14 March 2012

Yahoo saman Facebook

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SAN FRANCISCO - Syarikat ejin pencari gergasi, Yahoo telah memfailkan saman terhadap laman sosial Facebook di Mahkamah California, kelmarin selepas mendakwa rangkaian sosial terbesar itu mencabuli 10 hak cipta termasuk kaedah dan sistem pengiklanan yang dihasilkan oleh perintis Internet itu.

Difahamkan, Yahoo telah melabur dalam jumlah besar untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan pelbagai hak cipta teknologi seperti syarikat pesaing lain.

“Teknologi ini adalah asas kepada perniagaan kami yang telah berjaya memperoleh 700 juta pelawat sebulan dan semangat inovasi serta kreativiti dipaparkan menerusi Yahoo,” menurut kenyataan syarikat tersebut yang berpusat di California.

Sementara itu, jurucakap Facebook yang telah diasaskan pada 2004, sedekad selepas Yahoo bertapak di dunia siber menyatakan mereka kecewa dengan tindakan syarikat tersebut.

sinar harian/-

Skandal didedah, kembalikan wang rakyat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Biarpun skandal-skandal membabitkan pemimpin BN berjaya didedahkan hingga diseret ke mahkamah, wang rakyat yang dibazirkan mereka perlu dikembalikan kepada rakyat.

Pelbagai cara boleh dilakukan pihak berkaitan bagi mendapatkan semula wang tersebut, sama ada melalui pembekuan aset ataupun repatriation (pemindahan).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, mana-mana pemimpin yang dipalitkan dengan dakwaan penyelewengan dana rakyat, aset mereka sama ada tunai atau barangan perlu dibekukan.

"Jika aset tersebut berbentuk tunai, segala akaun mereka perlu dibekukan. Manakala jika aset itu merupakan sebuah kondominium, contohnya kerajaan boleh mengambil semula untuk tujuan menjual atau melelongnya semula," tegas Dr. Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang mengambil contoh kes National Feedlot Corporation (NFC), menegaskan dalam kes tersebut antara aset yang dikaitkan dengan skandal tersebut merupakan sebuah kondominium di negara jiran, Singapura.

Katanya, apabila ia membabitkan sebuah negara lain, maka kerajaan perlu mendapatkan hak untuk repatriation aset itu semula ke negara.

"Jika ada kondo, maka kerajaan perlu pindahkan semula nilai pasaran kondo itu ke Malaysia. Begitu juga jika terdapat akaun-akaun di Switzerland, London, maka semuanya perlu dibekukan dan dipindahkan ke Malaysia semula," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Biarpun pada 14 Jan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan semua aset NFC dibekukan, rakyat ternanti-nanti bagaimana wang yang dibazirkan itu boleh dikembalikan semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, Dzulkefly mengharapkan pihak yang berkaitan menjejaki semula segala transaksi membabitkan semua skandal-skandal yang pernah didedahkan.

"Semua transaksi perlu dijejaki semula, sama ada wujudnya akaun ketiga, akaun offshore (pesisir laut) dan sebagainya. Dan dalam masa sama rakyat perlu tahu dan lihat hasil dari pembekuan aset-aset dari skandal-skandal tersebut," tambah beliau.

harakahdaily/-

NFC: Pulangkan balik RM250 juta duit rakyat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini sesuatu yang dialu-alukan. Peletakan jawatan tersebut serentak dengan tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara atau dengan kata lain beliau tidak disambung sebagai senator. Tidak kisahlah sama ada dia meletak jawatan, tidak disambung jawatan senator atau apa-apa sahaja.

Yang penting, sebagai rakyat biasa, peletakan jawatan itu tidak memberikan apa-apa makna jika tiada tindakan susulan dilakukan. Rakyat mahu tahu apa status duit RM250 juta yang dipinjam oleh syarikat suaminya? Adakah hangus begitu sahaja? Atau dibayar semula seperti peminjam-peminjam lain.

Sedarlah wahai ibu, ayah, adik, abang... duit itu kita punya. Duit yang dikutip daripada setiap rakyat. Tetapi, malangnya mereka yang diberi kuasa membelanjakan untuk kesenangan diri sendiri.

Jika begitu, saya pun mahu meminjam juga. Dapat RM1 juta pun sudah memadai. Maklumlah, meminjam tetapi tidak perlu risau tentang bayaran balik. Jika jumlah wang yang sama diberikan kepada usahawan bumiputera RM1 juta seorang, bermakna akan ada 250 orang usahawan. Daripada jumlah tersebut, jika hanya 25 orang berjaya melebarkan perniagaan mereka – sudah cukup bagus.

Jika setiap tahun pinjaman yang sama dianugerahkan kepada peniaga bumiputera yang lain pula, maka jika selepas empat tahun sudah tentu akan ada 1,000 usahawan bumiputera. Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan oleh usahawan tempatan sendiri. Tidak perlu bersusah payah membawa pelabur asing untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Hakikatnya rakyat masih boleh manahan sabar jika duit tersebut digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat. Ambil sahaja kaedah yang paling mudah, dengan duit sebanyak itu syarikat NFC boleh membeli lembu daripada penternak kecil-kecilan Melayu dan mengumpulkan disuatu tempat, dijaga secara moden dan dijual.

Dengan kata lain, NFC boleh bertindak sebagai orang tengah antara penternak kecil dengan pemborong besar. Penternak kecil akan menjaga lembu dari kecil hingga dewasa dan sesuai untuk dijual kepada NFC sebelum sampai ke tangan pemborong. Secara tidak langsung dapat membantu penternak bumiputera memasarkan ternakan mereka.

Yang berlaku sebaliknya, peminjam membelanjakan wang yang diperoleh secara mudah itu tidak mengikut tujuan asal pinjamannya. Mereka berbelanja ikut selera sendiri tanpa ada rasa bersalah pun menggunakan wang rakyat itu.

Ada contoh lain yang menunjukkan bahawa rakyat boleh menerima perkara yang tidak berlaku mengikut kebiasaannya. Dahulu, timbul isu pemberian AP, permit memimport kereta. Pada ketika itu timbul isu sebuah syarikat bumiputera menjadi penerima AP paling banyak.

Namun, isu itu tidak menjadi pertikaian kerana syarikat bumiputera terbabit berjaya membesarkan perniagaannya dalam bidang automotif dan berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai bumiputera.

Kes ini membuka mata rakyat bahawa duit mereka telah disalah urus oleh pihak yang telah dipilih oleh rakyat untuk memegang amanah. Jika perkara ini boleh terjadi kepada Datuk Seri Shahrizat, maka adakah tidak berlaku kepada para menteri lain? Seperti yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Shahrizat bahawa bukan beliau seorang sahaja yang terlibat, maka adakah beliau bermaksud menteri lain juga turut mendapat “pinjaman” melalui kaedah yang sama? Banyak teka-teki yang timbul daripadanya.

