15 May 2012

Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Selepas 54 tahun kita sudah merdeka, terdapat ramai rakyat Malaysia yang masih memiliki kad pengenalan merah. Sebahagian besar atau hampir kesemua yang memiliki kad pengenalan merah ini adalah dari kalangan kaum India. Saya tidak pernah mendengar masalah kad pengenalan merah dari kalangan kaum Melayu. Jarang sekali kita bertemu dengan orang-orang cina yang masih memegang kad pengenalan merah. Walaupun ada juga segelintir orang- orang cina yang masih memegang kad pengenalan merah tetapi jumlah itu tidak signifikan.

Tetapi, masalah kad pengenalan merah dari kalangan masyarakat India adalah satu masalah yang serius dan perlu diberi perhatian yang khusus. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan kerajaan yang tidak prihatin terhadap kebajikan orang-orang India.

Lebih 54 tahun masyarakat India telah dianak tirikan di negara ini. Masalah kad pengenalan merah tidak pernah menjadi fokus kerajaan Barisan Nasional. Mereka tidak mempedulikan masyarakat India yang berbakti dan berjasa dalam pembangunan dan kemajuan negara ini. Masyarakat India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional sehingga PRU 11. Tetapi, kerajaaan Barisan Nasional pula tidak mengenang budi kaum India. Terdapat banyak kes dimana walaupun permohonan kad pengenalan biru dibuat berulang kali tetapi ditolak oleh kerajaan dengan pelbagai alasan.
Apabila masalah ini telah meruncing ada pihak-pihak yang tidak bermaruah dari kalangan Barisan Nasional muncul untuk membantu mangsa diskriminasi kerajaan Barisan Nasional itu sendiri.

Puak-puak ini harus berasa malu kerana kecuaian dan kegagalan mereka inilah yang menyebabkan masyarakat India masih mundur di negara kita.
Macam-macam program seperti Mydaftar dan sebagainya dilaksanakan untuk menutup kesilapan mereka selama ini. Tetapi, apakah hasilnya? Berapa ribukah orang India yang memohon itu sudah berjaya mendapat kad pengenalan biru? Benarkah program Mydaftar yang dianjurkan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan masalah kad pengenalan merah di negara kita?

Sedih melihat orang-orang yang mendapat kad pengenalan biru kebanyakkannya adalah warga emas. Mereka telah hilang usia muda yang produktif dengan memegang kad pengenalan merah. Mereka hidup di negara ini sebagai pendatang walaupun mereka lahir di sini. Mereka tidak dapat kerja yang baik, tidak ada caruman KWSP dan Socso. Mereka tidak boleh memiliki harta.

Mereka hilang hak untuk mendapat rawatan percuma di hospital. Mereka juga tidak pernah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selepas habis segala-galanya, baru mahu bagi kad pengenalan merah kepada mereka. Ada juga puak-puak tertentu yang berbangga dengan pencapaian mereka itu. Mereka seharusnya berasa malu dengan isu kad pengenalan merah ini, bukannya berasa bangga. Inilah golongan yang tidak mempunyai maruah dan harga diri yang sanggup menggadai bangsa sendiri untuk wang, pingat dan jawatan politik”
Saya akan mendedahkan kes-kes kad pengenalan merah yang masih tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional satu per satu.

Gambar seorang warga emas di Taman Permai, Bemban Batu Gajah yang lahir di Malaysia, ibu bapanya juga lahir di Malaysia, suaminya orang Malaysia, anak-anaknya juga dilahirkan di Malaysia. Tetapi beliau masih memegang kad pengenalan merah. Beliau sudah putus asa untuk memohon kad pengenalan biru. Bukankah ini satu kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang menganiyaya rakyatnya sendiri?

Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak

Dijemput ajal ketika kejar pencuri

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Rakan Koperal Rasul, Koperal Hamidin Daud yang juga merupakan pemandu kereta peronda polis berada di sebelah kenderaan yang remuk dilanggar lori curi yang mengundur.

ALOR GAJAH – Hajat dua anggota polis peronda untuk menangkap penjenayah yang melarikan sebuah lori membawa muatan perabot berakhir dengan seorang daripada anggota polis itu mati dilanggar kenderaan yang dikejar manakala penjenayah itu pula masih bebas.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Kampung Melekek di sini semalam, Koperal Rasul Tumin, 47, mati di tempat kejadian selepas digilis lori yang mengundur selepas kenderaan itu ditinggalkan oleh penyamun di jalan yang berbukit.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebelum tragedi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerima maklumat kehilangan sebuah lori tujuh tan yang membawa barangan perabot di Gemencheh, Negeri Sembilan pada pukul 6 pagi.

“Risikan pukul 6.55 pagi menemui lori tersebut berada di daerah Alor Gajah. Dua anggota polis peronda termaksud mangsa keluar mengesan kenderaan itu dan menemui lori tersebut di kawasan Masjid Tanah,” kata beliau ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Melaka di sini semalam.

Menurut beliau, Rasul yang menaiki kereta peronda dipandu rakan mengejar lori tersebut yang dipandu seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan tersebut.

Kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek.

“Ketika berada di ladang kelapa sawit itu, lori tersebut tidak mampu mendaki jalan berbukit.

“Suspek yang panik terus terjun dari lori itu dan meninggalkan kenderaan tersebut dipercayai tanpa brek tangan menarik sebelum menghilangkan diri,” kata beliau.

KOSMO/-

Gempa bumi sederhana di Lautan Hindi

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda utara Lautan Hindi pada 1.19 tengah hari, hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gempa bumi itu ialah di 636 km barat daya Great Nicobar Island, India dan 1,192 km barat daya Langkawi, Kedah.

Gempa bumi itu tidak mencetuskan ancaman tsunami, menurut jabatan itu. - Bernama

15 maut pesawat terhempas di Nepal

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KATHMANDU 15 Mei - Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban manakala enam lagi terselamat selepas sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan lapangan terbang altitud tinggi di utara Nepal semalam, lapor polis.

Dalam kejadian tersebut, pesawat milik Agni Air itu dikatakan terjunam di kawasan luar Lapangan Terbang Jomson, yang merupakan pintu masuk ke kawasan pergunungan Annapurna, sebaik sahaja juruterbang memaklumkan mengenai masalah pada pesawat.

Sementara itu, Kementerian Luar Denmark di Copenhagen memberitahu, dua penumpang yang merupakan rakyat Denmark terselamat dalam pesawat tersebut, kedua-dua mereka kini dirawat di bandar Pokhara kira-kira 60 kilometer daripada Jomsom. - AFP

Doa Tok Guru Nik Aziz iringi The Red Warrior

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan semua penyokong dan peminat The Red Warrior menjaga tatatertib mereka pada pertandingan akhir Piala FA menentang Sime Darby Sabtu ini.

Beliau berkata, selain menjaga keselamatan sepanjang perjalanan, rakyat negeri itu yang akan berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil nanti juga perlu menjaga nama baik negeri Kelantan sesuai dengan nama jolokannya sebagai 'Serambi Mekah'.

"Mudah-mudahan Allah selamatkan pemain kita. Sentiasa ingat kepada Allah. Dalam permainan kita jangan tinggal sembayang.

"Jaga tata tertib, mudahan Allah selamatkan kita semua baik pemain mahupun penonton," katanya dalam satu rakaman video yang dimuatkan di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, mengambil kira faktor keselamatan penyokong dari Kelantan yang akan membanjiri stadium nasional itu nanti, kerajaan negeri juga telah mengumumkan hari Ahad sebagai cuti peristiwa.

Pada masa yang sama, Tuan Guru turut mendoakan pasukan Kelantan agar berjaya membawa pulang piala FA itu nanti.

"Semoga The Red Warrior dapat pulang dengan kejayaan unggul menggenggam piala FA 19 Mei ini... yang penting permainan biarlah bersemangat, penonton pula jagalah akhlak dan peribadi sesuai dengan semangat kesukanan," katanya lagi.

Harakah Daily

PAS bimbang manipulasi agar Najib terus berkuasa

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) bimbang manipulasi besar akan berlaku dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus berkuasa.

"Najib amat terdesak untuk terus berkuasa bagi membolehkan beliau terus melarikan diri dari inkuiri yang menyiasat urusniaga kerajaan Malaysia membeli kapal selam Scorpene yang kini sedang berlangsung.

"Jika Umno tidak lagi memerintah, kerajaan yang baru pasti akan memberikan sepenuh kerjasama kepada Interpol untuk mengheret Najjib menghadap inkuiri tersebut," katanya.

Sebab itulah, katanya, rakyat perlu berhati-hati dan merasa bimbang terhadap kemungkinan manipulasi tersebut.

Salahuddin juga berharap Perdana Menteri dapat menjaga nama baik dan maruah negara serta tidak melarikan diri dari inkuiri itu.

"Kalau Perdana menteri mempunyai integriti dan mahu dilihat sebagai seorang yang bermaruah dan bermoral, beliau sepatutnya memberikan segala kerjasama kepada apa jua proses perundangan yang berkaitan termasuk inkuiri bagi menyiasat urusniaga kapal selam itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu semakin menimbulkan kecurigaan rakyat dan juga masyarakat antarabangsa terhadap Perdana Menteri.

