01 May 2012

Lelaki genius kawal lalu lintas

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERRY di luar sekolah tempat dia bekerja.
LONDON: Seorang lelaki genius yang memiliki 11 ijazah universiti dan boleh bercakap lima bahasa dengan lancar, bekerja sebagai pengawal lalu lintas di sebuah sekolah.

Dr Bruce Berry adalah antara orang paling pintar di Britain.

Tetapi, selama lima hari seminggu, dia mengayuh basikal sejauh enam setengah kilometer untuk membantu kanak-kanak sekolah menyeberang jalan. Bruce, 70, yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah dengan tesis 425 muka mengenai penulis kelahiran Russia, Andrei Makine, berkata: “Saya gemar berusaha mendapatkan ijazah. Tetapi saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat. Saya seronok dapat membantu memastikan kanak-kanak selamat ketika pergi dan balik sekolah.

” Selain PhD, Bruce mempunyai tiga Ijazah Sarjana Muda, tujuh Ijazah Sarjana dan lancar bercakap bahasa Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Russia.

Berry yang masih bujang dan berasal dari Sharlston, West Yorks, mula bekerja sebagai kerani pejabat pos dan belajar ketika mempunyai waktu terluang sebelum menjadi penterjemah.

Bruce menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan untuk mengawal lalu lintas di luar Sekolah Crofton, Wakefield, tempat bapanya pernah mengajar.

“Saya merasakan diri saya sebahagian daripada keluarga di sana,” katanya. - DM


Petugas pejabat agung PAS Ustaz Rahim meninggal

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Kakitangan Pejabat Agung PAS Ustaz Abdul Rahim Saidin telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.20 petang tadi akibat kanser hati.

Allahyarham yang berusia awal 60-an menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Hospital Selayang.

Beliau dimasukkan ke hospital itu sejak Selasa lalu.

Allahyarham adalah Setiausaha Eksekutif 1 Bahagian Pentadbiran.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah....

harakahdaily/-

Rakyat boleh dibelasah kerana mahu jaga Dataran?

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Perhimpunan Duduk Bantah – Bersih 3.0 ternyata telah berjaya mencapai matlamatnya. Mesej dan tuntutan yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil telah disampaikan dengan jelas dengan berkumpulnya lebih 250,000 orang penyokong pada 28 April 2012 yang lalu. Rakyat telah berkumpul di tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak penganjur. Mereka kemudiannya bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Pergerakan menuju ke Dataran Merdeka berjalan lancar dan dilakukan bagai sebuah pesta. Ada yang memukul gendang, ada yang bernyanyi dan ada yang membawa pelbagai kain rentang dan poster yang mempamerkan tuntutan agar pilihanraya dilaksanakan dengan besih dan adil.

Perhimpunan Bersih 3.0 tersebut telah dihadiri oleh rakyat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang; Melayu, Cina, India serta pelbagai bangsa lain. Tua dan muda, lelaki dan wanita tidak ketinggalan. Mereka juga terdiri dari pelbagai fahaman politik dan ada di kalangan mereka adalah merupakan rakyat biasa yang cintakan keadilan dan kebenaran. Ternyata seruan ke arah pilihanraya yang adil dan bersih telah merentas batas kaum, agama dan fahaman politik.

Perhimpunan telah berjalan secara aman dan penuh disiplin sehinggalah ada pihak yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka. Apabila ini berlaku pihak polis mula bertindak dengan menyimbah air berasid dan menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai. Ini diikuti dengan tindakan-tindakan polis yang ganas yang mengejar para peserta perhimpunan tersebut dan membelasah mereka. Terdapat banyak klip video di youtube yang boleh disaksikan yang menunjukkan betapa ganasnya pasukan polis membelasah peserta perhimpunan.

Persoalannya kenapa pihak polis bertindak begitu ganas kepada para peserta perhimpunan? Adakah kerana terdapat sebahagian daripada peserta yang telah membolosi dan memasuki Dataran Merdeka yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh mahkamah?

Namun jika kita teliti, hampir semua tindakan-tindakan polis yang membelasah para peserta himpunan telah dilakukan di luar Dataran Merdeka. Malah kita hampir pasti mereka yang dibelasah ini pun kebanyakannya tidak menjejakkan kaki mereka di Dataran Merdeka pada hari tersebut. Ini adalah kerana jumlah peserta perhimpunan yang memasuki Dataran Merdeka amatlah sedikit dan itupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa sebahagiannya merupakan anggota keselamatan yang menyamar sebagai peserta perhimpunan yang telah mencetuskan provokasi.

Selain daripada itu, daripada laporan-laporan yang diterima, ada peserta perhimpunan yang dipukul ketika mereka sedang makan malam di restoran-restoran sekitar Masjid Jamek dan Masjid India sekitar pukul 7.00 hingga 7.30 malam; lama selepas semua peserta bersurai.

Kenapa tanah sekangkang kera yang dinamakan Dataran Merdeka itu dijadikan isu yang besar oleh pihak kerajaan dan polis? Bukankah Dataran Merdeka itu merupakan tempat berkumpul semua rakyat jelata? Tidakkah semua rakyat jelata berhak untuk berhimpun di situ? Kenapakah ia perlu dijadikan isu sehingga satu perintah mahkamah khusus perlu diambil bagi menghalang peserta Bersih 3.0 berhimpun di situ?