Kesimpulannya, rakyat mahu dana awam itu dikembalikan kepada tempat yang berhak. Bukan sekadar melepas jawatan dan berharap terlepas daripada tindakan undang-undang. Cukuplah rakyat menderita dengan kenaikan kos sara hidup, cukai yang semakin meningkat, nilai duit yang semakin mengecil berbanding nilai barangan semasa, pemotongan subsidi dan bermacam lagi.

harakahdaily/-

Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MDKL

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LANGAT 14 MAC : Ahli Majlis yang baru dilantik dinasihat agar lebih proaktif dalam memberi pandangan serta nasihat dan bukan sekadar menyampaikan aduan rakyat kepada Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), demikian pesan Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari.

“Kita memang mengalu-alukan penyampaian aduan itu. Tetapi Ahli Majlis mempunyai tugasan yang lebih berat dan besar lagi dengan memfokuskan fungsi dan peranan menggubal dasar dan polisi bagi kemajuan bersama,” katanya ketika berucap di Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi sesi 2012-2013 yang diadakan di Bilik Cempaka Kuning MDKL di sini.

Selain itu, Hafiz yang merupakan Setiausaha MDKL turut mengumumkan untuk sesi tahun ini juga, peruntukkan bertambah daripada

RM16,000 kepada RM20,000 yang akan diaudit serta dipantau perbelanjaannya oleh pihak MDKL.

“Diharapkan dengan peruntukan tambahan ini, dapatlah Ahli Majlis gunakan untuk program-program yang dapat mendekatkan diri dengan penduduk seterusnya mendapatkan ‘first source information’ untuk diteliti dan dinilai sebelum membuat sebarang keputusan,” ujar Hafiz sambil menambah separuh daripada Ahli Majlis bagi sesi kali ini merupakan lantikan baru.

Sementara itu, Rizuan Rahmat dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 menyatakan rasa gembira dan berterima kasih di atas pertambahan peruntukan tersebut yang dirasakan dapat melancarkan lebih banyak lagi program yang bermanfaat.

“Sesi lepas peruntukan lebih kecil, jadi banyak program yang kita hendak buat itu tidak dapat dilaksanakan.

“Alhamdulillah dengan adanya peruntukkan tambahan ini dapatlah kita jalankan program kemasyarakatan dengan lebih banyak lagi,” beritahu Rizuan yang menerima lantikan kali ke-empat semenjak pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Manakala bagi muka baru Basuki Yusof dari Zon 7 pula, berkata, misinya adalah bekerja penuh komited untuk membantu

menyempurnakan misi MDKL untuk menjadi sebuah Majlis Perbandaran yang cekap.

“Apabila bergelar Majlis Perbandaran tentunya ruang dan peluang kepada kakitangan dan penduduk setempat akan terbuka luas, contohnya peluang infrastruktur bagi daerah ini,” ujar Basuki.

Majlis Angkat Sumpah pagi tadi turut dihadiri Adun Sijangkang yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

selangorku/-

Teguran Najib Sepatutnya Pada Umno Selangor

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 14 MAC: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, YB Shuhaimi Shafie hari ini mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar menegur kerajaan BN yang dipimpinnya supaya lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding diri sendiri dan kroni.

Dalam kenyataan yang dipetik media tempatan hari ini, Najib menuduh kerajaan Negeri Selangor yang di terajui Pakatan Rakyat tidak mengutamakan kebajikan rakyat.

Menurut Shuhaimi, Najib patut membuka mata terlebih dahulu sebelum menuduh Kerajaan Negeri Selangor kerana teguran tersebut sebenarnya harus ditujukan kepada Umno/BN kini telah menjadi pembangkang di Selangor.

Sebaliknya menurut beliau, teguran tersebut wajar ditujukan kepada parti pembangkang Umno dan BN Selangor dan juga kerajaan pusat yang memiliki pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding kerajaan-kerajaan negeri.

Shuhaimi turut memberi contoh program penswastaan pengurusan air yang dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Saya rasa PM cakap begitu, kalau dia tak buta mata mungkin buta hati sebab pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan negeri atas dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk kebajikan rakyatnya berbanding Umno-BN.

“Bahkan BN nampak bersungguh-sungguh untuk menggagalkan program kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini seperti pemberian air percuma contohnya.

“Kita nak beri air percuma kepada rakyat tetapi kerajaan pusat dan pemimpin negeri bukan sahaja mengecam tindakan kita malah nak gagalkan.

“Usaha kita nak ambil alih pengurusan air negeri ini juga hadapi pelbagai rintangan dari Kerajaan Persekutuan sebab mahu beri kroninya terus raih keuntungan lumayan hasil menguruskan air.

“Mereka gunakan SPAN (suruhanjaya Perkhidmaan Air Negara) untuk tidak membenarkan kita urus air sendiri.

“Jadi di mana yang dikatakan BN mengutamakan kebajikkan rakyat?” Soal beliau ketika dihubungi Selangorku hari ini.

Selain itu menurut beliau lagi, kerajaan Negeri Selangor dianggap sebagai negeri paling hadapan dalam memperjuangkan kebajikkan rakyatnya sejak empat tahun lalu.

“Kerajaan Negeri belanja kira-kira RM700 juta semata-mata untuk menjaga kebajikan rakyat negeri ini seperti Tawas, pemberian air

percuma, Skim Mesra Usia Emas dan lain-lain.

“Bagi sebuah negeri memang satu jumlah yang amat besar pernah dikeluarkan oleh mana-mana kerajaan negeri dalam negara ini,” katanya lagi.

Shuhaimi turut menyelar tindakan BN ketika menerajui pentadbiran negeri dengan mengagihkan tanah-tanah milik kerajaan negeri kepada Umno dan kroni-kroni mereka untuk kepentingan parti dan pemimpin tertentu dalam Umno.

Kata beliau tindakan tersebut telah menyebnabkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak merampas tanah milik beberapa syarikat korporat dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) apabila pihak terbabit berdegil untuk melunaskan cukai tertunggak yang dianggarkan bernilai lebih RM15 juta.

YBK yang ditubuhkan pada 1990, telah dianugerahkan sejumlah 1,977,428 ekar tanah di beberapa daerah termasuk rawang, Gombak dan Kuala Selangor tetapi kerajaan negeri tidak pernah menerima bayaran mahupun laporannya.

Kini PBK dan anak-anak syarikatnya berhutang sebanyak RM7.6 juta dalam bentuk cukai tanah kepada kerajaan negeri.

Selain itu YBK yang aktivitinya lebih cenderung kepada badan korporat berbanding badan kebajikan turut menggadai 16 lot tanah milik Permodalan YBK Sdn Bhd yang bernilai RM102 juta.

YBK dipengerusikan oleh pemimpin Umno Datuk Zainal Abidin Sakom. Selain beliau, isteri beliau turut memainkan peranan dalam yayasan tersebut.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor pada Disember tahun lalu menyalurkan RM2.71 bilion wang rakyat untuk Umno Selangor.

