25 February 2012

Kit Siang: Tiba masa audit penuh kerugian Mahathir

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - DAP menggesa supaya dilakukan audit penuh terhadap kerugian akibat skandal kewangan yang didakwa berlaku sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang - dalam satu kenyataan semalam - berkata langkah itu perlu kerana pentadbiran sekarang "nampaknya seperti tidak mengambil sebarang pengajaran daripada (skandal yang lalu)".

Katanya, rakyat Malaysia terkejut dan marah dengan komen sinis bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang menjustifikasikan tindakan kerajaan menyelamatkan MAS yang mengakibatkan kerugian dana awam, atas alasan terdapat kes yang lebih teruk daripada itu selepas beliau (Dr Mahathir) bersara.

Lim (kanan) menyifatkan alasan Mahathir semalam untuk menerangkan tindakan menyelamat MAS membabitkan RM1.8 bilion sewaktu pentadbirannya sebagao "logik sesat".

Bekas perdana menteri itu membidaskan pihak media yang menurutnya hanya memberi tumpuan kepada perkara itu, sedang orang lain, contohnya pengganti beliau, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga kerugian sejumlah besar wang awam.

Lim menganggap penyelesaian antara bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli dan pihak pengurusan Danaharta Nasional Bhd, sebagai kesinambungan contoh yang dibuat oleh Dr Mahathir, dan berkata sudah tiba masa untuk menyiasatnya.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya untuk melakukan audit penuh kerugian RM100 bilion dalam skandal-skandal kewangan selama 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri, "terutama apabila kerajaan Najib nampaknya seperti tidak mengambil sebarang pengajaran daripadanya." (MK)

Restoran Nasi Kandar di serang


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - GEORGETOWN: Akibat salah faham dan masalah perniagaan, seorang pengurus sebuah restoran nasi kandar kerugian hampir RM10,000 selepas beberapa peralatan menghidangkan makanan rosak termasuk pinggan mangkuk bertaburan selepas diserang tiga lelaki bersenjatakan topi keledar di Jalan Penang, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika pekerja restoran warga India, Akbar Ali, 35, membuka gerai untuk memulakan operasi perniagaan harian sebelum didatangi lima lelaki menaiki sebuah kereta dan berhenti di luar kedai.


Pemilik restoran, Abdul Latif Thulkarunai, 52, berkata ketika kejadian, hanya Akbar yang ada dan tiba-tiba tiga lelaki tidak dikenali meluru masuk ke kedai dengan membawa topi keledar sambil mencari dan mengugut pekerjanya menyampaikan pesanan supaya dia tidak mencampuri urusan orang lain.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu keluar dari kedai dalam keadaan marah lalu memecahkan cermin dua peralatan menghidangkan makanan dan menolak jatuh satu peralatan. Katanya, beberapa pinggan turut dijatuhkan dan kejadian berlaku pantas dengan tidak sampai lima minit sebelum kumpulan terbabit melarikan diri.


Abdul Latif berkata, dia terkejut apabila perniagaan diusahakan sejak lebih 23 tahun lalu bersama ahli keluarganya sebelum ini tidak menghadapi masalah.

“Buat sementara waktu, saya menutup perniagaan ini selepas mengalami kerugian hampir RM10,000,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di luar kedai sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Central, jam 8.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.(BH)

Pekida sokong perjuangan Hasan Ali dan Jati

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - 6:49PM Feb 25, 2012
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan menyokong perjuangan yang dibawa Jati, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan bekas anggota PAS Datuk Dr Hasan Ali, baru-baru ini.

Presidennya, Jamaluddin Yusof berkata ini kerana konsep yang diperjuangkan Jati adalah selari dengan Pekida iaitu menjaga dan mempertahankan agenda umat Islam serta Melayu di negara ini.

"Kita berharap Hasan (Ali) akan meneruskan perjuangan beliau dan Jati, dan kita dengan perjuangan kita bersama Pekida.

"Di samping itu, kita juga bersedia mengadakan perbincangan bersama NGO lain jika ada aktiviti yang selaras dengan prinsip perjuangan kita, iaitu meningkatkan perpaduan umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi Pekida Pahang hari ini.

