23 February 2012

Hidangan Kuih-muih

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Bahan-bahan:

1 sikat pisang rastali atau awak
1/2 cawan tepung beras
1 cawan tepung Hoen Kwe (label biru)
1/2 cawan tepung jagung
3 cawan santan
3 1/4 cawan gula
1 cawan susu cair
Secubit garam
Pewarna kuning
Pewarna hijau

Cara menyediakan:

1. Mula-mula, potong pisang rastali atau awak secara nipis dan menyerong.
2. Ketepikan pisang yang telah dipotong.
3. Campurkan kesemua bahan, kecuali pisang.
4. Kacau hingga sebati sebelum ditapis.
5. Adunan ini dibahagikan kepada dua bahagian.
6. Satu bahagian diwarnakan hijau.
7. Manakala, satu bahagian lagi diwarnakan kuning.
8. Panaskan loyang di dalam periuk kukus.
9. Tuangkan satu cawan adunan hijau. Kukus selama dua minit.
10. Keluarkan dan atur hirisan pisang di atasnya.
11. Kemudian, tuangkan satu cawan adunan kuning.
12. Kukus lagi selama dua minit dan bolehlah diatur dengan hirisan pisang.
13. Ulang kaedah ini dengan mengukus adunan hijau berselang-seli dengan adunan kuning.
14. Buat sehingga kesemua adunan habis.
15. Bagaimanapun, untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 hingga 20 minit.
16. Sejukkan talam lapis ini di dalam peti sejuk.
17. Apabila sudah sejuk, barulah boleh dipotong untuk dihidangkan.

(Pesan Saji: Untuk membuat sebarang jenis kuih yang dikukus, ruang di antara periuk dan penutupnya mestilah ditutup dengan kain untuk mengelakkan daripada ditimpa wap, agar hasilnya lebih menarik.)

saji online/-

Jingga 13 : Mukhriz Hipokrit Tentang Hubungan Malaysia-Israel

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 23 FEB : Aktivis Politik, Jingga 13 menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai hipokrit apabila menafikan kewujudan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dengan Israel.

Koordinatornya, Fariz Musa turut mempersoalkan bagaimana urus niaga dan dagangan besar boleh dijalankan secara import dan eksport tanpa sebarang jalinan interaksi daripada dua buah negara.

"Isu rakyat Isreal yang memegang pasport Isreal tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dalam negara adalah bukan isu utama. Isunya ialah wujud hubungan dagang antara Malaysia - Israel.

"Kenyataan beliau sebagai Timbalan Menteri cukup dangkal dan melucukan seolah-olah beliau dilantik kejawatan tersebut bagi meneruskan legasi hubungan yang telah dibuat antara bapa beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Israel," katanya dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Semalam, secara rasminya Mukhriz mengeluarkan kenyataan bahawa tidak menjadi satu kesalahan keatas mana-mana syarikat negara ini untuk berurusan dan berdagang dengan syarikat Israel.

Justeru, katanya, kapal-kapal yang dimiliki oleh Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan Malaysia untuk tujuan perdagangan tetapi dengan syarat bahawa anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang daripada turun ke darat.

Jingga13 dan beberapa kumpulan lain telah mengadakan sebuah demonstrasi di Pelabuhan Klang bagi membantah kehadiran kapal Israel daripada Zim Integrated Shipping Service Ltd (Zim Integrated).

Fariz berkata kenyataan Mukhriz itu bukan sahaja tidak berasas malah bertentangan dengan kenyataan pengurusan Westports, Pelabuhan Klang yang mengakui kehadiran kapal-kapal daripada Israel hanya untuk singgah sahaja.

Mengulas lanjut, Fariz berkata kenyataan tersebut jelas membuktikan pengiktirafan terhadap negara haram Isreal sekaligus menguatkan lagi dakwaan kerajaan Malaysia mempunyai hubungan 'diplomatik' yang sudah sekian lama terjalin tanpa sebarang halangan.

"Mukhriz adalah Penyelaras Aman Malaysia yang pernah mengetuai Pasukan Misi Kemanusiaan Gaza Aman Malaysia adakah turut bersifat hipokrit untuk kepentingan politik , sedangkan dalam masa yang sama membantu Israel meningkatkan ekonomi dengan mengizinkan kapal-kapal Israel berdagang dan berniaga di Malaysia.

"Sikap hipokrit kerajaan Malaysia ternyata bertujuan untuk membohongi rakyat negara ini yang mengutuk keras keganasan dan kezaliman Isreal membunuh tanpa perikemanusiaan terhadap umat Palestin.

"Pengikhtirafan Kerajaan terhadap negara Isreal terlalu melampau dan keterlaluan."

Jingga 13 turut mencabar Mukhiz untuk membuktikan dasar kerajaan yang membenarkan kapal milik Israel yang berpangkalan di Haifa berdagang dan berurusniaga sama ada dengan firma swasta di Malaysia, sedangkan tidak wujud hubungan diplomatik dengan Israel.

tv news/-

Sabah sebenarnya paling miskin - Husam

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Feb: Pakatan Rakyat akan menumpu strategi bagaimana untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini dan bukannya untuk mendedahkan negeri mana yang paling miskin.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata pendedahan terhadap negeri mana yang paling miskin membuktikan kegagalan sebagai pemerintah.

Beliau berkata demikikan kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tuan Razak yang mendakwa Kelantan negeri paling miskin di negara ini sewaktu berucap di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

“Dalam PAS, di mana saya selaku Pengerusi Menifesto Pilihanraya, tugas kami bukan untuk mendedahkan negeri mana paling miskin sebaliknya bagaimana mengurangkan kemiskinan,”ujarnya.

Beliau juga turut menolak kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa Kelantan negeri paling miskin memandangkan isu itu sudah lama dijelaskan.

“Saya sebenarnya sudah jemu untuk memberi fakta berhubung perkara ini.

“Waktu mesyuarat di Jabatan Perdana sendiripun fakta-fakta yang jelas telah dikeluarkan berhubung kedudukan tahap negeri di negara ini.

Menurut Husam kenyataan Perdana Menteri berupa satu penghinaan terhadap negeri dan rakyat Kelantan disamping bertujuan politik.

Tambahnya, pada masa yang sama untuk menyedapkan rakyat Sabah kononnya negeri itu kaya walhal mereka negeri paling miskin di negara ini.

“Selain Sabah, turut disenaraikan paling miskin Sarawak, Terengganu. Malah Kelantan menduduki tempat keenam dari atas,”ujarnya.

Ekoran kenyataan Perdana Menteri, Husam turut menempelak Najib yang telah menjadi wakilrakyat hampir 30 tahun tetapi gagal membawa agenda pembaharuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Saya rasa ada sesuatu yan tidak kena dengan pendekatan itu.

“Malah baru ni pun Perdana Menteri sendiri menyampaikan bantuan zakat dalam Parlimen Pekan, selepas jadi Adun, Ahli Parlimen, timbalan menteri, Menteri Besar, menteri dan kini Perdana Pernteri, tetapi masih menyampaikan zakat dalam parlimen sendiri,”ujarnya.

Tambahnya, ini menunjukkan Najib gagal mengatasi masaalah kemiskinan di tempat sendiri apa lagi Malaysia.

Harakah Daily

Israel: Umno mahu lagakan PAS dan Anwar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Para pemimpin Umno tidak perlu melaga-lagakan pemimpin PAS dan PKR dalam isu Israel kerana Umno juga menerima penyelesaian dua negeri Israel dan Palestin sebagaimana yang diterima PKR.

Bahkan, Umno lebih akomodatif terhadap Israel berbanding dengan sikap Datuk Sri Anwar Ibrahim sendiri yang memberikan syarat untuk Israel jika mahu diterima iaitu menyokong dan mengiktiraf Palestin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, tujuan sebenar Umno menekankan isu Israel dan Palestin ini adalah untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

"Inilah yang ditakuti sebenarnya oleh Umno iaitu kekuatan ikatan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sejak dari zaman Tun Dr Mahathir lagi, kata Mustafa, menjadi dasar negara Malaysia yang ditunjangi Umno mengiktiraf Israel walaupun tidak secara terbuka.
Bahkan bendera Israel juga pernah berkibar di bangunan Umno, PWTC. (gambar)
"Sebab itu sejak dahulu lagi Malaysia membenarkan pasukan hoki Israel bermain di Malaysia, membenarkan hubungan dagang antara Israel dan Malaysia.

"Bahkan, menteri Umno juga pernah berjumpa dan berbincang dengan menteri Israel," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

Oleh itu, apabila para pemimpin Umno menekan Datuk Seri Anwar dalam isu Israel ia sepatutnya tidak berbangkit langsung.

Ini kerana, Umno melalui kerajaan Malaysia sejak dahulu mengiktiraf Israel.

"Yang berbezanya, PAS tidak mengiktiraf Israel.

"Umno pula hanya berminat dalam isu ini ekoran kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal adalah untuk memecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Jadi jangan haraplah. Lebih baik menteri-menteri Umno itu diam kerana Umno juga sama sahaja mengiktiraf Israel," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Para pemimpin Umno termasuk Datuk Puad Zarkashi meminta Majlis Syura Ulamak PAS memanggil Anwar agar menjelaskan pendiriannya tentang Israel.

Dalam masa yang sama, Perlabuhan Klang dilaporkan membenarkan kapal-kapal Israel berlabuh di situ.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin pula mengesahkan Umno tidak bekerjasama dengan Israel dalam hubungan politik tetapi menerima hubungan dagang antara syarikat Malaysia dan Israel.