Peruntukan terbesar dalam sejarah kepada Umno Selangor tersebut bertujuan untuk sogokan, ugutan dan membuat pelbagai ‘onak’ kepada kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

selangorku/-

FGVH: PAS desak referendum peneroka Felda

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mac: PAS mencabar kerajaan mengadakan referendum di antara Felda dan peneroka bagi mendapatkan gambaran sebenar sama ada peneroka bersetuju atau tidak dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan belum memberikan jaminan yang meyakinkan bahawa aset peneroka tidak akan terjejas selepas penyenaraian FGVH.

"Jawapan timbalan menteri tadi tidak meyakinkan. Jelas menunjukkan tidak ada satu konsultasi dengan pemegang saham secara formal.

"Timbalan Menteri kata ada majlis penerangan dan pertemuan. Itu bukan satu konsultasi. Sepatutnya konsultasi dengan pemegang saham.

"Kenapa Felda tidak mengadakan satu referendum dengan peneroka sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan penyenaraian," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai mengulas jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan sewaktu sesi soal jawab lisan dalam Dewan Rakyat.

Ahmad dalam jawapannya menjelaskan, penyenaraian FGVH memberi keuntungan kepada peneroka.

Ianya termasuk kesemua peneroka akan mendapat durian runtuh, dividen, dan boleh membeli saham FGVH selepas penyenaraian.

Malah, kata Ahmad penyenaraian juga tidak akan menyentuh tanah peneroka, dan saham koperasi mereka juga tidak akan diambil.

Salahuddin bagaimanapun memberi contoh nasib yang menimpa peneroka di Felda Labu Johnson dan Cahaya Baru yang dijanjikan durian runtuh tetapi akhirnya aset mereka tergadai.

"Kerajaan masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah di Felda Sendayan, Labu Johnson dan Cahaya Baru dan beberapa Felda di Hulu Selangor.

"Mereka pernah dijanjikan peneroka akan menjadi jutawan. Tapi sampai hari ini majoriti peneroka tersebut tanah mereka telah tergadai dan hasrat menjadi jutawan tidak tercapai," katanya.

Dalam soalan tambahan juga, Salahuddin turut mempertikai tindakan kerajaan melantik pemimpin yang bermasalah iaitu Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda.

"Felda serius ke. Kalau serius kenapa lantik orang bermasalah menjadi pengerusi Felda," katanya merujuk kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata pemilihan Isa adalah berdasarkan pengalamannya pernah menjadi menteri besar selama lebih 20 tahun di Negeri Sembilan yang merupakan negeri ketiga terbesar mempunyai tanah rancangan Felda.

Sementara itu, bercakap pada sidang media sama, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar mempersoal rasional timbalan pengarah besar Felda ditukar ke perpustakaan Jabatan Perdana Menteri.

"Kenapa Abidin Abdul Rahman timbalan pengarah besar Felda yang juga setiausaha koperasi Felda dipetisejukkan di perpustakaan Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau bertaraf Jusa hanya diberi tanggungjawab untuk membuat cutting paper. Tindakan ini sangat menghina pegawai kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Turut bersama pada sidang media ialah ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad (Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

harakahdaily/-

Keputusan SPM diumum 21 Mac selepas 10 pagi

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA 14 Mac - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 21 Mac ini, demikian menurut kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Sementara pengumuman analisis keputusan pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di sini pada pukul 9 pagi, hari yang sama.

Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi.

Bagi calon persendirian keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SMS jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac.

Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun ini. - BERNAMA

30 Mati, Puluhan Hilang Nahas Feri Bangladesh

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DHAKA: Sebuah feri yang sarat dengan kira-kira 200 penumpang karam di sungai di selatan Bangladesh pada hari Selasa, membunuh 10 penumpang dan puluhan yang lain hilang, kata pihak berkuasa.

Ketua Polis Tempatan Mohammad Shahabuddin Khan berkata seramai kira-kira 35 orang telah diselamatkan selepas feri tenggelam di Sungai Meghna selepas berlanggar dengan bot kargo pada awal pagi.

Penyelam telah berjaya menemui 30 mayat dari dalam feri yang tenggelam, katanya.

"Angka kematian mungkin meningkat kerana lebih banyak mayat dikhuatiri terperangkap di dalam," kata Khan.

Katanya mereka yang terkorban termasuk seorang wanita muda, yang dijumpai sedang berpelukan dengan bayinya.

MV Shariatpur-1 dalam perjalanan ke ibu negara, Dhaka, dari daerah jiran Shariatpur ke arah barat daya.

Lokasi kemalangan ialah di daerah Munshiganj , kira-kira 20 batu (32 km) dari selatan Dhaka.

Dulal Dewan, yang masih hidup, menyifatkan berlaku kekecohan akibat feri berlanggar dengan kapal lain.

"Saya telah dikejutkan dengan pergoncangan yang kuat," kata ahli perniagaan, yang sedang tidur di dek atas.

"Saya melompat ke dalam sungai dalam gelap apabila feri mula karam."

"Dalam beberapa minit ada jeritan di sekeliling saya," katanya.

"Orang ramai menjerit meminta pertolongan."

Dewan berkata beliau telah diselamatkan oleh sebuah bot berhampiran.

Anggaran dibuat berdasarkan berapa ramai penumpang yang berada di atas feri.

Khan menganggarkan jumlah penumpang hampir 200, manakala Dewan memberitahu pemberita bahawa kira-kira 300 orang berada di atas kapal ketika feri dua dek itutenggelam.

Adalah sukar untuk mendapat anggaran yang boleh dipercayai kerana operator feri jarang menyimpan senarai penumpang.

Kebanyakan penumpang membeli tiket sekali di atas kapal.

Azizul Alam, pentadbir kerajaan di kawasan itu, berkata siasatan telah diarahkan untuk mencari punca kemalangan.

Kemalangan feri, sering dipersalahkan kerana kesesakan, kerosakan dan peraturan yang longgar, dan adalah perkara biasa di Bangladesh, di kawasan yang mempunyai 160 juta penduduk itu.

mstar/-

[Bergambar] SMS Ugut Ibu Dirang & Lokasi Dirang Dibunuh Didedahkan

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Polis mahu cekup wanita ugut ibu Dirang

PASIR GUDANG - Polis Johor mahu mendapatkan kerjasama rakan mereka dari Kelantan untuk "mencekup" seorang wanita yang menghubungi ibu kanak-kanak Nurul Nadhirah Abdullah, yang diculik dan semalam disahkan dibakar, dengan menelefon dan menghantar SMS berbaur ugutan meminta wang tebusan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini.

Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi. -SH

Parlimen: Mahfuz tekankan BN tak layak jadi kerajaan

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Barisan Nasional (BN) hilang kelayakan untuk menjadi kerajaan adalah isu utama yang akan ditekankan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam ucapan-ucapannya pada sesi Parlimen kali ini.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memperakui bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menjadi satu lagi bukti bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN yang dipimpinnya sudah tidak ada kelayakan lagi untuk menjadi kerajaan.

