27 November 2012

Hasad dengki warisan kederhakaan iblis

13 Muharram 1433H. [MOD] -


Hasad atau dengki adalah satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Hidayatus Salikin, "(Dengki) ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Ketahuilah hasad itu haram dan makna-(dengki)nya ialah engkau suka hilang (luput)nikmat daripada orang yang engkau dengki atau engkau berkehendak agar turun bala kepada orang itu".

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan himpunan amalannya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Takutlah kamu semua akan sifat dengki kerana sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar." Riwayat Abi Daud daripada Abi Hurairah

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh seperti sejarah pertama pembunuhan manusia yang berlaku dalam peristiwa Qabil dan Habil. Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam :

Pertama; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan (beralih) kepadanya.

Kedua; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia sendiri tidak dapat menikmatinya, sama ada kerana merasa mustahil dirinya akan dapat merasai nikmat tersebut ataupun kerana memang kurang senang memperolehnya atau sebab lain. Asalkan orang itu jatuh, ia tersenyum gembira. Yang ini lebih jahat daripada peringkat dengki yang pertama.

Ketiga; Tidak ingin kenikmatan yang diperoleh oleh temannya hilang tetapi ia benci kalau temannya itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah, tidak berwawasan dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai "ghibtah".

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju maka ia wajar berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya. Ibnu Mas'ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda lalu dia membelanjakannya kepada jalan kebajikan. Dan kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya." Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi

Nikmat dan Ujian Semuanya daripada Allah

Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita. Sesiapa yang redha dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan baik di sisi Allah. Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya. Oleh itu, tidak wajar sama sekali seseorang menunjukkan sifat dengki atas apa yang diperoleh orang lain. Anggaplah orang yang menerima kebaikan itu sebenarnya sedang diuji Allah. Sekiranya dia berada di jalan benar, pasti Allah melimpahkan lebih banyak nikmat kepadanya.

Allah lebih mengetahui apa yang menimpa setiap orang. Dia berkuasa memberi dan menentukan setiap kejadian di dunia ini. Sesiapa menyimpan dengki terhadap orang lain, samalah dia cuba mengubah apa yang ditentukan Allah terhadap orang lain.

Betapa bahayanya sifat ini (dengki) disebut di dalam banyak kitab. Antaranya kitab Tanbih al-Ghafilin oleh Imam Abu Laith al-Samarqandi, yang meriwayatkan daripada al-Hasan, bahawa sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis kebaikan (hasanaat) sebagaimana api memakan kayu."

Daripada Abd al-Rahman bin Mu'awiyah berkata, Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Tiga jenis sifat yang tidak dapat selamat seorangpun (daripadanya) iaitu berprasangka buruk, hasad dan takut sial kerana sesuatu."

Lalu Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Baginda Nabi SAW, "Jika kamu hasad maka jangan kamu lanjutkan. Dan jika menyangka maka jangan kamu buktikan (jangan kamu cari-cari kenyataannya). Dan jika merasa takut daripada sesuatu, maka teruskanlah (jangan mundur kerana merasa tidak yakin)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kamu lahirkan dalam amal perbuatanmu, kerana selama mana hasad itu masih dalam hati, maka Allah memaafkan selama mana belum keluar dengan lidah atau perbuatanmu. Jika prasangka buruk maka jangan pula kamu cuba buktikan dengan mencari kesalahannya, atau berusaha menyelidiki untuk mencari kenyataannya. Demikian pula jika terbit dalam hati perasaan was-was dalam hati kerana petanda-petanda yang dianggap mendatangkan sial, maka teruskan hajatmu dan jangan mundur.

Kedengkian Yahudi Terhadap Umat Islam

As-Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkata di dalam tafsirnya, "Ketika Peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah meminta kumpulan pemanah yang ditempatkan di sebuah bukit kecil supaya jangan turun, sama ada orang Islam menang atau kalah. Tetapi tatkala kemenangan hampir menjelma pada peringkat awal, sebahagian golongan pemanah terlupa arahan Rasulullah SAW itu dan ingin menyertai rakan taulannya memungut harta ghanimah. Hal ini mengakibatkan mereka mengalami kekalahan. Walaupun begitu, golongan kuffar tidak mampu menyatakan kemenangan yang mutlak iaitu menjajah kota Madinah dan kekal di sana. Sebaliknya mereka pulang ke Mekah."

"Dalam situasi kekalahan seperti ini, orang Yahudi Madinah mengambil kesempatan dengan cuba memujuk Sahabat Nabi seperti Huzaifah bin al-Yamani, Tariq bin Yasir dan lain-lain supaya kembali kepada ajaran nenek moyang mereka. Tetapi pujukan mereka tidak berjaya. Dengan tegas Para Sahabat Rasulillah menjawab dan menolak pujukan tersebut.

"Antara lain, kata Ammar ibn Yassir di dalam jawapannya; Sesungguhnya aku beriman dengan Allah sebagai Tuhan, aku beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, aku beriman dengan Kitab sebagai penghulu, aku beriman dengan Kaabah sebagai kiblat, aku beriman bahawa seluruh orang beriman sebagai saudara dan sentiasalah aku dalam keadaan ini selama mana nyawa dikandung badan.”

