16 March 2012

Air: Selangor perkenal program 'Lapor dan Dapat'

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 16 Mac: Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.

Demikian kata, Iskandar bin Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor dalam kenyataannya.

Apabila mendapat laporan itu, katanya, kerajaan negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.

"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut," kata beliau dalam kenyataan itu.

Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).

Melalui pendekatan ini, penghuni flat juga akan menikmati kemudahan 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri Selangor ini.

Program "LAPOR DAN DAPAT" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.

Menurut Iskandar, potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.

Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk, katanya.

Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB, tambah beliau.

COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "LAPOR DAN DAPAT" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Program ini akan bermula pada 1 April 2012.
Ekoran itu, penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat.

Harakah Daily

SPR tidak tunai janjinya - anggota PSC

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuktikan badan tersebut tidak menunaikan janjinya apabila bertindak menukar kawasan mengundi membabitkan kawasan Parlimen.

Biarpun ia ekoran pembetulan sempadan kawasan pilihan raya, pertukaran itu hanya boleh melibatkan kawasan yang dilingkungi Parlimen yang sama sebelum ini.

"Jika yang bertukar hanya Dun tetapi masih di Parlimen yang sama, ia tidak menjadi masalah. Tapi, apabila membabitkan pertukaran Parlimen (dan dalam kes MB Selangor negeri), itu sudah tidak betul," tegas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan SPR berhubung pertukaran kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parlimen Petaling Jaya Selatan di Selangor ke Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akibat pertukaran ini, Khalid tidak lagi boleh bertanding dalam DUN Selangor dan menyebabkan beliau tidak lagi boleh menjadi MB Selangor.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya (PSC), berkata dengan pertukaran tersebut menunjukkan tindakan SPR yang kononnya membekukan pembetulan sempadan pada 2011 itu sebenarnya tidak berlaku.

"Saya tidak tahu di mana silapnya SPR dalam hal ini, tetapi saya berharap SPR berpegang pada janji bagi memastikan badan itu bebas dari mengundang persepsi negatif daripada rakyat, lebih-lebih lagi dalam 'mood' pilihan raya umum yang semakin hampir, " tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sewajarnya pihak SPR memaklumkan kepada pengundi yang terlibat dalam pembetulan sempadan itu bagi mengelakkan sebarang kekecohan.

Katanya, jika pengundi dimaklumkan lebih awal tentang pembetulan kawasan mengundi tersebut, kemungkinan berlaku kekecohan pada hari mengundi kelak dapat dielakkan.

"Bayangkan, jika pengundi tidak membuat semakan awal dan tidak dimaklumkan, apabila hari pengundian baru tahu tempat mengundi yang lain, akan berlaku kekecohan. Macam Tan Sri ini, dia sendiri buat semakan," tegas beliau.

Kes membabitkan Khalid ini mula dikesan apabila Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi 'pengundi hantu' di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata Khalid telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

Harakah Daily

Guru India jadi sasaran Ali Rustam

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MELAKA, 16 Mac: Nampaknya golongan guru sedang menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) untuk mempastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

(Surat yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Melaka)

Kalau di Tawau, mereka di kelas-kelaskan mengikut sokongan kepada parti politik oleh Jabatan Pelajaran Daerah, di Melaka guru-guru India di'jemput' beramah mesra dengan Ketua Menteri Melaka.

Jemputan itu dibuat sendiri oleh Jabatan Pelajaran Melaka dan dihantar kepada pengetua dan guru besar setiap sekolah.

Menurut surat bertarikh 9 Mac yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Melaka itu, semua guru India sekolah menengah dan rendah di Melaka di'jemput'.

Mereka dijemput menyertai majlis ramah mesra guru-guru India Melaka dengan Ketua Menteri Melaka pada 19 Mac Isnin ini.

Ia akan diadakan di Dewan Seri Negeri, Air Keroh, Melaka mulai jam 1.30 tengahari.

Harakah Daily

Pemuda PAS ke Syiria pantau pelajar Malaysia

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar wakil ke Syria bagi meninjau keadaan pelajar Malaysia ekoran krisis yang berlaku di negara berkenaan.

Wakil Lajnah Antarabangsa dewan itu akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi II, Ustaz Fakurazi Mokhtar dan akan berangkat ke Damsyik pada malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Naib Ketua DPMM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga pengerusi lajnah antarabangsa dalam satu kenyataan hari ini.

Disamping itu beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia di Syria agar tidak melibatkan diri dalam sebarang program dan aktiviti dalaman dan tempatan rakyat Syria yang boleh mengakibatkan mereka diambil tindakan oleh pihak tertentu di sana.

"Para pelajar terutamanya perlulah sentiasa mengikut arahan dari kedutaan Malaysia walaupun dilaporkan Kedutaan Malaysia tidak mahu bertanggungjawap terhadap rakyat Malaysia yang masih berada di pusat-pusat pengajian awam di seluruh Syria.

"Wakil -wakil pelajar malaysia dari persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia diseluruh Syria diminta sentiasa berhubung dan berkomunikasi secara setempat dengan ahli-ahlinya," katanya.

Konflik di Syria semakin hari semakin mendesak apabila jumlah kematian dianggarkan mencecah ribuan rakyat yang tidak berdosa ekoran kebangkitan rakyatnya yang inginkan lebih ruang demokrasi di sana disamping menuntut Presiden Bashyar Assad berundur.

