27 January 2012

Penerima BR1M Parlimen Pandan Kesal Tunggu Terlalu Lama Untuk Dapatkan Bantuan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan Parlimen Pandan mengeluh kerana terpaksa menunggu terlalu lama sebelum dapat menuntut wang masing-masing.

Penerima bantuan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah kesal kerana selain terpaksa berbaris panjang dalam keadaan panas terik, pihak penyelaras juga dikatakan gagal menguruskan pemberian bantuan tersebut secara sistematik sehingga menyusahkan penerima terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Seorang penerima bantuan, Daud Ghani, 64, berkata beliau hanya dapat menuntut bantuan itu selepas lebih empat jam kerana terpaksa mengharungi empat peringkat yang menyusahkan.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan dengan bantuan ini tetapi kita kesalkerana cara pengagihannya menyusahkan orang ramai. Mula-mula kita dimintaberatur di sini, kemudian di tempat lain pula.

"Ramai yang mengeluh kerana terpaksa berbaris panjang sebelum dapat memasukidewan sekolah untuk menuntut wang masing-masing. Sepatutnya jangan ada banyaksangat tapisan kerana kita bawa surat pengesahan yang menyatakan kita memanglayak mendapat bantuan ini," katanya, Jumaat.

Sehubungan itu, Daud yang merupakan pesara swasta, mencadangkan agar pemberian bantuan itu dipermudahkan terutama warga emas yang tidak sihat dan tidak dapat mengambil bantuan itu sendiri.

"Saya cuba untuk mengambil bantuan itu bagi pihak bapa saya kerana beliau tidak sihat tetapi pegawai yang bertugas memaklumkan perkara ini akan disemak dan akan menghubungi saya kemudian.

"Pada pendapat saya, kalau dokumen yang diserahkan itu sah, masukkan sahajawang tersebut ke dalam akaun. Kenapa tidak dipermudahkan kerana bagi mereka yangtidak sihat, sukar untuk mereka beratur dan menunggu terlalu lama," katanya. -BERNAMA

Penguatkuasa MBMB parah diserang Tonto

IBU mangsa, Fatimah Atmo, 66, (kanan) sebak selepas melihat keadaan anaknya, Azizan Abbas,26, di Hospital Melaka yang cedera tangan kanan selepas diserang sekumpulan 30 lelaki samseng ketika sedang melakukan serbuan ke atas sebuah kafe siber haram di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Kandang, dekat sini, lewat malam semalam. - Foto Rasul Azli Samad /BH

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA TENGAH: Seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)parah, manakala empat lagi cedera selepas diserang sekumpulan 40 lelaki dipercayai Tonto ketika sedang melakukan serbuan ke atas sebuah premis judi haram di Taman Seri Duyong, Duyong, dekat sini, kira-kira jam 11.40 malam tadi

Azizan Abas, 28, parah selepas ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai jenis pisau jenis Rambo pada bahagian lengan kanan, manakala empat rakannya pada bahagian muka dan badan akibat dibelasah dengan kayu, rotan dan besi.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka sejurus selepas kejadian. Sehingga lewat pagi ini, mangsa yang parah dalam keadaan stabil manakala empat rakannya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan lanjut pagi tadi.

Ketua Operasi MBMB, Mutahir Ab Rasid, berkata, laporan mengenai kejadian itu di buat di Pondok Polis Hospital Melaka sejurus kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md Yunos Husin ketika ditemui selepas melawat semua mangsa tonto terbabit di Hospital Melaka, pagi tadi mahu polis segera menyiasat kejadian itu serta mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah, Zainal Abu dijadual melawat mangsa kira-kira jam 2.30 petang ini, selepas Azizan selesai menjalani pembedahan.

ABU milik rakyat

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
che'GuBard

Seminggu ini ABU atau Asalkan Bukan Umno telah menjadi perhatian. Bermula dengan insiden serangan bersifat perkauman terhadap Ceramah ABU di Dewan MBSA, Seksyen 30, Kg Jalan Kebun, Shah Alam sehinggalah kenyataan terbuka oleh S.Jayathas yang selepas itu diketahui bertindak atas arahan P. Utayakumar yang merupakan pimpinan Hindraf yang telah menubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Hak Asasi Manusia Malaysia.

Ditegaskan sejak awal ABU bukan sebuah organisasi atau jauh lagi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. ABU ialah mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan hakikat banyak masalah negara ini berpunca dari sebuah parti yang dicipta oleh penjajah iaitu United Malay National organisation (Umno). Seingat kami sentimen ABU ini mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan DSAI dan kemudian diporpularkan oleh Hishamuddin Rais melalui blog Tukar Tiubnya.

Namun bermula beberapa bulan lepas beberapa organisasi seperti SAMM, SABM, PSM, PRM dan banyak lagi juga tidak ketinggalan beberapa organisasi mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendirian telah bergabung dan bersetuju menghidupkan kempen ABU untuk menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno dan Barisan nasional khususnya dalam PRU akan datang.

Kempen ABU ini menggariskan 3 perkara kenapa perlu rakyat menolak Umno iaitu

Isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat juga sebagai senjata untuk mengalihkan isu apabila satu isu besar muncul dalam negara.

Isu Lynas diangkat kerana isu ini menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal

Isu - isu ini diangkat kerana ia isu yang dekat dan mudah difahami oleh rakyat. Isu ini juga bersifat fundimental dan dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan. Selain itu isu seperti keadilan asas dan sistem perundangan juga menjadi tumpuan.

Telah dipersetujui ABU tidak akan punya struktur tetapi hanya penggerak terdiri dari organisasi atau individu sekutu yang bersama dengan sentimen ABU. Maka tidak ada ketua cuma yang ada kemungkinan penyelaras berdasarkan keperluan program.ABU tidak ada hak cipta semua orang boleh bergerak atas ABu tetapi jika bersekutu bersama impaknya akan lebih berkesan.

Semua orang boleh buat t-shirt ABu atau apa sahaja bahan mempromosi ABU tanpa izin sesiapa. ABU milik rakyat.

Menyentuh mengenai Hindraf yang kononya menarik sokongan dari ABU dan kemudian dinafikan oleh Penyelaras Kebangsaannya Sambulinggam dan pimpinan dalam buangannya Waythamoorthy yang menyatakan Hindraf terus bersama ABU dan semua pihak yang menentang Umno dan Barisan Nasional. Menurut mereka kenyataan tidak bersama ABU itu cuma pendapat peribadi Uthayakumar.

Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU kami tidak berminat dengan apa yang jadi dalam mana - mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat. Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana - mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno.

Terbaru juga komen Wan Farel, Penyelaras Segmentasi Mahasiswa dalam isu melibatkan KUIN di Kedah yang sedikit dilihat menyerang Menteri Besar PR Kedah yang kemungkinan dilihat agak kontradik dengan kempen ABU yang didokong SAMM. SAMM secara penuh menyokong kenyataan Wan Farel dan menganggap ia pendirian SAMM secara rasmi.

Perlu ditegaskan dokongan SAMM terhadap ABU bukan 'cek kosong' kepada yang melawan Umno. Sokongan dan sentimen ABU berdasarkan prinsip. ABU ialah sentimen kesedaran rakyat yang ingin melihat Umno tumbang kerana keangkuhan mereka dipuncak kuasa. Namun jika mana - mana pihak khususnya yang baru berkuasa sedikit melakukan perkara yang sama maka sewajarnya ditolak.

ABu ialah milik rakyat. ABU bukan cerita siapa nak jadi YB tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menefestasi dalam PRU akan datang Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Road show ABU dan program - program berimej ABU akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari masa ke semasa.

Program yang terdekat ialah Ceramah Umum memperkenalkan ABU di NS, 28 Januari 2012, 8.45 malam di Taman Seremban Selatan akan menampilkan pemimpin politik, pemimpin NGO dan aktivis masyarakat. Semua dijemput hadir.
-------------------------------
che'GuBard adalah Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

PAS anjur himpunan generasi guru bermaruah Ahad ini

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-

JOHOR BAHRU, 27 Jan: PAS akan mengadakan perhimpunan Generasi Guru Bermaruah 2012 bagi mendekatkan lagi mereka dengan golongan guru di negara ini.

Program yang dipelopori oleh Cikgu Normala Sudirman (gambar), bekas calon PAS pilihanraya kecil Tenang ini dijangka akan mengumpulkan 1,000 guru di Dewan Pusat Tarbiyyah PAS Parit Pechah, Muar, Johor.

Ia akan diadadakan Ahad 29 Januari ini dengan pelbagai pengisian.

Normala dalam kenyataannya berkata, warga pendidik memainkan peranan sangat penting dalam menggerakan aktiviti bersifat kemasyarakatan.

