22 May 2012

Amah hilang bersama berlian

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Seorang pekerja Azizah menunjukkan pintu yang digunakan Lis (gambar kecil) untuk melarikan diri semalam.

KELANA JAYA – Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad, 61, kerugian hampir RM50,000 apabila satu set barang kemas bertatah berlian milik anak perempuannya lesap bersama amah warga Indonesia semalam.

Amah yang dikenali sebagai Lis itu disedari hilang pada pukul 3 petang sejurus Azizah sampai di rumah teres dua tingkat miliknya di SS7/4 di sini bersama anaknya, Zalilawati Osman, 33.

Lis yang berusia 29 tahun berasal dari Surabaya.

Menceritakan kejadian itu, Azizah berkata, sebaik sampai di rumah, beliau mendapati amah yang baru 21 hari bekerja dengannya sudah tiada di rumah.

Kata wanita itu, khuatir dengan kehilangan tersebut, Zalilawati memeriksa biliknya di tingkat atas dan terkejut mendapati set barang kemas yang disimpan dalam laci hilang.

“Sejak bekerja, Lis tidak menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan malah dia cekap melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan mengemas.

“Semalam (kelmarin) Lis memberitahu dia rindu keluarganya di Surabaya dan hari ini (semalam) saya tidak sangka Lis melarikan diri bersama berlian anak saya,” kata Azizah ketika ditemui di rumahnya di sini.

kosmo/-

Isteri bekas tahanan ISA terima anugerah

1 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kesetiaan dan kesabaran Norlaila Othman menuntut pembebasan suaminya Mat Sah Mohd Satray yang pernah ditahan selama lapan tahun lalu di bawah akta zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendapat perhartian Amalnita.

Beliau yang diberikan Anugerah Isteri Setia merupakan seorang guru di sebuah sekolah swasta dan juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berjuang mencari jalan bagi membebaskan suaminya sejak 2002 hingga 2009.

(Gambar: Dr Halimah dan Husin bersama penerima anugerah daripada Amalnita.)

Norlaila berkata, walaupun suaminya dibebaskan namun dia akan terus bersama GMI untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang akta kejam tersebut.

“Saya tidak akan berhenti daripada terus menyebarkan maklumat mengenai kekejaman ISA ini,” katanya ketika ditemubual.

Anugerah itu merupakan penghargaan daripada Amalnita yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia (Amal) yang disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali bersama Presiden Amal, Husin Ismail pada Majlis Pelancaran Amalnita di Kompleks PKNS, di sini kelmarin.

Selain pelancaran Amalnita, majlis itu turut mengumpulkan sukarelawan untuk kerja-kerja kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan pada masa akan datang.

Selain Norlaila, warga emas Raden Siti Bahja Munir,73, turut menerima Anugerah Siti Khadijah di atas sumbangan selama 37 tahun meneruskan kerja dakwah dan kemasyarakatan.

Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan banyak menginfakkan harta untuk kerja-kerja amal sejak tahun 1975 sehingga kini.

Bagi Anugerah Ibu Berjasa, penerimanya adalah Siti Habsah Zakaria, 52, yang mengidap kanser payudara tahap ketiga.

Wanita gigih itu membesarkan empat orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia semasa anak-anaknya masih kecil.

Harakah Daily

Yusof gambarkan sistem perundangan bermasalah?

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan ada 'krisis besar' sedang melanda sistem perundangan negara ketika ini, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Beliau merujuk kepada tindakan bekas Peguamcara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dahulu merupakan pendakwaraya kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun hari ini tampil sebagai peguambela kepada ketua pembangkang itu dalam kes Bersih 3.0.

"Peguam ini dahulunya kuat membela kerajaan dan membuat pendakwaan kepada orang yang diingini didakwa oleh kerajaan.

"Tetapi hari ini orang yang sama tampil beri pembelaan kepada orang yang beliau buat pelbagai tuduhan dan dakwaan," katanya merujuk kepada kes liwat II Anwar Inrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini sejurus selesai memberi sokongan moral kepada trio PKR iaitu Anwar, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin yang didakwa di mahkamah hari ini berkaitan penyertaan dalam Bersih 3.0.

"Ini bermakna ada satu krisis sedang berlaku dalam sistem prundangan negara kita," kata Mahfuz lagi.

Banyak pihak melihat perkembangan yang berlaku itu 'positif' kepada pakatan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tidak kurang juga yang melihat seperti ada yang tidak kena dengan hubungan Yusof dengan bekas bosnya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sejak dia bersara Februari lalu.

Bagaimanapun, Yusof ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini berkata beliau tiada masalah peribadi Gani Patail dan beliau profesional sejak memilih bersara.

Harakah Daily

Anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan berumahtangga sentiasa mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga mereka.

Oleh itu, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT iaitu melakukan dengan tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

Ini bukanlah satu kisah yang dongeng tetapi ia merupakan satu kisah realiti yang mana dikatakan hampir setiap hari kes sebegini berlaku di negara kita malah ianya seperti kemuncak yang tiada pasang surutnya apabila setiap hari kes-kes seperti ini terpampang di dada akhbar mahupun televisyen.

Peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali pada zaman Jahiliah terdahulu yang mana mereka sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu. Jadi, tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dengan membuang, membunuh dan mendera bayi dengan niat jahat kerana perbuatan sebegini dilarang Allah. Persoalannya, mengapakah masalah seperti ini sering berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini?

Hal ini berpunca daripada kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan mereka, lantas memilih jalan terkutuk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagaimana yang kita tahu, urusan rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)

Selain itu, tidak terlepas dalam kalangan masyarakat kita ada yang mempercayai musibah atau bencana yang berlaku datangnya daripada sial, badi atau nasib malang contohnya, mengaitkan musibah yang berlaku seperti perniagaan merosot, bankrap atau ditimpa bencana daripada sial yang dibawa oleh anak.

Akibat terlalu taksub dengan kepercayaan seperti itu, mereka sanggup membunuh, mencederakan serta menyisihkan anak yang tidak berdosa itu. Mereka seperti ini ialah manusia yang tidak tahu untuk mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai itu. Sekiranya masyarakat Islam pada hari ini memahami dan berpegang teguh dengan konsep qada’ dan qadar Allah, pastinya mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh redha.

Setiap anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya bukan untuk dihina, dikeji dan diperlakukan tanpa belas kasihan dan berperikemanusiaan. Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut menjelaskan bahawa bayi yang dilahirkan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Jadi, salah sekali bagi mereka yang beranggapan dan berpendapat bahawa anak kecil yang baru dilahirkan, membawa sial atau malapetaka kepada keluarga.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir sekalipun anak itu adalah anak luar nikah. Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Oleh itu, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau menambahkan satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28) : “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar”.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kehadiran anak adalah adalah penawar kepada ibu bapanya terutamanya pabila usia emas kelak. Doa anak soleh juga penting kepada ibu bapa apabila meninggal dunia, agar dilepaskan daripada azab seksa neraka. Segalanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terhadap anak-anak termasuk didikan agama dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan Allah kepada mereka dengan sebaiknya. Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati amanah Allah itu. Mereka akan mendidik anak-anak mereka mengikut acuan dan panduan Islam supaya keislaman anaknya itu tidak dirosakkan.

Sebagai kesimpulan, sesungguhnya anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Mereka juga amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatannya di dunia mahupun akhirat. Oleh itu, jagalah anak selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, di samping sentiasa bersyukur dengan kehadiran anak didalam keluarga. Berilah perhatian agar mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara.

Penulis ialah pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi Tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Harakah Daily

Kakitangan bank bocor maklumat wajar disiasat

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara (BNM) digesa menyiasat tindakan seorang kakitangan bank yang didakwa membocorkan maklumat perbankan mengenai National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Yang Dipertua Persatuan Kemajuan Insan Malaysia, Omar Idris, berkata pihaknya membuat desakan itu kerana kemungkinan wujud unsur rasuah di sebalik tindakan berkenaan memandangkan kakitangan terbabit tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
“Kakitangan itu diberhentikan selepas siasatan dalaman bank mendapati dia membocorkan maklumat pelanggan. Kegiatan itu adalah satu kesalahan jenayah yang harus disiasat sehingga ke akar umbi.

Ini perkembangan yang amat merisaukan, bukan saja bagi pelanggan bank, malah juga pelabur asing. Jika tiada tindakan diambil ia boleh menjejaskan integriti industri perbankan negara. -

Omar Idris, Yang Dipertua Persatuan Kemajuan Insan Malaysia “Ini perkembangan yang amat merisaukan, bukan saja bagi pelanggan bank, malah juga pelabur asing. Jika tiada tindakan diambil ia boleh menjejaskan integriti industri perbankan negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Minggu lalu, Naib Presiden PKR, N Surendran menyeru pihak berkuasa menghentikan siasatan ke atas bekas kerani bank, Johari Mohamad yang didakwa membocorkan maklumat perbankan NFCorp.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, turut meminta BNM menyiasat motif dan insentif yang mendorong kakitangan bank itu sanggup mengambil risiko melakukan jenayah di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA)

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan peguam ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail untuk mengkaji pertuduhan ke atas anak guamnya yang didakwa menipu Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh di sini, semalam.

