14 February 2012

Suhakam sokong laksana pendaftaran automatik

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Kerajaan boleh melaksanakan pendaftaran secara automatik kepada mereka yang layak untuk memilih calon dan parti politik pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak melanggar hak asasi manusia.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suha­kam), Muhammad Sha’Ani Abdullah berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera berbuat demikian untuk memberi ruang kepada rakyat negara ini, menentu hala tuju kepimpinan dan masa depan negara.

“Jika dilaksanakan pendaftaran secara automatik, ia seolah-olah menunjukkan semua orang boleh terlibat dalam urusan pentadbiran negara kerana diberi hak untuk memilih wakil rakyatnya secara mudah.

“Bagi kami, malah tidak timbul ia boleh menjejaskan hak asasi seseorang untuk menyertai dan mempengaruhi urusan pentadbiran negara. Begitu pun, kita tidak boleh memaksa seseorang supaya mendaftarkan diri sebagai pemilih,” katanya mengulas kenyataan Bicara Isnin, semalam mengenai 2.1 juta orang Melayu berumur 21 tahun belum mendaftarkan diri sebagai pemilih dengan SPR.

Beliau berkata, hak membuang undi adalah perkara lain dan tidak ada kena-mengena dengan pendaftaran secara automatik.

Sekiranya seseorang dipaksa untuk mengundi atau dikenakan denda kerana gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, kata Muhammad Sha’Ani, ia boleh menjadi kesalahan dan dituduh melanggar hak asasi manusia.

“Untuk memastikan ketelusan dalam melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik, SPR perlu menitikberatkan aspek keselamatan untuk mengelakkan berlaku sebarang penyelewengan.

“Kerajaan juga harus membuat satu undang-undang dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara ini supaya tidak timbul keraguan mengenai sistem berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Suhakam mengalu-alukan ia dilaksanakan pada masa terdekat.

“Tanya kerajaan kenapa tidak mahu berbuat demikian kerana bagi kami, ia sepatutnya boleh dilaksanakan,” katanya./sinar harian

Pakatan Sokong Himpunan Anti-Lynas

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 14 FEB: Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong penganjuran Himpunan Hijau pada 26 Februari sebagai usaha menterjemahkan gesaan memberhentikan projek nadir bumi oleh Syarikat Lynas di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mewakili pimpinan Pakatan dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam.

"Gerakan membantah Lynas diteruskan. Pada 26 Februari ini akan diadakan himpunan hijau, menentang Lynas di Kuantan.

"Pemimpin parti akan turun bagi menyatakan sokongan kepada penganjuran itu," kata Anwar.

Projek yang diusahakan oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Pembinaan loji kontroversi ini menjadi titik pertembungan antara Umno-BN dan Pakatan disamping menyaksikan kemarahan awam terus memuncak.

Tentangan terhadap loji itu berhubung kebimbangan terhadap keracunan radiasi terhadap masyarakat dan persekitaran.

Rakyat juga kelihatan kurang yakin dan percaya terhadap jaminan yang diberikan oleh kerajaan pusat Umno-BN dan Lynas bahawa operasi kilang itu hanya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah.

Mengulas lanjut perkara ini, Anwar bekata Gabungan Hentikan Lynas (SLC) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang meluluskan Lesen Kendalian Sementara (TOL) untuk projek itu.

"Jawatankuasa itu akan mempersiapkan tindakan undang-undang bagi semakan kehakiman diadakan dalam masa yang segera dan diharapkan dapat dikemukakan sebelum 26 Februari ini," jelas Anwar.

tv news/-

Rumah mampu milik pertama Selangor siap September

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 14 Feb: Rakyat negeri Selangor boleh menarik nafas lega apabila sejumlah 136 unit Rumah Mampu Milik (RMM) pertama di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat negeri itu dijangka siap September ini.

Projek yang terdiri daripada dua blok pangsapuri lima tingkat itu terletak di Sg. Long, Kajang.
Keluasan setiap satu unit pula adalah di antara 830 hingga 870 kaki persegi di mana ia akan dijual dengan harga tidak lebih dari RM89,000 setiap satu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, projek itu bertetapatan dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan pemaju swasta membina RMM bagi menggantikan Rumah Kos Rendah (RKR) di kawasan-kawasan di mana tiada permintaan untuk RKR atau tidak sesuai untuk RKR.

"Polisi ini adalah bagi memberi peluang membeli rumah kepada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan isi rumah di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya yang melawat tapak projek berkenaan 10 Februari lalu, kemajuan projek yang dibangunkan sejak Jun tahun lalu oleh syarikat pemaju swasta itu sudah 55 peratus siap dan dijadual siap sepenuhnya September ini.

Tambahnya lagi, keputusan Kerajaan Negeri untuk melibatkan pemaju swasta adalah tepat kerana permintaan RMM di Selangor adalah terlalu tinggi dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan dapat menyiapkan jumlah RMM yang secukupnya untuk menepati sasaran yang ditetapkan.

"Contohnya RMM oleh PKNS di Bandar Bangi Bangi yang mula dibina pada bulan Jun lepas telah hanya siap kerja-kerja cerucuk (piling).

"Tetapi kerja membina dinding batu-bata (bricklaying) telah hampir siap bagi projek pemaju swasta di Sg. Long yang dimulakan juga pada bulan Jun tahun lepas," katanya lagi.

Selain di Sg. Long, pemaju-pemaju swasta juga ujarnya telah diberikan kebenaran membina RMM di beberapa kawasan lain seperti di Seksyen U10, Shah Alam di mana 536 unit akan dibina.

"Adalah diharapkan gandingan di antara PKNS dan pemaju-pemaju swasta akan dapat menyediakan jumlah RMM yang secukupnya di Selangor," katanya.

Harakah Daily

Lembah Sireh: Bukti kemampuan PAS mentadbir

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 14 Feb: Biar pun seringkali dipertikai pemimpin Umno, namun pembangunan bandar metropolitan di Lembah Sireh yang tersergam indah di tebing Sungai Kelantan tetap berjalan lancar.

Hari ini di kawasan itu boleh dilihat Pasaraya Besar Tesco, lot-lot kedai, Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Masterskill, pejabat, terminal bas, riverfront dan restoran terapung.

Berbeza berbanding sebelum ini lokasi itu merupakan kawasan pertanian yang di kelilingi semak dan samun. Ketika itu seramai 130 penduduk pernah mengusahakan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.

Namun sekarang hampir 1,500 penduduk mencari rezeki di Lembah Sireh.

Tanpa mengeluarkan sebarang modal kerajaan Kelantan berjaya membangun Lembah Sireh dan sehingga sekarang pemaju, Liziz Standaco Sdn Bhd menyumbang berjumlah RM46 juta bagi pembangunan perumahan kos rendah (RM3 juta), sumbangan kepada petani (RM2 juta) dan penyerahan tanah bagi pembinaan tapak istana (RM41 juta).

Kejayaan itu menggambarkan keupayaan ulama mentadbir sehingga berjaya membangunkan bandar baru yang kini merubah wajah Bandar Kota Bharu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, seramai 130 petani dipindahkan ke lokasi baru di Kampung Tikat dan kini menjadi pusat pertanian komersial.

Selain itu kerajaan negeri juga menerima hasil daripada premium tanah hampir RM1.2 juta, hasil tanah (RM230,000 setahun), cukai bandar bagi kompenan yang telah disiapkan (RM720,000 setahun), terminal bas dan ruang niaga (RM50,000 sebulan).

“Kalau dahulu sebelum ada projek pembangunan hanya seramai 130 penduduk yang bekerja sebagai petani di kawasan itu.

“Namun sehingga kini hampir 1500 penduduk tempatan dapat mencari rezeki melalui pelbagai peluang pekerjaan yang disediakan,” katanya di sini.

Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan tajaan Umno yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) diketuai bekas pemimpin Angkatan Muda KeADILan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad menyifatkan projek terbabit gagal dan kemungkinan syarat perjanjian tidak dipatuhi pemaju, Liziz Standaco Sdn Bhd.

Pemimpin berkenaan juga sebelum ini terbabit demontrasi di hadapan Kota Darulnaim tahun lepas, mendakwa kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Harakah Daily

Beberapa orang bekas PEGAWAI KANAN kerajaan SERTAI PAS di MELAKA

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Beberapa orang bekas pegawai kanan kerajaan akan menyertai PAS secara rasmi pada 18 Februari nanti sempena lawatan Tuan Guru Presiden PAS dan Ketua Penerangan PAS Pusat ke Melaka. Mereka akan menyerahkan borang menyertai PAS pada sebelah malam iaitu pada majlis ceramah perdana Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di Permatang Pasir, Dun Telok Mas.

Setakat ini mereka telah mengesahkan akan menyerahkan sendiri borang tersebut kepada Tuan Guru. Kemasukan bekas-bekas Pegawai Kanan Kerajaan ini memberikan tamparan hebat kepada BN Melaka yang selama ini mendakwa bahawa pegawai-pegawai kerajaan dan bekas-bekas pegawai kerajaan terus setia bersama mereka.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Haji Adly Zahari dalam salah satu posting di Facebook beliau mengesahkan perkara ini. Kita tunggu 18 Feb nanti siapa agaknya bekas Pegawai Kanan Kerajaan tersebut. .....Apakah Umno Melaka akan menyerang mereka dengan pelbagai tuduhan .

Blog Mutaligat

Pertempuran Di Libya: 17 Maut

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TRIPOLI: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam pertempuran di antara dua puak di padang pasir tenggara Libya dalam tempoh dua hari dan menyebabkan 22 yang lain cedera.

Pertempuran di antara puak Zwai dan Tobu di bandar Kufra mengakibatkan 17 orang mati sejak Ahad lalu termasuk sembilan dari puak Zwai dan lapan dari Tobu.

Sumber berkata, puak Tobu mencari tempat perlindungan selepas puak Zwai melancarkan serangan bertubi-tubi. - AFP

'Terpulang kepada PAS nak letak saya di mana'

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 14 Feb: Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub yang didakwa akan balik bertanding di negeri kelahirannya di Johor berkata, dakwaan itu hanya sekadar khabar angin.

Menurutnya, PAS sendiri pun belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi yang bakal ditandingi calon-calon mereka apatah lagi terhadap dirinya.

"Itu rumours yang kata saya akan balik ke Johor.

"Parti pun belum putuskan di mana saya akan bertanding," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus bahawa beliau akan meninggalkan Kelantan dan bertanding di Johor sebagai persediaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu.

Salahudin juga sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar Johor jika Pakatan Rakyat dapat menguasai negeri itu pada PRU-13 nanti.

Mengulas lanjut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau tidak ambil pusing soal kerusi mana yang akan ditentukan PAS terhadapnya, sebaliknya beliau mahu memberi fokus kepada usaha memenangkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya.

"Setakat ini saya mainkan peranan sebagai naib presiden parti.

"Lebih penting bagi saya mahu melihat PAS dan Pakatan Rakyat menang dengan cemerlang pada PRU-13 akan datang," katanya lagi.

Soal kerusi mana untuk beliau bertanding pula, beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa terpulang kepada pimpinan dan akan akur dengan segala ketetapan parti kelak.

"Saya akan buat keputusan ikut kehendak parti di mana nak letak saya bertanding.

"Kalau parti rasa saya boleh membantu kemenangan parti, saya bersedia di mana-mana sahaja," katanya.

Salahudin telah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama dua penggal sejak menang dalam PRU 2004.

Pada PRU 2008, beliau berjaya pertahankan kerusi sama dengan majoriti 10,642 undi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas hasrat Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed mahu menarik Salahuddin bertanding di negeri itu juga membayangkan bersedia melepaskan Salahudin.

Apa-apa pun kata Nik Aziz, terserah kepada PAS Johor berbincang dahulu dan menentukannya.

Harakah Daily

Kereta kedutaan Israel meletup

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEBERAPA anggota forensik memeriksa bangkai kereta milik kedutaan Israel yang rentung selepas meletup akibat dibom di New Delhi semalam.

NEW DELHI - Sebuah kereta milik kedutaan Israel meletup di ibu kota India di sini semalam menyebabkan dua orang cedera manakala punca letupan masih disiasat, kata polis.

Jurucakap polis, Rajan Bhagat berkata, dua orang cedera apabila kereta tersebut meletup.

Kenderaan itu yang diletakkan di sebatang jalan berhampiran kedutaan Israel di pusat bandar raya ini rentung akibat letupan.

Seorang anggota polis yang ditemui di lokasi kejadian, Vinod Tokas memberitahu, kereta berkenaan memiliki nombor plat diplomatik.

Sementara itu di Baitulmuqaddis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyalahkan Iran berhubung serangan terhadap staf kedutaan di India dan Georgia, yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera, seorang daripada mereka ialah wanita Israel.

"Iran bertanggungjawab melakukan serangan-serangan ini. Negara itu merupakan pengeksport keganasan terbesar di dunia," kata Netanyahu kepada anggota-anggota Parti Likud pimpinannya.

Pemimpin Israel berkenaan memberitahu, terdapat beberapa percubaan untuk mencederakan warga Israel dan orang Yahudi sejak beberapa bulan lalu di tempat-tempat seperti Thailand dan Azerbaijan dengan siri serangan tersebut diselaraskan oleh Teheran dan kumpulan Hezbollah di Lebanon.

"Dalam semua serangan ini, pihak yang bertanggungjawab ialah Iran dan proksinya, Hezbollah," kata Netanyahu.

Menurutnya, Israel akan meneruskan tindakan tegas untuk mematahkan keganasan antarabangsa yang datang dari Iran.

Kenyataan tersebut dibuat sejurus selepas sebuah kereta di luar kedutaan Israel di New Delhi meletup dengan menyebabkan dua orang cedera.

Dalam satu kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan bahawa polis di ibu negara berkenaan, Tbilisi telah mematikan sebuah bahan letupan yang ditemui di dalam sebuah kereta milik seorang kakitangan kedutaan Israel. - Agensi

'Sokongan Felda pada Pakatan naik hingga 15%'

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) menyifatkan "tidak mudah" bagi BN untuk mengekal 317 kawasan Felda sebagai 'deposit tetap' mereka dalam pilihan raya umum akan datang, memandangkan berlakunya perubahan landskap politik di kalangan peneroka.

Presiden ANAK Mazlan Aliman berkata ia berlaku susulan perjuangan NGO itu membela hak peneroka termasuk siri-siri saman dan kewujudan cawangan PAS dan PKR yang mewujudkan persaingan politik di tanah rancangan itu.

Bahkan, kata Mazlan (kiri), berdasarkan pengalaman beliau berceramah kehadiran peneroka Felda "berlipat kali ganda" jumlahnya berbanding beberapa tahun sebelum ini.

"Saya beranggapan tidak mudah bagi BN untuk mempertahankan Felda sebagai talian hayat mereka pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Katanya, hal ini berlaku di tanah rancangan itu khususnya di empat buah negeri yang mempunyai banyak tanah rancangan Felda khususnya di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sebanyak 54 kawasan parlimen dan 92 DUN mempunyai tanah rancangan Felda yang menurut Mazlan 90 peratus adalah penyokong Umno dan BN. Jumlah peneroka lebih kurang 112,635 ribu orang.

'Melarat' ke Felda lain

Mazlan berkata perubahan sokongan peneroka bermula selepas kemenangan peneroka Felda Kemahang 3 di Kelantan yang menang di mahkamah berhubung tuntutan kadar perahan gred.

Kemudiannya, ia 'melarat' ke Felda lain antaranya, di Felda Mu'aqqil dan Gugusan Air Tawar di Johor; Sungai Koyan, Gugusan Jengka, Bera di Pahang; Serting dan Jempol di Negeri Sembilan serta Kerteh di Terengganu atas pelbagai isu, tambah Mazlan.

NONE"Barang diingat yang membawa kes ke mahkamah, bukan orang PAS dan PKR sahaja, (malah) ia keseluruhannya masyarakat Felda terdiri daripada orang Umno yang bersama dengan kita.

"Maknanya mereka pun hari ini melihat, perjuangan kita betul dan perjuangan parti mereka (yang) tidak berjuang untuk mempertahankan hak mereka," katanya sambil menganggarkan jumlah peneroka yang mengambil tindakan mahkamah melebihi 2,000 orang.

Sambil menyifatkannya sebagai satu fenomena menarik, Mazlan berkata dalam sesetengah kes, jumlah ahli Umno lebih besar daripada ahli dari Pakatan Rakyat khususnya di Felda Mu'aqqil dan Felda Serting.

"Ini (satu) fenomena bagi Umno, dia rasa cemas dengan perkara ini. Ini satu tahap yang sangat menariklah, politik di tanah rancangan Felda ini," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Perhijrahan sokongan

Ditanya berhubung peratusan perubahan sokongan pengundi Felda dalam pilihan raya umum akan datang, Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bagaimanapun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi.

NONEKatanya, berlakunya "perhijrahan sokongan" terhadap pembangkang di kawasan Felda pada tahun 1990 dan 1999 susulan berlakunya pepecahan dalam Umno yang mewujudkan Team A dan Team B serta pemecatan timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan PAS menang di Jengka dan Chini.

Bagaimanapun, sokongan pengundi di Felda merosot pada 2004 dan 2008 merosot serta tidak mampu mempertahankannya seperti yang diperolehi dalam pilihan raya sebelumnya.

"Dalam pilihan raya umum ke 13, kita tidak letak sasaran yang terlalu tinggi, kalau kita letak 5 hingga 15 peratus kenaikan sokongan, saya dapat rasakan, kawasan Felda ini akan menyumbang kepada kejatuhan (kepada) parti pemerintah.

"Dalam konteks negeri Pahang, Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan. Ini ketara benar. Ini suasana yang berlaku," katanya sambil menambah ada kawasan di Pahang sokongan berada di paras 40 hingga 45 peratus.

malaysiakini/-

Gua di dalam Gua Bewah ditemui

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menemui dua lagi artifak berharga yang akan menjadi daya tarikan kepada pengunjung ke Gua Bewah yang terletak di kawasan Tasik Kenyir.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata semasa kerja-kerja eskavasi di gua berkenaan pertengahan tahun lepas, LMNT telah menemui sebuah gua lain di dalam Gua Bewah serta menemui satu lagi rangka manusia pra-sejarah.

Sebelum ini pada 2010 satu rangka manusia pra-sejarah turut ditemui di kawasan gua berkenaan yang berusia 16,000 tahun.

"Kita masih belum mempunyai maklumat mengenai rangka manusia terbaru yang ditemui itu kerana kajian mengenainya belum dijalankan manakala gua baru yang masih belum mempunyai nama itu, akan dimajukan dengan menyediakan kemudahan untuk pengunjung seperti tangga bergerak menggunakan kuasa solar dan tempat pendaratan bot melibatkan peruntukan antara RM16 juta dan RM18 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran Khazanah Islam dari China di LMNT di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Sektor Pengurusan dan Sumber Manusia LMNT Che Muhamad Azmi Ngah.

Ahmad berkata apabila segala kemudahan dan persiapan ke gua berkenaan siap dalam tempoh setahun, ia pasti dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke situ.

Pameran bertemakan 'Khazanah Islam Dari China' itu merangkumi artifak bermotifkan kesenian Islam dari semua Dinasti China terutama Dinasti Ming yang mempunyai pengaruh dari negara Timur Tengah ketika itu.

Lebih 100 artifak kesenian Islam dipamerkan termasuk senaskah al-Quran Emas yang dianggarkan berharga RM170 juta berusia 500 tahun dari Dinasti Ming yang bermula dari zaman kerajaan Othmaniah yang menggunakan skrip Naskhi.

Sementara itu, Che Muhamad Azmi berkata lebih 100 daripada 8,000 artifak dari Dinasti China yang berusia sehingga 4,000 tahun milik Top Chain Capital Sdn Bhd dipamerkan di LMNT bermula hari ini.

"Artifak yang dipamerkan hari ini akan ditukar artifak lain pula pada Mei depan sempena cuti sekolah," katanya.

Sinar Harian

Tumbuk menumbuk di ceramah Anwar

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka, petang semalam dicemari oleh kekecohan di antara penyokong PKR dan BN.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan pada kejadian petang semalam itu, kira-kira 50 penyokong BN didakwa sengaja melakukan provokasi kerana membantah kedatangan ketua umum PKR itu.

Mereka mendakwa Anwar cuba menghasut penduduk kampung hingga berlakunya pecah belah di kalangan mereka.

Menurut akhbar itu lagi, akibat tidak puas hati, berlaku pertikaman lidah dan tolak menolak di hadapan balai tempat Anwar berucap. Keadaan dilaporkan menjadi tegang apabila seorang daripada penyokong BN ditumbuk dan berlaku pergelutan.

Seorang penyokong BN yang dikenali sebagai Nizam Baharom dipetik Sinar sebagai menyalahkan penyokong PKR yang bertindak agresif dengan menumbuk seorang daripada rakannya.

Kekecohan di Felda Tun Ghaffar di Hutan Pecah, Alor Gajah itu kemudiannya berjaya dileraikan dengan kehadiran pihak polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kekecohan itu akibat rasa tidak puas hati satu pihak berikutan kedatangan Anwar dan bahawa tiada tangkapan dibuat.

malaysiakini/-

Maut dihempap lori sendiri

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dihempap lori yang dipandunya dalam kejadian di sebuah kilang simen di Kawasan Perindustrian Tasek, semalam.

Toh Lim Ek, 68, dari Taman Utama, Bercham maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutamanya di kepala.

Pegawai Bomba Kanan II, Fadzli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.54 pagi yang memaklumkan ada mangsa tertimbus di bawah timbunan kuari.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kami mendapati seorang mangsa tersepit di bawah lori berkenaan.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ketika ditemui,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, khidmat kren terpaksa digunakan bagi mengalihkan lori tersebut untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu.

“Kerja mengeluarkan mangsa berakhir 30 minit dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa sedang memindahkan muatan kuari dibawanya untuk dilonggokkan di tempat pengumpulan kuari di kilang tempatnya bekerja.

“Siasatan awal mendapati, lori yang dipandu mangsa mengundur secara tiba-tiba sewaktu kerja menurunkan muatan kuari dijalankan.

“Akibatnya, mangsa dihempap di tempat duduk pemandu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat untuk mengalihkan lori hantu seberat tiga tan itu sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia selain keadaan tubuhnya yang lebam dan patah semua anggota badan.

“Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian

Tedung berlingkar dalam tandas

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang pekerja bengkel baiki kereta tergamam apabila melihat seekor tedung selar berlingkar di lantai tandas premis berkenaan.

Kejadian tersebut menyebabkan pekerja tersebut panik sebelum menelefon Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira jam 3 petang semalam untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kinta, Muhammed Ameen Salleh, berkata, beliau bersama tujuh anggota lain tiba di tempat kejadian yang terletak di Jalan Kuala Kangsar itu kira-kira 15 minit kemudian.

Menurutnya, ular jantan sepanjang empat meter dengan berat empat kilogram (kg) itu akan dilepaskan di hutan dekat Simpang Pulai bagi mengelakkan daripada ia mengganggu ketenteraman penduduk.

“Pihak kami mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menangkap reptilia tersebut.

“Ular yang berwarna kuning keemasan itu dipercayai datang dari arah bukit berhampiran bagi mencari tempat untuk bersembunyi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehubungan itu, Muhammed Ameen menasihati orang ramai supaya tidak panik jika berhadapan dengan spesies reptilia berbisa tersebut.

Sinar Harian

Virus selesema burung di Indonesia disyaki alami perubahan

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Ciri-ciri berlainan pada beberapa unggas yang mati kerana selesema burung di Indonesia sejak kebelakangan ini telah
menyebabkan pihak berkuasa kesihatan di beberapa negeri mengesyaki virus H5N1 itu telah mengalami perubahan.

Ketua Jabatan Penternakan dan Kesihatan Haiwan Jawa Tengah, Whitono, berkata sebahagian daripada unggas yang mati kerana selesema burung kini tidak lagi mempunyai tanda bintik-bintik hitam atau kebiruan pada bahagian badan yang tidak berbulu, sebagaimana yang biasanya.

Ketua Bidang Kesihatan Haiwan Jabatan Penternakan dan Kesihatan Haiwan Jawa Tengah, Eko Sutarti, pula berkata walaupun belum pasti mengenai adanya virus baru, ciri-ciri unggas yang mati kerana selesema burung, telah didapati berubah, akhbar harian Kompas melaporkan hari ini.

Kini unggas yang mati mendadak tanpa tanda bintik-bintik hitam atau kebiruan itu, juga didapati positif selesema burung.

Pihak berkuasa dan pakar bidang kajian selesema burung tempatan bimbang perubahan itu mungkin disebabkan virus jenis baru yang lebih berbahaya, namun penelitian lebih lanjut diperlukan bagi mengesahkan kemungkinan itu, kata laporan itu. - Bernama

Sinar Harian

Pagar roboh ancam keselamatan murid sekolah

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM – Perbuatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pagar yang menutupi sub stesen Tenaga Nasional (TNB) berhampiran tiga sekolah dekat Bukit Minyak, di sini, roboh.

Ia membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di sana.

Seorang waris, Shahidan Sheriff, 41, berkata, keadaan itu sudah pun berlarutan sejak kira-kira tiga tahun lalu, namun, hingga kini tiada pihak yang mengambil inisiatif untuk membaikinya.

Menurutnya, dia bimbang jika murid sekolah menceroboh masuk ke dalam sub stesen berkenaan.

“Pada mulanya, pagar ini roboh sedikit sahaja. Tapi, lama-kelamaan ia menjadi semakin parah hingga hampir keseluruhan pagar ini diruntuhkan.

“Sudah banyak kali saya lihat murid, terutamanya sekolah rendah bermain-main di dalam kawasan berkenaan ketika menunggu ibu bapa atau van datang menjemput mereka selepas tamat sesi persekolahan.

“Jika mereka sekadar bermain di luar tidak mengapa, tetapi, jika suatu hari nanti pintu sub stesen ini pula dipecahkan bagaimana pula?” katanya kepada Sinar Harian.

Shahidan berkata, amat mengecewakan apabila perkara itu hanya dipandang sebelah mata dan dibiarkan berlarutan dalam tempoh masa yang lama tanpa ada tindakan segera dari pihak bertanggungjawab.

Dalam masa sama, dia turut melahirkan kebimbangan akan keselamatan murid yang sering bermain di dalam kawasan itu.

Dia yang mempunyai tiga anak yang bersekolah di situ berkata, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam memantau murid, khususnya sekolah rendah kerana mereka masih kecil dan tidak faham akan bahaya yang menanti.

Sehubungan itu, dia amat berharap agar perkara itu mendapat perhatian serius TNB dan mengambil tindakan segera dengan membaiki pagar yang rosak itu.

Ia bagi melindungi semua pihak dari terdedah dengan risiko kemalangan kerana katanya, apa saja boleh berlaku.

Dan, jika tindakan hanya diambil selepas kemalangan berlaku, ia sudah tidak berguna lagi.

Sinar Harian

DAP: Mampukah Najib arah NFC bayar pinjaman?

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAP hari ini menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulas kenyataan seorang menteri kabinetnya bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu membayar balik pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan kepada syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) milik mereka itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jawapan Perdana Menteri adalah penting kerana sebagai menteri yang bertanggungjawan ke atas hal ehwal undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz telah mengaitkan hubungan langsung antara Shahrizat dan skandal NFC.

“Ini adalah pengakuan kali pertama oleh seorang menteri kabinet bahawa Shahrizat bukan sahaja terlibat kepada skandal lembu dan kondo tetapi juga (mengakui) bahawa kesalahan telah berlaku,” kata Lim yang juga mempersoalkan mengapa wang berkenaan harus dikembalikan jika tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Beliau merujuk kepada laporan Sinar Harian, semalam yang memetik Mohd Nazri meminta keluarga Shahrizat membayar balik pinjaman yang diberikan kerajaan itu.

Harus letak jawatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata dengan berbuat demikian, maka Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno boleh mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Namun, menurut Lim, pengembalian wang itu tidak memadai kerana tindakan juga harus diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab, selain Shahrizat juga harus meletak jawatan.

“Ini bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi merupakan penghinaan kepada standard kebiasaan kewangan, amanah dan kebertanggungjawaban. Rakyat Malaysia menuntut supaya tindakan diambil serta merta.

“Kegagalan untuk bertindak menunjukkan kegagalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membasmi rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan,” katanya.

malaysiakini/-

Padah hiburan awam tanpa lesen

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN – Gara-gara mengadakan hiburan awam tanpa berlesen, seorang lelaki berusia 40 tahun dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Georgetown akibat kesalahan itu.

Tertuduh, Lew Yew Fuat didapati melakukan kesalahan tersebut pada 7 Februari 2012 bermula jam 10.25 malam.

Yew Fuat ditahan melakukan kesalahan tersebut di Lorong Aboo Siti Georgetown.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mengadakan hiburan awam tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Tertuduh di dapati mengadakan hiburan muzikal di dalam premis yang mana terus disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (a) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 dan boleh dihukum di bawak Seksyen 6 (2) enakmen yang sama.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang datang dengan berpakaian kemas mengaku bersalah namun meminta supaya hukuman diringankan.

“Saya memohon kepada mahkamah supaya ringankan hukuman saya kerana ini adalah kesalahan pertama saya.

“Tujuan saya mengadakan hiburan ini hanyalah untuk mencari duit untuk menanggung keluarga sahaja.

“Saya tiada niat lain, saya hanya ada anak-anak dan saya berharap supaya hukuman diringankan,” katanya.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kepada tertuduh.

Sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dikenakan penjara selama empat bulan.

Sinar Harisn

Ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan suami orang

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Tindakan seorang lelaki yang menyorokkan kereta miliknya di bahagian tepi rumah keluarga seorang ibu tunggal di sini memakan diri apabila mereka ditangkap kerana dipercayai berkhalwat.

Bertindak atas maklumat orang awam, Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) bersama lima penguat kuasa berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah rumah di Karangan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Dari pemeriksaan dijalankan mendapati seorang wanita hanya memakai baju tanpa lengan dan berkain batik manakala pasangan lelaki hanya memakai kain pelekat tanpa pakaian.

Suspek kemudiannya memaklumkan kepada PADK, dia bersama teman lelakinya itu terpaksa tidur di rumah ibunya kerana hendak menjamin seorang ahli keluarga yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada keesokan harinya.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya dimaklumkan, ketika serbuan dibuat, PADK turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sedang tidur di bahagian belakang rumah suspek.

“PADK menerima maklumat tentang pasangan itu dan pergi ke lokasi kejadian. Apabila tiba di sana, PADK mendapati seorang lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai sebarang hubungan mahram tinggal bersama dalam rumah itu. Dari siasatan awal mendapati kedua-dua
suspek tinggal di Kuala Lumpur tetapi sering balik ke rumah wanita itu bersama. Wanita berkenaan merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai anak manakala pasangan lelaki merupakan bekas kakitangan sektor awam dan sudah beristeri serta mempunyai anak.

“Penguat kuasa PADK kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan mendapati hanya mereka berdua dan seorang kanak-kanak berada dalam rumah itu. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkapan terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, selepas membuat laporan polis, PADK telah mengeluarkan notis hadir ke pejabat PADK untuk memberi keterangan. Kedua-dua suspek kemudiannya dibebaskan setelah membayar wang jaminan diri RM1,000 setiap seorang.

Azmi berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Kembar melambung terlanggar kereta

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENDANG – Sepasang kembar perempuan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikhuatiri patah tulang paha kerana melambung setelah motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 2.10 minit petang itu mengejutkan penduduk berhampiran kawasan berkenaan dengan bunyi dentuman kuat apabila sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang pasangan kembar terbabit terlanggar kereta Proton Iswara Aeroback yang melintas jalan utama di situ.

Azizan Ibrahim, 27, berkata, dia terkejut dengan bunyi dentuman akibat pelanggaran itu ketika sedang berbual dengan rakan di hadapan kedai berhampiran jalan Pendang Sungai Tiang, sebelum tiba-tiba melihat dua pelajar sekolah melambung.

“Selepas bunyi dentuman itu tiba-tiba ternampak dua pelajar sekolah yang merupakan pasangan kembar terbabit melambung jatuh ke atas kereta bahagian hadapan, manakala seorang lagi melambung jatuh atas jalan.

“Saya segera ke tempat kejadian bagi mengangkat mangsa terbabit dan terus menghantar pasangan kembar itu ke Klinik Kesihatan Pendang untuk mendapatkan rawatan setelah melihat kecederaan mereka di bahagian kepala dan kaki,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizan berkata, pasangan kembar itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggung sedang menunggang motosikal dari arah Pendang untuk pulang ke rumah mereka di Chegar, manakala kereta itu datang dari arah Kampung Hampar kanan.

Menurutnya, kereta itu dipandu seorang lelaki Melayu lingkungan 20an bersama adiknya cuba melintas jalan terbabit dan tiba-tiba motosikal dari arah Pendang melanggar sisi hadapan kanan kereta itu sehingga menyebabkan bahagian itu remuk dan cermin pecah.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan bahawa pasangan kembar itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapat rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang penduduk kawasan terbabit, Audzir Muhammad, 70, berkata laluan itu sering berlaku berlaku kemalangan sehingga meragut banyak nyawa.

“Saya menetap di kawasan ini sekian lama dan boleh dikatakan setiap hari berlaku kemalangan di laluan ini te-rutamanya penunggang motosikal sehingga ada yang terpelanting jatuh ke sungai dan ada yang maut di tempat kejadian.

“Kemalangan di jalan ini sering berlaku disebabkannya sempit dan banyak kenderaan pelbagai jenis menggunakan laluan ini pada setiap masa,” katanya.

Sinar Harian

Premis judi digempur lagi

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEMPAS - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warganegara Indonesia dalam satu serbuan di premis judi kira-kira jam 7.30, malam semalam.

Serbuan yang dilakukan di premis terletak di Taman Bukit Kempas itu ­diketuai Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superitendan Stapa Yusof.

Stapa berkata, dua lagi yang ­ditahan merupakan lelaki warga ­tempatan dan ketiga-tiga mereka ­berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Wanita berkenaan merupakan penjaga premis judi terbabit manakala kedua-dua lelaki itu merupakan pengunjungnya.

“Polis turut merampas 13 set k­omputer dipercayai digunakan untuk aktiviti judi siber di premis berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Stapa berkata, berdasarkan rekod terkini, ia serbuan kali pertama yang dibuat di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun saya percaya pada tahun sebelumnya, polis pernah ­menyerbu kawasan berkenaan.

“Wanita yang ditahan itu memasuki negara ini menggunakan premit sah walau bagaimanapun dia berhadapan tuduhan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001),” katanya.

Difahamkan, jika sabit kesalahan wanita berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas atau penjara selama lima tahun.

Manakala kedua-dua lelaki yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan jika sabit ­kesalahan boleh didenda sebanyak RM5,000.

Sinar Harian

18 jam operasi mencari mangsa lemas

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TANJUNG KLING – Seorang tukang gunting rambut yang hilang dipercayai dihanyutkan ombak ditemui lemas dalam keadaan tertiarap di kawasan batu karang berdekatan Jeti Tanjung Bruas, di sini kira-kira 4.30 petang, semalam.

Mangsa, Omar Sudin, 37, dari Kampung Pantai Rombang, ditemui tiga nelayan yang menaiki sebuah bot selepas 18 jam operasi mencari kira-kira empat kilometer dari tempat mangsa kali terkahir dilihat di Pantai Puteri, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam kelmarin, mangsa yang menangkap udang dilihat berenang dalam keadaan lemah sebelum hilang berhampiran tambak batu oleh seorang pengunjung.

Seorang kakitangan sebuah universiti, Mazlan Mahmud, 29, yang turut menangkap udang di kawasan itu berkata, dia dimaklumkan rakannya mengenai kejadian sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas kami sampai di tambak batu itu mangsa tidak kelihatan, namun kami hanya menjumpai sebuah langgai dipercayai miliknya selepas saya berenang kira-kira 100 meter dari lokasi dia didapati hilang.

“Bagaimanapun sebelum kejadian, saya ada nampak dia melepasi tambak batu dan ketika air pasang,” katanya.

Menurutnya, kemudian seorang lelaki mula-mula melihat mangsa membuat laporan polis kira-kira 10.15 malam.

Sementara itu, isteri mangsa, Zunaida Yusof, 37, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh bapa mertuanya, Sudin Haron, 62, kira-kira 10 malam.

Menurutnya, mangsa menyatakan hasrat mahu menangkap udang keluar rumah pada 8.30 malam selepas makan bersama keluarga.

“Sebelum keluar suami tidak berpesan apa-apa dan tidak berkelakuan pelik sebelumnya, cuma anak bongsu kami selalu mahu berada di samping dia dalam tempoh seminggu ini, “ katanya.

Ibu kepada empat anak berusia dua hingga 11 tahun itu berkata, mangsa memperoleh pendapatan sampingan dengan menangkap ikan selain bekerja sepenuh masa sabagai tukang gunting rambut.

“Malam tadi (kelmarin) dia cakap mahu mencuba langgai yang baru siap dibuat semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Penyelamat Bomba Tangga Batu selaku Komando Operasi Mencari, Abdul Razak Manap berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.33 malam.

“Operasi mencari bermula jam 10.47 malam kelmarin oleh 13 orang anggota bomba termasuk lima orang dari Pasukan Penyelamat Air (PPA) dalam ruang lingkup 50 meter dari persisir pantai sebelum dibesarkan sehingga melebihi dua kilometer.

“Mayat ditemui diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Melaka dibedah siasat,” katanya.

Semalam, operasi mencari diteruskan dengan lebih 50 orang membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penyelamat Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin, Unit 21 Komando (Kem Sungai Udang) serta nelayan dan penduduk kampung.

Ahli keluarga mangsa termasuk bapanya, Sudin juga dilihat berusaha bersama-sama mencari dalam tempoh 18 jam, selain mengadakan solat Hajat selepas solat Zuhur di Masjid Kampung Pantai Rombang.

Sudin yang juga Imam di masjid berkenaan turut kelihatan menunaikan solat Hajat di pantai sebelum meneruskan pencarian di laut kira-kira 2.30 petang semalam.

Sinar Harian

Stesen kereta api berpindah ke lokasi sementara

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Stesen Kereta api di Sungai Buloh, di sini, akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan landasan kereta api berkembar.

Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan terbabit diminta ke stesen kereta api sementara yang dibuka di lokasi baru di Kampung Baru Sungai Buloh berdekatan lokasi asal.

Penutupan operasi stesen kereta api berkenaan akan dilakukan bermula jam 11.00 pagi ini dan orang ramai perlu prihatin dengan notis penutupan yang telah dikeluarkan.

Stesen kereta api sementara itu akan beroperasi sehingga kerja-kerja pembinaan projek landasan kereta api berkembar selesai dijalankan.

sinar harian/-

Pemuda Dibelit Ular Ketika Berzina

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Melihat pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan terkutuk di dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan mengingatkan….

Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah,

kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.

“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi.

Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada kesal. Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang untuk meminta pertolongannya.

“Apa yang boleh saya bantu encik?”

Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.

“Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya.”

“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.

Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu.

“Awak pernah pukul ular ke?”

Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut.

Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada sebabnya.

Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.

Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah. Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk ke bawah memandang lantai.

Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,” akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.

Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang.

Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama.

Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap.

“Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan.

Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang
manusia pun tidak kelihatan.

Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula.

Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram.

“Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka.

“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu lagi.

Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu.

Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.

“Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk.

Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk.

Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular. Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina.

Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu. “Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat.

Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.

Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

harian metro/-

Sebat 3 anak hingga mati

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEOUL: Seorang paderi dan isterinya ditahan kerana didakwa membiarkan tiga anak mereka kelaparan dan menyebat kanak-kanak yang sakit itu hingga mati dalam cubaan untuk mengusir roh jahat, kata polis, semalam.

Paderi berusia 43 tahun itu dan isterinya ditahan atas kesalahan membunuh selepas saudara pasangan itu menemui mayat kanak-kanak berkenaan yang reput di kediaman mereka bersebelahan dengan gereja di daerah Boseong dekat pantai barat daya negara ini.

Menurut jurucakap Agensi Polis Wilayah Jeonnam, ujian forensik menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun mengalami lebam teruk di tubuh mereka tanpa sebarang makanan dalam perut.

Pasangan itu memberitahu polis, mereka cuba merawat tiga anak mereka yang mengalami demam panas dan selesema melalui puasa dan berdoa serta menyebat mereka berulang kali untuk “menghalau roh jahat”.

“Kami percaya kanak-kanak itu tidak diberi makan sejak 23 Januari lalu sebelum akhirnya mereka mati pada 1 atau 2 Februari lalu,” kata jurucakap itu. Pasangan itu menyebat setiap anak mereka sebanyak 39 kali dengan tali pinggang atau pemukul lalat dalam lima insiden berasingan, sebagai merujuk kepada petikan dalam kitab Injil.

Polis berkata, mereka merujuk kepada petikan dalam Injil yang berbunyi: “Usah tangguh untuk mendisiplinkan anak; jika kamu menghukum mereka dengan rotan, mereka tidak akan mati. Hukum mereka dengan rotan dan selamatkan mereka daripada kematian.” Anak keempat pasangan itu, bayi berusia setahun diletakkan dalam jagaan polis dan dalam keadaan sihat. - AFP

Penulis hina Nabi ditahan sebaik tiba di Riyadh

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RIYADH: Wartawan Arab Saudi yang dikehendaki di negara itu atas komen menghina Nabi Muhammad ditahan selepas dihantar pulang dari Malaysia dan akan menghadapi dakwaan hina Islam, lapor media, semalam.

Hamza Kashgari “ditahan sebaik dia tiba di Riyadh malam kelmarin”, lapor akhbar berbahasa Inggeris Arab News. “Sumber berkata Hamza ditemani oleh pihak berkuasa Saudi dalam penerbangannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khaled di Riyadh,” lapor akhbar itu.

Dia akan “menghadapi dakwaan hina Islam”. Hamza, 23, ditahan di Malaysia minggu lalu selepas melarikan diri dari Arab Saudi ekoran bimbang nyawanya terancam selepas mesej di Twitter mengenai Nabi Muhammad yang ditulisnya mencetuskan kemarahan ramai. - AFP

Budak diperalat militan

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KABUL - Dua budak lelaki berumur 10 tahun ditahan polis di selatan Afghanistan selepas diperalat oleh kumpulan militan untuk melancarkan serangan pengeboman berani mati, kelmarin walaupun sebelum ini mereka telah menerima pengampunan daripada Presiden Hamid Karzai atas kesalahan sama kira-kira enam bulan lalu.

Jurucakap polis, Zalmai Ayubi berkata, tiga ahli pejuang Taliban turut ditahan bersama kedua-dua kanak-kanak lelaki itu yang dipercayai merancang untuk melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan tempatan dan antarabangsa di Kandahar.

“Mereka dipercayai telah dilatih di Pakistan sebelum diarahkan untuk melakukan serangan berani mati tersebut kerana semasa ditahan kedua-dua budak itu turut dipakaikan ves yang dipasang bahan letupan,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan, salah seorang budak tersebut, Azizullah berkata, mereka (pejuang Taliban) memberi jaminan dia akan selamat walaupun ditembak tentera Amerika Syarikat.

“Saya dihantar ke tepi jalan di bandar untuk menunggu tentera asing melalui kawasan itu sebelum meletupkan diri ,” kata rakannya dikenali sebagai Nasibullah.

Sinar Harian

Ratusan tahanan Palestin sertai mogok lapar di penjara Israel

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Ratusan tahanan Palestin menyertai Khader Adnan yang nekad mogok lapar selama 56 hari sebagai membantah tindakan Israel menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atasnya tanpa melalui perbicaraan adil sehari selepas dia ditahan 17 Disember lalu.

Khamis lalu, ketua kumpulan Jihad Islam itu mengemukakan rayuan kepada hakim berhubung penahanannya yang dianggap satu penganiayaan pihak berkuasa Israel.

Kumpulan hak asasi manusia turut menggesa Adnan dibebaskan dan menamatkan segera penahanan pentadbiran yang dilihat menyalahi undang-undang.

Sementara itu, ratusan penduduk Palestin turut mengadakan protes di luar penjara Ofer, Tebing Barat pada Sabtu lalu sebagai tanda sokongan kepada Adnan tetapi disuraikan oleh tentera Israel yang bertindak melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Dalam satu kenyataan, isteri Adnan mendakwa suaminya telah menerima layanan buruk daripada pihak hospital.

Sinar Harian

Penduduk Syria hidup menderita

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Basma Jandali, kelahiran Syria terpaksa mengharungi hari-harinya dengan rasa tidak tenang kerana khuatir akan keselamatan ahli keluarganya di Homs walaupun dia tidak berada di negara itu.

Saudaranya dipercayai masih terperangkap di Homs, di mana pasukan keselamatan Presiden Bashar al-Assad telah membunuh ratusan orang sejak awal minggu lalu.

Namun, kini dia tidak lagi diselubungi kebimbangan selepas mendapat khabar saudaranya antara yang bertuah dan terselamat daripada menjadi mangsa kekejaman rejim Assad.

Ratusan ribu penduduk masih terperangkap di kediaman mereka di Homs, sebuah bandar yang secara tiba-tiba didatangi puluhan penembak hendap dan tentera bersenjata.

Mereka bertindak kejam dengan melancarkan serangan terhadap rumah dan klinik di kejiranan tersebut, sekali gus, keadaan dramatik itu telah mula mengubah rentak kehidupan penduduk sekitar.

Ibu bapa terpaksa menghalang anak masing-masing dari pergi ke sekolah kerana khuatir dengan keselamatan mereka.

Penduduk di kawasan kejiranan di Homs kini mendapat bekalan makanan mereka melalui penghantaran tepung dan gula yang diberikan oleh aktivis pada waktu malam.

Mereka yang berjaya menyusup keluar pada waktu malam pula terpaksa mengambil risiko melalui jalan mencabar seperti melompat tembok hanya kerana mahu mengelakkan pemeriksaan di pusat kawalan pihak berkuasa.

Kebanyakan penduduk di Syria hidup menderita kerana terpaksa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelbagai barang keperluan asas dan bekalan ubatan.

Aktivis Syria yang menentang rejim Assad, Dima Moussa berkata, tindakan mudah dengan hanya membuka pintu rumah mungkin boleh menjadi perkara terakhir dilakukan dalam hidup penduduk di Homs.

“Kerajaan terus menuduh pengganas sebagai dalang di sebalik keganasan yang tercetus sejak 11 bulan lalu di Syria. Namun, rakaman video dari petugas media tempatan yang disampaikan kepada dunia luar pula membuktikan dakwaan itu adalah tidak benar,” menurutnya.

Seorang lagi aktivis, Mohamad al Homsy menyatakan dia mula merasakan keadaan di Homs semakin meruncing selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya.

“Isteri saya memberitahu, anak perempuan kami yang berumur enam tahun seakan trauma apabila mendengar bunyi bedilan. Cuba anda bayangkan seorang kanak-kanak melukis kereta kebal dan api bersama potret keluarga, seolah-olah untuk menggambarkan perasaan takutnya,” katanya lagi.

Seorang doktor yang pernah tinggal di Homs sebelum berpindah ke Detroit, Malaz Alatassi menyatakan keluarga dan rakannya mendedahkan sangat sukar untuk keluar mencari bekalan makanan pada masa ini.

“Jika menghampiri tingkap, anda seakan menempah maut kerana bakal menjadi sasaran penembak hendap!” menurutnya.

Ada penyeludup dan aktivis sanggup menggadai nyawa untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk yang bersembunyi di dalam rumah mereka walaupun ada dalam kalangan mereka terkorban.

Alatassi turut menyatakan kebimbangan kerana tiada pusat psikiatri untuk membantu penduduk yang menghadapi tekanan.

“Ramai yang memilih untuk menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran memandangkan kebanyakan penduduk di Syria adalah orang Islam. Apa yang patut dilakukan pada masa ini adalah berdoa kepada Allah SWT agar mimpi ngeri tersebut akan berakhir,” menurut Jandali yang kini menetap di New Jersey.

Ketakutan turut menyelubungi penduduk di kawasan lain di Syria.

“Penduduk yang mati syahid dan cedera tetap dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga kami,” menurut Abu Omar, seorang penduduk di wilayah Quneitra di selatan Syria.

Omar mendakwa minyak, makanan dan ubat sangat sukar untuk diperoleh kerana kebanyakan hospital kekurangan bekalan serta peralatan.

“Seluruh penduduk kini saling membantu dan bergantung antara satu sama lain. Kami masih lagi tidak dapat mengetahui nasib saudara-mara yang hilang,” katanya.

Aktivis Barat, Yasmeen pula mendakwa kebanyakan saudaranya terpaksa berhenti sekolah dan meninggalkan pekerjaan mereka.

“Kerajaan dilihat sengaja menggunakan kekerasan untuk menundukkan pembangkang dan penunjuk perasaan anti-Assad. Kekejamannya telah menyebabkan penduduk hidup sengsara dan ramai terkorban,” jelas aktivis itu lagi.

Selepas kegagalan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk keganasan di Syria pada minggu lalu, pasukan tentera didakwa telah melancarkan serangan lebih ganas di Homs.

Mereka kini menggunakan helikopter dan pesawat pejuang untuk melakukan serangan serta tembakan bertalu-talu ke arah rumah penduduk di kawasan Baba Amr.

Dianggarkan kira-kira 60 peratus rumah di kawasan itu telah musnah akibat dibedil pasukan keselamatan Assad.

“Tiada lagi bekalan elektrik dan sambungan Internet melainkan Thuraya (telefon bimbit satelit) yang boleh digunakan sebagai alat penghubung.

Hospital juga sudah kehabisan ubat-ubatan dan mereka sangat memerlukan bekalan oksigen pada masa ini,” menurut penduduk yang hanya menggelarkan dirinya sebagai Aslan.

Keganasan yang semakin tidak terkawal di Syria menyebabkan banyak pihak mula mempertikaikan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi manusia antarabangsa yang dilihat hanya berani bersuara di media untuk meredakan kekacauan di Syria tanpa mengambil tindakan sewajarnya.

Sinar Harian

Geng Castello kantoi ketika jual lembu curi

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN – Seorang lelaki yang bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti jenayah sekitar daerah ini akhirnya berjaya diberkas bersama empat ahli kumpulannya ketika sedang berurus niaga dengan seorang pelanggan yang mahu membeli lembu curi mereka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah berjaya memberkas semua suspek dan pelanggan tersebut di Bukit Rangin, Kuantan, beberapa hari lalu.

Menurutnya, pelanggan itu merupakan peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan dan disyaki membantu mencari rakan peniaga yang menjual daging sebagai pelanggan.

“Polis berjaya menahan anak-beranak berusia 40-an dan 18 tahun ketika mereka menaiki sebuah lori membawa empat lembu curi yang sudah siap dipotong kepala serta kaki untuk dijual.

“Dua lagi lelaki yang juga adik-beradik dari Temerloh berusia 30-an dan 19 tahun yang menaiki sebuah kereta turut ditahan. Mereka disyaki ahli kumpulan Castello serta membantu kerja mencuri lembu di sekitar gugusan Felda Chini dan sekitarnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Yahaya berkata, Castello yang juga suspek utama berasal dari Kampung Salong itu mempunyai sebanyak 25 kes lampau termasuk pecah rumah, rogol, mencuri dan pelbagai lagi perlakuan jenayah.

“Kegiatan terkini suspek ialah mencuri lembu dan ternakan lain di sekitar Felda Chini. Polis sudah menyelesaikan beberapa kes kehilangan ternakan dilaporkan sebelum ini.

“Semua suspek masih ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Sinar Harian

Kes curi pisang menjadi-jadi

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KAMPUNG DENGIR – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) hampir berjaya memberkas dua lelaki yang dipercayai cuba mencuri pisang di kebunnya di sini kelmarin.

Anggota Rela terbabit, Jaharuddin Putih, 46, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dia mendapati lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan berada di luar pagar kebunnya.

Menurutnya, ketika dia cuba menghubungi polis, tiba-tiba lelaki tersebut memecut laju melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Pada petang itu, saya sedang memancing di sungai tidak jauh dari kebun apabila menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung memberitahu melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran kebunnya,” katanya.

Jarahuddin berkata, dia bergegas ke kebunnya dan mendapati dua lelaki berlegar di luar pagar kebunnya.

Ketika ditanya tujuan mereka berada di situ, salah seorang daripada mereka memberitahu kononnya melarikan diri daripada polis kerana mempunyai kesalahan lalu lintas.

“Saya tidak mempercayai cakap mereka lalu mengarahkan mereka membuka bonet belakang kereta dan mendapati tidak ada pisang, sebaliknya mempunyai kesan getah pisang di dalam kereta itu.

“Saya meminta kad pengenalannya dan salah seorang daripada mereka memberikan satu kad pengenalan kepada saya tetapi kata lelaki kad pengenalan itu milik adiknya yang menyebabkan saya semakin curiga,” katanya.

Menurutnya, yakin dua lelaki mempunyai niat jahat, dia cuba menghubungi polis tetapi secara tiba-tiba lelaki itu memecut melarikan diri dan mereka gagal diberkas.

Jaharuddin yakin dua lelaki itu cuba mencuri pisangnya pada hari itu tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana dia terlebih dahulu datang, malahan dia juga yakin orang sama yang bertindak mencuri hampir lima kali pisangnya sebelum ini.

“Pisang saya dicuri sejak 2010 lagi menyebabkan saya kerugian melebihi RM1,000. Setiap kali, suspek mencuri sehingga 15 tandan pisang,” katanya yang sempat mencatat nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Dia juga yakin orang sama yang terlibat mencuri pisang milik beberapa penduduk kampung berkenaan sebelum ini.

Sinar Harian

Suspek culik diberkas, kes selesai

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Polis menyelesaikan siasatan berhubung kes culik remaja lelaki berusia 14 tahun, de­ngan tertangkapnya seorang suspek di Teluk Intan, Perak, Sabtu lalu.

Suspek dikatakan menghubungi keluarga remaja terbabit dan meminta wang tebusan berjumlah RM50,000.

Difahamkan keluarga mangsa berunding beberapa kali dengan suspek meminta tebusan dikurangkan kepada RM2,000, sebelum suspek bersetuju.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, hasil risikan, pihaknya mengesan kedudukan suspek lelaki berusia 26 tahun itu, sebelum menahannya kira-kira jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, turut dirampas bersama suspek kereta jenis Nissan March, MyKad milik seorang wanita, kad ATM termasuk kad pe­ngenalan polis palsu.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita anggap kes ini selesai,” katanya.

Sinar Harian

Ikan kering Mariam laris

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RHU DUA – Selain keropok lekor dan keropok keping, ikan kering merupakan makanan sampingan yang dijadikan sebagai bahan pembuka selera dan merupakan antara makanan paling popular di daerah berdekatan pantai termasuk di daerah ini.

Pembuat ikan kering tempatan yang mengorak langkah dalam perniagaan tersebut di daerah ini ialah Mariam Awang, 67, dari Kampung Rhu Dua di sini.

Warga emas lapan anak ini telah memulakan perniagaannya lebih 40 tahun lalu.

“Pada awal penglibatan saya, idea untuk membuat ikan kering ini timbul apabila melihat banyak ikan-ikan kecil pelbagai jenis dibazirkan begitu sahaja sewaktu nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka di pantai kawasan itu.

“Melihat kepada keadaan itu timbul idea untuk memulakan perniagaan ini. Keadaan jauh berubah ketika ini. Kini bekalan amat sukar tidak seperti mana dahulu namun permintaannya tidak pernah putus, lebih-lebih lagi selepas tengkujuh,” katanya.

Menyedari ikan kering mempunyai potensi untuk dijual Mariam yang dibantu empat pekerjanya sehingga kini terus menghasilkan pelbagai jenis ikan kering yang semuanya dijual secara borong walaupun bekalan ikan dikatakan semakin sukar diperoleh.

Mariam mampu menghasilkan lebih 100 kilogram ikan kering sehari manakala pemborong dari dalam dan luar daerah berkenaan akan datang mendapatkan bekalan di rumahnya.

Ikan kering yang dijemur itu juga diasingkan mengikut saiz dan jenis kerana harga bagi setiap jenis ikan adalah berbeza seperti lolong dijual pada harga RM8 sekilogram, selayang pada harga RM12 sekilogram dan cencaru pada harga RM10 sekilogram.

Menurut Mariam, walaupun usianya semakin lanjut dia tetap meneruskan perniagaan kerana baginya, pendapatan diperoleh dapat juga menampung keperluan suaminya, Abdul Rahman Kadir, 73, yang ketika ini uzur dan hanya mampu berehat di rumah.

Sinar Harian

Pesan IPhone 4s dapat berus cat

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IMPIAN MUSNAH...Faizal menunjukkan berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan yang diterimanya.

JOHOR BAHRU: “Saya terkejut selepas membuka kotak dikirim apabila mendapati ia hanya mengandungi berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan dan bukannya iPhone 4s yang menjadi idaman,” kata Faizal Hussin, 41, dari Taman Impian Jaya di sini, semalam.

Faizal yang juga pengurus sebuah syarikat swasta di sekitar bandar raya ini berkata, dia kerugian RM1,750 selepas diperdaya sindiket penjualan telefon bimbit terbabit yang beroperasi menerusi laman web.

Mengimbau kejadian, Faizal berkata, ketika melayari portal pengiklanan sindiket terbabit pada 3 Januari lalu, dia tertarik dengan iPhone 4s yang ditawarkan pada harga RM1,750 seunit oleh Jay One Communication and Services memandangkan harganya lebih murah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,400.

“Saya menghubungi nombor tertera untuk membuat pertanyaan berkaitan telefon bimbit berkenaan sebelum diminta memasukkan bayaran ke akaun bank tertera nama Yow Wei Xian.

“Telefon bimbit berkenaan pula dijanjikan dalam tempoh dua hari menerusi Poslaju. Kiriman itu tiba dua hari kemudian iaitu pada 5 Januari lalu, namun saya terkejut mendapati ia hanya berus cat terpakai, komik serta telefon mainan,” katanya.

Faizal mendedahkan perkara itu pada prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

Menyambung keterangannya, Faizal berkata, dia berusaha mengesan alamat syarikat terbabit berdasarkan nombor akaun bank penerima bayaran berkenaan iaitu di Muar.

“Saya ke premis itu dan mendapati ia rumah yang disewa beberapa lelaki Melayu.

“Pada 10 Januari lalu, saya terkejut apabila membaca laporan Harian Metro yang mendedahkan seorang bekas pegawai bank menerima lesung batu selepas membayar RM3,250 untuk membeli tiga unit telefon pintar daripada syarikat sama,” katanya.

Faizal memfailkan tuntutan berkenaan kepada TTPM dengan harapan mendapat pembelaan sewajarnya dan menamakan Jay One Communication and Services dan penama akaun, Yow dalam tuntutannya bagi mendapatkan ganti rugi berikutan penipuan itu.

Presiden TTPM, Maznah Haron kemudian memerintahkan penentang kedua iaitu Yow selaku pemegang akaun yang menerima wang pembelian telefon bimbit terbabit mengembalikan RM1,750 kepada mangsa dalam tempoh 14 hari.

Tuntutan yang difailkan terhadap Jay One Communication and Services pula dibatalkan. Ketika prosiding, Jay One Communication and Services dan Yow tidak hadir untuk mengemukakan hujah bagi mengetepikan tuntutan difailkan terhadap mereka.

Maznah turut menasihatkan Faizal supaya membuat laporan polis berkaitan kes itu selain lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan barangan yang ditawarkan pada harga murah terutama ketika berurusan menerusi Internet.

metro/-

Subahat proses dadah

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Perkenalan tiga lelaki warga Iran dengan seorang lelaki tempatan membawa kepada penubuhan sindiket memproses dan mengedar dadah dalam negara serta di Indonesia, hujung tahun lalu.

Warga asing itu sebelum ini ditahan di sebuah pusat akhlak di Muar, Johor dua tahun lalu, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1983.

Dalam tempoh tahanan, mereka dipercayai mengatur strategi bersama lelaki tempatan itu yang ditahan di tempat sama di bawah Ordinan Darurat.

Selepas dibebaskan, kumpulan ini menyewa sebuah rumah mewah di Changkat Kiara Bayu, Jalan Dutamas dan menjadikan kediaman itu sebagai makmal memproses syabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, bagaimanapun riwayat kumpulan tersebut berakhir selepas polis melakukan serbuan di rumah tersebut, kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.

Difahamkan, kumpulan itu dalam perancangan berpindah ke sebuah rumah banglo di Bukit Tunku, dengan bayaran sewa sebanyak RM5,000 sebulan.

Noor Rashid berkata, susulan itu, seorang lagi lelaki warga Iran dan dua lelaki tempatan ditahan di ibu negara. Semua berumur lingkungan 22 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, polis merampas tujuh kilogram (kg) syabu berbentuk kristal, 25kg prekursor ephedrine iaitu bahan utama memproses syabu, pelbagai bahan kimia lain dan peralatan memproses.

“Suspek warga Iran bertindak memproses dadah dan suspek tempatan pula akan mengedarkannya. Siasatan kita mendapati dadah bernilai hampir RM4 juta itu akan di pa­sarkan di negara ini dan negara jiran,” katanya di Pusat Media, Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, polis percaya terdapat penglibatan warga Indonesia dalam sindiket dadah ini kerana harga pasaran dadah di negara berkenaan jauh lebih tinggi.

Menurutnya, polis kini sedang menyiasat dalang kegiatan ini dan semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Mayat penjual makanan haiwan rentung

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang penjual maka­nan haiwan bukan hanya dibunuh, malah turut dibakar bersama kereta dalam keja­dian berhampiran padang bola Batu Muda Tambahan 3, Kampung Batu Tambahan, awal pagi semalam.

Mangsa hampir 100 peratus terbakar itu dikenal pasti sebagai P Rodney, 30, berasal dari Taman Sri Gombak.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan tersebut, kira-kira jam 4.15 pagi, selepas melihat ke­reta Proton Wira terbakar.

Insiden tersebut dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, Shahruddin Ahmad, 52, sebelum dia menghubungi bomba.

Shahruddin berkata, dia tidak mengetahui terdapat mayat terbakar di dalamnya.

“Saya tidak berani menghampiri kenderaan berke­naan kerana bimbang meletup.

“Selepas api padam, saya diberitahu di dalamnya terdapat mayat yang sudah ha­ngus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan tiba di lokasi, kira-kira jam 4.42 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan penemuan mayat di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

“Siasatan mendapati, ke­reta itu disimbah dengan minyak petrol sebelum dibakar.

“Kita sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke kawasan itu untuk dibakar bersama kereta,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disia­sat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

Murid dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang murid darjah dua Sekolah Kebangsaan Ladang dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Batu Buruk di sini petang semalam.

Ahmad Saibi Amir Muslim, 8, sedang mandi bersama dua lagi rakannya apabila kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang.

Pelampung yang digunakannya dikatakan pecah setelah dilambung ombak setinggi dua meter.

Dia sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun hanyut dibawa arus deras.

Seorang remaja, Norna Mina Nazrul Zaman, 18, yang sedang mencari remis bersama ibunya tidak jauh dari tempat kejadian telah membaling pelampung kepada mangsa namun mangsa gagal mencapainya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkahirul Razali ketika ditemui di tempat kejadian berkata usaha mencari mangsa dilancarkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Sinar Harian

China desak rundingan isu nuklear Iran disambung

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEHRAN 14 Feb. - China semalam mendesak Iran dan kuasa-kuasa dunia untuk menyambung rundingan yang tertangguh berhubung program nuklear Teheran serta meminta kerjasama yang lebih baik daripada negara Islam itu dan pasukan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Timbalan Menteri Luar China, Ma Zhou yang mengadakan lawatan selama dua hari di Tehran berkata, desakan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan timbalan perunding nuklear Iran, Ali Bagheri.

Lawatan Ma dilakukan ketika ketegangan semakin memuncak antara Iran dan negara-negara Barat berhubung aktiviti nuklear Teheran yang dikhuatiri untuk menghasilkan senjata pemusnah. - AFP

Kaji kaitan hamster dengan penyakit kencing tikus

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG: Kerajaan perlu mengkaji kemungkinan penyakit berjangkit seperti kencing tikus ada kaitan dengan kegilaan masyarakat terutama kanak-kanak dan belia menjadikan hamster, sejenis tikus sebagai haiwan peliharaan.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat, meminta Jabatan Kesihatan dan Veterinar melakukan kajian bagi menentukan sejauh mana haiwan itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia dengan penularan penyakit kencing tikus.

Katanya, kerajaan negeri ada menerima laporan kaki dan tangan seorang penduduk yang menternak hamster lebih tujuh tahun lalu terpaksa dipotong akibat jangkitan virus air kencing tikus.

“Jika laporan itu betul, dua agensi kerajaan terbabit perlu menyiasat dan mengeluarkan garis panduan bagi mengharamkan penjualan dan ternakan hamster.

"Kita tidak pasti sejauh mana kaitannya, sebab itu kita minta dua agensi kerajaan terbabit membuat kajian, termasuk menguji air kencing hamster sama ada mengandungi virus yang boleh memudaratkan kesihatan manusia," katanya ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan Program Jalinan Murni Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr Marzuki Zakaria, berkata walaupun hamster ialah spesies tikus, tetapi pemeriksaan setakat ini mendapati haiwan itu tidak berbahaya.

berita harian/-

Bekas ketua pendakwa syarie dijel

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH – Sebagai Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), dia dipertanggungjawab untuk mendakwa kes-kes syariah, namun salah guna wang dan kuasa menyebabkan seorang bekas ketua pendakwa syarie di sini semalam menerima balasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara dan denda.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Tan Hooi Leng menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan denda RM55,000 ke atas Shahrunnazri Abdul Samad, 44, setelah dia didapati bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima suapan RM5,000 daripada seorang anggota polis yang berkhalwat bersama pasangannya pada 2007.

Kosmo

Israel: Ulamak PAS sokong pendirian Mursyidul Am

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti mana yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ) atau bertindak menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr. Khairuddin Razali menyatakan pendirian itu ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am yang dikeluarkan semalam.

“Kenyataan ini adalah bukti yang jelas bahawa PAS tetap akan menyuarakan pandangannya dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak apabila membicarakan tentang isu-isu prinsip Islam.

“PAS tidak akan menjual prinsipnya dalam memperjuangkan Islam,” ujar beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh (gambar) turut menyatakan sokongan tegas yang sama kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz itu.

Menurutnya, Dewan Ulamak akan terus bertegas mempertahankan isu Palestin sebagai prinsip utama perjuangan membela rakyat negara itu.

Semalam, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik berkata, “Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.”

Harakah Daily