07 February 2012

Abbas ketuai kerajaan sementara Palestin

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DOHA: Presiden Palestin, Mahmud Abbas, akan mengetuai kerajaan sementara berikutan perjanjian dengan Hamas, sekali gus menamatkan perbalahan berhubung jawatan itu yang menyebabkan perdamaian antara kumpulan Palestin terbantut.

Perjanjian yang dimeterai di Qatar itu dialu-alukan dua kumpulan Palestin yang bertelagah, Hamas dan Fatah, tetapi Israel memberi amaran kepada Abbas supaya memilih antara perdamaian dengan Hamas atau negara Yahudi itu.

Penubuhan kerajaan sementara itu - yang akan menyelia pilihan raya presiden dan pilihan raya umum yang lama tertangguh - akan diumumkan di Kaherah dalam satu mesyuarat membabitkan semua kumpulan Palestin.

Perjanjian itu dimeterai Abbas selaku ketua Fatah dan Khaled Meshaal selaku ketua Hamas dalam satu majlis di Doha yang disaksikan Emir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani.

Apa yang dipanggil “Deklarasi Doha" itu adalah usaha terbaru kumpulan Palestin untuk melaksanakan perjanjian damai yang dimeterai April tahun lalu. - AFP

Tentera Maldives bertempur dengan polis

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MALE, Maldives: Tentera Maldives melepaskan tembakan peluru getah dan bertempur dengan polis negara itu yang tidak mengendahkan perintah presiden untuk menamatkan bantahan terhadap apa yang dikatakan arahan tidak sah oleh pihak berkuasa.

Ratusan anggota polis memulakan bantahan di ibu negara, Male, awal pagi tadi selepas arahan supaya mereka menarik balik kawalan ke atas penyokong kerajaan dan pembangkang yang melakukan bantahan berhampiran satu sama lain.
Penarikan balik kawalan itu menyebabkan pergaduhan.

Presiden Mohamed Nasheed menemui anggota polis berkenaan dan meminta mereka menghentikan bantahan tetapi mereka enggan dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Bantahan berlaku setiap hari di Maldives selepas Nasheed mengarahkan penahanan seorang hakim kanan. - AP

Mustapa Mohamed ‘bohongi’ rakyat Kelantan

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 6 Feb: Pada 2008 Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membayar pinjaman yang dilulus kerajaan pusat bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan sebanyak RM12 juta.

Pinjaman tersebut dibayar mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kewangan.

Oleh itu kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed kononnya pinjaman lebih RM500 juta dilulus kerajaan pusat diberi percuma tidak berasas sama sekali.

Malah ramai menyifatkan fakta tersebut merupakan satu pembohongan bermesej politik peringkat tertinggi yang membabitkan seorang berjawatan menteri.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanafi Mahmud berkata, kenyataan yang dikeluarkan menteri terbabit cukup mengelirukan.

Katanya, pinjaman yang dilulus kerajaan pusat bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan sejak 2001 tidak diberi secara percuma, sebaliknya perlu dibayar.

“Kenyataan seperti itu secara jelas cuba mengelirukan rakyat. Pada 2008 AKSB telah membayar pinjaman yang terima sebelum ini sebanyak RM12 juta. Pinjaman itu tidak diberi secara percuma seperti negeri-negeri lain,” katanya di sini.

Mustapa ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Tanah Merah baru-baru ini dilaporkan mendakwa pinjaman RM600 juta diberi percuma kepada Kelantan bagi meningkatkan bekalan air.

Pinjaman tersebut yang dilulus di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebanyak 96 juta, RMK-9 (RM160 juta) dan RMK-8 (RM291 juta).

Ini bermakna jumlah pinjaman yang diluluskan dalam tiga RMK sebanyak RM547 juta, sedangkan dijanjikan RM600 juta. Jumlah pinjaman yang diberi itu mengambil masa tiga RMK dan bukan diberi sekaligus.

Pinjaman pertama diterima pada 2001 dan projek awal yang dijalankan siap pada 2003.

Harakahdaily/-

Siasatan peringkat akhir, Shahrizat mungkin dipanggil

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu projek lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas kini sudah memasuki peringkat akhir.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali (bawah) memberitahu Malaysiakini, hasil siasatan akan dikemukakan dalam masa terdekat untuk diteliti Peguam Negara.

NONE"Siapa juga yang dapat membantu siasatan akan diminta memberi keterangan," katanya.