Golongan ini juga sangat dekat dengan masyarakat dan sangat dihormati justeru peranan yang disumbangkan dalam membentuk masyarakat selama ini.

Oleh itu, katanya, sekiranya tenaga mereka dapat digarap dengan tanzim yang tersusun, ianya mampu memberikan kesan yang amat besar dalam gerakan dakwah dan politik yang diperjuangkan PAS selama ini.

Program yang bertemakan 'Bangkit Guru Untuk Rakyat' ini akan diserikan dengan pelbagai kertas kerja yang akan dibentangkan oleh tokoh pendidik dari PAS.

Antaranya Dr. Mahfodz Mohamad, Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, yang merupakan bekas pensyarah kanan Universiti Malaya.

Turut terlibat adalah Datuk Abu Bakar Bin Chik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Dr. Halimah Bin Mohd Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan pidato perdana dan ceramah sempena perhimpunan guru ini.

Antara penceramahnya adalah Dr Mahfodz, Datuk Adnan Bin Ibrahim (Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan Cikgu Normala sendiri.

Rombakan kecil suntik semangat baru

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rombakan itu tidak memberi masalah kepada PAS memandangkan Islam adalah relevan dan bukan hanya membabitkan portfolio Hal Ehwal Agama Islam semata-mata.

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad menegaskan rombakan kecil portfolio Exco kerajaan negeri baru-baru ini berjaya menyuntik semangat baru agar PAS negeri melipatgandakan usaha bagi menambah sokongan rakyat terhadap parti.

Beliau berkata rombakan itu tidak memberi masalah kepada PAS memandangkan Islam adalah relevan dan bukan hanya membabitkan portfolio Hal Ehwal Agama Islam semata-mata.

Dalam rombakan kecil pada 18 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam manakala Exco baru, Dr Abdul Yunus Hairi diberi portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

“Rombakan kecil itu sedikit pun tidak menjejaskan peluang PAS untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti,” tegas Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam pada sidang media di Pejabat Khidmatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun PAS tidak memegang jawatan exco agama, ia tidak menjejaskan parti memandangkan PRU ke 13 semakin hampir.

PAS ganti Umno

“Kita akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan insya’Allah akan menang 20 kerusi itu melalui kepimpinan PAS negeri yang baru ini. Tema kita ialah PAS ganti Umno.

“Tindakan Menteri Besar mengambil alih portfolio itu dan memberi PAS exco belia dan sukan memberi ruang yang luas untuk kita terokai bagi meningkatkan sokongan.

“Ia bukan satu masalah. Islam ini bukan hanya tentang exco Hal Ehwal Agama semata-mata…..tapi semua adalah relevan,” terang beliau.

Sebelum rombakan kecil itu, Adun Gombak Setia dan juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hasan Ali memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Sokongan terhadap PAS semakin utuh

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman menyifatkan sokongan orang Melayu kepada PAS semakin utuh.

Keyakinan ini turut disokong oleh Ketua Pemudanya, Hasbullah Mohd Ridzuan yang menyatakan bahawa tanggungjawab baru yang digalas Dr Yunus akan menyerlahkan PAS dalam cabang berbeza.

“Kita menjangkakan sokongan dan undi untuk PAS akan bertambah dan bukan semakin kurang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS negeri Khairuddin Othman berkata, pihaknya menerima laporan dari 22 kawasan bahawa prestasi parti tidak akan terjejas ekoran tindakan Hasan Ali yang kini hebat mengkritik parti sejak dipecat.

Menurut beliau, jentera PAS negeri semakin kuat dan usaha menghadapi PRU sedang dipertingkat sekaligus mematikan andaian bahawa parti akan lumpuh dengan serangan Hasan Ali.

“Mereka yang rasa PAS akan lumpuh itu silap. Kami tumpu pada gerak kerja yang ramai. Malah mesyuarat merekodkan sokongan penuh kepada PAS Selangor dan Pusat.

“PAS Selangor akan terus stabil sepertimana yang sedia ada,” ujarnya.

free malaysia today/-

Majoriti rakyat AS bosan, mahu buang anggota Kongres

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEW YORK - Sementara Amerika Syarikat (AS) dilihat berpecah hampir dalam kebanyakan isu, kebanyakan rakyat negara itu bersetuju dalam satu perkara pokok - mereka sudah bosan dengan Kongres.

Kebanyakan pengundi yang ditemui, walaupun dari parti yang berlainan, mahu menukar setiap anggota dalam Kongres, jika ada opsyen untuk berbuat demikian.

Sekitar 56 peratus pengundi berdaftar berkata mereka akan mengundi keluar setiap anggota Kongres jika ada ruang untuk berbuat demikian.

Perkembangan itu, yang diperoleh menerusi hasil kajian NBC dan WSJ, merupakan respons paling tinggi memihak kepada soalan sejak ia kali pertama ditanya pada Mac 2010.

Dan, pandangan itu merentasi spektrum ideologi dengan 55 peratus golongan liberal, 55 peratus golongan sederhana dan 58 peratus konservatif mempunyai pandangan yang sama, lapor portal msnbc hari ini.

"Kami mendapati satu aspek di mana kesemua rakyat di negara bersetuju," kata pengendali kajian parti Republikan, Bill McInturff, yang menjalankan pungutan suara bersama Demoktrat Peter D. Hart.

McInturff berkata, memandangkan tahap populariti ke atas Kongres terus berada di paras rendah dengan 13 peratus buat masa sekarang, kesemua anggota berhadapan dengan risiko ditendang keluar dalam pemilihan, dijadualkan akhir tahun ini.

Pun begitu, anggota-anggota Republikan juga berhadapan dengan amaran sedemikian.

Kebanyakan rakyat berpandangan bahawa GOP membawa perubahan yang salah di Kongres (31 peatus) berbanding kumpulan mereka yang bersetuju (12 peratus).

Ia memperlihatkan satu penurunan bagi GOP berbanding setahun yang lalu, sejurus selepas mereka menguasai Dewan Perwakilan pada pemilihan pertengahan separuh penggal 2010.

Pada Januari 2011, seramai 25 peratus anggota Republikan berpandangan mereka akan membawa perubahan yang betul berbanding 20 peratus yang berpandangan sebaliknya.

Perkembangan sikap ini juga sangat jauh berbeza berbanding situasi apabila Demokrat menguasai Dewan Perwakilan pada 2006 (42 peratus / 15 peratus) dan Republikan menguasai majoriti pada 1994 (37 peratus / 11 peratus).

"Rakyat mahu Kongres melakukan sesuatu, bertindak dengan bertanggungjawab dan membetulkan ekonomi," kata McInturff sambil menambah, jika tidak "mereka boleh berhadapan dengan risiko."

SINAR HARIAN/-

Orang Cina Ada Sebab Kukuh, Mengapa Kena Pangkah “Bulan”!

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kemaman - Walaupun datang dari keluarga penyokong kuat parti MCA, Vincent Lee menyeru seluruh rakyat khususnya kaum Tionghua Terengganu agar memilih PAS dengan memangkah simbol “bulan” pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Beliau berkata ayah dan datuknya adalah ahli seumur hidup MCA, namun menurutnya beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan kerana prinsip-prinsip agama Islam merangkumi semua aspek kehidupan.

Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat itu menjelaskan, DHPP adalah “jambatan” penghubung antara PAS dengan bukan Islam.

“Saya sendiri datangnya dari keluarga parti MCA. Ayah dan Datuk saya ahli seumur hidup MCA. Sejak tahun 2004, saya menyertai Kelab Penyokong PAS dan peranan kita sebagai “jambatan” kepada parti PAS dengan kaum bukan Islam," ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Kaum Tionghua yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di Kampung Dusun Nyior, Chukai, pada Rabu 23 November lalu.

Vincent Lee berkata, rakyat dan pengundi hari ini mempunyai sebab kukuh untuk memilih PAS pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, peluang kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara selama lebih 50 tahun boleh dinilai dan rakyat mesti memberi peluang kepada Pakatan Rakyat

“Pesanan saya satu sahaja kepada rakyat pangkah bulan (PAS) dalam pilihan raya akan datang. Kita (rakyat) kena pangkah bulan dan ada sebab cukup kukuh kenapa kena pangkah bulan, itu yang paling penting.

“Sebab dalam tempoh 50 tahun Barisan Nasional memerintah terlalu banyak kepincangan dan penyelewengan.

“Sekurang-kurangnya, beri Pakatan Rakyat satu penggal dan jika kita (Pakatan Rakyat) tidak betul, anda (rakyat) boleh undi mana-mana parti yang anda suka. Beri peluang kita mentadbir negeri dan negara,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan menjelaskan selagi Pakatan Rakyat tidak berjaya menguasai “Putrajaya” banyak perkara tidak boleh dilaksanakannya.