"Yang tersiratnya ialah mahkamah memperakui bahawa kerajaan BN hakikatnya begitu bodoh sehingga boleh ditipu oleh Ling yang merupakan salah seorang anggota kanannya sendiri waktu itu.

"Memang pada masa itu kerajaan diketuai oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang kini dianggap godfather Perkasa, Umno dan BN, tetapi Najib dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) juga berada dalam kabinet waktu itu.

"Ia dengan sendirinya memberikan implikasi bahawa semuanya bodoh sehingga mahkamah memperakui Ling menipu mereka dan memerintahkan bekas Presiden MCA itu membela diri," kata Mahfuz.

Beliau bimbang, ketika bekas pengarah ekskutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem menyatakan hutang Malaysia akan mencecah 100 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2019 sekiranya Putrajaya berterusan meminjam lebih daripada hasil pendapatan, negara akan hancur jika terus diperintah oleh gerombolan yang secara tidak langsung diisytihar bodoh oleh mahkamah.

"Kes Ling bukan satu-satunya kes yang menunjukkan dengan jelas bahawa BN adalah gerombolan bodoh.

"Kes National Feedlot Corporation (NFCorp) juga memperlihatkan kebodohan BN kerana perjanjian yang begitu menyebelahi NFCorp malah tidak ada pemantauan terhadap penggunaan wang RM250 juta itu sehingga boleh suka-suka berbelanja beli kondominium dan sebagainya," katanya.

Di samping semua itu, kata Mahfuz, satu lagi kegagalan terbesar gerombolan BN yang secara tidak langsung diperakui bodoh oleh mahkamah ialah rosak binasanya hubungan antara kaum di negara ini.

"Walaupun kita amat bersyukur kepada Allah kerana tidak ada perkara yang buruk berlaku, tetapi sikap kerajaan yang diterajui Umno dilihat jelas melebar dan memburukkan lagi jurang perkauman di negara ini.

"Jurang tersebut boleh menjadi bencana besar jika BN terus menjadi kerajaan," kata beliau.

Beliau berharap rakyat menggunakan peluang dalam pilihan raya ke-13 akan datang untuk mengembalikan pemerintahan negara ke landasan yang siuman dan waras.

harakahdaily/-

[WASPADA] Ada Ulat Dalam Mi Kari

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ipoh - Seorang ahli perniagaan yang sedang menikmati malam di sebuah restoran kopitiam di bandar raya ini tergamam selepas menemui seekor ulat di dalam hidangan yang dipesannya, malam kelmarin.

Ziyad Solleh, 26, mendakwa kejadian itu berlaku semasa dia bersama rakan-rakan berkunjung ke restoran berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.

Beliau mendakwa selepas hampir selesai menikmati juadah mi kari kering itu, dia terlihat seekor ulat sepanjang 2.5 sentimeter di dalam pinggan hidangannya.

“Selepas melihat ulat itu, tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Akibat tidak berpuas hati, Ziyad segera memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah itu.

“Malangnya, hanya penyelia restoran sahaja yang muncul dan menyatakan pengurus mereka sudah pulang ke rumah. Penyelianya pula hanya memohon maaf di atas kecuaian tersebut dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya yang kesal dengan perkhidmatan diberikan kakitangan restoran tersebut.

Dalam keadaan tidak puas hati, beliau terus mendesak supaya pengurus restoran tampil memberi penjelasan.

Akhirnya pengurus restoran terbabit datang semula dan selepas berbincang, mereka tidak mengenakan sebarang caj ke atas makanan yang di pesan Ziyad dan rakan-rakannya.

“Bukan niat kami mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap mereka dapat pengajaran dan ambil iktibar daripada insiden itu. Premis yang menjual makanan perlu mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan supaya kejadian seperti yang saya alami ini tidak berlaku lagi ,” katanya.

Untuk rekod, dua tahun lalu, seorang penuntut sebuah kolej memfailkan saman terhadap dua syarikat yang berkaitan dengan sebuah restoran kopitiam terkemuka di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas mendakwa menemui sepasang kaki katak dalam makanan yang dipesannya.

greenbox/-

Israel henti serang Gaza

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG askar Israel memberi tunjuk arah kepada sebuah kereta kebal di sempadan Genting Gaza semalam. - Agensi

BANDAR GAZA - Israel dan kumpulan pejuang di Gaza bersetuju untuk saling menghentikan serangan semalam dalam satu gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir.

Perkembangan tersebut berlaku selepas 25 penduduk Gaza terbunuh manakala 80 cedera dalam pertempuran empat hari antara Israel dan Palestin.

Berdasarkan persetujuan itu yang berkuat kuasa pada pukul 1 pagi waktu tempatan kelmarin, Israel dan Kumpulan Jihad Islam di Gaza bersetuju untuk berhenti melancarkan serangan.

"Terdapat persefahaman bersama (Israel dan pejuang Palestin) dan kami mengikuti perkembangan yang berlaku," kata Menteri Pertahanan Awam Israel, Matan Vilnai dengan menjelaskan bahawa gencatan senjata tersebut tidak melibatkan persetujuan bertulis.

Sejak gencatan senjata itu dipersetujui, bilangan roket yang dibedil ke Israel berkurangan dengan mendadak manakala langit di Gaza turut tenang tanpa kehadiran pesawat pejuang rejim Zionis.

Namun, kedua-dua belah pihak segera memberi amaran gencatan senjata itu akan terbatal jika pihak musuh melakukan tindakan provokasi yang melampau.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa selepas keganasan rejim Zionis berlaku selama empat hari yang bermula dengan pembunuhan Ketua Jawatankuasa Penentangan Popular, Zahir Kaisi oleh tentera Israel pada Jumaat lalu.

Ekoran pembunuhan tersebut, pejuang-pejuang Palestin membedil roket ke selatan Israel yang dibalas dengan serangan udara oleh rejim Zionis. - AFP

Nenek daif mohon dibantu

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAMPUNG BARU RPK –Seorang nenek di sini, tinggal menyewa dan hidup daif bersama anak dan cucunya.

Gayah Awang Kechik, 77, berkata, dia tidak pernah merasa tinggal di rumah sendiri seperti orang lain yang mempunyai rumah sendiri dan hidup selesa.

Menurutnya, rumah yang disewa cucunya juga tidak sempurna, berikutan bahagian­ bumbung yang bocor dan hanya mempunyai sebuah bilik sekali gus tidak dapat menampung sembilan isi keluarganya.

“Rumah yang disewa RM70 sebulan ini, sempit dan tidak selesa untuk didiami kami sekeluarga.

“Selain itu, bekalan air tiada menyebabkan anak dan cucu terpaksa mengangkut air di telaga yang jaraknya 500 meter dari rumah, ”katanya kepada Sinar Harian.

Gayah berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, dan dapat meringankan beban anak dan cucunya untuk membeli keperluan harian.

“Saya hanya mahu rumah yang selesa kerana sudah tidak tahan lagi tinggal menyewa, namun sehingga kini impian ingin memiliki kediaman sendiri masih tidak kesampaian. Saya hanya mampu berdoa dan berharap ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Cucu sulungnya, Rasidah Abd Wahad, 32, berkata, ketiadaan tanah menyukarkan impian neneknya untuk tinggal di rumah sendiri, dan terpaksa tinggal menyewa bersamanya.

Menurutnya, dia yang sejak kecil tinggal bersama neneknya sering berpindah.

“Saya dan suami sudah dua tahun tinggal menyewa dekat sini, bersama nenek dan bersama bapa saudara. Mereka hanya bekerja kampung dan tidak mampu untuk beli tanah dan bina rumah sendiri.

“Berikutan itu, saya minta pihak berkenaan bantu nenek untuk peroleh rumah sendiri,” katanya.

sinar harian/-

Nelayan Malaysia Dipenjara Di Medan Gembira Dapat Pulang

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG: Setelah lebih tiga tahun dipenjarakan di Medan, Sumatera Utara, Indonesia kerana didapati bersalah menangkap ikan seberat 20 kilogram di perairan Indonesia, nelayan Malaysia, Ibrahim "Saya tidak serik dan akan meneruskan pekerjaan saya sebagai nelayan, bos lama saya pun sudah menelefon saya bertanyakan bila boleh saya bekerja semula," katanya.

Adik Ibrahim, Zulkefli Harun, 32, yang bekerja sebagai seorang polis ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa gembira atas kepulangan abangnya itu. "Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berusaha membebaskan abang saya keluar daripada penjara di sana," katanya.

Ibrahim, yang berasal dari Bachok, Kelantan, dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh sebuah mahkamah di Medan pada 2009 dan denda Rp2 bilion (RM700,000)atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu, setelah didapati bersalah menangkap ikan di wilayah Indonesia di tengah-tengah perairan Selat Melaka pada 25 Januari 2009.

Beliau dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman penjara empat tahun setelah Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berusaha mendapatkan kelulusan remisi (pengurangan masa tahanan) terhadap hukuman itu daripada pihak berkuasa Indonesia.-BERNAMA

Shahrizat dicabar pulang ke Pulau Pinang

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 14 Mac: Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dicabar meletakkan kedua-dua jawatanya serentak bukan hanya dalam kerajaan sahaja sekaligus bertanding di mana-mana parlimen di Pulau Pinang bagi mengukur pengaruhnya masih diterima atau tidak.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak ketika sidang medianya pagi tadi menegaskan, bagi KMPP jika Shahrizat menang sebagai ahli Parlimen bermakna beliau masih kuat.

"Sharizat kena lepas kedua dua jawatan penting itu bagi menampakan slogan melalui teladan," jelasnya pada media.

Sebagai NGO Melayu di Pulau Pinang sambungnya, perasaan malu terus terpalit kerana kenyataan Shahrizat kononnya peletakan jawatannya demi parti dan kerajaan.

Katanya, peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat pada hakikatnya bukan peletakan jawatan sebagai menteri sebaliknya tamat tempoh sebagai Senator pada 8 April depan.

KMPP, tambahnya mendapati cara Shahrizat bertindak umpama melepaskan batuk di tangga dan sekiranya masih berada di kerusi tertinggi Wanita Umno 'gred liabiliti' terhadap Umno akan bertambah.

harakahdaily/-

Kelantan & kaya akhirat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ulama, Menteri Besar dan Imam.

Ini adalah merupakan suatu pemandangan Subuh ‘biasa-biasa’ di Kelantan pada hening Jumaat di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Solat Subuh atau biasanya dipanggil Subuh Sajadah akan diimamkan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun dalam keadaan beliau yang uzur. Para jemaah datang dari segenap penjuru Kota Bharu menyebabkan Masjid 2 tingkat ini sentiasa melimpah keluar setiap pagi Jumaat. Berdasarkan pengalaman saya bermastautin di luar Kelantan selama lebih daripada 5 tahun, keadaan ini sangat ‘rare’ di negeri-negeri lain.

Inilah Subuh yang digeruni Yahudi. Inilah Subuh di Negeri yang dikatakan miskin. Miskin Material, tapi percayalah kita kaya Akhirat. Sesuatu yang tidak ada di negeri lain adalah berkat Ulama terdahulu dalam menegakkan kalimah Allah dibumi Kelantan dan Pattani menyebabkan negeri ini dan rakyatnya sangat cintakan Islam. Rakyat Kelantan tidak memuja Tuan Guru Nik Aziz bahkan jauh dari itu. Tapi rakyat telah dididik dan diasuh minda oleh ‘orang tua ini’ supaya cintakan Islam dan mengambil Islam sebagai suatu cara dan gaya hidup, dan bukannya seperti yang diamalkan oleh mereka2 yang lain yang mengambil solat sahaja dari Islam.

Islam tidak mengajar penganutnya untuk berfikir kebelakang, malah kita adalah perintis pemikiran ke hadapan iaitu Akhirat. Kita banyak sangat fikir dunia menyebabkan kita melihat dunia material sesuatu yang perlu diberi fokus. Ingat, kita dalam permusafiran, sebagai adat dalam permusafiran, kita perlu ambil yang mana perlu sahaja kerana kita perlu berjalan lagi dan terus berjalan hingga ke negeri yang kekal abadi. Itulah Akhirat. Kita tidak diajar untuk bermewah. Kita tidak diajar untuk itu kerana untuk apa diciptakan syurga jika di dunia ini kita telah memasuki ‘syurga’. Hiduplah sederhana. Kita di Kelantan, Alhamdulillah. Walaupun tidak semaju mereka, tapi nilai Islam itu sangat mahal.

harakahdaily/-

Bangkit kembali gelombang bantah PPSMI

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Teras Pengupayaan Melayau (Teras) menegaskan bahawa pengenalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah suatu tragedi agama, bangsa dan negara.

Malah, kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), ia suatu musibah besar gara-gara nafsu pemimpin yang dirasuk virus penjajah bahawa dengan mendominasikan bahasa Inggeris, negara boleh berada mencapai tahap kemajuan bertaraf dunia.

“Sementara hujah ini ternyata boleh dipatahkan dengan contoh negara-negara non Inggeris tetapi jelas dengan bahasa ibundanya boleh maju dan membangun pesat, kami juga mempersoalkan kayu ukur apa yang pemimpin negara ingin gunakan untuk mencapai taraf dunia,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Anehnya, kata beliau pemimpin dan wadah parti politik itulah yang beria-ia melaungkan kalam bahawa merekalah pejuang bangsa.

Katanya lagi, ketika PPSMI diperkenalkan tidak ada pertimbangan jangka panjang diambil kira terhadap masa depan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mujur, ujarnya benak rakyat belum semuanya tercemar dengan alasan bahawa hanya dengan Bahasa Inggeris negara ini akan maju.

Mujur juga, tambahnya semangat kental rakyat tidak semuanya mudah ditundukkan oleh ugutan dan tohmahan pemerintah bersama segala bala jentera medianya.

Menurutnya, rakyat yang masih punya dhomir dan perasan amarah tidak mungkin mendiamkan diri.

Beliau menambah, dengan khittah perjuangan bahawa bahasa adalah jiwa bangsa, rakyat mengambil keputusan yang betul bahawa hanya dengan gelombang bantahan rakyat sahaja mereka yang enak ditampuk kuasa akan faham sanubari rakyat.

Namun nampaknya, ujar beliau pemerintah masih bermain dengan aturannya sendiri.

Katanya, pemerintah kini membayangkan ada ruang untuk meneruskan PPSMI jika ia melakukan ubahsuai sehingga ada yang mengambil kesempatan untuk mencelah agar PPSMI dapat dilanjutkan.

Menurutnya, mengikut pengumuman Timbalan Perdana Menteri, rakyat diminta bersabar dan pemansuhan PPSMI akan mengambil masa berdasarkan kohot pembelajaran di sekolah lalu 2012 dijadikan tahun sepatutnya berakhir PPSMI.

“Keputusan ini menyebabkan rakyat tergamam kerana terperangkap dengan dalih pentadbiran dan alasan sistem persekolahan. Akhirnya PPSMI diteruskan sehingga hari ini,” ujarnya.

Untuk kesekalian kalinya, jelas beliau Teras menyatakan bahawa PPSMI seharusnya dimansuh segera dengan mengguna mekanisme dan kuasa yang ada ditangan pemerintah.

“Jika PPSMI dengan mendadak diperkenalkan tanpa banyak kajian dan hujah, kenapa PPSM-Melayu tidak boleh dikembalikan dengan kaedah yang sama?” tanya beliau.

Kini, tambahnya rakyat pencinta bahasa diminta menunggu terus dengan janji kerajaan.

“Entah berapa menteri yang akan berganti pula untuk PPSMI benar-benar dapat dikuburkan. Sementara itu entah berapa ribu pelajar pula yang terus menjadi mangsa sementara menunggu punca penyakit dihapuskan,” katanya.

Sebab itu, ujarnya Teras bersetuju agar gelombang bantahan diketengahkan kembali dan momentum rakyat dibangkitkan sekali lagi untuk PPSMI ditamatkan sekarang.

“Gelombang ini tidak boleh dimatikan hanya dengan janji kerajaan yang nampaknya cuba buy time,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, inilah sebenarnya strategi pihak yang beria-ia PPSMI dipertahankan yang mana mereka bermakar untuk mendesak kepada kerajaan agar PPSMI diteruskan dengan lobi di peringkat tinggi.

“Malangnya sementara atur permainan lobi ke atas sedang senyap-senyap digerakkan, pelajar, ibu bapa dan pendidik jualah yang menjadi mangsa.

“Ribuan yang terpaksa menggagahkan diri untuk melalui PPSMI yang memeritkan seluruh warga pendidikan,” katanya.

Justeru, katanya sudah tiba masanya rakyat sekali lagi bangkit untuk memberi kata muktamad ‘Mansuhkan PPSMI sekarang’.

harakahdaily/-

Pilihan raya berasingan selepas bincang dengan MB

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

(Sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen)

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, langkah mengadakan pilihan raya berasingan antara negeri dan pusat perlu mendapat persetujuan bersama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Pakatan Rakyat akan membuat keputusan sama ada melaksanakan PRU-13 berasingan dengan kerajaan persekutuan selepas berbincang dengan semua menteri besar negeri yang ditadbirnya.

Keputusan bersama itu diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang berlangsung di Parlimen tengah hari tadi.

Menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menyelaraskan mesyuarat bersama semua menteri besar Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kata sepakat.

"Mesyuarat itu akan dihadiri pemimpin negeri Pakatan Rakyat untuk mendapat kata sepakat tentang keputusan sama ada hendak ada pilihan raya berasingan dengan persekutuan," katanya.

Rakyat asing mengundi

(Abdul Hadi berkata sesuatu kepada Anwar dalam sidang media mereka)

Sementara itu, Anwar turut melahirkan kebimbangan apabila rakyat asing diberi hak warganegara dimasukkan dalam senarai pengundi baru kemudian diberikan hak mengundi.

Tambahnya, berdasarkan maklumat terkini selepas Mimos membuat kajian akhirnya menunjukkan kecelaruan tentang ketelusan proses daftar pemilih.

Hasil daripada itu, tegas Anwar sebanyak 106,000 nama pemilih dipotong dan setakat ini seramai 100 nama pengundi diletakkan dalam satu alamat sebanyak 522 kes telah dikesan.

"Kita bimbang perkara ini tidak dibersihkan, maka daftar pemilih akan terus dipertikaikan,"katanya.

Turut sama menghadiri mesyuarat itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud.

harakahdaily/-

Serpihan tahi bintang jatuh dari langit

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERPIHAN tahi bintang yang terjatuh ke dalam sebuah pondok kebun milik Anne Margrethe Thomassen dipamerkan di Oslo kelmarin. - Reuters

OSLO - Sebuah keluarga di Norway terkejut apabila mereka menemui serpihan tahi bintang yang terjatuh dan menembusi pondok kebun mereka di tengah bandar raya ini, lapor media kelmarin.

Batu itu jatuh ke dalam sebuah pondok kosong milik keluarga Anne Margrethe Thomassen di sini.

Ahli astrofizik, Knut Joergen Roed Oedegaard dan isterinya, Anne Mette Sannes mengesahkan ia merupakan batu breccia yang terbentuk daripada mineral.

"Ini ialah penemuan sensasi dalam dua aspek. Aspek pertama yang menjadikan ia sensasi adalah kerana serpihan tahi bintang itu menembusi bumbung dan ia jarang berlaku. Satu lagi aspek disebabkan ia daripada batu breccia yang sukar ditemui," kata Sannes.

Katanya, keluarga berkenaan mahu menyimpan objek itu di Norway.

Batu tahi bintang itu seberat 585 gram dan ia terbelah dua.

Mengulas mengenai penemuan tersebut, penyelidik Institut Astrofizik Paris, Serge Koutchmy memberitahu, batu berkenaan jatuh dari angkasa lepas dan terbelah apabila ia memasuki atmosfera Bumi.

Namun katanya, serpihan batu tersebut jarang terhempas di kawasan penempatan penduduk.

"Keluarga itu amat bertuah," kata Koutchmy.

"Serpihan tersebut berharga dan ia juga jatuh tanpa menyebabkan kerosakan besar," tambahnya. - AFP

Presiden Assad umum pilihan raya Parlimen Syria 7 Mei

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 14 Mac - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam mengumumkan pilihan raya Parlimen negara itu akan diadakan pada 7 Mei depan namun ia tidak menghentikan keganasan daripada berlarutan apabila pemberontak membunuh lebih 40 termasuk 23 tentera rejim dalam satu kejadian serang hendap.

