18 January 2012

BN mula putar belit perlantikan Exco baru Selangor.

25 Safar 1433H. [MOD] -

Timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad yakin Menteri Besar Selangor membuat keputusan untuk mengambil alih portfolio hal ehwal Islam buat sementara waktu kerana untuk memberi masa kepada Dr Ahmad Yunus Hairi menyesuaikan diri sebagai exco.

"Potfolio tersebut membawa tanggungjawab yang berat dan memerlukan seorang exco yang dapat memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi," tulis Iskandar dalam laman facebooknya.

"Saya yakin menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) akan menyerahkan potfolio tersebut kepada Dr Yunus pada masa yang sesuai," tegas beliau yang juga exco kerajaan negeri Selangor.

Iskandar juga yakin Dr Ahmad Yunus berupaya meneruskan perancangan dan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Datuk Dr Hasan Ali.

"Saya berharap orang ramai akan memberhentikan sebarang spekulasi berhubung portfolio yang penting ini," tambahnya.

Dr Ahmad Yunus yang juga ADUN Sijangkang dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Hasan yang digugurkan dari jawatan tersebut minggu lalu.

Dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan yang sebelum ini dipegangnya.

Manakala portfolio mengenai hal ehwal Islam, infrastruktur dan kemudahan awam akan disandang oleh Abdul Khalid.

Malam ini selepas beberapa jam Dr. Ahmad Yunus dilantik je jawatan tersebut, media pro BN mula memainkan isu dengan memutar belit isu dengan menampilkan beberapa orang bekas ahli PAS seperti Nakaie dan Zul Kulim mempertikaikan kedudukan Exco PAS yang tidak diberikan tanggugnjawab menjaga hal ehwal agama.

Keadaan ini jelas mengambarkan tentang media BN yang sudah ketandusan isu bagi menganggu rumah tangga Pakatan Rakyat yang harmoni itu.

Generasi Kedua Pembuat Kuih Bakul Kekalkan Cara Lama

24 Safar 1433H. [MOD] -

Kuih tradisional kuih bakul sering mendapat permintaan menggalakkan di pasaran setiap kali menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina. Foto BERNAMA.

KOTA BAHARU: Ibarat irama dan lagu, demikian hubungan kuih tradisional masyarakat Tionghua, kuih bakul, dan sambutan Tahun Baru Cina saban tahun.

Selaras peredaran zaman, kuih yang diperbuat daripada tepung beras pulut itu juga mengalami perubahan termasuk penggunaan teknologi bagi mempercepatkan proses pembuatannya.

Namun bagi pembuat kuih bakul, Lee Gee Ann, 73, kaedah tradisional terutama daripada segi pembungkusan yang menggunakan daun pisang masih dikekalkan.

"Ramai pembuat kuih bakul sekarang menggunakan plastik untuk membungkus kuih, namun saya masih kekalkan tradisi lama iaitu menggunakan daun pisang bagi mengekalkan rasa yang asli.

"Ia juga terbukti dapat menambah selera pelanggan kerana aromanya lebih harum berbanding pembungkusan dengan plastik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cina dekat sini.

Lee yang merupakan generasi kedua pembuat kuih bakul dalam keluarganya, berkata beliau berkecimpung dalam bidang pembuatan kuih itu ketika berumur belasan tahun selepas belajar daripada mendiang ibunya.

"Mungkin resepi dan pembuatan kuih ini sudah berusia lebih daripada 100 tahun memandangkan mendiang ibu telah membuatnya ketika saya masih kecil lagi.

"Namun, apa yang unik mengenai kuih ini hanya dibuat setahun sekali sempena Tahun Baru Cina sahaja bagi mengelak pembeli bosan dengan juadah sama," katanya.

Menurutnya lagi, tahun ini mereka menggunakan kira-kira 40 kilogram beras pulut dan 40 kilogram gula bagi menyediakan juadah itu.

Proses untuk membuat kuih bakul tidak sukar namun mengambil untuk mengukusnya.

Cara membuatnya tidak sukar namun mengambil masa kerana masa mengukus hampir 18 jam bagi memastikan kuih benar-benar masak, terutama di bahagian dalam, kata Lee.

Bagi memudahkan pembeli membuat pilihan, beliau turut mempelbagaikan saiz kuih berkenaan dan menjual kuih bakul tersebut dengan harga RM12 sekilogram.

"Orang Islam juga tak perlu risau untuk memakan kuih ini kerana saya mengupah tiga orang wanita Melayu bagi membuat kuih ini dan saya hanya memantau ketika proses membuat dan memasak kuih," katanya.-BERNAMA

Mesra rakyat: PAS Perak perkenal “Perak Kite”, usaha dekati rakyat

24 Safar 1433H. [MOD] -

SIDANG MEDIA...Pengarah Program, Haji Mohd Misbahul Munir Masduki bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Amin dan juga Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh dalam sidang media penerangan berkaitan pelancaran slogan kempen “Perak Kite”.

IPOH, 18 Jan: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dalam merangka gerak kerja Pilihan Raya Umum ke 13 telah memperkenalkan satu pendekatan mesra rakyat di dalam kempennya kelak.

Dalam penjenamaan kempen PAS Perak tersebut, slogan Perakite; Rakyat Sepakat Perak Berkat bakal dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pada 20 Januari 2012 ini nanti.

Pelancaran tersebut bakal diadakan di Mosalla Al-Ehsan Paya Purnama, Paya Renggam, Padang Rengas yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Haji Abu Bakar Hussien.

Pembaharuan kempen ini diperkenalkan bagi meneruskan suasana bahang Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti dan pelbagai program bersama rakyat akan disusun disemua kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi oleh PAS.

Program mesra rakyat dan kebajikan ini antara pengisian program yang telah dirancang sehingga tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 nanti bahkan tema yang dilancarkan turut di bawa oleh semua jentera parti.

Oleh: Safarizal Saleh [by email @ WarkahDaily]

Mana ada pemimpin seperti Nik Aziz sekarang

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diakui sebagai pemimpin terbaik di seluruh dunia masa kini, dengan penilaian terhadap sikap dan prestasinya yang memuaskan dalam pelbagai sudut.

Lebih membanggakan apabila sikap dan prestasi yang memuaskan itu berjaya dipertahankan oleh Nik Aziz sejak mula menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga kini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan sikap dan prestasinya yang membangggakan itu menjadikan orang yang seperti Nik Aziz amat sukar ditemui di dunia ini.

"Mana ada pemimpin seperti Nik Aziz di dunia ini sekarang? Dah 20 tahun lamanya menjadi Menteri Besar, tapi Tuan Guru Nik Aziz tetap tidak ada tanah, tak ada balak, tak ada wang yang banyak dan rumah mewah," katanya.

Kalau orang lain, menurut beliau, setelah 20 tahun menjadi menteri besar atau memegang tampuk kuasa, pasti akan mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan diri dan keluarga seperti yang sering berlaku di seluruh dunia.

Katanya, kemunculan Mursyidul Am PAS itu sebagai menteri besar yang bersih berpunca dari potensi dirinya sendiri selaku manusia yang kuat berpegang kepada agama, guru agama dan sejajar dengan penglibatannya dengan perjuangan bersama parti Islam atau PAS.

"Tanpa pegangan kuat kepada agama, tidak akan lahir kekuatan iman, kemantapan rohani sehingga menjadikan Nik Aziz muncul sebagai pemimpin yang bersih dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai unsur negatif lain," tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berbangga kerana Menteri Besar Kelantan dari PAS itu bukan sekadar muncul sebagai pemimpin bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi juga dapat memimpin serta mentadbir kerajaan dengan cemerlang.

"Walaupun ada orang kata ustaz atau guru agama tak boleh jadi pemimpin kerajaan, tetapi Nik Aziz telah membuktikan bahawa guru agama juga layak, malah lebih berkelayakan menjadi pemimpin," tegasnya yang juga Ketua Umum PKR.

Ketika berucap pada acara Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu, beliau turut menyebut perkara itu dan disambut tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 perwakilan.

Dengan kecemerlangan sikap dan prestasi yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu, tegasnya, ia sekali gus boleh mematikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang sering mempertikaikan kemampuan golongan agama atau ulama menjadi pemimpin.

"Kini setelah 20 tahun menjadi menteri besar, Nik Aziz ternyata lebih berkebolehan menjadi pemimpin berbanding pemimpin-pemimpin dari Umno BN sehingga menjadikan Kelantan jauh lebih baik setelah berada di bawah PAS atau Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN," tegasnya.

Beliau turut memuji sikap dan prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berada di bawah Pakatan Rakyat ternyata mempunyai sikap yang baik, bebas dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya sehingga menjadikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada yang berada di bawah BN," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yakin prestasi baik yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang memegang tampuk pemerintahan di negeri-negeri yang berada di bawah pakatan itu akan dapat dipertahankan oleh kesemua mereka yang terbabit, selaras dengan perjuangan Pakatan Rakyat untuk membela rakyat, bukan untuk mengaut kepentingan peribadi.


HARAKAHDAILY/-

Ketua kampung bakar pejabat kerajaan

24 Safar 1433H. [MOD] -

HONG KONG: Polis China menahan seorang ketua kampung di utara negara itu selepas dia membakar hangus pejabat kerajaan bagi membantah amalan rasuah, kata satu pertubuhan hak asasi manusia semalam.

Akibat tindakan Gao Jinje itu, dua cedera parah.

Bertugas di Kampung Beitai di wilayah Hebei, Gao mempertikaikan pihak berkuasa tempatan di bandar Chengde atas amalan rasuah dan salah guna kuasa pada Ahad.

Pusat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi berkata, selepas bertengkar, Gao mencurah cecair mudah terbakar ke kompleks kerajaan dan menyalakan api.

“Kebakaran itu memusnahkan lebih 20 pejabat,” katanya.

Gao kini ditahan polis tetapi tidak diketahui berada di mana. - AFP

MB yakin Dr Yunus amanah, telus dan bertanggungjawab

24 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 18 Jan: Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan Dan Angkat Sumpah Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) yang baharu.

“Kami percaya YB Dr Ahmad Yunus ADUN Sijangkang boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, latar belakang Ynus sebagai doktor perubatan telah banyak memberi khidmat kepada rakyat, boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai Ahli MMKN secara efisyen dan profesional.

Tambahnya, pelantikan baharu itu turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio di mana Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap Portfolio Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan manakala Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang oleh Menteri Besar sendiri.

Jelasnya, rombakan yang berkuatkuasa hari ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan dengan lancar, tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah Exco pembantu untuk portfolio Belia dan Sukan.

Khalid juga mengumumkan bahawa Adun Meru, Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel) manakala Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat), kedua-dua jawatan itu sebelumnya disandang oleh Datuk Dr Hasan Ali.

“Dalam perkembangan berkaitan, saya ingin menyatakan bahawa saya ada menerima surat daripada YB Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan ini mungkin terlalu awal (premature) kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

“Saya telah menjawab surat tersebut dengan menyatakan keputusan saya menggugurkan beliau adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari 2012 yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan surat dari Jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

“Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ianya tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya yang juga Adun Ijok.

Justeru, Khalid berharap Dr Hasan menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang beliau laksanakan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

Tambahnya, kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan Sultan Selangor dalam mengendalikan isu yang melibatkan pelantikan Ahli MMKN itu.

“Saya berharap dengan sempurnanya pelantikan ini akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” ujarnya.

HARAKAHDAILY/-

Bunuh zirafah untuk seronok

24 Safar 1433H. [MOD] -

KELUARGA ini membayar ratusan ribu ringgit untuk menembak mati zirafah ketika memburu secara sah.

LONDON: Gambar menunjukkan satu keluarga bergembira ketika bergambar bersama zirafah yang mereka tembak mati semata-mata untuk berseronok.

Pelancong seperti keluarga itu membayar ratusan ribu ringgit untuk memburu secara sah haiwan berkenaan.


Ramai yang membawa pulang kepala haiwan itu untuk sebagai kenang-kenangan bercuti di Afrika.

Pakar zirafah, Dr Julian Fennessey berkata: “Ada yang datang dari Britain, tetapi sebahagian besarnya dari Amerika Utara, Jerman, Russia dan Scandinavia.


“Ada pemburu hanya berminat untuk bergambar bersebelahan dengan bangkai haiwan itu. “Tetapi yang lain, mengupah pengawet haiwan memenggal kepala binatang itu supaya mereka boleh membawanya pulang sebagai cenderamata. Ada yang mahukan kulitnya.


Pemburu terbabit membayar sehingga �10,000 (RM50,000) untuk ekspedisi memburu zirafah. Kelab Safari dan Taman Negara mengenakan bayaran sebanyak �1,500 (RM7,500) untuk yuran trofi dan tambahan �1,000 (RM5,000) sehari untuk mengupah jurupandu.

Populasi zirafah berkurangan sebanyak separuh sejak 1988, daripada 140,000 kepada kurang 80,000.


Haiwan itu kini dipercayai semakin pupus di negara seperti Angola, Mali dan Nigeria.

Tetapi di Afrika Selatan, Namibia dan Zimbabwe, memburu zirafah masih dibenarkan. - The Sun

Umno licik permainan catur Cina

24 Safar 1433H. [MOD] -

SABAN hari Presiden MCA, Chua Soi Lek ataupun anak lelakinya Chua Tee Yong (anggota Parlimhttp://mbsskl.edu.my/panitia_sivik/files/2009/12/xiangqi1.JPGen Labis) akan menhentam PAS dan cakap pasal hukum hudud. Mereka berdua saling silih berganti menyerang PAS. Hujah utama mereka ialah 2 poin berikut:

1. Jika hukum hudud dilaksanakan, Malaysia akan mundur; dan

2. Hukum hudud akan memberi kesan ke atas orang bukan-Islam.

Poin yang ke-2 diulangi setiap hari untuk menanamkan benih ketakutan dalam hati kaum Cina.

Tak henti-henti serangan daripada geng bapa dan anak ini - bertali arus dan bertubitubi pula.

Dan Umno pula diam membisu dan buat macam pekak badak sahaja. Kedua-dua bapa dan anak ini selalu berkata bahawa Kedah dan Kelantan amat mundur sekali, dan baru-baru ini mereka menyerang pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa air di Kelantan amat kotor.

Namun demikian, walaupun serangan demi serangan telah dilakukan oleh Chua dan Chua, adalah amat pelik mengapa orang Melayu yang beragama Islam mendiamkan diri sahaja walaupun Islam telah diperlekehkan oleh mereka berdua ini.

Sebenarnya orang Melayu patut berasa marah bukan sahaja terhadap MCA bahkan juga terhadap Umno yang seolah-olah telah meluluskan permit kepada MCA untuk terus memburuk-burukkan agama Islam. Adalah amat jelas bahawa Umno telah ‘outsource’ kepada MCA tugas untuk meraih sokongan orang Cina.

Disebabkan oleh kepentingan politik, Umno telah menggunakan MCA sebagai kuda tunggangan untuk mendapat undi Cina. Dalam peribahasa Cina, MCA telah menjadi ‘running dogs’ Umno, iaitu satu penghinaan yang teruk kepada MCA.

‘Running dogs’ membawa makna bahawa MCA telah menggadaikan maruah Cina dan telah menjadi pengkhianat kepada bangsa Cina. Ramai orang Cina mengelar MCA sebagai ‘running dogs’ ataupun ‘sida’.

MCA juga senantiasa cuba menjerat DAP dengan meminta pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng untuk menyatakan pendirian DAP terhadap hukum hudud tetapi pemimpin DAP tidak mempedulikan MCA. Ini adalah kerana DAP berpendirian adalah membazir masa hendak melayan MCA.

Pemimpinpemimpin DAP berpendapat jika mereka melayan MCA, mereka pun boleh menjadi gila. Ini mengikut peribahasa Cina yang mengatakan ‘layan orang gila akan turut sama jadi gila’. Bagi DAP, MCA hanya seperti anjing menyalak bulan sahaja. Kebetulan bulan juga adalah lambang PAS.

Diharap orang Melayu akan membuka mata dan minda mereka untuk memahami permainan licik Umno ini. Dalam kebudayaan Cina, ini disebut permainan ‘catur Cina’ – licik dan berbahaya dengan tujuan untuk membunuh.

Jika kaum Melayu tidak sedarkan diri, memang mereka dengan mudah akan jatuh ke dalam perangkap Umno yang telah berjaya memanipulasi minda Melayu. Keputusannya ialah Umno akan mengekalkan kuasa mereka di Putrajaya supaya mereka sendiri dapat menjadi kayaraya.

Orang Melayu digesa supaya betulbetul memberi pengajaran kepada keduadua Umno dan MCA dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang ini. Orang

DETIKDAILY/-

Tahun Baru Cina: Peniaga di Jalan Sultan muram

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa Jabatan Tanah dan Galian (JTG) menarik balik kata dua mereka kepada pemilik tanah di Jalan Sultan iaitu sama ada mencapai persetujuan dengan MRT Corps menjelang 30 Januari atau akan kehilangan tanah mereka bagi projek pembinaan laluan MRT.

Ketua penerangannya, Herman Samsudeen berkata, penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan bakal menyambut Tahun Baru Cina minggu hadapan namun dengan tekanan dari JTG itu membuatkan sambutan sedikit muram.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tiadanya penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mempertahankan kediaman dan premis perniagaan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Jalan Sultan antara wilayah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sebarang pembangunan di atas tanah di kawasan berkenaan akan mengganggu keselesaan rakyat.

Malah, katanya sebelum ini ada banyak cadangan supaya laluan MRT bawah tanah dijadikan alternatif tanpa perlu memindahkan penduduk atau mengambil tanah mereka.

Justeru, beliau berkata pihak MRT Corps perlu berbincang semula dengan penduduk sehinggalah keputusan yang memberikan kebaikan kepada semua pihak dicapai.

Tegasnya, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah satu kezaliman dan tidak berperikemanusian.

Ini, ujar beliau hanya akan memberikan gambaran buruk kepada masa depan pembangunan Kuala Lumpur.

“Sewajarnya laluan bawah tanah termasuk stesen bawah tanah menjadi alternatif bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur yang sepatutnya mencontohi kota London yang mempunyai rangkaian jalan keretapi bawah tanah yang hebat tanpa menganggu bangunan-bangunan yang sedia ada,” katanya lagi.

Beliau mengharapkan pihak JTG tidak mengunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tarikh 30 Januari sewajar tidak berbangkit.

“Hapuskan sahaja kata dua itu, kembali ke meja rundingan dan fikirkan alternatif lain kerana kita tidak mahu yang berada di Kuala Lumpur nanti hanyalah laluan pengangutan awam semata-mata dan penduduk terus dipinggirkan,” ujarnya.

Justeru, katanya DPPWP menyokong usaha Jawatankuasa Bagi Pemuliharaan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan bagi mempertahankan hak mereka dan bersedia memberikan khidmat nasihat dalam isu berkaitan pada bila-bila masa jika diperlukan.

Harakah Daily

membantu atau menjahanamkan???

24 Safar 1433H. [MOD] -

pada beberapa hari lepas, Najib melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) iaitu pada 12/1/2012 yg akan mula dibuka kpd orang ramai menyertainya bermula 30/1/2012....

maka, adakah skim ini sebenarnya berupaya membantu rakyat??? atau ianya lebih menjahanamkan rakyat??? aku bukanlah pakar ekonomi nk bicara secara ditil segala bentuk perjalanannya...tetapi apa yg aku nk bancuh apa yg aku paham saja.....

pertamanya aku dah buat carian di laman web SPNB sendiri...tiada maklumat skim ini diberikan, aku juga cari di laman web Kementerian Kewangan....langsung tak disebutkan....adakah skim ini dilancarkan dalam keadaan tergesa2 atau hanya diputuskan di atas meja PM saja dan memaksa SPNB dan Kementerian Kewangan menjalankannya tanpa kajian yg lebih mendalam!!!!

Skim ini walaupun tak salah aku ada disebutkan oleh PM sewaktu pembentangan bajet 2012 pada tahun lalu, sepatutnya disediakan bersama prospektus dan ditil2nya sepertimana skim pelaburan yg lain iaitu bagi memberikan maklumat segala bentuk perjalanan dan risiko yg bakal ditanggung oleh pelabur.....

kemudiannya, ia bakal pula dijalankan oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd iaitu salah satu anak syarikat Kementerian Kewangan....mengapa tidak ianya diserahkan terus kpd SPNB utk diuruskan spt skim2 amanah yg sedia ada spt ASN, ASB, ASW2020 dll....aku boleh ja sebut nama sbb aku tak melabur pun...aku melabur dgn cara lain....

paling pentingnya iaitu skim ini berbentuk pinjaman dan bukan dalam bentuk tunai diterima....disebabkan tak ada prospektus, aku tak tahu secara ditil lagi kaedah pinjamannya guna kaedah apa...kaedah Islam kah atau kaedah konvensional kah??? dan kalau ikutkan ayat berita Bernama, ditulisnya "...amounting to RM5000" kalau ikut paham aku, ini bermaksud maksima pinjaman RM5000 dan bayaran balik selama tempoh 5 tahun....

bayaran balik yg ada disebutkan iaitu sebanyak RM86 sebulan dan pulangan setiap bulan dijanjikan adalah sebanyak RM134 sebulan yg dinamakan sebagai insentif tambahan.....tapi ikutkan cakap Najib dalam berita tv3 suku serta laporan utusan, dikatakan para peserta akan dapat lebihan tunai RM50 setiap bulan setelah ditolak bayaran bulanan....aku agak hairan jugak lah sbb yg aku belajar matematik, kalau RM134 - RM86 = RM48....kok mana depa kira dapat jawapan RM50!!!!

cuba kita pikiaq lagu ni lah....skim ni berbentuk pinjaman yg perlu kita bayaq tiap2 bulan sebanyak RM86...tak boleh bayaq sebulan, dah ganda....lagi tak banyaq...berganda lagi.....insentif yg dijanjikan tu pun kita kena paham...namanya saja pun dah tak boleh nk harap iaitu 'insentif' yg pada paham aku boleh diberi dan boleh ditangguhkan atau ditarik balik....kemudian pulak, kalau didarab RM86 x 5 tahun = RM5,160...itu kira kita dah bayar lebih dari apa yg dipinjamkan....

dah nampak mcm ada unsur RIBA...kemudian insentif yg dijanjikan pulak adalah bersifat tetap...ini juga sebenarnya mempunyai unsur riba (sila rujuk kpd pakar)...yg aku paham, ianya berunsurkan RIBA jika dalam satu perniagaan/urusan...kadar pulangan adalah ditetapkan pada satu kadar kerana tidak beri keadilan kpd kedua2 pihak atau hanya menguntungkan sebelah pihak....

kemudiannya pulak, mengapa ianya dijadikan dalam bentuk pinjaman yg perlukan kpd komitmen bayaran ansuran bulanan??? dan kemudian, kerajaan janjikan pulangan pada satu nilai, ditolak balik bayaran pinjaman dan hanya baki diserahkan....adakah dgn cara ini dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan rakyat dan seterusnya akan dapat membantu rakyat mengatasi kemelut kenaikan harga barang??? hahahahaaha.... bagi aku, sama sekali TIDAK membantu dan akan lebih membebankan....

dgn cara ini, peserta sebenarnya akan kehilangan 'kuasa beli'....pendapatan yg diperolehi terpaksa digunakan sebanyak RM86 utk membuat bayaran balik pinjaman....walaupun insentif disediakan, tetapi adakah ianya ditentukan atau dibayar secara bulanan??? kerana setakat yg aku paham, tiada dinyatakan demikian...mgkn ianya dibayar secara tahunan ataupun berkala.....lagipun, namanya saja pun 'insentif'.....

dan kesimpulannya bagi aku, skim ini hanya umpama satu bentuk jualan BON oleh kerajaan kepada rakyat...cuma dinamakan sedemikian....kerajaan buat pinjaman dan salurkan risiko membayar kpd rakyat dalam bentuk skim yg disebutkan....jika benar ikhlas kerajaan nk bantu rakyat, tak perlu skim seperti ini kerana lebih membebankan.....

jika ikhlas nk bantu rakyat, kerajaan perlu ada di pasaran dan mengawal pasaran melalui insentif-insentif yg lebih baik atau melalui pengurusan ekonomi yg lebih cekap, sistem pencukaian yg mesra rakyat...pendek kata yg panjang tak kata, masih banyak kaedah lain dan bagi aku, rakyat tak perlukan skim bodoh ini...... dan boleh juga aku andaikan skim ini lebih menjahanamkan!!!!!

bancuh.blogspot.com

Saya Tidak Akan Mengundi BN

24 Safar 1433H. [MOD] -

"Saya tidak akan mengundi BN (Barisan Nasional). Kalau kedai judi depan mata pihak berkuas a tidak nampak dan tidak ambil tindakan"

Itu antara kenyataan peniaga di pekan SLIM VILLAGE, Perak.

Barangkali ramai terfikir apakah hubungkait di antara Barisan Nasional, BN, dengan premis perjudian diceritakan di sini.

Untuk rekod, sebelum ini, Perak diperintah oleh Pakatan Rakyat dan kemudian tampuk pemerintahan berpindah tangan kepada BN. Sebagai rakyat, orang ramai melihat, pemerintah berhak mendapatkan bantuan pelbagai pihak berkuasa untuk memberhentikan kegiatan perjudian masih beroperasi sehingga ke saat entri ini ditulis.

"Premis itu dilengkapi kamera litar tertutup, CCTV. Hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk. Kini pintu belakang ditutup. Kebanyakkan pelanggan golongan tua berbangsa Melayu. Masyarakat setempat sebenarnya berasa gusar jika anak remaja mereka terjebak dengan gejala judi. Setiap hari selepas jam 5 petang, premis beroperasi 24 jam itu akan penuh dikunjungi pelanggan," ujar source saya.

Di kalangan pegawai dan anggota polis, terma 'source' bermaksud pemberi maklumat.

Jam 1.39 tengahari tadi saya menghantar pesanan ringkas, SMS, kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim, MDTM, Mohamad Fariz Mohamad Hanip.


'Salam Tuan. Premis judi onlne telah beroperasi di SLIM VILLAGE sejak setahun lalu. Gambar dan laporan di http://mazidulakmal.com. Adakah MDTM tahu kegiatan itu? Terima kasih'.

Berikut balasan SMS saya terima 14 minit kemudian.

'Semua premis terlibat kita dah submit ke Bukit Aman termasuk polis juga memantau, sebagai makluman'

Saya kemudian mengajukan soalan seterusnya kepada beliau, juga menerusi SMS.

'MDTM tidak ada kuasa untuk menutup operasi, Tuan?'

Berikut respon diterima pada jam 2.27 petang tadi.

'Itu perjudian di bawah kuasa polis. Kami (MDTM) jika premis berlesen dengan MDTM, operasi perlu bersepadu dengan polis'.

Saya tidak berkhidmat dengan MDTM atau polis tetapi berikutan maklumat disalurkan, sebagai blogger saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dalam memerangi gejala merugikan masyarakat itu.

Jika pemerintah dan pihak berkuasa mengikut saranan 1Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan', pastinya banyak telah membuka mata sekaligus bersama menangani kes ini dengan kadar segera.

Ingat, kuasa memilih pemerintah terletak di tangan rakyat dan Pilihanraya Umum Ke 13 bakal menjelang tiba.

Justeru, dengar keluhan rakyat dan laksanakan tanggungjawab dipikul.

Nukilan Mazidul Akmal Sidik

3 MP Pakatan jumpa Zahid Hamidi esok

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat akan menemui Menteri Pertahahan, Datuk Sri Zahid Hamidi esok di pejabatnya.

Ketiga-tiga mereka adalah Dr Dzulkefly Ahmad (AJK PAS Pusat - anggota Parlimen Hulu Selangor), Datuk Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR - anggota Parlimen Machang) dan Tony Pua (Setiausaha Publisiti DAP - anggota Parlimen Petaling Jaya Utara).

Pertemuan itu akan diadakan jam 3 petang esok di Kementerian Pertahanan.

