26 January 2012

7 maut, 51 cedera, lebih 1,000 rumah rosak akibat puting beliung di Indonesia

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Puting beliung dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Pulau Jawa dan Bali semalam mengakibatkan tujuh orang maut, 51 cedera dan lebih 1,000 rumah penduduk rosak.

Mangsa yang terbunuh akibat ditimpa pokok terdiri daripada tiga orang di Purbalingga, masing-masing seorang di Jakarta Selatan dan Wonosobo serta dua di Bali.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mencatatkan 22 daerah dan bandar dilanda puting beliung, semalam membabitkan wilayah Jakarta Selatan, Kepulauan Seribu, Bekasi, Sukabumi, Indramayu, Magelang, Semarang, Sleman, Wonosobo, Purbalingga, Banjarnegara, Ponorogo, Ngawi, Magetan, Situbondo, Kediri, Blitar, Malang, Bangkalan, Sumenep dan Bali.

Kerosakan rumah paling banyak ialah di Kepulauan Seribu yang membabitkan sejumlah 499 rumah.

BNPB berkata, puting beliung dan angin kencang yang berlaku semalam dipengaruhi siklon tropika IGGY di Lautan Hindi di sebelah Selatan Bali dan Nusa Tenggara.

Menurut ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, siklon tropika IGGY membawa kesan tiupan angin berkelajuan lebih 36 kilometer sejam dan gelombang laut setinggi empat hingga enam meter di beberapa perairan Indonesia. - BERNAMA

Dua terbunuh dalam nahas jet pejuang Iran terhempas

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEHRAN: Dua terbunuh apabila jet F-14 buatan Amerika Syarikat terhempas awal hari ini sebaik berlepas, lapor agensi berita Fars.

"Juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat F-14 yang terhempas pagi ini terkorban," kata agensi berita itu yang memetik Gabenor Wilayah Bushehr, Jafar Pourkabgani.

"Jet itu terhempas akibat kerosakan teknikal dan siasatan punca nahas sedang dijalankan," katanya. - AFP

Dakwaan belanja besar, Jingga 13 gesa SPRM siasat

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NGO yang ada kaitan dengan PKR - Jingga 13 - membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menggesanya menyiasat dakwaan bahawa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berbelanja besar semasa bercuti di Australia.

Kumpulan itu memetik satu laporan Malaysiakini yang merujuk kepada satu artikel dalam akhbar Australia - Sydney Morning Herald - tulis kolumnis Andrew Hornery yang menggelar Rosmah sebagai "First Lady of Shopping' kerana dikatakan telah membelanjakan RM300,000 membeli-belah di butik mewah pereka fesyen di Sydney, Carl Kapp.

Bercakap dalam sidang media sebelum membuat laporan tersebut, ketua penyelaras Jingga 13, Fariz Musa (kiri) mengulangi cabaran kepada Rosmah, menyaman penerbitan tersebut, Hornery dan Kapp sendiri yang mengesahkan perkara itu, jika ia benar-benar fitnah.

Dalam memfailkan laporan di pejabat SPRM Shah Alam, NGO itu mendesak suruhanjaya meneliti di mana Rosmah mendapat wang untuk tujuan tersebut.

Malaysiakini/-

33 paus tersadai terpaksa ditembak mati di New Zealand


2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WELLINGTON: Anggota Pusat Konservasi Marin New Zealand terpaksa menembak mati 33 ikan paus yang tersadai di pantai negara itu selepas beberapa usaha menyelamatkan sejak seminggu lalu gagal.

Paus yang ditempak itu adalah baki 99 paus yang tersadai di pantai Farewell Spit di South Island, sejak Isnin lalu.

Pengurus Kawasan Jabatan Konservasi, John Mason, berkata kakitangan jabatan itu bersama ratusan sukarelawan bertungkus-lumus sepanjang minggu ini untuk mengapungkan kembali paus yang tersadai itu.

Beliau berkata, pihaknya menyangka usaha itu berjaya semalam selepas paus itu berjaya memasuki kawasan paras air dalam tetapi haiwan itu kembali semula ke pantai hari ini.

Beliau berkata, keadaan paus terbabit semakin teruk dan sukar untuk diselamatkan lagi.

Sehubungan itu, 33 paus berkenaan terpaksa ditembak mati manakala 36 lagi mati secara semulajadi dengan 17 berjaya diselamatkan. - AP

Tenis Terbuka Australia : Sharapova jumpa Azarenka di final

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELBOURNE: Maria Sharapova berjaya menebus kekecewaannya di final Wimbleden tahun lalu apabila menumpaskan Petra Kvitova pada separuh akhir Terbuka Australia, sebentar tadi.

Kemenangan Sharapova menerusi tiga set 6-2, 3-6, 6-4 itu sekali gus membolehnya melangkah ke final dan kali terakhir berbuat demikian pada 2008.

Ratu tenis Russia itu akan bertemu pemain pilihan ketiga, Victoria Azarenka, yang awal pagi ini menumpaskan penyandang juara, Kim Clijsters.
Pemenang final kali ini turut akan dinobatkan sebagai pemain tenis wanita nombor satu dunia.

Sharapova kalah kepada Kvitova di final Wimbledon tahun lalu selepas lama berehat akibat kecederaan di bahu. - AP

Ahli perniagaan dirompak lebih RM200,000 di Georgetown

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian lebih RM200,000 apabila dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau yang memecah masuk kediamannya di Jalan Kebun Bunga di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Zahruddin Abdullah, berkata pada kejadian jam 3.30 pagi itu, kumpulan perompak yang dipercayai warganegara asing terbabit mengumpil tingkap belakang dan menyelinap masuk ke dalam bilik anak mangsa sebelum mengikatnya.

Mereka kemudian memasuki bilik tidur utama dan mengejutkan ahli perniagaan itu bersama isterinya yang sedang tidur sebelum mengikat tangan dan kaki kedua-duanya.

"Kumpulan perompak terbabit yang dikatakan menutup separuh muka mereka dengan kain turut mengikat pembantu rumah dan rakan anak mangsa yang sedang tidur di bilik berasingan sebelum mereka menggeledah rumah itu dan melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam pelbagai jenama berjumlah RM200,000 dalam masa kira-kira 15 minit saja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ahli perniagaan berkenaan berjaya melepaskan ikatan selepas 30 minit perompak itu melarikan diri dan terus menghubungi polis.

Zahruddin berkata, polis yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam waktu terdekat berikutan terdapat imej kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kesemua perompak berumur lingkungan 20-an dan 30-an itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan. - BERNAMA

Gempa magnitud 5.3 gegar kepulauan Greece

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ATHENS: Gempa bumi berukuran 5.3 magnitud melanda selatan kepulauan Laut Aegean, namun tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, kata pihak berkuasa tempatan, hari ini.

Menurut Institusi Geodinamik Athens, gempa di dasar laut itu berlaku antara pulau peranginan pelancongan popular, Santorini dan Crete, kira-kira 244 kilometer dari tenggara Athens.

Greece adalah antara lokasi gelombang aktif, di mana daripada ratusan kejadian gempa di negara itu setiap tahun hanya beberapa mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan kecil. - AP

Permainan 'Aku Jimat' dibuang?

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Aku Jimat, permainan elektronik kedua paling popular di kalangan aplikasi berbayar Malaysia, nampaknya sudah tidak ada lagi selepas sembilan hari diperkenalkan.

NONE
Permainan tersebut yang dipercayai diilhamkan dari watak Datuk Seri Rosmah Mansor - isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - nampaknya telah dibuang daripada iTunes App Store Apple.

Malaysiakinitelah mendapat maklumat mengenainya semalam.

Pada hari Sabtu,Aku Jimatmuncul sebagai permainan kedua paling popular di kalangan aplikasi berbayar di Malaysia selepas beberapa portal berita melaporkan mengenainya.

Permainan itu yang diberikan penarafan lima bintang oleh pengguna, dibangunkan oleh Kumpulan Antartika dan dijual pada harga US$0.99 setiap muat turun.

Tidak diketahui bila aplikasi permainan itu dibuang. Kuasa untuk berbuat demikian terletak di tangan Apple dan pemaju permainan tersebut.

Malaysiakini telah mengirimkan emel pertanyaan mengenai perkara itu kepada Apple,. Bagaimanapun sehingga ini belum mendapat jawapan.

Menurut syarikat pemajunya, permainan itu adalah "untuk mendidik anak-anak kepentingan menabung” sejak kecil dan “lebih awal jika seseorang berjimat maka, lebih banyak yang dapat dikumpulkan”.

NONE
Dengan tabung berbentuk seekor kucing, pemain dikehendaki menyambut duit syiling bernilai US$1000 (RM3,100) setiap satu yang digugurkan bagi membuat pembelian - sama ada sebuah rumah bernilai US$5,000,000 (RM15, 000,500) atau kereta berharga US$300,000 (RM10,000).

Pengguna juga boleh membeli mana-mana sembilan beg tangan yang ditawarkan, bernilai antara US$ 9,000 hingga US$ 110,000 (RM27, 900 hingga RM440,000) atau juga cincin berlian bernilai US$24 juta (RM74 juta).

Setiap syiling bernilai $1,000 tetapi jika seseorang itu bernasib baik, jongkong emas bernilai $1,000,000 akan digugurkan.

Pemain bagaimanapun mesti berhati-hati untuk mengelakkan diri mereka daripada terkena bom.

Ini kerana bagi setiap kali mereka terkena bom, tambahan umur setahun akan dimasukkan kepada pemain dan seseorang dipaksa untuk "bersara" pada usia 99 tahun.

Malaysiakini/-

Muslim murtad selesaikan puncanya dahulu

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Isu murtad sudah banyak kali ditimbulkan oleh pendakwah dan dibesarkan oleh media, namun apa yang ditimbulkan itu hanya tinggal begitu sahaja. Bising sekejap kadar seminggu, setelah ada pihak menafikannya, isu tersebut hilang begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan. Persoalannya benarkah murtad menjadi-jadi mutakhir ini?

Kalau kenyataan itu keluar daripada orang yang berautoriti bolehkah kita terima sebagai sah. Persoalannya siapa yang berautoriti dalam hal ini? Sudah tentu mereka yang berurusan mendaftar, peguam syari’ dan hakim syari’. Mereka inilah yang paling tahu kadar sebenar. Apapun orang lain hanya sekadar mendengar maklumat daripada orang lain.

Kita tidak nafikan ada orang yang murtad tetapi tetapi apakah kepentingan kita besarkan isu itu? Kadang-kadang isu itu dibesarkan oleh musuh untuk menjadikan kita panik dan takut sekali gus melemahkan jiwa umat Islam sendiri. Hal ini mungkin mereka sudah merasa umat Islam semakin lemah atau berpecah.

Kadang-kadang kenyataan itu dikeluarkan oleh tokoh Islam sendiri sebagai amaran kepada umat yang masih leka lalu membiarkan diri dan keluarganya terpesong jauh daripada Islam. Isu itu mungkin tidak besar mana, tetapi dibesarkan untuk melahirkan kesedaran dan kewaspadaan. Walau apapun kedua-dua keadaan ini ada pro dan kontranya.

Realiti isu murtad

Umat Islam yang dikatakan murtad terdiri daripada golongan muallaf yang terbiar tanpa bimbingan. Mereka ini apabila memeluk Islam tidak menghadiri sebarang kursus atau kelas pengajian. Mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Sedangkan amalan Islam tidak diamalkan seperti yang sepatutnya.

Golongan ini juga sesetengahnya tidak ada pekerjaan maka sepanjang kehidupannya mengharapkan bantuan zakat dan sumbangan orang ramai. Sebahagian mereka memberi alasan sakit dan ditinggalkan isteri atau dibuang kerja. Mereka ini kalau terus dibiar tanpa didikan Islam lambat laun akan murtad akhirnya.

Golongan kedua terdiri daripada orang yang berkahwin dengan orang Islam. Pasangan Islam ini pula tidaklah berniat untuk membimbing pasangannya.

Lebih malang lagi pasangan yang asal Islam ini tidak menunaikan solat, bagaimana dalam keadaan itu dia boleh menjadi contoh kepada pasangan yang baru memeluk Islam itu.

Di sinilah kadang-kadang jodoh mereka tidak lama, pasangan yang muallaf ini seperti laying putus talinya. Apabila tiada lagi tempat bergantung, dia akan mencari orang yang boleh membantunya. Bagaimana kalau dia bertemu dengan orang bukan Islam yang mengajaknya supaya murtad, tentu dia dengan mudah boleh murtad.

Dua keadaan ini, siapa yang boleh kita salahkan? Jelas di sini, orang Islam sendiri yang patut disalahkan. Orang yang mengislamkannya sama ada dengan cara dakwah atau dengan berkahwin sepatutnya dihukum kerana cuai membimbing ke jalan yang benar.

Jadi kalau begitu mengapa kita asyik menyalahkan orang yang murtad? Memang mereka hendak Islam tetapi orang Islam yang tidak mahu mendidik dengan cara yang betul.

Orang Islam sendiri, tidak banyak yang bertindak murtad kecuali mereka lemah Islamnya lalu berjaya dipujuk ke arah murtad. Biasanya mereka ini dipujuk oleh pasangan kekasih atas alasan cinta. Mereka tidak juga faham agama itu dengan baik sebagaimana dia tidak memahami Islam dengan sebaiknya. Mereka ini biasanya menipu ibu bapa dalam pergaulan kerana sering dikongkong oleh ibu bapa.

Dalam kes sepertinya, ibu bapa juga boleh dipersalahkan selain anak itu sendiri. Kecuai mereka mendidik anak dengan sempurna ada dosa besar. Kita kena ingat iman tidak diwarisi, maka kalau tidak dididik dengan yang betul pasti tidak menjadi.
Apabila anak dibiar atas alasan percaya dia bersekolah agama adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Punca murtad

Gelaja murtad yang disebut di atas berlaku apabila seseorang itu dalam keadaan goyah imannya. Tetapi tahukah anda orang yang ada iman malah kuat imannya juga boleh menjadi murtad. Mereka boleh murtad dengan rosaknya iman di dada. Ada tiga perkara atau tiga cara iman itu boleh rosak:

1. Iktiqad.

2. Perkataan.

3. Perbuatan.
Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab berikut:

1. Kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Contohnya: Ragu dengan Qudrat (kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi bekas selain Allah.

2. Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, Hari Qiamat, Alam Barzakh, syurga, neraka dan lain-lain seumpamanya.

3. Ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat nabi dan rasul.

4. Ragu tentang mampunya Islam, dengan panduan al-Quran dan Sunnah, sebagai pembawa keselamatan.

Jadi, semua keraguan tentang perkara yang disuruh beriman dengannya oleh Allah boleh membawa kepada rosaknya iman seseorang. Oleh sebab itu amat perlu bagi tiap-tiap individu memastikan hatinya tidak ada sebarang keraguan.
Selain itu iman juga boleh rosak melalui perkataan. Ianya boleh berla ku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan yang boleh merosakkan iman ialah:

1. Mengatakan Allah itu kejam, zalim, tidak adil dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah.

2. Mengata dan mencaci Rasulullah sama ada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran baginda.

3. Mengatakan syariat Islam tidak sesuai untuk semua zaman. Ia hanya sesuai untuk "zaman unta" dan sebagainya.

4. Menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Contohnya: Menghalalkan riba, zina, arak, judi dan lain-lain. Mengharamkan poligami dan lain- lain.

Pendek kata apa sahaja perkataan yang dikeluarkan berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sengaja atau tidak boleh merosakkan iman seseorang. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga perlulah kita berhati-hati dalam bercakap, jagalah perkataan yang keluar dari mulut kita.

Seterusnya perbuatan juga boleh merosakan iman. Perkara ini boleh berlaku kerana dua keadaan:

1. Sujud pada selain Allah, sama ada pada patung, pokok kayu, matahari, bulan dan lain-lain.

2. Meraikan dan membesarkan hari-hari agama lain.

Jelas di sini seseorang yang melakukan salah satu dari tiga cara di atas, dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya. Dengan kata lain mereka telah murtad. Dengan kedudukan ini munasabahlah ramai umat Islam murtad. Boleh jadi murtad jenis ini lebih besar.

Selamatkan yang murtad

Menyedari keadaan ini semua pihak perlu bertanggungjawab menyedarkan umat Islam ada yang sudah murtad dan mereka yang termasuk dalam gejala murtad di atas. Untuk mengembalikan mereka tidak cukup dengan demontrasi, kempen berpidato dan sebagai. Semua itu boleh menjadikan musuh Islam mengelakkan kita.

Menggubalkan undang-undang atau akta murtad memang bagus, kerana kewujudannya boleh menghalang orang Islam daripada murtad. Dan kalau ada yang murtad boleh dihukum dengan undang-undang itu. Tetapi itu semua untuk mereka yang sudah murtad. Bagaimana yang dalam gejala murtad yang semakin ramai kini?

Di sinilah pentingnya dakwah dan pengajian untuk orang Islam. Usaha ini perlu dijalankan dengan serius. Usaha ini sepatut disokong oleh kerajaan dan NGO Islam. Orang yang selama ini menentang gerakan dakwah sepatutnya insaf bahawa sebenarnya gejala murtad itu ada kaitan dengan penentangan mereka. Oleh sebab itu bukalah peluang yang luas untuk menyebar luaskan ajaran Islam di mana-mana.

Umat Islam perlu disedarkan dengan perkara yang boleh membatalkan iman kerana semua itu jalan kepada murtad. Jadi, usahakan agenda ini dengan serius agar iman umat Islam kembali teguh. Pada masa yang sama didiklah orang yang baru memeluk Islam dengan sebaiknya.

Percayalah kalau semua pihak bergerak aktif pasti umat Islam akan kembali gemilang. Ketika itu negara dan kepimpinannya akan disegani oleh musuhnya.

Ahmad Baei Jaafar

Umrah MLM Haram ?

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Niat halal cara haram. Itu ungkapan paling sesuai apabila sebuah koperasi dikesan menggunakan kaedah pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang lazimnya diamalkan syarikat jualan langsung untuk menawarkan pakej umrah dengan harga amat murah.

Dengan modal RM1,700, koperasi terbabit mempromosi jumlah berkenaan sudah mencukupi untuk umat Islam mengerjakan umrah dengan syarat mereka perlu menaja tujuh peserta lain untuk berada di bawah mereka.

Peserta terbabit juga disyaratkan mengeluarkan modal dalam jumlah sama dan ia berturutan menjadi rantaian tanpa had, malah pakej itu juga boleh dihadiahkan kepada sesiapa saja termasuk bukan ahli skim berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), A Mogan berkata, pihaknya melakukan siasatan terhadap kegiatan koperasi itu selepas menerima aduan orang ramai.

“Siasatan awal setakat ini mendapati kegiatan mereka itu bertentangan dengan undang-undang. Antara kesalahan paling ketara ialah mereka tidak memiliki lesen untuk menganjurkan pakej umrah seperti yang dipromosikan,” katanya ketika dihubungi.

Harian Metro

Perkampungan ditimbus tanah

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PORT MORESBY - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan 20 lagi masih hilang selepas runtuhan tanah di Pergunungan Selatan, Papua New Guinea yang berlaku secara tiba-tiba, semalam.

Pengarah Pusat Bencana Kebangsaan Kepulauan Asia Pasifik, Martin Mosi berkata, runtuhan tanah itu menyebabkan beberapa buah kampung musnah dan meningkatkan jumlah kematian.

Ahli politik kawasan terjejas, Francis Potape memberitahu, dua perkampungan tertimbus sepenuhnya dan ketika kejadian semua mangsa sedang tidur.

“Ramai yang tertanam di bawah dan sebilangan mereka terdiri daripada kanak-kanak,” katanya menggambarkan keadaan kampung itu yang kini terputus hubungan dengan kawasan luar.

sinar harian/-

Nasib Penduduk Sarawak Yang Belum Memiliki MyKad

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Photo Jacky (kiri) bersama ayah tiri dan 2 orang anaknya.

MIRI – Baru-baru ini rombongan PAS Miri bersama YB Khalid Samad ahli
Jawatankuasa PAS Pusat dan juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam telah
bersama melawat ke Tudan dan memberi sumbangan Raya Cina kepada
penduduk di situ sempena perayaan tahun baru Cina.

Seramai 20 buah keluarga terdiri daripada bangsa Cina dan juga Iban telah
menerima sumbangan Raya Cina tersebut.

Salah seorang penduduk di kampung tersebut yang menamakan dirinya sebagai
Jacky telah mengadu kepada pihak PAS Miri yang beliau serta isterinya dan
juga anak-anaknya masih belum memiliki MyKad.

Dia mengadu akan nasib anaknya yang masih belum dapat bersekolah disebabkan
tidak memiliki surat beranak dan MyKid. Anak beliau yang berumur 6 tahun
sepatutnya dapat bersekolah bersama dengan rakan-rakannya yang sebaya
dengannya tetapi disebabkan tidak memiliki surat beranak dan MyKid anak
beliau tidak dapat bersekolah.

Walaupun beliau memiliki surat beranak dan ingin memiliki Mykad tetapi
semasa beliau ke pejabat JPN (Jabatan Penerangan Negara) di bahagian Miri
untuk mendapatkan MyKad, pegawai yang bertugas di JPN Miri tersebut telah
bertanya kepada beliau samada beliau pernah mengundi sebelum ini.

Persoalan pengawai tersebut sungguh pelik, bagaimana beliau hendak mengundi
sedangkan beliau tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad.

Mereka juga meminta wang untuk proses pendaftaran daripada beliau,
memandangkan beliau tidak memiliki wang yang mencukupi dan kurang
berkemampuan lalu sampai sekarang beliau tidak dapat memiliki MyKad
tersebut. Inilah luahan perasaan beliau kepada pihak PAS semasa lawatan di
kampung Tudan baru-baru ini.

Andaikata perkara ini terus berlaku seperti apa yang diluahkan oleh
penduduk tersebut, kita amat kesal dengan sikap JPN, kerana tidak
memperdulikan akan nasib, penduduk tersebut. Pihak JPN seharusnya segera
bertindak mengatasi masalah ini agar penduduk tersebut tidak terpinggir
terus dari mendapatkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang sah menurut
perlembagaan Malaysia.

Kita mendapat banyak maklumat tentang masalah penduduk tempatan Sarawak
yang tidak memiliki MyKad dan juga surat beranak disebabkan kebanyakkan
mereka berasal dari pendalaman yang tidak memiliki kemudahan asas dan juga
jalan perhubungan yang teruk di Sarawak.

Apa tanggungjawab dan peranan JPN untuk mengatasi masalah penduduk
tempatan yang tidak memiliki Mykad dan surat beranak ini?

Mereka adalah penduduk asal Sarawak, bukannya pendatang asing tetapi nasib
mereka lebih malang dari orang asing yang datang menetap di Negara ini.

Adakah JPN akan terus membiarkan mereka terpingir tanpa sebarang tindakan
untuk mengatasi masalah mereka agar mereka mendapat hak yang sama dengan
penduduk yang memiliki MyKad.

Mereka yang tidak memiliki MyKad dan surat beranak sudah pasti tidak dapat
menerima sumbangan BR1M sebanyak rm500 dan RM100 untuk anak-anak mereka
yang bersekolah.

Kita mendesak JPN dan kerajaan Sarawak agar segera mengatasi masalah ini
dari terus berlarutan dan perlu memikirkan masa depan penduduk tempatan
tersebut. Apa akan jadi pada mereka, anak dan cucu cicit mereka pada masa
akan datang, kalau mereka tidak memiliki MyKad dan surat beranak?

Kalau JPN dan kerajaan Sarawak gagal mengatasi masalah ini, kita akan
membawa isu in ke sidang parlimen untuk dibahaskan melalui wakil rakyat
dalam Pakatan Rakyat yang akan mempastikan perkara ini dapat diatasi serta
akan memberi balik hak yang sama rata kepada penduduk asal yang tidak
memiliki MyKad dan surat beranak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik.

Inilah tanggungjawab kerajaan yang memerintah supaya sentiasa berlaku adil
dan saksama untuk semua rakyat.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Umno cipta helah untuk elak debat Anwar-Najib

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 26 Jan: Umno mengguna pelbagai helah untuk mengelak debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu membabitkan rakyat, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa debat merupakan ‘budaya barat’ yang masih belum diterima di negara ini.

“Ini satu lagu helah politik umno untuk elak debat dan kenyataan ini sungguh dangkal dalam keadaan kita menuju budaya politik baru,” kata Shamsul ketika dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Shamsul turut menempelak kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memberi alasan kononnya debat Anwar-Najib tidak relevan kerana bukan melibatkan kepentingan umum.

Menurutnya, debat antara kedua pemimpin itu sepatutnya dilihat dalam konteks lebih luas dan bukan atas pertimbangan politik semata-mata.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar debat Anwar-Najib disegerakan bagi membolehkan rakyat menentukan siapakah lebih layak mentadbir negara ini pada pilihan raya umum kelak.

Beliau juga mencadangkan sekiranya debat itu diadakan, ia perlu disiar secara langsung bagi memberi peluang rakyat menilai secara adil dan bebas.

“Saya juga ingin menjawab dakwaan pemimpin Umno kononnya debat boleh diadakan di Parlimen.

“Soalnya Parlimen terhad dengan Najib mendapat kelebihan melalui Speaker BN yang menyokongnya selain tidak semua rakyat dapat melihat debat itu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian menggesa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mengadakan debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Keadilan Daily

PAS saran MUIP batal hasrat beli hotel

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 26 Jan: Selain memuji penjelasan pantas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, PAS Pahang hari ini turut menyarankan agar kerajaan negeri, khususnya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk membatalkan hasrat untuk membeli hotel MS Garden di Kuantan pada harga RM50 juta, yang didakwa akan menggunakan wang zakat.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa beliau menerima maklumat daripada pihak-pihak yang rapat dengan MUIP bahawa mereka berhasrat membeli hotel MS Garden dengan menggunakan wang zakat.

Tengku Abdullah, yang juga Yang Di-pertua MUIP hari ini bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.

"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya yang dipetik Sinar Harian.

Dalam reaksinya kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tinjauan awam mendapati rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan MUIP untuk membeli hotel, walaupun tidak menggunakan wang zakat.

Katanya, dalam keadaan masih ramai umat Islam berada ditahap kemiskinan tegar, institusi agama yang masih ketinggalan, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata kegagalan kerajaan negeri Pahang untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.

Antara kepincangan yang dimaksudkan beliau ialah seperti kegagalan melantik hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, pendakwaraya, Pengetua Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan puluhan kekosongan naib Qadhi dan wali hakim.

“Kesemua ini telah membawa kesusahan kepada masyarakat Islam di Pahang,” tegas beliau, sambil bertanya apakah objektif sebenar untuk kerajaan Pahang membeli hotel yang terletak di tengah kota ibu negeri Pahang.

“Jika keutamaannya adalah untuk meninggikan imej MUIP, bukankah lebih baik selesaikan ratusan kes syariah seperti perceraian, tuntutan harta dan lain yang masih tertunggak akibat kekurangan pegawai daripada membeli hotel?” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa ketika ini, rakyat Pahang masih menunggu tindakan kerajaan negeri untuk melaksanakan hasrat KDYMM Sultan Pahang bagi mewujudkan sekolah agama Bestari di Pahang. Bahkan, katanya, rakyat Pahang sedang tertunggu-tunggu usaha kerajaan negeri untuk mengatasi pelbagai kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah agama yang tidak lagi kelihatan, daripada pengumuman untuk membeli hotel mewah.

Tambahnya lagi, rata-rata rakyat berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengunakan puluhan juta wang zakat yang terkumpul kini bagi meninggikan syiar Islam terutamanya bagi memajukan bidang pendidikan.

“Alangkah baiknya kalau setiap sekolah agama diperuntukan RM200,000 bagi membaikpulih kerosakan dan penyediaan kemudahan pendidikan, bantuan pendidikan kepada para pelajar miskin serta menigkatkan bayaran bantuan kepada pelajar agama di Timur Tengah kerana Pahang antara yang paling sedikit bantuan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Selari dengan tuntutan dan hasrat rakyat, PAS Pahang menyarankan kerajaan negeri Pahang khususnya MUIP untuk membatalkan hasrat membeli hotel mewah sebanyak RM50 juta itu.

“Dana tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat Pahang dan Islam,” tegas beliau.

Najib didesak selesaikan projek terbengkalai di Tanjung Agas

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN, 26 Jan: Kegagalan projek mega Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjung Agas (TAOGLIP) yang dianggarkan bernilai RM8 bilion di sini, terus dipersoalkan penduduk.

Pada asalnya projek gah yang pernah menarik perhatian negara di parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini diuar-uarkan bakal memberi nikmat besar kepada penduduk termasuk 3,000 peluang pekerjaan baru di samping menyediakan peluang perniagaan.

Harapan penduduk juga turut berbunga kerana daerah mereka bakal setanding dengan bandar besar seperti Kelang apabila siapnya projek raksasa di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) itu.

Namun setelah dua tahun diumumkan oleh Perdana Menteri, projek di atas tanah seluas 4,700 ekar itu yang siap hanyalah lebuh raya sepanjang 15 kilometer menghubungkan Jalan Pekan-Rompin ke tapak projek. Itupun telah rosak teruk akibat hakisan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati banyak hutan telah dimusnahkan, pasir sudah dikorek merata-rata dan binaan batu pemecah ombak pula menyusahkan nelayan kampung Tanjung Agas untuk keluar mencari rezeki kerana terpaksa mengikut Kuala Pahang.

Jalan masuk utama melalui lebuh raya bernilai RM340 juta ke projek berkenaan di Batu 5, dikawal syarikat keselamatan sementara jalan mengikut kampung Tanjung Agas ditutup dengan batu pemecah ombak yang dibina panjang.

Seorang penduduk Kapten (B) Ahiatuddin Daud berkata, projek Tanjung Agas dari awal lagi dianggap penduduk tidak munasabah boleh menjadi pengkalan (hub) minyak dan gas serta operasi perkapalan seperti yang dilaungkan kerajaan sebelum ini.

“Saya dengar projek ini sudah ditinggalkan atau pelabur tak sanggup berikutan lokasi tidak sesuai kerana airnya cetek, ombak kuat tanpa pelindung dan hakisan. Bayangkan sebuah padang golf di Batu 16 sudah ditelan laut, begitulah kuatnya hakisan,” katanya.

Projek yang sepatutnya beroperasi sepenuhnya tahun ini sebagaimana diumumkan perdana menteri itu akan menjalin usaha sama dengan sebuah syarikat dari Dubai Oilfields Supply Center Ltd (OSC) dengan pelaburan RM620 juta sementara Kerajaan Negeri Pahang akan memiliki ekuiti 30% melalui anak syarikatnya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, kos untuk infrastruktur sahaja menelan belanja RM2 bilion sehingga bakal menjadi pusat sehenti moden pertama untuk industri maritim, minyak dan gas di Malaysia di samping projek-projek komersil dan perumahan.

Apabila siap ia akan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sokongan menyeluruh untuk syarikat tempatan dan antarabangsa yang terbabit dalam operasi penerokaan, eksploitasi dan pengeluaran minyak dan gas luar pesisir perairan Malaysia serta perairan di sekitar Laut China Selatan.

“Hutan kayu bakau serta Hutan Simpan Paya Laut Sungai Miang sudah ditebang sedangkan pokok bakau secara semula jadinya ialah untuk menahan ombak kuat seperti tsunami, tetapi kalau dah dimusnahkan apa-apa berlaku sekarang memang susah.

“Pasir juga sudah dikorek merata-rata. Tidakkah ini memberi kesan buruk kepada alam sekitar?,” soalnya.

Sementara itu, seorang penduduk mendakwa kontraktor telah mengorek pasir dan membuat sekatan di tanahnya tanpa membayar sebarang sewaan.

Ketika projek gergasi itu diisytiharkan dulu, PAS Pahang pernah memberi amaran projek Tanjung Agas yang mengaut wang daripada khazanah negara akan menerima nasib seperti skandal Port Klang Free Zone dengan (PKFZ) yang belum selesai dibicarakan di mahkamah.

“Kita dengar Najib berkempen, pilih BN dan semua masalah akan selesai. Jadi sekarang kita minta beliau selesaikan dulu masalah projek terbengkalai di kawasan parlimennya,” kata Kapten Ahiatuddin.

Harakah Daily

Inspektor polis dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang pegawai polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pemandu teksi kira-kira tiga tahun lepas.

Inspektor Mohd Firdaus Mohd Japar, 26, dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes adik pemandu teksi itu dan rakannya yang ditahan bagi siasatan kes samun dan rompak.

Mohd Firdaus didakwa menerima RM3,000 daripada Norman Sapingai, 31, di Balai Polis Sungai Buloh pada 23 Feb, 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan dari 2 hingga 6 April.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mahamad Sukri Abu Seman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Nawab Zadah Khan.- Bernama

Sinar Harian

MAULIDUR RASUL SUBURI KECINTAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! ِاتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Sama-samalah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana berkesempatan sekali lagi bersua dengan Bulan Rabiulawal, iaitu bulan di mana kita memperingati dan meraikan hari ulang tahun keputeraan Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW menjelang tanggal 12 Rabiulawal.

Kita memperingati dan meraikan hari yang mulia dan bersejarah berkenaan dengan tujuan menyubur kembali perasaan kasih dan cinta kita kepada Nabi SAW, dalam erti kata mempertingkatkan lagi keazaman dan usaha menjadikan sirah serta sunnah baginda sebagai contoh ikutan dalam melayari bahtera kehidupan seharian. Sesungguhnya, mencontohi serta meneladani sirah dan sunnah Nabi SAW merupakan antara perbuatan mendaulat dan memuliakan ajaran serta syiar Islam kesan daripada wujudnya sifat takwa sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

ذَ‌ٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـآئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾
”...Dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (S. Al-Hajj: 32).

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!
Asas dan bukti keimanan seseorang Muslim dalam menegakkan Islam terletak pada perasaan cinta dan kasih yang teramat sangat terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya harus mengatasi perasaan cinta dan kasih kepada yang lain termasuk ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, harta benda dan sebagainya. Pernyataan ini sejajar dengan firman Allah:-

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَ‌ٰنُكُمْ وَأَزْوَ‌ٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَ‌ٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌۭ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍۢ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ ﴿٢٤﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka).” (S. At-Taubah: 24).

Ayat ini mengingatkan manusia khususnya umat Islam bahawa perasaan cinta dan kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW hendaklah melebihi rasa cinta dan kasih kepada yang lain. Ini kerana dari rasa cinta dan kasih itulah akan lahir semangat dan keazaman yang kuat untuk menuruti serta mematuhi segala suruhan dan larangan Allah dan Rasulullah SAW dengan penuh istiqamah.

Malah, cinta dan kasih itulah yang akan menyemarakkan semangat untuk berjihad atau berusaha menegakkan peraturan dan hidayah Allah di alam ini. Ia selaras dengan penyaksian serta pengakuan kita bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Dalam pada itu, kesempurnaan Iman seseorang Muslim itu juga diukur berdasarkan kepada tahap kecintaan dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW. Maknanya, mencintai Rasulullah SAW harus melebihi perasaan cinta kepada diri sendiri dan segala sesuatu yang dimiliki. Hal ini ditegaskan baginda melalui sabdanya:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
“Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Malah, cintakan Nabi SAW juga menjadi pra-syarat untuk memperoleh kemanisan iman. Hal ini dijelaskan baginda melalui sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka.” (HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i).

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA!

Persoalannya, bagaimana hendak mencintai Rasulullah mengatasi orang dan harta yang sangat disayangi? Caranya sudah tentulah dengan mengikuti segala tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam mengharungi kehidupan berpandukan al-Quran dan sunnahnya. Tatacara ini disarankan oleh Allah melalui firman-Nya:-

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Ayat ini menjelaskan bahawa rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW bukanlah setakat mengucapkan ”kami cinta Rasulullah”. Perasaan cinta dan kasih kepada baginda SAW perlu dizahirkan dan diterjemahkan melalui perlaksanaan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Dalam erti kata yang lain, umat Islam perlu membuktikan rasa cinta dan kasih sayang masing-masing kepada Nabi SAW dengan menuruti segala ajaran baginda dalam segenap aspek kehidupan. Jika perilaku dan tindak tanduk seseorang Muslim itu bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka tidak layak dia dianggap mencintai dan mengasihi Allah SWT dan Rasul-Nya. Malah, orang yang mengingkari suruhan dan larangan Allah dan Rasul dianggap derhaka hatta bakal menerima azab yang maha pedih.

MUSLIMIN MUKMININ YANG DIRAHMATI ALLAH!

Ramai di kalangan generasi muda hari ini yang bukan saja liat mengerjakan suruhan Allah dan Rasulullah SAW, malah ada juga yang tidak kenal atau tidak tahu langsung mengenai insan kamil yang telah diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang, iaitu nur Islam. Mereka itu lebih kenal dan meminati artis-artis serta bintang-bintang sukan tertentu sehingga ada yang terikut-ikut dengan cara hidup mereka seperti cara mereka beraksi, berpakaian dan sebagainya. Akibatnya, ada yang kehilangan arah hidup lantaran hanyut dalam dunia keseronokan dan keterujaan memuja artis dan bintang sukan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Allah SWT telah jelaskan di dalam al-Quran bahawa hanyasanya insan yang berhak dan layak dijadikan contoh ikutan yang terbaik adalah Muhammad SAW, nabi akhir zaman yang diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah:-
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلآخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ﴿٢١﴾

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (S. Al-Ahzab: 21).

Sehubungan dengan firman Allah tersebut, Maka setiap panduan, tuntunan, perintah dan larangan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Akhlak, keimanan, ibadah, muamalat, pergaulan dan sebagainya perlulah mengikuti seperti yang diteladankan dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Cara ini selaras dengan saranan Allah SWT melalui firman-Nya:-

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ﴿٧﴾

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya itu. Dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (S. Al-Hasyr:7)

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI ALLAH!

Secara kebetulan, tarikh Maulidur Rasul tahun ini jatuh beriringan dengan Hari Valentine yang diraikan oleh orang Barat pada 14 Febuari setiap tahun. Namun, umat Islam wajib menghindari diri masing-masing daripada terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan perayaan Hari Valentine kerana perayaan itu membawa unsur yang merosakkan akidah dan akhlak umat Islam, khususnya golongan muda. Tambahan pula Rasulullah SAW melarang kita daripada meniru amalan bukan dari ajaran Islam sebagaimana sabda baginda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

"Siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka." (HR. Abu Daud, Ahmad dan lain-lain).

Oleh hal yang demikian, lupakan dan sisihkan sama sekali Hari Valentine dari laman hati, ingatan dan fikiran supaya tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang sesat dan rugi. Sebaliknya, suburi dan teguhkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan cara mematuhi segala ajaran al-Quran dan sunnahnya.

Syukurilah dan kenangilah segala pengorbanan serta perjuangan baginda menyibar risalah Islam dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT:-

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

”Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (S. Al-Ahzaab: 56).



Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Al-Quran Terbesar Di Dunia Dicipta

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sebuah kitab suci Al-quran yang dikatakan terbesar di dunia telah berjaya dihasilkan di ibu kota Afghanistan, Kabul.

Ia secara tidak langsung menunjukkan kepada dunia, walaupun lebih 30 tahun terlibat dalam kancah peperangan, warisan Afghanistan yang kaya dengan budaya belum mampu dimusnahkan secara total.

Penulis khat, Mohammed Sabeer Khedri Hussani, 52, dan sembilan pelatihnya bertungkus-lumus bekerja selama 18 jam sehari, tujuh hari seminggu, untuk mencipta karya agung itu.

Sabeer memberitahu CBS News, Al-Quran tersebut dihasilkan kerana minat dan dia berbangga dengan pencapaiannya.

” Saya sangat gembira apabila ramai yang datang berhimpun setiap hari untuk melihat kaligrafi saya, bangga rasanya,” katanya.

Kitab suci yang berukuran lebih daripada tujuh kaki panjang dan lima kaki lebar itu telah diperakui sebagai Al-Quran terbesar di dunia oleh Kementerian Haji dan Hal Ehwal Agama Afghanistan.

Ia seberat 1,102 paun dan mempunyai 218 muka surat kain serta kertas yang terikat di dalam penutup kulit yang diperbuat daripada 21 ekor kambing.

Sabeer berkata, kitab suci itu menelan belanja sebanyak sejuta dolar untuk dihasilkan.

Ia dibiayai Alhaj Sayed Mansoor Naderi.

Al-Quran tersebut menggabungkan skrip emas dengan berjuta-juta titik kecil yang berwarna-warni, yang membentuk hiasan sangat simbolik di sekitar muka surat gergasi itu.

” Saya mahu menggunakan seberapa banyak yang mungkin warna-warna yang menarik bagi membolehkan ia kelihatan cantik,” kata Hussani.

Kitab suci itu sebenarnya telah siap pada tahun 2009, tetapi disebabkan saiznya, sebuah bilik terpaksa dibina di pusat kebudayaan itu.

Pusat kebudayaan tersebut pada asalnya ditubuhkan sekitar tahun 80an dan pernah menempatkan 50 ribu judul buku, menjadi sebuah pusat perubatan dan sekolah yang mengajar kraf tradisional Afghanistan seperti tenunan permaidani.

Namun sebahagian besar daripada bangunan itu musnah pada tahun 1990 ketika berlakunya perang.

Para pengasas pusat itu telah memulihkan semula bangunan itu sejak kejatuhan kerajaan Taliban pada tahun 2001, dan Al-quran baru itu adalah barang pameran utamanya.

Mynewshub

Sombong bukan akhlak ahli PAS

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” - (Al-Mukmin: 60).

Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat.

Imam Al-Ghazali berkata:

“Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.”

Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.

Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pemimpin jamaah terutamanya. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.

Sifat ini boleh membawa kebinasaan kepada petugas dan pemimpin jamaah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia dan jamaah.

Orang yang takbur mereka lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim:

Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]

Tanda-tanda sifat takbur dalam berbagai bentuk

-Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya suka memandang berat kepada golongan kaya dan orang kenamaan.
-Mengambil berat secara berlebihan dalam pakaian.
-Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang.
-Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga dengan berlebihan sehingga sukar difahami. Inilah yang diperingat oleh baginda nabi Muhammad SAW

“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih (rumput) dengan lidahnya” (Abu Daud dan al-Tirmizi)

-Kagum dengan ilmu sendiri dan membodohkan orang lain

Cara untuk mengubat

Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaduk. Orang yang tawaduk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang. Beliau sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.

Sebagai ahli PAS hendaklah mesti bersikap rendah diri sama ada sesama anggota atau dengan orang lain lebih-lebih lagi yang bertaraf pemimpin. Railah ahli PAS, bukan wang yang mereka minta. Mereka hanya perlukan senyuman, teguran dan sentuhan daripada pemimpin. Ini sahaja yang mereka minta. Mereka tidak minta upah semasa mereka memenangkan kita sebagai wakil rakyat. Mereka meninggalkan kerja harian, untuk bertugas kepada calon yang bertanding, walaupun keluarga mereka memerlukan perbelanjaan harian. Mereka tidak pernah merungut dan mengeluh terhadap curahan tenaga mereka yang tidak pernah dibayar.

