02 January 2012

Wawancara RPK: Presiden MCLM letak jawatan

9 Safar 1433H. [MOD] -

Presiden Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim hari ini meletakkan jawatan daripada organisasi itu kerana tidak puas hati dengan kenyataan Raja Petra Kamaruddin yang disiarkan dalam media arus perdana semalam.

Dalam pengumuman dalam blognya hari ini, Haris Ibrahim berkata, wawancara Raja Petra -- yang juga jurucakap MCLM -- antara sebab untuk "keputusan sukar" itu dibuat.

Haris berkata, isu yang dibangkitkan Raja Petra dalalam wawancara itu bertentangan dengan apa yang difahami sebagai pendirian organisasi itu.

"Komen-komen itu... banyak melemahkan usaha saya, termasuk melalui MCLM, dalam usaha (kempen) Asalkan Bukan Umno/BN (ABU)," katanya.

Beliau juga berkata sedih apabila Raja Petra terus melihat rakyat Malaysia berdasarkan warna kulit -- Melayu, Cina dan India -- sedangkan pihaknya dari hari ke hari memperjuangkan agenda seperti Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM).

Malaysiakini/-

Perjuangan yang panjang dalam mengerjakan haji

8 Safar 1433H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Memang benar mengerjakan haji satu perjuangan, banyak rintingan yang perlu dilului dan banyak ujian yang perlu ditempuhi bagi mencapai haji yang mabrur. Sesiapa yang boleh melepasi semua itu dengan baik pasti mendapat haji yang mabrur. Tetapi berapa ramai yang berjaya?

Saya dan isteri memilih haji ifrad walaupun ramai kumpulan kami yang memilih tamatta’. Kata mereka, haji ifrad berat sikit, kena berada dalam ihram tempoh yang lama, takut kena banyak dam. Yalah 13 larang semasa ihram. Gambaran itulah barangkali yang menakutkan semua jemaah.

Alhamdulillah kami memakai ihram sejak di Kelana Jaya lagi dan berniat haji semasa berada dalam kapal terbang. Bayangkan sepanjang penerbangan itu kami sudah diharamkan 13 perkara. Kalau melanggarnya perlu membayar dam. Tapi dalam fikiran saya, kita hanya nak buat haji, bukan nak salah. Tetapi kalau tersalah juga bayarlah dam, bukankah dam juga ibadah.

Mujurlah dalam kapal terbang boleh tidur walaupun kurang selesa. Dan dengan itu kami kuranglah bercakap. Jadi, kesalahan yang melibatkan lidah itu tiadalah berlaku. Apatah lagi larangan rafath dan jidal. Alhamdulillah selamat.

Sesampai di hotel, kami berpisah tempat tinggal. Cuma sesekali boleh berjumpa untuk makan terutama waktu sarapan pagi kerana waktu pagi tidak disediakan makanan. Namun kerap juga berjumpa tatkala untuk ke masjidil haram kerana di sana disyaratkan pergi bersama. Bukan apa, untuk keselamatan diri di tempat orang yang sememangnya ramai orang. Kalau sesat sukar berjumpa kembali.

Oleh sebab itulah kami boleh hidup dalam keadaan ihram tanpa melakukan larangan yang ditetapkan itu. Malah kami masih dapat menjaga larangan terutama yang membabitkan suami isteri. Alhamdulillah dalam tempoh itu tidak ada pertengkaran atau pergaduhan besar walaupun sekali sekala terasa juga kecil hati apabila berseorangan menanggung kesakitan (rasa isteri tidak simpati). Padahal itu semua ujian kecil yang cuba digoda syaitan.

Syukur kepada Allah kerana dalam tempoh 12 hari berihram kami dapat menjalani hari-hari itu dengan amalan kebajikan, malah dapat melakukan ibadah sunat di masjidilharam, membaca al-Quran dan solat sunat termasuk tawaf sunat. Sebenarnya dalam tempoh itu perjuangan yang perlu kami tempuh bukanlah sengit dan tidaklah mencabar sangat.

