06 May 2012

Kenderaan terbakar selepas terlanggar pembahagi jalan

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Berpantang maut sebelum ajal! Itu yang boleh digambarkan kepada sepasang suami isteri apabila berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbakar di jejambat Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza dikatakan gagal mengawal pemanduan di selekoh jejambat lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dari arah Sunway menghala ke Puchong itu tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh konkrit pembahagi jalan.

Menurutnya, dalam keadaan panik mangsa bersama isterinya yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang sebelah depan bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan kedua-duanya kerana rempuhan kuat menyebabkan kereta itu terbakar beberapa minit selepas itu.

“Tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mangsa namun kereta milik mereka hangus terbakar dalam kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan cuba memotong sebuah motosikal yang berada di depannya.

“Bagaimanapun ketika berada di kilometer 20.4 betul-betul di atas jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal, kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan teperinci akan dijalankan,”katanya.

SINAR HARIAN/-

11 nelayan terselamat, bot dinaiki karam

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BACHOK: Seramai 11 nelayan terselamat selepas bot yang mereka naiki karam ketika memancing di kawasan tujuh batu nautika dari pantai Senok di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku jam 6.30 pagi apabila bot mereka dimasuki air kerana dikatakan tidak menutup injap lubang air bot berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan terbabit.
Mereka berumur antara 25 dan 52 tahun itu sempat diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.

"Kami sempat melepaskan tembakan api amaran sebagai isyarat kecemasan kepada bot berhampiran untuk mendapatkan pertolongan mereka," kata pemilik bot yang karam itu, Abdul Aziz Abdullah, 40, dari Kampung Pantai Kemayan dekat sini.

Sambil mengucap syukur dan berterima kasih kepada nelayan yang menolong mereka, Abdul Aziz berkata beliau dan rakan-rakannya hanya menyedari bot itu bocor apabila air masuk hampir menenggelamkan bot itu.

"Jika rakan nelayan itu tidak menyedari kami dalam kecemasan sudah tentu kami lemas dalam kejadian ini, tiada apa yang kami ingat melainkan Tuhan," katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Bachok bergegas ke Pantai Senok untuk memberi bantuan kecemasan, yang kemudiannya mendapati sebelas nelayan tersebut sudah berjaya diselamatkan. - BERNAMA

Najib menggelabah, keluar kenyataan tidak masuk akal.

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sudah dalam keadaan menggelabah dan bercakap diluar kotak pemikiran yang waras apabila berhadapan dengan gelombang ratusan ribu rakyat yang menolak sisitem PRU yang kotor sekaligus menolak kepimpinan beliau.

Selepas seminggu Himpunan Bersih 3 beliau memberi reaksi dan komen dengan melemparkan pelbagai tohmahan yang melucukan terhadap rakyat yang telah berhimpun dan ulasan beliau sebenarnya telah meranapkan nama baiknya kalau masih ada dengan menuduh rakyat mahu melakukan rampasan kuasa ala revolusi dengan menakluk Dataran Merdeka untuk mengguling kerajaan.

Terlalu lambat beliau bercakap mengenai tuduhan yang dilemparkan dan respon ini telah menyerlahkan dirinya yang gagal menilai kemahuan serta keinginan rakyat yang sebenarnya.

Tsunami politik 2008 adalah sebaik-baik pengajaran yang boleh diambil BN untuk mereka berubah, malangnya ia dipersiakan dan dibuang begitu sahaja, tidakkah Najib sedar bahawa ramai pemimpin BN sendiri ada yang telah keluar meninggalkan BN, terakhir Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadhil telah keluar kerana kepincangan UMNO dan BN itu sendiri.

Penyelewengan dalam pentadbiran Negara oleh BN antara penyebab parti ini semakin lesu menunggu rebah termasuklah isu-isu yang gagal mencapai kata sepakat seperti pemansuhan ISA, mereka (Najib dan juga Hishamuddin ) tidak sependapat samada mansuh ataupun tidak.

Begitu juga isu Hudud, Chua Soi Lek sehingga mengugut untuk keluar BN jika Umno laksana undang-undang tersebut di Malaysia sehingga menyebabkan Najib Razak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dari lidah seorang muslim bahawa BN tidak akan laksana Hudud atas alasan realiti semasa dan amat menyedihkan apabila Menteri yang menjaga portfolio agama di JPM Putrajaya mengambil sikap membisu dalam isu perkara pokok agama Islam ini.

Najib Razak seboleh-bolehnya ingin menegakkan benang yang basah dengan menyatakan bahawa parti BN sedang berada di tahap yang mantap, kukuh dan ada sokongan padu.

Hakikat parti Umno BN sedang berpecah dari dalam tidak dapat dinafikan lagi, retak dari dalamnya terlalu banyak, kerja-kerja baik pulih parti terlalu banyak sehingga didengari oleh orang luar, begitulah perumpaman yang dapat digambarkan keadaan semasa Umno.

