02 May 2012

Lukisan The Scream diramal dilelong RM454.2 juta

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DUA kakitangan memegang lukisan The Scream di firma Sotheby's di New York pada 12 April lalu.

NEW YORK - Lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal, Edvard Munch mungkin menjadi yang termahal pernah dilelong di dunia.

Menurut seorang pakar seni, lukisan itu yang berjudul The Scream mampu dilelong pada harga AS$150 juta (RM454.2 juta) dalam satu lelongan di sini pada hari ini.

Terdapat empat versi The Scream yang dihasilkan oleh Much.

Namun, hanya sebuah lukisan tersebut menjadi milik seorang individu.

Lukisan yang dilelong firma Sotheby's itu merupakan versi tahun 1895.

Ia menjadi milik Petter Olsen.

Bapa Olsen ialah rakan dan jiran Munch.

Seorang pakar seni di London, Nicolai Frahm percaya lukisan berkenaan akan dapat dijual pada harga RM454.2 juta.

Pada tahun 2010, lukisan yang dihasilkan Pablo Picasso berjudul Nude, green leaves and bust mencipta rekod dunia kerana dilelong pada harga AS$106.5 juta (RM322.4 juta). - REUTERS

Gempa bumi sederhana gegar wilayah Sumbawa

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sumbawa di Indonesia pada pukul 8.16 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu berlaku di 80 km timur laut Mataram dan 1,153 km tenggara Sarikei di Sarawak.

Kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami.- Bernama

Feri terbalik ragut lebih 100 nyawa

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GAUHATI - Sebuah feri berlebihan muatan sehingga 350 penumpang terbalik di timur laut India, menyebabkan lebih 100 terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 lagi penumpang masih hilang, kelmarin.

Menurut pegawai keselamatan, penyelam laut dan askar-askar penyelamat bencana bertindak menarik mayat-mayat mangsa terapung di Sungai Brahmaputra berhampiran negeri Assam.

Ketua Polis Assam, J N Choudhury berkata, beberapa penumpang terselamat selepas memanjat bahagian atas feri terbabit.

Jelas Choudhury, pihaknya turut menghubungi negara jiran, Bangladesh bagi mendapatkan bantuan berikutan kemalangan berlaku dekat Fakiragram, Gauhati iaitu pintu masuk ke Bangladesh.

Masyarakat di kepulauan kecil itu menjadikan feri sebagai pengangkutan utama mereka dan pengangkutan air itu sentiasa sesak tanpa sebarang peraturan keselamatan.

sinar harian/-

Kebocoran Masjid At-Taqwa Miri Masih Belum Dapat Diatasi

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MIRI- Masjid At-Taqwa yang terletak di tengah bandaraya Miri merupakan antara masjid yang agak lama dan sering kali menghadapi masalah kebocoran apabila musim hujan lebat.

Kita ada menerima aduan orang ramai yang mengatakan bahawa peruntukan untuk membaik–pulih masjid At-Taqwa sudah habis digunakan tetapi masalah kebocoran bumbung masih belum dapat diatasi sehingga kini sedangkan projek baik pulih telah pun tamat tempoh.

Pada tahun lepas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui ada melawat masjid besar Miri yang sedang dalam proses membaik-pulih dan beliau juga berjanji akan memberi peruntukan tambahan untuk mengatasi masalah kebocoran bumbung masjid tersebut.

Sebelum ini pun PAS Miri pernah menyuarakan masalah masjid At-Taqwa di Miri dan jawapan yang diterima agak mengecewakan dimana menteri yang menjaga hal ehwal Islam berkata “.. tiada kebocoran bumbung berlaku di Masjid Miri dan ianya masih dalam keadaan baik..”.

Kita bangkitkan isu masjid ini bukan untuk tujuan politik semata-mata tetapi lebih kepada keselesaan dan keselamatan mereka yang menggunakan masjid tersebut.

Kita mendesak menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam Sarawak datang sendiri melawat masjid di Miri yang menghadapi masalah kerosakan dan kurang peruntukan agar ianya terjaga dengan baik terutama sekali masjid dalam bandaraya Miri.

Masjid At-Taqwa Miri merupakan tempat tumpuan para pelancong dari luar dan dalam untuk menunaikan solat dan sudah tentu ianya imej bagi umat Islam di Miri. Kalau pihak kementerian hal ehwal agama Islam Sarawak tidak mengambil berat masalah masjid ini sudah tentu ianya akan memberi gambaran buruk pihak dari luar apabila mereka datang melawat masjid tersebut dalam keadaan tidak begitu baik dan bocor seolah-olah ianya tidak dijaga dengan baik.

Walaupun masjid At-Taqwa baru saja dibaik pulih tetapi masalah kebocoran bumbung akan mengakibatkan karpet dalam masjid tercemar dengan tompokan air hujan yang berpunca dari kebocoran bumbung masjid tersebut.

Kalaupun diganti dengan karpet baru ianya akan terus tercemar juga apabila masalah kebocoran bumbung masjid tersebut belum dapat diatasi sepenuhnya. Mengapa masalah kebocoran ini sukar diatasi dan berlarutan sehingga kini?

Kita tidak menyalahkan pihak pengurusan masjid, mungkin mereka sudah banyak kali menyuarakan masalah ini kepada pihak berkenaan tetapi oleh kerana terlalu banyak birokrasi menyebabkan perkara ini sukar diatasi.

Kalau pihak menteri yang menjaga hal ehwal Islam gagal memberi peruntukan kepada masjid At-Taqwa Miri, kita akan lancarkan Tabung Selamatkan Masjid At-Taqwa Miri. Kita memberi tempoh sehingga hujung bulan Mei ini untuk pihak kementerian yang menjaga hal ehwal Islam Sarawak memenuhi janji-janji mereka untuk memberi peruntukan tambahan kepada masjid tersebut.

Kita tidak mahu melihat masjid At-Taqwa Miri terus terpinggir dari arus pembangunan tetapi cantik dan indah dipandang serta dipenuhi dengan kegiatan keagamaan yang menjadikan manusia yang berguna dan insan kamil yang berakhlak mulia.

Janganlah pihak kementerian hal ehwal agama Islam Sarawak hanya sibuk memantau pengerakan penceramah agama yang menyeru manusia kejalan yang benar dan mencari keredaan Allah tetapi mengabaikan kebajikan umat Islam.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Reben kuning untuk wartawan dikasari polis

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Kerajaan Selangor menyertai beberapa pertubuhan media bagi mengutuk kekasaran polis terhadap wartawan yang membuat liputan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu melalui ikatan pita kuning.

Dalam sidang media hari ini, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, exco Teresa Kok, Ean Yong Hian Wah dan Yaakob Sapari mengenakan ikatan pita kuning atas permintaan wartawan yang hadir.

Kumpulan pemberita memotong dan mengedarkan pita itu kepada rakan-rakan mereka sebelum sidang media itu.

"Esok Hari Kebebasan Media Sedunia. Kami akan pakai pakaian hitam dan pita kuning bagi menunjukkan solidariti terhadap wartawan yang diserang," kata seorang pemberita Selangor Times yang mengambil inisiatif itu.

Pita atau reben kuning antara simbol kebebasan media yang digunakan di seluruh dunia.

Sementara itu, Khalid berkata beliau bersimpati dengan nasib wartawan berkenaan dan tidak bersetuju dengan serangan itu dan sudah masanya untuk masyarakat membuat perubahan.

"Kamu menambahkan nilai kepada pengetahuan masyarakat supaya mereka dapat membuat keputusan lebih baik. Tanpa media yang bebas, kita tidak akan menjadi masyarakat berpengetahuan," katanya.

malaysiakini/-

Curi motosikal tertinggi

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG - Kes melibatkan kecurian pelbagai jenis motosikal dan pecah rumah dikenal pasti dua jenis jenayah yang menjadi penyumbang tertinggi bagi kadar indeks jenayah di Terengganu setakat ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, secara puratanya kecurian motosikal berlaku antara dua hingga tiga kes di negeri ini bagi tempoh sehari dan kebiasaanya motosikal jenis Honda sering menjadi sasaran.

“Kegagalan pemilik motosikal menggunakan kunci pendua atau tambahan menjadi antara punca utama menyebabkan kes kecurian motosikal ini apatah lagi ia seolah-olah sengaja memberi peluang kepada penjenayah melakukan kecurian.

“Tanggungjawab dan kesedaran pemilik berkaitan kepentingan menggunakan kunci tambahan ini pastinya dapat mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri kerana berdasarkan kebanyakan kes sebelum ini ia berpunca kerana tiadanya kunci pendua disediakan.

