumah, Intan Syakira Raja Hazenan, 30, yang menunaikan umrah bersama suami dan keluarganya.

Sepanjang berada di Mekah, ibu kepada dua orang anak itu sebolehnya tidak mahu melepaskan peluang menatap Kaabah saban hari.

“Kaabah seolah-olah memiliki magis. Entah kenapa saya tidak pernah rasa bosan dan mahu menatap Rumah Allah itu sepuas-puasnya. Jika selama ini saya hanya melihatnya di kaca televisyen atau foto, tetapi apabila berada di hadapannya terasa diri terlalu kerdil,” katanya dalam satu pertemuan.
Menurut buku Mekah Al Mukarramah Sejarah & Monumen yang disusun oleh Mahmud Muhammad Hamo, Kaabah buat pertama kalinya dibangunkan oleh para malaikat. Ada juga pendapat yang mengatakan ia dibangunkan oleh Nabi Adam A.S. sebelum dibina semula oleh Nabi Ibrahim A.S. Kaabah merupakan kiblat umat Islam.

Dataran Kaabah tidak pernah sunyi daripada kehadiran jemaah. Ketika sebahagian jemaah bertawaf, sebahagian yang lain melakukan solat dan berdoa di hadapan Kaabah dengan bersungguh-sungguh hingga ramai yang menitiskan air mata.

“Tidak pernah sesaat pun saya melepaskan pandangan daripada Masjidil Haram. Dataran Kaabah pula tidak pernah sunyi daripada manusia yang merendahkan diri di hadapan Allah,” ujar seorang jemaah yang mesra dipanggil Ross sahaja.

Beliau mengakui adakalanya kesabarannya diuji. “Pernah berlaku semasa imam sudah mengangkat takbir solat, tiba-tiba muncul dua jemaah berbadan besar seperti wanita Turki mencelah masuk ke dalam saf sampai menimbulkan perbalahan antara muslimat,” kata Ross lagi.
Ketika langit malam semakin hitam pekat, persekitaran Masjdil Haram bertukar menjadi terang-benderang. Sinar lampunya menyimbah hampir ke seluruh kawasan berhampiran.

KEBANYAKAN jemaah sudah bersedia di saf masing-masing sejam sebelum masuk waktu solat.

Azan dua kali

Manusia terus bertali arus ke Masjidil Haram silih berganti walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Jika kota besar dunia lain hidup dengan aktiviti hiburan sepanjang malam, keadaan di tanah haram ini begitu berbeza.

Di sini, para jemaah mengisi setiap detik dengan melakukan ibadat seperti tawaf sunat, rukun umrah dan solat sunat lain. Mereka begitu bersungguh-sungguh beribadat kerana pahala menunai solat di Masjidil Haram ialah 100,000 kali ganda berbanding solat di masjid-masjid lain.

Apatah lagi tiada waktu haram untuk bersolat di sini. Di lokasi lain, waktu yang tidak dibenarkan bersolat ialah selepas sembahyang Subuh hingga Zuhur dan selepas Asar hingga Maghrib.

Menjelang waktu subuh, penduduk di sekitar Masjidil Haram akan dikejutkan dengan dua kali laungan azan. Azan pertama iaitu sekitar pukul 4.30 pagi bertujuan mengejutkan orang ramai supaya melakukan qiamullail, manakala laungan kedua barulah azan Subuh.
Di Masjidil Haram, tetamu Allah sering berlumba-lumba melakukan ibadat. Mereka sentiasa mahu duduk di saf paling hadapan sama ada di dataran, di dalam dewan solat utama mahupun balkoni masjid di tingkat atas.

Mereka betul-betul ingin bersolat di depan dan melihat Kaabah. Hampir semua jemaah akan mengambil tempat masing-masing kira-kira sejam sebelum sembahyang didirikan. Sesetengah jemaah tidak berganjak langsung selama berjam-jam daripada tempat solat mereka kerana bimbang ia akan diambil oleh orang lain.

“Kita datang jauh-jauh takkan hendak solat di pekarangan masjid sahaja, bukan? Lebih baik datang awal dan kita dapat solat di dalam masjid,” begitu pesan Ady.

Salah satu perkara menakjubkan di kota Mekah ialah ketenangan yang diperoleh daripada alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Orang ramai boleh mendengarnya di mana-mana sahaja termasuklah di kompleks beli-belah dan kedai-kedai di sepanjang jalan ke hotel penginapan.

Kosmo

Lebuhraya: Umno tabur janji sejak 1986

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Kegagalan Umno mengota janji sejak 1986 kini cuba diselesaikan kerajaan PAS apabila melakukan upacara pecah tanah membina lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-5, malangnya sehingga sekarang gagal dilaksanakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, janji Umno sejak 26 tahun lalu gagal dilaksanakan sehingga kerajaan negeri sekarang terpaksa mengambil tanggungjawab tersebut.

“Kita buat lebuh raya bagi menunaikan janji yang ditinggalkan Umno sejak 1986.

“Namun malangnya sehingga RMK-10 projek berkenaan tidak menjadi kenyataan. Inilah isu sebenar, bukannya soal PAS mahu berjanji kepada rakyat,” katanya selepas perasmian Pusat Penerangan PAS Kelantan di sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya, Dato’ Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat.

Pusat penerangan tersebut beroperasi di tingkat bawah Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, mempunyai dua petugas tetap bagi menyalur pelbagai maklumat kepada orang ramai.

Pagi tadi sebuah NGO Umno yang dikenali sebagai Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar) mengadakan demontrasi di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa cangkul dan peralatan pembinaan usang.

Demontrasi itu disifatkan sebagai mempersendakan projek lebuh raya rakyat disertai beberapa pemimpin Umno. Mereka turut menyerah memorandum kepada kerajaan negeri.

Dr Fadzli yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berkata, lebuh raya rakyat diletak batu asas baru-baru ini sebagai langkah kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, lebuh raya tersebut apabila siap kelak dilalui semua rakyat dan ia dianggap satu keperluan mendesak bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas.

“Bukan bermakna kita sampai meminta sedekah apabila membina lebuh raya tersebut. Apa yang kita tekankan ialah konsep berkebajikan bagi membolehkan semua pihak mengambil bahagian.

(Laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Harakah Daily

Himpunan Hijau: Apa mesej PAS?

16 Rejab 1433H. [MOD] -

Himpunan hijau baru-baru ini bukan sekadar himpunan tetapi ia adalah usaha PAS untuk menyampaikan mesej kepada pengikutnya dan pendokongnya bahawa parti Islam itu masih bersemangat dan bertenaga untuk melakukan apa yang dilakukan selama ini iaitu bersaing dengan Umno.

Bezanya kali ini, mesej yang hendak disampaikan ialah, PAS sudah bersedia untuk mengambil alih kuasa politik orang Melayu dengan slogannya menuju ke Putrajaya.