Sehubungan itu, Rozilah menetapkan sebutan kes pada 12 Jun depan, selain mengekalkan dengan tarikh terdahulu selama dua minggu bermula 16 Jun depan untuk perbicaraan.

Pada 30 Disember tahun lalu, Shamsubahrin, 46, didakwa menipu Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dengan menjanjikan perkhidmatan rundingan nasihat bertujuan memperdayakannya hingga mendorong Mohamad Salleh membayar wang perkhidmatan kepadanya.

berita harian/-

Algeria bina masjid ketiga terbesar di dunia

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Lakaran artis masjid ketiga terbesar di dunia yang akan dibina di Algiers, Algeria bernilai RM4 bilion. - AGENSI

ALGIERS 21 Mei - Kerajaan Algeria akan membina sebuah masjid besar di ibu negara Algeria ini, berharga satu bilion euro (RM4 bilion), yang bakal menjadi masjid ketiga terbesar di dunia.

Masjid yang mampu memuatkan 120,000 jemaah itu dianggap ketiga terbesar, selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah.

Projek yang dijangka siap pada 2015 itu dibina oleh Syarikat Kejuruteraan Pembinaan China.

Projek itu bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada 17,000 orang, kebanyakan mereka rakyat tempatan.

Menteri Hal Ehwal Agama Algeria, Bouabdallah Ghlamallah dan Duta China di negara ini, Liu Yuhe hadir bagi menyempurnakan upacara perletakan batu asas pembinaan projek tersebut, di sini semalam.

"Pembinaan bangunan ini (masjid) menjadi mercu tanda baru hubungan Sino-Algeria yang sudah lama terjalin," kata Ghlamallah merujuk kepada hubungan bersejarah antara kedua-dua negara.

Kompleks masjid tersebut mengandungi menara paling tinggi di benua Afrika, dengan ketinggian 270 meter atau bersamaan ketinggian Menara Eiffel di Paris.

Menara setinggi 25 tingkat itu dan dilengkapi lapan buah lif untuk membawa pengunjung ke tingkat paling atas, yang membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan Teluk Algiers.

Masjid itu turut dilengkapi sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan 2,000 kerusi, sebuah muzium kesenian dan sebuah pusat penyelidikan. - AFP

Saksi: Jika enggan Interpol boleh tangkap

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi akan disapina agar datang ke mahkamah Perancis untuk memberikan keterangan.

(Apakah Najib dan Zahid boleh tersenyum lagi di mahkamah Perancis nanti)

Peguam Suaram yang baru pulang dari Perancis Fadiah Nadwa Fikri berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada mahkamah Perancis tentang saksi-saksi yang akan dipanggil itu.

Turut disenaraikan sebagai saksi adalah bekas penasihat Najib, Abdul Razak Baginda dan isterinya Mazlinda.

Mahkamah Perancis sedang menyiasat dakwaan rasuah dalam pembelian dua kapal selam Scorpean yang dibuat oleh syarikat Perancis.

“Bila kami berjumpa dengan hakim pada 16 Mac lalu, kami telah serahkan senarai saksi yang perlu disapina agar datang ke mahkamah.

“Kami memberikan nama Najib Tun Razak, Zahid Hamidi and Razak Baginda,” kata Fadiah dengan mendapat tepukan gemuruh dari lebih 2,000 yang hadir dalam ceramahnya di Third Mile Bazaar, Kuching Ahad lepas lapor Free Malaysia Today.

Apabila kesnya difailkan di Perancis, Zahid berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh.

Namun, baru-baru ini selepas namanya disebutkan sebagai saksi, Zahid berkata beliau keberatan untuk pergi ke sana kerana tidak ada dana yang cukup untuknya.

"Siapa akan membayar kos penerbangan dan hotel saya di Perancis, " soal Zahid.

Fadiah dalam ceramahnya berkata, rakyat Malaysia sedia membayar kos penerbangan dan hotel Zahid di Perancis asalkan beliau sedia memberikan keterangan.

Menurut beliau, jika mereka enggan datang menjadi saksi selepas sapina dikeluarkan, mahkamah akan mengeluarkan notis sekali lagi.

Jika gagal hadir juga, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa mereka hadir.

"Dan jika mereka gagal lagi, Interpol (International Police) boleh mengeluarkan amaran dan boleh ditangkap dan dibawa ke mahkamah Perancis," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia mula memberikan respon ke atas laporan ini dengan berkata mereka sedia menyumbang untuk membolehkan mereka berdua (Najib dan Zahid) menjadi saksi.

"Saya akan menyumbangkan RM1.00 dari wang yang saya cari dengan susah payah untuk menampung kos mereka. Jika tak cukup, saya boleh tambah RM1.0 lagi," kata Cheong Seng Keong.

Namun katanya, "Saya tidak mahu menyumbang untuk kondom mereka."

Harakah Daily

Wibawa perjuangan Islam PAS cuba dirobek

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Tersasar sekali lagi ramalan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13.

Daripada bulan November 2011 (sebenarnya teka-teki itu bermula lebih awal lagi) kepada Mac 2012, seterusnya beralih Jun (lebih tepat 9 Jun), dan kini Dr Mahathir Mohamad menjangkakan selepas Aidilfitri pula (1 Syawal jatuh pada 19 Ogos), walaupun lebih ramai yang berhati-hati bahawa Parlimen boleh sahaja dibubarkan selepas Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, 2 Jun nanti.

Begitulah adatnya ... Perdana Menteri berkuasa mutlak mencadangkan kepada Agong tarikh yang difikirkannya paling sesuai. Dato' Seri Najib Razak sengaja membiarkan "permainan" ini berterusan, antara lain, untuk memerangkap Pakatan Rakyat, atau sekurang-kurangnya meletihkan saingan yang digeruninya itu.

Meskipun dibantu pelbagai agensi perisikan dan "badan penyelidikan", tidak semestinya PM mempunyai banyak kelebihan dengan tarikh yang bakal (atau terpaksa) dipilihnya. Realiti politik selepas tsunami politik tidak semudah dahulu untuk ditafsirkan, termasuk oleh "peramal profesional".

Semakin ramai pengundi dijangka membuat pilihan di saat-saat akhir. Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri terperangkap dengan keyakinannya sendiri ketika mengusulkan Parlimen dibubarkan pada Februari 2008. Malah, pada minggu pertama kempen, suasana agak suram, tiada petanda jelas BN bakal menghadapi kemerosotan ketara.

Najib juga tidak terkecuali daripada bakal mengulangi nasib malang Abdullah, mungkin lebih parah lagi. Apa yang "dibaca" mungkin jauh berbeda dengan keadaan sebenar akar umbi. Justeru, Najib belum "kejap hati" untuk memilih tarikh paling sesuai untuknya "turun bertarung".

Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sendiri sangsi BN boleh menang jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat, khususnya Jun ini, kerana "banyak isu masih belum selesai". Beliau juga tidak yakin Pakatan Rakyat dapat dikalahkan di Selangor memandangkan kebanyakan pemimpinnya tidak terlibat dengan isu gejala moral dan rasuah.

Dr Ling dilaporkan "memuji Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bebas daripada skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa".

Biarpun pelbagai bentuk "bantuan" 1Malaysia (ada menyifatkannya rasuah politik) yang dicurahkan kelihatan diterima rakyat dengan senang hati, tidak semestinya ia menggambarkan segalanya cerah buat Umno-BN.

Walaupun komplot jahat BN-SPR-Jabatan Pendaftaran Negara sudah terlaksana, melalui senarai daftar pemilih, tetapi ia tidak cukup kuat untuk meyakinkan Najib bahawa Pakatan bakal tumbang di negeri-negeri yang kini dikuasainya, terutama Selangor.

Pada satu sisi, Najib mesti memastikan tahap terbaik persiapan BN, terutama mengelak perpecahan ekoran kekecewaan mereka yang tidak terpilih sebagai calon (agak lama kita tidak mendengar istilah winnable candidate atau calon boleh menang) selain mengharapkan Pakatan dalam situasi paling lemah.

Ketika komitmen majoriti masyarakat Cina kepada Pakatan tidak menampakkan kemungkinan dapat dilunakkan, perhatian lebih tertumpu kepada gelagat undi orang Melayu, dan juga India. Rakan yang menemani saya ketika Bersih 3.0 turut merungut: "Kawan-kawan India nampak kurang hari ini?"