Malah, kalau benar Dataran Merdeka sahaja merupakan kawasan larangan, kenapa pula polis membelasah perserta himpunan yang berada di luar Dataran Merdeka?

Selain daripada itu, wajarkah kerana mempertahankan Dataran Merdeka, rakyat dibelasah sehingga setengah mati?
Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pihak polis dan pihak kerajaan. Kita menuntut penjelasan daripada mereka.

Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan salah seorang perserta Bersih 3.0.

IKRAM merupakan anggota gabungan Bersih 2.0.

harakahdaily/-

Bahagia ditentukan pasangan pada malam pertama

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Bahagia menurut orang kebanyakan ialah apabila banyak wang, banyak harta yang boleh buat apa sahaja dengan wang itu demi kebahagian suami isteri. Oleh sebab itulah suatu ketika dahulu apabila ada lelaki hendak masuk meminang dipersoalkan status kerja dan jawatannya. Walaupun akhirny diterima juga peminangan, hanya kerana terpaksa namun menantu tersebut bukanlah kesayangannya.

Walau bagaimanapun akhir-akhir ini terdapat sedikit angin perubahan, apabila lelaki yang tidak berada boleh berkahwin dengan perempuan yang berada. Keadaan berlaku apabila wanita berjawatan lambat berkahwin. Maka apabila perempuan tersebut bersetuju, ibu bapa akan ikut sahaja. Suami yang menjadi pilihan itu tidak diharapkan apa-apa kecuali perlindungan.

Realitinya manakah di antara keduanya boleh wujud kebahagian? Kalau kekayaan semata-mata menjadi ukuran, kita lihat ramai juga yang tidak bahagia. Walaupun semua yang dihajati boleh diperoleh dengan wang tetapi masih ada hati yang tidak tenang. Begitu juga pasangan yang tidak memikirkan soal kewangan. Kadang-kadang suami rasa tertekan kerana tidak boleh bebas bergerak. Jadi, mereka tetap tidak bahagia. Kalau begitu apakah yang sebenarnya boleh membawa kebahagiaan?

Malam pertama

Walau apapun usaha dan ikhtiar yang dilakukan untuk bahagia, sebenarnya komunikasi atau hubungan dua hala yang berkesan itulah yang amat penting untuk mencapai kebahagiaan. Oleh sebab itu pada malam pertama, pengenalan diri secara yang lebih mendalam boleh dimulakan sebelum lain-lain urusan. Mungkin pasangan yang sudah lama berkenalan berkata mereka tidak berkenalan lagi, tetapi percaya mereka sebenarnya belum benar-benar kenal. Jadi, pada malam pertama perlu diluahkan segala-galanya agar tiada rahsia antara keduanya.

Pada masa yang sama, tuliskan pada satu kertas tentang empat perkara yang telah dimiliki dan akan dicapai. Empat perkara tersebut ialah tentang imannya, akhlaknya, sifat mawaddah dan sifat rahmatnya. Suami tulis dalam catatannya dan isteri juga lakukan perkara yang sama dalam catatannya.

Iman, tuliskan tahap iman anda. Apa yang anda tahu tentang iman. Ketahuilah orang yang beriman ialah orang yang apabila menyebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan al-Quran bertambah imannya. Inilah tahap iman yang sepatutnya dimiliki oleh umat Islam.

Akhlak, tuliskan tahap akhlak anda, adakah sudah baik atau kadang-kadang tidak boleh sabar. Allah datangkan Nabi Muhammad kepada umatnya untuk menyempurnakan akhlak manusia. Rasulullah sendiri amat tingga akhlaknya, sangat penyabar dan penyantun dalam pergaulan. Malah hasil akhlaknya itu musuh Islam boleh menerima Islam. Bolehkah kita memiliki akhlak sebegitu dalam berhadapan dengan isteri?

Mawaddah, tuliskan tahap sifat kasih sayang anda. Bolehkah anda memberi kasih sayang kepada isteri anda sepenuhnya. Orang yang kasih dan sayang tidak akan abaikan isteri, perhatian diberikan sepenuh kepada isteri. Dan kalau isteri membuat sesuatu yang baik untuk anda bolehkah dibalas dengan kasih sayang? Hargailah pengerbonan sepanjang dia menjadi isteri anda.

Rahmah, tuliskan tahap belas kasihan yang ada dalam diri anda. Dalam hal ini kalau isteri sakit bolehkah anda membelainya dengan belas kasihan. Kesalahan isteri terhadap anda bolehkah dibaiki dengan penuh belas kasihan. Kederhakaan isteri bolehkah diberi teguran dengan berhikmah dan belas kasihan? Belas kasihan ini penting dalam rumah tangga.

Isteri jugas perlu menulis perkara yang sama tetapi dia tidak boleh berpakat apa yang mahu ditulisnya. Setelah siap, berikan kepada pasangan masing-masing dan bacalah catatan pasangan anda dengan cermat. Setelah itu, masing-masing perlu berikrar di hadapan pasangan, “Saya akan menjadi suami/isteri yang beriman, berakhlak, ada sifat mawaddah dan rahmat, jika saya terseleweng dari landasan ini, saya bersedia ditegur oleh pasangan.” Demikian yang boleh dilakukan pada malam pertama.

