04 June 2012

Enam warga China antara penumpang nahas pesawat Nigeria

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BEIJING: Kerajaan China berkata enam warga negaranya berada di dalam pesawat Dana Air Boeing MD83 yang terhempas di kawasan kediaman di bandaraya terbesar Nigeria, Lagos, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, 153 penumpang dikhuatiri terbunuh.
Kedutaan China di Nigeria berkata, pihak diberitahu pihak berkuasa tempatan bahawa enam warga negaranya menaiki pesawat itu ketika kejadian.

“Pihak kedutaan sudah menghubungi anggota keluarga enam warga negara China terbabit selepas menggunakan pelbagai saluran,” katanya menerusi laman web kedutaan itu di sini, hari ini. - AFP

Wanita Thailand tidak mengaku salah gagal isytihar wang

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU 4 Jun - Seorang wanita warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu tidak mengisytihar sejumlah wang yang dibawa masuk dan mengimport wang terbabit ke negara ini pada Mei lepas.

Ketkanya Kanoy, 49, dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Rantau Panjang kira-kira pukul 10 pagi, 21 Mei lalu.

Tertuduh yang menetap di negara ini sejak 21 tahun lalu meminta dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dikatakan telah gagal mengisytiharkan 2,585 keping wang kertas RM50 dan 200 keping wang kertas RM100 yang bernilai RM149,250.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Kanoy dituduh mengimport kesemua wang terbabit dengan sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand di tempat dan masa yang sama.

Wang tersebut dilarang diimport di bawah Akta Kastam 1967 dibaca bersama Perintah Kawalan Pertukaran Wang (Import dan Eksport) 2012, Akta Kawalan Pertukaran Pertukaran Wang 1953 kecuali dengan kebenaran Pengawal Pertukuran Wang Asing. - UTUSAN

Harga Geran Tanah Umno-BN : RM24,000 Harga Pakatan : RM1,000

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BESTARI JAYA 04 JUN : Jika di bawah Umno-BN dulu, seorang penduduk Kampung Jaya Setia perlu membayar sampai RM24,000 jika mahukan geran tanah.

Harga yang tinggi bagi mendapatkan geran adalah sebab utama 320 orang kampung itu tidak mendapat hak milik kepada tanah yang ibubapa mereka teroka selama lebih 40 tahun.

Namun, keresahan mereka bertukar menjadi kesyukuran apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Selangor.

Ketua kampung, Osman Badaie, 65, berkata semua penduduk amat menghargai jasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sangat prihatin dengan rakyat di negeri ini.

Melalui “Skim Hakmilik Persendirian”, kesemua pemohon dari Kampung Jaya Setia bakal menerima geran tanah dengan premium RM1,000.

Osman berkata dengan bayaran premium RM1,000, penduduk di sini mampu untuk mendapatkan geran pemilikan tanah masing-masing.

“Kami penduduk sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana bermurah hati mengurangkan beban kami.

“Sebelum ini, kami dikehendaki membayar sebanyak RM24,000. Jumlah itu sangat mahal, penduduk tidak mampu tetapi selepas Menteri Besar bertukar tangan, Alhamdulillah semuanya selesai,” katanya ketika ditemui.

Semalam 79 penduduk menerima geran hak milik tanah mereka dalam fasa kedua proses pemberian geran oleh kerajaan negeri.

Dalam fasa pertama, seramai 118 mendapat geran mereka, manakala 123 penduduk lain akan menerima geran dalama fasa ketiga pada September depan.

Majlis penyampaian geran hak milik tanah itu disempurnakan oleh Menteri Besar dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Seorang lagi penerima, Abdul Hamid Sever Khan, 54, melahirkan rasa lega kerana penantian 47 tahun untuk memiliki tanah bapanya telah berakhir.

“Ini merupakan tanah yang diteroka oleh allahyarham bapa saya, sekarang saya mewarisi tanah ini. Ini merupakan saat paling gembira apabila dapat memegang geran sendiri.”

Abdul Hamid yang mempunyai tiga orang anak, berkata hasil titik peluh bapanya mengerjakan tanah itu terbayar dengan penerimaan geran itu.

Seorang lagi penerima Noriaini Abu Bakar, 62, pula berkata geran tersebut adalah hadiah yang amat bermakna untuk seluruh keluarganya.

Katanya, beliau dan allahyarham suaminya berusaha untuk mendapatkan geran pemilikan itu bagaimanapun tidak berjaya kerana tidak mampu.

“Walaupun tanah rumah ini hanya suku ekar tetapi ianya bermakna kerana hanya ini sahaja peninggalan arwah suami saya kepada saya dan tujuh anak yang lain.

“Saya sangat gembira dan sekiranya suami saya masih hidup dia juga semestinya gembira.

“Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Besar kerana tidak sampai lima tahun beliau memegang jawatan sebagai MB tetapi beliau sangat prihatin dengan golongan seperti kami,” katanya.

Dalam majlis itu juga, sembilan orang menerima RM1,500 sebagai pertolongan khairat kematian waris-waris mereka di bawah Skim Mesra Usia Emas.

Sebanyak lima buah sekolah sekitar Ijok juga menerima bantuan sebanyak RM5,000 setiap sekolah.

Antaranya, Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Al-Hilal, SAR Kafa Al-Awwabin, Maahad Tahfiz Al-Hidayah Wal Ehsan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih dan SJKC Ijok.

selangorku/-

Wanita Jepun kumpulan serang tren guna gas ditahan

14 Rejab 1433H. [MOD] -

TOKYO - Seorang wanita, ahli kumpulan pemujaan yang mengadakan serangan gas maut pada 1995, berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa Jepun semalam.

Naoko Kikuchi, 40, bekas ahli Aum Shirikyo ditahan di Sagamihara, barat Tokyo.

Bagaimanapun pihak polis belum dapat mengesahkan laporan berkenaan.

Kikuchi merupakan seorang ahli daripada dua ahli kumpulan spiritual yang bebas sejak itu.

Dua belas orang maut dalam serangan itu.

Beratus-ratus yang lain cedera apabila mereka melepaskan gas saraf di beberapa gerabak kereta api yang masih beroperasi.

Pada malam sambutan tahun baru lalu, seorang lagi bekas ahli, Makota Hirata menyerah diri kepada polis selepas 17 tahun hidup dalam keadaan pelarian.

Hamper 200 orang ahli disabitkan kesalahan berkaitan serangan ini dan jenayah lain. Tiga belas yang lain masih menunggu hari perbicaraan.

Aum Shirikyo bermula sebagai satu kumpulan spiritual yang mencampur aduk kepercayaan Hindu dan Buddha pada 1980-an tetapi berkembang menjadi kumpulan paranoid yang taksub dengan Harmagedon.

Pemimpin kumpulan itu, Shoko Asahara sedang menunggu untuk dijatuhi hukuman mati.

Sinar Harian

Badminton: Chong Wei mula jalani latihan

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kecederaan yang dialami perseorangan badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei tidak menghalang beliau daripada menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara pagi ini.

Bagaimanapun, jurulatih Tey Siu Bock berkata Chong Wei hanya akan mengikuti latihan ringan setiap hari, iaitu 50 peratus daripada tahap latihan yang biasa dilakukan atlet itu.

"Buat masa ini fokus utama beliau (Chong Wei) adalah pada 'rehab' (proses pemulihan).

"Beliau hanya akan menjalani latihan ringan iaitu menumpukan pada tangan saja. Tak boleh terlalu berat kerana takut akan menjejaskan lagi kecederaan beliau," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan.

Atlet berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan buku lali kanan ketika Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China bulan lepas.

Beliau yang dijadualkan beraksi di Olimpik London pada Julai, kini menjalani rawatan fisio di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

Tinjauan Bernama mendapati jaguh badminton negara itu kelihatan bersemangat serta masih mampu melakukan pukulan kencang meskipun tidak banyak melakukan gerakan kaki dan lompatan.

Beliau berlatih lebih kurang 30 minit bersama Tey sebaik sahaja selesai sesi terapi fisio.

Tey berkata beliau akan sentiasa memantau proses pemulihan anak buahnya itu menerusi maklum balas yang diterima setiap minggu daripada ISN.

"Kita pun tak tahu berapa cepat proses pemulihan beliau. Mungkin ambil masa empat hingga lima minggu lagi, bagaimanapun kita akan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada doktor yang merawat beliau," katanya. -- Bernama

Sinar Harian

Euro 2012: Croatia miliki 'X factor'

14 Rejab 1433H. [MOD] -

SEJAK meraih kemerdekaan 21 tahun lalu, Croatia tidak pernah memenangi sebarang kejohanan utama. Namun, pasukan yang terkenal dengan gelaran The Blazers ini merupakan sebuah unit yang pantas berkembang.

Penyertaan kali pertama Croatia dalam Piala Dunia 1998 juga mengejutkan ramai pihak. Tiada siapa yang menyangka pasukan itu mampu menamatkan kejohanan di tempat ketiga.

Dalam sejarah Euro pula, Croatia pernah dua kali melangkah ke suku akhir iaitu pada 1996 dan 2008. Untuk edisi kali ini, Croatia yang dibimbing Slaven Bilic diundi bersama Itali (Ranking ke-12 dunia), Republik Ireland (18) dan juara bertahan, Sepanyol (1).

Namun Croatia yang menghuni tangga kelapan ranking dunia, dilihat sebagai calon kegemaran mengiringi Sepanyol ke pusingan kedua. Keputusan seri 1-1 ketika menentang Norway awal pagi semalam bukanlah gambaran sebenar kekuatan mereka.