Kawan lama yang bergiat aktif dalam Umno pernah mengusulkan: 'Daripada BN membazirkan wang untuk menjinakkan hati pengundi Cina lebih baik peruntukan itu dialihkan kepada masyarakat India, terutama di estet-estet atau kawasan yang terpinggir."

Selain terus memanipulasi dakwaan "skandal seks" pemimpin KeADILan, dengan menukar akhbar-akhbar terutama dari kumpulan Utusan Melayu menjadi akhbar lucah, wibawa tokoh-tokoh PAS dan juga dasar perjuangan parti Islam itu sendiri cuba dilemahkan.

Mungkin tokoh-tokoh seperti Dr Hasan Ali dan Mufti Harussani Zakaria (di samping bekas pemimpin PAS yang sudahpun keluar parti) dapat membantu Umno menjayakan misi itu, sekurang-kurangnya menyuntik keraguan di kalangan masyarakat Islam terhadap PAS.

Ya, sasarannya tetap pengundi Melayu, bukan saja di luar bandar seperti dimaklumi, tetapi juga masyarakat Islam kelas menengah, yang mungkin boleh dikelirukan atas propaganda "demi agama dan bangsa". Saya harap aktivis PAS tidak memandang mudah sokongan yang diperolehinya pada 2008; ia boleh saja beralih arah jika "tidak dijaga" dengan baik.

Strategis Umno satu ketika -- entah kenapa -- nampak yakin dengan taktik untuk "memecah-belahkan dalaman PAS" dan cuba mengherat parti keluar daripada Pakatan. Tohmahan bahawa PAS sudah lari daripada pejuangan asal, seperti idea negara berkebajikan yang dilabelkan bercanggah dengan gagasan negara Islam, cuba diperbesarkan, namun jelas ia tidak berhasil.

PAS wajar melipatgandakan gerakerja penerangan, termasuk menjelaskan konsep Negara Berkebajikan (nampak agak terabai kempen penerangannya) dan merumuskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat, seperti tertera dalam Buku Jinga -- misalnya dalam membentuk good governance dan pemerintahan antirasuah -- dalam kerangka Islam.

Saya kira idea AJK Dr Dzulkefly Ahmad tentang perkara ini, wajar diberi perhatian. Dalam perbualan telefon dengannya baru-baru ini, beliau sempat mengaitkan beberapa peringatan dalam al-Quran, termasuk penekanan tentang aqidah, misalnya dalam surah Makkiyah, Al-Mutaffifin (orang yang curang), yang boleh dikaitkan dengan konsep good governance.

Apa pun, bagi saya, pertarungan PRU13 masih berkisar di antara dua seteru tradisi, PAS dan Umno -- satu usaha memenangi hati, minda, emosi dan jiwa orang Melayu -- yang menjadi penentu kemenangan kepada BN ataupun Pakatan Rakyat.

Harakah Daily

Yusof dan Fauzi: Masa Umno sudah tiba

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menjadi peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyertaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari ke dalam PAS menunjukkan masa Umno hancur sudah tiba.

Demikian kata anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menerusi twitternya hari ini.

Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempunyai pendapat yang sama.

"Tanda kehancuran Umno," katanya juga menerusi twitternya.

Datuk Yusof, bekas ketua pendakwaraya kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak hari ini apabila bertindak menjadi peguam kepada Anwar dalam kes Bersih 3.0.

Datuk Fauzi, bekas orang nombor tiga dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula pada Ahad lepas menyerahkan borang permohonan menyertai PAS.

Borang itu diserahkan sendiri oleh beliau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat.

Majlis penyerahan borang itu diadakan di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini, iaitu di kawasan kampung halaman Fauzi.

Harakah Daily

Halang atau galakkan niaga depan rumah Ambiga?

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak berkuasa menangani isu sekumpulan peniaga yang merancang berniaga di kawasan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga menimbulkan persoalan.

Khususnya, kenyataan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, yang tidak menghalang kumpulan berhimpun, dalam masa sama menghalang mereka membuka perniagaan.

"Tindakan atau respons pihak berkuasa, sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau polis menimbulkan persoalan. Adakah mereka ini menghalang? Adakah juga menggalakkan? Saya tidak faham," tegas salah seorang Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah (gambar), hari ini.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily, berkata pihak berkuasa sepatutnya bertindak lebih tegas dalam menangani isu ini, memandangkan perbuatan kumpulan itu bukan sahaja terhadap Ambiga, tetapi membabitkan kejiranan bekas Presiden Majlis Peguam itu.

Walaupun hari ini, polis dan DBKL bertindak menghantar beberapa anggotanya di laluan utama memasuki kawasan perumahan Ambiga, Maria beranggapan ia sudah 'terlambat'.

"Kita alu-alukan kawalan mereka, tetapi agak terlambat kerana sebelum ini sudah ada beberapa kumpulan yang bertindak dengan mendirikan gerai burger dan senaman punggung, tanpa sebarang tindakan," tegas beliau.

Sekumpulan 60 peniaga, diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, merancang untuk berniaga di kawasan kediaman Ambiga pada Khamis dan Jumaat ini, sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Mengulas lanjut tindakan mereka itu yang dikatakan untuk 'mencuci' Bersih 1, 2, dan 3, Maria berkata golongan terbabit tidak memahami isu yang dijunjung Bersih.

"Ia bukan soal Bersih 1,2, atau 3. Tetapi ia soal isu menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Sayangnya, mereka tidak faham isu tetapi bertindak di luar budaya Malaysia," tegas beliau.

Tanpa menafikan hak mereka untuk berhimpun, Maria bagaimanapun berkata cara mereka berhimpun di hadapan kediaman individu tertentu tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau meminta kumpulan tersebut menghentikan rancangan mereka untuk membuka perniagaan di kediaman peguam tersebut, Khamis dan Jumaat akan datang.

Harakah Daily

Kes Scorpene: Peguam Perancis pohon visa kerja

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Para peguam Perancis yang mewakili Suaram yang menyaman firma pertahanan DCNS atas dakwaan rasuah melibatkan pegawai-pegawai tinggi Malaysia, akan datang ke negara ini untuk memberi penerangan kepada pelanggan mereka mengenai kes tersebut.

Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel (kiri), sama ada Joseph
Brehem atau William Bourdon merancang datang minggu depan bagi membincangkan kes tersebut yang melibatkan pembelian dua kapal selam Scorpene oleh Malaysia bernilai RM7.3 bilion pada tahun 2002.

Kes kontroversi itu, yang didakwa melibatkan bayaran komisen berjumlah 114 juta euro (RM540 juta), telah didengar baru-baru ini dan diterima oleh hakim penyiasatan Roger Le Loire di Paris Tribunal Grande Instance.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung sama ada mereka dapat memasuki negara ini," kata Gabriel kepada Malaysiakini dalam satu wawancara melalui telefon.

"Lagipun, Bourdon telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dihantar pulang pada tengah malam tahun lalu selepas dia berucap di satu majlis tertutup makan malam di Pulau Pinang," kata Gabriel.

Jabatan Imigresen telah berkata Bourdon (kiri) - yang bertugas dengan Sherpa - sebuah badan guaman tanpa keuntungan di Paris - telah dihantar pulang pada bulan 22 Julai tahun lepas kerana melanggar syarat-syarat lawatannya ke Malaysia.

Kali ini, kata Gabriel, para peguam berkenaan memohon visa kerja untuk memasuki Malaysia walaupun syarat imigresen hanya memerlukan mereka mendapatkan pas lawatan sosial.

malaysiakinui/-

Ijtimak: Berpakaian hijau ke Kedah 1 Jun ini

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Semua ahli, pemimpin serta penyokong PAS diseru mengenakan pakaian hijau pada program Ijtimak Pilihanraya parti itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah 1 Jun ini.

Menurut Pengarah Program Datuk Mahfuz Omar, pakaian hijau itu sempena tema himpunan tersebut iaitu 'Himpunan Hijau ke Putrajaya'.

"Hijau itu lambang korporat PAS bukan bermakna kita bersendirian mahu ke Putrajaya, tetapi kita mahu PAS menjadi pendukung utama menggerakkan usaha Pakatan Rakyat menuju Putrajaya," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, himpunan tersebut adalah sebagai menggantikan Muktamar PAS yang ditangguhkan untuk persiapan menghadapi pilihan raya.

"Oleh kerana laporan kaji cuaca yang menujukkan pilihan raya tidak menentu tarikhnya, jadi kita bimbang berlaku pembubaran, kita tangguh muktamar dan gantikan dengan Himpunan Hijau," katanya lagi.