Sikap yang sama juga dinyatakan oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini bermakna, Umno mengiktiraf kewujudan Israel yang sejak dari dahulu lagi ditolak oleh PAS.

Harakah Daily

Mansuh ISA: Juham fail rayuan masa terdekat

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) berpendirian hukuman penjara 1 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam yang dikenakan ke atas orang empat belas daripada 11 individu yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri di sekitar Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 lalu menunjukkan janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA hanya retorik semata-mata.

“Jika benar semua pihak menurut dan akur dengan iltizam Perdana Menteri, sudah tentu pertuduhan itu sudah ditarik balik lebih awal lagi,” kata Ketua Unit Tindakan Undang-undang Jenayah Juham, Azizzul Shariman.

Katanya, Juham melihat hukuman itu jelas membuktikan Barisan Nasional telah membuat suatu penipuan besar kepada seluruh rakyat Malaysia tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia tahun lalu mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Beliau yang mengetuai 10 orang barisan peguam Juham yang mewakili 11 orang daripada keseluruhan yang ditangkap berhujah di mahkamah semalam bahawa mahkamah seharusnya mengambil kira keputusan kerajaan yang berhasrat memansuhkan ISA dan meminda Akta Polis sebelum menjatuhkan hukuman terhadap semua yang ditangkap.

Jelasnya, walaupun mahkamah memutuskan kesemua yang ditangkap bersalah, Juham yakin keterangan menunjukkan sebaliknya iaitu apa yang berlaku adalah satu luahan rasa rakyat terhadap kezaliman ISA yang juga dijamin di dalam perlembagaan.

“Juham bertegas bahawa janji Kerajaan Barisan Nasional untuk memansuhkan ISA hanyalah sekadar gula-gula kepada rakyat untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum yang ke-13,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya tindakan Kerajaan Barisan Nasional mendakwa kesemua yang ditangkap dari awal lagi merupakan suatu langkah ke belakang tatkala majoriti daripada rakyat Malaysia mahukan ISA dimansuhkan sepenuhnya.

“Adakah ini pelan transformasi yang diumumkan Perdana Menteri?” soalnya.

Maka, ujar beliau benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya, tambah beliau Umno Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu akta kuku besi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno Barisan Nasional.

“Walaupun kita akur dengan keputusan itu, Juham akan meneruskan perjuangan membebaskan kesemua yang ditangkap di peringkat rayuan dan yakin bahawa rayuan ini mempunyai merit yang sangat kuat di mana Juham akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut ke Mahkamah Tinggi.


“Malah, kes ini juga jelas suatu pendakwaan bermotifkan politik di mana fakta kes juga amat longgar untuk mensabitkan kesemua yang ditangkap terlibat di dalam perhimpunan haram,” jelasnya lagi.

Harakah Daily

Mahathir: Jangan ulas apa anda tidak tahu

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Tun Dr Mahathir Mohamad diminta tidak mengulas isu 'bai'ah' dalam PAS kerana tidak semua benda yang beliau ketahui di dalam dunia ini.

(Laporan akhbar Umno, Utusan hari ini)
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, adalah lebih baik Mahathir diam sahaja dalam isu ini kerana beliau tidak tahu sebenarnya apa dia bai'ah dalam PAS.

Mustafa mengulas ulasan Mahathir sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Mahathir, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli PAS berbai'ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

"Sebab itu saya kata, Mahathir tidak perlu ulas semua perkara. Dia tidak tahu hal bai'ah ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, bai'ah dalam PAS sangat tersendiri kerana kesemua pemimpinnya berbai'ah untuk menegakkan perjuangan Islam di negara ini.

"Oleh itu, bila Mahathir minta kita berbai'ah kepada Allah dan bukan pemimpin, saya kata Mahathir tak perlulah ulas semua benda atas dunia ini...buat malu sahaja," kata beliau.

Harakah Daily

Selamat Karena Iman

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Keindahan dalam hidup karena iman, itulah yang dirasakan dalam hidup seorang bapak. Di Rumah Amalia beliau bertutur bahwa dirinya seorang mualaf. Rumah tangganya tidak mengalami cobaan dan ujian yang berarti. Semuanya berjalan apa adanya sampai anaknya lahir. Walaupun begitu ditengah usianya separuh baya masih juga belum mau menjalankan sholat, puasa dan ibadah lainnya.

"Waktu itu saya tenggelam hanya mengejar kehidupan duniawi Mas Agus.." tuturnya. Meskipun demikian, istrinya tetap tekun menjalankan semua ibadah dengan baik bahkan tak jarang istrinya mengingatkannya agar untuk sholat namun semua itu tak dihiraukannya. Suatu ketika baliau merasakan sakit perutnya, mual, kembung dan membesar. Akhirnya dibawa ke rumah sakit, sampai dokter angkat tangan.

Tidak sanggup untuk mengobatinya. Apapun telah dilakukan, harta yang dimilikinya hampir ludes, tetapi kesembuhan tidak kunjung tiba. Dalam keputusasaannya istrinya senantiasa membimbing kalimah tayyibah, agar selelu menyebut Asma Allah dalam sakitnya. Dalam sakit itu sang bapak berjanji kepada istrinya, jika sembuh nanti..

saya akan menjalankan semua ibadah dengan baik." begitu tuturnya. Membiasakan diri ketika sakit untuk selalu membaca kalimah-kalimah thayiibah memang tidak mudah. walaupun sedikit namun terus diusahakannya untuk mengucap kalimah tayyibah dan berserah diri kepada Allah.

Sungguh Allah Maha Besar, Tiada yang memiliki kekuatan hanya Allah. Tak seorangpun yang mampu menahan segala sesuatu yang telah menjadi kehendakNya. Seperti yang dialaminya penyakit yang semula tidak bisa disembuhkan perlahan-lahan pulih kembali. Sedikit demi sedikit perutnya yang semula bengkak kemudian mengempis. Rasa sakit diperutnya mulai tak terasa lagi.

Akhirnya sakitnya benar-benar sembuh. Beliau setelah sembuh mulai belajar membaca al-Quran dan sholat. Dalam kehidupan rumah tangganya semakin kokoh. Tidak ada lagi perbedaan yang mampu mengguncang rumah tangganya.

Beberapa kali istrinya ikut belajar selalu meneteskan air mata. Air mata kebahagiaan seorang istri yang setia menemani sang suami tercinta. Bahkan kehidupan sekarang ini lebih mudah untuk bertegur sapa dengan tetangga, membuat keluarganya menjadi hidup tentram. "Saya tidak pernah menyangka bila kita melaksanakan perintahNya dengan sungguh-sungguh kita akan merasakan betapa indahnya hidup ini dengan senantiasa bersyukur atas semua Karunia Allah Subhanahu Wa Ta'ala. "ucapnya. Terlihat wajahnya sosok seorang bapak dan suami yang dipenuhi air mata.

Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka bercucuran air mata disebabkan kebenaran al-Quran yang telah mereka ketahui, seraya mereka berkata, 'Ya Tuhan kami, kami telah beriman maka catatkanlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi atas kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad. (QS. al-Ma'idah:83).

posted by :agussyafii

Lapan rumah dan satu surau dihanyutkan, 200 rumah rosak

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Banjir kilat yang melanda dua kawasan penempatan di daerah Pasaman, Sumatera Barat pada Rabu mengakibatkan sejumlah
kerosakan kepada kemudahan awam dan harta benda, termasuk lapan buah rumah serta sebuah surau yang dihanyutkan air.

Kejadian di Kampung Maringgiang, Bungo Tanjuang, Nagari Malampah di daerah kecil Tigo Nagari dan di Kampung Simpang 3, Marambuang Nagari Simpang, di daerah kecil Simpati itu, turut mengakibatkan 200 buah rumah rosak, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), pada Khamis.

Bencana itu yang berlaku akibat hujan lebat sejak tengah hari Rabu, menyebabkan kedua-dua kawasan terbabit dilanda air banjir setinggi lima meter,
yang membawa bersama kayu-kayu besar dan bahan runtuhan dari bukit Rimbo Malapah.

Arus air banjir juga mengakibatkan sebuah jambatan dan Jalan Simpati Malampah terputus.

Sehingga kini belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa, namun sejumlah penduduk yang menjadi mangsa bencana itu kini ditempatkan sementara di masjid dan dua buah sekolah.

Agensi-agensi bantuan kerajaan menghantar para pegawai mereka ke kawasan terlibat untuk menguruskan bantuan bencana kepada mangsa-mangsa. - Bernama

Tahniah MB Kedah hidup semula Kampung Buku

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Feb: Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Canter (KTC), Aziz Desa (gambar) mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah kerana telah merasmikan 8th International Booktown di Kampung Buku, Langkawi.

Menurutnya, pelancaran pada 13 Febuari lalu oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menggambarkan kerajaan negeri itu mementingkan budaya membaca dan ilmu.

Aziz Desa adalah Setiausaha Akhbar kepada MB Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid ketika Kampung Buku dilancarkan di Langkawi dahulu.

Aziz yang juga personaliti TV9 memberitahu, beliau menitis air mata apabila terbaca perkembangan kerajaan Kedah sekarang yang menghidupkan semula ‘Kampung Buku’ yang tidak berjaya sebelum ini walaupun ianya telah cuba dihidupkan oleh Menteri Besar Kedah yang terdahulu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dalam sesi temuramah dengannya di KTC tengahari semalam.

Menurutnya lagi, usaha Azizan menghidupkan semula Kampung Buku yang mampu menarik pelancong dalam dan luar negara itu membuktikan pemimpin tersebut seorang yang cintakan ilmu.