Apa yang pasti Croatia adalah ancaman dalam Kumpulan C.

Sinar Harian

Euro 2012: Skuad Portugal jangan panik

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KETUA Jurulatih Portugal, Paulo Bento mahu pemainnya membina semula keyakinan susulan kekalahan memalukan 1-3 di tangan Turki pada aksi pemanas badan Euro 2012 di laman sendiri, awal pagi semalam.

Selepas perlawanan berakhir, Bento dihentam teruk peminat kerana kekalahan itu tidak boleh diterima memandangkan Turki bukan salah sebuah pasukan yang bertanding di Euro nanti.

Pada perlawanan itu, Umut Bulut meledak dua gol buat Turki manakala pertahanan Portugal, Pepe menjaringkan gol sendiri bagi memberi kemenangan selesa buat pasukan pelawat.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan Nani. Kapten pasukan, Cristiano Ronaldo pula gagal menyempurnakan penalti “Saya fikir ia keputusan yang tidak adil. Apa pun, pemain harus percaya pada diri sendiri dan jangan cepat berputus asa.

“Kami tidaklah bermain teruk cuma gagal menggunakan peluang terhidang. Itu sahaja,” katanya.

Untuk edisi kali ini Portugal diundi dalam Grup B bersama Belanda, Denmark dan Jerman.

Sinar Harian

Pemuda PAS syukur Suwandi, Azman bebas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Hari ini, Allah telah memenangkan keadilan buat Saudara Suwandi dan Saudara Azman di atas kebatilan tuduhan yang dibuat ke atas diri mereka,” tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya melahirkan rasa setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah di atas pembebasan Suwandi Ab Ghani dan Azman Abdul Aziz dalam tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Suwandi dan Azman merupakan antara mangsa keganasan polis yang berlaku di Batu Burok pada 8 September 2007 yang lalu.

Tragedi berdarah di Batu Burok ini adalah berikutan tembakan peluru hidup daripada pihak polis untuk meleraikan perhimpunan orang awam.

Suwandi dan Azman adalah di antara mangsa yang terkena tembakan peluru hidup oleh pihak polis.

Daripada mendapat keadilan untuk dirinya, kedua-dua mereka telah dituduh oleh pandakwaraya menggunakan kekerasan dan sengaja cuba mencederakan seorang anggota polis dalam Tragedi Batu Burok pada 8 September 2007.

“Isu keganasan polis ke atas peserta himpunan orang awam bukanlah sesuatu yang baru bahkan mangsanya dibicarakan dan dikenakan tuduhan seolah-olah mereka adalah pengkhianat bangsa dan negara,” ujarnya Nasrudin dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali mengucapkan tahniah buat kedua-dua mereka.

“Semoga kedua pejuang ini akan terus istiqamah di dalam memperjuangkan Islam di bumi Malaysia,” ujarnya.

Harakah Daily

Ribuan di Merdeka Rakyat Permatang Pauh

14 Rejab 1433H. [MOD] -

PERMATANG PAUH: Siri ke lima Jelajah Merdeka Rakyat yang dikendalikan oleh Chegu Bard dan juga anak-anak muda dari SAMM ini telah berlangsung di Padang Awam, Taman Guar Perahu malam tadi, 3 June 2012.

Apa yang menarik kali ini ialah kemunculan bekas Bendahari UMNO Permatang Pauh sebagai pengacara majlis.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Mustaffa,beliau telah meninggalkan UMNO Permatang Pauh kini bersama PKR Permatang Pauh telah menawarkan diri untuk mengacarakan majlis.

Selama ini beliau lebih suka berada dari jauh memerhatikan sebarang majlis anjuran PKR malam tadi lalu mengejutkan banyak pihak dengan muncul di pentas sebagai pengacara majlis.

TKM1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang juga merupakan ADUN Penanti turut memberikan ucapan dalam ceramah ini.

Perlu diakui jika dibandingkan dengan ucapan-ucapan beliau yang sebelum ini, kali ini beliau memperlihatkan kebolehannya dalam mengupas isu-isu di peringkat nasional.

Chegu Bard penggerak utama program Jelajah Merdeka Rakyat ini turut memberikan ucapan.

Beliau mengulas akan kekejaman yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa yang diperintah oleh Najib terhadap peserta himpunan BERSIH 3.0.

Kisah beliau dibelasah oleh pihak berkuasa menimbulkan rasa simpati ramai pendengar malam itu yang masih kurang jelas akan apa yang telah berlaku sebenarnya dalam himpunan tersebut.

Dalam siri jelajah kali ini Ketua Pemuda Persatuan Murut Sabah, Raymond Ahuar yang baru sahaja mengistiharkan diri keluar Umno untuk bersama dengan Pakatan Rakyat melalui permohonan menjadi ahli PKR juga telah muncul.

Raymond melahirkan rasa terkejutnya apabila melihat ribuan yang hadir baik dalam ceramah ini mahu pun dalam himpunan ‘Hijau Menuju Putrajaya’ yang diadakan oleh PAS pada malam sebelumnya.

Ini kerana menurut beliau, rakyat di Sabah hanya mengetahui dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir ke majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat melalui media massa yang dikawal UMNO.

Selain itu turut dipertikaikannya ialah sikap pemimpin UMNO Sabah atau Ketua Menteri Sabah yang amat sukar untuk didekati oleh rakyat, ini berbeza dengan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat iaitu Guan Eng yang amat mudah untuk didekati oleh rakyat.

Turut diluahkannya ialah nasib Bangsa Murut yang dibiarkan ketinggalan dari segi pelajaran oleh Kerajaan UMNO/BN hinggakan setelah berpuluh tahun memerintah Sabah hanya terdapat dua orang pemegang PhD dari bangsa Murut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan ucapan sebelum DS Anwar Ibrahim berucap.

Menerangkan secara terperinci akan kejayaan yang telah dicapai oleh Pakatan Rakyat dalam memerintah Pulau Pinang.

Beliau turut membidas pihak UMNO yang secara berterusan menggunakan isu-isu sensitif untuk menyerangnya ini termasuk isu-isu yang melibatkan Raja-raja dan juga perkauman.

Diakhir ucapannya sekali lagi beliau menegaskan jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya tol lebuhraya Utara-Selatan akan dihapuskan..

Penceramah utama DS Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh muncul sekitar jam 11.00 malam di sini.

Jika di Selangor Pemuda UMNO dilabelkan sebagai celaka dan sial oleh DS Anwar Ibrahim di sisni mereka dilabel sbagai kurang ajar pula.

Diawal ucapannya beliau membidas pemuda UMNO Permatang Pauh yang katanya kurang ajar kerana telah bertindak menurunkan banyak bendera PKR dan juga banner hebahan untuk program ini.

DS Anwar Ibrahim juga tidak melepaskan peluang untuk membidas pihak SPRM yang telah melepaskan Sharizat tapi dalam masa yang sama mensasarkan Azmin Ali sebagai sasaran siasatan mereka.

Meskipun kes telah berlalu dan ditutup hampir 17 tahun yang lalu ianya dibuka semula semata-mata untuk mencari dan menunjukkan kepada rakyat keburukkan pemimpin dari Pakatan Rakyat.

Harakah Daily

Rakyat kita ditahan pemberontak Mesir

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Percutian bagi meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 bersama suami tercinta di Selatan Mesir, membawa malang kepada seorang rakyat Malaysia berusia 33 tahun selepas mereka ditahan kumpulan pemberontak di negara itu, semalam.

Mangsa, Norbazrina Yazid, 33, berasal dari Shah Alam, Selangor mengembara bersama suaminya, warga Australia ditahan bersama pelancong lain dalam satu sekatan jalan oleh kumpulan pemberontak berkenaan.
Sumber berkata, kumpulan itu bertindak demikian berikutan tindakan pihak berkuasa negara berkenaan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presiden negara terbabit, Hosni Mubarak, dua hari lalu.

Adik mangsa, Norzalekha Yazid, 30, 0berkata dia hanya mendapat tahu mengenai perkara itu melalui statusnya di laman sosial, Facebook yang dia dan sekumpulan pelancong lain dijadikan tebusan di kawasan Abu Simbel dekat Aswan di selatan Mesir, petang semalam.

Menurutnya, kakaknya hanya memaklumkan kejadian itu secara ringkas dan tidak menyatakan sebarang perkembangan terkini mengenai keadaan mereka.

“Dia menyatakan ditahan sekumpulan peladang dalam sekatan jalan sebelum dijadikan tebusan bagaimanapun ketika menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka memaklumkan semua tahanan sudah dibebaskan,” katanya.

Norzalekha berkata, keluarganya berasa lega selepas mendapat panggilan telefon daripada pegawai di Kedutaan Malaysia memberitahu semua tahanan sudah dibebaskan.

“Namun, sehingga kini (lewat malam tadi) Rina dan suaminya gagal dihubungi dan kami belum menerima maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.

Menurutnya, mangsa, siswazah komunikasi massa dari Universiti Teknologi Mara, berlepas ke Mesir Rabu lalu dengan menaiki pesawat Singapore Airlines.

Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan kejadian berkenaan namun menafikan maklumat mangsa dan pelancong lain dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak.

Menurutnya, mereka hanya terkandas di Abu Simbel selepas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan akibat tindakan kumpulan peladang yang membantah hukuman ke atas Hosni.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Norbazrina melalui Facebooknya menulis bahawa sekumpulan pelancong "ditahan sebagai tebusan oleh petani Mesir sejak empat jam lepas" dan "tentera sedang berunding dengan mereka".

"Kami okay, hanya panas dan runsing," tulis beliau.

Rina kemudian mengemas kini catatannya dengan berkata "kami cuba melarikan diri tetapi polis memberitahu kami supaya tidak berbuat demikian" dan "dua kumpulan dapat melarikan diri sebelum kami namun kami telah ditahan".

Beliau turut berkata, kumpulannya mengandungi 11 orang dan mereka berusaha untuk mendapatkan makanan.

"Tiada senjata api tetapi petani ini nampaknya tidak gembira tentang sesuatu dan kami pula kebetulannya berada di sini," tulis beliau.

metro/-

Himpunan peneroka Felda halang penyenaraian FGVH

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menggerakan puluhan ribu peneroka Felda dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.

Menurut Presidennya, Mazlan Aliman (gambar), gerakan itu akan dibuat dalam tempoh tiga minggu ini sebelum FGVH dimuktamadkan.

Beliau memberi gambaran gerakan atau himpunan yang akan diadakan itu sama seperti Gerakan Mansuhkan PPSMI atau Gerakan Mansuhkan ISA.

"Kita sudah buat macam-macam, kita sudah serah memo kepada Perdana Menteri, ke Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara, malah kita sudah kemukakan bukti-bukti salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Malangnya, kata beliau usaha itu tidak berupaya meredakan keghairahan pemimpin untuk menyenaraikan satu-satunya harta penting orang Melayu, Felda.

Jelasnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memaklumkan kepada pelabur-pelabur antaranya Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, KWSP dan pelabur-pelabur asing supaya jangan melabur dalam FGVH kerana mereka akan berdepan dengan iklim pelaburan yang tidak sihat.

"Anak juga akan mengheret beberapa orang yang dianggap pengkhianat kepada peneroka seperti Isa Samad, Sabri Ahmad, dan Najib Tun Razak sendiri ke mahkamah," katanya kepada Harakahdaily.

Anak konsistan menegaskan mereka bukan bercakap soal saham tetapi pokoknya adalah penyenaraian FGVH yang sakit dan memberi risiko tinggi kepada peneroka.

Tambah Mazlan, kerajaan mesti membatalkan penyenaraian ini dalam masa yang sama tidak perlu berdolak dalik dengan mengatakan FGVH lebih baik dari 'Facebook' dan kenyataan itu merupakan ulangan retorik.

"Kalau kita ingat selepas era penswastaan mana-mana syarikat besar apabila dilancarkan saham sehingga mencecah RM12 seunit. Malangnya ke mana perginya syarikat ini seperti Lembaga Padi Negara yang diswastakan kepada Bernas. Semuanya menemui kegagalan.

"Bila berlakunya ini kerajaan tidak ambil peduli, dan tidak mustahil perkara ini turut terjadi pada Felda, akibatnya peneroka yang menanggung," balas beliau.

Mazlan membayangkan saham FGVH yang hanya lebih kurang RM20 billion dan tidak mustahil saham ini akan lenyap dalam masa satu hari jika pasaran saham tidak menentu.

Justeru beliau tidak menolak penyenaraian ini adalah semata-mata agenda untuk mengambil dan merompak wang rakyat untuk pilihan raya umum nanti.

Harakah Daily

Visual Bersih 3.0: Kenapa tak tunggu 10 tahun?

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mengapa tidak tunggu 10 tahun lagi untuk siar visual himpunan Bersih 3.0 di laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN), Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan.

"Rakyat yang terlibat dalam himpunan tersebut telah siarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan itu seawal hari yang sama, mengapa KDN perlu menanti sehingga lebih dari sebulan untuk menyiarkan rakaman itu?

"Tidak masuk akal jika sebuah kementerian yang mendapat peruntukan begitu besar setiap kali belanjawan negara di bentangkan bertindak begitu lembab sedangkan rakyat yang menyiarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan 28 April itu seawal hari yang sama tidak mendapat apa-apa upah, gaji atau bayaran," katanya.

Mahfuz menyifatkan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa rakaman visual tersebut sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya akan dimuat naik ke laman web kementerian hari ini dan akan dapat dilihat orang ramai mulai esok sebagai sudah terlambat dan amat lucu.

"Kalau rakaman-rakaman yang disediakan oleh KDN itu benar-benar menguntungkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), mengapa tidak siarkan pada hari yang sama?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu terus mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan, mengapa rakaman itu kelihatan tergesa-gesa hendak disiarkan selepas tersiar berita bahawa populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh merudum selepas himpunan Bersih 3.0 itu?

"Kenapa nampak kelam kabut hendak siarkan selepas diumumkan rating Najib jatuh merudum?

"Adakah kerana kerajaan baru tersedar bahawa rakyat benci tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan kerajaan Najib terhadap mereka yang berhimpun menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu?" soal beliau.

Mahfuz juga menyuarakan kebimbangannya rakaman yang akan disiarkan itu diedit oleh kementerian Hishammuddin terlebih dahulu untuk menipu rakyat.

"Kita masih ingat selepas Bersih 2.0, polis mendakwa (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan jenis Pajero milik polis sedangkan sebelum itu Mat Sabu membuat laporan polis bahawa beliau dilanggar kenderaan jenis Proton Waja milik polis.

"Seluruh dunia melihat rakaman insiden itu diedit terlebih dahulu dan oleh kerana terlalu ghairah hendak menuduh Mat Sabu berbohong, polis terlupa laporan kepada pihaknya yang dibuat oleh Mat Sabu yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau dilanggar oleh kereta jenis Waja milik polis.

"Ternyata akhirnya polis menjadi bahan ejekan rakyat kerana pembohongan itu," kata beliau.

Mahfuz bagaimanapun yakin, rakaman yang hendak dipertontonkan oleh KDN kepada orang ramai itu akan menjadi bahan ketawa dan persendaan rakyat.

"Rakyat tidak lupa rakaman yang diedit dalam peristiwa Mat Sabu dilanggar Proton Waja polis itu dan saya yakin rakaman KDN mengenai Bersih 3.0 itu juga akan menjadi bahan ketawa dan ejekan rakyat," katanya.

Harakah Daily

Kereta nyaris terjunam bawah jambatan

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta baru tidak sampai setahun digunakan terbakar dalam kemalangan di Jalan Syed Abdul Aziz, berhampiran kompleks beli- belah Mahkota Parade, di sini, pagi semalam.

Kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu mangsa, Sulaiman Ayem, 48, juga nyaris terjunam ke bawah jambatan setinggi bangunan tiga tingkat selepas terbabas, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu.

Menurut sumber, mangsa yang menetap di Batu 9, Pantai Kundur, Tanjung Kling, dikatakan datang dari arah lampu isyarat persimpangan Eye On Malaysia menghala Melaka Raya memandu seorang diri sebelum hilang kawalan lalu terbabas.

“Mangsa sebelum itu melanggar sebuah pasu bunga, besi pengadang dan sebuah lagi pasu bunga di kiri jalan jambatan sebelum terbakar.

“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan luaran dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9 pagi dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Sebuah jentera bersama enam anggota termasuk seorang pegawai diarahkan ke lokasi dan api yang marak dapat dikawal pada jam 9.12 pagi dalam operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hong Tiong Bee,” katanya.

Sinar Harian

Polis tumpaskan tiga sindiket dadah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan merampas 28.8 kg ganja, 750 gram syabu serta 44,930 biji pil Eramin 5, dalam serbuan berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam kes pertama Khamis lepas, polis menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan dan merampas 44,930 biji pil Eramin 5 bernilai RM900,000.

"Dua serbuan dijalankan terhadap dua buah rumah iaitu di Kepong dan Bandar Seri Damansara. Polis dapati enam suspek itu adalah sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergiat aktif di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam kes kedua pada Rabu lepas, polis menahan seorang wanita warga Togo dipercayai keldai dadah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Wanita berusia 47 tahun itu ditahan kerana menelan kapsul yang mengandungi dadah jenis syabu ketika pemeriksaan di pintu masuk.

"Sehingga kini wanita terbabit telah mengeluarkan 55 ketulan kapsul dengan anggaran berat keseluruhan 750 gram bernilai RM200,000 dan suspek ditahan di Hospital Serdang kerana masih terdapat baki ketulan kapsul yang belum dikeluarkan," katanya.

Pemeriksaan awal polis mendapati, wanita itu telah memasuki negara sebanyak 11 kali sejak 2008 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan raja dadah di Afrika Barat kerana polis menyifatkan wanita berkenaan mempunyai hubungan yang rapat dengan sindiket dadah antarabangsa dari negara berkenaan berdasarkan maklumat interpol.

Noor Rashid berkata bagi kes ketiga, polis menahan dua lelaki tempatan setelah hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa mendapati terdapat 18 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam serbuan yang dijalankan di Dataran Selayang, Batu Caves pada Rabu lepas.

"Susulan tangkapan ini, kita buat serbuan ke sebuah premis di Taman Amaniah, Batu Caves dan menemui tujuh lagi ketulan mampat daun kering menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 25 ketulan mampat daun kering seberat 28.8 kg dengan anggaran nilai RM90,000 hingga RM100,000.

Beliau berkata kesemua suspek dalam tiga kes berkenaan berumur 22 hingga 60 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan. - Bernama

Sinar Harian

Jaringan keselamatan kewangan Palestin dilulus

14 Rejab 1433H. [MOD] -

GENTING GAZA - Liga Arab, kelmarin bersetuju memberikan bantuan jaringan keselamatan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) jika Israel membekukan dana bulanan, kira-kira AS$100 juta (RM320 juta).

Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata, beliau meminta bantuan itu semasa Mesyuarat Jawatankuasa Inisiatif Keamanan Liga Arab di Doha,Qatar. "Saudara kami di rantau Arab bersetuju membantu Palestin dan saya berharap, ia akan diproses dalam masa terdekat dan mekanisme pelaksanaan ditubuhkan," katanya.

Difahamkan, di bawah perjanjian damai sementara, pihak berkuasa Israel mengenakan cukai dan duti kastam kononnya bagi pihak PA tetapi mereka didakwa mungkir janji dengan membekukan hasil wang yang sepatutnya menjadi milik penduduk Palestin.

Sinar Harian

Pekerja butik nyaris dirempuh kereta terbabas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Hanya jeritan yang mampu dilahirkan saat berdepan situasi mencemaskan. Itulah yang dilalui seorang pekerja butik yang terselamat daripada menjadi mangsa rempuhan sebuah kereta yang terbabas secara tiba-tiba sebelum melanggar tiga kereta lain dalam satu kejadian di Jalan Sultan Iskandar, di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, semalam, pemandu kereta jenis Perodua Alza itu melanggar kereta jenis Perodua Kenari, Perodua Myvi dan Toyota Estima yang di parkir di hadapan butik yang terletak berhampiran pejabat Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB) cawangan Perak.

Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk.

Pekerja butik yang dikenali sebagai Chong, 30, berkata, sewaktu kejadian, dia baru sahaja meletakkan kenderaannya sebelum didatangi Perodua Alza yang secara tiba-tiba merempuh kereta Perodua Kenari serta dua kereta lain.

“Kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit dan saya hanya mampu menjerit akibat terlalu panik.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat keluar daripada kereta dan terselamat daripada terbabit dalam kejadian yang tidak diingini,” katanya yang masih terkejut dengan insiden tersebut.

Dalam perkembangan sama, pemilik butik, Ang Jua Tuan, 39, berkata, dia amat kecewa dan sedih apabila Toyota Estima miliknya yang baru dua bulan dibeli rosak akibat dilanggar kereta berkenaan.

Katanya, dia hanya mampu menjerit ketakutan ketika melihat kereta tersebut merempuh ketiga-tiga kereta yang di parkir di hadapan kedainya.

“Sebenarnya, kejadian kemalangan pada hari ini (semalam) bukanlah yang pertama berlaku kerana sebelum ini empat kenderaan milik kakitangan Utusan juga pernah dirempuh oleh kenderaan lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kemalangan serta anggaran kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Marwijk: The Oranje di landasan terbaik

14 Rejab 1433H. [MOD] -

MORAL pasukan Belada kini berada pada tahap tertinggi dalam persediaan menghadapi Euro 2012 menentang Denmark Sabtu ini selepas berjaya membelasah Ireland Utara 6-0 dalam perlawanan persahabatan, awal pagi semalam.

Sedar kedudukan lawan yang berada di kedudukan ke-100 ranking dunia bukanlah lawan sebenar buat The Oranje yang kini berada di tangga ke-4, Bert van Marwijk bagaimanapun tetap gembira dengan perkembangan prestasi pasukannya.

“Kami sudah berada di landasan terbaik. Namun itu tidak bermakna kami sudah berpuas hati kerana Euro masih lagi belum bermula. “Apa yang pasti, kami kini lebih kuat dari segala sudut dan juga lebih mantap berbanding kejohanan Piala Dunia dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, belum lagi menyenaraikan kesebelasan utama yang akan beraksi dalam acara pembukaan saingan kumpul B nanti, Marwijk masih lagi mempertimbangkan keputusan untuk mengamanahkan tanggungjawab mengetuai
jentera pasukan kepada Robin Van Persie terutama selepas penyerang Arsenal itu berjaya menghadiahkan dua gol pada perlawanan tersebut.

Mengulas kecederaan pemainnya, Marwijk tetap mengambil langkah berjaga-jaga. “Meskipun Wesley Sneijder boleh bermain untuk 90 minit perlawanan, namun saya masih perlu berhati-hati berikutan masalah kecederaan groin yang dialaminya.

Begitu juga Ibrahim Afellay yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan serius lutut kirinya. “Namun begitu, saya mungkin akan menyenaraikan Rafael van der Vaart dalam perlawanan pertama nanti,” katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Del Bosque bimbang ancaman Pirlo

14 Rejab 1433H. [MOD] -

SEPANYOL akan menghadapi Itali pada perlawanan pertama Kumpulan C, 10 Jun ini. Menganggap Itali lawan yang sukar, pengendali Sepanyol Vicente del Bosque mengakui terdapat seorang pemain Azzurri yang paling digeruninya.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah tonggak tengah Juventus, Andrea Pirlo. Menurutnya, Pirlo pemain yang berbahaya kerana mempunyai hantaran tepat dan bijak membaca pergerakan lawan.

"Saya bimbang dengan kehadiran Pirlo. Dia pemain yang hebat. Hantarannya tepat malah tendangan percumanya juga berbahaya," katanya.

Sementara itu mengulas keadaan terkini Cesc Fabregas, del Bosque berkata pemain tengah Barcelona itu sempat pulih sepenuhnya sebelum hari perlawanan sebenar berlangsung.

"Doktor pasukan memaklumkan keadaannya positif dan akan pulih tepat pada waktunya," katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Smuda optimis jadi juara

14 Rejab 1433H. [MOD] -

TUAN rumah bersama Euro 2012, Poland membina keyakinan tinggi menjelang sepak mula Euro 8 Jun ini selepas menundukkan Andorra 6-0, kelmarin.

Sebelum ini, pasukan kendalian Franciszek Smuda itu diramal berdepan laluan sukar untuk melangkah ke pusingan kedua apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Russia, Republik Czech dan juara 2004, Greece.

Namun, dengan kemenangan terbaru itu Smuda optimis Poland mampu menjadi negara tuan rumah pertama yang menjulang kejuaraan tersebut.

“Kami mempunyai peluang yang baik untuk melangkah sekurang-kurang ke suku akhir atau lebih jauh dari itu. “Bagaimanapun perlawanan pertama (menentang Greece) Jumaat ini penting untuk pemain bagi membuktikan momentum kecemerlangan yang sama dapat dikekalkan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kecederaan belakang Lukasz Fabianski yang dialami pada perlawanan menentang Slovakia, Sabtu lalu.

Sinar Harian

Rokok dalam lubang rahsia

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BESUT – Polis merampas sebanyak 1,560 karton rokok pelbagai jenis dalam satu serbuan di sebuah bengkel tersorok dekat Kampung Mak Sara dekat Jertih kelmarin.

Serbuan jam 12 tengah hari itu membabitkan operasi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut dan Pasir Puteh, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menyerbu bengkel tersebut yang terletak di lokasi agak tersembunyi bagi menyiasat kes kecurian kereta yang dilaporkan hilang di Pasir Puteh.

Menurutnya, polis telah menjumpai sebuah kereta jenis Audi, disyaki kenderaan curi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Serbuan itu turut membawa kepada penemuan sejumlah rokok Gudang Garam pelbagai jenis bernilai kira-kira RM50,000 yang disembunyikan di dalam lubang rahsia di kawasan bengkel itu.

“Jumlah tersebut membabitkan sebanyak 920 karton rokok Gudang Garam Menthol, Gudang Garam Merah (560 karton) dan Gudang Garam Premium (80 karton),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di IPD Besut di sini semalam.

Kamaruddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah lori kecil buruk di depan bengkel itu pula menemui 41 bungkus mercun jenis 'cake'.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun beralamat di bandar Jertih untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, polis turut berjaya menahan seorang suspek kes rogol berusia 27 tahun di Kuala Besut.

Suspek dikehendaki kerana dipercayai merogol seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun pada 21 April lalu.

“Turut dirampas, sebuah kereta Proton Perdana yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan itu dipercayai kereta curi,” katanya.

Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah serta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Sinar Harian

Pasukan khas dibentuk siasat kes bayi dibunuh

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Satu pasukan siasatan khas dibentuk bagi mengesan dalang di sebalik insiden penemuan mayat bayi empat bulan, Lim Xin Yao, di Pusat Rekreasi Tasik Y di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, unit siasatan itu akan dijalankan di bawah kelolaan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

“Sementara itu, pasukan forensik dan unit khas dari Bukit Aman akan tiba petang ini (semalam) bagi membantu menjalankan penyiasatan yang terperinci bersama polis Johor.

“Suspek yang juga pengasuh berusia 43 tahun itu kini dalam tahanan reman sehingga 8 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, sehingga kini, pihaknya sudah merakam 13 percakapan berhubung kejadian tragis ini, malah menemui beberapa barang seperti bantal, tuala dan selimut yang dipercayai ada kaitan dengan dengan kes terbabit.

Difahamkan, unit khas yang ditubuhkan akan bekerjasama dengan pihak hospital bagi mengesan sama ada wujud masalah psikologi dan kesihatan pada suspek atau tidak.

Ketika ditanya berhubung dua lagi kes yang didakwa mempunyai kaitan dengan suspek berdasarkan laporan polis pada 2010 dan 2011, Mohd Mokhtar berkata, kertas siasatan masih dibuka.

“Keazaman kita (polis) kuat untuk menyelesaikan kes ini, sekali gus melengkapkan kertas siasatan.

“Kami akan memastikan dalang di sebalik insiden ini dibawa ke muka pengadilan dan mereka yang punyai maklumat berhubung kes terbabit diminta menghubungi pihak polis,” katanya ketika membuat kunjungan takziah di kediaman mangsa di Taman Banang Jaya di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang bersama pegawai kanan IPD Batu Pahat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bayi malang terbabit ditemui di bawah rimbunan pokok Pusat Rekreasi Tasik Y kira-kira jam 7 petang oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian.

Penemuan itu sekali gus memberi jawapan kepada kebimbangan sepasang suami isteri berhubung kehilangan bayi mereka yang ketika itu dalam jagaan pengasuhnya.

Sinar Harian

Risau dimarahi bapa, kanak-kanak nyaris temui ajal

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun nyaris maut akibat dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja ketika berada di satu majlis kenduri perkahwinan di Taman Selasih kira-kira jam 7.30 petang semalam.

Saksi di tempat kejadian berkata, remaja remaja berusia 19 tahun itu menunggang motosikal dengan laju ketika masuk ke selekoh di mana kenduri perkahwinan itu diadakan.

Menurutnya, penduduk sudah beberapa kali menasihatkan remaja terlibat supaya memperlahankan motosikalnya apabila masuk ke kawasan taman perumahan kerana ramai kanak-kanak bermain terutama pada waktu petang.

“Dia (remaja terlibat) memang tunggang motor dengan laju. Apabila dia masuk ke selekoh dia tak sempat membrek lalu merempuh seorang kanak-kanak dan terbabas ke meja tetamu. Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan­ di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

"Remaja itu cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan orang awam yang berada di majlis perkahwinan itu sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Remaja terlibat ketika ditemui di Balai Polis Taman Selasih berkata, dia baru selesai bermain bola keranjang bersama beberapa orang rakan.

Katanya, bapanya menghubunginya melalui telefon bimbit dan mengarahkan pulang awal ke rumah.

“Bapa telefon, jadi saya nak balik cepat, kalau tidak nanti bapa marah. Apabila melalui selekoh itu, tiba-tiba budak perempuan itu muncul.

"Saya tak sempat elak dan terus langgar dia. Saya takut orang pukul sebab itu saya nak lari,” katanya.

Sementara itu, waris remaja berkenaan yang kemudiannya datang ke rumah kenduri kahwin itu meminta penjelasan mengapa anaknya dipukul.

Tidak berpuas hati dengan tindakan diambil orang awam terhadap anaknya, ibu remaja terlibat turut membuat laporan­ di Balai Polis Kulim.

Sinar Harian

Bayar: Muhyiddin ingat orang PAS macam Umno

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Tan Sri Muhyiddin Yasin ingat PAS seperti Umno, tanpa upah mereka tidak akan buat kerja sedangkan PAS melatih ahlinya berkorban dengan dengan apa sahaja untuk perjuangan Islam,” tegas AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Ini ekoran Muhyiddin mendakwa peserta Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Alor Setar dibayar setelah media penipu mereka tidak lagi boleh menipu di zaman langit terbuka.

Selama ini, kata Idris pemimpin Umno mengalami" terencat bilang" kerana tidak mampu membilang dengan betul.

Beliau berkata, Umno akan mati jika ia menjadi pembangkang seperti PAS yang mampu bertahan sehingga hari ini.

“Umno boleh hidup kerana ada kuasa sahaja, dari segi ideologi perjuangan sudah hancur terutama pimpinan pemuda yang menjadi pejuang projek bukan pejuang ideologi. Sebarang himpunan Umno tidak boleh dibuat tanpa diupah dan diangkut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pemimpin Umno seperti Muhyiddin berfikiran apa yang mereka buat, maka PAS pun berkelakuan buruk seperti mereka juga.

“Contohnya ketika Tuan Guru Nik Aziz memerintah Kelantan 1990, mereka kata PAS hanya mampu mentadbir negeri dalam masa 3 bulan sahaja kerana tidak cukup wang.

“Alhamdulillah Kelantan mampu bertahan sehingga kini,” ujarnya.

Tambahnya, pemimpin Umno berfikiran, PAS macam Umno jika memerintah, yang mana nilai projek RM100,000 mereka belanja RM500,000.

Katanya, analogi yang sama juga yang dibuat oleh pemimpin Umno mengenai Himpunan Hijau, dengan mendakwa peserta dibayar sebagaimana himpunan yang mereka biasa buat.

Benarlah, kata Idris dikatakan orang "orang biasa buat baik, sentiasa bersangka baik dan anggap semua orang baik, orang yang sentiasa berbuat jahat, sentiasa bersangka buruk dan beranggapan semua orang jahat sepertinya".

Harakah Daily

Royalti dikaut, lebuh raya pula dipersenda

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: “Sudahlah royalti minyak yang dikaut dari bumi Kelantan dinafikan hak, tiba-tiba usaha Kelantan mahu membina lebuh raya rakyat pula cuba diperkecilkan.

“Watak seperti Awang Adek bukan sahaja memperkecilkan niat baik kerajaan negeri bahkan sering melontar tohmahan berniat buruk,” kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar).

Kata beliau sewajarnya Timbalan Pengerusi Umno Kelantan itu merenung kembali apakah usaha yang dilakukannya untuk memastikan projek lebuh raya yang telah diluluskan sejak 1986 dilaksanakan di negerinya sendiri.

Beliau berkata, biar pun projek berkenaan tidak mudah dilaksanakan, namun tiada lagi pilihan yang ada setelah Kelantan dinafikan hak dalam tempoh begitu lama.

“Mengharapkan pemimpin Umno yang berjawatan menteri dan timbalan menteri nampaknya jauh sekali, bahkan ada yang lebih berminat untuk mengisi akaun peribadi atas nama sumbangan kebajikan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Datuk Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, bahkan disifatnya sebagai helah mengaut balak yang terdapat di sepanjang kawasan laluan dirancang.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, kenyataan pemimpin Umno terbabit langsung tidak mencerminkan sebagai seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri.

Menurutnya tidak sepatut beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan projek lebuh raya berkenaan bagi manfaat seluruh rakyat.

“Adalah lebih baik pemimpin Umno Kelantan menutup mulut daripada memperkecilkan projek lebuh raya rakyat kalau sekadar mengeluarkan kenyataan bersifat persepsi yang tidak membina,” ujarnya.

Harakah Daily

Keputusan Kes Batu Burok: Azman dan Suwandi tak bersalah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini membebas dan melepaskan mangsa tragedi tembakan polis di Batu Burok yang berlaku pada 8 September 2007, lima tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Azman Aziz, 26, dan Suwandi Ab. Ghani, 43, dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah setelah pihak peguam belanya berjaya mewujudkan keraguan dalam perbicaraan tersebut.

Selain Azman dan Suwandi, dua lagi tertuduh di bawah Sesyen 27(5)(a) Akta Polis iaitu Hisham Aziz@Abdul, 43, dan A.Rahman Abdullah, 67, turut dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mereka diwakili Tetuan Aziz & Co.

Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Mohammad Khalid Haji Ab. Karim membaca keputusan perbicaraan tersebut pada jam 10.15 pagi serta disambut dengan laungan takbir para hadirin.

"Hari ini mahkamah memutuskan kamu, Muhammad Azman Aziz dan Suwandi Ab.Ghani yang didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan dibebas dan dilepaskan setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan.

"Mahkamah juga membebaskan Hisham Aziz@Abdul dan A.Rahman Abdullah yang dituduh di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis," ujarnya ketika mengumumkan keputusan tersebut.

Sebelum ini, Suwandi dan Azman dituduh bersama 18 orang yang lain pada 8 September 2007, jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Polis yang bertugas ketika menyurai perhimpunan tersebut iaitu Wan Aziz Wan Omar (RF143706) telah melepaskan tembakan peluru hidup hingga hampir meragut nyawa Suwandi dan Azman.

Mereka berdua dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan pembedahan bagi mengeluarkan peluru hidup dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Harakahdaily difahamkan, seramai 350 anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan bagi mengawal keadaan dengan melepaskan gas pemedih mata serta tembakan meriam air terhadap orang awam.

Ketua Polis Terengganu ketika itu, Datuk Ayub Yaakob telah menahan reman seramai 23 orang yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Hadir sama memberi sokongan moral, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Marang, Mohammad Khalil Abdul Hadi bersama lebih 50 orang ahli keluarga dan orang ramai.

[Berita penuh dalam Harakah edisi Jumaat ini]

Harakah Daily

Keperluan asas guru pedalaman masih daif

14 Rejab 1433H. [MOD] -

MIRI: Guru merupakan aset atau tenaga pengajar yang amat berharga untuk membimbing para pelajar agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Masalah atau nasib para guru yang mengajar di pedalaman Sarawak seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan, agar mereka tidak terbiar tanpa sebarang pembelaan.

Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata, masih banyak lagi sekolah di pedalaman Sarawak yang masih tiada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, eletrik dan juga jalan perhubungan yang baik untuk kemudahan para guru berurusan dengan pihak pentadbiran atau membeli barang keperluan di bandar.

Menurutnya, walaupun guru pedalaman dibayar dengan gaji tambahan, tetapi kemudahan asas amat diperlukan oleh mereka yang tinggal jauh di pedalaman.

Malah katanya, para guru terpaksa membayar lebih mahal, disebabkan kos pengangkutan untuk ke bandar terlalu tinggi dibandingkan dengan mereka yang mengajar di bandar," katanya.

"Para guru tidak mengharapkan rumah batu yang mewah, tidak mengharapkan lampu neon bergemerlapan atau air yang ditapis sehingga tujuh tapisan tetapi perlukan perhatian untuk kelangsungan hidup, mendidik supaya insan-insan yang dididik lebih berkualiti dapat dilahirkan untuk negara, bangsa dan agama." katanya.

Di antara sekolah-sekolah di pedalaman yang masih belum mendapat kemudahan asas sepenuhnya seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Manok, SK Sungai Kelabit dan SK Sungai Laong dimana para guru terpaksa tinggal dalam keadaan daif dan segala kemudahan asas yang pernah dijanjikan dahulu belum lagi ditunaikan sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan seharusnya perkara ini perlu diberi perhatian dan keutamaan yang sewajarnya, kerana guru adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang amat memerlukan infrastuktur dan pembangunan.

"Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dan pihak yang berkaitan dapat membantu menyelesaikan dan segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas masalah yang dihadapi oleh para guru yang tinggal di pedalaman ini.

"Jangan biarkan kehidupan para pendidik dan juga penduduk diluar bandar dipinggirkan dari arus pembangunan. Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," tegasnya.

Harakah Daily

Kenapa kerajaan tergesa-gesa jual saham FGVH

14 Rejab 1433H. [MOD] -

Apakah sebabnya kerajaan terdesak dan tergesa-gesa menjual sahamnya dalam syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) untuk mendapatkan wang sebanyak RM5.5 bilion?

Semasa pelancaran prospektus FGVH pada 31 Mei 2012, Perdana Menteri berkata bahawa penyenaraian FGVH akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia. Penawaran saham FGVH akan mengumpul sebanyak RM9.96 bilion.

Akan tetapi, jika FGVH benar-benar akan "melonjak" menjdai sebuah syarikat bertaraf dunia, apakah sebabnya kerajaan bertindak untuk menjual kepentingan dan sahamnya secara besar-besaran?

Daripada RM9.96 bilion dana yang akan dikumpul, hanya 40% daripada wang tersebut akan ditujukan kepada FGVH untuk matlamat pelaburan dan operasi.

Prospektus syarikat berkata 87.7% daripada dana tersebut akan digunakan untuk pelaburan aset ladang yang baru, membeli kelengkapan dan perniagaan kilang pembuatan minyak dan lemak, dan juga untuk penaiktarafan aset-aset yang sedia ada.

Sebaliknya, baki 60% daripada wang yang terkumpul daripada penyenaraian FGVH adalah milik kerajaan melalui penjualan saham yang dimilik oleh FELDA. Jumlah yang akan dikumpul kerajaan adalah melebihi jumlah yang diperuntukkan kepada syarikat FGVH, iaitu RM5.5 bilion.

Apakah sebab kerajaan memerlukan RM5.5 bilion daripada penjualan saham FGVH milik FELDA tidak dinyatakan dalam prospektus.

Kita hanya mengetahui melalui media bahawa RM1.69 bilion telah diperuntukkan untuk memberi bayaran "durian runtuh" RM15,000 kepada setiap keluarga FELDA yang akan memakan perbelanjaan sebanyak RM1.69 bilion.

Hakikatnya, kerajaan bertujuan untuk menjual begitu banyak sahamnya sehingga pemilikan kerajaan dalam syarikat FGVH akan dikurangkan dari 100% kepada 40% sahaja.

Jika perbandingan dibuat dengan penyenaraian Facebook baru-baru ini, pihak pengusaha dan pelabur asal Facebook hanya menjual sebanyak 25% daripada pemilikan mereka dalam syarikat tersebut. Akan tetapi, kerajaan bertindak secara bermisteri, dengan pengurangan pemilikan saham dalam FGVH sebanyak 60%.

Tindakan kerajaan menimbulkan soalan yang penting - jika FGVH benar-benar akan berubah menjadi syarikat global yang amat beruntung, apa sebabnya kerajaan tergesa-gesa menjual begitu banyak sahamnya?

Jika kata-kata Dato' Seri Najib Razak adalah tepat dan benar, bukankan ianya lebih wajar jika kerajaan terus memegang saham FGVH selama mungkin untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan?

Apatah lagi, kerajaan telah memilih masa yang kurang sesuai untuk menjual sahamnya kerana suasana pasaran pelaburan adalah amat negatif sekarang dan kerajaan tidak akan mendapat nilai yang paling tinggi untuk sahammya.

Langkah yang begitu terdesak, disamping dengan penambahan keuntungan FGVH dengan pendapatan melebihi RM500 juta yang sepatutnya hasil kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) setiap tahun, membina keraguan bahawa ada udang disebalik batu.

Atas sebab jumlah wang RM5.5 bilion yang teramat besar dan kepentingan 112,635 peneroka Felda, kami menyeru supaya kerajaan akan secara telus dan akauntabel menjawab isu-isu membangkitkan rasa kecurigaan terhadap niat kerajaan dalam penyenaraian FGVH.

Harakah Daily

Kesian Pak Lah, dituduh punca Umno lemah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terus menjadi sasaran kritikan dan dipersalahkan oleh pemimpin Umno termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suatu kenyataannya menyalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penyebab Umno lemah di bawah pemerintahan beliau.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, Tun Dr Mahathir sebenarnya masih tidak berpijak di bumi nyata kerana sukar menerima kenyataan bahawa partinya sudah tidak popular lagi.

Malah sebaliknya kata Riduan, Tun menyalahkan pula pihak lain sebagai penyebab parti beliau lemah.

"Beliau sepatutnya sedar bahawa rakyat sudah muak dengan Umno-BN yang sudah memerintah terlalu lama di negara ini dan melakukan terlalu banyak kepincangan dalam negara ini.

"Rakyat sebenarnya tidak hirau siapa yang berkuasa, sama ada Tun Abdullah mahupun Datuk Seri Najib. Semua pemimpin Umno adalah sama di mata rakyat – bahawa rasuah, penyelewengan kuasa, bersikap zalim dan memboros sudah sebati dalam kehidupan mereka," katanya.

Beliau mempersoal, jika era pemerintahan Datuk Seri Najib kedudukan Umno menjadi lebih baik, mengapa sokongan rakyat terhadap beliau tetap merudum, malah rasuah semakin parah di zaman Najib.

Ianya termasuk kes rasuah projek lembu nasional (NFC) yang melibatkan beratus juta ringgit sehingga Datuk Seri Shahrizat Jalil tersingkir.

Malah belum pernah dalam sejarah negara katanya, seorang Perdana Menteri Malaysia yang dituduh dan didakwa di mahkamah Perancis kerana terlibat dengan rasuah komisyen pembelian kapal selam Scorpene sebanyak USD1 bilion.

"Sebaiknya Tun Dr Mahathir sedar diri bahawa Umno sudah tidak relevan di zaman ini.

"Bukankah Tun Mahathir juga pernah menyebut bahawa ‘Umno sudah busuk sehingga ke ususnya’," katanya melemparkan soalan kepada Tun.

Harakah Daily

Penipuan besar-besaran dalam PRU-13?

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Adakah penipuan besar-besaran akan dilakukan dalam pilihan raya umum sehingga pemimpin Umno berulang kali menuduh Pakatan Rakyat akan berdemonstrasi jika tewas, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"(Timbala Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) ulang semula tuduhan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan mendakwa Pakatan akan mengadakan demonstrasi besar sekiranya tewas dalam pilihan raya akan datang.

"Kenapa? Adakah penipuan besar-besaran sedang dirancang dan akan dilakukan dalam pilihan raya akan datang sehingga kerap sangat memberikan isyarat awal PR akan kalah," soal beliau.

Muhyiddin ketika melancarkan jentera Barisan Nasional Kuala Lumpur semalam, menyetujui pandangan Dr Mahathir yang menuduh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu merupakan pemula kepada kekacauan pilihan raya.

Bagi Mohamad, beliau sudah menjawab tuduhan itu dalam ucapannya semasa Himpunan Hijau menuju Putrajaya di Alor Setar Jumaat lalu.

Dalam ucapannya itu, beliau mengulangi penegasan bahawa PAS memilih demokrasi untuk ke Putrajaya.

Malah, katanya lagi dalam ucapan itu, walaupun penindasan demi penindasan dihadapi, PAS tetap menjunjung demokrasi dengan berceramah, memberi kuliah, menyebarkan risalah, berforum dan mencetak akhbar.

PAS, katanya lagi, terus komited dengan demokrasi walaupun ahli-ahlinya dipenjara dan dibunuh.

Hadirin yang hadir dalam himpunan itu melaung tanda setuju apabila Mohamad berkata kerajaanlah yang memaksa rakyat keluar ke jalan raya.

"Rakyat keluar ke jalan raya adalah pilihan pemerintah. Pemerintahlah yang selalunya memaksa rakyat keluar ke jalan raya.

"Mereka menipu dalam pilihan raya, mereka tipu daftar pemilih.

"Kalau ini kerajaan lakukan bererti kerajaan Barisan Nasional mengundang rakyat ke jalan raya," kata Mohamad dan disambut dengan gemuruh oleh ratusan ribu yang hadir dalam himpunan itu.

Harakah Daily

Dua lemas di Air Terjun Sekayu

14 Rejab 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU - “Saya terkilan tidak sempat memaklumkan kepada mereka yang lokasi itu tidak selamat untuk mandi kerana sebelum itu, saya pun nyaris lemas setelah mandi di situ,” kata Khairul Ikhwan Hakim Mohd Iszman, 17.

Khairul Ikhwan Hakim adalah salah seorang pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Terengganu, iaitu rakan kepada dua mangsa lemas ketika berkelah di kawasan air terjun Sekayu, Kuala Berang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua mangsa, masing-masing pelajar SM Teknik Terengganu, Muhammad Hanif Izzuddin Musa, 17, dari Kampung Tanjung Jaafar, Jalan Lapangan Terbang, Seberang Takir, dan Mohamad Azrul Azmir Mohd Maidin @ Sudin, 17, dari Kampung Paya Guchil, Bukit Tok Beng, Seberang Takir, ditemui lemas.

Menceritakan semula detik itu, Khairul Ikhwan Hakim berkata, sebelum kejadian, dia mandi dahulu di kawasan itu bersendirian sejurus tiba di lokasi air terjun kira-kira jam 10.15 pagi setelah bertolak dari rumah kira-kira jam 9 pagi dengan menunggang motosikal bersama tujuh lagi rakan lain, termasuk dua mangsa.

“Ketika itu hanya saya yang mandi di situ dan setelah hampir lemas, saya terus naik ke atas mendapatkan rakan lain dengan niat ingin memaklumkan hal berkenaan. “Bagaimanapun, saya tidak sempat melarang kerana kedua- dua mangsa, Muhammad Hanif Izzuddin dan Mohamad Azrul Azmir sudah pun berada di dalam air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairul Ikhwan Hakim berkata, setelah beberapa minit, dia ternampak mangsa, Mohamad Azrul Azmir tenggelam timbul di dalam air dengan tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan. “Melihatkan situasi itu,

Muhammad Hanif Izzuddin yang mandi bersama cuba membantunya, namun keduadua mereka dibawa arus. “Panik dengan situasi itu, saya terus terjun bagi menyelamatkan mereka, tapi saya sendiri hampir lemas namun bernasib baik kerana diselamatkan seorang lagi rakan, Azril Aziz, 17, yang turut terjun setelah melihat keadaan kami bertiga,” katanya.

Menurutnya, apabila dibawa naik ke darat, dia sudah tidak nampak lagi kelibat dua mangsa dan terus memaklumkan kepada orang awam yang berada di situ, seterusnya menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Operasi Unit Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Khairul Anwar Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kirakira jam 11.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.40 pagi.

“Tiba di lokasi kejadian, kami dimaklumkan terdapat dua mangsa dikhuatiri lemas dan setelah melihat tempat kejadian, kami terpaksa meminta bantuan unit skuba memandangkan lokasi itu tidak selamat untuk unit operasi menjalankan tugas,” katanya.

Khairul Anwar berkata, setelah 15 minit menjalankan siasatan, mereka berjaya mengesan kedua-dua mangsa yang terlekat di celah batu, kira-kira dua meter jarak dari lokasi mereka mandi. “Kami berjaya keluarkan mangsa pertama kira-kira jam 12.10 tengah hari manakala mangsa kedua kira-kira jam 12.51 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tergelincir dari batu dan terus terjatuh ke dalam air edalam tujuh meter. Sebelum ini, dalam kejadian 3 April lalu, Johafizi Johari, 25, dari Dungun, Terengganu, mati lemas ketika berkelah di air terjun itu bersama tiga rakannya.

Sinar Harian

Noor Hasafadila rayu bapa pulang jadi wali

14 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang pembantu jurujual yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 28 Jun ini merayu supaya bapa kandungnya, Abdul Hamid Che Ani segera pulang untuk menjadi wali.

Noor Hasafadila, 17, berkata, bapanya yang bekerja di ladang kelapa sawit berpisah dengan ibunya, Norma Hassan ketika dia berusia lima tahun.

Menurutnya, setelah ibu bapanya berpisah, dia masih tinggal bersama bapanya di Sungai Karangan, Kulim sehingga berusia lapan tahun dan kemudian tinggal bersama ibunya.

“Sewaktu kami berpisah, saya masih kecil, jadi banyak perkara yang saya tidak ingat termasuk paras rupa bapa.

“Usaha mencari bapa sudah dilakukan namun gagal ditemui walaupun kami mencari di tempat tinggalnya sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hasafadila berkata, pencarian­ bapanya lebih sukar, kerana dia tidak mengenali dan tidak mempunyai nombor telefon rakan bapanya untuk dihubungi bagi membantu mencari Abdul Hamid.

Katanya, selain mencari di rumah lama, dia turut cuba mengesan Abdul Hamid menerusi maklumat yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Berdasarkan maklumat di JPN, bapa saya masih menggunakan alamat yang sama seperti di dalam surat beranak saya iaitu di Kampung Sena, Tok Paduka, Perlis.

“Pada surat beranak saya, nombor kad pengenalan yang digunakan bapa saya adalah nombor kad pengenalan lama iaitu A1649646,” katanya.

Noor Hasafadila yang bertunang dengan Mohd Sofi Md Zain berkata, selain mencari bapanya untuk dijadikan wali, dia juga merindui kasih sayang Abdul Hamid.

Dia berharap jika ada yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Abd Hamid supaya menghubunginya di talian 0175181834.

Sinar Harian

Korban pertama Pantai Klebang

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KLEBANG - Aktiviti riadah dua beradik dan empat sepupu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas selepas bermain bola air di laut di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, S Mathavanan, 24, dari Peringgit datang ke kawasan riadah itu menaiki bas pada jam 2.30 petang, dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam dan hilang daripada pandangan kira-kira jam 3.30 petang ketika mahu mengambil bola.

Adik mangsa, S Anita, 20, berkata, abangnya bermain bola di laut bersama salah seorang sepupu mereka, R Purushatamanraj, 18, selama kira-kira 30 minit di kawasan laut yang ditambak itu.

“Mereka berdua bermain ketika air surut, sementara saya dan tiga sepupu lain melihat dari jauh di tepi pantai sebelum saya pergi membeli air di kawasan berhampiran.

“Apabila saya kembali, saya lihat Purushatamanraj naik ke darat tanpa abang. Tiba-tiba seorang lagi sepupu, K Gomeleswary, 17, beritahu dia lihat abang terkapai-kapai lalu tenggelam,” katanya, di sini, petang kelmarin.

Anita berkata, dia kemudian menghubungi rakan abangnya tanpa meminta bantuan orang awam yang sedang bermain layang-layang dan aktiviti riadah lain.

“Rakan abang datang bersama rakannya yang lain sebelum mereka menghubungi bomba selepas abang yang bekerja sebagai pekerja kontrak tanaman tidak timbul,” katanya.

Sementara itu, Purushatamanraj berkata, ketika bermain bola bersama mangsa, air hanya separas dada sebelum mangsa cuba mengambil bola yang hanyut dan tenggelam secara tiba-tiba.

“Saya tak dapat buat apa-apa dan terus naik ke darat,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.22 petang dan tiba di lokasi larangan berenang dan memancing itu lapan minit kemudian.

“Seramai dua pegawai dan 23 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Polis dan Penyelamat Jalan Kubu, Tangga Batu dan Bukit Katil terlibat dalam operasi mencari mangsa dalam tempoh kira-kira dua jam setengah ini.

“Mangsa ditemui kira-kira jam 7 malam dengan jarak 10 meter dari tempat dia dilihat jatuh seperti yang dimaklumkan ahli keluarganya kepada pihak bomba,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan pada anggota badan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Cuai melintas undang padah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

NILAI – Tindakan seorang lelaki melintas landasan kereta api mengundang padah apabila maut dirempuh tren komuter di Batang Benar, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, V Ravichanthiran, 30, mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan anggota badan selepas dirempuh tren yang dalam perjalanan dari Batang Benar ke Bangi.

Ceroboh kawasan landasan kereta api Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa seorang lelaki dilanggar tren komuter.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa telah menceroboh kawasan landasan kereta api dan dipercayai cuba melintasinya. “Mangsa dikatakan tidak perasan sebuah komuter datang menyebabkan dirempuh tren berkenaan,” katanya semalam.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan daripada pemandu tren dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sementara itu di Bahau, seorang warga emas maut dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di hadapan Stesen Keretapi Bahau di Kilometer 1, Jalan Bahau-Rompin, kira-kira jam 10.20 malam kelmarin.

Mangsa, B Gurdit Singh, 66, dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang datang dari arah Mahsan menuju ke Taman Meranti. Ketua Polis Daerah, Muhd Sabri Muhamad berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat parah i kepada dan anggota badan.

Menurutnya, mangsa yang teragak- agak untuk menyeberang jalan menyebabkan pemandu kereta tidak dapat memastikan sama ada warga emas terbabit mahu melintas atau tidak.

"Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa melintas menyebabkan pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak dan merempuhnya. "Pemandu kereta terbabit membuat laporan polis mengenai kejadian ini di Balai Polis Bahau pada hari sama," katanya. Muhd Sabri erkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Dua wanita bawa bayi mencuri dalam majlis kenduri

14 Rejab 1433H. [MOD] -

SUNGAI LIMAU DALAM, Kedah - Tindakan dua wanita licik yang membawa seorang bayi perempuan dan menyamar sebagai kenalan pengantin, sebelum mencuri barangan berharga milik pengantin dalam sebuah majlis kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Limau Dalam, kelmarin, membawa padah apabila mereka berjaya ditangkap.

Ibu pengantin, Norlia Ismail, 51, berkata, dua wanita itu membawa seorang bayi perempuan hadir ke majlis perkahwinan anaknya, Marnizal Che Omar, 31, dan menyamar sebagai rakan kepada Marnizal berpura-pura mahu menggunakan tandas semasa majlis berlangsung kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, dia kemudiannya menyuruh dua wanita itu masuk ke dalam rumah untuk ke tandas tanpa menyangka niat sebenar wanita berkenaan.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya siapa dua wanita itu kerana kami tidak mengenali mereka namun, tidak mengendahkannya kerana memikirkan mungkin mereka rakan kepada anak saya.

“Namun saya terkejut apabila Marnizal sendiri berjaya memerangkap mereka kerana menyedari kehilangan barangan berharga selepas seorang wanita itu masuk ke dalam biliknya,” katanya.

Menceritakan mengenai perihal dua wanita itu, adik Marnizal, Fajar Nurfitria, 24, berkata, ketika majlis kenduri perkahwinan itu berlangsung, dia berada di dalam rumah dan menyedari kehadiran dua wanita dan seorang bayi yang berkelakuan mencurigakan.

Katanya, dua wanita itu berlegar-legar dalam rumah dan memintanya untuk menggunakan satu bilik di rumah untuk berehat kerana mendakwa mereka letih.

“Seorang wanita itu masuk ke dalam bilik saya dan mencuri dompet saya serta telefon seorang ahli keluarga kami namun, saya masih tidak menyedarinya.

“Setelah hampir dua jam berada dalam rumah, wanita itu kemudiannya minta untuk masuk ke dalam bilik pengantin dan meminta pengantin keluar dari bilik kerana dakwanya dia ingin menukar tuala wanita,” katanya.

Fajar Nurfitria berkata, wanita itu kemudiannya keluar dari bilik pengantin setelah berada di dalam bilik itu selama 20 minit, dan bergegas mendapatkan seorang rakannya yang mengendong bayi yang tunggu di luar bilik dan terus keluar dari rumah mereka menuju ke kereta.

Menurutnya, abangnya (Marnizal) kemudiannya masuk ke dalam bilik dan mendapati almari pakaian sedikit terbuka dan mendapati barangan dalam almari itu diselongkar.

“Abang kemudiannya bergegas mendapatkan dua wanita itu dan menahan mereka setelah mendapati banyak barang berharga milik kami sekeluarga ada di dalam beg tangan wanita berkenaan­,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah kediaman.

Sinar Harian

Mat rempit cuba rempuh polis

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG – Hasil risikan selama tiga minggu berbaloi apabila 200 penunggang motosikal yang menjadikan kawasan Lebuhraya Shah Padu berhampiran Kampung Rantau Panjang dekat sini sebagai litar perlumbaan haram ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Pasukan Khas Unit Trafik dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, awal pagi semalam.

Dalam operasi yang bermula jam 3 pagi sehingga 5 pagi itu, ada di antara penunggang bertindak ganas termasuk cuba merempuh anggota polis yang membuat kepungan jalan. Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Superintendan Hamzah Ahmad mengakui terdapat beberapa penunggang bertindak melarikan diri ke dalam semak selepas penemuan beberapa motosikal ditinggalkan di lokasi berhampiran lebuh raya tersebut.

“Kebanyakan yang ditahan adalah berumur sekitar 14 hingga 30 tahun dan ke semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam untuk semakan dan sesi saringan,” katanya. Menurutnya, sebahagian besar yang ditahan terdiri daripada pelajar sekolah yang tidak mempunyai lesen.

"Saya harap sepanjang cuti sekolah ini, ibu bapa perlu memantau dan ambil tahu ke mana anak mereka pergi terutama pada waktu malam,” katanya. Difahamkan, setakat ini pihaknya percaya ada pertaruhan wang yang menjadi tarikan mereka untuk berlumba.

Sementara itu, pelajar tingkatan 3 yang dikenali sebagai Mohd Hanif mengakui dia menunggang motosikal milik kakaknya secara ‘curicuri’ dan hanya keluar rumah selepas ahli keluarganya tidur. “Mereka tidak tahu saya keluar rumah dan lazimnya saya keluar bersama rakan lain pada malam minggu untuk berlumba,” katanya yang turut cedera selepas motosikal yang ditungganginya gagal dikawal selepas cuba melarikan diri.

Manakala pelajar tingkatan 2, Mohd Shafik memberitahu, dia sering ke lebuh raya untuk menyaksikan perlumbaan. “Ada sekali saya pernah berlumba, hari ini saya datang hendak sokong kawan berlumba,” katanya yang turut tidak memiliki lesen memandu.

Sinar Harian

Padah tidak henti motosikal

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang penunggang motosikal diseret hampir lima meter akibat dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Taman Kenari dekat sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Mangsa, Pichymuthu Mutusamy, 36, bagaimanapun mati selepas empat jam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mangsa datang dari arah Taman Cengal menghala ke Taman Kemuning.

Menurutnya, setibanya di persimpangan taman perumahan itu, mangsa terus membelok sebelum dirempuh kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat rempuhan kuat, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sebelum diseret kira-kira lima meter. Orang ramai yang berada di situ kemudiannya memaklumkan kejadian kepada polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Kereta yang merempuh mangsa datang dari arah Taman Selasih menuju Taman Cengal. Kereta itu sememangnya dipandu dalam keadaan laju,” katanya.

Saksi berkenaan berkata, mangsa sepatutnya memberhentikan motosikal sebelum memasuki simpang itu tetapi apa yang berlaku, mangsa terus masuk ke simpang tanpa melihat kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan patah kaki kanan dan luka di bahagian badan kepala.

“Motosikal mangsa rosak teruk apabila tayar hadapannya tercabut dan tercampak kira-kira tujuh meter ke seberang jalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan dan disahkan meninggal dunia empat jam kemudian.

“Saya ingin beri peringatan­ kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta, supaya memberhentikan kenderaan mereka sebelum memasuki selekoh. Selain itu, mereka perlu beri laluan kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan sebelum membelok.

“Polis masih menyiasat punca kemalangan, bagaimanapun mangsa disahkan maut kira-kira jam 5.15 pagi selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Kulim,” katanya.

Sinar Harian

155 tenggiling dirampas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Cubaan tiga lelaki tempatan menyeludup 155 tenggiling ke negara jiran, berjaya dipatahkan sepasukan anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bekelam, di sini, malam kelmarin.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kelantan, Cosmas Ngau berkata, melalui risikan yang dibuat, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan itu, kira-kira jam 11.30 malam.

Hasil serbuan, polis menemui haiwan terbabit dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero selain yang disimpan di dalam stor berhampiran rumah tersebut.

”Nilai rampasan ialah RM325,000 dan ini merupakan rampasan terbesar melibatkan haiwan itu di negeri ini sejak lima tahun lalu dan dipercayai akan diseludup ke Thailand untuk dijadikan makanan eksotik.

”Aktiviti penyeludupan haiwan ini begitu aktif ekoran permintaan yang sangat tinggi, selain harganya yang boleh mencecah RM350 untuk sekilogram,” katanya ketika ditemui semalam.

Cosmas berkata, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan hasil rampasan mendapati tenggiling yang paling berat, mencecah 10 kilogram.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira jam 4 pagi hari yang sama, anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah Jeli juga berjaya merampas 16 tenggiling bernilai RM15,000 yang cuba diseludup.

Katanya, haiwan berkenaan dirampas di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Gemang, Jeli ketika pihak polis melakukan sekatan jalan raya dan berjaya menahan dua lelaki.

”Kedua-dua lelaki berkenaan berusia 39 dan 40 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Machang ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk menjual haiwan berkenaan kepada peraih dari Thailand.

”Spesies ini merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya, dan di atas kesalahan itu, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga
tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kesemua haiwan tersebut yang dirampas akan dilepaskan semula di kawasan Taman Negara untuk menjamin populasinya supaya tidak pupus.

Sinar Harian

Tips Bellamy buat Nazmi Faiz

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KEJAYAAN wonderkid Malaysia, Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak bersama kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar bukan sahaja membuka mata pemerhati di Asia, malah turut menarik perhatian Craig Bellamy.

Ketika kunjungannya ke Singapura, bintang Liverpool itu sempat memberikan nasihat kepada pemain Harimau Muda berusia 17 tahun itu dalam temu bualnya bersama ESPNSTAR.com di sana. “Jangan mudah berputus asa dan cuba sedaya upaya untuk sering meningkatkan diri. Hargai dan sentiasa mengingati rakan-rakan, ahli keluarga serta cuba sedaya upaya dan buat apa yang termampu kerana ia hanyalah satu permainan.

“Sekiranya dia (Nazmi) kembali ke Malaysia kerana tidak dapat terus kekal di sana, jangan fikir yang dia telah gagal. Sebaliknya dia harus berpuas hati dan menikmati setiap detik di Portugal dan ia pastinya satu penghormatan yang amat tinggi kerana dapat bermain di sana," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazmi akan beraksi buat kali terakhir di Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 Timor Leste 17 Jun nanti di Wisma FAM, Kelana Jaya.Selepas itu, Nazmi bakal meneruskan aksi kompetitifnya bersama Skuad Harimau Muda di Myanmar dalam saingan kelayakan Piala AFC B-22 bermula 21 Jun hingga 4 Julai sebelum memulakan latihan bersama Beira-Mar Ogos nanti.

Sinar Harian