Menurutnya lagi, himpunan tersebut adalah bagi menggerakkan ahli, pimpinan, pendukung serta jentera PAS di semua peringkat bagi membuat persiapan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mereka mensasarkan 100,000 menyertai himpunan itu nanti yang dibahagikan kepada tiga peringkat bermula pagi hingga ke malam.

Sesi pagi akan dimulakan dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama Presiden di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut.

Sesi kedua akan bemula selepas solat Jumaat di di Stadium Darul Aman menghimpunkan anak seluruh anak muda dalam program yang dipanggil 'Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya'.

Program tersebut akan dimulakan dengan kuliah oleh pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus.

Selain kuliah, program akan turut di isi dengan persembahan sketsa oleh anak muda dan persembahan lain sehingga jam 6.45 petang.

Sesi malam pula akan bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah juga di stadium dan munajat perdana yang akan dipimpin oleh Tuan Guru Salleh Musa dari Pondok Sik sehingga Isyak.

Mengambil tempat selepas itu adalah program kemuncak iaitu ucapan dan amanat pimpinan utama PAS termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ustaz Azizan selaku tuan rumah, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut akan berucap malam itu adalah wakil bekas penjawat awam, wakil bekas tentera, wakil artis serta wakil selebriti tv yang kesemuanya telah menyertai PAS.

Program malam tersebut juga turut menampilkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang akan mendeklamasikan puisi khas beliau.

Sebelum ucapan pemimpin utama juga, semua pemimpin PAS akan berada di pentas bagi melafazkan ikrar komitmen bersama memenangkan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya yang akan diketuai bacaannya oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Harakah Daily

Ijtimak: Sentuhan terakhir sebelum PRU13

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 22 Mei: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) mengerahkan semua ahli PAS negeri beramai-ramai ke Munajat Perdana pada 1 Jun ini di Alor Setar, Kedah untuk mendapatkan sentuhan terakhir sebelum menempuh Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Perhimpunan itu katanya, amat penting kerana pemimpin utama akan memberikan tips bagaimana untuk berhadapan dengan serangan Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

"Semua ahli PAS Pulau Pinang wajib hadir ke Munajat Perdana di Stadium Darul Aman kerana di situ suntikan terakhir akan diberikan oleh kepimpinan tertinggi PAS.
“Kesannya semua ahli akan bekerja kuat selepas ini bagi memastikan sasaran kemenangan dicapai sehingga membolehkan pendakian ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat," jelasnya ketika dihubungi.

Di Pulau Pinang, ujarnya pertambahan kerusi PAS memang diperlukan untuk menguatkan kedudukan dalam kerajaan negeri maka satu lonjakan perjuangan dikehendaki terutama jentera di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang PAS tandingi.

"Kerjalah untuk menikmati perjuangan kerana kemenangan itu memberikan kekuatan semangat melumpuhkan Umno dan BN," jelasnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Harakah Daily

Berita gembira tiada muzakarah

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Berita yang amat mengembirakan bagi pendukung PAS dan rakyat prihatin ialah pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang bahawa tidak akan ada muzakarah dengan parti sekular Umno.

Berita ini diharapkan mengakhiri semua peluang parti tersebut untuk mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik BN, pada ketika Pakatan Rakyat, khususnya PAS, menerima lonjakan sokongan dari pelbagai kaum, terutamanya selepas Himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

Dalam satu siding akhbarnya kelmarin, Presiden PAS itu menegaskan bahawa PAS tidak akan bermuzakarah dengan Umno kerana persoalan itu tidak timbul.

Katanya, isu tersebut timbul apabila beliau sebelum ini ditanya pemberita pada 14 Mei lalu mengenai muzakarah dengan NGO dan bukannya Umno. Katanya, beliau bersedia untuk bermuzakarah atau berbincang dengan NGO tersebut yang mendakwa PAS menyeleweng daripada dasar Islam.

"(Jadi) tidak timbul (bermuzakarah) dengan Umno. Itu isu lama... Umno jadikan dia isu politik sebab dekat dengan pilihan raya. Ini agenda Umno," katanya dan menambah,
"Tidak ada muzakarah dengan Umno. Kita nak lawan dengan Umno."

Rakyat prihatin, khususnya pendukung PAS, sudah lama merasakan isu muzakarah ini adalah isu politik Umno untuk memerangkap PAS.

Apabila diwar-warkan isu ini berulang kali, terutama hampir pilihan raya, diharapkannya akan mengurangkan sokongan orang bukan Islam kepada PAS.

Mereka melontarkan rasa syak wasangka kalangan bukan Islam bahawa pada akhirnya, kononnya, PAS akan membina perpaduan dengan Umno.

Ini menyebabkan kalangan bukan Islam akan menarik balik sokongan kepada PAS, demikian jangkaan mereka.

Oleh itu, dengan pengumuman Presiden PAS itu akan menamatkan semua peluang musuh PAS untuk mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik mereka.

Hendaknya sesudah pengumuman ini tidak akan ada lagi timbul isu muzakarah dan perpaduan dengan Umno.

Boleh dijangkakan bahawa dengan pengumuman tiada muzakarah dengan Umno, musuh PAS dan mereka yang keliru serta berkepentingan akan segera mengatakan bahawa kononnya PAS tidak mahu perpaduan sesama Islam, bahawa ia lebih berminat berkawan dengan DAP dan seumpamanya.

Propaganda ini sudah lama ditaburkan oleh musuh PAS kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

Dalam masa yang sama mereka meniupkan semangat perkauman yang tajam untuk kepentingan politik mereka.

Oleh itu, pada pendapat saya, selepas berakhirnya isu muzakarah ini pendukung PAS akan merasa sangat lega dan tenteram justru isu muzakarah yang heboh selama ini sangat merunsingkan mereka.

Bukan kerana mereka menolak perpaduan sesama Islam, tetapi mereka merasakan isu ini hanya mainan politik musuh PAS untuk memerangkap PAS.

Pengumuman Datuk Seri Abd Hadi Awang ini sangat dialu-alukan, tepat pada masanya dan tentunya disambut baik oleh pendukung PAS.
Ini suatu langkah besar yang sangat bererti, menyerlahkan kepimpinan yang sangat berwibawa dan benar-benar memahami situasi politik masa kini.

Dalam masa yang sama mempertahankan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Sementara itu, PAS dan Pakatan Rakyat tentunya akan meneruskan kerja-kerja untuk menghadapi PRU Ke-13, sebuah pilihan raya yang dianggap sebagai ibu segala pilihiran raya di mana hingga kini masalah senarai pengundi kotor belum lagi dibersihkan.

Pada hal inilah isu utama yang menjadi tuntutan Bersih 3.0.

Dalam hal ini Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum Bersih 3.0 kerana ia telah merobah persepsi dan lanskap politik tanah air, menyebabkan pengkaji politik dan badan-badan penyelidik merobah sama sekali dapatan hasil kajian mereka sebelum Bersih 3.0.

Himpunan Bersih 3.0 adalah kebangkitan rakyat yang dilaksanakan secara aman – duduk dan bantah. Namun kesannya sengat besar sekali.

Walaupun media milik Umno/BN cuba memburuk-burukkan Himpunan Bersih 3.0 itu, namun kewujudan media baru – on line, wabe-site dan sebagainya – kesan himpunan tersebut telah tersebar luas keseluruh dunia.

Namun perjuangan membersihkan senarai pengundi ini mesti diteruskan walaupun begitu sukar. Gerak kerja yang berstrategi dan menepati sasaran sangat diperlukan.

Pada pendapat saya, sasaran utama gerak kerja penerangan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, perlu ditumpukan kepada pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.

Ini kerana pengundi ini menjadi sasaran utama musuh Pakatan Rakyat untuk mengelirukan mereka dengan pelbagai cara.

Sebab itu sangat perlu bagi anak muda yang sangat ramai jumlahnya yang menyertai Bersih 3.0 dulu itu tampil menerangkan kepada rakyat, khususnya di luar bandar, akan tujuan Bersih 3.0.

Mereka perlu diberitahu bahawa Bersih 3.0 itu ‘bersih’ dari unsur perkauman, justru pesertanya terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Lapan perkara yang dituntutnya kepada kerajaan, khususnya SPR, ialah hak mereka semata-mata - yang utamanya menuntut supaya senarai pengundi itu dibersihkan dari pelbagai unsut penipuan dan sebagainya.

Akhirnya, dengan berakhirnya episod ‘muzakarah PAS-Umno’ yang melemaskan itu, pendukung PAS boleh meneruskan kerja dengan lancar, penuh yakin dan dapat menumpukan perhatian kepada perjuangan mendapatkan kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti bersama Pakatan Rakyat.
---------------------------------------------------------

Penulis boleh dihubungi melalui email shukurharun@yahoo.com

Harakah Daily

Selamatkan Terengganu dari kontraktor kroni

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang dijangka menghubungkan negeri Terengganu dengan pantai Barat semenanjung kini menjadi isu besar yang amat membebankan seluruh rakyat negeri Terengganu.