“Ianya cukup membuktikan kepada kita beliau seorang yang mementingkan budaya membaca bersesuaian dalam Islam itu sendiri mengutamakan membaca iaitu ‘iqra’ ,”ujarnya.

Menurutnya, kerana kegagalan Kampung Buku yang telah diperkenalkan tahun 1992 di Langkawi, ia telah di bawa ke Melaka walaupun ianya tidak berjaya sepenuhnya.

Jelasnya, beliau sendiri tidak terfikir Kampung Buku akan dihidupkan semula oleh kerajaan negeri hari ini.

Anak kelahiran Pulau Langkawi itu seterusnya memberitahu Kampung Buku mampu menarik ratusan juta pelancong setiap tahun sekiranya ia diadakan dengan baik sebagaimana yang telah berlaku di negara barat.

“Saya berharap Kelantan sebuah negeri yang mementingkan ilmu Islam juga sewajarnya mengadakan program sebegini kerana banyak manfaat yang akan diperolehi,”ujarnya.

Perasmian Kampung Buku oleh Ustaz Azizan baru-baru ini turut dihadiri delagasi luar negara.

Harakah Daily

Tiga pemain Afrika sertai latihan Skuad Seladang

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH -- Tiga pemain dari benua Afrika akan turun berlatih bersama skuad Seladang mulai awal bulan depan bagi mengisi kuota pemain import dalam pendaftaran kedua yang dibenarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kami tidak memberikan sebarang harapan kepada mereka, tetapi tetap menerima mereka untuk menjalani latihan bersama skuad sedia ada," kata Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata keputusan berhubung pemilihan pemain import itu akan dibuat sehingga akhir tempoh latihan. Zainol berkata pada masa ini pengurusan pasukan Liga Super tidak bercadang menggugurkan mana-mana pemain import sedia ada kerana pertandingan masih di peringkat awal.

Beliau berkata pasukan Perak hanya tewas dua dari enam perlawanan Liga Super.

"Bagi saya adalah terlalu awal untuk memberi reaksi kepada prestasi pemain kerana sukatan yang kami kenakan adalah kepada keseluruhan pasukan dan perlawanan.

"Kumpulan jurulatih yang diketuai Norizan Bakar juga tidak bimbang dengan prestasi Lazar Popovic yang belum menghasilkan sebarang gol, tetapi Popovic banyak membantu pasukan," katanya.

FAM membenarkan pendaftaran kedua pemain import dibuat bermula 2 hingga 16 April dan Perak kini mempunyai dua pemain import iaitu pemain dari Serbia, Lazar Popovic dan Michal Kubala. -Bernama

Sinar Harian

Lelaki cuba tetak polis ditahan

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN - Polis menembak dan menahan dua lelaki yang cuba menyerang anggota polis di Lebuh Pekaka, Sungai Nibong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, empat anggota polis dari Balai Polis Sungai Nibong yang membuat rondaan terserempak dengan dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai cuba memecah masuk sebuah kedai.

Ketika polis memeriksa seorang daripada lelaki itu, rakannya yang bersenjatakan sebilah parang cuba menetak Konstabel Shahrizal Zainol, 25, menyebabkan anggota polis itu melepaskan lima das tembakan ke arah kedua-dua mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata tembakan itu mengenai bahu kanan suspek yang berusia 25 tahun dan leher rakannya yang berusia 42 tahun.

"Anggota polis yang berasal dari Perak pula cedera ringan di tapak kaki kanan dan jari kiri akibat terkena tetakan suspek dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan," katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan HPP di sini.

Beliau berkata polis merampas sebilah parang dan siasatan ke atas suspek berusia 25 tahun mendapati dia mempunyai 19 rekod jenayah termasuk dua kes dadah manakala rakannya tidak mempunyai rekod jenayah.

Gan berkata siasatan juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kes samun berikutan polis telah menahan mereka di Air Itam Selasa lepas, tetapi mereka dapat meloloskan diri.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Kecederaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya dan Seksyen 304 kanun yang sama kerana cuba membunuh anggota polis," katanya. - Bernama

Sinar Harian

Kereta rempuh rumah ketika penghuni solat

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Sebuah kereta merempuh sebuah rumah di Taman Tiroi Labu, Jalan Seremban-Labu malam tadi ketika penghuninya sedang bersolat.

Namun dalam kejadian 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya Khairul Baiyinah, 11, selamat.

Ahmad berkata, ketika beliau dan anaknya sedang bersolat jemaah, beliau terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum terdengar dentuman pada dinding bersebelahan biliknya sedang bersolat.

"Anak saya menjerit ketakutan dan memeluk saya. Saya kemudian keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya dapati sebuah kereta Toyota Camry sudah terbalik dan orang ramai sedang menolong mengeluarkan pemandunya yang cedera,” katanya.

Beliau berkata beliau kerugian hampir RM10,000 akibat dua buah motosikal, dinding rumah dan perkakasan dalam rumahnya rosak teruk.

"Saya sudah tinggal di sini sejak 26 tahun lalu dan ini adalah kejadian yang pertama berlaku. Saya bersyukur sebab saya dan anak saya selamat,” kata Ahmad. - BERNAMA

Denggi: Satu lagi kematian dilaporkan

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini berkata hasil pemeriksaan di kediaman pesakit mendapati kadar pembiakan Aedes adalah tinggi iaitu 5.8 peratus.

Dalam tempoh itu juga sejumlah 585 kes dicatat dengan peningkatan sebanyak 72 kes berbanding minggu sebelumnya.

Sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya dengan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 44 kes, diikuti Kelantan 41 kes, Sarawak (12 kes), Pahang (enam), Johor (empat), Melaka (tiga), Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing dua kes dan Pulau Pinang mencatat satu kes.

Jumlah lokaliti juga meningkat iaitu daripada 116 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 126 lokaliti, dua lokaliti 'panas' dikenalpasti di Kuala Lumpur iaitu di Taman Miharja (Miharja Kondo Fasa 3) dan Flat Sri Melaka B (Blok 24-40) di Bandar Tun Razak, Cheras.

Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 78,570 premis telah diperiksa dengan 1,083 premis didapati mempunyai pembiakan Aedes.

Lapan negeri menunjukkan kadar pembiakan Aedes melebihi satu peratus iaitu Perlis, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Terengganu. - Bernama

Sinar Harian

Penduduk Ketari gempar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BENTONG - Penduduk di sekitar pekan Ketari terutamanya di Kampung Baru Ketari dikejutkan dengan satu kebakaran besar yang memusnahkan lebih 20 rumah, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 petang itu menyebabkan lebih 100 penghuni hilang tempat tinggal dan nyaris merebak ke sebuah stesen minyak berhampiran.

Menurut penduduk, kebakaran itu adalah bencana terbesar yang pernah berlaku di kawasan berkenaan.

Sinar Harian

Tahanan Palestin setuju tamat mogok lapar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Tahanan Palestin yang menjadi simbol bantahan kepada dasar ketidakadilan Israel akhirnya bersetuju untuk menamatkan mogok laparnya selama 66 hari, kelmarin selepas rejim Zionis mengumumkan dia akan dibebaskan pada April depan.

Menteri Keadilan Israel menyatakan tempoh penahanan Khader Adnan, 33, akan dipendekkan dan tidak akan dilanjutkan selagi tiada dakwaan baru dikenakan terhadapnya.

Pengumuman itu turut disambut gembira oleh isteri dan penduduk di kampung Araba, Tebing Barat.

Jurucakap kumpulan Jihad Islam tersebut nekad untuk mogok lapar bermula 18 Disember lalu sebagai tanda protes kepada dasar rejim Zionis yang menjatuhkan hukuman penjara tanpa sebarang perbicaraan adil.

sinar harian/-

Nyaris maut di tangan perompak

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENDANG – “Saya ditendang dan dipukul di bahagian tangan kanan kerana perompak itu bertanya kepada saya di mana barang berharga disimpan tetapi saya memaklumkan tiada barang berharga di rumah ini menyebabkan perompak itu marah dan bertindak sedemikian.”

Itu kata Md Isa Taib, 75, mangsa rompakan bersenjatakan parang, pedang dan pisau di rumah mereka di Kampung Sungai Rotan, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Md Isa dan isterinya, Che Puan Amin, 61, dan anak perempuan berumur 22 tahun hampir maut setelah dipukul, tangan dan kaki diikat manakala muka ditutupi menggunakan selimut tebal sehingga pasangan itu hampir mengalami sesak nafas.

Kejadian itu menyebabkan mereka kehilangan wang tunai RM3,000 bersama sebuah komputer riba milik anak perempuan mereka dan lima buah telefon bimbit, nilai kerugian kira-kira RM6,000.

Md Isa berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi seseorang menolak pintu bilik tidurnya yang tidak berkunci dan mendapati tiga lelaki berdiri di hadapannya sambil memegang parang, pisau dan pedang.

“Saya terkejut setelah melihat senjata yang dipegang tiga lelaki itu yang mana dua perompak terbabit memakai topeng. Tangan saya terus diikat menggunakan wayar kipas manakala kaki diikat menggunakan tali.

“Tiga perompak itu masuk melalui tingkap belakang rumah yang dipotong besinya dan cermin dicabut manakala seluruh bilik tidur di rumah itu turut diselongkar,” katanya
Pecah bilik guna tong gas

Isterinya, Che Puan berkata, dia terjaga daripada tidur dan mendapati suaminya sedang bercakap dengan tiga lelaki dalam bilik. Perompak kemudian bertindak mengikat tangan dan kakinya menggunakan wayar telefon serta kepala dan muka turut ditutup menggunakan selimut.