"Kita juga berharap, kerajaan Syria dapat memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria terjamin walaupun kemelut politik dalaman disana semakin runcing kerana adalah tanggungjawap kerajaan Syria untuk memastikan keselamatan rakyat asing tidak diapa-apakan serta dilibatkan," katanya.

Harakah Daily

NGO Beras Kampit turut tanding PRU?

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ada seorang kawan yang bergerak cergas dalam Ngo beras kampit memberi tahu presidennya sedang mengenal pasti beberapa buah kerusi Dun di Selangor yang akan diganggu oleh Ngo itu dengan cara ikut bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesemua kerusi itu dimenangi Pas.

Kata kawan itu Ngo itu akan memastikan sekurang-kurang lima kerusi yang mereka ganggui untuk memastikan kerusi itu tewas bagi membolehkan UBN menang dan seterusnya membentuk kerajaan di Selangor.

Di antara kerusi yang disebut kepada saya yang menjadi perhatian Ngo beras kampit itu ialah Gombak Setia yang kini disandang presidenya yang menang atas tikit Pas, Hulu Klang, Lembah Jaya, Meru, Bangi, Sejangkang dan Chempaka. Dari tujuh kerusi itu dua kerusi mungkin tidak akan diganggu. Kerusi itu, Sijangkang yang dimenangi Ahmad Yunus dan Chempaka dimenangi Iskandar.

Bentuk gangguan menurut kawan itu Ngo beras kampit akan menurunkan orangnya untuk bertanding atas tikit bebas. Mereka menghitung calon mereka akan dapat menarik 500 hingga 1,000 undi.

Kalau ini menjadi kenyataan kerusi-kerusi Pas yang dimenangi dengan majoriti 1,048 hingga 5,513 undi itu mungkin akan jatuh kepada UBN sekiranya formula itu menjadi kenyataan.

Kata kawan itu kalau Ngo beras kampit itu berjaya membantu UBN menumbangkan Pas beberapa orang pemimpin utama mereka akan diberi ganjaran termasuk dilantik menjadi pengerusi atau pengarah dalam syarikat GLC. Salah seorang dari mereka katanya akan dilantik menjadi senator kononnya untuk dilantik menjadi menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam. [wm.kl.7:43 pm 15/03/12]

Harakah Daily

Siapa sabotaj Khalid agar tidak jadi MB?

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Tan Sri Khalib Ibrahim tidak boleh lagi menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum akan datang apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan kawasan pilihan raya beliau dari Selangor.

Berikutan perubahan sempadan kawasan pilihan raya, Khalid yang mengundi di Petaling Jaya Selatan, Selangor sebelum ini bakal mengundi di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurut peraturan pilihan raya, hanya mereka yang berdaftar di di negeri berkenaan boleh menjadi calon Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi "pengundi hantu" di Lembah Pantai.

Mohd Razlan juga mendakwa peralihan kawasan mengundi itu, yang hanya boleh berlaku jika menteri besar itu menukar alamat pada kad pengenalannya, adalah kerja dalam untuk mensabotaj Khalid.

Namun, dengan fakta yang ada, kelihatan sabotaj dalaman yang dimaksudkan Razlan adalah "untuk menghalang Khalid menjadi MB Selangor."

Dengan pengakuan SPR bahawa Khalid berubah kawasan ke Lembah Pantai akibat 'pembetulan sempadan pilihanraya', jelas yang mensabotaj Khalid adalah melalui SPR sendiri.

SPR sebelum ini menjelaskan bahawa Khalid kini merupakan pengundi di Lembah Pantai, walaupun sebelum ini mengundi di kerusi parlimen bersebelahan, ekoran langkah pembetulan sempadan kawasan pilihan raya.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata menteri besar Selangor telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

"Beliau tidak dipindahkan. Beliau masih didaftarkan di alamat yang sama, tetapi sempadan telah diperbetulkan selaras dengan Akta Pilihan Raya 1958," kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Kes yang sama di Hulu Selangor.

Menurut Wan Omar, pembetulan sempadan itu juga menjadi sebab 228 pengundi yang mengundi di Hulu Selangor sebelumnya, mendapati mereka menjadi pengundi di Selayang.

Harakah Daily

Halang ceramah: Umno masih berpolitik cara kuno

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 16 Mac: Umno disifatkan masih bermain dengan politik kuno apabila sedaya upaya cuba menghalang ceramah Pakatan Rakyat khususnya di kawasan yang didakwa 'kubu kuat' mereka.

Di Kampung Rambai di sini, Umno Cawangan Permatang Rambai didakwa cuba menghalang majlis penerangan Pakatan Rakyat semalam dengan membuat laporan polis dan mengutip tanda tangan penduduk kampung.

Ekoran itu, majlis itu kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain atas arahan pihak polis.

Pada ceramah pertama Pakatan Rakyat di kampung itu 5 Mac lalu, mereka didakwa mengganggu ceramah dengan membuat bising dan melaungkan kata-kata kesat ketika pemimpin sedang berucap.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak berkata, sikap Umno itu memperlihatkan mereka masih dibelenggu kerisauan ekoran sokongan yang mendadak terutamanya golongan muda terhadap ceramah PAS, DAP dan PKR.