Projek yang pada mulanya menelan kos RM3.7 billion ini masih tidak dapat digunakan sepenuhnya akibat berlakunya kelewatan yang ketara dari tarikh jangka siap iaitu pada akhir tahun 2010.

Pelbagai alasan telah dikemukakan oleh kerajaan negeri Terenggganu bagi memberi justifikasi kenapa berlakunya kelewatan dan kenaikan kos yang melambung dalam pembinaan lebuh raya ini.

Antara alasan yang dikemukakan adalah mendapan tanah, di samping kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.

Menteri Besar Terengganu Datuk Sri Ahmad Said pula kerap berulang-alik mengadakan lawatan kerja bagi meninjau projek LPT fasa 2 itu.

Dalam lawatan beliau baru-baru ini, Ahmad Said cuba meluahkan kekecewaannya dan kemarahannya terhadap Kementerian Kerja Raya kerana lewat membuka semula tender bagi menyiapkan membabitkan dua laluan yang masih terbengkalai.

Beliau berkata, kementerian sepatutnya membuka tender untuk melantik semula kontraktor yang lebih berwibawa bagi membolehkan dua pakej yang belum siap iaitu pakej 7 laluan Paka-Kemaman sejauh 13.7 kilometer dan pakej 4 laluan Stesen Mardi-Ibok sejauh 3.7 kilometer dilaksana secepat mungkin.

Kenapa Kementerian Kerjaraya yang mahu dipersalahkan dengan kelewatan LPT 2 ini? Apakah pegawai-pegawai yang terlibat di Kementerian Kerjaraya sahaja mahu 'dikambing-hitamkan’? Dan siapakah pula ’kontraktor yang berwibawa’ yang di maksudkan oleh Menteri Besar Terengganu itu?

Isunya bukannya Kementerian Kerjaraya dan pegawai-pegawai di Kementerian tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini tetapi isunya adalah ’kontraktor kroni’ yang diberikan habuan dan dianugerahkan kontrak pakej lebuhraya LPT 2 ini sendiri. Anugerah pakej kontrak ditentukan oleh 'tangan politik’ pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Pihak kerajaan juga terpaksa menanggung bebanan kerugian yang amat besar akibat angkara 'kontraktor kroni’ ini. Yang perlu didedahkan bukannya kelemahan dari pihak Kementerian Kerjaraya, tetapi siapa sebenarnya ’kontraktor kroni’ yang mengaut untung besar.

Di dalam sidang Dewan Undangan Negari baru-baru ini telah didedahkan sekurang-kurangnya ada 2 Adun dari Umno Terengganu terlibat secara langsung dalm projek LPT 2 ini.

Realitinya adalah dimana ada antara mereka yang dianugerahkan kontrak pakej LPT 2 ini sebenarnya bukan kontraktor, tetapi mereka hanyalah pemilik lesen yang berkepentingan dan rapat dengan pemimpin Umno.

Ada syarikat yang dianugerahkan kontrak adalah yang bertaraf ‘Kelas A+++ & Berwibawa’, tapi kerja-kerja mereka amat mengecewakan.

Mereka-mereka ini mendapat kontrak tetapi terus menyapu untung ‘atas angin’ dengan menjualkannya pula kepada orang tengah atau Broker dan selepas itu sering bertukar tangan dari satu Broker ke Broker yang lain.

Begitu juga dengan sikap ‘membela kroni’ dimana terdapat beberapa kontraktor yang sepatutnya disenarai hitamkan dari mendapat tender telah di’anugerahkan’ tender semula oleh pihak kerajaan.

Sebagai contohnya Pakej 8 LPT 2 yang bernilai RM80 juta, ia telah dianugerahkan kepada syarikat Arah Jitu sdn bhd. Kontrak syarikat ini telah dimansuh pada November 2009.

Namun kemudiannya ia telah ditender semula dan diberikan kembali kepada syarikat Arah Jitu dengan harga RM76 juta. Ia ternyata gagal namun ia tetap dianugerahkan semula kontrak tersebut.

Syarikat Arah Jitu sebagai kontraktor yang gagal untuk melaksanakan dua pakej; 8B dan 9B telah dipilih semula dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga asal.

Perlu dingat bahawa projek LPT 2 ini membabitkan kos asal iaitu RM3.7 bilion dan lebih 50 peratus dari kosnya adalah datang daripada ‘dana khas’ yang ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu sendiri.

Setiap kelewatan daripada jadual asal dijangka akan meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan sekitar 15 peratus setiap tahun.
Kini kelewatannya telah hampir 2 tahun dan kos pembinaan lebuhraya ini telah meningkat kepada hampir RM 5 bilion.

Ya, rakyat Terengganu masih lagi menunggu siapnya lebuhraya ini. Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti Hari Raya dan cuti sekolah.

Anak-anak perantau Terengganu dan keluarga mereka yang akan pulang ke kampong sudah pasti akan melalui lebuhraya ini. Mereka seboleh-bolehnya mahukan perjalanan yang selamat dan selesa.

Namun relitinya rakyat Terengganu bukan sahaja terpaksa menunggu siapnya lebuhraya ini tetapi juga terpaksa juga menanggung bebanan kos yang melambung tinggi ini.

Sementara itu ‘kontraktor kroni’ terus mengaut laba dan keuntungan yang berlipat ganda.

Tindakan ‘kontraktor kroni’ yang mengakibatkan kelewatan ketara projek LPT 2 ini adalah amat tidak bertanggungjawab.

Ia juga tidak selari dengan slogan kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato' Sri Ahmad Said “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”. Yang terpaksa menanggung bebanan adalah rakyat marhaen di bawah.

Inilah realiti apabila kita berhadapan dengan kepimpinan yang bersikap tidak jujur dan tidak bertanggung jawab. Tidak ada pilihan melainkan rakyat negeri ‘penyu bertelur’ ini melakukan perubahan yang besar dalam PRU ke 13 ini. Ya, selamatkan Terengganu kita ini dari ‘kontraktor kroni’ untuk kebaikan rakyat.
-------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burpk, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk

Harakah Daily

Bersih 3.0: Bekas pendakwa kini peguam Anwar

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pendakwaraya bagi kes liwat II, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden (gambar) kini menyertai pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Bersih 3.0.

Tindakan ini merupakan satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara kerana orang terbaik mereka selama ini menyertai pasukan pembangkang.

Anwar bersama dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan, di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Menurut Setiausaha Lajnah Guaman PAS, Abang Ahmad Kerdee, Datuk Yusuf dianggap sebagai ensiclopedia undang-undang bergerak (Moveable Legal Ensiclopedia) bagi ramai timbalan pendakwa raya dan peguam di negara ini.

"Beliau amat pakar di dalam undang-undang dan kes jenayah," katanya.

Pendiriannya pula ramai yang diketahui para perguam termasuklah:-

"Awak boleh beri arahan tapi bukan ajar/ beritahu saya apa saya mesti buat (dalam satu-satu kes)."

Beliau meletakkan jawatan selepas kes Liwat II selesai iaitu pada 1 Februari lalu.

Yusof ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini berkata beliau tiada masalah peribadi dengan Peguam Negara Abdul Gani Patail dan beliau profesional sejak memilih bersara.

Beliau mengulas tanda tanya sama ada tindakannya melibatkan perkara peribadi dengan Abdul Gani.

"Saya profesional, mereka telefon saya malam tadi dan saya lapang," katanya.

"Saya tidak ada sebarang penglibatan politik," kata Yusof, orang ketiga alam Pejabat Peguam Negara sebelum bersara pada 1 Februari.

Selepas dibacakan pertuduhan, Anwar memberitahu Hakim Mahmud Abdullah bahawa pertuduhan tersebut adalah satu lagi kempen "politik" terhadapnya, dan dia tidak mengaku bersalah."

Selain Mohd Yusof, Karpal Singh turut mewakili Anwar.

Hakim mengarahkan ikatjamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, Azmin yang diwakili oleh peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh, dan Badrul Hisham, yang diwakili oleh peguam Latheefa Koya, juga telah dikenakan ikatjamin RM500 jamin setiap.

Harakah Daily

Vandalism Menconteng Jalanraya - Tangkap dan Dakwa Mereka!

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Perbuatan tersebut jelas merupakan perbuatan vandalism yang tidak bertanggung jawab kerana telah merosakkan harta benda awam dengan cat kuning. Mereka yang melakukannya patut ditangkap dan didakwa.

