17 May 2012

Pas sedia perjelas perjuangan parti

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pas sedia beri penjelasan secara terbuka dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi kepada pihak tertentu yang keliru dan mendakwa parti itu terpesong landasan perjuangannya, terutama menjelang pilihan raya nanti.

Parti itu juga belum lagi berhasrat mengadakan sebarang majlis muzakarah secara rasmi dan mengkhususkan isu ini dalam masa terdekat.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan bertujuan memberikan rakyat mendapatkan kefahaman baik mengenai Pas yang sebenarnya tidak lari daripada perjuangan asal.

Mahfuz mendakwa, isu tersebut timbul apabila media sering kali dilihat keliru dalam melaporkan berita mengenai perjuangan Pas sehingga pihak tertentu dan masyarakat musykil mengenainya.

“Mereka boleh datang menemui Pas atau menjemput Pas. Kami boleh turun padang memberikan penjelasan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Pas untuk memberikan penjelasan kepada sesiapa sahaja untuk menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan menyatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya pada Ahad lalu.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura Ulama Pas sentiasa mengawasi perjalanan parti itu dalam memelihara landasan Islam yang diperjuangkannya.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak menetapkan tarikh tertentu kepada mereka yang ingin mendengar penjelasan mengenai perjuangan Pas.

“Kita sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan kepada mereka supaya mereka lebih memahami perjuangan Pas yang tidak lari daripada perjuangan asalnya,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu enggan mengulas ketika ditanya mengenai masyarakat yang melihat mereka lari dari perjuangan sehingga perlu mengadakan muzakarah untuk memberikan penjelasan mengenai perjuangan mereka.

sinar harian/-

Isu Haram Jadah: Najib Tak Sedar Beliau Yang Bakal Terima Padah

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Rata-rata rakyat menyifatkan makian "haram jadah" Najib kepada rakyatnya amat keterlaluan dan hanya akan memberi padah kepada Najib sendiri.

Najib dalam ucapannya di Majlis Sejahtera Peneroka bersama Perdana Menteri di Jengka 8 juga berkata dirinya tidak redha dan tidak rela pembangkang mengambil ‘durian runtuh’ RM15,000 itu selepas cuba menghalang penyenaraian FGVHB.

“Haram jadah mereka tu. Jangan terima kebaikan daripada penyenaraian (FGVHB). Saya nak tengok muka-muka mereka ni terima durian runtuh. Haram jadah,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengulas Najib sepatutnya bertindak adil terhadap peneroka kerana semuanya berhak menerima ‘durian runtuh’ selepas tanah mereka dicagarkan untuk penyenaraian FGVHB.

“Ini hak peneroka, tanah peneroka, apa isunya nak maki hamun…eh duit siapa ni? Cara ucapannya memang tak nampak langsung Perdana Menteri punya material,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, perkataan ‘haram jadah’ yang digunakan Najib langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin, apatah lagi negarawan yang baik.

“Najib sangat terdesak dan panik dengan kebangkitan peneroka yang menuntut hak mereka hingga sanggup mencerca peneroka Felda.

“Ramai peneroka marah dengan kata-katanya. Adakah orang seperti ini masih mahu dipertahankan?,” katanya

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kepimpinan Anak Negeri Johor telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulai,terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Kata Mazlan, ia ekoran ucapan Najib ketika mengumumkan 'Durian Runtuh' di Felda Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu.

Beliau berkata, ‘haram jadah’ dalam kamus DBP bermaksud 'Anak Luar Nikah' dan ia sangat bertentangan prinsip Rukunegara- Kesopanan dan Kesusilaan'; apatah lagi ajaran Islam yang menekankan ketinggian akhlak dan moral, lebih-lebih lagi pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan rakyat.

“Laporan polis mendesak PM menarik balik ucapannya dan meminta maaf secara terbuka kerana golongan yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia terlalu ramai,” ujarnya.

GB pernah menyatakan bahawa: Najib telah memulakan sesuatu yang tidak baik maka hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya, sesuatu yang tidak baik itulah bakal menimpa Najib semula. You get back what you give.

Apabila Najib memaki rakyatnya iaitu sesetengah peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, itu tanda-tanda akan berakhirnya tempoh Najib sebagai PM Malaysia... Percayalah!

Di dalam konteks masyarakat melayu ia dinamakan "buang tabiat".

Gejala buang tabiat lazimnya berlaku di saat-saat akhir kehidupan seseorang.

Najib telah gagal dengan ujian sepertimana seorang bapa memaki hamun lantaran gagal menghadapi rencamnya karenah anak-anak sendiri. Pendek umur ayah sedemikian kerana tidak berupaya menguruskan stress.

Seorang pengkomen di blog GB memberi komennya:

Aduhai Najib...mu satu orang kata HARAM JADAH kepada 1000 peneroka...maka 1000 peneroka akan kata HARAM JADAH kepada mu seorang...fikir fikirkan lah..!!

Kita sekadar ingin mengingat dan menyedarkan Najib agar jangan keterlaluan melalui peristiwa betapa Allah itu Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, dan kita juga ingin mendengar kot-kot ada penafian dari Najib mengenainya atau jika ada pengakuan Najib bahawa beliau tidak takut dengan peringatanNya itu.

KELAB GREENBOC

2 maut tersepit dalam kereta

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Dua maut apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan lain yang terbabas dari laluan bertentangan di Jalan Loke Yew, Cheras malam tadi.

Lee Kian Hoo, 30, dan penumpangnya, Choo Pei Pei, 24, tersepit dalam kereta dan mati di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian pada pukul 11.45 malam itu turut menyebabkan pemandu kereta yang merempuh kereta dinaiki mangsa cedera parah.

Phang Chee Yong (lelaki), 37, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia manakala mayat Lee dan Choo dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdullah berkata semasa kejadian, kereta yang dipandu Phang, yang dalam perjalanan dari arah Kajang ke pusat bandar, hilang kawalan dan melanggar tiang lampu.

"Kereta itu kemudian merempuh penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa," katanya. - Bernama

Jangan benarkan program Irshad Manji - PPMM

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) membantah program Irshad Manji yang dikatakan akan dijalankan di Universiti Monash Bandar Sunway pada hari Jumaat 18 Mei 2012 antara jam 1 hingga 2 tengah hari yang bertajuk ‘ Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy’.

Pihak Universiti Monash melalui Mohamed Ismail pula menafikan ada seminar dianjurkan oleh Sekolah Sastera dan Sains Sosial pada Hari Jumaat 18 Mei 2012 tersebut.

Sebelum daripada ini usaha beliau untuk berceramah di Universiti Islam Antarabangsa juga telah gagal malah di Indonesia juga beliau tidak dialu-alukan.

“Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana solat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam tweeter beliau,” kata Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar).

Katanya, ia memberi gambaran bahawa program beliau adalah lebih penting daripada solat Jumaat.

Menurutnya, Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian cuba mengenengah pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia.

“Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam.

“Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari Hukum Syarak. Malah acapkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya PPMM mendesak kerajaan tidak membenarkan beliau meneruskan program tersebut dan meninggalkan Malaysia dengan kadar segera kerana ia boleh menjadi barah kepada pengamalan agama Islam di Malaysia.

Tegasnya lagi, perbuatan Irshad Manji yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia tidak dialu-alukan.

Tambahnya, PPMM dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dan akan dibuat oleh beberapa NGO Islam dan pihak yang lain bagi membantah program seumpama ini dan berharap pihak yang berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan laporan tersebut.

“PPMM juga mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan mengajurkan kebebasan diri secara mutlak.

Beliau berkata, hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak.

PPMM juga, ujarnya menyeru para ulama menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca beliau tidak aka terkeliru dengan tulisan beliau dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam.

“PPMM juga mendesak Universiti Monash mengesahkan samada program tersebut akan diadakan di dalam premis universiti tersebut atau tidak samada dianjurkan oleh pihak Universiti ataupun pihak lain yang menggunakan kemudahan Universiti tersebut.

“Akhirnya PPMM mengajak semua masyarakat Islam agar berdoa supaya Irshad Manji akan diberikan hidayah oleh Allah swt dan kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi.

