04 February 2012

Tabung Haji agih bonus 6 peratus

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - PUTRAJAYA: Seramai 6.96 juta pendeposit Tabung Haji akan menikmati bonus enam peratus bagi tahun lalu, naik 0.5 peratus berbanding tahun 2010.
Peningkatan bayaran bonus itu berikutan kejayaan Tabung Haji mengekalkan prestasi kewangan dengan mencatatkan pendapatan melebihi RM2 bilion untuk tahun kedua dengan keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion kali kelima berturut-turut sejak 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bonus itu akan mula dibayar Rabu depan.

“Bonus berjumlah RM1.67 bilion daripada keuntungan tahun semasa itu meningkat 25 peratus berbanding bonus pada 2010, iaitu RM1.33 bilion,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah Tabung Haji, di sini semalam.

Turut hadir timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Mengenai perbelanjaan operasi Tabung Haji, Jamil Khir berkata ia terkawal walaupun ada peningkatan ketara akibat kenaikan kos tanggungan menunaikan haji berjumlah RM105 juta pada 2011 berbanding RM65 juta tahun sebelumnya.
“Ini menggambarkan pelaburan Tabung Haji sudah menghasilkan pulangan baik dan perbelanjaan operasi dapat dikawal secara berhemat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kadar bonus Tabung Haji adalah kompetitif kerana profil pelaburan TH terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah saja, tetapi mampu memberikan tambahan 0.5 peratus daripada bonus 2010 sebanyak 5.5 peratus.

Pada majlis itu Jamil Khir juga menyerahkan sumbangan RM20,000 daripada kariah empat masjid kepada Menteri/Ketua Timbalan Misi Kedutaan Thailand, Songsuk Saicheva bagi membantu mangsa banjir di negara itu.

Ditanya mengenai tuduhan PAS bahawa beliau menggunakan wang peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di Parlimen Jerai, Kedah, Jamil Khir menafikannya sambil menjelaskan bantuan bukan menggunakan wang yayasan berkenaan, sebaliknya ia hanya helah politik pembangkang untuk menimbulkan persepsi buruk terhadapnya.

“Penubuhan Yayasan Taqwa untuk memberi bantuan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu dan Kelantan, baru-baru ini. Jadi, dakwaan ini tidak betul dan kononnya saya gunakan duit yayasan di kawasan saya.

“Ini pendekatan yang tidak amanah dan pertarungan politik yang tidak ambil kira sama ada betul atau tidak tetapi hanya untuk timbulkan persepsi (buruk) saja,” katanya.

Beliau berkata, antara bantuan yang diberikan adalah mesin rumput, pam racun dan pelbagai bantuan lain kepada penduduk di kawasan yang kononnya didakwa akan ditandinginya.

Kelmarin, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jamil Khir menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di kawasan Parlimen Jerai. - Agensi

Polis tahan 19 penagih dadah sedang khayal di Baling

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - BALING: Polis berjaya menahan 19 penagih dadah berusia 20 hingga 53 tahun yang sedang khayal di kawasan sawah di Kampung Badang di sini dalam satu operasi khas awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Baling, Inspektor Nik Mohd Zuhoy Nik Mohd Yusoff, berkata operasi itu bermula jam 5.30 pagi dan berakhir jam 11 pagi tadi membabitkan dua pegawai dan sembilan anggota.
Beliau berkata, kawasan sawah berdekatan sungai di kampung berkenaan dijadikan kawasan pertemuan penagih dari daerah Kulim dan kampung sekitar untuk mengambil dadah.
Katanya, semua yang ditahan hasil maklumat awam itu hanya bekerja kampung dan pekerja ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran.

"Kesemua penagih yang diberkas dibawa ke IPD Baling untuk siasatan lanjut sebelum dihadapkan ke mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Pembawa Rahmat Untuk Semua

11 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
PAS Miri
 
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.
 
Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar.
 
Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.
 
Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah.
Baginda lahir dari Keturunan Quraisy (Bahasa Arab قريش). Nabi Muhammad telah dilahirkan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahab, adalah anak perempuan kepada Wahab bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib.

Tema Maulidur Rasul pada tahun ini “Persefahaman Asas Perpaduan Umah” sungguh cantik dan indah, sesuai sekali untuk menyatukan semua Umah dalam negara ini. Tetapi malangnya ada sesetengah pihak yang masih takut dengan bayang-bayang sendiri, sehingga sanggup menyingkir mereka yang  tidak sama fahaman politik dengan mereka dari sama-sama meraikan sambutan tersebut.

Apalah erti “Persefahaman Asas Perpaduan Umah” kalau mereka sendiri mempunyai perasaan prejudis terhadap pihak yang ingin bersama-sama meraikan sambutan tersebut?

Mereka ini hanya pandai menyeru orang ramai supaya bersatu demi perpaduan Umah tetapi hakikatnya mereka sendirilah yang memecahbelahkan Umah disebabkan mereka mempunyai sikap prejudis terhadap pihak yang mempunyai kefahaman politik yang berbeda dengan mereka.
 
Rasullullah diutus ke dunia ini untuk menyatukan umat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik seperti yang tersebut dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107.
 
Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
 
Maka kita menyeru kepada semua tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik supaya sama-sama kita membangunkan negara ini dengan satu tujuan iaitu bersatu menuju ke arah Negara berkebajikan dan berlaku adil untuk semua.

Inilah ajaran yang Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang patut kita laksanakan kerana ianya diutuskan ke dunia untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433/2012 pada 5hb Feb 2012 ini dengan mengamalkan ajaran Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sebenarnya bukan hanya sekadar adat.
 
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
 

Permohonan Tanah SJKT Changkat Ditolak oleh Kerajaan Zambry

11 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN kawasan Tronoh pada 3/2/2012 di Changkat, Batu Gajah.

SJKT Changkat Batu Gajah merupakan satu-satunya sekolah Tamil di kawasan Batu Gajah. Sekolah ini merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKT Changkat merupakan sebuah sekolah yang tua di kawasan ini dan mempunyai sejarah lebih daripada 80 tahun. Bilangan murid-murid pada tahun ini ialah 373 manakala bilangan guru pula seramai 28 orang.

Sekolah ini tidak mempunyai padang permainan. Oleh yang demikian, murid-murid sekolah ini terpaksa menggunakan podium Majlis Daerah Batu Gajah untuk mengadakan program sukan tahunan. Pada hari lain, langsung tidak ada aktiviti sukan untuk murid-murid sekolah ini. Perkara ini adalah bertentangan dengan dasar kerajaan ‘satu sekolah, satu sukan’. Ungkapan-ungkapan seperti ini adalah retorik sahaja dalam amalan banyak sekolah-sekolah di negara kita. Saya tidak boleh menyalahkan pihak pentadbiran sekolah SJKT Changkat berhubung dengan perkara ini.

Saya difahamkan bahawa pihak pentadbiran sekolah dan PIBG telah memohon sebidang tanah di belakang sekolah tersebut untuk dijadikan padang permaian untuk sekolah itu. Pihak sekolah dan ibubapa sungguh mengharapkan kerajaan negeri untuk memberikan tanah yang dipohon itu. Tetapi, tidak ada sebarang maklum balas yang positif daripada pihak kerajaan. Walau bagaimanapun pihak sekolah dan ibubapa menunggu dengan sabar untuk sekian lama. Perkara ini telah dibawa kepada perhatian saya oleh beberapa orang ibubapa yang tinggal di Desa Changkat, Batu Gajah.

Sebagai usaha pertama saya telah membangkitkan isu tanah ini sebagai satu soalan bertulis dalam persidangan Dewan Negeri Perak pada bulan November yang lalu. Soalan yang telah saya kemukakan ialah seperti berikut:

“Adakah Kerajaan berhasrat untuk memberikan tanah yang dipohon oleh pihak pentadbiran SJKT Changkat , Batu Gajah untuk tujuan padang permainan? Jika ya, berapakah keluasan tanah yang akan diluluskan dan bilakah perkara ini akan dilaksanakan?”

Saya telah menerima satu jawapan yang sungguh memeranjatkan daripada pihak kerajaan. Dalam jawapan bertulis itu, kerajaan memberitahu bahawa tanah itu tidak akan diberikan kepada SJKT Changkat. Ini adalah kerana kerajan bercadang untuk memberikan tapak tanah tersebut untuk projek taska PERMATA. Kandungan jawapan itu juga menyebut bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada projek persekutuan PERMATA. Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sanggup menganak tirikan sekolah Tamil semata-mata untuk melaksanakan projek persekutuan itu.

Persoalannya, kenapakah kerajaan harus memberi tanah ini untuk projek taska PERMATA? Terdapat banyak lagi kawasan lain di sekitar Batu Gajah, Siputeh , Tronoh dan Bemban untuk membina bangunan taska PERMATA. Kerajaan tidak semestinya memilih tanah yang dipohon oleh SJKT Changkat untuk projek ini. Tindakan kerajaan ini seolah-olah mempunyai niat jahat untuk mencari jalan supaya tapak tanah itu tidak diberikan kepada sekolah Tamil itu. Memang benar pepatah Melayu, ‘ Habis minyak sepasu, ekor anjing takkan lurus”. SJKT Changkat telah terjerat dalam muslihat kerajaan negeri yang tidak prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah itu. Ibubapa dan murid-murid SJKT Changkat berasa tertipu dengan tindakan kerajaan yang meluluskan tanah yang dipohon oleh sekolah itu kepada pihak lain.

Kalau tanah itu terlepas dari genggaman sekolah ini, maka sekolah ini tidak akan memiliki padang permainan untuk selama-lamanya. Kerajaan juga tidak boleh memberi tanah lain yang lebih jauh untuk tujuan padang permainan bagi sekolah itu. Oleh yang demikian, saya memohon supaya kerajaan negeri tidak meluluskan tanah 1.3 ekar itu kepada taska PERMATA. Tanah itu harus diberikan kepada SJKT Changkat dengan segera.

Saya telah mengadakan satu perjumpaan dengan ibubapa SJKT Changkat di hadapan sekolah itu pada 3/2/2012. Saya telah mengedarkan jawapan bertulis yang diberikan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Negeri Perak. Saya juga memberi penjelasan mengenai isu ini kepada ibubapa yang hadir.

Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa ad hoc untuk membantah tindakan kerajaan memberikan tanah itu kepada PERMATA. Tindakan susulan akan diambil setelah jawatankuasa itu ditubuhkan.