Selasa lepas, Hasan, bekas exco Selangor itu, menubuhkan Jati yang bertujuan mempertahankan agenda Islam, Melayu dan kedaulatan raja bersesuaian keadaan semasa yang menyaksikan orang Melayu semakin berpecah belah.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata Pekida tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Permuafakatan Majlis Ayahanda 1Malaysia (Permas) walaupun ada di kalangan anggota pertubuhan tersebut adalah bekas anggota Pekida.

"Ada di kalangan ayahanda-ayahanda yang membuat keputusan untuk menyertai Permas, jadi secara langsung, mereka bukan lagi anggota Pekida, ini bermakna apa sahaja kegiatan mereka, tidak lagi mempunyai kaitan dengan Pekida," katanya sambil menasihati Permas agar tidak berprasangka buruk terhadap pihak lain demi menjaga perpaduan di kalangan NGO serta rakyat Malaysia.

Beliau juga menyeru Pekida di setiap daerah dan negeri, yang belum menjalani proses 'pemutihan' di kalangan mereka, supaya segera melaksanakannya bagi mengubah sikap anggota pertubuhan itu.

Program pemutihan dijalankan pertubuhan itu sejak 2008 bagi memperbaiki sikap negatif di kalangan anggota pertubuhan tersebut, yang didakwa terlibat dalam aktiviti 'samseng', sekaligus menjejaskan nama baik Pekida - Bernama

Helah curi TV

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KLANG: Lakonan dua pekerja sebuah pasar raya besar di Kapar, di sini, menolak troli yang penuh dengan barangan elektrik kononnya untuk dihantar ke kereta pelanggan membongkar rahsia rupa-rupanya mereka mahu mencuri barangan itu.

Kegiatan mereka yang dipercayai didalangi pengawal keselamatan pasar raya berkenaan terbongkar Isnin lalu apabila pengurus stor yang melakukan rondaan di kawasan parkir menemui troli berisi dua televisyen jenama Sharp berukuran 32 dan 40 inci, jam 10.30 malam.

Curiga dengan penemuan itu, pengurus stor terbabit melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati dua lelaki yang bekerja di bahagian elektrik pasar raya menolak troli itu menuju sebuah kereta.

Dua pekerja itu ditahan sebelum pihak pengurusan pasar raya berkenaan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, hasil soal siasat polis kemudian menahan lapan suspek lain termasuk sepasang suami isteri serta dua beradik.

Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada dua beradik yang ditahan berusia 29 tahun adalah bekas pengawal keselamatan di pasar raya itu.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek itu dalang utama yang bersekongkol dengan abangnya berusia 41 tahun serta lapan lagi suspek yang ditahan.

Menurutnya, susulan itu, polis menemui semula empat televisyen paparan cecair kristal (LCD) pelbagai jenama berukuran 32, 40 dan 42 inci serta dua sistem teater rumah hasil serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Kapar milik pasangan suspek suami isteri.

“Semua barangan elektrik yang dalam kotak itu ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas kediaman itu.

“Selepas itu, kami serbu sebuah lagi rumah juga di Kapar dan menjumpai dua televisyen, manakala dua lagi dirampas di luar sebuah kilang di kawasan Rantau Panjang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Katanya, polis percaya semua barangan yang dicuri dianggarkan bernilai RM20,000 itu untuk dijual semula.Katanya, siasatan turut menunjukkan semua suspek menjalankan kegiatan itu sejak awal Januari lalu. Mohamad Shukor berkata, semua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu disambung reman selepas reman terdahulu selama seminggu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (curi oleh orang gaji) tamat semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengesan dua bekas pekerja pasar raya terbabit iaitu seorang wanita warga Indonesia dikenali Murtafingah, 31, dan seorang remaja berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Sinu. “Kami percaya dua individu terbabit mempunyai maklumat berhubung siasatan,” katanya.(BH)

Air mata menderas terkenang suami yang tidak dibicarakan...


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Keputusan Mahkamah.

"Semua OKT didapati bersalah kerana menyertai himpunan haram...," suara Puan Hakim meresapi seluruh ruang kamar Mahkamah. Suasana sunyi, seolah-olah semua orang terkejut. Salah seorang peguam kami mohon "stand down" supaya dapat berbincang mengenai strategi rayuan agar hukuman terhadap Orang Kena Tahan(OKT) dapat diringankan.

