03 February 2012

Presiden PAS tanding PRU 13.

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Kenyataan Media.

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13. 

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bilamana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kerani didakwa palsukan baucer kerajaan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memalsukan baucar kerajaan berjumlah RM146,326 dengan mengubah nombor akaun penerima bayaran kepada akaun peribadinya pada tahun lepas.

Tertuduh, Nur Adila Azmie, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Fadhir Harun.

Wanita itu didakwa memalsukan baucar RM146,326 bertarikh 17 November 2011 dengan mengubah nombor akaun penerima bayaran ke akaun peribadinya.

Nur Adila didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) beralamat di No: 5934, Batu 6, Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34 di sini, pada 17 November tahun lepas. - BERNAMA

Kes Sosilawati: Nama ahli perniagaan India dalam dokumen rampasan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 3 Feb. - Beberapa dokumen tercatat nama Muthuraja a/l Allalkathan, ahli perniagaan India yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak awal tahun 2010, adalah antara barang kes dirampas daripada pejabat guaman N. Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Dokumen berkenaan disahkan oleh saksi ke-97 pendakwaan, pegawai turus bahagian operasi khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pemangku ASP Koh Fei Cheow yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Antara barang kes dikemukakan di mahkamah dan dicam oleh Fei Cheow ialah dokumen mahkamah dan perjanjian jual beli antara Muthuraja dengan syarikat Southern Symphony Sdn. Bhd. dimiliki oleh Sosilawati serta surat kuasa kepada ahli perniagaan yang berasal dari Chennai itu.

Turut diserah kepada mahkamah dan dicamkan saksi tersebut ialah beberapa dokumen dengan tercatat nama Abdul Rahman Palil dan salinan cek yang dibayar kepada Pathma Nalli & Partners. - BERNAMA

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL PESURUHJAYA PAS PERAK 1433 HIJRAH

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad SAW. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad SAW. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Rasulullah SAW telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad SAW inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan manusia yang dibelenggu pemikiran jahiliyyah sebelum kedatangan Rasulullah SAW yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Ustaz Abu Bakar Hussian
Pesuruhjaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak

Lynas: Beri lesen bukti abai rintihan rakyat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS kesal dengan tindakan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberikan lesen kendalian sementara (TOL) kepada Lynas Corporation untuk memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkefly Mohamad Omar berkata, pemberian lesen itu membuktikan AELB mengabaikan maklum balas rakyat yang tidak bersetuju dengan projek tersebut atas faktor keselamatan.

"PAS sangat kesal dengan pemberian lesen ini dalam pada isu rakyat yang menentang masih belum selesai.

"Pemberian lesen ini sangat tergesa-gesa tanpa mengambil kira suara rakyat yang amat risau kesihatan dan keselamatan mereka untuk jangka masa panjang," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Penasihat Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) itu juga tidak menolak ada agenda tersembunyi di sebalik kelulusan lesen tersebut.

"Dalam pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tahun lepas, setiausahanya, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria kata kilang Lynas ini perlu mematuhi 10 syarat laporan alam sekitar (EIA).

"EIA ini gagal dipatuhi tapi lesen telah dikeluarkan, seolah-olah ada agenda tersembunyi oleh pihak yang berkepentingan," katanya.

Semalam, Setiausaha Eksekutif AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan mengumumkan pemberian lesen kepada Lynas Corporation dan berkata, baki nadir bumi yang diproses adalah di bawah tanggungjawab syarikat tersebut.

Sementara itu, Zulkifli mengulangi gesaan agar Abdul Aziz mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar New York Times mengenai artikelnya yang mengkritik pembinaan kilang yang disifatkan sangat berbahaya itu.

Abdul Aziz bagaimanapun menyanggah artikel tersebut.

"Dalam pertemuan dengan Datuk Abdul Aziz dahulu, saya ada menyuruh beliau menyaman New York Times jika artikelnya mengenai Lynas tidak benar tapi sekarang beliau tidak berbuat demikian. Kalau artikel itu salah, saman sahajalah, katanya.

Terbaru, New York Times menyebut terdapat kebimbangan keselamatan dan kesihatan berikutan tindakan kontraktor utama dari Belanda yang menarik diri dari projek itu.

Sehubungan itu, Badar akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AELB meluluskan pemberian lesen tersebut selain meneruskan meneruskan mobilisasi ahli untuk turun ke Himpunan Hijau membantah Lynas di Kuantan, 26 Februari ini.

HARAKAHDAILY/-

Kesatuan bantah usaha jual KTMB

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - KTM Berhad (KTMB) perlu bergerak secara bersendirian di bawah kawal seliaan kerajaan, bukannya membolehkan pihak swasta mengambil alih semula syarikat berkenaan, kata kesatuan sekerjanya dalam surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak awal minggu ini.

Dalam surat yang sama, Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB berkata, syarikat pengangkutan awam itu boleh dipandukan dan diterajui oleh warga kerja sendiri yang cukup cakna atau pakar dalam perkhidmatan kereta api.

"Malahan pihak kesatuan pernah menekankan agar KTMB dikembalikan kepada sektor awam . Tindakan menyerahkan KTMB kepada sektor swasta dilihat peranan mereka tidak tetap pendirian, yang akan menyusahkan negara yang nanti berkesudahan mengabaikan tanggungjawab kebajikan dan kebaikan pekerja," kata Presiden kesatuan, Abdul Razak Md Hassan dalam surat kepada Perdana Menteri.

Kesatuan itu menulis surat kepada Najib ekoran khabar angin bahawa syarikat MMC mahu mengambil alih KTMB dan adanya usah untuk menjual Bangunan KTMB.

Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB menentang sebarang usaha mahu menjual bangunan syarikat atas alasan menjadi tanggungjawab semua pihak mempertahankan ‘bangunan warisan’.

Abdul Razak menambah, pihak kesatuan bukannya menanam perasaan prasangka buruk terhadap mana-mana syarikat bakal mengambil alih KTMB, tetapi setelah dikaji dan diperhalusi keupayaan syarikat yang berkenaan dirasai akan timbul ‘kontroversi’ dari aspek ekonomi dan sosial para pekerja yang mungkin akan terjadi hakisan terhadap beberapa feadah yang telah dinikmati kerana prinsip utama syarikat-syarikat berkenaan ialah mendapatkan "keuntungan ringgit."

Abdul Razak juga berkata, sepatutnya 'kemelut' percubaan mengambil alih KTMB tidak lagi terbangkit kerana pada hakikatnya keupayaan ini telah menemui titik noktah atau kegagalan apabila kerajaan menolak pembaharuan kontrak Konsortium Marak Unggul beberapa tahun lalu.

"Andaian kami berkemungkinan penolakan kontrak Konsortium Marak Unggul oleh kerajaan setelah pihak kerajaan dapat mengesan kebenaran fakta yang sama yang telah disuarakan oleh kesatuan yang mungkin membawa erti bahawa pihak konsortium tersebut tidak berkemampuan dan sukar mengendalikan urus tadbir syarikat KTMB.

"Peranannya yang tidak dapat memikul tanggungjawab moral kepada negara khususnya pada melindungi kebaikan syarikat dan kakitangan boleh juga membawa makna bahawa pihak konsortium tersebut tidak merealisasikan objektif sebenarnya mengambil alih KTMB," katanya.


SINAR HARIAN/-

Singa serang unta selepas terlepas dari kurungan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SOLO, Indonesia - Seekor singa Afrika ditembak dengan ubat pelali selepas haiwan itu berjaya keluar dari kurungan di Zoo Taman Satwa Jurug di sini pada Selasa lalu.

Singa itu yang bernama Oni menyerang dan membunuh seekor unta sebelum dia ditembak dengan ubat pelali oleh pekerja zoo.- Reuters

Laporan: ‘Kemungkinan besar Israel akan serang Iran’

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta percaya bahawa ada "kemungkinan yang besar" Israel akan menyerang lokasi nuklear Iran menjelang musim panas ini, demikian menurut Washington Post dalam ruangan editorial disiarkan semalam.