Walau apa pun yang cuba diperkatakan oleh Umno untuk memandang remeh mesej PAS ini, pemimpin mereka dapat merasakan bahawa ketakutan Umno kini sudah sampai ke sum-sum tulang mereka.

Di sebalik kata-kata sinis pemimpin Umno terhadap mesej PAS, kata-kata yang tersirat jelas menggambarkan cemas mereka kepada sambutan yang diterima oleh PAS dalam perhimpunan hijau pada 1 Jun baru-baru ini di Alor Setar, Kedah.

Umno berhujah, PAS sendiri tidak mampu menunjukkan taringnya dalam isu Melayu dan Islam apabila gagal untuk menerajui YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang, begitu juga dengan kegagalan PAS untuk menyandang jawatan Exco Agama di Selangor.

Mereka dengan sinis menyatakan kalau itupun PAS gagal menguasainya dalam Pakatan Rakyat (PR), bagaimana PAS mampu menerajui orang Melayu dan hal ehwal Islam?

Ini adalah mentaliti Umno yang memaksa orang ramai berfikir seperti mereka yang asas pemikirannya ialah menggunakan “politik penguasaan”.

Premis pemikiran inilah yang mereka cuba bawa untuk memandang rendah pada PAS. Malangnya PAS tidak berfikir sekuno itu.

Kehadiran PAS dalam PR bukanlah sesuatu yang tidak menguji ketegasan prinsip yang diperjuangkan.

Pertama, PAS bersetuju bahawa syarat bersama dalam PR tidak akan menjejaskan dasar Islam yang menjadi prinsip perjuangan PAS selama ini.

Kedua, PAS meletakkan kaedah menghapuskan kezaliman sebagai perlaksanaan utama kerjasama antara parti dalam PR, dan ketiga, membentuk budaya politik baru yang menjaminkan pembentukan kerajaan Beramanah, Adil dan Telus.

Bagi PAS, membungkah amalan politik legasi Umno adalah keutamaannya hari ini, sebab itu soal politik penguasaan sesama parti tidak pernah terlintas dalam bentuk kerjasama PR.

Kami semua bersetuju untuk memastikan satu politik baru muncul di luar kerangka legasi politik Umno/Barisan Nasional (BN) hari ini.



Sebesar perjuangan PAS bersama PR ialah membuang politik ketuanan bangsa yang diamalkan oleh Umno.

Umno selaku tonggak BN menampakkan kelemahannya dan kemampuannya untuk membentuk politik baru.

Ini bukan salah pemimpin Umno mahupun golongan muda Umno yang mahukan pembaharuan dalam Umno tetapi yang bersalah ialah “masa”, kerana tarikh luput Umno sudah tamat.

Walau apa pun yang diusahakan, faktor masa tidak mengizinkan Umno. Dikukohkan lagi dengan alasan masa, ialah penguasaan budaya politik yang diselaputi dengan kepentingan diri sehingga telah hilang jatidiri sebuah perjuangan yang kerananya Umno tertegak.

Perbalahan dalaman yang bermatlamatkan kedudukan diri dan kelompok memburukkan keadaan untuk Umno memperbaiki dirinya kerana masa tidak berpihak pada dirinya.

Walaupun kelompok reformis dalam Umno menyedari keadaan ini, mereka akan terus berpusar dilingkaran yang sama sehingga apa yang mereka hujahkan akan membawa kepada mempertahankan amalan-amalan buruk Umno.

Mereka dalam Umno yang merasakan diri mereka reformis adalah sebenarnya konservatif dalam pakaian reformis.

Tidak heranlah hujah mereka kepada mesej PAS adalah hujah seorang konservatif yang terdesak dengan membawa pemikiran politik penguasaan.

PR membudayakan idea perubahan dan berani membongkah amalan-amalan politik kuno yang asasnya ialah Ketuanan Bangsa yang Umno perjuangkan.

Dalam perhimpunan hijau baru-baru ini, PAS telah membawa politik Malaysia kepada satu tahap baru iaitu menjaminkan keadilan untuk semua kaum atas nama Islam.

PAS telah membawa makna Islam dalam bentuknya yang dinamik dalam persekitaran pelbagai kaum.

Apatah lagi Perlembagaan Persekutuan menetapkan “Islam adalah agama resmi Persekutuan”.

Dalam kerangka Islam juga PAS menjaminkan hak semua kaum dari sudut budaya dan agama bersesuaian dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan bahawa “agama lain bebas diamalkan dalam Persekutuan”.

Tawaran ini unik dari Umno, kerana Umno menawarkan Ketuanan Bangsa dan hanya yang menerima ketuanan ini boleh berada dalam kerangka Artikel 3 dan Artikel 11 yang disebutkan di atas tadi.

Islam bagi Umno hanyalah tertunduk kepada politik ketuanan yang menjadi asas perjuangannya. Sementara Umno menggunakan Islam untuk tunduk pada kehendak ketuanan bangsanya, PAS pula menjadikan Islam sebagai asas kandongan manifesto politiknya kepada rakyat Malaysia.

Dari sudut kerangka politik, tawaran Islam lebih terjamin apatah lagi penafsiran Islam PAS merentasi semua kaum dan haknya.

Ketuanan Bangsa bagi PAS terpaksa tunduk kepada keadilan Islam, dengan cara itu orang Melayu akan selamat dan bukan Melayu akan terjamin.

Inilah politik baru yang PAS cuba bawakan supaya negara ini tidak lagi terjerat dengan kitaran ketuanan bangsa yang Umno perjuangkan selama ini dan menjadikan asas penguasaannya dalam BN atas asas ini.

PAS bertegas bahawa ia tetap bersama rakan-rakannya ke Putrajaya. PAS sedar bahawa ia tidak mungkin melakukannya seorang diri.

Transisi perpindahan rakyat Malaysia dari BN ke PR sememangnya bukan mudah kerana rakyat telah terbenam secara akar umbi dalam politik BN.

Isunya ialah bagaimana akar pokok ini yang terengkam kukoh hendak dibongkahkan. Kemunculan PR adalah usaha itu, disebalik tenaga gergasi yang diperlukan untuk berbuat demikian, PR juga terpaksa menanam benih baru, menyemai dan membajainya.

Berbanding dengan tenaga gergasi untuk membongkah akar dan usaha menyemai benih baru, menyemai benih baru lebih sukar kerana ia memakan masa yang panjang.

Kedua usaha dan proses ini sedang giat dijalankan dan pastinya mesej 1 Jun di Alor Setar baru-baru ini adalah untuk memberitahu kepada rakyat Malaysia bahawa PAS sedang melakukan kedua-keduanya sekali....The Malaysian Insider.

