28 March 2012

Anak anjing bernama Beyonce mungkin terkecil di dunia

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SACRAMENTO, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anak anjing betina yang diberi nama penyanyi terkenal, Beyonce mungkin yang terkecil di dunia.

Beberapa penyelidik haiwan di California Utara menyatakan anjing tersebut terlalu kecil sehingga ia boleh diletakkan di atas sebatang sudu.

Semasa berumur dua minggu, haiwan itu mempunyai saiz sebesar sekeping kad perniagaan.

Yayasan Grace menyatakan pihak agensi kawalan haiwan menjaga ibu Beyonce.

Ibu haiwan itu melahirkan lima anak anjing termasuk Beyonce pada 8 Mac lalu.

Semasa dilahirkan, degupan jantung anak anjing itu tidak kedengaran.

Pakar-pakar haiwan terpaksa menekan dada dan melakukan pernafasan dari mulut ke mulut untuk menghidupkan anak anjing tersebut.

Pihak yayasan itu telah membuat permohonan kepada Guinness World Records untuk disenaraikan sebagai anjing terkecil di dunia. - AGENSI

Cebisan otak Albert Einstein dipamerkan

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR otak Einstein (kiri) dan replika otaknya.

LONDON - Dua cebisan otak saintis legenda, Albert Einstein dipamerkan kepada orang ramai pada satu pameran di Britain.

Cebisan otak saintis yang memperkenalkan teori relatif itu diletakkan dalam bekas kaca pada pameran Brains-The Mind as Matter di sini semalam.

Spesimen itu disediakan oleh Doktor Thomas Harvey yang bertugas di hospital tempat Einstein meninggal dunia pada 1955

Einstein merupakan ahli fizik dan ahli sains yang bepengaruh.

Beliau dianggap sebagai bapa fizik moden dan menerima Hadiah Nobel pada tahun 1921.

Selain cebisan otak Einstein, beberapa sampel otak individu terkenal lain termasuk ahli matematik Britain, Charles Babbage dan pembunuh kejam, William Burke turut dipamerkan.

Para saintis menyatakan otak manusia mengandungi 100 bilion sel saraf dan sekitar 100 trilion sinap atau sambungan saraf. - Agensi

Bersih 2.0 lancar Jom 100% keluar mengundi

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Bersih 2.0 akan melancarkan kempen ‘Jom 100 Untuk 100% Keluar Mengundi Pada Pilihan raya ke-13’ di utara Semenanjung pada 6 April di Kompleks Hijau Kuning, Alor Star.

Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Dr Toh Kin Woon berkata, sebelum itu beberapa roadshow akan diadakan iaitu di Sungai Petani dan Alor Setar pada 30 Mac, Kulim, Bukit Mertajam dan Pulau Pinang (31 Mac) dan Seberang Selatan dan Daerah Kerian, Perak (1 April).

“Kami juga mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membuat roadshow di negeri Perlis dan di tempat lain di bahagian zon utara Semenanjung Malaysia.

“Kami menyeru semua parti politik, organisasi, serta individu agar turut menyokong aktiviti-aktiviti Bersih2.0 ini dengan mengambil bahagian dalam roadshow kami,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pakaian kuning digalakkan.

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi ahli sekretariat Suaram cawangan Negeri Pulau Pinang, Ong Jing Cheng 012-7583779 demi bersama-sama menjayakan kempen JOM 100 di peringkat bahagian zon utara Semenanjung Malaysia.

Suaram cawangan Pulau Pinang merupakan sekretariat bagi kempen JOM 100 di zon utara Semenanjung Malaysia.

Harakah Daily

[Bergambar] Makmal Sekolah Dinaiki Air, Pelajar Terpaksa Belajar Dalam Banjir

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pelabuhan Klang -- Beberapa pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini terpaksa belajar dalam banjir apabila makmal sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat kira-kira pukul 9.00 pagi tadi. Foto Osman Adnan

Pengetua sekolah berkenaan Rahmah Arsad berkata banjir kilat itu berpunca dari hujan lebat yang turun tanpa henti kira-kira sejam serta dipercayai akibat masalah longkang tersumbat ekoran dipenuhi sampah sarap.

Beliau berkata kejadian banjir itu bukan yang pertama dan sering berlaku setiap kali hujan turun dengan lebat dan berpanjangan.

"Saya masih ingat ketika memulakan tugas pada November lepas, saya juga 'disambut' dengan kejadian banjir kilat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rahmah berkata perbincangan juga sering diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa namun masalah sama tetap berulang.

Beliau berkata setiap kali banjir, sekolah terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit bagi menggantikan peralatan kelas seperti kerusi dan meja yang rosak kerana ditenggelami air. -- Bernama

Tuduhan Najib Razak Berniat Jahat

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat menipu kerana gagal menunaikan janji pilihanraya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat, tegas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

“Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur,” kata Faekah dalam kenyataan media.

Menurut Faekah dalam Pilihanraya Umum 2008, Umno-BN banyak menabur janji kepada rakyat yang kini belum dilaksana malah belum ada tanda janji ini akan dilaksanakan.

“Program Transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran. Perbuatan Najib ini seumpama ‘telunjuk lurus kelingking berkait’, hipokrit dan penuh kepura-puraan,” katanya.

Tambah Faekah, rakyat memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta.

Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat.

“Sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam Scorpene.

“Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga,” ujarnya.

Faekah berkata lagi , pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat. Justeru, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin Umno-BN.

“Sebab sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka,” tegas beliau.

selangorku/-

PR tak puas hati JK Parlimen perbaharui p'raya

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat tetap tidak berpuas hati dengan perjalanan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya yang didakwa gagal menyelesaikan penipuan dalam daftar pemilih.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada jaminan segala cadangan pembaharuan pilihan raya yang dibuat jawatankuasa tersebut akan digunakan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat masih melahirkan bantahan keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sehingga sekarang belum dapat membersihkan senarai daftar pemilih walaupun pilihan raya umum semakin hampir.

"Nyata jawatankuasa ini hanya diberi ruang memanggil SPR kemudian ada ahli jawatnkuasa yang kemukakan bukti, kemudian SPR betulkan.

"Lebih serius tiada sebarang jaminan daripada kerajaan berkenaan perkara ini (senarai daftar pemilih) bahawa mereka akan laksana cadangan ini sebelum pilihan raya akan datang.

"Jadi Pakatan Rakyat akan tingkatkan kempen untuk dedahkan maklumat mengenai penipuan daftar pemilih," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh.

Harakah Daily

PKR bantah bidaan baru tender NFC

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PKR hari ini membantah keras tindakan kerajaan mahu menjemput bidaan baru yang memilih kontraktor bagi mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bertujuan untuk menutup isu itu secepat mungkin tanpa mengambil kira langkah sebelum ini, termasuk pembekuan aset dan perlantikan audit bebas.

NONE"PKR berpendirian bahawa selagi segala persoalan bersabit pertanggungjawaban perdana menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru kerana ini cubaan memadamkan kesalahan perdana menteri," kata Rafizi (kanan).

Katanya, persoalan pokok sebenarnya berhubung keterlibatan Datuk Seri Najib Razak yang menganugerahkan projek bernilai RM250 juta secara terus kepada National Feedlot Corporation (NFC) walaupun maklum ia tidak mempunyai pengalaman dan dimiliki keluarga menterinya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar semalam mengumumkan, kerajaan akan membuka tender projek itu bagi memastikannya berjalan lancar seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Bercakap dalam sesi penggulungan di Parlimen semalam, Noh berkata, kementerian juga melantik juruaudit bagi projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu.

Pembongkaran baru minggu depan

Noh bagaimanapun tidak menyebut sama ada keluarga menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kehilangan projek itu dan sama ada kerajaan akan mendapatkan semula pembayaran daripada pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan sebelum ini.

azlanDalam kenyataannya hari ini, Rafizi mempertikaikan operasi NFC yang terus berjalan walaupun asetnya diumum dibekukan oleh perdana menteri.

Malah, katanya, status audit bebas yang diumumkan juga masih tidak pasti bila akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Tindakan itu mencerminkan kecuaian perdana menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah," kata Rafizi lagi.

"Perkara ini masih belum dijawab oleh perdana menteri. Malah, tindakan beliau mahu membuka bidaan baru jelas membuktikan hasrat beliau untuk menutup kesalahan beliau yang menganugerahkan kontrak kepada pihak yang tidak layak."

Justeru, Rafizi berkata, pihaknya akan terus membongkar isu itu bermula minggu depan.

malaysiakini/-

Kerana salam di kedai kopi, dituduh lompat parti

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Hanya kerana bersalam dengan Ketua Pemuda Umno, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) dituduh mahu melompat parti.

Salleh yang kebetulan berjumpa dengan pemuda Umno itu ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai mi udang di Sungai Dua.

"Ketua Pemuda Umno datang jumpa saya, bagitahu abang iparnya sudah meninggal dunia, dan memang saya kenal sebab duduk satu kampung," ujarnya ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau baru pulang dari Mekah dan tidak mengetahui kematian abang ipar Pemuda Umno berkenaan.

Semasa menghubungi Harakahdaily, kedengaran beliau ceria dan bergelak tawa sebaik sahaja diajukan dakwaan itu.

Kebetulan pula, menurut beliau, pemuda dan wanita serta puteri Umno pun menjamu selera di kedai yang sama.

"Mungkin mereka yang ambil gambar saya bersalam dengan pemuda Umno sudah membuat persepsi saya keluar PAS. Ingat senang-senang ke nak lompat parti? Tuduhan tak kena orang," katanya.

Salleh yang menganggap tuduhan itu sangat terdesak dan mempamerkan ketidakcerdikan orang yang melaporkan tanpa bersandarkan kepada sumber yang tepat.