Bagaimanapun, apabila wartawan yang mengiringinya ke Brussles bertanya mengenai pendapat ruangan itu, Panetta enggan mengulas.

"Saya tidak akan mengulas perkara itu. David Ignatius boleh menulis apa yang beliau boleh tulis tetapi berkenaan apa yang saya fikir dan apa pendapat saya, saya menganggap ia sebagai sesuatu yang milik saya dan bukannya pihak lain," kata beliau dipetik AFP.

Gempa Bumi 6.0 Magnitud Gegar Kepulauan Pasifik Selatan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.0 magnitud menggegarkan kepulauan Pasifik Selatan di Vanuatu pada Jumaat, lapor Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran berlaku pada kedalaman kira-kira 21 kilometer dari aras laut dan kira-kira 116 kilometer di barat laut ibu negara Port Vila, di sini.

Tiada amaran tsunami atau kecederaan dilaporkan.

mstar/-

Rumah umpama selepas perang akibat puting beliung

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

(Nizar naik di atas bumbung sebuah rumah yang terkena puting beliong petang semalam bagi melihat secara menyeluruh kawasan yang menjadi mangsa.)

SRI MANJUNG, 3 Feb: Berpuluh-puluh buah rumah di Taman Sri Manjung, Fasa 3 hilang bumbung masing-masing apabila diserang ribut puting beliong lewat petang semalam.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang sempat menziarahinya pagi ini melihat sendiri bagaimana bumbung rumah terangkat jauh akibat ribut tersebut.

Beliau yang amat bersimpati dengan keadaan itu berjanji akan mengumumkan pelancaran kutipan derma kilat bagi membantu mangsa di dua buah masjid di Manjung menjelang solat Jumaat hari ini.

"Saya menyeru orang ramai mengambil peluang ini untuk memberikan sumbangan derma kepada mangsa," kata beliau melalui Twitternya.

(Gambar: Nizar melihat dari dekat kemusnahan kira-kira 200 buah rumah akibat ribut.)

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat memberikan bantuan segera kepada mangsa.

"Terima kasih tertinggi kepada semua petugas PDRM, bomba, Majlis Keselematan Negara daerah Manjung, pejabat Daerah, OBJ, MPM, JKKP dan lain-lain yang memberi khidmat terbaik membantu mangsa ribut," kata Nizar.

harakahdaily/-

Belanja mewah BN, negara boleh bankrap

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 3 Feb: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad memberi amaran, negara ini boleh terjerumus ke lembah kebankrapan jika parti yang memerintah dibiarkan berbelanja mewah.

Berucap dalam forum bertajuk ‘Perubahan Politik Untuk Pembaharuan Ekonomi Bagi Kesejahteraan Rakyat’ di Hotel Seri Malaysia dekat sini semalam, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ini disebabkan kerajaan terus berbelanja mewah di luar kemampuan sekalipun dengan berhutang.

“Bayangkan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus setahun tetapi kadar peningkatan hutang pula 13 peratus," katanya.

Dengan kadar tersebut, pada tahun 2020 hutang negara akan mencecah RM1 trilion.

“Sejak kemelesetan ekonomi, dalam tempoh 13 tahun kerajaan tetap berbelanja besar-besaran sehingga ekonomi menjadi parah. Jadinya apa yang kita belanjakan hari ini seolah-olah kita makan daripada milik anak cucu kita iaitu generasi akan datang.

“Itu belum masuk lagi isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Bayangkan RM28 bilion tiris setiap tahun sedangkan jumlah yang sama jika boleh dimanfaatkan untuk rakyat sudah boleh membawa rakyat keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Dzulkefly yang juga Pengarah Penyelidikan PAS Pusat berkata, semua masalah ini timbul kerana masalah kepimpinan kerajaan yang berbelanja tidak berhemat dan jentera di bawah kerajaan yang tidak cekap.

Tambahnya, hasilnya jurang kaya dan miskin semakin membesar dalam masyarakat akibat kos hidup yanmg melambung dan pada ketika ini 58 peratus isi rumah beroleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan hampir separuh merupakan orang Melayu.

“Negara berada dalam krisis ekonomi yang teruk sekarang, dalam keadaan seluruh dunia tahu negara ini mempunyai sumber alam yang amat kaya. Jadi masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan amanah. Negara yang baik jika diurustadbir dengan baik akan menjadi baik.

“Sebab itulah Pakatan Rakyat (PR) berazam tampil untuk penyelesaian. PR berazam keluarkan negara daripada krisis ekonomi yang teruk itu. Negeri-negeri di bawah PR sekarang bukti PR mampu mengurustadbir dan seterusnya mampu untuk perintah Putrajaya,” tegasnya.

Serentak dengan itu, Dzulkifli mengharapkan rakyat membuka mata untuk memberi peluang kepada PR bagi menyelamatkan negara ini bagi menikmati keadilan, mengelakkan pembolotan dan monopoli dalam penswastaan kerana semuanya mahu diswastakan kepada seorang.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang turut menjadi panel berkata, di bawah BN pembaziran terlampau banyak berlaku harga yang dibeli melalui wang kerajaan melonjak 28 kali ganda seperti didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Mengenai tekanan kepada rakyat pula, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata masalah paling rumit kepada rakyat Malaysia ialah kenaikan harga barang.

“Apa cara kerajaan untuk turunkan harga barang? Kerajaan umum 85 buah kedai 1Malaysia. Tetapi didapati barang yang dijual tidak murah sebagaimana didakwa berbanding di pasaraya-pasaraya besar.

“Untuk projek itu kerajaan keluarkan bantuan RM400 juta kepada Mydin untuk jual barang kepada rakyat. Sedangkan sebab barang mahal ialah kerana monopoli. Antaranya Bernas. Ini yang menyebabkan harga barang tinggi.” tambahnya.

Tony yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, turut menyentuh monopoli merugikan rakyat dengan mengambi contoh kutipan tol Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) sudah menjangkau RM18 bilion.

“Kenapa tak hapuskan tol setelah untung. Sedangkan itu boleh rendahkan kos hidup rakyat melalui kos pengangkutan. Sebab itu janji PR jika menguasai Putrajaya, kita akan kaji semula untuk mansuh tol,” ujarnya.

Tony turut mendedahkan harga lima buah kapal peronda yang dibeli Kementerian Pertahanan bernilai RM5 bilion bermakna RM1 bilion sebuah. Sedangkan New Zealand boleh dapat dengan harga RM240 juta sebuah dan di Israel pula RM770 sebuah.

harakahdaily/-

Dua lagi mayat mangsa bot karam di Sedili ditemui

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dua lagi mayat mangsa kejadian bot pancung karam di Teluk Semayong, Sedili Besar, dekat Kota Tinggi ditemui hari ini, menjadikan jumlah korban akibat tragedi itu 11 orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata satu daripada mayat itu ditemui di pantai Tuan Sheh, Sedili Kecil kira-kira pukul 7.40 pagi manakala satu lagi ditemui di pantai Teluk Semayong, dua jam kemudian.

"Kedua-dua mayat itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Mahazan berkata kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi, Rabu lepas, lapan lelaki rakyat asing mati lemas, lima hilang, manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam di kedudukan tujuh batu nautika dari perairan Teluk Semayong, Sedili Besar.

Kejadian berlaku ketika kesemua lelaki dipercayai rakyat Afghanistan dan Iraq berusia antara 20 dan 35 tahun itu cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk ke negara jiran sebelum menuju ke negara ketiga.

Semalam, polis yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat menemui satu mayat mangsa bot karam itu di pantai Teluk Semayong.