Harakah Daily

Demo di Kedutaan Syiria Jumaat ini

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengadakan himpunan di hadapan Kedutaan Syiria di ibu negara Jumaat ini.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, himpunan itu bagi membantah kekejaman tentera regim Bashar Assad yang tidak henti-henti membunuh rakyat sendiri di negara itu.

Terbaru minggu lalu, di Houla menyaksikan pembunuhan beramai-ramai membabitkan kematian lebih 100 penduduk, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

"Kita akan berkumpul di masjid Tabung Haji dan akan berarak ke bangunan kedutaan sejurus selesai solat Jumaat," kata Riduan kepada Harakahdaily.

Biarpun pembunuhan itu dinafiakan Bashar Assad, namun Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pembangkang negara itu mempunyai sangkaan kuat bahawa pembunuhan itu dilakukan tentera pro kerajaan.

Presiden Syiria itu juga mengulangi ketegasannya akan menggunakan kekerasan ketenteraan dalam berdepan batahan rakyat di negara itu.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh umat Islam dan individu prihatin bersama mereka Jumaat ini bagi mendesak kerajaan Syiria menghentikan segala kezaliman terhadap rakyatnya.

Harakah Daily

Selepas 2 tarik diri, Hisham patut bubar Panel Hanif

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein tidak wajar melancarkan perang video tetapi sewajarnya membubarkan Panel Hanif selepas dua anggotanya meletakkan jawatan.

Langkah ini perlu dibuat Hishamudin selepas perletakan jawatan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah yang telah menarik diri daripada keahlian panel itu.

Demikian kata Ketua anggota Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beliau, tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi sokongan padu kepada penyiasatan Suhakan terhadap Bersih 3.0 dan membubarkan panel penyiasatan Hanif,

Tugas itu, katanya, lebih wajar berbanding dengan tindakannya melancarkan ‘perang video’ untuk memberi justifikasi dalam versi rasmi apa yang benar-benar telah berlaku pada “428”

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah membuat pengumuman bahawa satu kompilasi video perhimpunan Bersih 3.0 akan dinaik muat kedalam laman sesawang KDN.

Bagi beliau, ini merupakan satu perkembangan yang sememangnya buruk selepas Bersih 3.0 dengan kempen fitnah dan tohmahan yang telah dilancarkan oleh Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri bukanlah entiti yang patut dituduh mahupun yang patut menghakimi, tetapi yang seharusnya memberi sokongan padu kepada penyiasatan yang saksama dan kredibel, katanya.

"Saya bersetuju penuh dengan Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah yang telah berkata tindakan Hishammuddin dalam menaik muat kompilasi video Bersih 3.0 adalah bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menubuhkan panel Hanif kerana ia akan dilihat sebagai tekanan untuk mempengaruhi proses penyiasatan dan penemuan penyiasatan tersebut," kata Kit Siang.

Dua hari yang lepas, Hanif telah berkata panelnya telah ditunjukkan lebih daripada 43 minit rakaman video perhimpunan 28 April daripada 73 jam klip video yang sedia ada.

Jika Hishammuddin bersedia untuk membenarkan orang awam membuat keputusan sendiri mengenai apa yang telah benar-benar berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0, adakah beliau bersedia untuk menaik muat kesemua 73 jam klip video Bersih 3.0? soalnya.

Harakah Daily

Jual rahsia negara: PKR cabar Najib jelaskan

16 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara.

(Azmin dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini)

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan Najib harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Sebelum itu, Azmin memberitahu pendedahan NGO Suaram bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.

Menurutnya, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh Suaram berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang mengamalkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan beberapa perkara.

"Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS.

"Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," jelas Azmin.

Tambahnya lagi, dokumen sulit itu dijual pada harga RM142 juta dalam keadaan syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited tersebut dimiliki oleh penasihat utama Najib.

Azmin turut menyatakan skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata.

"Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk mengadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.

"Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan," sambungnya lagi.

Beliau turut mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.

"Sekiranya ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera," tambah Azmin lagi.

Tindakan penjualan dokumen sulit ini secara tidak langsung membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

Harakah Daily

Menteri Pendidikan Tinggi: Khairy ganti Khalid Nordin

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Walaupun menjadi seterusnya dalam debat, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan agar Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang baru.

Ini kerana, cadangan Khairy sepanjang debat PTPTN baru-baru ini jauh lebih berwibawa berbanding dengan tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.

Pandangan Rafizi ini diberikan beliau ekoran kenyataan Khalid yang menyokong tindakan PTPTN menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar baru Unisel.

Khalid dalam kenyataannya berkata, “Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi matlamat
pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan Pakatan”

"Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar:

"apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno/Barisan Nasional?" soal Rafizi dalam kenyataannya.

Bagi beliau, perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.

Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar diraikan.

PKR, katanya, mengambil pendirian bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di negara-negara lain.

Pada masa yang sama, PKR juga, yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat, kata Rafizi.

Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat, tegasnya.

Seharusnya, kata beliau, Datuk Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan menghukum pelajar.

"Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan Nasional bagi menggantikan Datuk Seri Khaled Nordin," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," tegasnya.

Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

Harakah Daily

Stadium: Runtuh anjur Himpun & Ingat Jumaat ini

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Badan Bertindak Menangani Isu Bangunan Runtuh (Runtuh) akan mengadakan program Runtuh & Ingat pada Jumaat, 8 Jun di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak bermula jam 5 petang.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata ia sebagai mengingatkan kepada rakyat mengenai SSMZA yang runtuh pada 2 Jun 2009.

Jelasnya, program diisi dengan deklamasi sajak oleh SN Datuk A Samad Said, pidato rakyat, pimpinan masyarakat, NGO, pameran dan penyebaran risalah.

Katanya, pada 2 Jun 2009 yang lalu, Malaysia telah gempar dengan keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak yang dibina dengan kos RM292 juta dalam tempoh tidak sampai setahun disiapkan.

Tambahnya, turut mendukacitakan rakyat Terengganu apabila keluar dari mulut seorang wakil rakyat di pihak kerajaan yang mengatakan ‘keruntuhan adalah satu rahmat’ kepada rakyat sedangkan, ianya adalah satu musibah.

Malah, katanya suatu kerugian kerana ianya melibatkan wang rakyat.

“Episod malang keruntuhan bumbung SSMZA seberat 2,500 tan dengan teknologi tanpa tiang dari Korea itu bukan sahaja tamat di situ, malah kita juga telah didedahkan dengan isu kecurian pelbagai peralatan di SSMZA yang dianggarkan berjumlah RM50 juta termasuk dua set janakuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” katanya.

Jelasnya, Sabtu lalu, 2 Jun 2012 genaplah 3 tahun peristiwa memalukan itu berlaku, lebih memalukan apabila walaupun sudah 3 tahun, namun kerajaan negeri dilihat mengambil sikap lepas tangan dalam menangani isu ini.

