10 February 2012

Najib ‘gadai akidah’ hadir Thaipusam - Harussani

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

(Najib menyertai perayaan Thaipusam di batu Caves)

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Harakahdaily/-

Indonesia Beli Pesawat Risikan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Indonesia akan menerima sebuah pesawat peninjau tanpa juruterbang bagi tujuan risikan dan ramalan cuaca tahun ini.

"Ia adalah sebuah pesawat baru dan ia amat diperlukan," kata Timbalan Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin yang dipetik oleh Antara, Jumaat.

Katanya pesawat itu, yang mampu terbang sehingga 15 jam dalam jarak 200km, dibeli daripada Kital Philippine Corp sebagai sebahagian daripada program pemerolehan peralatan tentera.

Tentera Nasional Indonesia telah mengeluarkan tender untuk membeli empat unit pesawat itu yang setiap satu bernilai US$6 juta. - BERNAMA

Rakan dagang Israel identiti sebenar Najib - Md Sabu

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Tindakan kerajaan Umno menyertai sekatan dagang terhadap Iran sambil menjadi rakan dagang penting Israel adalah identiti sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Itulah identiti sebenar Najib dan Umno. Di hadapan rakyat beragama Islam mereka bercakap tentang Islam. Di belakang rakyat beragama Islam, mereka jadi rakan dagang penting Israel.

"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib dan Umno juga menjadi pecacai Israel apabila menyertai sekatan dagang terhadap Iran," katanya.

Bagi Mohamad, apa yang berlaku itu tidak sedikit pun memeranjatkan walaupun mencabar dan mencalar maruah umat Islam di negara ini.

"Selama ini pun, siapakah di hadapan umum bertempik kononnya sebagai pejuang Melayu dan mengapi-apikan perkauman tetapi pada masa yang sama menjadi pecacai tauke-tauke termasuk tauke judi yang menjadi tempat mereka mengemis rasuah.

"Semua orang yang mengikuti perkembangan politik negara ini tahu perkara itu," kata beliau.

Beliau berkata, selain laporan terbaru mengenai tindakan kerajaan Umno menyekat pembekalan minyak sawit kepada Iran dalam tindakan menyertai sekatan dagang terhadap negara itu, tahun 2010 lalu Malaysia juga dilaporkan menyekat penjualan gas gasolin kepada Republik Islam itu atas titah perintah Amerika Syarikat.

Menurut Mohamad, sikap pro Israel kerajaan Umno telah lama dan berkali-kali terserlah antaranya ialah tindakan menamatkan kontrak wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna.

Dalam peristiwa yang jelas membuktikan ketaatan kerajaanUmno kepada Amerika Syarikat yang menjadi penaung utama Israel, perkhidmatan wakil tetap tersebut, Datuk Mohamad Arshad Hussain ditamatkan setelah dipanggil balik oleh Kementerian Luar.

Menurut laporan Bernama, beliau dipanggil balik "bagi perbincangan selepas undi Malaysia pada mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bercanggah dengan prosedur kerajaan".

Pada mesyuarat itu, Malaysia bersama-sama dengan Cuba dan Venezuela, telah mengundi tidak menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program penguraian uranium.

Mohamad Arshad juga adalah pengerusi lembaga gabenor IAEA yang dilantik.

"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengakui pemecatan Mohamad Arshad mempunyai kaitan dengan keengganannya menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program nuklear," kata Mohamad (gambar).

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin sebelum ini mendedahkan bahawa Israel adalah salah satu rakan dagang penting kerajaan Umno termasuk dalam pemasaran minyak sawit.

Pada hari yang sama juga Reuters melaporkan bahawa sejak tahun lalu lagi Malaysia menghentikan bekalan minyak sawit kepada Iran sebagai salah satu tindakan menyertai sekatan dagang terhadap Iran.

Sekatan dagang terhadap Iran diterajui dan dipaksakan oleh Amerika dan Israel berikutan tindakan Republik Islam itu memajukan tenaga nuklear.

Walaupun telah dibuktikan tindakan Iran memajukan kuasa nuklear tidak digunakan sebagai senjata, Amerika dan Israel yang disertai kuasa-kuasa Barat dan negara-negara yang berada di bawah telunjuk Amerika tetap menentang habis-habisan usaha itu.

Harakah Daily

DAP cadang bayaran BR1M setiap tahun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perdana Menteri disaran supaya memberikan bantuan RM500 kepada keluarga miskin dan RM100 kepada pelajar setiap tahun untuk membuktikan bantuan itu bukan senjata politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bayaran-bayaran sekali sahaja ini akan menelan belanja Kerajaan sebanyak RM1.8 bilion untuk 3.4 juta isi rumah dan RM550 juta untuk 5.5 juta pelajar.

"Ini bukanlah satu jumlah yang terlalu banyak memandangkan negara kita kerugian berbilion ringgit setiap tahun," katanya.

Sebagai contoh, katanya, badan pemerhati kewangan yang berpangkalan di Washington iaitu Global Financial Integrity (GFI) telah melaporkan bahawa negara kita telah kehilangan RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) akibat dialirkan secara haram ke luar negara dari tahun 2000 hingga 2009.

Ini adalah tambahan kepada skandal RM12 bilion dalam kes Port Klang Free Trade Zone, skandal RM52 bilion saham bumi dan yang terbaru RM250 juta dalam skandal “lembu dan kondo” NFC, tambah beliau.

"Daripada membazirkan wang rakyat dengan projek-projek yang melampau ini, kerajaan patut memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukannya dalam keadaan semasa yang dilanda inflasi tinggi dan hutang isi rumah yang melambung," cadang beliau.

Menurut beliau, berjuta-juta rakyat Malaysia menghadapi kesusahan terutama sekali dengan kos barangan harian yang sedang meningkat seperti:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Greg B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011.

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Inflasi yang kian meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi, tambah beliau.

Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, katanya, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang.

Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang, katanya.

Menurut Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, selain bantuan kewangan kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga harus melaksanakan gaji minima.

"Pun begitu, gaji minima ini tidak bermakna jika ia tidak dihubungkan secara terus kepada kadar inflasi, seperti yang telah saya cadangkan dalam Persidangan Kebangsaan DAP awal tahun ini.

"Barulah kita boleh memartabatkan rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Oleh itu, tambah beliau, DAP menyeru agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu rakyat dengan menjadikan bantuan RM500 dan RM100 sebagai program tahunan, lantas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar ingin “membeli” kemenangan dalam pilihan raya.

Harakah Daily

Kren tumbang: Kaji semula peraturan keselamatan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 10 Feb: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya meneliti semula peraturan pemeriksaan di tapak pembinaan dan tempat kerja berikutan kemalangan kren tumbang baru-baru ini.

Tiada kematian atau kecederaan dalam kemalangan yang melibatkan kren di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, beberapa buah kereta remuk dan mereka yang berada di dalamnya bertempiaran lari apabila kren di atas bangunan 36 tingkat yang sedang di dalam pembinaan di Jalan Binjai tumbang.
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) perlu menyiasat punca kemalangan yang melibatkan kren itu.

"Adakah ia disebabkan oleh kesilapan manusia, kelemahan dalam amalan pemeriksaan kren di tapak pembinaan atau kerosakan jentera?" soal Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris.

Sehubungan dengan kemalangan itu, katanya, adalah wajar untuk mengkaji semula prosedur pemeriksaan semasa yang dijalankan oleh DOSH.

Bagi beliau, kemalangan berkaitan kren mungkin berulang jika jentera itu dikendalikan oleh pengendali kren bertauliah dan berdaftar yang diluluskan oleh DOSH, di samping pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh pegawai DOSH.

Bagaimanapun bilangan kemalangan, kematian dan statistik kecederaan di masa lepas menunjukkan langkah yang lebih ketat perlu diambil.

Beliau mencadangkan agar pengendali kren mestilah terlatih, berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan langkah keselamatan yang ketat mestilah dipatuhi apabila mengendalikan kren.

Seorang yang berkelayakan perlu ditugaskan memeriksa kren dan alat-alat kawalan sebelum digunakan, tambahnya.

Selepas berlakunya beberapa kemalangan di tempat kerja pada masa lepas, CAP menggesa penyiasatan bebas dilakukan untuk menilai peranan dan fungsi DOSH di samping mengkaji semula Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seluruh pekerja dan orang ramai.

Perkara ini masih belum dilakukan dengan mencukupi, dakwa SM Idris.