Salimah desak halang Irshad Manji

Mengulas perkara yang sama, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) membantah sekeras-sekerasnya penganjuran kedatangan Irshad Manji seorang yang jelas menghina Islam dalam tulisan bukunya serta sikapnya yang ternyata merendah-rendah pandangan yang sudah disepakati ulama muktabar.

“Kami juga menolak kedatangan beliau untuk melancarkan bukunya kerana ia akan menimbulkan kekeliruan serta mencetus kemarahan umat Islam di negara ini.

“Bukunya yang mempunyai unsur-unsur yang membawa kefahaman yang sesat tidak dibenarkan disebar di negara ini,” kata Yang Dipertuanya, Datin Aminah Zakaria.

Katanya, Malaysia yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah dari kesepakatan rakyat di negara ini yang sepatutnya dihormati dan sebarang unsur yang mencabar kemulian Islam di negara ini hendaklah dihalang.

“Mengambil pendapat beliau dalam tweeternya yang menyatakan solat adalah ketetapan dari manusia bukan dari Allah, adalah jelas suatu penghinaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Salimah menggesa supaya pihak berkuasa bertindak melarang kehadiran beliau untuk melakukan pelancaran bukunya pada 18 Mei yang dijangka akan diadakan Monash Universiti Sunway.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak penganjuran sepatutnya sensitif dengan sentimen Islam di kalangan masyarakat Islam di negara ini setelah adanya pihak yang sering cuba menguji kesabaran umat Islam dengan membawa nilai dan amalan hidup yang songsang.

“Dengan menjemput orang seperti beliau sudah pasti merupakan usaha untuk mencabar sensistiviti masyarakat Islam di negara ini,” tegasnya.

Katanya, pihak berkuasa perlu menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program yang melibatkan individu atau kumpulan dari luar hendaklah memberi garis panduan supaya hal-hal yang sensistif mengenai agama tidak dipermain-mainkan.

“Kami menyeru agar semua NGO Islam bersatu membantah kehadhiran dan pelancaran buku beliau dan mendesak agar penganjur membatalkan acara tersebut serte merta.

Harakah Daily

31 calon Umno rebut kerusi di Pasir Puteh

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH: Belum pun tarikh pilihan raya umum ke-13 diumumkan, sehingga sekarang seramai 31 pemimpin Umno di bahagian ini bertembung sesama mereka melobi dipilih sebagai calon.

Pertembungan tersebut bukan lagi menjadi rahsia apabila ada di kalangan mereka sudah rancak keluar masuk kampung bagi menabur umpan awal kepada rakyat.

Malah ada juga di antaranya tidak dikenali langsung, namun tiba-tiba muncul dengan mendakwa mereka mendapat restu pemimpin atasan sebagai calon PRU-13 di Pasir Puteh.

Persaingan begitu ramai calon menjadi sengit memandangkan hanya ada lima tempat di kawasan parlimen tersebut iaitu kerusi parlimen, Dun Gaal, Dun Semerak, Dun Limbongan dan Dun Selising.

Kehadiran ramai calon membuat Ketua Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dikatakan dilanda gelisah memandangkan beliau hanya sekadar bekas guru lepasan maktab.

Antara nama lain yang disebut-sebut iaitu Datuk Dr Khaisan Abdul Rahman; bekas anggota parlimen penggal 2004-2008, Datuk Che Min Che Amat; bekas wartawan Utusan Malaysia, Datuk Yazid Othman.

Selain itu timbalan ketua bahagian, Rujhan Salleh, veteran Umno iaitu Datuk Wan Mohamad Najib Mohamed dan Tuan Mustafa Tuan Mat. Muka baru pula Azmi Mohd Noor, Ridhuan Setapa, Dr Sumardi Hassan, Karimah Md Noor serta Kapt (B) Wan Marzudi Wan Omar.

Lebih memeningkan apabila masing-masing ada strategi tertentu bagi mematahkan lawan terutamanya menggunakan “kabel” presiden dan timbalan presiden Umno.

Dr Khaisan sebelum ini tidak pernah dikenali tiba-tiba saja muncul dengan slogan “Bersatulah Kita Ahli Umno”. Manakala ketua bahagian pula dengan projek gelombang merah.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Harakah Daily

PRU13: Najib tidak yakin BR1M, durian runtuh

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif 'one off' untuk memancing undi rakyat pada PRU13, namun sehingga kini Datuk Seri Najib dilihat belum yakin ianya mampu memberi kesan besar untuk kemenangan BN.

Sehingga kini perdana menteri masih dilihat belum bersedia untuk mengumumkan tarikh pilihan raya sedangkan pemberian RM200 bantuan sekolah dan RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula boleh dikatakan 'semakin hilang manisnya'.

Penulis blog politik Mohd Sayuti Omar berpendapat, pemberian BR1M langsung tidak memberi keuntungan kepada BN.

"Pengalaman di tempat saya sendiri di Kelantan, saya tanya orang kampung, dapat BR1M tak nak buat kenduri kesyukuran ke.

"Mereka kata memang nak buat, tapi kenduri untuk mendoakan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) terus kekal memerintah Kelantan," katanya ketika menjadi panel dalam wacana politik dan persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, semakin lama Najib mengambil masa untuk membubarkan perlimen, semakin kemanisan BR1M dan bantuan-bantuan lain itu akan hilang begitu sahaja.

Selain pemberian BR1M dan bantuan sekolah, pemberian RM15,000 'durian runtuh' kepada peneroka felda juga dilihat tidak memberi kesan yang besar sokongan rakyat kepada BN.

Bagi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, pemberian itu hanya melibatkan 112,635 pengundi di kalangan peneroka sedangkan pengundi lebih besar tidak merasai apa-apa.

"Sekarang ini kemarahan mula timbul. Rakyat yang bukan peneroka mula mempersoal kenapa hanya peneroka dapat durian runtuh RM15,000 mereka tak dapat. Apa 'udang disebalik batu' yang cuba disembunyikan.

"Rakyat dah muka mata, 12 juta lagi pengundi yang bukan felda terasa hati," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Bagi Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pula, Najib kini berada dalam keadaan tersepit untuk mengadakan pilihan raya.

Bukan sahaja kerana faktor sokongan rakyat terhadap BN tidak memberangsangkan, tetapi juga dikekang dengan faktor kewangan BN itu sendiri.

"BN tidak mempunyai dana yang cukup untuk berdepan pilihan raya.

"Sebab itu saya amat yakin tindakan tergesa-gesa mereka untuk menyenaraikan FGVH ini walaupun ditentang, adalah untuk mencari dana pilihan raya," katanya.

Sementara itu banyak pihak melihat penyenaraian FGVH ini terpaksa melalui jalan sukar.

Ini ditambah lagi dengan maklumat terbaru yang didahkan semalam bahawa 65% dari pengurusan tertinggi Felda menentang penyenaraian ini dan percaya ianya akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Maklumat itu merupakan hasil kajian yang dibuat syarikat juru runding Boston Consulting Group (BCG) yang dilantik FGVH untuk menerajui proses penyenaraian.

Harakah Daily

Md Rahim bimbang anak turut warisi penyakit misteri

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MARANG – Md Rahim Jatim, 57, dari Jerung Seberang di sini, yang mengalami penyakit kulit misteri, bimbang penyakit dialaminya turut diwarisi anak sulungnya, Mohd Amirul, 20, selepas terdapatnya benjolan kecil di bahagian bawah leher anaknya sejak awal tahun ini.

Menurutnya, selepas kisahnya disiarkan Sinar Harian pada 17 Januari lalu, dia terhutang budi dengan banyak pihak yang mengambil berat mengenai penyakit keturunan dialaminya, walaupun menyedari ia tidak mampu pulih selepas menghidapnya ketika berumur 25 tahun.

“Namun, saya bimbang jika anak sulung saya mewarisi penyakit ini kerana sudah ada benjolan kecil di bahagian lehernya seperti mana dialami saya sebelum ini,” katanya yang turut mengalami masalah kecederaan kaki kiri akibat dihempap kayu getah lima tahun lalu.

Md Rahim berkata demikian selepas menerima kunjungan pakar perubatan kulit dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Dr Chong Yew Thong yang berjanji akan melakukan pemeriksaan rapi terhadap bapa tiga anak itu.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar, Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Razali Idris dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Toh Puan Rosnani Ngah.