Malah, ujarnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilihat sentiasa cuba mengelak untuk berhadapan isu itu walaupun pada peringkat awal beliau mengatakan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan kes yang memalukan itu.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan hanya dilakukan selepas setahun berlakunya runtuhan (selesai akhir 2010).
Pada masa yang sama, ujarnya kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa tender sudah dikeluarkan.

Namun, tambah beliau sehingga hari ini tiada apa-apa yang dilakukan terhadap SSMZA tersebut.

“Atas rasa tanggungjawab, dan kesal dengan sikap sambil lewa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, maka Runtuh mengumumkan akan mengadakan satu himpunan aman bagi memperingati 3 tahun sudah berlalu dengan objektif utama memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan ‘Stadium Runtuh’ tersebut,” ujarnya.

Harakah Daily

Maut jatuh dari tingkat enam

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Penduduk Perumahan Awam Sri Perak di sini, gempar selepas seorang lelaki maut dipercayai terjun dari tingkat enam.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 8 malam dan ketika datang ke tempat kejadian mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian muka, tangan kanan dan patah di kedua-dua belah kaki.

Menurutnya, mangsa, Osman Abd Razak, 61, bukan penduduk perumahan itu tetapi tinggal di Taman Koperasi Polis fasa 2. Punca kejadian tidak dapat dipastikan dan mayat di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali memaklumkan dia tidak menghadapi sebarang masalah bersama suaminya dan sempat berbual melalui panggilan telefon sekitar jam enam petang.

Bagaimanapun, isterinya yang masih terkejut dengan kejadian enggan mengulas lanjut tetapi memaklumkan suaminya seorang yang baik dan tidak tahu punca lelaki itu berada di perumahan awam itu. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

sinar harian/-

Suspek langgar lari masih belum ditemui

16 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDAR TUN RAZAK – Berikutan tragedi langgar lari sehingga meragut nyawa seorang anak pegawai polis trafik pada 25 Mei lalu, polis masih lagi berusaha mengesan pemandu lori jenis Isuzu berkepala putih yang berpenutup kanvas berwarna kelabu.

Lori itu dipercayai melanggar mangsa, Muhammad Husaini Ruslan, 20, di Kilometer 22.7 Jalan Maran menuju Sungai Jerik menyebabkan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian, sementara pemandu lori terbabit melarikan diri.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, polis kini masih giat mengesan suspek terbabit.

“Kami belum menemui dan masih melakukan siasatan untuk mengesan pemandu terbabit. Justeru, polis mengharapkan kerjasama orang ramai jika mempunyai sebarang maklumat atau menemui lori disyaki itu,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa yang berasal dari Jerantut itu dilanggar di selekoh dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Tiada saksi berjaya mencatat nombor plat lori terbabit berikutan kejadian berlaku terlalu pantas.

Sinar Harian

Rumah digeledah, kereta hilang

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang peniaga terkejut menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan tempat tinggalnya memaklumkan mengenai rumahnya dipecah masuk, petang kelmarin.

Kejadian berlaku di Taman Chip Aik, dekat sini, kira-kira 2.30 petang ketika semua penghuni rumah terbabit tiada di rumah kerana masingmasing keluar bekerja sejak 9 pagi.

Ia hanya disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan perumahan itu, sebelum tergamam mendapati pintu rumah milik peniaga berkenaan terbuka. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim berkata, berdasarkan siasatan awal, penjenayah terbabit memasuki kediaman mangsa dengan memotong pintu besi di bahagian hadapan sebelum menggeledah keseluruhan rumah terbabit.

“Kereta Toyota Alphard milik mangsa yang diletakkan di garaj juga dilarikan, selain beberapa barang lain seperti sebuah laptop, wang tunai berjumlah RM300 serta beberapa botol minuman keras.

“Nilai kerugian mangsa dianggarkan hampir RM200,000 dan polis masih menjalankan siasatan cara penyamun terbabit memasuki rumah mangsa berikutan terdapat pengawal keselamatan yang ditugaskan melakukan rondaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Zazali berkata, keterangan daripada pengawal keselamatan turut diambil bagi membantu siasatan dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan. Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta pecah rumah.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya Difahamkan, keluarga terbabit memiliki kedai aksesori kenderaan dan rumah miliknya itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Sinar Harian

Ribuan hadiri pengebumian wira rakyat

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH orang memberi penghormatan terakhir terhadap Bin di Rumah Pengebumian Hangzhou di Hangzhou semalam.

BEIJING - Ribuan penduduk di bandar Hangzhou, China semalam memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah seorang wira rakyat, Wu Bin yang telah menyelamatkan nyawa 24 penumpang bas.

Mereka memberi penghormatan terakhir itu di Rumah Pengebumian Hangzhou.

Bin, 48, digelar sebagai wira selepas dia bertindak membrek, menukar gear dan memberitahu penumpang supaya tidak merayau-rayau di lebuh raya.

Dia melakukan perbuatan itu walaupun dadanya ditusuk dengan serpihan logam tajam yang menembusi cermin basnya semasa dia memandu pada 29 Mei lalu.

Bin meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dia mengalami kecederaan akibat ditusuk logam itu.

Pemerintah China memberikan anugerah Pekerja Contoh Wilayah bagi mengiktiraf keberanian Bin. - Agensi

Sultan tandatangani plak tuntutan royalti

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum.

Baginda berkenan melawat booth Royalti sebuah Gabungan Profesional Kelantan Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan, bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menurunkan tandatangan sokongan, lapor laman web Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan http://royaltikelantan.com

Setiausaha Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) Muhammad Hishamuddin Ghazali berkata sokongan Sultan Kelantan merupakan satu anjakan terbesar terhadap kempen tuntutan rakyat yang berterusan.

Ini juga menunjukkan bahawa perjuangan tersebut perlu disokong semua rakyat Kelantan.

Beliau mengulas tindakan Sultan Muhammad V yang menurunkan tandatangan pada plak semasa kempen tersebut diadakan di Ekspo Pertanian Kelantan 2012 yang berlangsung selama lima hari dari 5 Jun hingga 10 Jun 2012.

“Tindakan sokongan baginda yang merupakan ekspresi rakyat Kelantan atas dasar baginda Sultan sebagai pemimpin rakyat Kelantan.

Perjuangan Gegar tidak mengira sentimen politik kerana kami menuntut hak rakyat Kelantan yang dinafikan,” Hisahmuddin mengulas.

Gegar meneruskan kempen tandatangani kain rentang selepas beberapa siri diadakan berjaya mengumpul lebih 50,000 tandatangan.

Gegar akan terus bergerak untuk menyemarakkan lagi kempen sehingga tuntutan rakyat ini berjaya.

Kerajaan Negeri Kelantan membuat tuntutan royalti berdasarkan perjanjian di bawah Akta 144 Petroleum Development Act 1974 yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa cari gali petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti lebih RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 hingga kini.