Memandangkan bilangan dan keadaan kemalangan di tempat kerja, kajian semula OSHA dan semua prosedur dan peraturan keselamatan mestilah dipercepatkan untuk melindungi keselamatan pekerja dan orang awam, katanya.

Harakah Daily

PAS utuh biar pun ada pemimpin keluar parti

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Feb: PAS tetap utuh biar pun ada segelintir pemimpin kanan parti itu meninggalkan PAS kata Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob.

PAS pernah kehilangan pemimpin termasuk bekas Yang Dipertua, Tan Sri Mohd Asri Muda, bekas Naib Yang Dipertua, Datuk Nakhaie Ahmad. Dan terbaru pula bekas Naib Presiden, Datuk Dr Hassan Ali.

Beliau berkata, biar pun PAS kehilangan beberapa tokoh yang pernah memimpin parti, namun organisasi parti tidak terjejas, malah terus mantap.

Malah katanya ketika Asri meninggalkan PAS, hanya beberapa orang sahaja yang mengikut jejak langkahnya.

“Situasi keluar masuk dalam parti merupakan perkara biasa yang pernah berlaku, namun ia melibatkan bilangan yang kecil sahaja.

“Oleh itu program mengimbau kembali jatuh bangun perjuangan PAS begitu penting diadakan bagi membolehkan golongan muda mengetahui lebih dekat sejarah lama,” katanya pada persidangan media selepas perasmian Seminar 3 Dekad Kebangkitan PAS Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh, hari ini.

Menurutnya program seumpama itu bukan pertama kali diadakan, malah pernah dianjurkan sambutan 10 tahun dan 15 tahun pentadbiran PAS di Kelantan sebelum ini.

Beliau juga berkata, program tersebut diadakan sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Sebelum itu ketika merasmikan seminar berkenaan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pihak sekular yang diketuai Umno berusaha merampas balik negeri ini pada pilihan raya umum nanti.

“Perlu diingatkan usaha tersebut dilakukan kemungkinan besar mahu mengembalikan Kelantan pada era lampau.

“Sudah tentu kemungkinannya akan dihidupkan semula amalan riba yang sudah kita tukar sejak 1990. Sedangkan rakyat sudah menerima usaha yang kita lakukan,” ujarnya.

Sebanyak empat kertas kerja dibentang pada seminar berkenaan, di mana kesemuanya dibentang veteran PAS termasuk Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Omar Mohamad, Ustaz Ashaari Awang dan Datuk Mohamad Daud Iraqi.

Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan bagi jamuan peserta dari PAS-PAS kawasan yang hadir. Malam ini pula akan diadakan ceramah umum.

Harakah Daily

Bob Lokman terbit filem pendek jawab tohmahan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH, 10 Feb: Bekas pelakon, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman dengan kerjasama Semarak Production sekali lagi menerbitkan sebuah filem pendek kali ini bertajuk ‘Alahai Bob la Plak Menjawab’.

Filem pendek ini dihasilkan untuk menjawab satu filem pendek 'Alahai Bob' yang diterbitkan pihak tertentu bagi memburukkan imej Bob yang dimuat naik di Youtube beberapa minggu lalu.

Antara lain video itu membangkitkan isu Bob yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ekoran mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu.

Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakharudin Abd Aziz, filem pendek ini adalah filem yang ketiga berjaya dihasilkan selepas ‘Orang Kuat UMNO’ dan juga ‘Aduhai 1 Malaysia’.

Sambung beliau lagi, skrip filem ini adalah idea dari Bob Lokman sendiri dan ianya dijawab dan disampaikan secara santai.

“InsyaAllah filem yang keempat akan menyusul tidak lama lagi dimana filem keempat ini akan membicarakan tentang hudud pula," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan sambutan terhadap filem pendek ini sungguh mengejutkan, ini kerana tidak sampai 24 jam dimuat naik ke Youtube filem ini sudah dikunjungi lebih 10000 orang.

“ini menunjukkan filem pendek ini adalah satu medium dakwah dan juga satu cara untuk menjawab isu-isu semasa, oleh itu kita mengharapkan agar jentera penerangan seluruh negara dapat mengoptimumkan penggunaan Youtube ini untuk menyebarluaskan dakwah dan menjawab isu-isu semasa," tegas beliau.

Harakah Daily

PRU13: Sukarelawan Komas pantau 'kerusi panas'

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 10 Feb: Pusat Komuniti Masyarakat (Komas) menubuhkan satu pasukan sukarelawan bagi memantau pilihan raya umum ke -13 di seluruh negara dengan kempen 'Jom Pantau'.

Penyelaras Komas bagi program kewarganegaraan dan pendidikan pengundi, Arul Prakkash berkata, pasukan sukarelwan tersebut akan memantau 20 kerusi yang dikenal pasti mungkin terdedah dengan penipuan.

Beliau berkata, kerusi-kerusi berkenaan adalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak, tetapi senarai itu belum dimuktamadkan lagi.

"Kita akan mula memantau keadaan di kerusi berkenaan sebaik sahaja mereka membubarkan Parlimen dan menyenaraikan kesalahan pilihan raya yang mereka lakukan, sekiranya ada," katanya pada sidang media di pejabat Komas hari ini.

Menurutnya, Komas akan bekerjasama dengan “Malaysian Election Observer Network (MEO-Net), Southeast Asian Centre for e-Media (SEACEM), National Institute for Democracy and Electoral Integrity (NIEI) dan BERSIH 2.0 bagi menjalankan pemantauan.

Sehubungan itu, Komas mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan kes-kes penipuan dalam pilihan raya dan mereka akan menyiarkan di laman web selepas membuat pengesahan.

"Kami amatlah memerlukan sokongan rakyat dalam memantau pilihanraya yang akan datang. Khususnya, segala kesalahan yang berlaku semasa pilihan raya dijalankan.

"Setiap warganegara Malaysia haruslah mengetahui proses pilihanraya, kesalahan yang dilakukan dan apakah maksud sebenar pilihanraya bebas, adil dan bersih di Malaysia," katanya.

Jelas beliau juga, kriteria untuk mengenal pasti 'kerusi panas' adalah kawasan yang mempunyai ahli-ahli politik berprofil tinggi sebagai calon, kali terakhir dimenangi dengan majoriti tipis, mempunyai jumlah pengundi pos yang ramai dan peningkatan yang mendadak dalam pengundi berdaftar.

Harakah Daily

Tanaman Syurga

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Saya bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام – ketika malam saya diisra’kan dan Baginda bersabda: Wahai Muhammad, sampaikanlah salam dari padaku kepada umatmu, dan beritahukanlah kepada mereka,

bahawasanya syurga itu subur tanahnya, manis airnya, terhampar luas dan tanamannya adalah ucapan zikir, سُبْحَانَ اللهِ ، وَالْحَمْدُ ِللهِ ، وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ أَكْبَرُ (Subhanallahi walhamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar). (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan dihasankan oleh Al Albani)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertemu dengannya. Dia sedang menanam tanaman, lalu Rasulullah bertanya, "Apa yang sedang engkau tanam ?" Aku menjawab, "Satu tanaman wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Mahukah aku beritahu tanaman yang lebih baik dari ini ?

" Tanaman itu ialah Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha illallah, Wallahu Akbar (Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar). Setiap satu bacaan akan ditanam untukmu sebatang pokok di Syurga. (HR At Tirmidzi)

tazkirah/-

NFC: CEO NFC atau pegawai MoF bohong?

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kenyataan CEO National Feedlot Corporation (NFC) bahawa pinjaman mudah RM250 juta kepada syarikat itu boleh digunakan untuk pelaburan hartanah bercanggah dengan maklumat yang diterima Jawatankuasa Kira Kira Awam (PAC).

Jika kenyataan ketua pegawai eksekutif (CEO) NFC Wan Shahinur Izmir Salleh itu benar bermakna, kenyataan pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) palsu.

Selepas mendapat tekanan hebat termasuk pendedahan pembelian dua lagi kondo mewah di Singapura, CEO NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh semalam berhujah bahawa pembelian itu tidak salah.

Ini kerana perjanjian pinjaman mudah RM250 juta dari kerajaan kepada NFC tidak melarang syarikat tersebut daripada menggunakan dana untuk pelaburan yang tidak berkaitan dengan industri ternakan lembu.

Mempertahankan pembelian kondo-kondo mewah di bawah nama bapanya Datuk Seri Mohamad Salleh, yang juga pengerusi NFC, Izmir, yang juga anak kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata tindakan syarikat tersebut tidak boleh disalahkan kerana membeli hartanah apabila projek fidlot tersebut dihentikan sementara untuk kajian daya maju.