Di Makkah, perjuangan kesabaran boleh dihadapi dengan sikap tenang dan berfikiran positif terhadap apa yang berlaku. Cuma perjuangan bagi mengekalkan wuduk agak mencabar. Yalah, kadang-kadang sudah hampir hendak azan, terbatal wuduk pula. Bayangkan kalau nak keluar ke bilik air agak jauh. Kalau keluar, pasti tiada peluang masuk semula. Nak guna spray yang dibekalkan Tabung Haji takut basah tempat solat pula. Mujur ada tempat air zamzam dalam masjid maka bolehlah ambil wuduk di situ. Tapi tak bolehlah basuh tiga kali seperti biasa.

Bayar Dam

Berbalik kepada larangan ihram, ramai juga jemaah haji yang tidak perasan dengan bulu ari-ari, bulu dada dan hidung boleh gugur. Ada juga yang terkeliru antara sengaja dan tidak sengaja dalam menggugurkan bulu tersebut. Waktu kursus kita diberitahu tentu larangan menggugurkan rambut atau sebarang bulu pada tubuh badan. Juga diterangkan tentang maksud sengaja atau tidak sengaja. Tetapi apabila tiba waktu praktikalnya, banyak juga yang terlupa dan tidak perasan.

Saya sendiri waktu belajar itu beranggapan larangan itu tidak menjadi masalah bagi lelaki. Tetapi apabila sudah berada dalam realitinya, baru tersedar bahawa lelaki juga sama. Yalah, waktu kita mandi, bulu dada boleh gugur. Dan kadang-kadang secara tidak semena-mena, dicabutnya bulu hidung. Kalau yang gugur itu sehelai atau dua, tentunya kecil. Tapi kalau tiga helai sekali gus tentulah banyak.

Bayangkan, kalau setakat dua helai boleh diselesaikan damnya dengan memberi kepada orang miskin atau pekerja klener di Masjidilharam dengan kadar SAR 5 (lima rial). Tetapi kalau tiga helai, damnya seekor kambing yang bernilai SAR 330. Inilah perjuangan yang terpaksa ditempuh sepanjang ihram. Beruntunglah mereka yang memikirkan dam itu juga sebagai ibadah maka wang yang dikeluarkan itu ada nilaian di sisi Allah.
Kemuncak Perjuangan

Semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah kemuncak perjuangan yang kalau gagal di sini gagallah haji. Antara larangan semasa ihram ialah menebang pokok dan memburu binatang. Sewaktu belajar, saya berfikir adakah pokok di sana, dan adakah binatang buruan di sana. Tetapi apabila sampai di sana baru kita sedar, sememangnya Allah ingin menguji kita.

Tahukah anda, di Arafah banyak pokok yang ditanam oleh kerajaan. Tentunya pokok itu ditanam untuk mencantikkan kawasan. Tetapi tahukah anda pokok itu juga termasuk dalam 13 larangan semasa ihram. Bayangkan kalau kita secara sedar menyandar dan menggonjangkan batang itu, lalu gugur daunnya, berapa banyak dam yang perlu dibayar. Itu satu hal, satu lagi apabila masuk di dalam khemah, ada pula anak pokok. Kawan saya hampir menyentuhnya. Bayangkan kalau dia tergatal tangan lalu memetik satu dua helai daun, berapa dam yang perlu dibayar.

Dalam hal ini, isteri saya ada menceritakan yang kawannya secara tiba-tiba seekor belalang terbang kepadanya. Dan dia sepantas kilat menepisnya lalu matilah belalang itu. Membunuh binatang buruan adalah satu kesalahan yang wajib membayar dam. Kita nampak hal ini kecil tetapi sebenarnya besar di sisi Allah.

Di Mini sesekali nampak burung merpati turun mencari makanan di atas jalan. Walaupun jumlah di sini tidak sebanyak di Makkah, kehadiran burung merpati yang kelihatan jinak itu boleh memerangkap jemaah haji. Sebenarnya kalau ada jemaah haji yang masih dalam ihram (hari ke 10 Zulhijjah) menabur makanan lalu burung itu memakannya, maka dia termasuk dalam kategori memburu binatang.