Harakah Daily

Polis cari waris lelaki dibunuh kejam

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang dibunuh kejam di di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Akob, Bukit Kapar, 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mayat mangsa berusia lingkungan 40-an itu masih tidak dituntut di Hospital Tengku Ampuan Rahima (HTAR) Klang.

“Bedah siasat sudah siap dilakukan tetapi tiada waris yang menuntut mayat mangsa. “Identiti mangsa juga masih tidak diketahui. Tiada tanda pada badan mangsa yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga sejak mayat lelaki itu ditemui, diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi proses pengecaman.

Sinar Harian

Pusat hiburan keluarga jadi lokasi kegiatan tidak bermoral

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KLUANG - Sebanyak 118 mesin judi yang nilainya dianggarkan lebih kurang RM700,000 berjaya dirampas di sekitar daerah ini dalam Ops Pusat Hiburan Keluarga yang bermula dari 21 hingga 31 Mei, lalu.

Kejayaan rampasan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan perjudian di pusat hiburan keluarga.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, ekoran itu, polis daerah ini mewujudkan pasukan khas bagi membanteras kegiatan berkenaan dan menjalankan operasi yang dikenali sebagai Ops Pusat Hiburan Keluarga.

“Sebanyak 14 serbuan telah dijalankan dengan 10 daripadanya berjaya mengurangkan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Polis turut menahan 44 warga tempatan berumur lingkungan 15 hingga 57 tahun yang terlibat dengan aktiviti ini di mana 12 tangkapan melibatkan penjaga premis manakala 32 lagi terhadap pemain dan pelanggan pusat hiburan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, polis telah mengeluarkan enam saman ke atas premis yang beroperasi

lebih masa dan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor 4/98 manakala, empat premis lagi disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen ARJT, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas serta penjara tidak lebih daripada lima tahun.

“Sehingga kini, operasi perjudian pusat hiburan keluarga masih dijalankan sehingga 14 Jun ini dan pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa bagi membendung aktiviti ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid turut menyarankan orang awam agar sentiasa membantu polis dengan memberikan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, orang awam diminta menghubungi talian hotline IPD Kluang iaitu 07-7766822 yang mana talian ini khusus untuk membanteras kegiatan perjudian dan ia beroperasi 24 jam.

Sinar Harian

Nyaris hilang anak gara-gara tinggalkan dalam kereta

16 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah menempuh detik mencemaskan apabila anaknya yang ditinggalkan dalam kereta dengan enjin yang masih hidup, dilarikan seorang lelaki di Bandar Baru Kangkar Pulai dekat sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, Khazlim Saat, 35, boleh menarik nafas lega selepas anak bongsunya, Mohd Ryan Hazim, 2, berjaya ditemui sejam kemudian dan detik itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepadanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, beliau meninggalkan dua anak perempuannya, Nor Sabrina Damiah, 6, dan Nor Sofea Hadirah, 4, serta Mohd Ryan dalam kereta untuk membeli barang di sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.

“Sebelum keluar, saya sudah mengunci pintu kereta, tetapi tidak lama selepas itu, Damiah datang kepada saya dan belum sempat dia membuka mulut saya terdengar Hadirah menjerit.

“Saya terus keluar dari kedai runcit dan ternampak Hadirah berada di luar kereta sambil menjerit dan dalam sekelip mata, kereta saya dalam keadaan pintu yang masih terbuka dilarikan oleh seorang lelaki dengan anak bongsu saya berada dalam kereta,” katanya.

Beliau yang tidak menyangka dengan insiden itu, berkata dengan bantuan orang ramai mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Khazlim berkata beliau juga sempat menghubungi suaminya Mohd Hisham Rahiman, 35, rakan-rakan serta jirannya untuk membantu mencari anaknya itu.

Katanya tidak sampai sejam selepas itu, polis Nusajaya menerima laporan mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditinggalkan di hadapan sebuah restoran, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
“Saya merasa amat bersyukur kerana anak saya berjaya ditemui dengan keadaan selamat walaupun cedera sedikit di kening mungkin terhantuk semasa kenderaan itu dipandu laju.

“Ia juga menjadi pengajaran kepada saya untuk tidak lagi meninggalkan anak dalam kereta walau sekejap. Saya harap ibu bapa lain dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang saya alami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamad berkata polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan kenderaan milik mangsa sebaik menerima laporan.

“Dengan bantuan orang ramai, kami berjaya mengesan kenderaan tersebut kira-kira pukul 11.30 malam semalam di Jalan Trus dan menahan tiga lelaki berumur antara 24 dan 26 tahun,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain dipercayai mempunyai kaitan dengan tujuh kes kecurian kenderaan sekitar Nusajaya dan Johor Baharu Selatan.

Mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Van polis terbakar sebaik saja hantar tertuduh

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Sebuah van polis yang dinaiki dua anggota terbakar sebaik sahaja sampai di simpang empat Jalan Lencongan Timur dekat Kompleks Mahkamah dan Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam.

Kejadian berlaku apabila kedua-dua anggota yang berada dalam van menyedari terdapat kepulan asap keluar dari bahagian enjin dan kenderaan berbau hangit.

Selepas memberhentikan kenderaan, mangsa menutup enjin dan keluar dari kenderaan sebelum menyedari van itu sudah mula terbakar.

Panik dengan kejadian terbabit, mangsa dikatakan terus menghubungi pihak bomba bagi operasi memadam kebakaran.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani telah pun tiba dan sedang berusaha memadam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, van dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Yan itu sebenarnya membawa tertuduh dari Yan ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk perbicaraan.

“Bagaimanapun, ketika kejadian van itu sudah keluar dari mahkamah dan sedang menuju ke arah simpang empat berkenaan.

“Hanya dua anggota polis sahaja berada dalam van sementara penumpang lain telah pun dihantar,” katanya.

Hashim berkata, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran merebak ke seluruh bahagian kenderaan itu, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Sinar Harian

Syria setuju PBB teruskan bantuan kemanusiaan

16 Rejab 1433H. [MOD] -

GENEVA 6 Jun - Syria semalam bersetuju untuk membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa yang lain meneruskan bantuan kemanusiaan di negara itu.

"PBB akan membuka kem bantuan di empat wilayah bergolak utama iaitu Deraa, Deir al-Zor, Homs dan Idlib.

"Kebebasan adalah satu pergerakan dan peluang untuk meneruskan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Syria merupakan perkara yang paling penting," kata pegawai kanan bantuan kemanusiaan PBB, John Ging. - REUTERS

Tumbuk rakan kerana wanita

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Alahai! Disebabkan seorang wanita bernama Melah, seorang pemandu teksi sanggup menumbuk dan menendang rakannya sendiri dalam satu kejadian berhampiran sebuah kedai makan di Stesen Teksi Kuala Terengganu, di sini, 23 Mac lalu.