Zahid berkata, mahkamah Perancis tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan rakyat Malaysia membuat pengakuan dalam inkuiri tersebut.

"Jangan sampai Perdana Menteri dilihat oleh rakyat dan dunia sebagai orang bersalah," kata Salahuddin.

Baginya, perbuatan melarikan diri dari peluang untuk membersihkan nama dan maruah akan menyebabkan seseorang itu dilihat bersalah.

"Orang yang tidak bersalah sentiasa mencari forum yang diiktiraf seperti perbicaraan mahkamah atau inkuiri seperti yang dibuat di Perancis itu untuk membersihkan namanya," katanya.

Najib, kata beliau, tentu tahu kata-kata yang begitu popular di kalangan orang-orang Melayu iaitu "berani kerana benar dan takut kerana salah".

"Orang tak bersalah bersikap berani kerana beliau berada di pihak yang benar, orang takut pula biasanya merasa begitu takut kerana ia bersalah," katanya.

Peguam Perancis Joseph Breham yang mewakili NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia dalam kes sivil di mahkamah negara itu berkata, hakim mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap antarabangsa sekiranya perintah sepina ditolak, termasuk meletakkan "arahan merah" (red alert) bersama polis dunia Interpol.

Harakah Daily

Beza pendapat: DAP tidak minta Tunku Aziz undur

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mei: DAP tidak sesekali mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kerana menyuarakan perbezaan pendapat atau meminta beliau keluar parti atau meletak jawatan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, apabila mengumumkan perletakan jawatannya daripada parti, Tunku Abdul Aziz telah menyatakan ‘perbezaan pendapat’ sebagai sebab, atas perselisihan dengan pendirian rasmi DAP untuk menyokong Bersih 3.0 dan menyertai protes ‘duduk-bantah’ di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Katanya, DAP memberi ruang yang luas dan tempat untuk Tunku Abdul Aziz untuk kekal sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan serta boleh menerima perbezaan pendapat dengan DAP atas usaha Bersih untuk membuat protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih.

Mengikut laporan Malaysiakini, ujarnya Tunku Abdul Aziz telah menyatakan bahawa akibat perselisihan pendapat secara terbuka dengan DAP, beliau sendiri tidak ingin dicalonkan semula sebagai senator Pulau Pinang selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Mei 2012, dan juga menyatakan bahawa beliau tidak diberhentikan daripada jawatannya dalam Dewan Negara oleh DAP.

Tunku Aziz juga, jelasnya telah mencadangkan kepada pimpinan parti supaya “mengambil tindakan tatatertib yang setimpal dengan ahli-ahli lain” kerana menyuarakan pendapatnya yang berbeza.

Guan Eng menjelaskan, oleh sebab tindakan tatatertib tidak diambil, Tuan Aziz mengambil keputusan untuk letak jawatan daripada DAP untuk mengelakkan malu.
“Saya ingin menyatakan kedukacitaan terhadap pengumuman Tunku. DAP percaya dalam prinsip kebebasan untuk bersuara dan setiap ahli dan pemimpin mempunyai hak untuk berbeza pendapat.

“Saya tidak setuju bahawa tindakan tatatertib harus diambil ke atas Tunku kerana berbeza pendapat dengan parti atas hak Bersih untuk melakukan protes ‘duduk-bantah’ di Dataran Merdeka,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Sememangnya, kata beliau terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli parti di setiap tahap kerana Tuanku Aziz telah mengambil pendirian terbuka yang bertentangan dengan parti dalam isu Bersih sebelum dan juga selepas perhimpunan pada 28 April.

Namun begitu, ujarnya jika Tunku berhak untuk menyuarakan pendapatnya yang berbeza, hak parti untuk menyatakan pendirian dalam isu dasar yang asas itu harus dihormati juga.

“Saya berasa dukacita kerana Tunku ingin keluar dari parti disebabkan perbezaan pendapat dalam isu Bersih,” katanya.

Harakah Daily

Penunggang motosikal maut

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS - Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 28 Jalan Lipis-Merapoh, kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa, Badrullah Mat Star, 20, yang sedang menunggang motosikal berseorangan sedang dalam perjalanan dari arah Merapoh ke Kuala Lipis.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Persona yang dipandu seorang wanita.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa tidak dapat mengawal motosikal yang ditungganginya dan terjatuh di laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, dalam masa sama sebuah treler tanpa muatan yang datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh telah melanggar mangsa.

“Pemandu treler berusia 25 tahun itu tidak sempat menekan brek dan melanggar mangsa yang berada di atas jalan.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kechau Tui, Lipis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222.

Sinar Harian

EPL: Tevez hina Ferguson, City minta maaf

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KELAB Manchester City memohon maaf kepada Manchester United (MU) ekoran tindakan penyerang mereka, Carlos Tevez yang membuat sepanduk ejekan atas kekalahan pasukan Sir Alex Ferguson menjulang gelaran juara Liga Perdana Inggeris yang berakhir kelmarin.

Dalam satu kenyataan dibawa BBC, wakil jurucakap City berkata, "kami mengakui kesilapan Tevez, dan kami betul-betul malu dengan tindakan itu."

"Jadi, kelab kami ingin memohon maaf secara ikhlas kepada Ferguson di atas sikap keterlaluan yang dilakukan oleh Tevez," katanya lagi.

Pada masa yang sama, Tevez turut melahirkan rasa kesal selepas membuat banting dengan berbunyi 'R.I.P Fergie' semasa perarakan kemenangan City di bandarnya.

"Saya terlalu gembira hingga tidak menghormati Ferguson yang selama ini dikagumi oleh saya sebagai seorang pengurus terbaik di arena bola sepak.

"Dengan itu, saya mohon maaf secara terbuka kepada Ferguson kerana menghina kelab mereka," kata Tevez.

City mencipta kejutan dengan menjulang juara buat pertama kali sejak 44 tahun selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas pasukan Queens Park Ranger (QPR).

Sinar Harian

Simpang tiga laluan maut

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI MANIK - Simpang tiga di Kampung Sungai Tungku, sudah dianggap sebagai kawasan maut oleh penduduk sekitar disebabkan kemalangan sama ada melibatkan kecederaan mahu pun membawa maut sering berlaku, di kawasan itu.

Kira kira 3,000 penduduk di kawasan itu kini berdepan dengan risiko kemalangan maut apabila ketiadaan lampu isyarat di persimpangan tiga berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tungku, Kamaruddin Rahman, 59, berkata, persimpangan itu adalah jalan utama bagi pengguna untuk ke Teluk Intan - Kampung Gajah dan Chikus.

Menurutnya, berikutan ketiadaan kemudahan lampu isyarat, simpang itu menjadi sibuk.

“Kemalangan juga sering berlaku di persimpangan ini termasuk yang membawa kematian melibatkan penunggang motosikal, kereta, basikal malah pejalan kaki.

“Kami turut menganggap simpang tiga ini sebagai simpang maut kerana tidak selamat selain terdedah kepada kemalangan bila-bila masa,” katanya.

Katanya, tambah membimbangkan, laluan itu turut menjadi medan lumba buat ‘mat rempit’ terutama waktu malam.

“Diharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera demi keselamatan pengguna laluan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Keroh, Rajuddin 0toh, 60, berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada JKR membina lampu isyarat di lokasi itu.

Menurutnya, pihak JKR menyatakan kemudahan itu tidak perlu dibina dengan alasan simpang tiga berkenaan tidak terlalu sibuk.

“Alasan ini tidak relevan. Setiap bulan ada sahaja kemalangan berlaku tidak kira serius mahu pun sebaliknya.

“Sekiranya ada lampu isyarat, kadar kemalangan ini dapat dikurangkan sekali gus menjamin keselamatan pengguna,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi memastikan masalah itu ditangani segera.

“Kami tidak mahu lebih ramai penduduk menjadi mangsa selagi kemudahan lampu isyarat tidak dibina di lokasi bahaya ini,” katanya.

Sinar Harian

4 khemah masuk sungai di Taman Esplanade

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Kejadian berlaku sekelip mata, dua beg besar berisi permainan kanak-kanak serta khemah saya terbang ditiup angin kuat,” kata Mohd Zulkarnain Zuldin, 21, salah seorang mangsa ribut di Taman Esplanade, malam kelmarin.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, angin kuat mengakibatkan empat khemah peniaga termasuk khemahnya diterbangkan ribut hingga tercampak ke sungai.

“Pada mulanya, hati saya sudah tergerak untuk tidak membuka gerai kerana melihat keadaan cuaca yang mendung. “Pun begitu, selepas diyakinkan oleh peniaga lain, saya tawakal juga buka gerai,” katanya ketika ditemui semalam.

Zulkarnain berkata, ketika hujan turun, dia sudah berkemas-kemas permainan yang disusun di atas meja, namun tidak dapat memasukkan barang-barang itu ke dalam kereta berikutan sebuah lori menghalang keretanya.