Pengumuman itu dibuat selepas Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Kofi Annan menjangkakan Assad akan memberi maklum balas kepada cadangan konkritnya bagi menghentikan pertumpahan darah di negara berkenaan.

Agensi berita SANA berkata, Assad yang telah mencadangkan program reformasi dalam menghadapi pemberontakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, telah menetapkan 7 Mei ini sebagai tarikh untuk pilihan raya di bawah perlembagaan baru yang diluluskan pada bulan Februari. - AFP

Tangisan jadi penyelamat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Suara tangisan kanak-kanak di tingkat atas rumah kedai dua pintu menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua kanak-kanak terbabit, Mohd Hafiz Asraf Mohd Sanusi, 2, bersama adiknya, Nurul Ain Balqis, 1, bermain di ruang tamu di tingkat atas.

Manakala bapa saudara mereka, Shamsul Qamar Ismail, 21, sedang tidur di salah sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah kedai terbabit.

Pemilik rumah kedai tersebut, Solahuddin Ismail, 36, berkata, rumah kedainya itu menempatkan kedai runcit dan kedai telefon adalah tempatnya mencari rezeki sejak 10 tahun lalu.

“Ketika kejadian saya sedang berniaga barangan runcit di tingkat bawah, tiba-tiba saya terdengar suara tangisan dua anak saudara saya seperti dalam ketakutan dari tingkat atas.

"Dalam masa yang sama, saya terhidu asap tebal dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku lalu bergegas ke tingkat atas yang dibina daripada kayu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian berdekatan dengan tapak pasar malam Kampung Berangan.

Menurutnya, apabila dia naik di tingkat atas itu, mendapati bilik tidurnya terbakar dan sepantas kilat mengejutkan adiknya, Shamsul Qamar dan membawa turun anak-anak saudaranya itu.

Katanya, dia kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk wang tunai RM5,000 dan barang kemas milik isterinya yang sedang bercuti bersama dua anaknya di kampung dekat Kuala Krai.

Dalam kejadian kebakaran itu, turut memusnahkan kedai telefon yang disewa oleh Mokhtar Yusof, 34, menyebabkan beliau kerugian sebanyak RM50,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Ridzuan Harun berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada jam 9.56 dan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Pengkalan Kubor bersama 13 anggota berjaya memadamkan kebakaran tersebut.

“Punca kebakaran masih disiasat dan dianggarkan kerugian sebanyak RM260,000,” katanya.

sinar harian/-

Hoki: Malaysia kalahkan Ukraine 5-1

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya mengatasi Ukraine 5-1 pada pusingan kelayakan hoki ke Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland, malam tadi (waktu tempatan).

Walaupun, Malaysia telah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan namum ujian sebenar skuad bimbingan Tai Beng Hai menanti selepas ini apabila menentang Korea Selatan esok.

Selain Korea Selatan, Malaysia akan mengakhiri saingan dengan bertemu Ireland, yang turut mengekalkan rekod tanpa kalah.

Bagaimanapun, Malaysia perlu membuat caturan serius selepas megharungi tiga perlawanan di sini sebelum berdepan dengan ujian getir pada dua perlawanan penting selepas ini.

Pada saingan malam tadi, Malaysia tidak menghadapi masalah untuk melakarkan kemenangan tetapi jumlah gol yang dihasilkan berbanding Korea Selatan dan Ireland perlu diberi perhatian.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia telah menjaringkan 16 gol manakala Ireland dan Korea Selatan masing-masing menyumbat 18 dan 14 gol selepas dua perlawanan. Malaysia mendahului Ukraine 2-0 pada separuh masa menerusi jaringan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-23 diikuti Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-32.

Pada babak kedua, Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48 untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan selesa 3-0.

Bagaimanapun, Ukraine, pasukan tercorot dalam kejohanan enam pasukan itu, bangkit sektika untuk menjaringkan gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Viacheslav Paziuk pada minit ke-57.

Malaysia menambah dua lagi gol pada 10 minit terakhir perlawanan menerusi Muhammad Amin Rahim (minit ke-60) dan Mohamad Sukri Abdul Mutalib pada minit ke-69. - Bernama

Kontraktor pertikai tindakan Kementerian Pertahanan

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sekumpulan kontraktor Bumiputera kelas A di Perlis mempertikaikan tindakan Kementerian Pertahanan yang mengiklan semula tender bagi cadangan pembangunan semula Kem Regimen Sempadan dan Skuadron Medan Jurutera (Kem Oran) di Kangar meskipun iklan yang sama pernah dikeluarkan pada Mei tahun lalu.

Jurucakap kumpulan itu, Amir Effendy Hashim berkata sebelum ini tender itu hanya terbuka kepada kontraktor Bumiputera kelas A di Perlis dan sebanyak 14 kontraktor telah mengambil bahagian dalam tender yang ditutup pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya setelah menunggu begitu lama tanpa sebarang jawapan, mereka telah mengirim surat kepada kementerian itu dan salinannya kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 12 Januari lalu.

Amir Effendy berkata mereka bukan sahaja tidak menerima maklum balas daripada kementerian itu malah amat terkejut apabila mendapati iklan tender yang pernah dikeluarkan pada Mei tahun lalu telah diiklan semula dengan turut menawarkan kontraktor Bumiputera kelas A dari Kedah dan Pulau Pinang menyertainya.

"Kami terkilan dengan tindakan ini seolah-olah kami tidak berupaya melakukan kerja-kerja itu sehingga kementerian mengiklan semula tender yang sama dan membuka ruang kepada kontraktor negeri lain," katanya malam tadi setelah mengadakan pertemuan dengan para kontraktor Kelas A Perlis di Kangar.

Menurutnya iklan tender yang pernah dikeluarkan pada tahun lalu telah diiklankan semula pada 12 Mac lepas dan lawatan tapak pada 15 Mac 2012 (Khamis) manakala tarikh tutup penyerahan dokumen pada 4 April.

"Kami telah berbelanja besar menyediakan dokumen bagi mendapatkan kerja berkenaan termasuk berulang-alik ke kementerian dan penantian kami begitu lama amat menghampakan kerana tender itu diiklankan semula," katanya.

Beliau berharap Kementerian Pertahanan memberi pertimbangan wajar termasuk mengecualikan bayaran dokumen tender sebanyak RM5,500 selain mengekalkan syarat terdahulu iaitu tender berkenaan hanya terbuka kepada kontraktor kelas A Perlis.

"Mengapa kami perlu membayar semula kos RM5,500 sedangkan kami telah membayarnya sebelum ini atas tender yang sama," katanya.

Amir Effendy berkata mereka juga akan membuat lawatan tapak seperti yang dikehendaki meskipun terpaksa bersaing dengan kumpulan kontraktor yang jauh lebih besar dari negeri-negeri lain.

"Kami sentiasa berharap projek-projek di Perlis dianugerahkan kepada kontraktor dari negeri ini kerana kami juga berhadapan dengan pelbagai sekatan apabila cuba mencari peluang di negeri lain," katanya.