Katanya, kuasa memerintah di Putrajaya boleh merubah segala-gala hasrat dan cita-cita kerajaan Pakatan Rakyat.

“Kita(Pakatan Rakyat) sepatutnya diberi peluang memerintah. Selagi kita tidak ‘menjejakkan’ kaki ke Putrajaya, dalam aspek negeri amat terhad sekali. Sebab banyak ‘kuasa’ berada di Putrajaya.

“Contohnya, harga barangan seperti minyak tidak boleh diturunkan di peringkat negeri tetapi boleh jika menguasai peringkat pusat. Selagi Pakatan Rakyat belum berpeluang menjejak kaki ke Putrajaya perkara itu tidak dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau mengakui, kaum Tionghua telah banyak berubah dan tidak lagi 'phobia' kepada PAS dan agama Islam.

Menurutnya, sebelum ini orang Cina takut kerana mereka tidak mendapat maklumat yang sebenarnya tentang PAS dan Islam.

“Sebelum ini, kaum Cina takut sekali dengan parti PAS dan yang paling asas sekali ‘ketakutan’ mereka mengenai makanan, kebudayaan dan agama.

“Kita (DHPP) yang memperkenalkan isu-isu, dasar dan prinsip-prinsip sebenar mengenai maklumat yang lebih tepat tentang parti PAS,” ujarnya

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah MTD Chukai, Hanafiah Mat dan Naib Ketua DHPP Terengganu, Lip Woon Chang. -BuletinOnline

Rosmah jejas persiapan PRU-13 Najib?

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Analisis

Isu kemewahan hidup isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hangat kembali dan terkini isu perbelanjaan mewah Rosmah semasa di Sydney, Australia didedah akhbar negara itu.

Meskipun sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang giat dalam program turun padangnya ke negeri-negeri bagi mempersiapkan jentera pilihan raya, namun pendedahan Sydney Morning Herald menjejaskan imej Najib.

Satu artikel dalam akhbar Australia Sydney Morning Herald tulis kolumnis Andrew Hornery yang menggelar Rosmah sebagai "First Lady of Shopping' kerana dikatakan telah membelanjakan RM300,000 membeli-belah di butik mewah pereka fesyen di Sydney, Carl Kapp.

Kolumnis itu dalam satu kenyataanya mempertahankan dakwaannya bahawa Rosmah membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney?

"Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya.

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Sebelum ini, Rosmah ada menyatakan penafiannya tentang dakwaan itu dan menggelarkan dakwaan itu sebagai satu tuduhan liar.

Rosmah mendapat perhatian masyarakat sejak Najib menjadi Perdana Menteri.Kehidupan mewahnya diperkatakan khalayak selain didakwa banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat Najib dalam isu-isu dasar kerajaan.

Ramai yang tidak senang dengan kelibat Rosmah selaku wanita pertama yang dilihat terlalu menonjol bukan dengan imej positif, sebaliknya dengan imej yang menggoyahkan imej Najib.

Isu perbelanjaan mewahnya semasa menginap disebuah hotel di Dubai seperti yang didedahkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali turut menjadi bulana umum.

Azmin mendakwa, kos penginapan Najib dan Rosmah di hotel mewah Atlantis di Dubai lebih RM100,000 hanya untuk semalaman.

Rakyat turut dimaklumkan, jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isterinya dari tahun 2008 hingga 2011 iaitu dimana mereka membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.

Memetik keratan sebuah akhbar Australia pula, seorang wanita Pertama yang tidak dinamakan turut membelanjakan A$150,000 (RM487,000) bagi membeli mutiara di gedung mewah di sana.

Kesempatan membeli belah itu diambil ketika Najib dan isterinya, yang juga menggelarkan dirinya ‘Wanita Pertama Malaysia’ berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Antara yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

Ekoran daripada itu, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan membeli cincin berlian berharga RM24 juta, terus menerima kritikan.

Dalam pada itu, pada 31 Ogos lalu, Najib dilaporkan sebuah akhbar telah bercuti ke Perth (Australia) dengan menaiki pesawat rasmi Kerajaan Malaysia nombor pendaftaran 9M-NAA.

Menurut laporan tersebut, pesawat tersebut yang berlogokan 1Malaysia dimiliki oleh Jet Premier One (M) Sdn Bhd, anak Syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) iaitu sebuah entiti milik Kerajaan Malaysia melalui pegangan saham oleh Khazanah Nasional Bhd.

Jumlah kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia pada Hari Kemerdekaan, tahun ini berjumlah RM9.1 juta.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Katanya, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat."

Rosmah juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan kemasukan cincin buatan Jacob & Co pada harga RM24 juta.

Kemasukan barangan diatasa nama Rosmah Mansor itu didedahkan oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharim yang katanya mendapat maklumat daripada sumber Kastam.

Rosmah menafikan pembelian cincin itu dan menyatakan ianya sekadar untuk pameran sulit di suatu lokasi yang dirahsiakan dan telahpun dihantar ke Singapura.

Walaupun Rosmah menafikannya, namun hingga kini perisytiharan keluarnya barangan itu kononnya ke Singapura masih menjadi tandatanya.

Selain itu, Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin pula ada mendedahkan dakwaan kononnya Rosmah memperoleh wang bagi membeli sekurang-kurangnya 11 beg tangan mewah jenama Birkin.

Zuraida berkata, sekiranya anggaran kasar, Rosmah membelanjakan minima RM638,000 hingga maksima RM5,192,000 untuk membeli beg tangan berkenaan.

Kini nama Rosmah meniti semula dibibir masyarakat selepas Shahrizat 'remuk' dibelasah kerana skandal kelemahan projek NFC yang dikendalikan oleh suaminya, Dato' Seri Mohammad Salleh.

Rosmah dilihat sukar berperang dengan akhbar luar negara apabila setiap dakwaan yang dihadapinya hanya mampu dinafikan tanpa mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berpengkalan di Sydney itu.

Apakah sebenarnya yang berlaku, pastinya tindakan 'penafian' tidak cukup untuk menggambarkan Rosmah benar-benar tidak melakukan apa yang didakwa akhbar Sydney itu.

Sebaliknya seperti kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, Rosmah harus mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berkenaan, dan sekiranya tidak, ia mendatangkan interpretasi bahawa dakwaan akhbar itu benar.

Lebih penting lagi, apakah serangan ke atas Rosmah ini sebenarnya menggugat 'nama baik' yang sedang dirintis Najib bagi menghadapi pilihan raya umum, ramai veteran Umno-BN melihatnya sebagai suatu 'beban' kepada Presiden Umno itu.

Rakyat sedang menantikan tindakan Rosmah mahupun Najib, dan ramai yang mahu agar isu itu bukan sekadar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa siasatan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika gagal diatasi, ianya pasti boleh merencatkan keghairahan Najib dalam menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Harakah Daily

Syed Husin saman Utusan, Zulkifli Noordin RM10 juta

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 27 Jan: Senator Dr Syed Husin Ali memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Syed Husin yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan Edwin Lim Suren and Soh.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk AbdulAziz Ishak dan Zulkifli sebagai defendan.

Syed Husin juga mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lalu berjudul ‘Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin’.

Artikel itu pada asalnya dipetik berdasarkan tulisan Zulkifli dalam blog beliau bertajuk ‘Anjing-anjing pencen’ yang mendakwa Syed Husin berbohong dan mengamalkan rasuah, ketika mengulas buku ‘Memoir Perjuangan Politik’ yang ditulis ahli politik itu.

Antara lain artikel itu mendakwa Syed Husin bersetuju sekiranya mengosongkan kerusi Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji menawarkan jawatan dalam mana anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor dengan imbuhan bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000 sebulan.

Sehubungan itu, Syed Husin menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain dan juga perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Syed Husin ketika ditemui pemberita berkata, artikel tersebut mengambarkan seolah-olah beliau ‘seorang hiprokit’ , ‘tidak layak menjadi ahli politik, menikam rakan-rakan parti, tidak berprinsip dan tidak layak memegang jawatan Timbalan Presiden KEADILAN.

“Tindakan menerbitkan artikel itu bukan sahaja memalukan saya, tetapi memalukan akhbar tersebut, di mana integriti mereka sehingga sanggup memaparkan berita fitnah.

“Ia memalukan negara, sepatutnya akhbar mesti bebas melaporkan berita yang betul, bukannya fitnah dalam unsur politik bagi mempertahankan sesebuah kuasa,” katanya.

Keadilan Daily

Saksi NFC akan bekerjasama dengan KEADILAN- Zuraida

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 27 Jan: Saksi penting National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail akan memberikan kerjasama kepada KEADILAN bagi mendedahkan lebih banyak penyelewengan dalam skandal itu, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Shamsubahrin sebelum ini didakwa menjadi mangsa kambing hitam apabila dituduh merasuah anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes tersebut.