“Bimbang permainan kanak-kanak itu basah, saya gantung beg itu di bahagian tiang khemah. Namun, nasib tidak menyebelahi saya apabila khemah dan barang-barang saya diterbangkan angin. “Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbangkan keselamatan diri, hanya membiarkan barang-barang itu tercampak ke dalam sungai,” katanya.

Katanya, ini bukan kejadian pertama yang berlaku, namun menyifatkan kejadian malam kelmarin paling buruk.

“Pendek kata, setiap kali hujan kami memang perlu bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan. “Sebelum ini, saya lihat khemah peniaga lain diterbangkan angin. Namun kali ini khemah saya pula yang menjadi mangsa,” katanya.

Tambahnya, kejadian ribut itu telah menyebabkan dia menanggung kerugian hampir RM 500.

“Tidak dinafikan, kejadian seperti itu secara tidak langsung menjejaskan perniagaan saya. Pun begitu, saya reda. Mungkin bukan rezeki saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Haslinda Hassan berkata, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang bertanggungjawab menarik keluar khemah dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran.

“Tugas MPK hanya membersihkan sampah di Taman Esplanade. Justeru, saya harap DPMM dapat memberikan kerjasama untuk menarik keluar khemah itu secepat mungkin bagi mengelakkan pencemaran,” katanya.

Sinar Harian

Dadah RM43j dirampas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menge­dar pil khayal eramin 5 bernilai RM43 juta dalam 15 serbuan serentak di Klang, Pulau Pinang dan di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis merampas 88,000 pil eramin 5 dan 282.62 kilogram serbuk yang boleh menghasilkan 2.3 juta pil.

“Sindiket didalangi warga tempatan­, pasaran utama di kalangan negara serantau, sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar berkaitan eramin 5 pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah, 12 kereta mewah dan wang RM82,305.

“Polis turut menahan 25 anggota sindiket, termasuk tiga warga Taiwan dan tiga warga Nepal, berumur antara 24 dan 60 tahun. Enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes narkotik,” katanya.

Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah premis berselindung di sebalik kedai membuat bingkai gambar di kawasan perindustrian di Klang.

“Polis menahan enam individu yang sedang memproses dadah di premis berkenaan. Sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu mendapat kepakaran memproses pil khayal daripada warga Taiwan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, dua makmal memproses dadah di Klang dan Pulau Pinang serta sebuah stor menyimpan bahan kimia itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sinar Harian

Gajah liar musnahkan 2 buah rumah orang asli

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GRIK - Dua keluarga masyarakat Orang Asli seramai 11 orang sempat menyelamatkan diri sebelum rumah mereka ranap dirobohkan sekumpulan gajah liar.

Kejadian di Kampung Pengkalan Balak, dalam Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Banun, pada pukul 8 malam Ahad.

Kehadiran 13 ekor gajah liar itu disedari Shukri Panan, 24, kira-kira pukul 8 malam ketika hendak memasang pelita di kawasan rumah mereka bagi tujuan menghalau haiwan yang sering berkeliaran pada waktu malam.

Ketika itu isterinya Salmi Acu, 20, dan anak mereka Nazri, 5, dan Norhayati, 2, sudah tidur.

Menyedari kemunculan kumpulan gajah sebanyak 13 ekor itu di sekitar rumah mereka, Shukri mengejutkan isterinya dan bertindak memanggil jirannya Ramlan Ramli, 32.

Ramlan kemudiannya turut mengejutkan isterinya dan lima anak mereka bagi menyelamatkan diri.

Dua keluarga itu meninggalkan rumah masing-masing dengan bersembunyi di kawasan berhampiran sambil melihat gajah meranapkan rumah mereka yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

"Saya memekik sekuat hati untuk menghalau kumpulan gajah itu dari mendekati rumah kami, tetapi gagal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kumpulan gajah liar itu sudah berada di kawasan RPS Banun sejak dua bulan lalu dengan merosakkan tanaman penduduk termasuk anak getah yang berusia enam bulan hampir 20,000 pokok.

Bernama pada Sabtu lalu telah mendedahkan kebimbangan penduduk lapan kampung di kawasan RPS Banun yang bimbang keselamatan terancam kerana sering terserempak dengan kumpulan gajah terutama waktu pagi dan malam.

Walaupun pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang pagar letrik sepanjang 12 kilometer di kawasan perkampungan itu tetapi masih gagal menghalang gajah mendekati kawasan kediaman penduduk.

Dua keluarga berkenaan kini ditempatkan di dewan lama di kampung berdekatan sehingga Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) mendirikan rumah baru untuk mereka. - Bernama

Sinar Harian

Hari Nakbah 2012, lancar jihad bebaskan Palestin

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Kami menegaskan tahun 2012 seharusnya diisytiharkan tahun dilancar jihad fisabilillah membebaskan Palestin.

Ketegasan kami beralasan. Setelah sekian lama masalah Palestin menjadi seolah barah yang tidak boleh dirawat, maka tidak ada lagi pendekatan yang boleh dipilih selain dari jihad.

Ketika kami melihat pelbagai kenyataan dan sejumlah resolusi diluncurkan PBB sejak Perjanjian Oslo 1993 dimeterai sehingga sekarang, Israel tidak pernah tunduk kepada sebarang bahasa diplomatik.

Malah yang dilakukan oleh Israel lebih ganas dari sebelumnya. Dari pembesaran kawasan kediaman Yahudi di tanah Palestin yang hanya tinggal 22% dari asal sehingga melancarkan serangan militeri berterusan ke atas Tebing Barat dan Gaza, membunuh, memusnah dan merampas hak rakyat Palestin. Israel tidak sedikitpun gugur cirinya sebagai negara teroris.

Kami menegaskan Zionisme tidak mengenal erti taat kepada sebarang perjanjian. Sejarah jelas memperlihatkan Yahudi Zionis bukan sahaja melanggar perintah Allah malah sanggup membunuh Nabi-nabi Allah.

Inilah hakikat yang perlu diterima oleh pejuang pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa bila berdepan dengan Zionis Yahudi.

Sejak tanah Palestin dirampas pada tahun 1948, baki kawasan yang tersisa untuk rakyat Palestin hanya tinggal tidak sampai 22% sahaja, itupun kawasan ini terdedah kapada pencerobohan dan bedilan bom dari jet pejuang.

Perjuangan Yasser Arafat untuk menuntut sempadan tanah sebelum 1967 seluas 44% dari kawasan Palestin yang asal tidak kesampaian, kini Mahmud Abbas menagihkan kawasan yang jauh lebih kecil untuk Palestin.

Tuntutan ini juga tidak dilayan malah sehingga bulan September 2011, proposal untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh dalam PBB masih tergantung kerana 126 negara yang menyokong, kurang dua lagi undi untuk diluluskan dalam Sidang Umum PBB.

Malah Majlis Keselamatan sendiri tidak dapat menjaminkan kemasukan penuh Palestin sebagai anggota penuh PBB. Sehingga ini sebahagian anggota-anggota yang ada sekarang dalam Majlis Keselamatan ialah Bosnia dan Herzegovina , Inggeris, Perancis, Gabon, German, India, Nigeria dan Portugal yang masih belum menentukan sikap.

Jelas umat Islam tidak dapat berharap kepada PBB. Resolusi 181 yang dikeluarkan pada 29hb September 1947 yang mengisytiharkan kewujudan Israel adalah titik bermulanya musibah yang sambung-menyambung ke atas rakyat Palestin. Tanah Palestin dibahagi dua: untuk Yahudi 53% dan untuk Arab 43%. Pokoknya PBB telah menerima penjajahan.

Kejahatan global yang diterajui oleh Israel dan didukung oleh US tidak dapat dicabar dengan efektif oleh bahasa diplomatik. PBB yang lebih merupakan pertubuhan pengumpul resolusi paling maksima hanya mampu mengeluarkan kecaman, kritikan, dan kata-kata ultimatum yang tidak pernah dihiraukan oleh Israel.

Resolusi 106 dikeluarkan pada 29hb Mac 1955 yang mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Resolusi 111 dikeluarkan kerana mengutuk serangan Israel yang menyerang Syria, Resolusi 162 yang mendesak Israel mematuhi keputusan PBB, Resolusi 237 yang mendesak Israel membenarkan pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka seperti sebelum 1967 dan banyak lagi.

Kami menyeru agar semua Persidangan Khas yang diadakan saban tahun oleh pelbagai pihak mengenai Palestin dan Al Quds menghantar suatu semboyan jelas iaitu Jihad Membebaskan Palestin dan Al Aqsa.

Peredaran masa 64 tahun sudah terlalu lama. Israel yang merupakan proksi US dalam merekayasa hegemoni kuasa Barat ke atas politik Asia Barat sangat terang dan jelas. Untuk mengharapkan negara-negara Barat mengembalikan hak Palestin adalah suatu kemustahilan. Malah untuk bergantung kepada pemimpin negara umat Islam yang terikat dengan kuasa Barat juga tidak menjanjikan harapan.

Kuasa sebenar berada dalam tangan umat Islam sendiri. Umat Islam yang tersusun dalam pelbagai organisasi massa dan NGO harus menggembleng seluruh tenaga dan sumber untuk melancarkan jihad dalam semua bidang untuk mengembalikan bumi Palestin dan Al Quds kepada kaum Muslimin.

Jihad ekonomi dengan melancar boikot kepada semua produk dan perkhidmatan yang secara langsung berkait dengan Israel. Ini termasuk seluruh syarikat yang berpengkalan di Israel. Tindakan memutuskan sebarang hubungan perdagangan dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dilancarkan secara efektif.

Jihad sosial dengan memboikot seluruh acara sosial dan institusi sosial seperti universiti dan sebarang institusi yang yang berkait dengan pembangunan sosial. Ini termasuk dalam acara sukan dan industri hiburan.

Jihad politik iaitu melumpuhkan seluruh perjanjian yang dimeterai oleh negara dengan Israel dalam apa sahaja bidang perhubungan politik dan diplomatik.

Jihad ketenteraan dengan mendesak pemerintah negara-negara umat Islam menghantar tentera Islam ke Palestin untuk merampas kembali bumi Palestin yang ditakluki Yahudi Zionis.

Jihad teknologi iaitu dengan memastikan segala teknologi maklumat yang ada diguna untuk melancarkan serangan maklumat terhadap Israel. Teknologi maklumat perlu digunakan semaksimanya untuk mendedahkan persekongkolan antara US , British dan Israel.

Untuk semua medan jihad ini kami menegaskan bahawa sudah sampai masanya seluruh NGO dan gerakan Islam antarabangsa menumpukan seluruh tenaga dan sumber ke arah pembebas Palestin. Kekuataan kepakaran dan jaringan organisasi sosial, ekonomi, politik, gerakan alam sekitar, hak asasi manusia, undang-undang hendaklah dipusatkan sehingga realisasi pembebasan Palestin dapat dicapai.

Sempena peringatan Hari Nakbah 2012 ini kami mengesa bahawa mesej jihad sebagai satu- satunya jawapan kepada penaklukan Israel terhadap Palestin akan tercapai. Sindrom meluncurkan resolusi dan kata- kata tidak lagi boleh diharap lagi untuk membebaskan Palestin melainkan hanya dengan aksi jihad.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agung MAPIM

Datin Aminah Zakaria
Yang Dipertua SALIMAH

Harakah Daily

Warkah Buat Ibu

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

1. Penghuni dunia yang bergelar manusia ini dilahirkan oleh insan bergelar ibu kecuali Adam dan Hawa. Siapapun manusia itu dengan segala derajat dan pangkat yang dimiliki adalah lahir dari rahim seorang ibu yang telah berkorban separuh mati untuk mengandung dan melahirkannya. Tidak ralat jika syurga ter"letak" di bawah telapak kaki ibu.

2. Apa yang telah ditanggung oleh ibu berkait perasaan dan segala elemen kudratnya untuk mengandung, melahir dan membesarkan seorang insan bukan suatu yang perlu dikenang dan dihargai tetapi ia adalah ibu yang wajib ditaati, disayangi dan dijagai dengan segala ketundukan dan kepatuhan kita kepada apa yang telah diperintah Allah swt. terhadap tanggungjawab kita kepada insan bergelar ibu.

3. Tanpa ibu, dunia ini kosong dan hilang segala fungsi serta strukturnya. Justeru itu, tidak keterlaluan jua ungkap kata bahawa tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.

4. Cerdik pandai, gagah perkasa, cantik menawan, bijak bistari, kaya raya, segak bergaya dan pangkat derajat semuanya bermula dari rahim ibu sebelum dilepas besar dan panjang di muka alam buana ini. Begitulah pula ibu yang menjadi madrasah pertama membekal ilmu hayat kepada kita semua yang bergelar manusia. Sebagaimana ibu jualah yang pertama menitis susu membekal kompenan sumber tenaga hayat.

5. Ibu ! sungguh istemewa kata nama itu. Tiada yang layak menyandang status kata bernama ibu melainkan ia lah yang mengandung dan melahirkan kita. Keupayaan tinggi yang dimiliki oleh ibu untuk bertahan 9 bulan kandungan dan kemudiannya bersabung nyawa untuk melahirkan kita adalah bergantung kepada nilai kasih dan sayang yang tiada tolok bandingnya.

6. Kasih dan sayang inilah pula menjadi nilai terpenting untuk manusia meneruskan hidup di dunia yang penuh cabaran dan pancaroba ini. Tanpa kasih dan sayang manusia terperangkap dalam persengketaan sengit tanpa noktah. Keamanan ternoda dengan pertempuran dan peperangan yang kejam. Kedamaian terancam dengan jenayah dan khianat yang tidak berhati perut. Hubungan silaturrahim terputus angkara fitnah dan hasad. Iklim sosial rosak dan binasa ekoran lupa daratan dan angkuh. Pentas politik menjadi cemar dan kotor kerana benci dan marah. Segalanya berpunca dari hilangnya kasih dan sayang.

7. Sempena Hari Ibu, saya mengutus warkah mewakili seluruh anak - anak ibu yang menjadi warga Dewan Pemuda PAS Malaysia agar institusi ibu hari ini menyemarakkan nilai kasih dan sayang ke setiap sendi dan nadi manusia untuk membina semula sebahagian struktur dunia kini yang mengalami kerosakan teruk akibat hakisnya sifat serta nilai kasih dan sayang.

8. Tiada ibu yang mahu anaknya jahat. Tiada ibu yang mahu anaknya bodoh. Tiada ibu yang mahu anaknya hina. Tiada ibu yang mahu anaknya bangsat. Tiada ibu yang mahu anaknya diperalat sebagaimana tiada ibu di dunia ini yang mahu anaknya digelar haram jadah. Maka ibulah harapan kami kini untuk menyusun semula dan membina kembali tamadun atau peradaban manusia sebelum ia rosak teruk dan musnah binasa.

9. Ibu lah yang mempunyai keupayaan untuk memastikan generasi ini terdidik dengan kasih dan sayang. Menyelamatkan mereka dari terus hanyut dalam arus budaya songsang tanpa tunjuk ajar ibu untuk mematuhi suruhan agama dan pedoman tuhan yang Maha Mencipta. Membimbing mereka untuk mencorak masa depan yang baik, bahagia dan berjaya.

10. Terima kasih ibu! justeru air tangan ibulah menjadikan kami kenal erti rindu, kasih dan sayang lalu memungkinkan kami berjuang untuk mengembalikan semula izzah ummah yang bersendikan kasih sayang setelah sebahagiannya rosak teruk angkara perlanggaran syariat yang ketara dan pemujaan nafsu yang melampau. Tidak lupa juga buat semua ibu kepada anak-anak kami yang tekun mendidik dan membesarkan mereka sebagai generasi pewaris perjuangan yang kami dokong, meskipun mereka sering ditinggalkan kerana urusan kami di medan juang mahu pun dilapangan mencari rezeki.

Semoga semua insan bergelar ibu dirahmati dan diberkati Allah Jalla wa A'la Tuhan yang Maha Mencipta lagi Lagi Maha Memelihara.

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Harakah Daily

Pemuda PAS ucap tahniah kepada skuad hoki remaja

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Lajnah Seni, Kebudayaan & Sukan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DACS) mengucapkan tahniah kepada skuad Hoki Remaja Malaysia di atas kejayaan menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Remaja Asia kali ketujuh, Ahad lepas.

Pengarahnya, A Halim Ahmad berkata, kejayaan itu juga merupakan kejayaan pertama setelah pencapaian terbaik iaitu muncul selaku naib johan pada 1992 setelah tewas di tangan lawan yang sama 3-0 di Ipoh.

“Perlawanan malam kelmarin jelas menunujukkan semangat juang yang jitu serta kemahiran mengawal perlawanan yang baik walaupun dicemari dengan insiden pergaduhan di lewat permainan namun itu semua tidak mengganggu mental pemain dan berjaya mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan mengambil kira keserasian serta persefahaman yang tinggi, adalah wajar skuad itu dikekalkan dimasa hadapan.

Beliau menambah, gaya persembahan yang matang juga harus dipuji tahniah juga diucapkan kepada Dharma Raj kerana berjaya meningkatkan mutu persembahan skuad hoki remaja kita.

Katanya lagi, kemenangan kelmarin tidak harus menyebabkan pemain dibuai mimpi indah kerana perjalanan masih ‘jauh’ yang perlu ditempuhi sebelum benar-benar bergelar juara di peringkat dunia.

“Disiplin dan akhlak yang tinggi perlu ditekankan memandangkan mereka masih remaja agar tidak terjerat di dalam ‘glamour’ dunia selebriti sehingga mendatangkan kesan jangka panjang yang tidak sihat,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya DACS mengharapkan agar skuad itu terus tabah mengharungi dunia hoki yang penuh mencabar ini dengan penuh dedikasi serta tekad demi mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Jagalah tingkah laku dan tampilkan keperibadian yang tinggi. Ingatlah bahawa kamu membawa nama dan bendera negara walau di mana pun berada. Malaysia Boleh!,” katanya.