“Perompak itu bertanya kepada saya dan suami siapa lagi tinggal di rumah ini dan kami memaklumkan bahawa anak perempuan saya sahaja tinggal bersama dan sedang tidur di dalam bilik.

“Salah seorang perompak pergi ke bilik anak saya, mereka memecah masuk bilik yang berkunci itu menggunakan tong gas. Tiba-tiba saya terdengar suara anak saya menjerit dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami tidak dapat bergerak kerana dijaga seorang perompak terbabit,” katanya.

Che Puan berkata, perompak itu menarik keluar anaknya itu ke bilik mereka dan mengikat tangan serta kaki anaknya itu di samping menutup mulut dengan kain.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlangsung kira-kira sejam itu, anak perempuannya mengalami kecederaan pada bahagian mulut akibat ditampar perompak kerana enggan memberi telefon bimbit.

Manakala dia dan suami mengalami kecederaan masing-masing pada bahagian tangan kanan dan belakang badan.


Pasang kipas sebelum beredar

Che Puan berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku terhadap keluarga mereka namun, kejadian lalu perompak hanya memperoleh satu telefon bimbit sahaja.

Perompak itu juga sempat minum jus jambu dan buah-buahan yang berada di dapur setelah Che Puan menyedari botol jus berada di ruang tamu manakala buah-buahan hanya tinggal sebiji.

“Perompak juga ada bertanya kepada kami sama ada ingin makan buah atau tidak,” katanya.

Menurutnya, tiga perompak itu juga sempat memasang kipas sebelum beredar dari rumah terbabit.

“Perompak mengambil kipas dari bilik lain kerana wayar kipas yang ada dalam bilik itu dipotong oleh mereka dan ketika memasang kipas itu, salah seorang daripada perompak bertanya sama ada tahap kelajuan kipas yang dipasang laju atau tidak.

“Mereka tidak membuka ikatan tali yang diikat kami malah memasang kipas sebelum meninggalkan rumah dan kami bertiga berjaya melepaskan diri kerana ikatan yang diikat pada tangan anak tidak kukuh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sinar Harian

Seludup tenggiling untuk makanan eksotik

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANDAR HILIR - Sebanyak 67 ekor tenggiling dari negara jiran cuba dibawa masuk ke negara ini menerusi selat Melaka setelah dipercayai untuk dijual kepada pengusaha restoran makanan eksotik di negara ini.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya dua lelaki di perairan selat Melaka, berhampi­ran Pulau Besar, di sini, malam kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun dari Bengkalis, Indonesia ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri kira-kira 11.30 malam, ketika cuba membawa masuk haiwan berkenaan.

Suspek yang ditugaskan untuk menghantar kesemua haiwan itu menaiki sebuah bot pancung ditahan semasa rondaan rutin KDRM, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan negeri, Abdul Rahim Othman berkata, haiwan berkenaan dipercayai untuk dijadikan makanan eksotik bagi pasaran di semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kesemua tenggiling dengan anggaran berat dari kira-kira 900 gram hingga sembilan kilogram seekor itu bernilai lebih RM70,000.

“Harga seekor tenggiling boleh mencecah sehingga RM350 sekilogram atau RM3,150 bagi tenggiling yang mempunyai berat sembilan kilogram.

“Semua tenggiling itu akan ditempatkan di Zoo Melaka sementara menunggu perintah dari mahkamah,” katanya.

Sinar Harian

Kereta api tergelincir

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Kira-kira 60 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Malayan Tiger Train yang dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Johor Bahru, Johor, kempunan menaiki kenderaan berkenaan ke destinasi dihajati selepas kereta api dinaiki tergelincir ketika tiba di Stesen Keretapi Triang, Bera, awal pagi semalam.

Akibat kejadian jam 1.55 pagi itu, semua penumpang terbabit menaiki bas untuk ke destinasi selepas kereta api berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta api membawa empat gerabak itu tergelincir dari landasan ketika hendak memasuki laluan kedua di hentian berkenaan.

Katanya, akibat gagal memasuki laluan kedua itu menyebabkan kepala kereta api berkenaan tergelincir selepas tersasar dari landasan.

metro/-

Bai'ah: Harussani jangan ambil berita tepi jalan

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ditegur cara Sohibus Samahah beliau dalam mengutip dan mengulas berita tanpa menyiasat kesahihan berita terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan berbentuk nasihat hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menasihati Harussani untuk meninggalkan tabiat “mengambil berita di tepi jalan yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.”

Sebagai seorang mufti, Tuan Ibrahim menasihatkan beliau agar berpegang dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan".

“Banyak peristiwa dan kenyataan yang beliau ulas tidak mempunyai sandaran yang kukuh, dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja. Ini termasuklah dakwaan beliau bahawa lebih 200,000 umat Islam telah murtad, dakwaan bahawa Pulau Pinang tidak benarkan perarakan Maulid Nabi dan sebagainya.

"Terbaru beliau cuba mengulas isu bai'ah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar,” tegur beliau.

Dalam isu bai'ah yang diamalkan PAS selama ini, Harussani mendakwa bahawa tujuannya adalah untuk menakut-nakutkan ahli kerana soal akhirat adalah ketentuan Allah.

“Jadi kalau kita bersumpah berjanji kita dapati benda itu tak betul tak kan kita tak boleh tarik balik. Tak usah kita menakutkan orang dengan perkara akhirat sedangkan kita sendiri tidak pasti apakah orang berwajib baiah untuk tujuan berpolitik. Pada saya dia boleh buat perjanjian tapi masalah di akhirat bukan masalah kita, ia adalah masalah Allah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menjawab dakwaan Harussani, Tuan Ibrahim berkata bai'ah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam. Bahkan, kata beliau dalam Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal bai'ah samada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi, PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

“Mereka yang telah memenangi kerusi samada DUN atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat. Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak? Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?” sindir beliau.

Atas dasar itulah, terang Tuan Ibrahim, PAS membuat bai'ah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

“Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kerana dalam ba’iah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak.

Sepatutnya Harussani membaca meneliti dan melihat secara dekat matan ba’iah yang dibuat di dalam PAS, bukan dengan mendengar cakap-cakap mereka yang di luar atau dikeluarkan PAS,” selar beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan Harussani bahawa bai'ah dalam PAS disediakan oleh Majlis Syura yang terdiri dari para alim ulama, bukan oleh DHPP atau dikutip di tepi jalan.

“Soal akhirat memang ketentuan Allah, tetapi apa yang dijelaskan dalam bai'ah iakah sekiranya seseorang calon yang menang berba’iah dengan nama Allah lalu melanggari ba’iah tersebut, apakah salah kalau diingatkan mereka tentang azab Allah di akhirat?

"Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS,” tambah Tuan Ibrahim.

Namun begitu, kata beliau, reaksi dan ulasan Harussani yang berbolak-balik sudah dijangka dan sudah dilihat sebagai satu kebiasaan kepada yang mengikuti secara dekat kenyataan beliau.

Sebagai contoh, kata beliau ialah dalam isu kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves, di mana, pada awalnya Harussani menyerang PM dengan tuduhan Syirik, rosak aqidah dan tidak mahu mendengar nasihat tiba-tiba bertukar kepada harus, dibolehkan dan tidak bercanggah.

“Inilah yang menyebabkan ramai umat Islam berpendapat mufti seperti beliau, bukannya dirujuk oleh pemerintah sebelum sesuatu tindakan dibuat, sebaliknya dipergunakan untuk mencari dalil dan nas untuk menyokong sesuatu tindakan yang telah dibuat walaupun ia bercanggah dengan nilai Islam,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim turut membidas cara Harussani mengulas isu perjuangan bangsa dan raja-raja yang yang dikatakannya bukan dari perspektif Islam.

Semasa pelancaran Jati, Harussani berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum.

“Kecintaan bangsa dan ketaatan kepada makhluk mempunyai batas sempadan yang sangat jelas. Tindakan beliau, dan disebabkan beliau adalah mufti negeri telah mengundang pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat umum.

"Keadaan ini jika berterusan akan menghilangkan thiqah masyarakat terhadap beliau dan dengan kedudukan beliau sebagai mufti, dan hal ini adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dan malang bagi beliau,” tegas Tuan Ibrahim.

Harakah Daily

Hina al-Quran: Umno, Jati digesa sertai demo esok

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh umat Islam daripada kalangan parti politik, NGO dan badan pelajar untuk turun bersama PAS dalam himpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat, esok sebagai membantah tindakan zalim tentera Amerika Syarikat membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan penjara di Pangkalan Udara Afghanistan, kelmarin.

Bagi DPPM, tindakan tentera Amerika Syarikat adalah tindakan tidak perikemanusiaan dan menghina agama Islam.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, umat Islam yang prihatin sama sekali tidak boleh duduk berdiam diri membiarkan segala macam kejahatan dilakukan terhadap agama Islam.

Tegasnya, al-Qur’an adalah kitab suci umat Islam dan menjadi kewajipan seluruh umat Islam mempertahankannya, hatta sehingga mengorbankan diri.

“Sememangnya tindakan tentera Amerika Syarikat ini memberi isyarat untuk memusuhi umat Islam seluruh dunia.

“Umat Islam wajib bersatu di atas nama mempertahankan kesucian Islam dari dihina dan dipersenda,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPM hairan mengapa Menteri Luar Malaysia tidak bersuara lantang bagi membantah tindakan zalim tentera Amerika Syarikat itu.

Katanya, Perdana Menteri pula sebagai ketua negara umat Islam di negara ini langsung tidak kedengaran suaranya di peringkat antarabangsa dalam isu yang melibatkan umat Islam sejagat.