Beliau hari ini berdepan pula dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana didakwa menipu seorang pemandu teksi dan kes melibatkan isu membekal pembantu rumah.

“Kita nampak (pertuduhan) ini usaha mendiamkan Shamsubahrin, menakutkan beliau agar tidak memberi kerjasama kepada kita.

“Jadi sekarang Shamsubahrin akan bekerjasama dengan kita dan mendedahkan (skandal NFC) kepada kita,” kata Zuraida.

Beliau berkata demikian selepas menemui Shamsubahrin yang kini dirawat di Hospital Tunku Ampuan Rahimah bersama Naib Presiden KEADILAN, Surendran dan Pengarah Biro Guaman, Latheefa Koya.

Pagi tadi, Shamsubahrin didatangi dua majistret dan timbalan pendakwa raya di wad berkenaan untuk mendakwa beliau atas dua pertuduhan menipu.

Menurut Zuraida, beliau percaya ada usaha dan tekanan dari pihak pengurusan NFC yang mahu Shamsubahrin dikenakan tindakan terhadap pertuduhan lain.

“Ada arahan-arahan dari pihak NFC yang beliau tidak mahu laksanakan, maka beliau diperangkap dan ditangkap.

“Mereka (majistret) tak perlu terdesak begini. Ia boleh dibuat kemudian,” katanya.
KEADILAN sebelum ini mendedahkan Shamsubahrin diberikan cek bernilai RM1.755 juta oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk merasuah polis dan SPRM yang menyiasat NFC.

Beliau bagaimana pun menjadi kambing hitam apabila ditahan atas dakwaan cuba menipu Mohamad Salleh.

Keadilan Daily

Kilang komponen pendingin hawa musnah terbakar

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sebuah kilang membuat komponen pendingin hawa di Seksyen 15 di sini, musnah dalam kebakaran, kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Difahamkan tiga daripada empat blok bangunan kilang ini musnah dan tidak dapat diselamatkan.

Menurut pekerja, Winzho Moy, 25, dia yang ketika itu bersama 39 lagi rakannya sedang melakukan kerja rutin seharian.

Katanya, dia terpaksa berkaki ayam berlari menyelamatkan diri kerana api sedang marak.

Sinar Harian

Tiada puntianak di Menara Condong

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

INILAH imej puntianak yang didakwa dirakam di Menara Condong Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

TELUK INTAN – Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai penyebaran imej puntianak yang kononnya dirakam di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua (YDP) MPTI, Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya percaya imej entiti tersebut yang sekarang ini berleluasa disebarkan di laman rangkaian sosial, Facebook dan blog tidak sahih dan sengaja disensasikan.

Beliau juga kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka cerita cuba mengaitkan imej puntianak itu dengan kisah seorang wanita yang kononnya membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas Menara Condong Teluk Intan beberapa tahun lalu.

“Wanita yang dikatakan mati membunuh diri itu hanya cerita sensasi yang sengaja direka-reka untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya kesal kerana penyebaran foto yang diragui keasliannya itu kerana ia boleh memberi imej negatif kepada Menara Condong Teluk Intan yang merupakan antara ikon pelancongan terkemuka Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Ibrahim berharap masyarakat umum dapat membuat penilaian dengan baik berhubung penyebaran imej puntianak terbabit dan tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita mengarut itu.

Kosmo

Penggodam sasar laman web hospital, akhbar Israel

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS: Penggodam semalam menggendalakan laman web sebuah hospital dan akhbar utama Israel serta laman rasmi festival budaya rejim itu.

Ia serangan siber terbaru yang bermotifkan politik terhadap laman Internet Israel.

Akhbar Haaretz melaporkan, lamannya digodam oleh kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Anonymous Palestine.’ Laman web Hospital Tel Hashomer juga disekat selama beberapa jam setelah ia menerima ribuan mesej dari luar negara, kata jurucakap hospital itu. - AP

Wang BR1M terus menjadi pertikaian

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MIRI, 27 Jan: Isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 yang sepatutnya diterima oleh mereka yang layak terus menjadi pertikaian ramai.

Ramai antara mereka yang layak tidak menerima kerana pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

Antaranya berlaku dekat Miri ini.

"Kita mendapat aduan dari orang ramai yang mengatakan cara pengagihan wang tersebut seolah-olah ada unsur-unsur politik dimana mereka yang sepatutnya layak tidak dapat menerima bantuan tersebut dengan berbagai-bagai alasan diberi," kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee.

Menurut beliau, salah seorang mengadu kepada pihaknya adalah Zainal Tar.

Beliau yang sepatutnya layak mendapatnya kerana mempunyai ramai anak dan bekerja sendiri dengan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan stabil.

Zainal sudah dua kali pergi ke LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk semak pemohonan BR1M tetapi telah ditolak dengan alasan anak pemohon sudah berkahwin dan pernah memohon BR1M bagi pihak keluarganya.

Menurut Zainal, beliau telah diberitahu oleh pegawai yang bertugas di LHDN, kononnya anak perempuan beliau sudah mendapat pemohonan tersebut jadi beliau tidak layak untuk mendapatkannya lagi.

Yang peliknya, apabila beliau pergi ke pejabat LHDN ternyata nama pemohon tidak sama dengan nama anak perempuannya tetapi memiliki nombor kad pengenalan/MyKad yang sama.

Satu hal lagi, anak perempuannya belum berkahwin dan masih bersekolah tetapi nama pemohon yang mempunyai nombor MyKad yang sama dengan anaknya.

"Macamana perkara ini boleh berlaku? Nama yang berlainan tetapi mempunyai nombor MyKad yang sama.

"Kita mendesak agar pihak JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan juga LHDN menyiasat perkara ini agar mereka yang sepatutnya layak menerima sumbangan BR1M tidak terpinggir kerana ada kesilapan dalam nombor MyKad," kata Jofri.

Menurut Jofri, pihaknya amat simpati akan nasib penduduk yang tidak memiliki MyKad yang sudah pasti tidak layak untuk menerima sumbangan tersebut.

"Apa tindakan kerajaan lakukan terhadap mereka ini?" tanya beliau.
Dengan kejadian yang berlaku, beliau bimbang kalau-kalau isu kad pengenalan ini juga akan menjadi isu penting dalam pilihan raya nanti.
"Kita harap parti yang memerintah, jangan menggunakan BR1M ini sebagai umpan untuk menarik perhatian rakyat agar menyokong mereka dalam pilihanraya umum ke13 nanti.

"Mereka hendaklah ikhlas dalam memberi BR1M ini kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, semua ini adalah wang hasil dari pembayar cukai maka seharusnya parti pemerintah jangan mengatakan bahawa wang BR1M ini hak mereka kerana semua ini adalah sumbangan dari pembayar cukai kepada rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan.

Harakah Daily

Sekat bantuan pengajian agama untuk kurangkan ulama

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DUNGUN, 27 Jan: Tindakan kerajaan Umno Terengganu menyekat bantuan kepada para pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang pengajian agama adalah sebenarnya mahu menyekat kelahiran ulama.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah (gambar) berkata, ketiadaan ulamak akan menyebabkan rakyat jahil dan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri Terengganu yang tidak lagi sedia memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang mahu mengambil jurusan agama di luar negara khasnya ke timur tengah.

“Apabila ulama meninggal dunia, maka sedikit demi sedikit ilmu hilang dari masyarakat dan manusia menjadi jahil.

“Apabila masyarakat jahil kerana tiada ilmu, iman tdak ada (dan manusia) tidak takut kepada Allah SWT,”ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penerangan di Kampung Pak Sabah di sini, semalam, Selasa 24 Januari.

Menurutnya, pada ketika itu, manusia akan menganggap, tidak salah melakukan rasuah dan tidak apa melakukan zina.

Oleh kerana itu, beliau berkata, kerajaan Umno Terengganu cuba menyekat kelahiran ulamak dengan mengahalang para pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di bidang ugama.

Beliau mengumpamakan tindakan Umno itu cuba mengeringkan punca air di empangan supaya air akan berhenti mengalir.

“Dia (Umno) nak mengeringkan punca air, apabila empangan kering dengan sndirinya air yang mengalir kering, inilah yang umno buat sekarang.

“Bila dia tidak beri bantuan kepada orang (yang) mengaji ugama, yang mahu pergi (melanjutkan pelajaran) ke Yaman, Mesir, Jordan, dengan sendirinya ulamak akan berkurangan,”jelasnya.

Katanya, sifir Umno adalah, apabila ulama berkurangan, rakyat akan menjadi jahil dan akan menentang Islam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu berkata, ilmu-ilmu ugama turut menjadi semakin berkurang apabila ulamak tidak amanah dengan ilmunya.

Katanya, adalah satu perkara yang amat pelik apabila ada ulamak yang tidak amanah memberikan perakuan bahawa Menteri juga layak menerima wang zakat.

Sedangkan, kata beliau, perkara tersebut telah dijelaskan dalam zaman Syaidina Omar al-Khattab, mana-mana individu yang telah menerima wang daripada Baitul-Mal adalah haram nenerima zakat.

“Kalau dia sudah ada gaji, sudah ada elaun, maka zakat tidak boleh diberikan lagi,”katanya ketika mengulas isu Menteri Umno/BN yang menggunakan zakat untuk membiayai kos guaman.

Harakah Daily

Pastikan keselamatan Datuk Shamsubahrin - PKR

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KLANG, 27 Jan: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang didakwa atas tuduhan menipu baru-baru ini berada dalam keadaan tidak selamat dan perlukan perlindungan sepenuhnya.
(Zuraidah dan Surendran ketika bercakap kepada wartawan)

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dalam sidang media hari ini mendakwa, Samsubahrin yang merupakan saksi utama dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan didakwa atas dua pertuduhan menipu dilihat menjadi "kambing hitam" kepada skandal tersebut bagi menutup kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

"Apa yang kita lihat sekarang Samsubahrin telah dianiayai oleh pihak tertentu bagi menutup kepincangan yang berlaku di dalam NFC, malah beliau juga telah dijadikan 'kambing hitam' bagi menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain," jelasnya.

Baru-baru ini, Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibunegara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Baru-baru ini, Pengerusi NFC mendakwa, bekas kakitangannya adalah antara pihak yang terlibat membocorkan rahsia NFC.

Dalam sidang media hari ini, Zuraida memberitahu, sewaktu Samsubahrin diminta untuk menghuraikan segala kucar kacir di dalam akaun NFC, pihak NFC berharap beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya tetapi Samsubahrin tidak bertindak seperti apa yang mereka kehendaki.

"Melihat kepada tindakan Samsubahrin yang tidak mahu mengikut seperti apa yang dikehendaki, mereka mula memerangkap beliau dengan tuduhan-tuduhan menipu.

"Kami beranggap Samsubahrin adalah saksi yang penting dan kita mengharapkan keselamatan beliau dapat dijaga serta diberi perlindungan sepenuhnya.

"Sebab itulah kita akan membuat pendedahan seterusnya agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dan saya pasti pihak berkepentingan akan melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak ketahui," sambungnya lagi.


Sengaja diperangkap

Sementara itu, Peguam N. Surendran yang mewakili Samsubahrin memberitahu beliau mempunyai banyak maklumat berkaitan NFC dan pihak tertentu telah bertindak dengan tuduhan menipu dengan harapan Samsubahrin dapat berdiam diri dari membuat sebarang pendedahan.

"Apa yang kita lihat hari ini adalah suatu yang pelik telah berlaku di mana dalam tempoh ini terdapat dua pertuduhan dikenakan terhadap anak guam saya, Samsubahrin, iaitu yang pertama dari Mahkamah Klang dan yang kedua pula dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

"Beliau tidak mengaku salah keatas kedua-dua tuduhan tersebut dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM9 ribu dan RM2 ribu dan sebutan akan dilakukan pada 27 Februari di Mahkamah Klang manakala pada 1 Mac di Shah Alam," jelasnya.

Tambahnya lagi, melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, ia adalah bermotifkan politik bagi melindungi seseorang.

"Samsubahrin akan membuat laporan polis untuk kali pertama kerana sebelum ini beliau tidak mengetahui apa yang berlaku dan atas alasan tersebut kita telah meminta hakim membenarkan beliau membuat laporan polis terhadap apa yang sebenarnya belaku.

"Hakim dari Mahkamah Klang telah membenarkan beliau membuat laporan dan sekarang pihak polis sedang mengambil laporan darinya, setelah laporan tersebut siap kita (PKR) akan membuat pendedahan mengenai apa yang terkandung dalam laporan tersebut," katanya.

N.Surendren berkata, melihat kepada pertuduhan tersebut ia hanyalah melibatkan kes sivil sahaja dan tidak ada langsung unsur jenayah.

"Ini adalah kes fitnah kerana ia dilihat sebagai cubaan mengganggu tertuduh (Samsubahrin) dan berharap tertuduh berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya mahukan jawapan dari Peguam Negara mengapa kuasa pendakwaan disalahguna seperti ini untuk bertindak menyerang Samsubahrin, adakah kerana beliau mengetahui segala rahsia yang berlaku di dalam NFC," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya ini adalah penganiayaan yang amat serius berlaku terhadap Samsubahrin dan ada pihak yang ingin menutup kes tersebut maka serangan demi serangan dilakukan terhadapnya.

Sebelum itu, beliau yang sepatutnya berada di Penjara Sungai Buloh tetapi dimasukan ke hospital bagi mendapat rawatan untuk penyakit kencing manis dan jantung.

Latheefa Koya juga turut bertindak mewakili Samsubahrin dalam kes tersebut.

Harakah Daily

Himpunan Hijau akan demo bantah Lynas

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Satu gabungan rakyat yang dinamakan Kumpulan Himpunan Hijau akan mengadakan satu himpunan besar-besaran di Kuantan pada 26 Februari ini.

Himpunan Hijau 2.0 dengan tema Langkah Bestari "Pilihan di tangan kita" bertujuan membantah projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, setelah pelbagai usaha menyuarakan pandangan sebelum ini tidak diendahkan kerajaan.

Setiausaha Kumpulan Himpunan Hijau, Bang Seet Ping berkata, pihaknya komited dalam keadilan alam sekitar dan kemanusiaan serta akan berusaha menyelamatkan rakyat Kuantan daripada berhadapan dengan risiko pembinaan LAMP.

"Kita semua adalah rakyat biasa yang mengambil berat masa depan generasi muda kita.

"Kita tidak akan membenarkan kedatangan sebuah syarikat asing yang membahayakan nyawa anak cucu kita. Tanpa persetujuan rakyat, kilang-kilang sedemikian tidak akan dibenarkan untuk beroperasi," kata beliau pada sidang media bersama beberapa pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, Seet Ping berkata, Kumpulan HimpunanHijau mengajak semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan parti politik menyertai himpunan tersebut yang berlangsung dalam keadaan santai.

Ia dijangka berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 pagi.

Henti Lynas

Selain itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan yang bijak untuk memberhentikan projek tersebut sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Jika tidak, rakyat akan menolak mereka yang zalim dan memilih mereka yang bersama rakyat.

"Isu Lynas ini sudah lama diperkatakan. Seluruh komuniti Kuantan terpaksa hidup dalam keadaan tertekan dan tidak selesa. Kita berasa masa dan ruang yang diberikan sudah mencukupi. Berapa lama lagi rakyat harus hidup menderita?" soalnya.

Sebelum ini, HimpunanHijau 1.0 telah diadakan juga di Kuantan pada 9 Oktober tahun lalu dengan kehadiran kira-kira 7,000 ribu rakyat.

Sertai HimpunanHijau 2.0

Sementara itu, pada sidang media sama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru seluruh ahli untuk turut serta dalam himpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap rakyat Kuantan.

"PAS menyokong penuh himpunan aman dan santai ini, dan menyeru ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat untuk turut serta.

"Rakyat negara-negara dunia ke-3 nampaknya kurang peka terhadap hal-hal alam sekitar. Jadi PAS berterima kasih kepada NGO yang bagi kesedaran kepada masyarakat dalam isu ini," kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, permit akan dipohon bagi himpunan tersebut dan berharap polis akan memberi kerjasama.

"Himpunan ini bukan demonstrasi, tidak berarak sebaliknya hanya berkumpul setempat dan akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.

"Tiada perarakan dan tidak akan melibatkan kesesakan lalu lintas, jadi tiada masalah untuk polis beri kebenaran," katanya yang juga Pessuruhjaya PAS Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang komited membawa isu ini di Parlimen pula berharap kerajaan akan membuka mata terhadap suara rakyat ini.

"Kita sudah banyak kali menyuarakan pandangan dan bantahan kerana kesan yang sangat bahaya terhadap penduduk sekitar.

"Jadi kita akan berusaha untuk memastikan projek ini dibatalkan," kata Naib Presiden PKR itu sambil menambah, akan turut mengerah ahli PKR menyertai himpunan tersebut.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifly Omar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Harakah Daily

Yang mustahil masa BN tidak mustahil masa Pakatan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 27 Jan: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, apa yang mustahil di zaman Barisan Nasional, tidak semestinya mustahil di zaman Pakatan Rakyat terutama masalah tanah.

“PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, kita mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

"Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempohi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan. Jika tanpa niat dan kesungguhan, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan,” kata beliau, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub yang mendakwa janji PAS Pahang bahawa setiap rakyat di negeri ini akan mendapat tanah untuk lot rumah sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri pada PRU-13 nanti adalah mustahil dilaksanakan.

Ini adalah kerana Pahang kini hanya mempunyai kira-kira 100,000 hektar atau tiga peratus tanah sahaja yang boleh digunakan daripada 3.6 juta hektar tanah di seluruh negeri.

Membalas kenyataan Adnan, Tuan Ibrahim berkata janji Azam, niat ikhlas dan keyakinan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun belum mendapat hak milik di Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, Tuan Ibrahim berkata PR telah membuat keputusan untuk membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 orang peneroka.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut juga, tambah beliau PR juga telah memikirkan cara untuk membuka kawasan penempatan baru, dan pemberian hak milik kepada penduduk yang mendiami tanah tol sebagai tapak rumah.

“Namun, harus diingatkan, apa yang mustahil di zaman BN, tidak semestinya mustahil di zaman PR. Sudah semestinya, bagi pihak berkuasa yang tiada mempunyai niat dan kesungguhan sedemikian, mereka pasti melihat perkara ini sebagai mustahil dilaksanakan dan ancaman kepada kekuasaan mereka,” tegasnya lagi.

Sebagai contoh perkara mustahil yang didakwa BN yang telah berjaya dilaksanakan PR, kata beliau ialah pemberian tanah kepada rakyat ketika PAS memerintah Terengganu dan juga pemberian air percuma di Selangor, yang didakwa BN bakal membangkrapkan negeri terkaya tersebut.

“Semua dapat dilaksanakan atas niat dan kesungguhan PR,” tegas beliau.

Walaubagaimanapun, Tuan Ibrahim mengakui bukan mudah untuk memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta dan buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan.

Akan tetapi, katanya, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, PAS yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah.

Sebagai perbandingan mudah, Tuan Ibrahim mengambil isu Felda seperti yang tertera di dalam buku Jingga di mana PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan BN yang secara sewenang-wenangnya bersetuju memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun tanpa memikirkan nasib peneroka.

“Kalau kerajaan Pahang Barisan Nasional yang diketuai Adnan sanggup memberikan ribuan hektar tanah kepada pelbagai pihak samada perladangan, perkilangan atau pelancongan, malah tanah kepada tapak kepada sebuah kilang Lynas yang menghasilkan sisa radioaktif yang bakal membawa bala besar kepada rakyat Kuantan dan Gebeng – mampukah PR memberikan tapak rumah kepada rakyat?

"Sudah tentu ya! Walaupun ada niat dan kesungguhan daripada pihak PR, semuanya tidak akan terjadi tanpa niat dan kesungguhan rakyat Pahang untuk berubah. Ayuh rakyat Pahang, berubahlah ke zaman PR untuk ‘Selamatkan Pahang!’” tegas beliau.

Harakah Daily

Anggota bomba pun diugut bunuh

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU - Gara-gara bomba gagal menyelamatkan rumah dan harta benda penduduk daripada musnah akibat kebakaran, seorang anggota bomba pernah diugut bunuh dan dicederakan.

Insiden itu menimpa Ariffin Harris dua kali ketika ditugaskan di Sandakan dan Tawau apabila penduduk di kawasan setinggan marah kerana pasukan bomba gagal mengawal api daripada terus merebak sehingga penduduk berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

"Saya cuba jelaskan kepada mereka misi utama bomba dalam sesuatu kejadian adalah untuk menyelamatkan nyawa. Lagipun, harta benda boleh dicari.

"Saya hampir berputus asa dalam kerjaya saya kerana penduduk tidak mengerti. Tetapi saya terpaksa tabah kerana perasaan kemanusiaan saya terhadap orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Sijil Khas Perkhidmatan 30 tahun dalam Jabatan

Bomba dan Penyelamat sempena Majlis Perhimpunan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini hari ini.

Ariffin, 55, yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan di sini, merupakan salah seorang daripada 35 penerima sijil khas itu.

Beliau tidak menafikan perasaan simpati terhadap penduduk yang hilang tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran.

Namun, selama lebih 35 tahun berkhidmat dalam jabatan itu, beliau kesal masih ramai yang memandang ringan terhadap aspek keselamatan diri dan harta benda, termasuk kecuaian individu tertentu sehingga memberi kesan buruk kepada orang lain.

Terdahulu, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata Sabah tidak terkecuali daripada bencana disebabkan manusia atau 'man-made disaster' dengan mengambil contoh kejadian kereta api penumpang berlanggar dengan sebuah lori pengangkut minyak petrol pada 31 Oktober lepas.

"Walaupun tiada kejadian kehilangan nyawa berlaku, namun kita seharusnya menerima pengajaran penting daripada peristiwa itu.

"Apabila kita selalu tidak patuh kepada amalan yang baik, kita akan terbiasa dengan sikap tidak memberi perhatian kepada perkara penting dalam aspek keselamatan sehinggalah kita ditimpa bencana," katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Nordin Pauzi. - Bernama

Sinar Harian

'Kasino mini' Mount Erskine diserbu lagi, 11 lelaki ditahan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Polis sekali lagi menyerbu sebuah 'kasino mini' yang beroperasi lima kilometer dari kaki bukit Mount Erskine di sini, malam tadi dan menahan 11 lelaki yang sedang asyik berjudi.

Ops Dadu yang diketuai Cif Insp Mohd Rozi Aziz itu bermula pukul 7 malam dan polis mengambil masa lebih lima jam untuk menyerbu kawasan khemah yang dijadikan tempat berjudi berkenaan kerana terpaksa mendaki bukit.

Operasi yang membabitkan seorang pegawai dan 15 anggota Cawangan Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu dilakukan hasil maklumat awam, kata jurucakap polis kepada pemberita, di sini hari ini.

"Pada 6 Januari lepas, kita telah menyerbu tempat yang sama dan merampas segala peralatan yang digunakan, bagaimanapun penganjur judi berkenaan terus berdegil dan menjalankan kegiatan haram berkenaan.

"Semasa serbuan itu, 11 lelaki terbabit yang berusia antara 18 dan 58 tahun sedang leka berjudi dan ada yang cuba untuk meloloskan diri, namun gagal kerana polis telah mengepung kawasan itu," katanya.

Jurucakap itu berkata polis turut merampas wang di meja judi sebanyak RM210 dan pelbagai peralatan judi jenis 'york' dan dadu.

Katanya kadar pertaruhan adalah dari serendah RM10 sehingga RM150,000 bergantung kepada jenis permainan judi.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ahmad Bakhtiar Kassim yang mengesahkan perkara tersebut berkata kes disiasat menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada lokasi perjudian itu dijalankan di atas tanah sewa atau haram termasuk punca bekalan elektrik dan air yang digunakan mereka. - Bernama

Sinar Harian

Lelaki ditemui lemas di Sungai Perak

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang lelaki ditemui lemas di Sungai Perak di Tekuk Intan hari ini, dua hari selepas dia dilaporkan terjatuh ketika berjalan
di tebing sungai itu.

Mayat S. Perumal, 58, berasal dari Taman Desa, Batu 6, Teluk Intan, ditemui terapung pada 7.30 pagi tadi kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Mohd Zaki Harun.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian lain, seorang remaja Orang Asli terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Km 10 Jalan Ayer Kuning-Labu Kubung dekat Tapah, pada 8 malam tadi.

Rohaidi a/l Long, 17, yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah klinik di Ayer Kuning. - Bernama

Sinar Harian

Siling runtuh ketika tidur

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Tiga sekeluarga nyaris maut apabila sebahagian siling rumah runtuh dalam kejadian di Kota Kemuning di sini kira-kira jam 4.30 pagi, Khamis lalu.

Ketika kejadian, Tony Clement, 44, bersama isteri, Roseh Pamajah, 43, dan anaknya, lima tahun sedang tidur dalam bilik utama sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari bahagian siling rumahnya.

Tony berkata, dia bernasib baik kerana bahagian siling yang runtuh tersebut hanya mengenai kakinya.

Menurutnya, batu-batu besar bertaburan di seluruh kawasan bilik selepas siling runtuh itu terkena kipas.

“Saya menjangka ada pencuri masuk ke dalam rumah kami pada waktu kejadian, namun selepas lampu bilik dibuka, saya melihat banyak batu-batu dan serpihan siling bertaburan.

“Siling tersebut runtuh di bahagian kaki dan kami tidak mengalami kecederaan. Tetapi masih trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Tony yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, selepas kejadian tersebut, dia memeriksa bahagian atas rumah, tetapi tidak melihat kerosakan dari luaran.