Harakah Daily

Pemerintah! Dengarlah nasihat Ata’ Bin Abi Rabah

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Ata’ bin Abi Rabah masuk kepada Abdul Malik bin Marwan (26-86H) yang sedang duduk di atas singgahsananya. Di sekelilingnya pembesar dari pelbagai puak. Waktu itu di Mekah ketika Abdul Malik menunaikan haji di zaman pemerintahannya. Apabila Abdul Malik melihat Ata’, Abdul Malik bangun menghormatinya dan mendudukkannya bersama-samanya di atas singgahsana. Abdul Malik berkata: “Wahai Abu Muhammad! Apa hajatmu?”

Ata’ menjawab: “Wahai Amirul Mukminin! Bertaqwalah kepada Allah di tanah haram Allah dan rasulNya ini. Berjanjilah untuk memakmurkannya. Bertaqwalah kepada Allah terhadap anak-anak Muhajirin dan Ansar kerana dengan sebab merekalah kamu dapat duduk di singgahsana ini. Bertaqwalah kepada Allah terhadap mereka yang menjaga kubu kerana mereka yang menjadi pertahanan orang Islam. Siasat dan semaklah urusan orang Islam kerana engkau sahaja yang bertanggungjawab terhadap mereka. Bertaqwalah kepada Allah terhadap orang yang berdiri di pintumu dan jangan lalaikan mereka. Jangan kunci pintumu tanpa mempedulikan mereka.”

Jawab Abdul Malik: “Baik, aku akan lakukan.”

Ata’ bingkas bangun. Abdul Malik memegang tangan Ata’ sambil berkata: “Wahai Abu Muhammad! Perkara yang engkau pohonkan itu adalah hajat orang lain. Kami sudah tunaikannnya. Apa pula hajatmu?”

Jawab Ata’: “Aku tidak berhajat kepada makhluk” lalu terus pergi dari situ.

Abdul Malik berkata: “Demi sesungguhnya inilah kemuliaan.”

(ringkasan Muhazzab min Ihya Ulumiddin ms 482)

Antara komentar yang boleh dibuat:

1. Pemerintah paling mudah kalau mahu melakukan kerosakan. Kerosakan pula akan menimpa seluruh rakyatnya. Justeru, nasihat paling baik diberi ialah kepada pemerintah terutamanya yang terus lalai dan alpa tentang amanah pemerintahan.

2. Ulama mesti berani menyampaikan nasihat dan peringatan. Jadilah ulama akhirat bukannya ulama dunia, ulama jahat atau ulama ussu yang mementingkan pangkat, jawatan, dunia, harta mengatasi hukum.

3. Ulama menjadi mulia apabila menegakkan kebenaran, bukannya menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran (rasuah, salahguna kuasa, pembaziran wang rakyat dan pemborosan, mendahulukan kroni dari rakyat, meletakkan di belakang hukum Allah dan lain-lain)

4. Kalau tidak kerana rakyat, tentulah pemerintah tidak akan menjadi pemerintah. Oleh itu, pemerintah mesti berlaku adil terhadap rakyat. Bukannya ditunjukkan keadilan dan sifat murah itu hanya apabila hampir dengan pilihan raya atau keadilan itu kepada sebahagian rakyat dan sebahagian rakyat lain di’haramjadah’kan.

5. Pemerintah mesti bersedia mendengar keluhan dan rasa hati rakyat, termasuk mahukan pilihan raya yang adil dan bersih. - http://www.niknasri.com

Harakah Daily

Jepun aktif semula 2 reaktor nuklear

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TOKYO: Perhimpunan di bandar Ohi di Fukui, barat Jepun yang menempatkan sebuah loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Kansai, semalam bersetuju mengaktifkan kembali dua reaktor.

Pengerusinya, Kinya Shintani, berkata ia persetujuan pertama sejak operasi semua stesen di negara itu dihentikan selepas krisis di Fukushima.

Dengan kekurangan kuasa elektrik memuncak di wilayah berkenaan terutama pada musim panas, kerajaan cuba mendapatkan sokongan daripada bandar dan negeri yang mempunyai reaktor. Semua 50 reaktor dihentikan sejak loji terakhir ditutup untuk penyelenggaraan pada 5 Mei lalu.

Kerajaan dijangka menggesa perniagaan dan penduduk di kawasan barat Jepun mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 15 peratus musim panas ini untuk menangani masalah kekurangan bekalan, lapor media.

Akhbar The Nikkei, bagaimanapun melaporkan kerajaan juga mempertimbangkan pemotongan kuasa mandatori dan memutuskan bekalan jika perlu.

Had mandatori itu dikenakan di beberapa wilayah tahun lalu selepas krisis Fukushima, terburuk sejak tragedi Chernobyl pada tahun 1986 dengan tiga reaktor berdepan masalah selepas loji itu dilanda gempa bumi besar dan tsunami.

Kerajaan Pusat bulan lalu berkata, reaktor nombor tiga dan empat di Fukui, 360 kilometer ke barat Tokyo, selamat untuk dihidupkan semula.
Penangguhan dalam penubuhan agensi pengawal selia baru nuklear disebabkan perbalahan dalam Parlimen cuma menakutkan pengundi.

Shintani berkata, ekonomi tempatan dan pekerjaan terjejas akibat pemberhentian operasi reaktor.

“Memahami keperluan kuasa nuklear dan mengambil kira pandangan penduduk selain impak kepada kehidupan dan ekonomi, kami memutuskan untuk menghidupkan semula reaktor,” katanya dalam satu kenyataan.

Ohi menerima kira-kira 2.5 bilion yen (RM93 juta) subsidi pada tahun kewangan Mac 2010 berkaitan empat reaktor Syarikat Tenaga Elektrik Kansai. Banyak pekerjaan juga bergantung kepada loji itu.

Kerajaan Pusat tidak sukar mendapatkan sokongan tetapi berkemungkinan tidak terus dengan penyambungan semula operasi tanpa persetujuan bandar tuan rumah dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa Tokyo akan mengatasi tentangan daripada negeri berhampiran dengan pendapat umum yang terbahagi.

Tinjauan hujung minggu oleh akhbar pro-nuklear, Yomiuri, menunjukkan 45 peratus responden menyokong usaha menghidupkan semula reaktor yang disifatkan selamat dan bilangan sama membantah. – Reuters

Sila keluar Felda jika kutuk kerajaan

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI – Mereka yang mengutuk kerajaan dicabar untuk keluar daripada tanah rancangan Felda kerana mereka tidak diperlukan di dalam kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, ramai lagi masyarakat di luar yang mahu menjadi warga Felda menggantikan tempat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya nak cabar mereka yang mengutuk kerajaan Umno agar jangan ambil duit durian runtuh ini. Bawa anak dan isteri keluar daripada tanah rancangan Felda kerana kita tidak perlukan mereka. Ramai lagi yang mahu masuk Felda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di hadapan kira kira 800 masyarakat Felda di Dewan Felda Sening, semalam.

Azalina turut menafikan durian runtuh dan juga durian gugur yang diumumkan Perdana Menteri buat masyarakat Felda itu adalah untuk memancing undi.

“Duit yang diberikan kerajaan ini bukan untuk pancing undi. Bukan duit rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia adalah duit jaminan daripada kerajaan bahawa peneroka Felda akan dapat keuntungan dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke bursa Malaysia.

“FGVH disenaraikan agar peneroka Felda dapat pembelaan di bawah satu payung untuk mengaut kekayaan. Di mana dengan penyenaraian FGVH ini bakal memberikan keuntungan yang besar buat masyarakat Felda sendiri," katanya.

Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang, penduduk Felda sepatutnya berasa beruntung kerana sentiasa diberikan keutamaan.

Pada majlis tersebut, Azalina turut menyempurnakan penyerahan replika cek durian runtuh kepada wakil peneroka daripada sepuluh Felda di bawah kawasan Parlimen Pengerang.

Sementara itu, salah seorang peneroka Felda Sening, Kasmon manan, 65, menganggap durian runtuh tersebut amat berbaloi dengan kesusahan yang dilalui satu masa dahulu.

“Jika pada tahun 1980 kami pernah menerima gaji sebanyak RM5 sahaja, kini Alhamdulillah semua peneroka Felda sudah mewah dan dapat hidup senang. Segala pengorbanan kami benar-benar berbaloi,” katanya yang berhasrat untuk melabur wang yang diterima di Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bagi Manijah Surip, 61, peneroka dari Felda Papan Timur pula berkata, penduduk Felda sekarang amat beruntung kerana hidup senang dan tidak perlu berjimat seperti dahulu.

“Dahulu kita bukan sahaja terpaksa berjimat makan, malah semua perkara perlu berjimat untuk meneruskan kehidupan. Kini masyarakat Felda sudah dapat mengecapi kehidupan yang mewah,” kata ibu kepada lima anak itu.

sinar harian/-

Salji luar biasa di Bosnia

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEBUAH kereta melalui sebatang jalan raya dalam cuaca bersalji dekat Sarajevo, Bosnia semalam.- Agensi

SARAJEVO, Bosnia-Herzegovina - Penduduk Bosnia sekali lagi berdepan salji pada bulan ini walaupun musim sejuk sudah berakhir di negara berkenaan.

Suhu di Bosnia turun kepada lima darjah Celsius semalam dengan lalu lintas sesak ekoran orang ramai mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja.

Salji turut menyebabkan sekitar 50 buah kampung di kawasan pergunungan dekat ibu kota Bosnia, di sini terputus bekalan elektrik.

Cuaca luar biasa itu berlaku selepas seminggu suhu panas mencecah 27 darjah Celsius dicatat di sini pada Sabtu lepas.

Suhu sejuk itu diramalkan berterusan hingga pertengahan minggu ini apabila salji akan digantikan dengan hujan lebat. - Agensi

Dua hilang, 10,000 mangsa terjejas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MANILA - Dua orang hilang manakala 10,000 yang lain tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran terbesar di sebuah perkampungan terapung Isla Puting Bato di daerah Tondo Manila, kelmarin.

Ketika kejadian, penduduk bertindak melarikan diri dan sebahagian daripada mereka nekad terjun ke paya bagi menyelamatkan diri.

Pegawai polis, Bonifacio Carta berkata, kebakaran sukar dikawal kerana tekanan air rendah sehingga memaksa pihak bomba dan penyelamat menyedut air dari kawasan teluk berhampiran.

Beliau berkata, kawasan itu rata-ratanya didiami oleh pelarian dan kesemua mangsa telah dipindahkan ke kompleks sukan berdekatan untuk penempatan sementara.

“Sekurang-kurangnya tiga tercedera dan dua dipercayai hilang, namun jumlah itu masih belum dipastikan,“ katanya.

Menurutnya, pihak polis dan mereka yang terlibat masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca insiden itu.

sinar harian/-

Dua beradik tiada maklumat ibu bapa gagal buat MyKad

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua beradik dari Sik, Kedah gagal membuat kad pengenalan diri kerana tidak mempunyai maklumat peribadi ibu bapa kandung mereka selepas hampir 12 tahun dipelihara keluarga angkat.

Mohd Idris Liakat Ali, 20, berkata dia dan adiknya, Mohd Ismail Liakat Ali, 17, pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan, tetapi gagal.

Katanya JPN memerlukan nama dan nombor kad pengenalan ibu bagi mengesahkan mereka rakyat negara ini.

“Kami tidak pernah kenal ibu kami, apatah lagi mengetahui nama dan nombor kad pengenalannya.

“Kami merayu kepada sesiapa terutama saudara mara yang mengenali kami tampil membantu kami,” katanya ketika datang ke Balai Berita di sini, semalam.

Mohd Idris berkata, selama ini mereka hanya berdiam diri, tetapi selepas berfikir panjang, mereka memutuskan untuk mendapatkan maklumat ibu bapa mereka supaya dapat membuat kad pengenalan.

Sementara itu, ibu angkat mereka, Noriah Abu, 41, berkata dia dan suaminya yakin dua anak angkatnya itu rakyat negara ini kerana mereka mempunyai suntikan imunisasi atau BCG yang mana kesan suntikan itu jelas keli-hatan di bahu mereka.

berita harian/-

Puluhan lagi maut dalam pertempuran di Syria

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK: Tentera Syria mara ke kawasan yang dikuasai pemberontak dengan puluhan orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara ketika Arab Saudi memberi amaran bahawa usaha damai Kofi Annan kelihatan akan aggal.

Sementara itu, Kesatuan Eropah mengenakan sekatan baru ke atas Damsyik manakala Russia menyatakan “amat jelas" al-Qaeda adalah dalang serangan bom berkembar di Damsyik minggu lalu yang membunuh 55 orang dan berikrar akan terus membekalkan senjata kepada rejim pemerintah.

Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan tiga kereta perisai tentera Syria musnah dalam pertempuran sebelum subuh di luar Rastan, bandar yang dikuasai pemberontak di wilayah Homs di tengah Syria.

"Sekurang-kurangnya 23 askar terbunuh dalam pertempuran itu," menurutnya.

Pasukan tentera Syria melancarkan serangan ke atas Rastan hujung minggu lalu dan menghadapi tentangan sengit daripada pemberontak yang mahu menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Badan pemantau itu juga melaporkan pertempuran turut meletus di tempat lain dan meragut 37 nyawa.

Pertumpahan darah berterusan walaupun gencatan senjata berusia sebulan yang dirundingkan wakil PBB-Liga Arab, Annan, sebagai pelan damai bagi menamatkan keganasan di Syria.

Di Riyadh, Menteri Luar Arab Saudi memberi amaran keyakinan terhadap usaha damai itu semakin hilang berikutan pertumpahan darah yang berterusan. - AFP

Pesawat terhempas di Himalaya

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa lokasi nahas pesawat milik syarikat penerbangan Agni dekat Jomson, Nepal semalam.- Agensi

KATHMANDU - Sebuah pesawat terhempas di sebuah gunung di banjaran Himalaya ketika cuba mendarat di sebuah lapangan terbang di utara Nepal semalam dengan menyebabkan 15 orang terbunuh manakala enam lagi parah.

Ketua pentadbir tempatan, Laxmi Raj Sharma berkata, pesawat berkenaan berpatah balik untuk mendarat di Lapangan Terbang Jomson sebelum kapal terbang berkenaan terhempas.

Bangkai pesawat bertaburan tetapi kapal terbang itu tidak terbakar.

Menurut Sharma, siasatan awal menunjukkan pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Katanya, mangsa yang terselamat diterbangkan ke bandar Pohkara, dekat Jomson, untuk menerima rawatan.

Perdana Menteri, Baburam Bhattarai dalam satu kenyataan melahirkan simpati berhubung kematian 15 orang dalam nahas udara itu.

Seorang pegawai polis, Nareswor Aryal berkata, pesawat itu membawa dua juruterbang dan seorang kru bersama 16 penumpang rakyat India dan dua warga Barat.

Lapangan terbang Jomsom merupakan pintu masuk ke destinasi popular untuk pendaki dan penganut Hindu yang dalam perjalanan ke Kuil Mutinath.

Ia terletak sekitar 200 kilometer ke barat daya ibu kota Nepal, di sini.

Pesawat jenis Dornier yang terhempas itu milik syarikat penerbangan tempatan, Agni Air. - Agensi

Peniaga keropok rugi ribuan ringgit

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Enam peniaga keropok di Pasar Besar Kedai Payang merayu agar nasib mereka dibela setelah terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan saluran paip yang bocor berhampiran gerai mereka.

Peniaga, Normahayu Mohd Noor, 28, berkata, seminggu yang lalu, ketika dia sedang menjual keropok di gerainya secara tiba-tiba air daripada saluran paip mencurah keluar dan mengeluarkan bau busuk yang berpunca daripada sisa makanan dari kedai makan di bahagian atas bangunan berkenaan.

“Akibat kejadian itu saya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit kerana tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa. “Malah sudah seminggu gerai saya terpaksa ditutup kerana masalah saluran paip yang bocor masih belum dibaiki,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, masalah berkenaan sudah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), tetapi masih tiada tindakan diambil sehingga hari ini (semalam).

“Jika masalah ini berteru-san, bagaimana saya mahu mencari rezeki. “Tambahan pula tidak lama lagi musim cuti sekolah akan tiba dan tentu ramai pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, mereka membayar sewa sebanyak RM50 sebulan selain bayaran bulanan kepada Persatuan Pasar Besar Kedai Payang berjumlah RM60 setiap bulan, tetapi pihak bertanggungjawab masih tidak melakukan sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, Wan Siti Nazia Wan Mohd Najib, 24, yang turut terkena tempias saluran paip bocor berkata, pendapatan hariannya terjejas berikutan masalah itu kerana orang ramai tidak lagi ke gerai keropoknya kerana digenangi air.

“Walaupun kami menadah besen dan meletakkan kertas di kaki lima gerai bagi mengelak air terus membasahi kawasan ini, tetapi pelanggan tidak datang ke gerai kami kerana mereka mempunyai banyak pilihan. “Saya sedih dengan masalah ini kerana masih tiada tindakan susulan biarpun sudah banyak kali turun naik pejabat MBKT,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan respons daripada pihak MBKT esok.

Sinar Harian

Anak derhaka bakar rumah

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Gara-gara permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan oleh ayahnya, seorang anak sanggup bertindak di luar batasan dengan membakar kediaman mereka sekeluarga dalam satu kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, anak derhaka yang juga merupakan anak sulung daripada tiga beradik dipercayai berada dalam pe-ngaruh dadah sebelum menggesa ayahnya berusia 45 tahun menyerahkan wang sebanyak RM10 kepadanya.

Bagaimanapun, permintaannya itu gagal ditunaikan menyebabkan suspek naik berang dan bertindak di luar kawalan dengan membakar kediaman mereka dipercayai menggunakan minyak petrol.

Sinar Harian difahamkan, semasa api sedang merebak di bahagian dapur, suspek masih berada di dalam rumah sedang leka menonton televisyen sebelum bertindak meloloskan diri setelah menyedari api semakin marak.

Namun, tindakannya yang ingin ‘cabut lari’ itu berjaya dihalang oleh anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada unit kereta Ronda MPV Balai Polis Gong Badak, di sini.

Difahamkan, sebelum ini suspek yang berusia 22 tahun pernah beberapa kali ditahan polis atas kesalahan jenayah dadah, curi motosikal dan pecah rumah.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenal ‘makcik’, sebelum keja-dian, suspek ada mengugut akan membakar rumahnya sendiri.

“Saya dapat tahu dia ada minta duit dengan ayahnya dan selepas itu, dia keluar beli minyak motor yang diletakkan di dalam botol. “Balik saja beli minyak, dia terus pergi ke belakang rumah dan tidak lama kemudian, saya ada bau hangus sebelum ternampak asap tebal dari rumah dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Negeri, Timbalan Penguasa Bomba, Zakariya Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.28 petang dan sebanyak dua jentera dengan kekuatan anggota seramai 17 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, rumah separa kekal itu gagal diselamatkan dan musnah seratus peratus. Kini, siasatan punca kejadian masih dijalankan dan anggaran kerugian kira-kira RM200,000,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima tangkapan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sinar Harian

Dalang curi kepala paip tumpas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JERTIH – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah nasib dua pemuda yang disyaki mencuri kepala paip di masjid di daerah ini apabila akhirnya mereka berjaya diberkas pihak polis semalam.

Dengan tertangkap dua suspek berumur 22 dan 20 tahun itu, polis dipercayai dapat menyelesaikan kes mencuri kepala paip keluli tahan karat untuk jemaah mengambil wuduk yang dilaporkan berlaku secara berleluasan di beberapa masjid daerah ini.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput tepi jalan dengan sebuah syarikat kontraktor di daerah ini diberkas sepasukan polis dari Balai Polis Jertih jam 12 tengah hari semalam ketika sedang memotong rumput di tepi jalan Padang Tapong-Lata Tembakah.

Dapat petunjuk daripada CCTV

DIFAHAMKAN kejayaan polis memberkas suspek selepas mereka mengulangi perbuatan kali kedua mencuri kepala paip di Masjid Kayu Ulul Albab Seberang Jertih pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin itu, sembilan unit kepala paip keluli tahan karat dikebas pencuri iaitu baki selepas kejadian pertama pada 19 April lalu apabila sebanyak 10 unit kepala paip jenis sama dicuri.

Berikutan kejadian kedua itu, polis yang menyiasat meneliti imej dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid tersebut telah mengesan Proton Saga yang berisi beberapa mesin rumput berada dalam kawasan masjid
pada waktu kecurian dilaporkan.

Berdasarkan petunjuk itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek lalu memberkas kedua-dua mereka masing-masing beralamat di Kampung Gong Bayor dan Lapan Kotak di sini.

Sinar Harian difahamkan suspek turut membawa polis ke sebuah kedai membeli besi lusuh di Kampung Keluang dekat Kampung Raja iaitu tempat dia mendakwa menjual hasil curi berkenaan.

Hasilnya polis menemui semula kesemua sembilan unit kepala paip yang dipercayai dicuri di Masjid Ulul Albab itu dan beberapa kepala paip lain yang belum dikenalpasti.

Dakwa jumpa kepala paip berlonggok di kawasan masjid

Polis turut menjalankan saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek dan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

Namun, suspek pada mulanya dikatakan tidak mengaku mencabut paip tersebut daripada tempat me-ngambil wuduk sebaliknya membuat alasan kononnya kesemua barang kes tersebut ditemui berlonggok di kawasan masjid.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan sama ada suspek terlibat dengan kes kehilangan paip di masjid lain atau ia melibatkan individu lain.

Pemilik syarikat besi lusuh mengaku beli

SEMENTARA itu, pemilik syarikat besi lusuh yang ditemui mengaku kepada Sinar Harian membeli kepala paip tersebut kerana tidak menyangka ia barang curi.

“Saya tidak sangka kerana mereka datang ke kedai saya dengan pakaian kerja dan mereka menceraikan bahagian kepala paip tersebut,” katanya yang membeli keluli tahan karat berkenaan dengan harga sekitar RM3.50–RM4 sekilogram.

Pada 1 Mei lalu Sinar Harian melaporkan Masjid Al-Faqeh, Balik Bukit, Jertih kehilangan 27 kepala paip besi tahan karat di kawasan mengambil wuduk jemaah lelaki dan perempuan dipercayai dicuri pada siang hari.

Kemudian, dua hari selepas itu (3 Mei), akhbar ini melaporkan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin bersama pegawai kanannya turun padang melihat sendiri kejadian di masjid itu.

Beliau turut memaklumkan pada hari tersebut sebanyak empat masjid lain melaporkan kejadian sama termasuk Masjid Kayu Ulul Albab.

Kamaruddin memberitahu polis memandang serius kejadian itu dan akan berusaha memastikan individu terbabit diberkas.

Sinar Harian

City pecah dominasi United

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2011/12 edisi ke-20 melabuh tirai penuh dramatik setelah penentuan juara terpaksa ditentukan sehingga perlawanan ke-38 liga malam kelmarin. Ikuti rangkuman Zuraimee Zainal prestasi setiap pasukan yang bertarung sepanjang musim untuk terus kekal dalam liga paling prestij.

Manchester City *(1/3)
Pelaburan Abu Dhabi United Group akhirnya membuahkan hasil sejak The Citizens diambil alih pada Ogos 2008 seterusnya menjadikan kelab kendalian Roberto Mancini juara EPL bagi musim ini. Kini pastinya pemiliknya, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan mahu kelab berpangkalan di Stadium Etihad melangkah lebih jauh pada musim depan. Peledak # Sergio Aguero, Mario Balotelli

Manchester United *(1/3)
Akhirnya kelab kendalian Sir Alex Ferguson terpaksa akur bahawa era kegemilangan Old Trafford mereka kini sudah sampai kemuncaknya apabila kelab milik keluarga Glazer tewas kepada jiran tetangga pada hari terakhir liga. # Danny Welbeck, Wayne Rooney

Arsenal *(3/4)
Penghijrahan Cesc Fabregas (Barcelona) dan Samir Nasri (Man City) nyata memberi tamparan hebat kepada The Gunners apabila memulakan musim pada kedudukan terburuk. Namun, Arsene Wenger berjaya meletakan kelab berpusat di Stadium Emirates # Robin van Persie, Mikel Arteta

Tottenham Hotspurs *(4/5)
Prestasi permulaan musim begitu meyakinkan Harry Redknapp menjadikan The Spurs pencabar utama kejuaraan daripada Manchester United, namun mungkin disebabkan tekanan hebat menyebabkan penyokong di White Hart Lane terpaksa menerima hakikat kelab kesayangan mereka belum layak untuk bergelar pencabar # Rafael van der Vaart, Luka Modric

Newcastle United *(5/13)
Alan Pardew berjaya membawa musim paling menggembirakan penyokong The Magpies di Stadium St James Park apabila berjaya meletakan kelab milik Mike Ashley berkenaan pada landasan terbaik untuk bersaing pada saingan Eropah musim depan. # Demba Ba, Hatem Ben Arfa

Chelsea *(6/2)
'Pemberontakan kecil' pemain The Blues yang menyebabkan pemilik Roman Abramovich terpaksa menyingkirkan Andre Villas-Boas dari Stamford Bridge berikutan prestasi mengecewakan pada saingan liga dan Liga Juara-Juara. Pelantikan jurulatih sementara Roberto Di Matteo berjaya meletakan kembali kelab berkenaan pada landasan sebenar seterus menjuarai Piala FA. # Didier Drogba, Frank Lampard

Everton *(7/7)
Pengendali The Toffees, David Moyes masih boleh berbangga dengan pencapaian pada musim ini ditambah dengan bajet terhad untuk menggembirakan penyokong di Goodison Park. Penjualan beberapa pemain seperti Mikel Arteta ke Arsenal yang menimbulkan kemarahan penyokong berjaya diredakan apabila berjaya menamatkan saingan liga di atas jiran tetangga, Liverpool. # Tim Cahill, Marouane Fellaini

Liverpool *(8/7)
Selepas memenangi Piala Liga, The Reds seolah lesu untuk meneruskan saingan liga hingga menyebabkan Kenny Dalglish terpaksa melakukan rombakan terhadap skuad sebaik sahaja selepas tewas kepada Chelsea pada final Piala FA untuk mengembalikan semula keyakinan penyokong di Anfield. # Luis Suárez, Steven Gerrard

Fulham *(9/9)
Pencapaian sederhana The Cottagers bagi penyokong di Craven Cottage dengan bajet sederhana pemilik kelab Mohamed Al-Fayed hingga memaksa Martin Jol melakukan percaturan terbaik dalam usaha mestikan kelab berkenaan kekal dalam EPL. # Simon Davies, Damien Duff