Nilaian pasangan

Apabila masing-masing sudah mendapat catatan pasangannya, simpanlah baik-baik di tempat yang boleh dilihat. Tetapi sebelum tidur, bukalah lembar catatan itu dan masing-masing boleh buat penilaian terhadap pasangan anda. Kalau pasangan tersebut sudah baik imannya, akhlaknya dan semuanya memuaskan maka ucaplah terima kasih terhadap pasangan anda. Semoga kebaikan itu dapat diteruskan sehingga bila-bila.

Namun begitu kalau dalam penilaian itu terdapat kekurangan yang boleh menjejaskan hubungan bolehlah anda membuat teguran untuk menambahbaikkan kekurangan itu. Dalam hal ini perlu diingatkan, janganlah kesalahan atau kekurangan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang teguran atau baik pulih. Percayalah kalau keadaan ini berterusan, boleh membawa kesan buruk kepada pasangan itu, dan boleh jadi dia tidak boleh menerima teguran lagi selepas itu.

Suka saya contohkan di sini kisah yang boleh dikaitkan dengan soal teguran. Bayangkan kalau seorang suami menulis dalam catatan itu bahawa dia mahu berbuat baik, berakhlak mulia. Ertinya dia perlu berbuat baik kepada isteri setiap masa. Nanti kalau dalam sehari itu, suami suka marahkan isteri, maka isteri bolehlah merujuk kepada catatan suami, dan tunjukkan kepada suami. Ketika itu suami anda akan sedar dan akan segera berubah. Kalaulah dia mahu berubah juga, ingatkan dia bahawa dia sebenarnya telah berjanji di hadapan Allah.

Percayalah dengan cara ini suami boleh reda dan isteri juga akan rasa tenang. Itulah hakikat kebahagiaan dalam rumah tangga. Kalau keadaan ini boleh dikekalkan, miskin harta tidak menghalang mereka untuk menjayakan kehidupan. Hakikatnya mereka kaya iman.

Muhasabah bulanan

Selain muhasabah harian boleh juga dilakukan muhasabah secara bulanan. Cuma perlu diingatkan, segala yang berlalu bahkan sudahpun diselesaikan setiap hari sebelum tidur maka tidak wajarlah diungkit-ungkit lagi. Yang sudah sudahlah, semoga yang berlalu itu akan menjadi panduan untuk masa depan mereka.

Muhasabah bulan itu seeloknya dibuat pada waktu sarapan pagi atau waktu makan petang. Jika masing-masing berpuas hati, sebaiknya antara mereka saling ucapkan ribuan terima kasih. Siapa yang hendak mula dahulu tidak timbul isu, yang penting siapa yang memberi tentu lebih besar pahalanya daripada orang yang menerima.

Walau bagaimanapun jika pasangan tersebut sukar membuat perubahan setelah ditegur berkali-kali, terimalah kekurangan itu dengan penuh rasa tolak ansur dan sabar. Ingatlah suami atau isteri yang cuba membuat perubahan akan diberi pahala walaupun dia gagal mencapainya. Manakala suami atau isteri yang boleh bertolak ansur dalam hal ini, pahala tentu lebih besar di sisi Allah.

Ketahuilah pasangan yang boleh bertolak ansur dan sabar dengan kerenah pasangannya, hakikatnya mereka telah benar-benar beroleh bahagia. Mengapa? Ya, dengan tolok anda dan sabar itu mereka akhir boleh melakukan hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang. Malah hubungan sebeginilah yang menjadi ukuran kebahagiaan.

Dalam hal ini kalau ada seseorang yang mendakwa empat perkara di atas sudah sempurna padanya, tetapi apa dilihat pada kehidupannya didapati tidak wujud hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang, mereka belum boleh lagi dikatakan bahagia. Ingatlah apabila hubungan mereka berlaku secara paksa atau sebelah pihak tidak mahu memberi kerjasama, bermakna empat perkara di atas tidak dilakukan secara baik.

Di sini mungkin ada pihak yang tidak suka isu hubungan kelamin ini dibesarkan. Tetapi percaya, kebanyakan punca hubungan keluarga yang tidak harmoni akhir-akhir ini ialah apabila pasangan itu menjauhkan diri daripada hubungan kelamin. Tidak percaya?

Pernahkah anda mendengar berita pasangan tua bercerai? Walaupun kes banyak tetapi tidak dibesarkan media. Pasangan itu walaupun sudah tua, sudah punyai anak dan cucu yang ramai, tetapi apabila hubungan kelamin tidak dapat dikekalkan, rasa mawaddah dan rahmat turut hilang. Jika ini gagal dilakukan keruntuhan rumah tangga boleh berlaku bila-bila masa.

Jadi, hubungan dua hala seperti yang dinyatakan di atas mesti dinilai setiap masa sehingga ke akhir hayat. Ingatlah kebahagiaan rumah tangga perlu diteruskan hingga ke dalam syurga.
--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah

105 maut, 100 hilang feri karam di India

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUWAHATI: Sebuah feri yang membawa penumpang berlebihan patah dua sebelum karam di utara India ketika hujan ribut, semalam dengan sekurang-kurangnya 105 maut manakala lebih 100 lagi dilaporkan masih hilang.

Anggota penyelamat ketika ini dilaporkam masih bertungkus-lumus untuk mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Brahmaputra di negeri Assam.

Ketika kejadian feri terbabit membawa 350 lelaki, wanita dan kanak-kanak. Polis berkata, setakat ini 150 sudah diselamatkan atau berenang ke tebing apabila hujan dan ribut petir melanda negeri itu.
Jumlah kematian akibat kejadian itu boleh dianggap korban terburuk membabitkan feri karam di Asia Selatan dengan kebanyakan kejadian berpunca daripada muatan berlebihan serta tidak memenuhi aspek keselamatan.