“Malah, apabila kes kecurian motosikal dapat dikurangkan, pasti ia turut mampu mengurangkan kadar indeks jenayah di negeri ini. Sehubungan itu, dalam hal ini pemilik motosikal harus memainkan peranan penting,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Mencegah Kecurian Motosikal sempena Program Kembara Sejahtera di sini, kelmarin dan turut diadakan demonstrasi kecurian motosikal serta penyerahan kunci pendua termasuk kepada wakil anggota Rela serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Hulu Terengganu.

Terdahulu, beliau mengetuai konvoi motosikal trafik berkuasa tinggi bermula di Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan seterusnya ke daerah ini dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim khususnya antara pihak polis dengan masyarakat.

Katanya, melalui kempen mencegah motosikal sedemikian ia diharapkan sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pemilik motosikal agar tidak memandang remeh kepentingan kunci pendua kerana jenayah boleh terjadi di mana-mana sahaja sekiranya peluang sengaja diberikan kepada penjenayah.

Sinar Harian

Pelbagai Pihak Kecam Utusan Sebar Gambar Lucah

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 2 MEI : Umno begitu terdesak apabila dua akhbar yang dinaunginya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo, bertindak menyiarkan gambar lucah di muka hadapan hari ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan ini akan menjerumus generasi muda kepada keruntuhan akhlak dan Umno sudah sangat terdesak.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya budaya pemberitaan seperti yang tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini.

“Apa yang mereka lakukan ini menjerumuskan generasi muda kepada keruntuhan akhlak dan budaya seks songsang.. Kenapa isu-isu seperti ini yang diangkat untuk mendapat keuntungan politik? soal Nik Aziz dalam kenyataan di Facebooknya.

Bagi pendakwah bebas, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tindakan penyiaran gambar berkenaan satu petanda kotor minda dan hati si pembuat keputusan menyiarkan gambar berkenaan.

“Saya sangat membantah siaran gambar-gambar lucah (tidak kiralah samada ia bermotif politik atau tidak, melibatkan wajah mirip pemimpin parti BN atau PR) yang disiarkan oleh mana-mana akhbar awam tempatan seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dan Kosmo 2 Mei.

“Ingatlah siaran media awam ibarat iklan, sekali ia memberi idea & gambaran, sekiranya ada yang menurutinya, keseluruhan individu yang meluluskan keputusan siaran itu bakal mendapat saham dosa sehingga hari kiamat,” tulis Dr Zaharuddin dalam Facebook.

Sementara itu, penyiaran gambar berkenaan turut mengundang pemegang akaun Facebook di negara ini, antaranya Murni Salleh tulisnya “Anak-anak saya yang masih kecil pernah komen; “Issyy..!! tak bagus la suratkhabar tunjuk gambar-gambar tak elok!”

“Saya tak minat berpolitik..tapi saya seorang ibu dan seorang pendidik..rasa sangat malu dan geram..budak-budak kecil pun boleh bezakan yang elok dan tak elok..akibatnya..saya terpaksa tapis dulu berita-berita dalam suratkhabar sebelum benarkan anak-anaknya membacanya,” katanya yang juga seorang pendidik.

“Hari ini saya disajikan paparan majalah lucah terbitan berlesen untuk hiburan masyarakat Malaysia

“Saya juga pengamal media, tetapi saya tahu batas-batas dan etika yang perlu dihormati.

“Bangga sangatkah kalian dapat merosakkan pemikiran masyarakat dengan menyajikan perkara mungkar,” kata pengamal Media, Ahmad Nadi Karusan.

selangorku/-

Abang ipar biadap

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bukan sahaja sanggup menceroboh rumah adik iparnya dengan hasrat untuk mencuri, tetapi lebih kejam, dia turut mencederakan ahli keluarganya itu termasuklah anak saudaranya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Pulau Rusa, Merchang, Marang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, perbuatan biadap tertuduh, Ismadi Ismail, 46, dari Kampung Pulau Rusa, Merchang, Marang, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Bukan itu sahaja, lebih malang sekiranya dia gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan, Majistret Noradila Ab Latif turut memerintahkan dia dipenjarakan selama dua bulan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah adik iparnya, Rabiah Omar, kira-kira jam 6.20 pagi, Jumaat lalu.

Dengan itu, Ismadi mengaku bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa sedang mandi sebelum keluar dari bilik air rumahnya kira-kira lima minit kemudian untuk mengambil pencuci mukanya yang tertinggal di dalam beg tangan di dalam bilik.

Bagaimanapun, mangsa terkejut sebaik nampak tertuduh sedang menyelongkar beg tangannya, sebelum tertuduh yang menyedari kehadiran mangsa bertindak mencekik mangsa dan berlaku pergelutan.

Tertuduh kemudian memecahkan piring ubat nyamuk dan mengugut menikam mangsa.

Mangsa yang ketakutan menjerit meminta pertolongan anak lelakinya yang sedang tidur di dalam rumah berkenaan hingga berlaku pergelutan menyebabkan anak mangsa cedera di tapak tangan terkena kaca piring berkenaan.

Tertuduh yang panik melihat anak saudaranya itu cedera terus bertindak melarikan diri dengan terjun dari tingkap bilik adik iparnya itu.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa yang juga adik ipar tertuduh membuat laporan polis dan susulan laporan itu dibuat, tertuduh ditangkap kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu di rumahnya.

Sinar Harian

Khalid cadang pendekatan baru tamatkan konsesi tol

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mencadangkan satu mekanisma untuk menamatkan konsesi lebuh raya selepas sesuatu syarikat mencapai sasaran keuntungan untuk projek berkenaan.

Cadangan ini dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataannya hari ini.

Kerajaan negeri, kata Khalid, telah mencadangkan kepada LLM supaya satu klausa keluar (exit clause) dimasukkan dalam kesemua perjanjian konsesi lebuhraya bertol iaitu berkaitan dengan “construction profit” dan “equity return”.

Klausa ini akan membolehkan perjanjian konsesi ditamatkan lebih awal dari masa yang ditetapkan apabila syarikat mencapai sasaran keuntungan (projected profit) lebih awal.
"Apabila ini berlaku kutipan tol harus diberhentikan dan lebuh raya berkenaan perlu dikembalikan kepada pengurusan kerajaan," kata Khalid.

Apa yang berlaku pada masa lalu apabila syarikat konsesi terus dibenarkan mengutip tol walaupun syarikat konsesi telah pun mengaut keuntungan.

Penswastaan lebuh raya tidak boleh dibuat semata-mata memberi keuntungan mudah kepada syarikat konsesi di atas kos perbelanjaan rakyat, katanya.

Dalam kenyataan ini juga, Khalid memaklumkan, kerajaan negeri telah diberi penerangan tentang cadangan pembinaan Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Secara prinsipnya, kata beliau, kerajaan negeri bersetuju dengan projek infrastruktur itu kerana ia akan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan negeri telah mengingatkan LLM bahawa perjanjian konsesi untuk kutipan tol di Lebuhraya SUKE perlu adil kepada rakyat dan syarikat konsesi yang dipilih dan tidak boleh berat sebelah yang hanya memberi manfaat kepada syarikat konsesi serta kadar tol yang munasabah.

Menurut Khalid, oleh kerana Kerajaan Persekutuan ‘underwrite’ aliran tunai bagi projek ini,
Walaupun Kerajaan Negeri menyokong usaha-usaha merangsang pertumbuhan ekonomi, ia perlu dilakukan tanpa menambah beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sekarang ini terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi.

Katanya, kerajaan Selangor menentang sebarang amalan urus-tadbir korporat yang berat sebelah di mana keuntungan diswastakan sementara kerugian dihakmilikkan negara dan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.

Harakah Daily

Gaji minima: BN anaktirikan Sarawak

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUCHING: Perbezaan ketara gaji minima antara Sarawak (serta Sabah) dengan Semenanjung Malaysia adalah bukti jelas bahawa Sarawak hanyalah anak tiri Barisan Nasional (BN).

Demikian pandangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) dalam satu kenyataan mereka hari ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) memandang serius pengumunan perlaksanaan gaji minima untuk sektor swasta sempena sambutan Hari Pekerja Isnin lepas oleh Perdana Menteri yang jelas menunjukkan layanan tidak adil kerajaan BN kepada Sarawak.

Perbezaan ketara antara kadar gaji minima untuk Semenanjung Malaysia (RM 900) dan Sarawak (RM 800) telah menyebabkan rakyat Sarawak tertanya-tanya apakah janji-janji PM tempohari di Sibu benar-benar ikhlas ataupun sekadar gula-gula politik untuk memancing undi rakyat di sini.

Berdasarkan NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Golongan Berpendapatan Rendah yang berada di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, salah satu inisiatif penting NKRA ini adalah untuk menyeragamkan definisi miskin dan miskin tegar di seluruh negara iaitu RM750 sebulan untuk golongan miskin dan RM440 sebulan untuk kategori miskin tegar.