Mujurlah larangan di Mina itu hanya satu hari iaitu pada 10 Zulhijjah, bolehlah bebas sedikit. Tidak lagi risau hal keguguran rambut atau mencabut pokok juga memburu binatang. Sungguhpun begitu mereka masih ada tiga larangan yang melibatkan suami isteri. Jadi, pada hari ke 11, 12 dan 13 mereka agak selesa apatah lagi sudah boleh berpakaian biasa.

Perjuangan belum selesai

Walaupun larangan sudah kurang, perjuangannyanya masih belum selesai. Kadang-kadang sewaktu menuju ke Jamarat untuk acara melontar jamrah nafsu kita diuji. Bayangkan setiap hari berulang alik ke jamarat berdua-dua dalam keadaan bersesak-sesak, kalau tidak dikawal nafsu salah seorang daripada mereka sudah pasti dam menanti mereka.

Selain itu perjalanan sejauh tiga kilometer juga satu cabaran. Waktu pergi agak kuat dan bertenaga, tetapi waktu pulang masing-masing keletihan. Waktu ini kalau tidak kuat jiwa, akan tercetus banyak dosa lagi. Kita perlu ingat walaupun sudah tidak pakai ihram, bukan bermakna kita boleh buat apa sahaja.

Perjuangan sebenarnya akan berakhir apabila balik ke Makkah. Di sana semua jemaah akan mengadakan tawaf ifadah dan saei. Tapi bagi yang buat haji ifrad cukup dengan tawaf ifadah sahaja. Ibadah tersebut juga perlu berhadapan dengan ujian bersesak-sesak. Kadang-kadang kaki mereka tersentuh kaki perempuan Afrika yang tidak pakai stoken.

Memang betul dalam mazhab Syafii bersentuh tanpa syahwat dalam keadaan ini tidak batal wuduk, tetapi bagaimana kalau waktu tersentuh itu, hati anda terasa sesuatu, tentu terbatal wuduk. Tapi anda mengabaikan perasaan itu lalu diteruskan tawaf. Tentu tidak sempurna tawafnya ketika itu. Bayangkan kalau ini gagal, bagaimana saeinya? Inilah yang saya maksudkan perjuangan terakhir.

Tawaf kedai

Selepas selesai haji, masing-masing bebas dengan aktiviti harian, selain berulang alik ke Masjidilharam, waktu pulang ke hotel, mereka akan tawaf kedai terlebih dahulu. Sesetengahnya window shoping dahulu, tetapi tidak kurang juga yang terus membeli belah untuk buat buah tangan orang di kampung. Kalau 20 hari di Makkah, entah berapa hari mereka menapak di kedai-kedai sekitarnya. Dan berapa banyak pula yang mampu dibeli.

“Mari-mari tengok dulu” itulah bahasa yang digunakan oleh penjual Arab bila melihat orang Malaysia alalu di hadap kedai mereka. “Malaysia bagus” ucapan pujuk yang sering digunakan oleh mereka membuatkan kita tergoda lalu membeli barang itu. Memanglah murah harga di sini, tetapi kualitinya kita tidak tahu. Nampak cantik tetapi belum tentu cantik. Kalau jubah memang cantik dan bermutu kalau harganya lebih 30 rial.

Saya beli seterika yang mengguna air, harganya baru 40 rial, kalau duit kita baru 30 ringgit lebih. Saya beli bukan sebab murah tetapi sebab nak gosok baju yang sudah berkedut. Saya berpuas hati dengan alat itu, cuma apabila bawa balik ke Malaysia, plaknya tidak boleh sesuai dengan soket di sini. Plak dua batang di sana tidak sama dengan lubang soket di sini. Sekarang alat itu disimpan dahulu sebelum menggantikan plak tiga batang. Harap-harap boleh digunakan setelah digantikan plak baru.

Sebenarnya orang Arab memang suka dengan orang Malaysia, kerana lazimnya orang kita suka membeli. Mengikut rekod mereka, orang Malaysia banyak membeli barang mereka. Tapi kadang-kadang mereka tidak suka apabila sebahagian mereka suka menawar harga yang bukan-bukan. Berbeza dengan orang Indonesia, mereka berbelanja seperti orang kaya. Mungkin mereka berniaga waktu di tanah air mereka. Inilah realiti jemaah haji sebelum pulang ke tanah air.