Bagaimanapun, akibat perbuatan yang terlalu mengikut perasaan itu, tertuduh, Alias Ghazali, 39, dari Kampung Pak Kancil Luar, di sini, dikenakan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, sekiranya Alias gagal menjelaskan denda terbabit, dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua bulan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas Alias mengaku salah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakannya, Raja Ngah Raja Salleh, 51.

Alias mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk dan menendang Raja Ngah berhampiran kedai makan di Stesen Teksi Kuala Terengganu, di sini, kira-kira 12 tengah hari, 23 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala Alias tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Alias dikatakan mencari Raja Ngah selepas berselisih faham dengan mangsa yang keluar bersama seorang wanita dikenali sebagai Melah.

Sebaik menemui mangsa berhampiran kedai makan berkenaan, Alias terus menarik tangan mangsa keluar dari kedai sebelum menumbuk dan menendang mangsa.

Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan susulan laporan dibuat, Alias ditahan sepasukan polis di hadapan stesen teksi di Jalan Masjid Abidin, di sini, 1 Jun lalu.

Sinar Harian

Euro 2012: Bila-bila pemain England boleh cedera

16 Rejab 1433H. [MOD] -

PASUKAN England umpama bom jangka berikutan beberapa lagi pemain utamanya dihimpit krisis kecederaan menjelang sepak mula Kejohanan Euro 2012 di Poland-Ukraine bermula Sabtu ini.

Pemain seperti Scott Parker dan John Terry boleh melupakan Euro andai tersilap langkah pada sesi latihan. Terry umpamanya mengalami kecederaan hamstring kecil ketika beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Belgium, Sabtu lalu.

Manakala Parker dikatakan mengalami kecederaan Achilles, namun dinafikan Roy Hodgson.

Minggu lalu, Frank Lampard terpaksa digugurkan apabila mengalami kecederaan paha ketika mengikuti sesi latihan.

Penjaga gol, John Ruddy patah jari juga pada sesi latihan sementara Gareth Barry dan Gary Cahill cedera ketika beraksi pada perlawanan pemanas badan.

Penjaring gol kemenangan England ketika berdepan Belgium, Danny Welbeck turut dilaporkan mengalami masalah pergelangan kaki.

Tidak terkecuali, kapten pasukan Steven Gerarrad kerana pemain Liverpool itu mempunyai sejarah kecederaan hamstring yang berpanjangan.

Kini, Roy Hodgson mempunyai enam hari lagi bagi merencana sesuatu sebelum perlawanan pembukaan menentang Perancis pada 12 Jun di Donbass Arena, Ukraine.

Sinar Harian

Euro 2012: Denmark belum panas

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KURANG lima hari perlawanan pembukaan Kumpulan B bermula, Denmark masih belum menemui rentak permainan sebenar.

Tewas dua kali pada aksi persahabatan, Denmark seakan hambar dalam meniti hari-hari pembukaan Euro sebelum meraih kemenangan sulung ke atas Australia pada aksi terakhir pemanas badan untuk bertemu Belanda, Ahad ini.

Namun, penyerang Nicklas Bendtner percaya, The Danish Dynamite mampu bangkit untuk kembali ke laluan sebenar mereka.

“Corak permainan kami akhir-akhir ini terlalu perlahan dan hambar. Kami bekerja keras untuk perbaikinya dan saya yakin, dalam tempoh terdekat Denmark akan kembali sebagai lawan yang digeruni,” katanya.

Pertahanan Liverpool, Daniel Agger turut mengakui mereka membiarkan jurang yang agak luas dengan prestasi jauh lebih teruk berbanding sebelum ini.

“Kami masih ada kurang seminggu sahaja lagi untuk segera perbaiki dan kembalikan Denmark yang sebenar,” katanya.

Denmark bakal memulakan kempen menentang Belanda Ahad ini, turut diundi bersama Jerman dan Portugal dalam Kumpulan B.

Sinar Harian

Barang kemas RM300,000 lesap

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai emas terpaksa berputih mata, selepas kedainya dipecah masuk, di Pasir Tumboh, malam kelmarin.

(Seing Ai, (duduk depan) buntu memikirkan kejadian kedainya yang dipecah masuk
malam kelmarin)

Akibat kejadian itu, Lu Seing Ai, 49, mengalami kerugian kira-kira RM300,000.

Seing Ai berkata, dia hanya menyedari mengenai kejadian itu, kira-kira jam 12 tengah hari untuk memulakan perniagaan, dan melihat kedai berselerak.

“Saya memeriksa peti besi tempat menyimpan barangan kemas dan mendapati ia ditebuk dengan menggunakan gerudi dan kesemua barangan kemas dilarikan. Terkejut melihat keadaan itu, saya terus menaiki tangga kedai dan melihat siling di bahagian atas ditebuk dan mengesyaki pencuri itu menggunakan tali menyusup masuk ke dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku begitu pantas dan dia masih trauma.

“Ini merupakan kejadian ketiga sepanjang 26 tahun berniaga dan kejadian seumpama itu pernah berlaku namun saya tidak menanggung kerugian yang banyak. Saya masih buntu namun mengharapkan polis dapat melakukan siasatan bagi menahan penjenayah yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata, berdasarkan siasatan, dipercayai kedai itu dipecah masuk kira-kira jam 12 hingga 1 pagi.

“Walaupun kedai terbabit mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), penjenayah itu berjaya masuk ke dalam kedai melalui siling selain menebuk tempat simpanan emas dalam kedai itu dengan menggunakan gerudi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Azham berkata, pihaknya mengesyaki kejadian terbabit melibatkan lebih dari seorang penjenayah.

“Sehingga hari ini pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dan mengharapkan jika orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada balai-balai polis terdekat bagi membantu menyelesaikan kes,” katanya.

Sinar Harian

Penyakit tibi merebak angkara PATI

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KEMASUKAN PATI ke negara ini dikatakan menjadi salah satu faktor penyakit tibi sukar dikawal dan dicegah di negara ini. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dilihat sebagai salah satu faktor utama penyakit Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering sukar dikawal dan dicegah di negara ini.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, PATI yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) menjadi pembawa utama penyakit itu.

“Melalui pemerhatian IPR, PATI yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan setelah tiba di Malaysia berpotensi menjadi pencetus merebaknya penyakit itu.

“Selain itu, faktor kurangnya kesedaran umum pesakit juga merupakan mengapa penyakit tersebut sukar untuk dicegah,” katanya di sini semalam.

kosmo/-

Euro 2012: Ireland diikat Hungary

16 Rejab 1433H. [MOD] -

LANGKAH Republik Ireland ke Euro kurang meyakinkan apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Hungary pada aksi pemanas badan terakhir pasukan itu, awal pagi semalam.

Bagaimanapun jurulatihnya, Giovanni Trapattoni tetap berpuas hati kerana semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan.

Malah Trapatonni memuji persembahan penjaga gol veteran, Shay Given yang bertungkus-lumus memastikan gawang Ireland tidak dibolosi.

"Hungary dapat banyak peluang tetapi kami bernasib baik kerana Given selamatkan pasukan.

"Apa yang penting kami tidak kalah, pemain juga tidak cedera," katanya yang masih gusar mengenai formasi pasukan menjelang aksi pertama menentang Croatia, 11 Jun ini.

Pada masa sama, Trapattonimasih mempertimbangkan keputusan untuk menggunakan sistem penyerang tunggal seperti yang dilakukan dalam aksi persahabatan awal pagi semalam.

Sinar Harian

Euro 2012: Rosicky boleh beraksi

16 Rejab 1433H. [MOD] -

JURULATIH Republik Czech, Michal Bilek mengesahkan Tomas Rosicky (gambar) akan diturunkan pada perlawanan pertama Kumpulan A menentang Rusia, Sabtu ini.

Sebelum ini, peluang Rosicky ke Euro dilihat tipis apabila berdepan kecederaan betis, namun pengumuman terbaru itu melegakan peminat Republik Czech.

"Rosicky akan bermain pada perlawanan pertama. Dia mempamerkan kualiti yang saya inginkan dan dia tunjukkan pada sesi latihan.

"Dia pandai membuka ruang dan bijak dalam melakukan hantaran.

"Kehadirannya sudah pasti melonjakkan moral pasukan," katanya.

Selain Rusia, Republik Czech turut diundi bersama tuan rumah Poland dan juara 2004, Greece.

Sinar Harian

Euro 2012: Pertahanan masih longgar: Advocaat

16 Rejab 1433H. [MOD] -

MENJELANG perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Republik Czech, Sabtu ini, Rusia perlu segera memperkemaskan jentera pertahanan walaupun percaya mereka berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kedua.

Kemenangan 3-0 ke atas Itali pada aksi persahabatan terakhir minggu lalu melonjakkan keyakinan mereka, namun jurulatih Dick Advocaat akui pertahanan masih longgar.

“Kemenangan itu (pemanas badan) amat penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan, sekali gus menandakan Rusia di landasan terbaik untuk memulakan saingan peringkat kumpulan.

"Namun masih banyak perkara perlu dititik beratkan terutama sekali bahagian pertahanan,” kata bekas pengendali Belanda itu.

Pada masa sama, Advocaat masih merahsiakan barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan pertama nanti.

“Masih banyak masa lagi sebelum hari pembukaan dan dalam tempoh itu apa sahaja boleh berlaku,” katanya yang mengakui sudah menyenaraikan beberapa pemain untuk mengisi posisi penting.

Rusia yang bakal memulakan kempen 9 Jun ini turut diundi bersama Greece dan Poland.

Sinar Harian

Gempa 5.6 skala Richter gegar Pulau Sumatera

16 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDA ACEH 6 Jun - Satu gempa bumi sekuat 5.6 skala Richter menggegarkan Pulau Sumatra, semalam, namun tiada kemusnahan atau kecederaan dilaporkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berpusat pada 75 kilometer ke barat Banda Aceh dengan kedalaman lebih 35 kilometer.

Gempa yang berlaku pada pukul 7 petang waktu Malaysia itu mencetuskan panik di kalangan penduduk tempatan. - AFP

Euro 2012: Musibah iringi England

16 Rejab 1433H. [MOD] -

BERDASARKAN ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), England yang menduduki tangga ketujuh dunia menjadi pilihan mara ke pusingan kedua.

Diundi dalam Kumpulan B bersama Perancis (16), Sweden (17) dan tuan rumahUkraine (50) persiapan England ke Euro tahun ini bagaimanapun diulit insiden malang.

Seorang demi seorang pemain utamanya terpaksa digugurkan akibat masalah kecederaan dan terbaru, The Three Lions terpaksa melepaskan Garry Cahill selepas rahang pertahanan Chelsea itu disahkan retak.

Situasi itu menambah pening Roy Hodgson yang terlebih dahulu kehilangan John Ruddy, Gareth Barry dan Frank Lampard.

Malah Hodgson terpaksa melupakan khidmat penyerang prolifik Manchester United, Wayne Rooney dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan selepas digantung kerana menendang pemain pertahanan Montenegro, Miodrag Dzudovic pada aksi kelayakan Oktober tahun lalu.

Kini, mimpi ngeri Hodgson sudah bermula dan pengendali berusia 64 itu terpaksa mengakui huruf 'D' membawa maksud Death atau maut buat pasukannya di Euro tahun ini.

Untuk rekod, England tidak layak beraksi di Euro 2008 dan pencapaian terbaik mereka adalah meraih tempat ketiga pada tahun 1968 dan 1996.

Sinar Harian

Ibu mengandung maut

16 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH – Ibu muda maut bersama bayi dalam kandungan beberapa hari sebelum tarikh jangkaan bersalin selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12.6 Jalan Pasir Puteh-Semerak dekat sini, petang kelmarin.

Rodiautul Fatma Mohd Rosli, 24, berasal dari Jeram Pasu yang sepatutnya merujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian hari ini meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher.

Kereta yang ditumpangnya dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan pacuan empat roda ketika melalui selekoh tajam berhampiran Bukit Peraksi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu turut menyebabkan tiga yang lain dalam kereta sama cedera yang kini menerima rawatan di hospital.

Katanya, mereka yang cedera ialah rakan Rodiatul Fatma iaitu Marliana Harun, 26, dari Kampung Telosan, pemandu berusia 29 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 47 tahun.

“Daripada siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kereta Proton Satria dari arah Semerak itu dipandu laju sebelum hilang kawalan serta terbabas ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudiannya berlanggar dengan pacuan empat roda dari arah Pasir Puteh,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Kamal berkata, pengguna laluan itu diminta lebih berhati-hati ketika melalui selekoh tersebut walaupun tidak banyak rekod kematian akibat kemalangan dicatatkan di kawasan itu.

“Kalau kita lihat selekoh itu memang berbahaya lebih-lebih lagi ketika hujan, saya menasihati pengguna supaya berwaspada ketika melaluinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polos mengenai kejadian itu jam 2.35 petang.

Katanya, jentera bomba dengan kekuatan empat anggota bergegas sampai ke tempat kejadian jam 2.50 petang dan mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduk belakang.

“Ketika bomba tiba di situ, hanya terdapat satu mangsa yang sudah meninggal dunia di dalam kereta, kami mengeluarkannya dan menyerahkan kepada polis sebelum mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis,” katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Koscielny jadi pilihan

16 Rejab 1433H. [MOD] -

LAURENT Blanc mungkin menyenaraikan pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny dalam kesebelasan utama Perancis bagi menghadapi England Selasa depan.

