19 January 2012

Isu NFC: Shahrizat saman , Rafizi bersedia berdepan di mahkamah.

25 Safar 1433H. [MOD] -

Menteri pembangunan wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengemukakan saman ke atas dua orang pemimpin PKR ekoran kenyataan oleh kedua-dua individu berkenaan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

shahrizat wanita umno victory 250309 3Shahrizat dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan pengarah strategi parti itu, Rafizi Ramli telah memfitnah dan memburuk-buruk beliau.

Ketua wanita Umno itu, yang kini bercuti selama tiga minggu, menuntut RM50 juta untuk gantirugi umum dan RM50 juta untuk gantirugi teruk dan teladan.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata, saman itu dikemukakan dengan asas bahawa siasatan yang sedang berjalan itu diyakini akan membuktikan Shahrizat tidak bersalah.

Sementara itu, Rafizi dalam satu kenyataan media petang tadi berkata saman itu adalah tindakan politik untuk menutup mulutnya dan Zuraida daripada terus membuat pendedahan.

“Jika pimpinan Umno seperti Datuk Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

NONE“Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.

“Oleh itu, kami cukup bersedia dan teruja untuk berdepan dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil dan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak,” katanya.

Menurut Rafizi, beliau yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Oleh yang demikian, saya dan Zuraida bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.

“Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Shahrizat bahawa Ketua Wanita Umno itu juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang “mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang” yang didedahkan setakat ini.

Berita asal: Malaysiakini/-

Khalid lantik dua pegawai khas baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 19 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) telah melantik dua Pegawai Khas bagi membantu beliau dalam menjalankan portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang baru diambil alih semalam.

Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd V. Ganabatirau dipilih untuk memegang jawatan tersebut yang bertanggungjawab memastikan penyelarasan kerja-kerja pembaikan jalan dan parit yang dikelola Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan lancar.

"Pelantikan mereka berkuatkuasa serta merta dan Menteri Besar berharap kedua-duanya akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada rakyat Selangor," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat MB hari ini.

Semalam Khalid membuat rombakan kecil kepada exconya berikutan perlantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS.

Melalui rombakan itu, Khalid mengambil alih portfolio yang dipegang Hasan sebelum ini iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dr Yunus yang merupakan Pembantu Exco kepada Khalid sebelum ini diberikan portfolio yang dipegang beliau iaitu Belia dan Sukan di samping mengambil portfolio Hasan iaitu Adat Melayu.

ISU SAMPAH

Sementara itu, talian bebas tol (1-800-88-282) yang dibentuk kerajaan negeri untuk memantau isu kutipan sampah di negeri ini berjalan dengan baik.

Talian yang bermula dua hari lepas, 17 Januari itu mendapat sambutan baik dari orang ramai yang ingin mengadu masalah kutipan sampah di kawasan mereka.

"Kita pastikan, tindakan terhadap aduan itu dibuat dalam masa 48 jam," kata Arfa'eza Aziz, Setiausaha Akhbar MB Selangor kepada Harakahdaily.

Kerajaan negeri Selangor juga sudah mengeluarkan tender terbuka untuk melantik kontraktor bagi membuat kutipan sampah ini.

Ia dibuat ekoran pemberhentian syarikat Alam Flora dari menjadi kontraktor tunggal pengutipan sampah di Selangor.

Di samping itu, kata Arfa, setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah membuat skuad khas untuk memastikan kutipan sampah di seluruh negeri ini berjalan lancar.

"Di Shah Alam, Datuk Bandar turun sendiri (untuk memantau)," beritahu Arfa.

Harakah Daily

Beri singa makan daging

25 Safar 1433H. [MOD] -

SEORANG pekerja menggunakan kereta sorong untuk menghantar daging mentah untuk diberikan kepada sejumlah singa di kawasan ibu pejabat agensi Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya di Nairobi kelmarin.

NAIROBI - Sejumlah daging mentah disediakan di ibu pejabat agensi Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya untuk diberi makan kepada sejumlah singa yang dipelihara di sini.

Para pekerja akan mengerat bekalan daging mentah sebelum dihantar dengan menggunakan kereta sorong ke kandang haiwan itu.

Agensi Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya di sini ditubuhkan menerusi satu akta Parlimen dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mengenai hidupan liar. - Agensi

Hentikan biasiswa pengkhianatan kepada negara - Presiden PAS

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) kesal dengan ura-ura tindakan kerajaan memberhentikan biasiswa kepada pelajar sarjana dan PhD di beberapa universiti terkemuka dan dalam negara atas alasan kekurangan dana.

Ini kerana, bagi Abdul Hadi, pelajar terpilih ini merupakan aset penting negara yang perlu dibantu untuk maju dalam pelajaran mereka.

Namun, katanya, dipertengahan jalan, ianya terbantut disebabkan pemberhentian biasiswa oleh kerajaan.

Abdul Hadi berkata demikian dalam satu kenyataannya semalam.

Menurut beliau, PAS dimaklumkan bahawa pemberhentian biasiswa ini berkait rapat dengan usaha kerajaan mengecilkan dana kepada IPTA yang turut melibat sama pengecilan pengambilan kakitangan.

Ramai kakitangan diambil secara kontrak sahaja kerana IPTA kekurangan dana.
Bahkan ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun pun masih belum disahkan jawatan, katanya.

"Ia merupakan satu pengkhianatan dan penggadaian masa depan negara," kata beliau.

Dalam masa yang sama IPTA digalakkan berlumba 'ranking' di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh syarikat yang mempunyai kepentingan komersil tertentu.

PAS, katanya, tidak menolak usaha untuk meletakkan IPTA Malaysia di 'ranking' lebih baik di dunia, namun jika ia mengikat IPTA dengan syarat-syarat yang merugikan masa depan negara, ia perlu dihentikan.

Antaranya meluaskan pengambilan pelajar asing dan 'post-Graduate', dalam masa yang sama mengecilkan pengambilan pelajar tempatan di peringkat sarjana muda, kata beliau.

Tindakan ini, dakwa beliau, menyebabkan tempat untuk rakyat Malaysia belajar di IPTA terkemuka negara semakin mengecil dan tempat untuk warga asing pula terbuka luas semata-mata untuk penuhi syarat ditetapkan dalam perlumbaan 'ranking'.

Kesannya, dakwa Abdul Hadi, kerajaan berusaha untuk mengecilkan saiz jabatan-jabatan dan fakulti, mengecilkan pengambilan kakitangan dan pelajar di peringkat sarjana muda.

Lebih malang lagi, apabila pelajar diperingkat Master dan PhD yang sudah berada di semester kelima dan keenam dihentikan terus biasiswa yang merencatkan pembelajaran mereka.

"Oleh itu kita mendesak kerajaan, supaya mengembalikan skim biasiswa-siswazah kepada pelajar-pelajar tersebut dan menawarkan lebih banyak biasiswa di masa depan buat rakyat Malaysia," desak beliau.

Desakan ini, kata beliau, dibuat kerana di kala negara berhadapan dengan kemelut ekonomi yang meruncing ini, penjimatan sepatutnya dilakukan dalam hal lain khususnya melibatkan perbelanjaan pemimpin negara, kebocoran rasuah dan projek membazir, bukan dengan mengecilkan dana IPTA yang merupakan aset berharga negara.

Harakah Daily

Blogger terkejut didakwa melarikan diri

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kerana tidak berpuashati dengan laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia kononnya beliau lari dari menerima surat saman, Blogger Shardshooter datang sendiri ke pejabat peguam.

Sharpshooter atau nama sebenarnya, Amizuddin Amat dilaporkan datang sendiri ke pajabat peguam Datuk Seri Rais Yatim iaitu Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah di Kampung Atap untuk mendapatkan dokumen saman itu.

Namun ketika ditemui peguam berkenaan tidak menyerahkan dokumen itu tetapi meminta Amizuddin datang mengambilnya di mahkamah keesokan harinya.

Utusan 13 Januari lepas dalam laporannya mendakwa, kes menghina mahkamah terhadap blogger berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana 'penulis blog itu hilangkan diri'.

Sharpshooter disaman oleh Rais Yatim berhubung isu dakwaan merogol amah dikatakan telah melarikan diri daripada menerima dokumen saman menghina mahkamah.

Sharpshooter dilaporkan benar-benar terkejut dengan laporan berita ini sebaik sahaja ditunjukkan kepada beliau.

Blogger tersebut berasa hairan, sejak bila beliau lari atau menghilangkan diri?

Oleh kerana tidak berpuas hati, Amizuddin ditemani oleh tiga orang rakannya telah pergi sendiri ke pejabat Peguam Rais Yatim di Alamat 25, Jalan Tunku, Bukit Tunku Kuala Lumpur untuk meminta dokumen saman tersebut.

Namun peguam Rais Yatim iaitu Mohd Shafee meminta beliau datang ke mahkamah keesokan harinya untuk mendapatkan dokumen itu sambil bertegas sudah tujuh kali pihaknya cuba menyerahkan dokumen itu.

Amizuddin berkeras dengan berkata beliau tidak ke mana-mana dan tidak menerima sebarang dokumen atau surat dari peguam berkenaan.

Harakah Daily

Rasuah Taib Mahmud: Antarabangsa desak tapi SPRM membisu

25 Safar 1433H. [MOD] -

SARAWAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Krian, Ali anak Biju mempersoalkan sikap membisu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, pihak berkuasa masih gagal mengumumkan status siasatan ke atas Taib, meskipun kes itu menerima desakan di peringkat antarabangsa dan sekaligus menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

“Ini sangat pelik, kalau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa pun mahu kes ini disiasat, mengapa SPRM Malaysia masih membisu,” soalnya.

Menurutnya, kes rasuah melibatkan Taib dan keluarganya bukan sahaja berkaitan soal perundangan tetapi turut merangkumi kepentingan rakyat miskin di seluruh Sarawak.

“Kita tidak kisah Taib kaya tapi yang kita persoalkan ialah sumber kewangan itu dari mana, adakah kerana penyelewengan dan berunsur rasuah?

“Ini isu penting yang perlu disiasat dan kita berharap siasatan dijalankan segera kerana kekayaan Taib sangat luar biasa sekaligus menimbulkan persoalan,” tegasnya.

Awal bulan lalu, BMF dan 16 NGO lain menulis sepucuk surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

BMF dan NGO terbabit menggesa Malaysia menahan Taib dan ahli keluargnya kerana melakukan salahguna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Pada masa yang sama, polis antarabangsa Interpol, menyatakan siasatan mengenai jenayah membabitkan Taib hanya boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

Sebelum ini, banyak laporan SPRM telah dibuat terhadap Taib dan keluarganya. Namun sehingga kini SPRM masih gagal mendedahkan status siasatan berkenaan.

Keadilan Daily

Qazaf: Peguam Anwar kemuka hujah 30 Jan

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Rayuan kes isu qazaf akan dihujah oleh barisan peguam yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Syariah pada 30 Januari ini, jam 9 pagi.

Penghujahan itu diteruskan apabila notis rayuan yang dikemukakan oleh peguam Anwar dibantah oleh peguam yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan dua lagi, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali yang mohon agar Mahkamah Rayuan Syariah menolak permohonan tersebut.

Salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Dorina Abdullah (gambar) yang ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya akan membahas terhadap bantahan rayuan yang dikemukakan berhubung kes qazaf yang sebelum ini tertangguh.

"Pihak kami telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bagi mendengar semula permohonan qazaf yang tertangguh sejak sekian lama apabila Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memberitahu beliau tiada kuasa untuk mengarah pihak pendakwa syarie agar mengambil tindakan mendakwa Saiful Bukhari berhubung kes qazaf.

"Tetapi belum pun lagi perkara itu diputuskan pihak peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka itu telah memfailkan notis kepada mahkamah agar ia ditolak kerana terdapat kesilapan teknikal yang kecil, dan kami akan membahaskan perkara tersebut yang mana ia tidak memberi kesan kepada keseluruhan kes tersebut," jelasnya yang mewakili Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi.

Tambahnya lagi isu pendakwaan qazaf terhadap Saiful ini masih jauh lagi tetapi sudah ada halangan awal.

"Belum lagi di peringkat pendakwaan sudah ada halangan, kita masih di peringkat awal. Kita akan meneruskan dakwaan qazaf ini walaupun terdapat halangan," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar yang sebelum ini diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Harakah Daily

Jual Proton: Pastikan rakyat dapat manfaat

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Penjualan Proton kepada DRB-Hicom seharusnya menjadi langkah pertama ke arah industri automotif yang memberi faedah kepada rakyat serta penghapusan dasar perlindungan industri automotif yang membebankan rakyat, selaras dengan prinsip "rakyat diutamakan".

Demikian pandangan Eksekutif Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Medecci Lineil sebagai respons kepada isu DRB-Hicom yang telah disahkan sebagai pemilik baru Proton Holdings Berhad apabila berjaya memeterai perjanjian penjualan dan pembelian 42.7% kesemua saham yang dipegang oleh Khazanah Holdings Berhad pada harga RM1.291 billion.

Katanya, penjualan Proton kepada DRB-Hicom harus dijadikan peluang sebaik mungkin untuk kerajaan melakukan perubahan struktur (structural changes) terhadap industri automatif negara.

Menurutnya, proses liberalisasi industri automatif tidak hanya melibatkan persaingan domestik Proton dan Perodua tetapi juga proses persaingan dan interaksi antara pengeluar kereta tempatan dan asing secara terbuka, pembukaan kilang pembuatan kenderaan asing di Malaysia serta proses pemindahan teknologi dan kepakaran yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan eksport sebagaimana yang dialami oleh sektor automotif negara Thailand.

“Saya berpandangan bahawa strategi pembangunan Proton kini harus berpaksikan prinsip persaingan yang kompetitif di pasaran terbuka. Perlindungan yang diberikan kerajaan selama ini tidak membawa kejayaan yang diharapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Maka, ujarnya dengan terjualnya Proton, mekanisme pasaran tanpa perlindungan harus dibenarkan memacu Proton ke hadapan.

Beliau menambah, Proton hanya boleh berjaya jika ia dapat berdikari dalam pasaran terbuka, bersaing dan seterusnya meningkatkan mutu dan inovasi produk, lebih penting lagi, rakyat juga mesti mendapat manfaat.

Untuk memastikan manfaat akan sampai kepada rakyat, katanya penjualan Proton mestilah disusuli dengan penghapusan segala bentuk cukai dan duti yang menekan pengguna seperti duti eksais, cukai jualan dan skim permit import (AP).

“Langkah penghapusan cukai-cukai ini akan membolehkan pengguna menikmati harga kenderaan yang rendah dan mampu memberi model yang pelbagai,” katanya lagi.

Menurutnya, data yang dikeluarkan oleh NGO Refsa hari ini mengatakan bahawa rakyat Malaysia membayar harga yang amat tinggi akibat dari semua cukai ini.

Contohnya, kata beliau Refsa mengatakan bahawa kereta Gen 2 1.6L di Arab Saudi berharga hanya sekitar RM40,000 sedangkan di Malaysia ianya berharga RM60,000.

“Jika data Refsa ini benar, kenapa orang luar menikmati harga lebih rendah daripada rakyat Malaysia sendiri?” soalnya.

Harakah Daily

Lagi suara desak Gerakan keluar BN

25 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 19 Jan: Barisan Nasional (BN) tidak mampu lagi mempertahankan hegemoninya apabila pakatan pelbagai parti hampir 55 tahun dalam gabungan itu kini semakin rapuh.

Retak menunggu belah semakin jelas sekarang, lebih-lebih lagi Gerakan yang bergabung dalam BN selepas menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1969, mulai berani mempersoalkan keikhlasan Umno.

Gerakan diasaskan Prof Dato' Dr Syed Hussein Alatas bersama Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Dr J.B.A Peter, Tun Dr Lim Chong Eu, Prof Wang Gangwu dan V. Veerapan pada 1968.

Bagaimanapun hasil pujukan Tun Razak Hussin parti itu menyertai BN pada 1972 dengan alasan mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali.

Sejak itulah Gerakan mulai hilang identiti sebagai parti pelbagai kaum apabila lebih didominasikan kaum Cina.

Kini selepas hampir 40 tahun mimpi sebahagian pemimpin Gerakan dan Umno mulai berlainan, lebih-lebih lagi selepas Pulau Pinang terlepas ke Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

Suara-suara muak dan kecewa semakin nyaring apabila ramai pemimpin menyuarakan mereka sekadar menjadi alat Umno bagi mencengkam kuasa politik Malaysia.

Sebulan selepas tsunami Mac 2008 Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon menjadi pemimpin kanan pertama keluar parti itu.

Pada 8 Mac tahun lepas seorang lagi pemimpin pusat Gerakan, Dr Hsu Dar Ren mengikut jejak langkah Kah Choon.

Beliau secara anak jantan menunding jari ke arah Umno yang mendominasi kuasa politik gabungan BN.

Tidak lama selepas itu pada 19 Oktober 2011 Setiausaha Gerakan Kedah yang juga Ketua Bahagian Padang Serai, Tang Hiang Lye mengambil langkah serupa.

Suara-suara kecewa dan mendesak Gerakan bersendirian seperti sebelum 1972 bergema hebat apabila Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua pada ucapannya di Mesyuarat Agung parti itu pada September tahun lepas secara terus terang mempersoalkan keikhlasan Umno.

“Pada peringkat awal Gerakan Kelantan mahu usul supaya Gerakan keluar daripada BN dimuatkan dalam usul peringkat pusat, namun mereka tolak.

“Namun saya tetap mahu berucap pada perhimpunan itu. Ekoran itu Setiausaha Agung meminta saya tidak menyebut perkataan mendesak keluar daripada BN.

“Saya memang tidak sebut permintaan itu, namun saya tanya kepada 2,100 perwakilan, siapa yang mengkhianati Gerakan, adakah DAP, PKR atau PAS, perwakilan menjawab tidak.

“Saya sebut lagi adakah Umno yang sabotaj Gerakan, tiba-tiba perwakilan dengan nada kuat menjawab ya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Chua bersara sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kuala Krai tiga tahun lalu, memberi ingatan kepada Presiden, Tan Sri Koh Tsu Koon supaya segera membawa keluar parti itu sebelum terlambat.

Menurutnya, Gerakan perlu bertanding secara bersendirian seperti sebelum 1972 sekiranya mahu parti kembali kuat, memandangkan sekarang mereka banyak disabotaj Umno.

Bagaimanapun katanya beliau amat kecewa dengan pemimpin di atas apabila enggan mendengar keluhan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.

Ekoran kedegilan Tsu Koon akhirnya pada 3 Januari lalu Cikgu Chua menghantar surat meletak jawatan sebagai Setiausaha Gerakan Kelantan yang disandangkan 21 tahun lalu.

Dan pada 14 Januari lalu beliau berceramah di pentas PAS di Wakaf Baru bagi menyedarkan masyarakat Cina dan Siam terhadap hipokrasi pemimpin Umno.

Harakah Daily

Dekat Pilihanraya, Najib semakin baik dengan rakyat!

25 Safar 1433H. [MOD] -

"Assalamualaikum,Tempoh penggal pemerintahan sudah semakin hampir tamat, yang juga menandakan pilihanraya negara semakin hampir.PR meningkatkan kempen menyedarkan rakyat akan keperluan menukar kerajaan dan BN menerusi pengerusinya merangkap PM, Najib tidak mahu ketinggalan.Memandangkan isu keburukan PR sudah semakin tiada sesudah DSAI dibebaskan dari drama liwatnya, Najib mula menggunakan pendekatan mesra rakyat.

Di Selangor, Najib mengumumkan keprihatinan kerajaan dengan memberi peruntukan segera untuk membina sebuah surau dan kuil di Rimba Raya yang satu ketika dulu merupakan tempat di mana rakyat dizalimi oleh Khir Toyo.Najib juga berjanji dengan peniaga di komplek PKNS untuk menyelesaikan masalah mereka dan berjanji dengan rakyat Selangor untuk menyelesaikan segala masalah mereka sekiranya menang.

Masalah yang dibuat oleh Abu HAssan Omar, Mat Tyson dan Khir Toyo sejak bertahun tahun dulu kini dijanjikan Najib akan diselesaikan dalam tempoh 5 tahun penggal pemerintahan akan datang sekiranya BN menang pilhanraya kali ini.

Dari Selangor, Najib ke negeri kelahirannya Pahang, di mana Najib akan melancarkan dana bantuan untuk nelayan.Nelayan yang pada setiap kali ada pilihanraya akan dibantu kerajaan bakal mendapat durian runtuh kali ini.Kerana bukan sahaja mereka akan dibantu tetapi anak anak mereka juga akan dibantu.

Itu janji Najib untuk pilihanraya kali ini walaupun janji janji pilihanraya yang lalu tidak semua ditunaikan terhadap masyarakat nelayan.Tabung kecemasan yang diumumkan pada PRK Kuala Terengganu sekarang entah ke mana, tetapi Najib masih berani untuk turun dan berjanji kepada nelayan dengan harapan undi para nelayan akan diberikan kepada BN.

Lebih menarik, Najib juga akan memberi bantuan khas kepada nelayan yang botnya tenggelam dan diserang jerung pada tahun 1993, 19 tahun yang lampau.Demikianlah baiknya Najib kerana prihatin dengan kesusahan nelayan terbabit sejak 19 tahun yang lampau walaupun dalam tempoh itu, nelayan tersebut tidak dipandang Najibpun.

Selepas ini akan kedengaran berita Najib menemui rakyat dari berbagai latar belakang yang berbeza untuk menunjukkan keprihatinannya sempena pilihanraya yang hampir tiba dan selepas pilihanraya seperti biasa kalau Najib dan BN menang, minyak akan naik harga lagi dan secara langsung, para nelayan akan menanggung akibat.

tranung kite/-

Cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia

25 Safar 1433H. [MOD] -

Dari Aisyah menceritakan bahwa seorang lelaki datang kepada Rasulullah bertanya : Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan dia tidak ada berwasiat apa pun dan saya rasa kalau dia sempat berbicara dia akan bersedekah, apakah dia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya ? Nabi menjawab : Ya (bersedekahlah dan dia akan mendapat pahala ). (Sahih Bukhari dan Muslim)

Dari Abi Usaid Malik bin Rabi’ah berkata bahwa ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata : “ Ya Rasulullah, adakah kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia ?

Rasul menjawab : Ada, engkau berdoalah untuk keduanya, dan meminta diampunkan dosa-dosanya, dan tunaikan wasiat dan janji-janjinya, dan hubungkan silatiurahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya.“ (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)

tazkirah/-

Bank Dunia ramal ekonomi lembap

25 Safar 1433H. [MOD] -

WASHINGTON - Bank Dunia, kelmarin memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa, supaya bersedia menghadapi pertumbuhan ekonomi lembap pada tahun ini, berikutan krisis hutang di Eropah sejak akhir 2009.

Dalam laporan tahunannya yang dicatatkan Jun lalu, krisis hutang berlarutan di Eropah, mungkin menyebabkan kemelesetan dan pertumbuhan ekonomi menjadi lembap di beberapa negara miskin dan membangun seperti di India, Brazil, Rusia, Afrika Selatan serta Turki.

Bagaimanapun, Ketua penulis laporan tahunan untuk Bank Dunia itu Andrew Burns turut menjangkakan ekonomi global akan berkembang 2.5 peratus pada 2012 dan meningkat 3.1 peratus pada tahun hadapan.

sinar harian/-

Permainan 'Aku Jimat' mirip Rosmah di pasaran

25 Safar 1433H. [MOD] -

Pengguna alat elektronik Apple, - iPod, iPad dan iPhone kini boleh mempelajari beberapa petua tentang bagaimana untuk berjimat untuk masa depan berdasarkan satu permainan yang dipercayai diilhamkan dari watak isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Permainan versi 1.1 Aku Jimat boleh didapati di App Store sejak 17 Januari lalu. Ia memaparkan watak kartun yang mirip Rosmah, termasuk gaya rambutnya. Permainan ini mengajak pengguna supaya ‘menyimpan wang’ untuk membolehkan mereka ‘membeli-belah’.

Pengusaha permainan Antartica Group berkata, permainan ini adalah "untuk mendidik anak-anak kepentingan menabung” sejak kecil dan “lebih awal jika seseorang berjimat maka, lebih banyak yang dapat dikumpulan”.

Dengan tabung berbentuk seekor kucing, pemain dikehendaki menyambut duit syiling bernilai US$1000 (RM3,100) setiap satu yang digugurkan bagi membuat pembelian - sama adasebuah rumah bernilai US$5,000,000 (RM15, 000,500) atau kereta berharga US$300,000 (RM10,000).

Pengguna juga boleh membeli mana-mana sembilan beg tangan yang ditawarkan, bernilai antara US$ 9,000 hingga US$ 110,000 (RM27, 900 hingga RM440,000) atau juga cincin berlian bernilai US$ 24 juta (RM74 juta).

Setiap syiling bernilai $1,000 tetapi jika seseorang itu bernasib baik, jongkong emas bernilai $1,000,000 akan digugurkan.

Pemain bagaimanapun mesti berhati-hati untuk mengelakkan diri mereka daripada terkena bom. Ini kerana bagi setiap kali mereka terkena bom, tambahan umur setahun akan dimasukan kepada pemain dan seseorang dipaksa untuk "bersara" pada usia 99 tahun.

malaysiakini/-

Terima kasih lepas samun

25 Safar 1433H. [MOD] -

RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek berbual dengan mangsa.

KUALA LUMPUR: Dua penyamun mengucapkan terima kasih kepada pemilik sebuah kedai runcit selepas menyamun premis itu di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa yang juga wanita yang sarat mengandung berseorangan sebelum didatangi seorang pelanggan lelaki berpakaian serba hitam.

Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Puven, 38, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah di tingkat dua blok pangsapuri di kawasan sama untuk mandi dan ketika hendak turun semula ke kedai, dia menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan kedai mereka disamun dua lelaki bersenjatakan parang.

Beliau berkata, dua lelaki itu memasuki kedainya dengan berpura-pura membeli rokok sebelum seorang daripada mereka bercakap dengan isterinya mengenai pelbagai barangan yang dijual di kedainya.

Katanya, seorang lagi yang memakai topi keledar pula berkawal di luar kedai dan menghalang pelanggan lain masuk ke kedai itu dengan menyatakan tuan kedai keluar makan.

“Selepas bercakap dengan isteri saya, tiba-tiba lelaki itu meminta dia mengeluarkan semua wang yang disimpan dalam peti simpanan dan apabila enggan berbuat demikian, lelaki itu mendekatinya sebelum meletakkan pisau di perutnya.

“Akibat panik, isteri menyerahkan semua wang tunai dan kad sim prabayar bernilai RM1,500 kepada lelaki terbabit. Mereka tidak segera meninggalkan kedai sebaliknya terus berbual dengan isteri lebih 10 minit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit menyatakan sekiranya isterinya enggan menyerahkan wang tunai itu secara ‘percuma’, suspek sanggup meminjam wang itu dengan isterinya dan membayar semula pada hari lain.

“Selain itu, lelaki terbabit mengucapkan terima kasih kerana isteri saya menyerahkan wang kepadanya sebelum beredar.

“Sebelum memasuki kawasan perumahan yang dikawal pengawal keselamatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai mengugut pengawal terbabit dengan menyatakan akan memecahkan kepala pengawal itu jika enggan membenarkan mereka masuk, malah mereka dipercayai tinggal di kawasan berdekatan,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya dan sudah menyerahkan rakaman berkenaan kepada polis ketika membuat laporan di Balai Polis Petaling, semalam.

MY METRO/-

Khalid rangka pelan baru untuk Kampung Baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Lembaga Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) supaya hak dan kedudukan penduduk Kampung Baru dipertahankan.

Katanya, masalah Kampung Baru perlu diselesaikan dengan cara rundingan bersama supaya kuasa dan undang-undang dapat dimantapkan tanpa membelakangkan penduduk.

MAS telah ditubuhkan sejak sekian lama, sebelum kemerdekaan supaya dapat menjaga kepentingan tanah-tanah.

Selain Menteri Besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Jelas Abdul Khalid, beliau telah menyiapkan pelan pembangunan Kampung Baru sejak 20 tahun lalu. Oleh kerana tidak ada ketetapan dari segi undang-undang dan penyatuan pendapat daripada penduduk setempat maka perkara ini berlarutan sehingga sekarang.

“Saya telah diminta oleh beberapa ahli untuk campurtangan dan saya akan selidik kalau betul, kita akan campurtangan supaya diadakan perhimpunan Jawatankuasa Akta MAS.

Saya akan buat mengikut lunas undang-undang bukan untuk merugikan tetapi untuk memberi kuasa kepada semua pimilik dan pewaris.

“Kita juga ada peguam termasuk peguam negeri untuk menerangkan mengapa kita mesti ada kuasa tersebut,” katanya di Majlis Jamuan bersama Pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru, Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman daripada kes projek terbengkalai yang lalu akan dipraktikkan supaya dapat membantu masyarakat di Kampung Baru selain menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma supaya pemilik dapat maklumat yang betul.

“Negeri Selangor akan membantu penduduk Kampung Baru kerana negeri Selangor yang membuat undang-undang MAS dan ianya berkuat kuasa.

“Tapi bila tanah KualaLumpur diserahkan kepada kerajaan persekutuan, maknanya tanah itu dibawah kuasa mereka, tapi idea MAS itu masih lagi dibawah jagaan negeri Selangor. Sebab itu kita bertanggungjawab untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan perniagaannya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathul Rahman Abu memberi jaminan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk, lapor Tv Selangor.

Keadilan Daily

Kenaikan gaji kakitangan awam perlu adil- Abdullah Sani

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 19 Jan: Cadangan kenaikan gaji yang lebih tinggi bagi pegawai tertinggi kerajaan di bawah Skim Persaraan Baru Kakitangan Awam (SBPA), menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Ekoran itu, kerajaan mengumumkan penangguhan SBPA, yang menggambarkan sikap berdolak dalik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam mengumumkan sesuatu dasar.

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan sepatutnya memberikan kenaikan gaji kepada penjawat dengan adil dan bukan hanya mementingkan peringkat tertinggi seperti JUSA dan TURUS.

“SBPA ini sebenarnya satu laluan untuk kroni Kerajaan untuk bertambah kaya, yang peringkat bawahan diabaikan. TURUS mendapat kenaikan gaji 50 peratus, manakala JUSA 100 peratus. Sistem ini sepatutnya membuat kenaikan yang adil,”

“Di sini kita lihat kenaikan yang tidak adil dan memberikan kesan buruk.

Namun,sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah, perkara ini tidak berlaku kerana sekiranya peringkat tertinggi menerima kenaikan 20 peratus maka semua peringkat akan mengalami kenaikan peratusan yang sama,” katanya.

Pakatan Rakyat (PR) pada konvensyen Sabtu lalu memberi jaminan mengkaji semula pelaksanaan SBPA bagi memastikan kakitangan awam mendapat pembelaan sewajarnya, sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum kelak.

Perkara itu ditegaskan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Pakatan Rakyat ketiga di Alor Setar, Kedah, 14 Januari lalu.

Di bawah SBPA, kakitangan awam dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Sokongan.

Pengumuman Anwar itu melegakan rakyat kebanyakan apabila pelaksanaan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Ini kerana ia merugikan majoriti kakitangan awam apabila 75 peratus golongan berpendapatan rendah dalam sektor awam hanya diberi kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus berbanding kakitangan kumpulan Turus melebihi 50 peratus dan Jusa 100 peratus.

Skim SPBA juga tidak dirundingkan secara terperinci dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum dijadikan dasar.

Keadilan Daily

Penduduk di pedalaman Sibuti Perlukan Pembangunan

25 Safar 1433H. [MOD] -

MIRI - Kg Bungai, Kg Kepurau, Kg Subak dan Kelulit terletak dalam
kawasan parlimen Sibuti dan merupakan perkampungan orang Kadayan dan
juga orang Melayu. Terdapat juga orang Iban dan Cina tinggal di
kawasan tersebut. Jarak perjalanan dari bandaraya Miri ke kawasan
tersebut mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Walaupun aktiviti PAS Miri berjalan seperti biasa di bandaraya Miri,
tetapi baru-baru ini rombongan PAS Miri telah meninjau keadaan
penduduk yang tinggal di kawasan Sibuti.

PAS Miri telah melawat Tamu Bungai dan bertemu dengan penduduk kampung
serta memberi penerangan tentang Negara Berkebajikan kepada penduduk
tempatan di Kg Bungai, Kg Kepurau dan Kg Subak.

Disamping lawatan sambil kerja tersebut, PAS Miri telah menghulurkan
bantuan sumbangan kepada 57 buah keluarga miskin dan ibu tunggal yang
tinggal di kawasan tersebut. Sumbangan dilakukan dari rumah ke rumah
ini telah mendapat sambutan yang baik dari penduduk tempatan.

Ini merupakan kali pertama PAS dapat bertemu dengan penduduk tempatan
di kampung tersebut dan merupakan langkah yang pertama ke arah Negara
Berkebajikan. Disamping itu PAS juga telah berjaya mendaftar 16 orang
pengundi baru di kawasan tersebut.

Masalah jalanraya dan juga bekalan air bersih masih lagi jadi isu
utama yang dihadapi oleh sesetengah kawasan khasnya Kg Kejapil ke Kg
Keluru dimana jalanraya yang masih rosak dan belum dibaiki sepenuhnya.
Jalanraya tersebut hanya diturap semasa Pilihan Raya Umum (PRU)
Sarawak yang lalu.

Masalah bekalan air bersih dibeberapa kawasan kampung seperti Padang
Kelulit masih lagi agak ketinggalan dan perlu diberi perhatian oleh
pihak yang berwajib. Kemudahan infrastuktur perlu diutamakan di
kawasan luar bandar kerana keadaan kampung di Sibuti masih lagi belum
membangun sepenuhnya walaupun kita sudah merdeka hampir 55 tahun.

Kemana perginya peruntukan untuk luar bandar yang sepatutnya dapat
dinikmati oleh penduduk di luar bandar?

Kita mendesak agar kerajaan BN dan pihak yang berwajib dapat
menunaikan janji-janji mereka kepada penduduk di Sibuti semasa PRU
Sarawak yang lalu. Peruntukan yang sepatutnya disalur kepada kawasan
pendalaman hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu PRU 13
nanti.

Tanggungjawab pemerintah adalah menjalankan amanah rakyat dengan jujur
dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

NFC: PKR cadang enam skop audit, siasatan telus

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: PKR mencadangkan enam skop utama audit bagi memastikan siasatan terhadap penyelewengan wang rakyat dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) benar-benar telus dan menepati kehendak rakyat, kata pengarah strateginya, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengumumkan kerajaan akan melantik firma perunding perakaunan bagi mengaudit dan menyiasat skandal NFC dalam tempoh sebulan bagi ‘melindungi kepentingan kerajaan’.

Skop itu kata Rafizi termasuk menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan bagi memastikan tiada campur tangan politik semasa projek itu diluluskan.

Katanya, semua minit mesyuarat juga perlu disemak bagi menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai samada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan;

“Kedua, menyiasat proses pemberian dana NFC oleh Kementerian Kewangan bagi menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

“Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tiada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi turut menegaskan, skop audit itu wajar menyiasat setiap perbelanjaan NFC termasuk memastikan setiap perbelanjaan adalah berpatutan,diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu.

“Keempat, menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tiada unsur penyelewengan.

“Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC,” tegasnya.

Siasat keluarga Shahrizat

Skop audit kelima ialah menyiasat setiap pembelian aset keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga kini, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan samada dana NFC diguna bagi tujuan peribadi.

Manakala skop audit terakhir ialah menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.

“Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC dan menguji samada Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan,” tegasnya.

“Salah satu terma lantikan juga mestilah mewajibkan juruaudit membentang keputusan siasatan dan kesimpulan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat, Mac ini,” tegasnya.

Jika kerajaan enggan menerimapakai keenam-enam skop itu katanya, bermakna pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bermain politik berhubung skandal siasatan NFC.

“Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan YB Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS, bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) wajar ditubuh bagi membongkar segala penyelewengan yang berlaku dalam NFC,” katanya lagi.

Harakah Daily

Bekas presiden NUJ Hata Wahari sertai DAP

25 Safar 1433H. [MOD] -

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP.

Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, dalam mengalu-alukan Hata, berkata beliau berharap bekas presiden NUJ itu akan terus berjuang demi kebebasan akhbar di negara ini.

"Saya percaya beliau boleh menyumbang kepada parti dan berjuang untuk kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar," katanya.

Awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno, Mohd Ariff Sabri Aziz juga menyertai parti itu.

Selain Sakmongkol yang merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004, turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

malaysiakini/-

Tahniah mencurah-curah untuk Dr Ahmad Yunus

25 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 19 Jan: Ucapan tahniah terus datang mencurah-curah untuk Dr Ahmad Yunus Hairi atas perlantikan beliau sebagai Exco baru kerajaan negeri Selangor.

(Gambar: Khalid dan Dr Rani mengucapkan tahniah kepada Dr Ahmad Yunus sejurus selepas dilantik)

Terbaru, ucapan tahniah datang dari lajnah Pekerja dan Professional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dr Ahmad Yunus, ADUN Sijangkang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor yang baru semalam.

Beliau dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS sebelum ini.

Bagi lajnah ini, perlantikan ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan Negeri Selangor.

"Sesungguhnya perlantikan individu professional seperti YB Dr Ahmad Yunus Hairi amat-amat diperlukan bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran kerajaan negeri," kata pengerusi lajnah itu, Dr Ghazali Hasbullah.

Lajnah ini mengharapkan penumpuan yang lebih fokus diberikan oleh beliau dalam portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Isu-isu yang melibatkan pembelaan orang melayu dan belia sudah semestinya menjadi agenda utama beliau, kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Isu zakat MAIWP timbul prejudis umat Islam

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerah satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantah penggunaan dana zakat sebanyak RM63,650.00.

Ketuanya, Nasrudin Hassan yang mengetuai Pemuda PAS bagi penyerahan memorandum tersebut menjelaskan DPPM melihat isu penggunaan wang zakat sebagai pendahuluan kos guaman merupakan satu penyelewengan terhadap dana zakat.

"Timbul persoalan bagaimana wang zakat boleh disalurkan kepada pihak yang tidak layak menerimanya.

"Isu ini boleh mengakibatkan timbulnya prejudis umat Islam bahawa wang zakat tidak digunakan kepada saluran yang sewajarnya dan boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkepentingan," jelasnya.

Tambahnya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pihak MAIWP berkali-kali menafikan penggunaan wang zakat sebaliknya hanya menyatakan menggunakan wang dari peruntukan kerajaan.

"Jamil Khir dan MAIWP menafikan wang tersebut dari wang zakat walaupun terdapat bukti yang mengesahkan ia benar-benar dari sumber zakat.

"Lihat kepada Laporan Ketua Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Negara yang mengesahkannya dan juga terdapat baucer bayaran bernombor 2010B04112 yang bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 dikeluarkan," sambungnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu DPPM juga mempersoalkan mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang merujuk kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan The bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam.

"DPPM ingin bertanya bagaimana boleh diklasifikasi penggunaan kos guaman itu sebagai mempertahankan kedaulatan Islam sedangkan kes sebenar adalah melibatkan kes qazaf oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi kes tersebut dinafikan di Mahkamah Syariah dan dibicarakan di Mahkamah Sivil, adakah itu dianggap sebagai mempertahankan kedaulatan Islam," katanya lagi.

Nasruddin tegaskan pihaknya memohon agar MAIWP tampil memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia serta memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau nyatakan DPPM menegaskan bahawa isu penggunaan wang zakat bagi tujuan kos guaman adalah suatu isu kesalahan dan merupakan penyelewengan yang besar di sisi rakyat.

"Kita tidak akan bersekongkol dengan kemungkaran yang berlaku dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantah tindakan ini bagi kepentingan agama Islam dan umat Islam di negara ini," katanya lagi.

Sebelum itu, memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ismail Porjo di Pejabat MAIWP.

Turut hadir bersama Nasrudin adalah Pengarah Jawatankuasa Isu Zakat, Kamaruzaman Mohamad yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan juga beberapa anggota exco DPPM yang lain.

Harakah Daily

Pakar nuklear dibunuh: Jangan sekat kebangkitan rakyat

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Peristiwa pembunuhan seorang pakar nuklear Iran oleh pihak Israel dengan persekongkolan Amerika Syarikat semalam perlu dijadikan pengajaran oleh Kerajaan Malaysia agar tidak menyekat kebangkitan rakyat.

Perancangan jahat pihak Israel dan Amerika Syarikat sehingga membawa kepada pembunuhan pakar nuklear itu ternyata gagal melemahkan semangat rakyat negara itu, malah ia telah mencetuskan kebangkitan puluhan belia lain untuk menggantikan tempatnya bagi kepentingan negara mereka.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, rakyat Iran sememangnya tidak akan tunduk dan lemah dengan tekanan Israel dan Amerika Syarikat kerana kerajaan yang ada di negara itu sendiri kini adalah terhasil daripada kebangkitan rakyat.

Menurutnya, mereka telah bangkit bersama-sama Ayatollah Khomeini menerusi Revolusi Iran pada tahun 1979 lalu untuk menggulingkan Shah Iran bagi melakukan perubahan terhadap pemerintahan di negara itu ke arah yang lebih baik.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Agensi yang menyebut kira-kira 1,300 pelajar universiti di Iran memohon menukar bidang pengajian utama kepada sains nuklear berikutan pembunuhan seorang pakar nuklear Teheran, Mostafa Ahmadi Roshan (gambar) minggu lalu.

Mostafa terbunuh pada 11 Januari lalu akibat letupan sebutir bom magnet dilekatkan pada keretanya oleh seorang penunggang motosikal.

Pegawai Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan beliau.

Syed Azman menambah, perubahan yang mereka ingini itu telah berlaku di negara tersebut setelah Shah Iran digulingkan dan kini mereka sedang berusaha mempertahankan dan membangunkan negara mereka dengan pelbagai cara, setanding dengan negara-negara sedang membangun lain di dunia ini.

"Kerajaan Iran juga telah mengambil inisatif membangunkan nuklear di negaranya untuk pembangunan tenaga. Pihak Israel dan Amerika Syarikat ternyata tidak senang dengan usaha Iran itu kerana dibimbangi akan turut membawa kepada perkembangan persenjataan menerusi nuklear yang akan mengancam mereka.

"Jika Iran mahu, Iran memang boleh membangunkan persenjataan menerusi nuklear di negaranya, tetapi sehingga kini nuklear yang dibangunkan itu sememangnya untuk tenaga seperti juga yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri, Jepun, Jerman dan Perancis bagi pembangunan perindustrian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan Iran tetap tidak disenangi pihak Israel dan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sehingga mereka telah melakukan pelbagai tekanan terhadap Iran termasuk dengan melakukan sekatan ekonomi.

"Terbaru, Mossad Israel telah berjaya membunuh pengarah nuklear Iran, tetapi sebaik sahaja pembunuhan itu berlaku, puluhan pelajar universiti di republik itu telah mengambil keputusan menukarkan jurusan pengajian mereka kepada nuklear bagi membolehkan mereka meneruskan usaha saudara mereka yang telah terbunuh itu.

"Begitulah hebatnya kebangkitan rakyat Iran. Dalam diri mereka sememangnya sentiasa menyala dengan semangat revolusi setelah tercetusnya Revolusi Iran pimpinan Khomeini tahun 1979 lalu, bagi membolehkan mereka terus mempertahankan kerajaan yang ada sekarang," katanya yang juga Adun Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejadian yang berlaku di Iran itu, tambahnya, sememangnya penuh dengan pengajaran untuk Kerajaan Malaysia yang berada di bawah BN sekarang, khususnya mengenai kebangkitan rakyat.

Katanya, di negara kita, kebangkitan rakyat juga kini telah berlaku dengan keseluruhan rakyat menuntut keadilan dari pihak pemerintah dalam pelbagai aspek termasuk politik bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

"Kebangkitan ini tidak lagi boleh disekat oleh kerajaan kerana jika disekat pasti akan mencetuskan kebangkitan lebih besar termasuklah kebangkitan rakyat ke jalan-jalan raya.

"Pihak pemerintah sememangnya tidak mempunyai pilihan lain lagi, kecuali dengan memenuhi tuntutan rakyat bagi mendapatkan keadilan setelah keadilan yang dituntut itu dinafikan oleh pihak Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau.

Harakah Daily

Ops SIkap 25: 13 kematian pada hari ketiga

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 19 Jan. — Sebanyak 13 kematian dicatat pada hari ketiga Ops Sikap ke-25 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula pada Isnin lalu kepada 39 orang.

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan, jumlah kematian semalam meningkat empat orang berbanding hari kedua operasi itu dan pengguna kereta mencatatkan angka yang tertinggi.

Mereka yang terkorban melibatkan lapan pengguna kereta, tiga pengguna motosikal dan dua pejalan kaki.

Sebanyak 21,199 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakannya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan.

Selain itu, sebanyak 1,198 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 433 kes diikuti jalan negeri (283) jalan persekutuan (282), lebuh raya (78) dan 122 kes lagi di jalan-jalan lain.

Ops Sikap ke-25 yang akan berakhir 30 Jan. dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan. — BERNAMA

Dua remaja 16 tahun direman

25 Safar 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Dua remaja lelaki ditahan, bagi membantu pihak polis berhubung kes simbah asid ke atas seorang duda di Kampung Tendong, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kedua-dua suspek berusia 16 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas bagi tahanan reman bermula semalam sehingga 24 Januari ini.

Menurutnya, suspek yang masih bersekolah, dipercayai diupah mendatangkan kecederaan kepada duda berkenaan.

“Sebelum ini, pihak polis menahan dua wanita dipercayai bekas isteri duda terbabit, di dua tempat berasingan dekat Tumpat, 16 Disember lalu.

“Ini menjadikan jumlah penahanan kepada empat suspek dan kita percaya dapat menyelesaikan kes tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kejadian Sabtu lalu, melibatkan seorang mangsa, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid.

Haliludin berkata, mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, dilaporkan stabil.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Kita menasihati semua, agar tidak menjadikan jenayah sebagai satu jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku,” katanya.

Sinar Harian

NFC: PKR mahu tahu terma rujukan audit

25 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan enam skop utama audit yang memberi kuasa sepenuhnya kepada juruaudit untuk menyiasat sepenuhnya isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) ekoran keputusan kerajaan melantik juruperunding.

Sehubungan itu, PKR juga mengesyorkan supaya terma pelantikan dan skop audit diumumkan kepada rakyat apabila lantikan dibuat.

"Salah satu terma lantikan mestilah mewajibkan juruaudit membentangkan keputusan siasatan dan kesimpulan yang dibuat dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang dalam bulan Mac ini," kata Pengarah Strategi Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC.

"Ia bakal menguji sama ada (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan yang berlaku apabila beliau mengumumkan perlantikan firma juruaudit semalam," kata beliau lagi.

Semalam, kerajaan berhasrat untuk melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek NFC.

Muhyiddin berkata, bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

"Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan," katanya.

Sabtu lepas, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi isu yang melanda NFC ini dalam masa terdekat.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Di bawah enam skop yang dicadangkan itu, Rafizi mahu panel audit menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri.

"Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan," katanya lagi.

Selain itu, kata beliau, pihaknya mahu panel audit menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian

Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

Syor-syor lain ialah:

- menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat dengan matlamat penubuhan NFC

- menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan

- menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat

Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi

- menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Shahrizat untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.

Kata Rafizi, sekiranya kerajaan enggan menerima pakai keenam-enam skop itu, ia bermakna pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak serius mencari penyelesaian kepada skandal NFC yang berlarutan.

"Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam NFC," katanya lagi.

Sinar Harian

Hilangkan diri kerana merajuk

25 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – “Sejak mengetahui saya bukan bapa kandungnya, Mohd Azan merajuk dan menghilangkan diri daripada keluarga,” kata Adnan Jaafar, 60.

Menurutnya, sejak itu pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anak angkatnya, Mohd Azan Mohd Sufian, 17, tetapi gagal.

“Terbaru, saya mengetahui Mohd Azan kini berada di Shah Alam dan bekerja menjual burger serta pakaian terpakai.

“Sudah dua tahun kami tidak berjumpa, malah saya ada cuba menghubungi telefon bimbitnya juga tidak berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Junid, dekat sini.

Adnan berkata, dia buntu memikirkan tindakan Mohd Azan yang menghilangkan diri dianggapnya terlalu drastik.

“Sebelum ini, hubungan kami sangat akrab dan langsung tidak menampakkan jurang sebagai anak angkat.

“Jadi apabila keadaan ini berlaku, saya sangat sedih dan berharap Mohd Azan sudah tidak merajuk lagi serta sudi bertemu semula dengan saya,” katanya.

Katanya, dia mengambil Mohd Azan sebagai anak angkatnya ketika usianya sehari selepas seorang kenalan memaklumkan ada seorang wanita mengandung mahu menyerahkan bayi yang dikandungnya kepada orang lain.

“Saya berasa simpati dan berminat mengambil bayi ini untuk dijadikan anak angkat dan tinggal bersama arwah ibu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya hanya bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya lagi, ketika berusia 16 tahun, Mohd Azan ada bertemu dengan ibu kandungnya di Perak, tetapi malangnya wanita tersebut tidak mengaku Mohd Azan sebagai anaknya.

“Sejak peristiwa itu, Mohd Azan kecewa dan dia sering bertanya serta mencari bapa kandungnya.

“Bagaimanapun, usaha Mohd Azan mencari bapa kandungnya hingga kini masih lagi gagal, menyebabkan dia terus menghilangkan diri,” katanya.

Adnan berkata, dalam tempoh tiga tahun di Kuala Lumpur, dia berkenalan dengan seorang lelaki, Sufian Yakob, 40-an, yang mendakwa bapa kandung kepada Mohd Azan.

Katanya, malangnya lelaki tersebut tidak memberikan maklumat lengkap berkaitan dirinya termasuk alamat rumah dan nombor telefon bimbit.

“Ketiadaan maklumat ini menyebabkan saya sukar menjejaki Sufian dan merayu agar Sufian dapat mencarinya di alamat 46-4 Jalan Junid, Muar,” katanya.

Sinar Harian

Dosa

25 Safar 1433H. [MOD] -

Allah Taala berfirman, maksudnya : "Dan sesungguhnya akan Kami rasakan kepada mereka yang melakukan dosa sebahagian azab yang dekat (di dunia) selain azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar)." (as-Sajadah: 21)

Dosa akan terjadi jika larangan Allah (perkara haram) dilakukan.
Dosa juga akan terjadi jika perintah Allah (perkara wajib) ditinggalkan.

Manusia boleh berdosa kepada Allah.
Manusia juga boleh berdosa kepada manusia.

Dosa boleh dipadamkan dengan keampunan.

Jika berdosa kepada Allah, kita boleh bertaubat dan memohon maaf kepada Allah. Allah maha pemberi rahmat dan maha pemurah lagi maha pengampun.

Berdosa kepada manusia lain, hanya boleh dimaafkan oleh orang tersebut sahaja.

Moga Allah menerima taubat dan mengampunkan dosa yang telah kita dilakukan.

Moga Allah melimpahkan rahmatNya, melembutkan hati orang yang kita berdosa kepada mereka, agar memaafkan dosa kita.

Moga Allah selamatkan kita dari dosa dan neraka.

tazkirah/-

Perisytiharaan harta menteri 'bahaya' kata Nazri

25 Safar 1433H. [MOD] -

Mengisytiharkan harta dan aset milik menteri dan ahli keluarga terdekat mereka kepada orang ramai adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

"Jika kita umumkan butirannya kepada orang ramai, ini akan membahayakan individu berkenaan.

"Ini khususnya, jika ia juga membabitkan butiran peribadi mereka,” kata Nazri pada sidang medianya di Putrajaya.

Ditanya mengenai ‘bahaya’ yang dimaksudkannya, beliau berkata pendedahan harta dan kekayaan seseorang kepada umum mungkin mengundang bahaya jika orang luar tahu mengenai tahap kekayaan dan aset yang dimiliki mereka.

Nazri bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut perkara berkenaan.

Semalam, pengerusi lembaga penasihat panel SPRM Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh berkata ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet tidak lama lagi akan diwajipkan mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara prinsip telah bersetuju dan berharap ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka manakala Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria juga membayangkan semua hakim juga akan dikehendaki berbuat demikian.

malaysiakini/-

Polis dapatkan bantuan pakar

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Polis akan mendapatkan bantuan daripada pakar bahan letupan pyrotechnic, tentera termasuk syarikat-syarikat yang arif tentang bunga api, bagi membantu siasatan berhubung letupan yang berlaku di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pendekatan itu diambil berikutan kurang maklumat positif diterima daripada orang ramai berhubung insiden yang berlaku.

Menurutnya, polis kini dalam proses untuk menghubungi semua pihak terbabit.

“Kita sudah kenalpasti dua, tiga syarikat yang kerap buat pertunjukan bunga api dan berharap mereka dapat bantu kita mengumpul maklumat berhubung bahan-bahan komponen yang dirampas dalam insiden baru-baru ini.

“Kita akan dapatkan semua pihak yang pakar dalam bidang ini agar individu yang melakukan perbuatan itu dapat ditangkap segera,” katanya pada selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mengulas berhubung individu yang tampil menyalurkan maklumat, Mohmad berkata, pihaknya ada menerima maklum balas daripada orang awam, tetapi kebanyakannya kurang membantu.

“Ada maklumat yang masuk dan kita sedang meneliti serta mengkaji sejauh mana maklumat itu boleh diguna pakai dalam siasatan ini,” katanya.

Menurutnya, polis berharap orang awam dapat tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat yang lebih positif.

Katanya, setakat ini, masih tiada peniaga yang mungkin menjual jam penggera, paip polikarbonat dan bateri yang dirampas polis dalam kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Mohmad berkata, laporan kimia berhubung siasatan bahan letupan dikenal pasti sebagai jerangkap rekaan elektrik itu juga, masih belum diperoleh dan pihaknya sudah meminta agar proses laporan itu dipercepatkan bagi meneruskan siasatan.

Dalam perkembangan lain, seramai 740 pegawai, anggota dan pegawai awam di Kontinjen Kuala Lumpur menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, semalam.

Pada majlis sama, seramai 13 pegawai kanan berpangkat Inspektor Percubaan turut disahkan jawatan.

Sinar Harian

Saman MB, Kerajaan Negeri

25 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Kesal diarah keluar secara paksa dari Rumah Rakyat SEDC Tampoi, di sini pada 2002, seramai 44 penduduk melalui Tetuan Hassan Karim and Co memfailkan saman kepada Menteri Besar, (MB) Datuk Abd Ghani Othman dan Kerajaan Negeri.

Peguam yang mewakili pen­­­duduk, Hassan Abdul Karim berkata, mereka ber­buat demikian kerana kecewa apabila tanah tapak rumah yang dijanjikan dengan pembinaan rumah baru untuk mereka telah dibina bangunan SPRM dan sebuah pasar raya.

Dakwanya, pada asal dahulu, penduduk bersetuju keluar dari Rumah Rakyat SE­DC itu dengan harapan akan dibenarkan kembali menduduki rumah baru seperti janji MB.

“Sekitar November 2009, penduduk mulai menyedari sebahagian tanah tapak rumah mereka seluas 30 hektar telah dibina bangunan lain.

“Penduduk telah menghantar notis tuntutan ganti rugi kepada MB dan Kerajaan Negeri pada Mac 2010 kerana mungkir janji," katanya di sini, semalam.

Hassan berkata, penduduk menuntut MB dan Kerajaan Negeri membina rumah kos rendah di atas tapak tanah Rumah Rakyat SEDC Tampoi yang dianugerahkan secara percuma.

Menurutnya, secara alternatif sekiranya rumah tersebut tidak dibina, penduduk menuntut supaya dibayar ganti rugi wang tunai sebanyak RM35,000 setiap seorang.

“Selepas tiga kali mediasi yang diadakan gagal pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah menetapkan perbicaraan penuh pada Mac depan.

“Bagaimanapun MB dan Kerajaan Negeri telah memfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman dan penyataan tuntutan penduduk pada Disember tahun lepas dan bakal dibicarakan pada Februari depan,” katanya.

Hassan berkata, sebanyak 999 unit Rumah Rakyat SEDC Tampoi telah dibina pada 1976 dengan perjanjian selepas tiga tahun penduduk boleh membeli rumah itu dengan harga RM8,000.

Menurutnya, bagaimanapun pihak berkenaan ingin menjual rumah itu dengan harga RM14,000 sedangkan jumlah itu dianggap terlalu besar oleh penduduk pada waktu itu yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Semua penduduk diarahkan keluar sehingga berlaku kontroversi dan memaksa campur tangan polis apabila penduduk enggan berpindah dari rumah itu.

“Ketika itu datang MB cuba menyelesaikan masalah dan menyuruh penduduk berpindah sementara kerana dalam masa dua tahun Kerajaan Negeri akan membina rumah kos rendah di tanah tapak penduduk dan mereka boleh kembali menetap di situ,” katanya.

Katanya, akhirnya penduduk merasa kecewa dengan janji tersebut apabila sebahagian tanah yang dinyatakan telah dibangunkan dengan kompleks SPRM dan sebuah pasar raya.

Sinar Harian

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kampung Baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu penduduk Kampung Baru dengan menyediakan pelan pembangunan alternatif tanpa menjejaskan hak milik tanah yang diwarisi penduduk daripada nenek moyang mereka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung Baru (JKBPKG) memulakan langkah menyalurkan maklumat kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Bharu mengenai hak mereka ke atas tanah tersebut meskipun kawasan tersebut dibangunkan.

Ianya sebagai usaha mengelakkan penduduk Kampung Baru menjadi mangsa Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 yang telah diluluskan Dewan Negara Disember lalu.

"Kerajaan negeri sentiasa di belakang usaha untuk menentukan pembangunan Kampung Baru ini dapat diterima dan dihayati oleh seluruh pemilik dan pewaris tanah.

"Walaubagaimana pun kita mesti melakukan usaha ini dengan penuh tertib dan berhemah supaya akhirnya apa yang kita lakukan memberikan kebaikan kepada masyarakat di Kampung Bharu," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pemilik Tanah Kampung Baru bersama Menteri Besar anjuran JKBPKG dan Yayasan Selangor di Jalan Raja Ali, dekat sini malam tadi.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 penduduk Kampung Baru itu, pengurus pembangunan perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathurahman Abu membentangkan secara ringkas pelan pembangunan Kampung Baru sebagai alternatif kepada pelan Pembangunan Perbadanan Kampung Baru di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Selain itu, penduduk juga berpeluang mengemukakan soalan dan pandangan dalam sesi dialog yang diadakan.

Pada sidang media sama, Khalid berkata, JKBPKG memerlukan sokongan daripada badan-badan korporat yang lain dalam usaha membangunkan Kampung Bharu seperti yang dikehendaki penduduk.

"Jawatankuasa bertindak yang diketuai Dr Idris Ahmad dan dianggotai rakan-rakan kita yang profesional seperti peguam, arkitek, pemaju dan kerajaan negeri menggalakkan syarikat-syarikat seperti PKNS, Yayasan Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad untuk menyertai jawatankuasa ini supaya memberi input yang sesuai kepada penduduk," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu pusat khidmat ditubuhkan dan dijangka siap dalam masa dua minggu lagi sebagai tempat rujukan penduduk mengenai hal berkaitan pemilikan tanah dan lain-lain.

"Pejabat jawatankuasa bertindak akan dibuka dua minggu lagi untuk memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang tanah, harta pusaka, akta MAS dan bagaimana penerangan ini boleh disebar kepada seluruh pemilik dan pewaris tanah," katanya.

Panggil MAS bermesyuarat

Sementara itu, Khalid berkata beliau akan memanggil anggota Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) bermesyuarat untuk melakukan penstrukturan semula terhadap badan itu.

Khalid berkuasa memanggil mesyuarat MAS yang wujud sejak 111 tahun dahulu berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950.

Penstrukturan semula MAS ini bagi memastikan keanggotaan terdiri daripada pelbagai kumpulan yang mempunyai kepakaran berlainan dalam menguruskan hal ehwal penduduk Kampung Baru.

Berdasarkan peruntukan juga, Khalid mempunyai kuasa melantik empat orang anggota MAS.

"Saya akan minta MAS panggil mesyuarat.

"Kita mahu MAS dianggotai pelbagai kumpulan supaya kumpulan ini boleh bergerak bersama dalam membangunkan Kampung Baru," katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Harakah Daily

NFC: Ketua Audit sahkan gagal, tak perlu firma akaun

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Jingga 13 membantah hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) seperti mana dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua kordinatornya, Fariz Musa berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2010 telah mengesahkan melalui pemeriksaan audit mengesahkan bahawa NFC adalah gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Katanya, Muhyiddin bukan sahaja turut terpalit dengan isu skandal NFC tersebut adalah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk mengumumkan sebarang hasrat atau tindakan kerajaan yang sudah pasti menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Penglibatan Tan Sri Muhyiddin adalah jelas dalam skandal NFC kerana beliau ketika itu sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan projek tersebut kepada syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, skandal NFC semakin memuncak dan pendedahan demi pendedahan telah dilakukan terhadap pelbagai isu yang melibatkan penyelewengan dan pecah amanah dilakukan oleh ahli keluarga Shahrizat yang kini dalam siasatan pihak polis dan SPRM .

Tambahnya, Jingga 13 mendesak agar diwujudkan dengan segera sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala dakwaan kepincangan dan penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan yang dijalankan oleh NFC.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja tersebut adalah mereka yang terdiri daripada yang benar-benar profesional dan berintegriti dalam menyiasat secara terperinci NFC yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM250 juta.

Katanya, Muhyiddin seolah-olah bertindak bagi tujuan untuk menutup pekung sebenar dengan hasrat melantik firma perakaunan tersebut.

“Beliau harus bertanggungjawab terhadap perlantikan syarikat ahli keluarga Shahrizat yang ternyata tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri perternakan lembu,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

ADUN PAS bersama masyarakat Cina raikan Tahun baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seminggu menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan-kawasan telah mengambil inisiatif menyusun program ziarah dan agihan buah limau kepada masyarakat Tionghua mengikut kawasan masing-masing.

Di Dungun, khususnya DUN Sura,program tersebut meraikan kedatangantahun baru, diadakan pada 16 Januari dan 17Januari.

Program ziarah oleh wakil rakyat PAS Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly, bermula di sekitar pasar dan kedai-kedai pekan Kuala Dungun sehingga ke kedai-kedai kaum Cina di Sura Gate.

Beliau sempat menziarahi tidak kurang 200 premis perniagaan sepanjang dua hari program dijalankan.

Turut mengiringi Ustaz Wan Hassan yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Dungun, Puan Serena Lim Abdullah dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Ljnah tersebut, di antaranya Haji Hassan Abdul Aziz, Abdullah Che Yahya dan Abdul Rajak Hj Abdul Hamid.

Bendahari MTD Sura, Haji Abdullah Ibrahim dan AJK MT Pemuda DUN Sura, Shaikh Salmin Shaikh Mohamad turut mengiringi ADUN Sura semasa agihan limau tersebut

Sementara itu di kawasan Marang, khususnya DUN Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Noor Hamzah berkesempatan untuk beramah mesra dengan masyarakat Cina yang tinggal atau pun menjalankan perniagaan di DUN tersebut.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Marang Mohd Nasir Ismail, lawatan ramah mesra dengan masyarakat Cina adalah rutin tahunan beliau dalam meraikan sambutan tahun baru Cina seetiap tahun.

“Majlis atau program begini akan mengeratkan hubungan antara etnik dan menghapuskan jurang perkauman dan masyarakat akan hidup aman dan sejahtera.,”ujar Nasir

Beliau yang juga Ketua Cawangan PAS Bukit Payong berkata, selian program dengan masyarakat Cina, Ustaz Mohd Nor turut menziarahi warga Bukit Payong yang uzur.

Ariffin Hassan yang menghidapi kencing manis agak kronik, menerima lawatan ADUN Bukit Payong dengan rasa syukur kepada Allah.

Ariffin yang terpaksa dipotong kakinya baru-baru ini mengucapkan terima kasih atas lawatan tersebut.

buletin online/-

Pakistan tolak lawatan Duta AS

25 Safar 1433H. [MOD] -

Hubungan Islamabad, Washington terus tegang sejak serangan NATO

ISLAMABAD: Pakistan menolak permohonan duta khas Amerika, Marc Grossman untuk melawat negara itu, kata seorang pegawai kanan semalam meningkatkan lagi ketegangan antara dua sekutu yang tidak sebulu.

Beliau tidak menjelaskan alasannya.

“Duta Grossman memohon untuk melawat Pakistan tetapi kami sampaikan kepadanya bahawa ia mustahil buat masa ini,” kata pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya disiarkan memberitahu Reuters.

Hubungan antara Islamabad dan Washington berada tahap paling buruk sejak beberapa tahun, ditambah dengan serangan udara NATO yang membunuh 24 tentera Pakistan pada 26 November.

Kerjasama Pakistan disifatkan penting kerana sejarah panjang yang berkaitan dengan kumpulan militan, usaha untuk memujuk Taliban menyertai rundingan.

Grossman, yang juga Wakil Khas Amerika ke Afghanistan dan Pakistan, dijangka melawat Afghanistan dan Qatar minggu ini, kata Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton minggu lalu.

Sementara itu peguam Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani, Aitzaz Ahsan berkata, pemimpin itu tidak bersalah menghina mahkamah tetapi perlu tunduk kepada tekanan politik semasa selain meminta Switzerland membuka kes rasuah terhadap presiden.

Ulasan beliau adalah petanda paling jelas bahawa Gilani mungkin terpaksa berundur bagi mengelak konfrontasi dengan badan kehakiman di mana beliau diarahkan hadir ke Mahkamah Tinggi Pakistan pada Khamis.

Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis menghina mahkamah terhadap Gilani, berasa berang dengan keengganan kerajaan menulis surat kepada kerajaan Swiss meminta mereka membuka semula kes rasuah terhadap Presiden Asif Ali Zardari sejak pengampunan berakhir pada 2009.

“Asif Ali Zardari mempunyai imuniti penuh sebagai presiden,” kata Ahsan memberitahu wartawan.

“Tiada masalah menulis surat kepada pihak berkuasa Swiss. Beliau menikmati imuniti di Pakistan dan luar negara selagi menjadi presiden,” tambahnya.

Keputusan Gilani melantik Ahsan sebagai peguam dilihat isyarat perdamaian dengan institusi kehakiman, yang menjadi punca pertelingkahan dengan kerajaan yang dipercayai dipaksa mempercepatkan pilihan raya tahun ini.

Ahsan adalah pemimpin kanan dalam parti Zardari, Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan peguam terkemuka yang dihormati badan kehakiman kerana peranannya memaksa kerajaan mengembalikan kebebasan hakim pada Mac 2009. – AFP/Reuters

IMF sasar untuk kumpul dana US$500b

25 Safar 1433H. [MOD] -

WASHINGTON 19 Jan - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata semalam bahawa ia akan mencari dana sehingga US$500 bilion menerusi kekuatan kewangan baru di sebalik krisis hutang awam Eropah semakin mengancam ekonomi global.

Dengan beberapa negara Eropah berusaha mengatasi kemelesetan dan Greece pula di ambang kegagalan, IMF berkata ia kekurangan sumber untuk menjadi peminjam terakhir di planet ini.

“Berdasarkan anggaran kakitangannya bahawa potensi keperluan kewangan dunia pada tahap US$1 trilion pada tahun-tahun mendatang, IMF menyasarkan untuk mengumpulkan sehingga US$500 bilion sumber pinjaman tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.

- AFP

Adam Adli mahu ambil tindakan mahkamah terhadap UPSI

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan - Aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim yang digantung pengajian selama 18 bulan atau tiga semester akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mencabar keputusan itu.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Adam Adli, 22, berkata tindakan itu diambil kerana pengurusan UPSI tidak memberi perbicaraan yang adil semasa dipanggil membela diri pada 9 Jan lalu.

Bagaimanapun Adam Adli tidak menjelaskan tarikh khusus tindakan mahkamah terhadap universiti akan diambil, menambah perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan peguam.

"Saya akan bawa perkara ini ke mahkamah, sekarang masih di peringkat perbincangan dengan peguam...kita sedang meneliti kes ini terlebih dahulu sebelum dibawa ke mahkamah.

"Tapi kita akan failkan dalam masa yang terdekat," katanya.

Adam Adli digantung pengajian atas tuduhan mencemarkan reputasi UPSI.

Penuntut sarjana muda pendidikan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember lalu.

Adam Adli mencetuskan kontroversi apabila bertindak menurunkan kain rentang bergambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan menggantikannya dengan bendera kebebasan mahasiswa.

Anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini menambah akan menghabiskan tempoh penggantungan dengan berkempen menuntut kebebasan akademik di seluruh negara.

"Saya akan teruskan dengan siri jelajah, berkempen sehingga Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan," katanya.

malaysian insider/-

Kapal terbalik beralih kedudukan

25 Safar 1433H. [MOD] -

KEDUDUKAN kapal pesiaran Costa Concordia di Pulau Giglio, Itali semalam.

PULAU GIGLIO, Itali - Para penyelamat yang mencari 20 orang yang masih hilang dalam tragedi sebuah kapal pesiaran mewah terbalik di sini menggantung operasi menyelamat, kata seorang jurucakap semalam.

Menurut jurucakap operasi itu, Luca Cari, tindakan tersebut terpaksa dibuat kerana kapal berkenaan, Costa Concordia didapati beralih kedudukan.

"Peralatan-perlatan menunjukkan bahawa kapal tersebut bergerak. Kami dalam proses untuk menilai jika menemui kedudukan itu terhenti bagi membolehkan kami menyambung semula (operasi tersebut)," katanya.

Kerja-kerja menyelamat itu dihentikan pada pukul 8 pagi waktu tempatan.

Jumlah kematian adalah seramai sebelas orang namun 20 lagi dipercayai masih hilang ekoran kejadian tersebut yang berlaku pada Jumaat lalu.

Kapal itu yang membawa lebih 4,000 penumpang terbalik selepas ia terlanggar batu.

Kapten kapal itu, Francesco Schettino telah ditahan di rumah dan berdepan dengan dakwaan melakukan pembunuhan besar-besaran.

Sementara itu, Schettino juga menafikan dia telah meninggalkan kapal berkenaan ketika ramai penumpang belum keluar sepenuhnya dari Costa Concordia.

Kenyataan itu dibuat oleh peguamnya, Bruno Leoratti.

Menurutnya, tindakan kapten kapal itu mengemudikan Costa Concordia ke pulau berkenaan selepas melanggar batu telah menyebabkan ribuan penduduk selamat. - Agensi

Iran kirim RQ-170 ke Rumah Putih

25 Safar 1433H. [MOD] -

ASKAR Iran melihat RQ-170 Sentinel yang ditembak jatuh tahun lalu.

PESAWAT mainan yang akan dihantar ke Rumah Putih.

TEHRAN: Iran berkata ia akan mengirimkan pesawat mainan menyerupai pesawat kawalan jauh RQ-170 Sentinel kepunyaan Amerika Syarikat yang ditembak jatuh akhir tahun lalu ke Rumah Putih, sebagai memenuhi permintaan Washington yang meminta ia dikembalikan.

Kelmarin, stesen radio tempatan Iran, Radio Payam, melaporkan sebuah syarikat tempatan akan mengeluarkan versi mainan pesawat tanpa pemandu dan akan dihantar ke Rumah Putih.

“Satu upacara istimewa akan diadakan pada 1 Februari, bagi memperingati ulang tahun ke-34, kemenangan revolusi Islam di Ira dan pada hari itulah kami akan mengirimkan pesawat itu ke Rumah Putih,” lapor stesen radio itu.

Pesawat mainan itu mempunyai saiz satu perlapan puluh lebih kecil daripada saiz pesawat sebenar dan dijual pada harga AS$6 (RM18).

Berita mengenai penghasilan pesawat mainan menyerupai RQ-170 Sentinel, dilaporkan untuk kali pertama di luar Iran oleh wartawan Mitrak Amiri yang secara kebetulan membuat laporan mengenai pengharaman patung Barbie oleh polis agama negara itu.

Laporan menyatakan bahawa pesawat mainan itu akan dijual dalam pelbagai warna, manakala laman web dari negara jiran Iran, Trend menyatakan bahawa pesawat itu berukuran 30 sentimeter lebar dan 40 sentimeter panjang, dihiasi kata-kata berbunyi; “Kami akan menginjak-injak Amerika”.

Trend menyatakan bahawa sekumpulan belia Iran bekerjasama untuk mereka dan mengedarkan pesawat mainan itu, manakala agensi berita antarabangsa Associated Press melaporkan ada sebuah syarikat menghasilkan permainan itu.

Iran sebelum ini berkata, ia menembak jatuh pesawat tanpa pemandu itu pada 4 Disember tahun lalu. – Agensi

Israel lakukan serangan udara ke atas Gaza

25 Safar 1433H. [MOD] -

GAZA 19 Jan. - Seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza, hari ini.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan di Hamas, Adham Abu Selmiya berkata, serangan itu berlaku di sebuah padang di timur bandar Beit Hanun.

“Kami menemui satu mayat dan dua orang dalam keadaan cedera selepas serangan tersebut,” katanya. - AFP

Simbah asid: 2 pelajar ditahan

25 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Dua pelajar ditahan kerana disyaki menyimbah asid terhadap seorang lelaki, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tendong, Ahad lalu.

Kedua-dua pelajar terbabit masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam dua serbuan berasingan antara jam 2.35 hingga 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pelajar terbabit dipercayai dijanjikan akan mendapat upah daripada bekas isteri kedua mangsa.

Beliau berkata, salah seorang daripada pelajar terbabit yang belajar di sebuah sekolah agama menyimbah asid terhadap mangsa jam 12.15 pagi.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit yang berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Sebaik menahan pelajar terbabit, hasil soal siasatan, kita berjaya menemui semula botol asid yang dibuang ke dalam parit yang mengandungi air sejauh kira-kira dua kilometer daripada rumah mereka,” katanya semalam.

Jalaluddin berkata, polis kini mengesan tudung botol asid terbabit yang dipercayai dibuang berhampiran tempat kejadian. Sebelum ini, polis menahan dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun untuk membantu siasatan.

Pada 16 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda cedera parah dipercayai disimbah asid oleh lelaki yang tidak dikenali.

Sinar Harian