Malah, katanya perjanjian pinjaman itu tidak menyatakan sebarang larangan untuk membuat pelaburan.

Namun, menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, kenyataan Izmir bercanggah dengan dengan maklumat yang diterima PAC pada mesyuarat 23 November tahun lepas.

“Pegawai senior Kementerian Kewangan (MoF) telah secara spesifik menyatakan bahawa pinjaman (kepada NFC) tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, dan ia sememangnya tiada peruntukan untuk pinjaman tersebut dilaburkan dalam bidang hartanah.

"Pegawai itu turut menyatakan bahawa tujuan pengeluaran setiap kali pinjaman mesti dinyatakan dengan jelas. Disoal lanjut, pegawai itu mengesahkan bahawa MoF yang mengeluarkan RM250 juta itu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk membeli hartanah,” kata Pua dalam satu kenyataannya hari ini.

Oleh itu, Pua berkata sekiranya pegawai itu bercakap benar, maka Izmir telah terbukti berbohong mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan lagi.

Dalam mesyuarat itu juga, Pua berkata PAC telah meminta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan skandal NFC termasuk perjanjian pinjaman, jadual bayaran, syarat-syarat yang dikenakan MoF pada pinjaman tersebut kepada komitee tersebut untuk semakan dan pengesahan.

Namun begitu, kata Pua mesyuarat PAC yang sepatutnya berlangsung bulan Januari lepas untuk membincangkan isu NFC dan juga projek berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad masih tidak dipanggil.

“Kita berharap benda ini tidak lagi ditangguh kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran secepat mungkin terutamanya apabila projek ini telah menjadi skandal seluruh negara,” tegas beliau.

NFC mula mendapat perhatian apabila Ketua Audit Negara melaporkan bahawa projek tersebut hanya menghasilkan 3,289 ekor lembu, atau 41.1 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2010.

Pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC dilaporkan mengalami kerugian RM7 juta dan RM11 juta.

Perkara itu kemudian disusuli dengan pendedahan panas oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli memaparkan bagaimana pinjaman RM250 juta itu, yang diluluskan secara kontroversi pada zaman timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Menteri Pertanian, telah digunakan untuk percutian, pembelian kondo mewah, Mercedez Benz dan tanah di Putrajaya.

Terbaru, Rafizi mendedahkan RM34 juta wang NFC telah digunakan untuk membeli dua lagi kondo mewah di Marina Bay, Singapura.

Harakah Daily

Hukum minum berdiri

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Para Fuqaha' telah khilaf dalam masalah hukum minum berdiri ini:

Ada yang berpendapat ianya haram, dan hanya dibolehkan jika seseorang itu terhalang untuk duduk, dan inilah pendapat Imam Ibn Qayyim berdasarkan hadis Anas dalam Sahih Muslim bahawa "sesungguhnya Nabi SAW melarang minum sambil berdiri" dan dalam riwayat yang lain berbunyi "Nabi SAW melarang rijal (laki-laki dan termasuk perempuan) dari minum berdiri" beliau meriwayatkannya dari hadis Said bin al-Khudry.

Namun, para fuqaha' lainnya ada berpendapat larangan minum berdiri ini telah dimansuhkan (dihilangkan hukum) berdasarkan hadis Ibn Abbas yang berkata: "aku memberi (menghulurkan) air zam-zam pada Rasulullah SAW, dan Baginda meminumnya sambil berdiri" hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka.

Dan dalam sahih Bukhari, hadis daripada jalan Abdul Malik bin Maisarah daripada al-Nizaal,ia berkata: "Ali bin Abi Tholib datang ke "bab al-Ruhba" dan dia minum sambil berdiri, kemudian berkata "ada antara kamu tidak suka orang minum sambil berdiri, dan aku melihat Baginda SAW minum seperti yang aku sedang lakukan sekarang (berdiri)"

Oleh itu dibuat kesimpulan bahawa, hadis yang melarang daripada makan dan minum sambil berdiri memberi erti ia tidak digalakkan, dan hadis yang membenarkan makan dan minum sambil berdiri memberi erti perbuatan itu bukanlah dosa (cuma tak digalakkan) dan ini adalah seperti pendapat at-Tabari, al-Khattabi dan al-Hafiz Ibn Hajar.

Dan dikatakan bahawa kedua-dua pilihan ini (berdiri atau duduk) adalah dibenarkan tanpa larangan/tanpa makruh (bi duun kiraha), namun minum sambil duduk adalah lebih baik kerana Baginda SAW melakukannya lebih kerap (banyak kali) berbanding berdiri.

Wallah-hu-a'lam (Allah lebih mengetahui)

Sumber: http://pcmansurah.forumotion.com/t322-hukum-makan-minum-berdiri

Membalas Keburukan Dengan Kasih Sayang

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Beberapa waktu lalu ada seorang perempuan muda datang ke Rumah Amalia karena terkena depresi berat. Diusia perkawinannya yang cukup muda mengalami guncangan yang cukup hebat, suami berterus terang bahwa dia memiliki Wanita Idaman Lain, yang membuat harga dirinya tercabik-cabik, Air mata itu terurai, mengalir dipipi. Saya mengingatkan padanya untuk berserah diri kepada Allah, supaya mampu mengubah benci menjadi kasih sayang.

Memaafkan semua perbuatan suami yang telah menyakiti hatinya. Ibu itu mengatakan, ' Rasa sulit ketika Mas Agus mengajarkan kepada saya untuk mengalahkan kebencian dengan kasih sayang kepada orang yang telah melukai hati justru orang yang saya cintai, namun saya baru mengerti maksud Mas Agus agar saya lebih mengasihi dan menerima sebagai Allah menerima dan mengasihi suami. Saya yakin Allah senantiasa menyertai saya.'

Ibu itu bukan hanya keluar dari depresi beratnya namun juga lebih menyayangi suami dan yang lebih indah dalam hidupnya adalah setiap menghadapi masalah dan kesulitanm dirinya memilih bersandar kepada Allah sehingga dirinya mampu mengalahkan kebencian dengan kasih sayang. Itulah yang menyebabkan suami insyaf dan tersadar atas kekeliruan yang dilakukannya. Subahanallah.

'Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baiknya pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan karunia (yang besar) dari Allah, mereka tidak ditimpa suatu bencana dan mengikuti keridhaan Allah. Allah mempunyai karunia yang besar.' (QS. Ali Imran : 173-174).

posted by :agussyafii


Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk “ Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Harakah Daily

Kongres Melayu Pulau Pinang kutuk Hasan Ali

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) hari ini mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan oleh Dato Dr. Hasan Ali yang dibuatnya di Bandar Baru Bangi bahawa terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu terutamanya Pakatan Rakyat yang kononnya berhasrat untuk mewujudkan negara Malaysia sebagai sebuah negara republik serta menggugurkan Perkara 153
Perlembagaan Malaysia.

Lanjutan dari kenyataan beliau yang tidak mengambilkira soal integritikaum telah mendatangkan situasi panik dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk ini.

Apakah kenyataan tersebut dibuat bagi kepentingan politik murahan demi bagi tujuan meneruskan survival politik beliau? Ianya sangat memalukan orang-orang melayu.

KMPP menilai situasi Dato Dr. Hasan Ali sekarang lebih menonjol dan bebas mengeluarkan kenyataan yang melampaui keraguan munasabah kerana terdapat immuniti yang diberikan disamping mendapat liputan daripada pihak media tempatan.

Gara-gara dipecat dari Parti PAS maka kesempatan tersebut digunakan sebaik mungkin menerusi anjakan motivasi untuk mencari publisiti.

Kenapa sewaktu beliau masih bersama PAS dahulu perkataan “PARASIT” tidak digunakannya dan hanya setelah dipecat barulah pemimpin professional Islam ini melabelkan perkataan tersebut secara drastik?

Kenapa perlu tunggu hingga dipecat baru bertindak dan tidakkah situasi tersebut dilihat sebagai membalas dendam? Bekas exco ini sepatutnya melepaskan jawatannya terlebih dahulu dalam Kerajaan Negeri Selangor jika sudah tahu bahawa ada seteru dari Parti PAS yang menghalangnya dari melaksanakan hukum Islam.

Cerminlah diri sendiri sebelum menagih simpati dari rakyat atau alasan dianiayai.

Jika beliau berpendapat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berasaskan kepada khabar angin dengan hasrat untuk menakutkan rakyat di negara ini maka ini bermakna beliau menggali lubang sendiri.