Sesetengahnya tawaf kedai ini disambung sewaktu di Madinah. Maka sebahagian barang itu diposkan dari Makkah dan sebahagian lagi diposkan di Madinah. Jadi yang pasti untung dalam hal ini ialah pekedai dan pos Malaysia. Bayangkan, saya sendiri belanja pos bernilai SAR700. Harga barang tentu lebih mahal daripada itu. Tapi tak mengapa kerana semua itu perlu dibeli untuk dijadikan hadiah buat mereka yang melawat di kampung nanti.

Solat 40 Waktu

Setiba di Madinah, solat 40 waktu di Masjid Nabawi tidak dilepaskan peluang itu oleh semua jemaah haji. Di sudut fadilat, saya tidak sebut kerana sudah banyak kali dijelaskan oleh penceramah, tetapi mesej yang tersirat daripada amalan itu perlu dilihat semula. Tidak dinafikan ibadah di Masjid Nabawi besar pahalanya, apatah lagi sampai 40 waktu, tetapi berapa ramai yang melakukan amalan itu secara ikhlas. Dan berapa ramai pula yang melakukan ibadah ini kerana sudah ada peluang di hadapan mata.

Sebenarnya solat 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabawi ini lebih daripada tujuan pahala yang besar. Tahukah anda, sesuatu yang dilakukan sebanyak 40 kali akan menjadi satu kebiasaan. Kalau anda hendak menghafal al-Quran, maka sesatu ayat itu hendaklah diulang sebanyak 40 kali, barulah benar-benar terlekat pada hatinya. Bagitu juga apabila kita mendengar sesuatu iklan sebanyak 40 kali, nanti kita akan mencuba juga akhirnya.

Maknanya, Allah mahu jemaah haji rasa seronok melakukan ibadah solat secara jemaah. Nanti dia akan rindukan solat berjemaah apabila balik ke tanah air. Ketika itu kalau dia tidak dapat melakukan solat jemaah sekali dirasakan amat menyesal dan rugi. Itulah yang akan terjadi kalau mereka lakukan solat 40 waktu di Masjid Nabawi dengan ikhlas kerana kehendak Allah dan rasul-Nya.

Setelah balik ke Malaysia, berapa ramai haji dan hajjah yang boleh mengekalkan solat jemaah di masjid atau surau? Saya tidak ada angka sebenar, tetapi kebanyakan jemaah haji sudah lupa amalan jemaah itu. Kalau wanita memang tidak perlu berjemaah (tidak digalakkan kecuali jika ada pengajian) di masjid atau surau, tetapi setidak-tidaknya mereka boleh mengekalkan solat di awal waktu. Tetapi itupun tidak mampu dilakukan oleh golongan ini.

Kalau begitulah amalan para haji dan hajjah ketika balik ke Malaysia, bolehkah mereka kekal sebagai haji mabrur. Mereka yang gagal mendapat haji mabrur awal-awal lagi kita tidak bimbangkan, kerana mereka memang tidak mampu melakukan ibadah sebagaimana yang dikehendaki Allah. Tetapi mereka yang sudah mendapat haji mabrur, tentulah rugi kerana semuanya lebur selepas itu.

Tidak dinafikan semua yang berlakukan ini ada kaitan dengan dosa yang kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak selepas berada di tanah air. Tetapi sesungguh sesuatu yang berlaku di sini tentu ada puncanya di sana. Jadi sebagai umat Islam apatah lagi haji dan hajjah yang baru pulang, marilah kita bertaubat dan sesalilah segala dosa dan kesilapan lalu. Semoga Allah ampuni dan kembalikan kita ke tempat yang sebaiknya di sisi Allah.

Pengawal sempadan Iran ditahan di Pakistan

8 Safar 1433H. [MOD] -

QUETTA, Pakistan: Pakistan menahan tiga pengawal sempadan Iran selepas mereka didakwa menyeberangi sempadan dan menembak sebuah kereta, menyebabkan kematian seorang rakyat Pakistan.