- Bernama

100 pesakit mati, Pakistan tutup kilang ubat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KARACHI 3 Feb. - Pakistan terpaksa menutup kilang farmaseutikal buat sementara waktu kerana didakwa mengeluarkan ubat yang disyaki telah membunuh lebih 100 pesakit jantung di wilayah Punjab, kata seorang pegawai semalam.

“Kami menemui bahan-bahan mentah seberat 48 kilogram dari kilang kimia Efroze yang digunakan untuk membuat ubat Isotab.

“Oleh itu kami terpaksa menutup kilang tersebut selama 14 hari,” kata Akbar Baloch dari Agensi Penyiasat Persekutuan.

Jelasnya, kilang tersebut ditutup selepas sebuah makmal dari London menemui ubat Isotab bertanggungjawab ke atas kematian lebih 100 pesakit jantung di sebuah hospital di wilayah Punjab. - AFP

Setiausaha Agung PBB kena baling kasut

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENDUDUK Palestin mengerumuni kenderaan yang membawa Ban. Gambar bawah, perusuh membaling kasut ke arah konvoi membawa Ban ke Gaza, kelmarin.
Warga Gaza marah Ban gagal bantu tahanan Palestin

GAZA: Keluarga beberapa tahanan Palestin di penjara Israel membaling kasut ke arah konvoi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masuk ke Gaza awal pagi kelmarin.

Keluarga tahanan terbabit berkumpul di lintasan Erez. Mereka juga dituduh cuba menyerang kenderaan yang membawa Ban tetapi disekat anggota polis Palestin.
Sekurang-kurangnya dua daripada mereka membaling kasut ke arah kereta yang membawa Ban, tindakan menghina pemimpin itu seperti dilakukan wartawan Iraq terhadap Presiden Amerika, George W Bush dalam sidang akhbar di Baghdad pada 2008.

Penunjuk perasaan itu berkata, mereka kecewa dengan agenda lawatan ke-3 Ban ke Gaza yang tidak membabitkan sebarang pertemuan dengan keluarga mangsa tahanan Israel.

Aktivis membawa sepanduk menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana tidak mengutuk penahanan ahli perundangan Palestin selain sekatan rejim Yahudi terhadap Gaza.

“Kami datang ke sini sebagai memberi mesej simbolik kepada Ban bahawa penduduk Palestin di Gaza mahu hak melawat anak mereka di penjara Israel,” kata Jamal Farwana, jurucakap keluarga tahanan Gaza.

“Beliau sepatutnya berusaha untuk membebaskan tahanan dan kami tertanya-tanya mengapa beliau mengelak berjumpa keluarga tahanan Palestin setiap kali datang ke sini.”

Israel menutup laluan keluar masuk ke Gaza selepas pergerakan Hamas mengambil alih wilayah itu pada 2007.

Ban kemudian menuju ke Gaza bagi merasmikan tapak perumahan Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) yang dibina beberapa tahun lalu.

Projek itu terganggu seketika sebelum disambung selepas beberapa peraturan pemanduan tidak dilaksanakan pada 2010.

Menghabiskan masa beberapa jam di Gaza, Ban tidak dijangka bertemu pegawai Hamas.

PBB pula adalah antara anggota perunding damai Asia Barat yang termasuk Amerika, Kesatuan Eropah dan Russia.

Empat negara itu baru-baru ini mencadangkan rundingan sebanyak enam kali di antara perunding Israel dan Palestin bagi menggerakkan semula usaha damai yang buntu sejak 2010.

Israel menahan 7,000 tahanan Palestin. Sanak saudara tahanan dari Gaza tidak dapat melawat mereka di mahkamah sejak 2006 kerana peraturan ketat ke atas warga Gaza yang mahu memasuki wilayah ditakluki Israel. – Agensi

PKR sambut kepulangan Shahrizat dengan pendedahan baru

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PKR akan menyambut kepulangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali bertugas dengan pendedahan terbaru berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan keluarga menteri pembangunan wanita itu.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pendedahan tersebut, Rabu depan, adalah mengenai dakwaan pembelian hartanah oleh keluarga menteri tersebut.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan pembelian itu berkait dengan National Feedlot Corporation -- syarikat milik keluarga menteri berkenaan yang terjebak dalam skandal projek lembut Pusat Fidlot National.

"Shahrizat akan kembali minggu ini jadi mungkin kita akan sambut dia dengan sesuatu... Kita sedang mengesan lebih banyak hartanah yang mungkin telah dibeli oleh keluarga itu," kata Rafizi kepada Malaysiakini.

Tambahnya, PKR akan dapat mengesahkan salah satu daripada perkara itu, minggu depan.

Shahrizat bercuti tiga minggu, berakhir minggu ini, untuk membantu siasatan berhubung dakwaan skandal itu.

PKR sebelum ini mendedahkan mengenai pembelian kondominium mewah bernilai kira-kira RM10 juta di Singapura namun tidak dapat mengesahkan bahawa dana NFC digunakan untuk membeli hartanah tersebut.

Keluarga menteri itu setakat ini masih belum mengesahkan atau menafikan perkara itu.

Bagaimanapun, sebahagian daripada pinjaman RM250 juta untuk projek NFC disahkan telah diguna untuk membeli dua unit kondominium mewah atas nama NFC.

malaysiakini/-

Hidup merempat selepas diusir

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Satu ­keluarga terpaksa hidup serba kekurangan selepas didakwa menceroboh di tanah sendiri oleh individu tertentu sebelum diusir keluar dan membina pondok usang di tepi ­sungai, dekat sini.

Zulghafar Abd Jalil, 48, bersama isteri, Aida Ridfa, 42, dan dua anak, Siti Hajar, 15, dan Muhammad Imran, 8, kini berlindung di pondok usang di Kampung Sungai Petai, di sini.

Mereka sekeluarga hanya berteduh di kawasan yang hanya dikepung menggunakan papan nipis dan zink karat berlubang, malah hanya berlantaikan tanah serta tanpa bekalan elektrik dan air.

Zulghafar berkata, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selama enam tahun terletak di tanah milik individu terbabit yang bersetuju mengizinkan ­ rumah berkenaan didirikan di situ tanpa timbul sebarang pertikaian.

Walau bagaimanapun katanya, mengejutkan apabila pada awal tahun lalu, mereka diarahkan keluar dari rumah itu dengan alasan dia ­ sekeluar­ga bersikap keras kepala dan berdegil untuk berdamai.

“Mereka juga mendakwa kami menceroboh tanah ­miliknya untuk mendirikan rumah berkenaan yang mulai kami diami pada Februari ­tahun lalu yang didakwa tidak sah,” katanya.

Katanya, dia dan isterinya kini menyara hidup anak beranak dengan menoreh getah dan tidak ­memiliki sebarang kenderaan untuk bergerak akibat masalah penglihatan yang dihidapi.

“Saya terkejut dengan ­tindakan individu terbabit yang turut mengusir kami menggunakan kuasa sidang kampung.

“Malah, kami turut diugut untuk disaman setiap kali ada perselisihan faham termasuk membabitkan anak-anak saya,” katanya.

Menurutnya, bimbang keselamatan isteri dan ­anak-anaknya, dia mendapatkan ­kebenaran dari pemilik tanah untuk menumpang mendirikan pondok yang diduduki mereka sekarang.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan persekolahan anak-anak bagi membeli papan nipis yang kini mengepung tempat tinggal kami.

“Kami perlu melalui ­belukar dan meniti anak ­sungai untuk ke pondok usang ini dengan jarak kira-kira 300 meter dari jalan perkampu­ngan,” katanya.

Dia yang tertekan dengan keadaan itu tidak menafikan bimbang sekiranya masalah yang berlaku menjejaskan ­pelajaran dua anaknya, tambahan anak sulungnya yang ­bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

“Hanya dengan pelita dan lilin, saya berjaga menemani anak untuk mengulang kali pelajaran menduduki PMR ­tahun ini dan lebih merisaukan apabila anak bongsu saya diserang asma setiap kali hujan.