Koscielny yang baru dua kali menyarung jersi Les Blues mempamerkan persembahan cemerlang ketika diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Serbia, minggu lalu.

Blanc berkata, prestasi hambar dipamerkan pertahanan AC Milan, Philippe Mexes dilihat antara alasan mengapa Koscielny mungkin diturunkan menentang England nanti.

"Koscielny menunjukkan permainan yang baik ketika menentang Serbia. Bagus untuk dia tapi saya tak jamin kedudukannya dalam kesebelasan utama," katanya.

Dalam pada itu, Blanc mungkin menggunakan khidmat pertahanan Manchester City, Gael Clichy berbanding pertahanan Manchester United, Patrice Evra.

"Clichy pemain yang pantas dan banyak melancarkan serangan dari bawah. Namun, dia harus perbaiki kelemahan, begitu juga Evra.

"Apa pun, ini bergantung kepada situasi semasa.

Siapa yang OK dialah yang saya senaraikan pada perlawanan menentang England nanti," katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Tetap sokong walau disisih: Rio

16 Rejab 1433H. [MOD] -

RIO Ferdinand berjanji tetap menyokong pasukan England sepanjang kempen Euro 2012 walaupun disisihkan pengurus baru mereka, Roy Hodgson. Pemain pertahanan Manchester United itu tidak dibawa ke Ukraine bagi kejohanan kali ini biarpun beraksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Nama bekas kapten England itu kembali jadi perhatian apabila Gary Cahill mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang Belgium di Wembley, Sabtu lalu.

Tetapi, Hodgson sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mengambil keputusan memanggil pemain pertahanan mentah Liverpool yang hanya melakukan 12 penampilan di EPL, Martin Kelly berbanding Ferdinand.

“Saya 100 peratus tetap menyokong England. Ini negara kelahiran saya. Memang agak terkilan tidak dapat membantu pasukan pada kempen Euro kali ini.

“Tetapi, saya harus positif dan akan tetap enjoy sepanjang cuti musim panas ini,” katanya.

Ramai pemerhati memperkatakan kegagalan Ferdinand merebut tempat utama kerana Hodgson bimbang pemain itu tidak mampu

Sinar Harian

Tradisi bunuh ikan paus

16 Rejab 1433H. [MOD] -

BEBERAPA penduduk menangkap sebelum membunuh ikan paus pilot dekat Sandur semalam.

SANDUR, Pulau Sandoy - Penduduk di Kepulauan Faroe, Denmark menangkap dan membunuh sejumlah ikan paus pilot dekat sini semalam.

Memakan daging ikan itu merupakan warisan penduduk di pulau ini yang merupakan keturunan pelaut Viking.

Namun, setiap daging haiwan itu tidak dibenarkan dijual dan ia hanya diedarkan dalam kalangan penduduk tempatan. - REUTERS

Operasi kafe siber kaburi kegiatan judi haram

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan judi haram yang kebanyakannya berselindung di sebalik pusat kafe siber.

Bukan sahaja sukar dibendung, malah ada pusat judi tidak pernah serik untuk meneruskan kegiatan mereka dengan mengaburi mata umum serta pihak berkuasa menggunakan taktik tersendiri.

Kegiatan judi menyebabkan pelbagai masalah termasuk pergolakan rumah tangga seperti dihadapi seorang wanita yang membuat aduan kepada Sinar Harian mengenai sifat suaminya yang ketagih judi.

Sehubungan itu, Sinar Harian cuba menjejaki kewujudan pusat judi dimaksudkan di Jalan Air Putih, di sini.

Pemerhatian di sekitar bangunan dimaksudkan mendapati kafe siber itu berada di lokasi strategik dan terbuka, namun menimbulkan tanda-tanya berikutan masih lengang pada jam 10 pagi.

Berdasarkan tinjauan, seorang pekerja yang bertugas berhampiran kafe siber itu menyatakan ia dijadikan premis perjudian dan hanya beroperasi pada sebelah petang.

Menurutnya, walaupun bangunan itu seolah-olah tutup, tetapi sebenarnya pelanggan hanya dibenarkan masuk menggunakan pintu belakang premis.

“Bangunan itu menjadi tempat perjudian, tetapi cuba berselindung di sebalik kafe siber. Bermula jam 4 petang, bangunan itu mula aktif. Tetapi agak mencurigakan kerana pelanggan masuk secara sembunyi melalui pintu belakang,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, pusat judi itu bukan hanya satu bangunan kerana terdapat sebuah lagi premis turut menjalankan operasi sama.

“Banyak kali pusat judi ini diserbu, tetapi mereka tidak takut dan tetap beroperasi semula. Tidak jauh dari bangunan itu, terdapat satu lagi tempat perjudian. Masalah ini bukan perkara baru,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, polis memandang serius mengenai kegiatan itu yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya.

Menurutnya, dalam tempoh Mac hingga Mei tahun ini, sebanyak 113 serbuan dilakukan ke atas pusat siber berlesen dan haram sekitar bandar ini, manakala sebanyak 1,191 set komputer dianggarkan bernilai RM1.1 juta berjaya dirampas.

“Polis kesal kerana kebanyakan premis lakukan kesalahan berulang kali, malah pernah juga dikenakan tindakan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dalang kegiatan itu agak licik apabila menggunakan pelbagai taktik untuk melindungi operasi mereka termasuk penggunaan khidmat tonto, pengawasan kamera litar tertutup dan sebagainya.

Mohd Jasmani berkata, semua premis terbabit dikenakan pelbagai tindakan termasuk rampasan komputer, pembatalan lesen, pemotongan bekalan elektrik dan air, manakala penjaga pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi terbuka 1960.

Sinar Harian

Euro 2012: Situasi Itali kritikal

16 Rejab 1433H. [MOD] -

ITALI mungkin terpaksa melupakan khidmat Andrea Barzagli pada perlawanan pertama peringkat kumpulan selepas doktor pasukan mendedahkan pemain itu memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.

Jika situasinya bertambah buruk impian pertahanan Juventus itu beraksi di Euro, musnah sama sekali.

Barzagli mengalami ketegangan otot ketika diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Rusia minggu lalu yang berkesudahan Itali tewas 0-3.

Pada masa sama, pasukan perubatan Itali memberitahu Mario Balotelli turut cedera, namun enggan mendedahkan keadaan sebenar penyerang itu.

Balotelli gagal melengkapkan sesi latihannya kelmarin dan khabar angin mengatakan bintang Manchester City itu mengalami kecederaan lutut atau betis.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan Barzagli cergas. Kami optimis dia mampu beraksi sekurang-kurangnya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan," kata doktor pasukan, Enrico Castellacci.

Itali diundi dalam Kumpulan B akan menentang juara bertahan Sepanyol 10 Jun ini disusuli Croatia (14 Jun) dan Republik Ireland (19 Jun).

Sinar Harian