Pemeriksaan rapi terhadap Md Rahim termasuklah melakukan imbasan menggunakan mesin pengimbas tercanggih bagi mengesan punca sebenar penyakit kulit misteri atau nama saintifiknya ‘neurofibromatosis’ yang dideritai bapa tiga anak itu.

Difahamkan, penyakit yang dideritai Md Rahim adalah akibat keganjilan genetik dan penyakit itu boleh diwarisi melalui keturunan pesakit, namun ia sangat jarang berlaku dengan nisbah 1: 4000 penduduk di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris turut menyarankan kerajaan melalui agensi tertentu, membuat kajian terperinci mengenai penyakit itu termasuk langkah pencegahan agar ia tidak diwarisi.

Menurutnya, penyakit kulit misteri dihidapi Md Rahim hanya dikesan selepas dia berumur 25 tahun, iaitu sebelum dia berumah tangga, dan kini ia mula dialami anaknya.
“Kajian itu bukan hanya tertumpu untuk membantu keluarga Md Rahim dan anaknya, tetapi kepada mereka yang menghadapi masalah penyakit sama di seluruh negara, mungkin kita mampu menemui penawar atau mencegahnya daripada terus diwarisi ahli keluarga pesakit,” katanya.

Sinar/-

Perjuangan membersihkan PRU Ke-13

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Bolehkah PRU Ke-13 akan datang berjalan dengan demokratik dan bersih dari segala penipuan? Ini pertanyaan dari ramai orang, terutama dari rakyat prihatin yang amat tinggi harapan mereka supaya PRU Ke-13 itu benar-benar adil dan bersih.

Namun perkembangan terkini menghantar isyarat bahawa PRU Ke-13 itu jauh dari yang diharapkan.

Tanda-tandanya:

a. Tuntutan Bersih 3.0 tidak mungkin ditunaikan dalam keadaan sekarang, di mana BN berhempas pulas untuk mempertahankan kuasa yang telah dinikmatinya lebih setengah abad.

b. Isu dan tindakan berbau perkauman dan kekerasan semakin bermunculan. Di sana sini ceramah Pakatan Rakyat diganggu dan kekerasan tanpa kawalan.

c. Ancaman dan kata-kata perkauman semakin menjadi-jadi, terutamanya di Pulau Pinang dan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

d. Serangan propaganda dan pelbagai bentuk tindakan secara konsisten dihalakan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, negeri kaya yang hendak direbut kembali oleh BN ‘dengan apacarapun’.

e. Media tradisional dan rangkaian mereka secara berterusan menaburkan fitnah paling keji dan memburuk-burukkan apa saja yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

f. Pemberian wang dan pelbagai habuan diberikan kepada rakyat, khususnya rakyat di luar bandar menjelang pilihan raya.

g. Agensi kerajaan dipergunakan sedemikian rupa untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRU ke-13 dengan pelbagai cara.

Kemudian, ibu segala masalah – pengundi yang diragukan, malah pengundi hantu – di mana masalah ini sangat sukar diatasi hingga menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam keadaan yang sedemikian rupa, tidak mungkin atau masih amat jauh lagi impian rakyat untuk menyaksikan pilihan raya bersih dan adil dapat dipenuhi.

Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 sudah berlansung dan memang menimbulkan kesan besar, namun tuntutan Bersih masih juga belum ditunaikan boleh jadi hingga berlansung PRU Ke-13 nanti. Ini suatu cabaran yang amat getir dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Memanglah tidak mudah bagi Umno/BN yang memerintah lebih setengah abad untuk menyerah kalah dan mereka akan mempertahankan kuasa mereka dengan ‘apa cara sekalipun’. Hal ini memang disedari ramai.

Seperti diketahui umum, ibu segala masalah dalam PRU Ke-13 ialah senarai pengundi yang masih kotor dan pelbagai penipuan. Inilah up-hill battle yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat, terutama di negeri Selangor yang menjadi tumpuan khusus pengundi diragukan dan pengundi hantu.

Untuk ini kita bersimpati dengan Pakatan Rakyat, khususnya PAS Selangor yang bertanding banyak di kawasan Melayu, justru kawasan itu menjadi sasaran pengundi yang seumpama itu.

PAS Selangor, khususnya jentera pilihan rayanya yang dipimpin oleh Cikgu Jaafar dan pasukannya telah berhempas pulas untuk mengatasi masalah ini. Usaha mereka ini begitu cemerlang.

Sementara itu, Bersih 2.0 telah melancarkan kempen menentang penipuan dalam pilihan raya sebagai sambungan daripada siri perhimpunan Bersih 3.0 duduk bantah. Bersih 2.0 menjemput setiap rakyat Malaysia mengambil bahagian sebagai pemantau untuk pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi.

Pertubuhan badan bukan kerajaan yang dianggotai 84 NGO itu turut melahirkan kekecewaan kerana perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu masih lagi tidak mendapatkan reaksi positif kerajaan untuk menghapuskan penipuan undi.

“Bersih 2.0 dengan kerjasama Tindak Malaysia dan Jom Pantau akan melatih sukarelawan yang akan memantau pilihan raya umum ke-13 kali ini bagi mengurangkan risiko penipuan dalam pilihan raya.

Mereka bertindak sebagai pemantau, pemerhati, pegawai pilihan raya, pengira undi dan agen untuk pengundi pos,” kata Pngerusi Bersama Bersih Datuk A. Samad Said kepada pemberita ketika sidang media di sini baru-baru ini.

Tindak Malaysia, katanya, telah menjalankan banyak latihan di seluruh negara untuk melatih ejen pengundi, pengira undi, dan ejen Barung (PACABA).
Menurutnya, kempen ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya kepada 400 individu setiap minggu bagi mendapatkan sejumlah 180,000 ejen pilihan raya.

“Sukarelawan PACABA adalah yang paling penting kerana mereka adalah barisan hadapan yang akan mencium bau penipuan dan memastikan pegawai pilihan raya tidak terlibat dengan penipuan dan mematuhi peraturan pilihan raya,” tambah Sasterawan Negara itu.

Kempen yang dikenali dengan nama 'Jom Pantau” itu diketuai oleh KOMAS, satu badan yang bekerjasama dengan Malaysian Observer Network (MEO-Net) dan National Institute for Democracy Electoral Integrity (NIEI). Latihan kepada sukarelawan tersebut akan dijalankan oleh Tindak Malaysia.

Jawatankuasa Pemandu Bersih turut melancarkankan laman web bagi memudahkan orang ramai membuat aduan terhadap sebarang bentuk penipuan sewaktu pilihan raya kepada Bersih.

Laman web yang dikenali itu membolehkan orang ramai membuat aduan melalui mesej teks, emel, twitter, panggilan telefon, atau mengisi borang aduan yang disediakan di laman web tersebut.

Selain itu, laman web berkenaan turut menyediakan khidmat peta bagi membolehkan pengadu menandakan dengan tepat lokasi di mana penipuan tersebut berlaku.

Usaha ini sewajarnya mendapat sokongan semua pihak, khususnya dari Pakatan Rakyat. Ini kerana matlamatnya sama untuk mendapatlkan pilihan raya yang benar-benar bersih dan adil.

Namun seperti saya katakana perjuangan ini sangat getir, memerlukan kesabaran, keyakinan dan strategi yang berkesan.

----------------------
Penulis boleh dihubungi melalui shukurharun@yahoo.com

Harakah Daily

Siasatan Perancis bongkar kaitan Najib dengan semua

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Inkuiri di mahkamah Perancis telah memulakan siasatan yang bakal menghubungkan segala titik mengenai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, pembelian dua kapal selam Perancis, rasuah sebanyak RM500 juta dan pembunuhan terhadap model Mongolia oleh para pengawal beliau.

Inkuiri berkamera yang diketuai hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire, yang cukup berpengalaman dalam kes korupsi dan hak asasi manusia, akan cuba membongkar samada syarikat pertahanan Perancis, DCNS dan rakan projeknya Thales International telah membayar rasuah untuk mendapat kontrak pada 2002 untuk membekal dua kapal selam Scorpene kepada tentera laut Malaysia.

Inkuiri tersebut adalah berdasarkan penyiasatan selama dua tahun dan pengumpulan bukti oleh polis Perancis.

Kontrak tersebut dimeterai ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan dan perhatian khusus diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh kawan karib dan penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda.

Pegawai berkuasa Perancis telah memaklumkan bahawa mereka sangat berminat terhadap dua bayaran yang dibuat oleh pembuat senjata Perancis.

Satunya berjumlah Euro 114 juta yang dibayar kepada syarikat Malaysia bernama Perimekar untuk kemudahan pengangkutan.

Pada waktu itu, Perimekar dalah dimiliki sepenuhnya oleh Razak Baginda dan isterinya Mazalinda.

Pihak majistret Perancis juga ingin mencari kebenaran di sebalik pembayaran Euro 36 juta kepada sebuah syarikat bernama Terasasi, yang pada asalnya dikorporatkan di Malaysia sebelum dipindahkan pendaftarannya ke Hong Kong, di mana berdasarkan Asia Sentinel adalah antara 142 syarikat yang mendaftar di Wan Chai.

Pengarah berdaftar Terasasi adalah Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Persoalan mengenai pembelian kapal selam menjadi hangat dan tajam pada Oktober 2006 selepas cebisan mayat model Mongolia dan penterjemah Altantuya Shaariibuu dijumpai di hutan di luar Kuala Lumpur.

Beliau telah ditembak di kepala dan terdapat cubaan untuk memusnah mayat beliau dengan bom C4 milik tentera.

Altantuya merupakan bekas kekasih Razak Baginda dan beliau kali terakhir dilihat di luar rumah kekasihnya yang menimbulkan situasi tidak senang.

Beberapa tahun yang lalu, Altantuya merupakan seorang model di Perancis dan pada2004 beliau mengiringi Razak Baginda sebagai penterjemah semasa beliau merunding kontrak Scorpene.

Dalam satu surat tulisan beliau yang dijumpai selepas beliau dibunuh, menyatakan beliau ingin berdepan dengan Razak Baginda dan menuntut USD 500 juta sebagai harga untuk menutup mulut beliau dalam kontrak pembelian Scorpene.

Kes ini tidak dapat diendahkan oleh mahkamah Malaysia, yang dikuasai golongan politik.

Walaupun Razak Baginda dan dua orang bekas pengawal Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa dengan pembunuhan, keputusan kes tersebut adalah pincang dan tidak menjawab banyak persoalan.

Dalam satu drama mahkamah yang menakjubkan, Razak Baginda tidak dipanggil untuk menjawab tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, dan dilepaskan dan kini tinggal di Britain.

Para pengawal peribadi Najib telah menerima padah dan telah dijatuhkan hukuman mati. Mereka sedang dalam proses rayuan tetapi pendengaran telah ditangguhkan.

Spekulasi berkata pendengaran itu tidak akan berlaku sehingga lepas pilihanraya umum yang bakal tiba, dijangka Jun, di mana jika Najib dan kerajaannya mengekalkan kuasa, dijangka satu cara akan difikirkan untuk membalas kesetiaan pengawalnya.

Selepas gagal mendapat penyiasatan penuh ke atas skandal Scorpene di Malaysia, ramai aktivis hak asasi manusia dan keluarga Altantuya telah meletakkan harapan kepada penyiasatan Perancis.

Namun demikian, terdapat sedikit kekecewaan apabila mengetahui bahawa hakim Le Loire dan Tournaire hanya boleh menyiasat tuduhan rasuah dan bukan pembunuhan Altantuya.

Akan tetapi, 10 hari yang lepas, Suaram Malaysia telah diberikan kebenaran untuk memberikan penerangan kepada hakim secara peribadi.

Jurucakap Suaram berkata mereka telah menceritakan skandal Scorpene ini daripada konteks politik Malaysia dan memberikan hakim senarai saksi-saksi yang dikehendaki.

Antara senarai itu ialah Razak Baginda, dan telah ada laporan bahawa hakim akan cuba mengeluarkan subpoena terhadap beliau daripada Britain.

Tetapi akan ada yang tidak mengendahkan senarai itu, termasuk nama Najib.

Namun begitu, ayah Altantuya, Setev Shaariibuu berkata beliau ingin ke Perancis daripada Mongolia dan percaya perbualan terakhir bersama anak perempuannya akan dapat menghubungkan segala titik yang tergantung dalam skandal Scorpene ini kepada hakim di sana.
----------------------------------
Berita ini diterjemah secara bebas daripada Vancouver Sun.

Harakah Daily

DAP ajak T Aziz jalan bersama atas jalan berbeza

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: DAP mengajak bekas Naib Pengerusinya, Tunku Aziz untuk terus bersama memperjuangkan yang benar di negara ini walaupun berbeza landasan.

"Tunku Aziz, walaupun berbeza pendapat, biarlah kita berjalan sehaluan dalam perjuangan untuk Malaysia yang bersih - menegakkan integriti, hak asasi dan sistem perundangan yang adil dan saksama dimana setiap anak bangsa Malaysia akan diberi layanan yang sama diatas bumi yang dipijak ini," kata Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.

"Saya akan menjadi orang yang pertama mengalu-alukan Tunku Aziz jika beliau ingin mengubah fikiran mengenai perletakan jawatannya sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan sebagai ahli parti DAP tetapi saya menghormati jika ini keputusan muktamad yang beliau mahu ambil," jelas Lim Kit Siang.

Tunku Aziz mengumumkan perletakan jawatannya dan keluar dari DAP selepas tidak bersetuju dengan beberapa pihak dalam DAP khanya Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun beliau berkata, "Saya tetap menghormati Lim Kit Siang kerana kami berkawan baik sejak dahulu."

Menurut Kit Siang, dalam beberapa dekad beliau mengenalinya, Tunku Aziz merupakan seorang yang berpegang teguh kepada prinsip dan integriti "dan pendapat saya mengenai beliau tidak pernah berubah sekelumit pun."

Dalam tiga pertemuan mereka baru-baru ini, dua kali di rumah Tunku Aziz dan yang ketiga di Parlimen.

Katanya, sekiranya perletakan jawatan beliau tidak dapat dielakkan, biarlah ianya dilakukan dengan penuh hormat dan berhemah tanpa perasaan dendam dan luka. "Biarlah kita berjalan sehaluan"

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tunku Aziz di atas khidmat dan sumbangan beliau sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan selaku Senator DAP yang pertama dari Pulau Pinang.

Harakah Daily

Laporan Pengerusi PSC Lynas dipertikai

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, kenyataan Pengerusi PSC Lynas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kilang Lynas adalah kilang memproses Nadir Bumi yang terselamat di dunia dan lokasi kilang itu yang jauh dari penempatan penduduk sejauh 6KM jelas membuktikan ia dibentuk untuk menghalalkan kilang itu.

Kenyataan itu juga bercanggah sama sekali dengan Laporan Kajian Alam Sekitar (Preliminary Environmental Impact Assessment – PEIA) yang disediakan oleh ENVIRON pada 21hb Januari 2008 dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada 15hb Febuari 2008.

"Jelas, dari kenyataan yang tidak betul dan berat sebelah itu menzahirkan niat sebenar Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam penubuhan PSC Lynas untuk menghalalkan kilang LAMP milik LYNAS itu untuk kepentingan diri mereka.

"Malah kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa PSC Lynas itu untuk memimpin jawatankuasa itu dengan telus dan adil kini dipersoal," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Merujuk kepada Laporan EIA, kata Zulkefly, terdapat kawasan penempatan penduduk paling dekat dalam jarak 3-5KM dari lokasi kilang Lynas itu iaitu Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur dan Kem TLDM Kampung Seberang Balok.

Laporan EIA juga dengan jelas menyenaraikan beberapa syarikat yang beroperasi dalam jarak 1km-3km dari lokasi kilang itu iaitu Polyplastics, Erupee Sugar, Kaneka, Flexsys, Eastman, WR, Cryovac, BP Chemicals, Petronas ERC, BASF dan MTBE.

Manakala dalam jarak 3km-5km terdapat penempatan penduduk sepanjang pantai ke Kuala Terengganu, Kuantan-Pelabuhan Bypass, Sg.Tunggak, Penduduk dari Kuantan ke pelabuhan, Lebuhraya Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan dan Pantai Cherating.

Laporan EIA juga, katanya, dengan jelas mencatatkan jumlah penduduk dari Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur, TLDM Kg. Seberang Balok sebanyak 5973 org (statistik tahun 2000) dengan komposisi kaum Melayu sebanyak 87 peratus, Cina 0.2 peratus dan India 2.2 peratus.

Katanya lagi, terdapat juga beberapa kampong berdekatan iaitu Kg. Sg Ular (2.5KM dari Kg. Gebeng), Kg. Hulu Balok (3KM dari Tapak Kilang), Kampung Berahi(4.5KM dari Tapak Kilang), Kampung Seberang Balok(6KM dari Tapak Kilang).

Kg. Gebeng (3KM dari Tapak Kilang) dan Kampung Selamat pula 4 KM dari Tapak Kilang.

Kenyataan Khaled Nordin bahawa Kilang LYNAS adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia juga bercanggah dengan kenyataan Laporan Kajian Alam Sekitar (PEIA).

Dalam laporan itu dinyatakan bahawa ‘potential concern’ jika langkah-langkah kawalan atau pencegahan tidak dilaksanakan oleh Lynas ketika fasa rekabentuk dan ketika fasa operasi mampu menyumbang kepada kesan-kesan pencemaran alam sekitar seperti berikut iaitu:

1. Kualiti air Sg. Balok akan menurun. Jika ‘Standard B discharge limit’ atau had pelepas air sisa ‘dirawat’ melebihi dari kadar yang ditetapkan, Sungai Balok akan tercemar (Kadar pencemaran kini sebenarnya sudah ditahap 2 dan 3). LYNAS harus memastikan keberkesanan ‘waste water treatment facilities’ atau kemudahan rawatan air sisa diambil kira khususnya ketika fasa rekabentuk.

2. Penurunan Kualiti Udara - pelepasan ketika operasi dari ‘waste gas treatment system’, ‘gas fired boilers’ dan ‘product calciners’. (mesti di pastikan selamat dalam radius 5KM ZON IMPAK) kerana terdapat penduduk Balok dalam jarak 2-5KM dari lokasi kilang itu.

3. Kesan Bunyi Bising. EIA mengakui adanya penduduk dalam radius 3KM terutamanya Taman Balok Perdana dan Taman Balok Makmur.

4. Potensi Pencemaran Tanah dan Groundwater/Air Bawah Tanah.

5. Sumber stim akan terhasil iaitu dari WLP, PGD dan NUF dan diklasifikasikan sebagai sisa radiological oleh AELB dan akan diuruskan/disimpan mengikut keperluan AELB. Tempat simpanan sisa ini hasil kerjasama Lynas dan Ranhill Worley berdasarkan cadangan MNA (Malaysia Nuklear Agency/Agensi Nuklear Malaysia) yang tercatat dalam RIA.

6. Potensi kebocoran dari tempat simpanan sisa dan langkah-langkah melindungi tanah dan air bawah tanah yang tidak mencukupi mampu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

7. Kebocoran simpanan bahan-bahan bahaya (reagents dan bahan asid). Langkah-langkah ‘Containment’ atau Simpanan harus dipastikan ada dan haruslah diurus dengan baik.

Bagaimanakah kenyataan itu boleh berkata bahawa kilang Lynas adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia jika langkah-langkah pencegahan malah kemudahan ‘state-of-the-art’ yang terdapat di kilang itu masih belum dibuktikan lagi, tambah beliau.

Harakah Daily

Tiga kedutaan Barat di Pakistan terima surat ugutan

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD 17 Mei - Tiga kedutaan Barat di sini, semalam, menerima surat mengandungi serbuk hitam yang mencurigakan dan ugutan untuk meracun tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan.

Ketua Polis Islamabad, Bani Amin berkata, kesemua serbuk tersebut yang diisi dalam plastik kecil, dihantar ke makmal analisis untuk diuji.

Katanya, surat misteri itu dihantar kepada Kedutaan Perancis, Australia dan Britain. - AFP

Panas: Anak Nong Chik dapat projek RM30 juta?

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 Mei: Belum reda skandal projek lembu kebangsaan yang diseleweng bekas Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil melibatkan RM250 juta wang rakyat, kali ini satu lagi pendedahan membabitkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Ironinya kedua-dua pimpinan Umno ini sinonim dengan Lembah Pantai.

Menurut blog anaksungaiderhaka, pada 24 Ogos 2010, sebuah syarikat dengan nama Istijuara Sdn Bhd diberikan kontrak kerajaan berjumlah RM30,800,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Syarikat itu dilaporkan dimiliki Nong Chik dan ini bukan satu-satunya projek yang dianugerahkan kerajaan kepada syarikat beliau.

Anak perempuan Nong Chik, Raja Farhana, 26, disenaraikan sebagai salah seorang daripada dua pengarah syarikat.

Dilaporkan, beliau memiliki 399.999 daripada 400,000 unit saham. Bermakna, secara praktikal, beliau adalah pemilik tunggal syarikat dengan pengarah yang lain hanya memiliki satu saham.

Syarikat itu yang ditubuhkan hampir 20 tahun lalu semasa Raja Farhana masih di darjah satu, mempunyai kerugian dibawa ke hadapan berjumlah kira-kira suku juta dan liabiliti semasa kira-kira RM400,000 terhadap aset semasa, sumber dipetik.

Hobi pelik susahkan jiran

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Hobi pelik seorang wanita tua mengumpul dan melonggokkan barang terbuang dan sampah di ruang tamu serta laman rumahnya menimbulkan kacau ganggu kepada jiran tetangga yang tinggal di Jalan 11 Taman Bukit Kuchai, di sini.

Difahamkan, aktiviti dijalankan lebih 30 tahun lalu dan turut menjadi pendapatan sampingan warga emas berusia 70 tahun itu dikatakan menjadi punca lebih 200 penduduk sekitar diancam masalah pembiakan tikus dan juga haiwan berbisa.

Penduduk, Ahmad Mansor, 62, berkata, dia pernah menasihati jiran yang tinggal selang dua rumah dari kediaman dihuninya namun kata-katanya seolah-olah tidak diambil peduli.

Menurutnya, selain terpaksa menghidu bau busuk, penduduk juga berdepan masalah tikus yang bermaharajalela di rumah wanita warga emas berkenaan.

Ahmad berkata, dia sudah mengadu kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak 2010. Apabila melihat isu itu tidak juga selesai, dia kemudian menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui panggilan telefon untuk membuat aduan sebelum maklum balas diterima mengatakan pihak itu akan mengambil tindakan susulan.

Adakah Sudah Sempurna Luaran Kita Ini?

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Dewasa ini kita sering dikhabarkan dengan kes-kes perilaku sumbang mahram, perlakuan seks luar tabie, rogol yang melibatkan orang luar malah dikalangan keluarga rapat sendiri seperti bapa rogol anak,abang rogol adik kandung dan sebagainya.

Antara faktor utama kejadian seperti ini yang menimbulkan simpati masyarakat adalah pengabaian masyarakat Islam dalam penjagaan aurat antara lelaki dan perempuan, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.Seolah-olah kewajiban menjaga aurat adalah hukum yang dianggap remeh.

Sebagai salah seorang mahasiswa di Perlembahan Nil, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan perihal masalah ini yang sering dianggap biasa. Naluri mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan dan jika beliau memang antara seseorang yang mendalami ilmu Islam.

Yang sedihnya, terdapat segelintir golongan yang memahami ini jugalah yang melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Contohnya, berseluar pendek, berbaju ketat dan sebagainya.

Pengertian Aurat
Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.
Definisi lain ialah sesuatu yang tidak dibenarkan wanita mempersembahkannya di hadapan lelaki ajnabi ataupun sebaliknya.

Dalil-dalil berkenaan penjagaan aurat :

Maksud ayat al-Quran,
Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
(Al-A'raaf 7:31)

Rasulullah saw bersabda:
"Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram."
(Hadith Riwayat Aththahawi)

"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, 'Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?' Nabi saw menjawab, "Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu."
(Hadith Riwayat Bukhari)

"Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya."
(Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)

Jadi berdasarkan dali-dalil di atas menjadi kewajipan ke atas kita menjaga aurat, Maka hukum di sini jika kita membukanya adalah haram dan ditegah dalam agama. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk perubatan. Orang-orang yang suka mendedah aurat mereka pasti akan di azabkan dengan azab yang pedih di akhirat kelak

Batasan-batasan aurat :

A.Aurat di khalayak awam
1 Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.