Menurutnya, rumah yang didiami sejak hampir setahun lalu itu sering mengalami rekahan pada dinding dan kawasan sekitar rumah.

“Masalah rekahan pada bangunan rumah dirujuk kepada pihak pemaju dan mereka ada menghantar wakil untuk membaiki setiap kali aduan dibuat.

“Tetapi kali ini, keadaan semakin teruk dan kita harapkan pihak pemaju dapat menghantar wakil untuk menyiasat,” katanya.

Tony berkata, nasib sama turut dirasai hampir 24 unit rumah dalam kawasan tersebut yang mengalami rekahan di dalam rumah mereka.

Sinar Harian

Taska dikenakan tindakan kunci

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sebuah taska berselindung di sebalik pusat jagaan kanak-kanak di Ta­man Permata, Ampang, di­ke­nakan tindakan penutupan premis atau kunci oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor semalam, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua bayi lelaki Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar, tujuh bulan pada 19 Januari lalu.

Sebelum ini, kedua-dua bayi itu berada di bawah jagaan taska berkenaan yang terletak bersebelahan pusat jagaan terbabit dan mereka di­sah­kan meninggal dunia dipercayai akibat kecuaian dan bukan kerana tersedak susu.

Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan selama 21 hari terhadap premis di Taman Permata itu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sehingga menyebabkan dua kematian berlaku.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan hanya pusat jagaan terbabit berdaftar di bawah JKM sejak Disember tahun lalu, manakala taska tanpa nama yang dipercayai baru beroperasi awal tahun ini tidak didaftarkan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas taska yang menempatkan seramai 13 kanak-kanak itu mendapati premis tersebut tidak memenuhi spesifikasi atau syarat penubuhan sebuah taska mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) 1984.

“Maklumat awal menunjukkan premis itu jelas tiada kelulusan agensi teknikal, tidak cukup pengasuh, tiada aktiviti yang merangsang perkembangan kanak-kanak termasuk tiada penyelenggaraan yang baik terhadap peralatan dan perabot dalam premis.

“Disebabkan faktor itu, kita terpaksa kunci taska itu terlebih dahulu untuk membuat siasatan terperinci dan jika terdapat elemen-elemen perlanggaran syarat, kita akan kenakan kompaun terhadap pemilik premis. Kita juga akan merujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar sebelum operasi kunci dijalankan di dua premis terbabit dan sebuah pusat jagaan di Seksyen 8, di sini, semalam.

Nik Omar berkata, bagi tempoh tahun lalu, sebanyak 176 taska dan 123 pusat penjagaan di Selangor dikesan berdaftar di bawah JKM, manakala sebanyak 1,046 taska dan lebih 800 pusat jagaan dilaporkan gagal berbuat demikian.

“Kita harap pengusaha premis penjagaan itu dapat tampil kerana JKM sudah menggunakan semua pendekatan bagi menggalakkan mereka mendaftar premis masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebuah lagi pusat jagaan kanak-kanak di Seksyen 8, di sini, dikenakan notis pengosongan premis semalam, selepas pihak JKM Selangor menerima maklumat daripada seorang wanita melalui talian Nur mendakwa bayi lelakinya berusia enam bulan cedera di bahagian kepala akibat terhentak ketika dalam jagaan premis terbabit pada 6 Januari lalu.

Bayi yang juga anak kepada seorang kakitangan di taska itu dilaporkan koma dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, berlaku kekecohan kira-kira 15 minit apabila pemilik pusat jagaan itu yang didapati tidak berdaftar di bawah JKM, berang dan memarahi sepasukan pegawai JKM Selangor yang datang membuat pemeriksaan dan menyerahkan notis untuk mengosongkan premis dalam tempoh tiga hari bekerja, semalam.

Pemilik taska itu yang enggan dikenali pada mulanya tidak membenarkan pemeriksaan dilakukan dan berkali-kali menegaskan kejadian yang berlaku bukan berpunca daripada kecuaian beliau, sebaliknya mendakwa kecuaian adik kepada ibu mangsa yang juga pekerja di pusat jagaannya.

“Laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan itu dan ibu mangsa serta adiknya kini menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” katanya.

Sinar Harian

Muzium Pengangkutan: Aset atau Liabiliti?

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Seperti dalam gambar di atas kita dapat melihat bagaimana Muzium Pengankutan Melaka ini beroperasi dan apakah kebaikan yang diperolehi oleh kerajaan negeri Melaka dengan adanya muzium seperti itu? Walaupun muzium itu dibina bagi menayangkan kenderaannya namun adakah tempatnya strategik kepada pelancong ataupun rakyat Melaka sendiri?

Berapa ramaikah pelancong atau rakyat Melaka yang datang dan berapakah jumlah kos yang telah dihabiskan oleh kerajaan Melaka bagi menampung kos operasi Muzium Pengangkutan Melaka itu? Berapakah jumlah kos untuk mendekorasi muzium tersebut yang dikatakan menelan belanja yang cukup besar dengan saiz yang tidak seberapa besar itu.

Ketika sidang DUN Melaka, wakil DAP ada bertanya 3 soalan kepada Ketua Menteri Melaka berkaitan tentang Muzium Melaka itu. Antara soalan yang dibangkitkan adalah jenis dan jumlah perbelanjaan bulanan untuk muzium pengangkutan itu dan jawapan daripada Ketua Menteri berkaitan soalan itu adalah perbelanjaan merangkumi tiga jenis perbelanjaan iaitu emolumen, utiliti dan kawalan keselamatan.

Bagi perbelanjaan jenis emolumen bagi bulan April hingga Jun 2010 adalah seperti berikut yang mana jumlahnya adalah RM3,840.59 (April - RM986.53, Mei - RM986.53 dan Jun - RM1,444.03). Perbelanjaan bagi utiliti pada tiga bulan yang sama juga adalah berjumlah RMRM784.23 (Mei - RM474.82 dan Jun - RM309.41). Manakala perbelanjaan bagi kawalan keselamatan pada Jun 2010 adalah berjumlah RM1,946.67.

Ketika ditanya soalan yang kedua kepada Ketua Menteri berkaitan jumlah pelawat yang telah melawat muzium tersebut sejak pembukaannya dan ini jawapannya "bagi pelawat yang telah mengunjungi muzium tersebut sejak pembukaannya pada 15 April 2010 adalah seramai 28 orang (tempatan) dan jumlah kutipan tiket adalah berjumlah RM265.00. Bagi menggalakkan orang ramai mengunjungi muzium ini, maka tiket masuk dipakejkan sekali dengan Muzium Adat Istiadat , Alor Gajah dan Muzium Orang Asli, ayer Keroh, Melaka".

Soalan yang terakhir ditanya kepada Ketua Menteri adalah berkaitan dengan kos untuk "set-up" muzium tersebut. Jawapan Ketua Menteri berkaitan soalan itu adalah kos penubuhan muzium adalah RM198,900.00. Ianya melibatkan panel pameran dan grafik, tapak meletak kenderaan, kemudahan pejabat, pondok kawalan keselamatan, bekalan elektrik, sistem audio dan sistem CCTV.

Persoalannya, strategikkah Muzium Pengangkutan Melaka yang agak jauh dari pusat pelancongan? Pada masa yang sama bangunan disebelah muzium ini masih kosong dan tidak didiami tanpa sebarang aktiviti kecuali muzium tersebut. Adakah ini yang dikatakan negeri maju?

SELATAN ONLINE/-

Lynas mahu buang sisa dibuang di pulau

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Syarikat Australia - Lynas Corporation - yang bercadang membuka loji penapisan bahan nadir bumi di Gebeng, dekat Kuantan tidak lama lagi, mahu sisa pepejal radioaktif dari kilang itu dibuang di sebuah pulau tidak berpenghuni di luar pantai Pahang.

NONEAlternatifnya, sisa tersebut mungkin dilupuskan di kawasan di mana tidak terdapat pembangunan, kata Kuantan MP Fuziah Salleh, yang berkempen menentang projek loji nadir bumi itu.

Cadangan tersebut terkandung dalam pelan pengurusan sisa Lynas
yang dibuka untuk tatapan umum sehingga semalam, kata Fuziah (kanan), yang juga naib presiden PKR.

"Mereka berkata mereka belum mengenal pasti lokasi untuk
Kemudahan Pelupusan Tetap (PDF), tetapi mereka sedang mempertimbangkan beberapa pilihan.

azlan"Salah satu pilihan itu ialah sebuah pulau di luar pantai Pahang yang tidak berpenghuni, "katanya ketika dihubungi.

PDF adalah bertujuan untuk aliran sisa pepejal loji, yang diklasifikasikan sebagai sisa radioaktif.