"Apa yang mereka buat itu tidak langsung mengambarkan mereka berada di negara demokrasi sebaliknya berada di sebuah negara yang kuno, " tegasnya.

Selain itu katanya, tindakan itu juga tidak mengambarkan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hasratkan iaitu mahu melaksanakan tranformasi politik negara ini yang memberikan kebebasan kepada parti politik menerangkan dasar-dasar parti kepada rakyat secara terbuka.

Namun sambung Asrol. perbuatan Umno cawangan tersebut akhirnya memakan diri sendiri apabila ramai penduduk kampung tersebut keluar juga mendengar ceramah di kampung Baru yang terletak berhampiran.

"Sebenarnya ada hikmah disebalik halangan itu. Sebelum ini ketika aktivis mahasiswa Adam Ali, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Timbalan Ketua AMK Kedah, Saudara Khairul Nizam diganggu. Ramai orang kampung sendiri tidak begitu senang, " katanya.

Harakah Daily

Kebangkitan hebat Chelsea: Terry

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

“KEMENANGAN ini membuktikan kepada semua orang bahawa kami bersatu sebagai satu unit. Itu reaksi Kapten Chelsea, John Terry apabila The Blues menjadi pasukan tunggal England mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menumbangkan Napoli pada pusingan kedua 16 pasukan terakhir di Stamford Bridge, awal pagi semalam.

Sementara itu, Pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo menyifatkan kemenangan tersebut sebagai luar biasa.

“Ini adalah musim yang sukar buat kami, tapi kemenangan ini pasti merubah nasib kelab.

“Jika kami mampu teruskan aksi seperti ini, tidak mustahil kami mampu kalahkan siapa sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Di Matteo menang kesemua tiga perlawanan sejak mengambil alih tugasan daripada Andre Villas-Boas yang dipecat.

Pada perlawanan itu, Branislav Ivanovic muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan ketika Chelsea bangkit menewaskan Napoli 4-1.

Jaringan pemain Serbia itu pada minit ke-105 memastikan The Blues layak ke suku akhir menerusi agregat 5-4.

Sinar Harian

Kecederaan pemain, Mat Zan tenang

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

“SEMAHUNYA saya tidak mahu lagi melihat ada pemain tercedera. Itu reaksi Mat Zan Mat Aris ketika mengulas krisis kecederaan membelenggu pasukan Terengganu.

Ketika ini, tiga tonggak utamanya Marzuki Yusof, Ahmad Nordin Alias dan Reeshafiq Alwi terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan.

Terbaru, penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli terpaksa diketepikan akibat kecederaan groin.

“Sharbinee masih belum pulih dan berkemungkinan Mohd Sharmiza Yusof akan menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama.

“Saya yakin dengan kebolehannya dan dia sudah pun buktikan ketika saingan Piala FA menentang Perak, baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Zan memaklumkan pasukannya itu akan melakukan rombakan menjelang pertemuan menentang Sabah esok.

“Sepanjang minggu ini kita melalui jadual perlawanan padat (Piala FA dan Piala AFC). Saya pasti pemain utama agak keletihan.

“Oleh itu, saya mungkin menurunkan beberapa pemain simpanan dan berharap tiga mata penuh menjadi milik Terengga-nu,” katanya mahu pemain beraksi sebagai pasukan mantap bagi menundukkan skuad Sabahawk kendalian Justin Ganai.

Sinar Harian

Redknapp masih mahu jawatan pengurus England

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HARRY Redknapp percaya individu bakal mengemudi skuad kebangsaan England perlulah ‘tua’ dan semestinya berbangsa Inggeris.

Komen bos Tottenham Hotspurs itu seolah-olah, memberi gambaran dia mahu menduduki kerusi panas skuad The Three Lions ditinggalkan Fabio Capello yang meletak jawatan bulan lalu.

“Menjadi pengurus kepada negara sendiri pastinya hebat,” katanya.

Selepas Capello meletak jawatan, nama Redknapp disenarai pendek selaku pilihan utama mengemudi England pada Kejohanan Euro 2012 yang berlangsung Jun ini.

Malah, beberapa pemain England termasuk Wayne Rooney dan Rio Ferdinand setuju, jika pengurus berbangsa­ Inggeris berusia 65 tahun itu, mengemudi skuad The Three Lions.

Namun, Redknapp terus mencetuskan spekulasi dengan menegaskan dia tidak mahu diganggu kerana fokus bersama Spurs.

“Sehingga kini, tiada seorang pun daripada­ Persatuan Bola Sepak Inggeris cuba menghubungi saya.

“Apa pun, pengganti Capello mesti berbangsa Inggeris dan mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak,” katanya.

Sinar Harian

13 tong bahan kimia berselerak

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK KALONG – “Tiba di selekoh, muatan bahan kimia dalam tong yang saya bawa berkocak menyebabkan kedudukan tongnya beralih ke kanan, jadi bagi mengelakkan treler terbalik ke kanan, saya pulas stereng ke kiri,” kata pemandu treler, Rosmi Jusoh, 34.

Rosmi yang dalam perjalanan menghantar bahan kimia, Sodium Bromide ke Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) berdepan detik cemas, apabila kesemua 13 tong mengandungi bahan kimia tersebut jatuh berselerak di bahu jalan sejurus treler miliknya terbalik di satu selekoh di jalan pintasan Kuala

Terengganu -Kuantan, berdekatan Syarikat Bitumen Kemaman (KBC), Teluk Kalong, dalam kejadian jam 8.40 pagi, tiga hari lalu.