Jangan menjadikan agenda Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu sebagai perisai bagi tujuan menyatupadukan melayu dinegara ini, tetapi pada masa yang sama meraih sokongan bukan melayu diatas tiket JATI yang kononnya akan menjadi bentang ketiga dalam arena
politik negara.

Situasi sebegini hanya akan ditolak oleh rakyat berfikiran waras.

Walaubagaimanapun pihak KMPP menyanjung tinggi hasrat beliau untuk mewujudkan satu NGO berbilang kaum yang dikenali sebagai JATI.

Namun kepada rakyat Malaysia soal tersebut tidak relevan serta sama sekali tidak penting. Yang lebih penting adalah harus ada sebuah Kerajaan yang dapat memberikan keutamaan kepada soal kebajikan serta ekonomi yang manpan kepada rakyat.

Rakyat lebih bijak menggunakan minda sebagai pengundi demi bagi memastikan hak mereka terpelihara daripada membuang masa mendengar motivasi yang akhirnya mendatangkan defisit kepada mereka.

Oleh yang demikian tanpa prasangka pihak KMPP mencabar Dato Dr. Hasan Ali menunjuk bukti bahawa negara Malaysia akan menjadi sebuah negara Republik dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Negara akan digugurkan.

Sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa, kenyataan yang berteraskan khabar angin daripada seorang pemimpin professional seperti beliau adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Ianya hanya menyerlahkan sikap serta peribadi beliau yang sebenarnya. Maka rakyat boleh menilai siapakah sebenarnya Dato Dr. Hasan Ali.

Dalam masa yang sama pihak KMPP atas nama rakyat Malaysia turut mendesak agar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat khususnya Parti DAP dapat memberikan penjelasan serta jawapan yang terang apakah benar seperti mana didakwa oleh Dato Dr. Hasan Ali tersebut?

Apa jua penjelasan nanti akan dianggap sebagai janji oleh pihak Pakatan Rakyat yang bakal disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

KMPP melihat kenyataan Dato Dr. Hasan Ali tersebut sebagai amat serius dan tidak boleh berkompromi kerana ianya melibatkan kesejahteraan kaum dinegara ini. Sesungguhnya inilah satu kenyataan berbentuk “PARASIT” daripada seorang pemimpin atau wira yang tidak didendang.

Sekian, terima kasih.

KONGRES MELAYU PULAU PINANG

.................
RAHMAD BIN ISAHAK
PRESIDEN (KMPP), (019-472 8509)

Harakah Daily

Rafizi: Dedah Perjanjian NFC Kepada Umum

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 10 FEB: Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin diminta mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada Umum.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan tersebut amat perlu supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

Kenyataan beliau tersebut ekoran kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana
wang tersebut boleh digunakan.

Menurut Wan Shahinur lagi, NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Kata Rafizi kenyataan Wan Shahinur menimbulkan pelbagai persoalan antaranya;

1.Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

2.Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

3.Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

4.Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

Katanya pendedahan yang dibuat Wan Shahinur tersebut mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

tv news/-

Kesian Umno sudah menyimpang jauh - Kadir

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SERDANG, 10 Feb: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini membidas tindakan pemimpin Umno yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Disiplin parti itu ekoran beberapa kritikannya.

"Saya tak ada masalah apa, saya pun tak bergantung hidup pada parti, cuma saya kesianlah kerana Umno sudah menyimpang jauh," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib 27 Januari lalu memaklumkan, Tan Sri Kadir akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Umno berikutan beberapa kenyataan yang dibuat oleh beliau.

Tindakan diambil Umno berikutan beberapa siri temubualnya dengan media alternatif khususnya dengan TVPAS (Harakahdaily), MobTV dan Malaysiakini.tv yang menyentuh isu pembelian undi pilihan raya yang sedang berjalan dan kegagalan BN melaksanakan agenda bumiputra yang ditafsir sebagai menghentam parti.

"Pandangan yang saya beri dalam rakaman ini tidak sampaipun 10 peratus dari apa yang kami Pemuda Umno dan yang lain-lain pada tahun 60an dan 70an dahulu pernah berhujah, mengkritik dan memberi pandangan termasuk yang pedih terhadap pimpinan parti.

"Kepada Jawatankuasa Disiplin pula tidaklah perlu bersusah payah untuk menyiasat saya kerana saya akan menghantar kepada mereka rakaman-rakaman ini yang penuh dan tidak diedit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Salinan rakaman temubual itu menurutnya akan dihantar kepada pejabat Umno selewat-lewatnya minggu depan.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pada pilihan raya.

Dalam isu agenda bumiputra pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputra di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Ianya termasuk kemudahan pinjaman 30 peratus kepada syarikat kecil bumiputera yang kini sudah dihentikan.

"Kalau benda macam ini pun saya tak boleh bagi pandangan, apa dah jadi dengan Umno. Saya ni orang lama, kaji la dulu apa yang orang kritik.

"Datuk (Sri) Najib pernah buat lawak kata wujud dilema dalam Umno 'jika beri salah, tak beri kalah', maknanya ini (politik wang) sudah jadi tabiat yang diterima dalam Umno," katanya yang juga bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Menyifatkan rasuah politik oleh Umno itu sebagai perbuatan hodoh dan ketinggalan zaman, Abdul Kadir juga mendakwa wujud keadaan di mana mereka perlu membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin Umno agar tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kegagalan perlaksanaan agenda bumiputera.

"Jangan persalahkan orang Cina atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pimpinan kita (Umno) sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat yang adil dan sepatutnya," katanya lagi.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga mendakwa, tindakan Umno ke atasnya itu hanya mengesahkan pandangan rakyat selama ini bahawa Umno sekarang bukan sebuah parti demokratik.

Menurutnya, ia berbeza dengan Umno zaman penubuhannya oleh Datuk Onn Jaafar dahulu yang benar-benar demokratik dan mendengar pandangan semua pihak.

Ditanya jika Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata ianya bukan masalah baginya.

Harakah Daily

Mangsa Ribut Di Bukit Subang Gembira Dapat Bantuan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUBANG, 10 FEB : Penduduk Pangsapuri Teratai di Bukit Subang yang menjadi mangsa kejadian ribut pada 7 Februari lepas menyatakan rasa syukur dan gembira apabila kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM480,000 bagi membaik pulih bumbung pangsapuri yang rosak itu dan juga bantuan kecemasan segera.

Tinjauan TV Selangor semasa pemberian bantuan kecemasan itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh penduduk tempatan.

Bantuan disampaikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menurut penduduk, Raden Haji Ahmad Qurtubi Masduki,64, berkata beliau amat menghargai dengan pemberian yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa yang bertungkus lumus memberikan pelbagai bantuan sejak mereka dipindahkan ke Dewan Raflesia itu sebagai tempat pemindahan sementara.

" Terima kasih diucapkan kepada mana-mana pihak telah memberikan perhatian terhadap apa yang terjadi ke atas diri kami,pihak kami penduduk yang terlibat mengucapkan jutaan terima kasih yang sudi menghulurkan derma secara spontan dan juga pihak yang berkaitan yang memberikan peralatan untuk tidur dan sebagainya,moga-moga apa yang disumbangkan oleh mereka diberkati Allah," katanya.

Menurut Qurtubi kejadian tersebut yang kali pertama berlaku sejak beliau tinggal di kawasan itu berharap agar penduduk di situ dapat sabar dan menginsafi kejadian itu dengan mengambil iktibar.

" Moga-moga apa yang kami lakukan tanpa disedari atau disedari akan diampunkan oleh Allah, dan semoga kejadian ribut itu tidak akan berulang lagi,sebagai penduduk yang menerima musibah amat-amat mengambil perhatian di atas apa jua yang berlaku,moga-moga kejadian ini menjadi satu iktibar kepada kami yang Allah telah berikan ujian kepada kita," katanya.

Aman Jaya Abdul Aziz,40, berkata sumbangan yang diberikan kerajaan negeri akan meringankan sedikit kesukaran yang dihadapi ekoran kejadian ribut itu yang merosakkan rumah serta peralatan rumahnya.

"Semasa kejadian ribut itu berlaku air yang mencurah-curah masuk menyebabkan habis baju dan pakaian basah, pemberian ini sekurang-kurangnya akan meringankan beban saya. Anggaran kerugian termasuk pakaian adalah dalam anggaran RM300.

"Semasa kejadian saya berada di berandar rumah, dan angin kuat bersama-sama abuk sekali yang disertai dengan daun-daun dan kayu-kayu masuk ke dalam rumah," katanya.