Walaupun kita bijak macam mana sekalipun, dia perlu membuang sifat ego daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam jamaah insyaAllah ia akan merancakkan kerja jamaah dan dapat melebarkan pengaruh PAS kepada orang luar. Sekiranya ahli dan pemimpin PAS dengan sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong tidak boleh kekal lama dalam Pas dan memajukan jamaah dengan lebih cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah.

Abdullah Ibn Masud ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu berputus asa dan rasa bangga diri.

Sifat tawadhuk akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang dibawa oleh PAS. Mereka apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang memulakan salam dengan semua yang ditemuinya. Mereka bersikap sederhana ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis. Mereka makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya dan berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah hati.

Firman Allah s.w.t

“Dan hamba Allah yang baik; ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan (kesejahteraan) (al-Furqan: 63)

Merendah diri dan menerima kebenaran dan bersedia mengikutnya sekalipun orang-orang jahil menasihatinya. Takabbur atau sombong sangat dibenci oleh Allah dan juga oleh manusia lain. Kemuliaan di sisi Allah diukur dari segi ketaqwaan seseorang itu bukannya pangkat, harta dan lain-lain.

Juga sabdanya s.a.w.:

“Barangsiapa yang merendahkan diri kerana Allah, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah dan barangsiapa yang sombong, maka direndahkan tingkatnya oleh Allah.”

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawadhuk sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain” (Muslim dan Abu Daud) Nasih : 38

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita.

Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya.

Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Harakah Daily

Jika popular, kenapa Najib takut berdebat dengan Anwar?

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak perlu takut untuk menyambut cabaran debat yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi beliau dikatakan lebih popular berbanding Ketua Pembangkang itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dengan populariti Najib yang dikatakan sedang meningkat naik, maka cabaran debat tersebut adalah peluang terbaik untuk beliau mengutarakan visi dan misi beliau.

"Populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia," ujar Riduan.

Menurut beliau lagi, banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

Malah baginya, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini.

Suasana juga ujarnya sudah berubah di mana rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima.

Rakyat tegasnya memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua.

"Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja.

"Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit," tegasnya.

Mengulas lanjut, Riduan berkata, debat yang bakal dianjurkan ini bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang.

"Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan.

"Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan," soalnya tegas.

Harakah Daily

Hadits : Amal Kebaikan dan Keburukan.

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rasulullah SAW bersabda : "Maka barang siapa telah berniat untuk berbuat suatu kebaikan, tetapi tidak melakukannya, maka Allah SWT mencatatnya sebagai satu amal kebaikan. Jika ia berniat baik lalu ia melakukannya, maka Allah SWT mencatatnya berupa sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali lipat, bahkan masih dilipatgandakan lagi.

Dan barang siapa berniat amal keburukan namun tidak melakukannya, Allah SWT akan mencatatnya sebagai amal kebaikan yang utuh, dan bila ia berniat dan melakukannya, maka Allah SWT mencatatnya sebagai satu amal keburukan."

(HR. Bukhori dan Muslim)

Muhammad manusia agung

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MUHAMMAD (SAW) ADALAH UTUSAN DAN CIPTAAN ALLAH YANG MAHA AGUNG

Muhammad (SAW) Ibn Abdullah adalah Rasul dan Nabi Pilihan. Rasul Terakhir kepada manusia ini merupakan ciptaan Allah yang Maha Agung.Kehebatan Muhammad (SAW) terserlah dalam semua semua aspek, suatu yang tidak perlu dipertikaikan. Baginda dipilih di kalangan manusia kerana baginda adalah Nabi dari segi teori dan praktikal kehidupan manusia dalam segenap kehidupan. Adab akhlaknya dibentuk dan diprogramkan sempurna sebagai makhluk oleh Allah Taala dari kecil sehinggalah ke tempoh kewafatannya.

Baginda adalah nabi yang berkahwin, makan, minum dan tinggal di kediamannya. Namun kadar yang dinikmati oleh Rasulullah SAW adalah kadar paling sederhana dan berhemat yang menunjukkan gaya hidup dan kondisi pemimpin yang dihormati bukan kerana kemewahannya untuk diri tetapi banyak disumbangkan untuk keperluan dan kepentingan ummat, sekaligus keluarga dan para sahabatnya.

Baginda memulakan hidup berkelamin di usia 25 tahun dan mengamalkan monogami selama 27 tahun bersama wanita yang paling mulia yang dicintainya sepenuh hati iaitulah Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah r.a. Setelah kewafatan Khadijah, dan baginda saw berhijrah, baginda beristeri dengan beberapa orang wanita yang kemudiannya digelar Ummahatul Mukminin.

Terpanggil dengan kontroversi terbaru oleh OWC tentang penonjolan Rasulullah saw sebagai “Ikon Seks Suci”, saya merasa amat prihatin untuk mengulas dengan pendidikan berumahtangga yang disaran oleh Rasulullah saw. Mengapa ada yang tergamak untuk meletak slogan dan label sedemikian? Adakah dengan tidak memberikan anugerah ini berkurangnya kehebatan Rasulullah saw dari aspek perkahwinan? Apa justifikasi mereka untuk berkata demikian?

Banyak sudut yang boleh diulas dengan Qudwah (Contoh) Rasulullah saw dlm memimpin isteri-isteri dan anak menantunya. Pelbagai etika dan adab yang perlu diikuti oleh orang yang telah ditakdirkan sampai jodoh dan ada yang menjalani kehidupan berkeluarga sebagai anak dan adik beradik.

Kita pada hari ini walaupun hanya memiliki dan melayan seorang isteripun GAGAL untuk solat sunat dan puasa sunat. Puasa wajib pun sekadar cukup tinggal makan minum sahaja. Kita sering alpa dan tidak ada kekuatan untuk bangun bertahajjud dan qiyamullail. Kita jarang bahkan mungkin tidak pernah berkhulwah selama sebulan. Kita tidak rajin untuk bertaddarus dan beriktikaf 10 akhir Ramadhan.

Kita culas untuk solat berjamaah apatah lagi memimpin solat setiap waktu dan selalu tidak upaya lekat wudhu'. Kita tidak pernah dapat aduan ada suami hari ini yang solat sehingga bengkak kakinya dan yang bersedekah sehingga dia dan keluarganya tidak punya apa untuk dimakan. Kita juga makan daging dan lauk sehingga kini sering sakit dengan pelbagai macam penyakit kerana terlebih makan!

Nah, Nabi saw berpesan bahawa antara ciri solehahnya isteri itu bilamana dia amanah dalam merahsiakan hal ehwal dalaman dan tempat tidur suaminya. Soal hubungan kelamin tidak pernah menjadi tajuk awam dalam perbicaraan Rasulullah saw kerana baginda memuliakan perkahwinan dan soal intimasi suami isteri adalah hak peribadi yang dilindungi dan difahami.

Majoriti hadith berkait dengan soal kekeluargaan menyentuh santunnya Rasulullah saw melayan anak isterinya dalam semua tahap dan keadaan. Sabarnya ketika meleraikan konflik isteri kesayangan, Aisyah r.a yang difitnah jijik. Psikologi dan diplomasi baginda ketika mendamaikan isteri-isteri akibat cemburu merebut kasih sayangnya.

Hebatnya isteri kerana bukan setakat boleh berkorban makan tapi berkorban giliran. Giliran bersama isteri juga banyak dihabiskan dengan mereka turut serta dalam medan peperangan dan dakwah.

Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.,Maimunah r.a, Hafsah r.a, Juwairiyyah r.a,Sofiyyah r.a dan Ummu Salamah semuanya menjurus ke arah tegarnya komitmen Rasulullah saw terhadap ibadat dalam kehidupan malamnya. Tidak berbuat apapun baginda saw melainkan ianya atas tujuan ibadat hatta untuk bersama isterinya.

Baginda saw berjaya mendidik isteri-isterinya yang baru memeluk Islam untuk turut berqiyamullail dan beriktikaf bersamanya. Ada baiknya untuk kita ketahui bahawa bila beramal seumpama itu di waktu malam ianya mesti dalam keadaan berwudhu' dan tak pernah alpa dan asyik dengan aktiviti badaniah dan seksual yang boleh memenatkan dan merencatkan amalan qiyamullail akibat keletihan.

Makanan ruji dan sajian Rasulullah saw adalah amat ringkas dan mudah. Baginda tidak mengambil vitamin dan pelbagai “pil penguat” kerana Islam mengajar hubungan suami isteri di bilik tidur adalah sebahagian proses untuk mendapatkan zuriat yang soleh bukan atas landasan melampiaskan nafsu yang sentiasa berkobar. Klimaks kemesraan dan kemanjaan bertempat dan sahih serta terhormat antara lelaki dan wanita menyebabkan semua sahabat berlumba untuk berkahwin.

Banyak masa siangnya dihabiskan di luar rumah sebagai “hablun minannas” dan masa malamnya digunakan untuk mengabdi diri dengan meningkatkan hubungan “hablun minaLlah”.



Jadi, adalah kurang molek dan mencemar fokus kalau ketaatan isteri dan kecintaan suami itu ditumpukan pada aspek seksual yang lebih bersifat fizikal dan sementara.

Mengatur dan meletakkan had dan aras dalam hubungan kelamin adalah wajar dan perlu dalam Islam kerana andai tidak dijelaskan manusia mungkin meniru gaya dan kekerapan binatang dan haiwan dalam melakukan hubungan jenis. Seks adalah perkara fitrah tetapi ia harus dipupuk supaya ia menjadi hubungan suci lagi murni bukan keperluan hakiki yang wajib dinikmati setiap ketika atas alasan kerana telah bernikah.

Suami isteri yang tua lagi uzur, mereka masih mempunyai cukup ruang untuk meluahkan kasih sayang dengan sifat mawaddah, ihsan dan rahmah sehingga wujud sakinah dalam rumahtangga dan kehidupan. Organ seks bukanlah kemuncak alat dalam kehidupan yang perlu diagungkan dan manusia yang tidak memilikinya serta menikmatinya dianggap kurang dan tidak sempurna!

Manusia itu sempurna dengan minda, badan, emosi dan spiritual yang sihat dan cerdas. Nabi Isa a.s dan ibunya maryam tidak pernah berkahwin tetapi terbukti mereka masing-masing adalah Rasul Ulul Azmi dan antara 4 perempuan yang paling mulia dalam Islam. Mereka tetap Idola kita sebagai umat Islam. Imam Nawawi juga tidak sempat berkahwin tetapi hadith arbain susunannya tetap unggul dan bermakna untuk kelangsungan ummah.

Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw dan menjalani dan mengurus isteri dan rumahtangga adalah cabaran besar dan rutin yang menuntut ilmu dan hikmah sepanjang masa bukan hanya seks. Aktiviti seks mungkin memakan tempoh 30 minit dalam seminggu atau dalam tempoh 3 bulan jadi adalah tidak munasabah kalau ukuran kehebatan Islam itu diukur dan dilabel dengan fokus itu dan ke situ! Seolah kita juga kini terjerumus dan menjerumuskan masyarakat ke dalam minda “hanya kepuasan seks” segala-galanya.

24 jam bersama suami dan 30 tahun berumahtangga memerlukan kesyumulan contoh dari Rasulullah saw melayari kehidupan. Bukan terhenti atau terikat dengan aktiviti seksual semata. Rasulullah saw diangkat menjadi nabi ketika usianya menjangkau 40 tahun dan mempunyai had masa 23 tahun untuk menyampaikan dan menyempurnakan keseluruhan aspek sosial,politik dan ekonomi Islam yang diwariskan kepada ummat sehingga qiamat.

Piawaian lelaki dan manusia terbaik di kalangan semua ummat adalah lelaki yang paling baik layanan dan penghormatan kepada isteri dan keluarganya. Islam bukan agama hipokrit dan bermotif dengan menyayangi isteri dan anak kerana pulangan khidmat dan balasan seksual dan fizikal tetapi kerana itu adalah hak dan hudud yang ditetapkan oleh Allah swt.

Rasulullah saw pengangkat martabat wanita dan lelaki serta anak-anak dengan setinggi-tingginya dengan penganugerahan hak layanan, penghormatan nasab, harta,nafkah dan pusaka dengan sepatah kata "aku terima nikahnya".

Saya yakin dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang menyanjung dan ingin mengamalkan sunnah kehidupan berkeluarga Rasulullah saw yang syumul dan lebih banyak dibuat oleh baginda di luar bilik tidur.

Maka, marilah kita berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah saw kerana kemuliaannya , jasa pengorbanannya dan sopannya menghargai wanita dan keluarga sebagai manusia yang punya hak dan kemahuan bukan objek seks sebagaimana kefahaman barat mengenai wanita. Janganlah kita terperangkap dan terjerat oleh kehendak dan fahaman mereka mengenai rumahtangga dan perkahwinan.

Berkahwin itu adalah proses yang lebih mulia dan jangka panjang untuk ummah sifatnya dan antara dua keluarga dan masyarakat bukan berobjektifkan ketaatan fizikal individu dan penyerahan tubuh semata mata.

Percayalah, apapun aktiviti kita semuanya adalah untuk beribadah dan menggambarkan kehambaan kita kepada yang Maha Pencipta.


Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajmain.


MUMTAZ MD. NAWI
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengamal Undang-Undang Sivil dan Syarie

Harakah Daily

Nafi sahaja tak cukup, Rosmah perlu saman

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 26 Jan: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor terus dicabar agar menyaman akhbar Australia Sydney Morning Herald, kolumnis Andrew Hornery dan pereka fesyen, Carl Kapp yang didakwanya telah memfitnah dirinya.

Cabaran itu kali ini dikemukakan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jingga 13 yang juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertindak menyiasat dakwaan akhbar itu bahawa Rosmah berbelanja lebih RM300,000 di sebuah butik di Australia.

"Sesiapa pun boleh menafikan dan menganggap menjadi mangsa atau ianya adalah merupakan berita karut, liar dan tidak benar, sedangkan tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap segala laporan yang dibuat," kata ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.

"Bukan sahaja berbelanja mewah tetapi beliau bersama suaminya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah menginap di Hotel Darling, Sydney dengan kos RM65,100 semalam, termasuk juga perkhidmatan tempat letak kereta khas untuk limosin beliau," ujar Fariz lagi.

Laporan ke SPRM turut dibuat oleh NGO itu hari ini yang diwakili Mohd Azuan Ab Rahman di Pejabat SPRM Shah Alam dengan memetik laporan di dalam seksyen 'Private Sydney' yang disiarkan akhbar Australia Sydney Morning Herald sebagai bahan bukti.

Sebelum ini beberapa pihak turut mencabar Isteri perdana menteri itu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Autralia itu jika benar ianya adalah fitnah.

Malah bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam responya sebelum ini, beliau menganggap penafian dari rosmah itu bukan sesuatu yang pelik malah memang sudah dijangka.

Biarpun penafian dibuat Rosmah, kolumnis Andrew Hornery dalam satu kenyataan balas kemudiannya mempertahan tulisannya dengan mendakwa ianya sah dan benar.

Harakah Daily

Geram: Platform anak lakukan perubahan PRU13

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) akan melancarkan Gerakan Anak Muda (Geram) Kuala Lumpur bagi menerajui kebangkitan anak-anak muda khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan.

Majlis pelancarannya akan diadakan pada 28 Januari ini, bermula jam 8.00 malam bertempat di Darul Ummah, No. 44, Jalan Dua, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan akan disempurnakan oleh Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Ketua Pemuda DPPKT, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, diijangkakan seramai 150 anak-anak muda sekitar Kuala Lumpur akan hadir pada majlis tersebut.

“Sesuai dengan namanya, Geram adalah platform bagi anak muda melepaskan amarah dan amukan mereka melihat segala kebobrokan dan keabsahan yang berlaku dalam negara ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, anak muda pastinya geram melihat telatah pemimpin negara yang meratah harta rakyat demi kepentingan diri mereka sendiri.

Katanya, issu penyelewengan wang zakat, penyelewengan kuasa dalam isu skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), kelulusan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang mengenepikan hak penduduk, rampasan tanah rakyat di Kuala Lumpur, Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Akta Pekerja dan lain-lain adalah episod kemarahan anak muda terhadap pemerintah.

Selain itu, katanya kadar pengangguran yang meningkat, kos sara hidup yang bertambah serta kadar jenayah terutama di ibu kota yang bertambah semakin menaikkan suhu kemarahan anak-anak muda.

“Anak Muda merasa geram kerana selama berpuluh tahun negara merdeka, dan dengan limpahan kekayaan harta negara, kehidupan rakyat di ibu kota masih tidak berubah,” katanya.

Menurutnya lagi, masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan, gagal memiliki rumah sendiri, keselamatan mereka dan keluarga sentiasa terancam, serta pendapatan yang jauh dari kemampuan sebenar mereka.

Katanya, kebanyakan anak muda merasa hampa kerana pemerintah yang mereka letakkan harapan untuk membela mereka gagal membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat yang semakin terbelenggu dengan faktor kemiskinan bandar.

“Geram adalah landasan terbaik mengumpulkan anak-anak muda bagi menyatakan noktah terakhir kepada Umno BN dalam PRU ke 13. Bermula dari titik itu, Geram akan terus meluncur laju sesuai dengan kehendak anak-anak muda,” ujarnya lagi.

Beliau memebritahu, taqwim aktiviti disajikan sebagai menarik anak-anak muda menyertai Geram, antaranya Hi Tea Anak-anak Muda PPR Jelatek bersama artis terkenal serta pimpinan PAS Pusat pada 19 Februari 2012, Santai Anak Muda dan BBQ di Desa Pandan pada 24 Februari 2012, ‘Lunch Hour’ Anak Muda Alam Shah pada 25 Februari 2012 di kawasan sekitar Masjid Alam Shah, Konvoi dan Rehlah Anak Muda Kampung Baru di Sungai Sendat pada 4 Mac 2012, serta Pertandingan Futsal Inter Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Titiwangsa pada 25 Mac 2012.

Katanyha, kemuncak daripada ini adalah program talk show yang akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus bersama artis terkenal tanahair yang akan diumumkan tarikhnya kelak.

Jelasnya, Geram bertekad mahu membina sebuah lanskap baru politik Malaysia yang bersih dan bebas dari penyelewengan dan mengangkat pemimpin yang cakna kebajikan rakyat terutama anak-anak muda.

“Anak Muda wajib berubah, demi selamatkan Malaysia,” tegasnya.

Harakah Daily

BN jangan lagi tipu rakyat, ambil pengajaran Mesir

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Jan: PAS menerusi Lajnah Antarabangsanya mendesak Kerajaan BN agar jangan lagi terus menipu rakyat menerusi pelbagai janji manis untuk melakukan perubahan terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini.

Sebaliknya, kesemua janji tersebut mestilah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih, adil dan telus seperti yang dituntut oleh rakyat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkembangan terkini yang berlaku di seluruh dunia terutama di Timur Tengah amat perlu dijadikan pengajaran oleh kerajaan bagi menjaga imej negara.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan BN tidak juga mengambil iktibar terhadap kebangkitan rakyat terutama di Timur Tengah, kejadian yang sama juga pasti akan turut berlaku di negara ini yang akan memaksa rakyat bangkit ke jalan-jalan raya.

Katanya, fenomena di seluruh dunia terutama di Timur Tengah kini ternyata telah berubah yang jelas menunjukkan rakyat sudah tidak boleh disekat lagi untuk menikmati perubahan dalam pemerintahan ke arah yang lebih baik.

"Di Mesir setelah rakyat berpeluang membuat pemilihan sendiri, setelah kerajaan kuku besi regim Mubarak digulingkan oleh rakyatnya sendiri, rakyat negara itu ternyata telah memilih parti Islam untuk memerintah negara itu.

"Ini sememangnya satu perkembangan menarik yang menunjukkan rakyat di seluruh dunia kini sudah tidak lagi mampu disekat oleh kerajaan yang memerintah bagi membolehkan mereka menikmati perubahan ke arah yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir pada Sabtu, 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen).

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini merupakan parti utama yang menerajui kerajaan Mesir, sejajar dengan keinginan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik di bawah pemerintahan kerajaan baru di negara itu.

Menurut Kamarudin, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat sememangnya mengikuti dengan baik perkembangan yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Timur Tengah.

Katanya, sebelum parti Ikhwanul Muslimin di Mesir berjaya menjadi parti yang utama bagi kerajaan baru yang memerintah negara itu, perkembangan yang memihak kepada rakyat juga telah berlaku terlebih dahulu di Tunisia.

"Kami sememangnya berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir dan Tunisia itu dan perkembangan yang sama pasti akan turut berlaku di seluruh dunia.

"Di negara kita juga, sekiranya pilihanraya dilaksanakan dengan bersih, adil dan telus, Kerajaan BN dah lama tumbang, tetapi kini sekiranya kerajaan tidak juga berubah, pengalaman rakyat Mesir dan Tunisia itu pasti akan dijadikan pengajaran oleh rakyat negara ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan, malah rakyat di negara kita kini telah mulai bangkit sehingga menyebabkan mereka menjadi begitu waspada dengan segala janji manis yang ditaburkan oleh pihak Kerajaan BN agar tidak tertipu lagi seperti sebelum ini.

"Rakyat berharap agar kerajaan tidak lagi terus menekan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawabnya dengan bebas dan baik, termasuk dengan melaksanakan 8 tuntutan Bersih dan seperti yang turut dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini," tegasnya.

Lapan tuntutan Bersih yang dimaksudkan oleh beliau itu termasuklah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Harakah Daily

Mazlan dedah kandungan perjanjian Felda-FGVH

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini tampil mendedahkan isi perjanjian di antara Felda Holdings dengan Felda Global Ventures Holding Sdn Bhd (FGVH) yang disifatkan sebagai berat sebelah dan menindas peneroka.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya berbuat demikian kerana peneroka langsung tidak mengetahui perjanjian di antara kedua-dua pihak itu dalam usaha penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Antaranya, jika perjanjian itu ditandatangani, segala kuasa akan jatuh kepada FGVH dan Felda akan hilang fungsinya sebagai institusi tanah milik Orang Melayu.

"Felda tidak punya apa-apa peranan, jadi seperti patung yang tidak punya kekuatan.

"Segala urus niaga akan diurus oleh FGVH dan FGVH mendapat kenikmatan aman sentosa," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS pusat itu turut berkata, pihaknya akan membuat pendedahan secara bersiri dan ini merupakan pendedahan yang pertama.

Ini kerana segala pandangan dan bantahan mereka terhadap penyenaraian tersebut tidak diterima kerajaan.

"Anak sudah bagi masa yang cukup kepada kerajaan khususnya perdana menteri untuk membuat pertimbangan terhadap penyenaraian ini.

"Sudah tiba masanya kami membuat pendedahan demi pendedahan kerana peneroka tidak tahu isi kandungan dan terma perjanjian sebaliknya peneroka terpengaruh dengan dakyah kerajaan bahawa penyenaraian itu memberi kesenangan kepada peneroka," katanya.

Kandungan perjanjian itu antaranya juga menyebut tanah Felda seluas 360, 067 hektar yang kini diurus Felda Plantations Snd Bhd (FPSB) akan dipajak kepada FGVH.

Selain itu, perjanjian tersebuty menyatakan, jika peneroka ingin mendapatkan aset dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), mereka terpaksa menjual hasil perahan kelapa sawit kepada kilang milik FGVH.

"Kalau polisi itu dibuat, ia akan merugikan peneroka dan saya menjangkakan bukan sahaja soal nak salurkan hasil jadi masalah tapi tanah 10 ekar yng dimiliki peneroka akan terjejas.

"Memanglah Isa Samad kata tak usik tanah peneroka tapi secara tak langsung kesan dihadapi ke atas peneroka," kata Mazlan lagi.

Perjanjian tersebut turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk dipersetujui.

Setakat ini, semua negeri Pakatan Rakyat bersetuju untuk menyerahkan tanah kepada Felda untuk dipajak kepada FGVH.

"Negeri-negeri PR tidak akan serah tanah Felda untuk dipajak tapi kita akan tetap buat roadshow dan bertamu dengan menteri-menteri besar dan wakil-wakil peneroka bagi jelas isu penyenaraian ini," katanya.

Felda defisit RM1.5 bilion

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa Anak, Dr. Rosli Yaakob yang juga pakar ekonomi melahirkan kebimbangan terhadap jangkaan defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion yang akan dialami Felda apabila menyerahkan tanah kepada FGVH.

Menurut Perjanjian Pajakan Tanah tersebut, Felda hanya menerima bayaran RM251 juta sahaja setahun setelah Felda menjual semua saham di dalam FGVH.

Ini akan membolehkan Felda mendapat wang lebih kurang RM5.9 bilion berdasarkan penilaian FGVH dan berdasarkan 15 peratus keuntungan Operasi Pertanian atau perkongsian keuntungan tahunan yang bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah.

"Pendapatan Felda daripada sekitar RM2 hingga 2.3 bilion setahun akan tinggal 508 juta sahaja. Itu pun jika harga komoditi berada di paras stabil seperti sekarang.

"Manakala perbelanjaan Felda tahun 2010 sahaja mencecah RM1, 980 juta. Felda akan mengalami defisit tahunan sekitar RM1.5 bikion. Siapa yang akan menampung kekurangan pendapatan Felda ini?" soalnya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.

Harakah Daily

Tekong dan pembantu dipenjara lapan tahun kerana seludup manusia

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI - Seorang tekong dan pembantunya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana menyeludup manusia ke negara ini.

Alexander Yub Kalang, 48, dan Mohd Jali Manaf, 32, dari Indonesia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan) 2010 yang membawa hukuman tidak lebih 15 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Agensi Pengkuatkuasa Maritim Malaysia yang melakukan rondaan telah menahan bot yang dikendalikan Alexander dan Mohd Jali di 0.6 batu nautika dari barat daya Tanjung Pengelih pada pukul 11.55 malam, 12 Jan lalu.

Ketika diperiksa, bot itu didapati membawa 45 imigran Indonesia berusia antara 25 hingga 55 tahun tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Hakim Salawati Djambari memerintahkan supaya hukuman dilaksanakan mulai tarikh tangkapan kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya APMM Mohd Safarizal Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

Sinar Harian