“Masalah ini sudah pun dibawa kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya yang turut bimbang keselamatan mereka ­ ­terancam dengan kehadiran haiwan ­berbisa yang kerap masuk ke pondok mereka.

Sinar Harian

Baucer buku 1Malaysia tidak berkesan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan baucer buku 1Malaysia tidak berkesan melainkan ianya dipanjangkan tempoh sehingga ke satu tarikh yang munasabah.

Ini, katanya kerana baucer buku dikeluarkan saat para pelajar menghadapi pepepriksaan akhir dan selepas peperiksaan mereka akan bercuti panjang sedangkan tempoh sah baucer pula akan tamat pada 31 Mac depan.

Baucer itu juga, katanya tidak boleh dijual beli dan hanya dibenar untuk menukarnya dengan buku pada nilai RM200 sahaja.

Justeru, ujarnya baucer itu seeloknya diberikan di awal pembukaan semester untuk sesi baru pengajian kerana waktu itulah mereka memerlukan buku.

Tambahnya, begitu juga jika diberikan pada permulaan pengajian matrikulasi atau sewaktu Pesta Buku Antarabangsa pada bulan April.

“Baucer tidak menepati masa yang sesuai dan inilah menyebabkan sebahagian pihak menjual baucer tersebut untuk mendapatkan wang tunai,” katanya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana keperluan mereka buat masa ini bukan buku disebabkan peperiksaan akhir telah berlangsung dan mereka akan bercuti.

Justeru itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan agar kerajaan mengkaji juga bebanan lain yang dihadapi oleh mahasiswa seperti kos yuran, sewa rumah yang tinggi, kos hidup, PTPTN dan lain-lain.

“Sedang Islam meletakkan bahawa kerajaan wajib memberi pendidikan percuma pada rakyat bukan sekadar anugerah wang one off seperti baucer buku tersebut,” katanya.

Harakah Daily

Pemandu bas rasa terhina

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PERINGGIT - Mogok pemandu bas henti-henti di negeri masuk hari kedua semalam, dan mereka mengang­gap kenaikan RM10 dalam gaji pokok ditawarkan Kerajaan Negeri sebagai penghinaan buat mereka.

Walaupun pada asalnya mereka ditawarkan gaji pokok RM500, namun hasil tinjauan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Terminal Melaka Sentral kelmarin, ia dinaikkan kepada RM510.

Sambil melabelkan kenaikan itu sebagai hinaan, jurucakap bagi semua pemandu bas terbabit, Rosman Wahab, 49, berkata, kenyataan Mohd Ali bahawa mereka boleh memperoleh lebih RM1,000 sebulan selepas dicampurkan bayaran kerja lebih masa dan elaun juga tidak boleh diterima.

Menurutnya, ini kerana pemandu terbabit dikehendaki bekerja selama 12 jam setiap hari, walaupun mengikut undang-undang buruh, mereka hanya dikehendaki bekerja lapan jam sehari.

“Kita bukannya hendak minta banyak, sekadar gaji pokok sebanyak RM850 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral, di sini, semalam, selepas mengadakan piket aman.


Tak setuju mansuh komisen

Mogok pemandu bas terbabit bermula kelmarin, iaitu hari pertama pengambil­alihan operasi 10 syarikat bas henti-henti oleh anak syarikat kerajaan negeri, PM Cultural and Tourism Sdn Bhd (PMCT).

Mogok itu diadakan berikutan ketidakpuasan hati pemandu yang mendakwa, gaji pokok ditawarkan terlalu rendah berbanding RM2,000 yang diperoleh mereka sebelum ini.

Selain membantah gaji pokok RM510, Rosman berkata, pemandu juga tidak bersetuju dengan cadangan memasukkan komisen lima peratus sebagai sebahagian pendapatan pemandu dan konduktor bas.

Menurutnya, tindakan itu tidak masuk akal kerana ada sebahagian laluan tidak mempunyai ramai penumpang berbanding sesetengah laluan lain.

“Ada sebahagian laluan, mahu dapat RM200 sehari pun susah. Jika komisen lima peratus, bermakna kita hanya dapat RM10 sehari. Jika dibahagi dengan konduktor, maksudnya RM5 sehari. Apa kita hendak buat dengan RM5 sehari?

“Kami mahu supaya kerajaan memansuhkan komisen ini tetapi gantikannya dengan elaun kedatangan, elaun perumahan dan sebagainya. Selain itu, bayaran kerja lebih masa juga mesti dimulakan selepas lapan jam, bukannya 12 jam,” katanya.

Rosman berkata, sebelum pengambilalihan itu, ramai yang mampu beli rumah dan kereta kerana purata pendapatan pemandu adalah RM2,000 ke atas.

“Sekarang hendak beli beca pun belum tentu dapat.

“Justeru, pemandu telah sepakat meneruskan mogok selagi permintaan tidak dipenuhi,” katanya.

Sinar Harian

NFC: SPRM perlu bertindak terhadap bukti SMS

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 3 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan rasa kecewa kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, biarpun terdapat bukti kiriman pesanan ringkas (SMS) menunjukkan Salleh mengarahkan ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail merasuah anggota polis yang menyiasat skandal berkenaan, namun belum ada sebarang tindakan diambil SPRM.

Sebaliknya, kata Sivarasa, pihak berkuasa pula menahan Shamsuhbahrin selepas beliau membuat laporan polis.

"Apa yang dilakukan oleh Dr Mohamad Salleh itu amat serius yang mana melalui laporan polis oleh Samsulbahrin wujud satu arahan agar beliau (Shamsubahrin) merasuahkan pihak polis bagi menutup siasatan kes NFC.

"SPRM perlu bertindak segera apatah lagi arahan itu dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan telefon yang mempunyai SMS tersebut juga berada di dalam simpanan SPRM Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan berhubung kes itu ke SPRM di Putrajaya semalam.

Pada 31 Januari lalu, laporan serupa telah dibuat di SPRM Kuala Lumpur namun pihak mereka mengatakan kes NFC ini dibawah siasatan SPRM Putrajaya dan perlu dirujuk kepada mereka.

“Dia bukan saja sebut malah tambah bukti di dalam bukti berbentuk SMS yang dia terima dari Datuk Salleh dan kita difahamkan oleh Samsubahrin bahawa ia sudah ada dalam tangan SPRM selepas tangkapan beliau pada 22hb Disember .

“Kenapa sudah sebulan lebih tidak ada apa-apa tindakan,” kata Sivarasa lagi sambil mendesak SPRM mempercepatkan siasatan.

Sehubungan itubeliau memberi tempoh dua minggu kepada SPRM untuk bertindak termasuk membuat pendakwaan.

"Tempoh dua minggu ini sudah cukup untuk SPRM bertindak dan kita lihat bagaimana cekapnya mereka bertindak ke atas Samsulbahrin sepatutnya begitulah mereka perlu bertindak ke atas Dr Mohamad Salleh.

"Kita mahukan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja diwujudkan bagi mengambil alih semua siasatan yang gagal dilakukan oleh Pihak Polis dan juga SPRM," kata Sivarasa.

Turut serta membuat laporan itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida pada sidang media sama turut meluahkan kekecewaannya kerana tidak dapat berjumpa dengan Pegawai yang terlibat untuk menguruskan kes tersebut.

“Kita nak berjumpa dengan IO (Pegawai penyiasat) tapi dia tiada. Dan terus dibawa kepada Tuan Rahman Bachok, Ketua IO.

“Pegawai tidak mahu berikan maklumat dan kita minta dengan laporan untuk bertindak secepat mungkin,” tegas beliau.

Harakah Daily

PAS kutuk bakar rumah, kereta TPJ Johor

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS mengutuk tindakan yang disyaki sabotaj berhubung kebakaran yang berlaku ke atas rumah dan kereta Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifli Ahmad di Taman Universiti, Johor Bahru awal pagi ini.