Saya toleh ke kanan, OKT Nashita (gambar kanan) kelihatan sedang berpelukan dengan anaknya Asiah…..Hidung kedua beranak itu merah, tanda lepas menangis… Mata OKT Aiman dan Salmah juga merah. Lantas saya lepaskan pandangan ke sekitar bilik mahkamah yang agak sesak, kelihatan ramai, terutama kaum wanita, sedang mengesat air mata…

"Kak Laila, are you ok?" tanya Nalini dengan nada yang amat perihatin.

"Yeah, I'm ok. Don't worry I'm really ok..." jawab saya sambil berlalu kearah pintu keluar ruangan Mahkamah Sivil 6 itu. Saya bersalaman dengan beberapa orang yang hadir untuk memberi sokongan moral kepada semua OKT. Sempat saya melerek kearah wajah Mat Sah, suami saya yang di kenali sebagai "bekas tahanan tujuh tahun ISA". Saya lihat matanya merah...

Saya rasa serba salah pula kerana tak mengalirkan air mata sebaik keputusan dijatuhkan tadi. Kenapa?

Saya tidak faham dengan perasaan saya sendiri. Mungkin saya sudah biasa mendengar keputusan yang lebih pahit dan teruk dari keputusan Puan Hakim tadi. Tindakan kejam Menteri Dalam Negeri yang telah menyambung penahanan Mat Sah dari dua tahun ke dua tahun berikutnya dari tahun 2002 hingga 2009 tanpa sebarang bicara, saya rasakan jauh lebih jahat, zalim dan tidak berperikemanusian dari apa yang dibuat oleh Hakim itu….

Rayuan peguam.

Lebih 10 minit berlalu, Puan Hakim menunjukkan dirinya semula. Semua yang hadir, berhenti bercakap untuk memberi sepenuh perhatian pada rayuan peguam dan seterusnya mendengar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas semua OKT.Seorang demi seorang peguam bangun untuk memberi latar belakang OKT yang mereka wakili.

"ISA adalah undang-undang zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan tindakan semua OKT menyertai himpunan mansuh ISA demi untuk menzahirkan kebencian mereka terhadap akta itu adalah satu tindakan yang mulia. Tindakan itu adalah benar dan mereka sepatutnya dipanggil sebagai pejuang, bukannya pengganggu ketenteraman awam," lebih kurang begitulah hujah yang diberikan oleh peguam kami, Latheefa Koya.

"Dan anak guam saya, OKT ke 27, Puan Norlaila Othman, adalah isteri kepada seorang bekas tahanan ISA yang telah ditahan tanpa bicara lebih tujuh tahun. Puan Norlaila adalah 'sole bread winner' keluarganya kerana suami beliau walaupun sudah dibebaskan,masih tidak mempunyai pendapatan stabil, kesan dari penahanan yang terlalu lama di bawah ISA...," tambah Peguam Latheefa lagi.

Sebak.

Tiba-tiba saya jadi sebak mendengar ayat rayuan terakhir mengenai diriku yang disampaikan oleh Peguam Latheefa tadi. Memang benar, penahanan yang terlalu lama, menjadikan ramai bekas tahanan ISA, mengalami kecelaruan emosi dan sedikit berbeza dari diri mereka yang sebenar, berbanding ketika mereka belum ditahan ISA dulu. Mereka perlukan masa yang lama untuk pulih semula seperti manusia lain yang biasa hidup bebas dan merdeka.

Mat Sah (gambar kanan) tidak terkecuali dari kekurangan tersebut. Beliau ditahan ketika zaman PM Mahathir, kemudian masuk era PM Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya pemerintahan PM Najib. Hampir lapan tahun dari usianya dibazirkan tanpa sebarang pekerjaan tetap atau aktiviti terarah di Kem Kamunting. Dan sepanjang jangkamasa itu juga, kehidupan mereka sentiasa diawasi dan diberi pelbagai ancaman oleh warden atau polis cawangan khas yang menjadi kakitangan utama penguasa ISA.

Sebelum Mat Sah ditahan dibawah ISA, akta ini telah lebih 50 tahun digunakan oleh Parti yang memerintah untuk memastikan kelangsungannya di bumi Malaysia ini. ISA telah menzalimi lebih berbelas ribu rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, bangsa dan ugama. Telah terlalu banyak usaha gabungan NGO @Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) dicurahkan untuk memberitahu pihak berwajib supaya jangan menggunakan akta ini ke atas rakyat.

