14 September 2012

Mangsa ISA Didera Mental & Seksual, Sebiji Burger Diumpan Untuk Tutup Mulut

27 Syawal 1433H. [MOD] -

Dipukul dan didera secara mental termasuk penderaan seksual setiap hari secara berterusan selama 60 hari antara kaedah yang menyebabkan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akhirnya terpaksa mengaku bersalah.

Antara tahanan yang menjadi mangsa seksaan dan ugutan pegawai kem tahanan di Kem Tahanan ISA di Kamunting, Perak itu termasuklah golongan ulama, hafiz dan guru-guru Al-Quran.

Tahanan juga diugut agar tidak mendedahkan situasi sebenar dalam tahanan kepada pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila suruhanjaya itu mengadakan lawatan.

“Bila Suhakam nak datang mereka belikan burger McD untuk tahanan, selepas itu Suhakam duduk di depan tahanan, di belakang polis bersedia untuk tengok siapa yang berani nak jadi ‘whistle blower’.

“Aku dah belikan kau burger ni.. Aku dah seksa kau, kemudian aku pujuk kau belikan burger jadi aku harap kau dapat cakap benda baik tentang kami.

“Apa, mereka ingat kami ni apa, boleh dibeli dengan sebiji burger?

Demikian beritahu bekas tahanan ISA, Mohamad Fadzullah Abd Razak (gambar) dalam satu sidang media yang diadakan oleh Gerakan Mansuh ISA yang diadakan di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fadzullah, kejadian yang berlaku dalam kem tahanan menyebabkan beliau dan tahanan lain terkejut kerana tidak menyangka kejadian seksaan yang zalim seumpama ini wujud di Malaysia.

Fadzullah ditahan di bawah ISA apabila dikaitkan dengan aktiviti Jemaah Islamiah(JI) pada Jun 2010 dan dibebaskan kira-kira dua hari sebelum hari raya puasa baru-baru ini.

Fadzullah juga memberitahu seksaan yang dikenakan kepada tahanan sehingga menyebabkan ada tahanan cuba membunuh diri dengan mengikat leher dengan tuala akibat tidak dapat menanggung tekanan yang dihadapi.

Sementara itu, menurut peguam dari Lawyers for Liberty, Farida Mohammad, dalam lawatan ke Kem Tahanan Kamunting semalam, beliau dimaklumkan bahawa seorang tahanan ISA yang berusia dan mengidap penyakit batu karang, Razali Kassan mendakwa dipukul oleh seorang pegawai kem tahanan bernama Marzuki.

“Setelah beliau dimasukkan ke hospital, pegawai yang bernama Marzuki itu meminta maaf dan berjanji membantu beliau supaya dibebaskan lebih awal,” kata Farida.

grennboc/-

1 comment:

Anonymous said...

bOLEH PERCAYA KE CERITA MULUT TANPA BUKTI NI YB?? ADA APA2 BUKTI YG BOLEH DIKETENGAHKAN BAGI MENGUATKAN CERITA ? BAGAIMANA PULA KALAU DI KATAKAN BANDUAN TERSEBUT CUBA MELIWAT ANTARA SATU SAMA LAIN,BOLEH DI PERCAYAI KE KALAU TANPA BUKTI ??