“Adakah kerana pemimpin negara ini takut dengan kelibat ‘Big Brother’ Amerika Syarikat atau sememangnya pemimpin negara ini tidak peka terhadap perkembangan umat Islam di seluruh dunia?” tanya beliau.

Menurutnya, mungkin pemimpin negara ini sibuk dengan berpolitik sehingga tidak sedar bahawa ada isu yang menyinggung perasaan umat Islam sedang berlaku di luar sana.

Mungkin juga, ujarnya pemimpin negara hanya ‘memperjuangkan Islam’ di negara ini sehingga tidak peduli pada nasib umat Islam di luar negara.

Justeru itu, katanya DPPM menggesa Umno dan rakan NGO bersamanya termasuk Jati untuk turun bersama umat Islam yang lain dalam himpunan itu sekiranya benar mereka memperjuangkan Islam.

“Sebagai makluman, ajakan ini adalah kali kedua terhadap Umno dan rakan sekutunya selepas himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria yang membunuh rakyatnya minggu lepas,” ujarnya.

Namun demikian, jelasnya yang mengecewakan ramai adalah Umno dan rakan-rakannya gagal hadir dalam himpunan pada minggu lepas.

“Isu ini membuktikan siapa sebenarnya yang mempertahankan Islam dan umatnya dan siapa pula yang hanya beretorik dalam isu yang melibatkan umat Islam,” ujarnya.

Harakah Daily

Tanah Felda: Zaid sokong Kelantan, minta negeri lain ikut

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Tindakan Kelantan mahu mengambil alih tanahnya jika Felda menyerahkannya kepada Felda Global Venture Holding (FGVH) di sokong oleh bekas defacto Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim (gambar).

Bagi Zaid, langkah Kelantan ini patut diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri lain kerana tanah ini sepatutnya diberikan kepada peneroka dibawah Akta GSA 1960.

Zaid, Presiden parti KITA berkata demikian melalui Twitternya hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa memberitahu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik sekumpulan peguam bagi memberikan nasihat berhubung perkara ini.

Ini kerana, tindakan Felda ini salah jika tanah itu diserahkan kepada FGVB dan akan dicagarkan pula untuk mendapatkan pinjaman wang.

Kelantan telah menyerahkan 55,500 ekar tanah kepada Felda tetapi tidak dimasukkan peneroka oleh Felda.

Ia hanya dijadikan ladang dan diuruskan di bawah Felda Plantation.

Menurut Husam, dalam perjanjian itu hanya dua pihak sahaja yang berhak memiliki ladang seluas 55,500 ekar itu, iaitu peneroka Felda atau Koperasi Peneroka Felda.

“Buat masa ini Felda Plaintation dimiliki 51 peratus oleh peneroka melalui Koperasi Peneroka Felda, namun sekiranya ia dipajak pada Felda Global Ventures Holdings, pihak koperasi peneroka hanya memiliki 37 peratus.

“Akibatnya koperasi bukan lagi pemegang majoriti dan ini melanggar Akta GSA 1990,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat exco, tengah hari semalam.

Husam menambah, Kelantan berhak mengambil balik ladang itu untuk diagih pada peneroka baru.

“Sekiranya ini berlaku lebih kurang 8,000 peneroka baru akan disenaraikan di negeri ini dengan agihan 4 hektar kepada setiap peneroka baru,” ujarnya

Harakah Daily

Karnival Mahabbah Rasulullah 25 Feb

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Akademi Belia Muslim Cemerlang (B'Muslim) akan menganjurkan Karnival Mahabbah Rasulullah s.a.w. pada hari Sabtu ini, 25 Februari di Padang Awam Kubang Gajah, Temerloh.

Karnival setengah hari yang akan bermula dari jam 8.00 pagi itu akan menjadi lebih menarik apabila turut dihadiri tokoh pendakwah dan ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus.

Penasihat program, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, karnival tersebut akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti santai yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

“Selain pertandingan mewarna yang akan melibatkan kanak-kanak berumur 9 tahun ke bawah, kami juga akan mengadakan pertandingan azan dan bercerita yang melibatkan para pelajar yang berumur 12 tahun ke bawah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sempena karnival itu, menurutnya, pihak penganjur akan turut melancarkan kelab basikal fixie Temerloh menerusi program khusus yang telah disusun.

“Program ilmiah akan bermula dengan solat Dhuha diikuti Kuliah Dhuha Perdana oleh Ustaz Nasruddin Hassan dan seterusnya sesi Soal Jawab Permasalahan Agama dengan Ustaz Azhar Idrus,” tambahnya.

Sehubungan itu, pihaknya menjemput semua pihak khususnya golongan muda hadir ke karnival tersebut bagi bersama-sama mendapatkan manfaatnya.

Orang ramai khususnya golongan muda yang ingin menyertainya dialu-alukan datang lebih awal bagi memudahkan pihak penganjur melaksanakan acara-acara yang telah disusun.

Selain itu, mereka juga diminta membawa bersama sejadah untuk keperluan mendirikan solat dan tikar untuk dijadikan alas tempat duduk.

Harakah Daily

Semakan kehakiman TOL Lynas disebut 28 Feb

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Semakan kehakiman menuntut pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas di Gebeng, Kuantan akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari ini.

Demikian dimaklumkan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar).

"Semakan kehakiman ini akan didengar jam 9 pagi di Mahkamah Jalan Duta," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pada Jumaat lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material, Dr Lee Chee Hong.

Sehubungan itu, Zulkefly menyeru semua pihak yang membantah operasi Lynas turun beramai-ramai ke mahkamah pada 28 Februari ini bagi menyatakan sokongan kepada semakan tersebut.

Harakah Daily

Fokus penjelasan kepada pengundi Melayu

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: PAS mengarahkan pimpinan dan tenaga penerangannya agar memberikan fokus kepada pengundi Melayu agar jangan percaya kepada diayah Umno yang hak mereka akan terhakis di bawah Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) berkata, penjelasan dan penerangan berulang kepada pengundi Melayu perlu dibuat bahawa tidak terhakis hak mereka di bawah Pakatan Rakyat.

"Fakta bahawa Pakatan Rakyat akan kekal menjaga mereka, malah lebih baik daripada Umno, kerana kita tidak akan mencuri kekayaan milik mereka untuk mengkayakan sebilangan kroni.

"Ketakutan kepada DAP hanyalah satu prasangka terancang oleh Umno yang dilakukan dengan tujuan untuk mengekal kuasa mereka," beritahu Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan apakah isu-isu semasa yang perlu perlu difokuskan PAS untuk PRU-13 ini.

Ia disiarkan dalam kolum Kesatuan Fikrah yang sedang disiarkan oleh Harakahdaily sekarang.

Selain isu itu, Mohamad meminta isu good governance dari segi pelaksanaan mesti dibuktikan oleh PAS dan Pakatan sekarang, dan ditonjolkan lagi di peringkat negeri dan persekutuan sekiranya menang dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Selain itu, umat Islam Melayu mesti difahamkan bahawa perjuangan Islam antara PAS dengan Umno jauh berbeza.

PAS sentiasa berusaha melaksanakan ajaran agama Islam itu sendiri, termasuk berusaha melaksanakan enakmen syariah, manakala Umno pula hanya menjadikan Islam sebagai slogan dalam pemerintahannya.

"Perkara ini juga boleh dilihat bagaimana tingginya komitmen PAS dalam menhapuskan rasuah dan menonjolkan pentadbiran yang bersih.

"Usaha PAS sebagai penyatu kaum melalui Islam turut dapat dilihat dalam penubuhan Kelab Penyokong PAS (DHPP)," jelas beliau.

Di bawah pentadbiran Pakatan, kata Mohamad, PAS yakin orang bukan Islam, walaupun tidak memeluk Islam, tidak akan bersifat anti-Islam seperti MCA di bawah pemerintahan Umno.

Mohamad dipercayai mengulas sikap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang jelas anti Islam berbanding dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang jelas amat memahami hubungan antara agama.

Ia dibayangkan oleh kedua-duanya dalam debat antara mereka baru-baru ini.

Harakah Daily

Saintis India temui haiwan seperti ular

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW DELHI - Sejak sebelum era dinosaur lagi satu spesies amfibia yang tidak berkaki hidup bebas di bawah tanah yang beriklim monsun di pedalaman utara India tanpa diketahui saintis.

Sekumpulan saintis India yang menemui spesies baharu amfibia memberikan ia nama chikilidae setelah menggali tanah untuk mencari haiwan berkenaan di hutan selama lima tahun.

Ketua kajian tersebut, Profesor Sathyabhama Das Biju dari Universiti New Delhi berkata, chikilidae tergolong dalam keluarga caecilian iaitu yang paling primitif antara tiga kumpulan amfibia termasuk juga katak dan salamander.

Disiarkan dalam jurnal Royal Society of London semalam, penemuan mereka mengukuhkan lagi bukti bahawa India dipenuhi hidupan amfibia dengan habitat yang perlu dilindungi.

Menurut Sathyabhama, chikilidae bukan sahaja tidak berbahaya tetapi ia turut membantu petani dengan memakan ulat dan serangga yang merosakkan tanaman manakala pergerakan spesies itu di bawah tanah dapat membantu menyuburkan tanah.

Namun, penduduk tempatan kerap membunuh chikilidae kerana tersilap anggap bahawa amfibia itu merupakan seekor ular berbisa. - AGENSI

M’sia sekongkol syarikat urus niaga dengan Israel

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) kesal dan membantah keras dasar kerajaan mengizinkan syarikat Malaysia berurusniaga dengan syarikat atau kerajaan Israel.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh berlepas tangan dengan mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi merestui syarikat Malaysia mengadakan hubungan perniagaan dengan Israel,” kata Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin dan Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily.

Ini, kata mereka sama dengan mengatakan sebuah ketua rumah tidak mahu mengiktiraf perompak tetapi membenarkan anggota keluarganya berurusan dengan perompak untuk mendapat keuntungan bersama.

“Apakah kerajaan boleh menganggap dirinya bersih dari menyokong ekonomi Israel dengan hanya mengatakan dia tidak mengiktiraf Israel tetapi masih mahu mengadakan hubungan ekonomi dengan sebuah negara haram iaitu Israel?

“Bukankah ini merupakan polisi hipokrit?” soal mereka.

Ini, menurut mereka dalam satu ketika Malaysia tidak mahu mengiktiraf Israel namun dalam ketika yang lain turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi Israel.

“Kami dengan ini mendesak kerajaan Malaysia mendedahkan semua syarikat semada milik swasta yang bertapak di Malaysia atau mana-mana syarikat GLC yang mengadakan urusniaga dengan mana-mana syarikat Israel,” tegas mereka.

Kerajaan juga, kata mereka hendaklah mendedahkan apakah barangan dan perkhidmatan Israel yang masuk ke Malaysia melalui pihak ketiga seperti Singapura dan Thailand.

Bagi mereka, kerajaan perlu telus mengenai urusniaga yang dijalankan antara syarikat-syarikat Malaysia dan Israel serta hendaklah mendedahkan berapakah nilai perniagaan yang dilakukan antara pihak-pihak berkenaan dengan Israel.

“Kami tidak dapat menerima alasan kerajaan bahawa urusniaga syarikat swasta dengan Israel tidak boleh dikawal,” kata mereka lagi.

Mereka menambah, dengan segala kelulusan yang berkaitan dengan import dan eskport yang pasti melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, perdagangan dengan Israel sememangnya boleh dipantau dan dihalang.

“Kami mendesak supaya suatu dasar yang jelas mengenai larangan berusniaga dengan mana-mana syarikat Israel hendaklah ditetapkan dengan jelas dan tegas.

“Kami mengutuk keputusan pihak berkuasa yang membenarkan kapal syarikat Israel berlabuh di pelabuhan Klang,” ujar mereka lagi.

Mereka mempersoalkan jika Gaza dikenakan dasar kepungan (blockade) sepenuhnya oleh tentera Israel sehingga tidak memungkin mana-mana kapal luar mendekati pantai Gaza, kenapa Malaysia dengan mudah membenarkan kapal Israel berlabuh di perairan Malaysia.

“Bukankah ini menunjukkan Malaysia tidak konsisten dengan penentangannya terhadap Israel?” soalnya.

Justeru, tegas mereka Mapim dan Shura mendesak supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana kapal perdagangan Israel masuk ke dalam perairan Malaysia.

“Mengizinkan kapal Israel berlabuh walaupun tidak membenarkan krewnya mendarat tidak membawa erti apa-apa kerana yang jelas ialah kebenaran memasuki perairan Malaysia itu sendiri sudah memberi mesej bahawa Malaysia merestui dan mengiktiraf Israel,” ujarnya.

Harakah Daily

Pukul isteri kerana ikan puyu

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PADANG SERAI - Hanya kerana ikan puyu seorang wanita cedera di badan kerana dipukul suaminya.

Wanita yang berusia 40-an itu ditemui berjalan berseorangan sambil menangis kira-kira jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Padang Serai oleh unit MPV.

Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa memberitahu suaminya ada memelihara ikan puyu, bagaimanapun ikan puyu itu ditemui mati atas simen.

“Suami mangsa yang berang apabila mendapati ikan kesaya­ngannya mati telah memukul isterinya beberapa kali di badan sebelum menghalaunya keluar dari rumah.

“Kami juga difahamkan suaminya memang seorang yang panas baran dan sering memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memujuk wanita terbabit pulang selepas membuat laporan, bagaimanapun dia enggan berbuat demikian kerana takut dipukul suaminya lagi.

“Sekiranya suami mangsa tidak memukul atau mencederakannya, kes ini tidak akan dibuka sebaliknya menasihatkan suami supaya tidak bertindak kasar terhadap isteri,” katanya.

Sinar Harian

Bengkel kereta port pengedar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Sebuah bengkel kereta di bandar ini dipercayai dijadikan lokasi pengedar dadah berkumpul dan berkemungkinan besar, salah sebuah pusat servis komputer berhampiran pula menjadi sarang penjualan barang larangan berkenaan.

Berikutan serbuan ke atas bengkel itu yang dilakukan sepasukan anggota polis, empat individu berusia antara 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan bersama 95 biji pil berwarna merah dipercayai dadah jenis methamphetamine kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketika polis menyerbu masuk ke dalam bengkel, keempat-empat suspek tidak menyedari langsung kehadiran pihak polis memudahkan tangkapan dibuat.

“Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, dua daripadanya berusia 23 dan 26 tahun masing-masing mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

“Manakala ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu semalam.

Bagaimanapun seorang daripada suspek yang bekerja sebagai carigali di pelantar minyak Petronas ditahan di bawah seksyen lain kerana memiliki dadah dipercayai methamphetamine sebanyak 70 biji yang diletakkan di dalam kotak rokok miliknya.

“Suspek yang berusia 22 tahun itu disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek dikatakan mula berjinak dan aktif dengan aktiviti pengeda­ran dadah sejak dua tahun lalu.

Sinar Harian

Pelajar dicekup curi mesin pemotong kelapa sawit

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Polis menahan seorang pelajar tingkatan empat bersama dua orang yang lain selepas disyaki terlibat kegiatan mencuri sebuah mesin pemotong pokok kelapa sawit, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek ditahan setelah pihaknya mendapat maklumat daripada pemilik mesin berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, mesin seberat 200 kilogram itu sukar untuk dibawa tanpa ramai orang yang terlibat untuk mengangkatnya.

“Berdasarkan maklumat, pihak kami dimaklumkan bahawa mesin berkenaan mahu dijual oleh seseorang dengan harga RM2,000. Kemudian, sepasukan anggota dihantar ke kawasan Labu Kubong untuk menyiasat hal berkenaan bagi memastikan mereka terlibat.

“Apabila mendapati mesin yang hendak dijual oleh suspek tersebut adalah mesin pemotong pokok kelapa sawit milik mangsa, pihak kami menahan dua orang berusia 20 hingga 16 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Labu Kubong.

Pemeriksaan awal ujian air kencing ke atas suspek berusia 20 tahun mendapati positif dadah manakala suspek berusia 16 tahun mendapati seorang pelajar sekolah di sini.

Kok Liang berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan pihaknya kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Pemuda PAS ikrar tegakkan kebebasan berhimpun

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 ke atas 11 individu yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2009 hanya memperkuatkan hasrat Pakatan Rakyat bagi memastikan kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman apabila mereka mentadbir Putrajaya kelak.

riduan mohd nor“Bagi Pemuda PAS, hukuman yang dikenakan tidak akan mematikan semangat perjuangan jutaan rakyat yang bangkit dalam himpunan terbabit kerana sememangnya ISA diterima rakyat sebagai akta yang zalim dan menindas rakyat.

“Malah, PAS percaya rakyat semakin bersemangat dan berkobar-kobar menantikan himpunan lain dalam menentang sebarang bentuk kezaliman yang berlaku,” kata ketua penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor (kanan) dalam satu kenyataan media

Menurut, mereka yang terlibat dan ditahan itu benar-benar membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan bukan suatu perjuangan yang kecil dan ringan, melainkan ia menuntut pengorbanan yang besar, sekalipun terpaksa mendekam dalam penjara besi atau didenda.

“PAS mengharapkan hukuman yang dikenakan ini tidak melemahkan semangat juang para aktivis terbabit, sebaliknya ia menjadi suatu inspirasi kepada mereka untuk terus gigih berjuang menentang sebarang bentuk kezaliman di negara ini.

“Tidak ada istilah lemah semangat atau berundur sebelum memastikan negara ini benar-benar bebas dari penindasan. Sejarah akan mengenang semua tahanan ini sebagai contoh insan yang begitu prihatin dan peka terhadap suasana yang berlau di negara ini,” katanya.

Pada 3 Ogos, 2009, seramai 16 orang dihadapkan ke mahkamah dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram.

Selain itu, mereka juga dituduh di bawah Akta Polis 1967.

Mereka dikatakan berkumpul di tempat mereka ditahan antara jam 9 pagi dan 1.30 petang, pada 1 Ogos, 2009, di sekitar Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pada perbicaraan semalam, tiga tertuduh tidak hadir di mahkamah dan waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka. Dua lagi tidak hadir dengan kebenaran mahkmah dan hukuman ke atas mereka belum dijatuhkan.

Mereka yang didakwa itu ialah Nordin Mohamad, Hayati Abdul Samad, Salmah Ismail, Norlaila Othman, Nashita Mohd Noor, Rashini, Hasbullah Pit, Wan Muhamad Jazlan Razali, Mohd Petri Mohd Yassin, Syaza Muaz Shaharudin, Mohd Sukri Mohd Sirat, Mohamd Sukeri Muhammad, Mohd Sallehuddin Yusop, Zulsifli Kama Kutty, Mohd Fazlzy Mohd Ismail, dan Norazam Sakib.

Menurut Riduan, beliau berharap para aktivis terbabit serta rakyat seluruhnya supaya bersabar seketika dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran sehingga pilihan raya umum ke-13 nanti.

“PAS memberi jaminan, Pakatan Rakyat akan memastikan ISA akan dihapuskan seluruhnya apabila Pakatan mentadbir Putrajaya kelak serta kebebasan rakyat dalam mengadakan himpunan aman,” akhirinya.

malaysiakini/-

PM Itali Miliki 16 Rumah & Pendapatan Sehingga Euro 1 Juta

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ROM: Perdana Menteri Itali, Mario Monti memperolehi pendapatan sehingga Euro 1.01 juta setahun atau AS$1.34 juta di samping memiliki 16 buah rumah.

Jumlah aset dan pendapatan beliau terkandung di dalam borang deklarasi harta dan diterbitkan secara dalam talian sebagai sebahagian daripada polisi ketelusan kerajaan baru di bawah pimpinannya.

Monti, bekas seorang profesor ekonomi, juga mengisytiharkan memiliki bond dan dana pelaburan berjumlah Euro 11 juta.

Pengisytiharan aset yang dibuat secara terbuka oleh kabinet pimpinan Monti ini mendapat perhatian ramai sehingga laman web kerajaan yang menyiarkannya terpaksa ditutup kerana trafik yang terlalu tinggi.

Turut mencuri perhatian ialah deklarasi aset oleh Menteri Luar, Giulio Terzi yang mengisytiharkan memiliki motosikal Harley Davidson manakala Menteri Hal Ehwal Parlimen pula memiliki dua buah 'pondok batu' di kaki pergunungan Alps.

Monti mengantikan pemimpin kontroversi, Silvio Berlusconi yang berhadapan dengan skandal seks, sebagai perdana menteri pada November tahun lalu.

Berlusconi juga adalah pemilik kelab bolasepak terkemuka dunia AC Milan.

Sementara itu, Menteri Undang-Undang, Paola Severino, yang juga merupakan seorang peguam terkenal sebelum dilantik sebagai anggota jemaah menteri merupakan penerima pendapatan tertinggi iaitu Euro 7 juta pada tahun 2010 sementara Menteri Pembangunan Ekonomi, Corrado Passera memperolehi pendapatan sehingga Euro 3.5 juta setahun.

Passera sebelum ini adalah pengerusi Bank Intesa Sanpaolo, iaitu salah sebuah bank terbesar di Itali.

Kata Menteri Undang-undang Severino, mereka yang memperolehi pendapatan secara sah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai tidak harus dipandang serong malah mereka patut dihormati kerana menjadi warga yang bertanggungjawab.

Menteri yang menerima pendapatan paling rendah ialah Menteri Perhubungan Antarabangsa, Andrea Riccardi yang mengisytiharkan pendapatan sebanyak Euro 120,309 sahaja pada tahun lalu.

mstar/-

Penduduk minta atasi hakisan tanah

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MIRI, 23 Feb: Sebuah keluarga yang tinggal di pinggiran Sungai Dalam B, Lambir di sini merayu pihak kerajaan agar segera menyelesaikan masalah hakisan tanah di hadapan rumah mereka kerana sebahagian rumah telah roboh akibat hakisan tanah pada tahun lalu.

Keluarga tersebut bernasib baik, kerana hanya sebahagian saja rumah mereka yang roboh, kalau tidak sudah tentu perkara yang lebih buruk berlaku ke atas mereka.

Penduduk kampung, menasihatkan keluarga tersebut agar meminta bantuan dari pejabat tanah dan ukur untuk mengatasi masalah tanah mereka.

Puan Minah Sulong, dan suaminya, Aban Juhai pernah mengadu kepada pejabat tanah dan ukur di Miri mengenai masalah tempat tinggal mereka tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Mereka pernah juga memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi tiada sebarang bantuan yang dihulurkan.

Suami yang agak berumur tetapi masih lagi bekerja di supermarket berdekatan dan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membina semula bahagian rumah mereka yang runtuh akibat tiada bantuan atau peruntukan daripada pihak yang berwajib.

"Sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan segera memperbaiki dan membina benteng pertahanan di pinggir sungai tersebut untuk mengelak berlaku hakisan tanah yang lebih teruk lagi akibat hujan lebat," kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee.
Beliau berkata, Jabatan Perparitan dan saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya sepatutnya, membina parit dan juga jalan untuk kemudahan penduduk di Kampung Sungai Dalam tersebut, agar mereka tidak dilanda oleh masalah tanah hakisan dan banjir di kawasan tersebut.

"Kita mendesak pihak berwajib segera datang ke Kampung Sungai Dalam dan meninjau keadaan sungai di kawasan tersebut, agar tidak berlaku hakisan tanah lagi. Jangan sampai berlaku kecelakaan barulah pihak yang berwajib mahu bertindak.

"Kita harap mereka yang diamanah oleh rakyat dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan jujur dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya.

Harakah Daily

Dua wartawan barat antara terbunuh

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 23 Feb. – Dua wartawan Barat adalah antara yang terbunuh dalam serangan tentera kerajaan ke atas bandar Homs semalam.

Menurut Pemantau bagi Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 68 orang terkorban di seluruh negara ini dalam serangan terbaru tentera rejim, menjadikan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 7,636 sejak ketegangan meletus Mac lalu.

Menteri Kebudayaan Perancis, Frederic Mitterrand berkata, wartawan yang terkorban itu ialah Marie Colvin dari Sunday Times, London dan juru gambar dari Perancis, Remi Ochlik ketika pengeboman di daerah Baba Amr, Homs. – AFP

Jepun mahu bina lif ke angkasa

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TOKYO - Sebuah firma pembinaan Jepun mendakwa semalam ia mampu melaksanakan rancangan luar biasa untuk meletakkan pelancong di angkasa lepas dalam tempoh 40 tahun dengan membina sebuah lif setinggi 96,000 kilometer (km) atau suku jarak Bumi ke bulan.

Firma Obayashi Corp mendakwa lif itu boleh dibina dengan menggunakan teknologi karbon nanotube yang lebih 20 kali ganda lebih kuat daripada besi.

Menurut firma berkenaan, lif itu dapat membawa sehingga 30 penumpang pada sesuatu masa dan bergerak pada kelajuan 200 kilometer sejam selama seminggu sebelum berhenti di sebuah stesen pada jarak 36,000km.

Ketua projek itu, Satomi Katsuyama berkata, pelancong akan tinggal di stesen berkenaan manakala kumpulan penyelidik dan pakar akan meneruskan perjalanan.

"Manusia sejak dahulu lagi kagum dengan menara tinggi. Kami akan membina lif ini dari angkasa lepas dan bukan Bumi," katanya.

Walaupun Katsuyama yakin pelan tersebut akan berjaya, beliau belum menetapkan anggaran kos, lokasi dan pembiaya bagi membina struktur berkenaan.

Firma itu membina bangunan tertinggi di Jepun, Tokyo Sky Tree, yang setinggi 634 meter.

Antara penglibatan syarikat itu dalam pembinaan bangunan ialah Dubai Metro di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Studio Universal Osaka, Jepun dan Stadium Australia yang digunakan untuk Sukan Olimpik Sydney. - AFP

Isu Israel: PAS kecam kerajaan bermuka-muka

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PAS hari ini mengecam tindakan kerajaan yang didakwa bermuka-muka dalam isu Israel apabila didakwa terus membenarkan hubungan niaga dengan negara Yahudi itu.

"PAS mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan BN yang diterajui yang berterusan berurusniaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel, ketika mana rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan," kata Ketua Penerangan DatukTuan Ibrahim Tuan Man.

JINGGA 13 Isnin lalu mendedahkan dokumen Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, yang mendakwa kapal dikuasai Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang.

Dalam kenyataanya hari ini, Tuan Ibrahim berkata, pertemuan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bertujuan memberi ruang penjelasan kepada ketua pembangkang berhubung kenyataannya tentang Israel.

Beliau - pihak ketiga dalam pertemuan pemimpin tertinggi PAS-PKR - itu juga sekali lagi menegaskan pendirian parti Islam itu yang tetap bersama rakyat Palestin bagi mendapatkan balik hak negara yang dirampas Israel.

"Keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama, kerana nyawa, harta dan tanah air mereka terus diganyang oleh Israel. Justeru semua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin dari kebiadaban rejim Israel," katanya.

Justeru, tegasnya, perancangan berhubung masa depan Palestin hendaklah mengambil kira pendirian kumpulan Hamas yang menerima mandat rakyat negara itu, sekali gus menolak peta jalan (road map) kuasa Barat.

"Maka PAS bersama darah, air mata dan derita rakyat di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka," katanya lagi.

malaysiakini/-

Angkara nyamuk rumah dibakar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUBANG PANJANG – Pepatah ‘kerana nyamuk, kelambu dibakar’ menjadi kenyataan, namun kali ini, bukan kelambu yang menjadi mangsa, tetapi kuarters lama hangus dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an, tampil membuat pengakuan kepada penduduk setempat, setelah bertindak membakar rumah berkenaan, hanya kerana marahkan nyamuk.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kerana rumah berkenaan merupakan kuarters lama, yang tidak berpenghuni hampir 10 tahun lalu.


Nyamuk banyak sangat

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, tampil membuat pengakuan dan mengaku bertanggungjawab membakar kuarters itu.

Abu dipercayai kurang siuman, mengaku membakar rumah itu, kerana tidak tahan dengan nyamuk yang mengganggu masa tidurnya.

Katanya, dia tidak berniat hendak membakar keseluruhan rumah, tetapi kerana terlalu marahkan nyamuk, dia tidak sedar, api menyebabkan rumahnya hangus.

Abu berkata, dia menganggap rumah berkenaan sebagai rumahnya, kerana rumah berkenaan sudah lama tidak berpenghuni.