"Saya minta, rakyat Pulau Pinang jangaan terpengaruh dengan dakyah Umno. Mereka tidak ada modal. Saya dan PAS Pulau Pinang berdiri teguh dengan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Lim Guan Eng," katanya yang meminta pihak berkenaan tarik balik kenyataan itu.

Salleh Man menafikan spekulasi bahawa beliau merancang untuk melompat atau meninggalkan parti kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan itu dibuat oleh "budak Umno" yang menangkap gambarnya bersama Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said dan penyelaras BN Permatang Pauh, Rahim Man.

Saleh berkata, mereka hanya bersalaman dan tidak banyak bercakap sebelum beliau beredar selepas mendapati sekumpulan anggota Puteri Umno mengadakan pertemuan di situ.

Sebelum ini, terdapat dakwaan di blog yang tidak dikenali berhubung spekulasi melompat parti itu dengan menyandarkan kepada gambar pertemuan itu.

Harakah Daily

Pelanggan kesal pegawai BSN yang banyak 'songeh'

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Tertekan dengan karenah pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) yang banyak 'songeh' lagi menyusahkan, salah seorang pelanggan bank itu akhirnya terpanggil untuk mengadu dengan Harakahdaily.

Dalam surat yang diemelkan kepada Harakahdaily, pelanggan BSN yang dikenali sebagai Nadia Natrah Sabli menceritakan bagaimana beliau dipermainkan dan diperlekehkan oleh pegawai bank di bahagian Kawalan Kredit BSN.


Selain Harakahdaily, dia juga mengadu kepada media lain di samping pihak-pihak yang dirasakan beliau dapat membantu.

Nadia, 27, menghadapi masalah hutang kad kredit yang kini mencecah RM6,149.06, bagaimanapun beliau berusaha untuk melangsaikan hutangnya itu dengan membuat permohonan agar faedah yang dicaj dapat dikurangkan.

Beliau memohon untuk menjelaskan hutang kad kreditnya sebanyak RM3,800, kerana masalah kewangan yang dihadapinya. Had kad kreditnya hanya RM3,000.

Malangnya, usaha beliau itu menghadapi masalah kerana pihak BSN tidak mahu menunjukkan kerjasama baik.

Dalam pertemuan dengan pihak bank, pegawai berkenaan memberikan diskaun sebanyak RM600 daripada baki semasa di mana Nadia perlu menjelaskan RM5,500, namun Nadia masih tidak mampu menjelaskan.

"Saya teliti dan ambil kira jumlah penggunaan, caj guaman dan jumlah faedah sehingga kad kredit dihentikan amaun sebenar hanya RM3,800 sahaja," luahnya dalam surat tersebut.

Atas sifat tanggungjawabnya, Nadia masih berusaha untuk melangsaikan hutangnya dan sekali lagi Nadia merayu dan menegaskan beliau tidak mampu akhirnya pegawai berkenaan memperlekehkan beliau dengan mencadangkan beliau meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya rasa terhina dengan kata-kata seorang pegawai di sebuah bank yang cukup dikenali," tambahnya.

Tidak cukup dengan itu, pegawai BSN itu pula menakut-nakutkannya dan memberitahu beliau akan ditangkap kemudian dipenjarakan dan rumah pula akan disita.

"Beliau seolah-olah menakutkan dan mengugut Saya. Walaupun begitu saya masih merayu supaya dikurangkan jumlah pembayaran tetapi beliau terus memperlekehkan saya dengan menyuruh saya memberi lima sebab mengapa jumlah perlu dikurangkan," luah Nadia.

Paling mengecewakan Nadia, pegawai terbabit mengatakan BSN adalah bank kerajaan dan kerajaan tidak boleh menanggung kerugian.

Nadia cuba merayu untuk berbincang dengan pegawai atasan tetapi beliau tidak dibenarkan sama sekali, kerana pegawai itu tidak mahu memberi kerjasama dan bertoleransi dengan beliau.

Berbeza dengan bank-bank lain seperti Hong Leong Bank (Eon Bank Kredit Kad), di mana Nadia juga pernah berhutang kad kredit yang jauh lebih besar jumlahnya iaitu RM9,500.

Tetapi, Nadia berjaya menjelaskan kesemua hutang kad kredit Hong Leong Bank dengan hanya membayar sejumlah RM3,800.

"Pihak Hong Leong lebih mudah berurusan dan membantu serta memberikan kerjasama dengan saya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Jika BSN adalah bank kerajaan, mengapa Nadia sebagai rakyat negara ini diperlakukan sedemikian? Bukankah kerajaan selalu melaungkan slogan 'rakyat didahulukan!', bagi Nadia jika ia bank kerajaan sepatutnya tolong rakyat bukan peras ugut rakyat.

Harakah Daily

Gambar ceramah Umno yang hangat

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Umno cukup terdesak, untuk menarik hadirin sanggup buat apa sahaja. Bagi duit poket, sediakan bas dan makanan.. dan yang terkini sediakan hiburan tari menari untuk menarik orang ramai hadir ke ceramahnya..
Kah..kah..kah.. inilah wasatiyyah yang di anjurkan oleh PM Najib..

Harakah Daily

Tiada isu berat sebelah Speaker Selangor

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat pembangkang di negeri itu cuba meraih populariti murahan dengan cubaan untuk mensensasikan berita keluar dewan.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, ini kerana mereka ingin menutup kelemahan dan salah laku semasa memerintah negeri Selangor seperti mana yang telah didedahkan di dalam sidang Dun Selangor.

Sehubungan itu, katanya Pemuda PAS negeri menyelar tindakan tidak matang dan kebudak-budakan Adun pembangkang dari Barisan Nasional yang bertindak keluar dewan hanya disebabkan membantah tindakan Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Kim yang telah menghantar SMS kepada Exco Kerajaan Selangor supaya dapat mengambil kesempatan pada sesi penggulungan perbahasan untuk menonjolkan kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tidak ada isu berat sebelah sebenarnya permintaan Datuk Speaker tentang perkara ini kerana ianya permintaan supaya memperkatakan kejayaan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dan bukannya meminta untuk melakukan pembohongan dan fitnah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya pihak pembangkang tidak berpuas hati maka bolehlah berhujah balas dengan fakta yang lebih jelas dan bukannya mengambil tindakan ‘tidak cerdik’ untuk meninggalkan dewan.

Harakah Daily

Lima Hilang, Helikopter Terhempas Di Taiwan

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan mengesahkan sebuah helikopter tentera miliknya terhempas di perairan barat daya negara itu, menyebabkan lima anak kapal masih hilang.

Helikopter yang terbabit dalam nahas itu adalah jenis S70-C.

Ia hilang daripada radar pada pukul 9 malam waktu tempatan ketika menjalankan misi bantuan kecemasan mencari seorang nelayan yang diserang penyakit jantung.

Kementerian itu menyebut, seorang anak kapal berjaya diselamatkan manakala usaha mencari lima lagi sedang dijalankan.

Nahas itu berlaku kira-kira 20 kilometer di barat Pulau Orchid, pulau milik Taiwan.

MSTAR/-

Kalau Tajudin boleh kenapa PTPTN tak boleh?

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Rancangan mengadakan himpunan peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di hadapan pejabat Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Anak-anak muda yang meminjam dari PTPTN tidak berpuas hati terhadap layanan keras terhadap mereka sedangkan hutang (Tan Sri) Tajudin (Ramli) berjumlah RM589 juta dihapuskan begitu sahaja oleh kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) begitu sahaja.

"Mereka bersungguh-sungguh mahu berhimpun menuntut pinjaman mereka juga dihapuskira," katanya.

Peminjam-peminjam PTPTN itu mempersoalkan mengapa mereka diburu dengan begitu keras dan kasar jika gagal membayar pinjaman sedangkan Tajudin mendapat layanan yang begitu istimewa, kata beliau.

"Mereka juga mahu hutang mereka dilupuskan seperti hutang Tajudin yang mempunyai kekayaan luar biasa itu.

"Peminjam-peminjam PTPTN itu bukannya bertaraf pengarah bukan bebas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Edaran Berhad seperti Tajudin, mereka tidak ada Tanjung Rhu Resorts atau bot Azimut yang berharga sehingga hampir setengah juta dollar Amerika seperti Tajudin," kata Mohamad.

Beliau hairan mengapa Perdana Menteri boleh melupuskan hutang Tajudin itu sedangkan tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta.

"Mahkamah dah kata Tajudin kena bayar balik, tetapi kerajaan Najib lupuskan hutang itu," kata Mohamad.

Menurut beliau, kalaulah institusi-institusi kewangan mendapat perintah seperti itu terhadap rakyat tertindas, mereka tidak akan berkompromi.

"Mereka akan mengambil pelbagai tindakan untuk mendapatkan kembali hutang mereka termasuk mensita harta-harta peminjam atau meminta mahkamah mengisytihar si peminjam itu muflis.

"Tetapi Najib senang-senang write off hutang Tajudin sebesar RM589 bilion. Kepentingan Tajudin dalam Edaran Berhad dan Tanjung Rhu Resort sedikit pun tidak diusik.

"Lepas ini bolehlah Tajudin mengajak Najib berseronok-seronok naik bot Azimut mengelilingi Langkawi," katanya.

Mohamad (gambar) meminta rakyat Malaysia sedar bahawa ini bukan kali pertama Tajudin mendapat layanan istimewa dari kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Dulu, selepas mengakibatkan pelbagai masalah kepada MAS akibat pengurusannya, Tajudin mendapat untung besar apabila menjual balik sahamnya dalam MAS kepada kerajaan dengan harga yang berkali ganda lebih tinggi dari harga pasaran.

"Zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dapat jual saham dengan harga berkali ganda lebih tinggi kepada kerajaan, zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) Tajudin tidak diambil tindakan walaupun laporan bertulis telah dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan zaman Najib pula hutangnya sehingga RM589 juta dilupuskan.