Apakah lagi yang dapat dilakukan jika semua usaha itu ditolak mentah-mentah oleh Menteri yang menjaga akta ini? Apakah ada pilihan lain bagi rakyat untuk menyatakan bahawa akta Keselamatan Dalam Negeri ini lah sebenarnya yang memberi ancaman kepada keselamatan orang ramai? Justeru, salahkah kami semua turun ke jalan raya untuk menyatakan bahawa ISA ini zalim dan wajib dimansuhkan?

Ya Allah….kenapakah Puan Hakim tadi gagal melihat segala kebenaran ini?

Himpunan Mansuh dan proses mahkamah

Aku ditahan polis bukan kerana melakukan kesalahan peribadi seperti mencuri, membunuh atau mengambil rasuah. Aku ditahan kerana menyertai himpunan MANSUH ISA, yang lebih didorong oleh perasaan kasihan bila melihatkan Mat Sah, suami dan ayah pada anak tunggal kami, ditahan dari dua tahun pertama hinggalah tahun ke lapan, secara berterusan dan tanpa sebarang perbicaraan.

Walaupun hari ini Puan Hakim kata saya bersalah, namun sekurang-kurangnya saya berpuas hati kerana sudah merasai proses perbicaraan di mahkamah. Bermula dari hari pertama aku ditahan pada 1 Ogos 2009, saya dibela oleh sekumpulan peguam bila dicaj di mahkamah. Saya dijamin sebanyak RM500. Proses perbicaraan yang melibatkan 11 orang saksi telah berjalan dengan baik dari awal tahun 2010 hinggalah akhir tahun 2011. Saya dapat melihat gelagat dan perangai saksi serta mendengar hujah balas peguam dengan jelas.

Alangkah baiknya jika sekiranya ISA itu memberi hak dan ruang kepada pesalahnya untuk dijamin, mendapatkan khidmat peguam, mendapat perbicaraan, ada hakim mahkamah yang mendengar perbicaraan itu, ada saksi dipanggil dan kemudiannya ada proses rayuan oleh peguam supaya hakim menjatuhkan hukuman yang paling minimum...

Sekiranya ISA mempunyai semua proses dan prosedur perbicaraan di mahkamah, saya amat-amat pasti, tiada siapa yang akan sewenang-wenangnya memenjarakan Mat Sah dalam jangka waktu yang teralu lama sepertimana yang telah dilalui oleh beliau sebelum ini.

Air mataku terus mengalir deras...

Denda dan Penjara.

Sebaik saja semua peguam selesai merayu bagi pihak anak guam masing-masing, Puan Hakim pula bersedia untuk menyatakan hukuman "kesalahan berhimpun" Itu, "OKT 27, kamu dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2000. Untuk akta pendaftaran kerana tidak membawa Kad Pengenalan, kamu diberi amaran keras supaya tidak mengulanginya lagi..."

Saya segera duduk. Tidak tahu nak kata apa. Perlukah marah kerana hukuman denda serta penjara atau ucap terima kasih kerana sekadar diberi amaran di atas kegagalan membawa Kad Pengenalan?

Ramai masih ditahan di Kem Kamunting.

Secara peribadi, saya tidak punya wang sebanyak itu untuk digunakan bagi membayar denda RM2000. Saya lebih rela didenda seminggu penjara. Wang sebanyak itu, boleh saya sedekahkan kepada 10 keluarga ISA di Tawau Sabah yang suami mereka sedang ditahan di Kem Kamunting sekarang. Mereka punya anak-anak kecil yang ramai, sedang kuat makan dan semuanya bersekolah rendah. Ada beberapa orang isteri tahanan sedang sarat mengandung dan perlukan wang untuk membiayai bayaran bersalin dan rawatan hospital kelak. Saya terbayang wajah-wajah sugul wanita dan aanak-anak yang sedang menanti kepulangan suami, yang menjadi ketua rumah tangga dan pencari rezki untuk mereka semua...

Masih ramai rakyat yang sedang ditahan tanpa bicara di Kem Kamunting. Dan pada hari ini Rabu 22 Februari 2012, kami- rakyat jelata yang ingin membela nasib mereka yang sedang di penjara itu... kini turut sama dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah penguasa ISA...