Dua lagi aliran sisa juga mengandungi bahan radioaktif, tetapi tidak diklasifikasikan sebagai radioaktif dan Lynas bercadang untuk mengitarkannya semula dan mengkomersilkannya.

Bagaimanapun, Fuziah berkata, lokasi pulau tersebut belum ditentukan kerana idea itu "masih dalam pertimbangan".

Bagi menyuarakan tentangannya terhadap itu, semalam Fauziah menyerahkan penghujahan bertulis kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) di Kuantan.

"Ini tidak harus dibenarkan kerana bahan dari PDF boleh meluluhkan ke dalam laut," demikian menurut penghujahan itu.

MALAYSIAKINI/-

"Barisan Nasional" Masih Gagal Membina Kompleks Maahad Tahfiz

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Hasrat "Barisan Nasional" membina sebuah Maahad Tahfiz untuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) masih belum tertunai walaupun tarikh untuk menyiapkan kompleks tersebut telah tamat 31 Disember 2011 yang lalu.

Perhatikan betul-betul papan tanda tersebut, ianya ditulis "Satu Lagi Projek Barisan Nasional

Wah! begitu banyak wang nampaknya Barisan Nasional ingin menghadiahkan sebuah kompleks bangunan untuk Majlis Agama Islam Melaka. Harap-harap cadangan pembinaan kompleks bangunan tidak disiasat oleh Jabatan Audit Negara kerana ianya dibina oleh sebuah parti politik.

Kompleks tersebut sepatutnya dibina atas lot 19451, Mukim Bukit Katil agak ganjil kerana sebuah parti kompenen Barisan Nasional berhasrat membina Maahad Tahfiz untuk diserahkan kepada MAIM. Ianya seolah-olah mengambarkan Barisan Nasional memungut derma daripada ahli-ahlinya yang terdiri daripada MCA, MIC, GERAKAN dan UMNO bagi membina sebuah kompleks maahad tahfiz untuk MAIM.

Walaupun hasrat "Barisan Nasional" begitu "murni", bangunan tersebut masih gagal dinaikkan walaupun seketul bata.

Kedudukan papan tanda ini berada tidak jauh daripada Bilik Gerakan Barisan Nasional Parlimen Bukit Katil yang terletak hanya kira-kira 100 meter, mungkin pengerusi Barisan Nasional Melaka mempunyai jawapan untuk papan tanda dan projek ini.

Walaupun "Barisan Nasional" sehingga sekarang masih gagal membina bangunan ini, kerajaan mereka "Kerajaan Barisan Nasional" dikatakan beria-ia mengambil alih Maahad Tahfiz As-Solihin yang berada di Merlimau untuk dijadikan tahfiz baru di bawah kelolaan MAIM.

Blog Yusuf Wahab

Jihad wanita

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?" Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

tazkirah/-

NATO tidak minat lancar serangan baru ke atas Libya

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BRUSSELS 27 Jan. – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak berminat untuk melancarkan serangan baru ke atas Libya walaupun pertempuran kini berlaku di bekas kubu kuat pemimpin Muammar Gaddafi.

Pertempuran tercetus di Bani Walid awal minggu ini, tiga bulan selepas NATO menamatkan serangan udara ke atas Libya dan mengisytiharkan kejayaan misi menyelamatkan penduduk awam di negara itu.

“Kami tidak lagi berada di Libya dan tidak berniat untuk kembali ke negara itu,” kata Setiausaha Jeneral Anders Fogh Rasmussen dalam satu sidang akhbar, semalam. – AFP

PAS mahu 12 kerusi Sarawak, 9 Sabah

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jan: PAS bercadang untuk bertanding 12 kerusi parlimen di Sarawak dan sembilan kerusi di Sabah dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Menurut sumber, kerusi-kerusi itu adalah kawasan tradisi PAS di samping kawasan yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.

"Kalau selama ini PAS bertanding berdasarkan kaum atau agama yang ada di kerusi berkenaan, namun kini PAS tidak lagi ada batasan itu dengan lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS atau DHPP," kata satu sumber PAS kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008, PAS hanya bertanding satu kerusi parlimen di Sarawak iaitu Batang Lupar dan hanya dua kerusi Dun di Sabah.

Namun begitu, di Sarawak terdapat 10 kerusi yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan dan sebahagiannya di menangi oleh calon BN tanpa bertanding.

Kerusi-kerusi yang dimenangi tanpa bertanding oleh BN adalah Tanjung Manis, Igan, Selangau, Kapit dan Kanawit.

Kerusi-kerusi yang hanya ditandingi oleh calon bebas pula adalah Lubok Antu, Mukah, Ulu Rajang, Baram dan Sri Aman.

Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, sehingga kini PAS sudah sah bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi di Sarawak berdasarkan kerusi tradisi.

Namun sehingga kini, 10 kerusi yang ditandingi calon bebas dan dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN belum ditentukan lagi parti mana yang akan bertanding.

Sejak beberapa bulan lepas, pelbagai badan dalam PAS turun ke Sarawak dan Sabah dari Semenanjung. Antaranya yang berkaitan dengan pilihan raya dan penerangan.

Yang terakhir adalah rombongan Lajnah Penerangan PAS Pusat yang dipimpin Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
(Gambar: Rombongan Lajnah Penerangan PAS yang diketuai Tuan Ibrahim memacakkan kayu asas surau di pulau Shanghai, Sandakan)

Melalui ekspedisi itu, PAS membuka denai dan jalan untuk membolehkan benih-benih PAS di tanam di bumi Kenyalang dan Negeri Bawah Bayu itu.

"Sambutan amat baik dan ramai penduduk tempatan yang berharap PAS bertanding di kawasan mereka," kata salah seorang anggota rombongan itu kepada Harakahdaily.

Di Sandakan, PAS telah membuat satu projek angkat iaitu membina sebuah surau di Pulau Shanghai, yang terletak setengah jam menaiki bot laju dari Sandakan.

Semua penduduk pulau itu beragama Islam namun tidak ada sebuah pun surau di pulau itu.

Harakah Daily

Apple miliki wang RM1.26 trilion

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEBUAH telefon bimbit iPhone (kiri), komputer MacBook Air dan iPad dipamerkan di sebuah kedai Apple pada Selasa lalu.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Apple sekali lagi memintas Exxon sebagai syarikat AS paling berharga selepas ia mencatat suku kewangan yang mengagumkan.

Harga saham Apple Inc. meningkat enam peratus dalam dagangan tengah hari kelmarin untuk diniagakan pada harga AS$445.29 (RM1,354.35) sesaham dengan modal pengilang gajet iPhone dan iPad itu kini mencecah AS$415 bilion (RM1.26 trilion).

Ia jauh lebih besar daripada Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM429.7 bilion setakat 15 November tahun lalu.

Sementara itu, saham Exxon Mobil Corp. turun satu peratus kelmarin kepada AS$86.52 (RM263) sesaham manakala modal syarikat pula berjumlah AS$414 bilion (RM1.21 trilion).

Apple pertama kali mengatasi ExxonMobil sebagai syarikat paling bernilai pada Ogos tahun lalu dengan kedua-duanya bersaing sengit sejak itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa lepas, Apple memberitahu, pendapatan bersihnya untuk suku kewangan terbaharu yang berakhir pada Disember tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda manakala perolehan syarikat pula melonjak 73 peratus.

Apple mengetepikan syarikat perisian komputer, Microsoft Corp yang kini berada di tempat ketiga dengan modal AS$247 bilion (RM751.25 bilion) untuk menjadi syarikat terbesar AS pada 2010.

Apple menyatakan ia menjual 37.04 juta iPhone pada suku kewangan tersebut, meningkat 128 peratus berbanding setahun lalu manakala jualan komputer iPad pula meningkat 111 peratus kepada 15.43 juta unit.

Pada suku kewangan sama, Apple turut menjual 5.2 juta komputer meja Macintosh, meningkat 26 peratus.

Namun, jualan pemain muziknya, iPod menurun 21 peratus kepada 5.4 juta berbanding setahun lalu.

Sebelum ini, kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs selepas dia menghidap kanser pada 5 Oktober 2011 ketika berusia 56 tahun menimbulkan spekulasi bahawa jurutera-jurutera Apple gagal meneruskan legasi kejayaannya.

Tim Cook, 51, yang mengambil alih tugas Ketua Eksekutif Apple pada Ogos 2011 dalam satu kenyataan pada Selasa lepas bagaimanapun percaya kesinambungan tersebut akan dapat diteruskan. - Agensi

Keberkatan dan kelebihan hari Jumaat

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Pengenalan

Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan.

Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

Penghulu Segala Hari

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat.

Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1) Allah ciptakan Adam ,
2) Allah turunkan Nabi Adam ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam,
4) Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram.
5) Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Kelebihan Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Malaikat Turun ke Bumi

Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

Kesimpulan

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)