“Pada mulanya, saya ambil mancis dan membakar tilam, kerana nyamuk banyak di kawasan itu.

“Namun, api mulai marak sehingga tidak dapat dikawal, malah turut membakar keseluruhan rumah,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berpindah ke kawasan lain, kerana kuarters itu tidak lagi selamat untuk didiami.


Operasi memadamkan

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati kuarters satu tingkat yang berukuran 480 meter persegi ini, terbakar hampir 40 peratus.

“Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke bilik bersebelahan dalam masa 35 minit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kerugian yang ditanggung dan punca berlakunya kebakaran ini.


Penduduk risau

Sementara itu, penduduk, Othman berkata, sejak sekian lama, penduduk menyuarakan kerisauan berhubung bangunan tinggal ini kepada pihak berwajib.

Menurutnya, hampir 10 tahun lalu, bangunan itu tidak diselenggarakan, malah ditinggalkan tanpa sebarang pemantauan.

“Kita tidak mahu ia digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai sarang jenayah.

“Kawasan ini juga agak terpencil, maka ia mungkin menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini terutama kepada kanak-kanak dan gadis di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk tidak mahu kejadian seumpama ini berulang, malah mereka turut menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan tegas berhubung kuarters tinggal ini.

Sinar Harian

Ancaman gajah liar berakhir

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Kebimbangan penduduk Kampung Serian Batu 11, dekat sini, dengan ancaman sembilan gajah liar hingga memusnahkan tanaman berakhir apabila seekor daripada sekumpulan gajah itu ditangkap Khamis lalu.

Gajah jantan berumur antara 35 hingga 40 tahun itu ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang yang memburunya bermula 14 Februari lalu.

Ini ekoran daripada aduan penduduk kampung terbabit mengenai ancaman gajah liar itu hingga berpuluh hektar kebun pisang dimusnahkan sekumpulan gajah terbabit sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, lapan gajah liar lagi berjaya dihalau jabatan itu memasuki kawasan hutan berjauhan dengan kampung tersebut mengelakkan ancaman seumpama itu berulang lagi.

Pemindahan gajah berkenaan dilakukan petang kelmarin dengan menggunakan dua gajah denak yang dibawa khusus dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah untuk dilepaskan semula di kawasan Taman Negara.

Penangkapan gajah liar itu adalah yang kedua di kampung berkenaan dan kali pertama dibuat Oktober tahun lalu selepas sekumpulan gajah sama menyerang tanaman penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Serian, Mat Ropi Ismail, berkata, kampung terbabit bersama kampung lain berdekatan kerap menjadi sasaran sekumpulan gajah liar berkeliaran.

Beliau berkata, keadaan yang paling membimbangkan lagi selepas kejadian seorang pekebun getah dihumban gajah liar terbabit setahun lalu berikutan penduduk kerap terserempak dengan gajah itu dalam kebun getah mereka.

Malah, kata beliau, gajah itu juga hampir kerap memusnahkan kebun pisang yang diusahakan penduduk hingga menanggung kerugian teruk, selain memusnahkan pokok getah.

“Walaupun hanya seekor daripada sekumpulan sembilan gajah liar yang kerap berkeliaran itu ditangkap, sekurang-kurang keresahan penduduk mengenai ancaman gajah liar itu makin reda. Kita akan melaporkan segera kepada pihak terbabit jika sekumpulan tujuh ekor lagi gajah liar yang masih berkeliaran di situ mengganas termasuk memusnahkan tanaman penduduk,” katanya.

Sinar Harian

Himpunan Hijau 2.0 juga di empat lokasi lain

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Selain Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah pembinaan pusat memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang yang dijadualkan di Kuantan pada Ahad ini, beberapa lagi lokasi lain juga telah dikenal-pasti bagi menunjukkan perpaduan rakyat di seluruh negara.

NONE"Kami gesa orang ramai untuk turun ke Kuantan pada Ahad ini kerana di situ ada tempat acara utama, tetapi kami faham bukan semua yang dapat pergi ke Kuantan.

"Jadi, kita akan adakan program solidariti di tempat-tempat lain di negara ini," kata setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan pada sidang akhbarnya, semalam.

Perhimpunan serentak di seluruh negara bagi membantah loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) itu akan diadakan di:

Maju Junction di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, dari jam 9.30 pagi hingga tengah hari.

Speaker’s Square di Esplanade, Pulau Pinang, pada jam 6 petang.

Di hadapan bekas tapak kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah, Perak, pada jam 11 pagi.

Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu, Sabah, pada jam 4 petang.

Menurut Arutchelvan, pihak lain yang mahu menganjurkan program solidariti seumpama itu adalah dialu-alukan untuk berbuat demikian.

NONETurut hadir pada sidang akhbar ini adalah wakil-wakil dari Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia, Gabungan Hijau Rakyat, Saya Anak Bangsa Malaysia, Pasukan Kemajuan Kebangsaan India, Pusat Kebudayaan Pembangunan LLG dan Parti Rakyat Malaysia.

Kumpulan lain yang menyokong perhimpunan tersebut termasuk Jawatankuasa Anti-Radiasi Perak, Jawatankuasa Anti-Sianida Bukit Koman, Suara Rakyat Malaysia dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.

Perhimpunan itu sebagai membantah lamp yang telah diberikan lesen operasi sementara pada 30 Januari lalu bagi mula memproses nadir bumi.

Pengkritik bimbang sisa radioaktif yang tercemar akan menjejaskan kesihatan penduduk yang tinggal berdekatan serta memudaratkan alam sekitar.

malysiakini/-

Radiasi sampai 643 kilometer

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SALT LAKE CITY: Pencemaran radioaktif berpunca daripada kebocoran loji nuklear Fukushima dikesan sejauh 643 kilometer luar Jepun di Lautan Pasifik, dengan bacaan air menunjukkan radiasi 1,000 kali lebih tinggi berbanding tahap sebelum ini, lapor saintis, kelmarin.

Pada masa sama, kehadiran bahan cesium-137 jauh lebih rendah daripada paras yang dianggap berbahaya, sama ada terhadap hidupan laut atau mereka yang makan makanan laut, kata Ken Buesseler dari Institut Woods Hole Oceanographic.

Beliau mendedahkannya dalam mesyuarat Sains Lautan tahunan di Salt Lake City, yang disertai lebih 4,000 penyelidik minggu ini. Bacaan itu adalah untuk contoh air yang diambil pada Jun lalu, kira-kira tiga bulan selepas malapetaka loji kuasa, kata Buesseler.

Selain beribu-ribu contoh air, penyelidik turut mengambil sampel ikan dan rumpai serta mendapati tahap cesium-137 masih di bawah had kesihatan dibenarkan.

“Kami belum lagi selamat dari segi pencemaran radioaktif di lautan kerana kebocoran yang berterusan dari loji itu, kata Buesseler dalam temuramah. – AP

Porto berdepan hukuman

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

FC Porto berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak Eropah, jika didapati bersalah terhadap dakwaan perkauman dicetuskan penyokongnya pada pertemuan Liga Eropah menentang Manchester City, minggu lalu.

Pada perlawanan itu, penyokong Porto mengejek pemain tengah City, Yaya Toure dan penyerang, Mario Balotelli dengan mengajuk bunyi monyet setiap kali mereka mendapat bola.

“Kami membuka kertas siasatan terhadap dakwaan perkauman itu dan penyiasatan kes ini akan dijalankan pada 29 Mac nanti,” kata Uefa," katanya.

Sinar Harian

Kontrak lumayan Nani

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANCHESTER United dilaporkan bersedia menawarkan kontrak lumayan kepada Luís Carlos Almeida atau lebih sinonim digelar Nani dalam usaha merantai pemain itu sehingga 2016 di Old Trafford.

Perbincangan mengenainya hanya dibuat minggu hadapan.

Jika segalanya berjalan lancar, Nani menerima bayaran gaji baru £130,000 (RM620,000) seminggu.

Ketika ini, kontrak pemain antarabangsa Portugal itu bersama United, masih berbaki dua tahun dengan bayaran gaji berjumlah £90,000 (RM430,000) seminggu.

Sebelum ini, AC Milan dan Juventus menunjukkan minat untuk membawa pemain itu beraksi di Serie A, musim depan.

Sinar Harian

Gempa sederhana gegar Maluku Tenggara

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA 23 Feb. – Satu gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan Maluku Tenggara, Indonesia, semalam.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, pusat gempa terletak 98 kilometer ke Timur Laut Maluku Tenggara dan 112 kilometer ke Timur Laut Tual-Maluku, pada kedalaman 14 kilometer.

Bagaimanapun tiada laporkan mengenai kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda dibuat. – BERNAMA

Arroyo mengaku tidak bersalah

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu dalam pilihan raya pada pembukaan kes pendakwaan di sini, hari ini.

Kes terhadap Arroyo difailkan panggantinya, Presiden Benigno Aquino III, yang berjanji untuk membanteras rasuah dan berkata, seorang pun tidak akan terlepas daripada keadilan.

Arroyo yang diiringi dengan kawalan keselamatan yang ketat menuju ke bilik perbicaraan di Manila dari sebuah hospital tentera di mana beliau ditahan ketika sedang dirawat bagi masalah tulang belakangnya.

Arroyo menjadi Presiden Filipina dari 2001 hingga 2010.

Pertuduhan terhadap beliau membabitkan pemilihan senator pada 2007, apabila dia dituduh memanipulasi keputusan untuk menyokong calon pilihannya.

Suaminya, Miguel Arroyo, berkata tuduhan terhadap isterinya adalah satu ketidakadilan. - AP