Rasulullah SAW amat gembira dengan sikap mereka yang terus kekal beriman seperti yang yang dimiliki oleh Para Sahabat.

Benarlah seperti firman Allah Taala:

"Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalau kiranya mereka dapat mengembalikan orang yang beriman menjadi kafir, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, walaupun sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."  (Surah al-Baqarah: ayat 109)

Kata Imam Abu Laith As Samarqandi dalam tafsirnya yang dikenali dengan "Bahr al-'Ulum" menyebut, "Ayat ini diturunkan tatkala orang Islam diuji dalam Peperangan Uhud, golongan Yahudi mengambil kesempatan memujuk Ammar bin Yasir dan Huzaifah bin al-Yaman seraya berkata; Kamu telah terkena bala dan musibah. Justeru, eloklah kamu kembali kepada kami yang jauh lebih baik bagimu. Lantas turunnya ayat ini." Inilah juga pendapat Muqatil.

Tafsiran lain menyatakan bahawa Ka`ab bin Al-Asyraf telah memaki Nabi Muhammad SAW di samping mengajak dan menyeru kepada golongan kafir Quraish dalam bentuk syairnya menentang Rasulullah. Golongan musyrikin dan Yahudi Madinah menyakiti Rasulullah ketika mula datangnya Baginda SAW dalam peristiwa hijrah, tetapi Nabi SAW menyuruh Para Sahabat supaya mengabaikan mereka. Kemudian turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abdullah bin Ka`ab bin Malik.

Dan makna hasad yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi di sini ialah benci nikmat yang dikurniakan kepada orang beriman, dan berharap untuk menghilangkan nikmat tersebut sekalipun mereka tidak mendapatkannya. Inilah perasaan hitam yang hina yang melimpah dalam jiwa kaum Yahudi terhadap Islam dan kaum Muslimin, dan perasaan ini masih terus melimpah. Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan jahat kaum Yahudi yang berterusan.

Hasad Melahirkan Sifat Benci-Membenci

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat hasad, antaranya ialah kerana 'adaawah (permusuhan), takabbur (bongkak), ta'azzuz (benci jika ada orang lain dapat mengatasi reputasinya), bakhil (kedekut), khubthun nafsi (busuk hati), dan hubbul jaah (gila kuasa). Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya, "Wahai anak, berhati-hatilah (waspadalah) daripada hasad dengki kerana hal itu akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya nampak nyata pada musuhmu."

Manakala kata Imam Abu Laith as-Samarqandi berkata, "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasad, kerana orang yang berlaku hasad itu akan terkena lima bencana;
1. Hati yang tidak putus-putus merasa risau.
2. Ditimpa bala yang tidak berpahala.
3. Terpalit sifat dan label cela.
4. Dimurkai Allah Taala.
5. Tertutup padanya petunjuk Allah."

Hasad menimbulkan keinginan merampas kebaikan orang lain. Mengapa? Mereka yang berlaku hasad bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak tahu, tetapi mereka bersifat begitu kerana mereka benar-benar mengetahui. Al-Quran mendedahkan motif hasad ini kepada kaum Muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad dengki itulah punca yang wujud di belakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu menggugat akidah dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada kekufuran seperti mereka.

Sabda Baginda Nabi SAW, maksudnya : "Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara." Riwayat Bukhari dan Muslim

Salah satu larangan keras Baginda Rasul SAW dalam hadis di atas ialah agar kita jangan saling berdengkian (hasad). Hasad adalah dosa yang membawa keingkaran besar pertama kepada Allah iaitu sifat buruk inilah yang mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam. Sifat tercela ini jugalah yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama di atas muka bumi antara Qabil dan abil, dan sifat dengki juga menyebabkan Nabi Yusuf Alaihissalam hampir-hampir dibunuh oleh saudara-saudaranya.

Antara Hasad, Ghibtah dan Munaafasah

Hasad, ghibtah dan munaafasah adalah tiga istilah yang hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.

Hasad (Dengki) : Engkau suka jika hilang (luput) nikmat daripada saudaramu seagama tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak (agama). Hukumnya adalah haram. Ia bukan sekadar mendatangkan maksiat hati dan amalan dosa, bahkan ia adalah kejahatan sehingga Allah mengajarkan kepada manusia agar memohon perlindungan kepada-Nya daripada sifat tersebut:

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki." (Surah al-Falaq: ayat 5)

Ghibtah (Iri Hati): Engkau menginginkan sesuatu nikmat seperti nikmat yang diperoleh oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sifat ini tidak mendatangkan dosa selagi tidak melampau ke peringkat hasad.

Munaafasah (Kompetisi): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu, atau engkau bekerja keras kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Oleh sebab itu, kadang-kadang kompetisi ini dianjurkan oleh Allah Taala seperti yang terkandung di dalam al- Quran:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali Imran: ayat 133)

http://tarbawi.my

No comments: