25 May 2012

Malulah sikit, kita sudah 54 tahun merdeka - Tamrin

4 Rejab 1433H. [MOD] -

MELAKA: Vateran Umno, Tamrin Ghafar kesal dengan tindakan partinya itu yang sejak kebelakangan ini menggunakan samseng untuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

"Malulah sikit dengan tindakan samseng baling batu, telur dan lain-lain, kita sudah merdeka lebih dari 54 tahun, takkan masih nak mengamalkan politik macam ini".

"Saya seru pemimpin Umno supaya bertindak matang dan bukan kebudak-budakan macam ini" tegasnya yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran Majlis Tindakan Dun Ayer Molek di sini malam tadi.

Sementara itu Tamrin berkata, beliau rela dipecat dari Umno demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan.

"Saya masih ahli Umno, saya rela dipecat dari Umno demi rakyat, demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan," ujarnya yang juga bekas Pengerusi MARA.

"Umno ibarat kereta yang rosak dan buruk, saya seorang mekanik baiki yang mana skru longgar dan goyang," katanya.

Harakah Daily

Ceramah PAS: Johor kini bukan Johor dulu

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jumlah ribuan hadirin dalam ceramah-ceramah PAS di kawasan-kawasan Melayu semakin menjadi perkara biasa di Johor kerana Johor kini bukan lagi Johor dulu di mana puluhan orang sahaja hadiri ceramah PAS.

Lebih memberangsangkan, katanya, ialah apabila mereka yang hadir itu terdiri dari penduduk tempatan.

"Kecuali majlis-majlis khas yang besar di mana mungkin ahli-ahli PAS dari seluruh Johor hadir beramai-ramai, kehadiran adalah dari penduduk tempatan.

"Maknanya, kalau 1,000 yang hadir ceramah-ceramah kita, hampir semuanya adalah penduduk tempatan," kata Salahuddin.

Bagi beliau, apa yang berlaku itu membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.

"Dulu, Umno bukan sahaja tak pandang langsung kita, malah memperlekehkan.

"Hari ini, ada pemimpin tertinggi Umno yang berucap menyatakan akan mempertahankan Johor (dari PR)," katanya.

Mengenai sambutan di kalangan masyarakat Cina pula, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Umno sendiri semakin merasai bahangnya.

"Tak manis kita sendiri yang membuat dakwaan tetapi ada yang menyatakan pengundi-pengundi Cina di Johor akan menyebabkan parti itu sakit teruk.

"Bekas Presiden MCA (Ling Liong Sik) sendiri menjangkakan BN (Barisan Nasional) mungkin akan kehilangan sejumlah sokongan di Johor.

"Saya yakin perkataan sejumlah yang digunakan oleh Liong Sik itu merujuk kepada masyarakat Cina," kata Salahuddin.

Sebab itulah, kata beliau, ada yang menumpukan kempen yang lebih agresif di kawasan-kawasan Melayu.

Pandangan Salahuddin itu diakui oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Saya selalu beritahu kawan-kawan bahawa dahulu memang benar pandangan yang menyatakan majlis ceramah (menjadi keutamaan) nombor lapan di Johor.

"Tetapi sekarang, ceramah mungkin sudah jadi nombor satu," katanya.

Mohamad memberitahu, baru-baru ini beliau ditugaskan berceramah di dua kawasan yang berdekatan di Johor pada malam yang sama.

"Kehadiran di kedua-dua kawasan itu berjumlah ribuan orang," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Salahuddin bahawa hampir semua yang hadir adalah penduduk tempatan.

"Zaman orang PAS pergi beramai-ramai berpuluh-puluh batu semata-mata kerana hendak mendengar ceramah seperti tahun lapan puluhan dahulu sudah berlalu.

"Sekarang yang datang hampir semua orang tempatan dan saya berani kata sebahagian besarnya bukan ahli PAS pun," kata Mohamad lagi.

Harakah Daily

Johor sedia untuk buat perubahan besar

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Johor kini bukan lagi Johor dulu di mana puluhan orang sahaja hadiri ceramah PAS. (Salahudin memimpin usaha PAS untuk membebaskan Johor dari kekangan BN)

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jumlah ribuan hadirin dalam ceramah-ceramah PAS di kawasan-kawasan Melayu semakin menjadi perkara biasa di Johor.

Lebih memberansangkan, katanya, ialah apabila mereka yang hadir itu terdiri dari penduduk tempatan.

"Kecuali majlis-majlis khas yang besar di mana mungkin ahli-ahli PAS dari seluruh Johor hadir beramai-ramai, kehadiran adalah dari penduduk tempatan.

"Maknanya, kalau 1,000 yang hadir ceramah-ceramah kita, hampir semuanya adalah penduduk tempatan," kata Salahuddin.

Bagi beliau, apa yang berlaku itu membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.

"Dulu, Umno bukan sahaja tak pandang langsung kita, malah memperlekehkan.

"Hari ini, ada pemimpin tertinggi Umno yang berucap menyatakan akan mempertahankan Johor (dari PR)," katanya.

Mengenai sambutan di kalangan masyarakat Cina pula, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Umno sendiri semakin merasai bahangnya.

"Tak manis kita sendiri yang membuat dakwaan tetapi ada yang menyatakan pengundi-pengundi Cina di Johor akan menyebabkan parti itu sakit teruk.

"Bekas Presiden MCA (Ling Liong Sik) sendiri menjangkakan BN (Barisan Nasional) mungkin akan kehilangan sejumlah sokongan di Johor.

"Saya yakin perkataan sejumlah yang digunakan oleh Liong Sik itu merujuk kepada masyarakat Cina," kata Salahuddin.

Sebab itulah, kata beliau, ada yang menumpukan kempen yang lebih agresif di kawasan-kawasan Melayu.

Pandangan Salahuddin itu diakui oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Saya selalu beritahu kawan-kawan bahawa dahulu memang benar pandangan yang menyatakan majlis ceramah (menjadi keutamaan) nombor lapan di Johor.

"Tetapi sekarang, ceramah mungkin sudah jadi nombor satu," katanya.

Mohamad memberitahu, baru-baru ini beliau ditugaskan berceramah di dua kawasan yang berdekatan di Johor pada malam yang sama.

"Kehadiran di kedua-dua kawasan itu berjumlah ribuan orang," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Salahuddin bahawa hampir semua yang hadir adalah penduduk tempatan.

"Zaman orang PAS pergi beramai-ramai berpuluh-puluh batu semata-mata kerana hendak mendengar ceramah seperti tahun lapan puluhan dahulu sudah berlalu.

"Sekarang yang datang hampir semua orang tempatan dan saya berani kata sebahagian besarnya bukan ahli PAS pun," kata Mohamad lagi.

Harakah Daily

Bersih 3.0: Rugi ratus ribu, 'hadiah' juta-juta

4 Rejab 1433H. [MOD] -

ISU-ISU 'spin off' pasca Bersih 3.0 nampaknya masih mendominasi ruang politik negara walaupun himpunan duduk, bantah 28 April itu sudah hampir sebulan berlalu.

Ada di kalangan penganalisis politik meramalkan kesan himpunan Bersih 3.0 akan berkekalan sehingga empat bulan yang pastinya menambah kesukaran kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum.

Kegusaran BN terhadap impak himpunan Bersih 3.0 tidak sukar untuk dilihat. Kehadiran ratusan ribu rakyat di ibu kota Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru, juga di Kota Kinabalu dan Miri menunjukkan kesepaduan tekad rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Malah himpunan duduk, bantah Bersih 3.0 dengan lapan tuntutan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor disambut serentak rakyat Malaysia di lebih 74 bandar seantero dunia.

Kunjungan Perdana Menteri di London baru-baru ini juga disambut warna kuning (warna rasmi Bersih) dan mukadimah ucapannya di hadapan rakyat Malaysia turut diiringi laungan "bersih, bersih, bersih..."

Terdesak dengan asakan demi asakan rakyat terhadap cara kerajaan BN menangani perhimpunan aman itu, Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 akhir tidak dibincangkan Dewan Negara. 'Panel siasat bebas' juga ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan keganasan polis walaupun ia diketuai oleh pengerusi yang anti-Bersih.

Di masa yang sama, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk meletakkan kesalahan kepada penganjur Bersih 3.0. Terbaru adalah tindakan memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000 terhadap Pengerusi Bersama Bersih, Dato' Ambiga Sreevanasan serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0.

Dakwaannya adalah gagal mengawal perhimpunan 28 April lalu sehingga pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Beberapa hari sebelumnya, tiga pemimpin KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengingkari Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam samannya terhadap sepuluh ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0, kerajaan BN mendakwa mengalami kerosakan dan terpaksa menanggung kerugian yang telah ditaksirkan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kos untuk memperbaiki semua kenderaan terbabit adalah antara RM2,000 hingga RM16,000 yang kesemuanya berjumlah RM122,000.

Kerajaan sebagai plaintif juga menuntut satu deklarasi bahawa defenden-defenden sebagai penganjur telah mengingkari seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menuntut gantirugi berjumlah RM122,000.

Sebelum daripada ini Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung kos RM300,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0.

Kerugian, katanya termasuk kerosakan pada lanskap dan kos membersihkan kira-kira 8 tan sampah sarap di sekitar kawasan perhimpunan di ibu negara.

Apa yang gagal dinyatakan kerajaan BN dan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah, kesemua kerugian yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk pihak polis yang mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu apabila secara semberono melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kepada ribuan peserta perhimpunan di Jalan Raja, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Dalam keadaan kelam kabut itu jugalah berlaku insiden-insiden tidak diingini termasuk pembantaian orang awam oleh pasukan polis beruniform dan tidak beruniform.

Paling mendukacitakan adalah tindakan tidak bertamadun golongan anti-Bersih yang melakukan perbuatan 'kacau ganggu' di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara.

Ada yang menonggeng punggung dan ada yang mahu mengadakan pasar terbuka selama dua hari.

Ketua senaman punggung akhirnya menerima malu apabila kisah silamnya merasuah RM1 juta untuk mendapatkan gelaran datuk palsu daripada seorang kerabat diraja didedahkan warga siber.

Ketua persatuan penjaja kecil yang hidup mewah pula menerima ancaman boikot daripada penyokong Bersih apabila rantaian restoran Ikan Bakar Sekinchan miliknya didapati mengenakan harga mahal tidak masuk akal berbanding mutu perkhidmatan yang buruk.

Apa yang menarik, tauke restoran ikan bakar dan kereta import mewah itu menawarkan hadiah jutaan ringgit kepada orang ramai yang mengunjungi halaman Facebook Bersih 4.0 tajaannya.

Menurutnya, pelawat Facebook berpeluang memenangi kereta BMW 530 dalam cabutan bertuah apabila jumlah peminat mencecah 150,000 orang.
Kereta model 2005 itu bernilai RM225,000.

Sekiranya jumlah peminat Facebook itu mencecah satu juta orang, sebuah lagi kereta mewah, model Lamborghini Gallardo model 2009 bernilai RM1.2 juta akan ditawarkan dalam cabutan bertuah.

Begitulah mewahnya 'persatuan peniaga kecil' yang mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit ekoran perhimpunan Bersih 3.0.

Bukanlah lebih berfaedah jika wang sebanyak itu dihadiahkan kepada kerajaan BN dan DBKL untuk menampung kerugian akibat Bersih 3.0.

Nampaknya Bersih 3.0 benar-benar membuatkan kita bingung. Bingung kerana urusan perniagaan dan pentadbiran pun mahu dipolitikkan. Mungkin kebingungan ini juga dialami Majlis Fatwa Kebangsaan. Benarkah?

Harakah Daily

Shahrul, lelaki di belakang Kelantan Fiesta 2010

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya pemimpin utama anak muda yang menyerang rumah Datuk S Ambiga semalam adalah CEO Red Carpet, syarikat pengurusan program yang kantul akibat kegagalan 'Karnival Kelantan Fiesta 2010' selepas diserang ribut.

Shahrul Nasrun Kamarudin yang memimpin sekumpulan remaja ke rumah Ambiga semalam, sebelum ini pernah dilaporkan keluar dengan pelakon yang juga janda anak bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Nora Danish.

"Dia ni dajjal, mempertahankan orang murtad, LGBT (lesbians, gays, bisexuals and transgenders)," Shahrul didengar bertempik di depan rumah S Ambiga, Pengerusi bersama Bersih semalam sebelum menyerahkan memorandum.

Sebelum ini, satu persatu Harakahdaily mendedahkan siapakah di belakang penyerang rumah Ambiga.

Antaranya pemimpin 'senaman punggung', Datuk (palsu) Mohd. Ali Baharom yang mengaku membeli gelaran datuk dengan harga RM250,000 manakala Datuk Jamal Md Yunus adalah tauke Restoran Sekinchan Ikan Bakar yang sedang menghadapi masalah dengan restorannya itu.

Nama Shahrul Nasrum yang memimpin satu NGO yang bernama 'Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia' mula timbul selepas 'Karnival Kelantan Fiesta 2010' gagal dan memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Program yang dibuat pada tahun 2010 di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V itu gagal sepenuhnya sehingga Pengerusi Umno Kelantan terpaksa menggunakan 'loud heller' untuk bercakap dengan beberapa tetamu yang hadir selepas kawasan perhimpunan di serang ribut.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilarang oleh pihak penganjur dari menyertai majlis itu.

Lebih menjijikkan lagi, sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk menjayakan program itu dihantar kembali oleh pihak penganjur.

Tuanku Sultan Kelantan juga telah membatalkan penyertaannya ke majlis itu selepas 'gagal mematuhi protokol' yang ditetapkan istana.

Program yang sepatutnya disiar secara langsung oleh RTM itu dibatalkan begitu sahaja.

Kini Shahrul datang dan memekik perkataan yang tidak sewajarnya diucapkan kepada seorang bukan Islam di negara ini di samping membuat bising di kawasan yang dianggap elit itu.

Harakah Daily

Euro 2012: England akan dapat manfaat pemain muda

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PEMAIN tengah, James Milner percaya England akan mendapat manfaat daripada pemain-pemain muda mereka yang akan beraksi di Euro 2012.

Jurulatih, Roy Hodgson telah memilih 11 pemain yang tidak pernah tampil dalam kejohanan utama untuk pasukan kebangsaan bermakna mereka tidak takut dengan pengalaman buruk sebelum ini.

"Mereka pergi dengan yakin dan tidak mempunyai fikiran negatif itu," kata Milner.

Dipetik BBC, Milner berkata, beliau yakin kontinjen dari Manchester City masih tinggi selepas memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam 44 tahun.

Milner, 26, adalah salah seorang daripada empat pemain City dalam skuad Hodgson.

England berada dalam Kumpulan D bersama Perancis, Sweden dan Ukraine untuk aksi Euro 2012 Jun ini.

The Three Lions akan memulakan kempen menentang Perancis pada 11 Jun.

Sinar Harian

Piala AFC: Hodak anggap bukan kemenangan mudah

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KEJAYAAN Kelantan menewaskan Terengganu 3-2, membolehkan pasukan tersebut muncul selaku wakil negara yang keempat selepas Kedah, Perak dan Selangor mara ke saingan suku akhir kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sejak diperkenalkan lapan tahun lalu.

Namun, Ketua Jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak tampil secara profesional apabila enggan meraikan kejayaan pasukannya malah menyifatkan kemenangan tersebut bukanlah diperolehi dengan cara mudah meski pun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Secara jujur bukan tugas mudah bagi kita menghadapi Terengganu dalam pusingan kalah mati seperti ini. Sabtu lalu kita beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA dan pemain saya nampak kurang bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk bertemu pasukan Terengganu.

“Malah beberapa hari lalu, di kem Terengganu, mereka juga melancarkan perang saraf dengan membayangkan mampu menewaskan Kelantan di sini. Apa mereka fikir kita sebuah pasukan yang setaraf seperti MP Muar atau NS Betaria FC yang mudah untuk ditewaskan?

“Anda boleh lihat pada babak pertama, pemain saya menunjukkan prestasi yang baik sehingga berjaya menjaringkan tiga gol. Tetapi saya kurang gembira dengan aksi pemain pada babak kedua. Mereka seolah-olah berasa terlalu selesa (kelebihan tiga gol) sehingga membenarkan Terengganu menjaringkan dua gol selepas itu. Dalam perlawanan tersebut, Kelantan mendahului 3-0 menerusi dua jaringan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ketiga dan 19 perlawanan sebelum Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid melengkapkannya pada minit-minit akhir babak pertama.

Terengganu bagaimana pun bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Ismail Faruqi Asha’ri pada m-53 dan sepakan penalti Francis Forkey Doe pada m-83 perlawanan.

Namun sudah terlambat bagi mereka mencipta kejutan di Kota Bharu. Sementara itu, pengendali baharu Terengganu, Peter Butler menyifatkan kelincahan pemain import, Dennis Antwi menjadi duri dalam daging kepada pasukannya untuk menewaskan Kelantan dalam perlawanan tersebut.

“Gol pertama Kelantan hadir terlalu awal ketika permainan tak sampai pun lima minit berlangsung. Itu yang mengubah rentak permainan kami. Antwi sentiasa memberi masalah kepada benteng pertahanan kami. “Meski pun tewas, tetapi saya gembira dengan persembahan pemain. Mereka menunjukkan karakter yang bagus untuk bangkit memberikan tentangan sengit kepada pemain Kelantan,” katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Hugo Viana terima berita gembira

4 Rejab 1433H. [MOD] -

BEKAS bintang Newcastle United, Hugo Viana telah dipanggil oleh Portugal untuk beraksi dalam kejohanan Euro 2012.

Pemain perancang Braga, 29, itu telah dirangka sebagai pemain gantian Carlos Martins, yang terpaksa diketepikan dari Euro 2012 kerana mengalami kecederaan betis, lapor The Sun.

Viana yang telah memenangi 26 kap itu tidak beraksi selama lima tahun untuk skuad Portugal. Tetapi, dia telah menikmati musim yang luar biasa dan membantu Braga di tempat ketiga dalam Liga Perdana Portugal.

Cristiano Ronaldo akan mengetuai Portugal memulakan kempen dalam Kumpulan B menentang Jerman di Lviv, Ukraine pada 9 Jun sebelum menghadapi Denmark dan Belanda dalam 'kumpulan maut' itu.

Sinar Harian

Samseng: PKR tuntut penjelasan Nong Chik

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini menuntut penjelasan daripada Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai Dato Raja Nong Chik berhubung serangan terhadap ceramah parti itu di Apartmen Pantai Permai malam tadi.

Naib ketuanya Nurul Izzah Anwar berkata, selain Nong Chik, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin juga perlu bertanggungjawab atas insiden itu.

"Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas.

"Semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu deklarasi perang terhadap rakyat, yang memberi restu untuk menyerang rakyat dan membunuh demokrasi," katanya pada sidang media di ibu Pejabat PKR di sini tengah hari tadi.

Dalam insiden 11 malam tadi, penyokong Umno yang berada di majlis ceramah mereka di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam didakwa membalik batu dan telur ke kawasan ceramah Pakatan Rakyat yang terletak berhampiran.

Ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap.

Ekoran insiden itu, seorang warga emas cedera di kepalanya manakala seorang kanak-kanak juga didakwa cedera dan dikhuatiri patah tangan.

Selain itu, tayar kereta milik Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan berdekatan tapak ceramah juga didakwa ditoreh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Nurul Izzah lagi, beberapa pegawainya juga turut diugut sebelum dan sewaktu program ceramah tersebut berlangsung.

"Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno yang mana telah mengadakan ceramah di dalam kawasan kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya berjarak 100 meter dari ceramah PKR adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab.

"PKR mengesa pihak polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpamanya dengan sepenuhnya agar mereka yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Harakah Daily

PAS khuatir kempen PRU-13 dicemari keganasan

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan serangan berterusan terhadap ceramah dan majlis Pakatan Rakyat (PR) adalah sebagai amaran dari pihak tertentu bahawa mereka akan menggunakan keganasan dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku jika melihat kepada tren kebelakangan ini yang mengupah samseng jalanan melakukan serangan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Semakin hampir pilihan raya, semakin banyak kita mendengar berita serangan dan keganasan parti tertentu terhadap ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.

"Rakyat hendaklah bersedia menghadapi kemungkinan mereka akan mengganas habis-habisan terutama dalam tempoh berkempen pilihan raya umum akan datang asalkan dapat mempertahankan kuasa," katanya.

Insiden terbaru ialah apabila batu dan telur dibaling dari kawasan ceramah Umno ke tempat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berucap di Apartmen Pantai Permai, Lembah Pantai malam tadi.

Seorang warga emas yang menghadiri ceramah itu cedera dan berdarah di kepalanya akibat serangan itu.

Bagi Mahfuz, apa yang berlaku itu menyebabkan rakyat melihat Umno sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mematahkan gerakan PR untuk meyakinkan rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan Umno semakin cemas dan takut kehilangan kuasa.

"Bagi memastikan mimpi ngeri mereka itu tidak menjadi kenyataan, mereka memilih keganasan untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, kalau sebelum ini kumpulan pengganas masuk menceroboh dan menyerang ceramah dan majlis PR untuk menunjuk handal, tetapi sekarang mereka memilih menyerang dari jauh dan selepas itu mereka menafikan mereka yang melakukan perbuatan itu.

"Tidak perlulah baling batu sembunyi tangan kerana rakyat tahu siapa yang ada kepentingan untuk menyerang ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.

"Tanpa perlu berfikir pun rakyat boleh memberikan jawapan serta merta siapa pengganas yang menyerang ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR sehingga berkali-kali mengakibatkan pertumpahan darah," katanya.

Mahfuz meminta rakyat membuat keputusan adakah mereka mahu negara ini diperintah oleh parti gangster atau Pakatan Rakyat.

Harakah Daily

Bawa bendera PAS, Jalur Gemilang ke Alor Setar

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahlinya yang akan ke Himpunan Hijau ke Putrajaya 1 Jun ini agar membawa bendera PAS dan Jalur Gemilang kecil bersama mereka.

Ia bertujuan untuk membolehkan semua peserta perhimpunan ini mengibarkannya sepanjang perhimpunan raksaksa di Alor Setar ini.

"Hanya bendera kecil di benarkan. Jika bendera besar, ia akan menganggu majlis pula," kata Datuk Mahfuz Omar, Pengarah himpunan ini.

Mahfuz juga berkata, bendera PAS dan Jalur Gemilang ini juga akan dijual di perkarangan stadium untuk orang ramai.

"Sebahagian akan kita berikan percuma. Namun ia tidaklah cukup untuk semua orang," kata beliau kepada Harakahdaily.

Semua pemimpin dan ahli PAS akan berhimpun di Stadium darul Aman, Alor Setar 1 Jun ini.

Perhimpunan akan bermula jam 4.30 petang itu akan dipenuhi dengan pelbagai acara.

Pada sebelah paginya, pertemuan tertutup antara pimpinan utama PAS akan diadakan.

Di majlis itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan memberikan taklimat kepada mereka.

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, pelakon dan penulis lagu Bob Lokman, penyanyi Aishah dan Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said akan menyerikan perhimpunan ini.

Pada sebelah malamnya pula akan didakan majlis ceramah perdana dengan disertai oleh hampir semua pimpinan utama PAS.

Ia bakal disertai oleh beberapa ahli baru PAS termasuk Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Harakah Daily

Debat: Adnan kekalkan imej 'penakut' Najib

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pandangan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Datuk Seri Najib Razak tak perlu berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengekalkan imej Najib sebagai seorang penakut.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Riduan Mohd Nor, debat dengan Anwar Ibrahim adalah peluang terbaik bagi Najib untuk bukan sahaja menaikkan sokongan terhadap dirinya malah untuk BN secara keseluruhan.

"Sepatutnya Datuk Tengku Adnan mengesyorkan kepada bosnya supaya menerima pelawaan debat ini kerana inilah peluang perdana menteri untuk meningkatkan graf sokongan dan populariti dirinya dan BN.

"Sejarah akan mencatat DS Najib adalah perdana menteri paling ‘gentleman’ dan berjiwa besar sehingga sanggup duduk sepentas bersama pemimpin pembangkang demi untuk rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Adnan semalam bahawa Najib tidak perlu berdebat dengan Anwar seperti yang dicadangkan oleh Dr Mazlee Malik ketika menjadi moderator Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli kelmarin.

Menurut Adnan, pembangkang apatah lagi Anwar akan sengaja dalam debat itu nanti untuk mencetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik.

Mengulas lanjut Riduan berkata, alasan penolakan debat oleh Adnan itu hanya helah dan menunjukkan bahawa BN tidak matang berpolitik dan takut menghadapi realiti.

Sedangkan katanya, debat antara Rafizi dan Khairy kelmarin membuktikan secara jelas bahawa tiada sebarang kekecohan ataupun 'tercetusnya suatu keadaan untuk mendapatkan mileage politik' seperti diperkatakan Adnan.

Masing-masing kata Riduan telah berjaya membuktikan hujah masing-masing secara akademik dan fakta yang bernas.

"Jika PM mempunyai banyak idea dan gagasan untuk pembangunan rakyat, apa salahnya dia berdebat bagi membuktikan BN lebih baik daripada Pakatan Rakyat.

"Malangnya, Umno melepaskan peluang ini dan memilih menjadi gerombolan yang elit, sombong dan tidak disenangi rakyat," katanya.

Harakah Daily

Mesir: Undi mula dikira, calon Ikhwan di depan

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Setelah tamatnya tempuh mengundi pada jam 10 malam semalam, proses pengiraan undi kini sedang berjalan di setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir dengan calon Ikhwan berada di depan.

Parlimen Mesir baru-baru ini telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan.

(Penulis di depan poster-poster kempen Presiden Mesir)

Proses pengiraan ini di kawal-selia oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi disepanjang tempoh pengundian.

Keputusan awal yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi sedang mendahului di kebanyakan daerah mengundi.

Keputusan dari 6661 daerah mengundi mendapati Dr Mohamad Morsi mendapat 30.8% undi, calon bebas Dr Mon’im Abol Foutuh mendapat 17.7% undi, calon tajaan bekas rejim Mubarak Ahmed Syafik mendapat 22.5% undi, Hisham Sabahi 20.7% undi dan calon yang mendapat banyak sokongan kuasa Barat Amar Mousa mendapat 11.9% undi.

Proses penggiraan undi yang sedang berjalan ini semakin menyerlahkan lagi pertembungan sengit antara calon dari gerakan Islam dengan calon yang ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak.

Setakat ialah Dr Mohammad Morsy dari parti FJP Ikhwan Muslimin, Dr Mon’im Aboul Futuh yang juga merupakan bekas pimpinan Ikhwan Mesir dan dua calon tajaan saki-baki rejim Mubarak iaitu ‘Amru Musa dan Ahmad Shafik sedang bersaing di kebanyakan daerah mengundi.

Pada hari ketiga ini saya berada bersama beberapa pimpinan Ikhwan dari Freedom and Justice Party (FJP) di pejabat media Dr. Mohamad Morsi yang terletak di tengah-tengah Kota Kairo.

Suasana di pejabat FJP nampaknya ceria dengan berita yang di terima setiap minit tentang keputusan bilangan undi yang banyak memihak kepada calon mereka Dr. Morsi.
Pemuda-pemuda Ikhwan yang menjadi tenaga penting sepanjang pilihanraya ini kelihatan amat sibuk menyediakan bahan-bahan media dan juga melayan ramai para pemberita tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di pejabat FJP.

Ya, keputusan awal ini yang meletakkan calon Ikhwan Dr. Mohamad Morsi di hadapan bakal akan menjadi ‘mimpi nyeri’ bagi kuasa-kuasa besar Barat serta sekutunya Israel yang berusaha keras dengan menjalankan pelbagai propaganda bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka akan menang dalam pilihanraya ini.

Ahmad Syafik dan Amr Mousa telah diberikan pelbagai publisiti oleh media barat terutamanya BBC dan CNN ‘sebagai calon penyalamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Calon Ikhwan Dr. Morsi terutamanya, telah cuba di ‘blackout’ dengan menafikan publisiti kepada beliau.

Namun kekuatan jentera pilihanraya dari calon Ikhwan Muslimin ini telah berjaya menyaingi jentera media barat ini dengan mereka banyak menggunakan kempen melalui media baru seperti Twitter dan facebook.
Begitu juga dengan kempen dari rumah kerumah yang dijalankan oleh pemuda dan muslimat Ikhwan di seluruh mesir setakat ini menampakkan hasil yang positif.

Keputusan rasmi penuh hanya akan di umumkan pada Selasa depan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Namun keputusan tidak rasmi yang di dapati setakat ini menunjukkan bahawa Mesir selepas kejatuhan rejim zalim Mubarak akan terus berubah dengan “Kuasa rakyat’ akan terus memimpin.

Masa depan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam adalah cerah setelah mereka kini dapat sedikit bernafas dengan bebas dan telus di medan demokrasi yang yang di sanjung Barat.

Kemenangan Ikhwan akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada PAS bagi menghadapi PRU -13 akan datang di negara kita Malaysia.
--------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun Batu Burok, Terengganu. Hubungi beliau melalui Twitter: @syedazman e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk

Harakah Daily

PM bukan Melayu: DAP nafi laporan Utusan

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia kononnya Karpal Singh berkata, "Selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan PM" sebagai tidak benar. (Laporan Utusan yang dinafikan DAP)

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, beliau sempat bercakap dengan Karpal Singh ketika rehat mahkamah semalam dan bertanya mengenainya kepada Karpal.

"Karpal hanya merujuk kepada Perlembagaan Malaysia iaitu jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua rakyat Malaysia," kata Lim Kit Siang dalam Twitternya.

Lim Kit Siang juga telah membuat penjelasan itu melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan kononnya Karpal berkata, selagi hidup beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

"Saya tidak pasti boleh lihat bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri termakbul di era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini," kata Karpal sebagaimana dilaporkan Utusan.

Ekoran laporan yang penuh unsur-unsur perkauman itu, Utusan telah membuat laporan susulan.

Antaranya dengan memetik kenyataan pimpinan PAS.

Harakah Daily

Teras gesa henti tunjuk berani cara samseng

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru semua pengundi Melayu melakukan transformasi politik besar-besaran untuk menyelamatkan negara daripada penyelewengan dan pengkhianatan yang sedang berleluasa sekarang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, kerajaan yang sudah diberi mandat selama 54 tahun sudah terlalu lama membiarkan orang Melayu berada dalam kepompong hidup feudal sehingga pemikiran dan sikap merdeka dalam erti kata sebenar tidak menjadi asas dalam menentukan kepimpinan negara.

Katanya, orang Melayu jelas dianggap sebagai pengundi yang lebih mudah dibeli oleh rasuah dan permainan politik fitnah.

“Lantaran itu sangat jelas tumpuan kepada orang Melayu dengan pelbagai suapan wang tunai menjadi strategi yang digunakan oleh kerajaan yang memegang kuasa sekarang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, strategi memanipulasi daftar pengundi serta melancarkan kempen psikologi dengan mengugut dan memfitnah kini jelas sedang diguna ke atas pengundi Melayu melalui taklimat khas atas nama kursus-kursus kerajaan.

Menurutnya, pegawai kerajaan yang majoritinya adalah orang Melayu kini diarah menghadiri kursus-kursus untuk memastikan mereka menjamin sokongan kepada kerajaan.

Demikian juga, ujarnya pemimpin-pemimpin akar umbi orang Melayu di pelbagai peringkat disogok dengan upah untuk memastikan pengikut mereka hanya menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Politik murahan seperti ini tidak membantu orang Melayu malah meneruskan politik feudal yang sudah ditolak oleh bangsa lain,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya Teras berpendirian sepatutnya orang Melayu yang menjadi tulang belakang kepada politik negara memahami betapa hanya bergantung kepada kerajaan yang mengguna politik tahap rendah tidak akan menjamin masa depan.

Beliau berkata, bangsa Melayu yang sudah menjalani proses sekularisasi yang sedemikian lama di bawah pemerintahan parti yang berteraskan nasionalisme sempit tidak membantu mematangkan orang Melayu dari sudut politik.

Malah, ujarnya orang Melayu yang dipisah dari faham politik berteraskan Islam akan dijadi alat untuk mengekalkan kuasa di kalangan golongan elit Melayu yang tidak mempunyai cita-cita mendaulatkan Islam di negara ini.

Tegasnya, orang Melayu tidak boleh membiarkan bangsanya diheret dalam kancah politik murahan yang memalukan.

Beliau menambah, budaya lucah yang dipaparkan oleh segelintir orang Melayu yang menunjukkan sindrom rendah akal, ditambah dengan budaya samseng yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, kini sedang mencemar imej bangsa Melayu di mata dunia.

“Teras kesal dan menasihati pihak yang terus menunjukkan budaya songsang dalam berfikir dan bertindak agar menghentikan reaksi hodoh yang memualkan itu.

“Ia sama sekali tidak mengembalikan maruah bangsa malah menunjukkan kerendahan budi dan menghina agama di hadapan masyarakat lain,” ujarnya lagi.

Katanya, menunjukkan keberanian dengan cara samseng amat memalukan dan mesti segera dihentikan.

Azmi berkata, ketika masyarakat lain siap melakukan perubahan politik dari politik feudal kepada politik matang dan merdeka, terdapat orang Melayu yang menjatuhkan maruah bangsa ke gaung kehinaan.

“Pengundi Melayu perlu menunjukkan sikap politik yang tepat untuk memastikan PR13 kali ini akan merupakan batu tanda perubahan besar-besaran lanskap politik negara di mana pengundi Melayu akan menuntutkan masa depan negara,” ujarnya.

Menurutnya, orang Melayu perlu segera memberi keutamaan kepada persoalan yang lebih besar dan utama iaitu melonjakkan negara daripada kehinaan diperbudak oleh kuasa besar dan memerdekakan negara dari salah kelola negara oleh pemimpin yang rakus dan menyeleweng.

Harakah Daily

Kolej kroni tuntut RM15 bilion dari PTPTN

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan PTPTN kini menjadi sumber kewangan untuk mengkayakan kroni Umno dalam perniagaan pendidikan mereka.

Tanpa menolak ada kebaikan yang dibawa PTPTN tetapi masalah yang dihadapi negara sekarang adalah penyalahgunaan tabung ini untuk kepentingan kroni ekoran kerangkanya yang tidak sihat.

Demikian kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas kejayaan wakil Pakatan Rakyat dalam debat PTPTN, Rafizi Ramli baru-baru ini yang disifatkan beliau berjaya menyampai mesej PTPTN perlu dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Dr Dzulkefly juga melahirkan rasa kebimbangan dengan usaha Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cuba mewajibkan semua pelajar lepasan SPM menyertainya kerana unsur salah guna kroni juga sudah berlaku sekarang.

"Saya mendapat maklumat tentang sebuah kolej swasta yang kini sedang 'memaksa dan menuntut' PTPTN membuat bayaran RM15 bilion untuk membiayai pelajar mereka mengikuti kursus jururawat yang dikenakan RM90,000 seorang untuk seluruh pengajiannya," beritahu Dr Dzulkefly.

Kolej swasta ini, katanya, menawarkan kursus jururawat dengan jaminan kononnya kerja terjamin.

Atas alasan itu, kolej-kolej ini mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajarnya dan yuran ini diperolehi dengan membuat pinjaman daripada PTPTN.

"Inilah bagaimana caranya kroni Umno ini memeras duit rakyat melalui PTPTN ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, kata Dr Dzulkefly, berlaku lambakan graduan kursus jururawat dalam pasaran kerana penawarannya sudah terlalu tinggi berbanding dengan keperluan negara.

"Sekarang kolej-kolej ini mula menuntut wang dari PTPTN untuk pelajar mereka. Pelajar yang keluar pula tidak ada pekerjaan, bagaimana mereka hendak bayar balik hutang ini.

"Hasilnya kerajaan yang terpaksa tanggung lalu membuat pinjaman dari institusi kewangan untuk mengisi tabung ini sebagaimana yang didedahkan Khairy (Jamaludin) dalam debat baru-baru ini," kata Dr Dzulkefly.

Khairy dalam Debat PTPTN baru-baru ini memberitahu, PTPTN membuat pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa bank untuk mengisi tabung PTPTN yang hampir kering itu.

Pelajar pula hanya perlu membayar balik pinjaman yang mereka buat, manakala bunga atau faedah bank itu ditanggung oleh kerajaan, kata Khairy.

Bagi Rafizi, kerangka tanggungan pendidikan melalui sistem PTPTN itu menyebabkan negara menanggung terlalu banyak hutang dan akan sampai masa kerajaan tidak mampu menampungnya lagi.

Sebelum masa itu sampai, beliau meminta PTPTN dikaji balik dan Pakatan Rakyat mencadangkan pendidikan percuma ditawarkan kepada rakyat negara ini.

Menurut Dr Dzulkefly, sekurang-kurangnya 19 negara di dunia memberi ‘pendidikan percuma’ dalam pelbagai pendekatan dan kaedah perlaksanaan di peringkat universiti.

Dari jumlah itu lapan negara yang tidak langsung mengenakan yuran universiti: Argentina, Brazil, Finland, Germany, Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.

"Rafizi Ramli jelas sandarkan hujjah beliau bahawa negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah antara negara terkaya di dunia diukur di segi ‘sumber per kapita’. Sudah tentu sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi," katanya.

Tegasnya, kata beliau, Rafizi berhujah bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.

Harakah Daily

Ibu, anak jadi tebusan 14 jam

4 Rejab 1433H. [MOD] -

LELAKI yang mengancam membunuh anak dan ibunya sendiri diberkas di Jalan Sui Ting, Sungai Teku, Sibu, semalam.
Polis tembak suspek tamat drama

SIBU: Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau menjadikan anak lelaki dan ibunya sendiri sebagai tebusan selama 14 jam sambil mengancam membunuh mereka dalam kejadian di Jalan Sui Ting, Sungai Teku di sini, semalam.

Kejadian mencemaskan itu bermula pada jam 7 malam kelmarin di rumah mereka dan hanya berakhir menjelang 9 pagi semalam selepas polis berjaya menembak suspek menggunakan pistol Taser.

Difahamkan suspek bertindak demikian selepas bertengkar dengan ibunya berusia 49 tahun, sebelum dia tiba-tiba mengambil sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 33 sentimeter dari dapur dan terus memegang anaknya berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata suspek tidak membenarkan anak dan ibunya keluar dari rumah sambil mengancam membunuh mereka jika melanggar arahannya.

“Wanita itu cuba mententeramkan anak lelakinya itu, namun gagal.
Bagaimanapun, adik perempuan kepada ibu suspek yang tinggal berhampiran, menyedari kejadian itu dan menghubungi polis jam 1 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Shafie berkata, polis tiba di tempat kejadian dan cuba mententeramkan suspek, namun turut menemui jalan buntu.

“Malah, suspek bertindak lebih agresif dengan meletakkan pisau di leher anaknya sambil menjerit-jerit menghalau polis. Usaha memujuknya berterusan sehingga jam 9 pagi tadi (semalam) sebelum dia ditahan selepas polis menembaknya di badan dengan pistol Taser.

“Lelaki itu diberikan rawatan oleh paramedik yang turut berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Pisau yang digunakannya dalam kejadian itu turut dirampas, manakala kedua-dua mangsa tidak cedera,” katanya.

Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek hari ini dan dia juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan air kencing berikutan polis turut menjumpai beberapa tiub straw dipercayai mengandungi syabu di rumahnya.

Shafie mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah termasuk pecah rumah, samun, gaduh, curi kereta dan rompakan dengan kali terakhir dia ditangkap pada Februari lalu.

utusan/-

Saintis Eropah minta bulu Bigfoot

4 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail 5 Jun, 2000 menunjukkan seorang sukarelawan Muzium Willow Creek, California memegang acuan kaki Bigfoot.

LONDON, Britain - Sekumpulan penyelidik Eropah merancang menggunakan teknologi baharu analisis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi merungkai kewujudan makhluk berbulu separa manusia, Bigfoot.

Projek tersebut diumumkan oleh pasukan saintis Universiti Oxford dan Muzium Zoologi Lausanne kelmarin.

Mereka merayu pihak muzium, saintis dan peminat Bigfoot di seluruh dunia agar berkongsi sampel bulu yang dipercayai berasal daripada makhluk misteri tersebut.

Teknologi baharu itu cuma memerlukan beberapa helai bulu dengan keputusan ujian dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu.

Jika sampel tersebut didapati berasal daripada spesies yang tidak diketahui, teknologi berkenaan dapat membantu saintis mengesan sama ada Bigfoot mirip kepada spesies lain termasuk manusia dan beruk.

Seorang penyelidik berkenaan daripada Universiti Oxford, Bryan Sykes berkata, mereka telah menerima beberapa tawaran sampel untuk diuji termasuk darah, bulu dan barangan yang dikunyah oleh Bigfoot.

Sykes dan saintis lain akan meneliti semua sampel yang mereka terima sebelum memilih spesimen yang akan diuji.

Mereka akan menyiarkan hasil kajian tersebut dalam sebuah jurnal saintifik. - Agensi

Panggilan korek mata

4 Rejab 1433H. [MOD] -

DI SINI...asrama tempat seorang penghuni wanita dikorek mata kanannya oleh seorang penghuni lain.

KUALA KUBU BARU: “Jeritan mangsa disedari kakitangan yang bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat mangsa berlumuran darah,” kata Pengetua Asrama Wanita Taman Sinar Harapan, Kuala Kubu Bharu, Saiful Nizam Mohd Nor, di sini.

Beliau menceritakan kejadian seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berusia 40-an meraung apabila mata kanannya dikorek seorang remaja berusia 19 tahun yang mempunyai masalah tekanan jiwa, Selasa lalu.

Menurutnya, lima kakitangan meleraikan genggaman remaja itu dan menyelamatkan mangsa.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk menerima rawatan segera sebelum dihantar ke Hospital Selayang dan menjalani pembedahan,” katanya.

Insiden ngeri itu menyebabkan mangsa berkemungkinan buta selepas biji mata kanannya hampir terkeluar akibat dikorek remaja terbabit menggunakan jarinya.

metro/-

Kem PLKN Tangkas Kendiri disita

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KEM PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar ditutup selepas dikenakan tindakan sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu. Gambar kecil, Abdul Hadi.

KUALA LUMPUR - Seramai 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindahkan ke kem lain berikutan notis sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pengusaha kem berkenaan diarah mengosongkan kem itu kerana gagal membayar hutang kepada sebuah syarikat pembekal.

"Syarikat itu meminta perintah mahkamah untuk menyita kem berkenaan berikutan pengusaha kem itu tidak dapat melunaskan hutang kepada syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis latihan koordinasi senaman tari sempena Himpunan Jutaan Belia di padang Zetro, Wangsa Maju di sini semalam.

Abdul Hadi menambah, kesemua pelatih akan dipindahkan ke kem yang paling hampir dengan kediaman masing-masing pada 28 Mei ini.

Beliau memberitahu, walaupun notis mahkamah itu diterima pada 22 Mei lalu, program di kem itu tidak terjejas kerana hanya peralatan dan kelengkapan kem yang disita.

kosmo/-

Papan iklan guna bahasa rojak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Senario papan iklan yang tidak mempamerkan bahasa Melayu dengan betul dan menggunakan bahasa rojak mencacatkan pemandangan di sekitar Bandar Peranginan, Port Dickson sekali gus merosakkan keindahanbahasa kebangsaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, pengiklan perlu peka dan mengutamakan bahasa Melayu dengan mempamerkan papan tanda mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“MPPD sentiasa memantau keadaan papan iklan yang mencampuradukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa asing. Walaupun penggunaan bahasa asing dibenarkan, tetapi ia perlu lebih kecil berbanding perkataan dalam bahasa Melayu.

"Kebanyakan yang tidak mematuhi peraturan itu adalah papan tanda perniagaan premis dibuat secara haram kerana setiap iklan perlu mendapat kelulusan MPPD dan bahasa digunakan juga dirujuk terlebih dahulu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan individu menaikkan iklan tanpa kebenaran MPPD selain penggunaan bahasa rojak pada papan perniagaan dan papan iklan mereka.

Abd Wahab berkata, MPPD turut akan mempertingkatkan usaha membanteras iklan dan papan tanda yang tidak mematuhi peraturan dengan mengenakan tindakan undang-undang serta menurunkan papan tanda tersebut.

“Ia adalah sebahagian usaha untuk menjulang usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Iklan untuk paparanrakyat negara ini sewajarnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ditambah lagi Port Dickson adalah kawasan tumpuan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini, belum ada manamana individu atau pemilik perniagaan yang dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan tertakluk di bawah undang-undang papan iklan.

“Namun perkara ini dipandang serius dan penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya.

sinar harian/-

Samseng: Umno makin takut hadapi PRU13

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan samseng termasuk penyokong Umno mengganggu program Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini memperlihatkan betapa tukutnya mereka berdepan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, Umno kini sedar bahawa rakyat kini semakin ramai menyokong Pakatan dan menolak Umno.

Ekoran itu katanya, tidak mustahil mereka sanggup menggupah samseng untuk mengganggu Pakatan Rakyat dari menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Bila kata demokrasi, hormatilah hak kumpulan lain nak bagi penerangan kepada rakyat.

"Tindakan ini tak hormat rakyat, tak nak rakyat pilih dengan bebas, tapi paksa rakyat pilih dia sahaja," katanya ketika dihubungi Harakahdaily

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas serangan balingan batu dan telur terhadap ceramah Pakatan Rakyat di Pantai Dalam malam tadi.
(Gambar: Seorang hadirin terkena lontaran batu pada majls malam tadi. Foto Khaulah)

Khalid turut hadir malam tadi dan membaca doa mengakhiri majlis.

Insiden berlaku kira-kira jam 11 malam tadi, ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap di satu majlis ceramah di Apartmen Pantai Permai.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan.

Ekoran insiden itu, seorang warga emas cedera di kepalanya manakala seorang kanak-kanak juga didakwa cedera di tangan dan dikhuatiri patah.

"Mereka sedar rakyat dah tolak, jadi mereka ugut dengan samseng.

"Tindakan ini hanya mengesahkan lagi tanggapan bahawa Umno ini merosakkan negara dan perlu ditukar," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Harakah Daily

Samseng lontar batu ke ceramah PR Lembah Pantai malam tadi

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Ceramah PR di perkarangan flat di Lembah Pantai di sini menjadi kecoh apabila beberapa individu membaling batu, telur dan botol air ke arah hadirin yang berkumpul untuk mendengar ucapan daripada pemimpin kanan parti itu.

Seorang penonton ceramah tersebut yang diadakan di dalam perkarangan flat Pantai Permai cedera selepas terkena batu yang dilemparkan daripada arah yang tidak diketahui.

(Kepalanya berdarah dilontar batu pemuda berbaju merah.)

Beberapa penonton lain terkena telur sejurus selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memulakan ucapannya pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Serangan telur tersebut bermula sejurus bekalan elektrik kepada pentas ceramah itu dipotong dan keadaan menjadi gelap.

Peralatan Krew TVSelangor yang berada dilokasi tersebut untuk tujuan siaran langsung juga terkena serpihan telur yang dilemparkan.

Suasana dikatakan tegang dari pukul 8 malam ekoran sebuah lagi ceramah Umno-BN yang telah diadakan berhampiran tapak ceramah PKR.

Wartawan TVSelangor berkata beberapa kumpulan mat rempit yang berkeliaran di jalan ke flat tersebut bertindak membunyikan enjin motosikal mereka dengan kuat untuk menganggu ucapan.

Setelah beberapa minit, bekalan elektrik ceramah itu dapat disambung semula.

Bagi menenangkan keadaan, Nurul Izzah di dalam ucapannya berkata provokasi tersebut diadakan kerana Umno-BN takut akan kehadiran Pakatan - Selangorku

Harakah Daily

Atuk kencing berdiri, maka cucu kencing berlari

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Dari Salim bin Abdullah r.a dari ayahnya, katanya:�Nabi s.a.w lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu pemalu. Maka sabda rasulullah s.a.w kepadanya:� Biarkanlah dia! Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.�

Harakah Daily

Ular sawa kuning jenis Anaconda lahir 30 anak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

MEMBIAK. Sebahagian daripada 30 ekor anak ular Anaconda Kuning yang lahir pada 3 dan 19 Mei lepas di Taman Ular Sawa di Kuala Pilah.

KUALA PILAH – Taman Ular Sawa Hutan Rekreasi Ulu Bendul dekat sini menerima ahli baharu apabila dua ekor ular sawa jenis Anaconda Kuning melahirkan sebanyak 30 ekor anak pada 3 dan 19 Mei lepas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, ibu pertama ular itu melahirkan tiga ekor anak manakala ibu kedua pula sebanyak 27 ekor.

“Ular spesies ini tidak menetaskan telur tetapi melahirkan anak. Anak-anak ular itu berukuran 30 sentimeter dan berat antara 200 hingga 300 gram.

“Kami mengasingkan anak-anak ular ini daripada ibunya dan dikuarantin selama enam bulan. Selepas itu, kami akan lihat perkembangannya sebelum ia dipamerkan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

kosmo/-

Ibu rayu Angah pulang

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – “Mak jangan susah hati.. Angah kat sini sihat.. Bulan empat nanti Angah balik..,” begitulah antara pesanan terakhir seorang gadis ketika dihubungi ibunya selepas tiga hari tidak pulang ke rumah.

Ibu gadis berkenaan, Rosmah Abdul Kadir, 49, berkata, bagaimanapun sehingga kini anak perempuannya, Siti Nur Shafiqah Abdul Ghani, 19, atau lebih mesra dipanggil Angah tidak juga pulang, malah gagal dihubungi.

Menurutnya, hanya air mata yang menemani setiap kali terpandang masakan kegemaran Angah iaitu asam pedas dan rojak kerana entah bila anak kesayangannya itu akan kembali.

“Angah memang rapat dengan saya kerana dia anak perempuan tunggal daripada empat beradik. Saya bimbangkan keselamatan dia, entah sihat ke tidak berjauhan kerana kami tidak pernah berpisah.

“Sebelum Angah menghilangkan diri, dia ada bertanya dengan saya boleh ke tidak sekiranya dia bekerja di luar daripada negeri ini dan pulang setahun sekali, tetapi saya tidak benarkan kerana dak sanggup berjauhan dengannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Megah Ria, di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Abdul Ghani Md Yasin, 44, berkata, Angah kali terakhir ditemui pada 19 Mac lepas ketika keluar ke tempat kerja di Taman Ungku Mohsin berpakaian baju kebaya hijau.

Menurutnya, gerak hatinya kuat mengatakan Angah mengikut teman lelakinya yang juga sudah beristeri dua dan berasal dari Sabah. Abdul Ghani berkata, lelaki yang dikenali sebagai Nazrul itu ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) memberitahu dia ada bersama Angah.

“Saya memang tahu Angah berkawan dengan lelaki ini, malah saya pernah memberitahunya supaya menceraikan isteri-isterinya sekiranya ingin berkahwin dengan anak saya.

“Pada mulanya dia memberitahu ada di Kuala Lumpur, tetapi pada 20 Mac selepas membuat semakan dengan syarikat penerbangan, saya mendapat maklumat mereka berdua telah ke Labuan dari KLIA,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anaknya termasuk membuat tiga laporan polis di balai polis Seri Alam dan menggunakan kaedah tradisional, namun masih belum berhasil.

“Saya harap kalau ada keluarga Nazrul yang mengetahui hal ini supaya pulangkan anak saya kerana kita boleh berbincang. Saya tidak menghalang sekiranya mereka ingin berkahwin, tetapi mesti cara yang betul.

“Saya juga merayu orang ramai yang mengenali anak saya atau terlihat dia (Angah) di mana-mana supaya segera menghubungi saya di talian 012-7905560 atau 019- 6105525 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian

Remaja maut digilis treler

4 Rejab 1433H. [MOD] -

TANJONG KARANG – Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah treler di KM63.5 Jalan Klang-Teluk Intan di hadapan Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Roslan Ismail berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa, Nurnawwarah Abd Wahab, 16, yang berasal Kampung Haji Razali menunggang motosikal seorang diri.

Menurutnya, mangsa dipercayai berhenti di tepi jalan di hadapan sekolah itu dan selepas bahagian depan lori treler terbabit melepasi motosikal, secara tiba-tiba mangsa keluar dari tepi jalan dan masuk ke laluan utama.

“Mangsa kemudiannya bergesel dengan treler terbabit sebelum terjatuh dan masuk ke laluan lori treler, kemudian digilis manakala motosikal menggelongsor ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Roslan berkata, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Merujuk kenyataan pemandu lori, dia terkejut apabila berasakan melanggar sesuatu apabila lori dipandunya tidak stabil sebelum berhenti 100 meter dari kejadian kemalangan.

“Motosikal mangsa hanya mengalami kerosakan kecil dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan individu yang terlihat kejadian terbabit diminta tampil untuk membantu melancarkan siasatan polis,” katanya.

Sinar Harian

Pengantin baru kesal tiada pertolongan ketika bergelut dengan peragut

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Hanya kerana pengawal keselamatan gagal bertindak, seorang eksekutif pengurus acara kerugian RM18,000 apabila rantai leher dan beg tangan dilarikan peragut.

Dalam kejadian petang 14 Mei lalu, mangsa K Sharala Thevi, 28, berkata, kejadian berlaku di pintu masuk kawasan kediamannya di Kondominium Kelana D’Putra, Kelana Jaya dekat sini.

“Saya berjalan kaki pulang dari bekerja, sebaik masuk di pintu masuk kondo, dua lelaki bertopi keledar tibatiba menerpa dari arah belakang menyebabkan saya terus menjerit dan cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika itu seorang pengawal keselamatan keluar dari pondok pengawal namun dia hanya melihat sahaja insiden itu berlaku.

“Saya kemudiannya terjatuh dan diheret sebelum kedua-dua peragut itu melarikan diri bersama dua lagi rakannya yang turut menunggang motosikal,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, semalam.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, mangsa membuat laporan di pejabat pengurusan kondominium itu namun jawapan yang diberikan mengecewakan.

“Saya diberitahu pengawal keselamatan tidak mahu membantu sebab takut suspek ada senjata dan kawasan parkir pelawat bukan di bawah pengurusan kondominium itu.

"Bagi saya ini tidak masuk akal dan saya akan memfailkan saman terhadap pengurusan kondo ini kerana cuai,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Menurutnya, paling dikesalkan rantai dilarikan adalah hadiah daripada suami sempena perkahwinannya.

Sinar Harian

Polis musnahkan set komputer

4 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sebanyak 3,767 unit komputer dianggarkan bernilai RM1.9 juta yang digunakan untuk kegiatan perjudian dimusnahkan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, mesin perjudian berkomputer terbabit merupakan barang rampasan hasil daripada 541 serbuan yang diadakan di sekitar Seremban sejak 2010 hingga Mac tahun ini.

“Dalam serbuan diadakan seramai 562 orang pengunjung termasuk penjaga premis telah ditahan terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk pelajar sekolah dan golongan warga emas.

“Daripada 541 kertas siasatan yang telah dibuka, sebanyak 111 kes telah dituduh dimana 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 81 kes lagi disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Negeri Sembilan),” katanya pada sidang media selepas beliau melakukan gimik memusnahkan barangan rampasan dengan menggunakan jengkaut di IPD Seremban, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

Osman berkata, polis dengan kerjasama beberapa agensi lain daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian daripada terus berleluasa di negeri ini.

Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan (Sains) turut membantu polis membuat pemotongan bekalan elektrik dan air terhadap premis yang didapati menjalankan kegiatan haram terbabit.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap pihak yang terlibat menjalankan kegiatan tersebut.

Sinar Harian

Duit kahwin adik kena kebas

4 Rejab 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang abang hanya mampu menepuk dahi apabila duit persiapan perkahwinan milik adiknya lesap dalam bas Rapid Penang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, daripada laporan yang dibuat beliau mendakwa wang berkenaan hilang setelah diambil oleh sekumpulan warga asing disyaki penyeluk saku dalam bas yang sama.

Menurutnya, pada mula sekumpulan lelaki itu mencurahkan air di tempat duduk mangsa dan menyuruh bertukar tempat duduk, tetapi mangsa enggan.

“Setelah turun dari bas mendapati semua wang dalam poket hilang, dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus.

“Kes ini disiasat atas kesalahan menyeluk saku mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Pencegahan Jenayah Walkabout High Profile Policing di Terminal Bas Komtar bersama kakitangan Rapid Penang.

Hadir sama, Ketua Komersial dan Komunikasi Rapid Penang, Melissa Sandhu dan Pengurus Komersial dan Komunikasi, Mohd Tajudin Mohd Kassim.

Terdahulu akhbar melaporkan seorang penumpang bas, Ronson Chew Boon Hock, 29, mendakwa wang dalam milikannya hilang setelah adanya penyeluk saku di dalam bas.

Dalam masa yang sama lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu juga mendakwa dirinya dikasari pencuri berkenaan.

Setelah membuat laporan polis, mangsa juga menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Koid Teng Hai bagi membuat kenyataan media berikutan mahu sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam bas Rapid Penang.

Kong Meng berkata, sehingga kini sudah terdapat enam laporan polis mengenai kes penyeluk saku dalam bas antaranya di Air Itam, Tanjung Tokong dan juga Pulau Tikus.

Menurutnya, pihak polis akan menugaskan anggotanya untuk menaiki bas bagi mencegah kejadian itu.

“Tidak kira jawatan apa sekalipun ataupun dari cawangan mana-mana, kita akan naik bas sekali sekala bersama penumpang lain,” katanya.

Bagi kes berkenaan, pihaknya masih menyiasat sama ada adakah ia kegiatan sindiket penyeluk saku dalam bas ataupun tidak.

“Kita masih siasat dan akan menyelesaikannya, kerana ia semakin popular,” katanya.

Sinar Harian

Pukul kepala guna tukul besi

4 Rejab 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT - Jeritan seorang anak berjaya menyelamatkan ibunya yang cedera parah pada bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul besi dalam cubaan samun sebuah kedai pakaian di Jalan Lintang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 7.40 petang dan mangsa, Faridah Pahim, 48, merupakan pemilik kedai pakaian itu.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa ditemani anaknya, Ilia Dalila Ismail, 22 di premis berkenaan dan telah dikunjungi sepasang kekasih (suspek) yang berpura-pura ingin membeli pakaian.

"Suspek merupakan lelaki berusia 38 tahun bersama pasangannya, seorang wanita berusia 40 tahun mengaburi mata mangsa dengan menyamar sebagai pelanggan.

"Selepas beberapa minit membelek pakaian, suspek lelaki telah bertindak ganas dengan memukul kepala mangsa dengan tukul besi dan mengugut mangsa untuk menyerahkan wang," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak sempat meneruskan niat mereka apabila jeritan mangsa didengari anaknya yang telah berlari keluar kedai untuk meminta pertolongan selepas melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

"Walaupun ketakutan dan panik, tindakan anak mangsa telah menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna putih tanpa sempat melarikan wang atau lain-lain barangan.

"Anak mangsa juga sempat mencatatkan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek yang dapat membantu penangkapan suspek, selain daripada maklumat dari orang awam," katanya.

Azman memaklumkan, kedua-dua suspek berjaya diberkas polis di sebuah restoran yang berjarak kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dalam kereta, polis turut menemui perkakas yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

"Siasatan mendapati suspek lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau termasuk rogol, samun, penyalahgunaan dadah, pukul dan empat kali dibuang daerah.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

"Suspek wanita pula berasal dari Kampung Simee, Ipoh, didapati bebas dari pengaruh dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan dan kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut atas kesalahan melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Sinar Harian

Dua pencuri besi kantoi

4 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDAR TEMERLOH – Peniaga di bandar ini melahirkan rasa bimbang dengan kegiatan curi penutup longkang yang semakin berleluasa.

Kejadian terbaru pada 22 Mei lalu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman, di mana lebih 20 besi penutup longkang dilaporkan hilang.

Seorang peniaga, Chong Chin Wah berkata, kejadian terbaru itu berlaku sekitar jam 8 hingga 9 malam ketika keadaan di belakang premis pernigaan di kawasan terbabit mulai lengang.

Menurutnya, ramai peniaga di situ tidak menyedari kegiatan jenayah itu berlaku berhampiran premis mereka sehinggalah diberitahu beberapa peniaga lain keesokan harinya.

“Saya tidak pasti mengenai kejadian itu, tetapi ada rakan saya menunjukkan rakaman CCTV. Ada dua individu yang terlibat dan mereka naik kereta Proton Wira.

“Seorang menunggu di dalam kereta sambil rakannya mencungkil besi penutup longkang di belakang premis terbabit,” katanya.

Chin Wah berkata, laporan polis sudah dibuat dan peniaga berharap mereka yang terlibat ditangkap segera kerana menyusahkan banyak pihak.

Katanya, sesetengah peniaga terpaksa menampal dengan simen setiap besi penutup longkang supaya lebih selamat.

“Besi penutup longkang yang dijual kepada pembeli besi buruk mempunyai nilai yang tinggi kerana kualiti dan berat barangan itu.

“Tidak hairanlah kenapa terlalu banyak kes kecurian berlaku dalam kawasan perumahan, taman rekreasi dan premis perniagaan kerana ia mampu memberi pendapatan lumayan kepada si pencuri,” katanya

Sinar Harian

Gempa kuat landa Greenland

4 Rejab 1433H. [MOD] -


PARIS: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 melanda Laut Greenland lewat malam tadi, bagaimanapun tiada laporan kerosakan atau amaran tsunami dikeluarkan, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu berlaku pada jam 10.47 malam (waktu tempatan) dengan kedalaman 11 kilometer, kira-kira 1079 kilometer di barat laut Murmansk, Russia. - AFP

'Undi wanita pengaruhi pemilihan presiden Amerika'

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Pengundi wanita merupakan antara faktor yang akan menentukan kejayaan calon dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 6 November ini, menurut seorang penulis politik Amerika Syarikat.

David Yepsen, yang juga pengarah Institut Dasar Awam Paul Simon di Universiti Carbondale, Southern Illinois, berkata faktor itu disebabkan 53 peratus pengundi Amerika Syarikat terdiri daripada golongan wanita.

Katanya berdasarkan kajian terkini, 60 peratus pengundi wanita telah menyatakan sokongan mereka terhadap Presiden Barack Obama dari Parti Demokratik.

"Ini merupakan cabaran kepada Mitt Romney dari parti Republikan untuk menyakinkan pengundi wanita untuk menyokong beliau," katanya dalam ceramah bertajuk 'Perjalanan ke White House: Calon dan Isu pada 2012' di ibunegara malam tadi.

Dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat ke-57, Obama akan bersaing untuk penggal kedua dan terakhir menentang Romney.

Mengenai pemberitaan dalam pemilihan itu, Yepsen berkata wartawan tidak harus melaporkan isu yang sama tetapi perlu turun padang dan mendapat pandangan rakyat serta harapan mereka terhadap calon pilihan masing-masing.

Maklumat seperti itu boleh membantu calon memenuhi keperluan rakyat, katanya sambil menambah: "Dapatkan suara pengundi dan elak mengikuti berita yang sama."

- Bernama

Meterai bukti kota Baitul Laham wujud

4 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR yang disiarkan dalam laman web Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin menunjukkan meterai kuno yang tertera nama Baitul Laham. - Agensi

BAITULMUQADDIS - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sebuah meterai (cop mohor) berusia 2,700 tahun yang tertera perkataan Baitul Laham dalam bahasa Ibrani, kata Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin.

Ia dipercayai bukti terawal kewujudan kota Baitul Laham seperti yang disebut dalam kitab Injil.

Penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa dilahirkan di kota Baitul Laham.

Diperbuat daripada tanah liat, meterai itu ditemui semasa kerja ekskavasi di Kota Nabi Daud, berhampiran Bandar Lama di sini.

Pengarah ekskavasi berkenaan, Eli Shukron berkata, artifak berdiameter 1.5 sentimeter itu dihasilkan antara 700 hingga 800 tahun Sebelum Masihi ketika raja-raja Yahudi memerintah kerajaan Judah atau 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. - Agensi

Kepala hancur, perut terburai akibat ditetak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - Seorang lelaki dibunuh kejam apabila kepalanya hampir hancur ditetak manakala perutnya terburai, dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Akob, Bukit Kapar, semalam.

Mayat mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui terbaring seorang pemilik ladang, kirakira jam 8.30 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis dari Balai Polis Kapar dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat daripada pemilik ladang berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat lebih lima kesan tetakan yang dalam di kepala mangsa. Perutnya juga terburai. “Senjata yang digunakan penjenayah tidak ditemui di lokasi kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh kurang 24 jam berdasarkan keadaan darah yang masih baru. Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa ditemui memakai baju hitam, seluar hijau dan berjaket coklat serta berkasut kanvas.

“Mangsa merupakan warga tempatan, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya.

Beliau berkata, polis menyiasat motif pembunuhan dan masih mengesan penjenayah yang terlibat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lapan beranak menempuh detik mencemaskan apabila diikat dan diugut dengan kayu yang dipenuhi paku serta paip besi oleh empat lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka dalam satu kejadian samun di Kampung Lapang Sira, Kuala Belara, Manir, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa, Zainabon Mat Diah, 54, sedang lena tidur bersama tiga anaknya di ruang tamu sebelum dikejutkan empat penyamun berkenaan dipercayai menceroboh masuk rumah terbabit melalui pintu belakang.

Menceritakan kejadian, ibu tunggal kepada lapan anak itu berkata, sejurus terkejut daripada tidur, dia ternampak empat lembaga hitam berdiri di hujung kepalanya sambil masing-masing memegang sebatang kayu dan sebatang paip besi.

“Salah seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan membuat bising dan akan mengeluarkan pisau jika saya melawan sebelum mengikat kedua belah tangan kami dengan menggunakan dawai pagar rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Zainabon yang juga seorang guru berkata, salah seorang suspek telah memaksa anak keenamnya, Mohd Syahrizul Chik, 24, untuk menunjukkan bilik yang masih dihuni oleh ahli keluarganya dengan keadaan kedua-dua belah tangan diikat di belakang.

"Kami takut, hanya ikut arahan"

“Disebabkan ketakutan, kamihanya mengikut sahaja arahan mereka dan anak saya terus membawa dua daripada suspek naik ke tingkat atas untuk mengejutkan empat lagi adik beradiknya yang tidur di dalam bilik.“Ketika itu, kami langsung tidak melawan, malah untuk bersuara pun kami tidak mampu kerana mereka sentiasa mengacukan senjata yang dipegang ke arah kami,” katanya.

Katanya, selepas mereka dikumpulkan di ruang tamu, keempat-empat suspek mula menggeledah rumah terbabit dan berjaya melarikan barangan kemas termasuk tiga utas gelang, seutas rantai, lapan keping jokong emas, wang tunai berjumlah RM3,500 dan lima telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM50,000.

“Semasa menggeledah beg tangan saya dan mengambil duit gaji yang baru dikeluarkan sebelum itu, salah seorang berkata yang mereka semua tidak makan seminggu disebabkan tiada duit. “Tiga daripada mereka menggunakan dialek Indonesia manakala seorang lagi saya tidak tahu kerana dia bercakap dialek campur-campur,” katanya.

"Anak minta longgarkan ikatan saya"

Zainabon berkata, setelah mendapat apa yang dikehendaki, salah seorang suspek memaksa kami menyerahkan dua kunci motosikal sebelum melarikan diri dengan motosikal berkenaan.

“Sejurus mereka beredar, saya berjaya membukakan ikatan kerana sebelum itu salah seorang daripada anak saya merayu agar melonggarkan ikatan di tangan saya kerana memberitahu saya sudah tua dan ada penyakit kencing manis.

“Walaupun kami tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kejadian ini masih menjadi ‘igauan ngeri’ buat kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian