12 January 2012

PRU13: PAS Terengganu kemuka 5 manifesto tambahan

18 Safar 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU, 12 Jan: PAS Terengganu menawarkan lima manifesto tambahan dalam usaha menawan semula negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar), lima perkara yang ditawarkan itu adalah tambahan kepada manifesto lima perkara yang diumumkan pada 15 Oktober tahun lepas.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Harian PAS negeri di Pejabat PAS Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini, beliau berkata, lima tawaran itu termasuk meneruskan perjuangan mengembalikan royalti petroleum, pengambilan balik tanah yang terlibat dengan pembangunan rumah kediaman oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tapak gantian baru atau rumah penempatan gantian kepada pemilik terlibat.

Katanya, PAS juga menawarkan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik rumah yang bermeter individu setiap bulan, menambah sekolah menengah agama rakyat dan memberikan geran tahunan kepada sekolah berkenaan dan pusat-pusat pengajian pondok.

Di samping itu, katanya diwujudkan semula institusi pengajian Islam milik kerajaan negeri seperti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dengan mengutamakan anak-anak negeri.

Abdul Wahid ketika berucap pada ceramah perdana sempena Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk di Kuala Berang, 7 Januari lalu, telah menyentuh lima manifesto tambahan itu.

Mengenai sekolah menengah agama, katanya PAS negeri melihat kekurangannya menyebabkan kerugian kepada rakyat.

Sebanyak 14 buah sekolah menengah agama termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin yang telah berusia lebih seratus tahun, telah diserah kepada kerajaan pusat oleh kerajaan Umno BN negeri.

Katanya, atas permintaan rakyat untuk menghantar anak-anak ke sekolah menengah agama yang meningkat setiap tahun, PAS berjanji akan mewujudkan sekolah menengah agama rakyat di setiap daerah sekiranya diberi mandat memerintah negeri pada PRU 13 nanti.

“Kita nak tambah sekolah menengah agama negeri di setiap daerah serta memberi geran tahunan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok, sekolah agama di bawah kerajaan negeri tak, ada 14 (buah) dia (Umno BN) serah ke (kerajaan) pusat,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu, pelancaran lima tawaran di dalam manifesto PAS negeri telah disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno ke-3 di Pantai Pandak, Cendering pada 15 Oktober tahun lepas.

Lima perkara awal antara yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah, antaranya:

- Melaksanakan pengecualian cukai kediaman

- Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN

- Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami

- Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan

- Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Malaysiakini/-

Aziz Bari fail saman ke atas Utusan dan Zulkifli Nordin

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari telah memfailkan saman hasutan ke atas Ahli Parlimen dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Abdul Aziz menamakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifili Noordin, yang merupakan seorang peguam dan Ketua Editor Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, dan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan.

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman Messrs Mohamed Hanipa & Associates kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur pada 22 Disember tahun lalu.

Salinan laporan tersebut hanya dikemukakan kepada media hari ini.

Peguam Abdul Aziz (gambar), Azhana Mohd Khairudin, memberitahu pemberita, timbalan pendaftar mahkamah, Norhatini Abdul Hamid telah menetapkan 10 Febuari untuk pengurusan kes selepas pertemuan hari ini.

Plaintif mendakwa, pada 17 Oktober 2011, Zulkifli telah mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadapnya yang kemudiannya disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia keesokan harinya.

Abdul Aziz mendakwa perkataan tersebut merujuk dengan jelas kepadanya kerana namanya disebut di dalam artikel berkenaan.

Katanya, maksud perkataan tersebut adalah dia merupakan antara profesor undang-undang dan individu yang biadap dan tidak layak menjadi pensyarah undang-undang.

Aziz menuntut kerugian am, tauladan, dan ganti rugi teruk yang menuntut permohonan maaf serta penarikan balik kenyataan tersebut daripada defendan.

themalaysianinsider.com/-

Siasatan NFC: Shahrizat mohon cuti tiga minggu

18 Safar 1433H. [MOD] -

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai esok daripada menjalankan tugas sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Shahrizat berkata beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya.

azlanShahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu merumuskan projek itu berdada dalam keadaan kucar kacir.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujudnya penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Antara mereka yang secara terbuka mendesak Shahrizat supaya melepaskan jawatannya, adalah ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Meskipun diasak pelbagai pihak yang menuntut perletakan jawatannya, tetapi Shahrizat bertegas tidak mahu berbuat demikian dengan alasan apa yang dilakukan oleh suaminya tidak ada kaitan dengan dirinya.

Berikutan itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa berlaku penyelewengan terhadap dana berkenaan.

NONEAntara pendedahan mereka, dana itu antara lain digunakan untuk tujuan berikut:

  • Membeli dua unit kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
  • Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
  • Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
  • Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
  • Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
  • Percutian mewah (RM455,423)
Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi parlimen beliau di Lembah Pantai. Ketua Wanita Umno itu tumbang di tangan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun, kemudiannya dilantik sebagai senator dan diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malaysiakini/-

Bekas duta Amerika jangka PRU13 paling kotor

18 Safar 1433H. [MOD] -

Pilihan raya umum ke-13 dijangka “paling kotor” kerana pemimpin Umno yang tercemar dengan rasuah akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus berpaut pada kuasa, kata bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott.

NONEDalam ulasannya di Wall Street Journal hari ini, Malott (kiri) menulis walaupun Datuk Seri Najib Razak kini mendapat rangsangan politik akibat pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat, pentadbiran perdana menteri Malaysia itu secara umumnya dilihat terpalit dengan rasuah.

"Rakyat melihat rasuah semakin berleluasa dan merasakan bahawa penyokong Umno seperti biasa, sentiasa mahu membuat duit dari kontrak kerajaan.

"Ramai rakyat Malaysia kini menggunakan perkataan 'kleptokrasi' atau penyamun untuk menggambarkan kelas pemerintah mereka," tulis Malott, yang pernah berkhidmat di Kuala Lumpur antara tahun 1995 dan 1998.

Malott berkata persepsi orang ramai bahawa tiada pemimpin Umno mahu bertindak menangani amalan itu, dapat dilihat baru-baru ini dalam skandal projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Persepsi ini diburukkan lagi oleh hakikat bahawa Najib membisu tentang skandal terbaru," katanya.

malaysiakini/-

Blogger pro Umno-BN tidak gembira, masih gelar Anwar “peliwat”

18 Safar 1433H. [MOD] -

"Walaupun mahkamah sudah memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dan lepas daripada tuduhan fitnah liwat oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, sebahagian besar blog pro Umno-Barisan Nasional (BN) dikesan masih meneruskan serangan dengan cuba memberi gambaran kononnya liwat itu berlaku tetapi tertuduh dibebaskan atas alasan teknikal berkaitan integriti DNA.

Tinjauan inimajalah.com.my sejak Anwar dibebaskan mendapati blogger pro Umno-BN meningkatkan serangan baru dengan cuba memberi gambaran kononnya pembebasan Anwar lebih berpunca daripada faktor kelemahan bukti, bukan disebabkan tertuduh tidak melakukan jenayah itu.

Malah, sesetengah blogger terbabit masih menggelarkan Anwar sebagai “peliwat” walaupun dari segi perundangan, tokoh pemimpin pembangkang itu sudah dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan fitnah itu.

Antara blogger pro Umno-BN yang masih melabelkan Anwar sebagai “peliwat” ialah theunspinners.blogspot.com dengan tajuk entri mutakhirnya, “(Apa) Bila anak peliwat pertikai mahkamah, Anwar tak patut keluar 2004″.

Kekecewaan dan rasa tidak gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar diluahkan tanpa berselindung di blog yang terkenal dengan kebencian melampau terhadap Anwar, iaitu papagomo.com.

“Agak luluh jiwa ini (apa) bila mendapat tahu keputusan mahkamah semalam yang telah membebaskan dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat yang beliau hadapi,” catat blog berkenaan dalam entri mutakhirnya.

[Anwar-Bebas-Kes-Liwat]
Imej dari enciknakal.com.

Dalam satu entri lain hari ini, papagomo.com membawakan hujah sampel DNA bagi menampakkan kononnya pemimpin pembangkang itu patut disabitkan dengan tuduhan liwat.

“Sepanjang pembelaan diri oleh tertuduh iaitu Anwar Ibrahim sampel DNA juga tidak diulas oleh Anwar Ibrahim yang membuktikan kepada semua rakyat sampel DNA diterima pakai sama sekali dan atas sebab itu hakim meminta Anwar Ibrahim membela diri,” catat blog papagomo.com.

Sementara itu, theunspinners.blogspot.com cuba mencari ruang untuk terus menggambarkan Anwar terbabit melakukan kesalahan itu dengan membangkitkan semula petikan kenyataan Anwar sendiri berhubung frasa “suka sama suka” ketika beliau mula dihadapkan di mahkamah.

Blog itu mencatatkan, Anwar sendiri menyebut kejadian seks luar tabie dengan Saiful pada 26 Jun 2008 di antara 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara telah berlaku atas dasar “suka sama suka”.

Menurutnya, Anwar menyebut frasa “suka sama suka” itu pada 7 Ogos 2008 di luar bangunan Mahkamah Sesyen Jalan Duta, ketika kali pertama kes itu disebut di mahkamah.

Bagaimanapun, dalam entri sama, blog berkenaan mengakui Anwar menyebut “suka sama suka” dalam konteks mempertikaikan mengapa beliau (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377B.

“Ini pendakwaannya itu 377B maknanya suka sama suka. Kalau suka sama suka, pasal apa saya seorang sahaja yang kena dakwa.

“Dah suka (sama) suka dakwa dua-dualah,” kata Anwar seperti dipetik blog terbabit.

Sementara itu, satu lagi blog yang terkenal anti Pakatan Rakyat (PR), pisau.net menjadikan kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan perjuangan Anwar adalah “kotor” sebagai modal untuk terus memburukkan ketua pembangkang itu.

Selain itu, banyak entri anti PR dan Anwar boleh ditemui di mybloghub.my. Blog ini banyak menghimpunkan entri oleh blogger pro Umno-BN. - inimajalah.com. my"

Cadangan wajibkan kursus pascaperkahwinan

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyambut baik cadangan agar kursus pascaperkahwinan diwajibkan untuk semua pasangan suami isteri sebagai satu langkah proaktif mengatasi trend perceraian selepas kahwin yang semakin serius di negara ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (KSK), Saimah Mukhtar berkata, pihak beliau sememangnya mempunyai pemikiran ke arah itu memandangkan modul untuk kursus pascaperkahwinan sudah disediakan.

Namun, pada masa ini Jakim masih belum mewajibkan peraturan berkenaan.

"Apakah kita perlu sampai modul kursus pascaperkahwinan diwajibkan? Perkara itu sedang kita fikirkan dengan pihak-pihak berkaitan sebelum tindakan susulan diambil," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, bermula tahun ini, sebuah panel yang diberi nama Panel Pemikir Sosial Umat Islam akan diwujudkan khusus untuk membuat kaji selidik terhadap punca sebenarnya pasangan-pasangan suami isteri yang bercerai mengambil keputusan yang sukar itu.

Panel itu juga harap dapat mengenal pasti faktor pemangkin kepada tidak sefahaman antara pasangan suami isteri yang bercerai, katanya. - BERNAMA

Polis Buru Penjenayah Berbahaya Di Jepun

18 Safar 1433H. [MOD] -

TOKYO: Polis sedang giat memburu seorang penjenayah berbahaya yang terlepas dari penjara di bandar selatan Jepun.

Ekoran itu, polis menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak mereka sehingga banduan itu ditangkap.

Polis Hiroshima berkata, mereka mengadakan sekatan jalan raya di bandar tersebut bagi mengesan penjenayah yang menembak mati seorang pegawai polis dan melarikan kereta peronda pada 2005.

Kira-kira 800 polis dikerahkan dalam operasi yang turut dilakukan di stesen kereta api dengan bantuan anjing pengesan.

Kementerian Pelajaran negara itu turut mengingatkan pelajar supaya berjalan dalam kumpulan untuk ke sekolah.

Warga China, Li Guolin, melarikan diri dari penjara pada Rabu ketika sesi senaman.

Dia dijatuhi hukuman penjara selama 23 tahun.

mstar/-

Mengapa saya pilih ungkapan ‘Mampus Umno’?

18 Safar 1433H. [MOD] -

Ada sahabat yang prihatin bertanya kenapa saya memilih untuk menggunakan ungkapan "Mampus UMNO" pada Hari 901? Beliau juga berkata…teruk juga Muslimat PAS cuba difitnah oleh Blogger-Blogger UMNO…

Ini jawapan spontan saya….

Inilah sunnatuLlah perjuangan...Allah ingatkan kita dalam al Quran..apakah kamu fikir kamu akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman sebelum kamu diuji?.....setiap yang berlaku apatah lagi yang diledakkan oleh musuh-musuh kena disiasat...dan fahamkan.....InsyaAllah kami ni dah lama dalam perjuangan...

901 bukan himpunan yang pertama buat kami...cuma musuh nak jadikan isu dengan...adanya wanita (bukan PAS yg bersorak)...wording ana "Mampus UMNO" dan adanya wanita yang pergi salam Polis…..

Saya katakan…diik, ini realiti mad'u kita....kita memimpin rakyat...bukan memimpin para alim ulama....

Wording "Mampus UMNO" tu expresi spontan...daripada para jiwa yangg sudah lazim dizalimi Regim UMNO BN.... Peliknya…. bila kita guna perkataan Mampus UMNO ramai yang marah dan pertahankan atas uslub dakwah katanya....

Saya tak nafikan…saya antara yang komited memperingati Muslimat dengan Surah An Nahl : 125 dalam keadaan situasi dakwah yang biasa.

Pada hari itu, suasana dakwahnya berbeza. Di keliling saya adalah Wanita-Wanita Pemberani…yang biasa "bertempur" dengan Kezaliman Regim.

Ekpresi kebencian rakyat. Benarkah kita semua kisah pada nasib rakyat yang telah dizalimi? Ekspresi saya yang juga biasa menjadi mangsa kezaliman Regim di sebalik tirai besi lokap…..

Nasib kami yang menjadi habuan dan makanan Regim? Yang komen dan marah barangkali bukan yang dizalimi, melalui pengalaman sepertimana kami. Kami menjiwai keperitahan di bawah Regim kerana kami yang dipukul, yang diterajang, yang dimandikan dengan air berkimia, yang dikepung dengan gas-gas pemedih mata berulang kali, yang dikurung berjam-jam dalam lori polis dengan niat jahat, dijerkah, ditakut-takutkan untuk dirogol ketika berada di dalam lokap tiga hari dua malam dan lelaki-lelaki bertubuh sasa dan bermuka bengis mendatangi pintu-pintu lokap kami....ada siapa tahu...ada siapa ambik tahu...ada siapa kisah....

Nah...sampaikan semua ini kepada para pejuang di sana...kepada adikku para Muslimat....kepada adikku para Pemuda….yang tidak mengenali kekanda-kekanda mereka sendiri dalam perjuangan…sehingga barangkali fitnah dan umpan musuh mudah melekat….atau apa sahaja….mereka tetap adik-adik kami dalam perjuangan…sekalipun mereka memilih tidak bertanya tetapi terus mengikut rentak yang direbanakan musuh…

Ekpresi kami yang dibiarkan kelaparan... ekpresi kami yang pernah dibiarkan hypo dalam tahanan sehingga tidak upaya bangun melangkah sehinggalah dua tiga orang sahabat datang melawat membawa air manis dan bertenaga…...

Ekpresi kami yang dibiarkan tidur di atas simen yang sejuknya mencengkam ke tulang hitam....

Ekpresi kami yang ada ketikanya dibiarkan tidur di atas lantai simen...berbumbungkan langit dan berselimutkan embun dingin pagi...

Semua ini bukan cerita buku atau ceritera penglipurlara....tetapi kisah benar kami....

Nah...Regim UMNO yang membibitkan rasa benci dan marah kami....Regim zalim ini…tiada ungkapan yg benar-benar ana mahu laungkan melainkan "Mampus UMNO" pada ketika itu. UMNO - Pertubuhan Regim. Saya langsung tidak tujukan pada orang atau individu UMNO. Tapi Pertubuhan zalim itu….

Nah….sekadar ekpresi dari jiwa-jiwa kami yang masih sedang diadili dengan tuduhan dan saksi fitnah.

Kalau itu salah….dan menyebabkan ada yang terguris dan simpati kepada UMNO….maka apa lagi yang mampu saya kata…Cukuplah Allah dan Sahabat-Sahabat Perjuanganku yang mukhlis dalam ukhuwwah ini….

Tentu mereka mengerti….. MAAF JUA.

*Tulisan ini dipetik dari Facebook Aiman Athirah Al Jundi, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, dengan keizinan beliau. Utusan Malaysia semalam mendakwa bahawa gelagat Muslimat PAS di himpunan 901 cukup "memalukan".

Harakah Daily

5 petugas PAS Tampin dibebaskan

18 Safar 1433H. [MOD] -

TAMPIN, 12 Jan: Mahkamah Majistret Tampin membebaskan lima pemimpin dan ahli PAS kawasan Tampin yang ditahan tiga hari lalu oleh polis ekoran kejadian mengoyakkan poster sempena Rapat Pakatan Rakyat Negeri Sembilan 15 Januari ini.

Pembebasan mereka yang disambut oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Abd Ghani pagi ini. Mereka dibebas dengan jaminan polis.

(Gambar: Taufek [kiri sekali] bergambar dengan lima pemimpin dan ahli PAS Tampin yang dibebaskan dengan jaminan polis hari ini)

Kelima-lima mereka ditahan tiga hari lalu ketika datang ke Balai Polis Tampin untuk membuat laporan polis ekoran pertengkaran yang berlaku antara mereka dengan sekumpulan orang yang mendakwa petugas Majlis Daerah Tampin kemudiannya.

Ia berlaku pada 9 Januari lepas, apabila kelima-lima mendapati poster Rapat Pakatan Rakyat N9 dikoyak selepas mereka memasangnya di pekan Gemencih.

Apabila kelima-lima petugas PAS yang diketuai Zanil Subuh, Ketua Penerangan PAS Tampin itu menyiasat mendapati sekumpulan orang sedang mengoyak poster itu. Apabila ditanya, mereka menjawab, mendapat arahan untuk membuang poster itu.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mereka kerana para petugas PAS ini beranggapan yang mengoyak ini dari parti lawan yang cuba merosakkan majlis mereka kerana tidak memperkenalkan diri atau berpakaian seragam.

Selepas itu, satu laporan polis dibuat. Para petugas PAS ini pula ke balai polis Tampin jam 2 pagi hari yang sama untuk membuat laporan polis juga ekoran pertengkaran itu.

Namun, mereka telah ditahan polis atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam iaitu petugas Majlis Daerah Tampin yang membuang poster itu.

"Saya yakin sukar untuk mereka mendakwa kerana yang mendakwa petugas majlis daerah ini tidak berpakaian seragam, notis pula tidak dikeluarkan," kata Taufek, Adun Paroi itu.

Pakatan Rakyat merancang untuk mengadakan Rapat Rakyat N9 di Dataran Rakyat pekan Gemas Ahad ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Haji Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dijangka menyertai rapat yang dibuat di bumi NFC (National Feedlot Centre) ini.

Mereka memanggil Gemas bumi NFC kerana ladang lembu yang dimiliki NFC dibina di Gemas.

"Saya dapati moral kelima-lima mereka amat tinggi walaupun tiga malam tidur di lokap kerana selepas bebas terus mereka membuat kerja untuk rapat Pakatan Ahad ini," kata Taufek kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Anak-anak Tidak Bersekolah Sebab Tidak Memiliki Surat Beranak

18 Safar 1433H. [MOD] -

MIRI - Isu penduduk asal yang tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad dan surat beranak yang tidak mendapat taraf kerakyatan berlaku di bandaraya Miri, Sarawak.

PAS Miri telah berkunjung ke rumah sebuah keluarga di Pujut yang anak-anaknya tidak dapat belajar di sekolah disebabkan tidak memiliki surat beranak. Anak yang sulung berumur 11 tahun dan juga adik-adiknya yang lain juga tidak bersekolah disebabkan masalah yang sama.

Keluarga ini yang berasal dari pendalaman Sabah yang merantau mencari pekerjaan di Sarawak sudah lama menetap di Miri, Sarawak lebih daripada 20 tahun. Kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut memiliki kad pengenalan lama tetapi apabila berlaku pertukaran kepada Mykad, kad pengenalan lama mereka tidak dikembalikan oleh JPN disebabkan nombor kad pengenalan lama mereka mempunyai persamaan dengan kad pengenalan orang lain.

Mereka yang memang penduduk asal dari pendalaman Sabah menceritakan kepada kami keadaan hidup mereka yang sukar untuk mendaftar kelahiran dan mendapat surat beranak disebabkan oleh keadaan muka bumi Sabah yang berbukit bukau dan jauh terpencil dari arus pembangunan.

Begitu juga keadaan jalanraya yang teruk dan sukar bagi mereka turun ke bandar untuk mendaftarkan kelahiran atau membuat surat beranak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kebanyakan mereka yang lahir secara tradisional mengunakan khidmat bidan kampung di pendalaman Sabah dan Sarawak masih lagi tidak memiliki surat beranak dan kad pengenalan. Mereka hanya menulis tarikh kelahiran anak mereka menggunakan tanda seperti menulis di dinding atau menanam pokok kelapa di tempat kelahiran mereka.

Mereka ini adalah penduduk asal bukannya pendatang asing, sepatutnya JPN jangan biarkan mereka hidup tanpa ada status kerakyatan yang sah. Mereka sudah memohon kepada JPN agar diberi sedikit kelonggaran untuk mendapat taraf kerakyatan. Oleh kerana mereka berasal dari tempat yang jauh di pendalaman dan sukar untuk mendaftar dengan JPN sudah tentu mereka tidak memiliki surat beranak seperti mereka yang tinggal di Bandar.

Mereka memohon bantuan PAS untuk menyelesaikan masalah anak-anak mereka yang masih belum dapat bersekolah, mereka memohon agar pihak kerajaan dapat memberi sedikit kelonggaran untuk anak mereka belajar di sekolah macam kanak-kanak lain. Kita akan mengunakan khidmat guaman jika diperlukan, agar kanak-kanak ini dapat bersekolah seperti kanak-kanak yang seusia dengan mereka.

Kita sungguh simpati akan nasib anak-anak kecil yang sepatutnya pergi belajar di sekolah tetapi terhalang disebabkan oleh sistem persekolahan yang memerlukan surat beranak atau MyKad untuk membolehkan mereka belajar.

Sampai bila pihak kerajaan atau JPN membiarkan perkara ini terus berlaku? Adakah sehingga mereka dewasa dan terus meminggirkan mereka tanpa memberi mereka taraf kerakyatan. Apa akan jadi pada nasib anak-anak ini nanti apabila mereka sudah dewasa dan masih lagi belum diiktiraf sebagai rakyat Malaysia?

Mengapa JPN tidak mahu mendaftar anak-anak kecil ini? Kalau ibubapa mereka tidak mempunyai Mykad atau surat beranak adalah disebabkan oleh infrastrutur dan jalan penghubungan yang masih lagi sukar di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya mereka ini didaftarkan sebagai warganegara sedangkan mereka juga penduduk asal Malaysia dan lahir di Sarawak. Mereka semua adalah rakyat Malaysia yang membezakan mereka cuma mereka ini datang dari pendalaman yang masih lagi ketinggalan dari arus pembangunan.

Kesemua kanak-kanak ini lahir di Miri dan mereka perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib, agar pihak kerajaan dapat membenarkan mereka bersekolah agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Mereka perlu diberi ilmu pengetahuan dan pelajaran agar mereka tidak jadi golongan buta huruf.

Mereka inilah akan jadi asset yang berguna dan akan memimpin Negara di masa hadapan tetapi kalau mereka tidak mempunyai pelajaran macam mana mereka hendak jadi asset atau pemimpin yang bertanggungjawab di kemudian hari.

Kita mendesak pihak kerajaan dan JPN agar jangan membiarkan perkara ini terus berlaku kerana kita tidak mahu nasib anak-anak kecil yang tidak bersekolah dan tidak memiliki surat beranak dan MyKad ini dikemudian hari akan terpinggir begitu saja tanpa ada sebarang pembelaan disebabkan mereka tidak memiliki surat beranak dan juga taraf kerakyatan yang sah. Mereka ini tidak bersalah dan sepatutnya pihak JPN memberi sedikit kelonggaran terhadap anak-anak kecil ini agar mereka juga dapat pembelaan dan pengiktirafan sebagai warganegara yang sah.

Jika pihak kerajaan dan JPN gagal mengatasi masalah ini sudah pasti Negara kita dikemudian hari akan menjadi kucar kacir disebabkan penduduk asal yang ingin menuntut kerakyatan mereka pasti akan bangun dan menentang kerajaan yang merampas hak tanah adat datuk nenek moyang mereka dulu.

Penduduk asal berhak untuk menuntut hak kerakyatan mereka walaupun mereka ini tidak memiliki surat beranak kerana datuk nenek moyang mereka sudah lama menetap di bumi Sarawak maka mereka seharusnya diberi sedikit kelonggaran untuk mendapat MyKad dan juga surat beranak.

Mungkin pihak JPN ada cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dan apa yang penting selesaikan secara adil untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Sekali lagi kita mendesak pihak kerajaan dan JPN memberi sedikit kelonggaran kepada nasib anak-anak kecil yang kurang bernasib baik ini supaya mereka dapat belajar dan bersekolah seperti anak-anak lain walaupun mereka tidak memiliki surat beranak, apa yang penting beri mereka pelajaran daripada membiarkan mereka hidup terbiar tanpa mendapat sebarang ilmu yang berguna dan memberi menafaat kepada mereka di kemudian hari.

Golongan ini perlu diberi bantuan dan janganlah menghukum mereka disebabkan oleh keadaan yang menimpa mereka. Mereka juga rakyat Malaysia walaupun mereka tidak memiliki surat beranak bukan bermakna mereka mesti terus dipinggirkan dan diabaikan begitu saja.

Kita PAS dan Pakatan Rakyat akan sentiasa membantu serta menyuarakan masalah rakyat yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee

PAS Miri

Shamsul: Saya pun boleh saman Perkasa

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak ada halangan sekiranya Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) mahu memfailkan saman terhadap beliau.

Ia ekoran desakan beliau meminta pertubuhan itu menafikan penglibatan mereka dalam insiden letupan berhampiran Mahkamah Jalan Duta pada Isnin lalu.

Sebaliknya, kata Shamsul, beliau juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pertubuhan itu kerana memutar belitkan kenyataannya.

“Saman itu adalah hak Perkasa.. saya bersedia untuk menjawab persoalan yang dikemukakan sekiranya mereka benar ingin mengemukakan saman. Tetapi saya juga mempunyai hak untuk menyaman mereka sekiranya dakwaan mereka kosong,” kata Shamsul.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka itu mengulas laporan portal Sinar Harian hari ini yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mahu mengkaji tindakan perundangan ke atas beliau.

“Biar lah mereka nak saman..tapi isu yang saya bangkitkan di dalam media ialah saya membuat desakan kepada Perkasa menafikan mereka terlibat dalam insiden letupan itu.

“Ini kerana mereka juga kelompok yang berada di situ (mahkamah),”

“Saya fikir mungkin Perkasa tidak dapat membezakan desakan untuk menafikan dengan tuduhan,” ujar beliau yang juga seorang peguam.

Dalam pada itu, Shamsul meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap laporan Utusan Malaysia yang kononnya memetik sumber polis dengan mendakwa bom berkenaan dibawa peserta himpunan 901.

“Mengapa Utusan Malaysia melabel hanya satu kumpulan iaitu penyokong kempen Anwar Bebas sahaja yang terlibat (insiden letupan), sedangkan ada kumpulan-kumpulan lain termasuk penyokong Saiful dan Perkasa,” tegas beliau.

Sehingga kini, katanya, tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis mengesahkan laporan berkenaan.

“Sekiranya tidak betul mereka (Utusan) harus membuat jawapan balas atau mengemukakan kenyataan atau sumber dari pihak polis.

“Ia perkara sulit. Mana boleh perkara itu bocor kecuali pihak polis sendiri mahu membocorkan, sebab itu perlu ada jawapan segera dari PDRM. Kalau tidak rakyat akan semakin hilang kepercayaan terhadap pihak polis,” katanya.

Keadilan Daily

Fitnah II: Pendakwa tiada asas kemuka rayuan

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, pihak pendakwaan dalam kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai asas mengemukakan rayuan.

Beliau mengulas tindakan pihak pendakwa yang mahu membuat rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat, Isnin lalu.

Dalam laporan Buletin Utama, TV3 semalam, Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Saya menyatakan adalah amat tidak munasabah bagi peguam negara untuk memfailkan rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang,” ujar Surendran.

“Tidak ada keterangan munasabah yang dipercayai atau apa-apa asas untuk memfailkan rayuan terhadap Datuk Seri Anwar. Keputusan hakim Zabidin adalah betul melihat kepada keterangan yang telah disampaikan kepada mahkamah,” tegas beliau.

Justeru itu, Surendran meminta peguam negara tidak menurut arahan politik daripada Umno-BN untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

“Saya juga memberi amaran kepada Umno supaya jangan menggunakan pengaruh politik untuk mengarahkan rayuan difailkan,” tegasnya yang juga peguam.

Menyokong kenyataan Majlis Peguam, Surendran berkata, sesuatu rayuan hanya boleh difailkan sekiranya didapati mahkamah menolak bukti kukuh sepanjang perbicaraan.

“Rayuan hanya dibuat apabila sesuatu kes yang kukuh telah ditolak mahkamah, tetapi di sini tiada kes terhadap ketua pembangkang, tambahan ia tajaan politik Umno-BN,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika membuat kesimpulannya, Zabidin berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan juga bukti lisan tak boleh mensabitkan ahli parlimen Permatang Pauh itu bersalah.

Keadilan Daily

KEADILAN: Bekukan aset NFC sebelum EGM

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: KEADILAN sekali lagi mendesak kerajaan supaya membekukan aset National Feedlot Corporation (NFC) sebelum syarikat itu mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) dan mesyuarat lembaga pengarahnya.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata pembekuan aset itu penting bagi memastikan NFC tidak melakukan penstrukturan semula kerana ia akan membantutkan siasatan polis.

Menurutnya, amat mencurigakan apabila NFC merancang mengadakan EGM dengan hanya memberikan tiga hari notis, yang menunjukkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil oleh NFC,” katanya yang memperolehi maklumat itu dari sumber dalaman NFC.

“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan,”

“Pada masa yang sama, keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti yang didedahkan sebelum ini,” ujarnya.

Justeru itu, Rafizi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berdiam diri, sebaliknya mesti segera campur tangan kerana beliau yang menganugerahkan projek berkenaan kepada NFC selaku Pengerusi Jawatankuasa Projek Impak Tinggi.

Ekoran itu, beliau mencadangkan kerajaan melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC.

“Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urusniaga yang mencurigakan, saya mencadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya di dalam Lembaga Pengarah NFC perlu melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambilalih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai,” ujarnya.

Keadilan Daily

Rafizi kemuka bukti suami Shahrizat rasuah SPRM, polis

18 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 12 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli mendedahkan bukti Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Mohamad Salleh Ismail, cuba merasuah pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohamad Salleh ialah suami Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang didakwa menyelewengkan sebahagian dana NFC berjumlah RM250 juta.

Menurut Rafizi, beliau menerima emel dari ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang mendakwa bertemu dengan seorang peguam mewakili Salleh, ketika satu makan malam, 22 Disember lalu.

Peguam berkenaan, kata Megat, memberitahu tentang perihal Salleh sebagai ‘kaki penipu’, ‘bermulut manis’ dan memberikan wang supaya Datuk Shamsubahrin Ismail, mempengaruhi polis dalam siasatan NFC.

Shamsubahrin ialah individu yang didakwa atas dua tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan bayaran bagi perkhidmatan rundingan dan nasihat berjumlah RM1.755 juta, hujung Disember lalu.

Rafizi sebelum ini mendakwa wang berkenaan sebenarnya digunakan Salleh untuk menyogok pegawai penyiasat SPRM dan Polis melalui Shamsubahrin.

“Ia bukanlah wayang. Sekarang Dato’ NFC kita terdedah kepada dakwaan bersubahat di dalam cubaan merasuah polis. Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis,” email berkenaan dipetik.

Justeru itu, kata Rafizi, SPRM harus mengambil tindakan segera ekoran keterangan peribadi Megat yang mendedahkan wujudnya dakwaan Salleh cuba merasuah pihak berkuasa.

“Keterangan peribadi yang dibuat oleh Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas ini perlu diberi perhatian serius oleh SPRM.

“Apatah lagi apabila beliau menyatakan pendapatnya bahawa ada unsur rasuah dan keterbabitan Datuk Salleh di dalam cubaan merasuah polis yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera ke atas perkara ini,” katanya.

Ekoran itu, katanya KEADILAN akan tampil membuat laporan SPRM berkenaan perkara tersebut pada 12 Januari ini.

“KEADILAN akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini pada jam 3.30 petang ini di pejabat SPRM Shah Alam, agar siasatan boleh dijalankan segera,” ujarnya.

Keadilan Daily

Rafizi: Najib perlu henti sebarang keputusan babitkan NFC

18 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 12 Jan — Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan, terdapatnya cubaan untuk mengambil alih syarikat National Meat and Livestock Corporation (NLFC) oleh Pusat Fidlot Nasional (NFC) dalam satu Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) dengan mengeluarkan notis singkat untuk membuat keputusan.

Rafizi (gambar) ketika sidang media di Pejabat PKR di sini menganggap tindakan tersebut adalah tidak baik dan mencurigakan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, pengurusan NFC telah memanggil EGM bagi membincangkan pengambilalihan NMLC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil oleh NFC, mereka diberi notis tiga hari untuk membuat keputusan.

“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh singkat ini berniat tidak baik dan mengganggu siasatan yang sedang berjalan sekarang ini,” katanya.

NFC merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas saham yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Rafizi, pihaknya percaya terdapat rancangan mencurigakan daripada perkara tersebut, dan mendesak Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan untuk membekukan aktiviti dan urusan mana-mana syarikat yang berkaitan dengan NFC.

“PKR mendesak Datuk Seri Najib membekukan semua aktiviti mana-mana syarikat yang pernah menggunakan dana NFC yang diberikan kerajaan.

“Kecuaian beliau boleh menyebabkan baki daripada dana RM250 juta itu lesap melalui pelbagai urusniaga sekiranya perdana menteri masih lagi berdiam diri dalam isu ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, PKR mendesak perdana menteri melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih NFC sementara menunggu siasatan selesai.

“Tindakan ini bertepatan dengan tatakelola yang baik, yang kebiasannya digunakan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku,” tambahnya.

malaysian insider/-

Terus menangi hati rakyat untuk ke Putrajaya

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rakyat tidak akan memberi peluang kepada Barisan Nasional dan Umno untuk memerintah pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai isu yang membebani parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ketika merasmikan bilik gerakan JDM Sungai Mulia bagi Parlimen Wangsa Maju, malam tadi, Tan menegaskan keputusan mahkamah memutuskan Ketua Umum PKR, datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah juga akan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Banyak isu yang dihadapi Barisan Nasional yang rakyat tidak mampu terima. Malahan baru-baru ini keputusan mahkamah yang mendapati Anwar tidak bersalah juga akan menambah sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya yang juga Penyelaras PKR Wangsa Maju di hadapan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir.

Tambah beliau, anggota PKR dan Pakatan Rakyat harus bekerja dengan kuat untuk memenangi hati rakyat supaya sokongan itu berterusan hingga pilihan raya.

"Kita harus bekerja dengan kuat, kita harus menyampaikan mesej kepada rakyat, dan terus memenangi hati rakyat untuk kita tawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang," kata bekas timbalan menteri itu lagi.

Harakah Daily

Jumpa Hasan: Ismail Kamus mahu saman media

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Bekas Adun Gombak Setia, Datuk Ismail Kamus menafikan dakwaan pihak media kononnya beliau hadir pada sidang media Datuk Dr Hasan Mohd Ali di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, 8 Januari baru-baru ini.

Beliau bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media yang melaporkan berita palsu itu, lapor Harakah cetak yang sedang dalam pasaran sekarang.

“Ketika sidang media Hasan, pada hari Ahad saya dimasukkan ke Hospital Pantai kerana demam panas dan pagi tadi (10 Januari) saya baru keluar hospital,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada sesiapa yang menghubunginya untuk menghadiri sidang media Hasan.

“Ini amat mengaibkan saya. Saya dikata bersekongkol dengan Hasan, ini tidak cantik. Nama saya sudah dikotorkan,” kata Ismail Kamus, bekas Adun Gombak Setia itu.

Ismail yang juga Tokoh Maal Hijrah Selangor untuk tahun 1433/2011 itu menang kerusi Dun Gombak Setia dalam pilihan raya umum 1999 atas tiket PAS.

Buletin Utama TV3 dan Astro Awani dalam laporan mereka berkata, majlis Hasan Ali yang diadakan di rumah beliau selepas beliau dipecat turut disertai oleh Ismail.

Selain itu, timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan anggota Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin juga dilaporkan menyertai majlis itu yang turut disertai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menjelaskan, tiga pemimpin PAS itu tidak berada dalam majlis di rumah Hasan Ali itu.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam.

Harakah Daily

Exco Pulau Pinang isytihar harta secara terbuka

18 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN, 12 Jan: Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk juga ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri hari ini telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar).

Beliau telah mencadangkan 6 langkah integriti untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel, telus.

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

Rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI). Skandal RM250 juta “lembu dan kondo” baru-baru ini di mana wang pinjaman untuk projek penternakan lembu yang telah diberikan kepada syarikat kepunyaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani, telah digunakan untuk pembelian kondominium mewah, menjadi bukti bahawa BN tidak akan berubah.

Tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Ketiga, Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan dan juga pendedahan umum kontrak-kontrak kerajaan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah mengisytiharkan harta mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sudah jelas terbukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dan telus dalam pentadbiran.

“Kita telah menunjukkan kesungguhan terhadap integriti nasional dengan pengisytiharan harta penjawat-penjawat awam tertinggi, iaitu Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, ujarnya adalah ekoran daripada Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lepas serta sistem Tender Terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International dan juga Ketua Audit Negara.

Harakah Daily

PKR cadang kerajaan ambil alih pengurusan NFC

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Kerajaan dicadangkan mengambil alih pengurusan National Feedlot Corporation (NFC) dari keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil melalui wakil-wakilnya sekurang-kurangnya ketika siasatan sedang berjalan.

Ini berikutan maklumat dalaman yang memberitahu, pengurusan NFC telah memanggil satu mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) minggu ini dengan hanya memberikan tempoh 3 hari untuk membuat beberapa keputusan penting.

Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat Jalil oleh NFC.

NFC adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (government linked corporation) melalui saham khas yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Demikian kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat, seperti mana yang telah didedahkan sebelum ini.

Keluarga Shahrizat didakwa mendapat pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membangunkan NFC bagi memenuhi keperluan daging negara, namun projek itu gagal.

Pendedahannya dibuat melalui laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini. Ekoran itu, pelbagai pendedahan dibuat termasuk pembelian kondo mewah oleh NFC di Bangsar dan juga Singapura. Turut didakwa, NFC juga membeli kondo di Australia.

"Oleh itu, saya mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan campur tangan segera dengan membekukan sebarang aktiviti dan keputusan di dalam semua syarikat-syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia," kata Rafizi hari ini.

Bagi beliau, bukan sahaja Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib) cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima pertanggungjawaban walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC, malah kini kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana dan harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urusniaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

Muhyidin paling bersalah

Sebelum ini media melaporkan, program NFC diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke 9 untuk meningkatkan pengeluaran daging negara. Ekoran itu, program dimasukkan dalam Jawatankuasa Berimpak Tinggi, yang dipengerusi timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Memandangkan tidak ada peruntukan untuk melaksanakannya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Tan Sri Muhyidin Yassin telah meminta peruntukan di bawah kementeriannya digunakan untuk membiayai projek itu.

Dari situlah, pinjaman mudah RM250 juta di keluarkan kepada NFC namun disalahgunakan untuk tujuan lain sehingga projek itu gagal mencapai sasaran dan ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

Bagi Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, selain Shahrizat dan keluarga yang mengambil kesempatan, yang paling banyak bersalah dalam isu ini adalah Muhyidin yang sepatutnya memantau projek ini namun membiarkan wang rakyat diselewengkan.

Ketika PAS memecat Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Muhyidin menyifatkan tindakan itu tidak Islamik kerana tidak memberikan peluang kepada Hasan untuk membela diri.

Namun seorang pemimpin PAS menjelaskan, Hasan telah diberikan terlalu banyak peluang termasuk berbincang dengan pimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am dan membuat kenyataan bagi membersihkan namanya namun Hasan terus bertindak merosakkan nama baik PAS di media lawan.

"Apa yang Muhyidin buat untuk 'perompak' wang rakyat ini. Inikah yang lebih Islamik?" soal pemimpin PAS berkenaan tetapi tidak mahu namanya disebutkan.

Harakah Daily

Filem pendek 'Orang Kuat Umno' dapat sambutan

18 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH, 12 Jan: Filem pendek berjudul 'Orang Kuat UMNO' terbitan Lajnah Penerangan PAS Perak kini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat khususnya golongan muda.
Filem yang mengambil masa seminggu ini telah menampilkan dua pelawak terkenal tanah air iaitu Bob Lokman dan Man Kadir yang lebih dikenali Pak Jabit.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Al-Amin berkata, walaupun filem ini tidak sampai dua hari ditayangkan, tetapi telah ditonton lebih 74,000 orang.

"Filem ini sungguh menarik minat pengunjung media baru kerana penuh dengan fakta dan isu semasa," katanya.

Katanya, filem yang berbentuk ‘santai marhaen’ itu menggambarkan suasana orang kampung berbicara tentang isu semasa di negara ini seperti NFC, siapa gadai Melayu dan sebagainya.

“Filem ini bertambah menarik dengan telatah Bob Lokman dan Pak Jabit yang mencuit hati. Merekalah yang menghasilkan ‘mood’ dalam filem ini,” katanya.

Penghasilan filem itu, katanya tidak menelan belanja yang mahal, hanya mengeluarkan kos pengangkutan pelakon.

“Semua tenaga penghasilan filem ini seperti editor, jurukamera, dan pengarah adalah aktivis parti PAS Perak. Atas faktor inilah kos penghasilan sangat rendah,” ujarnya.

Tambahnya, ada beberapa filem pendek yang masih dalam proses pembikinan dan akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Saya berharap medium baru ini dapat menarik minat masyarakat khususnya golongan muda bagi mendapat pemahaman sebenar kerana media arus perdana ketika ini sudah tidak dipercayai,” ujar beliau.

Kepada yang masih belum menonton video itu bolehlah ke channel yoperaktv http://www.youtube.com/watch?v=HLEkfqZ4j20

Harakah Daily

Wardina dirompak di rumahnya awal pagi

18 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Selebriti terkenal, Wardina Safiyyah dirompak oleh tiga orang yang memasuki rumahnya di Bukit Antarabangsa dekat Ampang awal pagi tadi.

"Kami dirompak! Tiga perompak datang ke rumah kami baru tadi!" katanya dalam mesej Twitter dihantar sekitar 5 pagi.

Menurut Wardina, ketika dirompak mereka hanya mampu bersembunyi di sebalik selimut. Namun suaminya Ikhwan telah dipukul.

"Kesemua lima komputer riba telah diambil (oleh perompak)," katanya lagi.

Menurut Wardina, rompakan itu turut meninggalkan kesan ke atas anak-anaknya.


Mereka sekeluarga juga agak trauma di saat ini.

"Anak-anak nampak trauma sehingga muntah-muntah. Mujurlah ada rakan yang datang, rasa tenang sikit.

"Terima kasih juga kepada jiran-jiran yang prihatin," katanya.

Wardina juga memberitahu, dia terpaksa meminjam komputer riba jiran untuk memaklumkan insiden yang menimpa keluarganya.

Dalam mesej Twitternya, Wardina juga meminta bantuan orang ramai agar menghubungi anggota polis.

Jelas Wardina, dia juga tiada telefon bimbitnya dan hanya boleh dihubungi menerusi e-mel dan Facebook.

Ketika berita ini ditulis, Wardina berkata, polis dan unit forensik sudah pun sampai di rumahnya.

"Sekarang banyak kejadian rompakan. Saya nasihatkan agar orang ramai berhati-hati," katanya.

Sinar Harian

Pantang dalam penjara

18 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang ibu beranak dua, terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh hari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Aisyah Abd Wahid, 30, dari Duyong, di sini, didapati bersalah mencuri pakaian, permainan dan peralatan bayi bernilai lebih RM1,000 di sebuah pasar raya, November tahun lalu.

Aisyah mengaku bersalah di hadapan Majistret Muh­mammad Hazri Hanafi.

Berdasarkan pertuduhan, Aisyah didapati dengan niat curang mencuri 30 barangan termasuk pakaian, peralatan bayi dan permainan kanak-kanak, berharga RM6.90 sehingga RM158, dengan nilai keseluruhan RM1,451.10 di Jaya Jusco Ayer Keroh, kira-kira jam 5.20 petang pada 10 November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kali kedua atau lebih boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Aisyah dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana dia terdesak melakukan perbuatan tersebut berikutan tidak bekerja dan mahu memenuhi keperluan dua anaknya, berusia sebulan dan 4 tahun.

Suaminya pula hanya bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muha­ther Mohd Kudus meminta mahkamah memberikan hu­kuman sewajarnya kerana kes sama sering berlaku di pasar raya yang sama.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan huku­man tersebut, selain memerintahkan tertuduh supaya di­pen­jara tiga bulan jika gagal membayar denda.

“Sebagai ibu, tidakkah kamu berasa bersalah memberi anak kamu memakai pakaian, menggunakan botol susu dan bermain permainan yang dicuri?.

“Dengan hukuman yang diberikan, saya berharap kamu selepas ini menjadi seorang ibu yang baik dan memberi semua barangan halal kepada anak,” katanya.

Sinar Harian

SITC, MPSI, IPSI, UPSI; Adam, hang hero kami !

18 Safar 1433H. [MOD] -

Dari dulu lagi, apabila lulusan SITC, lepas tu MPSI melapor diri ke sekolah, Guru-guru Besar memang senang hati. Bagi apa saja tugas, tak pernah tolak ke tepi, mesti cuba buat dan memang pentadbiran sekolah puas hati.

Masa dalam latihan, memang pelatih MPSI hebat sekali. Kalau aktiviti sastera dan seni, semua kami juarai. Kalau drama kawan kami Hassan Ghazali tu juara Drama seMalaysia dalam Pestarama antara maktab-maktab bakal cikgu-cikgi.

Dalam puisi kami ada adik Dinsman, ASASMU (Angkatan Sasterawan Muda) kami tubuh memang jadi. Petang-petang padang Astakona tempat berpuisi.

Tapi dari SITC, MPSI, IPSI sampai UPSI la ni, pihak pentadbiran, memang kerja depa dok buli kami. La ni hangpa pun dok rasai. Masa kami dulu ada Mat Fail, nama samaran dia Encik Razani.

Kami silap sikit dia ugut bubuh surat amaran dalam fail. Fail tu pulak katanya dia hantar kat sekolah tempat kami nak lapor diri. Punya la busuk hati.

Ni nak cerita serius sikit. Pada malam, satu hari dalam tahun 1981, kami masih dalam program ROS. Ada kawan kami Zainab nak kena gantung maktab. Puncanya dia pakai purdah. Masa tu kalau pakai purdah memang pelik.

Tapi kalau pakai dedah, seluar rok enam inci nampak parut paha buleh pulak. Tapi si Zainab ni nak jaga akhlak dia, lagi pula tiada dalam pekeliling kata pakai purdah langgar peraturan pakaian.

Dia ROS dekat-dekat dengan Sungai Slim. Sekolah mana tak boleh bagi tau lah. Guru Besar dia buat laporan kat Mat Fail. Apa lagi Mat Fail ni memang jenis busuk hati. Guru Besar kata dia guru bahasa, macam mana budak nak tengok dia cakap, nak tengok muka cikgu.

Tapi sebenarnya, Zainab waktu mengajar dalam kelas buka purdah. Budak-budak sangat suka cara cikgu Zainab mengajar. Cikgu sekolah tu pun suka kat Zainab. Guru Besar je yang dengki. Dia nak Zainab buka purdah sebaik masuk ke pagar kawasan sekolah.

Kalaulah pentadbiran maktab nak tolong pelatihnya, tentu depa akan tukar Zainab pi ROS sekolah lain. Tapi memang kalau dah dasar buli, Zainab kena gantung.

Malam tu kami berkumpul di asrama Santana. Sebabnya exco PGP paling ramai di Santana. Bincang punya bincang, satu resolusi diambil. Mogok dan tunjuk perasaan! Exco makanan AR Najib kata semua dah ready. Geng-geng kelate dah takbir.

Tiba-tiba datang abang askar yang sama-sama kursus nak jadi cikgu bagi nasihat. Janganlah. Nanti kita yang ramai kena, Zainab dah pun kena. Pentabiran dia peduli apa, satu maktab dia boleh buang.

Atas risiko kalau kami kena buang, penjamin kami pulak kena bayar RM25,000.00 sebagai ganti rugi. Kalau nilai sekarang agak-agak empat kali ganda kot. Akhirnya, Zainab buat keputusan berhenti.

Selepas tiga puluh tahun depa buat hal lagi. Adam, depa ni memang keturunan zalim. Kami yang depa janji nak bagi imbuhan sebab bimbing cikgu pelatih UPSI, sampai la ni dah lima tahun, janji tinggal janji. Adam, hang hero kami.

Oleh Annuar Kamaruddin

Isu zakat: Pemuda Pas mahu Jamil, Che Mat undur

18 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali meletakkan jawatan memikul tanggungjawab dalam isu penggunaan wang zakat untuk membayar yuran guaman.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedua-dua mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa.

"Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan.

"Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu perbuatan tercela, justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

Kata beliau lagi, timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

"Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat, justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya.

"Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti," kata Nasrudin lagi.

Tambah Nasrudin, berlaku penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua-dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Che Mat.

"Kelihatan YB Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang.

"Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesahihan dakwaan tersebut," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan menteri yang bertanggungjawab ke atas isu-isu agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah umat Islam.

"Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri," kata beliau merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan semalam.

Sinar Harian

Wang zakat: Pemimpin PKR buat laporan polis

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

Nik Nazmi berkata, laporan polis itu dibuat agar Jamil berserta Che Mat dan Shamsuddin disiasat di bawah Akta 613 Seksyen 409, Seksyen 415 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan masing-masing berkenaan dengan pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen, menipu dan pecah amanah.

"Laporan polis telah dibuat dan bukti akan kami berikan kepada pegawai penyiasat esok," katanya pada sidang media hari ini.

Laporan polis itu turut di buat oleh Jingga 13.Sebelum ini, Nik Nazmi mendakwa Jamil, Che Mat dan Shamsuddin menggunakan wang zakat MAIWP untuk tujuan kos guaman dan tindakan itu menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam.

Bagaimanapun, dakwaan itu telah dinafikan oleh Jamil Khir dan Che Mat.

Che Mat berkata, bayaran kos guaman bagi kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada badan itu setiap tahun dan pendapatan MAIWP melalui sumber am seperti sewaan, dividen, aset dan lain-lain perolehan.

Bagaimanapun, Jamil pula menegaskan, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Umum PKR itu bukan wang zakat MAIWP, tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan beri bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," katanya.

Justeru Nik Nazmi berkata, percanggahan jawapan antara Che Mat dan Jamil menimbulkan kekeliruan dan beliau mendesak agar Jamil tampil membuat pengakuan.

"Sekarang ini kita nak Jamil mengaku benar atau tidak dia gunakan duit itu. Jika ya, kenapa selama ini dia nafi? Orang lain sudah sahkan, dari laporan audit, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kenapa takut sangat untuk mengaku? Perkara ini bukan main - main dan kita pandang serius kerana melibatkan ia melibatkan wang zakat," katanya.

Sinar Harian

Sandarkan e-mel, PKR mahu SPRM siasat ketua NFC

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - PKR mahu Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail disiasat oleh Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa bersubahat dalam cubaan menyogok pegawai kanan polis yang menyiasat projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pengarah Strateginya Mohd Rafizi Ramli berkata, langkah itu harus diambil berdasarkan kenyataan umum melalui e-mel yang dibuat oleh salah seorang ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, yang dilihat jelas menunjukkan Mohamad Salleh terlibat dalam cubaan merasuah polis.

Pada 22 Disember lalu, seorang ahli peniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menipu Mohamad Salleh.

Menurut Rafizi, antara lain kandungan e-mel itu merujuk kepada perbualan antara Megat Najmuddin dan peguam-peguam yang mewakili NFC dan Mohamad Salleh akhir bulan lalu.

"Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak, sebelum ini perkara ini adalah urusan polis," katanya.

Tambah Rafizi, Megat Najmuddin adalah seorang tokoh yang dihormati dan memegang jawatan penting dalam negara.

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Petronas, Presiden Institute of Corporate Governance dan Penasihat Bank Negara.

"Beliau juga ahli Lembaga Disiplin Umno dan juga merupakan kenalan rapat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi berbata, kenyataan Megat Najmuddin perlu dipandang serius oleh SPRM kerana memberi pendapat bahawa wujud unsur rasuah dan keterbabitan Mohamad Salleh dalam cubaan merasuah polis.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini di pejabat SPRM Shah Alam pada jam 3.30 petang ini.

Sinar Harian

Tikus Gergasi Dijumpai Dalam Kedai Kasut

18 Safar 1433H. [MOD] -

Satu gambar yang menunjukkan seekor tikus gergasi didakwa dijumpai dalam sebuah kedai kasut di bandar raya New York, Amerika Syarikat telah tersebar luas dalam internet.

Imej tersebut dikatakan menunjukkan seorang pekerja kedai Foot Locker di The Bronx sedang memegang tikus mati sebesar 3 kaki di atas penyeduk.

Satu tikus gergasi yang lebih kurang sama besar, telah dijumpai di kawasan Brooklyn, New York pada tahun lepas, dikatakan tikus spesis Gambian Pouched.

Dr. Robert S Voss, kurator mamalia di American Museum of Natural History di New York, berkata: “Tidak mungkin tikus itu adalah tikus biasa yang terdapat dalam pembetungan. Saya pasti 90 peratus yang tikus itu adalah dari spesis Gambian Pouched.”

Dr. Voss berkata yang ada kemungkinan bahawa tikus tersebut adalah binatang peliharaan yang melarikan diri. Beliau juga berkata yang binatang jenis ini kelihatan garang tetapi sebenarnya mereka sangat suka bermain dan jinak. (Orange UK)

harian metro/-

PAS hantar surat rasmi minta Hasan digugurkan

18 Safar 1433H. [MOD] -

PAS telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan negeri Selangor bagi memaklumkan bahawa exco kerajaan negeri, Datuk Hasan Mohd Ali telah dipecat daripada menjadi ahli parti itu.


Menurut Harakahdaily, makluman pemecatan itu dibuat melalui sepucuk surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 2.00 petang semalam.

NONE
“Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kanan) itu disampaikan melalui faksimili.

“Surat itu disahkan penerimaannya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husein,” petik portal rasmi PAS itu.

BagaimanapunHarakahdaily tidak menyatakan sama ada pengganti Hasan ada dinyatakan dalam surat berkenaan.

Semalam, Hasan Ali tidak hadir pada mesyuarat exco di Shah Alam dan menurut rakan sejawatannya, Ronnie Liu, bahawa beliau
sedang bercuti.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata beliau tidak didesak oleh sesiapa untuk menggugurkan Hasan tetapi sewajarnya beliau mengosongkan secara sukarela jawatan pengerusi tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerana tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri.

Katanya, beliau akan mengadap Sultan Selangor esok untuk memberi taklimat kepada baginda mengenai perkembangan terbaru dan membincangkan calon sesuai bagi jawatan itu.

Ahad lalu, jawatankuasa pusat PAS semasa mesyuaratnya selama lebih tiga jam di Kuala Lumpur, membuat keputusan memecat Hasan berkuatkuasa serta merta.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, pemecatan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS.

hadi awang on hasan ali sacking 080112
Hasan didakwa menimbulkan keresahan pelbagai pihak khususnya di kalangan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat kerana mengambil pendirian bercanggah dengan partinya dan pembangkang.

Antaranya mempersoalkan konsep dasar negara kebajikan yang dterajui PAS.

Pemimpin kontroversi yang dikatakan mesra dengan Umno itu, sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Hasan mempunyai 30 hari bermula tarikh keputusan pemecatan untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Malaysiakini/-

Ceramah pra Konvensyen Pakatan 13 Jan

18 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 11 Jan: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, pada 14 Januari ini, ternyata berbeza berbanding konvensyen pertama dan kedua di Shah Alam dan Kepala Batas pada 2009 dan 2010 lalu.

Jika pada konvensyen pertama dan keduanya tidak terdapat program pra konvensyen, pada kali ini acara tersebut turut disusun oleh pihak penganjur.

Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberitahu, program tersebut akan diadakan pada malam 13 Januari (Jumaat) bermula jam 9.00 malam di setiap kawasan Parlimen di Kedah.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini yang turut dihadiri AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; beliau menjelaskan, kesemua program yang disusun itu merupakan program ceramah yang melibatkan tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.

Bagi ceramah di kawasan Langkawi yang akan diadakan di Surau Kuala Melaka, Dun Ayer Hangat, penceramah terbabit terdiri daripada Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Di kawasan Jerlun yang akan diadakan di Markas UPU Kerpan, Ayer Hitam, penceramah terbabit terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dari PAS negeri Kedah.

Bagi kawasan Padang Terap yang akan diadakan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, penceramah terbabit terdiri daripada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Manakala ceramah di kawasan Pokok Sena yang akan diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Pekan Pokok Sena, penceramah terbabit terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Fuziah Salleh dari PKR.

Ceramah di kawasan Kuala Kedah yang akan diadakan di Markaz PAS Telok Bagan akan disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Mohamed Hanifa Maidin, Rafizi Ramli dari PKR dan Ngeh Koo Ham dari DAP.

Bagi kawasan Pendang yang melibatkan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, R Sivarasa dari PKR dan Mohamed Hanipa Maidin, program ceramahnya akan diadakan di Tapak Pasar Sehari di Tanah Merah.

Sementara ceramah bagi kawasan Sik yang akan diadakan di MTD Belantik di Pekan Sik pula, penceramah terbabit terdiri daripada Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi PKR Terengganu, Tuan Azan Ismail dan Ustazah Aishah Ghazali dari PAS negeri Kedah.

Di kawasan Jerai, ceramah yang akan disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Dr Xavier Jayakumar dari PKR dan Dr Ismail Salleh dari PKR akan diadakan di Sungai Tok Pawang di Bedong.

Untuk ceramah di kawasan Merbok yang akan diadakan di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai, penceramah terlibat terdiri daripada Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Nga Kor Ming dari DAP dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dijadualkan menyampaikan ceramah di Sungai Petani yang akan diadakan di Taman Seri Pinang, Sungai Petani.

Bagi ceramah di kawasan Baling yang akan disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Abdul Wahid Endut, bekas Menteri Kesihatan, Dr Chua Jui Meng dari PKR dan M Kulasegaran dari DAP, program ceramahnya akan dilangsungkan Malau, Kuala Ketil dan Pekan Baling.

Program ceramah di Padang Serai pula akan diadakan di Dewan Chee Tean Khor di Padang Serai dengan penceramah terbabit terdiri daripada Datuk Husam Musa dan Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dari PKR.

Bagi program ceramah di kawasan Kulim Bandar Baharu yang akan dilangsungkan di Dewan Bandaran Kulim membabitkan tiga orang penceramah yang terdiri daripada AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Tony Pua dari DAP.

Harakahdaily/-

Doa Seorang Suami

18 Safar 1433H. [MOD] -

Laki-laki separuh baya itu air mata mengalir membasahi bajunya, dengan penuh kesabaran duduk dipembaringan menemani istrinya sampai kemudian menghembuskan napas terakhir. Mencintai dengan setulus hati pada istri telah menjadi komitmen, ketika dirinya didera ketakutan hidup sendiri telah menghantui dirinya sejak lama.

Ia berusaha mempersiapkan diri dan selalu berusaha melayani istri dengan baik karena menderita sakit. Kesabaran karena kasih sayang tak terukur yang diberikan pada istrinya sebab ia dan anak-anaknya benar-benar merasakan kasih sayang dari istri dan ibu yang tidak pernah sedikitpun menyakiti hati mereka.

Meski menderita sakit namun kata-kata dan sikap yang begitu lembut dan tidak pernah menjadi marah. Sampai kemudian terjadilah apa yang ditakutkan, serangan penyakit yang tak tertolong oleh dokter dan rumah sakit dengan peralatan modern sekalipun telah merenggut jiwa istrinya. Ia merasa shock dan terpukul atas kepergian sang istri.

Berkali-kali jatuh pingsan, menjadi lemah dan tak berdaya setelah kepergiannya. Sebagai suami merasakan kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya dan tidak tahu harus berbuat apa.

Ia menatap anak-anaknya yang tumbuh besar begitu sedih dan menangisi kepergian ibu yang begitu menyayangi mereka namun mereka lebih terpukul melihat keadaan dirinya yang tidak lagi memperdulikan mereka, tidakk lagi mengurus apapun termasuk mengurus dirinya sendiri. Tiap hari ia lebih banyak duduk dan setiap kali memandangi poto-poto yang menempel didinding, air matanya mengalir deras.

Buku-buku, benda kesayangan, tanaman dihalaman tetap disiraminya. Juga binatang peliharaan kesayangannya seolah mengingatkan lagi usapan tangan yang lembut, Ia tidak mau memindahkan semua benda atau apapun yang berkaitan dengan istrinya.

Perasaan kehilangan telah membuatnya tidak lapar dan haus membuat tubuhnya menjadi lemah dan tak bergairah untuk bekerja. Dalam kesendirian dirinya bertanya-tanya, 'Bila Allah Maha Baik mengapa membiarkan kami kehilangan orang yang kami cintai? Mengapa kebahagiaan keluarga kami begitu singkat?

Ketika keadaan sudah sedemikian parah dan ia ditengah keterpurukannya, sampai kesempatan mengenal orang yang mengalami hal yang sama di Rumah Amalia, kehilangan orang yang dicintainya, menanggung beban yang berat. Akhirnya ia menemukan dirinya sendiri dan bisa mengatasi rasa perih akibat kehilangan orang yang dicintainya.

Ia menyadari bahwa Allah telah menganugerahkan cinta dan kasih sayang pada dirinya, rasa cinta itulah yang menguatkan dirinya agar tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang ayah bagi anak-anaknya dan bagi sesama dengan aktifitas sosialnya.

Kenangan indah akan orang yang dicintainya tetap disimpannya dan sebagai penyembuh bagi dirinya. Rasa perih, kesepian dan kesendirian perlahan-lahan telah mencair, ia memperoleh makna hidup yang membuatnya semakin mengerti makna kesetiaan dan setiap sehabis sholat senantiasa memanjatkan doa untuk istrinya yang telah tiada agar Allah menempatkan disurga yang terindah disisiNya.

posted by :agussyafii

Konvensyen PR: Bersihkan Malaysia, Pinggir Kepimpinan Korup

18 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA,: Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di negeri Kedah disifatkan sebagai pecutan akhir gagasan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Konvensyen yang bertemakan 'Bersihkan Malaysia' ini secara dasarnya akan memperincikan krisis politik negara yang tidak berpenghujung selain ingin mewujudkan suasana negara yang lebih sejahtera dengan meminggirkan kepimpinan yang korup.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, konvensyen ini juga adalah untuk memastikan gerakan kebangkitan rakyat seiring dengan arus perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat.

"Persoalan krisis yang bertentangan dengan amalan politik demokrasi di negara ini harus ditangani dengan meletakkan negara dilandasan yang betul iaitu melalui kepimpinan yang beramanah, integriti dan akauntabiliti untuk menerajui negara selepas pilihan raya nanti.

"Kita juga akan mengwujudkan suasa sebuah negara yang mana ia adalah milik kita semua, negara untuk semua kaum dan kita hidup sebagai satu keluarga yang bertanggungjawab membangunkan negara secara bersama," Mahfuz berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat meninggalkan kepimpinan yang korup dan terbuka untuk menerima sepenuhnya pakej politik kepimpinan Pakatan Rakyat seperti yang termaktub di dalam naskah buku jingga.

"Kita mengharapkan konvensyen kali ini mampu memberi gambaran jelas kepada masyarakat Malaysia tentang komitmen kepimpinan Pakatan Rakyat dalam mendepani secara segera segala tekanan, ketidakadilan dan bebanan hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dinegara kita selama ini," jelasnya.

Hadir sama, AJK PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N.Surendran dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai.

tv news/-

Peniaga tak jaga sensitiviti

18 Safar 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Barang makanan halal dan tidak halal di tempat yang sama dalam kebanyakan premis kedai serbaneka di sekitar Puchong menimbulkan rasa kurang senang Jabatan Pemakanan dan Hal Ehwal Islam Lembaga Pelindung Kebajikan dan Pengguna Malaysia (LPKPM).

Pengerusinya, Abdul Aziz Ismail berkata, tinjauan di kebanyakan premis kedai seperti itu mendapati, pengusaha tidak mengasingkan makanan dan minuman halal dengan tidak halal sehingga mungkin boleh mengelirukan pengguna.

Katanya, lebih menyedihkan majoriti kedai seperti itu juga tidak memohon sijil halal pihak berkuasa agama dan mengabaikan hukum syarak sepenuhnya.

“Hampir 80 peratus premis kedai serbaneka dan kedai 24 jam dikunjungi didapati tidak mengamalkan kaedah dalam sijil halal.

“Kalau ada pun yang mengamalkan hanya sebahagiannya dan menjadikan pematuhan kepada peraturan pihak berkuasa dan jabatan agama negeri seperti perkara yang boleh dipermainkan,”katanya.

Abdul Aziz berkata, lebih mengecewakan apabila masih ada pekerja Islam bertudung memegang makanan dan minuman tidak halal di kaunter urus niaga dan juga di rak penyusunan.

“Disebabkan kebanyakan premis tidak mempunyai sijil halal, pelaksanaan hukum syarak tidak dijalankan dengan sempurna.

“Pekerja Islam bebas memegang makanan tidak halal menyebabkan timbulnya situasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam yang lain,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata beliau lagi, meskipun pengusaha ada meletakkan nota makanan tidak halal di rak barangan namun ia masih dilihat tidak mengikut pensijilan halal apabila makanan itu diletakkan sekali dengan makanan halal.

“Pengusaha pasar raya serbaneka di minta menjaga sensitiviti agama Islam di negara ini dengan mengasingkan jualan halal dan tidak halal. .

“Malah kami juga rayu mereka memohon sijil halal kerana jika tiada, pihak berkuasa negeri tidak mengetahui bagaimana peletakan kedua-dua jenis makanan diletakkan dalam premis,”katanya.

Tambahnya, agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain pihak termasuk masyarakat perlu dididik mengenai Halalan Toyyiban.

“LPKPM merayu orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti tidak sihat demi menjaga keselamatan di talian 03-4010 1130 atau emel kepada abdulazizismail0103@gmail.com,”katanya.

Sinar Harian