Menurut pihak berkuasa Baluchistan, pengawal sempadan Iran terbabit sampai di Mazan Sar Mashkail di daerah Washuk, tiga kilometer dalam Pakistan di mana mereka melepaskan tembakan ke atas sebuah kenderaan yang mereka kejar.

“Ketiga-tiga anggota keselamatan sempadan Iran itu ditahan kerana memasuki Pakisan dan membunuh seorang rakyat Pakistan di negara kami," kata Saeed Ahmad Jamali, Timbalan Pesuruhjaya Daerah Washuk.

Seorang rakyat Pakistan terbunuh manakala saudara lelaki beliau cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian itu. Agensi.

Sunderland 1, Manchester City 0


8 Safar 1433H. [MOD] -PENYERANG Sunderland kelahiran Korea Selatan, Ji Dong-Won (kiri) bijak memperdaya penjaga gol Manchester City, Joe Hart dan seterusnya menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium of Light, Sunderland, England, awal pagi tadi. Keputusan Sunderland 1, City 0. - Foto AFP

EPL: Manchester City kecundang di tangan Sunderland


8 Safar 1433H. [MOD] -

SUNDERLAND 2 Jan. – Jaringan tunggal pemain Korea Selatan, Ji Dong-won dalam masa kecederaan membolehkan Sunderland melakar kejutan menewaskan pendahulu liga Manchester City di Stadium of Light, di sini semalam.

Keputusan itu menyebabkan pasukan bimbingan Roberto Mancini semakin sukar untuk mempertahankan kedudukan selepas dicabar hebat oleh Manchester United hasil perbezaan gol selepas anak buah Alex Ferguson turut tewas 2-3 di tangan Blackburn kelmarin. - AFP

Ibu hamil, dua anak maut dalam kebakaran di Kemboja

8 Safar 1433H. [MOD] -

PHNOM PENH 2 Jan. – Dua kanak-kanak serta ibu mereka yang sarat mengandung terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah apartmen di ibu negara Kemboja, lapor pihak berkuasa semalam.

Gabenor wilayah tempatan di utara Phnom Penh, Sok Sambath berkata, kebakaran itu yang berlaku pada tengah malam dipercayai berpunca daripada litar pintas di bilik tidur mangsa tersebut.

“Seorang budak lelaki berusia 4 tahun, kakaknya yang berumur 10 tahun serta ibu mereka ditemui mati akibat lemas setelah terhidu asap tebal,” katanya. - AFP

50 terbunuh dalam rusuhan kaum dua puak di Nigeria

8 Safar 1433H. [MOD] -

LAGOS 2 Jan. – Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam satu rusuhan kaum antara dua komuniti di Ebonyi, tenggara Nigeria, kelmarin.

“Hampir 50 orang termasuk seorang pegawai polis terkorban apabila sekumpulan orang dari komuniti Ezza menyerang masyarakat Ezilo ekoran pertikaian tanah,” kata jurucakap, Naga Onyekachi.

Tambahnya, pertempuran itu tidak berkaitan dengan serangan dari kumpulan pengganas Boko Haram yang menyebabkan Presiden Goodluck Jonathan mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan di Nigeria pada lewat semalam. - AFP

Tiga maut kena tembakan rai sambutan Tahun Baru

8 Safar 1433H. [MOD] -

KARACHI 2 Jan. – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera akibat terkena peluru sesat di bandar pelabuhan Karachi apabila penduduk Pakistan melepaskan beberapa tembakan ke udara semasa menyambut Tahun Baru, lapor polis.

“Tembakan ke udara pada malam Tahun Baru itu menyebabkan tiga orang maut dan 60 lagi mengalami kecederaan,” kata Hamid Parhair, polis wilayah Karachi.

Tambahnya, 36 orang dibawa ke hospital kerajaan manakala selebihnya dihantar ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan luka ringan. - AFP

Piala Emas Raja-raja: Pahang juara tewaskan Melaka

8 Safar 1433H. [MOD] -

TEMERLOH 2 Jan. – Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja setelah menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh malam tadi.

Sokongan padu lebih 5,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium nyata membakar semangat juang skuad Tok Gajah untuk muncul pemenang, sekaligus mengulangi kejayaan menjulang piala berkenaan pada 1980, menewaskan Perak 4-2. -