Pemuda PAS Sarawak merasakan adalah sesuatu yang pelik apabila kadar kemiskinan di seluruh negara diseragamkan manakala kadar gaji minima ditetapkan mengikut zon Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Secara efektifnya, rakyat Sarawak yang berkhidmat di sektor swasta hanyalah RM50 dari paras kemiskinan rasmi berbanding penduduk Semenanjung Malaysia yang berada RM150 dari paras kemiskinan yang sama.

"Adakah ini maksud sebenar 1Malaysia yang diwar-warkan selama ini?" soal kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengatakan bahawa perbezaan antara Semenanjung dan Malaysia Timur adalah kerana kos sara hidup yang berbeza di kawasan-kawasan tersebut.

"Namun, jika kita teliti Paras Garis Kemiskinan (PGK) sebelum ini contohnya pada tahun 2007, kadar untuk Sarawak adalah sentiasa lebih tinggi iaitu RM830 berbanding Semenanjung Malaysia pada kadar RM720 atas dasar kos sara hidup di Sarawak adalah jauh lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia," kata kenyataan itu.

Berdasarkan maklumat ini, adalah tidak konsisten dan tidak masuk akal jika perbezaan ketara kadar gaji minima adalah didasarkan kepada perbezaan kos sara hidup.

Di samping itu, jika dirujuk hasil bancian yang terkini pada tahun 2010, hampir 55% penduduk Sarawak berada di kawasan bandar iaitu Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu yang sememangnya terkenal dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kos sara hidup di bandar-bandar ini adalah hampir menyamai Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Bandar-bandar utama ini juga adalah tumpuan pekerja-pekerja kilang yang sekurang-kurangnya merupakan 80% daripada para pekerja sektor swasta yang akan menikmati kesan perlaksanaan gaji minima ini.

Jelas, dasar baru BN ini yang kononnya hadiah untuk para pekerja hanyalah usaha murahan dan terdesak BN untuk cuba menyaingi cadangan-cadangan konkrit Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang menetapkan RM 1500 sebagai kadar gaji minima untuk seluruh Malaysia, kata kenyataan itu.


Pemuda PAS Sarawak menyeru rakyat Sarawak untuk melihat perkembangan ini dengan adil dan serius.

Apalah gunanya jika Sarawak ini dianggap sebagai simpanan tetap BN tetapi kebajikan rakyat negeri ini dianggap remeh dan dipandang sebelah mata oleh kerajaan persekutuan pimpinan BN seolah-olah kita adalah rakyat kelas kedua di dalam Persekutuan Malaysia.

Perbezaan ketara gaji minima antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah bukti jelas bahawa Sarawak hanyalah anak tiri BN.
"Ayuh berubahlah!" ajak kenyataan itu.

Harakah Daily

Demi politik, Umno halalkan laporan lucah

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno sudah sangat terdesak sehingga sanggup 'menghalalkan' laporan berunsur lucah di akhbar milik mereka.

Beliau merujuk kepada laporan muka depan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini yang menyiarkan gambar aksi lucah didakwa memaparkan seorang lelaki mirip Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

"Kenapa isu-isu seperti ini yang diangkat untuk mendapat keuntungan politik?

"Saya lihat Umno sudah sangat terdesak sehingga tindakan menyiarkan gambar-gambar seperti ini pun sudah menjadi 'halal'," katanya di Facebook.

Selain Utusan, beberapa media lain turut melakukan perkara sama dengan menyiarkan beberapa keping gambar berunsur lucah itu di muka depan.

Ianya turut disiarkan dalam laporan berita televisyen yang dikawal Umno.

Sambil mengutuk keras tindakan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemberitaan cara akhbar Umno itu hanya akan meruntuhkan akhlak orang muda.

Keterangan untuk gambar disiarkan di muka depan itu antara lainnya disebut akhbar milik Umno itu sebagai "aksi panas dengan seorang wanita di dalam tandas."

Laporan itu juga menyebut, gambar berkenaan merupakan sebahagian daripada sejumlah foto yang dikutip daripada blog pro-Umno .

"Apa yang mereka lakukan ini menjerumuskan generasi muda kepada keruntuhan akhlak dan budaya seks songsang," katanya lagi.

Harakah Daily

Saham: Peneroka diugut jika enggan tandatangan

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan syarat perjanjian pinjaman untuk pembelian saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) yang ditawarkan oleh bank kepada peneroka menjadikan mereka menanggung kerugian sepenuhnya.

Presidennya Mazlan Aliman (gambar) berkata, beliau merujuk klausa dalam 'Surat Tanggung Kerugian' yang dipaksa untuk ditandatangan oleh peneroka.

Kalusa itu berbunyi:

"Saya pada bila-bila masa bertanggungjawab sepenuhnya dan bersedia menanggung segala kerugian dan sentiasa bersedia menanggung kerugian terhadap semua tindakan, guaman, prosiding, tuntutan, permintaan, kerugian, caj, penalti, fee, denda, kos yuran undang-undang (atas dasar indemniti) dan apa jua perbelanjaan yang dibuat, diambil, dibawa, dikenakan, dialami, ditanggung, didakwa atau kena bayar dalam apa jua keadaan terhadap saya atau mana-mana orang perseorangan yang berbangkit atau bersangkutan atau berhubung dengan surat ini.

"Ayat ini sebenarnya bagi saya peneroka akan menanggung sepenuhnya segala kerugian jika saham yang disenaraikan mengalami kerugian," katanya.

Sejak minggu lalu, tujuh buah bank mula mengeluarkan borang menawarkan pinjaman kepada peneroka seluruh negara untuk pembelian saham FGVH.

Mazlan mendakwa peneroka telah 'dipaksa' untuk menandatangan borang tersebut dengan gambaran ianya borang durian runtuh kepada peneroka.

Apa yang dipersoalkan kata Mazlan, peneroka dipaksa menandatangani dokumen tersebut serta-merta tanpa boleh mendapatkan nasihat pihak kedua walaupun tertera dalam borang bahawa peneroka dinasihat mendapatkan nasihat peguam sebelum menandatangan.

Apatah lagi kata Mazlan, sebahagian besar bank menyediakan borang itu dalam bahasa Inggeris yang tidak difahami peneroka.

Sehingga kini katanya hampir 90 peratus peneroka seluruh negara sudah menandatangan dokumen tersebut.

Bagaimanapun ramai di kalangan mereka menyesal selepas mendapat maklumat sebenar dari anak-anak mereka berhubung risiko yang terpaksa ditanggung.

Ada di antara mereka ujar Mazlan mahu mengambil semula borang tersebut tetapi tidak dibenarkan oleh pengurusan Felda.

Lebih teruk tambah Mazlan, peneroka diugut, dipulau dan disingkir jika tidak menandatangan dokumen tersebut.

Sehubungan itu kata Mazlan, pihaknya akan bersama-sama peneroka memfailkan injunksi membatalkan dokumen perjanjian tersebut di Mahkamah Tinggi Seremban pada 4 Mei ini.

Harakah Daily

Bersih 3.0: Kadir kagum kawalan Unit Amal

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) melahirkan rasa kagum dengan kecekapan pihak Unit Amal PAS mengawal ketenteraman sewaktu berlaku kekecohan pada Himpunan Bersih 3.0 pada sabtu lepas.

Beliau yang turut memberitahu bagaimana tindakan diambil oleh unit tersebut yang meminta agar peserta himpunan tidak terikut-ikut dengan provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu.

"Saya benar-benar kagum dengan kecekapan serta tindakan yang diambil oleh anggota Unit Amal dalam mengawal ketenteraman sewaktu berlaku kekecohan pada himpunan tersebut.

"Malah mereka juga bertindak mengingatkan agar peserta tidak memasuki perangkap yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membuat provokasi bagi mencetuskan huru hara," jelas bekas ahli majlis tertinggi Umno kepada Harakahdaily di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu sidang media.

Sebelum itu, pada satu sidang media yang sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menyatakan anggota keselamatan dari Unit Amal PAS adalah yang terbaik dalam menjalankan tugas sewaktu himpunan itu.

Dalam pada itu, Abdul Kadir juga turut melahirkan rasa terkejut bagaimana rakyat yang begitu ramai dapat memasuki pusat bandaraya walaupun pelbagai halangan dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Rakyat hadir untuk menuntut satu perkara sahaja iaitu pilihanraya adil dan telus, mereka dapatan berkumpul untuk menyatakan hak yang sepatutnya dilaksanakan olek kerajaan sebelum menjelangnya pilihanraya umum," sambung beliau.