"Adakah kerajaan Najib fikir para peminjam PTPTN mahu menonton begitu sahaja layanan istimewa kerajaan Umno kepada Tajudin?" beliau mempersoalkan,

Sebelum ini, Mohamad menyatakan bahawa pihaknya akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya PTPTN dihapuskan.

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira.

"Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," katanya.

Harakah Daily

Tepung ganti buih alat pemadam api

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendedahkan ada kontraktor penyelenggaraan alat pemadam api di negara ini dikesan menggunakan tepung gandum di dalam peralatan itu bagi menggantikan buih semata-mata untuk menjimatkan kos pengendaliannya.

Perkara itu didedahkan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan berkenaan, Datuk Rusmani Muhamad ketika merasmikan Seminar Sistem Pemeriksaan Alat Pemadam Api Secara Elektronik (e-FEIS) di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun jumlahnya kecil, pihaknya mengesan perbuatan sedemikian yang menunjukkan ada kontraktor bersikap sambil lewa mengenai aspek keselamatan disebabkan terlalu memikirkan keuntungan.

“Perbuatan itu dikesan ketika kita melakukan pemeriksaan berkala untuk memastikan peralatan alat pemadam api boleh dan selamat digunakan ketika kecemasan.

“Selain menggunakan kandungan tidak mengikut spesifikasi, ada kontraktor tidak menyelenggara peralatan itu dengan baik dan teratur termasuk tidak meletakkannya di tempat yang dicadangkan,” katanya.

Mengikut rekod, ada tiga juta alat pemadam api di seluruh negara, termasuk 300,000 milik kerajaan dan selebihnya kepunyaan swasta yang diselenggarakan kira-kira 2,000 kontraktor yang dilantik.

Rusmani berkata, melalui sistem e-FEIS yang dibangunkan sejak awal tahun ini, pihaknya boleh mengesan kontraktor yang tidak menyelenggara alat pemadam api atau tidak memulangkannya semula selepas diperiksa.

“Sistem itu juga mampu mengeluarkan resit cetakan berkomputer atau kod bar untuk dilekatkan pada alat pemadam api bagi mengelak penipuan berbanding sebelum ini yang hanya bertulis tangan,” katanya.

Rusmani berkata, ketika ini jabatannya menyediakan 60 pusat pemeriksaan iaitu di balai bomba seluruh negara untuk membantu kontraktor mendaftar bagi e-FEIS dan jumlah pusat akan ditambah sehingga 90 dalam tempoh terdekat.

“Pada masa sama, jabatan juga membuka pendaftaran bagi competent person iaitu orang bertanggungjawab menjaga alat pemadam api yang dipilih kontraktor sebelum lantikan individu itu diluluskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

BERITA HARIAN/-

T-Team arah fokus terhadap Liga Super selepas gagal ke separuh akhir Piala FA

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Setelah gagal menempah tiket separuh akhir Piala FA malam tadi, T-Team kini beralih arah dengan berazam memberikan fokus terhadap saingan Liga Super untuk mengakhiri lima pasukan teratas carta liga musim ini.

Skuad Penyu muda terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Kedah dengan agregat 1-2 dalam perlawanan timbal balik suku akhir kedua malam tadi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sebelum ini kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama Sabtu lepas.

Dengan kemenangan Kedah malam tadi, skuad Kenari akan bertemu Kelantan yang mudah menjinakkan pasukan kelab dari Liga FAM, SPA FC dengan agregat 5-0 dalam saingan separuh akhir bermula 21 April.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata kegagalan pasukan T-Team mengukir kejutan di laman sendiri sangat mengecewakan dan dilihat mempamerkan persembahan buruk dan hambar bertemu lawan.

"Saya terpaksa terima hakikat kekalahan anak didik saya dengan hati terbuka.

Misi kami tidak akan terhenti dan akan terus berjuang dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yunus berkata kelemahan paling ketara pasukan T-Team malam tadi ialah di bahagian tengah yang gagal menyokong dan membantu barisan hadapan memberikan lorongan bola yang baik.

T-Team kini menduduki tangga keempat dengan 19 mata dalam carta Liga Super di belakang 'abangnya' Terengganu yang berkelebihan satu mata manakala Kelantan terus mengungguli peneraju liga dan Lions XII dari Singapura di tempat kedua.- Bernama

Sinar Harian

Remaja reka cerita diculik boleh didakwa

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Remaja yang mereka cerita diculik dan dilarikan ke Thailand, selain terlibat dalam aktiviti meminta sedekah, boleh dikenakan tindakan mengikut jenayah komersial sekiranya ada bukti kukuh untuk mendakwanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superintendan Ng Keok Chai berkata, bagaimanapun orang awam yang pernah menjadi mangsa penipuan perlu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dimulakan.

"Jika dia mendakwa mewakili sesuatu organisasi dan siasatan mendapati ia palsu, dia boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Syaratnya, mangsa perlu membuat laporan polis kerana tindakan remaja itu memperdayakan seseorang supaya memberi sesuatu sebagai sumbangan," katanya ketika ditemui di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan polis terhadap remaja terbabit, berusia 14 tahun, yang didapati terlibat dalam kegiatan meminta sedekah bersama lima remaja Myanmar, berusia antara 14 dan 17 tahun.

Sebelum itu, ibunya membuat laporan polis mengatakan dia hilang selepas menghantarnya di sebuah hentian bas di Seksyen 9, di sini, 30 Januari lalu.

Remaja perempuan dan lima lelaki warga Myanmar tersebut kemudiannya diselamatkan polis Thailand di Bangkok pada 19 Mac, setelah mendakwa diculik.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati remaja tersebut sengaja mereka cerita bahawa dia diculik.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki warga Myanmar ditahan di Kuala Selangor kerana menipu sebagai wakil untuk mengutip derma bagi pembinaan sebuah masjid di Thailand, baru-baru ini.

"Lelaki itu membawa surat sebagai bukti dan setelah disemak, surat tersebut adalah palsu. Tangkapan ini merupakan kes kedua direkodkan tahun ini," katanya.

Sinar Harian

Bom 500kg Perang Dunia Kedua dijumpai di Labuan

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LABUAN: eberapa pekerja binaan di sebuah projek perumahan gempar apabila menemui sebutir bom yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua yang masih aktif di sebuah tapak pembinaan di Kampung Tanjung Aru, di sini.

Ketua Polis Labuan, Penguasa Saiman Kasran berkata, bom dengan ukur lilit lima diameter dan berat mencecah hampir 500 kilogram, dipercayai digugurkan semasa Perang Dunia Kedua, tetapi tidak meletup.

“Bom yang luar biasa ini dijumpai oleh pekerja binaan yang ketika itu sedang melakukan kerja-kerja meratakan tanah, dan bernasib baik bom tersebut tidak meletup,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Saiman berkata, bom itu akan dipindahkan ke tempat selamat dan akan dipantau oleh unit bom polis bagi memastikan kejadian yang tidak diingini tidak berlaku kepada penduduk kampung dan sekitarnya.

“Kerja-kerja pemusnahan akan dilakukan oleh unit pemusnah bom berpengalaman dalam masa terdekat,” katanya.

Saiman turut menasihatkan orang ramai yang menjumpai objek-objek yang mencurigakan menyerupai bom supaya segera memaklumkan kepada pihak polis. - Bernama

Piala FA: Everton tempah tiket separuh akhir

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

EVERTON menempah tiket separuh akhir persaingan Piala FA selepas berjaya mengatasi Sunderand dalam persaingan suku akhir awal pagi tadi (waktu Malaysia) dan dijadualkan akan bertemu pasukan Liverpool.

Everton menang 2-0 walaupun Sunderland menguasai sebahagian besar perlawanan.

Bagaimanapun, barisan pimpinan David Moyes berjaya mendahului menerusi jaringan Jelavic pada minit ke-24 seterusnya gol kedua menerusi Vaughan pada minit ke-57, sekali gus melayakkan pasukan Everton ke separuh akhir.

Dalam satu lagi perlawanan, Tottenhem akan bertemu dengan Chelsea selepas berjaya mengatasi Bolton 3-1.

Perlawanan separuh akhir akan diadakan di Wembley pada 14 dan 15 April ini.

Sinar Harian

Lelaki Nigeria edar ganja dihukum gantung

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang lelaki rakyat Nigeria dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Sylvester Okole, 33, yang didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 11,577 gram di Platform 8, terminal bas Shahab Perdana di sini pada
pukul 9 malam 7 Oktober 2010.

Sylvester didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, peguambela tertuduh memaklumkan bahawa anak guamnya adalah penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Bangkok dan terpaksa menyara diri sendiri kerana tidak mendapat bantuan kewangan daripada ibu bapa atau mana-mana pihak.

Sylvester yang berkemeja-T putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika jurubahasa mahkamah memaklumkan mengenai hukuman terhadapnya.

Tertuduh diwakili peguam B.Murthy manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar. – Bernama

Sinar Harian

Lori sawit 40 tan terbalik

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH, Melaka - Seorang pemandu treler bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan apabila lori 40 tan muatan kelapa sawit yang dipandu terbalik di Durian Tunggal, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori dipandu lelaki berusia 30-an dari arah Kesang Pajak ke Banting, Selangor itu dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum terbalik ketika hendak membelok.

Pembantu ladang kelapa sawit di Kesang Pajak yang hanya ingin dikenal sebagai Ah Wong, 30-an berkata, lori itu bergerak dari ladangnya kira-kira jam 9 pagi.

“Ketika treler ini hendak membelok ke kiri menuju ke pekan Durian Tunggal, berlaku masalah pada brek hingga mengakibatkan treler ini gagal dikawal dan hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kanan.

“Kesemua muatan kelapa sawit terbalik di atas jalan dan bernasib baik ketika kejadian tiada kenderaan melalui jalan itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian berhubung sebuah treler muatan kelapa sawit yang terbalik berpunca daripada masalah teknikal atas kenderaan berkenaan.

Sinar Harian

Sumber Minyak Pertama Kali Ditemui Di Kenya

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NAIROBI: Presiden Kenya, Mwai Kibaki mengumumkan penemuan sumber minyak di wilayah Timur Afrika buat pertama kalinya.

Perkembangan terbaru itu turut disahkan firma minyak asing dan mendakwa minyak mentah di Kenya mempunyai nilai tinggi sama seperti yang ditemui di negara jiran, Uganda.

Beliau turut memberi amaran bahawa nilai komersial sumber minyak yang ditemui di barat laut wilayah Turkana masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyambut baik berita itu dan menyifatkannya sebagai penemuan mengejutkan.

Penemuan itu hanya diketahui pada hujung minggu lalu.

mstar/-

Mati dijerut, mayat dicampak

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang suami tidak menduga perubahan sikap isteri yang semakin mesra adalah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

Walaupun sikap isterinya berlainan daripada biasa, namun rasa tidak sedap hatinya itu, tidak diluahkan kepada sesiapa sehinggalah pihak polis memaklumkan, isterinya ditemui mati di Kampung Pasir Linsum, Siliau, di sini, semalam.

Mohd Syukri Mohd Jamil, 40-an berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan isterinya, Ruzina Jaafar, 40, pada jam 12 tengah malam kelmarin yang pulang ke rumah untuk menghantar dua anaknya sebelum beritahu mahu ke kedai.

“Sebelum itu saya memang ada di kedai bersembang dengan kawan yang datang makan. Isteri saya pun duduk sekali dengan saya sebelum saya pulang ke rumah kira-kira jam 11.30 malam.

“Dua jam sebelum menutup kedai iaitu jam 2 pagi, dia hantar dua anak kami pulang kerana mereka perlu ke sekolah keesokan hari, tapi dari tepi tingkap rumah, dia beritahu mahu ke kedai semula,” katanya kepada Sinar Harian di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.


Hubungi ibu mertua

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari isterinya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 7 pagi, dia menghubungi ibu mertuanya di Jempol, namun kecewa kerana isterinya tiada di sana.

Syukri berkata, dia kemudiannya mencari isterinya di sekitar kawasan Simpang Pertang sebelum membuat laporan polis mengenai kehila­­ngannya.

“Satu jam kemudian saya terima panggilan daripada polis memaklumkan penemuan mayat seorang wanita di Rantau, yang ciri-cirinya sama seperti isteri saya.

“Saya tidak dapat pergi ke sana untuk membuat pengecaman mayat kerana tiada kenderaan. Jadi saya minta abang ipar saya untuk ke lokasi,” katanya yang mempunyai lima anak.


Lebam di kepala

Sementara itu, menurut sumber, mangsa yang juga pemilik kedai makan di Simpang Pertang, Jelebu, ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampak di lokasi terbabit.

“Terdapat kesan jerutan di leher mangsa dan kesan lebam di kepala, dipercayai dibunuh dalam tempoh tidak sampai 24 jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Abang mangsa, Mohd Rafi Jaafar, 42, pula berkata, kali terakhir dia melihat arwah minggu lalu, ketika menghadiri kenduri kahwin ahli keluarganya.


Terbaring dalam semak

“Bagaimanapun pagi tadi, suami arwah menghubungi meminta saya ke Rantau untuk membuat pengecaman mayat,” katanya.

Seorang saksi, Rusnah Manan, 51, berkata, dia terkejut melihat mayat seorang wanita terbaring di sebatang jalan berhampiran Sungai Linggi di lokasi kejadian.

“Ketika saya sedang mencari akar kayu di tepi sungai, saya terkejut apabila ternampak ada orang terbaring di dalam semak, yang pada awalnya saya ingatkan orang mabuk, tapi rupanya mayat seorang wanita,” katanya.

Menceritakan kejadian, Rusnah berkata, sudah menjadi kebiasaannya mencari akar kayu di kawasan terbabit, namun penemuan mayat seorang wanita kira-kira jam 8 pagi itu sememangnya tidak disangka.

Menurutnya, dia ke tepi sungai terbabit kerana mahu mencari akar kayu bagi tujuan perubatan.

“Ketika saya sedang meninjau kawasan kejadian sambil menunggang motosikal, saya ternampak objek seperti kaki dan saya memberanikan diri menghampirinya.

“Alangkah terkejutnya saya kerana ia merupakan mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian dan keadaan mukanya bengkak,” katanya yang juga seorang bidan kampung.


Tiga kali ulang alik

Rusnah berkata, dia kemudiannya pulang ke rumah dan datang sekali lagi ke lokasi kejadian bersama anaknya untuk membuat pengesahan objek ditemuinya itu adalah mayat manusia, sebelum memaklumkannya kepada ketua kampung.

“Tiga kali saya berulang alik ke lokasi itu kerana saya tidak percaya apa yang saya nampak itu adalah mayat wanita sebelum saya bersama ketua kampung membuat laporan polis di Balai Polis Rantau.

“Saya masih terkejut dengan apa yang saya lihat kerana ini pengalaman pertama saya menemui mayat sejak 45 tahun menetap di kampung ini,” katanya.

Sinar Harian

Polis serbu premis hiburan tanpa lesen

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN -- Sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Komtar Walk, Jalan Ria di sini disita dalam operasi mencegah jenayah di sekitar bandar ini lewat malam tadi.

Polis turut menahan enam lelaki dan empat wanita berumur antara 20 hingga 46 tahun, dan kesemua mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata pusat hiburan yang dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lepas itu telah beberapa kali diserbu dan pemiliknya juga telah diberi amaran.

"Bekalan elektrik dan air ke premis itu dipotong berkuatkuasa serta merta," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Ops Cegah Jenayah Bersepadu yang bermula pada pukul 10 malam hingga 1 pagi.

Sementara itu, polis ingin mencari seorang lelaki berusia 50-an bagi membantu siasatan kes menikam peniaga ayam di Relau, Bayan Lepas Isnin lepas.

"Kami telah memanggil beberapa saksi dan polis percaya lebih daripada seorang terlibat dalam kes itu. Setakat ini seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun direman sehingga 30 Mac bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, Chong Hoon Huat, 40 cedera parah di perut dan bahu akibat ditikam ketika sedang menunggu untuk menaiki lif ke rumahnya di Alor Vista, Relau. -- Bernama

Sinar Harian

Orang Asli mengadu kubur jadi lapang sasar

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Orang Asli Mahmeri dari Banting mendakwa menghadapi masalah melakukan upacara keagamaan apabila tanah perkuburan mereka di Bukit Jugra dijadikan sebagai Lapang Sasar menembak oleh Kementerian Pertahanan.

Dalan sesi inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam, seorang penduduk terlibat Ariff Embing mendakwa kesukaran itu membuatkan mereka terpaksa mengadakan upacara keagamaan di tempat lain yang jauh.

"Lapangan sasar itu tidak mengganggu kawasan perkuburan Orang Asli tetapi kawasan (perkuburan) itu di dalam lapangan sasar. Jadi susah kita mahu masuk.

"Kemudian kami pindah buat upacara keagamaan itu di Pulau Carey (Kuala Langat). Tetapi jaraknya jauh," katanya pada pendengaran awam inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asli di ibu pejabat Suhakam, di Kuala Lumpur semalam.

Panel inkuiri tersebut diketuai oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dan dianggotai oleh Pesuruhjayanya, Datuk Dr Khaw Lake Tee, Naib Pengerusi, Jannie Lasimbang serta dibantu oleh pakar perunding bebas Dr Colin Nicholas dan Datuk Denison Jayasooria.

Kes itu merupakan salah satu yang didengar semalam dan dikategorikan sebagai pencerobohan oleh pihak kerajaan, swasta dan individu.

Kementerian: Kami tak dimaklumkan

Selain itu, Ariff turut memberitahu, sebelum ini pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memberi jaminan secara lisan bahawa mereka bebas untuk melakukan upacara keagamaan di tanah perkuburan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, apabila mereka ingin memasuki kawasan tersebut, mereka dilarang oleh pihak tentera.

"Kami pernah buat permohonan dengan pihak tentera untuk masuk. (Kami) dibenarkan. Tetapi sekali sahaja. Setiap kali nak masuk, kita perlu mohon kebenaran. Saya harap pihak JAKOA boleh mengemukakan permohonan," katanya.

Sementara itu, pada inkuiri sama, wakil kementerian pertahanan Mejar Baharom Ismail berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kewujudan tanah perkuburan Orang Asli di lapangan sasar itu.

Katanya lagi, beliau hanya mengetahui adanya tanah perkuburan Orang Asli di kawasan itu selepas dimaklumkan oleh Suhakam.

"Kami tidak dimaklumkan ada kawasan perkuburan sehinggalah Suhakam panggil. Dan kami telah pergi kawasan tersebut dan kebanyakan yang kami jumpa ialah 'jirat' Cina.

"Saya ada pergi memantau ke kawasan atas (bukit) lapangan sasaran tetapi tidak ada apa-apa. Mungkin (ia) berada di kanan atau kiri kawasan itu. Saya tak pasti," katanya.

Inkuiri julung-julung kali

Selain itu, ketika ditanya adakah pihak kementerian meminta bantuan JAKOA untuk memantau kawasan itu, beliau berkata ''tidak ada''.

Bagaimanapun, Baharom berkata, pihaknya terbuka untuk menerima permohonan daripada Orang Asli bagi memberi kebenaran memasuki kawasan lapangan sasar untuk mengadakan upacara keagamaan di kawasan perkuburan itu.

Inkuiri nasional Suhakam merupakan julung kali diadakan berikutan banyak aduan dan memorandum yang diterima sejak beberapa tahun lepas atas dakwaan pelanggaran hak ke atas tanah adat.

Sebelum inkuiri diadakan, Suhakam terlebih dahulu telah mengadakan sesi konsultasi awam di beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.

Inkuiri ini berlangsung semalam sehingga Jumaat ini.

malaysiakini/-

Pyongyang tetap lancar satelit

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEOUL: Korea Utara semalam berkata, ia akan meneruskan rancangan melancarkan satelitnya, tidak menghiraukan gesaan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama supaya membatalkan rancangan itu sambil menuduh pemimpin AS itu “bercanggah pendapat”.

“Kami tidak akan melepaskan hak untuk melancarkan satelit secara aman, hak negara berdaulat dan langkah perlu untuk pembangunan ekonomi,” kata jurucakap kementerian luar negara itu kepada agensi berita KCNA.

Jurucakap itu merujuk kepada ulasan Obama Ahad lalu ketika lawatannya ke Korea Selatan. - AFP

KHUTBAH JUMAAT

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمَْ
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah
membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ شَهَادَةً نَرْجُوْ بِهَا عَالِيَ الْجَنَانِ نُزُلاً، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا

عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَّعَلَى أَلِهِ وأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانِِ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْد ُ فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِى بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah swt,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah swt. kerana sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa balik ke kampung akhirat adalah Takwa.

Hadhirin yang dirahmati Allah,

Tarikh 30 Mac 2012 merupakan simbolik bagi hari yang bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu ‘Palestine Land Day’. Pada bulan Mac 1976 bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila pihak berkuasa Israel merampas ribuan dunum (ribuan hektar) daripada tanah swasta dan awam di kebanyakan kawasan di bumi Palestin. Rentetan daripada itu,

rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kalinya dihadapi oleh pihak berkuasa Zionis sejak pendudukan Palestin pada tahun 1948 lalu mereka (pihak Zionis) mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam.

Penderitaan saudara-saudara kita di bumi para Nabi ini berlangsung untuk jangka masa yang sudah cukup lama. Tahun ini genap 64 tahun sudah mereka menderita, merintih, mengungsi, kebuluran, ditimpa kemiskinan, dililit masalah pengangguran, di rosak dan dirampas harta, tanah, ladang, kebun, disumbat ke dalam penjara bahkan juga terkorban nyawa.

Nelson Mandela menamakan krisis yang ada di Palestin sebagai krisis terburuk moral di dunia moden ini. Palestin adalah kubu terakhir Dasar Aparteid. Palestin, Baitul Maqdis & Masjid al-Aqsa merupakan simbol jihad umat Islam di abad 21. Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebut bahawa permasalahan umat Islam cukup banyak dan paksinya adalah permasalahan Palestin.

Tuan-tuan, Saudara-saudara yang dikasihi Allah swt.

1200 tahun lebih Palestin di bawah pemerintahan umat Islam. Bermula dari era khilafah amirul mukminin, Umar bin al-Khattab r.a. Kemudian ia sempat jatuh ke tangan kuasa Salib sejak 1099 hingga 1187 Masihi.

Hanya 88 tahun sahaja lalu kemudian dapat dibebaskan semula oleh Jeneral Salahuddin al-Ayubi pada 27 Rajab 583 Hijrah atau 1187 Masihi. Kemudian ia terus berada di bawah kuasa dan pemerintahan Islam hingga dirampas oleh Zionis Yahudi yang didalangi seorang Zionis yang berasal dari Hongaria bernama Theodore Herzl yang menulis buku bertajuk Negara Zionis pada 1896 dan Lord Rotchild orang kaya Zionis Yahudi ketika itu.

Ketika mana Baitul Maqdis atau al-Quds di bawah kuasa umat Islam maka kita dapati ia dinikmati bersama oleh semua umat beragama sama ada umat Islam yang beribadah di Masjid Qubbah al-Sakhrah dan Masjid al-Qibli mahupun umat Kristian yang bersembahyang di dalam Gereja al-Qiyamah (Gereja Makam Suci) ataupun orang Yahudi yang menangis di Tembok Ratapan (Wailing Wall) atau juga dinamakan Tembok Buraq. Tidak ada sesiapa yang mengganggu dan diganggu, menghalang atau dihalang, tidak ada siapa yang membunuh atau dibunuh.

Kerana al-Qur’an memberikan garis panduan yang cukup lengkap dan jelas dalam hal bertoleransi. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah al-Kafirun:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِين

"Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugama ku".

Kebebasan beragama dan menjalankan ibadah menurut keyakinan masing-masing penganut agama dijamin dalam Islam. Menghormati kepercayaan dan keimanan umat beragama yang lain merupakan tuntutan yang sudah ada panduannya di dalam al-Qur’an dan sunah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dimuliakan Allah swt.

Dalam rangka mengembalikan kedamaian, keamanan dan keharmonian yang pernah terwujud di Baitul Maqdis atau al-Quds suatu ketika dahulu sebelum kedatangan kuasa perosak Zionis yang dilaknat Allah swt, maka seluruh umat Islam sedunia dan juga masyarakat antarabangsa akan menganjurkan satu perarakan keamanan secara besar-besaran di Asia,

Afrika, Eropah, Amerika dan Australia untuk bergerak menuju ke Palestin dan juga ke beberapa negara jiran seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lebanon. Perhimpunan aman di hadapan kedutaan besar Yahudi di beberapa negara dan di dataran-dataran besar di dunia seperti Dataran Tahrir di Mesir, London, New York dan juga di ibu kota negara kita tercinta, Malaysia yang juga akan dianjurkan bersama-sama pada 30 Mac 2012.

Pada tahun ini, Global March Jurusalem (GMJ) berhasrat untuk meraikan 30 Mac sebagai acara antarabangsa yang melibatkan masyarakat di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan kita dengan masyarakat Palestin dan untuk melindungi Baitulmaqdis sebagai kota suci.

Sehubungan dengan itu, GMJ bertujuan untuk menuntut kebebasan Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin disamping bertekad untuk mengakhiri dasar Aparteid dan polisi pembersihan etnik yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian Kota Baitulmaqdis yang mana merupakan satu jenayah bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat diseluruh dunia.

Manakala Aman Palestin pula akan menganjurkan program Konvoi Pembebasan Al-Quds yang diadakan pada 31 Mac 2012 hari Sabtu pukul 8 pagi dengan menghimpun seramai mungkin peserta konvoi yang terdiri dari kelab-kelab motor berkuasa tinggi dan kereta produk nasional Konvoi ini akan bermula dari Masjid Wilayah Kuala Lumpur menuju ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Konvoi Pembebasan al-Quds yang akan disertai lebih kurang 500 buah kereta dan ratusan motor berkuasa tinggi ini akan berakhir di pekarangan Masjid Negeri Shah Alam dengan beberapa atur cara pentas seperti nasyid Palestin,

pembacaan sajak Palestin, pelancaran buku Travelog Gaza, penyerahan sumbangan dari kelab-kelab kereta dan motor dan sebagainya. Aman Palestin mengetuk hati tuan-tuan para dermawan untuk mengirim sebanyak mungkin infak, sedekah, zakat, fidyah, wakaf dan lain-lain ke Palestin menerusi program yang sedang diadakan ini terutamanya bila dikhabarkan bahawa saudara-saudara kita di Gaza sekarang ini amat memerlukan ubat-ubatan dan rawatan kesihatan.

Saudara-saudara jemaah Jumaat yang budiman.

Kita mesti menunjukkan kepada Allah swt bahawa kita mahu terpilih sebagai orang yang beriman. Dan salah satu kayu ukur keimanan yang disebut dalam surah at-Taubah ayat 18 ialah kita mahu dan rela mengimarahkan masjid-masjid Allah swt.

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanyasanya Yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk.

Kita semua maklum bahawa al-Aqsa adalah masjid Allah bahkan menjadi senarai ketiga dalam sabda Rasulullah saw yang mafhumnya:
“Kamu tidak digesa untuk membuat lawatan melainkan menuju ke tiga masjid iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis Palestin.”

Masjid al-Aqsa selayaknya mendapatkan perhatian umat Islam di mana pun kita berada. Seorang Syeikh Palestin berkata Masjid al-Aqsa ibarat seorang anak yatim yang tersisih dan terbiar. Umat Islam beramai-ramai mengimarahkan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, tetapi tidak ramai yang mengimarahkan Masjid al-Aqsa di Palestin.

Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah swt.

Kita juga mesti tunjukkan kepada Nabi Muhammad saw, junjungan dan kekasih kita bahawa kita adalah umat Nabi saw yang mencintai sesama umat Islam dan tidak akan pernah meredai saudara-saudara kita seakidah dibantai dan disakiti oleh musuh-musuh Allah. Kayu ukur keimanan seseorang muslim bila mana ia mampu mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri. Sabda Rasulullah saw :
“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.”

أعوذبالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْم. أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيْم.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Transplan beri lelaki AS wajah baru

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON - Derita seorang lelaki selama 15 tahun berakhir selepas menjalani pembedahan muka menyeluruh yang memberikannya wajah, rahang, gigi dan lidah yang baru.

Richard Lee Norris, 37, kehilangan hampir seluruh wajahnya dalam kemalangan, yang melibatkan penggunaan senjata api 15 tahun lalu, dan dia terpaksa menggunakan topeng untuk melindungi wajahnya daripada pandangan orang ramai.

Menurut doktor, pembedahan yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Maryland ini merupakan pembedahan yang paling lama pernah dilakukan.