“Karam berkenaan terkena petir menyebabkan ia patah dua sebelum karam," kata ketua polis Assam, J.N. Choudhury. - AFP

Letupan terbaru korban 20 nyawa di Syria

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK: Dua letupan terbaru yang mensasarkan bangunan keselamatan di bandar Idlib di barat daya Syria menyebabkan 20 maut dengan misi damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin tertekan bagi membawa mengakhiri keganasan yang berlarutan 13 bulan di negara itu.

Keganasan itu bercetus sehari selepas ketibaan ketua pemantau PBB, Mejar Jeneral Robert Mood bagi memastikan gecatan senjata di negara itu dapat dilaksanakan dengan licin.

Kebanyakan yang maut di Idlib membabitkan ahli keluarga anggota keselamatan, demikian menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
“Letupan bom mensasarkan dua ibu pejabat pasukan keselamatan, sebuah rumah perisikan tentera udara dan satu lagi kediaman perisikan tentera darat," kata
ketua badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel.

Agensi berita SANA berkata, kumpulan 'pengganas' bertanggungjawab atas serangan berkenaan yang membabitkan pengebom berani mati.

Stesen televisyen Syria melaporkan, jumlah kematian setakat ini sembilan orang termasuk orang awam, manakala kira-kira 100 lagi parah dalam dua letupan berkembar di kawasan kediaman itu. - AFP

13 maut termasuk bayi, kebakaran bas di Indonesia

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PADANG (Indonesia): Kira-kira 13 penumpang termasuk empat kanak-kanak dan bayi terbunuh apabila bas yang dinaiki mereka terbakar di kepulauan Sumatera, hari ini.

Jurucakap polis di Sumatera Barat, Mainar Sugianto, berkatas ketika kejadian mangsa terpaksa memecahkan kunci tingkap bagi menyelamatkan diri daripada terbakar.

“13 daripada 45 penumpang maut selepas terperangkap di dalam bas itu ketika kebakaran. Pemandu bas tidak dapat memadamkan kebakaran sehingga menyebabkan api mula merebak.
“Kebakaran yang berlaku di bahagian depan bas dan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana dihalang dengan kotak dan beg,” kata mangsa yang terselamat, Fikri kepada stesen radio Elshinto di sini, hari ini.

"Tingkap juga dikunci dan kami terpaksa memecahkannya untuk keluar,” katanya. - AFP
9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-


KUALA LUMPUR: Majoriti pengunjung laman web Yahoo Malaysia menyalahkan polis sehingga tercetusnya keganasan dalam perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lepas.


(Keputusan poll yang dibuat oleh Yahoo Malaysia.)


Dalam satu poll yang dibuat oleh laman web antarabangsa itu, Yahoo bertanya, "Siapa yang patut dipersalahkan ekoran keganasan dalam Bersih 3.0?".

Jawapannya adalah 59 peratus pengunjung menyalahkan polis sebagai penyebab tercetusnya keganasan itu.

Sehingga berita ini disiarkan, 19,236 pelayar laman web Yahoo Malaysia ini telah mengundi.

Semalam, sekumpulan pemerhati antarabangsa juga mempersalahkan tindakan polis sehingga tercetusnya kekecohan dalam perhimpunan ini.

Senator bebas Australia Nick Xenophon dipetik Malaysiakini sebagai berkata, “Ia adalah aman (sehingga para pendemo diprovokasi).”

Beliau turut mengkritik laporan berat sebelah media tradisional terhadap perhimpunan Bersih 3.0, yang dikatakan lebih mementingkan wajah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di Malaysia.

“Media perdana adalah memihak dan tidak adil. Ia menonjolkan lebih perdana menteri di Sabah pada televisyen daripada perhimpunan politik terbesar di Malaysia,” kata Xenophon.

Khabar angin yang disebarkan di kalangan anggota polis yang bertugas kononnya seorang anggota mereka mati dipukul peserta deminstrasi telah dianggap sebagai punca keganasan polis dalam perhimpunan ini.

Media tradisional yang dimiliki Umno dan Barisan Nasional pula membuat laporan palsu ekoran tindakan balas para peserta perhimpunan.

Misalnya tindakan peserta terbalikkan sebuah kereta polis kerana menganggap ada mangsa yang masih tersepit di bawah kereta itu dipaparkan sebagai contoh aksi keganasan.

Begitu juga aksi seorang 'peserta' menendang sebuah motosikal polis trafik dipaparkan sebagai aksi keganasan padahal dikenalpasti kemudiannya sipenendang itulah juga yang menangkap peserta perhimpunan kemudiannya.

Dalam sidang media Ketua Polis Negara semalam, Tan Sri Ismail Omar diserang bertalu-talu oleh wartawan kenapa polis bertindak menangkap dan memukul peserta perhimpunan di luar kawasan yang digezetkan oleh mahkamah iaitu Dataran Merdeka.

Ismail menjelaskan, ia dibuat selepas sekatan ke situ dipecahkan oleh peserta perhimpunan itu.