Menurutnya lagi, kes itu disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 melibatkan kes salah guna kuasa, jika ada.

Sementara itu, menyentuh keperluan memanggil Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi membantu siasatan, Mustafar berkata ia hanya akan dilakukan "jika diperlukan".

Isu NFC muncul apabila apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import

Dana NFC diseleweng untuk Wanita Umno?

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil dipersoal atas kenyataannya yang didakwa seolah-olah cuba mengheret Wanita Umno dalam kontroversi projek lembu Pusat Fidlot Nasional.

Ketua Koordinator JINGGA 13 Fariz Musa berkata, kenyataan isteri pengerusi National Feedlot Corporation itu dilihat mengalih isu kononnya serangan berkaitan bertujuan menjatuhkan dirinya dan Wanita Umno.

"Persoalan yang timbul adakah dana NFC tersebut juga diseleweng untuk kegunaan Wanita Umno apabila beliau cuba mengheret Wanita Umno sama?" soal NGO yang dekat dengan PKR itu.

Shahrizat kelmarin antaranya dilaporkan berkata, serangan pembangkang terhadapnya dalam isu itu semata-mata untuk melemahkan semangatnya selaku ketua Wanita Umno, yang menjadi kekuatan kepada BN.

Dalam kenyataannya semalam, JINGGA 13 juga mencabar Shahrizat "yang baru pulang daripada mengerjakan umrah" menafikan tidak ada satu sen pun dana kerajaan disalurkan untuk pergerakan yang dipimpinnya itu.

"Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu menjelaskan perkara tersebut dengan penuh telus, jujur dan benar, lebih-lebih lagi beliau dalam masa dua bulan setengah sudah tiga kali ke Mekah," kata Fariz.

Isu NFC muncul apabila apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Malaysiakini/-

50 maut tentera Syria bedil Homs

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan suasana di luar sebuah hospital yang diserang tentera Syria di Homs.


BEIRUT, Lebanon - Tentera Syria membedil bandar Homs semalam menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera, kata kumpulan penentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad di negara berkenaan, Majlis Kebangsaan Syria (SNC).

Serangan meriam itu disasarkan ke atas beberapa daerah di bandar berkenaan.

Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap Bashar.

"Homs menjadi sasaran bedilan roket dan mortar sejak pukul 6 pagi lagi (waktu Syria). Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam," kata seorang anggota SNC, Catherine Al-Talli kepada agensi berita Reuters.

"Rejim Bashar bertindak seperti mereka kebal daripada campur tangan antarabangsa dan bebas menggunakan keganasan terhadap orang awam," tambahnya.

Menurut Al-Talli, serangan terbaharu itu yang bermula sejurus selepas pukul 2 pagi waktu Syria semalam, mengenai sasaran yang lebih meluas dengan letupan berlaku di kawasan penempatan penduduk di Khalidiya, Baba Amro, Bayada dan Bab Dreib .

"Mereka (tentera Syria) mahu mengusir keluar Tentera Pembebasan Syria," kata seorang penduduk Bab Amro, Hussein Nader menerusi panggilan telefon kepada Reuters.

Dia merujuk kepada kumpulan pemberontak merangkumi pembolos tentera dan kumpulan lelaki bersenjata yang menguasai Homs sejak beberapa bulan lalu.

Serangan kali ini berlaku sehari selepas Amerika Syarikat (AS) berjanji akan melaksanakan sekatan lebih keras ke atas Syria.

Ia sebagai tindak balas ke atas Rusia dan China kerana menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Bashar supaya berundur.

Pada Jumaat lalu, tentera Syria turut membedil Homs sehingga mengakibatkan lebih 200 orang mati.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia semalam mengecam Barat kerana berada dalam keadaan histeria disebabkan berang berhubung tindakan Moscow menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi PBB.

Resolusi tersebut bagi mengecam tindakan keras Bashar menggempur kumpulan penunjuk perasaan di negara rantau Arab itu yang berlaku sejak tahun lalu.

Susulan tindakannya membantah resolusi PBB bersama China pada Sabtu lepas, Rusia kini dilabel penjahat diplomatik oleh Barat.

Malah, seorang menteri Perancis memberitahu bahawa Rusia perlu diajar.

Perkembangan tersebut berlaku menjelang pertemuan para menteri luar enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu kota Arab Saudi, Riyadh lewat minggu ini bagi membincangkan perkembangan di Syria.

Dalam pada itu, Iran menyokong pengunaan kekerasan oleh Bashar bagi mematahkan kebangkitan rakyat Syria.

Sokongan tersebut dinyatakan oleh Iran selepas kekejaman rejim Bashar mematahkan tunjuk perasaan. Keganasan selama hampir 11 bulan lalu di Syria menerima kecaman kuasa-kuasa dunia lain. - Agensi

43 maut gempa bumi di Filipina

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEBERAPA orang berlari semasa mereka sedar gegaran gempa bumi di bandar Honkera, Cebu, tengah Filipina semalam.

MANILA - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan pantai tengah Filipina semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dan mencetuskan suasana panik, kata beberapa pegawai.

Bencana itu melanda di selat sempit yang memisahkan di antara Pulau Negros dan Pulau Cebu yang padat dengan penduduk.

Gempa bumi menyebabkan banyak bangunan runtuh, jalan raya dan jambatan retak manakala bekalan elektrik turut terputus.

Di bandar Cebu yang dihuni 2.3 juta orang dan merupakan destinasi popular di Filipina, penyewa-penyewa bilik hotel bergegas ke tingkat lebih atas selepas mendengar khabar angin yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa tsunami besar akan melanda pulau itu.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik pantas menafikan perkara itu.

Menurut pihak Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula, gempa bumi kali ini berpusat pada kedalaman 46 kilometer di bawah laut. - Agensi

Majalah terkecil bernilai RM2.48 juta dipamerkan

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


SEORANG kurator Muzium Musee des Lettres et Manuscrits menunjukkan majalah terkecil bertarikh 1830 yang dihasilkan Charlotte Bronte di Paris, Perancis pada 30 Januari lalu. - Reuters


PARIS - Manuskrip majalah Young Men's edisi kedua yang mengandungi 4,000 patah perkataan dan 19 muka surat yang ditulis oleh seorang penulis novel terkenal England, Charlotte Bronte semasa dia berumur 14 tahun pada 1830 dipamerkan di Muzium Musee des Letters et Manuscrits di sini.

Muzium itu membeli manuskrip itu pada harga AS$826,287 (RM2.48 juta) dalam satu lelongan yang diadakan pada Disember tahun lalu, lapor agensi berita Reuters.

Manuskrip itu mengandungi watak-watak dalam dunia imaginasi yang dicipta oleh Bronte dan saudaranya. - Agensi

Lapan mati lemas di Bulgaria

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SOFIA, Bulgaria 7 Feb. – Sekurang-kurangnya lapan penduduk mati lemas apabila sebuah perkampungan ditenggelami air setinggi 2.5 meter selepas dinding empangan pecah akibat hujan lebat di selatan Bulgaria, semalam.

Empat daripadanya mati lemas di sebuah perkampungan di tenggara wilayah Biser selepas rumah mereka ditenggelami air manakala empat lagi maut apabila kereta yang dinaiki terjunam ke dalam sungai di wilayah yang sama.

Wilayah Haskovo dan Svilengrad mengeluarkan perintah darurat apabila air banjir dari sungai Arda dan Maritsa menenggelamkan pondok kawalan utama Kapitan Andreevo yang terletak di sempadan Turki. – AFP

Umar Patek bakal dibicara minggu depan

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA 7 Feb. – Suspek utama dalam serangan bom di Bali pada 2002, Umar Patek berkemungkinan akan menjalani perbicaraan pada minggu depan, lapor pendakwa raya semalam.

Menurut pendakwa raya Bambang Suharyadi, Umar, 41, bakal berdepan dengan hukuman mati jika disabit bersalah atas dakwaan merancang serangan keganasan, menghasilkan bom buatan sendiri, pembunuhan terancang, memiliki senjata api dan menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.

“Fail kesnya (Umar) telah dihantar ke Mahkamah Daerah Barat Jakarta dan kami menjangkakan perbicaraannya akan bermula pada 15 Februari ini,” katanya. – AFP

Memperingati Tahun ke-3 Rampasan Kuasa @ Kudeta di Perak

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
http://ajijoi.blogspot.com


IPOH (6.2.12): Sempena memperingati tahun ke-3 berlakunya rampasan kuasa @ kudeta pada 6 Februari 2009 lalu, pimpinan Pakatan Rakyat Perak telah mengadakan himpunan yang aman dan ringkas pagi tadi dibawah Pokok Demokrasi, Taman Istana, Ipoh.

Pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat Perak meluangkan masa bersama-sama orang ramai yang turut serta memperingati hari gelap yang bersejarah itu. Dato Seri Nizar yang mengepalai acara pagi ini begitu bersemangat untuk mengingatkan peristiwa kudeta itu bersama-sama pimpinan Pakatan Perak yang lain.

Biarpun masyarakat Cina menyambut Chap Goh Mei pada hari ini, namun begitu pimpinan Pakatan Rakyat Perak yang berketurunan Tionghua tetap mengenakan pakaian hitam bagi menggantikan pakaian merah yang sepatutnya mereka pakai demi menyampaikan mesej mengenai demokrasi hitam yang berlaku tiga tahun lalu.

Majlis yang dihadiri hampir kesemua Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan diikuti oleh ucapan daripada pimpinan PAS, DAP dan PKR.

Diakhir acara, aksi secara simbolik dilakukan apabila belon berwarna hitam bersama sepanduk 'The End of 1 Black Perak' dilepaskan keudara.


Pimpinan Pakatan Rakyat Perak

Juruacara majlis, YB Wong Kah Woh (Adun Canning)

Ucapan oleh YB Dr Lee Boon Chye, wakil PKR Perak

Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Abu Bakar Hussain menyampaikan ucapannya

Pengerusi DAP Perak, YB Dato Ngeh Koo Ham

Plak Demokrasi yang menjadi tanda ingatan



Cebisan daripada plak ini yang dimusnahkan oleh MBI dan dilelong kepada orang ramai

YB V. Sivakumar, Speaker Perak menceritakan detik-detik berlakunya kudeta




DS Nizar menyampaikan ucapannya


Acara memotong riben untuk melepaskan belon hitam








DS Nizar berbual bersama orang ramai dan wakil NGO yang hadir

Wartawan juga turut menemubual DS Nizar dan Dato Ngeh Koo Ham

Mat Saman Kati, Pyanhabib dan lain-lain bergambar bersama Dr Muhaimin

DS Nizar mengucapkan terima kasih diatas kerjasama pihak polis yang membenarkan perhimpunan aman pagi ini

AS ketatkan sekatan ke atas Iran

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEW YORK 7 Feb. – Presiden Barack Obama semalam menandatangani satu perintah eksekutif yang mengetatkan lagi sekatan ke atas Iran dan bank pusatnya dengan alasan pembekuan aset yang lebih luas adalah perlu kerana bank-bank di negara itu menyembunyikan transaksi kewangan.

“Saya telah membuat keputusan untuk mengetatkan lagi sekatan ke atas Iran selepas bank pusat dan bank lain di negara itu dilihat menyembunyikan transaksi kewangan dan perbuatan itu boleh menjejaskan sistem kewangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kongres.

Perintah tersebut yang dilihat sebagai langkah terbaru Amerika Syarikat (AS) untuk terus menekan Iran akan mencegah sebarang aset yang berada dalam kawalan AS daripada dipindahkan, dibayar, dibawa keluar atau ditarik balik. – REUTERS

Spurs ikat Liverpool

PEMAIN Liverpool, Luis Suarez (kiri) melepasi pertahanan Tottenham Hotspur, Luka Modric ketika saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, pagi ini. Keputusan terikat 0-0. - Foto AFP

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LIVERPOOL, England: Liverpool diikat tanpa jaringan oleh Tottenham Hotspur dalam perlawanan yang menyaksikan Luis Suarez kembali beraksi selepas menamatkan penggantungan lapan perlawanan.

The Reds menguasai permainan tetapi Kenny Dalglish terpaksa berpuas hati dengan satu mata. Dengan keputusan itu, Liverpool kekal di tangga ketujuh dan empat mata dari tangga keempat iaitu tempat terakhir untuk kelayakan Liga Juara-Juara.

Suarez diletakkan sebagai pemain simpanan apabila Dalglish memilih barisan serangan Craig Bellamy, Andy Carroll dan Dirk Kuyt yang beraksi cemerlang tiga perlawanan lalu.
Liverpool bermula garang dan hampir memperoleh gol apabila Steven Gerrard melorongkan bola kepada Andy Carroll tetapi dihalang Michael Dawson sebelum sempat merembat masuk.

Dua minit kemudian Glen Johnson dibentes di luar kotak penalti tetapi sepakan percuma Gerrard gagal melepasi tembok pemain Spurs.

Tottenham yang berada di tangga ketiga dan pesaing gelaran Liga Perdana Inggeris, hambar dengan Pepe Reina sekadar menjadi penonton pada separuh masa pertama. - Agensi