Ya Allah, kejamnya mereka yang sedang berkuasa ini….Berilah kami rakyat jelata semua, ketabahan, kekuatan dan kesabaran untuk terus berusaha menewaskan mereka yang kejam dan zalim itu. - (MI)

Mahathir beri isyarat mahu kembali jadi PM

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Mutakhir ini nampaknya Dr. Mahathir kerap memberikan kenyataan-kenyataan bagi pihak Kerajaan UMNO/BN di bawah pimpinan Najib Tun Razak. Jika ketika zaman Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dahulu ada sahaja kritikan Dr. M terhadap Pak Lah dan pimpinan UMNO/BN. Semuanya tidak betul dan tidak kena. Islam Hadhari zaman Pak Lah tidak disokongnya Dr. M. Kali ini gagasan 1Malaysia Najib Razak juga tidak bersambut baik oleh Mahathir. Hanya Wawasan 2020 Mahathir sahaja yang kononnya terbaik.

Setelah banyak pertikaian pandangan ketika zaman Pak Lah, akhirnya Dr. Mahathir mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO ketika zaman Pak Lah sebagai Presiden UMNO. Ini suatu yang cukup memalukan pimpinan UMNO/BN. Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional keluar daripada UMNO. (Nota: bekas PM yang meninggalkan UMNO Tengku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn ).

Hari ini pertembungan politik ialah pertembungan politik antara kerakusan Dr. M dengan ketelusan Anwar Ibrahim. Kali ini terutamanya selepas tsunami politik 8 Mac 2008, lapangan politik bukan pertempuran Anwar-Pak Lah atau Anwar-Najib, tetapi adalah pertarungan politik Anwar-Mahathir.

Pilihanraya Umum Ke-13 adalah medan kumpulan Dr. M untuk kembali mencari landasan. Mereka sudah melihat kemungkinan Najib Razak sudah tidak punyai upaya untuk mengimbangi kepintaran politik Anwar Ibrahim dengan misi Kerajaan Reformasi dan kebajikan untuk rakyat. Sebab itu mahu tidak mahu, Mahathir merasakan bahawa perlu bagi dirinya menjadi Perdana Menteri semula.

Dalam isu semasa terkini, soal penyenaraian FELDA Global Ventures Holding (FGHV), Dr. Mahathir terlebih lagi memberikan kenyataan bahawa penyenaraian tersebut sebagai ‘peluang besar’ mengembangkan perniagaannya. Kenyataannya itu lebih yakin daripada kenyataan Perdana Menteri Najib Razak.

Isu-isu negara termasuk soal cabaran debat dengan Anwar Ibrahim dalam isu Palestin-Israel juga sibuk dijawab Mahathir tanpa Najib Razak menjawab. Najib diam membisu untuk menyatakan pendirian. Yang dicabar debat adalah Najib, tetapi bekas PM yang nampaknya agak serabut untuk menjawab.

Najib banyak diam seribu bahasa dalam isu-isu penting negara termasuk soal FELDA, Isu Palestin-Israel, Isu NFC, isu kaum, isu rasuah, serta kelemahan pentadbiran tetapi dalam masa yang sama Dr. Mahathir bertungkus lumus menjawab setiap isu. Maka ini adalah isyarat kuat (signal) daripada Mahathir kepada UMNO bahawa UMNO perlu beliau sebagai Perdana Menteri. Najib Razak tidak cukup kuat karektornya untuk berdepan dengan karisma kepimpinan Anwar Ibrahim. Pasukan Najib Razak tidak cukup bersedia untuk memastikan UMNO/BN menang dalam PRU-13 akan datang.

Pada pandangan Mahathir kelemahan Najib Razak sebagai PM ini tidak boleh dibiarkan. Situasi ini akan membahayakan Dr. M, keluarga serta kroninya. Hari ini isu Palestin-Israel sebenarnya adalah sindiran yang terkena batang hidung Mahathir sendiri. Dia yang pernah berutus surat dengan PM Israel. Ada menteri UMNO yang pernah berjumpa Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Israel. Najib Razak tidak membelanya. Mahathir terpaksa memberi penjelasan. Anaknya juga yang menjadi Tim. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi sasaran dalam kes kapal dagang Israel di Pelabuhan Klang. Sebab itu Mahathir mahu menunjukkan kepada ahli UMNO bahawa dia perlu kembali sebagai PM kerana dirinya sahaja kononnya boleh menjawab segala hujah Pakatan Rakyat. Najib Razak dilihat lemah untuk mempertahankan UMNO. Dalam isu hubungan dengan Israel juga peranan Najib juga tidak mampu untuk mempertahankan imej UMNO dan APCOnya. RM77 juta yang dibayar setahun (Agensi yang punyai hubungan dengan Zionis-Israel) oleh Najib Razak juga tidak banyak membantu terutamanya kerosakan dalam integriti pentadbiran yang telah dibuat oleh Mahathir.

Sebelum ini, Mahathir menyifatkan kepemimpinan Umno sekarang seperti usus yang sudah busuk.

Kenyataan Mahathir itu kita percaya ditujukan kepada Najib. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilihat lebih menyokong Mahathir berbanding Najib.

Jika dahulu Muhyiddin boleh berkomplot untuk menjatuhkan Pak Lah, maka apakah tidak mustahil untuk Muhyiddin sekali lagi menyusun komplot untuk menjatuhkan Najib lalu mengangkat Dr. Mahathir?

Pertikaman lidah dalaman antara beberapa pemimpin UMNO sekaligus menyaksikan bahawa Umno sedang mengalami dilema sama ada untuk kekal memperjuangkan rasis-Melayu atau mengubah ideologinya mengikut cara Najib melalui konsep 1Malaysia. Sanggahan-sanggahan Mahathir terhadap kepimpinan UMNO masa kini menguatkan gambaran kepada ahli UMNO bahawa mereka perlu kembalinya Mahathir sebagai PM.(HD)

Bai'ah PAS selari dengan tuntutan Islam

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 25 Feb: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan sumpah taat setia atau bai'ah yang diamalkan parti itu adalah selari dengan ajaran Islam kerana pelaksanaannya tidak bertentangan dengan syariat dan hukum syarak.

Beliau berkata, amalan berbai'ah dalam PAS juga dilaksanakan berdasarkan kepada al-Quran dan hadis dan berteraskan ketaatan kepada Islam dan kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.

Menurut beliau lagi, perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran, aantaranya ialah sepertimana yang terkandung di dalam Surah Al-Fath.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ayat 10 dan 18 daripada surah tersebut yang menceritakan tentang bai'ah dan akibat sekiranya tidak melaksanakan bai'ah.

Maksud ayat yang ke 10 daripada surah Al-Fath:"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar".

Manakala ayat 18 surah yang sama pula bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Menurut beliau lagi, para sahabat juga turut berbai'ah kepada Rasulullah sepertimana yang tercatat dalam hadis nabi serta diriwayatkan dalam sirah nabawiyyah.

Justeru itu, jelasnya yang juga Adun Manir, Terengganu apa yang dilakukan oleh PAS dalam isu ba'iah adalah selari dengan tuntutan Islam dalam usaha untuk menegakkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini.(HD)

Jalan Bolivia paling bahaya di dunia

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - CHALLA, Bolivia - Sebatang jalan raya sepanjang 400 kilometer yang menghubungkan La Paz dengan Los Yungas dekat sini dianggap antara yang paling berbahaya di dunia.

Jalan raya tersebut amat sempit untuk laluan kenderaan seperti bas kerana ia berliku-liku di lereng bukit.

Paras jalan raya yang paling tinggi di kawasan tersebut ialah 4,000 meter. - AFP

Perompak berputih mata mati kena tembak

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - BANTING – Lima penjenayah bukan sahaja tidak sempat menikmati hasil rompakan berupa barang kemas bernilai RM150,000, malah tiga daripada mereka mati ditembak dalam kejadian di kawasan semak di Jalan Tali Air di sini semalam.

Sebelum kejadian pukul 1.05 petang itu, perompak berkenaan telah melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas Jalan Bunga Pekan di sini.

Ketika kejadian, empat daripada lima perompak yang memakai topeng kulit hitam dan bersenjatakan parang, pistol serta tukul besi memasuki premis berkenaan manakala seorang lagi menunggu di dalam sebuah kereta Toyota Vios yang dicuri di Kelana Jaya.