Sepasukan krew pembersih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa bekerja lebih masa malam tadi apabila dikerahkan untuk membersihkan jalan berhadapan rumah Datuk Ambiga Sreenevasan, selepas sekumpulan peniaga kecil yang diketuai Datuk Jamal Md Yunus, menconteng dengan cat kuning. Sila lihat di sini

Kumpulan baru peniaga kecil ini tanpa mendapat kebenaran DBKL, telah membuat beberapa contengan tanda lot gerai malam di jalan tersebut dengan cat kuning.

Perbuatan tersebut jelas merupakan perbuatan vandalism yang tidak bertanggung jawab kerana telah merosakkan harta benda awam dengan cat kuning. Mereka yang melakukannya patut ditangkap dan didakwa.

Apakah DBKL sekadar mampu berkata, ”Orang tidak dibenarkan menconteng di atas jalan dan oleh itu mereka (DBKL) membersihkannya," katanya.

Apa yang jelasnya ialah, sekumpulan peniaga kecil tersebut yang diketuai oleh tuan punya restoran 'Ikan Bakar Sekincan’ Jamal itu telah melakukan satu kesalahan kerana jelas telah merosakan harta benda awam dengan sewenang-wenangnya dan perlu di hukum.

Merujuk kepada kes di sini, Jamal dan kumpulannya itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (2) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kita berharap pihak polis dan DBKL akan mengambil langkah yang sewajarnya supaya penularan perilaku biadab vandalism (merosakan harta benda awam) dapat dibendung.

Singapura bukan sahaja mengenakan hukuman penjara dan denda tetapi juga hukuman sebat di bawah Akta Prosedur jenayah dengan memperuntukkan tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi lapan sebatan bagi kes serius.

Manakala di Thailand pula, pernah berlaku dimana seorang pesalah dikenakan hukuman penjara selama 75 tahun kerana merosakkan poster sambutan pemerintahan beraja negara berkenaan.
Gambar - Kredit kepada Malaysiakini.

Harakah Daily

Empat pendaki maut di puncak Gunung Everest

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KATHMANDU 22 Mei - Seramai empat pendaki terdiri daripada warga Jerman, Korea Selatan, Kanada dan China ditemui maut pada puncak gunung tertinggi di dunia, Everest, lapor pegawai kerajaan semalam.

Menurut agensi ekspedisi Ang Tshering Sherpa, pendaki Jerman, Eberhard Schaaf, 61, dan pendaki Korea Selatan, Song Won-bin, 44, ditemui maut kelmarin pada kedudukan selatan di puncak gunung terbabit.

Pendaki wanita Kanada yang dikenali sebagai Shriya Shah, 33 pula ditemui maut berhampiran puncak gunung manakala pendaki China, Ha Wenyi, 55, terbunuh pada ketinggian 8,600 meter.

Punca kematian dipercayai akibat tekanan altitud. - AFP

Rakyat Korea Utara diancam kebuluran

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Aktivis anti-Korea Utara melepaskan belon-belon yang membawa cokelat dan risalah membantah rancangan Pyongyang mahu melancarkan roket jarak jauh di Ganghwa, kawasan pantai bersempadan di barat Seoul pada 24 April lalu. - AFP
SEOUL 21 Mei - Masalah kekurangan bekalan makanan di Korea Utara dilaporkan semakin buruk di Korea Utara termasuk di kawasan jelapang padi di barat daya negara itu, hingga beberapa orang penduduk dilaporkan mati akibat kebuluran.

Akhbar dalam talian yang berpangkalan di sini hari ini melaporkan, enam orang 'sama ada kanak-kanak atau orang dewasa' mati di sebuah kampung sahaja di Shingye selepas pihak berkuasa memberikan bantuan kecemasan hanya satu atau dua kilogram jagung kepada setiap isi rumah.

Akhbar itu memetik sumber lain sebagai berkata, kira-kira 10 orang mati akibat kebuluran di setiap ladang bercantum di Haeju atau sekitar bandar di tepi pantai itu pada April lalu, berikutan kekurangan makanan semasa musim sejuk.

''Oleh kerana kekurangan makanan yang semakin buruk tahun ini, terdapat laporan penduduk mati kelaparan termasuk di selatan dan timur wilayah Hwanghae,'' kata wartawan akhbar harian Daily NK kepada AFP, merujuk kepada kawasan jelapang padi utama Korea Utara.

Seorang sumber lain memberitahu akhbar itu, kira-kira 10 orang mati kerana kebuluran di setiap ladang dan sekitar bandar pantai, Haeju pada April kerana kekurangan makanan akibat musim sejuk.

Sebuah kumpulan bantuan berpangkalan di Seoul, Good Friends berkata di laman webnya, kebuluran terus meragut nyawa penduduk di Selatan Hwanghae, manakala di kilang Hwanghae Steelworks, beberapa pekerja mati kerana bekalan makanan dihentikan.

Bagaimanapun, Kementerian Penyatuan yang mengendalikan hal-ehwal merentas sempadan berkata, mereka tidak mempunyai maklumat itu.

Daily NK melaporkan kawasan Utara dan Selatan Hwanghae menyaksikan pengeluaran beras jatuh pada tahun lalu ekoran banjir atau kebanyakan tuaian pada musim luruh diberikan kepada askar atau rakyat di Pyongyang.

Keadaan itu bertambah buruk dengan sekatan ke atas perdagangan pasaran dan perjalanan dalam tempoh 100 hari berkabung semasa kematian pemimpin Kim Jong-il pada 17 Disember lalu.

Di kawasan sempadan dengan Korea Selatan, tentera negara itu digerakkan untuk bercucuk tanam kerana ramai perani asal meninggalkan tempat itu bagi mencari bantuan daripada saudara mara di kawasan lain.

Kekurangan makanan di Korea Utara berterusan apabila Amerika Syarikat bertindak menangguhkan penghantaran sebanyak 240,000 tan makanan ekoran tindakan negara itu melancarkan roket jarak jauh pada 13 April lalu. - AFP

Abramovich mahu empat kejuaraan

1 Rejab 1433H. [MOD] -

ROMAN Abramovich mahu empat kejuaraan Liga Juara-Juara!

Jutawan Russia itu memberitahu pemainnya, kejayaan di Allianz Arena Ahad lalu hanyalah permulaan kepada penguasaan kelab itu diperingkat Eropah.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck berkata, Abramovich mahukan pemainnya menyamai rekod Bayern Munich, Barcelona dan Ajax yang menjuarai trofi berkenaan sebanyak empat kali.

“Roman mahu kejayaan di peringkat Eropah diteruskan. Jadi, dia mahu melihat pemain mengekalkan trofi itu di Stamford Bridge, musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan setiap pemain The Blues menerima bonus berjumlah £300,000 (RM1.49 juta) di atas kejayaan sulung meraih trofi Liga Juara-Juara.

Ahad lalu, Chelsea di bawah kendalian pengu­rus sementara, Roberto Di Matteo mengalahkan Bayern Munich 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Sinar Harian

96 maut serangan di Sanaa

1 Rejab 1433H. [MOD] -

IMEJ yang dirakamkan menerusi video menunjukkan sejumlah askar mengerumuni lokasi serangan pengebom berani mati di Sanaa semalam.

SANAA - Kementerian Pertahanan Yemen menyatakan angka kematian akibat satu serangan pengebom berani mati semasa anggota-anggota tentera melakukan latihan perarakan di sini meningkat kepada 96 orang dan 200 lagi cedera semalam.

Beberapa pegawai tentera menyatakan, serangan yang berlaku dekat kediaman Presiden merupakan yang terburuk di ibu kota Yemen itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurut mereka, penyerang itu merupakan seorang askar yang mengambil bahagian dalam satu latihan.

Penyerang itu berbaris bersama askar-askar lain di sebuah dataran di sini.

Seorang pegawai tentera berkata, penyerang tersebut membalut tubuhnya dengan bahan letupan.

Kejadian serangan berani mati itu berlaku selepas Presiden Abdrabuh Mansur Hadi berjanji menghapuskan militan Al-Qaeda.

Semua mangsa yang terbunuh dan yang dirawat di tujuh buah hospital di Sanaa merupakan anggota tentera.

Menurut beberapa saksi, letupan kuat kedengaran membuatkan penduduk menjadi cemas.

Pengebom berani mati yang tidak dikenali itu dilaporkan merupakan seorang askar yang diarahkan oleh anak saudara bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh untuk melakukan serangan itu, menurut laporan rasmi tentera.

Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed turut berada di tempat kejadian tetapi sempat menyelamatkan diri.

Menurut seorang koresponden agensi berita AFP, berpuluh-puluh ambulans bergegas untuk memindahkan mangsa yang mati dan cedera.