- Bernama

Undur Shahrizat separuh tepat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEKALIPUN banyak reaksi mengira pengunduran Shahrizat Abdul Jadil dari kabinet 8 April ini sebagai satu langkah yang tepat, tetapi bagi saya ia hanya separuh tepat.

Dia sekadar berundur dari jawatan kerajaan, tetapi dia masih kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita BN serta segala yang berkait dengan kedudukan ketua sayap wanita parti pemerintah itu.

Mungkin pada orang-orang yang rapat dengannya bahawa tindakannya itu satu pengorbanan yang sudah cukup berkaitan dengan masalah yang dihadapinya dan keluarganya, tetapi ia belum memadai bagi meringankan beban liabiliti UMNO dan BN.

UMNO dan Wanita UMNO memangnya tidak sebersih mana, tetapi mengekalkan Shahrizat pada kedudukannya dalam parti itu tidak dapat melekangkan imej buruk parti. Parti itu sudah dikira banyak bermasalah, dengan mengekalkannya sebagai ketua Wanita mengesahkan ia yang benar-benar bermasalah.

Selagi Shahrizat menjadi ketua sayap Wanitanya, orang akan mudah menempelak parti itu berketuakan orang yang tidak bersih dan bermasalah. Walaupun mahkamah belum mendapati suaminya bermasalah, tetapi suaminya sudah didakwa pecah amanah dan dikenakan ikat jamin setengah juta.

Shahrizat tidak didakwa, tetapi sebagai ketua Wanita UMNO, dia akan mengadapi tekanan saikologi dan segala beban akibat dakwaan itu. Otaknya separuh terikat dengan gema dakwaan. Hanya separuh otaknya saja yang dapat ditumpukan kepada Wanita UMNO.

Sekali pun suaminya baru didakwa dan orang yang belum didapati bersalah bukanlah orang bersalah, tetapi dengan dakwaan itu dia sudah berada dalam keadaan separuh bersalah. Setelah mahkamah mendapatinya tidak bersalah barulah dia betul-betul tidak bersalah.

Bagi persepsi setengah orang, orang yang didapati mahkamah tidak bersalah, sukar diterima betul-betul tidak bersalah. Itulah dunia.

Shahrizat mesti berkempen menjelajah ke merata-rata untuk menjamin kemenangan partinya dalam PRU yang sudah dekat itu. Dia mesti bercakap bagi menyatakan partinya benar. Tetapi beban yang dihadapinya bagaimana orang hendak yakin kepadanya sedang dia sendiri berdepan dengan masalah kebenaran dan masalah kebersihan.

Orang-orang yang datang mendengar dan berjumpa dengannya akan melihat wajahnya sebagai orang yang tidak bebas.

Mungkin UMNO mahu menyamakan masalahnya dengan masalah yang dihadapi oleh Anwar Ibraim dan isterinya yang memimpin PKR. Payah hendak menyamakan mereka.

Anwar dan isterinya menubuhkan PKR setelah dia dipenjarakan sementara menunggu keputusan mahkamah. Dia membentuk parti untuk meneruskan perjuangannya dan untuk membela tohmah yang dihadapkan kepadanya.

Shahrizat pula berada dalam parti yang sebelum masalahnya, ia sudah ada banyak masalah.

Dan kalau pun UMNO mengatakan PKR bermasalah kerana masalah Anwar, maka apa untungnya UMNO mahu menyamakan UMNO dengan masalah Sharizat itu? Sepatutnya UMNO jangan ada masalah supaya ia senang berdepan dengan PKR yang dikatakan memikul masalah Anwar.

Kalau PKR dan Anwar hendak dikatakan comot, mengapa perlu dicomotkan juga dengan membiarkan Shahrizat kekal sebagai ketua Wanita?

Saya kira Shahrizat tidak mahu membebaskan UMNO dengan bebannya. Kerana itu dia kekal dengan ketua Wanita. Selagi dia kekal di situ, maka senang bagi pembangkang untuk memburukkan UMNO. Dan sukar bagi Bung Mukhtar dan rakan-rakannya untuk membela UMNO sebagai badan yang bersih.

Tetapi kalau berundur sama dari pimpinan UMNO, maka musuh UMNO hilang satu modal yang ampuh. Pembangkang akan rugi kalau Shahrizat bersara dari politik. Dan mereka suka kalau UMNO itu terus dipimpin oleh orang yang dilihat tidak bersih.

harakahdaily/-

Papan iklan Mydin terbakar, 3,000 pelanggan selamat diri

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kebakaran papan iklan di bahagian atas pasar raya besar Mydin USJ Subang Jaya dekat Petaling Jaya malam tadi menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan dan 600 kakitangan bergegas menyelamatkan diri dari premis tiga tingkat itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu juga menyebabkan operasi pasar raya itu ditamatkan empat jam awal untuk memastikan tiada ancaman bahaya kepada orang ramai.

Seorang juruwang pasar raya berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mazlan berkata semasa kebakaran beliau sedang melayan pelanggan sebelum terdengar orang ramai berteriak dan berlari keluar.

"Saya dengar ramai pelanggan menjerit 'api, api' sebelum mereka semua berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira sejam kemudian, selepas api dipadamkan pihak Bomba dan Penyelamat, semua kakitangan dibenarkan masuk untuk menyelesaikan kerja masing-masing sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin berkata kebakaran itu hanya melibatkan tingkat atas premis berkenaan namun turut menyebabkan kerosakan pada tingkat dua dan tiga.

"Tingkat dua dan tiga merupakan ruang pejabat dan kerugian dianggarkan bernilai RM5 juta termasuk kerosakan perabot dan permaidani yang basah dengan air," katanya ketika dihubungi malam ini.

Jurucakap Balai Bomba Subang Jaya ketika dihubungi pula berkata panggilan mengenai kebakaran itu diterima jam 7.12 malam sebelum ia dikawal pada 7.40 malam.

Dua jentera dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Subang Jaya digegaskan ke tempat kejadian.

- Bernama

Pengguna diminta tidak panik

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ORANG ramai berebut-rebut membeli baldi di sebuah kedai runcit di Kampung Melayu, Subang, Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Lebih sejuta pengguna di Lembah Klang yang bakal berdepan dengan gangguan bekalan air mulai pagi ini dinasihatkan supaya tidak panik kerana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kini bersiap sedia menangani masalah tersebut.

Setakat semalam, pihak Syabas sudah bersiap sedia dengan 192 tangki air dan 43 buah lori tangki untuk keperluan orang ramai mendapatkan bekalan air.

Berdasarkan pengalaman Syabas, setiap sebuah lori tangki mampu menampung 4,543 liter air dan jumlah tersebut kelazimannya mencukupi.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, jumlah lori tangki air yang dihantar ke sesebuah kawasan bergantung kepada keperluan dan jumlah penduduk.

“Buat masa ini, perhatian tertumpu kepada pengguna di kawasan Petaling kerana ia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

kosmo/-