Pembedahan yang dibiayai sepenuhnya oleh Tentera Laut Amerika Syarikat berlangsung selama 36 jam, termasuk satu siri operasi selama 72 jam yang melibatkan pemindahan organ daripada seorang penderma, yang turut menyelamatkan lima pesakit lain pada hari yang sama.

Pakar bedah utama, Eduardo Rodriguez berkata, Norris mempunyai pergerakan terhad di mulutnya kerana dia kehilangan bibir dan hidungnya dalam kemalangan tersebut.

"Matlamat kami adalah untuk mengembalikan fungsi dan memulihkan semula bentuk wajahnya," katanya.

Menurut pasukan doktor, pesakit tersebut kini semakin pulih dan mula mendapat rangsangan deria bau.

Kini kerajaan AS mula menilai kelayakan pembedahan pemindahan muka kepada lebih 200 anggota mereka yang tercedera di Afghanistan dan Iraq.

Pemindahan muka pertama telah dilaksanakan ke atas seorang wanita yang telah digigit anjingnya di Perancis pada 2005.

Lima tahun kemudian, pakar bedah di Sepanyol mengendalikan pemindahan muka penuh pertama di dunia.

sinar harian/-

Sah Dr Hasan paling tinggi, Dr Halimah tiada ubahsuai

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 Mac: Pejabat Exco Dr Halimah Ali tidak membuat sebarang ubahsuai dan hanya menggunakan pejabat pihak lain sebelum ini tanpa sebarang perubahan.

"Kalau adapun kita tambah perabut sedikit yang tidak sampai RM1,000 pun," kata Setiausaha Dr Halimah, Cik Nur Kamarina.

Kamarina memberitahu perkara ini kepada Harakahdaily ekoran teka teki yang wujud selepas pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam.

Khalid dalam jawapannya di Dewan Undangan Negeri semalam memaklumkan semua perbelanjaan pengubahsuaian pejabat Exco kerajaan negeri Selangor.

Namun, Khalid tidak memberikan sebarang maklumat terhadap berapa jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh Dr Halimah (gambar atas) , Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia untuk mengubahsuai pejabatnya.

Namun Khalid berkata, semua exco telah mengikuti semua prosedur perbelanjaan ubahsuai pejabat yang ditetapkan kerajaannya negeri.

Oleh itu, perkara itu tidaklah perlu menjadi isu.

Pengumuman ini dibuat oleh Khalid ekoran tuduhan bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa pejabat Dr Halimah paling banyak membuat ubahsuai.

Hasan Ali berkata demikian ketika menjawab tuduhan Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali yang mendakwa Hasan paling banyak berbelanja untuk membuat ubahsuai pejabatnya semasa beliau menjadi Exco iaitu lebih RM300,000.

Khalid dalam jawapannya semalam memberitahu, Hasan telah membelanjakan sebanyak RM329,000 untuk memperbaiki pejabatnya di mana angka itu mendahului perbelanjaan oleh Exco lain untuk membaiki pejabat masing-masing.

"Berdasarkan audit yang dijalankan, Hasan menggunakan RM329,000 untuk mengubahsuai pejabat beliau, jumlah yang tertinggi berbanding exco lain," katanya.

Belanja ubahsuai pejabat exco yang lain adalah Ean Yong Hian Wah (RM146,000), Rodziah Ismail (RM119,000), Xavier Jeyakumar (RM70,000), Ronnie Liu (RM53,000), Yaakob Sapari (RM32,000), Teresa Kok dan Elizabeth Wong (di bawah RM25,000) dan Iskandar Abdul Samad (RM21,000).

Dalam senarai itu tidak pun termasuk nama Dr Halimah Ali yang dituduh oleh Hasan sebagai Exco yang paling banyak membelanjakan peruntukan untuk membaiki pejabat.

Halimah ketika menjawab tuduhan Hasan Ali itu menjemput semua wartawan dan jurugambar untuk datang ke pejabatnya bagi melihat ubahsuai yang didakwa Hasan Ali itu.

“Untuk membuktikan kata ini, saya menjemput semua media melawat pejabat saya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata yang inginkan perhatian rakyat.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu. Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” kata beliau yang juga Adun Selat Klang ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor.

Harakah Daily

Warga asing pelawa murtad

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Seorang pemimpin Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) diajak untuk mendalami agama Kristian oleh dua lelaki kulit putih yang juga warga asing dalam pertemuan yang tidak dirancang Taman Masai Utama di sini.

Ketua Pemuda Kimma Pasir Gudang, Shamsuddin Mohamed, 30, berkata, dia terkejut apabila didekati dua lelaki itu yang fasih bertutur bahasa Melayu.

“Mereka berumur dalam lingkungan 19 atau 20 tahun. Mereka mendekati saya dan bercerita itu ini mengenai kebaikan agama Kristian. Mereka juga berterus terang mengenai misi mereka untuk menyebarkan agama itu di negeri ini, dan kata mereka, itulah tujuannya mereka dihantar ke sini,” katanya.

Menurut Shamsuddin, selepas berbual kira-kira 15 minit, dua lelaki itu mengajaknya ke pusat kegiatan mereka di Bandar Seri Alam, dekat sini.

“Saya mulai rasa tidak selesa lalu beredar meninggalkan mereka,” katanya.

Shamsuddin berkata, kelibat lelaki Barat seperti itu yang berpakaian kemas dengan tali leher sering dilihatnya di sekitar sini.

“Saya pernah jumpa orang yang seperti mereka di sekitar Masai, Taman Megah Ria dan Taman Rinting sedang berbual dengan orang Melayu. Ada juga rakan saya yang beritahu, ada kumpulan seperti itu yang bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan Kristian di Taman Kota Masai,” katanya.

Shamsuddin berkata, beliau akan membuat laporan polis berkaitan dengan kejadian itu kerana apa yang dilakukan amat membahayakan umat Islam serta keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

“Tindakan mereka melanggar Perlembagaan yang melarang agama lain disebarkan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Menurutnya, amat sukar untuk memastikan tiada orang Islam yang terpengaruh dengan taktik dua pemuda itu kerana tingkah laku dan tutur kata mereka sangat sopan.

“Mereka juga tidak memburukkan agama lain, hanya bercerita mengenai kebaikan Kristian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kimma Pasir Gudang, Basir Beran berkata, perkara itu perlu dibendung segera sebelum terlambat agar ia tidak terus dibiarkan merebak di kawasan ini.

Menurutnya, kegiatan itu seolah-olah seperti terancang dan diberikan kursus khas untuk menjinakkan orang Islam menyertai Kristian kerana kurang lapan bulan di negara ini mereka sudah fasih berbahasa Melayu.

“Kita akan membuat laporan polis dalam masa terdekat agar perkara ini disiasat dengan teliti dan membongkarkan siapa di belakangnya sehingga mereka berani bertindak begini.

“Kita juga menyeru orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan ini yang diselidiki semakin aktif bergerak di Pasir Gudang,” katanya.

Sinar Harian

Anak berubah jadi manja

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap anak lelakinya yang menjadi baik dan terlalu manja dengan adik beradiknya petanda dia akan kehilangan anaknya buat selamanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin, dua sahabat Hasbullah Osman dan Mohd Halimi Ibrahim, berusia 19 tahun maut apabila motosikal yang masing-masing ditunggang mereka bertembung di Jambatan Mek Mah, Kuala Besar.

Ibu kepada Hasbullah, Che Limah Mahmood, 40, berkata, dua minggu sebelum kejadian anak kedua daripada tujuh beradik itu berubah menjadi sangat manja dengannya serta adik beradik lain.

“Petang sebelum kejadian dia sempat bergurau dengan adiknya sehingga menyebabkan adik menangis dan dia memujuknya sendiri sebelum keluar rumah.

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dia terlalu manja dengan kami sekeluarga dan dia memberitahu mahu menemani saya dan suami di rumah dan tidak lagi melakukan perkara yang membuang masanya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Che Limah juga memberitahu beberapa hari kebelakangan ini anaknya yang bekerja sebagai tukang cuci kenderaan suka menolong bapanya melakukan kerja-kerja membaiki rumah dan dia sendiri ringan tulang tanpa perlu disuruh.

“Saya perasaan perubahan sikapnya yang begitu ketara tetapi tidak menyangka itu adalah peluang terakhir untuk kami semua bermesra dengannya sebelum dia pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya.

Che Limah berkata, dia mengetahui kejadian tersebut apabila kawan-kawan anaknya datang ke rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini, kira-kira jam 7.15 petang dan memberitahu Hasbullah terlibat dalam kemalangan.

“Saya yang mencurigai sikap rakannya yang seolah-olah menyembunyikan sesuatu terus ke tempat kejadian bersama suami kira-kira dua kilometer dari rumah dan saya terkejut apabila sampai di jambatan, saya melihat tubuh Hasbullah terbujur kaku, tidak bernyawa lagi,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi keluarga, Maklatom Ibrahim, 50, ibu kepada Mohd Halimi berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh saudaranya yang ke rumahnya di Kampung Pantai Kundor di sini.

“Ketika itu saya sibuk menyediakan masakan makan malam untuk kami sekeluarga dan terkejut setelah diberitahu Mohd Hilmi cedera parah akibat kemalangan,” katanya.

Ibu mangsa juga memberitahu, apabila sampai di tempat kejadian dia menyedari anak kelima daripada sembilan beradik itu tidak lagi bernyawa setelah melihat badannya ditutup dengan plastik hitam dan orang ramai mengerumuninya.

Maklatom berkata, anaknya yang bekerja sebagai tukang canting batik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pada hari kejadian dia tidak bekerja kerana tangannya bengkak akibat disengat tebuan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asistent Komisioner Azham Othman berkata, kedua-dua remaja tersebut maut di tempat kejadian apabila motosikal EX5 yang ditunggang oleh Hasbullah dari Kampung Pantai Mek Mah menghala ke Cabang Empat Kuala Besar bertembung dengan Yahama 125Z dinaiki Mohd Halimi di jambatan terbabit.