Cebisan daging manusia bertaburan di tempat kejadian. - Agensi

Hoki: Pasukan baru janji tampil kelainan

1 Rejab 1433H. [MOD] -

ENGGAN tertekan dengan tanggapan segelintir pihak mengenai prestasi skuad hoki kebangsaan yang gagal layak ke Olimpik London, pasukan kendalian Tan Beng Hai tetap optimis terutamanya penubuhan pasukan baru berdepan saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), bermula Khamis ini.

Realistik dengan pasukan yang bertanding, Beng Hai menyifatkan gandingan pemain baru dan lama mampu menampilkan mutu permainan dan persembahan berbeza untuk saingan edisi ke-12 ini.

“Memang jika dibandingkan dengan pasukan lain, kami bukan skuad pilihan. Tetapi tidak mustahil untuk menang jika semua pemain bersungguh-sungguh bagi mencipta kemenangan.

“Kita sudah melakukan persediaan sebaik mungkin dan saya harap mereka gunakan medan ini untuk mengubat kekecewaan di kelayakan Olimpik di Dublin, Mac lalu,” katanya yang mengakui pemilihan pemain turut dinilai berdasarkan pres­tasi pada perlawanan persahabatan dengan New Zealand, kelmarin.

Difahamkan lapan pemain remaja dipanggil menyertai kem latihan skuad senior termasuklah adik beradik, Faizal dan Fitri Saari, Firhan Ashaari, Mohd Faiz Helmi, Nor Izzat Sumantri, Mohamed Ramadhan Rosli, Noor Faeez Ibrahim serta Amir Farid.

“Namun bukan semua akan mengisi senarai utama pemain, kerana kita masih perlu melihat kekosongan dan kesihatan pemain senior terlebih dahulu,” katanya.

Sinar Harian

101 maut serangan bom di Yaman

1 Rejab 1433H. [MOD] -

ANGGOTA polis forensik mengutip cebisan mayat dalam serangan bom yang mengorbankan 101 mangsa di Sanaa, semalam.

Letupan ketika latihan perarakan tentera diketuai anak saudara bekas presiden

SANAA: Seorang anggota tentera Yaman yang lengkap memakai pakaian seragam meletupkan bom pada tubuhnya ketika satu latihan perarakan tentera di ibu kota negara itu semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 101 askar dan mencederakan 300 lagi, kata pegawai tentera dan pasukan perubatan.

Serangan bunuh diri itu adalah yang terburuk di Sanaa sejak Presidan Abdrabuh Mansur Hadi yang baru dilantik berjanji akan mengusir militan al-Qaeda dari wilayah selatan dan timur Yaman.

Pengebom tidak dikenali itu meletupkan bahan letupan ketika anggota tentera yang dipimpin anak saudara bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, berlatih untuk perarakan tentera sempena sambutan ulang tahun ke-22 penyatuan Yaman utara dan selatan, kata pegawai. “Sekurang-kurangnya 101 maut dan angka kematian mungkin meningkat,” kata pegawai yang enggan dikenali sambil menambah semua mangsa adalah anggota tentera.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab berikutan letupan itu yang menurut saksi kedengaran di seluruh bandar raya, menyebabkan penduduk panik.

Pengebom tidak dikenali itu meletupkan bahan letupan ketika anggota tentera yang dipimpin anak saudara bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, berlatih untuk perarakan tentera sempena sambutan ulang tahun ke-22 penyatuan Yaman utara dan selatan, kata pegawai.

Pegawai polis Yaman, Kolonel Abdul Hamid Bajjash, yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di kawasan letupan itu berkata, serangan menunjukkan ia mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Menteri Pertahanan Yaman, Mohammed Nasser Ahmed, berada di tempat kejadian tetapi tidak mengalami kecederaan. Saksi berkata, mayat berselerak di tempat letupan di Dataran Sabeen di Sanaa, lokasi kerajaan kerap mengadakan perarakan tentera besar-besaran.

Seorang wartawan AFP berkata, berpuluh-puluh ambulans dikejarkan ke tempat kejadian untuk memindahkan mayat dan mangsa yang cedera, ketika pasukan keselamatan mengepung kawasan itu.

Serangan semalam adalah yang terburuk di Sanaa sejak Hadi mengambil alih kuasa pada Februari lalu dengan janji memerangi kehadiran al-Qaeda.

Hadi, yang dipilih dalam pilihan raya calon tunggal seperti ditetapkan oleh perjanjian peralihan kuasa ditaja negara Teluk yang memaksa pengunduran Saleh, dijangka memberikan ucapan pada majli yang dijadualkan hari ini.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada perarakan itu akan diadakan seperti dirancang.

Pengeboman bunuh diri itu berlaku 10 hari sejak serangan besar-besaran tentera menentang al-Qaeda di Abyan di selatan Yaman, yang menyaksikan pergerakan itu menawan beberapa bandar dan pekan dalam serangan sejak Mei tahun lalu.

Sejak serangan bermula, 213 orang maut, menurut kiraan AFP, termasuk 147 pejuang al-Qaeda, 31 anggota tentera, 18 anggota militia tempatan dan 17 penduduk awam.

Serangan dilancarkan beberapa hari selepas Rumah Putih mengumumkan rancangan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) meletupkan pesawat Amerika Syarikat berjaya digagalkan. – AFP/Agensi

Harimau Muda bertapa di Eropah

1 Rejab 1433H. [MOD] -

JURULATIH pasukan Bawah 22 Tahun, Ong Kim Swee memandang serius empat siri aksi persahabatan di Hungary dan Slovakia yang bermula 23 Mei hingga 5 Jun depan.

Menurutnya, percutian mereka ke Eropah bukan sekadar makan angin semata-mata, tetapi menjadi medan ujian memantapkan pasukan khususnya menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-22 bermula pertengahan bulan depan.

“Harus diingatkan bahawa kita ba­kal bermain empat perlawanan yang begitu sukar. Tetapi, saya berharap pemain dapat beraksi dengan baik walaupun turun tanpa khidmat Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal yang bersama skuad kebangsaan.

“Saya percaya pemain mampu menggunakan kesempatan sebaik mungkin kerana kita bakal berdepan lawan hebat dalam kumpulan G nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di Slovakia semalam.

Jelas Kim Swee lagi, mereka berkemungkinan turun tanpa kapten berpe­ngaruh, Irfan Fazail kerana demam dan pengendali dari Melaka itu tidak menolak menggunakan pemain yang jarang diberi peluang bermain sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai peluang Nazmi Faiz Mansor yang baru selesai menjalani latihan pemilihan di kelab Divisyen 1 Liga Portugal, SC Beira-Mar, Kim Swee enggan mengulas lanjut.

“Nazmi terus tiba ke Hungary dari Portugal. Saya belum bertemu dengan dia lagi untuk mengetahui status terkini sama ada dia layak atau pun tidak.

“Tetapi, pada saya Nazmi cukup berpotensi beraksi ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang akan bertemu ejen pemain Harimau Muda A sejurus tiba di Budapest, hari ini.

Anak buah Kim Swee akan menentang Ferencvaros pada 23 Mei, satu lagi kelab Hungary pada 26 atau 27 Mei dan Honved pada 29 Mei sebelum berdepan kelab Slovakia FK Dukla di Banska Bqstrica pada 5 Jun.

Sinar Harian

Rampas dadah hampir RM1j

1 Rejab 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM800,000 dalam satu serbuan dilakukan pada jam 3.30 petang kelmarin di sebuah rumah di Jalan Semantan Indah 2, Taman Semantan Indah, Mentakab.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, dalam serbuan hasil maklumat awam itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan menjumpai beg hitam di atas lantai dalam sebuah bilik.

Menurutnya, setelah pemeriksaan rapi, polis menjumpai satu paket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.78 gram serta paket plastik ketulan daun kering disyaki ganja seberat 0.68 gram.

“Semua dadah dianggarkan bernilai RM800,000. Polis turut menjumpai sepucuk pistol automatik tiruan bersama dua bungkusan peluru besi tiruan,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohd Nor berkata, polis turut merampas satu botol kaca diubah suai sebagai alat menghisap dadah dan RM2,560 yang disyaki hasil jualan dadah.

Menurutnya, ujian saringan awal ke atas lelaki yang beralamat di Jementeh, Johor itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis menahan lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata,” katanya.

Sinar Harian

Penyu tagih magis Butler

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGALAMAN mengendalikan pasukan Kelantan pada 2009 dan 2012 dilihat sebagai kelebihan buat jurulatih baru Terengganu, Peter James Butler membantu Skuad Penyu dalam kunjungan mereka ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi pusingan kedua Piala AFC esok.