Polis ganas apabila pemimpin BN zalim

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -


Nik Nasri Nik Malek,


Bersama ratusan ribu rakyat, saya berada di celah-celah lautan manusia menuju ke tempat perhimpunan Bersih 3 berdekatan Dataran Merdeka. Kami datang dari jauh dan dari seluruh pelosok tanahair bukan untuk merusuh, mengganas, memukul dan menendang dan membuat huru-hara. Kami datang dengan satu niat mahu memberitahu kerajaan zalim BN bahawa kami mahukan pilihanraya yang adil dan bersih, yang terkandung dalam 8 tuntutan.

Regim BN hanya memekakkan telinga sedangkan mereka mempunyai peluang untuk membuktikan kesungguhan dan ketelusan berpilihanraya melalui suara majoriti dalam parlimen. Namun, persidangan Parlimen dan apa-apa yang diluluskan dalam Parlimen itu kelihatan hanya memburukkan sangkaan terhadap regim BN. Lantas, di antara cara mengingatkan BN tentang kesombongan ini ialah melalui perhimpunan aman Bersih 3.0.

Betapa Bersih 3.0 ini sememangnya mahukan keamanan boleh dilihat dalam artikel-artikel dalam harakah sebelum Bersih 3.0 yang mahukan rakyat turun ke Bersih 3.0 dengan aman, facebook Presiden PAS yang dicatat pada 24 April 2012: ‘Sekali lagi saya ingin mengesahkan insya Allah saya akan bersama sama di dalam Himpuan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini, saya juga menyeru kepada semua ahli untuk sama berhimpun pada tarikh dan lokasi tersebut, berhimpun dengan penuh kedamaian.’, juga ucapan Dr Syed Azman (dengan kehadiran bersama Salahudin Ayub, Dr Hatta dan lain-lain) yang saya dengar di hadapan Pejabat Agung PAS sebelum kami berjalan menuju ke Dataran Merdeka supaya berjalan dengan baik, mendengar arahan dan jangan membuat perkara di luar arahan pemimpin.

Perkara ini diperkukuh dengan penegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa ahli PAS diajar dengan disiplin yang tinggi. Ini juga yang saya lihat berlaku sepanjang perarakan tersebut. Penuh harmoni, ceria walaupun dalam keadaan agak panas mentari. Cina, Melayu, India dan bangsa lain bersama-sama menyatakan hasrat mahukan pilihanraya adil dan bersih.

Utusan dan TV1,2,3 silap besar apabila menggambarkan Bersih 3.0 itu ganas. Kepala para editor dan ketua pengarangnya dan rakan media yang selubuk dengannya yang dimasuki air itu rupanya masih berda pada tahun 60an. Mereka menyangka rakyat semuanya bodoh seperti mereka mahu menelan apa yang dibohong dan disembunyikan. Ratusan rakaman dalam youtube menjadi saksi kepada kezaliman sebuah regim di bawah pemimpin BN.

Tendang, terajang, dera, pukul. Inikah SOP PDRM? Saya tahu bahawa ada anggota polis yang baik. Namun, sebahagian anggota muda (mung lulus dok SPM?) inilah barangkali yang agresif membaham rakyat yang tidak bersenjata dan lemah ini. Saya hanya mahu ingatkan anda bahawa Allah Maha Adil. Kezaliman yang dibuat tetap ada balasannya, kalau tidak di dunia tentunya di akhirat.

Dalam keadaan polis yang bertugas dengan penuh ‘dedikasi’, pemimpin BN sedang leka mengaut untung harta negara yang ‘dikasi oleh daddy’.



Kalau ada Umar bin Abdul Aziz, serigala dan kambing boleh berkawan. Tetapi apabila pemimpinnya adalah BN, rakyat dan polis diajak berlawan.


Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

Sultan Kelantan seru rakyat 'Walk with me'

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan mengetuai Walkathon Diraja 2012, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, pada Khamis ini yang dijangka akan disertai 30,000 orang.

Bendahari Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Tengku Faisal, berkata walkathon edisi kedua itu akan melibatkan penyertaan rakyat pelbagai lapisan termasuk penjawat awam kerajaan negeri dan persekutuan.

"Sultan Muhammad V dijangka mengetuai (menyertai) walkathon sejauh tujuh kilometer bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV dan berakhir di tempat yang sama," katanya kepada pemberita di Istana Balai Besar, di Kuala Lumpur.

Tengku Ibrahim berkata, sepanjang walkathon itu beberapa batang jalan akan ditutup iaitu jalan di belakang stadium, Jalan Bayam, Jalan Mahmood, Jalan Temenggong; Jalan Padang Garong dan Jalan Hospital.

Katanya, sempena walkathon yang bertemakan "Walk With Me 2012" itu satu karnival akan diadakan selama tiga hari mulai Selasa di perkarangan stadium itu.

Antara acara di karnival itu ialah pameran industri asas tani dan pasar tani mega dengan kerjasama FAMA, persembahan kebudayaan, pertunjukan kereta dan tatu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ceramah perdana.

Tengku Ibrahim berkata sehingga hari ini lebih 24,000 orang dari seluruh negeri telah mendaftar untuk menyertai walkathon itu yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat.

Katanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dijangka menutup karnival itu pada Khamis malam.

Beliau berkata, setiap peserta dewasa dikenakan bayaran RM30, manakala mereka yang berumur bawah 18 tahun, RM25.

Katanya, sebarang sumbangan yang diberikan untuk karnival itu diberi pelepasan cukai pendapatan dan pertubuhan itu akan mengagihkan sumbangan itu kepada badan-badan kebajikan.

- Bernama

Najib kehabisan talian hayat?


9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Shaharul Shafie

Pasti ramai yang membaca tajuk artikel ini tertanya-tanya apakah penulis akan membawa arah penulisan beliau dengan meramalkan bahawa parti pemerintah Barisan Nasional (BN) akan melabuhkan tirainya selepas hampir 55 tahun berkuasa. Ada pembaca pasti mengandaikan penulis ini berkemungkinan seorang penyokong ataupun seorang yang bersimpati dengan pembangkang di Parlimen yang juga kerajaan yang dipilih di beberapa negeri termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ayuh, bacalah artikel saya untuk mengetahui kebenaran daripada tajuk saya di atas.

Semua tertanya-tanya selepas kejadian ‘pelbagai cerita’ di dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara dua hari lepas, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berkeyakinan untuk meneruskan hasratnya membubarkan Parlimen pada tahun ini. Ramai penganalisa meramalkan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada hujung bulan Jun berdasarkan senario yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah sebelum penganjuran Bersih 3.0. Mungkin sekarang penganalisa-penganalisa ini akan meletakkan ruang waktu baru di dalam ramalan mereka. Tetapi bagi saya, meskipun sebelum berlakunya ‘tragedi’ Bersih 3.0, saya amat yakin bahawa PRU bakal diadakan sebaik sahaja musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tetapi sebelum banyak kapal terbang haji bertolak ke Tanah Suci.

Beberapa sebab menyokong andaian saya sedemikian. Pertama ialah Najib memerlukan lebih masa untuk berkempen menggunakan tiketnya sebagai PM meskipun banyak turun padang baru-baru ini dari Perlis sehinggalah ke Sabah dan mengurangkan kegemarannya yang suka melawat pemimpin negara asing selepas memegang jawatan PM. Malah, beliau akan mula bercuti selama dua minggu bermula pertengahan bulan Mei ini di Amerika Syarikat di samping menghadiri majlis konvokesyen puterinya di sana. Walaupun ramai berkata Najib boleh membubarkan Parlimen pada hujung Mei, 30 hari di dalam bulan Jun adalah tidak cukup bagi jentera BN tetapi tidak dinafikan tidak boleh dilakukan.

Bagi saya, Najib melihat dua faktor sebelum membubarkan Dewan Rakyat. Yang pertamanya ialah berjaya mengotakan janji-janji beliau untuk memastikan transformasi dilakukan walaupun sekadar proses-proses perundangan . Sekurang-kurangnya dengan membawa beberapa akta-akta baru menggantikan akta-akta kolonial lama seperti ISA, Akta Darurat dan AUKU agar diluluskan di Dewan Rakyat. Cakap-cakap mahu PRU13 kembali bergema sejak kebelakangan ini disebabkan BN nampak ‘gelojoh’ apabila membentangkan dan meluluskan banyak akta-akta baru dalam masa 48 jam di Dewan Rakyat. Namun begitu, bagi menguatkuasakan akta berkenaan, masa masih diperlukan untuk diluluskan di peringkat Dewan Negara (masih memerlukan siri-siri pembacaan dan sesi perbahasan) dan akhirnya perlu dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong. Maka, untuk menjadikan semua ini selamat digazetkan, paling awal pun akan siap sebelum bulan puasa (Julai) tahun ini.

Faktor kedua yang penting buat Najib ialah keadaan ekonomi global dan Malaysia. Majoriti penganalisa ekonomi dunia menjangkakan ekonomi dunia akan mulai menunjukkan tanda-tanda perlahan bermulanya suku ketiga tahun ini iaitu seawal-awalnya bulan Julai tahun ini. Pada hari ini pun ekonomi dunia sedang berada pada tahap matang (maturity) dan dalam hukum ekonomi, fasa berikutnya mestilah penurunan (decline). Malaysia juga tidak akan terlepas daripada bahang kemerosotan ekonomi dan akan lambat launnya merasa kesannya apabila indeks-indeks pelbagai di Bursa Malaysia akan turut sama menurun. Oleh itu, untuk mengadakan PRU selepas September 2012 adalah mimpi buruk kepada Najib. Setakat ini, banyak kerajaan pemerintah jatuh di seluruh dunia apabila pilihanraya diadakan ketika ekonomi mulai meleset.Lebih-lebih lagi di Malaysia, BN sepatutnya lebih gusar jika ekonomi merosot, undi kaum Cina akan terus merundum bagi BN dan situasi sokongan rendah di bawah 20% kaum Cina pada BN hari ini pasti lebih memburukkan keadaan. Ini hanyalah andaian bijak berdasarkan pola-pola pilihanraya yang dianjurkan semasa ekonomi menurun tetapi parti pemerintah masih boleh menang sekiranya proses pengundian dimanipulasikan atau tidak telus. Wallahualam.

Oleh itu, Najib hanya ada masa bagi membubarkan Parlimen antara bulan Ogos dan September. Tetapi tidak mungkin Ogos kerana separuh bulan itu adalah bulan Ramadhan dan kurang separuhnya, orang Islam di Malaysia bakal merayakan Aidilfitri. Oleh itu, awal bulan September adalah bulan terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen dan paling awal PRU boleh diadakan adalah pada minggu terakhir September dan paling lewat pun minggu pertama Oktober.

Parlimen bubar selepas Aidilfitri?