“PAS menggesa pihak polis melakukan siasatan dan tindakan segera,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggesa ahli-ahli supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pasukan keselamatan.

DAP Perak turut mengutuk keras perbuatan jijik membakar rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor itu.

“Polis tolong bertindak segera!” tulis setiausahanya, Nga Kor Ming melalui twitter.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi tadi, sebuah kereta BMW milik Dzulkifli serta tingkat bawah rumahnya hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat.

"Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

"Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba," katanya kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

1,000 pekerja Facebook jadi jutawan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ZUCKERBERG hanya memiliki kira-kira satu per lima daripada saham syarikat Facebook Inc.SEBAHAGIAN daripada pekerja Facebook yang bakal menjadi jutawan menjadi penghias dokumen tawaran IPO dikemukakan Facebook Inc kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham AS.

LOS ANGELES: Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk merancang pengembaraan serba mewah, mengimpikan memandu kereta sport paling mahal dan menetap di apartmen serba lengkap di California.

Kini, ketika proses pengapungan bernilai RM15 bilion Facebook di pasaran saham semakin hampir, sekurang-kurangnya 1,000 pekerja rangkaian sosial berpangkalan di Menlo Park itu akan bakal menjadi jutawan.

Semalam, Facebook mengemukakan kertas kerja kepada pihak berkenaan untuk penawaran penyenaraian awam (IPO) paling ditunggu-tunggu sejak langkah sama dilakukan Google pada 2004.

Tindakan itu dijangka menjadikan syarikat sangat berjaya itu bernilai sehingga RM300 bilion.

Syarikat yang mempunyai 3,000 pekerja itu berharap dapat menyenaraikan Facebook di bawah simbol FB di Pasaran Saham New York atau Pasaran Saham Nasdaq.

Dalam peraturan difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham, Facebook Inc membayangkan harapannya untuk mengumpul sehingga AS$5 bilion (RM15 bilion) melalui IPO berkenaan dan ia adalah rekod baru untuk syarikat teknologi di pasaran saham selepas Google mencatatkan nilai RM5.73 bilion pada 2004.

Ia menjadi perubahan besar terhadap syarikat yang dijelaskan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg, dalam dokumen berkenaan sebagai “pada peringkat awal tidak dicipta untuk menjadi syarikat.” “Ia dibangunkan untuk menyempurnakan misi sosial - bagi menjadikan dunia lebih terbuka dan saling berhubung,” katanya.

Zuckerberg juga menyatakan, mereka menanam budaya unik dan pendekatan pengurusan dikenali sebagai “Kaedah Penggodam.” “Ungkapan ‘penggodam’ diberi gambaran negatif secara berlebihan dalam media sebagai seseorang yang menceroboh komputer.

“Hakikatnya, penggodaman bermaksud membina sesuatu dengan pantas atau mencuba batasan kemampuan diri,” katanya.

Dokumen dikemukakan Facebook Inc juga mendedahkan beberapa fakta penting firma banyak berahsia itu, selain kawalan ketat Zuckerberg ke atas pelbagai aspek pengurusan syarikatnya.

Ketika semua pihak menyangka setiap penutur berbahasa Inggeris memiliki akaun Facebook, sebenarnya rangkaian itu baru meneroka 60 peratus pasaran di Amerika Syarikat, Britain dan paling popular di Chile, Turki dan Venezuela.

Dokumen itu menyatakan, mereka menyasarkan China kini mengharamkan Facebook sebagai pasaran besar selanjutnya, tetapi ragu mampu menyediakan dasar tapisan diterima kerajaan negara berkenaan. - DM

Puntung rokok punca terbakar

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NILAI – Sebanyak 14 unit kediaman di Pangsapuri Taman Semarak di sini, hangus dalam kebakaran, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, keseluruhan tingkat empat di sebuah blok di pangsapuri itu musnah, dipercayai berpunca daripada puntung rokok.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.26 malam dan mengambil masa lapan minit untuk ke lokasi.

“Tiba di lokasi, api sudah marak berikutan keadaan angin kencang menyebabkan api merebak pantas.

“Semua rumah di tingkat empat pangsapuri terbabit musnah dan kami berjaya memadamkan api daripada terus merebak ke tingkat lain setengah jam kemudian,” katanya.

Menurutnya, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta Mantin berserta 18 anggota termasuk dari Senawang diaeahkan ke lokasi kejadian.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih disiasat.

“Walaupun tingkat empat pangsapuri ini tidak berpenghuni, namun kita percaya ia dijadikan tempat tinggal oleh gelandangan warga asing,” katanya.

Zainal berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di pangsapuri berkenaan pada tahun ini.

Sinar Harian

Banjir Di Australia:10,000 Penduduk Terkandas

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Lebih 10,000 penduduk Australia terkandas akibat banjir di timur negara itu manakala ribuan mangsa lain diarah meninggalkan kediaman atau pejabat mereka.

Pada masa sama, pasukan tentera turut dikerahkan untuk membawa bekalan mangsa banjir.

Perkhidmatan Kecemasan Kebangsaan New South Wales, berkata kira-kira 10,500 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda sepanjang utara negara itu selepas hujan turun tanpa henti beberapa hari lalu.

Lebih 2,000 mangsa diarah mengosongkan bangunan di bandar Moree, New South Wales, di mana persediaan menghadapi banjir kedua dalam tempoh beberapa bulan.

mstar/-

KL alami gangguan bekalan air

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar kawasan Kuala Lumpur berikutan paip jenis ‘Mild Steel’ (keluli lembut) bersaiz 600 milimeter (mm) di Jalan Duta berhampiran Stadium Tenis, Kuala Lumpur pecah, tengah hari semalam.

Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 12.52 tengah hari.

Menurutnya, disebabkan kejadian tersebut, Syabas mengambil langkah awal dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja pembaikan dan setakat laporan ini dikeluarkan, kerja penutupan injap sedang dilaksanakan.

“Dianggarkan kira-kira 13,500 akaun terlibat dan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan kejadian paip pecah ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti ialah sepanjang Jalan Duta yang merangkumi kawasan Duta Vista; Sri Murni Apartmen; Istana Negara Baru; Seluruh Taman Duta; Jalan Kota, Lorong Kota 1 – 14; Jalan Semantan, Persimpangan Duta hingga Persimpangan Jalan Dungun.

Katanya, bangunan kerajaan iaitu Arkib Negara; Stadium Hoki; Mahkamah Sivil; Kompleks Pentadbiran Kerajaan; Masjid Wilayah; Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Institut Kemajuan Islam Malaysia; Lembaga Peperiksaan; Pusat Perkembangan Kokurikulum; dan Mahkamah Tinggi Malaysia juga terlibat.

Gangguan turut berlaku di Jalan Ipoh Batu 4 hingga Batu 5 yang meliputi Jalan Cenderuh; Jalan Kuala Kangsar; Jalan Vethavanan; Jalan St Thomas; Jalan Khalsa; Taman Kok Lian; Taman Niaga Waris; Kem Batu Kentomen; Taman Impian; Taman Eastern; Taman Rainbow;
Taman Bamboo; Taman Kaya; Taman Segambut Indah; Kawasan Perindustrian Segambut; Kampung Seri Batu dan Kampung Batu.

Kawasan lain yang terlibat ialah Jalan Sentul yang merangkumi Taman Dato’ Senu; Taman Pelangi; Kampung Flat Mah; Kampung Chubadak Dalam; Kampung Bandar Dalam; Kampung Muthiah; Kampung Chubadak Tambahan; Sentul Jaya; Sentul Indah; Sentul Bahagia; Sentul Permai; Kampung Chempedak Hilir; Kampung Chubadak Jaya; Kampung Puah; Kampung Puah Bahagia dan Sentul Pasar.