Menurut Rosmi, ketika kejadian, dia yang membawa treler pada kelajuan 60 kilometer sejam berusaha memulas stereng ke kiri bagi mengelakkan treler yang dipandunya terbalik ke kanan sekali gus boleh mengakibatkan kenderaan yang datang dari arah bertentangan turut terlibat dengan kemalangan.

Katanya, bahan kimia berkenaan diambil dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke KSB kerana dia bekerja mengambil upah menghantar bahan terbabit.

“Selepas terbalik, saya keluar ikut cermin depan treler dan lihat bahan kimia yang dibawa semuanya jatuh ke bahu jalan serta di bawah tebing jalan,” katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ada antara tong yang dibawa turut pecah dan cecair di dalamnya mengalir, pun begitu difahamkan muatan Sodium Bromide itu tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Berikutan kejadian itu, dua buah jentera bomba dengan kekuatan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bergegas ke tempat kejadian dan melakukan semburan air bagi melarutkan cecair yang tumpah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanapi berkata, operasi yang dilakukan tidak mengalami masalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan menasihatkan pengguna sentiasa berhati-hati di atas jalan raya tambahan lagi dalam cuaca hujan ketika ini di daerah ini.

Sinar Harian

Fergie sedia lepas Berba

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BOS Manchester United, Sir Alex Ferguson memberi lampu­ hijau kepada Dimitar Berbatov meninggalkan Old Trafford, musim panas ini.

“Kami ada pilihan buatnya­. Sambung kontrak atau menjualnya. Saya masih mahu menggunakan khidmatnya namun bukan sekarang. Se­karang dia hanya boleh panaskan bangku simpanan.

“Tapi dia mahukan penampilan dalam skuad utama. Itu saya tidak boleh jamin,” katanya.

Sinar Harian

GP kebangsaan medan buru tiket Olimpik

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEJOHANAN Grand Prix Berbasikal Kebangsaan 2012 Kedah (GP Kedah) yang bermula esok menyaksikan beberapa calon ke Sukan Olimpik 2012 termasuk Mohd Harrif Salleh menye­suaikan­ diri sebelum menghadapi ujian sebenar di London Julai nanti.

Aksi Mohd Harrif yang berjaya menaiki podium ketika­ perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL 2012) akan dipantau sepenuhnya pada cabaran sulung musim ini manakala penampilan Mohd Adiq Hussainie Othman pada GP masih jadi tanda tanya.

Mohd Harrif dan Mohd Adiq Hussainie dianggap dua calon hangat menyarung jersi Malaysia ke Olimpik 2012.

Mohd Zamri pula yang meninggalkan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) awal musim ini bagi menyertai Terengganu Cycling Team (TSG) dianggap antara calon underdog untuk disenaraikan ke London selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Grand Prix Berbasikal Ke­bangsaan 2011 dan menduduki tempat keempat di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012(ACC 2012).

Presiden Persekutuan Ke­bangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab percaya GP Kedah boleh menjadi platform terbaik mengukur prestasi Mohd Harrif dan Mohd Adiq Hussainie serta beberapa pelumba lain.

“Kita semua tahu acara lepas beramai-ramai di Sukan Olimpik 2012 di London adalah one-day-race (perlumbaan sehari). Hanya beberapa pelumba Malaysia berjaya se­suaikan­ diri corak perlum­baan sedemikian. An­­taranya Mohd Adiq Hussainie yang menang pingat perak Bawah 23 Tahun di ACC 2012.

Sinar Harian

Yunus mahu The Young Turtles fokus

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENGENDALI T-Team, Yunus Alif mahu anak buahnya tidak memandang mudah pasukan Johor FC menjelang pertemuan Liga Super, esok.

Sebaliknya, beliau mahu Terengganu terus menampilkan aksi garang dan memenangi perlawanan tersebut.

“Johor FC satu pasukan yang sukar dijangka. Buktinya mereka berjaya menyingkirkan juara lima kali Piala FA iaitu Selangor baru-baru ini.

“Jadi, pemain perlu berjuang habis-habisan untuk mengelak keciciran mata,” katanya.

Selepas melalui sembilan perlawanan, T-Team menghuni tangga keempat liga dengan­ 16 mata.

Sinar Harian

Kempunan nikmati hasil samun

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERMAISURI – Hasrat empat lelaki dan seorang wanita warganegara Filipina untuk ‘menikmati’ hasil samun sebuah stesen minyak tidak kesampaian, apabila ditahan oleh pemilik stesen minyak itu sendiri, di Pekan Sungai Tong kira-kira jam 4.20 petang, kelmarin.

Taktik licik yang digunakan oleh suspek yang berumur antara 23 hingga 54 tahun itu bermula apabila dua daripada mereka masuk ke dalam kedai Mesra di stesen Petronas itu dan berpura-pura untuk membeli minyak pelincir, manakala seorang lagi berada di kaunter bayaran untuk membeli rokok.

Sinar Harian telah mendapatkan maklumat terperinci dengan salah seorang pekerja ketika kejadian kelmarin.

Menurut Nor Azureen Mahassan, 17, semasa kejadian, dia seolah-olah dipukau dan tidak menyedari wang yang berada di dalam mesin sebanyak RM700 diambil oleh suspek sehinggalah rakannya menepuk bahu.

“Sebelum itu, saya sedang berurusan dengan pelanggan lain untuk memberi baki wangnya dan ketika itulah suspek yang berada di kaunter terus mengambil wang di dalam mesin wang. Selepas mendapat habuannya, ketiga-tiga suspek terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Nissan Sunny,” katanya.

Ekori kereta suspek

Sementara itu, menurut Pemilik Stesen Petronas Bandar Permaisuri, Cik Sanusi Daud, 36, ketika kejadian itu berlaku dia dalam perjalanan pulang dari Kuantan dan berada di Kuala Terengganu.

“Apabila diberitahu oleh pekerja, saya terus bergegas pulang dan menghubungi polis untuk mendapat kerjasama daripada mereka sehinggalah saya terserempak dengan kereta suspek di simpang tiga kilang sawit Chalok. Selepas itu saya terus mengekori kereta suspek dan apabila sampai di Pekan Sungai Tong suspek berjaya ditahan ketika pihak polis membuat sekatan jalan raya,” katanya.

Katanya, mujurlah ketika kejadian semua wang hasil jualan tidak disimpan di dalam mesin itu.

“Saya amat bersyukur kerana penahanan suspek berjaya setelah dibantu oleh semua pihak.

Suspek direman sehingga 18 Mac ini

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Difahamkan, selepas suspek menyamun stesen minyak itu, mereka terus ke Kampung Nyatoh untuk mengambil dua lagi rakan mereka di situ sebelum menghala ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun, hasrat mereka tidak kesampaian apabila ditahan oleh pihak polis dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kelima-lima suspek yang berjaya di tahan itu kini direman bermula semalam hingga 18 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pihak kita telah menyita kereta yang dinaiki suspek. Hasil siasatan kita mendapati semua suspek mempunyai dokumen perjalanan sah dan kita percaya mereka masuk ke negara ini untuk mencari kerja,” katanya.

Sinar Harian

MSN cari pemain pelapis

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan kejohanan bola sepak Champion Of Champions kali kedua khusus bagi pemain berumur bawah 12 tahun.

Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin, berkata objektif utama penganjuran adalah bagi mencari pasukan “juara dalam kalangan juara” untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

“Penyertaan terbuka kepada pasukan yang pernah menjadi juara peringkat daerah atau negeri,” katanya.

Beliau berkata, hanya 16 pasukan terbaik dipilih untuk beraksi pada kejohanan secara karnival itu.

“Oleh kerana hadiah yang bakal diterima agak tinggi iaitu RM10,000 bagi juara­, pemilihan pasukan dibuat secara teliti oleh jawatankuasa pertandingan­,” katanya.

MSN belum menetapkan lokasi kejohanan yang dijadual berlangsung pada November ini.

Tahun lalu, Kejohanan Champion of Champions di Muar, Johor, mendapat sambutan menggalakkan.

Sinar Harian

Pemilihan Alto motivasi buat rakan pasukan

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BERBESAR hati dengan pemilihan kali pertama Alto Linus dalam menjalani latihan bersama skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal, pengendali Sabah, Justin Ganai berharap pemain tengah itu berjaya beri persembahan terbaik.

“Ianya satu perkembangan yang bagus bukan sahaja kepadanya (Alto) sebaliknya kepada pasukannya juga. Kerja kerasnya selama ini ternyata berbaloi apabila terpilih,” katanya yang mengetahui tentang pemilihan itu melalui Rajagobal selepas perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya 24 Februari lalu.

Mengakui pemilihan pemain berusia 26 tahun itu turut menjadi motivasi kepada anak didiknya yang lain, Justin yang sentiasa berpuas hati dengan­ persembahan pemain dari Keningau itu menyifatkan Al-to pemain yang sentiasa cuba dan belajar baiki kesilapan.

“Alto cekap gunakan kelebihan kelajuannya sebagai penyerang bantu rakan sepasukan.

“Meskipun ha-nya terpilih menjalani latihan, namun diharap dia dapat mengekalkan prestasi terbaiknya untuk beraksi dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Sinar Harian

Lebah waspada helah Penyu

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENGENDALI Johor FC, K Devan memberi peringatan kepada anak buahnya lebih berwaspada dengan corak permainan T-Team supaya tidak diaibkan di laman sendiri, Stadium Pasir Gudang, esok.

Mengakui prestasi T-Team semakin cemerlang, beliau menuntut anak buahnya fokus untuk memastikan kutipan tiga mata pertama, mampu dicapai dalam pusingan pertama Liga Super 2012.

“Saya harap dengan kejayaan layak ke saingan suku akhir Piala FA, mampu membangkitkan semangat pemain dan berharap momentum itu dibawa dalam perlawanan esok,” katanya yang mahu perlawanan menentang pasukan kendalian Yunus Alif itu dijadikan sebagai medan merubah kedudukan pasukan ketika ini semakin tenggelam ke dasar liga.

Lantaran itu, kembalinya beberapa tonggak utama yang cedera sebelum ini, Ismail Suboh, Mohd Zambri Chin dan Shahrizal Saad sedikit sebanyak melegakan pengendali Sang Lebah ini.

“Mereka sudah pulih dan giat menjalani latihan. Saya mungkin melakukan rombakan­ dan terpulang kepada pemain untuk membuktikan keupayaan supaya disenaraikan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sinar Harian

Treler bawa muatan simen terbalik

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila treler yang sarat membawa muatan simen dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Bukit Pasir–Muar, semalam.

Pemandu lori yang berusia lingkungan 30an itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sejurus selepas kejadian.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi itu ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pagoh.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, treler itu dilihatnya cuba membelok untuk memasuki kawasan kebun bunga di sini.

“Entah bagaimana semasa belok, tiba-tiba treler ini hilang kawalan dipercayai tayar belakangnya tergelincir ke dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ketika menghampiri treler berkenaan dia melihat pemandu treler itu sedang cuba keluar daripada tempat duduk pemandu dengan keadaan berdarah di bahagian kepalanya.

“Mujur mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan orang ramai turut membantunya," katanya.

Sinar Harian

Wanita mengandung diberkas

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU-Seorang wanita mengandung tujuh bulan antara empat yang diberkas dalam sekatan jalan raya kerana disyaki memiliki dadah dan senjata berbahaya selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Satria.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua terbabit ditahan oleh sepasukan anggota polis ketika menjalankan operasi sekatan jalan raya di Kok Lanas kira-kira jam 3 pagi dua hari lalu selepas kelihatan mencurigakan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, tiga lelaki lain yang masing-masing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun berasal dari Pahang turut ditahan dan salah seorang suspek itu adalah pasangan adik-beradik kepada wanita berumur 24 tahun tersebut.

Katanya, hasil serbuan tersebut polis merampas, dua buku lima, pedang, serbuk dipercayai dadah, topeng muka dan kereta yang dinaiki keempat-empat suspek terbabit.

“Kesemua yang ditahan ini dalam perjalanan dari Kuala Krai dipercayai menuju rumah pemandu kereta tersebut di Bachok. Kita mempercayai dadah yang ditemui ini adalah untuk kegunaan sendiri berikutan kesemua ditahan positif ujian air kencing,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Azham berkata, ketika pemeriksaan awal dalam kereta tersebut anggota menemui satu paket serbuk putih yang dipercayai heroin di dalam beg kecil berhampiran ‘hand break’ kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap pemandu kereta tersebut polis juga turut menjumpai satu buku lima yang diselitkan di pinggangnya,” katanya.

Selain itu, satu buku lima lain bersama topeng muka yang diletakkan di bahagian depan kereta turut ditemui dan pemeriksaan seterusnya membawa kepada penemuan pedang kira-kira 0.75 meter dipercayai disembunyikan di sebalik kotak tisu.

Kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula 14 Mac lalu dan pemandu kereta terbabit didapati mempunyai kes lampau termasuk curi kenderaan serta dadah.

Katanya, polis kini masih menjalankan siasatan berhubung penahanan keempat empat suspek terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen (6)(1) Akta Bahan Kakisan atau letupan Berbahaya 1985.

Sinar Harian

Bekas mertua diugut simbah asid

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Padah kerana mengugut mahu menyimbah asid kepada bekas ibu mertua yang enggan menyerahkan anaknya, seorang wanita dipenjarakan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim ketika membacakan keputusannya memerintahkan agar hukuman terhadap tertuduh, Nurul Diana Mohamad, 21, berjalan dari tarikhnya ditang­kap, setelah dia mengaku bersalah kerana melakukan ugutan jenayah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan sehingga menyatakan mahu menyimbah asid terhadap Fatimah Draman, 49, di Kuarters Kakitangan Taman Sinar Harapan Bukit Besar, di sini pada 8 Februari lalu, kira-kira jam 3 petang.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa iaitu pengadu yang ketika itu berada di rumahnya, telah didatangi tertuduh yang juga bekas menantunya kira-kira jam 3 petang pada 8 Februari lalu.

Ketika itu, tertuduh memaki hamun dan mengambil semua baju anak pengadu yang disidai di ampaian di luar rumah disebabkan keengganan pengadu menyerahkan anaknya.

Dia bagaimanapun tidak menyerahkan cucunya kepada tertuduh kerana takut cucunya itu tidak dipedulikan tertuduh, selain diugut akan disimbah asid jika enggan menuruti kehendaknya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, pengadu membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut manakala tertuduh ditahan di pekarangan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 5 petang.

Sinar Harian

Selangor lulus RM300,000 bantu mangsa banjir

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Adalah tidak benar sama sekali kononnya Kerajaan Negeri Selangor tidak membantu mangsa banjir di Lembah Jaya Utara dan Dusun Tua.

Pengerusi Jawatankuada Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Samad (gambar) berkata, setiap keluarga akan mendapat RM300 daripada kerajaan negeri dan Zakat Selangor akan menambah RM300.

Selain itu, jelasnya mesyuarat Exco Selangor pada 13 Mac telah meluluskan RM300,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail untuk membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.

“Kerajaan negeri juga akan membantu pemilik-pemilik rumah yang rosak sama sekali sementara 2 keluarga telah berpindah ke Council Home MPAJ manakala 3 lagi sedang diproses,” ujarnya kepada Harakahdaily.


Beliau yang juga Adun Chempaka memebritahu Pejabat Daerah Hulu Langat juga menyediakan makanan setiap hari untuk mangsa-mangsa tersebut di pusat perlindungan.

Iskandar juga memberitahu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke Eropah bukan untuk bercuti tetapi untuk memahami cara pengurusan industri air di UK.

"Ini penting kerana Kerajaan Selangor sedang berusaha untuk mengambil alih industri air di negeri ini,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, MB juga akan membuat pembentangan di seminar dan mengadakan dialog di Perancis dan UK.

“Ini juga penting untuk mengangkat nama Selangor di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Harakah Daily

Didik anak agar waspada insan tidak dikenali

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Lajnah Pendidikan PAS Pusat Pusat merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga allahyarhamuha Nurul Nadirah Abdullah,5, terutama ibunya, Norelyn Alan di atas pemergian allahyarhamuha yang dibunuh dengan kejam dan dijumpai rentung dalam sebuah lubang berdekatan Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Johor Bahru, baru- baru ini.

Anak kecil yang tidak berdosa intu didapati hilang sejak 1 Mac ketika keluar dari kediamannya di Flat Seri Delima untuk membeli maggi dan telur.

“Selaku AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ,saya ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita atas pembunuhan anak kecil yang tidak berdosa ini,” kata Normala Sudirman kepada Harakahdaily.

(Gambar: Normala bersama Penyelaras Pusat Aduan Rakyat Negeri Johor dan Persatuan Anak Melayu Sabah menziarahi keluarga mangsa, kelmarin.)

Justeru, katanya pihak Lajnah Pendidikan mengharapkan agar keluarga mangsa terutama ibu mangsa akan terus tabah dalam menempuh dugaan hidup atas kehilangan insan yang disayangi itu.

“Kami juga berharap agar pembunuh yang tidak berperikemanusiaan ini dikenakan hukuman yang berat untuk memberi pengajaran kepada masyarakat pada masa akan datang,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.

Tambahnya, Dewan Muslimat PAS Pusat juga ingin menasihati agar ibu bapa memantau keselamatan anak-anak dan berwaspada selalu kerana cabaran 'mendidik' anak-anak pada masa sekarang begitu besar lantaran ada kalangan pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kanak-kanak yang tidak berdosa sebagai mangsa dendam atau nafsu jahat mereka.

Menurutnya, cabaran menjadi ibu bapa semakin hebat dalam 'mendidik' anak-anak agar terhindar daripada perbuatan pihak yang kejam dan tidak bertanggungjawab serta melanggar norma kemanusiaan dalam masyarakat.

Beliau berkata, sikap 'berwaspada' perlu ditanamkan kepada anak-anak agar sentiasa berhati- hati terhadap insan yang tidak dikenali.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keluarga Allahyarhamuha Adik Nurul Nadirah Abdullah tabah dan redha terhadap qada' dan qadar yang diterima terutama kepada Puan Norelyn Alan, ibu mangsa,” ujarnya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Negeri Johor.

Harakah Daily

Penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Akibat menyorokkan dadah dalam mesin basuh, seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Liang Weng Heng, 43, disabitkan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama kerana kesalahan mengedar 515.8 gram methamphetamin.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam, kira-kira jam 6.30 petang, 23 Ogos 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shakila Banu Shaik Allaudeen dan Charanjit Singh Mahinder Singh manakala Weng Heng diwakili Shaik Saleem SM Daud.

Terdahulu, Hakim Datuk Zamani Abd Rahim membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Weng Heng di peringkat akhir pembelaan kes.

Zamani dalam penghakimannya berkata, selepas mendengar keterangan saksi pendakwaan dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan dengan penilaian maksimum, mahkamah mendapati cara dadah disorok dalam mesin basuh menunjukkan Weng Heng mempunyai pengetahuan mengenai dadah dimiliki serta mempunyai niat untuk melakukan kesalahan itu.

“Bukti ini cukup jelas bahawa Weng Heng mempunyai kawalan dan pengetahuan terhadap barang itu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Weng Heng ditahan polis pada 23 Ogos 2008 dan hasil pemeriksaan menemui 67 pil Eramin 5 di dalam kenderaannya.

Siasatan lanjut ke atas tertuduh membawa penemuan dadah yang disorok di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Analisis yang dijalankan Jabatan Kimia mengesahkan dadah yang disorok itu adalah jenis methamphetamine.

Sinar Harian

Kilang diserang 15 lelaki

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Beberapa pekerja di sebuah kilang elektronik di Kampung Jawa, Bayan Baru di sini kerugian beribu ringgit apabila kenderaan yang diletak di luar pejabat mereka dipecahkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang dan tukul besi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, suspek yang terdiri 15 lelaki tempatan juga bertindak memecahkan cermin kereta mewah milik pengurus syarikat berkenaan selain memecahkan sebahagian cermin bangunan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Superintendan Lai Fah Hin berkata, kesemua pekerja syarikat tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan memandangkan ketika kejadian mereka diarah berada di dalam bangunan.

Katanya, kejadian serangan itu kemungkinan bermotifkan balas dendam di antara syarikat terbabit dan pihak luar.

“Suspek yang memakai topeng itu datang menaiki tiga kenderaan yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. Mereka melarikan diri selepas bertindak memecah sebahagian harta benda syarikat dan 16 kenderaan yang diletakkan di hadapan bangunan kilang berkenaan. Polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Fah Hin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 iaitu merusuh.