Mengharapkan magis Butler melakukan perubahan terutama bagi melonjakkan prestasi pasukan, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletakkan sepenuh kepercayaan buat pengganti Mat Zan Mat Aris itu untuk membawa Skuad Peteh ke peringkat separuh ­­akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Meskipun masih terlalu awal untuk menilai corak latihan serta keserasian beliau (Butler) bersama pasukan memandangkan esok adalah perlawanan kedua buatnya selepas sah sebagai jurulatih Terengganu 14 Mei lalu, saya tetap yakin beliau mampu mengembalikan semula rentak kecemerlangan pasukan untuk mendapatkan kejayaan,” katanya, semalam.

Tidak mahu menjadikan pertemuan esok sebagai gelanggang membalas dendam ekoran terlepas peluang mara ke pusingan akhir Piala FA, Che Mat sebaliknya bersikap realistik dan mahu melupakan episod duka skuad Peteh dengan membuka lembaran baru bagi meneruskan saingan sama ada bagi Liga Super mahupun Piala AFC.

Menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengendalikan pasukan kepada Butler, Che Mat berharap pasukan Terengganu mampu bangkit meskipun terpaksa beraksi tanpa tonggak utama termasuk penyerang berbisa, Abdul Manaf Mamat yang masih lagi belum sembuh daripada kecederaan.

Sinar Harian

Pemain N9 dapat pendedahan berguna

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGENDALI Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah memuji aksi pemainnya walaupun tewas di ta­ngan pasukan tuan rumah, Persebaya FC, 4-1 di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya,Jawa Timur kelmarin.

Berdepan juara Liga Premier Indonesia, beliau menyifatkan perlawanan tersebut sebagai pendedahan berharga buat pemainnya untuk menghadapi baki saingan Liga Super akan datang.

“Pemain telah menunjukkan kesungguhan, terutama pemain simpanan yang jarang diturunkan sebelum ini.

“Matlamat kami di sana bukan sekadar keputusan perlawanan, tetapi kita mahu eratkan silaturahim antara dua pasukan di bawah satu rumpun walaupun berlainan negara,” katanya.

Dalam aksi timbal balik kelmarin, gol tunggal skuad Hoben Jang Hoben dijaringkan Rashid Mahmud manakala Persebaya melengkapkan kemenangan menerusi empat gol yang diledakkan penyerang importnya, Fernando Soler.

Sinar Harian

Jus bernilai RM80,000 dirampas

1 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Dungun menyerbu sebuah premis perniagaan dekat sini kerana disyaki menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.

Ketua Cawangan KPDNKK Dungun, Ahmad Mahmood berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang oleh sekumpulan pegawai KPDNKK itu dilakukan pihaknya berikutan satu aduan mengatakan premis berkenaan menjadi pusat aktiviti perniagaan jualan langsung satu produk kesihatan tanpa menggunakan lesen jualan langsung yang sah.

Ahmad berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 80 kotak berisi beberapa botol produk kesihatan ‘jus delima’ yang dikatakan menjadi produk utama aktiviti terbabit.

“Kita terpaksa merampas semua produk tersebut untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai hampir RM80,000 pada harga pasa-ran,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi terbabit dekat sini.

Menurut Ahmad, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung 1993, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Pondok dalam kebun jadi port jual dadah

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Seorang lelaki berumur 42 tahun dari Kampung Kuala Menjing menjadikan pondok dalam kebun getah sebagai ‘port’ urus niaga pengedaran dadah.

Bagaimanapun, kegiatan itu mengundang padah apabila dia ditangkap polis ketika leka menunggu pelanggan dalam serbuan Ops Tapis Narkotik jam 5.30 pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketika serbuan, suspek yang dikenali dengan panggilan Apin itu bersendirian di kebun getah milik keluarga lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek berjaya menemui satu bungkusan plastik berwarna hijau cerah dalam poket sebelah kanan seluar mengandungi tujuh tiub straw panjang diikat dengan gelang getah biru.

“Setiap satu straw panjang tersebut berisi 10 biji pil merah disyaki dadah jenis pil kuda,” katanya di IPD Hulu Terengganu, semalam.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati dalam bungkusan plastik tersebut turut terdapat satu bungkusan plastik lut sinar berisi 27 tiub straw pendek yang setiap satunya berisi satu biji pil warna merah juga disyaki dadah.

“Jumlah keseluruhan pil berwarna merah yang ditemui adalah 97 biji dengan angga-ran nilai berjumlah hampir RM3,000.

“Kesemua barang kes dirampas dan suspek juga akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek yang masih bujang dan bekerja sendiri itu juga positif dadah.

Dia dipercayai mulai terlibat dengan kegiatan pe-ngedaran dadah kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Rosli berkata, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak kurang dua tahun penjara tetapi tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan tiga hingga sembilan kali.

Sinar Harian

Tangisan sesalan tiada makna

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana permintaannya untuk mendapatkan wang RM10 tidak dilayan, seorang anak tergamak membakar kediaman keluarganya sehingga tinggal sehelai sepinggang dalam satu kejadian 14 Mei lalu, di Kampung Gong Kijang, di sini.

Akibatnya, Wan Nor Affendi Wan Mohammad, 22, dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan selepas Wan Nor Affendi mengaku bersalah melakukan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mengaku dengan sengaja membakar rumah milik ayahnya Wan Mohammad Wan Sulaiman, 46, di sebuah rumah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, kira-kira jam 3 petang, 14 Mei lalu.

Terdahulu, Wan Nor Affendi dalam rayuannya dengan nada sebak memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya atas alasan sudah menyesali perbuatannya itu, selain mendakwa perlu menjaga datuknya yang sudah uzur.

Bagaimanapun, tangisan sesalannya tidak bermakna lagi setelah Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dengan alasan perbuatan tertuduh merupakan satu kesalahan jenayah yang serius.

Hukuman yang dijatuhkan diharap mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat luar.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila tergamak membakar rumah keluarganya di Kampung Gong Kijang, di sini, selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan bapanya.

Difahamkan, suspek membakar rumah berkenaan menggunakan minyak petrol yang baru dibeli sebaik mengambil RM10 daripada bekas wang simpanan hasil jualan minuman ringan keluarganya selepas gagal mendapatkan wang yang diminta.

Sebelum kejadian, suspek mengugut bapanya mahu membakar rumah jika tidak memberi wang kepadanya untuk membeli dadah jenis pil kuda.

Sinar Harian

Nyawa dihujung tanduk

1 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG – Empat penyamun bertopeng dan bersenjatakan kayu, pisau serta pemutar skru berjaya melarikan barangan kemas seperti gelang, rantai dan wang tunai serta telefon bimbit berjenama dalam kejadian samun di Binjai Bongkok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pasangan suami isteri, Rohanita Gani, 38, dan Mohd Sukri Sihat, 48, mengalami kerugian kira-kira RM50,000.

Rohanita berkata, sewaktu kejadian, dia dan suaminya itu sedang tidur di bilik utama rumah banglo dua tingkat berkenaan, manakala lima anak mereka berusia antara 3 hingga 15 tahun tidur di dalam bilik berasingan iaitu di tingkat atas dan bawah rumah itu.

Menurutnya, dia dan suami terkejut selepas melihat kelibat suspek yang tiba-tiba muncul di dalam bilik tidur mereka selepas kumpulan penyamun itu dipercayai merosakkan pagar dan mengumpil pintu rumah mereka untuk masuk.

“Sebaik membuka mata, saya terlihat orang memakai topeng berada dalam bilik, mengarahkan kami diam dan mengikut arahan sebelum tangan saya diikat dengan wayar pengecas telefon, manakala tangan suami diikat dengan wayar seterika.

“Kumpulan lelaki bertopeng itu kemudiannya mengarahkan kami ke bilik anak di tingkat atas dan bawah lalu mengikat tangan dua anak kami, manakala tangan tiga lagi anak kami berusia 3 hingga 5 tahun tidak diikat,” katanya.

Arah tunjuk tempat simpan barang berharga

Menurut Rohanita, ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, kumpulan penyamun terbabit kemudiannya mengarahkan mereka sekeluarga berkumpul setempat di dalam rumah itu.

Roshanita berkata, penyamun itu kemudian mengarahkan mereka untuk menunjukkan tempat simpanan barang-barang berharga jika tidak mahu dicederakan sebelum mengambil barang kemas dipakai, wang tunai termasuk empat unit telefon bimbit berjenama.

“Mereka (penyamun) turut menyelongkar keseluruhan rumah ini sebelum beredar sekitar jam 2.30 pagi selepas berada di dalam rumah lebih kurang sejam, manakala ikatan tangan kami pula berjaya dibuka tidak lama kemudiannya.

“Sebaik ikatan dibuka, suami terus menghubungi pihak berkuasa. Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan. Kejadian itu sungguh menakutkan. Nyawa kami ibarat di hujung tanduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Sinar Harian