Abdul Halem berkata, gangguan bekalan air juga berlaku di Jalan Kuching yang melibatkan kawasan Taman Sri Kuching dan Taman City.

Menurutnya, kerja baik pulih dijangka siap pada jam 12.30 tengah malam semalam dan bekalan air akan pulih sepenuhnya secara berperingkat ke semua kawasan terlibat selewat-lewatnya pada jam 3.30 pagi hari ini.

“Pihak Syabas menyediakan tiga lori tangki dalam keadaan tunggu sedia sekiranya diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip tersebut.

Katanya, mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu disarankan supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

Sinar Harian

Seorang wanita maut, 20 cedera kena sengat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Seorang penoreh getah warga emas maut manakala 20 orang lagi cedera akibat disengat lebah dalam satu kejadian di Kampung Kandis, Gaal di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa, Esah Idris, 52, dalam perjalanan ke kelas mengaji al-Quran yang terletak di hadapan rumahnya.

Suami mangsa, Saidina Ali Mat, 57, berkata, semasa kejadian tersebut dia yang berada di dalam rumah terdengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum keluar mendapatkan Esah yang dikerumuni lebah di kepalanya.

”Saya menjerit ke arah isteri agar patah balik ke arah rumah tetapi dia terus berjalan ke hadapan, mungkin pada masa itu dia sudah tidak sedar kerana ada banyak lebah mengerumuni mukanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini semalam.

Saidina Ali berkata, isterinya meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di pangkuannya.

Dia yang bekerja sebagai petani berkata, kejadian tersebut sangat mengejutkan mereka sekeluarga kerana ia berlaku dengan cepat.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan tiga anaknya reda dengan pemergian tersebut walaupun masih berada dalam keadaan trauma.

”Saya juga turut disengat oleh lebah di bahagian badan dan kepala semasa cuba menyelamatkan isteri,” katanya turut menjadi mangsa sengatan lebah terbabit.

Beberapa penduduk kampung yang cuba membantu Esah dikatakan turut disengat serangga tersebut yang dikatakan berlaku akibat sarangnya diganggu burung yang ingin mendapatkan madu.

Malah, selepas beberapa jam kejadian tersebut, lebah terbabit dikatakan terus menyerang penduduk sekitarnya menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Kakak ipar mangsa, Nik Nah Mat, 65, berkata, sebelum kejadian Esah banyak mendiamkan diri dan tidak bergaul dengan jiran tetangga.

”Saya ada menegur kelakuan peliknya itu tetapi dia hanya tersenyum dan hanya mendiamkan diri sahaja sedangkan sebelum ini di tempat mengaji al-Quran dia sering beramah-mesra dengan kawan-kawan yang lain,” katanya.

Nik Nah berkata, semasa kejadian tersebut dia dan beberapa orang rakan serta jiran tetangga turut disengat lebah tersebut yang terbang merata-rata di kawasan kediaman mereka.

Dia berkata, bagaimanapun kecederaan mereka tidak seteruk yang dialami Esah kerana mereka semua sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, lebah yang terdapat disalah satu pokok di kawasan semak rumah Esah bertindak menyerang adik iparnya itu setelah sarangnya diganggu oleh burung-burung yang ingin mendapatkan madu.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Leftenan Muda Samsudin Jaafar berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mereka seramai empat anggota bertindak segera menghapuskan sarang lebah tersebut.

”Semasa operasi membanteras kami turut menjumpai dua sarang tebuan dan satu lagi sarang lebah di kawasan tidak jauh daripada tempat kejadian.

”Tahun ini sahaja dua mangsa maut akibat disengat lebah,” katanya.

Samsudin berkata, untuk bantuan segera JPAM orang ramai boleh hubungi 09-7855233, 09-7855235 dan 09-7861392.

Sinar Harian

Lelaki maut ditembak 3 das

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MAK MANDIN - Seorang lelaki dipercayai pernah mengetuai sebuah kumpulan kongsi gelap sekitar daerah ini, mati ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh pembunuh upahan berdekatan Rumah Pangsa Mak Mandin di sini, awal pagi semalam.

Mayat H’ng Kean Boon, 42, yang berasal dari Butterworth ditemui orang ramai, dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan kaki bersebelahan kereta Nissan X Trial dinaikinya, di kawasan berkenaan, jam 6.30 pagi.

Difahamkan, mangsa dihalang tiga lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya yang mendiami salah sebuah bangunan di rumah pangsa berkenaan, jam 5.30 pagi, sebelum ditembak dari jarak dekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mangsa dikatakan diarah memberhentikan keretanya oleh tiga lelaki terbabit di kawasan itu semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Butterworth selepas menghantar teman wanitanya sebelum itu.

“Siasatan juga mendapati, mangsa dikatakan berbual dengan tiga lelaki yang menunggang motosikal masing-masing, sebelum ditembak oleh seorang lelaki terbabit menggunakan pistol automatik hingga mengakibatkan kematiannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengulas panjang mengenai kejadian kerana masih meneruskan siasatan dari berbagai sudut, tetapi tidak menolak kemungkinan dendam menjadi motif utama Kean Boon ditembak mati.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Sinar Harian

Lynas: Rakyat mangsa uji kaji, kata Fuziah

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Permohonan Lesen Kendalian Sementara (TOL) oleh Syarikat Lynas yang diluluskan dalam mesyua­rat Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) Isnin lalu adalah di luar jangkaan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, syarat yang dikenakan LPTA terhadap syarikat itu dahulu dianggap sebagai penolakan terhadap permohonan mereka untuk beroperasi, namun yang berlaku sebaliknya.

“LPTA buat satu keputusan tidak masuk akal. Syarat meminta Lynas bertanggungjawab ke atas sisa buangan radioaktif Lynas Advance Material Plant (LAMP) termasuk menghantar sisa tersebut ke tempat asalnya di lombong tidak munasabah.

“Tambahan pula, Menteri Perlombongan Australia Barat, Norman Moores telah buat kenyataan bahawa Australia tidak akan menerima sisa itu dan menegaskan ia milik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, syarat yang mengatakan Lynas diberi tempoh 10 bulan untuk menyediakan Pelan Pengurusan Sisa Buangan dalam bentuk Permanent Disposal Facility (PDF) boleh ditangguhkan sehingga mereka menunjukkan kesungguhan menguruskan sisa toksid dan radioaktif secara bertanggungjawab.

“Keputusan ini tidak lain tidak bukan membuktikan LPTA bersekongkol dengan Lynas untuk menjadikan warga Kuantan sebagai bahan uji kaji seperti ‘tikus makmal dalam tempoh 10 bulan lagi’.

“Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab sekiranya benar sebagaimana dakwaan akhbar New York Times berkenaan pembatalan perjanjian oleh syarikat AkzoNobel sebagai pembekal resin kepada LAMP atas sebab spesifikasi yang tidak mengikut syarat,” katanya.

Menurut Fuziah, sekiranya kerajaan benar bertanggungjawab, mereka boleh memberi amaran kepada Lynas bahawa lesen tidak boleh dikeluarkan melainkan sya­rat pengurusan sisa radioaktif disediakan dalam bentuk PDF.

Sinar Harian

Tepung dilempar ke arah calon Presiden Perancis

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEORANG wanita yang identitinya dikenali sebagai Claire Seguin (kanan) membaling tepung ke arah Francois Hollande di Paris kelmarin.

PARIS - Seorang wanita yang mendakwa dia diawasi polis dan nyawanya juga terancam bertindak mencurahkan tepung gandum ke atas calon utama pilihan raya Presiden Perancis kempen beliau di sini kelmarin.

Wanita berkenaan yang memperkenalkan diri di hadapan kamera televisyen sebagai Claire Seguin, 45, berlari ke atas podium tempat calon Presiden daripada Parti Sosialis, Francois Hollande yang berdiri untuk menandatangani 'kontrak sosial' sebagai simbolik sokongan beliau terhadap dasar perumahan untuk semua rakyat.

Hollande yang kini mendahului populariti Presiden Nicolas Sarkozy kekal tenang sepanjang insiden tersebut walaupun kaca mata, rambut dan pakaiannya dilitupi tepung gandum.

Beliau tetap meneruskan agendanya untuk bercakap mengenai pembaharuan dalam dasar perumahan negara selepas peristiwa memalukan itu berlaku.

Beberapa pegawai peribadinya kemudian menangkap Seguin dan menyerahkan wanita itu kepada polis.

Seorang anggota polis mengesahkan bahawa Sequin yang kini ditahan polis, membawa empat kilogram tepung gandum ketika kejadian.

Dia dipercayai bertindak demikian selepas menuduh ada pihak dalam Parti Sosialis cuba membunuhnya.- Agensi

Marwan Antara Pemimpin JI YangTerbunuh Di Selatan Filipina

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Marwan, terbunuh dalam serangan udara di selatan Filipina, awal pagi Khamis.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia, Zulkifli Abdul Hir, salah seorang pemimpin utama rangkaian pengganas serantau, Jemaah Islamiyah (JI) yang terbunuh dalam satu serangan udara di selatan Filipina, awal pagi Khamis.

Tentera Filipina berkata, pemimpin Kumpulan Mujadhidin Malaysia berusia 46 tahun itu lebih dikenali sebagai Marwan antara 15 pemimpin militan yang terbunuh dalam serangan di Kepulauan Jolo.

Selain itu, turut maut rakyat Singapura, Mohammad Ali atau Muawiyah dan pemimpin Abu Sayyaf, Abu Pula.

Marwan dilahirkan di Muar, Johor pada 1966.

Marwan dipercayai berada di selatan Filipina sejak 2003 dan terselamat dalam beberapa siri serangan ke atas kumpulan militan di Kepulauan Laminusa pada Mac 2010 dan Oktober tahun lalu di wilayah Sulu.

Di Muar, ibunya, Aminah Abdul Aziz, 64, yang terkejut dengan berita kematian tersebut mahu jenazah anaknya dikebumikan di sini.

Aminah berkata jika benar anaknya sudah terbunuh di Filipina, dia mahu pihak berkuasa Malaysia dan Filipina membawa mayat Marwan ke Kampung Jeram Masjid di Bakri.

"Saya terkejut mengenai kematiannya kerana saya tidak menerima sebarang berita daripadanya sejak meninggalkan rumah 12 tahun lalu.

"Dia merupakan seorang jurutera dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur. Namun, pada suatu hari, dia pulang ke kampung bersama isteri dan tiga anaknya. Dia memberitahu mahu menghantar keluarganya ke Kluang. Sejak dari itu, dia menghilangkan diri," katanya.

Marwan, seorang jurutera terlatih dari Amerika Syarikat, dikaitkan dengan beberapa serangan pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Sebelum ini kerajaan AS menawarkan AS$ 5mil (RM15.1 juta) sebagai ganjaran bagi membunuh atau menangkap Marwan.

Di Manila, tentera Filipina, Mejar Jeneral Coballes dipetik agensi berita AFP sebagai berkata, kematian 15 pemimpin militan itu merupakan kejayaan besar buat negara tersebut dalam usaha memerangi pengganas.

Coballes memberitahu, tenteranya turut berjaya membunuh Uma Jumdail, seorang pemimpin Abu Sayyaf yang paling dikehendaki.

Menurut laman web kerajaan Filipina, Muawiyah dan Mawran dipercayai bersembunyi di kem Abu Sayyaf yang terletak di kawasan pedalaman di selatan Kepulauan Filipinan sejak 2003.

Sementara itu, seorang jurucakap tentera AS di Manila bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kematian 15 pemimpin kumpulan militan tersebut.

mstar/-

Penangan mulut manis 'Datuk'

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LEDANG – “Dia sangat licik, bijak berkata-kata dan berper­watakan seperti seorang ahli perniagaan berjaya tetapi sebenarnya seorang penipu,” demikian luahan mang­sa yang mendakwa ditipu se­­orang lelaki yang mengaku memiliki gelaran ‘Datuk Seri Pa­­duka’.

Mangsa, Osman (bukan na­ma sebenar) berkata, lelaki terbabit berjaya mem­per­dayakan ramai mangsa hanya melalui tutur kata manisnya.

“Dengan taktik itu dia mampu menikmati keme­wa­han luar biasa hasil keuntungan melebihi puluhan jutaan ringgit.

“Lebih mengejutkan apabila ada kontraktor yang terpe­­daya dengan kata-katanya sehingga sanggup memberikan sebuah rumah bernilai RM4 juta dan kereta mewah kepada lelaki terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia mengenali lelaki terbabit pada 2007 mene­rusi seorang rakan yang membantunya mencari dana untuk pelaburan bagi projek mega jalur lebarnya.

Osman berkata, dia kerugian RM140,000, gara-gara ‘termakan’ janji-janji kosong ‘Datuk Seri Paduka’ itu.

“Dia janjikan im­bu­­han sangat lumayan sebanyak RM100 juta dan beberapa peratus saham dalam syarikat ji­ka projek dirancang ber­­jaya.

“Namun, tembelangnya ter­­­­­­­­­bongkar apa­­bila projek me­ga yang dirancang melibatkan penipuan ramai ahli perniaga­an yang babitkan ke­ru­gian ratusan ribu ringgit,” ka­tanya.

Katanya, pada masa sama, lelaki itu menyalahgunakan su­rat tunjuk minat (LOI) untuk mendapatkan pelabur dan mengambil dana daripada me­­reka sedangkan projek itu belum mendapat kelulusan rasmi.

“Dia turut palsukan surat pemberian (LOA) untuk tipu pelabur dan kontraktor supaya berikan wang komitmen yang dianggarkan bernilai sekitar RM50,000 hingga RM10 juta setiap seorang,” katanya.

Katanya, lelaki itu juga didapati terbabit dalam penganjuran skim pelaburan cepat kaya dan dia berjaya memungut pelaburan tanpa lesen pendeposit melibatkan wang melebihi RM5 juta.

“Pelaburan ini melibatkan seluruh negara,” katanya.

Osman berkata, setelah menyedari ditipu dia berusaha menjejaki lelaki licik itu untuk menuntut semula wangnya.

“Namun, sejak Oktober tahun lalu hingga kini, semua panggilan telefonnya tidak dijawab termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak dibalas. Lelaki itu menghilangkan diri bersama wang pelaburan yang ‘dicuri’ daripada mangsanya,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Sa­emah (bukan nama sebenar) dari Kuala Lum­pur berkata, dia bersama 10 rakan lain kerugian RM300,000 selepas menyertai pelaburan skim cepat kaya lelaki berkenaan.

“Sejak menyertai skim itu pada 2007, saya tidak pernah terima sebarang pulangan yang dijanjikannya.

“Apabila saya menuntut semula wang pelaburan, dia akan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah,” katanya.

Katanya, dia tidak berpuas hati dan terus menjejaki lelaki itu termasuk pergi ke pejabatnya, tetapi terkejut mendapati pejabat berkenaan terlalu kecil yang hanya menempatkan sebuah kerusi dan meja.

“Dia juga dipercayai memiliki banyak pejabat bergerak bertujuan mengelakkan mang­­sa daripada menjejakinya.

“Susulan penipuannya, sa­ya buat laporan di Balai Polis Tangkak pada 26 Januari lalu dan merayu pihak berkuasa se­gera berkas ‘penipu’ terbabit bagi mengelakkan lebih ramai jadi mangsanya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Le­dang, Superintendan Ha­run Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan akan melakukan siasatan.

Bagaimanapun, katanya in­siden menimpa Saemah berlaku di Ampang dan polis Am­pang akan menyiasat perkara berkenaan.