Isu utama yang bakal dibincangkan adalah cadangan penubuhan Jawatankuasa Parlimen bagi pembelian kelengkapan pertahanan negara.

Pertamuan ini dipercayai diadakan ekoran pelbagai isu mengenai pembelian peralatan pertahanan dibuat oleh kerajaan yang meragukan.

Dari pembelian kapal selam sehinggalah yang terbaru penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard berjumlah RM9 bilion sentiasa menjadi isu dan pendebatan.

Boustead Naval Shipyard menerima projek itu untuk merekabentuk, membina, melengkapkan, memasang, meluluskan, intergarasi, ujian dan penyerahan enam buah Littoral Combatant Ships (Frigate Class).

Jumlah kontrak yang asalnya RM6 bilion tahun lepas telah melonjak kepada RM9 apabila diumumkan tahun ini.

"Menteri perlu memberikan penjelasan pembelian pelbagai peralatan ini kerana ia dibuat tanpa tender terbuka," kata Tony Pua, salah seorang anggota yang akan menyertai perjumpaan ini esok.

Harakah Daily

Syria: Sidang OIC sebelum barat campur tangan

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS mahu Malaysia segera menuntut agar diadakan sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) bagi membincangkan krisis Syria yang kini telah mengorbankan ribuan rakyat awam negara itu.

Pengerusi Lajanah Antarabangsa PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Malaysia perlu bertindak segera memandangkan keganasan oleh pasukan tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya makin berleluasa.

"Hari ini rombongan 50 orang pemerhati Liga Arab dihantar ke Syiria untuk memastikan Presiden Bashar Al-Assad tamat.

"Rumusannya, majoriti mereka tidak berpuas hati dengan keganasan yang terus berlaku dan menuntut ianya dihentikan segera," katanya kepada Harakahdaily dan Harakah hari ini.

Awal bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab telah mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.

Namun OIC masih dilihat berdiam diri dari membincangkan penyelesaian terhadap keganasan yang menimpa umat Islam Syiria itu.

Pergolakan yang bermula Mac 2011 lalu dianggar telah mengorbankan lebih 5000 nyawa rakyat negara itu.

Paling kritikal, pertempuran di bandar Homs yang telah mengorbankan ratusan rakyat yang berlarutan sehingga sekarang.

Kerajaan Syiria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad sebelum ini telah berjanji untuk tidak bertindak ganas terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun episod pembunuhan demi pembunuhan berlaku menyaksikan kerajaan itu tidak pernah menepati janji mereka.

Sementara itu, timbalannya Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kebimbangan pada waktu ini adalah campurtangan kuasa barat yang bertujuan memecahbelahkan umat Islam Syiria.

"Kita perlu bertindak segera supaya tidak ada campurtangan kuasa besar khususnya Amerika dan Israel untuk porak peranda keadaan demi kepentingan kuasa mereka di Timur Tengah.

"Lebih menyakitkan, ianya boleh membawa kepada perbalahan antara mazhab," katanya.

Sehubungan itu, PAS katanya menyeru semua negara-negara umat Islam untuk melihat isu Syiria sebagai isu umat Islam dan bukan isu politik semata-mata.

Tahniah Ikhwan

Dalam perkembangan lain, Dyed Azman juga turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan Mesir ekoran Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang mewakili mereka menang majoriti kerusi pada pilihan raya parlimen di negara itu.

"PAS ucap syabas dan tahniah kepada Ikhwan Mesir.

"Kita doakan Mesir akan bergerak dengan demokrasi tulen," katanya.

Harakah Daily

PAS ragu penjelasan NFC kontrak RM250 juta

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC turut mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, penjelasan itu menimbulkan persoalan kerana PAC dalam mesyuaratnya sebelum ini telah memanggil semua pihak untuk memberikan maklumat.

"PAC telah memanggil semua pihak untuk memberi maklumat dalam sidang PAC jadi sepatutnya maklumat ini (NFC) ada dan dibentangkan.

"Kenapa baru sekarang NFC sebut perkara ini dan kenapa kerajaaan dan Unit Perancang Ekonomi tidak maklumkan kepada PAC?" soal beliau ketika ditemui Harakahdaily hari ini.

November lalu, Pengerusi PAC, Tan Sri Azmi Khalid berkata bahawa selepas menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian iaitu pada tahun 2010.

Kamarudin yang juga ahli jawatankuasa PAC turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terus menulis surat kepada PAC agar jawatankuasa itu boleh terus berperanan menyiasat perbelanjaan yang diluluskan kerajaan.

"Kita menyeru kepada pihak yang mempunyai maklumat terus tulis surat kepada PAC," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, laporan PAC tidak wajar dipertikai kerana jawatankuasa itu dilantik oleh Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"PAC tidak boleh dipertikaikan kerana ia telah dibentang di Parlimen dan telah diterima pakai termasuk menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Harakah Daily

Pulau Pinang ajak PM bincang p'raya tempatan

24 Safar 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 18 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) telah menghantar surat kepada Perdana Menteri bagi meminta diadakan perbincangan tentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Surat itu telah dihantar beliau kepada Perdana Menteri pada 12 Mac dan salinannya diedarkan kepada media hari ini.

Menurut Lim, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan untuk memilih ahli-ahli majlis perbandaran di negeri itu.

Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan kerajaan negeri boleh memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya selain dari pilihan raya umum.

"Kami sedar YAB Datuk Seri mempunyai pandangan lain dan tidak bersetuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi memang terbukti amalan demokrasi akar umbi telahpun membolehkan urustadbir yang lebih cekap, akauntable dan telus berbanding dengan sistem perlantikan," katanya dalam surat itu.

Amalan antara bangsa pula, katanya, menunjukkan tren ini dengan 101 daripada 192 buah negara Bangsa-bangsa Bersatu mengamalkan sistem pilihan raya kerajaan temapatan.

Menurut Guan Eng, pihaknya telah juga menulis surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Mac 2010 lagi mengenai perkara tersebut dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak beliau sedia bertemu dengan Perdana Menteri bila-bila masa bagi membincangkan perkara tersebut.

Harakah Daily

Debat Lynas: PAS minta Adnan jangan dolak dalik

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 18 Jan: PAS Pahang meminta Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berhenti berdolak-dalik sebaliknya serius untuk berdebat dalam isu Lynas jika tidak mahu dicop pengecut.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad berkata, Adnan tidak sepatutnya menganggap debat dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sia-sia kerana isu tersebut terus menjadi kontroversi kepada umum.

“Jika tidak mahu dicop pengecut tetapi terus berdolak-dalik itu tak guna, debat ini penting supaya rakyat dapat didedahkan dengan maklumat sebenar tentang isu yang menghantui mereka,” katanya.

Suhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Adnan yang tampil di muka depan sebuah akhbar hari ini mendakwa beliau bukanlah seorang pengecut untuk berdebat Fuziah dalam isu Lynas.

Namun dalam masa yang sama awal-awal lagi beliau sudah menganggap debat tersebut adalah sia-sia kerana bakal dijadikan propaganda politik.

“Saya bukan pengecut. Saya tak gentar sekiranya Fuziah mahu ajak saya berdebat tetapi jika dia mahu menjadikannya isu propaganda, maka perdebatan itu sia-sia.

“Kita boleh berdebat dengan orang-orang bijak tetapi adakah kumpulan anti-Lynas ini bijak? Kita telah berikan mereka semua fakta daripada tetapi mereka masih tidak menerimanya,” katanya sebagaimana disiar media.

Sebelum ini Fuziah bersedia untuk menyertai debat yang dicadang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perhimpunan Hijau, yang membariskan Fuziah, Adnan dan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkaitan isu Lynas.

Fuziah mahu debat umum itu melibatkan semua pakar berkaitan supaya rakyat dapat mengetahui dan mendapatkan maklumat lebih tepat dan telus.

Isu Lynas menjadi topik hangat penduduk daerah ini sejak Kerajaan BN Pahang bersetuju membenarkan kilang memproses nadir bumi dari Australia yang dikatakan sudah ditolak oleh negeri-negeri lain itu beroperasi di Gebeng.

Suhaimi berkata, debat yang dicadangkan oleh NGO berkenaan adalah berikutan rakyat gagal untuk mendapat maklumat yang telus dan tepat mengenai Lynas.

“Dulu dianjurkan taklimat 8 siri tentang Lynas. Tetapi setelah orang ramai hadir dan bertanya, program penerangan itu dihentikan oleh penganjur selepas hanya dua kali berjalan.

“Kerajaan ada buat sesi penerangan tetapi secara terpilih dengan memanggil penyokong-penyokong Umno untuk diberi taklimat tertutup, bukannya secara terbuka kepada umum.

“Malam program yang serupa anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bangunan RTM baru-baru ini juga pesertanya dipilih-pilih, bukan semua orang boleh masuk.

“Jadi debat yang dicadangkan itu merupakan cara yang dicadangkan oleh NGO tersebut setelah rakyat dan penduduk Kuantan khususnya, dinafikan mendapat maklumat sebenar,” katanya.

Tambah Suhaimi, sebagai wakil rakyat Kuantan sudah tentu Fuziah mesti membela penduduk Kuantan yang dalam gementar berhadapan projek itu.

Sementara itu, pihak anti-Lynas juga telah membariskan 8 orang pakar dalam pelbagai bidang termasuk Dr Jayabalan yang pernah terlibat sebagai saksi dalam isu radio aktif Bukit Merah dulu.

Harakah Daily

Asingkan kaunter bayaran barangan ‘tidak halal’

24 Safar 1433H. [MOD] -

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat aduan salah seorang pekerja di sebuah pasar raya seperti mana yang disiarkan di dalam ruangan Surat Pembaca, akhbar Utusan Malaysia, 18 Januari 2012.

Berdasarkan kepada aduan itu, juruwang yang bekerja di pasar raya itu telah diarahkan oleh pihak pengurusannya supaya memegang daging babi tanpa berlapik. Perkara ini adalah sesuatu yang amat sensitif bagi setiap umat Islam.

Kebanyakan pasar raya di negara ini mempunyai ruangan khas untuk meletakkan barangan jualan yang ‘Tidak Halal’ bagi memisahkannya dengan barangan lain tetapi mungkin tidak mempunyai kaunter bayaran yang memisahkan khusus untuk menerima bayaran bagi barangan ‘Tidak Halal’ seperti yang dinyatakan di dalam surat pengadu.

Semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini perlulah lebih sensitif kepada agama dan budaya rakyat di negara ini dan mereka perlu menghormati agama dan budaya pekerja mereka dengan mengambilkira setiap perkara yang sensitif serta mengelakkan daripada melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya orang lain.

Sehubungan itu, CAP mencadangkan kepada semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini agar mengadakan lorong kaunter bayaran khusus untuk membuat bayaran barangan ‘Tidak Halal’ semoga perkara yang sensitif seperti ini dapat dielakkan.

CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT) agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurus dan pasar raya itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pekerja ini.

Semua pihak perlu peka dan sensitif dalam menjaga keharmonian hubungan di antara semua bangsa dan agama memandangkan kita semua berada di dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Tindakan yang awal segera perlu diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan agar tidak timbul sebarang konflik yang lebih buruk pada masa hadapan.

S. M. Mohamed Idris
Presiden

Harakah Daily

Derita pemuda jatuh tangga

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Hanya selepas terjatuh dari tangga rumahnya sebulan yang lalu seorang pemuda kini terlantar setelah disahkan mengalami strok.

Mohamed Nazri Mansur, 37 dari Kampung Gelugor di sini turut mengalami lumpuh sejurus selepas kejadian tersebut.

Adiknya, Naliza Mansur, 34 kini bertanggungjawab menjaga abangnya itu yang belum berumah tangga.

“Semua ini berlaku dengan sekelip mata, tiba-tiba abang jadi begini. Ketika kejadian abang hanya demam biasa sahaja, tetapi selepas jatuh dari tangga rumah, dia menjadi seperti ini, tidak mampu menguruskan diri dan memerlukan bantuan,” katanya.

Selain itu, sebagai adik, Naliza sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi abang kandungnya itu dan terpaksa menyerahkan tugas-tugas menguruskan kedai makan yang diusahakannya sejak dua tahun lalu kepada kakak iparnya.

Mohamed Nazri, yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Gelugor merangkap Naib Ketua Pemuda Cawangan jatuh tangga pada 6 Disember lalu.

Menurutnya, Nazri kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan doktor yang memeriksanya mengesahkan abangnya mengalami strok.

“Bahagian sebelah kanan badannya juga tidak boleh digerakkan dan berfungsi dengan baik buat masa ini.

“Bagaimanapun, saya dan keluarga sentiasa memberi galakkan dan semangat bagi membantu memulihkan semangatnya untuk terus berjuang dan kembali pulih seperti biasa walaupun doktor tidak meletakkan harapan tinggi abang untuk sembuh seratus peratus,” katanya.

Seterusnya, dia dan keluarganya tidak akan berputus asa dan turut mencuba kaedah tradisional demi hasratnya untuk melihat abangnya kembali pulih sekali gus mampu bekerja kembali seperti biasa dan mengharapkan jika ada sesiapa mampu membantu merawat penyakit Mohamed Nazri.

Agency

Harap mimpi jadi nyata

24 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG – “Malam tadi saya bermimpi lagi dapat berjalan semula. Setiap kali perkara itu berlaku saya akan bangun perlahan-lahan dan duduk untuk mengingati semula mimpi yang diharap dapat jadi kenyataan itu,” kata Md Rahim Jatim, 57.

Md Rahim ketika ditemui semalam, berkata, dia me­ngalami lagi mimpi dapat berjalan semula selepas kunju­ngan Sinar Harian di rumah keluarga itu kelmarin. Malah hasrat dan kisah hidupnya itu turut dikongsi bersama pembaca akhbar ini.

Kisah Md Rahim yang tinggal di Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan itu juga disiarkan Sinar Harian kelmarin. Bapa tiga anak itu menderita menghidap penyakit kulit misteri dan kini terpaksa berkerusi roda selepas kaki kirinya ditimpa sebatang pokok lima tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang lima tahun itu dia hanya mampu duduk kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa akibat kecederaan pada kaki kirinya tambah pula benjolan kecil dan besar yang tumbuh di seluruh badannya turut membataskan pergerakannya.

Menurutnya yang dipetik Sinar Harian kelmarin, penyakit kulit misteri itu dihidapi sejak berumur 25 tahun iaitu sebelum dia berumah tangga dan sejak itu sudah berpuluh doktor dan bomoh ditemui, namun sehingga kini ia gagal disembuhkan.

“Saya habis berikhtiar tetapi penyakit misteri ini tidak mahu juga sembuh. Namun, saya redha dengan keadaan diri saya, mungkin ia tidak dapat untuk dipulihkan. Tetapi saya berharap ada pihak yang sudi membantu untuk me­ngubati kaki saya yang cedera ditimpa pokok.

“Saya tidak mampu bekerja selepas kejadian pokok tumbang menimpa kaki ketika bekerja membersihkan kawasan hutan kira-kira lima tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila sejak belakangan ini saya sering bermimpi kaki ini pulih dan saya dapat berjalan semula,” katanya.

Sebelum ini Md Rahim hanyalah seorang pekerja kampung dan mempunyai tiga anak berusia enam hingga 19 tahun. Namun selepas mengalami kecederaan akibat ditimpa pokok getah uru­san harian keluarga itu dipikul isteri dan anak sulungnya.

Md Rahim berkata, dia pasti semua terkejut dan simpati apabila melihat wajah dan keadaan badannya yang dipenuhi dengan benjolan kecil dan besar, justeru dia berharap ada yang sudi membantu untuk mengubati kaki kirinya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Amirul, 19, ketika dihubungi Sinar Harian semalam, pula berkata, bapanya selalu bermimpi mengenai perkara itu dan bagi keluarganya ia sudah menjadi perkara biasa tetapi mimpi itu dikatakan lebih kerap sejak belaka­ngan ini.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada yang ingin membantu dan saya memohon maaf kerana telah memberikan maklumat salah mengenai nombor telefon sebelum ini,” katanya ketika dimaklumkan semalam, bahawa ada pihak yang akan melawat keluarga itu hari ini.

Semalam Skuad Cakna Sinar Harian dihubungi pihak yang sudi membantu Md Rahim bertalu-talu apabila nombor telefon yang disiarkan dalam akhbar kelmarin terdapat kesilapan.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Amirul menerusi talian 0111-9302549 dan bukannya seperti yang disiarkan Sinar Harian kelmarin.

Sinar Harian

Besi menara telefon lesap

24 Safar 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Sebuah menara telefon mudah alih di puncak sebuah bukit di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, dekat sini, menjadi sasaran pencuri apabila beberapa batang besi hilang dan dua generator elektrik direlainya.

Kejadian itu dikesan kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu, apabila peneroka mengesyaki sesuatu berlaku di menara berkenaan kerana kerap mengalami masalah ketika membuat panggilan telefon mudah alih ke luar rancangan tanah terbabit.

Berikutan itu, mereka pergi ke puncak bukit itu dan mendapati pagar di bahagian belakang menara terbabit digunting supaya mudah ceroboh masuk untuk mencuri pelbagai keperluan dalam menara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Lebir, Ab Aziz Ab Rahman berkata, bukan sahaja beberapa batang besi menara itu dicuri, tetapi juga dua generator elektrik dirungkai untuk mengambil pelbagai peralatan untuk dijual.

Beliau berkata, menara itu baru digunakan penduduk setahun lalu, namun terdedah dengan kejadian mencuri besi dan generator menyebabkan keadaan menara berkenaan tidak lagi selamat.

“Kita bimbang bukan sahaja menara itu memberi gangguan penggunaan telefon mudah alih kerana generator elektrik turut dicuri, juga bimbang menara itu tumbang sekali gus membahayakan penduduk,” katanya.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada syarikat yang mengendalikan peralatan menara terbabit dan siasatan pihak berkenaan sedang dijalankan sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Kita percaya kegiatan mencuri besi dan generator elektrik di kawasan menara berkenaan dilakukan mereka tidak bertanggungjawab pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya.

Penduduk, Rosmin Ab Rahman, 46, berkata, mereka tidak sepatutnya melakukan kegiatan seperti itu kerana menara telefon itu adalah bagi kemudahan semua penduduk di RKT Kesedar Lebir.

Menurutnya, jika menara itu rosak atau tumbang bukan sahaja boleh membahayakan penduduk sekitar, juga menyukarkan penduduk untuk membuat panggilan menggunakan telefon bimbit.

“Saya kecewa dengan sikap individu berkenaan yang sanggup mencuri besi dan generator elektrik di kawasan menara telefon mudah alih tanpa memikirkan kepentingan penduduk terutama jika berlaku kecemasan.

Sinar Harian

Hilang selepas bertengkar

24 Safar 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja yang bekerja di kedai menjual barangan perubatan herba dilaporkan hilang selepas berlaku pertengkaran melibatkan keluarganya.

Sebelum dilaporkan hilang, Siti Nazirah Ismail, 18, memaklumkan kepada keluarganya dia akan menghadiri majlis pembukaan kedai baru syarikat di mana dia bekerja di Pekan Serdang sebelum kejadian.

Abang mangsa berkata, setelah sehari tidak menghubungi mana-mana ahli keluarga, dia mengambil keputusan untuk menghubungi syarikat di mana adiknya bekerja.

Menurutnya, syarikat terlibat memaklumkan majlis sepertimana dikatakan oleh mangsa tidak pernah dianjurkan.

“Kami sekeluarga kemudiannya memeriksa almari pakaian dan mendapati sebahagian pakaian dan barangan peribadinya sudah tiada.

“Sebagai ahli keluarga, pastinya kami mahukan yang terbaik untuk adik perempuan kami. Dipercayai adik saya mengikut seorang kawan lelakinya kerana pertengkaran yang berlaku sebelum ini juga melibatkan perkara ini,” katanya.

Katanya, adiknya sudah menjalinkan hubungan dengan kekasihnya sejak dua tahun lalu walaupun tanpa persetujuan keluarga.

“Saya tidak kisah sekiranya adik saya mahu mendirikan rumah tangga dengan sesiapapun tetapi pastikan pasangannya itu adalah yang terbaik untuknya,” katanya.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Selama kira-kira jam 10.50 malam.

Waris mangsa juga turut meminta bantuan beberapa pihak di sekitar kawasan Kulim untuk membantu mengesan mangsa.

Bagi sesiapa yang terjumpa atau mengenali mangsa boleh menghubungi di talian 0194190248 atau 0195432085.

Sinar Harian

Dadah RM700,000 dirampas

24 Safar 1433H. [MOD] -

OHOR BAHRU – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM700,000, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berumur 39 tahun yang menaiki sebuah kereta ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu menemui 5,200 biji pil khayal yang dipercayai Eramin 5. Serbuan dan pemeriksaan susulan kemudian dilakukan ke atas dua unit kediaman di Bangunan DNP, di jalan yang sama dan polis menemui 12,000 pil yang disyaki Eramin 5; 33 biji pil WY; 10 biji pil ekstasi serta 8.3 gram syabu.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan mempunyai dua rekod lampu iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dia ditahan reman tujuh hari,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas adalah bekalan untuk lebih 17,245 penagih di pusat hiburan negeri ini dan Melaka menjelang Tahun Baru Cina, minggu depan.

Sinar Harian

Geng curi Proton tumpas

24 Safar 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Kumpulan Geng Botak atau Geng Curi Proton yang didalangi empat individu diberkas polis di beberapa lokasi sekitar negeri ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kumpulan terbabit aktif mencuri kenderaan di beberapa daerah dengan menggunakan modus operandi yang menyasarkan kereta jenis Proton.

Menurutnya, dalam serbuan tengah malam Selasa lalu, polis menahan suspek utama yang juga ketua kumpulan berkenaan di rumahnya dekat Kluang.

Turut ditemui bersama suspek adalah 100 acuan besi bagi memproses nombor plat atau pendaftaran kereta palsu di dalam sebuah kereta di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Waja yang menyimpan 100 acuan besi berkenaan, polis mendapati kereta terbabit adalah kereta curi dengan nombor pendaftarannya sudah dipalsukan.

“Hasil siasatan, kita dapat mengesan dan menahan dua lagi ahli geng curi kereta berkenaan di Kulaijaya pada jam 4 pagi hari yang sama dan turut merampas sebuah kereta Proton Wira curi dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya di sidang media, di Ibu Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang.

Menurutnya, penangkapan ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan suspek keempat di Simpang Renggam pada jam 9 pagi juga pada hari sama.

“Kita juga turut merampas dua kereta termasuk sebuah Proton Waja dan Proton Wira dipercayai kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Mohd Razali berkata, dengan tertangkapnya empat suspek itu, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket curi kereta yang aktif di sekitar negeri ini.

Sinar Harian

Pemuda Pas desak buat siasatan

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mendesak polis menyiasat dakwaan salah guna wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berhubung tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, laporan yang dikemukakan oleh PKR berhubung salah guna wang zakat ini merupakan satu bukti yang jelas berlaku penyelewengan.

“Menggunakan wang zakat berjumlah RM63,650 untuk membiayai kos guaman mereka bagi menghadapi kes permohonan qazaf Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah suatu perbuatan tidak wajar.

“Wang zakat ini milik asnaf. Di Kuala Lumpur sahaja masih ramai asnaf yang memerlukan pembiayaan dan sewajibnya diagihkan. Itu yang sepatutnya dilakukan dan bukannya menggunakan wang itu sebagai kos guaman,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Beliau sebelum itu ditemani timbalannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, membuat laporan polis terhadap dua individu tersebut, kira-kira jam 11 pagi.
Jamil Khir sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan wang itu merupakan dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

Menurutnya, penggunaan wang itu tidak salah kerana ia merupakan sumbangan tetap Kerajaan Persekutuan kepada MAIWP dan pendapatan dalam pelbagai sumber, bukannya hasil kutipan zakat.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, Dewan Pemuda Pas Pusat akan menyerahkan memorandum kepada MAIWP, esok, bagi membantah tindakan menggunakan wang zakat tersebut.

Sinar Harian

Homoseks: Anwar hantar notis saman Utusan RM50 juta

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan notis saman menuntut bayaran RM50 juta daripada akhbar Umno Utusan Malaysia ekoran laporan semalam yang mendakwa ketua pembangkang itu menghalalkan homoseksual.

Ianya merujuk kepada laporan muka depan akhbar itu yang bertajuk “Tolak Anwar — Hasan” yang memetik kenyataan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang membidas Anwar kerana kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini.

Antara lain laporan berbunyi, "Menurut beliau, pendirian Anwar tersebut bukanlah baharu kerana itulah pandangan peribadi dan pegangan asasi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut."

"Oleh itu beliau menggesa rakyat menolak perjuangan Anwar kerana kegiatan tidak bermoral itu jika dihalalkan boleh mencetuskan pergolakan dan perpecahan dalam masyarakat serta kekacauan dalam Negara."

Selain laporan itu, Anwar juga merujuk kepada laporan akhbar Umno itu yang bertajuk "Parasit ancam Pas, Anwar mesti ditolak" yang memetik kenyataan Hasan sebagai berkata, "Inilah salah satu sebab saya tidak boleh bersekongkol dengan Anwar lbrahim.

Inilah sebabnya rakyat Malaysia mesti menolak perjuangan Anwar lbrahim. Kalau kegiatan gay, lesbian, homoseksual dan transgender, itu hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah.

Saya nampak kekacauan akan berlaku. Ini pandangan saya. Sebenarnya, pandangan Anwar lbrahim bukan hanya di Mumbai melalui BBC itu sahaja."

Utusan melalui edisi Mingguan Malaysia sebelum ini juga dengan tajuk “Anwar ulas isu gay” mendakwa, Anwar semasa temubual bersama BBC mengatakan undang-undang berkaitan homoseksual di Malaysia tidak boleh diterima dan sudah lapuk.

Sedangkan menurut banyak pihak, dalam temubual itu Anwar meminta agar undang-undang lapuk dikaji semula dan menegaskan “Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita. Kami tidak menggalakkan homoseksual di khalayak.”

Ekoran laporan yang disifatkan berunsur fitnah, tidak benar dan bermotifkan politik itu, Anwar semalam menghantar notis tuntutan kepada pengurusan Utusan Malaysia.

Anwar yang diwakili syarikat guaman Edwin Lim, Suren & Soh menamakan editor Utusan Malaysia sebagai defendan pertama dan Pengarah Urusan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Dalam tuntutannya, Anwar menuntut akhbar Umno itu menarik balik segala laporan palsu dan menyiarkan permohonan maaf terhadap dirinya di muka hadapan akhbar itu.

Anwar juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM50 juta dan memberikan tempoh 48 jam bermula semalam kepada Utusan untuk berbuat demikian.

harakahdaily/-

Pak Samad: Bukti tokoh rakyat pelopori p’raya bersih

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan pelantikan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sebagai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 seperti yang diumumkan semalam.

Bagi DPPM, pelantikan A Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad tepat pada masanya memandangkan beliau merupakan seorang tokoh yang selalu ke depan bagi memperjuangkan isu-isu rakyat.

Malah, kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor, Pak Samad adalah antara tokoh negarawan yang berani dan bersuara lantang dalam memperjuangkan keadilan tanpa mempeduli tekanan dan ugutan yang dihadapi olehnya.

“Lebih membanggakan, Pak Samad tanpa gentar memimpin barisan hadapan dalam himpunan Bersih 2.0 pada bulan Julai 2011 yang lalu,” katanya kepada Harakahdaily.

Sebagai ikon masyarakat, tambahnya pelantikan Pak Samad sudah tentu akan membuka mata masyarakat bahawa perjuangan membersihkan sistem pilihanraya di negara ini bukan suatu perjuangan kecil dan sia-sia.

Sebaliknya, kata beliau perjuangan Bersih 2.0 adalah suatu perjuangan yang besar dan memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Menurutnya lagi, betapa seorang sasterawan negara yang telah dimamah usia seperti Pak Samad masih mampu melihat dengan jelas segala kepincangan dalam sistem demokrasi di negara ini.

“Beliau di antara jutaan rakyat di negara ini yang bencikan kebobrokan dan penyelewengan yang berlaku oleh pemerintah.

“Sudah berpuluh tahun negara ini diperintah dengan secara tidak adil oleh rejim yang angkuh.

“Suara dan kebangkitan rakyat cuba dilenyapkan dengan pelbagai peraturan dan akta yang direka bagi menakut-nakutkan rakyat,” katanya lagi.

Katanya, pelantikan Pak Samad sebagai Pengerusi Bersih 2 membuktikan bahawa perjuangan membersihkan pilihan raya di negara ini bukan hanya didukung oleh Pakatan Rakyat, malah turut sama dipelopori oleh gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh masyarakat.

DPPM juga, ujarnya mengalu-alukan lebih ramai penyertaan tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat bersama dengan perjuangan rakyat.

Harakah Daily

Warna Merah Untuk Tingkat Rahmat Sempena Tahun Naga

24 Safar 1433H. [MOD] -

Ruang legar sebuah pusat beli belah dihiasi dengan Patung Naga menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang merupakan Tahun Naga ketika tinjauan fotoBERNAMA di salah sebuah pusat membeli-belah.

TANGLUNG merah dalam pelbagai saiz dan bentuk semakin banyak digantung di rumah-rumah, gedung membeli-belah dan pejabat-pejabat di Lembah Klang.

Dan ini tanda rakyat Malaysia sedang bersiap untuk meraikan satu lagiperayaan utama negara Tahun Baharu Cina atau Gong Xi Fa Chai.

Tahun ini, ialah tahun Naga air, iaitu haiwan kelima daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina, dan akan lahir pada 23 Januari.

Naga samawi ini merupakan lambang tersohor dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan dan masyarakat Cina percaya tahun baharu ini akan membawa rezeki yang melimpah ruah kepada mereka yang dilahirkan padatahun Naga.

Individu yang dilahirkan pada tahun Naga dipercayai akan mempunyai ciri-ciri positif - keusahawanan, artistik, inovatif, berkuasa, bertuah, bersemangat, intuitif, dan sifat negatifnya ialah angkuh dancepat marah.

Dan seperti dipercayai oleh masyarakat Cina turun-temurun, bukan sahaja tanglung merah yang menghiasi rumah-rumah mereka tetapi warna merah juga harus menjadi tema hidup, bermula dari malam sebelum Tahun Baharu Cina sehingga Chap Goh Mei, satu tempoh selama 15 hari, untuk menjamin tuah sepanjang tahun.

Oleh itu bukanlah sesuatu yang luar biasa jika tanglung dan pelbagai lagi barang hiasan tradisional hanya boleh didapati dalam warna merah.

Wanita ini memilih perhiasan tanglung untuk dihiasi di rumahnya sebagai persiapan menyambut perayaan Tahun Baru Cina semasa membeli belah di sebuah pasaraya.

GUNAKAN MERAH UNTUK MERAIH SEBANYAK MUNGKIN RAHMAT NAGA

Pada zaman awal, tanglung diperbuat daripada kertas merah nipis.

Kemudian muncul tanglung yang diperbuat daripada kertas merah yang lebih tebal, dalam bentuk sfera atau memanjang serta menirus di hujung bawahnya.

Hari ini, terdapat tanglung yang diperbuat daripada bahan kain dengan corak bunga atau menggunakan kain broked tetapi masih warna merah.

Susan Lim, pemilik bersama sebuah kedai kraf di SS14, Subang Jaya berkongsi dengan Bernama baru-baru ini sedikit sebanyak maklumat mengenai tanglung.

"Menggantung tanglung di anjung hadapan menjadi tradisi sejak zaman dahulu lagi. Saya telah menjualnya selama bertahun-tahun. Ramai melihat tanglung ini sebagai hiasan untuk rumah.

"Tanglung baharu yang diperbuat daripada kain broked merah nampak lebih mewah dan cantik. Anda boleh membeli sepasang pada harga RM78. Yang biasa datang dalam pelbagai saiz; sederhana dan besar dan dijual pada harga lebih RM30 sepasang, khususnya yang lebih berkualiti.

Lazimnya, menurut Lim, jualan aksesori Tahun Baharu Cina termasuk bunga Mei Hua (dahan pokok plum yang mekar) yang kebanyakannya warna merah dan merah muda, reben satin merah dan tanglung., akan meningkat mendadak dua minggu sebelum ketibaan Gong Xi Fa Cai.

"Saya perlu menghias kedai lebih awal supaya dapat mempromosi elemen-elemen yang ada bagi menarik perhatian pelanggan saya. Dan para pelanggan boleh memilih barang hiasan mengikut kemampuan mereka,"jelas Lim.

MERAH BAGI TUAH

"Guna lebih banyak pakaian merah pada tahun naga. Bagi muda-mudi hari ini yang tidak berminat dengan warna merah, gunakan warna bertuah ini dalam bentuk pelengkap, seperti aksesori tali pinggang pada pakaianTahun Baharu," kata Eric Leong, perekabentuk dalaman selebriti danduta Dulux Colour baru-baru ini.

Di zaman kanak-kanaknya, Leong pernah memakai pakaian dalaman berwarnamerah pada hari pertama tahun baharu.Dan begitu juga adik beradiknya.

"Setiap tahun kami memakai pakaian dalaman berwarna merah supaya kamidikurniakan rezeki yang baik," tambah Leong.

MEI HUA

Sementara itu, bunga juga mempunyai lambang tersendiri semasa tahun baharu.

Tahukah anda mengapa Mei Hua menjadi pilihan wanita setiap kali menyambut perayaan ini?

Penulis juga berhasrat membeli sejambak Mei Hua untuk menghiasi bilik keluarga.

Mei Hua dijual pada harga RM38 bagi sejambak kecil yang tingginya lebih sedikit daripada 1.5m.

Bunga Plum buatan ini pula dijual dalam bentuk tangkai, dengan setiap tangkai merah, merah muda atau putih dijual pada harga RM4 sementara tangkai yang lebih besar dijual pada harga sekitar RM12.

Leong bersetuju bahawa mengadakan elemen yang berkaitan dengan rezeki yang melimpah ruah perlu dipatuhi sejauh yang mungkin, termasuk bunga-bungaan ini.

"Pastikan terdapat banyak bunga pada hari sebelum Tahun Baharu Cina, sebelum majlis makan malam keluarga. Apabila anda mempunyai rezeki yang banyak anda akan tunjukkan dengan lebih banyak, ia satu petanda baik. Harapan untuk menyaksikan lebih banyak tuah sepanjang tahunmeningkat lagi. Itulah kepercayaan moyang kami," kata Leong.

Apa keistimewaan bunga ini?

"Mei Hua merupakan bunga yang tahan lasak, ia sehinggakan boleh bertahan dalam cuaca yang begitu sejuk. Menyimpannya dalam rumahsebagai hiasan dikatakan dapat memberikan daya tahan yang sama bagi isirumah," jawab Lim apabila diminta penjelasan tentang keistimewaan bunga ini.

POSTER TUAH

Jualan tangkal azimat untuk digantung atau ditampal pada pintu dan dinding rumah atau pejabat turut mula meningkat di kedai-kedai dua minggu sebelum Tahun Baharu.

Seorang penjual barangan ini di USJ11, Subang Jaya yang tidak mahu namanya disiarkan berkata poster gambar naga boleh didapati dalam dua saiz, sederhana dan besar.

"Masing-masing dijual pada harga RM3 dan RM5. Menampalnya di permukaan luar pintu dikatakan akan membawa kesejahteraan kepada mereka yang tinggal di dalamnya.

"Yang besar sesuai bagi pintu hadapan sementara yang sederhana boleh ditampal di dalam," jelas peniaga ini sementara menunjukkan dua paket tangkal dalam saiz berlainan kepada seorang pelanggan wanita.

Terdapat juga pembeli tangkal-tangkal ini yang tidak percaya dengan amalan ini tetapi tetap membelinya untuk menghiburkan anak-anak muda mereka kerana ia menceriakan lagi mood sambutan.

"Saya menampal tangkal-tangkal ini bagi tujuan hiasan sahaja. Ia membawa kegembiraan terutama apabila anda mempunyai anak-anak muda di rumah," kata Joanne Tan.

Tangkal-tangkal azimat ini hampir kesemuanya datang dalam warna merahatau keemasan berlatarkan arca naga dan tulisan kaligrafi yang mengiringinya membawa maksud harapan besar bagi kemakmuran dan kesejahteraan.

Menyambut kedatangan tuah bagi Tahun Baharu lazimnya bermula dua minggu sebelum kalendar baru bermula dan seperti biasa Yee Sang (gaul untuk kemakmuran); iaitu menggaul campuran ikan mentah dansayur-sayuran dalam pelbagai warna yang melambangkan kemewahan dan kesejahteraan; juga diadakan oleh syarikat-syarikat korporat bagi petugas dan rakan, bukan sahaja untuk menjalin hubungan yang lebihbaik, tetapi juga bagi menjamin produktiviti lebih besar untuk tahunnaga 2012.

"Selain daripada majlis makan malam keluarga dengan Yee Sang, saya juga membeli barangan makanan kering untuk dihadiahkan kepada warga emas, supaya ia boleh digunakan oleh mereka pada majlis makan malam sebelum Tahun Baharu. Saya antara lain membeli cendawan, kekapis dantiram dan menghantarnya dalam kotak bersama peket merah (Ang Pow) di atasnya.

"Warna merah adalah untuk rahmat dan kemakmuran yang lebih," jelas Madam Lim, dalam usia lewat 50-an semasa ditemui pada satu majlis jamuan Yee Sang baru-baru ini.

Gong Xi Fa Cai kepada semua warga Malaysia yang meraikan Tahun Baharu Cina dan marilah kita sama-sama mengharapkan yang tahun naga air ini membawa kesejahteraaan dan keharmonian kepada semua! - BERNAMA

Tiga ditahan bantu 15 kes samun

24 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki ditahan polis di kawasan Tol Pagoh, Muar, dipercayai terlibat dalam kes samun di Taman Pelangi, di sini, 12 Januari lalu.

Dengan penangkapan kesemua suspek berusia antara 28 hingga 30 tahun, polis percaya berjaya menyelesaikan lebih 15 kes samun di sekitar bandar raya ini dan Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis turut merampas sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Taman Pelangi, dua komputer riba, dua besi pengumpil, satu playar dan empat pemutar skru.

“Semakan rekod jenayah mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lalu. Salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu, Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada tahun 2002 di Gelang Patah, Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada tahun 2004 di Skudai, Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2005 di Skudai dan suspek juga pernah dikenakan tindakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada tahun 2008 di Batu Gajah Perak.

“Manakala seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod jenayah lalu iaitu, Seksyen 6 ADB 1952 pada tahun 2002 di Masai, Seksyen 12(2) ADB 1952 pada tahun 2005 dan Seksyen 39B ADB 1952 pada tahun 2005 di Johor Bahru,” katanya ketika di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, kesemua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 12 Januari lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki dan seorang perempuan berusia 23 hingga 28 tahun dalam dua serbuan yang dibuat di flat Larkin Idaman dan di Taman Johor, di sini, 10 Januari lalu.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta yang dilaporkan hilang, sebuah komputer riba, sebuah kamera, lapan utas jam tangan berjenama, empat buah telefon bimbit dan lain-lain.

“Semakan rekod jenayah ke atas suspek dapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Taman Universiti, Kota Tinggi dan Taman Ungku Tun Aminah.

“Manakala, seorang lagi didapati mempunyai satu rekod jenayah pada tahun lalu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Permas Jaya dan Kesemua suspek telah dikenakan tahanan reman selama 12 hari sehingga 22 Januari ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Ekoran kejayaan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 34 kes samun berkawan di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sinar Harian

Dr Yunus jaga Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan

24 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 18 Jan: Kerajaan negeri Selangor membuat penyusunan semula portfolio Exconya berikutan perlantikan Dr Ahmad Yunus Hairi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

(Gambar: Khalid bersama Dr Ahmad Yunus dan Dr Rani dalam sidang media hari ini)

Melalui perubahan ini, Dr Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini.

Melalui penukaran ini juga, Menteri Besar mengumumkan Adun Meru, Dr. Abdul Rani Othman akan memegang jawatan Pengerusi Skimsel manakala seorang lagi Adun PAS, Dr. Shafie Abu Bakar (Bangi) akan memegang jawatan Pengerusi PADAT.

Dr Yunus mengangkat sumpah sebagai Exco menggantikan Hasan Ali di depan Tuanku Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Beliau kemudiannya menyertai mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri.

harakahdaily/-

Didakwa bunuh kekasih

24 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh teman wanita yang dijumpai di perkampungan Orang Asli Kampung Juang, Simpang Pulai pada awal bulan ini.

S Manoharan, 50, mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Dalam kes tersebut, Manoharan didakwa membunuh Indeer Kaur a/p Jaswant Singh, 22, di sebuah rumah di Lapangan Perdana 26, Lapangan Perdana Ipoh antara jam 7 pagi dan 11 pagi, 13 Disember 2011.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Mohamad Nasruddin menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan DNA.

Akhbar ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemui dalam gulungan selimut dengan kesan kecederaan serius dan berulat di bahagian kepala oleh seorang penduduk kampung berkenaan yang keluar untuk memikat burung.

Polis bagaimanapun berjaya menahan seorang lelaki selepas 26 jam penemuan mayat berkenaan bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan polis mendapati pembunuhan itu berpunca daripada perasaan cemburu.

Sinar Harian

Port judi kampung tumpas

24 Safar 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Tindakan menggunakan taktik sama membuka pusat judi jauh dari pusat bandar atau 'judi kampung' dengan harapan gagal dikesan pihak polis tidak menjadi selepas sembilan pusat judi lumpuh hasil risikan polis sejak awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam operasi yang dilakukan selama dua minggu itu, pasukan polis berjaya merampas 252 komputer dan mesin slot.

Menurutnya, kesemua pemilik pusat berkenaan juga cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengubah suai rumah kedai untuk dijadikan tempat perjudian.

Dalam serbuan itu, dan polis menahan 66 individu secara keseluruhan termasuk pengendali serta pelanggan.

“Lokasi terbabit melibatkan kawasan Senggarang dengan tiga pusat judi, dua pusat judi masing-masing di Rengit dan Yong Peng serta satu pusat judi masing-masing di Sri Gading dan Batu Pahat.

“Ia selepas pasukan polis memperhebatkan usaha membanteras rumah judi di pusat bandar sejak beberapa bulan lalu menyebabkan mereka berpindah ke luar bandar.

“Mereka juga didapati mengubahsuai premis rumah kedai terbabit sebagai pusat Internet mahupun pusat hiburan keluarga, dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa,” katanya semasa sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din Ahmad berkata, perubahan taktik yang dilakukan oleh pengendali pusat judi nyata gagal mengaburi polis selepas beberapa intipan dan juga risikan dilakukan.

Katanya, komputer yang digunakan turut diubahsuai dengan meletakkan alatan khas berbentuk seperti kalkulator bagi memudahkan pelanggan berjudi.

“Malah ada juga pusat judi yang menggunakan mesin slot yang biasa digunakan di pusat hiburan keluarga bagi mengelirukan pihak ber­kuasa.

“Kebanyakan pelanggan yang ditahan adalah warga asing, selain beberapa warga tempatan. Polis akan memperhebatkan operasi anti judi di daerah ini bagi mengelakkan generasi muda kita terjerumus dalam aktiviti tidak sihat ini.

“Kesemua pengendali pusat judi yang ditahan disiasat menerusi Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 bagi setiap mesin slot atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian

Sempat ucap selamat Hari Ponggal

24 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – “Adik memang kerap buat panggilan telefon untuk melepaskan rindu sebab tinggal berjauhan. Tetapi sebelum kejadian Sabtu lalu, kami bercakap lebih lama daripada biasa dan dia juga sempat mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada saya dan ibu bapa kami sehari sebelum perayaan.”

Demikian luah abang kepada pelajar Malaysia yang mati lemas ketika mandi-manda di kawasan Air Terjun Dua Warna Sibolangit, Brastagi, Sumatera Utara, Ahad lalu.

N Ramakrishnan, 21, yang ditemui di rumahnya di Taman Pasir Puteh berkata, dia sendiri tidak menyangka perbualannya Sabtu lalu dengan adik N Sethubatthi Rao 20, adalah yang terakhir.

“Kami tidak menyangka kejadian seumpama ini boleh menimpa adik dan lebih menyedihkan apabila cita-citanya untuk mendapatkan gelaran doktor tidak kesampaian.

“Namun kami tetap gembira kerana impiannya untuk belajar di Universiti Sumatera Utara (USU) dalam bidang doktor pergigian tercapai walaupun dia hanya sempat berasa di sana selama lima bulan,” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian kira-kira jam 7 malam, dia menerima panggilan daripada salah seorang rakan adiknya yang menyatakan bahawa Sethubatthi mati lemas di kawasan air terjun.

“Pada mulanya saya tidak percaya kerana menyangka ia hanya gurauan dan cuba menelefon adik namun tidak berjawab, tetapi setelah mendapatkan kepastian ia memang benar dan saya terus bergegas pulang ke rumah dari Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, difahamkan adiknya ke kawasan air terjun itu bersama kira-kira 12 orang kawan untuk mandi bagi menghabiskan cuti hujung minggu mereka.

Difahamkan jasad Sethubatthi diterbangkan dengan pesawat MH861 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan pada 8.50 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.55 pagi kelmarin.

Sinar Harian

Maut dihempap bumbung konkrit

24 Safar 1433H. [MOD] -

BAYAN LEPAS - Seorang buruh binaan warga Indonesia terbunuh manakala seorang lagi rakanya cedera parah selepas mereka dihempap bumbung konkrit ketika sedang menyiapkan pos kawalan keselamatan di sebuah tapak pembinaan di sini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.45 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Mat Som, 37, dari Jawa, Indonesia maut di tempat kejadian selepas tersepit hampir 30 minit di bawah runtuhan bumbung itu sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba dari tempat kejadian.

Manakala rakanya, Dany Setiawan, 25, juga dari Jawa, Indonesia dikejarkan ke Hospital Balik Pulau (HBP) selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan kudua-dua mangsa baru sahaja bekerja di tapak pembinaan itu sejak seminggu lalu.

Sementara itu seorang saksi kejadian, Ahmad berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang sibuk menyiapkan pos kawalan keselamatan di pintu masuk perumahan berkenaan.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas. Ketika kejadian, saya yang sedang melakukan kerja di kawasan berhampiran dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila saya mendekati tempat kejadian saya lihat banyak darah mangsa memancut keluar dan mayat mangsa juga terlipat di bawah runtuhan konkrit itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mohd Hatta berkata, mayat mangsa telah dibawa ke HBP untuk bedah siasat.

Sinar Harian