PRU tidak mungkin di adakan selepas minggu pertama Oktober. Ini adalah kerana pada waktu-waktu berkenaan para pengundi Melayu beragama Islam sudah ramai berangkat mengerjakan haji dan UMNO amat mengharapkan golongan Melayu bagi mengekalkan kuasa mereka sebagai pemerintah walaupun dijangkakan tidak mampu lagi menguasai majoriti 2/3 daripada kerusi Parlimen dan malah mampu menawan Kedah semula.

Kelebihan mengadakan PRU selepas Hari Raya Aidilfitri dan minggu pertama Syawal adalah kerana para pemimpin BN dan kerajaan boleh menggunakan kesempatan amalan-amalan semasa Ramadhan untuk turun bertemu rakyat terutamanya orang Melayu terutamanya majlis berbuka puasa . Bagi BN terutamanya UMNO, bulan Ramadhan boleh memberikan peluang bagi mereka ‘menabur wang secara halal’ kononnya sempena bulan baik di masjid-masjid dan surau-surau di atas kapasiti sebagai menteri dan timbalan menteri. Kemudiaan,di bulan Syawal juga, sudah menjadi kelaziman pemimpin-pemimpin membuat rumah terbuka di sana-sini. Oleh itu, program-program mendekati rakyat ini satu kelebihan kepada BN untuk meraih undi-undi Melayu semasa bulan Ramadhan dan Syawal.

Bukan itu sahaja, jika PRU diadakan pada penghujung Syawal (September), BN tidak perlu rasa bimbang mengenai anak-anak muda terutamanya mahasiswa-mahasiswa IPTA yang akan kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian semester baru. Akta baru menggantikan perkara AUKU yang dijanjikan BN mampu menyukarkan peluang BN jika PRU diadakan pada bulan Jun atau awal Julai kerana siswa-siswi ini yang kebanyakannya pro-Pakatan sudah berada di kampong halaman untuk cuti panjang semester dan ini membolehkan mereka bertugas sebagai sukarelawanuntuk berkempen tanpa sekatan AUKU lagi bagi membantu parti. Oleh itu, dengan mengadakan PRU semasa siswa sudah kembali ke kampus mengurangkan risiko buat BN dari mimpi ngeri ini.

Saya ingin kembali semula kepada persoalan tajuk saya di atas. Saya sudah nyatakan ramalan saya bagi PRU untuk tahun ini tetapi bagaimana kita meramalkan nasib Najib sendiri. Selepas meneliti pengurusan Bersih 3.0 kali ini yang agak emosional di kedua-dua pihak (polis dan peserta), saya yakin Najib kini tidak senang duduk. Ini bukannya kerana Najib takut pada rakyat ataupun parti pembangkang tetapi Najib lebih bimbang kepada tekanan dalaman UMNO dan BN sendiri. Kegagalan polis bertugas dengan sepatutnya iaitu sewajarnya mempertahankan Dataran Merdeka daripada dicerobohi dan tidak terlalu pro-aktif sehingga mengejar para peserta Bersih sehingga beberapa kilometer adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal sekiranya pihak polis mendakwa mereka mesra rakyat.

Pengendalian pihak polis kali ini adalah yang terburuk dan penuh emosi jika dibandingkan dengan pengurusan semasa Bersih 1.0 dan 2.0. Malahan kali ini ramai wartawan juga menjadi mangsa dan tindakan merampas bahan rakaman bagi mengelakkan bukti ‘keganasan’ polis ditunjukkan kepada awam. Ini adalah satu langkah yang tidak mencermin langsung janji-janji transformasi oleh PM sebelum ini. Malah, tindakan itu dilihat agak menyamai tindakan ganas pihak berkuasa Libya dan kini Syria di dalam menghadapi kebangkitan rakyat.

Saya yakin Najib sedar segala kesilapan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyebabkan kedudukannya dalam bahaya. Sudah menjadi lumrah bahawa yang dilakukan polis mestilah sesuatu yang direstui oleh PM sendiri. Sejak menjadi PM, banyak talian hayat digunakan oleh Najib bagi mengawal sokongan rakyat kepada kerajaan BN. Najib dilihat sebelum ini agak berjaya merampas kembali undi-undi kritikal orang Melayu untuk kembali kepada BN. Kejayaan ini ditambah pula dengan propaganda-propaganda atau provokasi-provokasi bersifat bangsa dan agama yang dimainkan oleh rakan-rakan selindung UMNO seperti Perkasa. Meskipun, Najib pandai mengemukakan dirinya sebagai hero kepada semua rakyat melalui 1Malaysia tetapi ramai nampak Najib tidak konsisten di dalam perjuangan 1Malaysianya.

Semasa Bersih 2.0, ramai berpendapat Najib semakin kehilangan sokongan tetapi tidak dinafikan beliau berhempas-pulas mengawal impak Bersih 2.0 itu dengan mendatangi rakyat dengan janji-janji transformasi dan juga ‘gula-gula’ untuk rakyat melalui Bajet 2012. Namun begitu, Najib lupa untuk lebih berhati-hati di dalam menghadapi Bersih 3.0 supaya tidak perlu lagi bekerja kuat mencari idea-idea baru bagi meraih sokongan-sokongan yang hilang sepertimana Bersih 2.0 dahulunya. Mungkin Najib ada idea-idea baru termasuklah yang terbaru mengumumkan dasar gaji minimum swasta tetapi masa untuk Najib ‘memberi’ sudah tidak cukup bagi mengembalikan sokongan ke atas BN atau meredakan kemarahan rakyat di atas kegagalan menguruskan Bersih 3.0.