Sinar Harian

DAP dakwa Umno peralatkan MIC bagi tipu India

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAP mendakwa pemimpin Umno memperalatkan rakan-rakan MIC untuk menipu masyarakat India demi kepentingan politik mereka.

NONESebagai buktinya, timbalan pengerusi DAP Perak V Sivakumar berkata meskipun kepimpinan MIC diberi portfolio Menteri Sumber Manusia, namun tidak ada sebarang perubahan dalam pengambilan pekerja-pekerja baru dari kalangan masyarakat India ke dalam sektor awam.

“Sudah pasti jawatan Menteri Sumber Manusia itu adalah satu jawatan boneka yang tidak boleh membantu masyarakat India.

“Akhirnya terbongkar juga bahawa Menteri Sumber Manusia hanya layak menjadi bahan hiasan dalam kabinet Malaysia. Segala janji-janji yang diberikan masih tidak ditunaikan lagi,” katanya dalam satu kenyataan media dan disiarkan dalam portal DAP - Roketkini.

Sehubungan itu, Sivakumar yang juga Adun Tronoh meminta kerajaan BN, khususnya MIC, yang mendakwa mereka membantu masyarakat India supaya menjelaskan tiga persoalan utama tentang kedudukan orang India dalam sektor perkhimdatan awam.

Nyatakan jumlah pegawai dan kakitangan kaum India yang berkhidmat dalam sektor awam pada masa ini?

Nyatakan peratus pegawai dan kakitangan kaum India dalam sektor awam dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kakitangan sektor awam?

Nyatakan jumlah pengambilan pegawai dan kakitangan baru dari kalangan kaum India di seluruh negara dan pecahan mengikut negeri bagi tahun 2010, 2011 dan 2012?

Menurut Sivakumar, hanya jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut dapat membuktikan sama ada kerajaan BN benar-benar membela kaum India atau hanya cakap kosong sahaja.

azlan“Sebilangan besar daripada kaum India masih berada di bawah garis kemiskinan dan tidak dapat bersaing kerana beberapa faktor . Satu daripada faktor utama ialah mereka tidak diberi peluang pekerjaan dalam sektor awam.

“Pada satu ketika dahulu ramai kaum India bekerja dalam sektor awam. Sekarang kita dapat melihat di jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan tertentu langsung tidak mempunyai pekerja India.

“Kenapakah ini berlaku? Ini sudah semestinya akibat dasar diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan BN yang mempunyai agenda tersendiri,” katanya lagi.

malaysiakini/-

Tragedi Port Said ragut 74 nyawa, 1,000 cedera

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEBAHAGIAN penonton berlari untuk keluar dari stadium ekoran rusuhan yang berlaku di sebuah stadium di Port Said, Mesir kelmarin.

PORT SAID - Sekurang-kurangnya 74 orang mati manakala 1,000 lagi cedera selepas satu rusuhan berlaku ekoran kemenangan mengejut 3-1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly di sebuah stadium di sini kelmarin.

Rusuhan itu berlaku selepas perlawanan tamat apabila para peminat kelab bola sepak Al-Masry meluru ke padang stadium di sini bagi meraikan kemenangan mengejut itu.

Para penyokong Al-Masry yang bersenjatakan pisau, kayu dan batu mengejar para pemain dan peminat daripada kelab Al-Ahly yang berlari ke arah pintu untuk menyelamatkan diri, kata beberapa saksi.

Seorang pemain dengan kelab Al-Ahly, Mohammed Abu Trika mengkritik polis kerana tidak campur tangan dalam keganasan tersebut.

"Orang ramai di sini mati dan tiada ada sesiapa yang melakukan apa-apa. Ia seperti satu perang," katanya kepada sebuah stesen televisyen.

Beberapa saksi menyatakan, puluhan peminat bola sepak mati ditikam manakala sebilangan lagi lemas selepas terperangkap di sebuah koridor panjang dan sempit ketika mereka cuba melarikan diri daripada sekumpulan peminat pasukan lawan.

Pertempuran melibatkan beberapa kumpulan peminat bola sepak Mesir kelmarin meragut 74 nyawa dengan sekurang-kurangnya 1,000 orang lagi cedera.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua majlis tentera yang memerintah Mesir buat sementara waktu, Fil Marsyal Mohamed Hussein Tantawi semalam berikrar akan memburu mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan itu.

kosmo/-

Pembeli rumah kos rendah kena 'top-up' tidak benar

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Dakwaan bahawa pembeli projek perumahan kos rendah di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam perlu menambah pembayaran atau top-up sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

Demikian penegasan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar A. Samad.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai.

Jelasnya, harga rumah kos rendah dikawal oleh kerajaan negeri iaitu RM42,000 sebuah tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.

Katanya, pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Barisan Nasional mentadbir Selangor.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih.

“Pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru,” ujarnya yang juga Adun Cempaka kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, di dalam pembentangan kepada Menteri Besar pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek itu telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah.

Malah, katanya mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

“Tetapi pemaju dibenarkan menukar 2 dari 6 blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu,” katanya.

Sejak itu, ujarnya kerajaan negeri telah memantau kemajuan projek itu dari masa ke semasa.

“Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya.

“Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya, mereka telah gagal menyelesaikan masalah itu ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang akan membantu rakyat.

harakahdaily/-

Kembara ibu tunggal

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BERKELANA...Fazilah ketika ditemui di Masjid Al Bukhari.

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal yang hidup merempat dan mengemis bagi menghabiskan sisa-sisa kehidupan, mungkin mencatat rekod tersendiri apabila menjadikan tidak kurang 30 masjid di Lembah Klang sebagai tempat berkelana.

Mahu dikenali sebagai Fazilah, 59, bekas kakitangan awam itu berkata, dia memilih jalan hidup sedemikian selepas kematian suami pada 2009 dengan tinggal di masjid dan mengharapkan belas ihsan jemaah yang singgah menunaikan solat untuk mendapatkan sesuap nasi.

“Seperti orang lain, saya juga ingin memiliki rumah sendiri, tapi dengan keadaan sekarang jika ditakdirkan saya meninggal dunia di masjid, saya reda,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Bukhari, di sini.

Fazilah berkata, dia tidak mempunyai penyelesaian lain untuk mendapatkan wang bagi menyara hidupnya bersama seorang anak lelakinya berusia 34 tahun yang lembam dan tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).

Menceritakan keperitan hidupnya, Fazilah berkata, semuanya bermula pada 2002 selepas rumah setinggan yang diduduki keluarganya di Kampung Bukit Botak, dekat sini, dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk projek pembangunan.

metro/-

BMW, rumah milik Timb Pesuruhjaya PAS Johir terbakar, dipercayai perbuatan khianat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Sebuah kereta mewah milik Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat di rumah miliknya di Taman Universiti, Gelang Patah, Johor, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi tadi turut mengakibatkan bahagian bawah rumah Dzulkefly terbakar.

Memetik Harakahdaily, Dzulkefly berkata ketika kejadian berlaku beliau dan enam anggota keluarganya sedang tidur di tingkat atas.

“Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

“Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba yang tiba kira-kira beberapa minit kemudian berjaya memadamkan api daripada terus marak.

Ekoran kebakaran itu kereta BMW miliknya itu hangus manakala bahagian ruang tamu tingkat bawah juga turut terbakar.

“BMW keseluruhannya hangus, sebuah lagi kereta Camry yang diletak disebelahnya, separuh terbakar tapi saya rasa masih boleh dibaiki.

“Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya sambil memaklumkan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mazlan Aliman dalam respon segera kepada The Malaysian Insider berkata beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.

“Kereta dalam garaj dipercayai disimbah minyak meletup. Api marak ke ruang tamu.

“Beliau dan ahli keluarga sempat keluar ikut pintu belakang. Botol minyak tanah lima liter ditemui,” katanya.

malaysian insider/-