Rakyat tidak boleh memberi peluang lagi kepada parti Umno BN yang lemah mentadbir Malaysia kerana kesanya negara dan rakyat akan semakin mundur, PRU13 adalah detik untuk beri peluang kepada Pakatan Rakyat meneraju pentadbiran Negara, berdasarkan rekod di 4 negeri selama 4 tahun selayaknya PR diberi peluang sebagai Kerajaan negeru dan Pusat.
6 Mei 2012

Drs. Khallil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

Jumlah kematian akibat letupan kilang di Rayong kini 12 orang

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Sembilan orang lagi maut, menjadikan jumlah kematian akibat letupan di sebuah kilang petrokimia di Kawasan Perindustrian Ma Ta Phut di Rayong semalam, meningkat kepada 12.

Timbalan Menteri Kesihataan Awam, Surawit Konsombboon berkata 30 orang masih dirawat di beberapa hospital di Rayong dan Bangkok, kebanyakan mereka kerana melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sembilan orang yang dimasukkan ke hospital semalam kerana kecederaan serupa, dibenarkan pulang hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dan kebanyakan yang cedera adalah pekerja kilang itu.

Beribu-ribu orang, termasuk pekerja dan penduduk di kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari kilang berkenaan, dipindahkan semalam berikutan letupan pada jam 4 petang itu, yang dipercayai mengeluarkan gas toksik.

Gabenur Rayong Senee Jittakasem mengisytiharkan seluruh kawasan perindustrian berkenaan serta kawasan tiga kilometer sekitarnya sebagai zon bencana.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Kawasan Perindustrian Thailand tidak mengesan sebarang gas toksik terkandung dalam udara di kawasan itu.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan pekerja membersihkan sebuah tangki di kilang itu dengan menggunakan bahan kimia Toluene.

Kementerian Kesihatan Awam berkata bahan kimia itu membahayakan kesihatan jika disedut melalui pernafasan.

Kilang itu menghasilkan, antara lain, bahan mentah untuk kegunaan proses hiliran petrokimia seperti pembuatan getah tiruan dan resin plastik.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan beberapa menteri melawat kilang berkenaan dan mangsa di Rayong hari ini. - BERNAMA

Foto Terbaik: Ustaz Azhar Menyantuni TGNA

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Kemah Boh .. gini cara dan adab yang sepatutnya jadi tauladan pada orang lain. Walaupun Ustaz Azhar Idrus dah popular dan ada crowd sendiri, tapi rasa hormat pada Tuan Guru begitu menebal. Takbir ~!!

Lelong barangan MB di Majlis Makan Malam PR

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 6 Mei: Majlis Makan Malam Pimpinan Pakatan Rakyat 2012 yang dianjur Pemuda PAS Kelantan malam tadi mencatat sejarah apabila turut diadakan lelongan barang-barang milik Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antaranya jam tangan, baju, jaket, kasut dan potret-potret terkini beliau. Paling menarik seutas jam yang mengandungi cop kerajaan negeri dibida dengan harga RM2,700 oleh seorang pengunjung, Rushdan Mustafa.

Program itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw diadakan di I-City dekat sini dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dan anggota Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Pengarah program, Ahmad Fadhli Shaari berkata, program tersebut diadakan bertujuan mengutip dana pilihan raya Dewan Pemuda PAS Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, Pemuda PAS mensasarkan penderma di sekitar Lembah Klang terutamanya anak-anak Kelantan yang berada di perantauan untuk sama menyumbang bagi mempertahankan kerajaan Kelantan.

Sementara itu Menteri Besar berkata, rakyat cukup matang membuat penilaian sebenar ketika berdepan dengan serangan bertali arus Umno dan BN menggunakan media massa yang mereka kuasai.

“Saya cukup optimis serangan bertalu-talu pemimpin Umno dan BN terhadap Kelantan dan Pakatan Rakyat tidak akan mendatangkan kesan kerana rakyat dapat menilai apa sebenar yang berlaku,” katanya di majlis tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Pemuda PAS Kelantan menganjurkan program berkenaan sehingga mendapat sambutan memberangsangkan.

Oleh itu beliau berharap semua pihak bekerja lebih keras demi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU-13.

Pada majlis itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz menurunkan tandatangan di atas potretnya yang berjaya dijual.

HARAKAHDAILY/-

9 mayat ditemui tergantung, 14 tanpa kepala

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MAYAT sembilan individu tidak dikenali tergantung di sebuah jambatan di bandar Nuevo Laredo, Mexico kelmarin.

BANDAR RAYA MEXICO - Sembilan mayat ditemui tergantung di sebuah jambatan di bandar Nuevo Laredo, dalam negeri Tamaulipas di timur laut Mexico, lapor media tempatan.

Laporan berkenaan yang memetik kenyataan pihak berkuasa, menyatakan terdapat kesan penyeksaan pada mayat lima lelaki dan empat wanita terbabit dengan mata mereka turut ditutup.

Bandar Nuevo Laredo dihuni oleh 370,000 penduduk dan terletak tidak jauh dari bandar Laredo di sebelah sempadan Amerika Syarikat.

Pada hari yang sama, polis turut menemui 14 mayat tanpa kepala di dalam sebuah kenderaan di pusat bandar ini.

Polis kemudian menemui kepala-kepala mangsa di dalam beberapa bekas ais di luar bangunan majlis perbandaran Nuevo Laredo.

Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.

Polis percaya pembunuhan kejam itu mempunyai kaitan dengan sengketa beberapa kartel dadah yang beroperasi di bandar berkenaan.

Lebih 50,000 orang terbunuh sejak lima tahun lalu dalam jenayah terancang di Mexico. - Agensi

Tentera Yaman disusun semula

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SANAA: Beberapa minggu selepas berdiplomasi, presiden baru Yaman, Abdrabuh Mansur Hadi, mengukuhkan kawalannya ke atas dua unit utama tentera dalam tindakan dilihat berani bagi menyatukan negara berkenaan.

Awal minggu ini, anak saudara presiden terdahulu, Ali Abdullah Saleh, yang mengetuai pasukan kawalan presiden, meletak jawatan selepas diarahkan kerajaan selama sebulan.

Wakil PBB ke Yaman, Jamal Benomar, berkata Jeneral Tariq Mohammed Saleh tidak lagi menguasai unit elit berkenaan.

Pengumuman itu dibuat hanya seminggu selepas komander Tentera Udara Yaman melepaskan jawatan selepas enggan mengikut perintah presiden supaya berundur sejak beberapa minggu lalu.

Menurut diplomat kanan Yaman, beberapa pihak percaya Abdrabuh mempunyai kekuatan untuk menguasai kerajaan Yaman.

“Sebelum ini, beberapa pemimpin rejim lama percaya mereka boleh mempengaruhi presiden dan memperoleh apa yang mereka inginkan.

“Bagaimanapun, Abdrabuh enggan menerima begitu saja pandangan pembantunya, sebaliknya dia membuat penilaian sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Tentera Pengawal Republik yang juga elit, masih diketuai anak Ali Abdullah, Ahmad. - AFP

Bersih 3.0 terhangat minggu ini

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Berita mengenai insiden keganasan polis dan penyamaran polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 merupakan artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-18.

Sekeping gambar yang dipetik blog http://kafesantai.blogspot.com menunjukkan seorang peserta Bersih 2.0 memainkan dua watak, satu memukul polis sebagai peserta dan satu memukul peserta sebagai polis.

Di tangga kedua pula, ialah sebuah kupasan menarik daripada paspb2.blogspot.com mengenai dakwaan skandal seks terbaru terhadap pemimpin nombor 2 PKR, Azmin Ali.

Berita mengenai kematian Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi menduduki tempat ketiga minggu ini.

Di tempat keempat pula ulasan blog http://greenboc.blogspot.com/ terhadap gambar peserta yang merempuh sekatan polis ketika di Bersih 3.0.

“Kenapa Mereka Tidak Memakai Baju BERSIH? Kenapa Mereka Nampak Teruja Sangat Memecahkan Sekatan Polis? Siapa Kenal Mereka2 Ini??” soal blog tersebut.

Manakala, tulisan sinis Hishamuddin Rais di Tukar Tiub mengenai penipuan media Umno terhadap jumlah hadirin Bersih 3.0 menduduki tangga kelima.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 29 April hingga 5 Mei, 2012.

1
KANTOI: Lelaki ini kejap jadi peserta, kejap jadi polis
2
FITNAH SEKS!!! Azmin UMNO ada misai, Azmin Ali tak pernah bermisai
3
Bob Kuman meninggal, disemadi di Rantau
4
Peserta Demo Mengganas - Siapakah Mereka Ini??
5
Demo bersih gagal: Tak sampai 4,000 yang berdemo
6
Blogger UMNO memalsu gambar Bersih 3.0!!
7
Tengahari tendang polis, petang tangkap peserta
8
Lu Orang Kenal Siapa "Ulamak" Ini..
9
Ujian provokasi SUV sebelum Waja
10
Puak asabiah tentu tidak mengerti gambar ini

HARAKAHDAILY/-

Tragedi ‘kepala air’

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LEMAS ... mayat Alif Aiman ditemui selepas enam jam.
TAIPING: Tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang hilang dihanyutkan ‘kepala air’ ketika mandi bersama keluarganya di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit, di sini, petang kelmarin, berakhir apabila mayatnya ditemui tersangkut di celah pokok, enam jam selepas kejadian.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, Alif Aiman Zamzuri bersama ibu dan bapanya berdepan saat mencemaskan apabila dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan itu, menyebabkan kanak-kanak itu hilang dibawa arus manakala ibu dan bapanya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok.