West Bromwich *(10/11)
Penyokong di The Hawthorns lebih gembira pada musim ini kerana selain berjaya kekal dalam liga elit, pengurus mereka, Roy Hodgson dilantik sebagai Pengurus England untuk saingan Euro 2012 di Ukraine dan Poland Jun depan. # Peter Odemwingie, Zoltán Gera

Swansea City *(11/Liga Kejuaraan)
Awal musim pilihan untuk kembali ke Liga Kejuaraan, namun Brendan Rodgers berjaya menutup mulut pengkritik The Swans bahawa penyokong kelab Wales itu tetap boleh menyaksikan kelab berkenaan beraksi di Stadium Liberty satu musim lagi. # Scott Sinclair, Michel Vorm

Norwich City *(12/Liga Kejuaraan)
The Canaries bermula baik pada awal musim menyebabkan anak buah Paul Lambert berjaya mengekalkan prestasi pada kedudukan terbaik penghujung liga, namun cabaran sebenar menanti pada musim depan kepada kelab yang beroperasi di bandar perindustrian Norwich ini. # James Vaughan, Grant Holt

Sunderland *(13/10)
Pemecatan Steve Bruce setelah persembahan hambar pertengahan musim, memberi cabaran baru kepada Martin O’Neill untuk memastikan Black Cats terus dapat beraksi dalam kancah liga elit di hadapan penyokong mereka di Stadium Of Lights musim depan. # Fraizer Campbell, Kieran Richardson

Stoke City *(14/ 12)
Musim menarik bagi penyokong di Stadium Britannia apabila buat pertama kali The Potters layak bermain dalam saingan Liga Europa, namun impak tetap amat dirasai anak buah Tony Pulis apabila terpaksa berpuas hati berada kurang dua anak tangga berbanding musim lalu. # Jermaine Pennant, Wilson Palacios

Wigan Athletic *(15/16)
Pemilik kelab, Dave Whelan tetap yakin bahawa Roberto Martínez mampu membawa perkhabaran gembira kepada penyokong The Latics di DW Stadium seperti mana dibuktikan pada hujung musim lalu, cuma pada kali ini lebih awal untuk kekal satu lagi musim depan. # Shaun Maloney, Hugo Rodallega

Aston Villa *(16/8)
Penyokong Villa di Villa Park tentu tidak menyangka bahawa kelab kendalian Alex McLeish terpaksa bergelut sehingga berada pada kedudukan kurang selesa berbanding pada musim lalu. # Charles N’Zogbia, Stephen Ireland
Queens Park Rangers *(17/Liga Kejuaraan)

Pengambilalihan Hoops oleh pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (gambar) nyata memberi nafas baru kepada juara Liga Kejuaraan berkenaan untuk terus kekal dalam walaupun terpaksa bergelut hingga perlawanan terakhir liga. Apapun kejayaan kelab kendalian Mark Hughes berpusat di Loftus Road menang lima perlawanan terkahir sebelum tewas kepada City pada perlawanan untuk kekal dalam liga turut sama dikongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia. # Joey Barton, Djibril Cissé

Bolton Wanderers *(18/14)
Pengurus, Owen Coyle gagal mengulangi kejayaan menyelamatkan The Trotters daripada diturunkan kembali semula ke Liga Kejuaraan selepas 12 tahun berada dalam liga elit. Pastinya penyokong di Stadium Reebok tidak sabar kembalinya semula kelab berkenaan ke liga paling berprestij ini pada musim 2014 # Chris Eagles, Kevin Davies

Blackburn Rovers *(19/15)
Semuanya seakan tidak menjadi selepas The Rovers diambilalih Venky’s London Limited, bermula dengan pemecatan Sam Allardyce yang mengemparkan semua penyokong di Ewood Park. Pengganti Allardyce, Steve Kean pula tidak disenangi penyokong yang akan memprotes menerusi banting setiap kali perlawanan di tempat sendiri sekali gus menghumban kembali kelab berkenaan ke Liga Kejuaraan selepas 11 tahun berada dalam liga elit. # Yakubu, Míchel Salgado

Wolves * (20/17)
Akhirnya kelab beroperasi di Stadium Molineux akur bahawa hayat kelab berada dalam liga elit berakhir pada musim ini, bermula dengan pemecatan Mick McCarthy yang berjaya mengekalkan kedudukan selama tiga musim kemudian diambialih Terry Connor tidak mampu menyelamatkan kelab berkenaan kembali semula ke Liga Kejuaraan pada musim depan. # Stephen Hunt, Kevin Doyle
* Kedudukan musim ini dan lalu

Sinar Harian

Warga emas maut dirempuh 4X4

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG - Seorang warga emas maut setelah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditungganginya dirempuh sebuah pacuan empat roda (4X4) hingga menyebabkan mangsa melambung sejauh kira-kira 12 meter, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang di Kilometer 1 Kampung Gaung-Teris itu, mangsa, Hassan Ibrahim, 62, dari Teluk Pulau Rusa, Kampung Telaga, dipercayai baru keluar dari lorong kecil yang terletak di sebelah kiri menghala ke Kuala Berang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketika itu datang sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun berasal dari Kuantan, Pahang dari arah Sungai Tong menuju ke Kuala Berang.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru keluar dari sebuah lorong kecil. “Kita tidak pasti sama ada dia ingin menyeberangi jalan ataupun ingin membuat pusingan U,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Rosli berkata, berdasarkan kesan kemalangan, didapati pacuan empat roda tersebut mengalami kerosa-kan sebelah kiri bahagian depan kenderaan.

“Akibat kemalangan berkenaan, mangsa dan motosikalnya tercampak. “Mangsa dikejarkan ke hospital dan dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut juga mendapati, mangsa mengalami pendarahan dalam perut, patah tengkuk, tulang rusuk kanan dan betis kanan.

“Pemandu pacuan empat roda tersebut terlebih dahulu melarikan diri. “Bagaimanapun, dia dipercayai sudah membuat laporan polis di Kuantan, Pahang malam semalam sebelum tampil ke IPD Hulu Terengganu, pada hari sama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rosli turut menasihatkan pengguna jalan raya agar peka kepada kenderaan kecil.

“Penunggang motosikal pula harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Sinar Harian

Dua sahabat didakwa miliki heroin

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Dua rakan sekampung di hadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan memiliki dadah jenis heroin yang disimpan di dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini, 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Nurul Faizal Ibrahim, 31, dan Mohammad Ridhuan Razim, 21, dari Kampung Padang Tengir, Manir, di sini, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa pada 7 Mac lalu kira-kira jam 1.20 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini, telah ada niat bersama dalam kawalan dadah jenis heroin seberat 11.811 gram.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesala-han yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup dan diwajibkan dirotan tidak lebih 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua mereka direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 14 Jun depan sebagai tarikh untuk melantik peguam dan sebarang jaminan tidak ditawarkan kepada kedua-dua mereka.

Sinar Harian

Ketua geng ‘anak berok’ ditahan

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Ketua kumpulan ‘anak berok’ yang dilaporkan giat melakukan pelbagai kegiatan jenayah di sini, akhirnya berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim bersama Balai Polis Kubang Semang.

Suspek berjaya ditahan bersama empat lagi ahli kumpulannya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kubang Semang, kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Semua ditahan ada rekod jenayah lampau dan dibawa ke Balai Polis Kubang Semang untuk siasatan lanjut.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, polis mengekori ahli kumpulan itu sejak tiga hari lalu sebelum serbuan dilakukan.

Menurutnya, beberapa hari lalu polis berjaya menahan tiga ahli kumpulan itu bagaimanapun ketuanya berjaya melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Kemudiannya polis membuat susulan serta mengekori aktiviti dijalankan kumpulan itu dan berjaya menahan ketua kumpulan ‘anak berok’ itu.

“Kini polis sedang mencari orang kanan kumpulan itu yang masih bebas,” katanya.

Mohd Azlan berkata, suspek mengaku bersalah melakukan jenayah ragut, pecah cermin kereta dan curi motosikal di sekitar sini.

“Suspek juga menunjukkan tempat di mana dia menyembunyikan motosikal dan beg tangan yang dicuri,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah dilaporkan hilang di sini, sejak 8 Mei lalu, manakala kedua-dua beg tangan ditemui, milik dua mangsa yang tinggal di Taman Kenari.

Sebelum ini, suspek pernah dipenjarakan di Pokok Sena atas kesalahan penagihan dadah dan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Sebaik keluar dari penjara, suspek sekali lagi terlibat dalam perlakuan jenayah samun, berkumpulan dan bersenjata.

Dia kemudiannya menjalani hukuman penjara di penjara Jawi selama 18 bulan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis dapat menyelesaikan lima kes jenayah yang dilakukan sekitar Kulim. Bagaimanapun polis masih mencari orang kanan kumpulan ‘anak berok’ kerana terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah. Saya percaya suspek dapat ditahan dalam masa terdekat,” kata Mohd Azlan.

Sinar Harian