11 April cuti umum sempena pertabalan Agong

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (gambar) pada 11 April depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan berkata, pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini semalam.(Bernama)

Nekad berjalan kaki ke Mekah


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - MALANG - Seorang warga Malang, Jawa Timur nekad untuk berjalan kaki ke Mekah selepas insiden langgar lari ke atas anaknya tidak mendapat keadilan di negara ini.

Indra Azwan, 53, berkata, dia telah melakukan pelbagai usaha untuk menegakkan keadilan atas kematian anaknya itu sehingga menemui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2010, tetapi semuanya menemui jalan buntu.

"Aksi jalan kaki ke Mekah saya lakukan hanya untuk mendapatkan keadilan. Di Indonesia keadilan sudah tidak ada lagi, yang ada hanya penipuan.

"Tanah suci Mekah menjadi pilihan terakhir saya untuk mendapatkan keadilan. Saya akan memohon petunjuk dan keadilan daripada Allah.

"Saya akan bermunajat dan berdoa kepada Allah dan meluahkan semua ketidakadilan di Indonesia kepada-Nya," kata Indra sambil berjalan kaki dan membawa bendera merah putih kepada Kompas.com.

Anaknya, Rifki Andika, 12, telah dilanggar lari oleh seorang anggota tentera, Lettu Joko Sumantri pada 8 Februari 1998.

Aduan yang dibuatnya kepada polis tentera dan ketua polis Jawa Timur tidak mendapat pembelaan, malah suspek dibebaskan daripada tahanan selepas dua minggu insiden langgar lari itu berlaku.

Pada September 2006 pula, Mahkamah Tentera III-12 Surabaya menyatakan kes itu tidak boleh dibicarakan kerana suspek telah menjadi perwira menengah.

Indra masih tidak berputus asa sehinggalah Majlis Hakim Mahkamah Tentera pada Februari 2008 menyatakan kes itu tidak lagi boleh diterima kerana telah luput. - AGENSI

Bai’ah: Pemimpin Umno lebih baik tutup mulut

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - IPOH, 25 Feb: Pemimpin Umno dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu bai’ah calon-calon PAS.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hasan berkata, Umno itu sendiri telah ingkar dengan perintah Allah dan mempertikainya.

“Umno janganlah bersifat bermuka-muka tentang isu agama kerana mereka sudah terang-terangan menentang Islam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Jika tidak mengetahui tentang isu agama seperti bai’ah, beliau menyarankan pemimpin Umno ‘menutup mulut’.

“Jika bercakap apa yang ada di dalam Al-Quran, setakat hari ini berapa ramaikah pemimpin Umno telah ingkar dengan perintah Allah, malah telah mempertikaikannya.

“Sebenarnya dasar Umno telah tersasar jauh daripada Islam bahkan amat menyesatkan di dalam memastikan kedaulatan Islam itu sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, Pemuda PAS menyarankan agar pemimpin Umno tidak perlu sibuk mempertikai bai’ah PAS dan melabelkan bai’ah PAS bercanggah dengan Islam.

“Adalah lebih baik Umno melihat sendiri kepimpinannya, untuk memastikan Islam dimartabatkan di Malaysia khasnya,” tegasnya.(HD)

Tujuh marin terbunuh dua helikopter tentera AS bertembung


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - PHOENIX 24 Feb. - Dua buah helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) kelmarin bertembung semasa mengadakan latihan di kawasan gurun di sempadan Arizona-California, menyebabkan kesemua tujuh askar Marin yang menaiki pesawat itu terbunuh.

Jurucakap unit Sayap Pesawat Udara Marin Ketiga, Leftenan Pertama Maureen Dooley berkata, dua helikopter terbabit mengadakan operasi latihan pada waktu malam semasa pelanggaran itu berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin (11 pagi waktu Malaysia semalam).

Menurutnya, lima anggota Marin menaiki helikopter UH-1Y Huey manakala dua lagi menaiki helikopter penyerang AH-1W Cobra.

Katanya, tiada pesawat lain yang terbang bersama dua helikopter tersebut ketika kedua-duanya bertembung di kawasan gurun tenggara California yang bersempadan dengan Arizona.

Sarjan Dustin Dunk dari unit Meriam Marin berkata, sepasukan anggota Marin dikerah ke tempat kejadian sebaik saja kejadian itu dimaklumkan.