Katanya, pemeriksaan polis di tempat kejadian tidak membawa kepada penemuan apa-apa objek tajam yang dipercayai digunakan sebagai senjata utama ketika kejadian itu.

Kes katanya disiasat mengambil kira secara terperinci pelbagai kemungkinan termasuk masalah individu, perniagaan, cemburu mahupun tukar milik dan sebagainya.

“Kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian

Gerak hati petanda akan hilang adik

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KERTEH – Seorang kakak tidak menyangka gerak hatinya yang terlalu ingin berjumpa adiknya empat hari lalu, menjadi petanda akan kehilangan adiknya itu yang bekerja mencari besi buruk di sini.

Mangsa mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kerteh dekat Jeti Kuala Kerteh dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Mayat adiknya, Che Ahamed Abdan Ismail, 46, dijumpai kira-kira jam 11 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Kerteh dan Balai Polis Kerteh.

Rosmani Ismail, 53, berkata, empat hari sebelum tragedi malang berkenaan, dia bersama seorang cucunya, Mohd Ikram Jaafar, 2, ke rumah adiknya itu yang juga bekas komando di Kampung Gelugor kerana terasa begitu rindukan adiknya yang mempunyai lima anak.

“Saya tidak tahu kenapa perasaan saya melonjak-lonjak mahu bertemunya, lalu saya berjalan kaki ke rumahnya bersama seorang cucu walaupun dalam cuaca panas terik. Meskipun kami tinggal di kampung yang sama tapi disebabkan kesibukan mencari rezeki, kami masing-masing jarang berjumpa. Bila sampai di rumahnya arwah menjamu kami dengan roti disapu susu pekat yang dia buat sendiri kerana waktu itu isterinya, Wan Norhayati Wan Sulaiman, 40, kurang sihat,” katanya yang berniaga di sebuah kedai makan di Medan Selera di Kerteh yang tidak jauh dari lokasi adiknya lemas.

Bapa pesan jaga adik

Menurut Rosmani, arwah beria-ia menyuruh cucu Rosmani yang juga cucu saudara arwah memakan roti yang dibuatnya sambil dia berseloroh mengatakan itu adalah roti terakhir yang disediakannya buat kami.

“Saya masih ingat kata-kata arwah ketika itu ‘Tok ki tak mboh (mahu) buat lagi roti susu untuk adik kalau adik tak makan’. Lalu saya mengambil roti dan menyuapkan pada cucu, tapi tiba-tiba cucu saya tersedak ketika makan roti menyebabkan arwah bergegas ke dapur mengambil air kosong dan meminta maaf kerana dia tidak tahu bancuh air,” katanya yang merupakan anak keempat yang mengakui kata-kata yang diucapkan arwah itu kini terngiang-ngiang di telinga.

Mangsa pula merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik dan sejak berhenti kerja, dia mula mencari besi buruk di kawasan sekitar Kerteh dengan turut membawa bersama sebuah tukul besar.

Malahan sebelum kejadian, mangsa juga sempat menukar tong gas, lampin pakai buang anak dan gula yang menjadi keperluan terakhir dibeli untuk keluarganya setelah memperoleh wang hasil jualan besi buruk.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Che Ahmad Zulkifli, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kampung Baru Kerteh berkata, pada Isnin lalu, bapanya ada berpesan kepadanya agar menjaga adik-adik jika dia tiada nanti.

“Kali terakhir saya jumpa ayah sebelum ayah keluar rumah selepas Maghrib pada hari kejadian,” katanya sayu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes terbabit berkata, selepas tiga jam setengah usaha mencari dilakukan, mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum mayat dihantar ke Hospital Kemaman.

Agency

'Dirang tulis nama guna dakwat merah'

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Guru Tadika Permata Islamiah selama ini tidak menyedari nama mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, bertulis menggunakan dakwat warna merah dalam buku pendaftaran.

Nor Shaima Aldam, 25, berkata, keselu­ruhan 19 kanak-kanak sesi petang ditulis dalam buku pendaftaran menggunakan pen berwarna biru, tetapi agak pelik nama mangsa, yang mesra dengan panggilan Dirang bertulis dengan dakwat merah.

Menurutnya, selepas mendapat perkhabaran kanak-kanak tadikanya hilang dan ditemui dibakar, dia membuat semakan untuk memastikan nama penuhnya dan terkejut kerana dalam banyak-banyak nama, hanya nama Dirang tertulis dengan dakwat merah.

“Selama ini kami tidak menyedari hanya nama Dirang ditulis menggunakan dakwat merah. Patutnya ditulis dengan dakwat biru seperti kanak-kanak lain.

“Ia seolah-olah menjadi petanda murid kesayangan kami itu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang lagi guru, Mariam Sarian, 47, berkata, Dirang seorang murid yang periang dan pintar walaupun baru berusia lima tahun sehingga keletahnya lebih menyerlah daripada murid yang setahun lebih tua daripadanya.

Menurutnya, walaupun orangnya kecil molek, tetapi suaranya paling kuat setiap kali sesi berselawat kerana hobinya memang cenderong pada perkara begitu.

“Dirang ke sekolah bersama abangnya, Mohamad Hafis, tetapi Dirang lebih dikenali di tadika kerana abangnya pendiam,” katanya.

Sinar Harian