Katanya, kedua-dua mayat dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

Sinar Harian

Pemberontak Maoist Bunuh 13 Polis Di India

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NEW DELHI: Polis mengesahkan sekumpulan suspek pemberontak Maoist menyerang hendap pasukan rondaan polis dan membunuh sekurang-kurangnya 13 orang di barat India, pada Selasa.

Kejadian berlaku ketika pasukan rondaan polis itu sedang memasuki hutan tebal di negeri Maharashtra apabila suspek pemberontak memasang jerangkap samar sehingga menyebabkan sebuah kenderaan meletup. Sementara itu, 15 lagi anggota polis turut cedera akibat letupan bom itu. - AP

10 premis perniagaan disita

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

YONG PENG – Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) mengambil tindakan tegas dengan menyita 10 premis perniagaan setelah penyewanya gagal melunaskan sewa sehingga tertunggak sebanyak RM16,000 sejak empat tahun lalu.

Yang Dipertua MDYP, Mohd Khir Johari Salleh berkata, tindakan menyita berkenaan terpaksa dilakukan kerana keengganan penyewa premis melunaskan sewa bulanan walaupun telah diberikan notis amaran sebelum ini.

Katanya, dialog antara MDYP dan penyewa terbabit telah diadakan baru-baru ini namun ia menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak tidak mendapat keputusan yang dipersetujui.

“Pelbagai cara sudah dilakukan untuk memujuk mereka membayar tunggakan berjumlah antara RM5,000 hingga RM16,000 yang membabitkan lebih 10 penyewa premis tetapi ia tetap tidak diendahkan.

“Tunggakan terbabit menyebabkan Jabatan Audit Negara menegur pihak kami dan tindakan tegas mesti diambil bagi memastikan masalah itu tidak berterusan, selain mendidik penyewa supaya lebih bertanggungjawab serta mematuhi peraturan,” katanya.

Tambah Khir, pihaknya menampal notis iklan di premis yang disita dan memberi peluang penyewa baru membuat permohonan menyewanya.

“Setakat ini, 75 permohonan sudah diterima untuk menyewa premis yang disita,” katanya ketika mengulas tindakan MDYP menyita premis di tiga lokasi sekitar Ayer Hitam, baru-baru ini.

Terdahulu, penyewa yang tidak membayar sewa bulanan mendakwa tindakan MDYP tidak berhati perut namun menurut Khir, pihaknya telah memberi beberapa peluang dan akhirnya penyewa lari dari menunaikan janji mereka.

“Sewa premis hanya RM300 sebulan dan ia amat berpatutan dan berbaloi lebih-lebih lagi terletak di di kawasan yang cukup strategik selain menjadi tumpuan orang ramai.

“Setelah tindakan menyita ini dikenakan, sebilangan penyewa ada membayarnya dan ini menunjukkan mereka ini mampu tetapi cuai.

“Pihak kami mengambil keputusan untuk menemuduga semula penyewa yang cuai ini sebelum memutuskan mereka layak untuk mendapatkan premis berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

Sinar Harian

Hamidan pamer ‘belang’, hutang dengan T-Team dilunas

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENGGEMPUR import Hijau Kuning, Mohammed Hamidan mempamerkan belang sebenar membantu Kedah membenam cabaran T-Team pada perlawanan kedua Suku Akhir Piala FA 2012 di gelanggang lawan dengan agregat 2-1.

Hamidan membuktikan dakwaan bahawa kehadiran beliau dalam skuad Kedah tidak banyak membantu adalah silap malah jaringan cantik pada minit ke 65 dan 82 telah membantu Kedah untuk melayakkan ke saingan separuh akhir Piala FA bertemu pendahulu liga, Kelantan nanti.

Turun selaku penyerang utama menggantikan Khyril Muhymeen yang digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning telah digunakan sebaik mungkin oleh Hamidan untuk mempamerkan belang sebenarnya.

Selain itu, keyakinan Hamidan juga dilihat begitu memuncak dan hampir meletakkan dirinya sebagai penjaring hatrik pada minit ke-87 namun bola yang ditendangnya terkena badan penjaga gol T-Team, Shamsuri Mustapa.

Dominasi Perancang import Kedah, Abdelfatah Safi dan Hamidan dilihat begitu menjadi malah dua hantaran cantiknya berjaya disempurnakan oleh Hamidan.

Sepanjang perlawanan yang berlangsung selama 90 minit tersebut ternyata banyak didominasi oleh Kedah walaupun T-Team sesekali melancarkan serangan balas.

Rentak T-Team bagaikan tidak menjadi seperti mana yang berjaya dipamerkan oleh mereka semasa mengikat Hijau Kuning 0-0 pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman (SDA), Sabtu lalu.

Namun begitu, sikap dan kealpaan barisan pemain Kedah masih boleh dilihat selepas Hamidan menjaringkan gol pertama tetapi dihukum oleh T-Team selang empat minit kemudian dan hasilnya mereka memperoleh gol sagu hati melalui pemain gantian Hazrul Azuan pada minit ke-69 disebabkan berlakunya kekalutan di depan pintu gol Kedah.

Kedah mungkin perlu berterima kasih kepada Hamidan yang tidak putus-putus melancarkan serangan sebelum berjaya memastikan juara tiga kali Piala FA itu layak ke saingan seterusnya pada minit ke-82 selepas berjaya menanduk masuk hantaran lintang oleh Safi.

Kedah membuktikan kedudukan semasa mereka yang masih lagi berada di dalam kelompok bawah Liga Super bukan penghalang untuk mara ke saingan seterusnya.

Sentuhan magis pengendalinya, Wan Jamak Wan Hassan yang dibantu oleh Radhi Mat Din dan Mohd Sobri Ismail telah membuktikan bahawa Kedah bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah apabila bersama dua pasukan elit Liga Super iaitu Kelantan, Terengganu dan pasukan kelab meningkat naik Sime Darby menjadi empat kelab terbaik layak ke saingan separuh akhir Piala FA 2012.

Ironinya, hutang kalah 3-0 kepada T-Team pada saingan pertama Liga Super telah berjaya dilunaskan dan kini Hijau Kuning berpeluang untuk membalas jumlah hutang yang sama kepada Kelantan yang telah mengaibkan pasukan jelapang padi di hadapan penyokong setia mereka di SDA pada 21 Januari lalu.

Prestasi yang dipamerkan Hamidan semalam sekali gus menyelamatkan pemain dari Ghana itu daripada dihantar pulang ke negara asalnya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), Datuk Dr Hamdan Mohammed Khalib pernah berkata jodoh Hamidan bersama Kedah kemungkinan tidak berpanjangan sekiranya beliau masih gagal menunjukkan kredibiliti sebagai penyerang bermutu.

Sinar Harian

Red Warriors ke separuh akhir

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan mara ke peringkat separuh akhir meski pun hanya mampu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas KL SPA FC dalam aksi perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors layak menerusi agregat 5-0 dan akan bertemu Kedah yang turut mara setelah menewaskan T-Team 2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir yang dilangsungkan serentak malam tadi.

Keghairahan Kelantan untuk memburu gol hadir seawal minit pertama perlawanan menerusi rembatan kaki kiri Mohd Nurul Azwan Roya namun diselamatkan penjaga gol KL SPA FC, Mohd Nuraizat Abdul Aziz.

Lapan minit berselang, Mohd Norfarhan Muhammad mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan di depan namun gagal apabila tampanannya berpunca hantaran lintang Onyekachi Nwoha tinggi meski pun pintu gol sudah pun ternganga.

Penjaga gawang KL SPA FC, Mohd Nuraizat sekali lagi dipaksa bekerja keras di pintu golnya apabila menyelamatkan rembatan deras Zairul Fitree Ishak hasil sepakan percuma pendek yang dilakukan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-14 perlawanan.

Begitu pun, KL SPA FC hampir mengejutkan tuan rumah dua minit kemudian apabila pemain sayapnya, Mohd Syafiq Azwad Zulkiflie bijak memperdayakan pemain pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim namun rembatannya sempat ditepis keluar Mohd Shahrizan Ismail.

Seminit kemudian, sorakan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors bergema apabila Mohd Norfarhan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Segalanya berpunca apabila rembatan kencang Nwoha dari penjuru sebelah kanan padang terkena tiang gol KL SPA FC sebelum Mohd Norfarhan yang tidak dikawal mudah menolak masuk untuk menewaskan Mohd Nuraizat.

Ternyata gol tersebut kembali menyemarakkan semangat anak buah Bojan Hodak untuk terus menambah jaringan memaksa barisan pertahanan pasukan pelawat yang diketuai Ketua Pasukannya, Sazali Suwandi bekerja lebih keras sepanjang babak pertama perlawanan malam tadi.

Usaha berterusan Kelantan untuk menambah jaringan terhasil pada minit ke-23 perlawanan namun rembatan leret Mohd Nurul Azwan Roya terlalu lemah sementara percubaan S Chanturu seminit kemudian setelah memperdayakan dua pemain pertahanan KL SPA FC terus ke dakapan Mohd Nuraizat.

Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’, Chanturu gagal menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya hasil situasi kelam-kabut di depan pintu pasukan pelawat tersasar pada minit ke-40 perlawanan. Dua minit sebelum babak pertama berakhir, pasukan KL SPA FC kembali menghidupkan cabaran kepada Kelantan menerusi percubaan Mohd Syafiq Azwad di dalam kotak penalti memaksa Mohd Shahrizan menepis keluar bagi menyelamatkan pintu golnya.

Permulaan babak kedua menyaksikan pengendali KL SPA FC, Nidzam Jamil masih lagi terus memberikan kepercayaan kepada kesebelasan pemain yang sama bagi memberi saingan kepada Kelantan.