Katanya beliau amat berpuas hati dengan segala bantuan dan keprihatinan kerajaan yang memberikan pertolongan segera kepada penduduk sejak hari kejadian serta di pusat pemindahan sementara itu.

"Terima kasih juga di atas keperihatian Pejabat DUN dan juga Unit-Unit Amal PAS yang menghulurkan bantuan," katanya.

Azizi Abdul Hamid,38, beliau menyatakan sumbangan itu diharap meringankan beban yang dialaminya.

"Syukur Alhamdulillah dengan sumbangan kerajaan negeri ini, terima kasihlah di atas semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan bantuan," jelasnya.

Dalam majlis itu seramai 91 buah keluarga menerima sumbangan kecemasan yang diberikan terus bagi meringankan beban mangsa ribut.

Exco Selangor, Yaakob Safari berkata bantuan yang disalurkan itu adalah bantuan daripada program ceria kerajaan negeri untuk membantu rakyat di negeri ini dan sumbangan dari pejabat Adun serta daripada Lembaga Zakat Selangor.

" Untuk membantu mangsa ribut di sini,penduduk yang diberi bantuan kewangan sebanyak antara RM200 sehingga RM500 untuk sekeluarga bergantung kepada jenis kerosakan, manakala untuk membaiki bumbung yang rosak kerajaan negeri memperuntukkan RM480,000," kata Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik semasa ditemui selepas pemberian bantuan kecemasan itu di Dewan Raflesia di sini.

Turut hadir sama dalam penyampaian sumbangan ini Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Penghulu Kanan Daerah Petaling Arzmi Mohd Atan.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan bersedia untuk membuat peruntukan bagi menolong penduduk membaiki atap pangsapuri yang ranap.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

Dalam kejadian tersebut, sembilan unit rumah di blok satu dan dua, pangsapuri itu mengalami rosak teruk apabila bumbung rumah cabut ditiup angin yang kuat. Manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

tv news/-

Gula mungkin tidak manis bagi Felda

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RAMAI pembahas meminta saya mengulas mengenai cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjual saham anak syarikatnya, Felda Global Ventures Berhad (FGV), di pasaran terbuka dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia.


Saya masih tidak bercadang membincangkannya, selain membuat kenyataan fakta berikut:

1. Felda wajib menjual sekurang-kurangnya 25 peratus saham FGV kepada umum melalui tawaran awam permulaan atau initial public offering (IPO) sebelum boleh menyenaraikannya di Bursa Malaysia;

2. Tetapi Felda boleh menjual lebih daripada peratusan itu dan menyenaraikannya di lebih daripada sebuah pasaran melalui “secondary listing”;

3. Dengan baki 75 peratus, Felda masih menguasai FGV kerana pegangan saham minimum yang diperlukan oleh Felda untuk menguasai dan menguruskan FGV adalah 33.3 peratus;

4. Dengan melakukan IPO, Felda boleh mengumpul modal baru. Modal itu boleh digunakan sendiri oleh Felda atau “dipinjamkan” kepada FGV untuk dilaburkan dalam projek-projek baru;

5. Dalam proses IPO, banyak pihak berpeluang mendapat pendapatan/keuntungan dalam bentuk keuntungan modal (capital gain), komisen dan yuran perundingan; dan

6. Sesiapa yang berkedudukan baik atau bernasib baik dan dapat borang merah jambu (pink form), walaupun tidak ada modal, masih boleh “gadai” dan dapat habuan up-front.

Pembelian MSM Daripada Kuok

Yang membimbangkan ialah kemungkinan dasar, strategi dan pelaksanaan kegiatan komersial Felda melalui FGV tidaklah secekap yang didakwa dan diharapkan.

Saya telah mengulas di sini dan di ruangan-ruangan lain mengenai pembelian perniagaan gula Robert Kuok di Malaysia oleh FGV pada tahun 2009 dengan harga RM1.5 bilion, pada saat-saat perjanjian pembelian gula mentah pada harga murah daripada Australia akan berakhir. Malaysia mengimport 90 peratus keperluan gulanya dan Australia adalah antara pembekal utama.

FGV membeli Malayan Sugar Manufacturing (MSM) dan ladang gula Chuping di Perlis daripada Kuok. Tahun lalu, FGV menjual sebahagian sahamnya dalam MSM melalui IPO dan menyenaraikan semula MSM di Bursa Malaysia. Besar kemungkinan FGV telah membuat keuntungan modal daripada penjualan itu.

Dua tahun kemudian, pada tahun 2011, Kuok, melalui syarikat perladangannya, Wilmar yang berpangkalan di Singapura, membeli syarikat pengeluar gula mentah terbesar Australia, CSR, dengan harga A$1.75 bilion (kira-kira RM5.25 bilion).

Kalau dulu Kuok memonopoli perniagaan gula di Malaysia, kini beliau mengusai salah satu punca bekalan gula terbesar di dunia. Beliau kini dianggarkan menguasai 10 peratus perdagangan gula dunia.

Kalau MSM terus membeli gula dari Australia, kemungkinan besar ia membelinya daripada Kuok. Begitulah liciknya “Raja Gula” kelahiran Malaysia, tetapi berpangkalan di Hong Kong itu.

Kekhuatiran mengenai pembelian MSM oleh FGV terbukti apabila harga gula mula naik dan Kerajaan terpaksa memikirkan semula dasarnya untuk mengurangkan subsidi.

Beberapa hari lalu, CIMB Research, cawangan penyelidikan CIMB Bank, meramalkan kesan negatif kenaikan harga gula terhadap MSM, walaupun Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi.

Ia mengulas yang kenaikan kadar subsidi (sebanyak 20 sen sekilo kepada 54 sen mulai awal bulan ini) tidak dapat menampung kenaikan harga yang ditanggung oleh MSM.

Ini adalah beban berganda. Walaupun Kerajaan menaikkan kadar subsidi bagi mengekalkan harga pengguna, namun kesannya kepada MSM masih negatif.

Keadaan adalah rumit. Kalau kadar subsidi tidak ditambah, harga runcit gula akan naik dan nama Felda akan busuk. Kalau nama Felda busuk, nama Perdana Menteri pun busuk juga kerana beliau adalah “mentor’ Felda.

Walaupun perniagaan gula adalah monopoli, tetapi sejak awal lagi saya berasa pembelian SMS oleh FGV kurang strategik kerana masalah bekalan gula dunia semakin meruncing dan pengguna tempatan pula sangat sensitif terhadap kenaikan harga.

Juga, sebarang masalah dengan FGV juga boleh menjejaskan kebajikan peneroka dan kakitangan Felda kerana mereka memiliki 51 saham FGV melalui Koperasi Permodalan Felda. Bagi saham FGV dimiliki oleh Felda sendiri.

Sejak dulu lagi saya berasa lebih tepat kalau perniagaan gula dikendalikan oleh sektor swasta. Setidak-tidaknya Kerajaan boleh mengalihkan beban kenaikan harga kepada mereka.

Di pihak lain, ada kebaikan kepada kenaikan harga gula kerana pengguna Malaysia berlebihan menggunakan bahan itu. Selain itu, Kerajaan wajar memikirkan semula dasar subsidi bahan itu kerana, kalau tidak silap saya, pengguna industri dan perdagangan pun menikmati subsidi gula.

Saya cadangkan, cuba minum kopi atau teh tanpa gula atau kurangkan kemanisannya. Bagi saya, rasanya lebih sedap. Saya sudah berdekad-dekad tidak makan gula dan susu pekat manis atas pilihan, bukan kerana penyakit. Di Malaysia, ramai orang berkata mereka kopi atau teh. Tetapi sebenarnya mereka minum air sirap (air gula) berperasa kopi atau teh.

Wallahualam.

Harakah Daily

Wanita: Di Mana Hilangnya Malu?

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

"SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau', alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya.

SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau', alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya.

Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya

Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan.
Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.

Kelihatan juga sekumpulan gadis yang masih berpakaian sekolah. Ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.

Agak pedih dengan paparan itu, mata menerawang ke arah lain. Sebuah motosikal dipandu agak laju. Penunggangnya seorang lelaki muda yang lagaknya seperti mat rempit. Pemboncengnya pula seorang gadis. Gadis seksi dengan kelibat punggungnya yang separa bogel sedang erat memeluk pinggang lelaki yang sedang menunggang motosikal.

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Di tengah-tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis atau wanita yang seksi begini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar.

Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua.
Kampung atau bandar, desa atau pekan, sekolah, universiti, taman, pasar, pusat membeli belah dan sebagainya.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah' juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebaginya.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalan masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.

Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan gender sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."

Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya' berasal daripada perkataan ‘hayat' yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan emmelihara maruah kerana Allah.

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:

"Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal..."

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan.Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.

Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.

Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

Wanita Muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden.

Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki yang menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.

Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.

Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.

Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya" (Riwayat Bukhari)

Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita. Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.

YADIM

SPR didakwa ada sesuatu yang disembunyikan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH, 10 Feb: PAS Perak bimbang ada sesuatu disembunyikan dalam rang daftar pemilih yang sedang dipamerkan sekarang ekoran terlalu banyak fakta yang tidak dinyatakan sebagaimana sebelum ini.

(Asmuni [kanan sekali] bersama kakitangannya menunjukkan rang yang dipamerkan tetapi banyak perkara yang tidak ada)

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, Haji Asmuni Awi dalam sidang medianya hari ini mendakwa, sekurang-kurangnya 17 perkara tidak dinyatakan dalam rang yang dipamerkan kali ini.

Menurut beliau, rang kali ini hanya menyatakan tiga perkara sahaja tetapi tidak mempamerkan 17 perkara yang biasanya dipamerkan sebelum ini.

"Kami yakin rang kali ini mungkin rang yang terakhir yang akan disahkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

"Persoalan yang timbul, adakah SPR menyembunyikan sesuatu pada rang kali ini?" kata beliau dalam sidang media itu.

Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Perak setelah menerima Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ke – 4 / 2011 (RDPTs4/2011) yang telah mula dipamerkan.

Ia di pamerkan di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Perak, Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat Pos Malaysia (POS) terpilih di seluruh negeri mulai 8 Februari 2012 hingga 14 Februari 2012 (selama 7 hari).

Namun, ia perlu diperjelaskan dengan kadar segera berikutan beberapa maklumat yang diberikan tidak lengkap, kata Asmuni.

Pihak SPR yang membekalkan kepada semua parti politik rang kali ini yang berlainan daripada rang-rang yang pernah diberikan amat ketara sekali.

PAS Perak hanya menerima maklumat yang terhad kepada kod seperti berikut:-

i) kod 10 – status pengundi baru
ii) kod 20 – status pengundi berpindah masuk
iii) kod 31 – status pengundi berpindah keluar

Status kod lain yang tidak diberikan adalah seperti berikut:-

iv) kod 32 – rekod berganda
v) kod 33 – kematian
vi) kod 34 – hilang kelayakan sebagai pengundi pos
vii) kod 35 – bersara polis/tentera
viii) kod 39 – tentera diragui
ix) kod 3A – polis diragui
x) kod 3B – tiada rekod di JPN
xi) kod 3C – bukan warganegara
xii) kod 3f – dilucutkan kewarganegara
xiii) kod 3G – masuk tentera
xiv) kod 3H – masuk polis
xv) kod 3J – silap pendaftaran
xvi) kod 3K – tidak ditemui
xvii) kod 3L – awam dalam lokaliti pth
xviii) kod 3M – pengenalan diri tidak lengkap
xix) kod 3N – rekod tidak aktif di JPN
xx) kod 3o – hilang layak pengundi awam

Termasuk dua kod baru yang diwujudkan oleh SPR pada Rdpt kali ini ialah:-

i) kod 38- awam diragui
ii) kod 3p- pulang dari luar negeri


"Oleh yang demikian, kami memberikan tempoh seminggu kepada SPR untuk menyelesaikan persoalan ini dan membekalkan segala maklumat tersebut kepada parti politik sepertimana sebelum ini.

"Dan kami mendesak agar RDPTs4/2011 yang dalam tempoh semakan tersebut perlu ditangguhkan dari diwartakan sehingga segala keperluan ini dipenuhi!" katanya dalam sidang media itu.

Harakah Daily

Pelepah sawit sumber rezeki

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SIMPANG BEKOH - Kalau ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu yang dibuktikan seorang suri rumah di Kam­-pung Simpang Bekoh, dekat sini apabila menjadikan pelepah pokok kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

Dengan sumber yang ada, Fatimah Abdullah, 63, mampu menghasilkan lidi penyapu yang ternyata jarang-jarang sekali dibuat, bagaimanapun sebenarnya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.

Menurut Fatimah, lidi penyapu dihasilkan bukan saja digunakan penduduk Jasin, malah terkenal dari penduduk luar daerah, sekali gus me­ngimbau kembali kepakaran masyarakat Melayu tradisional dalam penghasilan sesuatu produk.

“Sebenarnya lidi penyapu yang diperbuat dari pelepah kelapa sawit lebih tahan lama berbanding penyapu diperbuat dari batang padi atau jerami gandum. Sebab itu ia mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Fatimah berkata, adakalanya dia berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pelepah sawit yang baik.

“Pelepah sawit yang digunakan mestilah daunnya baik serta sesuai untuk menghasilkan lidi penyapu yang tahan lama dan bermutu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Menurut Fatimah, dia menghasilkan lidi penyapu pada masa luang sambil ditemani cucunya.

“Penghasilan lidi penyapu hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu, terutama ketika pemetik buah kelapa sawit memungut hasil sawit.

“Setiap hari saya mampu menghasilkan lebih kurang 30 ikat lidi penyapu dan seikat lidi penyapu dijual dengan harga RM2,” katanya.

Fatimah turut berharap kemahiran membuat lidi penyapu menerusi pelepah sawit tidak akan hilang untuk generasi akan datang.

Sinar Harian

Mekanik cipta motosikal bahan terbuang

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Bagi Rohazman Affendi Abdul Rahim, barangan terbuang seperti besi buruk, tin kosong dan botol plastik beserta enjin pemotong

rumput boleh direka bentuk menjadi motosikal mini.

Motosikal mini unik ciptaan Rohazman, 46, itu kini menarik perhatian sehingga ada yang sanggup menempah motosikal berkenaan yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 sebuah.

Mekanik motosikal dengan pengalaman lebih 15 tahun itu mendapat ilham mencipta motosikal mini berkenaan lima tahun lalu "bermodalkan" basikal rosak dan mesin rumput yang tidak boleh dibaiki.

"Idea berkenaan tercetus selepas ada seorang penduduk datang membaiki mesin rumput yang rosak, bagaimanapun ia tidak dapat dibaiki kerana tiada alat ganti berikutan mesin berkenaan jenis yang lama dan dia memberinya kepada saya.

"Selepas itu, saya teringatkan basikal milik anak yang rosak dan mengambilnya dari stor sebelum meletakkan kedua-dua barangan berkenaan sebelah-menyebelah dan berfikir apa yang boleh dibuat menggunakan bahan ini," katanya.

Beliau berkata, selepas beberapa lama berfikir dia mendapat idea untuk membuat motosikal mini dan mula mengubah suai basikal anaknya itu secara perlahan-lahan selepas menyiapkan kerja di bengkel.

"Saya mula membina 'tapak' pada basikal itu untuk diletakkan enjin mesin rumput berkenaan dan daripada itu mula diubah suai sedikit demi sedikit hingga akhirnya ia berjaya disiapkan selepas kira-kira sebulan mencuba," katanya.

Berikutan kejayaannya membina motosikal mini itu, ada penduduk yang membuat tempahan daripada beliau untuk merasai sendiri kelainan menunggang kenderaan dua roda yang dibuat khas, katanya. - BERNAMA

Polis belum dapat kait kematian Patrick dengan isu pasir

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Siasatan polis setakat ini tidak dapat mengaitkan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong Kie Yik dengan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar meminta penulis blog Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa Wong mati di tangan pembunuh upahan dan bukan akibat rompakan, agar mengemukakan bukti bagi membantu siasatan polis.

"Setakat ini siasatan tidak menunjukkan kes (kematian) itu ada kaitan dengan isu pasir di Selangor," katanya ketika mengulas artikel bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan Raja Petra menerusi portal Malaysia Today.

Khalid berkata sehingga kini, polis telah menahan dan menyoal siasat seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tiga lelaki bersenjata menceroboh kediaman Wong di Bukit Bandaraya, Bangsar pada 19 Nov 2009 serta menyebabkan Wong terjatuh dari tingkat dua kediamannya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul di Bukit Aman, di sini hari ini, beliau berkata lelaki itu kini ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor kerana menyamun dan polis belum mempunyai bukti cukup untuk mendakwanya di mahkamah.

"Kita masih lagi mencari dua lagi suspek yang terbabit di dalam kes itu," katanya.

Menerusi artikel itu, Raja Petra membangkitkan persoalan berhubung kematian Wong, dan mendakwa ahli pernigaaan tersebut mengumpulkan maklumat mengenai skandal perlombongan pasir di Selangor sejak beberapa tahun sebelum kematiannya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kes kematian Wong diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi.

"Jika ada maklumat baru yang ada dapat tunjukkan kes itu berkait maka bagi maklumat dan polis sedia siasat," kata Khalid yang turut menyifatkan tindakan pihak tertentu membuat dakwaan berdasarkan andaian sebagai tidak wajar kerana hanya menyukarkan siasatan polis yang memerlukan bukti kukuh. - Bernama

Sinar Harian

Elak tonton filem tidak ditapis

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan meningkatkan program pendidikan pencegahan bagi membantu mengurangkan gejala keruntuhan moral kesan daripada menonton filem yang tidak ditapis.

Pembantu Penguat Kuasa, Wan Haslina Wan Husin berkata, menonton filem sedemikian boleh mendorong kepada perlakuan sumbang mahram, rogol, cabul, hubungan seksual dan pelbagai jenayah lain.

Katanya, masyarakat diberi pendedahan mengenai bahaya menonton filem tidak ditapis dan maklumat tepat mengenai Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

“Beberapa program dirangka bagi mencapai matlamat tersebut seperti Hari Pendidikan Pencegahan, Program Sekolah Angkat, Komuniti Bestari, Titian Qaseh, Sentuhan Hati Karyawan, Qaseh Belia dan banyak lagi,” katanya.

Rakan Bestari katanya, diwujudkan bagi membolehkan pegawai penguat kuasa bekerjasama dengan masyarakat untuk menyampaikan maklumat mengenai aktiviti yang melanggar Akta Penapisan Filem 2002.

“Rakan Bestari lebih dekat dengan masyarakat dan mereka boleh memberi penerangan mengenai akta sekali gus membendung aktiviti penjualan filem-filem lucah atau tidak mempunyai sijil Perakuan B.

“Mereka juga boleh menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang melanggar akta tersebut, memberikan input dalam memperkemaskan Garis Panduan Penapisan Filem,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pejabat Sinar Harian Kelantan, di Pengkalan Chepa, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Nor.
Lawatan ke Pejabat Sinar Harian Kelantan itu katanya, merupakan salah satu aktiviti bagi memupuk kerjasama pihaknya dengan media dalam usaha menggalakkan orang ramai menonton filem yang ditapis.

Wan Haslina berkata, pihaknya boleh bertindak terhadap bahan publisiti filem seperti gambar, fotograf, poster, rajah, surat sebaran, iklan surat khabar dan apa saja bentuk iklan lain yang asal atau pendua.

“Tafsiran Seksyen 3 akta tersebut juga menyebut filem atau sinematografi, pita video, disket, cakera padat, cakera keras dan rekod lain sama ada asal atau pendua bagi sesuatu urutan imej gambar tampak, rakaman yang digunakan sebagai cara
menunjukkan urutan sebagai gambar bergerak,” katanya.

Bahan tersebut katanya, perlu mempunyai Perakuan A yang diluluskan di bawah perenggan 10(1)(a) atau diubah sebagaimana dikehendaki dan Perakuan B bagi setiap salinan pendua yang dibuat mengikut Seksyen 16.

“Ini bermakna memiliki bahan itu dalam telefon bimbit, komputer atau komputer riba juga melanggar akta dan kami mempunyai kuasa untuk memeriksanya,” kata Wan Haslina.

Sinar Harian

Dua beradik dituduh cederakan rakan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Dua beradik dari Kampung Bunchit, Machang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan mereka, tahun lalu.

Dakwaan ke atas Muhamad Syafiq Lod, 24 dan adiknya, pesalah juvenil, 16, dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Farhan Mohd Lazim, 23 dengan menggunakan kayu dan besi antara jam 7.15 dan 8 malam, 3 Jun 2011.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Ilyas Mohd Noor.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dijatuhi hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Pada prosiding semalam, kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan pengakuan itu, Hakim Azman Mustapa menetapkan sebutan semula kes pada 8 Mac depan sementara adik beradik lelaki itu dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Sinar Harian

PKR anjur demo bantah penyenaraian FGVH

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada April ini terus mencetuskan kemarahan orang ramai dengan PKR bersiap sedia mengadakan demonstarsi besar-besaran di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 30 Mac ini.

Ketua biro Felda dan Orang Asal PKR Suhaimi Said (kiri) berkata penunjuk perasaan akan berarak dari masjid Putrajaya pada hari berkenaan sambil membawa kain rentang yang mempunyai 100,000 tandatangan peneroka Felda yang membantah penyenaraian itu.

Menurutnya, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga akan dijemput ke perhimpunan tersebut, yang menandakan berakhirnya kempen tandatangan.

Kempen akan bermula di Felda Kerteh, Kemaman, Terengganu esok dan akan disambung ke penempatan Felda di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak untuk mendapatkan sokongan peneroka.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng juga dijadualkan hadir pada kempen di Felda Cahaya Baru, Johor Baru, Johor pada 11 Feb, kata Suhaimi.

Menurutnya, sebahagian besar peneroka ragu-ragu dengan penyenaraian itu kerana khuatir bahawa ia akan melupuskan dividen tahunan 15 peratus yang mereka nikmati hasil pelaburan dalam Felda Holdings sekarang ini.

"Sekarang mereka dapat dividen 15 peratus setahun, tetapi selepas pertukaran saham, tiada jaminan seumpama ini lagi," katanya.

FGV dimiliki sepenuhnya oleh Felda mengikuti struktur semasa. FGV mempunyai 49 peratus pegangan dalam saham Felda Holdings Berhad manakala Koperasi Permodalan Felda (KPF) memiliki baki 51 peratus lagi saham.

Struktur baru yang dicadangkan adalah bahawa supaya Felda memiliki 40 peratus manakala KPF memegang 60 peratus kepentingan dalam FGV; manakala syarikat itu pula memegang kepentingan 100 peratus dalam Felda Holdings Berhad.

Tambah beliau anak-anak peneroka Felda juga tidak bersetuju dengan rancangan untuk menyerahkan ladang mereka kepada FGV.

"Generasi kedua berharap untuk mendapatkan tanah di Felda, tetapi mereka terpaksa menyerahkannya pula kepada FGV.

"Mereka tidak sepatutnya melibatkan FGV dan Felda Holdings dalam penyenaraian itu, ia akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan kepada peneroka," katanya.

Selain PKR, NGO pimpinan PAS yang mewakili anak-anak peneroka Felda juga merancang untuk memohon ahli-ahli KPF untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bagaimanapun, berkata bahawa beliau tidak akan mengkhianati Felda yang diasaskan oleh allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

malaysiakini/-

Tumpang di surau

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Sebuah keluarga enam beranak sudah hampir seminggu menumpang teduh di surau selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah apabila gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah di Flet Tasek Seri Alam, di sini.

Normaliza Mustafa, 33, berkata, hasratnya ingin merubah nasib keluarga dengan berhijrah ke Johor Bahru dari Bentong, Pahang masih belum tercapai apabila suami gagal mendapatkan pekerjaan tetap kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Menurutnya, suaminya dibela keluarga angkat tanpa pengenalan diri sehingga berdepan pelbagai masalah termasuk kesukaran mencari rezeki di negara sendiri.

“Kami baru dua tahun ke sini dengan harapan dapat merubah hidup kami anak-beranak, tetapi nampaknya nasib masih belum menyebelahi kami apabila suami sering dibuang kerja selepas gagal menyerahkan salinan kad pengenalan.

“Pada mulanya kami membawa diri ke taman rekreasi, tetapi anak-anak yang masih kecil merengek hendak tidur sehingga kami terpaksa ke surau berhampiran untuk menumpang bermalam,” katanya ketika ditemui media di Surau Beringin Taman Rinting, di sini, semalam.

Menurutnya, tiga anaknya sudah hampir seminggu tidak bersekolah selepas berdepan masalah kewangan sehingga kehilangan tempat berteduh.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat permudahkan urusan suami saya mendapatkan kad pengenalan.

Agency

"Kami mohon sagu hati"

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NUSAJAYA – Kira-kira 74 pemilik dan penyewa kedai termasuk tuan rumah di tanah rizab milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Layang-Layang, Simpang Renggam mohon pertimbangan supaya pihak bertanggungjawab membayar pampasan bagi tujuan perpindahan.

Peniaga kedai runcit, Ng Tian Hock, 42, berkata, kedai yang dibina bapanya di Jalan Stesen, sejak 30 tahun lalu malah mempunyai surat perjanjian dengan pihak KTMB, namun ianya telah tamat sejak 10 tahun lalu.

“Sebelum saya mengambil alih kedai berkenaan, bapa saya telah berniaga perabot selama 20 tahun di premis sama. Selepas perjanjian tamat, saya pernah membuat permohonan untuk memperbaharuinya namun tidak diluluskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak KTMB telah menyerahkan notis perpindahan pada 31 Mac tahun lalu, namun dia akui sebagai peniaga kecil-kecilan, dia memerlukan wang untuk mencari kedai baru di kawasan berhampiran.

“Saya bukan sahaja berniaga di situ, malah turut menjadikannya sebagai tempat tinggal di bahagian atasnya.

Saya bukan mahu ingkar dengan arahan yang diberikan, cuma memohon pertimbangan supaya dapat kiranya membayar sagu hati kepada pemilik atau pen­yewa kedai yang terlibat,” katanya.

Bagi pemilik kediaman di Jalan Teck Wah Heng, Layang-layang, Ker Weng Hoh, 68, berkata, namanya tercicir daripada senarai penerima wang sagu hati perpindahan, selepas menyewakan kediamannya sejak 35 tahun lalu.

“Saya kecewa apabila nama saya tiada dalam senarai, sedangkan rumah itu saya bina dengan wang simpanan ketika bekerja sebagai penjaja sebanyak RM10,000.

“Paling memeranjatkan, penyewa rumah saya pula yang disenaraikan sebagai penerima wang itu,” katanya.

Weng Hoh mengakui telah membuat laporan kepada pihak KTMB mengenai kesilapan itu.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Simpang Renggam Suhaizan Kaiat memaklumkan pihaknya mewakili kumpulan terbabit menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Abdul Ghani Othman berkenaan bayaran sagu hati itu.

“Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit II kepada Menteri Besar Noor Azmi Md Omar” katanya.

Sinar Harian

Thaipusam dicemari

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seramai 13 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dalam dua kejadian berasingan, masing-masing di tepi Jalan Utama dan tepi Jalan Kebun Bunga Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 5.25 petang di tepi Jalan Utama melibatkan 11 lelaki berumur antara 14 hingga 24 tahun.

Dalam kejadian itu, dua pelajar cedera di belakang badan, lengan kanan, belakang leher, bahu serta pipi kiri akibat diserang.

“Dua mangsa itu ditemui polis dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan yang agak serius namun setelah ditanya, mereka tidak tahu punca diserang serta kedua-duanya tidak mengenali suspek. Mereka juga mendakwa tidak pernah ada masalah dengan kesemua suspek.

“Siasatan awal mendapati, kecederaan pada kedua-dua mangsa adalah akibat diserang menggunakan pisau pemotong kertas. Polis menahan 11 lelaki disyaki terlibat dan merampas sebilah pisau, sebilah playar dan lima bilah pisau pemotong kertas,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, dalam kedua pula, kejadian berlaku di tepi Jalan Kebun Bunga pada kira-kira jam 6.40 petang hari sama melibatkan dua kumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

“Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun. Daripada siasatan awal, kedua-duanya yang bekerja sebagai pemotong rumput dan mekanik tidak mempunyai rekod lampau.

“Polis turut merampas dua bilah pisau disorokkan di belakang kedua-dua suspek. Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat dendam. Kedua-dua tangkapan adalah dari kumpulan berlainan,” katanya.

Sementara itu, Ayub berkata, polis turut menahan seorang lelaki kerana membawa sebilah parang ketika sedang berkumpul dengan beberapa lelaki lain bagi menyambut perayaan Thaipusam.

“Lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai pembantu jualan itu ditahan pada jam 4.45 petang di hadapan astaka di Jalan Perak dekat sini. Siasatan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.

Sinar Harian

321 bandar di Indonesia berisiko bencana

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA 10 Feb. - Sejumlah 321 daerah atau bandar di Indonesia mempunyai risiko tinggi terkena bencana sama ada bencana alam, wabak penyakit dan konflik sosial.

Manakala 173 daerah atau bandar mempunyai risiko yang sederhana.

Fakta ini terkandung dalam peta risiko nasional yang disiapkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, yang menyenaraikan 13 jenis bencana yang berlaku di republik itu.

Jenis-jenis bencana itu ialah gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, puting beliung, kemarau, banjir, tanah runtuh, gelombang ombak besar, kebakaran tanah dan hutan, wabak penyakit, kegagalan teknologi, kebakaran bangunan dan kawasan penempatan serta konflik sosial.

BNPB dalam paparan di laman webnya hari ini menyebut bahawa peta risiko nasional itu meliputi kesemua 33 negeri (provinsi) di Indonesia, untuk 13 jenis bencana itu.

Ia bagaimanapun tidak menyebut nama-nama daerah dan bandar yang dinyatakan berisiko tinggi terkena bencana itu.

Badan itu telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus memberi perhatian kepada soal pengurusan bencana bagi mengelakkan kesan-kesan buruk yang boleh menimbulkan kerosakan dan kerugian besar. - BERNAMA

Tauke stesen minyak disamun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SPRING HILL – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Bandar Spring Hill, dekat sini memulakan perniagaannya dengan situasi mengejutkan apabila disamun empat lelaki, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, pemilik yang dikenali sebagai Teoh Seng Lee, baru kira-kira 10 minit membuka stesen minyak berkenaan dan langsung tidak mempunyai wang di kaunter.

“Sebelum kejadian, empat lelaki datang ke stesen minyak saya menaiki sebuah kereta. Seorang daripada mereka berdiri di luar kereta, manakala dua lagi berada dalam kereta,” katanya.

“Sementara, seorang lagi masuk ke dalam kedai di stesen minyak dan berpura-pura mahu membeli air minuman,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke kaunter untuk membayar minuman sebelum tiba-tiba menunjukkan parang.

“Sebaik saja nampak parang itu, saya cuba melawan tetapi tidak berdaya menyebabkan saya cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Mawar, Lukut, semalam.

Seng Lee berkata, akibat terlalu takut, dia kemudian terpaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,000 yang berada dalam poket seluar kepada penjenayah terbabit.

Menurutnya, seorang pekerja yang sedang berada di pam minyak berkenaan turut disamun penjenayah terbabit dan dianggarkan kerugian hampir RM300.

“Walaupun mengalami kerugian, namun saya bernasib baik kerana anak perempuan saya yang berada bersama saya sebelum dihantar ke sekolah tidak dicederakan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Seng Lee membuat laporan di Balai Polis Lukut, dekat sini sebelum menerima rawatan di hospital.

Sinar Harian

Gempa bumi kuat gegar wilayah Fiji

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi bermagnitud 6.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah kepulauan Fiji pada pukul 9.48 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, gegaran berpusat 22 kilometer dari utara Laucala, Fiji dan 7,028 kilometer dari tenggara Semporna, Sabah.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mencetuskan ancaman tsunami. - BERNAMA

Trak sarat bom meletup

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ANGGOTA keselamatan memeriksa kawasan letupan yang berlaku di Wilayah Pattani, Selatan Thailand, semalam.

YALA: Seorang pesara guru terbunuh, manakala 13 penduduk kampung cedera apabila sebuah trak dipenuhi bom meletup semalam di selatan bergolak majoriti Islam Thailand, terbaru dalam satu gelombang keganasan pemisah di rantau bersempadan Malaysia.

Polis menyalahkan pemisah etnik Melayu atas pengeboman di hadapan sebuah pejabat kesihatan awam di Pattani, satu daripada tiga wilayah dilingkari kekacauan pemisah sejak lapan tahun lalu.

Bom itu disembunyikan dalam trak pikap dan merosakkan 10 kenderaan lain, kata polis.
Daripada 13 yang cedera, tiga mangsa parah. Dalam satu serangan berasingan di wilayah Narathiwat yang berhampiran, dua anggota tentera cedera apabila sebuah bom tepi jalan meletup ketika satu rondaan rutin.

Peningkatan keganasan muncul di tengah perasaan berang di kalangan penduduk Islam tempatan apabila renjer tentera di Pattani menembak mati empat penduduk kampung yang disyaki pemberontak 29 Januari lalu.

Lebih 5,000 penduduk dibunuh sejak pemberontakan samar-samar, berdekad lamanya muncul semula Januari 2004 di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat majoriti penduduk Islam.

Rantau itu yang sebahagiannya kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dirampas Thailand pada 1909, dilingkari hampir pengeboman setiap hari dan kejadian tembakan sejak itu dan tentera membuat perkembangan dalam mematahkan pergolakan itu. – Reuters