Mayat Alif Aiman ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat Taiping, jam 10.45 malam, 500 meter dari tempat mangsa mandi bersama keluarganya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga dan dibawa ke kampung halaman di Kampung Telou Kanan, Kuala Ketil, Kedah pagi semalam untuk dikebumikan.

Beliau berkata, dalam kejadian kelmarin, mangsa bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi.

“Bagaimanapun, ketika mandi di sungai, tiba-tiba arus deras muncul dari arah hulu sebelum menghanyutkan ketiga-tiga mangsa.

“Pasangan suami isteri itu sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada pokok manakala mangsa hanyut dan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, pihaknya mengesahkan kemunculan arus deras di sungai berpunca daripada limpahan takungan air di atas bukit yang pecah.

metro/-

Pak Samad digelar Sasterawan Rakyat

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Sekumpulan seniman bebas menyampaikan penghargaan kepada pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said atas pengorbanan yang ditunjukkan Sasterawan Negara itu dalam membela hak rakyat.

Pemimpin utama Kumpulan Kartunis Independen, Zunar berkata anugerah Seniman Rakyat itu diberikan atas pengorbanan tenaga, minda, bakat dan titik peluh oleh A Samad.

"Hari ini kami, Kumpulan Kartunis Independen mengiktiraf seorang seniman, budayawan yang mengabdikan karya-karyanya demi membela rakyat, demi membuka mata rakyat dan sentiasa berjuang di garis depan membimbing rakyat.

"Beliau tidak mengharapkan darjat dan kebesaran malah sanggup menempuh rintangan biar berdepan dengan kekuasaan dan hujung senapang demi sebuah prinsip dan kehormatan sebagai manusia," katanya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar ulHaque berkata tidak memadai sekiranya seorang seniman hanya berjaya menghasilkan karya seni demi keuntungan peribadi tetapi mengabaikan penderitaan rakyat di sekeliling.

Seniman seharusnya mengabdikan karya "untuk kepentingan rakyat terbanyak, membela rakyat tertindas dan perakam denyut nadi rakyat," katanya dalam ucapan di satu majlis KKI di Kuala Lumpur semalam.

Perhimpunan BERSIH 3.0 untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil yang dipimpin A Samad menarik kehadiran sehingga 100,000 orang pada 28 April lalu.

Dalam ucapannya selepas itu, A Samad turut memberikan semangat kepada kartunis dan seniman supaya terus memperjuangkan kebebasan dan menjaga hubungan dengan tuhan.

"Kalau ada halangan, rempuhlah kerana itulah maruah seorang seniman," katanya yang turut menceritakan pengalaman beliau mengadakan protes 'duduk bantah' di Kuala Lumpur.

Majlis ringkas itu turut diserikan dengan persembahan lagu Mentari Kuning, Menyalalah yang turut disertai Pak Samad dengan isterinya.

malaysiakini/-

Guna wang BR1M anjurkan kesyukuran sertai PAS

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG: Mungkinkah harapkan sokong, sokong membawa rebah benar-benar berlaku apabila wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 yang diumpan bagi memancing undi rakyat menjadi perkara di sebaliknya.

Ini dibuktikan apabila tiga penerima BR1M di Chicha Tinggi dekat sini menggunakan sebahagian wang bantuan tersebut bagi membeli lembu untuk mengadakan majlis kesyukuran menyertai PAS.

Pengasas Umno cawangan Kampung Rengas, Chicha Tinggi, Awang Ismail, 55 atau lebih dikenali sebagai Che Seman mengakui dua isterinya yang mendapat wang BR1M menggunakan wang tersebut bagi membeli lembu.

Selain itu kata beliau adiknya, Zakaria (gambar) juga turut menyumbang wang BR1M ketika membeli lembu bagi jamuan orang ramai sempena ceramah mereka menyertai PAS awal April lalu.

Pada ceramah tersebut Che Seman mewakili ahli keluarga dan rakan-rakan menyerah 152 borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhanjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama di majlis itu Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun dan Adun Gual Periok, Mohamad Awang serta jawatankuasa PAS Rantau Panjang.

Ketika ditemui baru-baru ini Che Seman berkata, beliau tidak menerima wang RM500 BR1M, sebaliknya dua isterinya mendapat wang tersebut.

Begitu juga adiknya Zakaria merupakan Ketua Umno Cawangan Kampung Rengas menerima wang BR1M.

“Wang tersebut kami kumpul untuk membeli lembu yang disembelih bagi jamuan orang ramai sempena meraikan kemasukan saya dan kawan-kawan bersama PAS pada 7 April lalu,” ujarnya.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

harakahdaily/-