Tidak banyak gerakan menarik dicetuskan oleh barisan penyerang pasukan lawan sebaliknya The Red Warriors tampil lebih bersemangat menerusi rembatan Nik Mohd Shahrul Azim pada minit ke-61 sementara gerakan solo Mohd Nurul Azwan lima minit kemudian mudah dipatahkan oleh Mohd Nuraizat.

Tindakan Ketua Pasukannya, Sazali mengasari Nwoha di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan pada minit ke-67 perlawanan.

Namun Nwoha yang diberi tugas menyempurnakan sepakan tersebut gagal menghadiahkan gol kedua untuk Kelantan apabila rembatannya terkena tiang gol kiri psaukan KL SPA FC.

Empat minit kemudian, Nwoha yang kemarau jaringan sejak lima perlawanan lalu menebuskan kekecewaannya apabila meledakkan gol kedua untuk Kelantan. Berpunca hantaran pendek Mohd Norfarhan di dalam kotak penalti, pemain import kelahiran Nigeria itu merembat kencang ke penjuru sebelah kanan pintu gol KL SPA FC untuk gol kedua Kelantan.

Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat pemain KL SPA FC apabila turut mempunyai peluang pada minit ke-84 perlawanan untuk merapatkan jurang menerusi percubaan pemain gantian, Khairol Azry Abdul Rahman namun ditepis Mohd Shahrizan manakala rembatan susulan Mohd Faizul Abdullah yang tinggi melewati pintu gol Kelantan mengakhiri perjuangan pasukan tersebut dalam kempen Piala FA musim ini.

Sinar Harian

Mayat dalam longkang

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BAGAN SERAI - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam longkan di kawasan Batu 8 Jalan Parit Buntar-Bagan Serai, di sini, pada jam kira-kira 4.45 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berkenaan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bagan Serai, diketuai Inspektor Azaharul Khairi Abd Hamid telah dihantar dalam kadar segera ke lokasi kejadian sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima.

“Hasil siasatan yang dijalankan, mangsa merupakan seorang tukang masak di sebuah syarikat katering di sini dan dikenali sebagai Siva yang berusia 35 tahun.

“Mayat mangsa telah dibawa dalam kadar segeran ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, siasatan polis turut mendapati kejadian berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah, namun orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran.

"Setakat ini, hasil daripada laporan bedah siasat yang telah dijalankan, kita mendapati mangsa mati akibat lemas," katanya.

Sinar Harian

Pelan tamat krisis politik Syria

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: Pemimpin Arab akan menawarkan pelan baru menangani kebuntuan politik Syria tetapi tidak akan mendesak peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad, kata diplomat Iraq.

Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari, berkata pembangkang Syria perlu bersetuju mengenai strategi tunggal untuk menamatkan krisis di negara itu. Isu itu akan menjadi agenda utama persidangan Liga Arab selama tiga hari yang bermula semalam di Baghdad.

Ia akan berakhir esok (Khamis) dengan kehadiran pemerintah dan ketua kerajaan negara anggota. Dua puluh dua negara membentuk Liga Arab tetapi Syria tidak dijemput ke sidang tahunan itu, yang diadakan di Iraq tahun ini buat kali pertama dalam satu generasi.

“Krisis semakin memuncak di Syria. Pembunuhan setiap hari, pertumpahan darah, penyelesaian politik menemui jalan buntu. Apa perlu dilakukan? Ia adalah tanggungjawab semua yang hadir di persidangan ini,” kata Zebari kepada wartawan di Baghdad kelmarin.

Beliau berkata, pemimpin berkemungkinan bersetuju dengan penyelesaian yang boleh dilakukan untuk menamatkan keganasan tetapi terpulang kepada rakyat Syria menentukan masa depan mereka.

“Ia bukan hak negara lain untuk berkata kepada rakyat Syria pemimpin bagaimana yang mereka perlukan atau tidak. Saya tidak rasa akan ada desakan supaya Assad meletak jawatan,” katanya.

Pelan baru itu serupa dengan yang dicadangkan Liga Arab sebelum ini supaya Assad menyerahkan kuasa secara aman kepada naibnya sehingga pilihan raya baru dan terbuka boleh diadakan, kata Zebari. Liga itu juga menggesa gencatan senjata segera daripada kedua-dua pihak dan bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki zon perang.
Syria menolak kritikan Liga Arab mengenai tindakan ganas tenteranya menamatkan pemberontakan, berkata siapa yang menentang Assad sebenarnya menyebelahi Barat.

Zebari juga memberi peringatan kepada kumpulan pembangkang Syria untuk bersama-sama menjayakan pelan itu demi keamanan. Beliau berkata pemimpin pembangkang dialu-alukan untuk datang ke Baghdad selepas persidangan itu berakhir untuk membincangkan cadangan itu. Iraq akan mempengerusikan liga itu selama setahun selepas persidangan itu ditutup.

“Kami cuba mencari penyelesaian bagaimana untuk membantu rakyat Syria. Dengan rasa hormat kepada pembangkang Syria, mereka perlu bersatu,” katanya. – AP

Polis buru perompak tokong

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LEDANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang memburu seorang lelaki diburu bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah tokong di Jalan Sialang, Tangkak kira-kira jam 11.50 malam, 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, dalam kejadian itu, suspek berusia 50 tahun itu bersubahat dengan adik lelakinya yang berusia 47 tahun untuk memecah masuk tokong berkenaan.

“Mereka melarikan loceng tembaga dan dua pasu tembikar yang dianggarkan bernilai RM 2,000.

“Berikutan laporan yang diterima, pihak polis melancarkan gerakan memburu kedua-dua suspek,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil risikan pihaknya berjaya menjejaki suspek dan menyerbu sebuah rumah di Taman Ikhtiari, Tangkak, kira-kira jam 11 pagi pada 24 Mac lalu.

“Rumah terbabit dipercayai menjadi markas persembunyian suspek bersama adiknya.

“Dalam serbuan itu, pihak polis berjaya menahan adiknya, manakala suspek telah menghilangkan diri,” katanya.

Harun berkata, adik suspek yang juga seorang penganggur dibawa ke IPD Ledang untuk siasatan lanjut bersama barangan rampasan.

Katanya, hasil pemeriksaan ujian air kencing ke atas lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang pada 2005.

“Lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 25 Mac dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Mulut herot

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DI SINI...Wan Abdullah menunjukkan pondok tempat dia mengurut Ayah Pin.

BACHOK: Pemimpin ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’, Ayah Pin yang ghaib selepas digempur pihak berkuasa kini muncul kembali, tetapi dalam keadaan menyedihkan apabila lumpuh separuh badan bahagian kanan akibat angin ahmar dan hanya mampu berjalan dengan dipimpin orang.

Bagi mengubati penyakitnya itu, Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhammad, 75, kini dikatakan berulang-alik dari tempat tinggalnya di Batu 13, Hulu Besut ke Bachok untuk berurut dengan seorang tukang urut.

Setiap kali datang berurut, Ayah Pin ditemani dua isterinya serta seorang anak perempuan berusia belasan tahun dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna gelap.

Keadaan terbaru Ayah Pin itu disahkan adiknya, Abdul Rahman Muhamad, 64, yang kerap dikunjungi abangnya itu ketika datang berurut di Bachok.

Abdul Rahman berkata, abangnya itu diserang angin ahmar ketika minum di sebuah gerai di Batu 13, Hulu Besut bulan lalu.

metro/-

Bekas MD IMF didakwa terlibat sindiket pelacuran

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PARIS - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berhadapan dengan tuduhan terlibat dalam rangkaian pelacuran sebahagian daripada skandal yang dikenali sebagai "Carlton Affair" di Perancis.

Strauss-Kahn, yang meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF pertengahan tahun lalu ekoran dakwaan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di New York, Amerika Syarikat, kini diletakkan di bawah siasatan secara formal di Lille.

Tuduhan serangan seksual yang dikenakan tahun lalu kemudian digugurkan. Pekerja hotel itu kini memfailkan kes sivil ke atas Strauss-Kahn.

Laporan media dipetik BBC menyebut beliau ada mengakui pernah menghadiri majlis keramaian, yang menurut pihak berkuasa pelacur-pelacur dibekalkan oleh sindiket dan kumpulan tertentu.

Bagaimanapun Strauss-Kahn menafikan tahu-menahu yang wanita-wanita berkenaan sebagai pelacur.

Jika tuduhan terbaru ini disabitkan, Strauss-Kahn boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Beliau dibebaskan dengan diikat jamin AS$135,000.

Pihak pendakwa raya berkata Strauss-Kahn tidak boleh berhubung dengan defendan, plaintif, saksi atau media berhubung kes ini.

Seramai lapan orang telah pun ditahan berhubung skandal "Carlton Affair".

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada Strauss-Kahn terlibat dalam rangkaian pelacuran dan penyalahgunaan dana korporat.

sinar harian/-

Habuan seks, wang makan diri

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA - Perbuatan seorang kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang meminta rasuah berbentuk seks dan wang daripada seorang wanita sebagai upah untuk dilepaskan daripada kes khalwat memakan diri apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Bagaimanapun, Zullias Rasid Manan, 37, yang merupakan pekerja rendah am MAIM mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan pertama, Zullias didakwa meminta wang RM1,500 daripada wanita itu sebagai upah untuk menyelesaikan kes tangkapan atas kesalahan syariah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak motosikal di belakang Dataran Pahlawan berhadapan dengan sebuah sekolah, Banda Hilir di sini pada pukul 6 petang, 19 Januari 2010 lalu.

kosmo/-

Dua lagi wanita jadi mangsa simbah asid

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat Kuala Lumpur petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.

Beliau berkata suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

"Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam tadi.

Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.

"Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

- Bernama