Namum, beliau kesal apabila kerajaan tidak mengambil berat perkara tersebut tetapi menumpukan kepada isu tuduh menuduh yang belum pasti kesahihan kejadian sebenar.

Kalau kerajaan itu telus dan bertanggungjawab serta memanggil pihak Bersih untuk berbincang perkara yang sepatutnya diselesaikan dan bertindak mengikut apa yang dituntut agar perkara sedemikian tidak berulang lagi, katanya.

"Kerajaan perlu tumpukan kepada perkara-perkara pokok, rakyat tidak akan bangkit mendesak sesuatu perkara jika kerajaan dari dulu lagi mendengar apa yang mereka inginkan," tambahnya lagi.

Harakah Daily

Media MCA dakwa Zahida isteri kedua Shafei

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ruangan hiburan media milik MCA, The Star, iaitu The Daily Chilli mendakwa, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal telah berkahwin dengan artis Zahida Rafik secara senyap-senyap.

Oleh itu, tidak berbangkit menteri berkenaan membayar RM1.5 juta kepada artis itu kerana kedua-duanya sudah berkahwin.

Memetik sumber dari pemimpin kanan BN Sabah, akhbar itu melaporkan, "Bagaimana kamu boleh kata dia bayar RM1.5 juta sedangkan dia (Zahida Rafik) sebenarnya isteri kedua dia (Shafie)."

"Bekas pemandunya bertindak sebagai orang tengah untuk menutup jejak mereka," kata sumber itu sebagaimana dilaporkan The Daily Chilli.

Sebelum ini, Ketua Wanita PKR yang juga anggota Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin mendakwa, seorang menteri telah membayar seorang artis RM1.5 juta menerusi akaunnya.

Beliau mengetengahkan laporan polis mendakwa terdapat seorang menteri pusat membayar sehingga RM1.5 juta kepada seorang artis dalam tempoh empat bulan "hubungan intim" mereka.

Laporan polis itu didakwa dibuat oleh Noor Azman Azemi, 38, pada 13 Mac di balai polis Ampang selepas artis itu dikatakan mendakwnya melarikan diri dengan wang sebanyak RM200,000.

Saudaranya dikatakan memberikan salinan itu kepada anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang kemudiannya mendedahkan kandungannya kepada pemberita di lobi Parlimen dan mempersoalkan sumber dana menteri itu.

Zuraida mendakwa artis itu menerima RM58,000 pada Oktober lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.
Zahida Rafik menafikan beliau mempunyai hubungan dengan mana-mana menteri.

Shafei juga menafikan beliau mempunyai hubungan dengan Zahida.

Berikut adalah kenyataan penuh Shafei:

“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi (No. K/P: 740214146237) No report AMPANG/007017/12 yang bertarikh 13 Mac 2012 yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik.

“Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah TIDAK BENAR sama sekali dan kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah BERNIAT JAHAT dan BERUNSUR POLITIK semata-mata.

“Sehubungan dengan itu, saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal – Putrajaya, 23 April 2012.”

Harakah Daily

Ingat 250,000 mahu PRU adil – Ambiga

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Di sebalik keganasan yang berlaku, satu fakta yang tidak boleh dilupakan untuk Bersih 3.0 ialah 250,000 rakyat telah berani tampil untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bebas, kata Pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan.

“Mereka adalah yang muda dan tua – rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang. Mereka datang daripada Lembah Klang, ada juga yang datang daripada Sabah dan Sarawak.

"Mereka hadir walaupun diberi amaran oleh kerajaan, pengangkutan yang serba kurang dan sekatan jalan raya untuk menghalang mereka,” kata Ambiga dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya beribu orang turut berhimpun di seluruh negara dan lebih daripada 80 bandar di seluruh dunia.

“Ini adalah gambaran benar rakyat Malaysia. Mereka adalah gambaran niat dan cita-cita rakyat Malaysia. Tiada manipulasi politik, penyelewengan fakta oleh media perdana atau dakwaan bahawa himpunan tersebut telah dirampas (hijack) akan mengubah hakikat tersebut. Ahli politik daripada kedua-dua belah boleh tidak mengendahkan hakikat ini atas risiko sendiri,” tambah beliau.

Di dalam demokrasi yang lebih maju di mana hak untuk berhimpun secara aman dihormati, kata Ambiga, tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan adalah terletak di bahu penganjur dan penguatkuasa.

“Namun (di Bersih 3.0), pihak penguatkuasa meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya pada Bersih 2.0. Kita telah melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin sehinggalah polis menembak gas pemedih mata.

"Apabila itu berlaku, tanggungjawab itu beralih kepada polis untuk mengawal situasi yang mereka mulakan. Tanggungjawab itu adalah pada mereka. Ia adalah fakta segala keganasan hanya berlaku selepas gas pemedih mata ditembak,” kata Ambiga.

Ambiga turut memuji Unit Amal PAS dan agensi keselamatan lain atas kejayaan mereka untuk mengawal himpunan. Beliau turut memuji disiplin dan maruah rakyat yang ditunjukkan ketika perhimpunan.

“Saya turut menyatakan ada pihak polis yang telah melaksanakan tugas dengan berhati-hati dan amanah. Tapi ada sebilangan yang mendapat memo berlainan daripada pihak atasan. Mereka adalah kejam dan bertindak seperti samseng melakukan kecederaan maksimum pada para hadirin yang sudahpun berundur.

"Terdapat juga beberapa ketika yang mereka sengaja memprovokasi rakyat. Mereka bertindak tanpa undang-undang,” kata Ambiga.

Walaupun media perdana cuba menayangkan sebaliknya, Ambiga berkata kebenaran akan muncul kerana segala bukti akan timbul.

“Dan Suhakam mesti mengadakan satu inkuiri awam untuk menyiasat keganasan yang paling teruk dilakukan pihak berkuasa terhadap rakyat Malaysia,” kata beliau.

Ambiga turut menyenaraikan beberapa persoalan untuk dijawab pihak berkuasa.

1. Siapa yang memberikan arahan untuk bertindak keras terhadap peserta demo sebegitu rupa?

2. Siapakah pegawai dalam baju Bersih di dalam himpunan?

3. Siapakah mereka yang berbaju biru tanpa nombor identiti dan nama pada uniform?

4. Adakah benar ramai orang yang dibawa masuk ke himpunan untuk menimbulkan kekacauan. Jika benar, siapa bawa mereka?

5. Bagaimana anda menerangkan sikap polis yang berbeza sebelum dan selepas gas pemedih mata dilepaskan. Apakah arahan yang diberi?

6. Mengapakah kerajaan melalui media perdana tidak sanggup untuk memberikan gambaran menyeluruh insiden?

“Jika Bersih 2.0 perlu menjawab banyak persoalan, maka pihak kerajaan juga mempunyai banyak soalan yang perlu dijawab,” tegas Ambiga.

Membalas tuduhan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Bersih 2.0 telah mungkir janji dalam memastikan perhimpunan awam, Ambiga menjawab tidak.

“Hari itu, polis yang ditugaskan dengan amanah untuk menjaga kita, mengkhianati kita dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang sukakan keamanan,” tegas beliau.

Mengenai insiden benteng Dataran Merdeka diceroboh, Ambiga berkata walaupun Bersih 2.0 melihat perintah mahkamah tersebut tidak sah, tapi gabungan menuntut pilihanraya bersih dan adil telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan melepasi benteng polis Dataran Merdeka.

“Terlalu banyak perkara yang berlaku di insiden tersebut… kita akan memberikan komen selepas semua bukti dikemukakan,” kata beliau.

Isnin lali, Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali menafikan tuduhan bahawa mereka memberikan isyarat kepada peserta demo untuk menceroboh benteng Dataran Merdeka.

Harakah Daily

Kisah wartawan Malaysiakini dikasari polis

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menyingkap kembali pengalamannya di Bersih 3.0, wartawan Malaysiakini Koh Jun Lin berkata beliau ditahan ketika merakam aksi polis mengasari para peserta perhimpunan.

Koh ditahan di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Parlimen berdekatan dengan Dataran Merdeka ketika merakamkan aksi polis meleraikan sekumpulan para peserta demonstrasi aman Bersih 3.0.

“Walaupun menunjukkan tag media di baju jurugambar saya, dan memberitahu bahawa saya seorang wartawan, saya telah diperintah oleh dua orang polis untuk meletakkan kamera saya.

"Saya memberikan respon dengan merendahkan kamera, dan menjerit ‘Media! Media!’ dan cuba mencapai ke dalam poket saya untuk mendapat penutup kanta, tapi pegawai polis tersebut tidak berpuas hati,” tulis Koh di Malaysiakini.

Situasi tersebut berlaku pada jam 5.30 petang di mana beliau ditahan dan kamera dan tag media beliau dirampas polis.

“Semasa dibawa melepasi sebarisan pegawai polis dan orang beruniform di Jalan Raja, satu daripada anggota polis mengambil kesempatan melepaskan tumbukan ke perut saya,” tulis Koh, sambil menambah kesakitan itu masih dirasai ketika beliau menulis artikel beliau.

Koh berkata ketika ditahan, ada pihak polis yang tahu beliau ialah wartawan, tapi soalan beliau mengapa beliau ditahan terus tidak diendahkan.

“Saya ditahan di luar Royal Selangor Club, bersama 200 tahanan yang lain, sehingga 7 malam di mana saya memberikan bantuan merawat luka-luka yang dialami oleh ramai dari mereka yang ditahan,” tulis beliau.

Beliau berkata ketika memberikan rawatan kepada tahanan, beliau sempat bertanya pada semua tahanan, “Adakah mereka dipukul?”

“Jawapan yang saya terima adalah ‘Ya’ dan secara sinisnya, ‘Siapa yang tak kena?” tulis beliau.

Koh berkata beliau berjaya berunding untuk mendapatkan kembali tag medianya dengan menukarkannya dengan MyKad.
Kemudian, ada pegawai polis datang memulangkan kembali kamera beliau, namun kad memori kamera itu dirampas.

“Saya tak tahu apa di dalam, tapi pihak atasan telah melihat gambar tersebut dan mereka hendakkannya sebagai bukti,” kata pegawai polis itu kepada Koh.

Koh berkata beliau terkilan dengan jawapan tersebut kerana kad memori tersebut adalah hasil kerjanya yang paling penting untuk hari tersebut.

“Antara gambar yang ada ialah bagaimana polis mengejar dan menahan sekumpulan peserta, deraan yang dialami oleh seorang pegawai polis, tembakan gas pemedih mata, gambar berlumuran darah wartawan TV Al-Hijrah Mohd Azri Mohd Salleh Khalid bersama tag media beliau yang beliau berkata dipukul oleh sekumpulan pendemo,” kata Koh.

“Di sebelah lewat petang, saya dibawa di dalam bas bersama tahanan lain, dan saya dapat melihat lebih banyak kekejaman polis. Tahanan dalam bas, yang sudah merasai keperitan aksi polis, melihat dengan seram ketika bas berjalan bagaimana para pendemo dipukul, termasuk seorang di atas jalan raya sedang ditendang oleh beberapa pegawai polis,” kata Koh.

Koh berkata beliau dibawa ke Pulapol di Titiwangsa dan seorang superintenden polis berkata tahanan beliau adalah satu kesilapan dan mengarahkan pegawainya untuk melepaskannya dengan serta merta.

“Tiada dokumentasi yang dilakukan pada penahanan saya atau rampasan terhadap kad memori saya,” kata Koh.

Harakah Daily

Pekerja pelabuhan maut dirempuh dalam perjalanan ke tempat kerja

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KLANG SELATAN - Seorang pekerja pelabuhan yang bakal menimang anak kedua tidak sempat menatap wajah cahayamatanya itu selepas maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer (km) 18.3, Lebuhraya Kuala Lumpur-Shah Alam (Kesas), di sini semalam.

Kemalangan kira-kira jam 6.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Mustakim Kamarul Zaman, 29, yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang beralamat di Kampung Johan Setia merupakan bapa kepada seorang anak dan kini sedang menunggu kelahiran anak keduanya apabila isterinya dikatakan sedang hamil.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku apabila motosikal mangsa dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang kakitangan pejabat Pos berusia 43 tahun.

Menurutnya, ketika itu, mangsa keluar ke susur Johan Setia menghala Lebuhraya Kesas untuk menuju ke Pelabuhan Barat.

“Siasatan polis mendapati pemandu kenderaan terbabit gagal mengawal kenderaannya, dipercayai mengantuk lalu melanggar pengadang jalan sebelum merempuh motosikal mangsa yang kebetulan melalui jalan sama.

“Pemandu kenderaan itu dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Pendamar selepas selesai bertugas di sebuah pejabat Pos di Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, akibat kesan rempuhan kuat, mangsa dan motosikalnya tercampak ke jalan raya, menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sinar Harian

Padah buang puntung rokok

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Pelbagai alasan diberikan individu yang ditahan oleh anggota Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana membuang sampah merata-rata di sekitar Pusat Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.

Ada yang kata tidak tahu mengenai kempen Kutu Sampah yang sudah dimulakan pihak berkuasa tempatan itu sejak Ogos tahun lalu dan tidak kurang juga yang merayu supaya tidak dikompaun.

Bagaimanapun, sebanyak 31 kompaun dikeluarkan dan kebanyakannya atas kesalahan membuang puntung rokok merata-rata di tempat awam.

Datuk Bandar MBPJ, Da­tuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, setakat ini MBPJ melalui Jabatan Penguatkuasaan melantik 20 anggota khas di lokasi berkenaan termasuk di sekitar Pusat Bandar Petaling Jaya dan terbaru ia akan diperluas di kawasan SS2 dan Dataran Sunway.

“Bagi menghebahkan kempen ini secara meluas kepada orang ramai, MBPJ bercadang meneruskan kempen ini menerusi persatuan teksi dan sukarelawan berminat selain akan mengedarkan 10,000 risalah termasuk pemasangan bunting dan papan tanda di lokasi terpilih,” katanya.

Beliau berkata, kempen juga akan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Petaling Jaya yang bertujuan untuk mendidik golongan pelajar supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekitar terutamanya apabila berada tempat awam.

“Setakat ini mereka yang didapati membuang sampah merata-rata boleh dikompaun RM50 hingga RM100 namun jika pesalah dapat membayar terus ketika ditahan, jumlah yang perlu dibayar hanya RM25 sahaja,” katanya

Difahamkan, sejak Kempen Kutu Sampah diperkenalkan Ogos lalu, sebanyak 165 kompaun dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 75 kompaun masih tidak berbayar dengan 47 notis peringatan dikeluarkan kepada pesalah.

Sinar Harian

Kenyataan Media DPPN Perak - Bersih 3.0

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda Pas Perak hari ini menyokong penuh atas kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat mendesak Datuk seri Najib Razak, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Tan Sri Ismail Omar meletak jawatan ekoran tindakan polis mengasari peserta perhimpunan Bersih 3.0 hari Sabtu lepas.

Tindakan keterlaluan pihak polis lebih bermirip perlakuan tentera Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Justeru, DPP Perak menyokong kenyataan DPP Pusat agar Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab diatas insiden yang berlaku dan meletak jawatan dengan serta merta.

Mereka gagal mengurus anggota polis yang bertugas untuk mengawal keselamatan bahkan mengikut beberapa beberapa sumber danbukti yang jelas mereka adalah pencetus provokasi sehingga membelasah anggota polis untuk menaikkan kemarahan peserta perhimpunan menyebabkan keadaan menjadi kecoh.

PDRM gagal mengenal pasti yang sepatutnya rakyat yang berhimpun secara aman dilindungi dan yang mana penjenayah yang perlu diperangi.

Melalui rakaman para peserta, pihak polis membelasah dan menangkap peserta perhimpunan Bersih setelah dua jam perhimpunan selesai.Suatu tindakan yang tidak berperikemanusian yang amat dikesali oleh seluruh rakyat.

Selain daripada itu pihak polis dan FRU bertindak melepaskan gas pemedih mata serta air kimia kepada orang ramai yang berkumpul di Masjid Jamek, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Menara Maybank.
Tindakan yang tidak wajar oleh polis memukul, terajang, menyepak,menumbuk para peserta dan juga wartawan serta peguam yang sepatutnya dilindungi.

Tersebar rakaman vedio dan ramai saksi melihat bagaimana kereta polis melanggar orang ramai yang berjalan secara aman dikaki lima SOGO. Tindakan kejam anggota polis dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) berlawanan dengan etika dan memungkiri janji untuk memberi laluan terhadap perhimpunan aman 'duduk bantah' miskipun pada awalnya mereka berjanji untuk membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 berlangsung.

Justeru, Dewan Pemuda Pas Perak amat kesal di atas tindakan yang amat tidak profesional pihak polis dengan tindakan yang sedemikian, DPP Perak menyokong penuh kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meletak jawatan serta merta.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Ramai belum daftar kelahiran

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KAMPUNG LUBUK PERAH – Masih ramai masyarakat Orang Asli di sini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri terutamanya kanak-kanak.

Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Adun Kemayan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berjaya menjejaki lapan kanak-kanak dan seorang dewasa yang belum memiliki sebarang dokumen tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan, Mohd Fadil Osman berkata, mereka adalah dari Kampung Pencorong iaitu sebuah kampung kecil yang terdapat dalam pentadbiran Kampung Lubuk Perah.

Menurutnya, tidak sampai 10 keluarga menetap di situ, namun mempunyai populasi penduduk hampir 50 orang.

“Kita mahu membantu mereka. Dengan keadaan infrastruktur yang belum sempurna sepenuhnya termasuk tiada kemudahan pengangkutan, adalah wajar kita sendiri turun padang.

“Ini secara tidak langsung membantu JPN merekodkan bilangan penduduk di sesebuah kawasan dengan angka yang betul,” katanya.

Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan daripada penduduk mengenai kelewatan mereka mendaftarkan kelahiran anak masing-masing.

Seorang penduduk, Zamani Tan, 28, berkata, dua daripada tiga anaknya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, masalah pengangkutan adalah punca utama dia tidak mendaftarkan kelahiran anak-anaknya.

“Anak kedua saya, Ajling Damai, 9, dilahirkan dalam kawasan hutan semasa kami tinggal di daerah Rompin. Jadi, memang kami tidak mampu untuk ke JPN.

“Begitu juga dengan Dina, lima tahun kami tidak sempat berbuat demikian walaupun dia dilahirkan di hospital kerajaan,” katanya.

Zamani berkata, walaupun anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran, tetapi mereka dibenarkan bersekolah selepas mendapat surat pengakuan daripada pihak Jakoa.

Sementara itu, Amy Roslan, 24, berkata, hanya seorang anaknya yang belum didaftarkan.

Katanya, tiga anaknya yang lain sudah memiliki dokumen ­peng­enalan diri kerana semasa kelahiran mereka, dia menetap di kawasan yang ­mempunyai kemudahan infrastruktur.

“Dua anak saya dilahirkan di Melaka, seorang lagi di Muadzam Shah, tetapi anak yang ketiga, saya tidak sempat ke JPN.

“Jadi, apabila kakitangan JPN datang ke kampung ini, saya terus mendaftarkannya kerana ia lebih mudah dan saya tidak perlu keluar ke bandar,” katanya.

Jamal Yokmat, 36, berkata, sekiranya isterinya sempat melahirkan anak di hospital, dia tidak mempunyai masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.

Namun, apabila anak keduanya dilahirkan di rumah, keadaan itu menyukarkannya untuk JPN yang jauhnya lebih 40 kilometer.

Katanya, perkara itu diabaikan sehinggalah pihak JPN datang sendiri ke kampungnya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sudi datang ke kampung ini untuk membantu mendaftarkan anak saya.

“Mungkin kalau mereka tidak datang, saya tidak akan berkesempatan mendaftarkan kelahiran anak saya,” katanya.
24 tahun tiada dokumen

Lebih memeranjatkan apabila ada penduduk yang berumur 24 tahun dan telah berumah tangga, masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Nazri Datang, hanya menghantar maklumat diri kepada pihak Jakoa pada awal tahun ini untuk diserahkan kepada JPN.

Menurutnya, daripada sembilan beradik, hanya dia yang masih tidak mendaftar di JPN.

“Saya sendiri tidak tahu bila ­tarikh dan tahun saya lahir. Bapa saya ­mengandaikan saya berumur 24 ­tahun kerana jarak kami adik-­beradik hanya selang setahun.

“Jadi, selepas ini, saya harap boleh memiliki kad pengenalan secepat mungkin bagi memudahkan saya mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya.

Pemangku Pegawai JPN Daerah, Zuliki Yaakob berkata, kurangnya kesedaran masyarakat Orang Asli mengenai pentingnya dokumen pengenalan diri menyebabkan ramai mengabaikan perkara itu

Menurutnya, pihaknya sentiasa menjejaki mereka yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri melalui bantuan jabatan atau agensi kerajaan yang lain termasuk wakil rakyat.

Beliau berharap, dengan kehadiran mereka ke setiap perkampungan Orang Asli mampu memberi kesedaran kepada masyarakat itu supaya mendaftarkan kelahiran anak mereka.

kosmo/-

Dua pisau bunuh ayah

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TRAGEDI...ahli keluarga membawa mayat mangsa keluar dari bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam. Gambar kecil, Jaswant maut.
IPOH: Seorang remaja lelaki menikam perut dan dada ayahnya dengan dua pisau hingga mati sebelum membuat laporan polis palsu kononnya mangsa diserang perompak yang memecah masuk rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini, awal pagi semalam.

Suspek terbabit berusia 15 tahun yang juga anak sulung mangsa turut menyelerakkan perabot dalam rumah supaya kejadian itu kelihatan seperti rompakan.

Sumber polis berkata, mangsa seorang jutawan syarikat kayu dikenali sebagai Jaswant Singh Udan Singh, 40, dan kejadian berlaku jam 1.30 pagi.

Menurutnya, suspek yang masih bersekolah di tingkatan tiga itu membunuh ayah kandungnya kerana berang dengan sikap mangsa yang sering memukul ibunya.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek tinggal berdua di rumah teres dua tingkat itu manakala isteri mangsa, Kamaljit Kaur, 35, serta seorang lagi anak berusia 13 tahun berada di rumah ibu mentuanya.

metro/-

Kerajaan masih permain pekerja bawahan

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Lajnah Pekerja dan Perofesional Muda, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja bagi komuniti pekerja seluruh negara.

Lajnah ini sangat berbangga dengan usaha dan kegigihan yang ditunjukkan oleh golongan pekerja untuk sama-sama kita majukan negara yang kita cintai ini. Tanpa adanya sumbangan dan komitmen golongan pekerja, struktur masyarakat akan runtuh dan pembangunan negara ini sudah pasti akan tergendala.

Kami sangat prihatin dengan bebanan inflasi dan kenaikan harga barangan yang dihadapi oleh khususnya pekerja bawahan di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang korup ini.

Dalam menghadapi bebanan ini, kerajaan masih lagi mempermain-mainkan golongan pekerja. Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM800 atau RM3.85 sejam. Ini adalah sangat rendah dan tidak wajar. Apa yang rakyat marhaen boleh dapat dengan RM800 sebulan? Sewa rumah di Sabah dan Sarawak sudah mencecah lebih RM500. Belanja api, elektrik, telefon, persekolahan ana dan belanja dapur sudah pasti melebihi RM500.

Dalam keadaan biasa, pendapatan bulanan rakyat marhaen tidak mencukupi untuk perbelanjaan hidup mereka sekeluarga. Dengan pendapatan kurang dari RM1000 setiap bulan, mereka terpaksa berhutang hanya untuk keperluan asasi bulanan. Ini belum termasuk bayaran bulanan kenderaan dan rumah kediaman. Bagaimana pula sekiranya mereka mendapat kecemasan atau sakit?
Di bawah kerajaan Barisan Nasional, golongan kaya semakin kaya menjadikan suasana masyarakat yang tidak stabil. Kerajaan juga berbohong dengan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam peringkat bawahan sebanyak 13% manakala bagi kakitangan utama dan turus kenaikannya adalah 7-9%.

Adapun yang sebenarnya adalah, selepas sekali sahaja kenaikan 9%, kakitangan bawahan cuma mendapat kenaikan tahuan antara RM 80-320 sahaja. Tetapi golongan atasan, setelah menerima kenaikan 9% tersebut, gaji mereka setiap tahun akan naik sebanyak 9% lagi daripada gaji pokok tahun tersebut. Ini menjadikan kenaikan sebenar kakitangan pengurusan tertinggi sektor awam adalah 14-18% pada tahun ini sahaja dengan kenaikan 7-9% setiap tahun.

Kerajaan masih lagi mengamalkan budaya membazir, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka mengharapkan rakyat yang sudah miskin supaya berjimat cermat, tetapi mereka berterus-terusan dalam keadaan mewah, menggunakan peruntukan negara untuk kepentingan pribadi dan melupus kira pinjaman kroni.

Kita mengajak golongan pekerja sekalian supaya memilih PAS dan Pakatan Rakyat untuk memerintah Negara supaya agenda Negara Berkebajikan kita dapat dilangsungkan sesuai dengan kehendak Islam supaya harta Negara tidak boleh berlegar dikalangan golongan tertentu sahaja.

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Al Hasyr: 7)

Negara Berkebajikan Pilihan Kita.

Dr Ghazali ialah Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Harakah Daily

Peserta bantu polis tersepit

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Insiden kereta pegawai penyiasat polis diterbalikkan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu bukan disengajakan.

Seorang aktivis, Saiful Mokhtar, 33, mengakui dia yang berada di lokasi kejadian dapat mendengar dengan jelas beberapa orang mengarahkan kereta polis itu diterbalikkan kerana kononnya ada mangsa yang tersepit di dalamnya.

“Mereka yang mengangkat kereta itu terdiri daripada 10 hingga 15 orang rata-ratanya berniat mahu menyelamatkan mangsa yang mungkin tersepit di bawah kereta dan bukan sengaja untuk membalas dendam terhadap anggota polis.

“Dalam keadaan kelam kabut kami cuba mengawal situasi namun terdapat dua atau tiga orang (bukan berpakaian kuning) bertindak menjerit dan cuba melakukan keganasan melampau malah kami cuba menghalang dan turut membelasah seorang daripada mereka yang cuba melarikan beg dari kereta polis itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, rakaman keseluruhan kejadian dirakam oleh sebuah TV Web dan dia sendiri turut mempunyai salinan rakaman itu.

“Kami sendiri yang mengeluarkan dan menyelamatkan anggota polis daripada menjadi mangsa ganas individu terbabit yang berterusan masih mahu melakukan provokasi meskipun ramai yang cuba meleraikannya.

“Saya juga hairan kerana rata-rata yang melakukan provokasi melampau dan mengajak supaya memukul anggota polis terdiri daripada mereka yang berpakaian biasa dan apa yang berlaku ketika itu amat pelik malah saya sendiri juga tidak sempat untuk menghalang salah seorang mereka daripada menendang beberapa motosikal anggota trafik yang diletakan dibahu jalan beberapa meter di lokasi sama,” katanya.

Saiful berkata, turut menimbulkan persoalan insiden yang berlaku seolah-olah dirancang kerana visual yang dirakamkan sebuah stesen TV diambil dari tingkat atas sebuah lagi pusat membeli-belah.

Sinar Harian

Murid sekolah hilang selepas habis aktiviti perkhemahan

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang setelah selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform di Sekolah Kebangsaan St Micheal di sini, Ahad lalu.

Muhammad Norman Zahar gagal dikesan keluarganya ketika ingin mengambil mangsa di sekolahnya selepas selesai program berkenaan.

Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah setelah selesai program pada jam 10 pagi.

“Kami sudah berusaha menjejaki Muhammad Norman termasuk menerusi rakan sekolah dan sanak saudara yang menetap di sekitar Ipoh dan Taiping.

“Kami tidak menyangka kejadian ini akan menimpa anak kami dan saya percaya ada individu yang mengambil dia sebelum disembunyikan di satu lokasi lain,” katanya yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian.

Pada masa sama, ayah mangsa, Zahar Ahmad, 37, berkata, dia pernah menerima satu panggilan daripada seorang kanak-kanak yang memaklumkan anaknya berada bersamanya dan akan dihantar pulang.

“Saya menunggu kepulangan anak saya di rumah namun, kelibatnya tidak muncul. Saya kemudian menyerahkan nombor telefon itu kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

“Kalau ada sesiapa terjumpa dengan Muhammad Norman, saya harap dapat membawa dan menghubungi balai berhampiran,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, polis mengesahkan menerima laporan tersebut dan usaha masih dijalankan untuk mengesan kehilangan kanak-kanak itu dan menolak kemungkinan ada kaitan dengan kes culik.

“Kita masih tidak menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa dan siasatan dilakukan mengikut kes orang hilang.

“Kami juga sedang berusaha mengesan pemanggil yang membuat panggilan kepada keluarga itu dan orang awam yang menjumpai kanak-kanak itu boleh memaklumkan kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian

Misteri pakaian dalam depan rumah

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERCHAM – Seorang gadis hidup dalam ketakutan apabila seluar dalam dan coli miliknya yang dicuri sejak dua bulan lalu, ditemui bertaburan di hadapan dan halaman rumahnya di di Kampung Tersusun Tasek di sini, kelmarin.

Keadaan itu begitu menakutkan dirinya selepas menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki misteri yang gemar meninggalkan nota berbaur lucah dan mempelawa mangsa melakukan hubungan seks dengannya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarah, 32, berkata, kejadian itu disedari pada jam 9.45 pagi ketika dia ingin keluar untuk bekerja sebelum terkejut apabila mendapati seluar dalam miliknya bertaburan.

Menurutnya, beberapa coli dan seluar dalamnya turut bertaburan di atas kereta serta perkarangan rumah keluarganya itu.

“Ini merupakan kejadian kedua berlaku apabila lelaki berkenaan bertindak berani dengan menceroboh kawasan rumah kami pada jam 1 pagi untuk melakukan perbuatan keji ini.

“Dalam kejadian pertama pada awal Mac lalu, dua helai coli hilang tetapi dikembalikan seminggu kemudian dengan sekeping nota lucah. Saya yakin ia melibatkan individu sama,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bercham di sini, kelmarin.

Katanya, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang lampu pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Keluarga sangat bimbang dengan lelaki berkenaan yang mungkin bertindak lebih berani dengan menceroboh rumah pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkenaan dan rondaan di kawasan berkenaan akan ditingkatkan bagi menjaga keselamatan penduduk.

Sinar Harian

Gol sendiri tambah luka Liverpool

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GOL jaringan sendiri oleh Martin Skrtel membolehkan Fulham mencatat kemenangan manis di Stadium Anfield dalam persaingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Kekalahan 1-0 membuatkan Liverpool terpaksa menelan pahit setelah dimalukan Fulham ditempat sendiri meskipun mendapat sokongan padu peminat tuan rumah.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish yang merehatkan empat pemain utamanya iaitu penjaga gol, Pepe Reina, Steven Gerrard, Daniel Agger dan Luis Suarez menjelang pertemuan Piala FA di Wembley, Sabtu ini nyata memakan diri apabila gagal memungut tiga mata penting untuk berada di kedudukan lebih baik dalam EPL.

Kekalahan ini sekali gus mencalar persiapan Liverpool menghadapi final Piala FA menentang Chelsea.

Pada masa yang sama, kekalahan ini turut menjejaskan rekod dalam Liga utama apabila Liverpool hanya memenangi tiga perlawanan daripada 13 pertemuan terakhir mereka dan berkemungkinan kelab itu akan terkeluar daripada kelompok lapan pasukan terbaik musim ini untuk kali pertama sejak 1954.

Kedua-dua kelab itu kini telah mengumpulkan 49 mata dengan melengkapkan 36 perlawanan setakat ini, tetapi Liverpool berada di depan dengan perbezaan gol.

Fulham akan bertemu Sunderland Ahad ini manakala Liverpool akan bertemu Chelsea Selasa depan untuk perlawanan ke-37 nanti.

Sinar Harian

Obama janji ‘mahu selesai kerja’ di Afghan

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KABUL - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama membuat ucapan mengejut dari pangkalan tentara di Afghanistan semalam dengan memberi jaminan, negara itu mahu "menyelesaikan kerja" di negara itu, sekali gus mengakhiri perang Afghan.

Ucapan beliau itu muncul ketika genap setahun tentera khas AS menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan.

Obama tiba di Afghanistan dalam satu lawatan mengejut bagi menandatangani perjanjian dengan Presiden Hamid Karzai berkenaan dengan hubungan masa depan kedua-dua negara itu sebelum Sidang Kemuncak Nato.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Obama berkata, ia detik bersejarah bagi AS dan Afghanistan.

Sidang Kemuncak Nato akan berlangsung di Chicago.

Perjanjian itu menyediakan ruang bagi menjalin hubungan dalam bentuk baru bagi kedua-dua negara sepanjang 10 tahun akan datang.

Nato juga telah melahirkan komitmen untuk menamatkan operasi serangan di Afghanistan pada akhir 2014.

Perjanjian baru itu, yang akan menyaksikan AS menarik keluar 23,000 askar menjelang akhir musim panas ini, kata Obama, akan mewujudkan satu hubungan baru yang membolehkan AS memainkan peranan sokongan di Afganistan.

"Sebagaimana dipersetujui oleh pakatan kami, menjelang akhir 2014, Afghan akan bertanggungjawab penuh bagi keselamatan negaranya," kata Obama.

Lawatan Obama ke Afghanistan dirahsiakan sehingga beliau mengadakan pertemuan dengan Hamid.

Sinar Harian

Pemandu kenderaan berat guna lebuh raya secara haram

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Pemandu kenderaan berat terus mengaut keuntungan secara haram apabila menggunakan lebuh raya.

Tinjauan mendapati pemandu lori akan menukar kad tol yang dimiliki mereka di hentian rehat tertentu sebelum meneruskan perjalanan.

Daripada maklumat diterima, apabila laluan terus dari Perlis ke Johor diperkenalkan, ia dikatakan memudahkan mereka melakukan jenayah penipuan ini setiap hari.

Difahamkan, sehingga kini penguat kuasa tol berjaya menahan beberapa suspek, tetapi tidak ada undang-undang khusus boleh diambil.