Kita sedia maklum disebabkan kegagalan mengawal momentum Bersih 1.0, BN telah kehilangan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, PM ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) terpaksa melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan sekaligus PM Malaysia.

Dengan apa yang dipaparkan dalam Bersih 3.0, nampaknya keadaannya lebih parah jika dibandingkan demo-demo bersirinya sebelum ini. Pastinya Najib tidak cukup masa lagi bagi memperbaiki kerosakan yang dilakukan pada imej beliau dan BN yang menurun sekelip mata sahaja akibat ‘jenayah’ polis dalam Bersih 3.0. Mahu tidak mahu, PRU kena diadakan juga tahun ini. Walaupun mempunyai mandat sehingga Mac tahun depan, ekonomi Malaysia dan global tidak cukup kuat ketika itu kerana kemelesetan ekonomi sedunia bukannya perkara sekejap tetapi akan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih.

BN akan kekal berkuasa tetapi Najib...

Namun begitu, dengan persempadanan kawasan pilihanraya yang sekian lama memberi kelebihan jumlah kerusi kepada BN di Sabah dan Sarawak, BN secara keseluruhannya masih berpeluang untuk mengekalkan kuasa sebagai pemerintah selepas PRU13. Tetapi keadaan akan menjadi status-quo seperti yang kita ada hari ini iaitu BN akan gagal memperolehi majoriti 2/3 seperti dahulu tetapi sekadar cukup bagi membentuk kerajaan pusat. Malah, jika dilihat faktor Melayu, BN berpeluang merampas Kedah dengan majoriti mudah tetapi mampu kehilangan Negeri Sembilan dan Perak kepada Pakatan di samping kehilangan beberapa kerusi bandar di Melaka.

Pakatan memerlukan ‘Semangat Reformasi tahun 1999’ jika mahu menawan Putrajaya dalam PRU13. Namun begitu, amat mustahil dengan masa yang ada bagi merealisasikan impian itu tetapi boleh diusahakan. Buat masa ini, Pakatan tidak perlu gusar mengenai undi kaum Cina dan India tetapi harus menumpukan undi kaum Melayu. Saya pernah ingat lagi ketika 1999, jentera yang berkesan bagi mendapat sokongan orang Melayu ketika itu apabila setiap anak-anak muda dan warga bandaraya KL pulang berkempen pada sanak saudara sendiri dan di samping mengedarkan risalah-risalah bahan kempen yang dicetak melalui laman-laman web reformasi seperti Mahazalim, Reformasi Nasional (RN), Tranungkite dan banyak lagi. Saya yakin jika penyokong ataupun mereka yang bersimpati dengan Pakatan lakukan usaha sebegini dalam PRU13,Pakatan mampu berpeluang berkuasa di Putrajaya dengan majoriti mudah.

Walaubagaimanapun, berita amatlah buruk jika jentera BN dibawah Najib gagal menduduki majoriti 2/3 kerusi terutamanya kepada Najib sendiri. Penulis percaya nasib Najib akan sama seperti Tun Abdullah yang akan dipaksa turun melalui tekanan dalaman UMNO sendiri bagi memberikan peluang kepada Timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga percaya Tun Mahathir sendiri (sekiranya umur lebih panjang dari sekarang) akan memulakan siri konspirasi melemahkan Najib sepertimana beliau lakukan pada Tun Abdullah dahulu. Dalam politik macam-macam boleh berlaku, Tun Mahathir juga Melayu sebab menurut beliau Melayu mudah lupa dan Mahathir akan turut melupakan jasa Tun Abdul Razak yang pernah membawanya masuk semula dalam UMNO dan memberi peluang kepadanya. Maaflah saya, saya berkata demikian sebab Tun Mahathir pada hari ini dalam banyak perkara pun sudah lupa.

Pakatan boleh merancang untuk berkuasa selepas PRU14 dan memperbaiki rank sesama pemimpin Pakatan dan mencapai kesefahaman yang lebih baik lagi di negeri-negeri yang diperintah. Bagi penulis, jika Muhyiddin menjadi PM menggantikan Najib, itu adalah berita baik kepada Pakatan kerana ramai melihat Muhyiddin kurang berkaliber jika dibandingkan dengan Najib. Hanya bagi Najib, beliau hanya malang disebabkan banyak bercakap (berjanji) tetapi gagal mendidik jeneral-jeneral beliau sendiri mengenai apakah transformasi yang ingin dibawanya pada Malaysia. Apa yang berlaku hari ini adalah kegagalan Najib mendidik mereka yang menyebabkan mereka terus membuat kesilapan bagi pihak Najib.

Untuk Pakatan, struktur perjuangan mereka perlu diperbaiki termasuklah memperkenalkan kabinet bayangan jika mahu menjadi pembangkang yang kuat. Dan yang lebih penting ialah mengeluarkan kepompong Pakatan daripada dianggap oleh rakyat sebagai ‘alat’ Anwar Ibrahim. Pakatan bukan sahaja perlu bangga dengan Buku Jingganya tetapi untuk memenangi PRU14, mereka sudah sediakan pelan kecemasan iaitu pelan Pakatan Rakyat tanpa Anwar Ibrahim.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak.Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com