"Keadaan cuaca dan persekitaran bukan penyebab kemalangan itu berlaku," katanya.

Namun Dunk enggan mengulas sama ada pelanggaran itu berpunca daripada alat penglihatan malam yang digunakan oleh krew terbabit. - REUTERS

PM buktikan dia jahil prinsip pentadbiran yang baik

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - SHAH ALAM, 25 Feb: Pengakuan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bahawa beliau tidak menjemput Ketua Negeri Pakatan Rakyat pada Mesyuarat Menteri Besar menunjukkan beliau jahil tentang prinsip pentadbiran yang baik.

Beliau juga mengenepikan semangat federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata beliau hairan bagaimana PM dengan tanpa rasa bersalah mengakui bahawa mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional.

Sedangkan, katanya, mensyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Selaku penjawat awam, Ketua Setiausaha Negara sepatutnya bertindak secara profesional dan tidak boleh hadir dalam sebuah mesyuarat yang berbentuk kepartian,” kata beliau.

Tan Sri Khalid berkata, tindakan Najib ini seolah-olah mahu membina laluan kepada tindakan yang tidak demokraktik kerana tindakan beliau itu umpama memberitahu kepada kakitangan perkhidmatan awam supaya mendiskriminasikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

“KSN sepatutnya mempunyai kekuatan untuk memberitahu Perdana Menteri bahawa mesyuarat itu satu diskriminasi dan beliau (KSN) tidak sepatutnya dilibatkan,” katanya.

Menteri Besar turut mempersoalkan pembiayaan mesyuarat berkenaan.

“Siapakah yang membayar untuk mesyuarat tersebut? Kerajaan Pusat atau Barisan Nasional? Jika ianya dibiayai oleh Kerajaan Pusat, mana mungkin Perdana Menteri boleh dengan angkuh mengatakan mesyuarat itu adalah amalan biasa dan tidak melanggar mana-mana aturan,” katanya.

PM selaku ketua negara harus menunjukkan teladan yang baik terutama kepada penjawat awam jika beliau benar-benar mahu melaksanakan transformasi dalam negara ini, tegas Khalid. (HD)

Himpunan Hijau 2.0 setelah perbincangan buntu


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Hazayani Zakaria,
25 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok tercetus setelah beberapa perbincangan dengan pihak bertanggungjawab menemui jalan buntu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, PAS sangat kecewa dengan maklum balas daripada beberapa pihak seperti Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pejabat Menteri Besar sendiri berhubung kerisauan mereka mengenai risiko projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan.

"Bantahan kita dan himpunan esok berdasarkan beberapa perbincangan, bukan terus kepada perhimpunan.

"Pada mulanya kita mengadakan perbincangan dan dialog dengan pihak berkuasa dan saya sendiri pernah mengeatuai perbincangan dengan agensi kerajaan termasuk dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Malah katanya, sesi dialog juga sepatutnya diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, namun beliau enggan bertemu dengan pihaknya mahupun menerima memorandum bantahan.

"Sebelum bertemu pihak yang lebih tinggi, Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) terlebih dahulu menyerahkan memeorandum ke pejabat Menteri Besar Pahang tapi beliau enggan bertemu dengan kita," katanya yang merupakan penasihat Badar.

Justeru katanya, perhimpunan esok merupakan kemuncak kepada usaha sebelum ini dan sebagai tanda solidariti lebih 80 badan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk Kuantan yang sedang berhadapan bahaya.

"Himpunan ini tidak ada perarakan hanya menghimpunkan rakyat seluruh negara dan khususnya rakyat Kuantan untuk menyatakan hasrat dan menyatakan pandangan dan isi hati mereka di atas pelaksanaan operasi kilang Lynas di Kuantan.

"Kita akan berhimpun secara aman ada pembacaan sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan ada sedikit ucapan oleh NGO-NGO dan pemimpin politik.

"Selepas itu NGO-NGO akan menyatakan deklarasi mereka berkaitan pembangunan kilang lynas yang berisiko tinggi ini, mereka akan tandatangan bantahan mereka dan mereka akan buat penyataan secara beramai-ramai," katanya.

Sementara itu, perhimpunan esok berpindah ke Padang Kemunting, kira-kira setengah kilometer dari tapak asal himpunan iaitu Padang MPK. - (HD)