B.Aurat dengan ahli keluarga
1. Aurat Lelaki, antara pusat dan lutut2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut

C.Aurat sesama jenis (dengan syarat tiada fitnah)
1.Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut
2.Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut
*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.

D.Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)
1.Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan yang wajib ditutup.
2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut

Etika menutup aurat
1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya

2.Tidak menyerupai dengan kaum yang ingkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.

3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.

4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.


Hukum melihat aurat
Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jenis, seperti melihat seorang lelaki kepada aurat seorang lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Lebih berat lagi jika memandang kepada aurat yang berlainan jenis seperti seorang lelaki melihat kepada aurat perempuan dan sebaliknya. Semua aurat haram dilihat sekalipun seurat rambut perempuan yang telah tercabut dari tuan empunyanya. Apatah lagi melihat kepada artis perempuan masa kini.

Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua
Namun jika melihat kepada aurat sendiri ia dimakruhkan, samada seorang lelaki ataupun perempuan. Makruh juga membuka aurat di tempat yang sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.

Jika terpaksa, seperti perubatan, harus bagi seorang ahli perubatan sesama jenis dengan pesakit melihat kepada aurat pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Seperti ahli perubatan perempuan melihat kepada aurat pesakit perempuan dan sebaliknya.

Jika ahli perubatan berlainan jenis dengan pesakit, seperti ahli perubatan lelaki dan pesakit perempuan, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani dan dengan syarat tiadanya ahli perubatan perempuan di sana. Ketika ini, haruslah melihat kepada aurat pesakit tersebut.

Kesimpulan
Justeru,jagalah aurat dan pakailah pakaian mengikut akhlak Islamiyah. Segala yang dianjurkan Islam adalah untuk mejaga umatnya daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.
Wallahu'alam.

- Artikel iluvislam.com

Bisa haiwan ubat mujarab

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TOKSIN siput kon berjaya diubah sebagai penawar Parkinson, Alzheimer, kemurungan, ketagihan nikotin dan skizofrenia.

PENGGUNAAN toksin reptilia seperti ular, biawak Gila Monster, kala jengking, sengat tebuan dan labah-labah sudah lama diamalkan dalam perubatan alternatif homeopati.

Bagaimanapun, bisa haiwan semakin diterima dalam perubatan moden khususnya untuk dijadikan penawar penyakit kronik.

Pengarah Taman Reptilia Australia, John Weigel memberitahu, penghasilan bisa antivenin diperlukan bagi kes individu dipatuk ular.

“Sekurang-kurangnya 50 hingga 600 ular berbisa digunakan setiap dua minggu sekali di Australia bagi proses pengekstrakan bisa.

“Bisa itu bagi menyelamatkan kira-kira 300 nyawa mangsa patukan ular berbisa setiap tahun,” katanya.

Weigel berkata, ramai pengkaji perubatan cuba mendapatkan ular jenis Brazil di Australia kerana keupayaannya menghasilkan penawar tekanan darah tinggi serta gangguan kardiovaskular lain.

Siput penawar

Lebih kurang 560 daripada hampir 3,000 spesies ular di dunia adalah berbisa manakala 10 daripada sejumlah ular paling berbisa boleh ditemui di Australia.

Bukan sekadar bisa ular yang mampu menjadi penawar penyakit kronik. Biawak, haiwan yang dianggap menggeli dan menjijikkan hakikatnya berupaya melaraskan kandungan glukosa dalam darah manusia.

Kandungan air liur biawak Gila Monster atau nama saintifiknya, Heloderma suspectum boleh menurunkan paras gula pesakit diabetes jenis kedua.

Ubatan yang diperoleh daripada air liur biawak itu dikenali sebagai Byetta. Ia berkesan merangsang perembesan insulin sebagai tindak balas terhadap kandungan glukosa yang tinggi dalam darah.

Selain itu, apabila hormon glukagon yang membantu meningkatkan kandungan glukosa dalam darah disekat, ia berfungsi mengurangkan berat badan seseorang.

“Apabila orang mendengar Byetta boleh menurunkan berat badan, ia serta-merta menjadi laris,” kata pakar farmasi dan diabetes Australia, Sandra Leal.

Dalam pada itu, siput mudah didapati di sungai dan lautan serta enak dimakan. Namun, lain pula halnya dengan siput kon.

Ini kerana siput itu mampu melemahkan mangsanya seperti ikan, cacing dan moluska dengan menjelirkan lidah yang berbentuk jarum sebelum menyuntik sejumlah toksin ke dalam badan mangsa.

Para saintis berpendapat, individu yang disengat siput kon berisiko 90 peratus untuk mati.

Namun, saintis telah berjaya mengubah toksin spesies siput itu menjadi ubat untuk merawat pelbagai gangguan sistem saraf seperti Parkinson dan Alzheimer, serta mengawal kemurungan, ketagihan nikotin dan skizofrenia.

Terdapat lebih 500 spesies siput kon yang lazim ditemui di kawasan terumbu karang.

Seorang saintis daripada Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS), Miqin Zhang pula membuat penyelidikan mengenai bisa kala jengking jenis Deathstalker yang berpotensi mengubat kanser otak.

Katanya, kandungan klorotoksin dalam bisa haiwan itu mampu mengubat kanser otak dengan konsep terapi gen.

“Klorotoksin menghapuskan gen pencetus tumor penyebab kanser otak,” ujar Zhang.

Tidak terhenti begitu sahaja, sengat lebah tarantula, kala jengking dan ular tedung didakwa berkesan mengubat pelbagai penyakit kronik.

Pakar perubatan dari Amerika Syarikat (AS), Samuel A. Wickline menemui protein pada sengat lebah iaitu melittin untuk merawat kanser.

kosmo/-

Ikhwanul Muslimin bantu calon presiden

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Ulama konservatif dan pendakwah televisyen memuji calon presiden Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, ketika beribu-ribu penyokong berkumpul memberi sokongan kepadanya di stadium di bandar raya perindustrian Lembah Nil dengan tinjauan menunjukkan kedudukannya masih lemah.

“Kami lihat impian mewujudkan pemerintahan Khalifah Islam menjadi satu kebenaran di tangan Mohammed Morsi. Ibu negara Khalifah dan Negara Arab Bersatu ialah Baitulmaqdis, Insya-Allah,” kata ulama

Safwat Hegazy ketika beribu-ribu penduduk bersorak dan mengibarkan bendera Ikhwanul Muslimin berwarna hijau sambil melaungkan: “Rakyat mahu laksana undang-undang Allah.”
Calon presiden Ikhwanul Muslimin pada awalnya Khairat el-Shater, tetapi beliau tidak layak bertanding berikutan sabitan ketika pemerintahan Mubarak. Ia memaksa mereka menjadikan Morsi sebagai calon meskipun tidak sekuat Shater.

Morsi bergelut mengumpul pengundi untuk berdepan dengan persaingan Abdel-Moneim Abolfotoh, yang lebih sederhana dan mendapat sokongan parti lebih konservatif, Salafi.

Seorang lagi calon ialah Perdana Menteri terakhir ketika pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq yang turut rancak mengumpul sokongan menjelang pemilihan presiden minggu depan.

Bagi sebahagian rakyat, pengalaman dan latar belakangnya sebagai bekas komander tentera udara menjanjikan pengakhiran kepada krisis melanda negara itu sejak penyingkiran Mubarak.
Beliau juga berdepan kritikan bagi mereka yang melihat beliau sebagai tinggalan rejim lama. Minggu ini Shafiq terpaksa menangkis serangan pembabitannya dalam penjualan tanah diperuntukkan bagi kakitangan tentera kepada anak lelaki Mubarak.

Tidak hairanlah, ketika kempen pemilihan presiden tinggal sembilan hari, Ikahwanul Muslimin membuat perubahan drastik apabila lebih berani menyatakan keinginan menjadikan Islam dan undang-undang Syariah sebagai teras pentadbiran negara.

Ia juga semakin jauh daripada penampilan lebih sederhana yang pernah ditunjukkan sebelum kejatuhan Hosni Mubarak 15 bulan lalu. Ketika berkempen untuk pilihan raya Parlimen lewat tahun lalu, Ikhwanul Muslimin menegaskan pelaksanaan undang-undang Syariah bukan keutamaannya.

Pergerakan itu juga mahu meredakan kebimbangan ia mahu mengambil alih negara itu dengan berjanji bekerjasama dengan parti lebih liberal.

Pengkritik dan anggota Ikhwanul Muslimin berkata ketegasan itu menunjukkan wajah sebenar kumpulan berusia 82 tahun itu, yang ditubuhkan oleh ulama sejak berdekad lalu tidak memberi peluang kepada tokoh lebih sederhana dan mengambil alih kepemimpinannya.

Ulama konservatif, kata bekas anggota pergerakan itu, lebih bersikap konfrontasi dan berazam melaksanakan undang-undang Islam dan tidak mungkin mahu berkongsi kuasa dengan pihak lain.

Bekas anggota juga percaya kumpulan itu juga sebenarnya kecewa kerana kuasa politik sekian lama diimpikan semakin terlepas daripada genggaman. Ikhwanul Muslimin muncul daripada pilihan raya Parlimen sebagai parti terbesar dalam perundangan, kejayaan dianggap sebagai bukti ia berhak meneruskan agenda mereka. – AP/Reuters

Tayang punggung jihad baru ala-Umno?

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

APAKAH sebabnya Umno menyuburkan budaya kurang ajar di kalangan orang Melayu? Tidak cukup dengan menjerit-jerit serta memaki hamun dengan kata-kata kesat, membuat kecoh dan menayangkan punggung (punggung) ke arah rumah Dato' Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Lebih memalukan, ada kalangan askar-askar pencen (bekas perajurit) yang menayangkan punggung mereka itu sudah berusia dan ada yang memakai ketayap. Bersenam dalam keadaan menonggeng, menghalakan punggung ke arah rumah Ambiga.

Mereka berbuat demikian kerana mendakwa, Ambiga termasuk dalam golongan anti-Islam, anti-Melayu. Lebih teruk lagi mereka mengecam Ambiga kerana mendukung perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender).

Kita harus punyai pendirian yang jelas. Kita tidak menyokong Ambiga dalam semua perkara. Kita menyokong perjuangannya di dalam Bersih yang mahukan sistem demokrasi dalam negara dirombak dan diperbaiki.

Namun, sejahat manapun Ambiga seperti yang digambarkan media Umno-BN, tidak harus sama sekali Umno, yang mendakwa ia mempunyai ahli berbangsa Melayu dan beragama Islam yang terbesar dalam negara membiarkan individu seperti Ambiga menerima balasan sedemikian rupa.

Menyerang dan memberi tekanan kerana orang yang dibenci Umno, khususnya kebencian yang dipupuk menerusi media Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star, TV3, RTM dan Astro, adalah sesuatu yang tidak wajar.

Ambiga bukan Islam. Kita tidak boleh menyekat orang kafir yang berpegang dengan fahaman mereka, kecuali mereka menyerang dan menghina Islam secara terang-terangan. Kecuali jika mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Itu Ambiga yang bukan Islam, didakwa menyokong LGBT. Tetapi bagaimana dengan orang Islam yang menyokong LGBT? Dato' Marina Mahathir misalnya. Ada laporan menyatakan, beliau dipetik sebagai berkata:

"For the struggle, ask me. I have been defending the LGBT community’s rights for over 20 years now"

Dengan kata-kata ini, apakah kumpulan NGO yang pro-Umno sedia untuk menayang punggung mereka di hadapan rumah Dato' Marina Mahathir yang turut sama menyertai Bersih 3.0 dan juga mendukung perjuangan LGBT?

Apakah kumpulan NGO pro Umno ini dibenar membuka gerai jualan burger di hadapan rumah Marina? Atau pun mereka mengumpulkan beberapa kerat juak fanatik yang bengong berkumpul sambil menjilat ais krim? Atau ada sekelompok yang melakukan senamrobik sambil mengibas-gibaskan punggung macam Keldai?

Marina bukan calang-calang orang. Anak bekas Presiden yang paling lama dalam Umno. Bapa dia pun masih hidup lagi. Tidak henti-henti menyerang PAS, KeADILan dan DAP. Menyerang Bersih 3.0 dan sebagainya. Tetapi anak bekas Presiden Umno, sudah berbeza pandangan dengan bapanya dalam hal-hal tertentu.

Mengapa tidak golongan yang berhimpun di hadapan rumah Ambiga, beralih ke rumah Dr Mahathir Mohamad.

Pergi cakap pada dia, "Dei mamak kutty, itu anak pandikutty sokong LGBT, sokong Bersih, kita mahu cakap depan dia punya muka, kita mahu tunjuk kita punya belakang pada dia.." Kita hendak tengok apa respon Dr Mahathir jika perlakuan terhadap Ambiga diulangi di hadapan Marina.

Penulis sekadar melontarkan hipotesis. Siapapun Ambiga, siapapun Marina, kita tidak harus sesekali membenarkan mereka menerima ancaman sedemikian rupa.

Perbuatan yang tidak bermoral seperti mereka ini, tidak seharus-harus kita izinkan walau atas apa sebab sekalipun. Pertama kerana ia bertentangan dengan akhlak Islam; Kedua, ianya bukan budaya orang-orang Melayu.

Orang Melayu, orang Islam di Malaysia ada budaya dan adat istiadat yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru, jangan sesekali seseorang individu tersebut dimusuhi, maka diberikan segenap ruang untuk masyarakat fanatik yang rasis melakukan serangan berbentuk fizikal terhadap mana-mana pihak.

Sebelum ini, kita dapat menyaksikan, bagaimana sekelompok NGO yang mendukung perjuangan Umno, melakukan provokasi yang amat-amat jijik serta tidak bermoral terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Tidak cukup dengan ancaman hendak memukul beliau secara peribadi, diupah orang menghantar keranda, dihantar kek berupa najis, dikalungkan gambar seperti orang mati terhadap beliau.

Tidakkah ini merupakan perbuatan yang sangat kurang ajar? Apa bangsa pun, sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, mahupun golongan mamak di Pulau Pinang, mereka harus memaksikan kehidupan mereka dengan nilai-nilai moral yang amat tinggi.

Supaya, suatu hari nanti, masyarakat dunia akan memandang tinggi tatasusila dan kesopanan seluruh bangsa Malaysia.

Malangnya yang wujud hari ini, akibat kebencian politik yang dipupuk menerusi media Umno-BN, kesopanan bangsa itu sudah tidak wujud. Bangsa sudah bertukar menjadi bangsat. Golongan bangsat politik, demi untuk mempertahankan kuasa, menyuburkan perlakukan yang amat jijik.

Mana fatwa Mufti Tan Sri Harussani Zakaria? Mana fatwa Ustaz Fathul Bari Mat Jaya terhadap perlakukan sebegini? Apakah perlakukan mereka ini sah dari sisi Islam Umno?

Apakah Islam menggalak ancaman sedemikian dilakukan ke atas Ambiga dan Guan Eng?

Apakah dengan menunjukkan punggung di hadapan rumah orang kafir seperti Ambiga, dianggap suatu jihad mereka mereka memperjuangkan Islam yang menyanggahi LGBT?

Keluarkanlah fatwa sebagaimana cabulnya mulut mufti dan ulama Umno mengecam PAS, pagi petang siang dan malam.

Beritahu kepada kami, apakah dengan menayangkan punggung di hadapan rumah orang kafir itu, suatu jihad baru cara Umno?

Harakah Daily

Imej teruk: PAS simpati kepada polis baik

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Mei: PAS melahirkan rasa simpati kepada polis yang baik sehingga malu untuk mengaku bekerja sebagai polis ekoran imej pasukan itu semakin teruk pada padangan masyarakat awam.

“Ini semua angkara ‘nila setitik susu sebelanga binasa’,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Justeru, ujarnya sudah sampai masanya rakyat menuntut supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan segera untuk membendung tindakan liar polis.

“IPCMC pada mulanya dulu dipersetujui oleh Tun Abdullah Badawi, ketika jadi PM, akan tetapi pihak polis menentang, maka IPCMC pun ghaib dan dilupakan orang,” ujarnya.

Katanya, polis menentang kerana mereka tidak mahu disiasat oleh badan lain kecuali oleh polis sendiri.

Beliau merujuk laporan terbaru daripada pihak Bersih 3.0 yang melaporkan seorang peserta Bersih 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, katanya seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Sehubungan itu, Idris mempersoalkan apa sudah jadi dengan institusi polis.

Baginya, jika itu yang berlaku, maka tidak hairanlah samseng Jalan Kebun Klang bebas memukul orang yang hadir mendengar ceramah Pakatan Rakyat.

“Jika di dalam balai polis tidak selamat, tempat mana lagi yang rakyat selamat.

“Apakah masih ada lagi sisa-sisa peninggalan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor yang mencederakan Datuk Seri Anuar Ibrahim ketika berada di dalam lokap,” ujarnya lagi.

Katanya, IPMC hanya melibatkan polis yang jahat sahaja.

“Polis yang baik dan profesional kenapa perlu takut,” katanya.

Menurutnya, keganasan polis memang diakur oleh siasatan Suhakam ketika Bersih 2.0 tetapi malangnya suruhanjaya itu hanya boleh menyiasat tetapi tidak boleh mendakwa.

Harakah Daily

Nanas kembar 15 bentuk hati

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT SELAMBAU – Seorang peniaga kedai perkakasan terkesima apabila suaminya membawa pulang nanas kembar 15 seberat 7.7 kilogram yang tumbuh di ladang getah mereka di Kampung Sungkup, Bukit Selambau.

Menurut Zuraini Md Isa, 41, nanas unik itu menjadi bualan penduduk kampung dan pengunjung yang memenuhi kedai mereka yang terletak depan masjid Bukit Selambau untuk melihat secara dekat, apabila buah itu diletak sebagai pameran.

“Nanas ini agak pelik sebab berbentuk hati, mempunyai 15 buah yang bercantum di bahagian tengah. Kalau dilihat secara kasar memang nampak ada yang sudah masak dan ada yang masih hijau,” katanya.

Zuraini berkata, dia dan keluarga tidak berhasrat untuk menjadikan buah nanas itu hidangan atau dimasak memandangkan kejadian disifatkan sangat unik dan tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Sinar Harian

Suspek dera budak ditahan

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Suspek yang dipercayai terbabit dalam kes dera melibatkan anak teman wanitanya berusia dua tahun dalam kejadian di Kampung Tualang, di sini, 20 April lalu berjaya diberkas polis di Kampung Manir, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek yang bernama Azhar Yusof, 31, diberkas kira-kira jam 2 petang semalam semasa berada di kedai makan ibunya.

"Pada jam 1.30, anggota kami membuat rondaan di hadapan kedai makan ibu suspek dan ternampak kelibat suspek berada di dalam kedai berkenaan.

"Bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran kami, suspek cuba melarikan diri ke belakang kedai ibunya, namun dia berjaya diberkas selepas berlakunya sedikit pergelutan kerana suspek berdegil dan melawan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, akibat pergelutan itu, suspek mengalami kecederaan ringan iaitu cedera di bahagian kening kanan.

Katanya, suspek yang turut didapati positif pil methamphetamine akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih dari RM20,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Katanya, dengan penangkapan suspek, kes dera melibatkan kanak-kanak malang itu selesai dan pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan undang-undang.

"Kami memandang serius kesalahan ini dan akan cuba pastikan suspek dikenakan hukuman paling tinggi berdasarkan kecederaan yang menimpa kanak-kanak malang itu," katanya.

Sementara itu, Manoharan berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa kini masih menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan berkemungkinan mangsa akan mengalami kecacatan kekal dari aspek fizikal dan otak walaupun berjaya dibedah.

Pada, Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera di kepala selepas dipercayai dipukul teman lelaki ibunya dalam satu kejadian di sebuah kampung di Manir.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, difahamkan suspek tidak dapat tahan dengan kelakuan aktif kanak-kanak terbabit menyebabkan dia hilang sabar dan memukul mangsa hingga menyebabkan cedera.

Sinar Harian

Ibu lihat anak melambung

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Seorang ibu kepada dua anak hanya mampu melihat badan anak sulungnya melambung ke udara sebelum terperosok ke bawah kereta dalam kemalangan awal pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Hambali Nasir, 14, dalam perjalanan dari rumahnya hanya beberapa meter dari tempat kejadian di hadapan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang sebelum motosikal yang diboncengnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Faridah Sulaiman, 41, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar anak bongsunya ke Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang sempat melihat badan anaknya melambung tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurutnya, sebaik anaknya jatuh terperosok ke bawah kereta, dia terus mendapatkan anaknya serta berusaha menariknya keluar dari bawah kereta.

"Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan saya yang agak panik ketika itu.

"Ketika kejadian saya benar-benar terkejut sehingga lupa nombor telefon suami," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mertuanya di belakang Pasaraya Pantai Timur.

Faridah berkata, Muhammad Hambali tidak menunjukkan banyak perubahan sebelum kemalangan, cuma sejak sebulan lalu dia kerap mengadu badannya lemah serta lesu.

Menurutnya, pagi semalam juga arwah anaknya tidak mahu ke sekolah kerana penat dan letih.

"Dia kerap mengadu penat dan letih tanpa sebab, walau pun dia tidak mahu ke sekolah semalam saya tetap memujuk dan dia akhirnya akur ke sekolah.

"Selalunya sebelum keluar ke sekolah arwah bersalam serta mencium tangan saya, tetapi semalam dia tidak melakukan rutin hariannya itu," katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak sulungnya itu.

Faridah berkata, sebagai ibu dia cukup bangga dengan anaknya yang turut menunjukkan perkembangan membanggakan dalam pelajaran.

Menurutnya, anaknya baru menerima anugerah kecemerlangan di sekolah baru-baru ini, bagaimanapun pasrah dengan dugaan ini.

"Kebiasaannya arwah yang menunggang motosikal sementara rakannya yang cedera pada bahagian kaki membonceng tetapi hari ini sebaliknya apabila dia yang membonceng," katanya.

Sementara itu, nenek arwah, Azizah Ismail, 71, berkata, dia sempat membawa cucunya bercuti di Hadyai dan dia kelihatan begitu seronok memandangkan jarang dibawa melancong keluarganya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan dan dia tidak menyangka itu merupakan percutian terakhir bersama arwah.

Jenazah arwah yang meninggal di Hospital Daerah Pasir Mas kira-kira jam 10 pagi semalam dituntut keluarga dan dikebumikan 2 petang di Tanah Perkuburan Islam rantau Panjang.

Sinar Harian

Askar bengkak kedua mata, pecah gegendang telinga

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang askar cedera di kedua-dua belah mata serta mengalami pendarahan pada gegendang telinga dipercayai akibat dibuli anggota senior, di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20 tahun yang baru dua tahun menyertai pasukan keselamatan itu dipercayai dibuli ketika sesi ‘salam perkenalan’ kira-kira 11.30.

Sumber memberitahu, mangsa sebelum itu didatangi tiga anggota senior dan menyuruh mangsa datang ke bilik mereka.

Menurutnya, mangsa kemudian pergi ke bilik anggota senior berkenaan, namun setibanya di sana, mangsa terkejut apabila mendapati lima anggota senior lain berada dalam bilik berkenaan.

“Salah seorang dari anggota senior berkenaan tidak berpuashati dengan mangsa dan menyuruh mangsa memanggil rakannya yang berada di dalam bilik untuk turut bersama dengan mangsa.

“Difahamkan, salah seorang anggota senior mendakwa mangsa berlagak seperti orang lama semasa menjalani kursus, namun mangsa menafikan dakwaan berkenaan,” katanya.

Menurut sumber lagi, salah seorang dari anggota senior menampar muka mangsa tidak kurang sepuluh kali sehingga mangsa terjatuh di atas lantai bilik berkenaan.

“Semasa mangsa cuba bangun, anggota senior tadi kemudian menampar pipi mangsa beberapa kali hingga mangsa hilang kawalan lalu tersungkur di atas lantai sekali lagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut sumber, selepas mangsa menyedari mukanya bengkak, salah seorang anggota senior bertanya sama ada mangsa akan melaporkan kepada pihak atasan, namun mangsa menafikannya kerana takut.

Katanya, kira-kira sejam setengah selepas itu, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan doktor mengesahkan kedua belah matanya berlaku pendarahan di bahagian dalaman.

“Manakala gegendang telinga mangsa didapati pecah akibat berlaku pendarahan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang, kira-kira 3.30 pagi, semalam.

Sementara, itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Sinar Harian