Jurucakap tol berkata, permasala-han itu mengakibatkan pihak tol mengalami kerugian ribuan ringgit sehari dan ia menjejaskan operasi penyenggaraan yang akan dijalankan.

“Masalah penipuan ini sangat serius kerana ia melibatkan ribuan ringgit. Pemandu kenderaan berat khususnya lori dan bas sememangnya terlibat dalam perlakuan ini dan ia dibuktikan dengan tertangkapnya beberapa suspek terlibat.

“Sebuah lori atau bas datang dari Johor akan berhenti di beberapa hentian yang telah dikenal pasti, antaranya Hentian Sungai Perak dan Hentian Bukit Merah. Apabila tiba di hentian ini ada individu yang akan menukar kad tol pemandu terlibat,” katanya.

Menurutnya, jumlah tol yang dikenakan untuk kenderaan berat adalah kira-kira RM128. Difahamkan, modus operandinya adalah seperti kenderaan yang datang dari arah Johor tadi akan mengambil kad tol pemandu lori yang datang dari arah Juru.

Pemandu akan keluar melalui tol berhampiran Tol Bandar Baharu dan kadar tol yang dikenakan kepada mereka hanya kira-kira RM8.50.

“Cuba bayangkan seorang pemandu boleh jimat lebih RM100 dengan hanya guna cara penipuan ini. Sepatutnya tiap pemandu kenderaan berat telah diberikan wang oleh majikan mereka untuk membayar tol.

“Tetapi kemudahan ini disalahgunakan sehingga mengakibatkan syarikat tol terlibat mengalami kerugian. Sehingga kini penipuan seperti ini sering berlaku pada waktu malam dan musim perayaan dimana kebanyakan pekerja tol sibuk,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan cara penipuan itu, pemandu boleh mendapat lebihan gaji daripada majikan mereka kira-kira RM100 setiap kali perjalanan.

Katanya, ini bermakna syarikat mereka bekerja akan membayar lebih RM2,000 kepada pemandu bagi tujuan pembayaran tol, tetapi wang itu tidak digunakan sebaliknya menjadi wang sampingan pemandu.

“Tidak hairan sekiranya ada pemandu dapat hidup dalam keadaan mewah kerana mereka memperoleh lebihan wang setiap bulan,” katanya.

Sinar Harian

Berang dorong anak tikam bapa

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SIMPANG PULAI – Seorang remaja dipercayai sanggup menikam bapa kandungnya dengan menggunakan dua pisau sebelum berpura-pura membuat laporan polis kononnya mangsa disamun di rumahnya di Taman Bersatu, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1 pagi, suspek berusia 15 tahun itu didakwa merancang membunuh bapanya yang juga seorang ahli perniagaan kayu, dengan menyelerakkan perabot bagi memperdaya pihak polis yang membuat siasatan.

Suspek kemudian memandu kereta Mercedes Benz milik ayahnya, Jaswant Singh Udan Singh, 40, ke Balai Polis Simpang Pulai di sini, bagi membuat lapo­ran kononnya rumahnya dipecah masuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, polis kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di salah sebuah bilik di tingkat bawah berlumuran­ darah.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan hasil soal siasat terhadap anak mangsa (suspek), akhirnya membawa kepada pengakuan si anak yang mengaku membunuh bapanya.

“Suspek mengaku menikam bapanya kerana berang dengan sikap bapanya itu yang sering memukul dan memarahi dia serta ibunya. Terdapat juga kesan luka pada kedua-dua tangannya.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tikaman pada bahagian perut mangsa. Suspek juga menunjukkan lokasi dia membuang pisau di padang permainan Kampung Baru yang masih mempunyai kesan darah,” katanya.

Dzuraidi berkata, pelajar tingkatan tiga itu ditahan reman selama seminggu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Selain dua bilah pisau, polis turut merampas kereta Mercedes Benz yang digunakan semasa membuang pisau itu.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, remaja terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapat perintah reman diiringi tiga anggota polis pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, suspek yang memakai kemeja T hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi gelisah atau murung ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah dalam keadaan tangan bergari.

Dalam pada itu, sepupu mangsa, Inder Singh, 65, berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan kejadian yang berlaku itu kerana anak mangsa itu disifatkan sebagai seorang pendiam dan baik dalam keluarga.

“Ketika kejadian difahamkan mereka (mangsa dan suspek) bergaduh. Selain itu, mangsa juga pernah menyuarakan masalah anak sulungnya itu yang telah mula merokok,” katanya.

Sinar Harian

Curi motosikal ikut tempahan

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja lelaki 19 tahun yang ditahan di Kulim Hi-Tech baru-baru ini kerana terlibat kegiatan mencuri motosikal memberitahu melakukan jenayah itu kerana ia mudah dilakukan selain mendapat pembayaran segera daripada pembeli.

Menurutnya setiap motosikal dicuri akan dijual dengan harga RM1,100 hingga RM1,500, manakala apabila mendapat bayaran daripada pembeli, dia akan membahagikannya dengan seorang lagi temannya.

Katanya, antara jenis motosikal sering 'ditempah' pelanggan untuk dicuri adalah Yamaha 125Z, Yamaha LC 135 dan Honda EX5.

“Saya belajar mencuri motosikal daripada rakan. Untuk mencuri motosikal ia tidak memerlukan masa lama. Sebelum melakukan jenayah itu, saya terlebih dahulu mendapatkan tempahan dari pelanggan.

“Mereka akan maklumkan pada saya jenis motosikal dikehendaki. Saya kemudian pergi mencari motosikal itu dengan rakan. Lokasi sering kami pergi adalah sekitar kawasan pasar malam dan pasar raya. Di sana pelbagai jenis motosikal boleh ditemui,” katanya ketika mendedahkan kegiatan dilakukannya kepada Sinar Harian.

Difahamkan. dia akan disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun keseksaan kerana mencuri motosikal.

Menurut remaja itu lagi, pencuri motosikal biasanya mempunyai alat untuk membuka suis kenderaan itu yang dibuat sendiri dengan menggunakan besi.

“Apabila berjaya melarikan motosikal itu, saya akan menghubungi pembeli dan mengarahkan dia untuk menunggu kami di lokasi di tetapkan. Ketika motosikal curi itu hendak diserahkan kepada pembeli, ia hanya mengambil masa antara satu hingga dua minit kerana mereka tidak akan berhenti lama.

“Selain itu motosikal yang ditunggang tidak akan dimatikan enjin. Ini memudahkan mereka melarikan diri sekiranya dikepung polis. Sebelum pembayaran dibuat saya akan mengarahkan seorang rakan untuk berjumpa pelanggan dan melihat jumlah wang di milikinya,” katanya.

Menurutnya, setelah berpuas hati, rakannya akan menghubunginya sebelum dia kemudiannya menghantar motosikal diminta.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan suspek ditahan kerana terlibat kegiatan mencuri motosikal merupakan golongan remaja.

Menurutnya, pihaknya mendapati kebanyakan mereka yang ditahan kerana mencuri motosikal tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain terlibat dalam penagihan dadah.

Sinar Harian

Pelajar tanam anak sendiri

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI, Kedah – Polis menemui mayat bayi yang cukup sifat dipercayai ditanam sepasang kekasih berusia 17 tahun, dalam kejadian dekat kawasan kilang Taman Ria Jaya semalam.

Sumber memberitahu, bayi yang sempurna itu dikatakan ditanam sendiri suspek (ibu mangsa) yang merupakan seorang pelajar sebuah sekolah di bandar ini.

Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dikatakan bersalin di rumahnya, sebelum memasukkan bayi ke dalam beg dan dibawa ke sekolah.

“Beg yang dibawa kemudian­ diserah kepada teman lelaki sebelum menanam bayi tersebut di tepi jalan dekat kawasan­ kilang.

“Kejadian itu bagaimanapun diceritakan suspek kepada rakannya sebelum sampai ke pengetahuan pihak sekolah,” katanya.

Polis bagaimanapun telah menahan remaja berkenaan, sementara teman lelaki ditahan semasa sedang berniaga di sebuah pasar malam, kelmarin.

Tinjauan mendapati, polis yang menerima maklumat menggali semula ‘kubur’ terbabit kira-kira jam 11 pagi semalam, sebelum menemui mayat seorang bayi yang cukup sifat dibalut dengan elok beberapa lapisan sebelum dimasukkan ke dalam beg.

Maklumat polis mendapati, keadaan bayi sempurna dengan tangan dan kaki masih dalam keadaan elok dan dipercayai ditanam dalam masa 24 jam sebelum ditemui.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian kerana Sinar Harian difahamkan bayi malang itu mungkin dicekik.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Sinar Harian